Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda CR-V 2023 generasi keenam mula dipasang di Kanada, produksi di Amerika Syarikat pula menyusul

    Honda CR-V 2023 generasi keenam mula dipasang di Kanada, produksi di Amerika Syarikat pula menyusul

    Honda Canada Manufacturing (HCM) kini telah memulakan produksi massa bagi model Honda CR-V 2023 generasi keenam yang mula ditunjuk pada Julai lalu. HCM telah memasang CR-V sejak 2012, dan Line 2 di kilang itu merupakan kilang utama peringkat global bagi pengeluaran CR-V semasa.

    Dalam masa terdekat, pengeluaran CR-V turut akan dijalan kan di dua kilang lain di Amerika Syarikat — Kilang Indiana Auto (IAP) dan Kilang Liberty Auto (ELP) di Ohio. Bulan depan, pengeluaran CR-V hibrid akan dimulakan di Kanada, diikuti IAP dan ELP. Honda akan mempertingkatkan jumlah pengeluaran model hibrid kepada 50% jualan CR-V, sebuah langkah penting dalam strategi elektrifikasi syarikat itu.

    “Menjadi kilang pengeluaran utama global bagi Honda CR-V 2023 merupakan cabaran besar, dan saya amat berbangga dengan pasukan kami yang sangat berpengalaman di HCM dan tahap usaha berpasukan yang ditunjukkan di Amerika Utara untuk menghasilkan produk baru ini buat pelanggan. Seterusnya akan ada CR-V Hybrid, yang menjadi lebih penting kini di dalam barisan CR-V sedia ada dan kami sangat teruja untuk membawakannya kepada pelanggan di Kanada buat pertama kali,” ujar Naib Presiden Kanan HCM, Clement D’Souza.

    Honda CR-V 2023 generasi keenam mula dipasang di Kanada, produksi di Amerika Syarikat pula menyusul

    Di Amerika Utara, CR-V 2023 akan ditawarkan dalam dua tingkat kemasan dengan enjin turbo cas (EX dan EX-L), sementara Sport dan Sport Touring hanya untuk hibrid. Unit 1.5T itu menghasilkan 192 PSS dan 243 Nm tork dengan padanan CVT. Tetapan bagi model hibrid pula sama dengan Civic e:HEV yang menggabungkan enjin 2.0L kitaran Atkinson, e-CVT dan dua motor elektrik dengan output keseluruhan sistem 207 PS.

    Rekaan papan pemuka CR-V baru ini juga mirip yang ada pada Civic, sementara luarannya juga lebih lebar dan panjang berbanding model semasa — tampil lebih tegap dengan garis badan yang lebih rendah. Honda mendakwa model baru ini lebih menyeronokkan dipandu, lebih yakin dengan dinamik diperhalus, serta kemampuan dan tork yang ditambah.

    Awal bulan ini, CR-V generasi terbaru itu dilihat sedang diuji di Thailand. CR-V merupakan model yang tidak perlu diperkenalkan lagi di sini dan juga pasaran ASEAN, jadi Malaysia juga sudah tentu akan menerimanya kelak. Bila agaknya tu?

     
     
  • 29 pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan kerana jual RON95 pada warga asing – KPDNHEP

    29 pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan kerana jual RON95 pada warga asing – KPDNHEP

    Ketua Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, mengesahkan seramai 29 pengusaha stesen minyak telah diambil tindakan kerana menjual petrol RON95 kepada warga asing di seluruh negara.

    Katanya, kes tertinggi penjualan RON95 kepada pemilik kenderaan asing adalah di Johor iaitu sebanyak 10 kes, Kelantan (lapan), Kedah (lima), Sarawak (tiga), Perlis (dua) dan satu kes di Melaka.

    “KPDNHEP menerima aduan sebanyak 52 mengenai kes penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing sejak awal tahun hingga semalam. Daripada pemeriksaan dan siasatan berdasarkan aduan itu, sebanyak 29 kes berjaya diselesaikan di seluruh negara.

    “Antara kesalahan dikesan dilakukan pengusaha stesen minyak itu adalah pelanggaran mengikut Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    29 pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan kerana jual RON95 pada warga asing – KPDNHEP

    Beliau membuat penjelasan tersebut bagi mengulas dakwaan pihak yang berpendapat KPDNHEP gagal mengambil tindakan ke atas pengusaha minyak yang menjual minyak petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing.

    Tegasnya, pengusaha stesen minyak dilarang menjual minyak bersubsidi itu kepada semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing. Bagi memastikan tiada ketirisan penjualan petrol RON95 dan diesel, KPDNHEP sedang mempergiatkan penguatkuasaan untuk memastikan semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi bahan bakar itu.

    “Kita tidak berdiam diri, sebaliknya pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan bahan api itu tidak dijual sewenangnya kepada pemilik kenderaan asing, selepas pembukaan penuh sektor ekonomi dan pintu sempadan negara sejak April lalu.

    “Aktiviti lebih agresif dilakukan oleh pegawai dan anggota penguat kuasa melalui Ops Pantau. Bagaimana pun, pemilik kenderaan asing dibenarkan untuk mengisi minyak RON97 di semua stesen minyak di seluruh negara,” jelasnya lagi.

    29 pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan kerana jual RON95 pada warga asing – KPDNHEP

    Tambah beliau lagi, “Pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala RM3 juta jika melakukan kesalahan berikutnya.

    “Orang perseorangan yang didapati bersalah menjual petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala syarikat yang didapati bersalah menjual kedua-dua bahan api itu pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala RM5 juta jika melakukan kesalahan kedua.”

    Beliau turut menegaskan bahawa KPDNHEP tidak akan berkompromi dan menegaskan kepada semua pihak terutama pengusaha stesen minyak agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas.

    “Selain memantau melalui kamera litar tertutup (CCTV), orang ramai juga diminta memberi kerjasama dengan membuat laporan kepada KPDNHEP,” katanya.

     
     
  • Yamaha 135LC Fi edisi pengeluaran ke-5 juta dijual kepada pasaran – hanya 5,000 unit, harga RM9,198

    Yamaha 135LC Fi edisi pengeluaran ke-5 juta dijual kepada pasaran – hanya 5,000 unit, harga RM9,198

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini telah mengadakan satu majlis sambutan pengeluaran motosikal syarikat yang kelima juta, sejak ia ditubuhkan pada tahun 1979. Pencapaian ini turut disambut dengan pengguna apabila HLYM mengeluarkan model 135LC Fi edisi khas yang dipanggil sebagai 5MRO Malaysian Edition.

