Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pesaing Puspakom di Malaysia bukan dari bengkel biasa, perlu patuhi peraturan – Menteri MOT

    Pesaing Puspakom di Malaysia bukan dari bengkel biasa, perlu patuhi peraturan – Menteri MOT

    Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan mengumumkan Puspakom bukan lagi satu-satunya agensi yang diberikan tanggungjawab dalam perkhidmatan pemeriksaan keenderaan bermula tahun hadapan, apabila konsesinya bakal tamat pada 31 Ogos 2024. Walau pun konsesinya akan diperbaharui, namun Puspakom akan berhadapan dengan persaingan daripada pihak lain yang bakal turut diberikan tauliah untuk perkhidmatan ini.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, mana-mana pihak yang layak mengendalikan pemeriksaan mandatori kenderaan komersil dan persendirian di negara ini serta memenuhi syarat boleh dilantik untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun, mereka dikehendaki memenuhi semua syarat dan peraturan yang sama yang telah dikenakan ke atas Puspakom.

    Ini termasuk menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi sepenuhnya skop, piawaian dan prosedur pemeriksaan motor serta hanya melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Selain itu, penyedia pemeriksaan kenderaan hanya boleh mengenakan kadar yuran pemeriksaan yang telah ditetapkan, dan mereka tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan serta penjualan alat ganti. Ini bermakna peraturan ini menetapkan pembekal mungkin perlu menggunakan persediaan yang serupa dengan Puspakom.

    Puspakom sendiri perlu membuat penambahbaikan, dan kerajaan meminta syarikat itu meminda prosedurnya dan memodenkan elemen utama perniagaan. Ini termasuk menambah baik proses tempahan dan memperluaskan penggunaan automasi dan peralatan komputer serta memasang peralatan/sensor/kamera bagi membolehkan pemeriksaan dipantau secara dalam talian dalam masa nyata oleh pengguna, Kementerian Pengangkutan dan JPJ.

    selain itu, ia juga perlu membina pusat pemeriksaan baharu, termasuk kemudahan flagship, di lokasi yang dipersetujui berdasarkan keperluan perkhidmatan di lokasi yang memerlukannya, dan juga meningkatkan tahap kecekapan kakitangan dengan menyediakan sistem latihan pembangunan sumber manusia yang lebih berkesan dan relevan dengan keperluan semasa.

    Kementerian itu berkata ia akan memastikan pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat, sambil menambah JPJ akan terus mengaudit dan memantau semua pihak yang menyediakan perkhidmatan itu bagi memastikan pematuhan, kualiti dan integriti pemeriksaan. Ia berkata mana-mana pihak yang didapati melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan akan dikenakan penalti atau kebenarannya untuk menjalankan pemeriksaan dibatalkan.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8 GTI 2023 terima kemaskini di M’sia — IQ.Drive dengan AEB, ACC; harga RM246k

    Volkswagen Golf Mk8 GTI 2023 terima kemaskini di M’sia — IQ.Drive dengan AEB, ACC; harga RM246k

    Volkswagen Golf GTI 2023 kini menerima peningkatan dan kemaskini untuk pasaran Malaysia. Dengan pengenalan versi terbaru ini, Golf GTI Mk8 dijual pada harga RM246,012 atas jalan, tidak termasuk insuran. Harga ini RM34k lebih mahal berbanding Golf GTI Mk8 dengan harga pengenalannya pada Februari tahun lalu, dan disebabkan oleh pengecualian SST ketika itu.

    Antara peningkatan paling penting ialah melibatkan ciri IQ.Drive, fungsi bantuan pemanduan maju yang sebelum ini tidak ditawarkan untuk model berkenaan. Pertambahan ini melibatkan ciri seperti kawalan melayar adaptif (ACC), amaran lintasan trafik di belakang dan Side Assist (RCTA), Front Assist, bantuan kecemasan (AEB) dan juga bantuan mengekalkan lorong.

    Kelengkapan luaran lain yang disertakan pula termasuk lampu kabus LED yang disekalikan di kawasan corak honeycomb yang kelihatan. Di dalam, kini disertakan kawalan pendingin tiga zon, kerusi depan dengan penyejuk/pemanas dengan larasan elektrik untuk kerusi pemandu, stereng balutan kulit dengan butang multi-kawalan dan paddle shift, kokpit digital 10.25-inci, lampu suasana dengan lima tema sedia ada, mod pemanduan dan pengurus dinamik kenderaan dengan kawalan casis dinamik.

    Volkswagen Golf Mk8 GTI 2023 terima kemaskini di M’sia — IQ.Drive dengan AEB, ACC; harga RM246k

    Turut ada ialah kamera pandangan belakan dengan sensor parkir depan dan belakang, sambungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon tanpa wayar sama seperti sebelum ini. Golf Mk8 GTI di Malaysia terus menggunakan kulit Vienna untuk balutan kerusi dalam kemasan hitam dan kelabu cerah dengan kontras merah GTI.

    Kekal sama seperti sebelum ini ialah enjinnya: unit 2.0 liter TSI turbocas empat-siliner sebaris yang menghasilkan 245 PS dari 5,000 rpm hingga 6,200 rpm dan 370 Nm tork dari 1,600-4,300 rpm. Output ini disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik klac berkembar basah DSG tujuh-kelajuan. Rim masih sama, dengan saiz 18-inci “Richmond” yang dipasangkan tayar 225/40. Kereta ini juga masih diberikan sistem differential lock elektronik XDS berdasarkan ESC-nya.

