Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru bawa model konsep Forester e-Boxer dan Impreza hatchback STI ke Tokyo Auto Salon 2019

    Subaru telah mengesahkan bahawa mereka akan ke Tokyo Auto Salon Januari ini dengan membawa dua model konsep STI, selain dari model-model sampingan lain. Dua ‘hero’ berkenaan adalah Forester dan juga Impreza STI Concept.

    Bagi Forester, ia akan diasaskan dari model hibrid e-Boxer yang diperkenalkan pertengahan tahun ini di Jepun. Versi konsep STI akan diberikan pelbagai tingkat taraf estetika yang terdiri dari bampar baharu, dive plane hadapan, skirt sisi, gril sarang lebah, serlahan berwarna kuning dan juga logo-logo STI. Badan SUV ini menerima warna ‘Fighter Grey’ dan dilengkapkan dengan rim aloi 19-inci.

    Untuk ubahsuai prestasi pula, Forester STI Concept ini akan dibekalkan dengan angkup brek Brembo monoblok enam-omboh di hadapan. Menurut Subaru, sistem janakuasa e-Boxer pada kereta ini turut disentuh bagi memberikan prestasi “lebih diperhalusi”, namun perincian lengkap masih belum di dedahkan.

    Untuk model asas, Forester e-Boxer dijana oleh enjin petrol NA FB20 2.0 liter empat silinder bentangan boxer, dilengkapi sistem suntikan bahan api terus yang mampu menghasilkan 145 PS/188 Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 13.6 PS/65 Nm yang diletakkan diantara enjin dan kotak gear Lineartronic CVT.

    Beralih ke Impreza STI Concept, Subaru mengambil asas Impreza Hatchback untuk model ini. Perlu diingatkan bahawa ini adalah model Impreza generasi baharu, dan bukan model WRX yang kini dipisahkan dari nama Impreza, dan model generasi terkini berkenaan masih belum dihasilkan dalam versi prestasi tinggi.

    Untuk Impreza STI Concept ini, ia akan diberikan pakej kit badan dan gril baharu, warna badan dua tona, rim aloi lebih sporty, dan juga bahagian dalaman yang digelar sebagai “Bordeaux interior.” Selain dua model ini, Subaru turut akan di bawa model Levorg yang diubahsuai, dan juga WRX STI yang diberikan kelengkapan STI Performance bersama tempat duduk Recaro dan rim BBS 19-inci.

     
     
  • KPDNHEP jamin bekalan petrol dan diesel mencukupi

    KPDNHEP jamin bekalan petrol dan diesel mencukupi

    Ekoran kenyataan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (BUMIPEDA) menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan bahan api petrol dan diesel yang dijangka kering di semua tangki penyimpanan di stesen minyak menjelang 1 Januari 2019, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan jaminan, bekalan kedua-dua bahan api tersebut akan sentiasa ada dan mencukupi untuk jualan harian di seluruh negara.

    Menurut Ketua Setiausaha kementerian terbabit, Datuk Seri Jamil Salleh, bahan api petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975, laporan Bernama.

    “Oleh itu kerajaan akan memastikan bahawa pembekalan barang berjadual tersebut sentiasa ada di pasaran dan mudah diperolehi oleh pengguna pada setiap masa,” katanya.

    Jamil turut berkata, sebagai pemegang lesen runcit petrol dan bahan api diesel di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen diwajibkan mematuhi syarat-syarat di dalam lesen, antaranya bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada dan cukup untuk jualan harian.

    KPDNHEP jamin bekalan petrol dan diesel mencukupi

    Syarat lain ialah pemegang lesen juga tidak dibenarkan menutup stesen petrol/bahan api diesel atau memberhentikan penjualan petrol / bahan api diesel di stesennya tanpa kebenaran.

    “Kegagalan pengusaha stesen untuk mematuhi arahan ini atau apa-apa syarat yang terkandung di dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.

    “Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.

