Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ducati tunjuk jentera WSBK 2018 – kali terakhir guna Panigale R enjin V-twin, sebelum diganti Panigale V4

    Ducati tunjuk jentera WSBK 2018 – kali terakhir guna Panigale R enjin V-twin, sebelum diganti Panigale V4

    Selepas menamatkan musim lepas di tempat kedua dan lapan kemenangan, Ducati meneruskan kerjasama dengan Aruba.it untuk tahun keempat dan jentera lumba WorldSBK Championship 2018 didedahkan kepada umum. Ini akan menjadi tahun terakhir Ducati menggunakan jentera Panigale R berenjin V-twin, sebelum diganti dengan Panigale V4 tahun hadapan.

    Barisan pelumba sama masih lagi dikekalkan, iaitu Chaz Davies dan Marco Melandri, dan pasangan ini telah mencatat prestasi baik pada tahun lepas dengan keseluruhannya 31 podium dan lapan kemenangan. Tahun ini, sudah tentu, mereka mensasarkan tempat pertama dalam kejuaraan tersebut secara keseluruhan.

    “Ini akan menjadi satu musim yang emosional. Ini adalah tahun kelima saya di atas litar dengan Panigale R. Saya telah memenangi beberapa perlumbaan dengan jentera ini, seterusnya menimbulkan pelbagai memori istimewa. Saya telah bekerja keras waktu cuti ini untuk memastikan saya bersedia. Bagi penonton, peraturan baru akan menjadikan perlumbaan ini lebih menarik,” kata Davies.

    “Tahun lepas kami mendapat banyak podium, tapi dalam beberapa kes, kami berhadapan kesukaran. Ini adalah perkara pertama yang kami perlu perbaiki. Peraturan baru juga akan membawa lebih banyak persaingan untuk kedudukan podium, jadi kami perlu konsisten. Kami tahu bahagian mana yang perlu diberikan fokus, jadi kami perlu berusaha ke arah itu,” tambah Melandri.

    Walaupun tidak mempunyai panel badan yang agresif seperti jentera MotoGP, jentera WSBK ini masih menggunakan rekaan paling maksimum yang dibenarkan dan anda boleh melihat ia mempunyai sirip udara untuk penapis udara yang besar, subframe yang berbeza berbanding motosikal standard dan tetapan khas untuk penunggangnya. Kedua-dua Davies dan Melandri juga menggunakan tuil brek pada ibu jari kiri.

     
     
  • Tol laluan M’sia-S’pura di LinKedua turun sehingga 82% bagi menyuraikan kesesakan di Tambak Johor

    Tol laluan M’sia-S’pura di LinKedua turun sehingga 82% bagi menyuraikan kesesakan di Tambak Johor

    Bagi menyuraikan kesesakan yang berlaku di kompleks CIQ Tambak Johor, kadar levi dan tol pada satu lagi laluan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura iaitu Linkedua akan dikurangkan bermula esok, lapor Bernama. Kadar berkenaan bukan sahaja dikurangkan untuk kenderaan penumpang, malah ia turut berkuatkuasa untuk kenderaan-kenderaan komersial.

    Dalam kenyataan dari pejabat perdana menteri minggu lalu, pengurangan levi berkenaan akan melibatkan kenderaan komersial yang keluar dan masuk ke Malaysia dan pengurangan tol pula adalah melibatkan semua kenderaan kecuali motorsikal ketika diluar waktu puncak.

    “Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan levi kenderaan komersial sehingga RM50 untuk kenderaan yang masuk dan keluar Malaysia, turun dari kadar semasa RM100 hingga RM200. Tambahan lagi, kadar tol di luar waktu puncak pada Linkedua, antara 10 pagi dan 3 petang serta 11 malam dan 5 pagi, untuk semua kenderaan kecuali motorsikal akan dikurangkan antara 47% dan 82% berdasarkan kelas kenderaan,” kata kenyataan tersebut.

    Kadar baharu selepas pengurangan berkenaan adalah RM4 (dari RM7.50) untuk kenderaan persendirian, RM3 (dari RM5.70) untuk teksi dan RM4.50 (dari RM9.10) untuk bas. Manakala untuk kenderaan komersial (kelas dua dan tiga) pula dikenakan bayaran RM4.50 dan RM6.10 (dari RM17.10 dan RM34.30), atau sama dengan jumlah bayaran yang dikenakan di Tambak Johor.

    Tol laluan M’sia-S’pura di LinKedua turun sehingga 82% bagi menyuraikan kesesakan di Tambak Johor

    Langkah baharu yang diambil ini dijangka akan mengurangkan kenderaan komersial yang menggunakan Tambak Johor sebanyak 40%, dan trafik berkenaan akan dialirkan ke laluan Linkedua yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor dan Tuas di Singapura.

    Kenyataan dari pejabat perdana menteri tersebut turut menyatakan satu lagi langkah kini dijalankan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesesakan, iaitu dengan implementasi projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru Singapura (RTS).

