Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • “Buku” baru saman AES/AWAS bermula 1 Sept – JPJ

    Bermula 1 September ini, operasi dan pelaksanaan AES/AWAS akan masuk lembaran baru. Menurut laman Facebook rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), badan itu akan mengambil alih sepenuhnya aspek operasi, pembangunan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan sistem berkenaan selepas perjanjian konsesi sebelum ini tamat pada 31 Ogos 2018.

    Jadi, selepas ini, kerajaan melalui JPJ akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan sistem berkenaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Saman yang akan dikeluarkan oleh AES/AWAS juga akan dikenakan tanpa sebarang pengurangan atau pengecualian.

    JPJ dalam kenyataan yang sama turut menyeru kepada semua pemandu agar lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kemalangan jalan raya. Harapnya jalan raya kita akan lebih selamat selepas ini. Kalau tak nak bayar saman AES/AWAS, jadilah pemandu yang bertimbang rasa dan berhemah.

     
     
  • Perodua tawar rebat tunai kepada 3,100 pelanggan yang terjejas akibat gangguan pengeluaran Myvi

    Perodua tawar rebat tunai kepada 3,100 pelanggan yang terjejas akibat gangguan pengeluaran Myvi

    Pada 20 Ogos lalu, Perodua telah memaklumkan pengeluaran model Myvi baharu mengalami gangguan sementara kerana berhadapan dengan bekalan daripada salah satu vendor. Sekaligus menjejaskan 3,100 pelanggan yang sepatutnya menerima Myvi mereka sebelum 1 September ini.

    Justeru, Perodua membuat keputusan untuk menawarkan rebat tunai sebagai pampasan kepada para pelanggan yang terlibat. “Kami ingin menawarkan rebat tunai kepada para pelanggan kami yang dihargai apabila kenderaan mereka didaftar nanti, sebagai pampasan di atas kesulitan yang dialami. Kami juga akan memaklumkan kepada mereka mengenai masa penghantaran Myvi mereka dari semasa ke semasa,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

    “Kami dengan rendah diri ingin memohon maaf bukan sahaja kepada mereka yang tidak dapat menerima kenderaan mereka sebelum SST diperkenalkan semula, tetapi juga kepada semua pelanggan yang telah menempah Myvi selepas daripada itu, kerana gangguan pengeluaran akan menyebabkan penghantaran kenderaan tergendala.

    Perodua tawar rebat tunai kepada 3,100 pelanggan yang terjejas akibat gangguan pengeluaran Myvi

    “Pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami di Perodua. Kami amat memahami kekecewaan dan rungutan yang diterima disebabkan perkara yang tidak diingini ini, dan kami akan sentiasa mencari kaedah penyelesaian yang terbaik untuk memastikan pengeluaran Myvi dapat beroperasi semula secepat mungkin,” tambahnya lagi.

    Sejak dilancarkan pada November 2017, lebih daripada 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima, menjadikan ia model terlaris Perodua sepanjang tahun setakat ini.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Golf Mk 7.5 – antara Sportline, R-Line, GTI dan R, yang mana satu pilihan anda?

    PANDU UJI: Volkswagen Golf Mk 7.5 – antara Sportline, R-Line, GTI dan R, yang mana satu pilihan anda?

    Setelah enam tahun diperkenalkan pada peringkat global, dan lima tahun berada dalam pasaran tempatan, Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) telah pun memperkenalkan versi facelift bagi hatchback ikonik generasi ketujuh Volkswagen Golf pada Mac tahun ini, dan ia lebih dikenali sebagai Golf Mk7.5.

    Ketika diperkenalkan, VPCM membawa terus Golf dengan tiga unit penjana berbeza iaitu enjin 1.4 TSI untuk versi asas Sportline dan R-Line, versi berprestasi tinggi Golf GTI, dan model paling berkuasa Golf R. Kalau anda berminat dengan Golf facelift ini, ‘perisa’ yang mana satu jadi pilihan? Artikel sesi pandu uji media dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru yang kami sertai ini mungkin boleh dijadikan panduan untuk anda.