     
     
  • Persatuan Pengusaha Petrol M’sia mahu berjumpa dengan k’jaan untuk diskusi struktur harga bahan api

    Persatuan Pengusaha Petrol M’sia mahu berjumpa dengan k’jaan untuk diskusi struktur harga bahan api

    Susulan pengumuman kementerian kewangan tentang sistem apungan secara mingguan bagi harga runcit bahan api yang bakal dilaksanakan semula tahun hadapan, Persatuan Pengusaha Petrol Malaysia (PDAM) mahu kerajaan mengadakan rundingan dengan ahli-ahlinya sebelum langkah itu dilaksanakan.

    Pada 24 Disember lalu, menteri kewangan Lim Guan Eng berkata Kerajaan akan kembali menetapkan harga runcit bagi bahan api secara mingguan bermula 1 Januari 2019. Menurutnya, ini susulan penurunan harga minyak mentah global secara berterusan sejak kebelakangan ini.

    Dalam laporan yang disiarkan oleh The Star, PDAM berkata walaupun harga bahan api yang rendah dialu-alukan, langkah itu akan mengakibatkan kerugian bagi peniaga sekiranya harga minyak mentah merosot lagi. “Sebagai peniaga, kami tidak mempunyai kawalan ke atas harga. Katakanlah kita membeli petrol hari ini, jika kerajaan mengubah harga esok, kita harus mengikuti walaupun kita membeli (bahan bakar) pada harga yang lebih tinggi, “kata Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, presiden PDAM.

    “Tidak seperti perniagaan lain di mana mereka masih boleh menyimpan margin, kita tidak boleh, kerana kita berada atas belas kasihan kerajaan. Oleh itu, katakan harganya turun setiap minggu, maka kita akan terkena (kerugian) empat kali sebulan, “tambahnya.

    Persatuan Pengusaha Petrol M’sia mahu berjumpa dengan k’jaan untuk diskusi struktur harga bahan api

    Khairul juga menyatakan bahawa peniaga tidak dapat menentukan berapa banyak bahan api untuk stok kerana keputusan itu terpulang kepada syarikat minyak. “Jadi kita tidak boleh membeli stok yang kurang; sebab ia telah ditetapkan, “katanya sambil menambah bahawa para peniaga biasanya mempunyai 10 sen per margin margin untuk petrol – penurunan harga lebih akan menyebabkan kerugian pada bahagian peniaga.

    “Sekiranya pengurangan secara beransur-ansur dan tidak memakan margin kita setiap hari, maka ia akan baik-baik saja tetapi kerajaan perlu berbincang dengan kami. Adalah benar bahawa kerajaan mahu memberi harga (harga bahan api yang rendah) kepada rakyat, tetapi jika kita terus kerugian, matilah (kita akan menderita), “kata Khairul.

    Presiden PDAM menyarankan kepada kerajaan untuk membenarkan peniaga menggunakan sistem consignment ketika membeli bahan api, atau untuk mekanisme menang-menang ditetapkan.

     
     
  • Tiket ETS untuk Tahun Baharu Cina boleh dibeli mulai 2 Jan ini, kekal 36 perjalanan sehari – KTMB

    Tiket ETS untuk Tahun Baharu Cina boleh dibeli mulai 2 Jan ini, kekal 36 perjalanan sehari – KTMB

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah memaklumkan tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan bertarikh 1 Februari hingga 30 April 2019 boleh dibeli mulai 2 Januari 2019. Jualan yang dibuka mulai 8.30 pagi hari berkenaan itu bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang bakal menyambut perayaan Tahun Baharu Cina dan yang akan pulang bercuti ke kampung halaman.

    Menurut KTMB lagi,perkhidmatan ETS mengekalkan penyediaan 36 perjalanan sehari. Ini disebabkan kerja menaik taraf infrastruktur dan sistem landasan berkembar Lembah Klang (KVDT) masih dalam fasa pelaksanaan.

    Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) dan di kaunter tiket KTMB.

