Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Imej bayangan Corolla sedan generasi ke-12 berdasarkan hatchback Auris generasi terkini

    Imej bayangan Corolla sedan generasi ke-12 berdasarkan hatchback Auris generasi terkini

    Toyota Corolla generasi terkini sudahpun didedahkan, namun ia didahului oleh model Corolla hatchback terlebih dahulu, atau pada sesetengah pasaran dikenali dengan nama Auris. Bagi kita di Malaysia, versi sedan Corolla ini tentunya ditunggu-tunggu kerana ini adalah satu-satunya varian badan yang pasti akan sampai ke sini.

    Jadi, pakar rendering kami, Theophilus Chin telah pun menghasilkan imej bayangan model berkenaan berdasarkan versi hatchback Corolla tersebut, yang mungkin akan menyerupai model sebenar nanti. Menerusi imej ini, Theo membayangkan model sedan berkenaan masih lagi menggunakan muka tajam yang sama seperti varian hatchback berkenaan.

    Manakala pada bahagian belakang pula, ia ditambah dengan but lebih panjang bersama lampu berbentuk-L yang lebih sesuai dengan bentuk sebuah sedan. Hasilnya, Corolla generasi baharu bayangan artis ini menampilkan rupa yang jauh lebih kacak dari Corolla Altis tempatan generasi sedia ada.

    Imej bayangan Corolla sedan generasi ke-12 berdasarkan hatchback Auris generasi terkini

    Pada model sebenar Auris/Corolla hatchback, ia diberikan papan pemuka dengan rekaan seakan SUV Toyota C-HR – menampilkan skrin infotaimen berdiri sendiri, konsol tengah yang lebih lebar dan panjang, serta kemasan gabungan matte silver dan piano black. Seperti juga C-HR, Corolla berkenaan turut diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dengan titik graviti yang lebih rendah dari sebelum ini.

    Bagi pilihan janakuasa pula, Auris ditawarkan sama ada dengan enjin 1.2 liter turbo petrol, 1.8 liter hibrid dan juga 2.0 liter hibrid. Manakala untuk Corolla Hatchback pada pasaran Amerika Syarikat, ia hanya hadir dengan enjin tunggal 2.0 liter Dynamic Force, digandingkan sama ada dengan kotak gear manual enam kelajuan atau transmisi Direct Shift CVT baharu yang lebih responsif dengan bantuan launch gear.

    Jadi boleh dijangka, pilihan enjin-enjin dari Auris/Corolla hatckback tersebut akan dibawa ke versi sedan. Namun tidak mustahil juga Toyota akan menggunakan kembali enjin 1.8 liter dan 2.0 liter Dual VVT-i yang diambil dari model Altis sedia ada.

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Jalan bertingkat di Lebuhraya Sprint/Jalan Maarof siap Jun 2020 – sepanjang 1,340 meter, kos RM211 juta

    Jalan bertingkat di  Lebuhraya Sprint/Jalan Maarof siap Jun 2020 – sepanjang 1,340 meter, kos RM211 juta

    Jalan raya bertingkat dari persimpangan Lebuhraya Sprint/Jalan Maarof menghala ke Jalan Semantan bakal mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan dan dijangka boleh beroperasi pada Jun 2020.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, jalan sepanjang 1,340 meter yang mempunyai aliran tiga lorong dan satu hala secara bertingkat itu mampu memendekkan perjalanan ke Pusat Bandar Damansara. Malah ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di sekitar kawasan itu, laporan Bernama.

    Projek pembinaan yang melibatkan kos sebanyak RM211 juta ini turut mendapat pembiayaan RM130 juta dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini turut meliputi skop menaik taraf jalan sedia ada, kerja-kerja tanah dan pengukuhan cerun, menyediakan laluan pejalan kaki dan pembinaan longkang yang dapat memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

    “Projek ini merupakan inisiatif DBKL bagi menyediakan keselesaan dan kelancaran perjalanan kepada pengguna jalan raya khasnya. Kami sedia maklum akan pembangunan pesat di kawasan Pusat Bandar Damansara yang menyebabkan keperluan bagi menaik taraf rangkaian jalan sedia ada bagi menampung trafik keluar masuk dari dan ke Pusat Bandar Damansara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jalan Raya Bertingkat tersebut hari ini.

     
     
  • Honda CB150 Verza dilancar di Indonesia – RM5,500

    Honda CB150 Verza dilancar di Indonesia – RM5,500

    Pasaran motosikal di Indonesia menerima model baru daripada Honda iaitu CB150 Verza. Walaupun menggunakan nama CB di hadapannya, model ini dilihat kurang sporty dan dijadikan lebih mampu milik kepada pengguna kerana menggunakan enjin, transmisi serta kelengkapan yang berbeza.

    Enjin yang memacu CB150 Verza ini adalah unit satu silinder SOHC 150 cc, dengan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI dan penyejukan udara, dan ia dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 13.04 PS pada 8,500 rpm dan 12.73 Nm pada 6,000 rpm.

    Model ini mempunyai penampilan yang lebih ringkas dengan di depannya tidak mempunyai sebarang fairing, dan cuma ada lampu bulat nyalaan halogen. Kedudukan tunggangan yang disediakan pula adalah lebih tegak, seperti Yamaha FZ150i yang lebih terkenal di negara kita dan tempat duduknya lebih rata.

