Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic facelift tiba di Thailand – empat varian, enjin 1.8L NA atau 1.5L Turbo, dengan Honda Sensing

    Honda Civic facelift tiba di Thailand – empat varian, enjin 1.8L NA atau 1.5L Turbo, dengan Honda Sensing

    Selepas beberapa bulan Honda Civic facelift membuat penampilan global di Amerika Syarikat, kini ia tiba pula di Thailand. Model facelift bagi Civic generasi FC ini turut melibatkan perubahan dalam kelengkapan yang diberi, bergantung kepada varian.

    Secara keseluruhannya di Thailand, ia ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.8 E, 1.8 EL, 1.5 Turbo dan 1.5 Turbo RS, dengan harga antara 874,000 baht hingga 1,219,000 baht. Seperti yang boleh anda lihat pada namanya, ada dua pilihan enjin petrol iaitu 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan satu lagi enjin empat silinder 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT.

    Pembaharuan yang dibuat pada bahagian luar adalah termasuk bampar baru, di mana bukaan udara bahagian bawahnya kini nampak bersambung menjadi satu dan bukannya terbahagi tiga. Bergantung kepada varian, ‘sayap’ pada gril serta hiasan di sekeliling lampu kabus boleh menjadi sama ada krom ataupun hitam berkilat.

    Honda Civic facelift tiba di Thailand – empat varian, enjin 1.8L NA atau 1.5L Turbo, dengan Honda Sensing

    Pergi ke belakang, terdapat perincian krom pada bahagian bawah bampar, manakala di tepi pula, ia mempunyai rekaan rim baru. Varian yang menggunakan enjin VTEC Turbo mendapat unit 17 inci, manakala yang lain menggunakan unit 16 inci. Melihat kepada rupa dan bentuknya, bahagian dalam tidak berubah.

    Berkenaan kelengkapan, peningkatan paling jelas adalah kemasukan pakej keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing Suite, pada varian 1.5 Turbo RS. Dalam pakej ini terdapat fungsi Collision Mitigation Braking System, Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, Lane Keep Assist System, Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning dan Auto High Beam.

    Kemudiannya, semua varian diberikan terus dengan Vehicle Stability Assist (VSA), ABS, EBD, Emergency Stop Signal (ESS), kamera undur dan empat beg udara. Walaubagaimanapun, varian 1.8 EL dan 1.5 Turbo RS ditambah dengan dua lagi beg udara dan sistem kamera Honda LaneWatch pada cermin sisi.

    Honda Civic facelift tiba di Thailand – empat varian, enjin 1.8L NA atau 1.5L Turbo, dengan Honda Sensing

    Selain varian 1.8 E yang cuma mengunakan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lima inci, varian lain pula semuanya dilengkapi dengan skrin lebih besar, bersaiz tujuh inci. Varian paling tinggi iaitu 1.5 Turbo RS kemudiannya ditambah lagi dengan fungsi navigasi, serta lapan pembesar suara (turut diberi kepada 1.5 Turbo dan 1.8 EL). Varian 1.8 E cuma mendapat enam pembesar suara.

    Untuk kelengkapan lain, terdapat sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pendingin hawa automatik, tempat duduk larasan kuasa lapan cara (kecuali 1.8 E), tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat cara (Turbo dan Turbo RS sahaja), balutan kulit (kecuali 1.8 E), lampu siang LED, lampu belakang LED dan lampu utama projector (Turbo RS mendapat lampu LED). Varian Turbo RS juga mempunyai lencana khas pada gril dan spoiler belakang yang lebih sporty.

    Pelanggan di Thailand dapat memilih lima warna luar untuk Civic facelift ini iaitu Brilliant Sporty Blue Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl. Bahagian kabin pula datang dalam dua warna iaitu beige dan hitam, bergantung kepada warna luar yang dipilih.

     
     
  • Honda Passport SUV lima-tempat duduk diperkenalkan

    Honda Passport SUV lima-tempat duduk diperkenalkan

    Biasanya, kalau bercakap tentang SUV Honda, CR-V yang akan selalu disebut. Tetapi, pasaran Amerika ada sebuah lagi model SUV besar lain; Pilot tujuh-tempat duduk. Sekarang, ada pula versi lima-tempat duduk untuk model berkenaan diperkenalkan di sana, dengan nama Honda Passport.

    Model ini mempunyai dimensi 4,839 mm panjang (-152 mm dari Pilot). Passport punya ada kelebihan untuk kegunaan off-road dengan tinggi dari tanah ditingkatkan sebanyak 28 mm. Lain-lain perbezaan antara kedua-dua model ini termasuk gril hitam kesat tahan calar, lampu utama dengan grafik hitam, rim 20-inci serta kesan floating roof.

    Keluasan ruang pula menurut Honda antara yang terbaik dalam kelasnya; 3,289 liter untuk ruang penumpang, sementara keseluruhan ruang dalaman pula ialah 4,449 liter. Keluasan ruang barangan pula 1,167 liter, dan boleh dilanjutkan sehingga 2,206 liter dengan tempat duduk belakang dilipat.

    Honda Passport SUV lima-tempat duduk diperkenalkan

    Pada bahagian lantai pula tersedia tambahan ruang barangan sebanyak 71 liter lagi. Pelapik plastik padanya juga boleh diterbalikkan dan dibasuh, sama seperti bekas barang boleh alih yang ada pada seksyen aksesori.

    Kuasanya datang dari enjin 3.5 liter i-VTEC V6 (sama seperti Pilot) yang menjana 280 hp pada 6,000 rpm dan 355 Nm tork pada 4,700 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan. Pilihan sistem pacuan terdiri daripada pacuan depan atau pun sistem pacuan empat roda Intelligent Variable Torque Management (i-VTM4) dengan torque vectoring aktif.

    Suspensi mengguna jenis MacPherson strut untuk bahagian depan dan jenis multilink di belakang. Menurut Honda, SUV ini boleh tampung beban menunda sehingga 1,588 kg bagi model pacuan depan, manakala bagi model pacuan semua roda sebanyak 2,268 kg.

    Lain-lain kelengkapan termasuk paparan instrumen tujuh-inci, sistem paparan audio lapan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, 10-pembesar suara, sistem bunyi premium 590-wo\att dan WiFi hotspot 4G LTE. Kamera undur pelbagai sudut juga tersedia sebagai ciri standard.