     
     
  • Petrol dan diesel dijangka kering menjelang 1 Jan ini, stesen minyak enggan tambah bekalan – BUMIPEDA

    Petrol dan diesel dijangka kering menjelang 1 Jan ini, stesen minyak enggan tambah bekalan – BUMIPEDA

    Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (BUMIPEDA) menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan bahan api petrol dan diesel yang dijangka kering di semua tangki penyimpanan di stesen minyak menjelang 1 Januari 2019.

    Menurut presidennya, Datuk Abg Samah Bachik, ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

    “Sudah pasti kita tidak mahu menambah simpanan minyak pada penghujung bulan pada harga yang mahal, namun terpaksa jual mengikut kadar lebih murah berkuat kuasa 1 Januari. Jika sebelum ini kerajaan menggunakan sistem apungan harga mengikut bulanan, kita masih boleh beroperasi dengan membuat keuntungan jualan bagi menampung kos operasi.

    “Bagaimanapun, keputusan kerajaan menggunakan semula apungan harga bahan api secara mingguan dan berkuat kuasa 1 Januari ini bakal mencetuskan kerugian kepada pengusaha,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

    Tambahnya lagi, keengganan pengusaha stesen menambah simpanan minyak dalam tangki mungkin dilihat sebagai protes, namun percaturan itu terpaksa dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak mengalami kerugian ketara.

    Petrol dan diesel dijangka kering menjelang 1 Jan ini, stesen minyak enggan tambah bekalan – BUMIPEDA

    “Sepatutnya kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan, jemputlah kami untuk berunding dan memberi laluan untuk menyuarakan pandangan supaya apa saja penyelesaian yang dilakukan bersifat ‘menang-menang’. Memang betul tanggungjawab kerajaan ialah untuk menjaga kebajikan pengguna, namun kami sebagai pengusaha stesen minyak perlu menampung operasi dengan menjana keuntungan.

    “Bagaimana kami nak meneruskan operasi dan memenuhi permintaan pengguna jika wujud ketidakadilan dalam keputusan kerajaan berkaitan mekanisme penetapan harga minyak di pasaran,” katanya.

    Menyuarakan penyelesaian, Abu Samah berkata langkah terbaik ialah menggunakan penetapan harga bahan api di pasaran secara bulanan, sekali gus memudahkan pengusaha stesen minyak menguruskan pembelian simpanan dan kadar penjualan kepada pengguna.

    Pada 24 Disember lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.

    Katanya, ia berikutan penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara bulanan, malah kerajaan bersedia mengembalikan mekanisme mengikut mingguan bagi memberi manfaat kepada pengguna.

     
     
  • Beberapa jalan utama di Klang ditutup pada 25 Dis ini sempena perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib”

    Beberapa jalan utama di Klang ditutup pada 25 Dis ini sempena perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib”

    Semperna perhimpunan aman bagi menuntut keadilan atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang akan dianjurkan di Klang pada petang 25 Disember ini, lima persimpangan jalan akan ditutup esok bermula pukul 12 tengah hari.

    Himpunan itu yang akan diadakan di Dataran Seni Klang, bagi menuntut keadilan atas kematian Muhammad Adib selain turut dijadikan platform bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan dan menuntut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat pemimpin Hindraf tersebut.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh, lima persimpangan yang terlibat ialah Jalan Raja Hassan, Jalan Nangka, Jalan Nanas, Jalan Melayu dan Jalan Taiping. Dalam masa yang sama, jalan yang terlibat dengan penutupan berperingkat bermula pukul 3 petang pula ialah Susur Jambatan Kota, Bulatan Kota, Bulatan 100, Persiaran Sultan Ibrahim, Jalan Pos Baru dan Jalan Pasar, laluan kontra turut akan dibuat di Jalan Batu 3 sekiranya penutupan penuh dibuat.

    Orang ramai yang menyertai perhimpunan itu dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab pula berkata pihaknya akan menempatkan pegawai polis yang mencukupi bagi mengawal keselamatan sepanjang perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy’.

