Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Innova Zenix 2023 – imej bocor sebelum didedahkan di Indonesia, tampil rupa seperti SUV

    Toyota Innova Zenix 2023 – imej bocor sebelum didedahkan di Indonesia, tampil rupa seperti SUV

    Toyota Innova generasi baru sebelum ini dilaporkan bakal didedahkan di Indonesia hari ini, 17 November 2022. Namun sehingga petang ini masih tiada sebarang berita rasmi berkenaan model tersebut. Walau bagaimanapun, beberapa gambar MPV tujuh tempat duduk tersebut telah pun bocor di internet!

    Menerusi imej yang terdedah berkenaan, ia disahkan menggunakan nama Innova Zenix seperti yang didedahkan sebelum ini. Model generasi baharu ini kelihatan lebih seperti SUV, berbanding MPV dengan bentuk yang pelik bagi model generasi sebelumnya.

    Pada bahagian muka, Innova Zenix ini menerima gril tinggi berbentuk heksagon, diapit dan bersambung dengan lampu hadapan LED yang tirus. Manakala pada bampar, ia diberikan kemasan seakan liang ambilan udara pada setiap sisi dengan bahagian yang nipis pada bahagian tengah untuk menghubungkan kedua-duanya, bersama jalur lampu nyalaan siang LED yang diletakkan melintang.

    Toyota Innova Zenix 2023 – imej bocor sebelum didedahkan di Indonesia, tampil rupa seperti SUV

    Sekali tengok, Innova Zenix ini kelihatan seperti Toyota Corolla Cross dalam versi yang lebih besar – mungkin kerana rekaan pada gril hadapan dan bahagian penutup bonet hadapan yang menampilkan rekaan seakan sama antara kedua-duanya.

    Sedikit gambar dalaman Innova Zemix tersebut turut bocor, yang menampilkan keseluruhan rupa papan pemukanya. Untuk model generasi baharu ini, Innova menampilkan papan pemuka dengan rekaan lebih bersegi berbanding beralun pada model generasi sebelum itu. Ia turut diberikan skrin infotainmen yang agak besar dan diletakkan secara berdiri sendiri.

    Tombol gear kini diletakkan pada konsol yang bersambung dengan papan pemuka, dan telah terpisah dengan konsol terowong tengah. Bahagian hadapan penumpang hadapan direka dengan para yang kelihatan seperti ruang storan, serta diberikan pemegang cawan yang besar. Pemandu diberikan roda stereng baharu yang kelihatan seperti roda stereng Corolla Cross, tetapi dengan suis-suia kawalan yang berbeza.

    Toyota Innova Zenix 2023 – imej bocor sebelum didedahkan di Indonesia, tampil rupa seperti SUV

    Sebelum ini Toyota turut ada menyiarkan imej teaser yang mengesahkan bahawa Innova Zenix 2023 tersebut diberikan bumbung panaromik yang cukup besar, serta diberikan lampu suasana berwarna biru di sekelilingnya

    Dalam laporan sebelum ini, Innova 2023 dikhabarkan dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan akan didedahkan di Indonesia pada November, diikuti dengan pasaran India sebelum berakhir tahun ini. Secara spesifiknya, platform yang digunakan pada Innova baharu ini adalah dari varian TNGA-C bagi menggantikan casis ladder frame yang dikongsi bersama Toyota Hilux pada Innova generasi sebelumnya.

    Dalam gambar yang bocor ini turut boleh dilihat illustrasi seakan kuasa elektrik pada setiap roda, yang mungkin menandakan bahawa laporan sebelum ini menyebut bahawa Innova Zenix bakal menerima unit rangkaian kuasa hibrid adalah benar.

    Spyshot Toyota Innova 2023 di India

    Platform TNGA sememangnya dibangunkan untuk menerima sistem janaan dengan elektrifikasi seperti yang pernah dilihat pada Corolla Cross Hybrid dan Lexus UX300e EV. Sistem janaan yang sama dalam Corolla Cross Hybrid mungkin akan digunakan untuk Innova bagi memberikan kuasa keseluruhan sistem 122 PS menerusi gandingan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson (98 PS/142 Nm), eCVT dan motor elektrik (72 PS/163 Nm).

    Apa pun kita tunggu sahaja perincian rasmi yang dikeluarkan oleh Toyota mungkin dalam sedikit sahaja masa lagi – ada khabar mengatakan pelancarannya di Indonesia telah ditunda dari hari ini ke 21 November nanti.

    GALERI: Teaser dan spyshot Toyota Innova Zenix 2023

     
     
  • Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar off-road, 480 PS/570 Nm

    Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

    Porsche telah mendedahkan model edisi terhad 911 Dakar, iaitu Porsche 911 generasi 992 dengan kebolehan off-road dihasilkan dengan inspirasi dari jentera rali rentas negara Porsche 911 yang memenangi Rali Paris-Dakar 1984, dan merupakan 911 pertama diberikan sistem pacuan semua roda.

    Model edisi istimewa ini didedahkan di Los Angeles Auto Show 2022yang kini sedang berlangsung di Amerika Syarikat, dan ia hanya dihasilkan sebanyak 2,500 unit sahaja. Ia diasaskan dari 911 Carrera 4 GTS, kemudian bukan sahaja diberi penggayaan sebuah kereta rali, malah turut menampilkan suspensi, set roda dan perincian lain yang sesuai untuk pengembaraan di padang pasir menerusi pakej opsyen Rallye Design Package.

    911 Dakar ini diberikan jarak kelegaan tanah 50 mm lebih tinggi dari 911 Carrera dengan suspensi Sport. Manakala sistem lift yang dipadankan secara standard pula mampu meninggikan kereta ini dengan tambahan 30 mm – menjadikan tingginya seakan sebuah SUV.

    Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

    Sistem lift yang diberikan tersebut bertujuan untuk memudahkan kereta ini melepasi laluan yang berhalangan, dan kemudian boleh direndahkan semula ketika dipandu di jalan raya biasa. Namun menurut Porsche, dalam kedudukan paling tinggi, talaan pada suspensi tersebut masih boleh dipandu dengan stabil pada kelajuan 170 km/j. Sistem tersebut juga akan merendahkan semula kereta secara automatik sekiranya kelajuan melebihi 170 km/j.