    Kita mulakan dari segi rupa. Bagi model asas Sportline, perubahan dilihat pada bampar hadapan dengan rekaan baharu dan lampu belakang LED bersama fungsi lampu isyarat membelok dinamik (seperti pada model-model Audi terkini). Namun untuk sesi pandu uji ini, model asas berkenaan tidak turut serta dimana versi 1.4 TSI hanya diwakili dari versi R-Line.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Vario 150 dilancarkan di Malaysia – dari RM7.2k

    Honda Vario 150 dilancarkan di Malaysia – dari RM7.2k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd melancarkan model skuter baru untuk pasaran Malaysia iaitu Vario 150. Ia menjadi tambahan kepada skuter lain yang ditawarkan oleh syarikat itu seperti PCX, Beat, Spacy dan Air Blade, dengan menawarkan reka bentuk yang sporty serta tunggangan yang berprestasi.

    Vario 150 dikuasakan oleh enjin satu siilnder 149.3 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan mampu menghasilkan 12.9 hp pada 8,500 rpm serta 13.4 Nm tork pada 5,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik V-Matic.

    Selain penampilan sporty bersama unit LED untuk semua lampu seperti lampu hadapan, lampu siang, lampu belakang dan lampu penunjuk arah, skuter ini turut disediakan dengan ciri unik termasuk sistem kunci pintar dengan fungsi jawab kembali dan penggera anti kecurian, butang pemula enjin, panel meter gabungan LCD dan digital, serta sistem idling stop (enjin mati ketika berhenti dan hidup semula secara automatik apabila pendikit dipulas).

    Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan ciri lain seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter yang boleh memuatkan helmet dan barangan lain, dua ruang simpanan kecil di bawah bahagian pemegang, tangki bahan api 5.5 liter, fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang, rim 14 inci dengan tayar 90/80 di depan dan 100/80 di belakang, brek cakera di depan serta brek dram di belakang. Walaubagaimanapun, skuter ini tidak dilengkapi dengan fungsi brek ABS.

    Orang ramai boleh memilih empat warna untuk Vario 150 ini iaitu hitam/merah, perak/kuning serta biru/perak yang dijual pada harga RM7,199, manakala model Repsol Edition pula dijual pada harga RM7,399. Harga ini tidak termasuk insurans serta kos pendaftaran lain, dan akan dikekalkan walaupun selepas bulan Ogos ini di mana cukai SST sudah mula dikuatkuasakan. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Istimewa sempena bulan kemerdekaan ini, Boon Siew Honda juga telah menunjukkan Vario 150 yang dicat khas dengan grafik mengikut 13 negeri di Malaysia (serta mengikut warna bendera Malaysia sendiri), namun ia hanya untuk pameran dan bukannya untuk jualan umum.

     
     
  • Harga petrol RON 97 naik empat sen bagi 30-31 Ogos

    Harga petrol RON 97 naik empat sen bagi 30-31 Ogos

    Selepas kekal bagi tempoh dua minggu sebelum ini, harga petrol RON 97 akan naik semula sebanyak empat sen bermula tengah malam ini, menjadi RM2.69 seliter.

    Bagaimanapun, menurut KPDNHEP, ia adalah bagi dua hari sahaja, iaitu bagi 30-31 Ogos. Masuk bulan September, kemungkinan harga baru akan diumumkan – mengambil kira SST.

    Harga bahan api lain pula masih kekal sama disebabkan diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini. Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • Kalashnikov CV-1 kereta EV Rusia, cecah jarak 350 km

    Kalashnikov CV-1 kereta EV Rusia, cecah jarak 350 km

    Jangan terkejut pula dengan nama model kereta ini; Kalashnikov CV-1. Ini bukan senapang, tapi sebuah model kereta elektrik. Macam nama senapang sebab pengeluar kedua-dua produk berkenaan adalah sama.