     
     
  • Toyota Supra A90 – bahagian belakang pula terdedah!

    Toyota Supra A90 – bahagian belakang pula terdedah!

    Hampir dua minggu lalu, bahagian muka Toyota Supra generasi kelima telah bocor dan tersebar di internet, kali ini sebahagian kecil rupa belakang kereta sport tersebut pula telah terdedah, dan ia disiarkan pada laman yang sama iaitu SupraMkV.com.

    Tidak seperti bahagian hadapan, belakang Supra generasi baharu ini menampilkan banyak perubahan berbanding model FT-1 iaitu versi konsep untuk kelahiran semula Supra yang muncul buat pertama kali pada tahun 2014 di Detroit Auto Show.

    Spoiler ‘ekor itik’ pada penutup bonet belakang masih lagi kekal, namun model produksi ini menampilkan lampu tirus yang jauh lebih besar dari versi konsep FT-1. Liang udara sisi masih ada, tetapi direka jauh lebih kecil. Bampar belakang kereta ini masih menerima diffuser agresif seakan model konsepnya, tetapi direka dengan lebih rasional dengan lampu kabus ala-F1 pada bahagian tengah bersama dua tip ekzos oval pada kedua-dua sisi. Apa yang menarik, model ini masih mengekalkan rupa logo ‘Supra’ sama seperti sebelum ini, dan ia diletakkan pada tengah bampar.

    Toyota Supra A90 – bahagian belakang pula terdedah!

    Toyota Supra generasi baharu ini akan membuat penampilan sulungnya di North American International Auto Show (NAIAS) 2019, berlangsung di Detroit 14 Januari ini. Minggu lalu juga Toyota telah mendedahkan bunyi 3.0 liter enam-silinder turbo Supra generasi baharu ini yang kedengaran agak serupa dengan enjin 2JZ-GTE dari model generasi keempat JZA80.

    Supra A90 ini dihasilkan dengan platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4 generasi terbaharu. Toyota dan jenama dari Jerman berkenaan telah bekerjasama untuk membina asas kedua-dua model ini sejak tahun 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

    Bahagian hadapan dan belakang model konsep Toyota FT-1

    Toyota turut mengesahkan bahawa enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi pada Supra A90 ini menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

    Walaupun Toyota sudah menyatakan yang Supra ini hanya akan hadir dengan kotak gear automatik sahaja, pembantu ketua jurutera untuk projek ini, Masayuki Kai menyatakan bahawa Supra dengan transmisi manual sebenarnya telah pun dihasilkan dan ia hanya dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Jelas Kai, sama ada versi berkenaan akan dijual atau pun tidak ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran dan mungkin hanya untuk model JDM serta pasaran RHD lain.

    Yang pasti, kuasa dari enjin Supra ini hanya akan dialirkan ke gandar belakang, lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina di atas casis aluminium dan logam komposit, dengan pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.


    GALERI: Prototaip produksi Toyota Supra A90

    GALERI: Model konsep Toyota FT-1 di KLIMS 2018

     
     
  • Harga bahan api dijangka turun mulai 1 Jan ini, kembalikan konsep penetapan secara mingguan – Lim

    Harga bahan api dijangka turun mulai 1 Jan ini, kembalikan konsep penetapan secara mingguan – Lim

    Menteri Kewangan, Lim Guang Eng, telah memaklumkan, Kerajaan akan kembali menetapkan harga runcit bagi bahan api secara mingguan bermula 1 Januari 2019. Menurutnya, ini susulan penurunan harga minyak mentah global secara berterusan sejak kebelakangan ini, laporan Astro Awani

    “Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia. Oleh demikian, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, sekiranya harga minyak mentah global meningkat semula pada masa hadapan, kerajaan akan kembali kepada mekanisme harga tetap RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

    “Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada tahun 2019. Ini selaras dengan manifesto PRU-14 Pakatan Harapan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membolehkan rakyat menerima faedah penurunan harga minyak tetapi membantu golongan B40 dengan subsidi bersasar bila harga minyak naik,” katanya.