    Honda CB150 Verza dilancar di Indonesia – RM5,500

    Di bahagian hadapan roda, terdapat brek cakera, angkup dua piston serta fork teleskopik, manakala di belakang pula hanya menggunakan brek dram bersama dua penyerap hentakan. Untuk rim, kedua-dua bahagian menggunakan unit 17 inci dengan masing-masing tayar 80/100 di hadapan dan 100/90 di belakang.

    CB150 Verza ditawarkan dalam dua jenis iaitu yang didatangkan dengan rim sports, dan juga versi rim jejari. Harganya pula bermula 19.355 juta rupiah (sekitar RM5,500). Berat keseluruhan motosikal ini adalah 129 kg dan didatangkan dengan tangki bahan api 12.2 liter.

     
     
  • Grab sah ambil alih perniagaan Uber di Asia Tenggara – Uber kekalkan 27.5% pegangan kepentingan

    Grab sah ambil alih perniagaan Uber di Asia Tenggara – Uber kekalkan 27.5% pegangan kepentingan

    Nampaknya berita pengambil-alihan operasi Uber di Asia Tenggara oleh Grab kini bukan lagi desas-desus. Grab dengan secara rasminya telah mengumumkan perkembangan terbaru itu; operasi Uber dan Uber Eats selepas ini akan disepadukan di dalam platform Grab sedia ada.

    Sebagai sebehagian daripada aspek pengembil alihan berkenaan, Uber diberikan pegangan kepentingan sebanyak 27.5% di dalam Grab dan CEO Uber, Dara Khosrowshahi akan menyertai lembaga pengarah Grab. Penggabungan ini bakal menyaksikan Grab akan menjadi platform nombor satu bagi perkhidmatan ride-hailing dan penghantaran makanan atas talian di rantau ini.

    Untuk mencapainya, Grab akan memperkembang perniagaan GrabFood di Indonesia dan Thailand kepada dua lagi negara – Singapura dan Malaysia – berikutan penggabungan dengan Ubar Eats. Menjelang separuh pertama 2018, GrabFood akan beroperasi di semua negara utama rantau Asia Tenggara.

    Bagi sektor pengengkutan, Grab sedang mempertimbang untuk menawarkan kaedah pengangkutan yang setempat dan penyelesaian mobiliti lain, sebagai contoh melalui GrabCycle dan GrabShuttle Plus. Perkhidmatan kewangan Grab Financial juga akan diperkemas, dengan fungsi GrabPay disasar untuk ditawarkan ke semua negara rantau ini menjelang akhir tahun.

    Aplikasi Uber akan terus beroperasi selama dua minggu, sementara Uber Eats akan beroperasi hingga hujung Mei. Ini bagi membolehkan perpindahan lancar bagi pemandu-pemandu Uber kepada platform Grab, begitu juga memudahkan pelanggan Uber Eats serta rakan kongsi pernigaan sedia ada.

    Grab juga menyatakan bahawa mereka komited untuk bekerja sama dengan pihak berkuasa tempatan berhubung penggabungan itu. “Kami berbesar hati kerana syarikat yang dilahirkan di Asia Tenggara telah mempunyai platform terbesar dengan jutaan pelanggan menggunakannya setiap hari. Ia juga menyediakan peluang pendapatan kepada lebih 5 juta orang. Pengambil alihan ini menandakan permulaan era baru bagi rantau ini,” jelas CEO Grab, Anthony Tan dalam satu kenyataan.

     
     
  • MRT perlu capai 250,000 penumpang sehari untuk catat pulangan modal – Timbalan Menteri Kewangan

    MRT perlu capai 250,000 penumpang sehari untuk catat pulangan modal – Timbalan Menteri Kewangan

    Bagi mencatatkan pulangan modal, projek Transit Aliran Massa (MRT) perlu mencapai sekurang-kurangnya 250,000 sehari. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, buat masa ini MRT telah mencapai antara 130,000 hingga 140,000 penumpang sehari, laporan Bernama.

    “Projek MRT merupakan projek jangka panjang dan bukanlah sebuah projek yang boleh memperoleh pulangan pelaburan dan pulangan modal dalam masa yang singkat. Kita menjangkakan, apabila projek MRT, projek perumahan dan komersial telah siap sepenuhnya, kita akan dapat mencapai hasrat dan sasaran untuk ‘breakeven'(mencatat pulangan modal),” ujar Othman.

    Kenyataan beliau itu adalah bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin tahu punca pendapatan MRT untuk menanggung kos keseluruhan projek pembinaan MRT, di Dewan Rakyat hari ini.

    Tambahnya lagi, setakat ini terdapat enam stesen yang belum diguna pakai sepenuhnya iaitu Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kampung Selamat, Sungai Buloh, TRX dan Merdeka 118 kerana projek-projek tersebut masih belum siap sepenuhnya.