    “Laluan rel antara stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands Utara di Singapura dijangka akan bermula pada 2024 dan ia mempunyai kapasiti untuk membawa seramai 10,000 penumpang sejam pada setiap arah. Ia juga dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada 30 minit berbanding lebih sejam buat masa sekarang. Kerajaan Malaysia dan Singapura telahpun menyerahkan surat tawaran kepada syarikat yang akan membina dan mengoperasikan RTS tersebut,” jelas kenyataan berkenaan.

    Sebagai tambahan, KTM turut meningkatkan frekuensi perkhidmatan Shuttle Tebrau dari 26 perjalanan kepada 31 perjalanan setiap hari. Kenyataan itu menyebut langkah jangkamasa pendek yang diambil sebelum RTS beroperasi ini membolehkan KTM membawa 1,500 penumpang lebih banyak untuk menyeberang Tambak Johor setiap hari berbanding 7,783 orang setiap hari sebelum ini.

     
     
  • JPJ buka stesen penguatkuasaan pertama di Lebuhraya PLUS – berlokasi di R&R Dengkil

    JPJ buka stesen penguatkuasaan pertama di Lebuhraya PLUS – berlokasi di R&R Dengkil

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Plus Malaysia Berhad (Plus) telah membuka stesen penguatkuasaan JPJ yang pertama di lebuhraya PLUS bagi keselamatan para pengguna, yang beroperasi di Lebuhraya ELITE iaitu di R&R Dengkil arah Selatan. Majlis perasmiannya telah berlangsung pagi ini dengan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Dato’ Sri Shaharuddin Khalid dan Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail.

    Menurut Shaharuddin, pembukaan stesen JPJ ini akan menjadi pusar aktiviti penguatkuasaan di lebuhraya bagi Zon Tengah. “Kita juga sedang merancang untuk membuka dua lagi stesen yang sama di Zon Utara dan Zon Selatan dalam masa terdekat ini, hasil kerjasama di antara JPJ dan PLUS,” ujarnya kepada pemberita sewaktu majlis perasmian tersebut.

    JPJ yang telah bekerjasama dengan PLUS sejak tahun 2016, turut mempunyai 15 pusat Enforcement Based Station (EBS) di sepanjang lebuhraya utara-selatan. EBS merupakan pit stop kepada JPJ sepanjang Ops Bersepadu yang dijalankan sepanjang musim perayaan di negara ini.

    JPJ buka stesen penguatkuasaan pertama di Lebuhraya PLUS – berlokasi di R&R Dengkil

    Katanya lagi, “Kita percaya hasil kerjasama ini, JPJ akan membantu pihak lain terutamanya PLUS dalam memberikan pertolongan dan bantuan awal sekiranya terdapat kemalangan di lebuhraya. Berdasarkan statistik PLUS pada tahun 2017, mencatatkan kemalangan yang berlaku di sepanjang lebuhraya akibat pelanggaran objek adalah sebanyak 566 kes. Manakala 2,252 aduan telah diterima berkaitan objek yang berada di lebuhraya seperti serpihan tayar kenderaan yang pecah, muatan jatuh daripada kenderaan dan sebagainya.”

    Selain itu, JPJ juga telah memasang 17 kamera AWAS di lebuhraya, dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 23 kamera di lain-lain lokasi. Kamera yang diletakkan di kawasan kerap kemalangan ini dilaksanakan dengan pemasangan tiga papan tanda amaran sejauh dua hingga tiga kilometer sebelum operasi kamera terbabit.

    “Sekiranya masih ada pemandu yang berdegil dan tidak mengendahkan amaran tersebut dengan memandu melebihi had laju, kamera tersebut akan merekodkan imej bagi tujuan pengeluaran notis saman. Kita bukan hendak sesuka hati menyaman pemandu, sebaliknya kamera ini adalah salah satu usaha serampang dua mata dalam mendidik masyarakat untuk mematuhi had laju kenderaan,” ujar Shaharuddin lagi.

    “PLUS sentiasa mencari pelbagai pendekatan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua lebuhraya kendalian kami. Justeru, selain daripada memberi fokus terhadap aspek kejuruteraan lebuhraya dan pendidikan menerusi program advokasi keselamatan jalan raya, kami turut melihat kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dengan kerjasama JPJ dan agensi lain,” kata Azman Ismail pula.

    Sambungnya lagi, “Langkah mewujudkan sebuah Stesen JPJ di lokasi yang strategik di R&R Dengkil Arah Selatan adalah komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan lebuhraya yang selamat untuk pengguna kami. Malah stesen ini memudahkan anggota JPJ untuk membuat pemantauan, penguatkuasaan dan advokasi keselamatam kepada pengguna lebuhraya.”

    Di Stesen JPJ ini, para pengguna juga boleh membuat urusan rasmi berkaitan dengan JPJ termasuk memperbaharui lesen memandu, menyemak dan membayar saman serta beberapa perkara yang berkaitan.

     
     
  • Emflux One superbike elektrik pertama keluaran India

    Emflux One <em>superbike</em> elektrik pertama keluaran India

    Semasa pameran Auto Expo 2018 di New Delhi, India, sebuah syarikat baru yang diwujudkan pada tahun 2016 telah mempertontonkan sebuah superbike elektrik keluaran mereka, yang dinamakan sebagai Emflux One. Ia sekaligus diangkat sebagai superbike elektrik pertama keluaran syarikat India.