    Tambahnya lagi, kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak RM7.14 bilion sehingga November 2018 di mana tanggungan subsidi bagi bulan Mei sehingga November 2018 adalah sebanyak RM5.82 bilion.

     
     
  • Vespa Primavera edisi ulang tahun ke-50 – RM16,300

    Vespa Primavera edisi ulang tahun ke-50 – RM16,300

    Model Primavera oleh Vespa mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 1968, dan kini ia sudah berusia 50 tahun. Oleh itu, pengeluar motosikal dari Itali tersebut telah mengeluarkan satu model istimewa demi menyambut ulang tahun tersebut dan ia telah pun tiba di Malaysia dengan harga RM16,300 tidak termasuk insurans.

    Vespa Primavera edisi ulang tahun ke-50 datang dalam dua warna berbeza iaitu Light Blue dan Matte Brown, dan beberapa bahagian dijadikan unik termasuk tempat duduk berwarna putih serta rim dua tona. Selain daripada itu, bahagian lain semuanya sama seperti Primavera tahun 2018 yang dilancarkan di Malaysia Oktober lalu.

    Ini bermakna, Primavera edisi ulang tahun ke-50 turut menikmati kelebihan seperti model Primavera versi terbaru seperti lampu LED, rim aluminium 12 inci (paling besar pernah dikeluarkan oleh Vespa), kemasan seperti tali leher di panel depan serta hiasan warna krom atas fender depan.

    Bagi enjin pula ia menggunakan unit satu silinder empat strok 154.8 cc suntikan bahan api dengan janaan kuasa 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi pula adalah automatik CVT, dan di hadapan mempunyai brek cakera 200 mm manakala di belakang adalah brek dram 140 mm.

    Seperti kebiasaan, anda juga boleh mendapatkan pelbagai lagi aksesori untuk Primavera edisi ulang tahun ke-50 ini, dan ada di antaranya boleh diwarnakan terus sama seperti badan seperti kotak barangan belakang. Aksesori lain yang ditawarkan adalah seperti rak barangan krom atas fender hadapan, penghadang udara lebih tinggi, besi pelindung badan serta alat penggera keselamatan.

     
     
  • Carlos Ghosn dijangka bakal dibebaskan dari penjara 1 Januari ini setelah di tahan lagi sekali 21 Dis lalu

    Carlos Ghosn dijangka bakal dibebaskan dari penjara 1 Januari ini setelah di tahan lagi sekali 21 Dis lalu

    Bekas pengerusi Nissan, Carlos Ghosn dijangka bakal dibebaskan dari penjara menjelang 1 Januari 2019 ini, selepas beliau ditangkap dan didakwa atas tuduhan pecah amanah. Ghosn sebelum ini telah dtangkap pada 19 November kemudian dibebaskan pada Jumaat lalu, dan selepas itu ditangkap semula atas tuduhan baharu ini.

    Ghosn dijangka akan dibebaskan semula atas penahanan baharu tersebut selepas mahkamah menolak pemohonan pendakwa raya untuk memanjangkan tempoh tahanannya. Di bawah undang-undang Jepun, individu yang disyaki telah melakukan jenayah boleh direman selama 23 hari, tetapi sebaik sahaja Ghosn dilepaskan, pendakwa raya Jepun telah mengemukakan dakwaan baharu yang mengatakan Ghosn telah menggunakan Nissan untuk menjelaskan kerugian pelaburan peribadinya yang bernilai sehingga 1.85 bilion yen (RM69.4 juta).

    Menurut laporan Autocar, peguam Ghosn Motonari Otsuru telah mengeluarkan kenyataan bertulis hujung minggu lalu, menjelaskan bahawa tindakan kliennya itu bukanlah pecah amanah, dan bayaran yang dikesan oleh pendakwaraya adalah bayaran untuk kerja yang telah siap dibuat oleh individu yang tidak dikenalpasti di Nissan.