    Model istimewa ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 5,000 unit, dan dijual pada harga RM9,198 tidak termasuk insurans, dan ini bersamaan dengan RM700 lebih tinggi berbanding harga terkini 135LC Fi SE. Ia akan mula berada di wakil pengedar HLYM pertengahan Oktober nanti.

    Menggunakan 135LC Fi SE sebagai asas, model istimewa ini dicat dengan grafik khas yang menggabungkan warna jalur gemilang serta reka corak dinding Masjid Negara. Selain kunci cakera, pembeli 135LC Fi 5MRO Malaysian Edition ini juga akan menerima jaket bomber khas serta sijil pengesahan ketulenan motosikal.

    Disebabkan model ini menggunakan 135LC Fi SE sebagai asas, ia datang dengan bakul barangan di bahagian pemegang, dan di situ juga anda boleh melihat terdapat lencana yang diukir dengan nombor yang sama dengan kerangka, bermula dari 5000000, dan mengikut turutan sehingga keluaran yang ke 5,000.

    Spesifikasi model ini sama sahaja seperti 135LC Fi SE biasa, bermula dengan enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 135 cc, bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan, menghasilkan 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm.

    Kelengkapan lainnya adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, soket pengecas USB, pemula enjin elektrik, lampu LED depan dan belakang, meter jenis digital serta tangki bahan api berkapasiti 4.6 liter.

     
     
  • Audi RS Q8 2022 di Malaysia — enjin 4.0L V8, 600 PS, 800 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM1.6 juta

    Audi RS Q8 2022 di Malaysia — enjin 4.0L V8, 600 PS, 800 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM1.6 juta

    PHS Automotive Malaysia selaku pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia kini memperkenalkan model Audi RS Q8 dalam barisan penawaran tempatan. SUV saiz penuh Audi yang pertama dengan lencana RS ini dijual pada harga RM1,699,990 dengan jaminan lima-tahin tanpa had perbatuan, lima-tahun bantuan tepi jalan dan tiga-tahun penyelenggaraan percuma. Q8 S-Line standard yang diperkenalkan semula Julai lalu pula dijual separuh daripada harga berkenaan — RM867k.

    RS Q8 menggunakan enjin 4.0 liter turbo berkembar V8, menjana sebanyak 600 PS pada 6,000 rpm dan 800 Nm tork antara 2,200 hingga 4,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 3.8 saat — menjadikannya SUV Audi pertama yang memberi bacaan bawah 4.0 saat — dengan laju maksimum 305 km/j. Sekadar perbandingan, Lamborghini Urus sedikit lebih pantas dengan bacaan pecutan 0-100 km/j dalam 3.6 saat.

    Enjin V8 berkenaan dibantu oleh sistem 48-volt mild hybrid. Sehingga 12 kW kuasa boleh dijana semula daripada membrek dan memperlahankan kelajuan, dan disimpan dalam bateri lithium-ion. Sistem ini membolehkan kenderaan meluncur hingga 40 saat dengan enjin dimatikan, menjumatkan kira-kira 0.8 L/100 km.

    Audi RS Q8 2022 di Malaysia — enjin 4.0L V8, 600 PS, 800 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM1.6 juta

    Enjin V8 ini juga datang dengan sistem cylinder on demand (COD); dalam kelajuan rendah, silinder 2, 3, 5 dan 8 tidak digunakan untuk memberikan penjimatan bahan api. Silinder tersebut akan diaktifkan semula sebaik sahaja pemandu menekan pendikit minyak untuk menambah kelajuan.

    Enjin V8 ini juga diganding bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda quattro Audi. Kunci differential tengah menghantar kuasa terutamanya ke roda belakang (40:60). Jika gelinciran tayar dikesan, sehingga 70% kuasanya boleh dihantar ke roda depan. RS Q8 ini juga dilengkapi suspensi udara adaptif yang merendahkan kedudukan sebanyak 90 mm berbanding model standardnya.

    Penampilan RS Q8 sama sekali berbeza daripada model standard, dengan wajah depan yang lebih agresif, gril depan SingleFrame dengan perincian honeycomb khusus RS, bukaan udara lebih besar, diffuser belakang serta rim bersaiz 23-inci dengan tayar Pirelli P Zero 295/35. Cakera brek pula kabon seramik 420 mm (depan) dan 370 mm (belakang) dengan kaliper 10-injap. Lampu utama pula jenis Matrix LED gelap, dengan lampu isyarat sequential serta ada juga spoiler RS khas.

    Audi RS Q8 2022 di Malaysia — enjin 4.0L V8, 600 PS, 800 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM1.6 juta

    Di dalam, RS Q8 didatangkan dengan paparan RS bagi kokpit maya Audi dan infotainmen MMI, paparan head-up dengan grafik RS dan kerusi RS balutan kulit Valcona. Pemandu boleh meninjau parameter seperti tekanan tayar, masa pusingan, G-Force serta petunjuk penukaran gear. Lapan mod pemanduan tersedia: Comfort, Auto, Dynamic, Efficiency, Allroad, Offroad, dan dua mode RS individu — RS1 and RS2.

    Kulit Nappa juga digunakan untuk membalut bahagian panel pintu, sementara pelapik bumbung menggunakan kulit Alcantara. Ada juga bumbung panoramik, sistem bunyi Bang & Olufsen, penghadang matahari di belkaang dan kerusi dengan larasan elektrik 12-hala dengan sokongan lumbar dan fungsi memori.

