Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • LRT tidak sesuai untuk Pulau Pinang – Anthony Loke

    LRT tidak sesuai untuk Pulau Pinang – Anthony  Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Transit Aliran Ringan (LRT) tidak sesuai untuk dilaksanakan di Pulau Pinang. Katanya, ia adalah berdasarkan hasil penyelidikan yang dibuat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini, laporan Berita Harian.

    “Saya sudah berbincang dengan Ketua Menteri. Saya memberitahunya bahawa pihak kami sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Namun, kajian SPAD menunjukkan bahawa LRT bukan satu pilihan yang baik di negeri ini. Mungkin tram atau bentuk pengangkutan lain,” katanya kepada pemberita semalam.

    Jelasnya lagi, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai apa yang dihajati Pulau Pinang.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula berkata, pihaknya akan berhubung dengan SPAD dan bersikap terbuka dengan cadangan sama ada tram, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Bas (BRT) atau lain-lain.

     
     
  • Proton X70 – kenapa nama itu dipilih, apa maksudnya?

    Proton X70 – kenapa nama itu dipilih, apa maksudnya?

    Nama untuk SUV pertama Proton akhirnya telah diumumkan, dan ia akan dikenali secara rasmi sebagai X70. Pastinya ramai yang tertanya kenapa dan bagaimana nama itu dipilih, kerana ia adalah berbeza dengan cara Proton memberi nama kepada modelnya sebelum ini.

    Jika anda ingat, April lalu Proton telah memulakan satu undian khas secara atas talian yang dibuka kepada umum untuk menentukan nama SUV Proton ini. Pilihan yang diberi adalah Proton X7, PX7, X70, atau X700. Cadangan nama terkenal yang berlegar di laman sosial iaitu ‘Bayu’ walaubagaimanapun tidak termasuk dalam senarai.

    Undian itu kini sudah berakhir dan dengan penyertaan lebih 89,900 orang, nama yang mendapat undian paling ramai adalah X70 dengan hampir 60% peserta memilih nama tersebut. Proton juga telah memilih lima orang peserta bertuah yang terlibat dalam undian ini untuk menerima hadiah bernilai lebih RM100,000.

    Proton X70 – kenapa nama itu dipilih, apa maksudnya?

    Menurut ketua pegawai eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa, nama X70 ini akan memudahkan Proton untuk menjual model tersebut di negara ASEAN lain tanpa adanya batasan bahasa. Huruf X tersebut sinonim dengan kenderaan jenis crossover ataupun SUV, manakala 70 pula menggambarkan saiz atau kelas bagi segmen SUV tersebut.

    Ketua pegawai eksekutif Proton, Li Chunrong pula memberitahu nama X70 ini dipilih kerana ia lebih ringkas dan mahukan orang ramai lebih memberi tumpuan kepada jenama Proton itu sendiri dan bukannya pada model itu secara khusus sahaja.

    X70 adalah model Proton pertama yang menggunakan sistem angka dan abjad, dan ia akan diteruskan untuk model Proton yang berikutnya. Mungkinkah ini akan menjadi penamat bagi nama-nama unik model Proton seperti Saga, Persona, Perdana, Waja dan lain-lain? Itu kami belum tahu. Apa pula pendapat anda?

     
     
  • Proton X70 – SUV pertama Proton didedah sebelum pelancaran; 4 varian, 1.8 Turbo, 181 hp/285 Nm

    Proton X70 – SUV pertama Proton didedah sebelum pelancaran; 4 varian, 1.8 Turbo, 181 hp/285 Nm

    Sebelum dilancarkan dalam masa terdekat, Proton hari ini telah mendedahkan rupa sebenar SUV pertamanya di Pusat Kecermalangan Proton Shah Alam, dan secara rasmi ia digelar sebagai Proton X70. Model ini hanya akan dijual kepada pengedar Proton terpilih sahaja, dan anda yang berminat boleh membuat tempahan bermula esok, 8 September dengan bayaran RM1,000.

    Empat varian akan ditawarkan untuk SUV ini iaitu model asas Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Kesemua varian ini bakal dijana enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik. Enjin ini diambil terus dari asas X70 iaitu Geely Boyue dan ia perlu diselenggara menggunakan minyak pelincir dari Shell.

    Seperti yang tercatat pada varian, X70 ditawarkan dengan sistem pacuan hadapan dan juga versi dengan sistem pacuan semua roda. Menurut spesifikasi untuk Boyue pasaran China, model TGDI pacuan hadapan dengan berat 1,690 kg adalah 7.8 liter untuk perjalanan 100 km (12.8 km/l).

    Rekaan luaran SUV ini adalah sama dengan apa yang telah bocor sebelum ini. Pada bahagian hadapan, gril asal Boyue digantikan dengan gril Proton yang dihasilkan dari inspirasikan dari busur panah dengan kemasan krom, manakala rekaan bahagian tengahnya digelar infinite weave yang diambil dari elemen ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi melayu.

    Proton X70 – SUV pertama Proton didedah sebelum pelancaran; 4 varian, 1.8 Turbo, 181 hp/285 Nm

    Bahagian lain dilihat masih sama seperti Boyue facelift, dan kerja-kerja penghasilan X70 ini sebenarnya tertumpu kepada untuk merubah kedudukan pemandu dari sebelah kiri ke sebelah kanan memandangkan tiada lagi Boyue atau produk lain dari Geely dengan konfigurasi pemanduan sedemikian.

    Menurut ketua pereka Proton, Azlan Othman, perubahan kosmetik kecil ini adalah untuk mempercepatkan pengenalan X70 dalam pasaran, manakala versi CKD yang akan hadir pertengahan tahun hadapan bakal menampilkan perubahan yang lebih besar.