    Dari segi keselamatan, Passport datang dengan Honda Sensing, termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collison Warning (FCW), Road Departure Mitigation (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assistance System (LKAS) dan Adaptive Cruise Control (ACC). Ditawarkan sebagai pilihan ialah ciri Blind Spot Information System dengan Rear Cross-Traffic Detection.

     
     
  • Toyota Corolla kembali bertarung di BTCC dengan pasukan Toyota GB bersama Speedworks Motorsport

    Toyota Corolla kembali bertarung di BTCC dengan pasukan Toyota GB bersama Speedworks Motorsport

    Dengan kehadiran model generasi baharu, Toyota Corolla bakal bertarung semula dalam kejohanan touring car berprestij, British Touring Car Championship (BTCC) untuk musim 2019. Corolla akan di pandu oleh Tom Ingram di bawah pasukan rasmi Toyota Great Britain bersama Speedworks Motorsport.

    Speedworks Motorsport sebenarnya sudahpun berlumba dalam BTCC dalam berberapa musim sebagai pasukan persendirian, menggunakan Toyota Avensis. Bersama Ingram, pasukan berkenaan telah pun memenangi sembilan perlumbaan BTCC, dan memegang Piala Pasukan dan Pemandu Persendirian untuk musim 2017 dan 2018. Untuk musim tahun ini, Ingram berada di tempat kedua secara keseluruhan, hanya ketinggalan 12 mata dari juara BTCC 2018 Colin Turkington dari pasukan BMW.

    Dengan Toyota Great Britain sendiri menaung pasukan ini, Tom Ingram dan Speedworks Motorsport mensasarkan akan menyapu bersih gelaran juara BTCC untuk kategori pengeluar dan juga pemandu bagi musim 2019.

    “Kami telah berhubung dengan Toyota untuk berberapa tahun, mewujudkan hubungan yang rapat dan memupuk ikatan menerusi minat kami yang sama terhadap sukan bermotor, kejuruteraan, kecemerlangan dan, kejayaan yang hebat. Sekarang dengan kerjasama rasmi bersama mereka merupakan berita yang hebat, dan membolehkan kami mengambil langkah terakhir untuk bertarung habis-habisan bagi merebut gelaran keseluruhan BTCC,” kata Prinsipal Pasukan, Christian Dick.

    Toyota GB sendiri juga bukan satu nama asing sejarah BTCC. Untuk musim BTCC 1986 dan 1987, Toyota Corolla AE86 Levin atau dikenali sebagai GT-Coupe di Eropah dipandu oleh Chris Hodgetts bukan sekadar menjadi juara untuk kelasnya, malah menjadi juara keseluruhan dengan menewaskan jentera-jentera dari kelas B dan kategori tertinggi kelas A yang dijana enjin dengan kapasiti lebih 2.5 liter seperti Ford Sierra Cosworth dan Rover Vitesse – seolah-olah seorang peninju lightweight yang menewaskan peninju-peninju middleweight dan heavyweight!

    Jentera tersebut menghasilkan hanya 180 hp dan tork maksima 190 Nm. Namun dengan berat badan hanya 800 kg dan teknik mengkagumkan Chris Hodgetts mengekalkan momentum kereta dengan membrek selambat mungkin pada setiap selekoh serta kadang kala melanggar tebing selekoh sehingga menyebabkan Corolla berkenaan meredah selekoh dengan hanya dua roda, jentera tersebut mampu menewaskan kereta-kereta yang jauh lebih berkuasa.

    Apa yang menarik, untuk musim hadapan Ingram bukan sahaja akan memandu Corolla di bawah pasukan Toyota GB, malah jenteranya turut akan diberikan livery perlumbaan seiras dengan Corolla AE86 Chris Hodgetts – badan keseluruhan berwarna putih dengan tiga jalur merah dari bonet hadapan hingga ke bahagian pintu.

    “Membawa semula nama Corolla dan Pasukan Toyota GB kembali ke BTCC untuk musim 2019 merupakan cara yang hebat untuk membantu kami melancarkan kereta serba baharu yang penting, di buat di Britain ini. Speedwork Motorsport dan Tom Ingram mempunyai rekod kemenangan di litar dan kami melihat kehadapan untuk berkerjasama dengan mereka sepanjang musim hadapan,” kata pengarah pemasaran Toyota GB, Andrew Cullis.

     
     
  • Toyota Corolla Hybrid 2020 muncul di LA Auto Show

    Toyota Corolla Hybrid 2020 muncul di LA Auto Show

    Toyota telah mendedahkan model sedan Corolla Hybrid untuk pasaran AS ketika acara LA Auto Show 2018 yang sedang berlangsung. Ini selang beberapa minggu selepas model sama membuat penampilan sulung di China, dan dijual dengan dua nama berbeza – Corolla Hybrid (Sichuan FAW Toyota Motor) dan Levin Hybrid (GAC Toyota).

    Untuk pasaran AS, Corolla Hybrid mengikut rekaan yang sama dengan Levin Hybrid, dan berbeza jauh dengan model dengan kemasan XSE bukan hibrid yang diperkenalkan sebelum ini. Paling utama, kelainan pada rekaan bampar yang lebih ringkas, dengan logo Toyota diletakkan lebih rendah.

    Berbeza pula dengan ruang dalaman, Corolla Hybrid ini berkongsi rekaan yang sama dengan versi XSE. Selebihnya, model baru ini menggunakan rim 15-inci dengan tayar kurang rintangan golekan. Di belakang pula sama sahaja dengan model Levin Hybrid; dengan kemasan hitam yang mempertemukan lampunya serta bucu hiasan pada bahagian bawah bampar.

    Toyota Corolla Hybrid 2020 muncul di LA Auto Show

    Toyota AS tidak mendedahkan gambar ruang dalaman Corolla Hybrid ini tetapi ia dijangka sama sahaja dengan yang ada pada XSE dan Levin Hybrid, dengan sedikit kelainan tentunya. Ini termasuk skrin tujuh-inci bagi paparan multi-info pada kluster instrumen, serta perbezaan mod pemanduan – EV, Normal, Eco dan Sport.