    Dari aspek keselamatan, RS Q8 ini lengkap dengan lapan beg udara, kawalan melayar adaptif, amaran menukaran lorong, amaran keluar lorong, bantuan persimpangan, bantuan lintasan trafik di depan dan kamera peninjau 360-darjah.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat AMR dan SB-G bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Perak, AMR, bakal dibuka bidaan mulai Ahad ini, 25 September, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 29 September 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 30 September. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SB-G, bidaannya bakal dibuka bermula 16 Oktober dan akan berakhir jam 10 malam pada 20 Oktober 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Oktober ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Lumba jalanan dan memotong zig-zag boleh dipenjara hingga 5 tahun, denda RM5k-RM15k – PDRM

    Lumba jalanan dan memotong zig-zag boleh dipenjara hingga 5 tahun, denda RM5k-RM15k – PDRM

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan pengingatan kepada semua pengguna jalan raya berhubung dengan lumba jalanan dan memotong secara “zig zag” boleh membahayakan diri sendiri dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

    Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya, PDRM berkata tindakan tersebut nyata melanggar undang-undang di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu.

    Jika disabitkan kesalahan, pemandu boleh dipenjara sehingga lima tahun serta dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000. Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan disaman antara RM10,000 hingga RM20,000.

    Di samping itu, di bawah Seksyen 42(3), seseorang yang disabitkan kesalahan akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun. Ia meningkat ke 10 tahun dengan sabitan kedua atau seterusnya. Sementara itu, Seksyen 42(4) menyatakan bahawa sekiranya pemandu itu memegang lesen memandu percubaan (P), mahkamah boleh membatalkan lesen tersebut.

    Kedua-dua aksi berbahaya yang disebutkan ini bukanlah suatu yang baharu di Malaysoa dan sejak zaman media sosial ini, sudah banyak video tular dikongsikan. Mungkin hai kering si pemandu yang berbuat demikian menganggap ia tidak memberikan bahaya kepada dirinya, tetapi tidakkah dia mengambil kira keselamatan orang lain?

    Bukan tidak pernah berlakunya kes kemalangan yang melibatkan lumba di jalanan hingga menyebabkan nyawa orang lain tergadai. Contoh kes kemalangan yang masih ‘melekat’ di fikiran penulis ialah yang melibatkan sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya Duke pada Mei 2015. Ia dipercayai selepas enam buah Perodua MyVi dikatakan berlumba di lebuh raya tersebut sebelum salah satunya bergesel dengan Pajero Sport dipandu mangsa.

    Jika anda mahu menguji kehebatan anda mengendalikan kenderaan atau pun nak tengok kenderaan anda padu atau tidak, lakukanya di litar lumba. Kalau tak berkemampuan nak sertai pelumbaan di litar, cukuplah sekadar ‘melenjan’ dalam acara track day atau time attack yang sering kali dianjurkan oleh kelab kereta dengan bayaran yang lebih murah berbanding jika anda ditahan oleh pihak berkuasa kerana melakukan aksi sebegitu di jalan raya.

     
     
  • Volvo EX90 bakal jadi Volvo paling selamat pernah dihasilkan – LiDAR, 8 kamera, 5 radar dan 16 penderia

    Volvo EX90 bakal jadi Volvo paling selamat pernah dihasilkan – LiDAR, 8 kamera, 5 radar dan 16 penderia

    Volvo mengumumkan bahawa model pengganti SUV XC90, yang selepas ini hanya akan hadir sebagai model elektrik sepenuhnya (EV) bakal menjadi model paling selamat pernah dihasilkan oleh jenama automotif dari Sweden berkenaan.

    Menurut Volvo, model berkenaan akan digelar sebagai EX90 (sebelum ini pernah diumumkan bahawa pengganti XC90 tersebut akan digelar sebagai Embla), dan ia bakal dilengkapi dengan lapan kamera, lima radar, 16 penderia ultrasonic dan juga penderia LiDAR.

    Menerusi pengkomputeran teras dan perisian, Volvo meramalkan bahawa dengan penambahan pederia LiDAR “kepada kereta yang sememangnya selamat” akan mengurangkan lagi kadar kemalangan teruk sebanyak 20%, manakala pengelakan kemalangan secara keseluruhan boleh dipertingkatkan sebanyak 9% lagi.

    Volvo EX90 bakal jadi Volvo paling selamat pernah dihasilkan – LiDAR, 8 kamera, 5 radar dan 16 penderia

    Teknologi LiDAR ini akan dilengkapkan pada bahagian bumbung Volvo EX90 yang bakal diperkenalkan nanti. Volvo mendakwa bahawa ia mampu mengesan pejalan kaki sehingga pada jarak 250 meter dan juga objek sekecil tayar dalam keadaan jalan yang gelap sehingga 120 meter ke hadapan.

    Volvo menyatakan bahawa ini kerana tidak seperti kamera yang bergantung kepada cahaya persekitaran untuk berfungsi, LiDAR tidak memerlukan cahaya dan boleh berfungsi dengan baik tidak kira malam atau siang.

    “Kami percaya EX90 adalah kereta Volvo paling selamat yang pernah dihasilkan untuk digunakan di atas jalan raya. Kami menggabungkan pemahaman kami tentang persekitaran luar dengan pemahaman kami yang lebih terperinci tentang perhatian pemandu. Apabila semua sistem keselamatan, penderia, perisian dan kuasa pengkomputeran kami bersatu, mereka mencipta perisai keselamatan pencegahan di sekeliling anda, dan anda tidak akan mengetahuinya sehingga anda memerlukannya,” kata ketua keselamatan automasi kenderaan Volvo Joachim de Verdier .

    Volvo EX90 bakal jadi Volvo paling selamat pernah dihasilkan – LiDAR, 8 kamera, 5 radar dan 16 penderia

    Volvo EX90 berkenaan turut bakal menampilkan penderia dan kamera istimewa bagi menilai konsentrasi pemandu berdasarkan pandangan mata. Ia dihasilkan menerusi algoritma yang dibangunkan oleh Volvo sendiri, dan ia membolehkan EX90 tersebut mengesan sama ada pemandu berkenaan terganggu, penat atau terlalai.

    Sebagai contoh, EX90 akan memberi amaran lembut kepada pemandunya pada peringkat awal, dan kemudian menjadi semakin mendesak jika keadaan memerlukannya. Dalam senario paling teruk iaitu di mana pemandu tertidur, tidak sedarkan diri atau tidak berupaya, EX90 direka untuk berhenti dengan selamat dan meminta bantuan.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, bermula dengan EX90, kesemua model-model generasi Volvo selepas ini hanya akan dihasilkan dalam versi elektrik penuh, sejajar dengan matlamatnya untuk menjadi pengeluar EV 100% menjelang 2030. Volvo EX90 ini akan membuat kemunculan sulungnya pada 9 November nanti.