    Dan Kalashnikov CV-1 ini merupakan sebuah prototaip kereta EV sepenuhnya, dengan jarak yang boleh dicapai ialah 350 km. Ia menggunaan bateri 90 kWh. Khabarnya, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.0 saat.

    CV-1 ini memang sengaja direka untuk tampil mirip kepada model kereta Soviet era 1970an dulu, tapi dilengkapi dengan ciri moden seperti lampu utama LED. Malah, ia juga menggunakan tayar berprofil rendah. Selebihnya semua tampil dengan estetika retro.

    Kalashnikov CV-1 kereta EV Rusia, cecah jarak 350 km

    Ini bukan kenderaan EV yang pertama dihasilkan oleh Kalashnikov. Syarikat berkenaan sebelum ini pernah mengeluarkan kenderaan EV lain seperti motosikal dan ATV. Kiranya CV-1 ini merupakan penawaran terbaru bagi barisan kenderaan elektrik yang dihasilkan.

    Apa pun, versi produksi untuk model ini belum dinyatakan lagi. Mungkin juga bukan untuk jualan terbuka kepada pengguna umum, sebab biasanya Kalashnikov hanya hasilkan produk untuk kegunaan ketenteraan sahaja. Apa-apa pun, kita tunggu dan lihat nanti. Tapi, ada gaya tak CV-1 ini?

     
     
  • Renault Arkana – crossover segmen-C baharu didedah

    Renault Arkana – crossover segmen-C baharu didedah

    Renault Arkana akhirnya telah didedah selepas ia ditunjukkan menjelang Moscow Motor Show tahun ini. Versi produksi bagi crossover segmen-C akan mula dijualkan di Rusia terlebih dahulu pada tahun hadapan sebelum memasuki pasaran lain di peringkat global, termasuk di Asia.

    Menurut Renault, Arkana digambarkan sebagai “coupe crossover dengan tarikan tersendiri, bersama keunikan di antara elegan bagi sedan dan kekukuhan dari SUV”. Secara ringkasnya, ia adalah SUV yang telah disuntik dengan beberapa gaya coupe-esque untuk memberikan rupa yang lebih dinamik.

    Ini paling ketara apabila kenderaan itu dilihat dari sisi, di mana bumbung kelihatan jelas. Contoh lain dengan imej ini termasuk BMW X4 (atau X6) dan Coupe Mercedes-Benz GLC (atau GLE Coupe).

    Memfokuskan pada bahagian hadapan pula. Arkana memiliki persamaan dengan Kadjar, terutamanya pada bahagian gril. Walau bagaimana pun, tidak seperti adik-beradiknya, model baharu ini didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C yang menjadi sebahagian daripada lampu utama.

    Renault Arkana – crossover segmen-C baharu didedah

    Arkana turut didatangkan dengan gerbang roda yang lebar bagi menampakkan penampilan yang lebih sporty serta bonet yang cukup menyerlah. Di bahagian sisinya, kelihatan garisan tengah yang merentasi bahagian bawah pintu. Corong sisi tiruan di kedua-dua belah turut ditampilkan selain memilih roda bersaiz 19-inci sebagai pelengkap gaya.

    Melewati bahagian belakangnya pula, gaya model famili Renault jelas kelihatan terutamanya pada bahagian lampu. Dua kluster yang disambungkan pada bahagian lampu dengan logo Renault di tengah, juga kelihatan sama seperti Megane Sedan, Talisma dan Koleos. Skid plate di bahagian hadapan dan belakang, lapisan plastik hitam di sisi dan ground clearance yang tinggi menambahkan pesona jentera in.

    Renault berkata Arkana adalah model penting bagi rancangan Drive the Future, di mana perancangan untuk mengembangkan barisan produk untuk meningkatkan jualan hingga ke lima juta unit disasarkan menjelang tahun 2022.