    Secara standard, 911 Dakar ini dipadankan dengan rim 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang, bersama tayar Pirelli Scorpion All Terrain Plus (245/45ZR19 di hadapan dan 295/40ZR20 di belakang). Tayar off-road tersebut menampilkan bunga setebal 9 mm dengan dua lapisan Carcass bersama dinding sisi yang diperkuat.

    Menurut Porsche, tayar ini bukan hanya memberikan prestasi pemanduan untuk permukaan off-road, malah turut memberikan dinamik sebuah kereta sport pada permukaan jalan biasa. Pembeli turut boleh memilih tayar musim panas atau musim sejuk Pirelli P Zero sebagai opsyen.

    Model ini masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti Carrera 4 GTS, menggandingkan enjin flat enam-silinder dengan dua pengecas turbo menghasilkan kuasa 480 PS dan tork maksima 570 Nm, bersama kotak gear klac berkembar automatik PDK lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda.

    Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat, dan kelajuan maksimanya hanya dihadkan pada 240 km/j (309 km/j untuk Carrera 4 GTS biasa) kerana ia diberikan tayar off-road jenis all-terrain.

    Selain itu, model ini juga datang standard dengan sistem stereng pada gandar belakang, cagak-cagak enjin yang diambil dari 911 GT3, dan sistem penstabil anti-oleng aktif Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC). Menurut Porsche, talaan pada 911 Dakar ini bukan sahaja memberikan pengendalian yang baik di atas permukaan off-road yang licin, malah turut boleh beraksi dengan baik di litar Nürburgring Nordschleife.

    Porsche 911 Dakar ini diberikan dua mod pemanduan baharu istimewa yang tiada pada 911 lain bagi memberikan prestasi maksimum pada permukaan off-road. Pertama adalah mod Rallye yang dihasilkan khas untuk permukaan licin dan tidak sekata, menampilkan agihan tork pacuan semua roda yang lebih tertumpu pada roda belakang.

    Yang kedua adalah mod Offroad, iaitu mod yang akan meninggikan kereta dengan sistem lift secara automatik, direka bagi memberikan cengkaman maksima pada permukaan jalan yang sukar dan di atas pasir. Kedua-dua mod baharu ini juga didatangkan dengan fungsi Rallye Launch Control, yang akan memberikan pecutan terbaik pada permukaan licin dan membenarkan tayar tergelincir pada kadar sekitar 20%.

    Antara perincian lain yang menjadikan 911 Dakar ini unik termasuk spoiler belakang yang ringan diperbuat dari material plastik diperkuat gentian karbon (CFRP) dan juga penutup ruang kargo hadapan CFRP yang diberikan liang dari udara 911 GT3.

    Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

    Ia juga menerima perincian lasak sebuah kenderaan off-road seperti cangkuk tunda alumnium berwarna merah di hadapan dan belakang, ruang roda dan panel bendul sisi yang lebih lebar, serta panel-panel pelindung logam tahan karat yang diberikan pada bawah bampar hadapan, belakang dan sisi. Liang pengambil udara pada bampar hadapan turut diberikan gril logam tahan karat untuk memberikan perlindungan terhadap batu.

    Bumbung Porsche 911 Dakar ini diberikan port kuasa 12-volt bagi membolehkan ia membekalkan kuasa elektrik untuk lampu tambahan sekiranya pembeli memilih rak bumbung yang ditawarkan secara opsyen. Rak berkenaan mampu membawa beban seberat 42 kg, bagi menyimpan pelbagai peralatan rali rentas negara seperti bekas simpanan air dan bahan api, penyodok boleh lipat serta traction board. Porsche turut menawarkan khemah bumbung yang boleh dipadankan pada rak bumbung tersebut.

    Dalam kabin, 911 Dakar ini menerima tempat duduk bucket untuk bahagian hadapan, manakala tempat duduk belakangnya sudah dicabut. Ia juga diberikan cermin-cermin ringan serta bateri ringan bagi mengurangkan beratnya. Ini membolehkan 911 Dakar tersebut ditimbang hanya 1,605 kg, atau 10 kg lebih ringan berbanding 911 Carrera 4 GTS dengan kotak gear PDK.

    Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

    Perincian standard dalaman lain yang diberikan termasuk upholsteri Race-Tex dengan jahitan Shade Green – sekiranya pembeli memilih 911 Dakar dengan warna badan metalik. Manakala pakej Rallye Sport yang menampilkan bar roll over (separa-roll cage), tali pinggang perlumbaan enam-poin dan pemadam bahan api ditawarkan secara opsyen.

    Warna badan dua-tona putih/Gentian Blue seakan livery perlumbaan ‘Rothmans’ seperti kereta rali Porsche Rali Paris Dakar 1984 yang anda lihat dalam foto di atas merupakan sebahagian pakej Rallye Design yang ditawarkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur.

    Pelanggan yang memilih pakej ini boleh memilih nombor perlumbaan unik masing-masing antara angka 0 hingga 999, namun tulisan “Rohtmans” akan digantikan dengan “Roughroads” yang didakwa sudah dipatenkan. Pakej ini juga menampilkan set rim yang kenakan kemasan berwarna putih.

    Pembeli Porsche 911 Dakar ini juga ditawarkan untuk menempah kereta mereka dengan jam tangan eksklusif Porsche Design Chronograph 1 911 Dakar Rallye Design Edition. Buat pertama kali, jam tangan tersebut menampilkan perumah anti-calar dan diperbuat dari titanium karbida ringan.