    Perincian luaran lain yang turut ditampilkan pada model ini pengenalan X70 ini termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin (bersama penderia sentuha aktif pada pembuka pintu hadapan), cermin sisi lipatan elektrik, lampu hdapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, rim aloi 18-inci bersama tayar Hankook Dynapro HP2 bersaiz 225/60R18 serta lampu belakang LED dengan kemasan lensa gelap. Kesemua unit lampu utama hadapan dan belakang diberikan cetakan ‘PROTON’ pada bahagian dalam.

    Masuk ke kabin, hampir keseluruhan rupa adalah seiras dengan Boyue facelift. Model Premium menerima balutan kulit Nappa berwarna perang pada tempat duduk dan panel dalaman pintu, manakala model Exec dan standard diberikan kulit sintetik berwana hitam. Roda stereng turut menerima balutan kulit untuk semua varian, bersama penghawa dingin automatik dua zon, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 8-inci beresolusi 1,920×720 piksel dan hubungan 4G, dan juga lampu hadapan serta pengelap cermin automatik.

    Proton X70 – SUV pertama Proton didedah sebelum pelancaran; 4 varian, 1.8 Turbo, 181 hp/285 Nm

    Seperti yang anda lihat video Perdana Menteri menguji X70 berkenaan sebelum ini, ia diberikan sistem kawalan menggunakan suara yang telah direka bagi disesuaikan dengan bahasa inggeris dengan slanga orang Malaysia, bersama panel instrumen digital sepenuhnya – pertama untuk Proton. Perincian lain yang turut diberikan termasuk kemasan brushed silver, kayu pada papan permuka, serta pembuka pintu berwarna perak.

    Namun Proton turut memberikan ‘sentuhan Malaysia’ pada kabin SUV ini. Jika gril pembesar suara dan kemasan bahagian belakang pembuka pintu Boyue diberikan rekaan ‘G’ yang membentuk motif seperti dinding tembok besar negeri China, komponen yang sama pada X70 menerima elemen infinite weave seperti pada gril hadapan. Kesemua model akan hadir standard dengan liang penghawa dingin untuk penumpang belakang, sementara hanya model Premium diberikan bumbung kaca panaromik penuh.

    Menurut naib presiden Kumpulan Kejuruteraan Geely, Yang Jun, X70 menerima keseluruhan teknologi dari Boyue. Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk kamera 360-darjah yang memaparkan halangan persekitaran kereta dalam bentuk 3D, dan juga kamera pandangan hadapan diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan yang dihubungkan kepada sistem bantuan pemanduan, terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan cruise control adaptif.

    X70 juga dibekalkan dengan ciri “Kawalan Jauh Telefon Pintar” dan “Penyegar Udara Pintar” – dinyatakan menerusi perkataan sistem “Air Cleaner” yang terletak di bahagian atas liang pengahawa dingin belakang. Sistem pemantauan angin tayar turut diberikan.

    Proton X70 – SUV pertama Proton didedah sebelum pelancaran; 4 varian, 1.8 Turbo, 181 hp/285 Nm

    SUV ini diberikan port USB yang cukup banyak – dua untuk penumpang hadapan dan pemandu, dua untuk penumpang belakang dan satu lagi di belakang cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dash cam. Model Premium dilengkapi dengan pengawal kedudukan tempat duduk penumpang hadapan tambahan yang diletakkan pada bahagian sisi seperti pada Toyota Camry, dan juga subwoofer yang diletakkan pada bahagian atas tayar gantian.

    Buat masa sekarang, Proton mempunyai 77 buah X70 yang digunakan untuk 300 ujian kenderaan dan lebih 500 ujian sistem kenderaan. Dianggarkan 750,000 jam telah digunakan dalam menghasilkan model baharu ini, dan ujian ketahanan telah mengambil jarak sejauh lebih dua juta kilometer.

    Sehingga sekarang, Proton masih belum mendedahkan harga X70. Ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan SUV ini? Pastikan anda terus bersama kami sehingga majlis pelancaran SUV pertama Proton ini.

     
     
  • Proton X70 – tempahan SUV dibuka esok, 1.8L Turbo

    Proton X70 – tempahan SUV dibuka esok, 1.8L Turbo

    Semasa majlis pra tonton eksklusif SUV pertama Proton yang dinamakan sebagai X70 hari ini, syarikat itu juga mengumumkan tempahan untuk kenderaan tersebut akan dibuka bermula esok, dengan bayaran pendahuluan cuma RM1,000. Ia bagaimanapun hanya boleh dilakukan di pusat pameran yang tertentu sahaja.

    Setakat yang diketahui sekarang, SUV X70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semua varian ini menggunakan enjin sama iaitu unit petrol empat silinder 1.8 liter TGDi turbo dengan kuasa 181 hp dan 285 Nm tork.

    Kelengkapan yang berada pada X70 ini boleh jadi berbeza di antara semua varian ini namun yang paling tinggi boleh datang dengan barangan seperti bumbung panoramik, pengesan titik buta, kamera 360 darjah, rim 18 inci, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, lampu LED projector, balutan kulit Nappa, butang pengawal audio dan cruise control di stereng, autonomous emergency braking, lane departure warning dan adaptive cruise control.

    Semasa pra tonton awal kepada media juga, X70 ini telah ditunjukkan dengan sampel lima warna iaitu merah, putih, perak, kelabu dan coklat. Model pemanduan sebelah kanan ini juga telah melalui pelbagai ujian untuk memastikan ia sesuai dengan penggunaan di Malaysia yang termasuk lebih 300 ujian kenderaan dan lebih 500 ujian sistem.

    Harga untuk X70 ini walaubagaimanapun masih belum diumumkan, tetapi unit awal diberitahu akan diimport terus dari China manakala pengeluaran untuk model pemasangan tempatan (CKD) yang dilakukan di kilang Proton di Tanjung Malim hanya akan berjalan tahun hadapan.

     
     
  • SST: Mercedes-Benz umum senarai harga baharu – 19 model naik RM1k-RM33k, enam turun serendah RM3k

    SST: Mercedes-Benz umum senarai harga baharu – 19 model naik RM1k-RM33k, enam turun serendah RM3k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan senarai harga baharu bagi model Mercedes-Benz dan Mercedes-AMG yang berada dalam pasaran sekarang, sempena implementasi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September. Dengan pelaksanaan cukai sebanyak 10% daripada 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kadar cukai-sifar sejak Jun lalu sama sekali dimansuhkan.