    GALERI: Imej paten Volvo Embla (EX90)

     
     
  • Polis Perak tawar diskaun saman pada 24-25 Sept

    Polis Perak tawar diskaun saman pada 24-25 Sept

    Polis Perak menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada hujung minggu ini iaitu 24 hingga 25 September 2022 sempena dengan Hari Belia Negara 2022 peringkat negeri.

    Acara yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru, Tanjung Rambutan, Ipoh bermula hari ini, 23 hingga 25 September, turut menyediakan kaunter khas bagi pembayaran saman trafik yang dikendalikan oleh Polis Perak.

    Menurut Polis Perak, tawaran diskaun saman terbabit hanya terpakai sempena acara terbabit sahaja. Jadi orang ramai yang mempunyai tunggakan saman trafik boleh melunaskan bayaran di tapak karnival tersebut sahaja jika mahu menikmati diskaun berkenaan.

    Walau bagaimana pun, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan di mahkamah, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

     
     
  • Fiat 500 Electric kini di Malaysia – hatchback & Cabrio; EV comel Itali, RM250k-RM255k, jarak gerak 320 km

    Fiat 500 Electric kini di Malaysia – hatchback & Cabrio; EV comel Itali, RM250k-RM255k, jarak gerak 320 km

    Kalau anda berminat dengan kereta-kereta elektrik comel seperti Honda e, Mini Cooper SE atau Ora Good Cat, ini satu lagi model yang mungkin anda boleh pertimbangkan – Fiat 500 Electric.

    Seperti yang kita tahu, Fiat sudah lama tidak mempunyai wakil jualan rasmi di Malaysia. Tetapi untuk tiga unit Fiat 500 Electric yang anda lihat ini sebenarnya dibawa oleh pengimport persendirian iaitu Hamza Motors, dengan bilik pameran yang terletak di Kampung Sungai Penchala.

    Dua model Fiat 500 Electric di bawa oleh Hamza Motors; unit merah dan hitam yang anda lihat ini adalah dari versi hatchback dalam kemasan (RED) Editon, manakala unit yang berwarna putih adalah model Cabrio (bumbung fabrik boleh buka) dalam kemasan Icon. Ia dijual pada harga RM250,000 untuk hatchback (RED) Edition dan RM255,000 untuk Cabrio Icon.

    Fiat 500 Electric kini di Malaysia – hatchback & Cabrio; EV comel Itali, RM250k-RM255k, jarak gerak 320 km

    Fiat 500 generasi terkini ini (dikenali sebagai New 500) mula membuat kemunculan sulung pada 2020. Model ini dibangunkan memang sebagai kenderaan elektrik (EV) sejati tanpa varian yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, dikilangkan di kampung halamannya iaitu Turin, Itali.

    Namun Fiat masih memproduksi Fiat 500 generasi sebelumnya di kilang mereka yang terletak di Poland, dijual untuk mereka yang masih mahukan “Fiat Kerang” ini dalam versi yang menggunakan bahan api fosil. Berbanding model generasi sebelumnya, New 500 adalah 60 mm lebih panjang dengan jarak roda 20 mm lebih jauh, serta lebih lebar.

    Ia menerima motor elektrik tunggal yang diletakkan di hadapan, berkuasa 118 hp (87 kW) membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9 saat. Fiat 500 Electric ini sebenarnya direka khas untuk pemanduan dalam bandar, dan menurut Fiat ia mampu memecut 0-50 km/j hanya dalam 3.1 saat, serta turut menampilkan pemanduan menggunakan hanya satu pedal.

    Fiat 500 Electric kini di Malaysia – hatchback & Cabrio; EV comel Itali, RM250k-RM255k, jarak gerak 320 km

    Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Range dan Sherpa. Bagi mod Sherpa, ia adalah mod yang direka bagi memanjangkan jarak gerak dengan mematikan sistem pendingin hawa serta mengehadkan kelajuan hanya sehingga 80 km/j. Nama “Sherpa” berkenaan adalah sempena nama suku kaum di pergunungan Himalaya yang berkemahiran mendaki gunung dan sering menjadi pengiring, pemandu arah, pembawa barang dan sebagainya untuk pendaki gunung.

    Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion 42 kWj, memberikan jarak gerak 320 km berdasarkan kitaran WLTP. Sebagai perbandingan, Honda e dengan bateri 35.5 kWj memberikan jarak gerak sejauh 220 km, manakala Mini Cooper SE dengan bateri 28.9 kWj pula menampilkan jarak gerak 232 km.

    Untuk mengecas, bateri 42 kWj berkenaan mampu menangani pengecas pantas DC sehingga 85 kW. Menurut Fiat, dengan pengecas pantas DC, bateri tersebut mampu untuk dipenuhkan sehingga 80% dalam masa hanya 35 minit, dan anda boleh mendapat jarak gerak 50 km dengan mengecas selama lima minit.

    Bagi model hatchback (RED) Edition, ia sebenarnya model yang dihasilkan dengan kerjasama dana global (RED) untuk membantu memerangi krisis kesihatan seperti AIDS dan Covid-19. Selain dari Fiat ini, kerjasama berkenaan turut menyaksikan produk-produk (RED) yang lain seperti (RED) iPhone dan sebagainya. Jadi setiap pembelian model-model (RED) Edition ini akan memanfaatkan dana global tersebut.

    Fiat 500 Electric (RED) Edition ini menampilkan perincian luaran seperti logo (RED) pada jalur tingkap sebelah belakang, kemasan merah pada logo hadapan dan belakang, serta logo merah pada penutup rim 16-inci. Bagi unit (RED) yang berwarna hitam, turut dapat dilihat ia menerima penutup cermin sisi dengan kemasan merah.

    Manakala dalam kabin, ia diberikan logo 500 (RED) pada roda stereng dan tempat duduk fabrik (bersama monogram Fiat), serta serlahan merah pada jalur tempat duduk, papan pemuka dan karpet kaki. Ia juga menerima tempat duduk yang diperbuat dari Seaqual Marine Plastic, iaitu bahan bahan mentah yang diperbuat daripada bahan buangan laut.