    Dijual pada harga RM246,012 atas jalan tidak termasuk insuran, Volkswagen Golf GTI Mk8 ditawarkan di Malaysia dengan pilihan warna Atlantic Blue, Kings Red, Deep Black, Moonstone Grey dan Oryx White. Dengan tanda harga yang lebih tinggi, walaupun dengan pertambahan ciri bantuan pemanduan, adakah ia sebuah hatchback yang masih berbaloi?

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk8 2022

     
     
  • Kawasaki ZX-4R masuk pasaran Indonesia – versi tinggi RR, hanya 40 unit, harga cecah RM70k!

    Kawasaki ZX-4R masuk pasaran Indonesia – versi tinggi RR, hanya 40 unit, harga cecah RM70k!

    Selepas Thailand, sebuah lagi negara jiran kita menerima ketibaan Kawasaki ZX-4R, iaitu Indonesia. Model sports dengan enjin empat silinder 399 cc ini tiba di republik itu dalam versi paling tinggi, iaitu RR dan dijual pada harga 239.9 juta rupiah (RM70,031).

    Harga ini cukup mengejutkan, kerana ia lebih dua kali ganda berbanding ZX-25R yang dijual pada harga 105 juta rupiah (RM30,650) dan sudah hampir menyamai harga Z900 yang dijual di sana pada harga 264.3 juta (RM77,150). Selain daripada itu, ia juga cuma dibawa masuk sebanyak 40 unit sahaja.

    Dalam keadaan standard, ZX-4R datang dengan enjin yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 80 PS dan boleh dikerah sehingga 15,000 rpm. Semasa menunggang, pemilik boleh memilih empat mod tunggangan dan dua mod kuasa.

    Walaupun cuma motosikal kelas pertengahan, ZX-4R datang dengan pelbagai kelengkapan termasuk tiga mod sistem kawalan cengkaman KTRC, meter TFT 4.3 inci, brek cakera 290 mm berkembar bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang, sistem ABS serta rim 17 yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Semasa didedahkan kepada dunia Februari lalu, ZX-4R diperkenalkan dalam tiga versi, dan versi SE dan RR yang lebih tinggi daripada versi standard mendapat penghadang angin smoked, quickshifter (naik dan turun) serta fork Showa SFF-BP 37 mm yang boleh dilaras (preload). Monoshock Showa BFRC Lite pula hanya diberikan pada versi RR, seperti yang dilancarkan untuk pasaran Indonesia ini.

    Ciri lain pada ZX-4R adalah termasuk semua lampu jenis LED, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 188 kg, tinggi tempat duduk 800 mm, serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Rideology.

     
     
  • PLUS selesai tambah 12 lorong RFID di lebuhrayanya bagi atasi isu kesesakan di plaza tol – Menteri KKR

    PLUS selesai tambah 12 lorong RFID di lebuhrayanya bagi atasi isu kesesakan di plaza tol – Menteri KKR

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan bahawa kerja-kerja penambahan 12 lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di beberapa plaza tol di lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah pun diselesaikan dan mula beroperasi sejak 11 Mac lalu.

    “Pada Januari tahun ini, saya telah mengumumkan penambahan 12 lorong RFID di beberapa plaza tol PLUS bagi mengatasi masalah kesesakan yang telah banyak menimbulkan rungutan di kalangan pengguna.

    “Berdasarkan perancangan asal, penambahan lorong RFID ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap pertengahan April ini. Saya sebagai Menteri Kerja Raya ingin mengumumkan bahawa kerja-kerja menambah lorong RFID tersebut kini sudah selesai,” katanya menerusi Facebook rasminya baru-baru ini.

    Jelasnya, 12 lorong tambahan RFID tersebut ditempatkan di Plaza Tol Setia Alam, Subang, Jalan Duta, Putra Mahkota, Kajang, Kubang Semang, Sungai Besi, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

    “Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PLUS kerana telah menambah 12 lagi lorong RFID di lebuh raya kendaliannya lebih awal dari yang dijadualkan sebelum ini. Pada masa yang sama, saya berharap agar pengguna juga turut mengamalkan kaedah penggunaan RFID yang betul,” katanya lagi sambil menambah pihak konsesi berkenaan telah memberikan jaminan bahawa sistem RFID akan sentiasa dipastikan berada di dalam keadaan yang terbaik.

    Walau bagaimana pun, beliau berharap agar kerjasama daripada penggguna RFID di lebuhraya PLUS untuk sentiasa menggunakan lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol serta memastikan baki eWallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

     
     
  • VIDEO: Pemandu Mitsubishi Lancer Evo IX wagon ‘mengamuk’ di Plaza Tol Damansara – apa jadi ni?

    VIDEO: Pemandu Mitsubishi Lancer Evo IX wagon ‘mengamuk’ di Plaza Tol Damansara – apa jadi ni?

    Satu video telah dimuat naik oleh seorang pengguna laman sosial di Malaysia Automotive Shitposting Group memaparkan video seorang pemandu Mitsubishi Lancer Evolution IX wagon yang mengamuk di Plaza Tol Damansara, Lebuhraya ELite. Menurut kapsyen yang diberikan, video rakaman dashcam berkenaan dimajukan kepadanya untuk ditularkan.