    Othman turut menjelaskan bahawa kos keseluruhan projek pembinaan MRT laluan 1, 2 dan 3 mencecah sehingga RM100 bilion.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Pusingan akhir Toyota Gazoo Racing Malaysia 2018 sampai ke penghujungnya semalam, dan perlumbaan Vios Challenge yang merupakan aktiviti utama dalam acara tersebut menyajikan aksi menarik untuk 20,000 penonton yang hadir ke Technology Park Malaysia (TPM) Sungai Besi, Kuala Lumpur.

    Setelah sesi kelayakan dijalankan pada hari Sabtu, hari Ahad pula melibatkan dua pusingan perlumbaan untuk setiap kategori. Satu pusingan lengkap litar TPM ini mempunyai sembilan selekoh dan keseluruhannya mempunyai jarak 1.724 km.

    Kategori Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Dalam perlumbaan pertama kategori ini, saingan sengit dapat dilihat bermula dari awal, terutamanya di kelompok hadapan antara Brendan Paul dari pasukan Dream Chaser dan Brendon Lim dari pasukan Tedco Racing. Lim pada awalnya tidak berpuas hati dengan tempat kedua, lalu berusaha sebaik mungkin untuk memotong Paul.

    Walaubagaimanapun, disebabkan terlalu memaksa, Lim telah melanggar tembok di selekoh 3, dan menjarakkan lagi kedudukan antara beliau dan Paul. Selain pada panel badan, tiada kerosakan teruk pada kenderaan Lim, tetapi beliau memutuskan untuk berlumba secara selamat dan tidak terlalu agresif.

    Perlumbaan pertama kategori Sporting ini juga hanya menyediakan cabaran dalam masa pendek kerana selepas beberapa pusingan, safety car telah keluar kerana kereta Shanmuganathan Arumugam yang kemalangan perlu dikeluarkan dan litar perlu dibersihkan. Akhirnya, Paul kekal di tempat pertama, kemudiannya diikuti Lim, Tam Wei Han dan Kenneth Koh.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Perlumbaan kedua dimulakan dengan kedudukan sama di kelompok hadapan seperti perlumbaan pertama tetapi Lim berjaya memotong Paul di selekoh pertama. Tidak sampai satu pusingan, Paul mendapat peluang untuk memotong kembali Lim, dan terus mendahului perlumbaan sehigga penamat.

    Di kelompok belakang, terdapat juga sedikit drama apabila Datuk Ken Foo diberikan amaran kerana menghalang Wong Chin Eeg untuk memotong demi mempertahankan kedudukan keenam beliau. Walaubagaimanapun, Wong berjaya memotong dengan bersih manakala Ken terus terkebelakang dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.

    Kategori Promotional

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Walaupun kategori ini melibatkan para selebriti, aksi perlumbaan yang ditunjukkan tidak kurang hebatnya. Dalam perlumbaan pertama, Shukri Yahya memulakan perlumbaan di tempat pertama, dan diikuti oleh Shawn Lee. Saingan di antara mereka berdua terus sengit sepanjang perlumbaan, sehinggalah pada pusingan kelapan, Shawn berjaya memotong Shukri di selekoh terakhir.

    Dalam pusingan yang berlangsung lancar tanpa sebarang bendera kuning atau merah ini, Diana Danielle turut menunjukkan kehebatan apabila dapat menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, sekaligus meletakkan seorang selebirit perempuan di atas podium, yang mana ia jarang sekali berlaku.

    Dalam perlumbaan kedua, sekali lagi saingan hebat antara Shukri dan Shawn dapat dilihat. Walaupun Shawn memulakan perlumbaan di tempat pertama, semasa selekoh kedua Shukri sudah berjaya memintas Shawn, dan terus menjarakkan diri dari seluruh pelumba lain.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Turut menunjukkan kehebatan adalah Fattah Amin apabila beliau berjaya merebut tempat ketiga daripada Diana. Selepas itu juga, Shawn didapati menghadapi masalah dengan kenderaan apabila dikatakan tidak dapat menggunakan gear 3 dan membuatkan beliau semakin perlahan.

    Ini kesudahannya memberi peluang kepada Fattah untuk memintas Shawn, dan kemudiannya diikuti oleh Diana. Disebabkan jarak antara Janna Nick agak jauh, Shawn masih dapat menamatkan perlumbaan di tempat keempat, tetapi sudah cukup untuk menjadikan beliau sebagai juara keseluruhan musim ini.

    Kategori Super Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Dalam kategori ini, penonton mengharapkan banyak aksi tapi ternyata pelumba profesional yang terlibat mempunyai strategi masing-masing. Tengku Djan sebagai contoh, sekadar mempertahankan kedudukan keenam sepanjang perlumbaan selepas memotong Syafiq Ali kerana dalam kategori ini, enam tempat teratas akan diterbalikkan untuk perlumbaan kedua.

    Tempat pertama pula dikuasai oleh William Ho, diikuti oleh Kenny Lee sehingga tamat perlumbaan. Di tempat ketiga adalah Wong Yew Choong, tetapi beliau diikut rapat oleh Ser Meng Hui sepanjang perlumbaan. Meng Hui menunjukkan semangat untuk memintas Wong, dan akhirnya berjaya melakukannya pada pusingan akhir.