    Di sebalik rekaan sports motosikal ini, ia dikuasakan oleh sel bateri Li-ion Samsung berkapasiti 9.7 kWh, dengan sistem penyejukan cecair, yang menggerakkan motor elektrik AC untuk menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 60 kW dan tork 84 Nm. Kelajuan maksimum yang boleh diperoleh adalah 200 km/j dan pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.0 saat.

    Kuasa ini cukup untuk memberikan tunggangan sporty, dan motosikal ini turut dipersiap dengan kelengkapan berprestasi seperti sebuah sportbike ternama, termasuk suspensi hadapan USD 43 mm Ohlins, monoshock Ohlins 46 mm di belakang, brek Brembo cakera 300 mm dan angkup 4 piston di hadapan, cakera 220 mm di belakang, dan sistem ABS. Tayar pula adalah daripada Pirelli Diablo Rosso II bersaiz 120/70 di depan dan 180/55 di belakang.

    Secara keseluruhannya, Emflux One ini mencatat berat 169 kg, dan kuasa daripada motor elektrik dihantar ke tayar belakang melalui sistem rantai. Untuk memenuhkan baterinya, pengguna boleh mengecas melalui soket dinding biasa dan ia akan mengambil masa tiga jam. Jika menggunakan pengecas pantas khas, tahap 80% penuh boleh diperoleh dalam masa hanya 36 minit. Jika digunakan dalam bandar, bateri ini boleh bertahan untuk 200 km.

    Tempahan awal Emflux One ini hanya akan dibuka pada bulan Julai 2019, manakala penyerahan pertama kepada pelanggan pula dijangka berlaku pada bulan April 2019. Harganya cuma akan diberitahu kemudian, tetapi ia akan didatangkan sekali dengan jaminan selama 100,000 km atau lima tahun untuk bateri dan juga motosikal itu sendiri.

     
     
  • Warga kota patut guna basikal sebagai pengangkutan

    Warga kota patut guna basikal sebagai pengangkutan

    Warga kota sepatutnya menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama. Ini dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Luar Negeri dan Pembangunan Koperasi Belanda, Sigrid Kaag ketika bercakap di acara Cycling Kuala Lumpur sempena World Urban Forum 9 (WUF 9).

    Menurut Kaag, berdasarkan pengalaman Belanda, warga kota dengan pengangkutan berbasikal adalah perkara biasa, dengan 36% daripada jumlah berkenaan menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama setiap hari.

    “Kadar berbasikal yang tinggi ini boleh dicapai dengan penyediaan kemudahan yang baik seperti laluan basikal dengan perjalanan yang lebih pendek dan cepat berbanding laluan kereta,” jelas Kaag. “Hari ini, di Belanda, jumlah basikal adalah lebih banyak daripada warga yang menetap di kota, dan mereka yang mengayuh menghabiskan masa yang kurang di dalam kesesakan trafik, sekali gus membuatkan kualiti kehidupan lebih baik,” ujarnya seperti dilaporkan Bernama.

    Warga kota patut guna basikal sebagai pengangkutan

    Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Maimunah Mohd Sharif pula berkata, Cycling Kuala Lumpur adalah langkah awal untuk KL menjadi sebuah badaraya yang lebih mapan dengan kualiti hidup warga yang lebih baik dengan cara melabur di dalam penuelesaian pergerakan serta kemudahan berbasikal.

    Menurut beliau lagi, lorong basikal yang diwujudkan baru-baru ini di tengah-tengah kota bertujuan untuk mempromosi gaya hidup yang lebih sihat dan mengurangkan kesan karbon di pusat bandar. “Ia juga satu alternatif kepada sistem pengangkutan awam dan mengurangkan pengunaan kenderaan persendirian untuk meminimumkan pencemaran di kota,” tambahnya.

    Laluan basikal dengan pemasangan pembahagi jalan yang dilakukan disekitar baru-baru ini menimbulkan kontroversi kerana menurut segelintir pihak ia mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. Pembahagi laluan itu kemudian ditukar kepada bahan plastik, dan DBKL juga menyatakan akan membuat audit keselamatan terhadap laluan berkenaan.

     
     
  • Imej SUV segmen-B baharu Geely bocor di internet

    Imej SUV segmen-B baharu Geely bocor di internet

    Tahun lalu Geely telah mencatatkan jumlah jualan yang sangat memberangsangkan – 1.24 juta kenderaan dalam setahun, di mana prestasi utama jenama tersebut dipacu oleh SUV segmen-C keluarannya iaitu Boyue. Namun sehingga kini, Geely masih lagi belum lagi menghasilkan apa-apa model untuk pasaran SUV segmen-B yang kini nampaknya sangat rancak, menampilkan pertandingan antara Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3, Hyundai Kona, dan pelbagai nama lagi.