    Dalam video tersebut dapat dilihat kejadian ini berlaku sekitar pukul 7 petang pada 26 Mac iaitu semalam. Evo berkenaan tiba-tiba memotong dan terus mencelah ke hadapan kenderaan pemilik dashcam sebelum tiba di plaza tol. Pemilik dashcam kemudian dilihat cuba melarikan diri ke lorong Touch N’ Go paling hujung plaza tol terbabit, namun Evo berkenaan sekali lagi memintasnya dan membuat halangan betul-betul di plaza tol.

    Evo tersebut berhenti agak lama di plaza tol berkenaan seolah-olah menunggu agar pemilik dashcam turun dari kenderaannya. Tetapi sekali lagi pemilik dashcam cuba melarikan dengan mengundur dan beralih ke lorong tol lain. Dan sekali lagi Evo berkenaan berjaya menghalangnya dengan memarkir secara melintang di hadapan plaza tol.

    Posted by 芯蕊王 on Sunday, 26 March 2023

    Kali ini pemilik Evo berkenaan turut dari kereta dan menuju ke kenderaan pemilik dashcam untuk memberikan amaran. Walau bagaimanapun, suara dari dashcam berkenaan didiamkan dan segala perbualan antara kedua-dua individu terlibat tidak kedengaran. Tiada sebarang insiden melibatkan sentuhan berlaku dan Evo berkenaan dilihat beredar selepas itu.

    Menerusi hantaran yang sama turut disertakan mesej aplikasi whatsapp dari pemilik dashcam berkenaan. Menurutnya, inisiden ini berlaku ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, dan Evo berkenaan dipandu secara merbahaya sebelum pemandunya melakukan provokasi terhadapnya.

    Apa pun ini hanya cerita dari pemilik dashcam, dan tiada video sebenar memaparkan apa yang menyebabkan pemandu Evo wagon berkenaan tiba-tiba naik angin. Sekiranya pemilik video berkenaan membuat laporan polis, tentu ada kenyataan dari PDRM dikeluarkan selepas ini. Sama-sama kita nantikan perkembangannya nanti.

    Namun sebaik-baiknya, kita bertolak ansurlah di atas jalan raya. Kalau bergaduh pun selalunya tak selesaikan masalah, jadi lagi sulit lagi ada kalau dah jadi kes polis kan?

     
     
  • Pemandu kereta pendaftaran Singapura isi RON95, dakwa dirinya warga M’sia — ini tetap satu kesalahan

    Pemandu kereta pendaftaran Singapura isi RON95, dakwa dirinya warga M’sia — ini tetap satu kesalahan

    Termaktub dalam peraturan, kenderaan berpendaftaran luar tidak boleh mengisi minyak RON 95 di Malaysia. Bagaimanapun, terdapat beberapa situasi, ramai yang berkaitan masih melanggar peraturan ini dan terus juga mengisi bahan api dengan subsidi itu.

    Baru-baru ini, ada sebuah kejadian yang dirakam videonya, dan dikongsi di laman Youtube SG Road Vigilante. Dalam video bertarikh 25 Mac 2023 itu, seorang pemandu Honda Odyssey dengan pendaftaran Singapura dilihat selesai mengisi minyak dan ditegur oleh individu yang merakam, memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak dibenarkan mengisi RON 95 untuk kenderaan tersebut.

    Pelaku membalas dengan menyatakan bahawa dia adalah warga Malaysia dan “berhak” untuk mengisi RON 95. Tetapi, hal ini tidak betul dan tetap salah. Peraturannya mudah: kenderaan dengan nombor pendaftaran luar selain pendaftaran Malaysia, hanya boleh mengisi minyak RON 97 dan bukannya RON 95 dengan subsidi.

    Tidak kira sama ada anda orang Malaysia atau sebaliknya — tumpuan utama adalah kenderaan berkenaan didaftarkan di mana, bukan pemandu atau pemiliknya berasal dari mana. Pembelian diesel untuk kenderaan berpendaftaran luar juga ada peraturan yang membolehkan hanya 20 liter sehari sahaja diisi di stesen minyak, itupun hanya dalam radius 25 km dari sempadan Malaysia-Singapura.

    Sesetengah stesen minyak telah menaikkan notis di pam untuk memastikan pemilik kenderaan berpendaftaran luar ambil maklum tentang perkara ini. Tetapi, tentulah masih ramai yang memilih untuk mengabaikan peraturan ini sama sekali dan terus dengan isian RON 95 — sesetengahnya ada yang mendapatkan bantuan daripada warga tempatan.

    Pemandu kereta pendaftaran Singapura isi RON95, dakwa dirinya warga M’sia — ini tetap satu kesalahan

    Jika anda berhadapan dengan situasi seperti ini, tegur pelaki dan maklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan berbuat demikian, dan kemudian maklumkan pekerja stesen minyak terbabit. Tidak perlu bertindak keras atau tekan tombol kecemasan pam minyak kerana stesen berlainan mempunyai protokol keselamatan yang berbeza juga.

    Anda juga boleh membuat aduan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi platform digitalnya atau WhatsApp di talian 019-2794317. Paling penting, jangan ambil tindakan sendiri menggunakan kekerasan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri NDX kini dibuka untuk dibida

    JPJ eBid: Siri NDX kini dibuka untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Negeri Sembilan, NDX, telah pun dibuka bidaan sejak semalam, 26 Mac 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 30 Mac ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 31 Mac 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

    Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

    Hyundai Sonata generasi ke-lapan yang muncul buat pertama kali pada 2019 sudahpun menampilkan rupa yang paling garang antara model-model generasi sebelumnya. Nampaknya untuk versi facelift 2023, sedan segmen-D berkenaan tampil dengan imej yang lebih ‘jahat’ dari sebelum ini!