    Semakan semula harga ini menyaksikan kenaikan bagi beberapa model, dari serendah RM1,000 bagi GLC 200 hingga RM33,000 untuk AMG E 63 S 4Matic+. Secara keseluruhan, sebanyak 19 model mengalami kenaikan harga berdasarkan cukai SST.

    SST: Mercedes-Benz umum senarai harga baharu – 19 model naik RM1k-RM33k, enam turun serendah RM3k

    Klik untuk besarkan

    Walau bagaimana pun, terdapat enam model mengalami penurunan harga, antaranya AMG GLC 43 4Matic yang kini RM3,000 lebih murah berbanding GST, dan model pemasangan tempatan barisan E-Class W213 termasuk E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive Line serta dua varian E 250 yang membabitkan banyak penurunan berbanding yang lain.

    Manakala model baharu yang diperkenalkan ketika tempoh cukai-sifar, termasuk Maybach S 560, AMG S 63 Coupe, S 560 Cabriolet, CLS 450, AMG GT C dan E 300 AMG Line, tiada harga mengikut GST untuknya. Begitu juga dengan CLA 200 dan GLA 200 Night Edition yang merupakan pengenalan baharu.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC dipertingkat dengan Bantuan Titik Buta dan Bantuan Kekal Lorong – RM294k to RM334k

    Mercedes-Benz GLC dipertingkat dengan Bantuan Titik Buta dan Bantuan Kekal Lorong – RM294k to RM334k

    Mercedes-Benz Malaysia telah mengumumkan peningkatan bagi SUV GLC yang menampilkan beberapa ciri keselamatan baharu, dengan barisan yang diperbaharui bersempena dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Penambahan baharu ini juga menjelang pelancaran facelift yang akan datang, dijangka tidak lama lagi.

    Kedua-dua GLC 200 dan GLC 250 4Matic AMG Line ini menerima Bantuan Titik Buta dan Bantuan Kekal Lorong. Di mana sistem tersebut hanya memberi amaran bagi penyimpangan lorong menerusi getaran roda stereng dan tidak menyediakan apa-apa bantuan stereng – fungsi tersebut hanya ditawarkan dengan Bantuan Kekal Lorong Aktif.

    Elemen lain masih kekal, termasuklah enjin. Kedua-dua model dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo petrol, dengan hamburan kuasa 184 hp dan tork 300 Nm bagi GLC 200 dan 211 hp dan 350 Nm untuk GLC 250. Transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan turut didatangkan secara standard, dan GLC 250 turut menerima pacuan semua-roda 4Matic, sementara GLC 200 hanya pacuan roda-belakang sahaja.

    Dengan ciri baharu ini, harganya sedikit meningkat, dengan GLC 200 kini ditawarkan pada harga atas jalan RM293,888, tidak termasuk insurans dan termasuk 10% SST – meningkat RM1,000 berbanding model sebelum ini dengan 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Manakala GLC 250 pula kini berharga RM333,888, iaitu meningkat sebanyak RM4,000 berbanding model sebelum ini dengan GST.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 200 2017

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 250 4Matic AMG Line 2017

     
     
  • Toyota Hilux Revo Rocco di Thailand kini boleh didapati dengan enjin 2.4L – harga bermula RM106k

    Toyota Hilux Revo Rocco di Thailand kini boleh didapati dengan enjin 2.4L – harga bermula RM106k

    Toyota Hilux Revo Rocco, yang dijual di pasaran Thailand, kini telah hadir dengan pilihan enjin 2.4 liter turbodiesel. Awal tahun ini, Rocco diperkenalkan dengan enjin 2.8 liter turbodiesel dengan kuasa 177 hp/450 Nm.

    Enjin 2.4 liter 2GD-FTV turbodiesel ini mampu memberikan kuasa sehingga 150 hp pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm dari 1,600 dan 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan. Rocco 2.4L ditawarkan harga bermula 838,000 baht (RM105,978) bagi Smart Cab, meningkat hingga 949,000 (RM120,016) untuk Double Cab. Dan tambah 50,000 baht (RM6,323) untuk mendapatkan antara varian tersebut dengan transmisi automatik.

    Nama Rocco memang bunyinya agak ganas, begitulah tema yang diberikan Toyota untuk kenderaan pikap ini. Gayanya yang penuh maskulin diserikan dengan gril hitam berkilat, bampar belakang kelabu, kemasan gerbang roda hitam, roda 18-inci hitam dengan tayar semua keadaan jalan, sport bar, bed lining, grafik istimewa Rocco dan ruang dalaman juga berwarna hitam dengan kemasan hitam metalik.

    Semua ini adalah tambahan bagi facelift baru-baru ini, dengan gril haksagon besar yang diinspirasikan dari Toyota Tacoma yang dijual di pasaran US. Ia turut hadir dengan bampar yang direka semula dengan corong udara dan lampu kabus baharu.

    Hilux Revo Rocco boleh dikatakan bersaing dengan beberapa model seangkatannya termasuk Ford Ranger Wildtrak, Isuzu D-Max V-Cross, Mitsubishi Triton Athlete, Chevrolet Colorado High Country dan Nissan Navara NP300 Sportech.

     
     
  • Terowong pertama lorong motosikal yang dinaik taraf di Lebuh Raya Persekutuan kini siap, diikuti 13 lagi

    Terowong pertama lorong motosikal yang dinaik taraf di Lebuh Raya Persekutuan kini siap, diikuti 13 lagi

    Bagi yang kerap menggunakan Lebuh Raya Persekutuan yang menghubungkan Klang ke Kuala Lumpur, anda pasti sudah maklum laluan khas motosikal yang berada di sepanjang lebuh raya itu sedang dinaik taraf. Hakikatnya, ia sudah berjalan selama beberapa tahun dan tidak kelihatan seperti akan dibuka dalam masa terdekat.