    Selain itu, model ini menggunakan sistem Hybrid Synergy Drive yang dikemaskini dari model Prius semasa. Ini termasuk enjin 2ZR-FXE 1.8 liter empat-silinder kitaran Atkinson dengan e-CVT dan dua motor elektrik. Turut ada ialah sebuah preload differential yang menghantar tork antara roda kiri dan kanan dalam kelajuan rendah, dan bertindak selaku open differential ketika bebanan enjin tinggi.

    Elektrik motornya dikuasakan oleh bateri nickel-metal baru yang menampilkan teknologi Hyper-Prime Nickel, membolehkan prestasi yang lebih baik diberikan oleh bateri dalam pakej yang lebih kecil dan ringan. Ini juga membolehkan bateri ditempatkan di bawah tempat duduk belkaang berbanding di ruang barangan – kerusi kekal dengan lipatan 40:60.

    Untuk mengecas bateri, ia boleh dilakukan melalui motor elektrik atau regenerative braking; kaedah kedua ini diselengara oleh sistem Electronically Controlled Brake (ECB) yang mengaturkan operasi antara motor elektrik dan sistem brek biasa. Kuasa keseluruhan yang dijana sistem ini ialah 121 hp, dan mampu mencapai 5.6 liter bagi setiap 100 km mengikut piawaian EPA.

    Lain-lain kelengkapan termasuk sistem infotainmen Entune 3.0 dengan skrin sentuh lapan-inci, lapan beg udara dan System Toyota Star Safety. Semua model Corolla tahun 2020 nanti akan dilengkapi ciri Toyota Safety Sense 2.0, merangkumi Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control kelajuan penuh (DRCC), Lane Departure Alert (LDA) dengan Bantuan Stereng, Lane Tracing Assist (LTA), Automatic High Beam (AHB) dan Road Sign Assist (RSA).

     
     
  • Spoon perkenal angkup dan cakera brek untuk Honda Civic FC – monoblok enam omboh, lebih tahan panas

    Spoon perkenal angkup dan cakera brek untuk Honda Civic FC – monoblok enam omboh, lebih tahan panas

    Penala yang sinonim dengan Honda iaitu Spoon telah pun memperkenalkan produk terbaharunya iaitu set lengkap brek hadapan bagi model Civic Generasi ke-10 yang boleh dipadankan untuk versi sedan empat pintu (FC) dan juga versi hatchback lima-pintu (bukan Type R) FK7.

    Set brek berkenaan terdiri dari angkup brek enam omboh, pad brek dan juga cakera yang lebih besar dari komponen standard. Jika anda lihat pada gambar, setiap pasangan omboh pada angkup brek monoblok penuh tersebut dihasilkan dengan ukuran diameter yang tidak sama (36 mm/34 mm/27 mm).

    Menurut Spoon, ia direka begitu kerana untuk membolehkan kuasa membrek dari pad ke cakera disampaikan dengan lebih sekata, dan mengelakkan dari masalah pad brek ‘makan secara tidak rata’ di kemudian hari.

    Manakala untuk cakera, Spoon memilih saiz dengan diameter 312 mm dan tebal 25 mm untuk kit Civic FC/FK ini setelah banyak ujian dijalankan – saiz tersebut memberikan keseimbangan brek yang paling baik setelah melalui ujian yang banyak.

    Spoon menyatakan bahawa brek ini telah diuji dalam pelbagai acara time-attack dan acara-acara litar lain, manakala angkup brek enam pot monoblok tersebut dihasilkan menerusi penyertaan mereka dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance sejak tahun 2016.

    Brek ini akan memberikan prestasi terbaik untuk Civic dengan berat badan sekitar 1,300 kg, dalam suhu bekerja sekitar 500 darjah selsius – membolehkan masalah brake judder dielak walaupun selepas dipandu dalam tempoh masa yang lama dilitar.

    Set angkup brek ini dijual pada harga 248,000 yen (RM9.1k), cakera pula dijual pada harga 26,000 yen (RM960) sebelah, mankala pad brek pula dijual pada harga 24,000 yen (RM885).

    Selain dari set brek ini, Spoon sebelum ini telah memperkenalkan semula rim aloi forged SW388 dan ia turut dihasilkan dalam diameter 18-inci, khas untuk Civic generasi ke-10.

     
     
  • KLIMS18: 3M pamer barisan produk inovatif – filem penapis haba dan pembalut badan kenderaan reflektif

    KLIMS18: 3M pamer barisan produk inovatif – filem penapis haba dan pembalut badan kenderaan reflektif

    hdr

    Sepanjang KLIMS 2018 yang sedang berlangsung ketika ini, jenama 3M tidak ketinggalan untuk mempamerkan barisan produk inovatif sebagai penawaran penyelesaian bagi hal-hal berkaitan automotif. Ini termasuk tiga produk utama; filem penaspis haba 3M™ Scotchshield™ Crystalline Security AutoFilm; tiga warna baru bagi pembalut kenderaan 3M™ Auto Wrap Film Series 1080 serta pembalut reflektif 3M™ Scotchlite™ Print Wrap Film.

    Bagi produk 3M™ Crystalline AutoFilm, ia menawarkan perlindungan daripada sinaran matahari dengan menghalang sehingga 99.9% sinaran UV yang berbahaya untuk memberikan tahap SPF (Faktor Perlindungan Matahari) yang berjumlah lebih daripada 1,000.

    Ini mampu dicapai melalui penggunaan filem optikal dengan multi-lapisan 3M, yang menggabungkan lebih daripada 200 lapisan teknologi nano di dalam sehelai filem yang sangat nipis. Teknologi unik ini menjadi faktor yang membolehkan filem penapis haba lut sinar menghalang lebih banyak haba berbanding kebanyakan filem gelap.

    Siri Produk Crystalline juga meningkatkan tahap keselesaan anda dengan menghalang sehingga 97% sinaran IR (radiasi inframerah) matahari dan menghalang sehingga 60% haba yang memasuki kenderaan melalui tingkap.

    Bagi pembalut badan kenderaan 3M™ Wrap Film Series 1080 pula, terdapat tiga warna baru sebagai pilihan; Flip Ghost Pearl, Satin Flip Psychedelic dan Shadow Military Green. Menurut 3M, kelebihan produk ini berbanding yang lain adalah kerana ia mudah dikendalikan – diaktifkan melalui tekanan untuk geluncuran mudah ketika melekatkannya, begitu juga dengan regangan, rentapan dan mengalih kedudukan, pelepasan udara yang pantas dan tidak bergelembung, serta kaedah pelucutan dengan menggunakan haba atau bahan kimia.