    Walaubagaimanapun, penguatkuasa perlumbaan memutuskan pintasan tersebut dilakukan secara tidak selamat dan mengenakan penalti kepada Meng Hui. Walaupun perlumbaan berakhir dengan Meng Hui di tempat ketiga, keputusan penuh meletakkan beliau di tempat keempat.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 Finale – peserta lumba habis-habisan, beri aksi menarik untuk tontonan

    Masuk ke perlumbaan kedua, Djan memulakan perlumbaan di tempat pertama, diikuti oleh Mark Darwin, dan kedua-duanya terus menjarakkan diri daripada pelumba lain sehingga tamat. Perlumbaan kedua ini menyaksikan William Ho pula bertindak agresif untuk memotong Ser Meng Hui.

    Dalam satu percubaannya, William telah melanggar kereta Meng Hui sehingga berpusing, lalu memotong dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Walaubagaimanapun, penguatkuasa perlumbaan mendapati William melakukan kesalahan, dan beliau diturunkan sebanyak dua tangga, dan akhirnya diber tempat kelima untuk keputusan akhir.

    Untuk keseluruhan siri perlumbaan, Tengku Djan dinobatkan sebagai juara, dan beliau membawa pulang hadiah sebuah Toyota Vios. Hadiah sama turut diberi kepada pemenang kategori Sporting iaitu Brendan Paul, manakala pemenang kategori Promotional, Shawn Lee, membawa pulang trofi.

    Kedudukan keseluruhan kategori Sporting

    1. Brendan Paul Anthony
    2. Brendon Lim Boon Yew
    3. Kenneth Koh Keik Lun
    4. Tam Wei Han (Patrick Tam)
    5. Foo Kwok Hsing (Ken KH Foo)
    6. Wong Chin Eeg
    7. Tan Siew Chong (Jackson)
    8. Clement Yeo Ing Chai
    9. Frederick Soo Wei Keong
    10. Teoh Khai Lin
    11. Lim San For (Andrew)
    12. Goh Eng Peng
    13. Adzeem Eqwan Adnan
    14. Ng Hon Leong
    15. Tan Seng Lock (Ricky)
    16. Goh Kian Sin
    17. Shanmuganathan A/L Arumugam
    18. Tan Su Tiek
    19. Geraldine Darlene Read
    20. Goh Chok Tong
    21. Eric Yong

    Kedudukan keseluruhan kategori Promotional

    1. Shawn Lee Jen Xian
    2. Mohd Shukri Yahaya
    3. Koo Kar Kin (Danny Koo)
    4. Fattah Amin
    5. Akio Takeyama
    6. Diana Danielle Danny Beeson
    7. Gan Hwee Peng (Geraldine Gan)
    8. Nurul Jannah Muner (Janna Nick)
    9. Venice Tan Hoay Min (Venice Min)
    10. Masaaki Murata

    Kedudukan keseluruhan kategori Super Sporting

    1. Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel
    2. Ho Wil Liam (William Ho)
    3. Wong Yew Choong (Boy Wong)
    4. Shafiq Ali
    5. Ser Meng Hui
    6. Mark Darwin A/L Partap Singh
    7. Kenny Lee Wan Yuen
    8. Mitchell Cheah Min Jie (Mitchell Cheah)
    9. Keifli Othman
    10. Siow Moon Yeow (Rocky Siow)
    11. Vincent Ng @ Huang
    12. Akina Teo Chai Yong (Akina Teo)
    13. Freddie Ang Ding Yu
    14. Ong Chee Yong
    15. Dato Mohd Nasri Md Said
    16. Lim Chun Beng
    17. James Veerapen

     
     
  • BMW iX3 Concept diperkenal di Beijing Motor Show?

    BMW iX3 Concept diperkenal di Beijing Motor Show?

    SUV janaan-elektrik akan datang dari BMW, iX3, dilaporkan bakal membuat penampilan dalam bentuk konsep di Beijing Motor Show tahun ini. Ia diumumkan oleh pengeluar kereta berkenaan dalam sidang media akaun tahunan baru-baru ini bahawa model konsep iX3 akan menjadi kenderaan yang diperkenalkan tahun ini. Lain-lain termasuklah iNEXT dan i4 (diprebiu sebagai i Vision Dynamic).

    Berdasarkan spyshot bagi iX3, ia tampil berdasarkan model semasa G01 X3, walau pun kelihatan beberapa perubahan dalam bentuk visual bagi kenderaan janaan-elektrik ini. Setakat ini, tiada perincian didedahkan mengenai penjana kuasa elektrik yang bakal dipadankan pada iX3 ni, termasuklah prestasinya.

    BMW sedang mengatur langkah yang lebih agresif untuk kereta elektrik pergi lebih jauh, dan iX3, iNEXT dan i4 antara model yang berada dalam perancangan. “Saya mempunyai matlamat yang jelas untuk mobiliti yang mampan: Lebih daripada 140,000 kenderaan elektrik dijual pada tahun ini. Dengan jumlah keseluruhan mencecah setengah juta bagi kenderaan elektrik dan plug-in hybrid berada di jalan raya menjelang akhir tahun 2019,” ujar Harald Krüger, pengerusi lembaga jemaah pengurusan bagi BMW AG.y.