    Fiat 500 (RED) Edition ini diperkenalkan ketika pandemik Covid-19, jadi ia menerima penuras udara, fabrik tempat duduk, kulit balutan roda stereng dan karpet ruang but yang menerima rawatan bahan biosid dengan tindakan yang sangat berkesan terhadap bakteria, virus dan kulat.

    Malah ia juga ditawarkan dengan ciri opsyen “sanitising glove box”, tetapi ia tidak ditampilkan pada unit yang dibawa masuk ini. Fungsi tersebut memberikan lampu UV-C pada glove box, membolehkan barang-barang kecil anda seperti telefon pintar, kunci dan sebagainya di sanitasi di dalam ruang berkenaan.

    Beralih pada model Cabrio, sekali tengok ia seakan sama dengan model hatchback. Namun untuk model ini, bumbung logam diganti dengan bumbung fabrik yang boleh dilipat dengan kuasa elektrik. Tiada cermin belakang dan pintu hatch pada model ini, kerana ia menjadi sebahagian dari bahagian fabrik yang boleh dilipat, manakala ruang but menerima penutup tersendiri yang lebih kecil.

    Fiat 500 Electric kini di Malaysia – hatchback & Cabrio; EV comel Itali, RM250k-RM255k, jarak gerak 320 km

    Cabrio yang dibawa masuk ini adalah dari varian kemasan Icon. Jadi ia datang dengan perincian seperti rim 16-inci, tempat duduk Seaqual Marine Plastic fabrik dengan melange pinstripe dan juga papan pemuka dengan kemasan sama seperti warna badan.

    Ketiga-tiga unit yang dibawa ini juga menampilkan skrin infotainmen 10.25-inci, butang pembuka pintu dari dalam elektrik (turut diberikan pembuka manual di bawah) serta tidak diberikan lampu hadapan LED.

    Menurut Hamza Motors lagi, ketiga-tiga unit Fiat 500 e merupakan unit-unit pertama yang mendarat di Malaysia. Jadi sesuai betul untuk mereka yang mahukan kelainan!

    GALERI: Fiat 500 e (RED) Edition

    GALERI: Fiat 500 e Cabrio Icon

     
     
  • Pengguna pengangkutan awam kini boleh hantar aduan, maklumbalas menerusi aplikasi MyRapid Pulse

    Pengguna pengangkutan awam kini boleh hantar aduan, maklumbalas menerusi aplikasi MyRapid Pulse

    Pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kini sudah boleh menghantar aduan atau menyuarakan pendapat mahu pun maklumbalas selepas pelancaran Program Mystery Shopper – Audit Kesediaan dan Siap Siaga Stesen (AKSES) yang diperkenalkan oleh Prasarana Malaysia Berhad. Program baharu ini disasarkan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan rel dan bas di negara ini.

    Menerusi laman Facebook rasminya, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan yang telus daripada para penumpang sepanjang menggunakan perkhidmatan- perkhidmatan Rapid KL.

    “Sebagai sebuah organisasi yang berkhidmat untuk rakyat, maklum balas daripada para penumpang membantu Rapid KL untuk memperbaiki perkhidmatan demi keselesaan serta kemudahan semua. Orang ramai boleh mendaftar sebagai ahli panel MSP dengan memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store,”katanya.

    Menurutnya lagi, AKSES melibatkan audit kendiri yang menyeluruh oleh pengurus-pengurus stesen ke atas 147 stesen tren dan 10 hab bas pada setiap suku tahun, merangkumi beberapa kawasan fokus termasuk kebersihan, kemudahan akses, pencahayaan, fasiliti, papan tanda, lif serta eskalator.

    Pengguna pengangkutan awam kini boleh hantar aduan, maklumbalas menerusi aplikasi MyRapid Pulse

    Di mana audit AKSES yang pertama telah dijalankan pada Ogos tahun ini dan hasil audit berkenaan mendapati 74% daripada stesen berada dalam keadaan baik dan penilaian purata prestasi stesen berada pada tahap 2.82 daripada markah penuh 3.00.

    “MOT akan memantau penambahbaikan serta penyelenggaraan secara teliti dan kami juga akan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa AKSES sebagai auditor bagi memastikan segala usaha berjalan dengan lancar,” tambah Wee lagi.

    Aplikasi Pulse ini diperkenalkan bagi membantu pengguna pengangkutan awam merancang perjalanan mereka apabila menggunakan perkhidmatan bas dan tren Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan. Aplikasi tersebut juga kini meliputi perkhidmatan MRT, LRT, KL Monorel, Sunway BRT serta bas perantara MRT.

    Malah menerusi aplikasi ini juga, pengguna boleh mengetahui status setiap perkhidmatan termasuk jangkaan masa ketibaan berdasarkan real-time location bas dan tren. Selain itu, aplikasi ini juga memaparkan pengiraan kadar tambang, lokasi stesen dan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan bas dan tren terbabit.

     
     
  • Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 – tiada lagi V8; diganti 2.0L 4-silinder PHEV 680 hp/1,020 Nm!

    Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 – tiada lagi V8; diganti 2.0L 4-silinder PHEV 680 hp/1,020 Nm!

    Selepas versi C43 muncul pada April lalu, kini sudah tiba giliran sedan Mercedes-Benz C-Class generasi W206 didedahkan dalam versi paling berkuasa – memperkenalkan, ini dia Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024! Ia muncul bukan hanya dalam versi sedan, malah C 63 S ini juga datang dalam versi wagon.

    Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, lencana “C 63” kini tidak lagi disertakan dengan ngauman V8, tetapi diganti dengan unit penggerak plug-in hybrid (PHEV) E Performance yang menggandingkan enjin empat-silinder sebaris dan motor elektrik pada gandar belakang.

    Enjin yang dimaksudkan adalah unit M139L 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan desakan turbo, sama seperti yang terdapat dalam perut Mercedes-AMG A 45 S, tetapi ia dipasang menegak ke belakang seperti pada model C 43 dan SL 43 (sebab itu ia diberi kod “L” di belakang, bermaksud Longitudinal). Enjin M139L pada C 63 S ini juga menerima pengecas turbo lebih besar dari C 43 dan SL 43, tetapi masih menggunakan sistem turbo dibantu motor elektrik yang diadaptasi terus dari teknologi Formula 1 pasukan Mercedes-AMG Petronas.