    “Sains yang diterapkan dalam produk pembalut kereta 3M menawarkan prestasi yang lebih baik, dan pada masa yang sama memberikan tahap penggunaan yang lebih mudah bagi tujuan pemasangan grafik tersebut, lantas menjurus kepada hasil yang luar biasa,” jelas Pengarah Urusan 3M Malaysia, Parameswaran Nair.

    KLIMS18: 3M pamer barisan produk inovatif – filem penapis haba dan pembalut badan kenderaan reflektif

    hdr

    3M™ Scotchlite™ Print Wrap Film 780mC-10R pula merupakan pelekat pembalut kenderaan dengan standard baru. Ia turut hadir dengan ciri yang dapat menarik perhatian pada waktu siang, serta bersifat reflektif pada waktu malam – ini sebuah revolusi baru bagi produk pembalut kereta.

    Pelbagai diskaun dan promosi menarik ditawarkan bagi semua produk 3M sepanjang KLIMS 2018 berlangsung. Misalnya pertandingan ‘Teka dan Menang’ di mana pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah eksklusif 3M™ Vehicle Air Purifier Plus.

    Pelekat jalur lumba (racing stripes) untuk telefon mudah alih juga akan diberikan secara percuma dengan penawaran Gloss Flip Ghost Pearl 3M Auto Wrap yang baru dilancarkan, serta banyak lagi hadiah-hadiah lain yang boleh dimenangi.

    Dengan setiap pembelian pembalut kereta atau pakej filem penapis haba kereta 3M (yuran tempahan minimum sebanyak RM500), pelanggan layak menyertai cabutan bertuah. Hadiah yang disediakan merangkumi perubahan menyeluruh bagi kenderaan milik pemenang menggunakan produk 3M™ Auto Wrap + 3M™ Auto Film + 3M™ Nomad Car Mat + 3M™ Paint Protection Film.

     
     
  • Audi PopUp Next – prototaip teksi terbang berfungsi

    Audi PopUp Next – prototaip teksi terbang berfungsi

    Semasa acara Drone Week di Amsterdam, Audi bersama rakan kongsinya, Airbus dan Italdesign telah menunjukkan satu prototaip teksi terbang yang dipanggi sebagai Pop.Up Next. Dalam projek ini, dua kenderaan utama terlibat iaitu satu dron penumpang dan satu lagi kereta elektrik autonomous.

    Walaupun cuma satu model skala 1:4, prototaip yang ditunjukkan oleh Audi ini berfungsi sepenuhnya di mana dron tersebut dapat mengangkat kapsul yang memuatkan penumpang, terbang dan kemudiannya memindahkan kapsul tersebut ke dalam kereta autonomous tersebut untuk menghantar penumpang ke destinasi akhir.

    “Pada masa hadapan nanti, orang tua, kanak-kanak serta mereka yang tidak mempunyai lesen memandu akan mahu menggunakan teksi robot yang mudah ini. Jika kita berjaya membuat pelarasan yang baik antara jalan biasa dan ruang udara, orang ramai dan bandar boleh mengambil manfaat secara bersama,” kata presiden Italdesign, Dr. Bernd Martens.

    Audi PopUp Next – prototaip teksi terbang berfungsi

    Demi mendapatkan maklum balas berkenaan konsep ini, Audi sedang menjalankan ujian di Amerika Selatan dengan kerjasama anak syarikat Airbus iaitu Voom, di mana pelanggan boleh menempah helikopter di bandar Mexico atau Sao Paulo, dan apabila tiba mendarat, mereka akan dihantar pula dengan kereta Audi. Walaupun kenderaan itu tidak sama sepenuhnya dengan dron, konsepnya masih lagi sama.

    Tambah Martens lagi, Pop.Up Next ini membolehkan mereka meneroka apa yang boleh dilakukan secara teknikal, dan langkah seterusnya adalah untuk menghasilkan prototaip saiz penuh untuk terbang dan memandu secara sendiri. Tanpa memandu dan menukar kenderaan (duduk dalam kapsul sahaja), penumpang boleh menikmati waktu untuk berehat atau melakukan perkara lain.

     
     
  • Porsche 911 generasi baharu didedahkan – enam silinder boxer, 450 PS, padat dengan teknologi terkini

    Porsche 911 generasi baharu didedahkan – enam silinder boxer, 450 PS, padat dengan teknologi terkini

    Setelah pelbagai spyshot dan gambar sebenar yang bocor tersebar, kini Porsche 911 generasi 992 secara rasminya diperkenalkan kepada dunia. Seperti biasa, 911 sejak dari generasi pertamanya masih kekal dengan bentuk ‘kodok’ yang ikonik, namun tampil dengan rekaan lebih segar dengan pelbagai ciri baharu.

    Untuk model generasi kelapan ini, Porsche menerapkan rekaan diinspirasikan dari 911 generasi pertama. Bampar hadapan direka dengan garis yang tidak bersentuh dengan lampu hadapan LED berbentuk bulat, manakala bonet hadapan pula menerima dua garis tulang menegak.

    Secara keseluruhan, model generasi baharu ini direka lebih lebar dari sebelumnya dengan bahagian hadapan sahaja adalah 45 mm lebih lebar dari sebelum ini. Bahagian belakang pula akan direka dengan kelebaran standard untuk semua model termasuk versi dengan sistem pacuan semua roda. Ia dilengkapkan dengan rim 20-inci pada bahagian hadapan dan 21-inci dibelakang, manakala permukaan sisi kini lebih halus bersama pemegang pintu yang direka dengan ciri boleh disorokkan.

    Porsche 911 generasi baharu didedahkan – enam silinder boxer, 450 PS, padat dengan teknologi terkini

    Lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang juga kini adalah standard untuk semua model, bukan hanya terhad kepada versi AWD. Selain itu 911 turut diberikan spoiler belakang aktif, lampu brek melintang pada bahagian tengah, kemasan berwarna kelabu pada bampar belakang yang turut menempatkan sepasang tip ekzos oval yang besar. Kini bukan hanya bahagian hadapan dan belakang sahaja, malah keseluruhan badan 911 adalah dibina dari aluminium.