     
     
  • PRU15: ANIH Berhad keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan bagi LPT1 untuk 18 Nov dan 20 Nov 2022

    PRU15: ANIH Berhad keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan bagi LPT1 untuk 18 Nov dan 20 Nov 2022

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), telah mengeluarkan cadangan waktu perjalanan untuk pengguna lebuh raya berkenaan, bagi tempoh 18 dan 20 November, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

    Menurut ANIH, terdapat dua pilihan waktu perjalanan bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang iaitu memasuki Plaza Tol Gombak ke Pahang pada 18 November dari 10 pagi hingga 2 petang, serta untuk ke Terengganu dan Kelantan pada 6 pagi hingga 10 pagi dan 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

    Untuk pilihan kedua pula, syarikat itu mencadangkan waktu perjalanan ke Pahang dari 8 malam hingga 11 malam. Manakala laluan ke Terengganu dan Kelantan pula dari 5 petang hingga 8 malam.

    PRU15: ANIH Berhad keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan bagi LPT1 untuk 18 Nov dan 20 Nov 2022

    Bagi perjalanan menghala ke Lembah Klang pada 20 November, ANIH Berhad mencadangkan jadual perjalanan dari Pahang (6 pagi-10 pagi), Terengganu (8 pagi-11 pagi), Kelantan (6 petang-8 malam) dan 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

    Selain itu, pengguna dari arah Pahang untuk ke Lembah Klang juga boleh memulakan perjalanan antara jam 7 malam hingga 10 malam, Terengganu (8 malam-10 malam) dan Kelantan (10 malam-12 tengah malam).

    ANIH Berhad turut berkata, kenderaan ringan dinasihati mengelak daripada memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu perjalanan bas ekspres ke Pantai Timur iaitu 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam.

     
     
  • PRU15: Sebahagian Lebuh Bandar Utama ditutup – aliran kontra dari Sabtu 6 pagi hingga Ahad 2 pagi

    Untuk penduduk Bandar Utama dan kawasan sekitarnya, ini ada makluman penting buat anda. Polis daerah Petaling Jaya telah memaklumkan sebahagian besar Lebuh Bandar Utama (dua lorong) akan ditutup mulai jam 6 petang Sabtu ini (19 November) hingga 2 pagi, Ahad (20 November), ia bagi kelancaran proses pengiraan undi untuk kerusi Damansara, yang bakal berlangsung di dewan komuniti di BU 11.

    Menurut Ketua Polis PJ Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, penutupan sebahagian laluan terbabit adalah dari persimpangan Jalan BU 11/7 selepas menuruni cerun dari Sprint (sebelum Beverley Residence) hingga ke lampu isyarat selepas dewan komuniti terbabit.

    Dua lorong kanan (laluan kanan jika anda dari Sprint) juga akan ditutup, jadi lorong kiri akan bertindak sebagai aliran kontra – satu lorong untuk setiap arah. Kemungkinan berlaku keseskan trafik, jadi langkah terbaik adalah mengelak laluan berkenaan pada Sabtu malam. Pihak polis juga menyarankan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif.

    Untuk Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) ini, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh akan bertanding di kerusi Damansara, mengambil tempat dari Tony Phua (DAP). Wakil PH itu akan menentang Tan Gim Tuan (BN) dan Lim Si Ching (Perikatan Nasional).

     
     
  • Kymco SuperNEX dan RevoNEX diperbaharui – motosikal elektrik dengan enam gear, barang prestasi

    Kymco SuperNEX dan RevoNEX diperbaharui – motosikal elektrik dengan enam gear, barang prestasi

    Pada tahun 2018, Kymco telah menunjukkan buat kali pertama motosikal elektrik sports mereka yang dipanggil sebagai SuperNEX dan ia kemudiannya diikuti pula oleh versi naked, RevoNEX pada tahun 2019. Sekarang selepas beberapa tahun, dua motosikal konsep itu diperbaharui dan dibawa ke pameran EICMA 2022.

    Berbanding dengan rekaan yang lebih konvensional sebelum ini, SuperNEX dan RevoNEX baru nampak lebih menonjol terutamanya dengan panel yang mempunyai kemasan bercorak heksagon menutupi keseluruhan bahagian tepinya. Bentuk bahagian hadapan dan belakang juga telah berubah.

    Spesifikasi teknikal dua motosikal konsep ini masih belum didedah, tetapi kita boleh menjangka ia masih sama seperti sebelum ini dan Kymco juga memberitahu, ia “menggabungkan penggerak berkuasa dengan teknologi maju, untuk memberikan semua benda yang diingini oleh penunggang motosikal sport moden.”

    “Kymco SuperNEX dan RevoNEX mengembangkan lagi falsafah rekaan asal yang memberikan penunggang lima pengalaman tersendiri: keseronokan menukar gear, keterujaan prestasi, keyakinan pengendalian, sensasi bunyi serta kepelbagaian mod tunggangan,” kata pengerusi Kymco, Allen Ko.

    Dengan ayat-ayat seperti ini, kita boleh menjangkakan bahagian teknikal tidak diubah, dan masih datang dengan perincian sama seperti yang didedahkan sebelum ini, termasuk kemampuan memecut 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat bagi SuperNEX dan 3.9 saat bagi RevoNEX, mempunyai beberapa mod tunggangan dan motor elektrik yang boleh mengeluarkan bunyi khas, serta transmisi enam kelajuan berserta klac di tangan.

     
     
  • Lucid Gravity 2024 ditunjuk dalam teaser – SUV EV mewah dengan jarak gerak lebih dari Tesla Model X

    Lucid Gravity 2024 ditunjuk dalam teaser – SUV EV mewah dengan jarak gerak lebih dari Tesla Model X

    Selepas memperkenalkan kepada dunia Lucid Air, pengeluar kenderaan elektrik mewah yang berpusat di California, Lucid Motors kini bersedia untuk melancarkan model kedua mereka. Dipanggil sebagai Gravity, model tersebut akan menjadi SUV pertama jenama itu, dengan pelancaran yang dirancang berlaku pada tahun 2024 dan pembukaan tempahan pada tahun 2023 di Amerika Syarikat.

    Berdasarkan gambar yang diberi, Gravity akan menggunakan konsep rekaan sama seperti Air, dengan termasuk jalur lampu penuh di bahagian hadapan, menyambungkan lampu utamanya yang nipis. Bukaan udara di bucu dan bawah bampar juga hampir sama seperti Air, tetapi ia dibentukkan semula supaya berpadanan dengan tinggi serta kemasan SUV tersebut.