    Dalam perkembangan terbaru tentang naik taraf laluan motosikal ini, terowong pertama yang dinaik taraf sudah pun siap, iaitu di Sungai Way (menghala ke Kuala Lumpur), dan menteri kerja raya yang baru, Tuan Baru Bian melakukan lawatan untuk melihatnya sendiri. Setelah itu, beliau menyatakan rasa puas hati dengan kerja yang dijalankan.

    Antara naik taraf yang ditunjukkan melalui terowong pertama ini (dan akan dilakukan pada terowong yang lain) adalah penggunaan warna pada permukaan jalan (merah sebagai amaran sebelum masuk, biru dalam terowong dan hijau sebaik keluar) serta pepaku jalan berwarna putih 3M pemantul cahaya Chevron.

    Terowong pertama lorong motosikal yang dinaik taraf di Lebuh Raya Persekutuan kini siap, diikuti 13 lagi

    Permukaan jalan berwarna tersebut adalah dibuat daripada cat anti gelincir dengan tahap ukuran 60 SN, dan ini melebihi tahap minimum yang ditetapkan iaitu 30 hingga 35 SN. Kemudiannya, sistem perparitan dan perkara lain yang berkaitan dengan saluran air turut dibuat supaya terowong tersebut tidak akan banjir seperti sebelum ini.

    Sebenarnya, untuk laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan ini, ia mempunyai panjang keseluruhan 28.5 km, tetapi diselia oleh empat pihak yang berbeza iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang 2.4 km, Sprint 2.0 km, JKR 8.1 km dan PLUS 18 km. Walaubagaimanapun, bahagian yang diselia oleh PLUS kini sudah pun diserahkan kepada JKR bermula Januari 2018 yang lalu.

    Terowong pertama lorong motosikal yang dinaik taraf di Lebuh Raya Persekutuan kini siap, diikuti 13 lagi

    Sepanjang jalan itu pula, ada 14 terowong (kedua-dua hala) yang telah diluluskan untuk naik taraf ini dan ia adalah naik taraf utama yang dilakukan untuk projek transformasi laluan motosikal tersebut. Daripada 14 terowong tersebut, dua akan diganti dengan jejambat (overhead bridge) iaitu di Jalan 222 (satu menghala ke Kuala Lumpur dan satu menghala ke Klang) dan ia dijangka siap sepenuhnya masing-masing pada September dan Oktober 2018.

    Kemudiannya, dua lagi terowong iaitu berhampiran Nanyang Siang Pau (menghala ke Kuala Lumpur) dan Jalan Utara (menghala ke Kuala Lumpur) turut akan ditambah kepada jumlah keseluruhan terowong yang akan dinaik taraf, menjadikannya kini 13 terowong (yang masih belum siap). Kerja naik taraf terowong ini akan dilakukan secara berperingkat dan tempoh siapnya masih belum diumumkan.

     
     
  • Ford bakal hentikan 24,000 pekerja dan produksi model Mondeo bagi pulihkan perniagaan di Eropah

    Ford bakal hentikan 24,000 pekerja dan produksi model Mondeo bagi pulihkan perniagaan di Eropah

    Ford bakal menghentikan 24,000 pekerjanya dan turut akan menggugurkan produksi berberapa model seperti Mondeo dalam usahanya untuk memulihkan kembali perniagaannya di Eropah, lapor Sunday Times.

    Penganalisa Morgan Stanley berpendapat bahawa Ford akan mengurangkan 12% dari keseluruhan 202,000 tenaga kerjanya, kebanyakkannya dari operasi mereka di Eropah. Syarikat berkenaan mempunyai 12,000 pekerja di kilang yang terletak di UK, R&D, pentadbiran dan juga jaringan pengedar.

    Selain Mondeo, Ford juga berkemungkinan akan menamatkan produksi untuk model Galaxy dan S-Max bagi mendapatkan lebih keuntungan dari model-model crossover dan SUV, menurut penerbitan tersebut lagi dengan memetik sumber yang rapat dengan isu berkenaan. Ford juga mungkin akan menutup sebahagian pengedarnya, namun belum jelas adakah ia akan turut melibatkan operasinya di luar Eropah.

    Ford rugi US$73 juta di Eropah antara April dan Jun lalu kerana permintaan terhadap model diesel merudum dan barisan model yang dilihat tidak memberangsangkan, tambah Times. Ford turut berhadapan dengan ketidaktentuan akibat Brexit, yang mungkin akan menyebabkan tarif yang lebih tinggi dikenakan terhadap kereta dan komponen yang diniagakan antara UK dan Eropah.

    Sebelum pelan pemulihan dimuktamadkan dalam masa berberapa bulan akan datang, Ford mungkin akan membawa berberapa unitnya di Eropah untuk bekerjasama dengan pesaingnya, seperti Volkswagen. Presiden Ford Eropah Steven Armstrong menyatakan bahawa syarikatnya kini sedang menumpukan untuk “menyerang kos secara agresif, mengimplementasikan fasiliti serta keberkesanan program produk bagi mengurangkan kos material, dan juga keamatan modal di Eropah,” menurut laporan tersebut lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz EQC 2019 diperkenalkan – kuasa 300 kW/765 Nm, pengecasan penuh mampu capai 450 km

    Mercedes-Benz EQC 2019 diperkenalkan – kuasa 300 kW/765 Nm, pengecasan penuh mampu capai 450 km

    Mercedes-Benz telah memperkenalkan EQC, kenderaan elektrik pertama di bawah produk EQ. Kenderaan ini berkongsi asas yang sama dengan GLC kerapa mempunyai kuasa bateri yang serupa, malah dimensi juga agak mirip. Walau bagaimana pun, Mercedes-Benz telah memberikan nombor N293 sebagai isyarat penggayaan dan juga bersama portfolio elektrik baharu serta ‘rupa-elektro’ yang berbeza.