    Sebagai jenama yang kini sedang dikenali, Geely pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan bahagian pasarannya dalam segmen berkenaan. Oleh itu, pembuat kenderaan dari China dan juga pemilik jenama Volvo tersebut dikhabarkan bakal memperkenalkan SUV segmen-B dalam masa terdekat, dan imej model berkenaan telah bocor di laman autohome.com.cn.

    SUV kompak baharu yang dikenali dengan kod SX11 ini dilaporkan berukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding dengan Honda HR-V, model ini adalah 35 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 4 mm lebih tinggi, tetapi jarak rodanya pula 10 mm lebih pendek.

    Berbanding Boyue, adiknya ini kelihatan lebih garang dengan konsep rekaan lebih tajam. Muka SX11 ini menampilkan gril signatur Geely dengan kemasan krom matte di sekelilingnya, bersama sepasang lamu hadapan lebih tirus. Bahagian bampar pula menampilkan liang kemasukan udara dan juga kemasan perumah lampu kabus yang kelihatan agresif.

    Dilihat dari bahagian sisi, model baharu berkenaan menampilkan garis bumbung yang landai kebelakang bersama cermin pada tiang-C yang kelihatan sangat tirus – memberikan imej seolah-olah bumbungnya terapung. Bahagian belakang SUV ini turut kelihatan garang dengan lampu binaan two-piece dihubungkan dengan bar krom lengkap dengan tulisan ‘GEELY’, bersama spoiler bumbung yang kelihatan bersegi dan dua tip-ekzos pada bampar.

    Model baharu ini akan diberikan pilihan rim aloi berdiameter dari 16 hingga 18-inci. Ia juga akan dilengkapi dengan ciri-ciri lain seperti cruise control adaptif, bumbung panaromik, dan juga kamera 360-darjah.

    Ia juga dilaporkan akan dijana dua pilihan enjin turbo – pertama ialah enjin 1.0 liter berkuasa 136 hp, manakala yang kedua adalah enjin yang dipercayai dikongsi bersama Volvo XC40 iaitu unit 1.5 liter berkuasa 177 hp. Kalau Proton turut bawa model ini ke Malaysia, agak-agaknya boleh kacau Honda HR-V tak?

     
     
  • PLUS Mobile App salur info trafik dengan lebih cekap?

    Jika anda akan memanfaatkan cuti hujung minggu ini untuk balik kampung, dan kebetulan laluan utama yang akan digunakan ialah Lebuhraya Utara-Selatan, selain daripada mengikut cadangan waktu perjalanan yang telah dikeluarkan, mungkin ini masa terbaik untuk anda mencuba sendiri aplikasi PLUS Mobile App.

    Menurut PLUS, selain laman Twitter dan talian bebas tol PLUSline 1-800-88-0000, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi khusus berkenaan untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa serta kemaskini-kemaskini lain melalui telefon anda.

    Dari pemerhatian kami, aplikasi berkenaan kini di dalam versi v3.1.1, dan mempunyai sembilan menu utama untuk memudahkan pengguna. Antara fungsi yang disediakan ialah senarai semua plaza tol yang ada serta fungsi pengira untuk pengguna mengetahui kadar bayaran yang perlu disediakan dari mana-mana palza tol yang diinginkan sepanjang lebuhraya berkenaan.

    Begitu juga dengan semakan bagi senarai kemudahan kawasan rehat dan rawat yang terdekat dengan anda dari satu-satu lokasi. Untuk membolehkan pengguna mengetahui keadaan trafik semasa, dua menu yang mungkin anda ingin cuba perhatikan ialah Live Traffic dan Live Feed.

    Menurut PLUS lagi, bagi fungsi Live Feed, ia akan memamparkan gambar secara langsung (still photo) terkini dari kamera litar tertutup dilokasi-lokasi yang diinginkan oleh pengguna. Dan, gambar-gambar berkenaan dikemaskini dalam tempoh setiap lima minit untuk menunjukkan keadaan trafik semasa yang ada.

    Satu lagi fungsi penting yang disediakan ialah butang SOS dibahagian tengah senarai menu berkenaan, untuk digunakan dalam situasi kecemasan dan jika anda memerlukan pertolongan segera. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna hanyalah memasukkan nombor telefon, nama dan titik lokasi semasa pengguna.

    Petugas akan menghubungi anda semula secepat mungkin (dengan andaian lokasi anda mempunyai isyarat telefon yang kuat dikawasan terbabit). Selain itu, sebarang makluman terkini juga mempunyai tab menu tersendiri, serta lain-lain perincian yang mungkin diperlukan untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan.

    Semua maklumat dan respon yang disediakan oleh aplikasi ini dikawal sepenuhnya oleh pusat kawalan utama PLUS di ibu pejabatnya di Subang, sebelum disalurkan kepada tindakan selanjutnya petugas yang berada berhampiran lokasi yang terlibat.

    Jadi, untuk tahu sama ada aplikasi ini betul-betul berkesan untuk digunakan dalam keadaan sebenar atau sebaliknya, apa kata anda cuba sendiri dan kongsikan pengalaman itu bersama kami nanti. Kalau memang betul aplikasi ini mampu menyalurkan maklumat semasa dan membantu pengguna untuk merancang perjalanan dengan lebih baik, itu sangat bagus untuk membantu melancarkan lagi perjalanan semua.