    Di bahagian belakang juga terdapat satu lagi jalur lampu penuh, melalui tulisan Lucid yang berada di tengah. Atas padanya terdapat spoiler bumbung besar yang bersambung dengan d-pillar dan tertulis nama modelnya. Bentuk keseluruhan Gravity nampak seperti lebih berpetak, tetapi syarikat itu mendakwa ia adalah lebih aerodinamik berbanding SUV lain di dunia.

    Lucid juga turut menyatakan bahawa SUV mereka “boleh memenuhi sebarang keperluan dan gaya hidup,” dengan tetapan tempat duduk dua atau tiga baris yang boleh memuatkan sehingga tujuh penumpan. Bumbung panoramik besar disediakan pada SUV ini, dan ia juga akan mendapat panel paparan Glass Cockpit generasi baru yang dikuasakan oleh perisian Lucid UX terbaru.

    Berkenaan penggeraknya, Lucid masih belum mendedahkan sebarang perincian, tetapi mendakwa Gravity dapat memberikan prestasi seperti supercar dan menawarkan jarak gerak “lebih daripada model lain dalam pasaran,” kecuali Air.

    Ia dijangka mendapat pilihan penggerak sama seperti sedan itu, termasuk tetapan motor tunggal, dua atau tiga, dipadankan bersama pek bateri berkapasiti antara 88 hingga 118 kWh. Model Air sekarang ini menyediakan jarak gerak yang paling jauh bagi EV yang diiktiraf oleh United States Environmental Protection Agency, dengan catatan 840 km.

     
     
  • Toyota sasar juara keseluruhan perlumbaan Sepang 1000KM dengan Vios MTC hujung minggu ini

    Toyota sasar juara keseluruhan perlumbaan Sepang 1000KM dengan Vios MTC hujung minggu ini

    Perlumbaan ketahanan tahunan Sepang 1000KM (S1K) bakal berlangsung hujung minggu ini – UMW Toyota Motor (UMWT) menerusi pasukan Toyota Gazoo Racing (TGR) Malaysia sekali lagi bakal bertarung tahun ini bagi mengatasi keputusan yang dicatatkan tahun lalu.

    Untuk S1K 2022, skuad TGR Malaysia akan diterajui oleh dutanya sendiri – Prince of Drift, Tengku Djan Ley yang akan memandu Vios dengan spesifikasi tertinggi dalam S1K iaitu kelas MTC. Tengku Djan bukan nama asing S1K dan pernah bergelar juara keseluruhan pada 2014 dan 2016.

    Ini tahun kedua Tengku Djan berlumba dengan Vios MTC dalam S1K. Tahun lalu Vios berkenaan menunjukkan prestasi yang baik dengan mendahului perlumbaan pada babak-babak awal, tetapi hanya berjaya menghabiskan perlumbaan di kedudukan ke-11 apabila menghadapi masalah kerosakan pada suspensi hadapan sebelah kiri.

    Tahun ini Tengku Djan sekali lagi bakal bergandingan dengan pelumba muda yang juga juara perlumbaan Vios Challenge musim ke-5, Naquib Azlan. Selain dari jentera utama kelas MTC ini, 15 unit Vios dalam kelas SP2 turut akan bertanding dalam Gazoo Racing Vios Enduro Cup yang berlangsung sekali pada S1K kali ini.

    Penyertaan Vios Enduro Cup ini dibuka untuk semua jentera-jentera Vios yang dihasilkan untuk siri perlumbaan one make Vios Challenge dan juga Vios Sprint Cup tanpa mengira generasi.

    “Perlumbaan endurance adalah kemuncak untuk perlumbaan permotoran dan Vios, serta model seperti Yaris, telah berjaya menunjukkan kebolehan dan prestasi yang jelas untuk menjadi pemenang pada perlumbaan Sepang 1000 KM edisi 2021,” kata presiden UMWT, Ravindran K.

    “Perlumbaan Gazoo Racing Vios Enduro Cup menggambarkan lagi keupayaan Vios standard produksi dalam ujian getir ini, perlu diingatkan bahawa kereta yang sama telah mengharungi enam perlumbaan dalam Vios Challenge dan empat lagi perlumbaan satu jam dalam Vios Sprint Cup tahun ini,” tambahnya lagi.

    Selain pasangan Tengku Djan dan Naquib Azlan (juga bersama Akio Takeyama) yang bertanding dalam kelas MTC tahun lalu, Toyota turut menampilkan hatchback Yaris dalam kelas MTC dari pasukan Wing Hin Motorsport yang dipandu pasangan pemandu muda Hayden Haikal and Timothy Yeo.

    Toyota sasar juara keseluruhan perlumbaan Sepang 1000KM dengan Vios MTC hujung minggu ini

    Yaris berkenaan menghabiskan S1K 2021 di kedudukan pertama, meninggalkan lawan pesaing terdekatnya tiga-lap di belakang. Walau bagaimanapun, pihak pengendali perlumbaan mendapati Yaris tersebut telah melanggar beberapa undang-undang perlumbaan dan dikenakan penalti, menyebabkan ia jatuh ke tempat ketiga.

    Manakala sebuah lagi Vios MTC yang dipandu oleh pasangan Boy Wong dan Dannies Ng berada di tempat keempat untuk kelas MTC dan keenam secara keseluruhan untuk S1K 2021. Ini membolehkan tiga buah Toyota berada di dalam senarai lima teratas dalam perlumbaan dengan 39 penyertaan tersebut.

    Ravindran menambah bahawa Gazoo Racing Vios Enduro Cup akan menjadi medan pertarungan akhir yang sesuai untuk apa yang telah disifatkan sebagai “musim perlumbaan yang sangat berjaya dan tidak dapat dilupakan untuk Toyota”. Musim kelima perlumbaan one make Vios Challenge dan juga Gazoo Racing Vios Sprint Cup yang berlangsung bersama Malaysia Championship Series (MCS) telah pun tamat baru-baru ini.

