Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Beberapa jalan di Petaling Jaya bakal ditutup pada 25 September ini sempena acara PJ Half Marathon 2022

    Bagi penduduk sekitar Petaling Jaya atau pun yang berada di daerah berkenaan, ingin dimaklumkan bahawa terdapat penutupan beberapa jalan pada Ahad ini, 25 September, bagi kelancaran acara larian PJ Marathon 2022.

    Menurut IPD Petaling Jaya, penutupan jalan (sama ada penuh atau secara berperingkat) akan mula dilaksanakan seawal jam 4 pagi sehingga 11 pagi pada hari tersebut memandangkan acara yang berlangsung di Dataran PJ itu akan bermula pada 4.30 pagi.

    Ia membabitkan susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke Jalan Timur (arah Kuala Lumpur) yang ditutup dari jam 4 pagi hingga 10 pagi. Walau bagaimana pun, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Barat (ke Seksyen 14 dan Seapark) dan Jalan 222 (ke Bandar PJ). Manakala Jalan Timur-Persiaran Barat juga akan ditutup sehingga 10 pagi.

    Klik untuk besarkan

    Begitu juga dengan Persiaran Barat-Jalan Timur (berhadapan Padang Timur) akan ditutup sebahagian jalan dari jam 6 petang pada Sabtu (24 Sept) hingga 12 tengahari (25 Sept).

    Manakala jalan lain yang terlibat dengan penutupan secara berperingkat iaitu dari jam 4 pagi hingga 11 pagi termasuklah Jalan Timur, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Sultan, Jalan Gasing, Jalan Templer, Jalan Harapan, Jalan Semangat, Jalan Kemajuan dan Jalan Universiti. Senarai penuh jalan yang terlibat terdapat pada imej di atas.

    Jadi, untuk anda yang merancang ke PJ pada Ahad ini, mungkin boleh tangguhkan perancangan itu atau pun ubah jadual ke sana selepas jam 1 tengahari bagi mengelakkan anda mungkin tersekat dalam kesesakan trafik akibat penutupan jalan. Atau pun jika perancangan tidak boleh diubah (atau memang anda tinggal di kawasan sekitar), sila patuhi arahan polis trafik dan kakitangan MBPJ untuk kelancaran perjalanan.

     
     
  • Papan tanda kecil SUKE lulus piawaian, namun sudah dicabut untuk diganti dengan yang lebih praktikal

    Papan tanda kecil SUKE lulus piawaian, namun sudah dicabut untuk diganti dengan yang lebih praktikal

    Berikutan maklum balas orang ramai yang tular di media sosial menunjukkan papan tanda di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) disifatkan terlalu kecil baru-baru ini, pemaju lebuhraya berkenaan iaitu Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa ke semua papan tanda yang dipasang adalah mengikut piawaian yang ditetapkan dan telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    Anak syarikat Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas) itu menyatakan bahawa papan-papan tanda yang dipasang di tengah-tengah cabang simpang dan bersaiz kecil tersebut hanyalah papan tanda tambahan, dan merupakan inisiatif yang diambil pihak perunding dilantik dan syarikat.

    Papan-papan tanda tambahan dengan saiz kecil berkenaan direka dengan mengambil kira kekangan kawasan, manakala papan-papan tanda utama dengan saiz besar sememangnya telah dipasang pada gantri yang terletak di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang.

    Namun susulan maklum balas dan pandangan orang ramai yang diberikan di media sosial, syarikat tersebut menyatakan bahawa ia memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta merta agar tidak mengelirukan pengguna lebuh raya berkenaan.

    “Bahagian operasi Lebuhraya SUKE komited untuk terus menambah baik perkhidmatan disediakan serta sedang mereka bentuk papan tanda tambahan baharu yang lebih praktikal dan dijangka siap dalam masa terdekat tertakluk kepada kelulusan pihak bekuasa.