    Sebelum ia membuat kemunculan sulung di khalayak umum pada 30 Mac nanti di Korea Selatan sempena acara Seoul Mobility Show, Hyundai terlebih dahulu mendedahkan imej-imej serta perincian awalan bagi model yang disegarkan ini. Seperti yang anda boleh lihat, Sonata facelift ini menerima perubahan rekaan yang agak menyeluruh pada bahagian muka, belakang dan juga dalam kabin.

    Untuk muka, Sonata kini menerima asas rekaan seperti MPV gergasi Hyundai Staria. Ia diberikan lampu nyalaan siang LED yang sangat tipis seperti mata Space Cop Gaban/Robocop yang merentangi sepenuhnya bahagian muka. Lampu utama pula disorokkan pada bahagian bampar hadapan.

    Rekaan ini bukan sahaja melibatkan bahagian lampu dan bampar, malah fender dan juga bonet hadapan juga perlu ditukar bagi memberikan rupa yang berlainan. Dengan rekaan baharu juga memerlukan logo ‘H’ senget pada gril hadapan ‘Parametric Jewel’ sebelum ini dipindahkan pada muncung bonet hadapan.

    Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

    Selain nampak lebih garang, rekaan ini turut membuatkan Sonata nampak lebih aerodinamik dengan bahagian hadapan kini lebih rendah dan tajam. Ia masih diberikan versi N-Line yang lebih agresif, menampilkan lencana N-Line dan elemen gril hadapan yang berbeza.

    Fender hadapan Sonata ini bukan sahaja menampilkan rekaan berbeza pada bahagian lampu, bahagian lekuk yang bersambung dengan garis badan pada pintu kini direka seakan mempunyai liang udara. Kemasan krom sekeliling tingkap sisi masih ada, namun ia tidak lagi diberikan jalur krom yang bersambung pada fender sehingga lampu hadapan. Hyundai turut memberikan rekaan rim aloi baharu untuk Sonata facelift ini.

    Di belakang, jalur LED merah yang sebelum ini merentangi sepenuhnya penutup but belakang telah diletakan lebih tinggi dan diberikan panel kemasan bar hitam, yang turut menempatkan corak checkered serta loga ‘H’ senget di tengah. Jalur berkenaan bersambung dengan grafik LED pada lampu belakang utama yang kini berbentuk-T (atau bentuk-H sekira dilihat sepenuhnya dari belakang).

    Sirip ‘vortex generator’ pada bahagian atas lampu belakang tersebut masih ada, dan ia bersambung dengan kemasan spoiler ‘ekor itik’ bersepadu pada penutup but. Rekaan bampar juga berubah dengan diberikan liang udara yang diletakkan sendeng pada kedua-dua sisi bersama kemasan diffuser yang berbeza.

    Bagi model N-Line, ia hadir dengan spoiler ekor itik yang lebih signifikant, rim aloi berdiameter 19-inci, serta dua tip ekzos berkembar masing-masing diposisikan pada setiap sisi. Hyundai menyatakan bahawa secara keseluruhan rupa luaran baharu Sonata ini memberikan kadar penggunaan bahan api lebih baik serta lebih stabil ketika pemanduan kelajuan tinggi berbanding pesaing dalam segmen yang sama.

    Pada bahagian dalaman, Sonata facelift ini turut menerima rekaan papan pemuka baharu. Ia kini diberikan skrin berkembar bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrument digital dan sistem infotainmen yang direka tanpa perumah, serta melengkung bagi memberikan sudut pandang lebih baik kepada pemandu.

    Ia juga kini turut menampilkan liang penghembus udara yang merentangi sepenuhnya dan panel kawalan pendingin hawa baharu di tengah. Roda stereng empat jejari sebelum ini tidak digunakan lagi, digantikan dengan roda steren tiga-jejari yang nampak lebih sporty.

    Sonata facelift masih menampilkan sistem shift-by-wire yang menyisihkan tombol gear konvensional. Namun ia kini tidak menggunakan suis tekan yang diletak pada konsol terowong, tetapi menggunakan panel kawalan pada kolum stereng, di belakang roda stereng, terletak di bawah tombol suis pengelap cermin.

    Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

    Rekaan ini bukan sahaja memudahkan tangan pemandu mencapai tombol gear dengan lebih dekat, malah menurut Hyundai ia turut memberikan ruang storan dan pemegang cawan lebih besar serta perehat tangan yang lebih selesa pada konsol terowong.

    Hyundai turut menyatakan kabin Sonata facelift menampilkan “tingkat taraf yang signifikant untuk pengalaman penumpang dengan kombinasi warna dalaman penuh citarasa bagi menambahbaik rasa sporty dan karekter premium secara serentak.”

    Masih belum ada perincian berkenaan spesifikasi teknikal didedahkan, dan kesemua maklumat berkenaan dijangka akan diumum ketika pendedahan penuhnya nanti.

    Untuk Sonata sedia ada, ia ditawarkan dalam satu versi hibrid, dan tiga unit rangkaian kuasa petrol berbeza bergantung varian dan pasaran. Bagi model Sonata Hybrid, ia dipadankan dengan enjin Smartstream G2.0 GDi HEV berkuasa 152 PS/188 Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 38 kW/205 Nm bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 195 PS dan memberikan penggunaan bahan api sehingga 20.1 km/l.

    Model hibrid ini menerima kotak gear automatik enam-kelajuan dengan Active Shift Control (ACS), serta model produksi hibrid pertama di dunia yang menerima panel solar pada bumbung bagi menambah bekalan elektrik pada bateri hibrid.