    911 992 menampilkan kabin yang direka seiras dengan model-model terkini Porsche seperti Panamera, Cayenne dan Macan. Ia diberikan papan pemuka dengan elemen melintang, manakala konsol tengah direka tinggi. Pemandu akan menerima maklumat dari paparan instrumen digital baharu digandingkan bersama meter rpm analog. Berbeza dengan model sebelumnya, tuil penukar gear transmisi PDK pada kereta ini direka dengan sangat kecil.

    Skrin sesentuh sistem infotaimen Porsche Communication Management (PCM) bersaiz 10.9-inci ditempatkan di bahagian tengah. Ia dilengkapi dengan sistem navigasi atas talian bersama data dari orang ramai yang Porsche gelarkan sebagai data kumpulan, serta sistem hubungan telefon pintar Porsche Connect Plus. Bagi memudahkan akses terhadap fungsi penting pada kereta, lima butang pintas disediakan pada skrin tersebut.

    Porsche 911 generasi baharu didedahkan – enam silinder boxer, 450 PS, padat dengan teknologi terkini

    Seperti biasa, buat permulaan 911 diperkenalkan dalam varian ‘paling asas’ Carrera S dan Carrera 4S. Ia dijana oleh enjin boxer enam-silinder turbo yang diolah semula (kapasiti enjin masih belum didedahkan, manakala model sebelum ini adalah 3.0 liter), menghasilkan 450 PS, atau 30 PS lebih berkuasa dari sebelumnya. Kuasa berkenaan diekstrak dengan sistem suntikan petrol yang dikemaskini, pengecas turbo baharu serta laluan intercooler yang disusun semula.

    Kuasa berkenaan membolehkan Carrera S memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, manakala Carrera 4S lebih pantas dengan 3.6 saat. Pakej Sport Chrono pula akan membolehkan kedua-duanya memecut 0.2 saat lebih pantas, manakala versi S mampu mencatatkan kelajuan maksima 308 km/j, sementara 4S pula 306 km/j. Bagi penggunaan bahan api pula, S mencatatkan penggunaan petrol 8.9 l/100 km, dan 4S pula adalah 9.0 l/100 km.

    Model generasi baharu ini menerima pelbagai fungsi keselamatan yang lebih maju. Dalam mod pemanduan, ia disertakan dengan mod Wet (basah), yang menggunakan penderia bagi melaraskan semula sistem kestabilan elektronik bergantung pada situasi. Sistem bantuan brek dengan sistem brek kecemasan automatik, bantuan pandangan malam Night Vision Assist dan juga cruise control adaptif bersama fungsi stop-and-go turut diberikan secara standard.

     
     
  • JPJ Perlis arah bengkel henti kerja ubah suai m’sikal

    JPJ Perlis arah bengkel henti kerja ubah suai m’sikal

    Di Perlis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan amaran keras kepada bengkel motosikal supaya tidak melakukan lagi kerja ubah suai motosikal untuk menambah kelajuannya, meskipun di arah oleh pelanggan. Perkara ini dilaporkan oleh Sinar Harian.

    Dalam satu operasi yang dijalankan oleh JPJ Perlis 26 November lalu, pengarahnya, Shahrul Azhar Mat Dali telah memberitahu, 15 buah motosikal model Yamaha Y15ZR telah dirampas daripada beberapa bengkel kerana melibatkan kerja-kerja ubah suai yang tidak dibenarkan.

    “Dalam kes ini, kedua-dua pihak bersalah. Pelanggan telah menghantar motosikal untuk diubah suai manakala bengkel pula bersetuju dengan pelanggan. Sekiranya didapati masih lagi terdapat individu yang menghantar motosikal bagi tujuan pengubahsuaian yang tidak dibenarkan, pemunya kenderaan akan disiasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kenderaan boleh disita dan diambil tindakan di bawah Seksyen 64(1) akta yang sama,” kata Shahrul.

     
     
  • Mazda 3 2019 ditunjuk secara rasmi – sedan dan hatchback; SkyActiv-X hibrid; GVC Plus, i-Activsense

    Mazda 3 2019 ditunjuk secara rasmi – sedan dan hatchback; SkyActiv-X hibrid; GVC Plus, i-Activsense

    Selepas beberapa ketika Mazda memberi petunjuk kehadiran model Mazda 3 serba baru, akhirnya model berkenaan kini diperkenalkan secara rasmi di LA Auto Show 2018. Sama seperti sebelumnya, Mazda 3 serba baru ini ditawarkan dalam dua versi, sedan-empat pintu dan juga hatchback lima-pintu. Nampaknya, ia meminjam banyak ilham dan sentuhan dari Kai Concept.

    Menurut Mazda, model terbaru ini menjadi penanda aras dan permulaan era baru bagi jenama itu. Ia antara lain menampilkan penambahbaikan drastik terhadap keseluruhan aspek sesebuah kendearan, merangkumi prestasi pemanduan, NVH, kesan terhadap persekitaran serta kualiti yang dipamerkan.

    Di bahagian depan, rekaannya bonetnya lebih panjang dan dipadankan dengan gril depan yang hadir dengan bentuk lebih agresif; dengan dua perincian rekaan yang berbeza. Lampu utama juga lebih kurus, sementara rekaan bahagian bawah bampar mengambil ilham terus dari Kai Concept.

    Mazda 3 2019 ditunjuk secara rasmi – sedan dan hatchback; SkyActiv-X hibrid; GVC Plus, i-Activsense

    Di antara model sedan dan hatchback juga terdapat kelainan; hatchback lebih menampilkan kesegaraan penggayaan baru, manakala sedan dengan pendekatan dan imej yang lebih elegan – dengan jelmaan lanjutan terhadap KODO Design yang diterapkan sebelum ini.

    Sama seperti apa yang pernah ditunjukkan melalui Vision Coupe, Mazda kini tidak lagi menggunakan garis-garis ketara pada badan kenderaan akan datang yang dihasilkan. Mazda 3 ini turut menampilkan pendekatan itu, dengan bahagian badan dibentuk dengan lebih linear, menjadikan peralihan antara cahaya dan bayangnya mewujudkan “vortex effect” seperti apa yang dapat dilihat antara lengkung tayar depan dan belakang.