    “PROLintas juga ingin menegaskan bahawa struktur binaan Lebuhraya SUKE adalah selamat dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan serta menerima kelulusan yang sewajarnya seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Konsesi (CA). Sekali gus menyangkal dakwaan terdapat bahagian lebuh raya yang sudah beroperasi tidak selamat untuk digunakan,” jelas syarikat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    PROLintas turut menyatakan bahawa ia menghargai dan menggalakkan pengguna untuk menyampaikan pandangan dan maklum balas demi memastikan perkhidmatan yang disediakan di Lebuhraya SUKE terus berada pada tahap yang terbaik.

     
     
  • Perodua Axia Electric — EV Innovations MyKar 3.0 diperinci; 220 km jarak, penukaran serendah RM20k

    Perodua Axia Electric — EV Innovations MyKar 3.0 diperinci; 220 km jarak, penukaran serendah RM20k

    Dua tahun selepas mendedahkan kenderaan elektrik konsep MyKar, syarikat start-up Malaysia, EV Innovations kini tampil pula dengan prototaip MyKar yang baru dan diberikan gelar 3.0, dan kali ini ia menggunakan sebuah Perodua Axia.

    Syarikat itu yang merupakan sebuah anak syarikat penyedia teknologi maklumat dan komunikasi tempatan System Consultancy Services (SCS) memaklumkan mereka memulakan projek Axia Electric ini pada awal tahun, dengan memerlukan masa sebulan untuk diselesaikan. Kereta asasnya adalah sebuah Axia, yang telah diturunkan enjin pembakaran dalamannya.

    Di ruang enjin berkenaan diletakkan elemen mekanikal dan elektronik yang diperlukan untuk sistem terbabit, yang menggunakan pek bateri berkapasiti 23 kWh, yang memberikan jarak perjalanan sejauh 220 km untuk satu cas penuh. Dengan adanya pengecas dalaman 6 kW, ini bermakna unit berkenaan boleh dicas penuh dalam masa sekitar empat jam. Pengecas AC Type 2 disorokkan dengan kemas di sebalik penutup tangki isian minyak Axia.

    Perodua Axia Electric — EV Innovations MyKar 3.0 diperinci; 220 km jarak, penukaran serendah RM20k

    Tidak seperti unit awal MyKar, yang mempunyai pek bateri 10 kWh (kemudian, 28.7 kWh untuk versi 2.0) yang dietakkan di bawah kerusi belakang, kedudukan ini dipilih kerana ketersediaan ruang yang ada dan tidak memerlukan sebarang ubah suai apa pun untuk kerusi belakang.

    Platform sedia ada, hanya keluarkan enjin dan sistem pacuan

    Seperti yang dijelaskan oleh ketua EV Innovations, Ahmad Zaki Yaacob, hasratnya adalah untuk menjadikan projek ini seringkas mungkin dan kekal dengan fungsi sedia ada Axia, untuk menunjukkan apa yang boleh dibuat untuk pertukaran secara langsung. Kerusi kekal sama, sama juga dengan barangan lain seperti cermin pandang belakang, yang mana di dalam kereta projek terdahulu terdiri daripada sistem kamera dan skrin LCD berkembar.

    Jika unit MyKar awal sebelum ini perlu memanfaatkan sistem pendingin solid-state dan bateri berasingan sebagai sumber kuasanya, versi Axia kali ini mengekalkan penggunaan sistem pendingin asal, dengan pengawal 12 volt mengendalikan agihan yang diperlukan untuk pendingin serta elemen pencahayaan dan aksesori, semuanya menggunakan pek bateri yang sama.

    Perodua Axia Electric — EV Innovations MyKar 3.0 diperinci; 220 km jarak, penukaran serendah RM20k

    Pemasangan sistem pacuan elektrik juga telah menambahkan sedikit berat kepada kereta ini. Axia asas biasa mempunyai berat 820 kg, dan elektrifikasi telah menambah lagi 70 kg kepada berat itu. Ini menjadikannya sama berat dengan kereta porjek MyKar yang terdahulu, yang menggunakan kerangka adan dari gentian kaca komposit DK Composites — yang meminjam bentuk Honda Jazz — dan diletakkan di atas ladder fram/casis tubular yang diubah oleh EV Innovations. Itu menjadikan beratnya 900 kg.