     
     
  • Syarikat Wika dari Indonesia bakal lancarkan skuter elektrik Gesits pada bulan September di negara itu

    Syarikat Wika dari Indonesia bakal lancarkan skuter elektrik Gesits pada bulan September di negara itu

    Sebuah syarikat dari Indonesia, PT Wijaya Karya (Wika) telah mengumumkan perancangan untuk mengeluarkan 50,000 unit motosikal elektrik dalam tahun ini di negara itu. Perkara ini dilaporkan oleh Jakarta Post, dengan menyatakan model bernama Gesits (Garansindo Electric Scooter ITS) tersebut akan dibina oleh PT Gesits Technologies Indo (GTI) dan dilancarkan pada bulan hadapan.

    Menurut pengarah presiden Wika, Tumiyana, pengeluaran skuter elektrik ini akan ditingkatkan lagi kepada 100,000 hingga 150,000 unit pada tahun hadapan, dan ia akan terus ditingkatkan lagi pada tahun-tahun selepas itu.

    Kuasa yang memacu Gesits datang daripada bateri lithium-ion, dan disalurkan kepada motor elektrik yang berkuasa 5 kW. Bateri itu sendiri boleh dicabut keluar untuk dicas, dan boleh memberikan jarak penggunaan sekitar 80 hingga 100 km dengan sekali cas penuh. Laju maksimum pula adalah 100 km/j.

    Laporan oleh Jakarta Post ini juga menyatakan pek bateri Gesits mempunyai kadar 1,980 kWh, dan ia mengambil masa antara 1.5 hingga tiga jam untuk dicas penuh. Antara kelengkapan lain yang terdapat pada Gesits adalah termasuk lampu siang, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, serta pemerhati sistem bateri melalui aplikasi Android.

    Pada tahun 2016, Gesits telah melepasi ujian ketahanan 1,200 km yang dilakukan dari Jakarta ke Bali, dan sejak itu, beberapa penambahbaikan telah dilakukan kepadanya. Skuter ini akan dikeluarkan di kilang GTI di Cileungsi, Bogor, Jawa Barat, dengan menggunakan 89% alat ganti tempatan Indonesia.

     
     
  • Borgward BX5 versi pemanduan sebelah kanan dilihat

    Kami pernah laporkan tentang jenama Borgward yang khabarnya akan masuk ke pasaran Malaysia September nanti, dengan penawaran dua model iaitu BX5 dan BX7. Terkini, satu gambar papan pemuka dengan pemanduan sebelah kanan muncul di media sosial. Terdahulu, model berkenaan yang dipamerkan adalah dari jenis pemanduan sebelah kiri.

    Daripada gambar berkenaan, kelihatan susun atur dan rekaletak pada bahagian dalaman versi pemanduan kanan (kemungkinan besar untuk pasaran Malaysia) adalah mirip dengan versi yang dipamerkan sebelum ini.

    Antara yang dapat dilihat dengan jelas ialah tempat duduk kulit, sistem penghidup tanpa kunci, paparan multi-info dan brek tangan elektrik dengan fungsi Auto Hold. Beberapa suis kawalan turut terdapat pada bahagian stereng bagi sistem infotainmen dan kawalan cruise.

    Pada model yang dipertontonkan sebelum ini, ia menggunakan enjin 1.8 liter empat-silinder dengan janaan 190 PS dan 280 Nm, dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda. Pilihan enjin 1.4 liter (150 PS dan 250 Nm) turut ditawarkan di China.

    Mei lalu, Go Bremen Motors menandatangani perjanjian dengan Borgward untuk menjalankan pengilangan dan pengedaran model-model jenama itu di Malaysia serta beberapa lagi negara serantau.