    Dengan enjin petrol ini sahaja, Mercedes-AMG C 63 S ini dapat mengerah sejumlah 476 hp pada takat 6,725 rpm, dan tork maksima 545 Nm bermula 5,250 hingga 5,500 rpm – ia didakwa sebagai enjin produksi empat silinder paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, jauh lebih berkuasa dari M139 pada A 45 S yang menghasilkan 416 hp dan tork maksima 500 Nm.

    Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 – tiada lagi V8; diganti 2.0L 4-silinder PHEV 680 hp/1,020 Nm!

    Tidak cukup dengan itu, ia turut disertakan dengan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang, memberikan kuasa sehingga 204 hp (150 kW). Jadi secara keseluruhan, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini menghasilkan kuasa 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm! Ya, ia lebih berkuasa dari enjin 4.0 liter V8 twin turbo sebelum ini yang mampu mengerah sehingga 503 hp dan tork maksima 700 Nm.

    Ini membolehkan Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat untuk kedua-dua model sedan dan wagon, dan mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik 280 km/j (wagon dihadkan sehingga 270 km/j). Angka ini juga dilihat lebih pantas di mana C 63 S V8 sedan sebelum ini hanya mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4 saat, tetapi had lajunya lebih tinggi iaitu 290 km/j.

    Ingin diingatkan, Mercedes-AMG C 63 S baharu bersama sistem hibrid ini juga ditimbang dengan berat 2,111 kg (2,145 kg untuk wagon), atau sekitar 300 kg lebih berat berbanding C 63 S dengan enjin V8 generasi terdahulu.

    Bagi menghasilkan kuasa yang tinggi serta angka prestasi yang menakjubkan ini, unit rangkaian hibrid E Performance bukanlah ringkas seperti sistem-sistem hibrid lain. Pada pengecas turbo misalnya, selain dari bergerak menggunakan gas ekzos, ia turut menerima motor elektrik senipis 4 cm di tengah-tengah antara turbin dan pemampat, yang mampu menghilangkan ‘lag’, memberikan boost segera sebaik sahaja pedal pendikit diperah tanpa perlu menunggu gas ekzos memutarkan turbin, serta memberikan respon lebih baik pada setiap tahap putaran enjin.

    Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 – tiada lagi V8; diganti 2.0L 4-silinder PHEV 680 hp/1,020 Nm!

    Walaupun bersaiz kecil, motor elektrik yang dikawal secara elektronik pada pengecas turbo berkenaan menggunakan asas sistem elektrik 400-volt (hanya 48 volt pada model-model 43), dan ia mampu berputar sehingga 150,000 rpm!

    Enjin ini juga dibekalkan dengan dengan unit stater generator yang digerakkan oleh tali sawat (RSG). RSG merupakan komponen yang menggabungkan motor penghidup dan alternator, berfungsi untuk menghidupkan enjin petrol dalam masa yang sama mampu membekalkan kuasa elektrik kepada komponen seperti sistem pendingin hawa dan lampu.

    RSG ini turut berhubung dengan jaringan sistem asas 400-volt pada kereta berkenaan, dan mampun membekalkan kuasa elektrik ketika kereta tidak bergerak sekiranya bekalan kuasa pada bateri voltan tinggi pada tahap yang rendah.

    Kuasa dari enjin petrol berkenaan dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan baharu AMG Speedshift MCT 9G. Berbeza dengan kotak gear sebelum ini, transmisi baharu ini menggunakan klac start-off (MCT = Multi-Clutch Transmission) bagi menggantikan torque converter konvensional.

    Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 – tiada lagi V8; diganti 2.0L 4-silinder PHEV 680 hp/1,020 Nm!

    Ini membolehkan ia dihasilkan lebih ringan, serta memberikan respon pedal pendikit lebih baik kerana daya inersia yang lebih rendah. Perisian yang mengawal kotak gear ini juga memberikan masa tukaran gear yang sangat pantas serta membolehkan beberapa gear diturunkan dengan laju sekiranya diperlukan. Ia juga diberikan fungsi RACE START, membolehkan pecutan optima diberikan ketika mula memecut dari kedudukan pegun.

    Gandar belakang C 63 S ini juga direka begitu sofistikated untuk memadankan sistem hibrid E Performance. Secara umumnya, gandar belakang berkenaan digelar sebagai compact electric drive unit (EDU). Dalam unit EDU tersebut, ia bukan sahaja mempunyai motor elektrik 204 hp, malah ia juga diintegrasikan bersama kotak gear dua kelajuan yang berfungsi dengan sistem elektrik, dan juga LSD yang dikawal secara elektronik.

    Bateri bervoltan dan berprestasi tinggi (High Performance Battery atau HPB) untuk sistem keseluruhan E Performance ini pula diletakkan betul-betul di atas gandar belakang berkenaan, membentuk satu pakej sistem hibrid kompak.

    Dengan rekaan ini, motor elektrik bukan sahaja dapat memberikan boost tambahan 204 PS selama 10 saat ketika diperlukan, malah ia turut dapat berfungsi untuk menghantar kuasa secara mekanikal ke syaf pemacu roda hadapan menerusi syaf kardan, memberikan pacuan semua roda pada setiap masa, walaupun kereta ini bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol.

    Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 – tiada lagi V8; diganti 2.0L 4-silinder PHEV 680 hp/1,020 Nm!

    Walau bagaimanapun, menerusi bateri lithium-ion dengan kapasiti 6.1 kWj, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini mempunyai jarak gerak elektrik penuh hanya 13 km. Bateri berkenaan dihasilkan dengan berat 89 kg, dan mampu untuk memberikan kuasa berterusan 70 kW. Manakala untuk memberikan boost selama 10 saat yang disebut tadi, bateri ini turut mampu membekalkan kuasa berterusan 150 kW.

    Binaan bateri berkenaan terdiri dari 560 sel, di mana setiap satu sel tersebut disejukkan secara individu. Keseluruhan modul berkenaan dihubungkan kepada sistem penyejukkan enjin bagi mengekalkan suhu operasi optimum sekitar 45 darjah selsius. Ini membolehkan bateri tersebut memberikan prestasi konsisten ketika mengecas dan mengeluarkan tenaga.