    Dari sisi ini juga, perbezaan antara sedan dan hatchback dapat dilihat dengan jelas, terutamanya kehadiran C-Pillar yang besar pada versi hatchback yang tidak dimiliki oleh model sedan disebabkan ruang bootnya yang lebih besar – sekali gus memberikan kelainan yang tersendiri untuk membezakan kedua-duanya.

    Lampu belakang model ini pula datang dengan rekaan bulatan di dalamnya; berbeza jauh daripada model generasi ketiga ketika ini. Bahagian bawah bampar kedua-dua kereta ini adalah mirip, dengan sedikit kelainan pada bahagian sisi ruang pemenang nombor plat dan reflektor/lampu kabus. Selain itu hatchback menerima ekzos berkembar, manakala sedan hadir dengan ekzos tunggal.

    Di dalam, pendekatan yang ingin ditawarkan oleh Mazda ialah “less is more”; rekaan lebih ringkas tetapi bermanfaat. Antara perkara yang diperkenalkan ialah rekaan papan pemukanya terbahagi kepada dua bahagian, dengan skrin infotainmen 8.8-inci diletakkan di lapisan atas.

    Ini berasingan daripada tombol kawalan penghawa dingin. Agak menarik pendekatan yang ditengahkan pada model terbaru Mazda 3 ini, sarat dengan inovatif rekaan yang berbeza. Konsol tengah pula menempatkan kawalan bagi sistem infotainmen, tombol gear dan perehat lengan. Selain itu, khusus bagi model hatchback, rekaan dalaman dalam warna Burgundy diberikan, sebagai padanan kepada emosi dan suasana rekaan luaran dan dalamannya.

    Selain rekaan baru, Mazda 3 serba baru ini juga menerima platrform generasi baru SkyActiv-Vehicle Architecture yang lebih kukuh, enjin SkyActiv dan termasuk unit SkyActiv-X. Mazda 3 serba baru ini merupakan model produksi pertama Mazda yang turut akan ditawarkan dengan enjin SkyActiv-X terbaru ini.

    Bergantung kepada pasaran, beberapa pilihan enjin lain turut akan ditawarkan. Ini termasuk unit 1.5 liter, 2.0 liter dan 2.5 liter SkyActiv-G petrol sebelum ini yang telah dipertingkatkan. Ini melibatkan kemaskini terhadap bahagian intake port dan bentuk omboh, penyuntik minyak terpisah serta injap kawalan coolant untuk memberikan prestasi dinamik, penjimatan minyak serta mesra alam pada tahap yang baru.

    Tidak ketinggalan ialah enjin diesel SkyActiv-D 1.8 yang kini turut ditawarkan bagi model Mazda 3. Ini melibatkan penggunaan multi-hole piezo injectors dengan maklum balas tinggi untuk disesuaikan dengan tekanan tinggi, dan mengawal dengan tepat suntikan pelbagai peringkat. Ini menjadikan enjin diesel berkenaan lebih bersih, jimat dan senyap.

    Pilihan transmisi pula termasuk manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan, dengan kehadiran sistem pacuan semua roda Mazda i-Activ serta gandingan sistem G-Vectoring Control yang turut melengkapi model ini.

    Bagi sistem gantungan, bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson struts manakala di belakang menggunakan jenis torsion beam dengan pembangunan baru. Struktur kerangka baru ini menurut Mazda menggunakan logam dengan ketahanan 30% berbanding kerangka sebelum ini yang hanya pada kadar 3%. Ini menyumbang kepada pengukuhan dan meningkatkan keselamatan sekali gus.

    Ciri keselamatan aktif Mazda i-Activesense turut diberi peningkatan, dengan sistem Pemantauan Pemandu yang memanfaatkan kamera infrared dan LED untuk menilai keadaan pemandu. Tambahan lain termasuk Front Cross Traffic Alert (FCTA) dan Cruising & Traffic Support (CTS) – ciri kawalan cruise berkelajuan rendah.

     
     
  • Ghiath Beast Patrol – kereta peronda polis baru Dubai

    Ghiath Beast Patrol – kereta peronda polis baru Dubai

    Siapa yang tidak tahu, Dubai sememangnya adalah tempat yang anda boleh lihat banyak kereta-kereta laju, dan kereta polis mereka juga tidak terkecuali. Antara model yang digunakan sebagai kereta peronda adalah seperti Brabus B63S-700 Widestar dengan kuasa 700 hp dan 960 Nm tork, Lamborghini Aventador dan Bugatti Veyron.

    Tapi, standard yang sudah ada itu dibawa ke tahap lebih tinggi melalui kereta peronda terbaru mereka iaitu SUV Ghiath Beast Patrol. Ia adalah antara kereta polis termaju di dunia dan dilengkapi dengan fungsi seperti A.I yang boleh mengecam muka orang, papan pemuka dengan skrin sesentuh, pintu dibuka secara suicide, lampu kecemasan di gril, bumbung dan belakang, serta sistem pengesan nombor plet automatik (ANPR).

    Dalam video di bawah, anda boleh melihat bagaimana teknologi pengecaman muka pada kenderaan ini berfungsi. Satu kamera khas boleh keluar dari bumbung SUV ini dan ia boleh berfungsi termasuk waktu bergerak. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan sistem komunikasi maju yang disambungkan kepada bilik pengurusan operasi.

    Untuk kenderaan itu sendiri, ia dibuat oleh W Motors, iaitu syarikat sama yang pernah menghasilkan supercar Lykan HyperSport (juga adalah kereta peronda). Tiada sebarang informasi diberi sama ada Ghiath ini dibuat khas untuk satu unit sahaja, tetapi ia dibangunkan dengan menggunakan barang daripada General Motors. Prestasi juga tidak didedah, tapi dari penampilannya, sudah tentu ia bukan biasa-biasa.

     
     
  • KLIMS18: Isuzu pamer enjin 1.9L Ddi BluePower, jentera konsep D-Max dan MU-X, lancar aksesori baru

    KLIMS18: Isuzu pamer enjin 1.9L Ddi BluePower, jentera konsep D-Max dan MU-X, lancar aksesori baru

    Ramai yang tanya, bila Isuzu nak bawa enjin 1.9 liter ke Malaysia kan? Di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang sedang berlangsung, Isuzu telah pun membawa enjin berkenaan – ya, enjin sahaja tanpa diletakkan dalam mana-mana perut D-Max, di prebiu bagi menunjukkan pelbagai teknologi yang ada padanya.