    Pengeluar kereta itu juga telah memiliki trademark mereka sendiri dari iX1 hingga iX9, jadi terdapat beberapa ruang kosong dalam barisan kenderaan sebegitu. Secara keseluruhannya, Krüger berkata, akan terdapat “25 model elektrik, 12 daripadanya adalah elektrik sepenuhnya, menjelang 2025.”

    GALERI: Spyshot BMW iX3

     
     
  • Proton Savvy18 – perincian rekaan dalaman ditunjuk

    Proton Savvy18 – perincian rekaan dalaman ditunjuk

    Sebelum ini, kita pernah saksikan rekaan Proton Savvy18, sebuah rekaan konsep lanjutan bagi model kereta kompak berkenaan yang dibayangkan semula oleh pereka asalnya, Saharuddin Busri yang kini bertugas di Pusat Rekaan MIMOS.

    Jangan tersilap; ia memang bukan rekaan rasmi dari Proton. Sebaliknya, imej atau rekaan yang hasilkan itu bertujuan untuk menunjukkan kemampuan penghasilan rekaan indsutri dan automotif yang mampu dilakukan di MIMOS.

    Selepas rekaan luaran keseluruhan serta perincian pada bahagian lampu depan dan belakang ditunjukkan, rekaan konsep secara digital ini kini melangkah setapat lagi ke hadapan. Kali ini beliau tampilkan pula perincian rekaan ruang dalaman bagi Savvy18 sebelum ini.

    Proton Savvy18 – perincian rekaan dalaman ditunjuk

    Secara umum, rekaan yang dihasilkan ini banyak menggunakan atau mewarisi elemen dari rekaan asal yang ada pada Savvy lama. Ini mungkin dapat dilihat pada rekaan umum papan pemuka yang digunakan, misalnya masih mengekalkan corong pendingin hawa bulan (serta lekuk dibahagian atas).

    Bahagian papan pemuka yang hampir pada cermin depan pula tampil dengan tekstur permukaan dengan rekaan yang lebih ketara, dengan “terowong” di tengahnya. Selain itu, kemasan krom ada juga digunakan untuk menghiasi hujung corong pendingin hawa; corong yang dihujung mempunyai lanjutan krom yang dibawa ke tengah.

    Skrin yang terletak dibahagian tengah papan pemuka itu juga nampak besar (nampak macam skrin sentuh moden). Ini diikuti dengan dua tombol bulat di bawahnya, kemungkinan besar sebagai kawalan kepada sistem pendingin hawa yan digunakan itu.

    Bagi stereng pula, ia nampak lebih besar, dengan balutan material seperti kulit sekali dengan jahitan luar. Kemasan krom sekali lagi digunakan sebagai padanan; kali ini pada tiga jejari stereng. Logo di tengah pula hanya menggunakan angka 18.

    Proton Savvy18 – perincian rekaan dalaman ditunjuk

    Paparan meter pula, masih menggunakan rekaan analog yang mengapit skrin paparan maklumat pemanduan digital yang lebih kecil di tengahnya. Sekali lagi, elemen rekaan lengkung digunakan padanya, serta kemasan krom sebagai penyeri pada bahagian hujung yang jelas kelihatan.

    Tombol gear pula hadir dengan rekaan yang lebih futuristik. Rekaan beralun digunakan untuk permukaanya, termasuk pada bahagian dasar atau tapaknya. Dua tombol di bawah skrin utama juga tampil dengan imej lebih futuristik – dengan penggunaan cahaya biru muda. Butang merah di bawahnya pula kelihata seperti butang Start/Stop, atau mungkin saja sebagai fungsi lain.

    Rekaan luar dan pernah tengok, begitu juga dengan perincian rekaan lampunya dan sekarang ini, perincian rekaan pada ruang dalaman pula ditunjukkan. Apa pandangan anda tentang perkara ini, Savvy18 cukup menarik untuk ganti model lamanya?

     
     
  • GALERI: Trak Mack Super-Liner custom Kesultanan Johor dipamerkan di Malaysia Bike Week (MBW) 2018

    GALERI: Trak Mack Super-Liner <em>custom</em> Kesultanan Johor dipamerkan di Malaysia Bike Week (MBW) 2018

    Selain dari Ford F-650 Supertruck, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut membawa sebuah lagi kenderaan gergasi miliknya iaitu ‘kepala lori’ Mack Super-Liner yang telah diubahsuai dengan pelbagai ciri mewah.

    Trak sebegini lazimnya digunakan pada jalan raya di Amerika Syarikat, namun tahukah anda trak Mack ini sebenarnya adalah keluaran syarikat dari Australia? Mack Super-liner milik Sultan Johor ini ditempah sendiri oleh baginda di Mack Trucks Australia, dan dilengkapi dengan sistem suspensi udara Primaax RADD-A4P bersama kabin tempat tidur custom berukuran 2,260 mm.

    Dengan badan jauh lebih panjang dan besar dari ‘kepala lori kontena’ tempatan seperti Volvo siri FM dan sebagainya, trak Mack Superliner ini dijana enjin turbodiesel enam-silinder sebaris MP10 16.1 liter berkuasa 685 hp dan tork maksima setinggi 3,150 Nm. Kuasa tersebut dipindahkan ke kotak gear mDrive manual automated 12-kelajuan, sebelum memacu enam roda di belakang.