    SUV elektrik ini memiliki dimensi 4,761 mm panjang, 2,096 mm lebar dan 1,624 tinggi, dengan jarak roda 2,873 mm – boleh didapati dengan varian ECQ 400 4Matic dengan dua tahap kemasan iaitu Electrik Art dan AMG Line.

    Untuk bahagian hadapannya, ia dihiasi dengan gril radiator berwarna hitam yang bersaiz besar, ditawarkan dengan dua gaya iaitu unit multi-louvre bagi Electric Art dan kepingan-berkembar untuk kemasan AMG Line.

    Tema hitam turut menjadi pilihan lampu utama Multibeam LED jentera ini, dengan perumah dan tiub dalaman juga menerima sentuhan yang digelapkan. Pencahayaannya menampilkan warna biru sebagai identiti bagi EQ. Manakala gambaran yang lebih terang turut ditampilkan menerusi garisan melintang yang merentasi bahagian atas gril, memberikan pencahayaan yang berterusan dari jaluran lampu nyalaan siang pada lampu utama.

    Pada bahagian belakangnya, lampu belakang berbilang-seksyen hadir dengan cermin tema jalur cahaya mendatar. Lampu-lampu ini sedikit kecil hasil daripada pemantul yang berada di bahagian bampar, menyaksinya hujungnya yang lebih menarik dan sporty. Untuk menyerlahkan lagi peralihan reka bentuk dengan EQ, model ini turut mendapat tipografi khusus dengan spesifik EQ.

    Pilihan roda pula didatangkan dengan saiz 19- hingga 21-inci dengan beberapa bentuk rekaan, disesuaikan dengan peningkatan aerodinamik, unit rekaan berwarna dan juga pelbagai-jejari AMG yang lebih menyerlah.

    Bahagian kabinnya dilengkapi dengan elemen rekaan yang agak familiar, ini termasuklah konsol tengah dan paparan dwi-segi empat tepat, dengan sambungan dua kluster instrumen 10.25-inci dan skrin paparan media yang dihadirkan bersama gaya ‘free-standing’ dan corong udara AC dengan bentuk-kunci, warna rose-gold bagi spesifikasi kemasan Electric Art.

    Tiga gaya berlainan ditawarkan bagi paparan informasi – Modern Classic, Sport dan Electric Art, yang pilihan terakhir itu boleh menukar tona persembahan dari rose-gold bagi mod Drive ke putih, dan electric blue ketika pemulihan, dengan beberapa tahap (low, medium, high, coasting). Bagi mod pemanduan, ia menawarkan lima program iaitu Comfort, Eco, Sport, Individual dan Max Range.

    Manakala bagi pilihan kemasan AMG Line, ia ditambahkan dengan roda stereng sport pelbagai-fungsi AMG tiga-jejari dengan seksyen leper di bawah, pedal sport AMG keluli tahan karat, alas lantai AMG dan tempat duduk balutan kulit Artico/gentian mikro berwarna hitam, serta kemasan gentian karbon sebagai pilihan.

    Elemen lain termasuklah sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX) baharu, yang menampilkan ciri spesifik EQ termasuk paparan jarak pacuan, status pengecasan dan aliran tenaga. Sebagai tambahan, EQ turut mengoptimakan navigasi, mod pemanduan, pengesan semasa dan juga masa ketibaan yang boleh dikawal dan ditetapkan menerusi MBUX.

    Ia turut hadir dengan jawalan suhu pra-kemasukan, yang mampu menyediakan ruang dalaman untuk suhu yang diperlukan ketika ketibaan, dan diprogramkan menerusi MBUX atau aplikasi Mercedes me, sama ada masa ketibaan individu atau tetapan secara mingguan.

    Selain itu, sistem penggerak juga diutamakan. EQC menampilkan penjana kuasa elektrik – yang disambungkan pada motor elektrik, transmisi nisbah-tetap, sistem penyejukan dan elektronik kuasa pada perumah yang sangat kompak – pada setiap gandar.

    Motor elektrik hadapan berfungsi ketika muatan rendah dan peluncuran, sementara motor elektrik di belakang pula ketika memacu prestasi dan kelajuan yang tinggi. Hasil gabungan itu, motor ini mampu menawarkan 300 kW (atau 402 hp) dan 765 Nm.

    Prestasinya dianggarkan sekitar 5.1 saat bagi pacuan 0-100 km/j, dengan kelajuan maksimum 180 km/j dan 450 km bagi pengecasan penuh, berdasaroan kitaran ujian NEDC, jadi jarak sebenar mungkin akan menjadi lebih rendah. Ia juga didakwa hasil penggunaan kuasa sekitar 22.2 kWh/100 km, juga mengikut NEDC.

    Bateri lithium-ion 80 kWh juga diberikan untuk menjana kedua-dua motor elektrik. Unit modular 650 kg, yang dibangunkan oleh Daimler anak syarikat Deutsche Accumotive, menampilkan 384 sel (dua modul dengan 48 sel bagi setiap satunya dan empat dengan 72 set setiap satunya) dan voltan maksimum sehingga 408 voltan dan kapasiti nominal sekitar 210 Ah.

    EQC dilengkapi dengan pengecas onboard 7.4 kW penyejukan-air, juga sesuai untuk pengecasan AC di rumah atau di stesen pengecasan awam. Pengecasan menerusi Mercedes-Benz Wallbox pula adalah tiga kali lebih pantas berbanding menggunakan soket kuasa domestik, dan pengecasan DC – dengan capaian menerusi CCS (Sistem Pengecasan Kombinasi) di Eropah dan USA, CHAdeMO di Jepun atau GB/T di China.

    Menurut pengeluar kenderaan ini, EQC juga boleh dicas dengan kadar sehingga 110 kW di stesen pengecasan yang bersesuaian, bergantung pada SoC (status pengecasan), dengan data pendedahan bagi bateri yang boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam sekitar 40 minit.