    Toyota sasar juara keseluruhan perlumbaan Sepang 1000KM dengan Vios MTC hujung minggu ini

    “Meluaskan lagi perlumbaan selain Vios Challenge adalah sejajar dengan aspirasi UMWT untuk mewujudkan asas yang lebih besar dan bagi memberi sumbangan yang meninggalkan kesan kepada sukan permotoran Malaysia. Ia selaras dengan objektif kami untuk terus membina produk yang lebih baik,” katanya.

    Untuk Gazoo Racing Vios Enduro Cup 2022, sejumlah RM30,000 hadiah wang tunai akan menjadi rebutan dengan juara keseluruhan akan membawa pulang RM10,000. Slot terhad masih ada untuk pasukan yang berminat menyertai perlumbaan ini, dan anda boleh menghubungi Janet di talian 016-3673300 untuk mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut.

    Perlumbaan S1K 2022 akan bermula pada hujung minggu ini, di mana sesi latihan rasmi akan bermula pada hari Khamis, 17 November diikuti sesi kelayakan akan berjalan pada hari Jumaat 18 November. Perlumbaan sebenar akan bermula pada hari Ahad 20 November di mana pelumba akan dilepaskan secara rolling start pada pukul 9.30 pagi, dijangka berakhir pada pukul 6.30 petang selepas kereta pertama melepasi garis penamat dengan menghabiskan sebanyak 181 lap.

     
     
  • Pirelli 360 Tyre Secure — jaminan kerosakan jalanan selama enam bulan, program gantian tayar 1-kepada-1

    Pirelli 360 Tyre Secure — jaminan kerosakan jalanan selama enam bulan, program gantian tayar 1-kepada-1

    Dengan hanya tayar yang menjadi satu-satunya komponen kenderaan yang bersentuhan dengan permukaan jalan, maka peranannya terhadap aspek keselamatan adalah sangat penting. Untuk itu, kita sentiasa memerlukan tayar yang terbaik digunakan bagi kenderaan. Namun, ada waktunya, secekap mana pun kita cuba memastikan keadaan terbaik untuk tayar, ia sentiasa terdedah kepada kerosakan di jalanan.

    Untuk itu, Pirelli kini menawarkan program Pirelli 360 Tyre Secure di Malaysia, yang mana tayar Pirelli bersaiz 17-inci ke atas — yang dibeli daripada pengedar sah atau dari kedai online flagship Pirelli di Lazmall dan Shopee — akan diberi perlindungan selama enam-bulan dalam bentuk jaminan kerosakan jalanan bermula dari tarikh tayar dipasang.

    Tayar Pirelli yang rosak boleh ditukar di bawah program ini sekiranya tayar berkenaan telah mengalami kerosakan ketika di jalanan dan tidak dapat dibaik pulih lagi, dalam tempoh enam bulan selepas ia dipasang, serta masih menunjukkan kedalaman bunga minimum 6 mm. Jenis kerosakan tayar yang tidak termasuk di bawah pelindungan ini termasuklah perlanggaran kenderaan, kebakaran, vandalism dan kecurian.

    Sebagai tambahan, program ini juga termasuk sekali dengan jaminan terhad Pirelli selama lima-tahun bagi perlindugan daripada kecuaian pengeluaran. Jaminan ini sah sepanjang hayat pertama rekaan corak bunga tayar mengikut baki minimum penggunaan bunga yang diluluskan, bergantung kepada keadaan setempat.

    Pirelli 360 Tyre Secure — jaminan kerosakan jalanan selama enam bulan, program gantian tayar 1-kepada-1

    Untuk membuat tuntutan daripada jaminan Pirelli 360 Tyre Secure ini bagi tayar Pirelli sah sebaik sahaja kad jaminan Pirelli 360 Tyre Secure didaftarkan secara dalam talian, tunjukkan resit pembelian tayar berkenaan di mana-mana cawangan pengedar sah Pirelli, dan sebaik sahaja tayar rosak itu diganti (bergantung kepada keadaan kerosakannya), anda tidak perlu menanggung kos untuk tayar baru tersebut dan boleh terus menggunakannya.

    Dengan perlindungan program Pirelli 360 Tyre Secure, anda boleh menikmati aspek keselamatan dan prestasi tayar Pirelli dengan fikiran yang lebih tenang dengan mengetahui anda akan tetap dilindungi sekiranya tayar tersebut rosak akibat keadaan jalan yang tidak elok.

    Selepas pembelian empat tayar baru Pirelli dari cawangan pengedar sah Pirelli, klik di sini untuk mendaftarkan tayar Pirelli anda ke dalam program Pirelli 360 Tyre Secure, dan sertai kedai online rasmi Pirelli di Shopee, di sini.

     
     
  • Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

    Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

    Toyota Prius merupakan model produksi massa pertama di dunia yang menampilkan teknologi hibrid enjin petrol dan motor elektrik – sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 1997, Prius sudahpun di’cop’ sebagai sebuah kereta mesra alam yang bosan. Tetapi dari masa ke masa Prius terus berevolusi, dan ini dia Toyota Prius generasi kelima didedahkan dengan rupa yang sangat sporty dan futuristik!

    Model 2023 ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA), iaitu versi evolusi dari casis TNGA Prius generasi keempat. Toyota mengatakan bahawa ia “mengambil keputusan untuk memulakan semula penghasilan Prius bagi menjadikan ia kekal popular untuk 25-tahun akan datang.”

    Oleh sebab itu selain bahagian belakangnya yang kekal dihasilkan sebagai liftback, rekaan Prius generasi kelima ini dilihat seperti tiada langsung kaitan dengan empat generasi sebelumnya. Sekali tengok Prius ini kelihatan sebuah kereta konsep, tetapi hakikatnya ia sememangnya model produksi sebenar. Ia menampilkan badan yang lebar bersama bumbung yang rendah, manakala ruang rodanya direka besar dan ‘berotot’ serta turut diberikan set roda yang besar.

    Bahagian hadapan Prius ini diberikan muka yang direka seakan ikan jerung hammerhead, menampilkan jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersambung terus dengan lampu utama hadapan serta gril yang direka nipis. Gril lebih besar terletak pada bampar yang menampilkan bentuk heksagon.

    Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

    Dilihat dari sisi atas hadapan, fender belakang kelihatan melebar dan memberikan imej yang cukup sporty. Pembuka pintu belakang juga disorokkan pada cermin suku seperti Toyota C-HR bagi memberikan rupa seakan coupe dua-pintu. Di belakang, Prius ini menampilkan lampu yang merentangi sepenuhnya penutup but dengan rekaan seperti kapal angkasa.

    Pada bahagian kabin, Prius 2023 ini dilihat diberikan roda stereng dan paparan instrumen yang diletak tinggi seperti SUV elektrik Toyota bZ4X. Menurut Toyota, paparan instrumen tersebut diposisikan sedemikian bagi membolehkan ia memberikan amaran bernyala di mana sistem berkenaan akan memberikan kerlipan lampu apabila sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense mengesan halangan sebelum memberikan amaran secara audio.

    Menurut Toyota, platform TNGA (dalam varian GA-C) generasi kedua yang digunakan pada Prius 2023 ini menampilkan pusat graviti yang lebih rendah serta mampu memuatkan set roda lebih besar. Kerangka badan kereta ini juga kini dikeraskan lagi bagi memberikan pemanduan yang lebih senyap.

    Ia masih menampilkan konfigurasi suspensi yang sama seperti Prius generasi keempat iaitu sistem Topang McPherson di hadapan dan sistem double wishbone di belakang. Menurut Toyota, gandingan talaan suspensi dan juga unit rangkaian kuasa terbaharu, ia memberikan prestasi pemanduan yang menarik untuk Prius ini.

    Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

    Model generasi kelima ini menerima unit jauh lebih berkuasa dari sebelumnya. Ia kini ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) menggandingkan enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW).

    Pek bateri pada sistem ini dialihkan dari ruang kargo ke bawah tempat duduk belakang. Jadi ia tidak menggangu kapasiti muatan pada but dalam masa yang sama memberikan titik graviti lebih baik.

    Toyota juga menyatakan bahawa walaupun dengan enjin petrol lebih besar, unit rangkaian kuasa pacuan roda hadapan ini masih memberikan tahap efisien yang sama seperti versi 1.8 liter sebelum ini. Ia juga didakwa mampu memberikan jarak pemanduan dengan kuasa elektrik sepenuhnya 50% lebih jauh, dan pecutan 0-100 km/h yang hanya mengambil masa 6.7 saat berbanding 11.1 saat sebelum ini.

    Unit rangkaian kuasa PHEV ini juga menampilkan mod My Room, di mana pengguna masih boleh menikmati sistem penghawa dingin dan juga sistem audio dari punca kuasa luaran ketika kereta ini di cas semula menggunakan fasilii pengecas.

    Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

    Prius 2023 ini juga ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa Series Parallel Hybrid System (HEV) dalam versi 2.0 liter dan 1.8 liter. Model HEV 2.0 liter turut diberikan enjin M20A-FXS bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 196 PS (193 hp). Toyota masih belum memperincikan versi 1.8 liter HEV, tetapi ada laporan mengatakan ia masih akan menggunakan enjin 2ZR-FXE seperti sebelum ini.

    Bagi pelanggan yang mahukan sistem pacuan semua roda, ia hanya ditawarkan pada model-model HEV dengan sistem E-Four, iaitu tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar belakang bagi memberikan cengkaman AWD.

    Model generasi baharu ini juga mampu membekalkan kuasa ke luar dengan diberikan dua soket aksesori 100-volt, 1.5 kW AC – satu di belakang konsol tengah dan satu lagi di ruang but belakang – yang boleh digunakan untuk menghidupkan pelbagai perlalatan elektrik. Kuasa tersebut boleh dibekalkan terus dari bateri sistem hibrid, atau menggunakan mod bekalan kuasa luar HEV yang akan menghidupkan enjin bagi mengecas bateri sekiranya kuasa berada pada tahap terlalu rendah.

    Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

    Toyota turut menghasilkan komponen khas untuk dipasang pada cermin tingkap belakang, yang membolehkan kuasa dibekalkan ke luar walaupun pun tingkap ditutup bagi mengelakkan air hujan atau serangga masuk ke dalam kabin. Prius ini turut menampilkan sistem pengecas solar untuk model PHEV, didakwa dapat menghasilkan kuasa untuk jarak gerak 1,250 km setahun.

    Untuk keselamatan, Prius 2023 ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang beroperasi menggunakan kamera monukular di hadapan, kamera menghadap ke belakang untuk cermin pandang belakang digital, dan perekod video dalam kenderaan yang menyimpan data pada ECU bagi mengelakkan masalah data korup.

    Semua varian akan menerima kelengkapan keselamatan ini secara standard, dengan penambahbaikan dibuat pada jarak mengesan objek serta sistem bantuan parkir Advanced Park yang kini boleh dikendalikan secara jarak jauh dari luar kenderaan melalui aplikasi telefon pintar. Model HEV akan dilancarkan pada musim sejuk tahun ini, manakala model PHEV akan mula dijual pada musim bunga 2023.

     
     
  • Harga minyak 17-23 Nov – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 17-23 Nov – semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan untuk minggu bertarikh 17 hingga 23 November 2022, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara masih dikekalkan seperti minggu sebelum ini. Ini bermakna enam minggu berturut-turut tiada perubahan harga runcit bagi petrol dan diesel.

    Di mana harga runcit bagi petrol RON 97 dikekalkan pada harga RM3.95 seliter. Untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bagi diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic RS e:HEV 2022 — RM166,500

    VIDEO: Honda Civic RS e:HEV 2022 — RM166,500

    Honda Civic RS e:HEV 2022 yang dilancarkan semalam untuk pasaran tempatan meneruskan lagi penawaran Honda Malaysia dalam segmen kenderaan berteknologi hibrid ketika ini. Ini bukanlah hal baru yang dilakukan syarikat itu, kerana Civic Hybrid yang pertama sekali sudah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2007 dahulu.