    GALERI: Trak Mack Super-Liner <em>custom</em> Kesultanan Johor dipamerkan di Malaysia Bike Week (MBW) 2018

    Untuk melengkapkan trak khas hanya untuk Kesultanan Johor ini, ia diserahkan ke Viking Trucks bagi menyiapkan warna badan bahagian luarnya. Superliner custom bberkenaan diberikan cat mutiara lapan lapisan, dengan tiga lapis corak rekaan airbrush, dan diakhiri dengan enam lapisan clear coat.

    Motif rekaan airbrush adalah bertemakan Johor dengan tiga warna utama – merah, biru, putih – serta imej ‘Harimau Selatan’ yang turut menyerlahkan imej korporat pasukan bola sepak kendalian Tengku Mahkota Johor iaitu Johor Darul Takzim (JDT). Secara tidak langsung, warna tersebut turut membuatkan kepala lori ini kelihatan seperti ketua Armada Autobot, Optimus Prime.

    Walau bagaimanapun, pada pameran kali ini, bahagian kabin lori tersebut tidak di buka kepada umum. Namun menerusi laporan sebelum ini, kabin Mack berkenaan diberikan upholsteri balutan kulit yang diimport dari Afrika Selatan, manakala logo DiRaja Johor yang disulam pada tempat duduknya menggunakan jahitan benang emas sebenar.

    Selain itu, trak ini turut dilengkapi dengan lantai kayu Jarrah, dua televisyen, dua iPads serta konsol permainan Xbox dan Playstation 4. Bampar belakang buatan tangan lori ini pula menyorokkan panel-panel alatan elektrik.

     
     
  • Aplikasi mobile BMW Group Loyalty+ diperkenalkan

    Aplikasi mobile BMW Group Loyalty+ diperkenalkan

    BMW Group Malaysia telah memperkenalkan sebuah aplikasi mudah alih, dikenali sebagai BMW Group Loyalty+ untuk kegunaan pelanggannya. Aplikasi ini membolehkan pemegang keahlian BMW White Card, Mini Black Card dan BMW Exellence Club untuk mengakses keistimewaan mereka dari mana-mana sahaja.

    Aplikasi bagi pemegang kad kesetiaan itu juga merangkumi perkhidmatan seperti integrasi e-bayaran, perkhidmatan pembiayaan dan akses kepada acara istimewa untuk kemudahan ahlinya.

    “Dengan aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+, kami mahu menawarkan produk serta perkhidmatan digital supaya hubungan yang lancar dapat diwujudkan dengan semua pelanggan kami. Ini sejajar dengan reputasi kami sebagai peneraju digitalisasi dalam industri automotif premium.” ujar Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

    Terdapat beberapa fungsi pilihan pada aplikasi ini seperti akses kepada kad kesetiaan dan penggunaan teknologi imbasan QR. Ini membolehkan pelanggan menggunakan kad kesetiaan mereka terus dari peranti mudah alih atau telefon pintar.

    Selain itu, maklumat pembiayaan pengguna juga boleh diuruskan dengan mudah dan cepat melalui aplikasi ini. Pelanggan akan mempunyai capaian segera terhadap semua kontrak mereka dan transaksi boleh dilakukan dengan mudah melalui e-bayaran, kemudahan pembayaran oleh BMW Group Financial Services Malaysia.

     
     
  • Operasi Uber di Asia Tenggara sah dijual kepada Grab

    Operasi Uber di Asia Tenggara sah dijual kepada Grab

    Menurut sebuah laporan oleh Bloomberg, Uber mengesahkan syarikat itu akan menjual operasi bahagian Asia Tenggaranya kepada Grab, dengan persetujuan dan nilai yang akan diumumkan minggu ini. Dengan ini, Uber meneruskan keputusannya untuk keluar dari beberapa pasaran utama – sebelum ini di China dan Russia.

    Ia akan melibatkan keseluruhan operasi yang dikenalikan oleh syarikat itu, termasuk Uber Eats dirantau ini dan pegangannya juga hanya pada kadar 25%-30% di dalam gabungan perniagaan baru yang akan dibentuk nanti.

    Uber telah mencari jalan untuk memperkemas kedudukan kewangannya sebelum dibuka untuk penawaran umum tahun depan, dan telah menarik diri dari pasaran seperti Asia Tenggara akan melonjakkan keuntungan bagi syarikat yang telah menghabiskan US$10.7 bilion (RM42 bilion) sejak ia ditubuhkan sembilan tahun lalu.

    Sementara itu, pengasas bersama dan CEO Grab, Anthony Tan berkata, perjanjian itu nanti akan mengakhiri persaingan untuk menjadi pendahulu bagi pasaran perkhidmatan ride-hailing di Asia Tenggara. Diramal akan mencapai US$20.1 bilion (kira-kira RM78 bilion) menjelang 2025, Uber dan Grab sebelum ini telah bersaing untuk mengawal pasaran di seberapa banyak kota-kota utama di rantau ini, dengan kadar penduduk seramai 620 juta orang.