    Pada masa EQC memasuki pasaran tahun depan, pelanggan EQC akan memiliki tiga versi Wallbox generasi baharu yang boleh dipilih. Iaitu Wallbox Home yang diperkenalkan pada Jun, Wallbox Advanced yang dilengkapi dengan capaian Internet dan juga Wallbox Twin, dengan dua darinya itu bakal boleh diperoleh mulai suku pertama 2019.

    Mercedes-Benz EQC 2019 diperkenalkan – kuasa 300 kW/765 Nm, pengecasan penuh mampu capai 450 km

    Bagi wallboxe Advance dan Twin, ia akan menampilkan ciri tambahan termasuk keupayaan capaian-Internet dan juga meter eletrik terbina-di dalam. Selain itu, ia juga juga akan membenarkan kawalan akses menggunakan radio-frequency identification (RFID).

    Bukan itu sahaja, pakej Bantuan Pemanduan EQC juga disertakan dengan fungsi baharu termasuk larasan kelajuan ramalan apabila ia menghampiri trafik yang bergerak perlahan, juga low-speed follow dan sistem panduan lorong.

    Walau bagaimana pun, SUV ini akan mengambil masa yang agak lama untuk diperkenalkan di pasaran, dengan produksinya akan dimulakan pada tahun hadapan di kilang pemasangan Mercedes-Benz di Bremen. Di luar Jerman, EV juga dipasang di China untuk pasaran tempatan.

     
     
  • SST: Harga kenderaan Volvo sama seperti waktu GST

    SST: Harga kenderaan Volvo sama seperti waktu GST

    Satu lagi syarikat kenderaan di Malaysia iaitu Volvo Car Malaysia telah menyiarkan senarai harga model yang ditawarkan, dengan kira-kira cukai SST yang dikuatkuasakan bermula 1 September lalu dimasukkan sekali. Semuanya ada ada sembilan model dalam senarai harga ini, dan semuanya juga adalah model pemasangan tempatan (CKD).

    Seperti yang anda boleh lihat dalam jadual di bawah, tiada perbezaan harga antara waktu cukai GST dikenakan pada kenderaan ini dan waktu cukai SST baru berkuat kuasa. Model Volvo paling mampu milik iaitu V40 T5 kini dijual pada harga RM180,888 tidak termasuk insurans manakala XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus dijual pada RM413,888.

    SST: Harga kenderaan Volvo sama seperti waktu GST

    Berdasarkan senarai harga yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat kereta ini, penguatkuasaan SST telah memberikan kesan yang berbeza bergantung kepada model. Ada yang naik, ada yang turun dan bagi Volvo, ia masih sama seperti waktu cukai GST 6% sebelum ini.

    Sebelum ini SST telah diumumkan ditetapkan pada tahap 10%, dan ini adalah kadar yang sama seperti waktu ia dikuatkuasakan sebelum diambil alih GST pada April 2015. Walaupun begitu, pengguna di Malaysia dapat menikmati waktu ‘cuti cukai’ selama tiga bulan sebelum cukai SST ini dikenakan semula.

     
     
  • BMW 6 Series Gran Turismo kini dilancarkan di Malaysia – 630i GT CKD, harga anggaran RM450k

    BMW 6 Series Gran Turismo kini dilancarkan di Malaysia – 630i GT CKD, harga anggaran RM450k

    Model gantian untuk BMW 5 Series GT iaitu G32 6 Series Gran Turismo kini secara rasmi telah tiba ke pasaran Malaysia setelah diperkenalkan pada peringkat global pertengahan tahun lalu. Model ini akan di jual pada pasaran tempatan dengan satu varian iaitu 630i GT M Sport, dihasilkan secara pemasangan tempatan menerusi kilang yang terletak di Kulim, Kedah.

    Di bina berasaskan model 5 Series G30, model GT ini dihasilkan untuk memberi gaya sebuah coupe, ruang kaki sebuah limosin, praktikaliti sebuah wagon dan posisi pemanduan tinggi sebuah SUV. Ini menjadikan 6 Series Gran Turismo ini sebuah kenderaan yang besar dengan dimensi ukuran 5,091 mm panjang, 1,902 mm lebar dan 1,538 mm tinggi, atau 155 mm lebih panjang, 34 mm lebih lebar dan 59 mm lebih tinggi berbanding sedan 5 Series biasa.

    6 Series GT ini menampilkan muka hadapan yang hampir seiras dengan 5 Series, namun lampu model ini diberikan ‘kening’ yang menaik ke bahagian tepi. Dilihat dari sisi, liang udara pada model ini disepadukan dengan lebih kemas, manakala tiang-A direka lebih condong bersambung menjadikan bumbungnya 64 mm lebih rendah.

    BMW 6 Series Gran Turismo kini dilancarkan di Malaysia – 630i GT CKD, harga anggaran RM450k

    Pada bahagian belakang pula, 6 Series GT diberikan lampu tiga dimensi, bersama spoiler bersepadu yang boleh naik secara automatik pada kelajuan lebih 120 km/j serta menerima ciri Air Curtains dan Air Breather – membolehkan kecekapan rintangan anginnya meningkat dari 0.29 Cd kepada 0.25 Cd. Kit luaran lain yang diterima model ini termasuk lampu hadapan LED Adpatif dan juga rim aloi M ringan 20-inci jejari berkembar 648 M.

    Bahagian dalam kenderaan ini diambil secara terus daripada 5 Series, menampakkan papan pemuka yang rendah, skrin iDrive bersaiz 10.25-inci di tengah, konsol tengah yang tinggi dilengakapi Touch Controller serta panel meter digital widescreen penuh. Sistem berkenaan boleh beroperasi menerusi kawalan menggunakan suara dan kawlan gestur yang dipertingkat.

    Selain itu, pemandu turut akan menerima paparan Head-up serta roda stereng M Sport. Model pasaran Malaysia ini diberikan papan pemuka kulit Sensatec dan kayu asli ‘Fineline’ Ridge dengan kemasan-kemasan krom Pearl Gloss.