     
     
  • Volkswagen Touareg generasi ketiga muncul 23 Mac

    Volkswagen Touareg generasi ketiga muncul 23 Mac

    Volkswagen telah mengeluarkan satu lukisan teaser untuk SUV Touareg generasi ketiga, yang akan diperkenalkan kepada dunia buat pertama kalinya, di Beijing 23 Mac ini. Ia dilakukan di China kerana negara itu mempunyai pasaran SUV yang paling pantas berkembang di dunia, dan Volkswagen sendiri mempunyai pasaran yang besar di negara itu.

    Menurut Volkswagen, Touareg 2019 ini akan menjadi kenderaan perdana mereka, dan menjadi penyata kepada rekaan, teknologi serta pengendalian dinamik jenama itu. Ia direka oleh ketua pereka Volkswagen, Klaus Bischoff, bersama pasukannya dengan penampilan karekter yang kuat.

    Volkswagen juga memberitahu SUV ini akan menerima pelbagai sistem bantuan untuk memberi “keselamatan dan keselesaan maksimum,” serta kokpit digital antara yang terbesar dalam kelasnya yang dinamakan sebagai Innovision Cockpit. Touareg generasi ketiga ini juga datang dengan sistem suspensi udara, rear-wheel steering dan roll stabilisation.

     
     
  • Hyundai i30 N TCR – dinaik taraf untuk perlumbaan

    Hyundai i30 N TCR – dinaik taraf untuk perlumbaan

    Model hatchback prestasi keluaran Hyundai iaitu i30 N akan digunakan dalam perlumbaan kelas Touring Car Racing (TCR) dalam siri Pirelli World Challenge 2018 di Amerika Syarikat. Pasukan lumba ini disokong sendiri oleh Hyundai, dengan kerjasama Brian herta Autosport.

    Dua unit i30 N TCR akan digunakan untuk perlumbaan sebanyak enam pusingan di Amerika Syarikat ini, dan pelumba yang akan mengendalikannya adalah Michael Lewis dan Mark Wilkens. Mereka akan berlumba sekali dengan kereta dalam kelas lain seperti Grand Touring, GT Cup, GTS, TC dan TCA.

    “Hyundai sangat teruja dengan prospek pasukan lumba yang menggunakan jenama N ini dalam kelas Touring Car Racing Pirelli World Challenge 2018 ini. Kerjasama kami dengan Bryan Herta Autosport, serta pemandu mereka dan kemampuan kenderaan ini yang sudah terbukti bakal meletakkan kami di posisi yang baik untuk kemenangan,” kata ketua pegawai pemasaran Hyundai Motor America, Dean Evans.

    Untuk menjadikan kenderaan ini sesuai dengan perlumbaan kenderaan touring, enjin empat silinder 2.0 liter turbo padanya telah dinaik taraf dengan kit pemasukan udara BMC serta sistem data dan ECU Life Racing, seterusnya menjadikan kuasa meningkat, daripada 271 hp menjadi 350 hp. Kotak gear juga ditukar kepada unit sequential enam kelajuan dengan penukar gear di tangan, serta klac dan driveshaft perlumbaan.

    Bahagian casis masih lagi menggunakan tetapan MacPherson di hadapan, four-link di belakang dan penyerap yang boleh dilaras. Sistem brek pula terdiri daripada unit angkup monobloc enam piston Brembo di hadapan, angkup dua piston di belakang, pad brek Pagid dan hos braided Goodridge. Rim adalah unit aloi 18 inci Braid.

    Seperti yang anda boleh lihat dalam gambar, bahagian luarnya memang sudah nampak seperti kereta lumba sebenar, dengan splitter di hadapan, lengkuk tayar yang lebar dan sayap belakang yang besar. Panel badannya ada yang diperbuat daripada besi, dan ada daripada gentian kaca. Ia juga diperkuat berbanding model biasa dengan roll cage di dalam.

     
     
  • Litrak tawar diskaun tol antara 20-60 sen untuk empat lebuhraya kendaliannya sempena Tahun Baharu Cina

    Litrak tawar diskaun tol antara 20-60 sen untuk empat lebuhraya kendaliannya sempena Tahun Baharu Cina

    Sempena dengan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang hujung minggu hadapan, Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) telah mengumumkan pemberian diskaun tol kepada pengguna yang akan melalui empat lebuh raya di bawah kendaliannya sempena sambutan Tahun Baru Cina minggu hadapan.

    Litrak berkata, diskaun tol antara 20 sen hingga 60 sen itu adalah untuk pengguna Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) dan Lebuh Raya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart).

    Menurut CEO Litrak, Sazally Saidi, pemberian diskaun itu diberikan kepada pengguna Kesas, LDP dan Sprint bermula pukul 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 16 Februari ini.

    Bagi pengguna Smart pula, mereka akan menikmati diskaun lebih awal iaitu pada 10 Februari bermula pukul 6 pagi sehingga 6 pagi keesokkan harinya.