    Grab asalnya bermula sebagai aplikasi ride-hailing bagi teksi di Kuala Lumpur pada 2012, dan sejak itu telah berkembang menjadi perkhidmatan ride-hailing paling popular di rantau ini dengan sejumlah US$4 bilion (RM15 bilion) telah berjaya dikumpul daripada pelabur. Ia beroperasi di 190 kota di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

     
     
  • GALERI: Ford F-650 Supertruck milik Sultan Johor

    GALERI: Ford F-650 Supertruck milik Sultan Johor

    Dari 23 haribulan hingga 25 haribulan lalu, acara Malaysian Bike Week (MBW) 2018 telah dilangsungkan di MAEPS, Serdang. Sempena perhimpunan motosikal tersebut, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bermurah hati untuk mempamerkan sebahagian kecil koleksi motosikal dan juga kenderaan eksotik miliknya, antaranya trak gergasi Ford F-650 Supertruck yang anda lihat pada galeri ini.

    Tidak banyak maklumat yang kami perolehi berkenaan trak tersebut, melainkan maklumat bahawa ia adalah model tahun 2009, dan dijana enjin turbodiesel enam-silinder dari Cummins dengan kapasiti 6.7 liter, digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan dari Allison. Tidak diketahui enjin Cummins tersebut sudah diubahsuai atau tidak, namun dalam keadaan standard ia mampu menghasilkan 355 PS dan tork maksima 881 Nm.

    GALERI: Ford F-650 Supertruck milik Sultan Johor

    Di Amerika, trak F-650 ini dihasilkan dalam pelbagai versi badan seperti pikap single cab atau double cab dan pelbagai lagi mengikut kesesuaian kegunaannya. Manakala unit milik Sultan Ibrahim ini adalah dari versi custom enam-pintu, dan diberikan pelbagai ciri tingkat taraf lain sebagai sebuah kenderaan mewah, dan bukan untuk komersial.

    Antara ciri khas yang ditampilkan pada Supertruck milik baginda ini adalah grafik luaran custom dengan warna biru-putih, aksesori-aksesori krom, dan juga rim dengan diameter 22.5-inci, dibaluti tayar 425/65R22.5 – tayar ini sahaja lebih kurang sama besar dengan kebanyakkan lori biasa di negara kita, betul.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 – permukaan litar tidak rata TPM beri cabaran tambahan kepada pelumba

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 – permukaan litar tidak rata TPM beri cabaran tambahan kepada pelumba

    Hujung minggu ini, Festival Toyota Gazoo Racing 2018 pusingan keempat berlangsung di Technology Park Malaysia (TPM), Sungai Besi, dan aksi lebih mendebarkan dalam perlumbaan Vios Challenge Malaysia esok dapat dijangka. Dikatakan sebegitu kerana dalam pusingan kelayakan yang berakhir sebentar tadi, pelbagai aksi sudah boleh dilihat.

    Bagi yang mengikuti siri perlumbaan ‘one-make’ yang menggunakan Toyota Vios 1.5 liter ini, anda pasti sudah tahu, kebanyakan litar sebelum ini sudah cukup mencabar dengan ruang yang sempit dan selekoh-selekoh tajam. Pada pusingan sebelum ini, ia lebih mengujakan apabila hujan turun.

    Dalam pusingan keempat di TPM ini juga, keadaan litarnya hampir sama, tetapi peserta berhadapan dengan cabaran tambahan, iaitu permukaan yang beralun dan licin di beberapa bahagian. Dalam pusingan kelayakan ini sahaja sudah ada beberapa peserta yang kemalangan kerana kenderaan dipandu melebihi tahap cengkaman.

    Bagi setiap kategori, masa yang diberikan untuk sesi kelayakan adalah 30 minit, dan setiap pelumba perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencatat masa terpantas demi mendapatkan petak permulaan yang terbaik untuk hari perlumbaan sebenar esok.

    Dalam kategori Sporting, sesi kelayakan berjalan dengan tenang kerana setiap pelumba pandai menjarakkan diri supaya tidak terganggu untuk mencatat masa terpantas. Sebaik berakhir, Brendan Anthony, iaitu pelumba pasukan Dream Chaser yang mendapat tempat kedua semasa perlumbaan di Johor Bahru berjaya mencatat masa terpantas, 1 minit 17.91 saat.

    Tidak jauh di belakang beliau adalah Brendon Lim dari pasukan Tedco Racing dengan catatan masa 1 minit 18.107 saat manakala di tempat ketiga adalah Tam Wei Han dari pasukan Nanoplus dengan catatan masa 1 minit 18.355 saat.

    Sesi kelayakan kedua adalah untuk kategori Promotional, iaitu yang melibatkan selebriti terkenal. Pelumba dalam kategori ini cuma ada sembilan orang, tetapi tidak kurang sengitnya kerana ada beberapa selebriti yang cukup hebat setelah melalui kelas perlumbaan yang dianjurkan sebelum ini.