    Versi asas petrol pula hadir dengan enjin 1.6 liter turbo bersama sistem suntikan bahan api terus (T-GDI), berkuasa 185 hp dan tork maksima 241 Nm. Ia diikuti model dengan enjin NA 2.5 liter Smartstream bersama sistem suntikan bahan api terus, menjana 191 hp dan tork maksima 245 Nm. Kedua-dua enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan, memacu roda hadapan.

    Manakala versi paling berkuasa adalah Hyundai Sonata N-Line, yang menerima enjin turbo 2.5 liter dengan sistem suntikan bahan api terus menghasilkan 285 hp dan tork maksima 422 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan.

    Hyundai Sonata generasi ke-lapan ini sudahpun dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020. Ia hadir hanya dalam satu varian iaitu 2.5 Premium yang diberikan enjin NA 2.5 liter, dijual pada harga atas jalan RM206,888. Namun dengan jumlah yang agak sukar untuk kita lihat di atas jalan raya serta halatuju Hyundai Malaysia yang lebih kearah kenderaan elektrik (EV), adakah model facelift ini turut akan di bawa ke pasaran tempatan?

    GALERI: Hyundai Sonata 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • John Cena dedah bahawa beliau pandu Honda Civic Type R setiap hari, tak gemar dengan Lamborghini

    John Cena dedah bahawa beliau pandu Honda Civic Type R setiap hari, tak gemar dengan Lamborghini

    Bintang gusti WWE, John Cena antara pelakon yang baharu menyertai saga filem Fast & Furious, diberikan watak sebagai adik kepada Dominic Toretto iaitu Jakob Toretto. Seperti pelakon-pelakon lain dalam filem berkenaan yang kebanyakkannya memang ‘kaki kereta’, John Cena juga sama. Namun kereta apa yang dia pandu setiap hari?

    Dalam siaran bersama podcast Whiskey Ginger baru-baru ini, John Cena mendedahkan bahawa dia selesa memandu Honda Civic Type R FK8 setiap hari.

    “Ia ada teknologi, ia (transmisi) manual, boleh diharap, dan sangat stabil,” kata Cena. “Dude, ia model 2020, dan ia ada pedal ketiga (klac), dan pada kelajuan 145 batu sejam (233 km/j) ia masih stabil. Ia ada tempat duduk di belakang, saya boleh benar-benar bawa orang,” tambahnya.

    John Cena dedah bahawa beliau pandu Honda Civic Type R setiap hari, tak gemar dengan Lamborghini

    Menurutnya lagi, semua ini tak dapat dibuat oleh supercar seperti Lamborghini Countach. “Klacnya keras, amat sukar untuk memastikan ia dalam keadaan baik, ia sentiasa berada di bengkel, sentiasa ada cecair yang bocor di sana-sini. Jadi jika saya perlukan kereta untuk bergerak sejauh sekitar 10 batu (17 km), ia tentunya Civic,” jelas Cena.

    John Cena akan terus memegang watak Jakob Toretto untuk filem Fast & Furious seterusnya iaitu Fast X. Filem berkenaan dijadualkan untuk ditayangkan seluruh dunia pada bulan Mei ini.

     
     
  • Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

    Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

    Malaysia akan terima sebuah lagi jenama EV dari China dengan pengenalan Neta. Merupakan jenama di bawah Hozon Auto, Neta ketika ini menawarkan tiga model di sana, iaitu Neta S, Neta U-II (penerus Neta U) dan Neta V.

    Namun, hanya Neta V crossover yang ditunjukkan di laman web Neta Auto Malaysia dan di laman media sosialnya. EV berkenaan diperkenalkan pada 2020 dan menggunakan platform HPC yang sama digunakan untuk Neta U-II. Di Thailand, Neta V menampilkan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik di depan dengan janaan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 150 Nm tork.

    Dengan jarak perjalanan 384 km mengikut standard NEDC (kadar WLTP biasanya 20% lebih rendah), model ini lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, dengan laju maksimum 101 km/j dan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat.

    Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

    Untuk pengecasan, Neta V menerima input AC maksimum (Type 2) 6.6 kW, dengan satu cas penuh mengambil masa lapan jam. Turut ada pengecasan DC dengan maksimum 100 kW yang membekalkan bateri dari 30-80% dalam masa 30 minit. Sementara itu, output sistem vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW untuk kegunaan peranti luaran.

    Untuk saiz, Netta V berukuran 4,070 mm panjang, 1,690 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,420 mm. Kelengkapan standard termasuklah rim 16-inci, lampu automatik (projektor halogen), DRL LED, lampu belakang LED, sistem tanpa kunci dengan Ride & Go, panel instrumen digital 12-inci, kawalan melayar, brek parkir elektronik, skrin sentuh 14.6-inci untuk infotainmen dengan kamera undur dan enam pembesar suara, balutan kerusi kulit buatan, kerusi elektrik larasan empat arah dan dua beg udara.

    Tiada sistem bantuan pemandu seperti AEB ditawarkan. Bagaimanapun ia ada ciri auto brake hold, bantuan mula mendaki, peninjau tekanan tayar dan kawalan melayar pasif, selain ciri keselamatan pasif biasa. Pada harga 549,000 baht (sekitar RM71k), Neta V agak mampu milik di Thailand dan sebenarnya 10,000 baht (sekitar RM1.3k) lebih murah berbanding varian paling rendah Yaris facelift di Thailand.

    Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

    Di atas Neta V ada Neta U-II, juga sebuah crossover yang lebih besar dengan ukuran 4,549 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,628 mm tinggi, serta jarak antara roda 2,770 mm. Ia hadir dengan dua output berbeza: satu dengan 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 210 Nm, sementara versi yang lebih berkuasa dengan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm — mengikut spesifikasi di China.

    Kapasiti bateri adalah antara 54.32 dan 81.57 kWh, dengan jarak perjalanan antara 401 dan 610 km mengikut standard CLTC. Sistem ADAS seperti kawalan melayar adaptif, AEB dan bantuan mengekalkan lorong turut disediakan untuk Neta U-II, dengan Qualcomm Snapdragon 8155 system-on-chip (SoC) menguasakan fungsi berkenaan.

    Yang terakhir, Neta S pula merupakan model syarikat itu yang pertama menggunakan paltform Shanhai. Neta S ialah sebuah sedan dengan pintu gullwing, hadir dengan ukuran 4,980 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,450 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,980 mm.

    Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

    Kapasiti bateri bagi Neta S adalah dari 43.51 hingga 91 kWh, dengan jarak perjalanan antara 310 km hingga 715 km. Dalam keadaan spesifik, Neta S didakwa mampu memberikan jarak 1,160 km untuk satu cas penuh — mengikut standard CLTC.

    Untuk sistem janaan kuasa, Neta S boleh dipilih sama ada versi motor elektrik belakang dengan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm. Selain itu, ada juga versi pacuan semua roda dengan tambahan satu lagi motor elektrik di belakang dengan output yang sama.

    Dari segi harga, Neta U-II dijual antara 135,800 dan 165,800 yuan (RM87,746 dan RM107,130) di China. Neta S lebih mahal, dengan harga pengenalan untuk masa terhad sekitar 179,800 yuan (RM116,454) dan boleh naik sehingga 341,800 yuan (RM220,869). Neta V di China pula dijual antara 83,800 dan 96,900 yuan (RM54,152 dan RM62,617).

    Neta V di Bangkok International Motor Show 2023

    Neta S di Bangkok International Motor Show 2023

     
     
  • BMW XM 2023 dipertonton di Malaysia — 653 PS/800 Nm, SUV PHEV; 0-100 km/j 4.3 saat, dari RM1.31 juta

    BMW XM 2023 dipertonton di Malaysia — 653 PS/800 Nm, SUV PHEV; 0-100 km/j 4.3 saat, dari RM1.31 juta

    BMW XM 2023 kini dipertontonkan di Malaysia, selepas SUV plug-in hybrid ini mula dibuka untuk tempahan di sini sejak Oktober lalu, diikuti pengumuman harganya pada Januari lalu.

    Ia dijangka akan memasuki pasaran pada Jun (unit yang dipamerkan semalam merupakan pemanduan sebelah kiri), dengan dua tahap kemasan iaitu Shadow Line dan Night Gold. Perbezaan antara keduanya hanyalah kemasan warna emas yang digunakan serta apron belakang serta kontras pada rimnya.

    Kedua-duanya dijual pada harga RM1,398,800 atas jalan tidak termasuk insuran, dengan jaminan lanjutan lima-tahun serta pakej servis. Harga dengan jaminan dua-tahun standard serta tanpa pakej servis pula adalah RM1,316,450.

    XM G09 ini hadir dengan ukuran dimensi 5,110 mm panjang, 2,005 mm lebar dan 1,755 mm tinggi, dengan jarak antara roda ialah 3,105 mm — ini menjadikan XM sangat gedabak, dengan berat 2,710 kg. Untuk pasaran tempatan, XM datang standard dengan pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line untuk luarannya, dengan kemasan hitam untuk profil Shadow Line.

    BMW XM 2023 dipertonton di Malaysia — 653 PS/800 Nm, SUV PHEV; 0-100 km/j 4.3 saat, dari RM1.31 juta

    Di dalam, XM datang dengan balutan kerusi kulit BMW Individiual Merino, stereng kulit M, kemasan gentian karbon M, tali keledar M, kerusi depan M dan kemasan kulit papan pemuka BMW Individual. Kelengkapan standard termasuklah lampu LED dengan bantuan lampu tinggi, suspensi adaptif M Professional, yang termasuk penyerap hentak kawalan elektronik, penstabil olengan aktif dan stereng aktif integral (stereng roda belakang), differential M Sport dan brek M Sport dengan angkup hitam berkilat.

    Kedua-dua varian menggunakan rim aloi 23-inci Star Spoke Style 923 M Bicolour, dengan warna hitam bagi Shadow Line. Tayar pula menggunakan saiz 275/35 di depan dan 315/30 di belakang. Di dalam, kelengkapan yang ada termasuklah BMW Curved Display yang menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh di tengah bersaiz 14.9-inci dengan BMW Operating System 8, penutupan pintu lembut, aliran udara aktif dan fungsi urut untuk kerusi depan.

    Tidak ketinggalan sistem bunyi Bowers & Wilkins Diamond, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecasan tanpa wayar, serta servis ConnectedDrive. Ruang but yang tersedia pula ialah 527 liter, yang boleh ditambah menjadi 1,820 liter jika kerusi belakang direbahkan.