    Manakala diskaun tol yang akan diberikan bagi tol LDP ialah sebanyak 60 sen manakala Sprint pula 20 sen bagi semua kelas kenderaan sementara bagi Kesas pula diskaun 20 sen untuk kenderaan 1 sahaja serta pengguna Smart diskaun 30 sen akan diberikan kepada kelas kenderaan satu dan empat.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-5 GVC CKD 2017 – kami cuba tiga varian untuk tahu apa perbezaan yang ditawarkan

    Segmen kenderaan jenis SUV atau crossover ternyata semakin berkembang, dengan hampir setiap jenama mempunyai model mereka yang tersendiri. Penyebab utamanya, sudah tentu, kerana pengguna sendiri yang semakin ramai menjadikannya sebagai pilihan, baik di atas faktor kedudukannya yang lebih tinggi, bentuk mahupun saiz.

    Jika mahukan kenderaan seperti ini, pilihannya sudah semakin banyak, dan pengguna harus tahu sama ada mereka mahukan sesuatu yang mewah, berapa tempat duduk, berapa kapasiti enjin ataupun pacuan jenis apa. Bagi SUV/crossover lima tempat duduk segmen C, iaitu segmen yang boleh dikatakan paling popular, saingannya cukup sengit dengan terdapat model-model seperti Honda CR-V yang sudah cukup terkenal di negara kita, Hyundai Tucson, Mitsubishi ASX, Volkswagen Tiguan, Kia Sportage, Subaru XV dan Peugeot 3008.

    Walaupun begitu, bagi laporan pandu uji kali ini, kita akan melihat lebih dekat model Mazda CX-5 CKD, yang diperbaharui pada bulan Oktober tahun lalu, dengan penambahan utama yang menjadi perhatian adalah sistem G-Vectoring Control (GVC). Secara keseluruhannya, terdapat lima varian untuk model ini, dan tiga pilihan enjin, termasuk satu diesel. Dan, untuk laporan ini kami memandu tiga daripada lima varian berkenaan.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Suzuki Swift 2018 dilancar di Thai sebagai Kereta Eco – 1.2L CVT, harga bermula RM62k hingga RM78k

    Suzuki Swift 2018 dilancar di Thai sebagai Kereta Eco – 1.2L CVT, harga bermula RM62k hingga RM78k

    Menepati laporan yang kami siarkan bulan lalu, kini Suzuki Swift generasi baharu telahpun dilancarkan di Thailand. Mengikut jejak generasi sebelumnya, model terbaharu ini turut dijual di Thai dengan spesifikasi menepati undang-undang Kereta Eco.

    Oleh itu, pasaran Thailand hanya menerima Swift yang dijana enjin NA 1.2 liter empat-silinder, berbeza dengan versi JDM yang turut diberikan pilihan enjin Booster Jet 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 102 PS/150 Nm. Enjin K12M Dualjet pasaran Thai berkenaan mampu menjana 83 PS dan tork maksima 103 Nm.

    Kuasa dari enjin dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik, tanpa pilihan transmisi automatik. Jika anda perhatikan pada angka kuasa, enjin baharu ini juga dilihat kurang berkuasa dari model sebelumnya. Ini adalah kerana undang-undang Kereta Eco Thai kini sudah masuk ke peringkat kedua dan semua kenderaan di bawah regulasi berkenaan perlu mencapai penggunaan bahan api 23 km/l dan kadar emisi CO2 100 g/km.

    Enjin tersebut juga diberikan sistem auto start/stop serta boleh beroperasi dengan bahan api campuran Ethanol E20. Juga berbeza dengan versi JDM untuk menjadikan model ini lebih mampu milik di bawah skim Kereta Eco berkenaan, Swift Thai 2018 tidak disertakan dengan sistem hibrid ringkas yang menggunakan integrated starter generator (ISG).

    Suzuki Swift 2018 dilancar di Thai sebagai Kereta Eco – 1.2L CVT, harga bermula RM62k hingga RM78k

    Walaupun kuasa enjin berkurangan, Swift generasi baharu yang dibina berasaskan platform Heartect ini mampu dihasilkan dengan lebih ringan – ditimbang sekitar 875 hingga 910 kg.

    Untuk pasaran Thai ini, Swift ditawarkan dengan empat varian berbeza – GA, GL, GLX dan GLX-Navi – dijual pada harga bermula 499,000 baht (RM61,762) hingga 629,000 baht (RM77,836). Ia bakal berhadapan dengan kereta-kereta Eco Thai yang lain seperti Mazda 2, Mitsubishi Mirage, Nissan March, dan peneraju segmen Toyota Yaris.

    Bagi membezakan varian, sudah pasti keempat-empat versi tersebut menerima kelengkapan berbeza. Model asas Swift GA didatangkan dengan lampu hadapan reflektor, rim besi, dua pembesar suara, tiada cermin solek, tiada pemegang tangan untuk penumpang belakang, tiada cermin tingkap berkuasa pada bahagian belakang serta tiada kunci kawalan jauh bersama sistem kunci pusat. Namun ia tetap diberikan dengan dua-beg udara, ABS dan ESP.