     
     
  • Nama Toyota Corolla akan digunakan untuk pasaran global, tidak kira versi mana – ganti Auris di Eropah

    Nama Toyota Corolla akan digunakan untuk pasaran global, tidak kira versi mana – ganti Auris di Eropah

    Sebelum ini, untuk pasaran Eropah, Toyota Corolla Hatchback dikenali sebagai Auris. Tetapi, semua itu akan berakhir; syarikat berkenaan telah umumkan, bermula tahun depan sebaik sahaja model berkenaan masuk pasaran, ia akan dikenali sebagai Corolla Hatchback juga. Sekadar rujukan, Auris berasal dari perkataan Latin “aurum”, yang bermaksud emas.

    Keputusan untuk menamatkan penggunaan nama “Auris” adalah berikutan model baru yang akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), sebagai ganti kepada tiga platform berbeza yang digunakan pada model generasi semasa ketika ini.

    “Kejuruteraan dan falsafah rekaan TNGA memberikan dimensi pembangunan serba baru bagi model-model segmen C generasi seterusnya yang kami hasilkan,” ujar Presiden dan CEO Toyota Motor Eropah, Johan van Zyl.

    Nama Toyota Corolla akan digunakan untuk pasaran global, tidak kira versi mana – ganti Auris di Eropah

    Selain model hatchback, model akan datang dari versi sedan dan wagon bagi Corolla juga akan menggunakan nama yang sama. Versi wagon yang dikenali sebagai Corolla Touring Sports akan diperkenalkan di Paris Motor Show October nanti.

    Bagi model sedan, masih belum didedahkan bila ia akan diperkenalkan, walaupun telah kelihatan banyak spyshot. Tidak kira versi yang mana, Corolla baru itu nanti semuanya turut akan ditawarkan pilihan teknologi hibrid.

    Toyota juga menjelaskan, Corolla telah menjadi nama model paling laris di dunia, dengan 45 juta kenderaan terjual sejak pengenalannya pada 1966. Menggunakan nama itu untuk model-model akan datang tentunya akan memberikan manfaat.

     
     
  • PANDU UJI: Honda HR-V RS 1.8L 2018 – sistem stereng Variable Gear Ratio tingkatkan pengendalian

    PANDU UJI: Honda HR-V RS 1.8L 2018 – sistem stereng Variable Gear Ratio tingkatkan pengendalian

    Pada 12 Julai lalu, Honda Malaysia telah mempertontonkan Honda HR-V facelift 2018 yang turut menampilkan varian baharu, HR-V RS. Malah tempahannya juga telah dibuka dan menurut Honda Malaysia, sehingga kini lebih 2,000 unit tempahan telah diterima. Barisan HR-V facelift 2018 ini juga dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu pada bulan hadapan.

    Sebelum dilancarkan, semalam, Honda Malaysia telah mengundang kami untuk memandu uji model RS yang menjadi varian tertinggi bagi HR-V 2018 ini. Walau pun melibatkan sesi pandu uji dalam tempoh masa kurang 30 minit, dengan merentasi cabaran pemanduan yang disediakan termasuk slalom, namun sekurang-kurangnya, dapat memberikan gambaran awal mengenai pemanduan sporty yang ditampilkan dengan ciri baharu iaitu sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR).

    Dengan adanya VGR pada HR-V 2018, sistem ini dapat menukar nisbah gear dan jumlah sudut stereng secara automatik mengikut kelajuan kenderaan. Apabila jentera dipacu pada kelajuan perlahan, VGR mampu membantu mempertingkatkan respon stereng, memberikan kawalan yang lebih baik sewaktu di selekoh dan secara tidak langsung memberikan rasa pemanduan yang lebih sporty.

    Selain itu, ia juga memberikan kawalan yang lebih baik sewaktu memarkir kenderaan dan juga mengurangkan kepayahan pemanduan serta memberikan lebih keselesaan dalam mengendalikan kenderaan sewaktu dipacu perlahan.

    Namun demikian, apabila jentera dipandu dengan kelajuan yang tinggi, sistem VGR ini membantu mengurangkan risiko oversteer dan memberikan kestabilan pemanduan yang lebih optimum. Bukan itu sahaja, ia juga meningkatkan keyakinan sewaktu mahu mengubah lorong serta mempertingkatkan lagi keselamatan sewaktu pemanduan.