    Dalam penawarannya bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini juga dapat dilihat perkembangan yang sama: Honda City sedan dan hatchback kedua-duanya dihadirkan dalam varian hibrid. Dan, model terbaru yang diperkenalkan untuk pasaran tempatan, HR-V juga mengikut langkah yang sama — hibrid sebagai penawaran paling lengkap, paling canggih dan paling mahal antara kesemuanya.

    Dan kini, corak yang sama diteruskan oleh Civic RS e:HEV 2022, yang dijual pada harga RM166,500. Jika dibandingkan dengan Civic RS petrol sebelum ini (yang dijual pada harga RM151k), beza harga yang terlibat adalah sekitar RM16k. Jadi apa kelebihan dan pertambahan ciri yang ada pada model hibrid ini? Dan adakan ia berbaloi dengan pertambahan harga tersebut.

    Antara perkara unik dan perlu disebutkan adalah, Civic hibrid ini merupakan Honda yang pertama di sini yang menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik. Ia berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri.

    Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm. Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol, dan sebab itulah ia masih diberikan transmisi E-CVT.

    Untuk tahu perbezaan dan kelaian Civic hibrid ini berbanding versi petrolnya, tonton video ringkas yang kami sediakan ini. Antara keduanya memang nampak sama, tapi “isi” dan prestasi agak jauh berbeza.

     
     
  • EICMA 2022: Aprilia RS660 Extrema – 3 kg lebih ringan, barangan gentian karbon, perisian dipertingkat

    EICMA 2022: Aprilia RS660 Extrema – 3 kg lebih ringan, barangan gentian karbon, perisian dipertingkat

    Aprilia hadir ke pameran EICMA dengan membawa satu versi ubah suai bagi sportbike kelas pertengahan mereka, dipanggil sebagai RS660 Extrema. Menggunakan RS660 biasa sebagai asas, model ini kemudiannya dipasang dengan beberapa barangan bagi menaikkan prestasinya.

    Paling utama, beratnya telah berkurang tiga kilogram, menjadi 166 kg (kering) hasil daripada penggunaan penghadang lumpur hadapan dan pelindung bawah enjin gentian karbon, serta ekzos SC Project yang terletak di tepi motosikal (RS660 biasa mempunyai ekzos pendek di tengah motosikal).

    Satu lagi naik taraf yang dibuat adalah pada bahagian elektronik. Sistem standard termasuk Traction Control, Cornering ABS, Engine Brake Control, Wheelie Control serta mod tunggangan kini ditambah dengan perisian quickshifter yang membolehkan pengguna mengubah jenis tukaran gear daripada jenis biasa kepada GP dengan lebih mudah.

    Bahagian lain masih lagi sama seperti RS660 standard, termasuk enjin, iaitu unit dua silinder selari DOHC 660 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, menghasilkan kuasa 100 hp pada 10,500 rpm dan 67 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Kelengkapan lain RS660 adalah termasuk fork Kayaba 41 mm boleh laras sepenuhnya, monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan, cakera berkembar 320 mm berserta angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 220 mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang, rim 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55, tangki bahan api 15 liter dan tinggi tempat duduk 820 mm.

     
     
  • EICMA 2022: Royal Enfield Super Meteor 650 bawa gaya cruiser, enjin 650 cc 47 PS, lampu hadapan LED

    EICMA 2022: Royal Enfield Super Meteor 650 bawa gaya cruiser, enjin 650 cc 47 PS, lampu hadapan LED

    Barisan motosikal siri 650 keluaran Royal Enfield kini disertai satu lagi model baru apabila pengeluar itu memperkenalkan Super Meteor 650 di pameran EICMA 2022. Membawa rekaan sebuah cruiser, model ini menggunakan rekaan serba baru, termasuk casis dan menjadi motosikal Royal Enfield pertama yang menggunakan lampu utama jenis LED.

    Menggerakkannya adalah enjin sama seperti Continental GT 650 dan Interceptor 650, iaitu unit dua silinder selari 650 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan angin/minyak, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 47 PS pada 7,250 rpm dan 52.3 Nm tork pada 5,650 rpm.

    Bagi menjadikan motosikal yang mencatat berat 241 kg ini stabil atas jalan raya, ia dipasang dengan fork USD 43 mm dengan jarak gerak 120 mm di hadapan, sementara di belakang menggunakan dua penyerap berjarak gerak 101 mm, dengan pelarasan pra beban. Rim pula menggunakan jenis aluminium bersaiz 19 inci di hadapan, dan 16 inci di belakang, dibalut tayar tebal masing-masing bersaiz 100/90 dan 150/80.

    Sistem brek yang sekadar mencukupi diberi pada Super Meteor 650, terdiri daripada unit cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 300 mm dengan angkup dua piston di belakang – ABS dual channel adalah standard. Tangki bahan api model ini berkapasiti 15.7 liter.

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui meter gabungan analog dan digital utama berbentuk bulat, sementara di sebelahnya pula terdapat satu lagi panel digital bulat kecil untuk navigasi apabila sistem disambung kepada telefon pintar. Demi memberi kesenangan kepada pengguna, motosikal ini juga disediakan dengan soket pengecas USB 5V.

    Selain versi asas, Super Meteor 650 turut ditawarkan dalam versi Tourer yang datang dengan beberapa aksesori tambahan termasuk penyandar tempat duduk belakang serta penghadang angin hadapan. Pilihan warna pula kesemuanya ada tujuh.

    first led headlamp

     
     
  • Tiket tren KTM ETS, Antarabandar bagi 2023 kini dibuka secara dalam talian – lebih murah jika beli awal

    KTM Berhad telah mengumumkan tiket tren bagi ETS dan KTM Antarabandar untuk perjalanan tahun hadapan kini telah pun boleh dibeli. Jualan tiket secara dalam talian telah dibuka bermula semalam untuk perjalanan dari 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

    Pengendali perkhidmatan tren berkenaan berkata anda boleh membeli tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile atau laman web rasmi KTM, dan membayar secara elektronik iaitu transaksi tanpa tunai dengan Go Cashless. Jadual tren 2023 untuk ETS dan KTM Antarabandar adalah lebih kurang sama dengan jadual masa kini dan anda boleh menyemaknya menerusi dalam talian atau pun melalui aplikasi MyRailtime.