    Suzuki Swift 2018 dilancar di Thai sebagai Kereta Eco – 1.2L CVT, harga bermula RM62k hingga RM78k

    Model GLX yang dijual pada harga 609,000 baht (RM75,373) pula menerima kelengkapan standard seperti roda stereng balutan kulit dengan larasan teleskopik bersama butang kawalan audio, cruise control, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik, enam pembesar suara, panel LCD pada meter, lampu kabus, lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan LED projektor dan pelbagai lagi.

    Model ini juga diberikan rim aloi 16-inci (seinci lebih besar) serta bahagian luaran yang lebih sporty menampilkan jalur serlahan merah pada gril hadapan. Manakala untuk GLX-Navi pula, segala kelengkapan adalah sama tetapi diberikan tambahan skrin infotaimen tujuh-inci bersama sistem navigasi, dan turut menyokong fungsi Apple CarPlay serta Mirrorlink.

    Seperti yang diketahui, Suzuki telahpun menutup operasi mereka di Malaysia pada 2016 setelah menandatangani kerjasama bersama Proton. Jadi sudah tentu kita hanya mampu melihat sahaja Swift dilancarkan di negara-negara jiran tanpa berpeluang untuk membelinya dari pengedar sah.

     
     
  • Ford Ranger Raptor – US mungkin dapat enjin 2.7L, tapi 2.0L “pilihan terbaik untuk kuasa dan kecekapan”

    Ford Ranger Raptor – US mungkin dapat enjin 2.7L, tapi 2.0L “pilihan terbaik untuk kuasa dan kecekapan”

    Sekarang ini sedang panas tentang Ford Ranger Raptor, bukan sahaja di negara kita, malah seluruh dunia. Sekarang ini, Ranger Raptor cuma ditawarkan dengan enjin diesel 2.0 liter bi-turbo dengan kuasa 213 PS dan 500 Nm tork, tetapi itu boleh dianggap enjin kecil dan ia perlu menepati tahap emisi untuk Amerika Syarikat. Oleh itu, berkemungkinan negara tersebut mungkin mendapat versi petrol.

    Menurut Car and Driver, Ranger Raptor untuk pasaran Amerika Syarikat boleh jadi dikuasakan oleh enjin V6 2.7 liter EcoBoost daripada F-150, yang boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 325 hp dan 508 Nm tork. Walaupun ada enjin V6 3.5 liter EcoBoost 456 PS/ 691 Nm pada F-150 Raptor, pilihan itu dianggap keterlaluan pada masa ini.

    Ketua jurutera enjin diesel dan gas kecil Ford yang berpusat di United Kingdom, Roland Ernst memberitahu CarAdvice bahawa enjin 2.0 liter dan transmisi automatik 10 kelajuan pada Ranger Raptor sekarang adalah “pilihan paling sesuai untuk kuasa dan kecekapan.” Jelas beliau: “kami telah mengambil enjin standard 2.0 liter turbo dan memperbaiki aspek ketahanan, naik taraf piston dan mengoptimakan suhu operasi turbinnya untuk lebih prestasi.”

    “Selepas itu, kami telah melakukan porsedur ujian paling sukar di Ford Corporation, termasuk tekanan paling tinggi pada sistem bahan api, keseluruhan suhu operasi dalam enjin, serta ujian lapangan di padang pasir dan kawasan sejuk – ia lulus dengan cemerlang,” tambah Ernst.

    “Dengan menggabungkan pengawal boost dengan pengecas turbo tekanan tinggi yang lebih kecil secara berurutan, dengan turbo tekanan rendah yang lebih besar untuk lebih kuasa, kami rasa kami sudah dapat enjin yang cukup responsif, berkuasa dan tahan lasak,” kata beliau kepada CarAdvice.

    “Tujuan utama dalam DNA Raptor adalah untuk mempunyai tindak balas pendikit yang sangat tepat, dan kami rasa kami berjaya mendapatkannya pada produk ini melalui kejuruteraan, dan gabungan kotak gear automatik 10 kelajuan,” kata beliau lagi. Mungkinkah ada versi enjin 2.0 liter ini yang lebih berkuasa pada masa hadapan? Beliau menjawab, “Saya boleh katakan enjin cukup lasak dan ia mempunyai banyak potensi,”

     
     
  • Hyundai Sonata Hybrid, Plug-in Hybrid facelift didedah – pemanduan EV 43 km, lebih kurang 1,000 km

    Hyundai Sonata Hybrid, Plug-in Hybrid facelift didedah – pemanduan EV 43 km, lebih kurang 1,000 km

    Hyundai telah mendedahkan model Sonata Hybrid 2018 dan Plug-in Hybrid facelift yang menerima semakan rekaan, di Chicago Auto Show. Facelift besar-besaran bagi generasi ketujuh LF ini telah pun pertama kali dipamerkan di Korea Selatan pada Mac tahun lalu, dengan enjin konvensional petrol.