    Jika disabitkan bersalah, Ghosn mungkin akan berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan saman sehingga £4.9 juta (RM26 juta ) dari pihak berkuasa Jepun. Walau bagaimanapun, Ghosn masih lagi belum mengeluarkan apa-apa kenyataan umum berkenaan penahanannya, tetapi pasukan peguamnya telah menafikan semua dakwaan pendakwa raya, yang menyatakan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas kerana ia tidak berkaitan dengan gajinya tetapi ia adalah bayaran masa hadapan yang dijangka akan diterimanya setelah bersara nanti.

     
     
  • Daihatsu Copen Coupe mula dijual – hanya 200 unit

    Daihatsu Copen Coupe mula dijual – hanya 200 unit

    Model konsep Daihatsu Copen Coupe yang pernah dipertontonkan di Tokyo Auto Salon 2016 kini telah pun berada di pasaran, dengan hanya 200 unit sahaja yang diproduksikan.

    Coupe ini yang dibangun berdasarkan model Copen Cero iaitu versi roadster yang mengingatkan pada Copen original, dilengkapi dengan bumbung gentian karbon hardtop boleh lipat dengan penukaran bagi panel badan boleh tanggal Dress-Formation pada model standard. Malah bahagian belakangnya yang kecil kini menjadi sebahagian daripada bumbung dan turut memberikan akses untuk but.

    Ia juga didatangkan dengan cermin hadapan anti-kabus, dengan lapisan eXeview buatan AGC. Beberapa pilihan bagi Coupe biasa turut diberikan secara standard, termasuk roda aloi BBS 16-inci, roda stereng Momo (dengan padanan penukar pedal bagi varian CVT) dan juga limited-slip differential bagi varian manual.

    Daihatsu Copen Coupe mula dijual – hanya 200 unit

    Pembeli boleh menyuaipadankan dengan beberapa pilihan termasuk HKS sport muffler, kit suspensi HKS baharu dan sistem bunyi Daitone yang dipertingkatkan. Hanya dua pilihan warna ditawarkan – British Green Mica dengan warna dalaman tan dan Pearl White III dengan dalaman hitam.

    Sistem mekanikal tiada perubahan, Coupe masih mengekalkan enjin 660 cc pengecas turbo tiga-silinder seperti peraturan yang ditetapkan bagi kei car, mampu menghasilkan 64 PS pada 6,400 rpm dan tork 92 Nm pada 3,200 rpm. Ia dipadankan sama ada dengan transmisi CVT tujuh-kelajuan atau manual lima-kelajuan.

     
     
  • Subaru WRX STI S209 akan didedahkan di Detroit?

    Baru-baru ini, Subaru telah mendedahkan sebuah video teaser menunjukkan WRX STI yang sedang diuji dilitar lengkap dengan pelekat penyamaran diseluruh badan. Kereta berkenaan kelihatan jauh lebih hardcore dari WRX STI standard, menampilkan kemasan lebih agresif pada apron hadapan serta pemadanan GT-Wing bersaiz besar di belakang.

    Video berkenaan juga turut menyampaikan mesej “From Japan with love” dan deskripsi di bawah video pada akaun youtube Subaru itu tertulis “sesuatu yang istimewa dari Subaru Technica International akan datang ke Amerika buat pertama kali. 1/14/19 di North American International Auto Show.” Acara berkenaan akan berlangsung di Detroit, Amerika Syarikat.

    Menurut laporan portal Autoguide, Subaru dilaporkan telah memfailkan permohonan tanda dagangan untuk “S209” di Amerika Syarikat pada 12 Disember lalu. Dengan petunjuk dari video baharu ini, berkemungkinan besar model yang didedahkan di Detroit berkenaan adalah Subaru WRX STI S209.

    Subaru WRX STI S209 akan didedahkan di Detroit?