    Selepas hampir 15 minit sesi kelayakan berlangsung, Geraldine Gan hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandu dan telah melanggar tembok. Beliau hanya dapat melengkapkan sembilan pusingan dan catatan masa beliau berada di tangga terbawah dan akan memulakan perlumbaan esok di tempat terakhir.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 – permukaan litar tidak rata TPM beri cabaran tambahan kepada pelumba

    Masa paling pantas berjaya dicatat oleh Shukri Yahaya, iaitu 1 minit, 18.268 saat, dan beliau diikuti rapat oleh Shawn Lee yang mencatat 1 minit 18.708 saat. Mengejutkan untuk pusingan kali ini, Diana Danielle berjaya mencatat masa ketiga terpantas, iaitu 1 minit 19.867 saat. Menurut beliau, kehadiran suami serta anak yang hadir buat kali pertama juga membantu memberi beliau lebih semangat.

    Dalam kategori Super Sporting, Tengku Djan cuma melengkapkan dua pusingan dalam sesi kelayakan dan masa terpantas meletakkan beliau di petak perlumbaan ketujuh. Pemenang pusingan di Johor Bahru, William Ho sekali lagi menunjukkan kehebatan apabila berjaya mencatat masa terpantas iaitu 1 minit 16.155 saat, dan akan memulakan perlumbaan esok di petak pertama.

    Petak perlumbaan kedua bakal diisi oleh Kenny Lee, yang mencatat masa 1 minit 16.351 saat hari ini, dan di belakang beliau adalah Wong Yew Choong dari pasukan ST Wangan yang mencatat 1 minit 17.039 saat. Safiq Ali, yang sebelum ini berjaya mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan di Johor Bahru bakal memulakan perlumbaan esok di TPM di tempat keenam.

    Untuk orang awam, anda masih berpeluang melihat sendiri aksi perlumbaan Vios Challenge Malaysia ini esok di TPM, dan aktiviti di litar akan bermula seawal jam 10 pagi. Bagi mereka yang berada jauh dari Lembah Kelang dan Kuala Lumpur, anda juga boleh menyaksikan siaran langsung perlumbaan di pusat pameran Toyota. Selain perlumbaan pelbagai aktiviti lain turut disediakan seperti pandu uji kenderaan terbaru Toyota dan konsert oleh artis terkenal.

     
     
  • Program pemutihan untuk memperbaharui cukai jalan berkuatkuasa 24 Mac hingga akhir Jun ini – Liow

    Program pemutihan untuk memperbaharui cukai jalan berkuatkuasa 24 Mac hingga akhir Jun ini  – Liow

    Bagi pemilik motor dan kenderaan yang cukai jalannya telah tamat tempoh tidak lebih dari tiga tahun, jangan takut bakal disaman kerana kerajaan telah membenarkan perbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan tersebut tanpa perlu melalui proses biasa, menerusi program pemutihan yang berkuatkuasa hari ini hingga akhir Jun.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, program pemutihan yang pertama kalinya pernah dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), telah mendapatkan sokongan serta kerjasama dari syarikat-syarikat insurans.

    “Saya menyeru supaya pemilik kenderaan terlibat mengambil peluang ini untuk memperbaharui semula cukai jalan dan insurans kenderaan mereka dalam tempoh tiga bulan ini. Program pemutihan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat, khususnya mereka yang berada dalam golongan B40 (kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah),” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambahnya lagi, pemilik motosikal dan kenderaan yang terlibat juga akan menikmati potongan bayaran insurans jika memperbaharuinya dalam tempoh itu. Di mana bagi motosikal 125cc, pemilik hanya perlu bayar RM80 berbanding antara RM100 hingga RM140 kadar biasa.

    “Jika mengikut prosedur biasa, kenderaan yang telah luput cukai jalannya melebihi satu tahun perlu menjalankan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer sebelum dinilai dan diluluskan permohonan untuk perbaharui cukai jalan,” sambungnya lagi.

    Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid, menganggarkan terdapat hampir 28 juta kenderaan berdaftar di Malaysia. Bagaimanapun, pada tahun 2017, hanya 19 juta sahaja yang memperbaharui cukai jalan.

    “Program pemutihan itu akan dilaksanakan di semua pejabat JPJ seluruh negara,” katanya.

     
     
  • PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

    PANDU UJI: Kia Picanto 2018 bukti saiz bukan ukuran – prestasi tiada berbeza, imej sedikit dipertingkatkan

    Kia Picanto 2018 merupakan model kenderaan pertama yang dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran Malaysia iaitu pada 10 Januari lalu. Mungkin ramai yang beranggapan Picanto hanyalah sebuah kompak dari segmen-A yang biasa-biasa sahaja yang cukup sesuai untuk golongan muda yang baru bekerja, atau pun berpendapatan sederhana kerana harganya yang boleh dikatakan agak murah, sekitar RM49,888 (tanpa insurans).

    Dengan penawaran harga sebegitu, ia juga dikatakan memberikan persaingan yang agak sengit terhadap Perodua Myvi 2018 yang berharga antara RM44,300 hingga RM55,300 serta Proton Iriz (RM42,400-RM57,000). Jadi, bagaimana Picanto hendak bersaing dengan kedua-dua model buatan tempatan ini? Apakah penawaran yang lebih baik yang ada padanya?

    Menerusi ulasan pandu uji ini, kami cuba bongkarkan kelebihan dan kekurangan yang ada pada Picanto generasi ketiga ini, sebagai alternatif sekiranya anda mahu membuat pilihan yang lebih tepat dan terbaik.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025