    BMW XM 2023 dipertonton di Malaysia — 653 PS/800 Nm, SUV PHEV; 0-100 km/j 4.3 saat, dari RM1.31 juta

    Penjana hibridnya terdiri daripada enjin S68 4.4 liter twin-turbo V8, yang digandingkan dengan motor elektrik di dalam transmisi. Enjin ini menghasilkan 489 PS (483 hp atau 360 kW) dari 5,400 hingga 7,200 rpm dan 650 Nm tork dari 1,600 hingga 5,000 rpm.

    Sementara itu, motor elektriknya mempunyai output 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 280 Nm. Digabungkan, sistem ini memberikan 653 PS (644 hp atau 480 kW) dan 800 Nm. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan M Steptronic dengan Drivelogic dan pacuan semua roda M xDrive.

    Prestasinya memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan laju maksimum 270 km/j. Dengan kuasa elektrik sepenuhnya, XM memberikan jarak EV mengikut WLTP sejauh 82 hingga 88 km dan mampu mencapai laju 140 km/j dalam keadaan itu.

    Motor elektrik pula mendapatkan kuasanya dari bateri lithium-ion 317 V dan kapasiti tenaga 25.7 kWh (29.5 kWh kasar) yang ditempatkan di bawah lantai kereta. Pengecasan melalui AC (sambungan Type 2) pada kadar maksimum 7.4 kW mampu mengecas bateri dari 0-100% dalam masa empat jam 15 minit.

    Ciri keselamatan dari pakej Driving Assistant Professional menyediakan fungsi bantuan kawalan stereng dan pengekalan lorong, bantuan had kelajuan automatik, bantuan menukar lorong, kawalan melayar aktif dengan fungsi Stop & Go, amaran penukaran lorong, amaran lintasan trafik depan dan belakang serta bantuan penghindaran dan berhenti kecemasan.

    Ada juga Parking Assistant Plus, dengan bantuan mengundur, bantuan parkir sisi, kawalan jarak parkir aktif dan sistem pandangan keliling. Turut disertakan bantuan pemakluman tumpuan, pelindungan akustik bagi pejalan kaki serta pelindungan aktif.

    Tujuh warna disediakan: Cape York Green, Carbon Black, Marina Bay Blue, Toronto Red, Mineral White, Black Sapphire dan Dravit Grey. Untuk ruang dalaman, pemilik boleh memilih daripada empat skim balutan kerusi yang ada — Leather Merino Deep Lagoon dengan material kulit vintage, Leather Merino Silverstone dengan material kulit vintage, Leather Merino Black dam Leather Merino Sakhir Orange.

     
     
  • GALERI: Modenas Vulcan S 2023 – dari RM36,500

    GALERI: Modenas Vulcan S 2023 – dari RM36,500

    Beberapa minggu lalu, EMOS telah memperkenalkan semula Vulcan S ke dalam pasaran Malaysia, dengan harga jualan bermula RM36,500 untuk yang berwarna Metallic Flat Spark Black dan RM37,200 untuk Pearl Matte Saga Green.

    Bersempena dengan pembukaan pusat 4S pertama Kawasaki di Shah Alam, model cruiser ini turut ada dipamerkan dan di sini kami bawakan kepada anda galeri gambar sebenarnya. Kedua-dua warna yang ditawarkan ada di situ dan anda boleh melihat sendiri bagaimana rupanya.

    Vulcan S adalah sebuah motosikal cruiser kelas pertengahan, yang dipacu oleh enjin dua silinder selari, penyejukan cecair 649 cc DOHC, berkuasa 59.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 62.4 Nm pada 6,600 rpm, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan sistem rantai ke roda belakang.

    Tinggi tempat duduk Vulcan S cuma 705 mm, menjadikan ia mudah ditunggang pelbagai golongan, dan mencatat berat 229 kg. Motosikal ini juga datang dengan sistem Ergo Fit, yang membolehkan penunggang melaras kedudukan pemegang, tempat duduk dan peletak kaki untuk menjadikannya selesa mengikut kesesuaian sendiri.

    Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal 272 mm yang berada pada rim 18 inci hadapan, sementara pada rim 17 inci di belakang terdapat cakera brek 217 mm. Sistem ABS diberikan secara standard dan tayar yang digunakan masing-masing bersaiz 120/70 untuk hadapan dan 160/60 untuk belakang.

    Pada bahagian suspensi, Vulcan S mendapat fork teleskopik tanpa sebarang pelarasan di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Tangki bahan api model ini adalah 14 liter.

     
     
  • Toyota akan hentikan jualan Camry di Jepun hujung tahun ini – jualan jatuh, pelanggan lebih gemar SUV

    Toyota akan hentikan jualan Camry di Jepun hujung tahun ini – jualan jatuh, pelanggan lebih gemar SUV

    Selepas 43 tahun berada dalam pasaran, Toyota membuat keputusan untuk menghentikan jualan sedan segmen-D Camry di Jepun pada penghujung tahun ini, lapor Nikkei Asia.

    Keputusan ini dibuat kerana jumlah jualan sedan berkenaan semakin menurun dari tahun ke tahun, dengan hanya 6,000 unit Camry berjaya dijual di Jepun tahun lalu. Laporan ini menyebut antara penyebab jualan Camry menurun adalah kerana permintaan yang semakin tinggi terhadap model-model SUV dan MPV, selain kekurangan semikonduktor yang menjejaskan produksi turut menambah buruk lagi situasi.

    Tempahan untuk Camry baharu ini akan ditutup secara berperingkat, di mana Toyota sudahpun berhenti mengambil kebanyakkan tempahan baharu untuk pelanggan di Jepun. Walau bagaimanapun, produksi untuk Camry ini di Kilang Tsutsumi Wilayah Aichi masih akan diteruskan untuk pasaran eksport.