    Dengan pengumuman ini, KTM turut menyiarkan tarikh untuk cuti perayaan bagi separuh pertama tahun hadapan, termasuklah Tahun Baharu (1-2 Januari), Tahun Baharu Cina (22-24 Januari), Thaipusam (5 Februari), Hari Raya Aidilfitri (22-24 April) dan Hari Raya Aidiladha (29 Jun).

    Untuk pengetahuan anda, tambang ETS adalah fleksibel, di mana jika membelinya lebih awal, maka anda berpeluang mendapat tambang yang lebih murah. Tiket sewaktu musim perayaan sangat laris, jadi lebih baik beli awal untuk mengelakkan kekecewaan kemungkinan tiket habis terjual.

     
     
  • Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Setelah didedahkan Julai lalu, kini trak pikap elektrik RD6 yang dihasilkan oleh satu lagi jenama EV di bawah payung Geely Auto Group iaitu Radar telah dilancarkan secara rasmi di China. Menurut laporan CarNewsChina, model ini dijual pada harga bermula 178,800 yuan (RM116k) sehingga 268,800 yuan (RM171k), dan diberikan waranti selama 4 tahun atau 100,000 km.

    Trak pikap ini dibangunkan berasaskan platform modular untuk kenderaan elektrik terbaharu dari Geely iaitu Sustainable Experience Architecture (SEA). Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, platform SEA berkenaan mampu menghasilkan pelbagai kenderaan dari saiz sekecil segmen-A sehingga model mewah segmen-F, dan juga model lain seperti kereta sport dan juga kenderaan komersil. Ia sebelum ini sudah pun digunakan pada Shooting Brake EV Zeekr 001 dan juga kereta kompak Smart #1, membuktikan versatiliti platform tersebut.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 5,260 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,830 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,120 mm. Jadi trak pikap EV ini sebenarnya mempunyai saiz yang hampir sama dengan Toyota Hilux yang tampil dengan dimensi 5,325 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,815 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm.

    Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Rupa keseluruhan Radar RD6 ini dihasilkan oleh pusat rekaan Geely Group Britain, memberikan ‘perisa British’ pada trak pikap ini. Pada bahagian muka, ia diberikan lampu hadapan yang kelihatan agak sama dengan lampu dari SUV Geely Haoyue (bakal dijelmakan sebagai Proton X90), tetapi digandingkan dengan gril hadapan yang lebih kecil.

    Bampar hadapannya pula diberikan dua liang udara sisi palsu dengan rekaan tipikal model-model Geely lain (juga seiras dengan rekaan liang udara Geely Boyue/Proton X70), serta turut dengan kemasan skid plate berwarna perak yang kelihatan agak besar pada bahagian bawah.

    Skrip ‘RADAR’ pula ditampal pada bahagian hujung penutup but hadapan dengan gaya seperti SUV dari Range Rover, dan lencana yang sama turut diletakkan pada bahagian kedua-dua pintu hadapan.

    Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Pada bahagian sisi, RD6 ini menampilkan rekaan yang ringkas dengan bahagian perumah roda dijelaskan menerusi garis lekuk di atasnya, sementara port mengecas diletakkan pada sebelah sisi kanan bed belakang. Tidak seperti trak pikap lain yang cenderung diberikan lampu belakang menegak, RD6 ini nampaknya diberikan lampu belakang tirus melintang dengan konfigurasi “2-piece”.

    Untuk unit rangkaian kuasa, malangnya RD6 hanya diberikan motor tunggal berkuasa 272 hp (200 kW) diletakkan pada gandar belakang – ini bermakna sistem berkenaan hanya akan memacu roda belakang, tanpa sistem pacuan semua roda yang diperlukan untuk pemanduan off-road. Namun tidak mustahil versi untuk motor berkembar AWD tidak mustahil bakal diperkenalkan selepas ini kerana platform SEA memang direka untuk menempatkan konfigurasi sedemikian.

    Walaupun hanya diberikan sebuah motor elektrik, ia sudah cukup untuk memberikan pecutan 0-100 km sekitar 6 saat pada trak pikap ini. Motor berkenaan disuap dengan kuasa elektrik yang dibekalkan dari bateri LFP 63 kWj untuk varian asas, memberikan jarak gerak 400 km. Varian pertengahan menerima bateri NMC 86 kWj untuk jarak gerak 550 km, dan varian paling mahal diberikan bateri NMC 100 kWj untuk jarak gerak 632 km.

    Radar RD6 ini turut boleh dijadikan “powerbank gergasi” dengan enam port kuasa berbeza diletakkan pada bed belakang bagi membekalkan kuasa sehingga 2,000 watt. Ini membolehkan ia membekalkan kuasa elektrik kepada pelbagai kelengkapan elektrik sama ada untuk membuat kerja ataupun berkhemah. Menurut Radar, port kuasa ini mampu mengoperasikan sehingga 5 pendingin hawa rumah!

    Bahagian kabin trak pikap ini juga dilihat menggunakan banyak komponen yang dikongsi bersama Geely Haoyue/Proton X90. Ia termasuk papan pemuka, roda stereng, paparan instrumen dan skrin infotaimen (kedua-duanya bersaiz 12.3-inci), corong penghembus, konsol terowong dan panel pintu.

    Yang nampak berbeza adalah tombol gear di mana RD6 diberikan tombol melintang, dan Haoyue pula diberikan tombol sama seperti Binyue/X70. Antara peincian lain yang diberikan pada kabin Radar RD6 ini termasuk lampu suasana 72-warna, paparan head-up, dan juga sistem arahan suara.

    Jika Geometry merupakan jenama EV Geely untuk pasaran biasa dan Zeekr pula adalah jenama EV untuk segmen premium, Radar Auto merupakan jenama EV yang menghasilkan model-model gaya hidup outdoor. Trak pikap RD6 ini merupakan produk produksi pertama dari Radar, dan selepas ini ia akan diikuti empat model lain termasuk SUV, trak pikap lebih kecil, SUV besar dan juga ATV.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025