    Apabila menguji HR-V 2018 dengan sistem ini, ternyata ia amat membantu pengendalian yang lebih mantap dan dinamik. Ketika jentera dipacu dalam kelajuan antara 20-50 km/j, ia bertindak lebih menyenangkan pemanduan. Gerakan stereng terasa lebih ‘mesra’, dan juga lebih mudah untuk dikawal. Begitu juga saat membelok dengan selekoh yang sedikit kecil, ia seakan tidak memberikan masalah daripada segi kawalan stereng. Secara automatiknya, VGR akan mengecilkan sudut stereng pada kelajuan yang rendah.

    Karakternya juga berubah apabila kelajuan dipertingkatkan antara 60-70 km/j, kuasa membelok lebih sempurna dan tepat. Malahan ketika dipandu di laluan yang lurus dengan pedal pendikit ditekan sehabis mungkin (full throttle) dan kemudian jentera dibrek mendadak, kawalan stereng masih ‘steady’, malah memang cukup membantu mengurangkan risiko oversteer.

    Bukan itu sahaja, dalam kelajuan yang tinggi, VGR akan meningkatkan sudut stereng untuk mengurangkan sensitif kepada pergerakan yang lebih kecil bagi roda stereng, sekaligus meningkatkan kestabilan dalam pemanduan.

    Selain sistem stereng VGR, varian RS ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan iaitu kamera titik buta Honda LaneWatch, buat pertama kalinya bagi barisan HR-V. Selain itu, ia turut memberikan elemen keselamatan standard termasuk enam beg udara (sebelum ini hanya untuk varian tertinggi sahaja), kamera pandang-belakang pelbagai-sudut, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

    Walau bagaimana pun, penjana kuasa dan transmisinya, ia masih dikekalkan – enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan 142 PS dan 172 NM serta kotak gear CVT dengan pedal penukar gear.

    Bagi penampilan luarannya, tidak banyak perubahan yang dilakukan. Namun ia ditampilkan dengan sedikit kelainan dan sentuhan yang lebih segar serta bergaya. Ia melibatkan bahagian depan dengan beberapa ciri baharu termasuk gril dan bampar rekaan sport, lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED.

    Selain itu, ia turut menampilkan roda lima-jejari dwi-tona 18-inci (model sebelum ini hanya 17-inci) sebagai salah satu elemen baharu. Sementara di bahagian belakang pula, grafik LED baharu bagi lampunya dan jaluran sambungan krom mendatar baharu turut ditampilkan.

    HR-V RS ini juga ditawarkan dengan warna baharu bagi luaran iaitu Passion Red Pearl, juga pertama kali bagi barisan HR-V di Malaysia. Selain itu perincian baharu berwarna gelap turut ditampilkan termasuk pada pemegang pintu, pemegang plat, ambang sisi dan lampu kabus.

    Dalam sesi pandu uji semalam, walau pun kami dapat melihat imej yang terbentang untuk bahagian kabin, namun atas permintaan Honda Malaysia, fotonya masih tidak diberikan ‘lampu hijau’ untuk dipaparkan. Walau bagaimana pun, apa yang boleh kami katakan, ada perubahan yang menarik dilakukan untuk kabin varian RS ini. Kalau nak tahu, kenalah bersabar menantikan pelancarannya kelak. Harga dan barisan varian lain yang ditawarkan juga akan diperincikan setelah ia dilancarkan.

     
     
  • Aisin dan Denso akan berkerjasama bangunkan modul komponen elektrikfikasi – syarikat JV baru pada 2019

    Aisin dan Denso akan berkerjasama bangunkan modul komponen elektrikfikasi – syarikat JV baru pada 2019

    Ini ada dua syarikat yang sinonim dengan komponen-komponen kenderaan sudah umumkan untuk bekerjasama. Aisin Seiki dan Denso Corporation telah sahkan bakal mewujudkan satu syarikat usaha sama baru untuk membangunkan serta menjual modul-modul elektrifikasi pada kenderaan. Kedua-dua syarikat akan mempunyai pegangan 50% di dalam syarikat baru itu, yang dijangka akan dilancarkan pada Mac tahun depan.