    BMW 6 Series Gran Turismo kini dilancarkan di Malaysia – 630i GT CKD, harga anggaran RM450k

    Untuk penumpang pula, mereka dapat menikmati dua bumbung kaca panaromik yang keseluruhannya berukuran lebih satu meter dan lebar 90 cm. Untuk hiburan semasa perjalanan, 6 Series Gran Turismo diberikan sistem audio Surround dari Harmann Kardon.

    Pada bahagian belakang terdapat tiga tempat duduk, dan dua daripadanya disiapkan dengan cagak Isofix. Turut dipertingkat adalah ciri kedapan bunyi dengan penambahan bahan serapan di bumbung, pintu dan penyandar kepala tempat duduk belakang.

    Jika sebelum ini pintu but belakang terdiri daripada dua unit, kini, ia digantikan dengan satu sahaja dan ia boleh dibuka dengan bantuan penolak berkuasa elektrik. Pemilik juga boleh mendapatkan ciri membuka tanpa sentuhan dalam pakej Comfort Access. Di bahagian ini, terdapat ruang simpanan 610 liter – 110 liter lebih luas berbanding sebelum ini. Apabila tempat duduk belakang dilipat secara 40:20:40 pula, anda akan mendapat 1,800 liter ruang, iaitu 100 liter lebih berbanding 5 GT.

    BMW 6 Series Gran Turismo kini dilancarkan di Malaysia – 630i GT CKD, harga anggaran RM450k

    Model 630i ini dijana oleh enjin petrol 2.0 liter empat silinder BMW TwinPower Turbo, menghasilkan kuasa 258 hp dengan tork maksima 400 Nm. Digandingkan dengan kotak gear automatik Steptronic lapan-kelajuan memacu roda belakang, kereta ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada 6.6 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi CO2 pula adalah sebanyak 152 gram bagi setiap kilometer.

    Untuk pengendalian, model ini menerima suspensi adaptif dengan Dynamic Damper Control dan suspensi udara untuk bahagian hadapan dan belakang. Sistem suspensi ini dikawal oleh sistem elektronik bagi memberikan keselesaan serta kawalan berasingan pada keempat-empat sudut dapat diberikan bagi menyimbangkan semula beban yang tidak sekata.

    Suspensi udara berkenaan turut membolehkan ketinggian kereta ini dapat dilaras secara manual, dengan kelegaan tanah dapat dinaikkan sehingga 20 mm dengan hanya menekan butang di dalam kabin. Fungsi ini agak berguna contohnya apabila pemandu berhadapan dengan dengan situasi permukaan jalan yang teruk atau perlu untuk melintasi permukaan bertebing. Ia juga turut boleh direndahkan sehingga 10 mm secara manual, mahupun automatik ketika kelajuan kereta mula melebihi 120 km/j bagi mengurangkan rintangan udara.

    Bagi sistem keselamatan, 6 GT diberikan pelbagai ciri bantuan pemanduan. Sistem berkenaan dilengkapkan dengan kamera stereo, radar dan penderia ultrasonic bagi mengorepasikan ciri seperti Amaran Keluar Laluan, Amaran Tukar Lorong, Amaran Pelanggaran dan Pejalan Kaki dengan Pengelak Pelanggaran dalam Bandar, Amaran Lintasan Trafik dan Informasi Had Laju. Ia juga menerima sistem Cruise Control aktif dengan fungsi Stop & Go.

    Enam empat luaran ditawarkan iaitu Alpine White, Bluestone, Carbon Black dan Sophisto Grey, manakala warna dalaman Leather Dakota Black adalah standard. Istimewa bagi mereka yang memilih warna luar Carbon Black dan Sophisto Grey, anda ditawarkan dengan opsyen warna Leather Dakota Cognac untuk bahagian kabin.

    Untuk semua ini, BMW 630i Gran Turismo CKD akan dijual pada harga anggaran atas jalan dengan SST tanpa insuran RM450,000, serta hadir bersama waranti lima tahun tanpa had perbatuan, program servis berkala percuma dan waranti tayar selama dua tahun. Lebih perincian berkenaan spesifikasi dan lain-lain untuk model GT ini boleh anda ketahui di laman Carbase.my.

     
     
  • Volvo 360c – kereta konsep elektrik autonomous mahu cabar pengangkutan udara, boleh berkomunikasi

    Volvo 360c – kereta konsep elektrik autonomous mahu cabar pengangkutan udara, boleh berkomunikasi

    Volvo telah menunjukkan satu konsep kenderaan autonomous baru yang mahu mencabar penggunaan pengangkutan udara untuk jarak dekat terutamanya dalam jarak sekitar 300 km. Ia digelar sebagai 360c, dan melibatkan sebuah kenderaan tanpa pemandu, autonomous sepenuhnya dan dikuasakan oleh elektrik sepenuhnya.

    Melalui kenderaan ini, Volvo memberitahu, pengguna boleh menikmati keadaan seperti kabin kelas pertama sepanjang perjalanan, dan boleh mengelakkan kesukaran di lapangan terbang seperti melalui pemeriksaan, beratur panjang, sempit dan sebagainya kerana ia boleh datang terus ke rumah untuk mengambil penumpang dan memandu mereka ke destinasi.

    Disebabkan ini adalah sebuah kenderaan elektrik autonomous sepenuhnya tanpa pemandu, bahagian dalamnya tidak mempunyai stereng dan lebih luas. Untuk pengenalan, Volvo telah menunjukkan empat potensi bagaimana bahagian dalam ini boleh diubah, iaitu untuk penggunaan sebagai tempat tidur, pejabat bergerak, ruang tamu ataupun ruang hiburan.