    Pada pasaran lain, enjin 1.9 liter Ddi BluePower turbodiesel RZ4E-TC berkenaan sudahpun mula ditawarkan sejak 2015. Walau pun dengan kapasiti lebih kecil, enjin 1.9L berkenaan mampu untuk menghasilkan 150 hp pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 hingga 2,600 rpm – 16 hp/30 Nm lebih berkuasa, 19% lebih cekap bahan api dan 20% lebih ringan dari enjin 4JK1-TCX 2.5 liter turbodiesel.

    Emisi karbon dioksida yang dihasilkan oleh enjin 1.9 liter pula hanya 161 gram/km. Isuzu Malaysia masih belum mengesahkan bila D-Max atau MU-X pasaran tempatan akan menerima enjin ini, tetapi berkemungkinan ia akan diperkenalkan tidak lama lagi.

    Selain dari enjin, dua buah model konsep yang dibina dari trak pikap D-Max dan SUV MU-X turut dipamerkan oleh Isuzu. Untuk D-Max, ia diberikan imej “street rugged”, diberikan bampar besi bersama bar lampu LED, kit peninggi badan, rim Lenso bersaiz 20-inci, badan dibalut dengan warna badan dan grafik berwarna biru, dan juga bahagian dalaman yang diinspirasikan dari baju tentera di gelar “blue metal armour”.

    Manakala untuk MU-X pula, ia adalah jentera off-road sebenar yang dibina dengan spesifikasi hampir sama ‘Monster’ MU-X yang digunakan Isuzu dalam ekspedisi tahunan Borneo Safari di Sabah. Ia diberikan bampar besi lengkap bersama winch dan pelindung hadapan yang bersambung dengan pemijak sisi logam, unit snorkel untuk ‘menyelam’, badan yang ditinggikan tiga-inci bersama set suspensi off-road, lampu-lampu LED tambahan dan juga tayar-tayar ‘lipan’ atau mud-terrain yang direka khas untuk laluan yang sangat lasak.

    Untuk survival di dalam hutan, rak bumbung bersaiz besar dipadankan bagi membawa pelbagai muatan, dan ia turut dilengkapkan dengan khemah yang hanya perlu ditarik dan dipacak di mana-mana campsite. Badan MU-X ini diberikan grafik kelabu hitam dengan serlahan warna kuning, dan berbanding Monster Borneo Safari sebenar, bahagian kabin SUV ini lebih bersifat show car dengan balutan upholsteri kulit serta serlahan panel-panel berwarna kuning.

    KLIMS18: Isuzu pamer enjin 1.9L Ddi BluePower, jentera konsep D-Max dan MU-X, lancar aksesori baru

    Isuzu turut memperkenalkan dua pakej aksesori baharu yang boleh dibeli oleh pelanggan digelar Titanium dan Robust. Pakej Titanium akan menerima pelbagai perincian krom termasuk kemasan pada lampu hadapan, pelindung lampu belakang, pembuka pintu, pelindung tailgate dan juga visor pintu. Untuk Robust, kesemua perincian tadi hadir dengan kemasan hitam matte bersama visor pada bonet berwarna hitam. Titanium pula menerima tambahan kemasan krom pada bendul pintu.

    Kedua-dua pakej ini dijual pada harga RM1,180. Opsyen tambahan turut ditawarkan di mana pilihan pelindung bampar tambahan dijual pada harga RM1,390 dan set fender flare pula dijual pada harga RM1,090.

    GALERI: Enjin Isuzu 1.9 litre Ddi BluePower

    GALERI: Isuzu D-Max konsep

    GALERI: Isuzu MU-X konsep

    GALERI: Isuzu D-Max dengan pakej Robust

     
     
  • GG Retrofitz keluarkan kit badan retro Yamaha R25

    GG Retrofitz keluarkan kit badan retro Yamaha R25

    Kadang-kadang, selepas memiliki sesebuah motosikal buat sekian waktu, kita mungkin akan terasa bosan dan mahukan sesuatu yang berlainan. Kalau penukaran grafik atau pelekat sahaja tidak memuaskan, anda mungkin boleh mencuba pula kit badan lain.

    Ini ada satu contoh, kit badan retro yang dihasilkan oleh sebuah syarikat di California iaitu GG Retrofitz untuk Yamaha YZF-R25 (di sana dijual sebagai R3). Ia dijual kepada awam dengan harga USD1,198 (RM5,000), dan memikirkan hubungan tanpa batas melalui internet zaman sekarang, pemilik R25 di Malaysia juga mungkin boleh menempahnya jika mahu.

    Dalam kit ini, anda akan diberi fairing penuh berbentuk seperti cafe racer retro dari atas sampailah ke bawah, cermin penghadang angin depan Zero Gravity, tapak besi berkaitan, panel penutup tangki minyak dan panel belakang yang menutupi tempat duduk penumpang.

    Tiada ubah suai yang perlu dilakukan pada casis R25 untuk memasang kit retro ini, namun pemilik cuma perlu mendapatkan lampu berbentuk bulat saiz tujuh inci serta menukar pemegang kepada jenis clip-on supaya boleh masuk dalam fairing hadapan tersebut.

    Menurut GG Retrofitz, kit retro ini dapat mengurangkan berat motosikal standard sebanyak 4 kg, dan mereka juga ada menjual set pelekat untuk kit ini secara berasingan. Bahagian standard lain motosikal masih lagi boleh digunakan seperti lampu belakang, tempat duduk dan penghadang lumpur depan.

     
     
  • Honda Everus VE-1 dilancar di China – HR-V versi elektrik dengan jarak gerak 340 km, harga RM103k

    Honda Everus VE-1 dilancar di China – HR-V versi elektrik dengan jarak gerak 340 km, harga RM103k

    Honda, bersama rakan kongsinya di China iaitu Guangzhou Automobile Group (GAC) telah melancarkan crossover elektrik penuh baru di Guangzhou Auto Show, dipanggil sebagai Everus VE-1. Model yang dibangunkan khas untuk pasaran China ini dipertontonkan dalam versi konsep beberapa bulan yang lalu dan mempunyai saiz yang sama seperti HR-V.