    Tumpuan terhadap teknologi elektrifikasi oleh banyak pengeluar dijangka akan meningkatkan permintaan bagi pakej modul pemanduan yang akan disepadukan bersama komponen utama lain seperti gandar, generator motor dan pengubah arus (inverter). Usahasama ini disasarkan untuk mempercepat pembangunan teknologi yang diperlukan itu.

    Kerjasama ini akan menumpukan perhatian terhadap pembangunan modul hibrid, plug-in hybrid, fuel-cell serta EV, yang boleh dipadankan mengikut keperluan prestasi, kos dan peraturan serantau. Pasaran China menjadi tumpuan utama, di mana pasaran untuk kenderaan elektrik dijangka akan tumbuh dengan pesat.

     
     
  • Kerajaan akan kurangkan kadar tol secara berperingkat – Timbalan Menteri Kerja Raya

    Kerajaan akan kurangkan kadar tol secara berperingkat – Timbalan Menteri Kerja Raya

    Hingga kini keputusan untuk menghapuskan atau mengurangkan kadar tol masih belum mendapat kata putus. Walau bagaimana pun, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, sebelum dapat mengurangkan tol secara berperingkat, kerajaan perlu mencari keputusan ‘menang-menang’ dengan syarikat-syarikat konsesi.

    Memetik laporan Bernama, Mohd Anuar berkata, banyak aspek perlu ditimbang termasuk kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat-syarikat konsesi sekiranya tol dikurangkan.

    “Kami kena ambil kira jumlah tol yang ada, ada yang mungkin akan tutup dan ada yang tidak…. namun kami akan memastikan supaya (syarikat-syarikat konsesi) tidak menaikkan harga tol setiap tiga tahun kerana difahamkan mereka perlu menaikkannya untuk tujuan penaiktarafan,” ujar sambil mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi sejak bulan pertama mengambil alih kerajaan.

    Katanya lagi, hasil rundingan awal mendapati mereka (syarikat konsesi) bersetuju untuk memastikan ‘situasi menang-menang’ tercapai sekiranya tol dikurangkan, mereka perlu menerima pampasan atas kerugian mereka.

    Mohd Anuar berkata usaha menghapuskan tol bukannya janji kepada rakyat dalam 100 hari sebaliknya merupakan janji jangka panjang yang perlu dilaksanakan secara berperingkat.

    “Rakyat perlu faham bahawa perkara ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata, namun kami akan cuba untuk mengusahakannya secara berperingkat bagi memastikan beban rakyat dapat dikurangkan,” katanya.

     
     
  • PLUS, Visa lancar projek perintis inisiatif tanpa tunai – R&R Dengkil (arah utara) sebagai lokasi pertama

    PLUS, Visa lancar projek perintis inisiatif tanpa tunai – R&R Dengkil (arah utara) sebagai lokasi pertama

    PLUS Malaysia Berhad dan Visa Malaysia telah bekerjasama untuk menjalankan urusniaga tanpa tunai dengan lebih mudah, pantas dan selamat di kawasan rehat PLUS dengan lokasi pertamanya di R&R Dengkil (arah utara).

    Ia bagi membolehkan pengunjung dan pemegang kad Visa payWave yang berhenti di R&R tersebut membuat transaksi pembayaran tanpa sentuh apabila membuat pembayaran untuk makanan, minuman serta produk lain.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Pelancaran Pembayaran tanpa sentuh menggunakan teknologi Visa payWave bagi kad debit, kredit dan prabayar ini merupakan satu usahasama antara PLUS dan Visa Malaysia untuk mempromosi dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai yang kini diterima secara meluas di seluruh dunia.”