    Ini kerana model-model WRX STI siri S20x yang bermula dari S201, S202, S203, S204, S206, S207 dan terakhir S208 adalah versi lebih hardcore dari model WRX STI biasa, dihasilkan dalam jumlah sangat terhad, dan hanya dipasarkan di Jepun (JDM) sahaja. Jika benar S209 akan didedahkan di Detroit, ini bermaksud ia adalah model pertama dari siri tersebut diperkenalkan serta membuat kemunculan sulung secara rasmi di luar dari Jepun.

    Sedikit sejarah berkenaan siri ini, ia diperkenalkan buat pertama kali menerusi Impreza WRX STI Version VI (GC8) pada tahun 2000. Impreza WRX STI S201 berkenaan sebenarnya adalah model konsep yang diberi nama Impreza STI Electra One muncul di Tokyo Motor Show 1999. Ia kemudian terus muncul menerusi casis Impreza WRX GDB generasi seterusnya dengan kesinambungan nama S202 pada tahun 2002, dan model-model sambungan lain pada tahun-tahun mendatang.

    Tipikal sebuah WRX STI siri S20x ini, ia biasanya akan diberikan kit aero dinamik yang lebih agresif, sistem suspensi yang lebih fokus kepada pemanduan litar, dan juga enjin EJ20 yang menerima ubahsuai bagi menghasilkan kuasa yang lebih buas. Subaru WRX STI S208 misalnya, ia diberikan pakej aero yang sama dengan pakej NBR Challenge, enjin berkuasa 329 PS pada takat 7,200 rpm dan tork maksima 432 Nm bermula 3,200 hingga 4,800 rpm, dihasilkan terhad kepada 450 unit hanya untuk pasaran Jepun.

    GALERI: Subaru WRX STI S208

     
     
  • Honda S660 Trad Leather Edition diperkenal di Jepun

    Honda S660 Trad Leather Edition diperkenal di Jepun

    Demi menjadikan Honda S660 lebih menarik kepada orang ramai, syarikat itu telah melancarkan satu versi baru Trad Leather Edition di Jepun, yang dijual pada harga 2,275,560 yen (RM85,754) dan akan dipamerkan semasa Tokyo Auto Salon bulan hadapan.

    Perubahan gaya yang diberi pada model edisi khas ini tidak menjadikan S660 lebih sporty seperti yang disediakan melalui kit Modulo X, tetapi menjadikannya lebih elegan dan kemas, bermula dengan bumbung yang menggunakan kain berwarna coklat dan rim aluminium istimewa.

    Pada bahagian dalam, tempat duduk sports, roda stereng, papan pemuka dan keliling panel instrumen kereta ini dibalut dengan kulit gabungan warna coklat cair dan hitam manakala berhampiran tombol gear terdapat satu lencana yang tertulis “Trad Leather S660”.

    Selain daripada itu, model edisi khas ini juga mendapat City-Brake Active System – iaitu satu ciri yang sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada varian S660 biasa. Ciri ini diberikan secara standard, tanpa mengira warna luar yang dipilih – ada tiga iaitu British Green, Premium White dan Nighthawk Black.

    Tiada perubahan diberi pada bahagian enjin S660 Trad Leather Edition ini, di mana ia masih menggunakan enjin petrol tiga silinder turbo 660 cc yang mampu menghasilkan kuasa 64 hp dan 104 Nm. Kuasa disampaikan ke tayar belakang melalui kotak gear manual enam kelajuan atau automatik CVT.

     
     
  • Pembinaan SUKE, DASH siap hampir 40% – Prolintas

    Pembinaan SUKE, DASH siap hampir 40% – Prolintas

    Projek Pintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memaklumkan pembinaan dua lebuhraya kendaliannya iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sudah siap hampir 40%.

    Menurut Pengurus Besar Divisyen Komunikasi Korporat Prolintas, Mohd Ramali Abu Bakar, pembinaan kedua-dua lebuhraya yang bermula pada tahun 2016 itu berjalan lancar seperti yang dijadualkan, laporan Kosmo.