    Penjana kuasa model Hybrid ini tidak berubah, masih kekal dengan enjin 2.0 liter Nu GDI empat-silinder (154 hp, 190 Nm) yang dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dengan motor elektrik 38 kW (51 hp, 205 Nm) dan penukar tork. Transmisi tersebut menggunakan pam minyak elektrik, yang membantu meningkatkan lagi penjimatannya. Jumlah keseluruhan pemanduan boleh mencapai lebih 1,046 km mengikut pemanduan biasa.

    Pek bateri polimer lithium-ion 1.76 kWh ditempatkan di bawah but, sekaligus memberikan ruang yang lebih rata dan tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 60/40. Sonata Hybrid menawarkan ruang kargo berkapasiti 377 liter.

    Sementara Sonata Plug-in Hybrid hampir menyamai model hiibrid biasa, tetapi dengan penambahan kelebihan iaitu motor 50 kW (32% lebih kuasa berbanding hibrid, kuasa keseluruhan 202 hp) dan semua rangkaian elektrik diperluaskan. Ia juga dipadnakan dengan pek bateri polimer lithium-ion 9.8 kWh iaitu lima kali ganda lebih besar berbanding hibrid, dan mencukupi untuk pacuan semua-elektrik sehingga 43 km. Jumlah keseluruhan jarak mencapai 950 km.

    Kedua-dua Sonata Hybrod dan Plug-in menggunakan rekaan fungsi yang sama bagi mempertingkatkan lagi daya seretan sehingga 0.24 Cd, mendahului kelasnya. Ia juga tampil dengan roda baharu eco-spoke 16- dan 17-inci. Palang anti-olengan hadapan juga lebih keras, menyelaraskan semula pengendalian stereng dan bushing yang dipertingkatkan bagi respon yang lebih optimum.

    Lain-lain elemen termasuklah trunk pintar bebas-tangan, brek parkir elektronik dengan penahan auto, memori untuk tempat duduk pemandu dan cermin sisi, tirai matahari untuk tingkap belakang, tempat duduk hadapan berkuasa dengan pengaliran dan Smart Cruise Control bersama stop/start.

    Hyundai Sonata Hybrid, Plug-in Hybrid facelift didedah – pemanduan EV 43 km, lebih kurang 1,000 km

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem navigasi bersama skrin sesentuh lapan-inci dengan sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan pengesan suara. Turut dipertingkatkan ialah sistem audio premium Infinity sembilan-pembesar suara dengan subwoofer dan amplifier luaran. Pengecas telefon tanpa wayar Qi turut didatangkan dengan model yang dilengkapi navigasi.

    Bagi aspek keselamatan, Sonata terkini bakal menerima kamera undur, tujuh beg udara dan sistem pemantauan tekanan tayar dengan paparan tekanan tayar individu secara standard. Lampu utama LED dengan fungsi Dynamic Bending Light (DBL) sebagai pilihan. Pengesan Titik Buta dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang juga standard, sementara Brek Kecemasan Sendiri, Bantuan Kekal Lorong dan Bantuan Lampu Tinggi Automatik turut ditampilkan.

    Model yang dilengkapi dengan Blue-Link ini didatangkan dengan servis percuma selama tiga-tahun, dengan keselamatan, diagnostik, kawalan dan perkhidmatan navigasi yang dipertingkatkan. Blue Link membawakan teknologi termasuk Kawalan Jauh dengan Kawalan Suhu, Kawalan mengunci/membuka pintu, Pencari Kereta, Bantuan Tepi Jalan dan Pelindungan Kenderaan Dicuri.

     
     
  • Proton catat 2.1% peningkatan pasaran pada Jan 2018

    Proton catat 2.1% peningkatan pasaran pada Jan 2018

    Nampaknya sinar buat Proton menampakkan keberhasilan apabila jenama ini berjaya melonjakkan lagi jumlah jualannya pada Januari 2018 iaitu sebanyak 4,783 unit dengan jumlah unjuran pegangan pasaran 10.9%, peningkatan daripada 8.8% pegangan pasaran pada bulan sebelumnya, walaupun mencatatkan jualan lebih rendah daripada 4,802 unit pada Disember 2017.

    Proton Saga masih kekal sebagai model yang paling popular, diikuti oleh Persona dan Exora iaitu jumlah keseluruhannya merangkumi 80% daripada jumlah jualan kereta Proton untuk Januari tahun ini.

    “Sebagai kereta dengan harga yang paling berpatutan dan memberikan nilai hebat bagi segmennya, Saga tetap menjadi pilihan paling popular di kalangan pelanggan Proton, melibatkan sebanyak 41% daripada keseluruhan jualan kereta Proton,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran, Proton.

    Sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini, Proton turut menawarkan ganjaran kepada para pelanggannya dengan diskaun-diskaun (tertakluk pada terma & syarat) hebat untuk semua model Proton, sehingga RM500 untuk Exora, sehingga RM1,000 untuk Saga, sehingga RM1,000 untuk Persona, sehingga RM5,000 untuk Iriz, dan sehingga RM13,888 untuk Perdana.

    Dalam masa yang sama, para pelanggan juga boleh mengunjungi mana-mana pusat servis Proton yang diiktiraf untuk pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma sebelum memulakan perjalanan jauh.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025