    Tambahnya lagi, dengan purata 62,000 kenderaan yang menggunakan laluan KLIA-Putrajaya setiap hari, sistem pembayaran tanpa sentuh ini dijangka dapat dimanfaatkan oleh orang ramai, khususnya pelancong yang baru mendarat di KLIA. Malahan turut mensasarkan sebanyak 25% daripada keseluruhan transaksi di R&R tersebut akan dilakukan menerusi pembayaran tanpa sentuh dengan Visa.

    “Pengunjung di R&R tersebut juga kini mempunyai pelbagai pilihan mod pembayaran. Rakan-rakan niaga PLUS juga akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini kerana sistem pembayaran tanpa tunai membolehkan mereka menjalankan urusniaga perniagaan mereka dengan kaedah yang lebih mudah, pantas dan selamat. Mereka juga tidak perlu menghadapi masalah penyediaan wang kecil atau kebimbangan untuk menguruskan dan menyimpan jumlah wang tunai yang besar di gerai masing-masing ketika menjalankan urusniaga harian mereka,” jelas Azman.

    Menurut Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon pula, “Kami berasa sangat teruja dengan pencapaian penting ini bersama-sama dengan PLUS, pengendali lebuh raya yang terbesar di Malaysia dan membolehkan penerimaan pembayaran tanpa sentuh ke suatu tahap mobiliti pengguna yang baharu.”

    Sehingga 30 November ini, pemegang kad Visa payWave juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak RM1 bagi setiap pembelian minimum RM2 di kawasan R&R ini.

    “Kami menjangkakan penggunaan Visa payWave seperti ini akan dapat diperluaskan lagi secara berperingkat di kawasan R&R PLUS yang lain,” tambah Azman.

     
     
  • Jaguar Classics sahkan bakal tawarkan E-Type EV

    Jaguar Classics sahkan bakal tawarkan E-Type EV

    Jaguar Classic telah mengesahkan mereka akan menawarkan versi elektrik sepenuhnya bagi model E-Type untuk jualan selepas mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan terhadap model konsep E-Type Zero yang dipertontonkan September tahun lalu.

    Syarikat itu bagaimana pun belum mendedahkan sebarang perincian teknikal mahupun harga bagi E-Type EV, tetapi telah menyatakan bahawa serahan kepada pelanggan akan bermula pada musim panas 2020.

    Jangkaannya, kosnya adalah tinggi memandangkan Jaguar Classic perlu menggunakan badan E-Type lama dan mengubah sistemnya kepada kuasa elektrik. Pemilik sedia ada yang memiliki E-Type juga boleh menghantar kereta mereka untuk mengubah sistem lama kepada EV.

    Kerja-kerja ini akan dilakukan di kemudahan Classic Work di Coventry, UK di mana program restorasi E-Type Reborn sedang dijalankan – yang akan menggunakan sistem janaan kuasa enjin petrol.

    “Kami dihujani dengan reaksi positif terhadap model konsep Jaguar E-Type Zero. Meletakkan teknologi model ke dalam sebuah kereta klasik memberikan pengalaman pemilikan yang berbeza dan satu lonjakan besar buat Jaguar Classic,” ujar Pengarah Jaguar Land Rover Classic, Tim Hanning.

    “E-Type Zero mempamerkan warisan panjang yang ada pada model E-Type, serta ketelitian kerja di Classic Works dan dalam masa yang sama menunjukkan kesungguhan Jaguar Land Rover ke arah mewujudkan kenderaan bersih tanpa pembebasan emisi, termasuk Jaguar Classic,” tambahnya.

    E-Type Zero sebelum ini diasaskan daripada Series 1 E-Type yang menampilkan penggunaan bateri 40 kWh dengan jarak 270 km. Kebanyakan komponen kekal menggunakan yang asal, melainkan sistem janaan yang diwarisi dari model I-Pace.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025