    “Kenderaan autonomous mempunyai kecenderungan untuk menjadi platform menunjukkan teknologi berbanding visi bagaimana orang boleh menggunakannya. Tapi, Volvo adalah satu jenama yang memberikan lebih fokus kepada manusia. Kami memberikan fokus kepada kehidupan seharian pelanggan dan bagaimana mahu menjadikannya lebih baik. Model 360c ini adalah salah satu daripadanya,” kata timbalan presiden kanan bahagian rekaan Volvo Cars, Robin Page.

    Selain daripada itu, model 360c ini juga menjadi platform untuk Volvo menunjukkan bagaimana sistem komunikasi kenderaan autonomous dengan kenderaan biasa lain dapat dipertingkat. Ia boleh mengeluarkan bunyi, warna, visual, pergerakan dan gabungan aksi ini untuk menunjukkan pergerakannya kepada pengguna jalan raya lain. Walaubagaimanapun, ia tidak akan mengeluarkan arahan atau perintah kepada pengguna lain.


     
     
  • Acura ILX 2019 lebih menonjol, kelengkapan ditambah

    Acura ILX 2019 lebih menonjol, kelengkapan ditambah

    Acura ILX telah diberikan pembaharuan untuk tahun 2019, dengan antara perubahannya adalah pada gaya serta senarai kelengkapan yang ada. Sekarang, sedan yang menggunakan asas daripada Honda Civic ini menggunakan konsep rekaan terkini jenama itu, yang pertama kali digunakan pada Acura Precision Concept.

    Dibandingkan dengan model sebelum ini, ILX 2019 mempunyai penampilan yang lebih menonjol, dengan terdapat gril pentagon di depan, lampu utama LED Jewel Eye dan bukaan udara bawah yang lebih tajam dan turut menempatkan lampu kabus.

    Untuk bahagian belakang, antara perubahan yang diberi adalah penutup but baru, yang menyebabkan no plet terpaksa diletakkan lebih rendah. Kemudiannya terdapat lampu belakang LED, diffuser hiasan dan muncung ekzos yang terdedah. Pilihan rim pula termasuk unit 17 inci dan 18 inci yang eksklusif kepada varian A-spec.

    Sementara bahagian luar melibatkan perubahan rekaan yang jelas, bahagian kabin pula masih nampak sama seperti sebelum ini, dengan cuma beberapa penambahan. Tempat duduk model A-Spec contohnya, kini lebih menonjol dengan penggunaan warna yang lebih terang, serta jahitan yang kontras.

    Sistem On Demand Multi-Use Display (ODMD) dua skrin pada kereta ini juga sekarang datang dengan perisian yang lebih responsif dan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto. Pada papan pemuka terdapat kemasan krom baru serta butang pemula enjin yang lebih kemas.

    Untuk model tahun 2019 ini, setiap ILX akan datang dengan sistem keselamatan aktif dan bantuan pemandu AcuraWatch secara standard. Dalam pakej ini terdapat Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist (LKAS), Adaptive Cruise Control (ACC), dan Road Departure Mitigation (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW).

    Enjin yang digunakan juga masih sama, memandangkan unit empat silinder 2.4 liter NA DOHC i-VTEC akan digunakan untuk semua model ILX. Enjin yang mampu menghasilkan kuasa 201 hp ini dipadankan bersama kotak gear automatik klac berkembar lapan kelajuan dengan kuasa dihantar ke roda hadapan.

     
     
  • HSR dijangka beroperasi pada tahun 2031 – Azmin

    HSR dijangka beroperasi pada tahun 2031 – Azmin

    Umum mengetahui Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk untuk menangguhkan pembinaan Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga akhir Mei 2020, tanpa melibatkan sebarang bayaran pampasan.

    Walau bagaimana pun, pihak kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk membayar kos abortif sebanyak S$15 juta kepada kerajaan Singapura pada 31 Januari 2019, ujar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “Apabila saya pertama kali bertemu Menteri Pengangkutan dan Menteri Penyelaras Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan, saya menyampaikan mandat daripada Kabinet Malaysia bahawa kami ingin projek itu ditangguhkan selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun,” katanya menerusi laporan Bernama.

    HSR dijangka beroperasi pada tahun 2031 – Azmin

    Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau bersetuju dengan Khaw bahawa jika tempoh penangguhan itu melebihi dua tahun, model perniagaan berkenan pasti akan berubah dengan kos yang terus meningkat.

    Ketika ditanya kemungkinan Malaysia membatalkan projek itu, Azmin menjawab, “Saya tidak mahu membuat kesimpulan kerana perjanjian ditandatangani hari ini dengan jelas menyatakan komitmen kami untuk meneruskan projek itu selepas Mei 2020.”

    Kenyataan bersama oleh Singapura dan Malaysia mengenai projek HSR itu berkata, jika pada 31 Mei 2020 Malaysia tidak meneruskan Projek HSR, Malaysia juga akan menanggung kos yang dipersetujui oleh Singapura dalam memenuhi Perjanjian Dua Hala HSR. “Semasa tempoh penangguhan itu, Malaysia dan Singapura akan terus membincangkan cara terbaik untuk Projek HSR dengan tujuan mengurangkan kos,” kata kenyataan itu.

    Stesen HSR seperti yang dicadangkan sebelum ini

    Menurutnya, Perkhidmatan Ekspres HSR antara Singapura dan Kuala Lumpur dijangka bermula 1 Januari 2031 dan bukannya tarikh asal pada 31 Disember 2026.

    Kerajaan Singapura pula memaklumkan di bawah pemahaman baharu itu, projek tersebut dianggap batal jika pembinaan tidak diteruskan pada Mei 2020 dan Malaysia akan membayar balik kepada negara berkenaan untuk kos yang dibazirkan yang mereka lakukan untuk memenuhi perjanjian HSR.

    “Malaysia telah menjelaskan alasannya untuk menangguh projek berkenaan, mereka memutuskan untuk menggantungnya selama setahun dan kami berpendapat kami dapat menguruskannya. Tetapi jika tempoh lebih lama, katakan empat tahun, keadaannya agak sukar kerana ia akan menjejaskan kedua-dua negara dan projek itu sendiri,” ujar Khaw.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025