    Menurut Mercedes-AMG, keseluruhan sistem kompak termasuk EDU dan HPB ini dihasilkan hanya seberat 250 kg. Ia boleh di cas secara plug-in menerusi pengecas on-board 3.7 kW. Manakala ketika bergerak, ia diberikan empat mod mengecas semula bateri berkenaan, termasuk Tahap 3 yang membolehkan tenaga sebesar 100 kW dipulihkan semula.

    Seperti biasa, setiap model Mercedes-AMG datang sekali dengan mod-mod pemanduan di dalam sistem AMG Dynamic Select; untuk C 63 S E Performance ini ia diberikan pilihan mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Race, Slippery dan Individual.

    Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 – tiada lagi V8; diganti 2.0L 4-silinder PHEV 680 hp/1,020 Nm!

    Bagi mod Electric, model ini boleh dipandu tanpa enjin petrol dihidupkan dengan kelajuan maksima 125 km/j, namun seperti yang disebut tadi ia hanya bertahan untuk jarak 13 km dengan satu cas penuh bateri. Manakala untuk mod Battery Hold pula, sistem ini akan memastikan tenaga bateri berada dalam tahap yang malar.

    Beralih kepada mod Sport dan Sport+, ia akan memberikan interaksi berbeza antara enjin dan motor elektrik, di mana pada mod Sport+, boost kuasa elektrik akan dibekalkan sehingga 80%. Pada mod Race pula, sistem hibrid ini akan memastikan kapasiti bateri tidak akan berkurangan sehingga bawah 30%, membolehkan tujahan elektrik sentiasa dapat diberikan 100%.

    Untuk mod Slippery, seperti namanya, ia untuk ketika situasi jalan yang licin di mana kuasa akan ‘dijinakkan’ bagi memudahkan kereta ini dikendalikan. Dan bagi mereka yang merasakan satu pun pra tetapan untuk mod yang disediakan tidak sesuai dengan gaya pemanduan masing-masing, anda boleh ‘merojakkan’ sendiri tetapan yang dimahukan menerusi mod Individual.

    Mercedes-AMG C 63 S ini datang dengan sistem suspensi AMG Ride Control yang terdiri dari spring logam dengan sistem penyerap hentak adaptif. Penyerap hentak berkenaan menampilkan kebuk berasingan bersama omboh solid serta injap luaran elektrohidraulik.

    Pengedalian C 63 S ini juga dibantu dengan sistem stereng bervariasi tiga tahap yang akan meningkatkan atau mengurangkan bantuan kuasa berdasarkan mod pemanduan yang dipilih. Malah model ini juga menerima sistem stereng untuk gandar belakang, membolehkan tayar belakang dikemudi sehingga 2.5 darjah pada kelajuan sehingga 100 km/j. Lebih dari 100 km/j, sudut maksima yang boleh dikemudi oleh sistem stereng roda belakang ini hanya pada 0.7 darjah.

    Pemanduan Mercedes-AMG C 63 S 2024 ini turut disokong dengan sistem AMG Dynamics secara standard. Ini membolehkan pemandu melaras tahap campur tangan Program Kestabilan Elektronik (ESP) ketika memandu berdasarkan mod pemanduan yang dipilih. Pemandu professional akan menikmati ketangkasan kawalan secara maksimum kereta ini dengan mod Master.

    Secara standard, C 63 S generasi baharu ini menerima sistem brek komposit berprestasi tinggi AMG yang datang dengan angkup enam omboh di hadapan dan angkup omboh tunggal terapung di belakang. Namun ia turut ditawarkan dengan opsyen brek karbon seramik asli dari AMG.

    Jika C 43 sebelum ini sudah nampak garang, C 63 S ini pula sudah tentu perlu dihasilkan lebih garang dengan bekalan kuasa yang lebih liar. Ia menerima muka dengan apron lebih agresif menjadikan bahagian muncungnya 50 mm lebih panjang dan fender lebih lebar berbanding C-Class W206 standard, serta bonet hadapan menampilkan liang untuk aliran udara.

    Bampar C 63 S ini pula menampilkan liang udara sisi yang jauh lebih besar bersama tirai udara yang mengalirkan udara ke bahagian-bahagian tertentu. Gril Panamericana model ini turut diberikan dua panel udara bagi mengalirkan udara masuk ke ruang enjin. Selain itu, ia turut dibezakan dengan pemadanan skirt sisi, diffuser belakang bersama perumah tip ekzos berbentuk-trapezoid, dan lid spoiler (spoiler bumbung untuk wagon) pada penutup but.

    Model ini datang dengan set rim 19-inci secara standard, namum pembeli masih boleh memilih untuk memadankan rim 20-inci AMG. Pelbagai warna badan disediakan bagi membolehkan pemilik memberikan imej lebih tersendiri pada C 63 S masing-masing.

    Pada bahagian dalaman, model ini menerima balutan kulit Nappa bersama serlahan-serlahan kontras, dan tempat duduk AMG sports sebagai ciri standard, bersama pilihan tingkat taraf tempat duduk AMG Performance generasi kedua. Ia juga menerima roda stereng AMG Performance serta paparan instrumen AMG untuk sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

     
     
  • Yamaha R25 dan MT-25 terima pilihan warna baru -harga kedua-duanya naik sedikit menjadi RM23k,

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini telah mengumumkan bahawa model YZF-R25 dan MT-25 kini ditawarkan dalam dua warna baru iaitu masing-masing Orange Lynx dan Racing Blue untuk R25, dan Cyan Storm dan Icon Blue untuk MT-25.

    Bersama dengan warna baru ini, harga kedua-dua model ini juga telah dirujuk semula, dengan menunjukkan sedikit peningkatan, kedua-duanya menjadi RM22,998. Sebelum ini harga R25 adalah RM19,998 manakala MT-25 pula adalah RM 21,500.

    Bahagian teknikal masih tidak berubah, dengan kedua-dua model ini masih dipacu oleh enjin dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan, menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm. Tork R25 adalah 22.6 Nm pada 10,000 rpm, sementara MT-25 mencatat tork lebih tinggi, iaitu 23.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Hanya berbeza pada bentuk badan, dengan R25 membawa gaya sport fairing penuh, dan MT-25 pula dijadikan sebagai sebuah model naked, kelengkapan lain pada dua model ini adalah sama sahaja, termasuk semua lampu jenis LED, fork USD di hadapan, monoshock di belakang, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang serta brek cakera depan dan belakang, dengan sistem ABS.