    Toyota mula menjual sedan dengan nama Camry (bermula dengan Celica Camry) di Jepun pada tahun 1980, dan sehingga kini sebanyak 1.3 juta unit Camry telah terjual hanya untuk pasaran Jepun. Camry turut dijual di lebih 100 buah negara di seluruh dunia, dan sehingga penghujung 2022 Camry sudah mencatat jualan global lebih dari 21 juta unit, menurut data dari Toyota.

    Toyota akan hentikan jualan Camry di Jepun hujung tahun ini – jualan jatuh, pelanggan lebih gemar SUV

    Amerika Syarikat merupakan pasaran utama Camry di mana ia menjadi model paling laris di negara berkenaan selama 15 tahun berturut-turut sehingga 2016, dan mencatatkan jualan melebihi 13 juta unit. Antara sebab mengapa ia begitu laris adalah kerana Camry menawarkan ruang yang luas, mudah dikendali serta tahan lama.

    Namun jualan Camry diatasi oleh satu lagi model Toyota di Amerika Syarikat iaitu Toyota RAV4, membuktikan pelanggan kini lebih sukakan SUV berbanding model-model sedan. Tahun lalu jualan global Camry mencatatkan angka sebanyak 600,000 unit.

    Di Jepun, Toyota mempunyai satu lagi sedan popular selain Camry iaitu Crown. Ia masih lagi kekal dijual di negara berkenaan, namun ketika model generasi baharu Crown diperkenalkan di sana tahun lalu, Crown kini bukan hanya dihasilkan sebagai sedan, malah ia turut dihasilkan dalam versi SUV dan Estate bagi kekal relevan dalam pasaran.

     
     
  • Kawasaki buka pusat 4S di Seksyen 15 Shah Alam

    Kawasaki buka pusat 4S di Seksyen 15 Shah Alam

    Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) yang kini menguruskan jenama Kawasaki di Malaysia membuka pusat 4S pertama bagi jenama Jepun tersebut, di Taman Perindustrian Tiong Nam, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

    Dipanggil sebagai Kawasaki Shah Alam, majlis pelancaran pusat 4S ini disempurnakan oleh ketua pegawai eksekutif EMOS, Roslan Roskan, ketua pegawai pemasaran EMOS, George Kashiwagi dan ketua pegawai eksekutif Kawasaki Shah Alam, Datuk Chear Kin Keong.

    Selain menempatkan bahagian jualan, alat ganti, servis dan pusat pameran, Kawasaki Shah Alam juga diiktirafkan sebagai Kawasaki All Star, di mana penggemar motosikal boleh mendapatkan semua jenis motosikal terbaru Kawasaki, dari yang berkapasiti rendah, hingga tinggi, termasuk juga model offroad tidak lama lagi.

    “Melihat sekitar Kawasaki Shah Alam ini, saya terinspirasi kedai yang pertama seumpamanya ini akan juga menjadi platform bagi komuniti Kawasaki untuk mengalami pelbagai produk inovatif Kawasaki dalam satu suasana yang serba lengkap. Kami percaya, kejayaan jenama Kawasaki terletak pada orang-orangnya,” kata Roslan.

    “Semua premis Kawasaki All Star kami menggunakan rekaan dan bentuk seperti Kawasaki Plaza di Jepun, dengan mengetengahkan pameran produk dan barangan rasmi. Kami percaya dengan menggunakan kepercayaan serta aspek rekaan yang sama, pusat pameran ini akan memberi rasa puas kepada pelanggan,” kata George.

     
     
  • CFMoto 450SR kini di Malaysia – 49.6 hp, harga RM29k

    CFMoto 450SR kini di Malaysia – 49.6 hp, harga RM29k

    CFMoto Malaysia mengumumkan bahawa model sports terbaru mereka iaitu 450SR kini sudah berada di semua wakil pengedar seluruh Malaysia dengan harga jualan RM28,888 tidak termasuk insurans. Motosikal ini ditawarkan dalam warna hitam dan putih, dan jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    CFMoto 450SR dipacu oleh enjin dua silinder selari 449 cc DOHC dan mampu menghasilkan kuasa 49.6 hp pada 9,500 rpm dan tork 39 Nm pada 7,600 rpm. Dengan berat 168 kg, motosikal ini dikatakan mencatat nisbah kuasa kepada berat 0.22 dan dapat memecut 0-100 km/j dalam masa bawah lima saat dan boleh menyamai tahap motosikal 600 cc.

    Memegang casis motosikal ini adalah fork USD 37 mm di hadapan dan monoshock di belakang. Ia disambungkan kepada rim 17 inci dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, yang datang lengkap dengan masing-masing cakera 320 mm bersama angkup Brembo empat piston dan cakera 220 mm dengan angkup satu piston – ABS diberikan secara standard.

    Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT lima inci, yang datang lengkap bersama sistem T-Box, modul 4G serta sensor 6D, membolehkan ia bukan sekadar disambungkan kepada telefon pintar, tetapi juga memaparkan informasi seperti masa pusingan dalam litar, kemas kini atas talian, sistem anti kecurian, informasi semasa motosikal serta pelbagai lagi.

    Perincian lain 450SR adalah termasuk tangki bahan api 14 liter, berat 168 kg dan tinggi tempat duduk 795 mm. Jarak roda pendek 1,370 mm motosikal ini dikatakan dapat membantu ia menjadi lincah dan mudah dikawal sewaktu tunggangan sporty.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025