    Lebuhraya SUKE dan DASH dijangka siap pada tahun 2020 dan ia disasarkan untuk memendekkan perjalanan serta dapat mengurangkan kesesakan hampir 30% pada waktu puncak melibatkan trafik di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Sungai Besi, Persiaran Mokhtar Dahari dan Puncak Perdana,” ujarnya.

    Untuk projek SUKE, ia melibatkan kos pembinaan RM4.63 bilion, dan ia akan bermula dari Sri Petaling (tempat berakhirnya lebuhraya KESAS), melalui bahagian atas sebahagian laluan awal lebuhraya MRR2, kemudian menuju ke Alam Damai, Cheras Hartamas, Bukit Teratai, Taman Kosas, Pekan Ampang dan bertemu semula dengan laluan MRR2 di Hotel Flamingo. Ia tidak tamat disitu, sebalik terus disambung ke Taman Hillview dan berakhir di Bukit Antarabangsa.

    Pembinaan SUKE, DASH siap hampir 40% – Prolintas

    Bagi laluan lebuhraya ini, ia dibina pada jarak 24.4km dengan tiga plaza tol, satu kawasan rehat dan rawat (RSA) dengan 14 susur keluar dan masuk. Lebuhraya ini turut akan dihubungkan dengan lebuhraya-lebuhraya lain iaitu MRR2, DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Besraya dan Kesas.

    Setelah ia siap kelak, lebuhraya ini dijangka bakal menyuraikan trafik sekitarnya dengan mengurangkan kesesakan 44,000 buah kenderaan setiap hari. Secara spesifik pula, ia bakal mengurangkan 24% kesesakan di MRR2, 36% kesesakan di Jalan Ampang dan 12% kesesakan di Jalan Loke Yew.

    Manakala untuk lebuhraya DASH pula, ia melibatkan kos pembinaan RM4.18 bilion dan ia akan bermula dari Shah Alam di Puncak Perdana, melalui Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Lapangan Terbang Subang, RRIM, Persiaran Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan berakhir di Penchala Link.

    DASH dibina pada jarak 20.1 km dengan tiga plaza tol serta 13 susur keluar dan masuk. Lebuhraya ini turut akan berhubung dengan Lebuhraya Guthrie (GCE), NKVE, LDP dan juga Lebuhraya SPRINT.

     
     
  • Yamaha XMax 250 pasaran Malaysia dalam warna baru

    Yamaha XMax 250 pasaran Malaysia dalam warna baru

    Tidak sampai satu tahun berada dalam pasaran Malaysia (dilancarkan pada bulan Mac 2018), kini Yamaha XMax 250 ditawarkan dalam dua warna baru iaitu Matte Blue dan Matte Red, yang menggantikan warna sebelum ini. Harga untuk skuter ini walaubagaimanapun masih kekal sama iaitu RM21,225 tidak termasuk insurans (harga cadangan pengeluar).

    XMax 250 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok SOHC suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core, dan kuasa sebanyak 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm mampu disampaikan ke tayar belakang melalui kotak gear automatik.

    Yamaha XMax 250 pasaran Malaysia dalam warna baru

    Sebagai sebuah skuter, XMax 250 menawarkan pelbagai kemudahan dengan antaranya ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet fullface, penghadang angin hadapan tinggi boleh laras, dua ruang simpanan kecil di bawah bahagian pemegang (satu daripadanya mempunyai pengecas 12V) dan sistem tanpa kunci berserta penggera.

    Sistem keselamatan skuter ini juga boleh dianggap lengkap dengan brek cakera hadapan dan belakangnya mempunyai sistem ABS, dan sistem kawalan cengkaman (TC) yang boleh ditutup. Lampu LED di depan dan belakang memberikan penyalaan yang lebih terang dan rim 15 incinya dibalut dengan tayar tanpa tiub (tubeless).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025