    Disebabkan bentuk yang berbeza, tangki bahan api juga mempunyai kapasiti yang berbeza, di mana R25 boleh diisi sebanyak 14.3 liter, manakala MT-25 pula 14 liter. Dengan fairing jenis penuh, R25 mencatat berat 169 kg manakala MT-25 pula dua kilogram lebih ringan, mencatat 167 kg.

    GALERI: Yamaha MT-25 2022

    GALERI: Yamaha YZF-R25 2022

     
     
  • Honda CBR250RR 2023 akan masuk pasaran Malaysia dengan diimport dari Indonesia – pasang di sini

    Honda CBR250RR 2023 akan masuk pasaran Malaysia dengan diimport dari Indonesia – pasang di sini

    Beberapa hari lalu, Honda telah melancarkan CBR250RR versi dipertingkat 2023 di Indonesia, yang mana ia menyaksikan banyak perubahan termasuk pada penampilan, serta penambahan kuasa. Bagi yang menunggu ketibaannya di Malaysia, nampaknya ada berita menarik.

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh laman web iwanbanaran.com dari negara jiran, pengurus kanan perancangan pemasaran dan analisis PT Astra Honda Motor, Andi Wijaya dipetik berkata bahawa model baru ini akan dieksport dari Indonesia ke tiga negara dalam masa terdekat ini iaitu Vietnam, Malaysia dan Jepun.

    Turut disebut adalah ia akan dieksport dengan cara komponen terurai, yang memberi gambaran ia akan dipasang di negara kita oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd. Dengan ini, harapnya harga motosikal sports permulaan ini boleh berkurang sedikit berbanding harga RM26k sewaktu ia dilancarkan.

    Honda CBR250RR 2023 akan masuk pasaran Malaysia dengan diimport dari Indonesia – pasang di sini

    Bagi penampilan, CBR250RR baru ini bukan setakat menerima pilihan warna dan grafik yang baru, tetapi hampir kesemua panel badannya juga adalah baru, termasuk fairing (sehingga ke bawah), tangki dan juga panel tempat duduk.

    Enjin pula menerima perubahan pada bahagian head, menghasilkan nisbah mampatan yang lebih tinggi, serta kuasa yang meningkat menjadi 42 PS pada 13,000 rpm dan 25 Nm tork pada 11,000 rpm. Ia dipadankan bersama tranmsisi enam kelajuan dengan klac assist/slipper.

    Bahagian lain yang dinaik taraf adalah suspensi, di mana CBR250RR kini menggunakan fork USD SFF-Big Piston di hadapan, sementara di belakang masih menggunakan monoshock dengan sistem sambungan Pro-Link. Turut membantu menjadikan motosikal ini lebih lincah dan mudah dikawal adalah jarak roda yang lebih pendek 4.0 mm berbanding sebelum ini.

     
     
  • Proton Saga Knight Coupe Concept dalam “baju” R3

    Proton Saga Knight Coupe Concept dalam “baju” R3

    Jika sebelum ini Bear Design tampil dengan rekaan 3D sebuah Proton Saga Knight Coupe Concept, ini ada sedikit lagi lanjutan daripada rekaan tersebut. Menggunakan rekaan dan model yang sama, beliau tampilkan pula versi R3 untuk melihat sejauh mana ia mampu diperkemaskan.

    Tiada perubahan daripada rekaan keseluruhan yang asal, versi R3 ini hanya melibatkan beberapa perubahan perincian padanya. Pertama sekali, yang paling ketara, tentulah warna dalam tema hitam-kuning yang digunakan. Ia tampil lebih ringkas sebenarnya, dengan hanya beberapa elemen garisan kuning dijadikan perincian dan kontras kepada imej gelap yang ada.

    Lingkaran merah di depan pada rekaan asal antara yang ditukarkan kepada warna kuning, begitu juga dengan garis halus di sekeliling bahagian bodykit di bawah badannya yang tampil minimalis. Kontras kuning paling besar adalah di bahagian pelekat cermin utama di depan, dengan logo R3 tertera dengan jelas.

    Proton Saga Knight Coupe Concept dalam “baju” R3

    Dari bahagian sisi, kedudukan pelekat hiasan juga dialihkan ke atas, dengan warna kuning dan kelabu serta angka penanda sebagai jentera lumba, berbanding kedudukan di bahagian bawah bagi bagi rekaan sebelumnya. Selain itu, perumah cermin sisi juga dijadikan warna kuning. Rekaan rim juga sama, tetapi kaliper disesuaikan dengan tema warna R3 ini.

    Di belakang, selain nampak lebih kemas kerana didominasi warna hitam, kontras kuning hanya hadir sebagai garisan kemasan di bampar. Dan, membezakan versi R3 ini tentulah lencana yang dikenakan pada pintu butnya. Anda rasa rekaan ini sudah cukup matang, atau boleh jadi lebih menarik?

     
     
  • DBKL teliti beberapa kawasan lain di sekitar ibu kota sebagai lokasi bebas kenderaan seperti Jalan TAR

    DBKL teliti beberapa kawasan lain di sekitar ibu kota sebagai lokasi bebas kenderaan seperti Jalan TAR

    Susulan kejayaan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) pada setiap Ahad sejak 28 Ogos lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti beberapa kawasan lain di ibu kota untuk dijadikan sebagai lokasi bebas kenderaan.

    Antara lokasi yang dilihat berpotensi untuk mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah bandar adalah di sekitar Bukit Bintang, menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    “Selepas Jalan TAR, kita bercadang untuk melaksanakannya di sekitar Hotel Federal kerana kawasan itu ialah lokasi tumpuan pejalan kaki. Bagaimanapun, kita masih dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta orang awam dan sekiranya berjaya, perkara itu akan diumumkan nanti,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah pula berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada semua pihak termasuk peniaga dan orang awam berhubung penutupan Jalan TAR pada setiap Ahad.

    “Oleh itu, kita merancang untuk membawa lebih banyak program dan aktiviti untuk menjadikan tempat itu lebih meriah. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, jadi kita perlu mendapatkan maklum balas orang ramai bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul selepas itu,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025