    Daripada aspek penggayaan, muka VE-1 ini adalah berbeza berbanding HR-V, di mana ia termasuk dengan lampu siang LED menegak dan gril bawahnya berbentuk trapezoid. Krom bar yang sepatutnya terdapat di antara lampu hadapan kini sudah tiada, dan gril di atas tertutup penuh dan boleh dibuka untuk mendedahkan tempat mengecas.

    Selain daripada itu, kebanyakan bahagian kenderaan elektrik ini adalah sama dengan HR-V, termasuk rekaan bahagian belakang. Di dalam, anda boleh melihat pemilih gear kini menggunakan butang dan bukannya tombol biasa, manakala panel instrumen menggambarkan kenderaan yang tidak mempunyai sebarang emisi.

    Honda Everus VE-1 dilancar di China – HR-V versi elektrik dengan jarak gerak 340 km, harga RM103k

    VE-1 digerakkan oleh motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 161 hp (120 kW) dan 280 Nm tork. Ia disambung dengan reduction gear tunggal yang menyampaikan kuasa ke roda hadapan, dan membolehkan kenderaan elektrik ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa lima saat sebelum mencapai laju maksimum 140 km/j.

    Punca kuasa sebenarnya adalah daripada bateri 53.6 kWh, dan mampu memberikan jarak pergerakan 340 km dengan sekali cas penuh, dan boleh mencapai 430 km jika dipandu dalam kelajuan sekata 60 km/j. Ia boleh dicas menggunakan penyambung Type 2, tetapi perincian lain berkenaan pengecasan tidak disiarkan. Berdasarkan apa yang kami boleh lihat daripada laman rasminya, masa mengecas standard adalah sembilan jam, manakala apabila menggunakan pengecas pantas, ia cuma mengambil masa 55 minit.

    Melihat kepada kelengkapan, VE-1 datang dengan rim 17 inci, lampu depan dan belakang LED, bumbung panoramik, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula, pengawal pendingin hawa automatik satu zon, balutan kulit dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci. Pemilik juga disediakan dengan tiga mod memandu iaitu Normal, Sport dan Battery Saver.

    VE-1 dijual di China pada harga 170,800 yuan (RM103,015), tetapi ini adalah termasuk insentif. Tanpa insentif tersebut, EV ini dijual pada harga 225,800 yuan (RM136,186). Sebagai perbandingan, HR-V biasa (dipanggil sebagai Vezel) dijual di sana pada harga bermula 128,800 yuan (RM77,683).

     
     
  • VinFast Fadil 2019 – kereta kompak rebadge dari Viva

    VinFast Fadil 2019 – kereta kompak <em>rebadge</em> dari Viva

    Ketika Paris Motor Show bulan lalu, jenama pengeluar kenderaan dari Vietnam, VinFast memperkenalkan dua model premium; LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV. Syarikat itu juga turut mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan kereta elektrik yang dibangunkan oleh EDAG.

    Dua lagi perkara yang turut didedahkan ialah untuk membuat bas elektrik dengan sokongan daripada Siemens dan terakhir untuk memperkenalkan kereta bandar yang mampu milik berdasarkan model dari General Motors (GM). Dengan itu, lahirlah model kompak asas ini, dikenali dengan nama VinFast Fadil.

    Fadil yang diperkenalkan di Hanoi ini sebenarnya merupakan versi rebadge dari model Vauxhall Viva/Opel Karl, yang juga merupakan lanjutan kepada model Chevrolet Spark. Ia sebuah kereta segmen A yang ranggi dan nampak sporty, dengan rekabentuk crossover yang lebih tinggi (18 mm lebih tinggi dari tanah).

    VinFast Fadil 2019 – kereta kompak <em>rebadge</em> dari Viva

    Dari segi penampilan, rekaan bampar depan dan belakang memberikan imej sporty berkenaan, dengan landasan bumbung yang hadir sekali. Lampu utama menggunakan reflektor halogen, tetapi dengan DRL LED. Turut disertakan ialah lampu kabus, lampu belakang dengan sebahagian LED serta sistem tanpa kunci.

    Ruang dalaman masih belum dapat dilihat apakah perincian yang ada. Tetapi, Fadil berkemungkinan besar menampilkan ciri yang sama seperti model-model asal Viva/Karl/Spark berkenaan. Ini termasuklah stereng dengan kawalan multi-fungsi, paddle shiter, dan tempat duduk fabrik. Kerusi belakang pula boleh dilipat 60:40; menjadikan ruang barangan maksimum sebanyak 1,013 liter.

    Turut tersedia ialah paparan infotainmen Navi 4.0 Intellilink tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga lengkap dengan sambungan Bluetooth untuk menjawab panggilan, memainkan muzik dan capaian kepada daftar telefon serta enam pembesar suara.

    Dari sudut prestasi, Fadil menggunakan enjin 1.4 liter empat-silinder petrol dengan kuasa sebanyak 98 hp pada 6,200 rpm dan 128 Nm tork pada 4,400 rpm. Transmisi pula menggunakan jenis CVT, menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    VinFast Fadil 2019 – kereta kompak <em>rebadge</em> dari Viva

    Enjin berkenaan sama seperti unit yang ada pada Chevrolet Spark. Di pasaran lain, Viva/Karl juga turut ditawarkan dalam pilihan enjin 1.0 liter (73 PS/95 Nm) dengan gandingan kotak gear automatik Easytronic lima-kelajuan.

    Kelengkapan ciri keselamatan yang ada pada Fadil agak mengkagumkan. Ada yang melaporkan varian paling tingginya datang dengan ABS dengan EBD, serta kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem kawalan cengakaman, bantuan menuruni permukaan curam/licin, fungsi ROM anti-terbalik, kamera untuk untuk parkir dengan sensor di belakang serta enam beg udara.

    VinFast Fadil dijual pada harga 423 million Dong Vietnam (RM76k). Model ini dipasang dikemudahan kilang di bawah lesen GM di Hanoi (kilang kedua VinFast), yang ditumpukan untuk pemasangan kereta kecil. Kilang utamanya terletak di Hai Phong, dengan kos pembinaan mencecah US$3.5 bilion (RM14.67 bilion).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025