    Hab motor yang sama, tetapi dengan pengawal dan perisian baru

    Seperti sebelum ini, Axia Electric ini menggunakan konfigurasi pacuan roda belakang, dan dua hab motor 12 kW yang sama digunakan seperti model MyKar terdahulu. Bagaimanapun, pengawal dan perisiannya adalah baru, menjadikannya lebih mudah untuk dilaksanakan.

    Axia berkenaan menggunakan rim 14-inci yang sama seperti yang sebelum ini, kerana mudah untuk memasang hab motor yang digunakan itu. Konfigurasi itu juga bermakna yang tayar belakang sedikit terkeluar daripada badan kenderaan, dan ini masih tidak dapat dielakkan walaupun menggunakan gandar baru.

    Perodua Axia Electric — EV Innovations MyKar 3.0 diperinci; 220 km jarak, penukaran serendah RM20k

    Output masih sama seperti sebelumnya, iaitu 24 kW (32 hp, tetapi boleh digandakan hingga 48 kW atau 64 kW), sementara tork kini 100 kg/m (980 Nm), walaupun nisbahnya bermaksud angka tarikan yang disalur akan lebih rendah daripada itu. Dari sudut prestasi, Axia Electric mempunyai laju maksimum 128 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 11 saat; meningkat agak ketara dari unit MyKar sebelum ini, yang hanya memberikan 104 km/j laju maksimum dan 0-100 km/j dalam 16.7 saat.

    Di dalam, model prototaip ini menggunakan head unit Android yang besar, terpasang di konsol tengah. Ini menjadi paparan bagi setiap maklumat yang ada berkaitan sistem EV dan juga mengendalikan hal infotainmen. Tombol bulat di tengah pula digunakan untuk memilih gear (R, N, D).

    Beza penggunaan casis sedia ada

    Seperti unit MyKar 2.0, kami sempat mencuba Axia Electric, dan bezanya adalah casis monocoque sedia ada yang diberikan Axia, dengan kelainan memang dapat dirasakan walaupun baru saja memulakan pandu uji.

    Perodua Axia Electric — EV Innovations MyKar 3.0 diperinci; 220 km jarak, penukaran serendah RM20k

    Antara kelainan yang dimaksudkan, semua aspek pemanduan kini terasa lebih menyatu seperti memandu kereta biasa. Sistem janaan kuasa juga dirasakan cukup responsive. Ada kedengaran dengung dari motor elektrik ketika memulakan pergerakan (dan ketika ingin memberhentikan kereta), tetapi ketika bergerak ia terasa sangat lancar.

    Pemanduan memang tidak jauh ketika itu, tetapi sudah cukup untuk dapat merasakan keserasian dan kesepaduan yang diberikan dengan penggunaan casis sebenar tersebut. Dalam kelajuan sekitar 60-70 km/j, kereta berkenaan terasa seperti Axia standard, dengan suspensi asal memberikan maklum balas yang seadanya, melainkan hentakan yang ketara akan menunjukkan rasa sedikit keras di belakang.

    Perodua Axia Electric — EV Innovations MyKar 3.0 diperinci; 220 km jarak, penukaran serendah RM20k

    Mengapa Axia yang dipilih, dan bukannya Myvi, misalnya? Zaki menjawab, kerana Axia lebih murah. Tujuan projek ini adalah untuk menunjukkan bagaimana sistem asas berkenaan dapat memberikan penawaran asas dalam pasaran. Tentang kos pembangunan, keseluruhan sistem (bateri, elektronik, motor, ubah suai mekanikal, mounting motor) menelan belanja RM50,000, tidak termasuk harga Axia itu sendiri.

    EV Innovations memanfaatkan Axia Electric untuk menunjukkan kemungkinan teknologi berkenaan untuk dipasangkan sebagai sistem modular dan boleh dilakukan terhadap banyak kereta, dengan potensi peralihan dari enjin konvensional kepada EV, sekiranya nanti peraturan membolehkan perkara itu untuk dilakukan. Beliau menambah, dengan skala yang lebih besar, kos sistem berkenaan boleh diturunkan sehingga RM20,000.

     
     
  • Proton buka pusat 3S/4S ke-149 di Malaysia – paling besar di Kelantan & Terengganu, ada ruang PGS

    Proton buka pusat 3S/4S ke-149 di Malaysia – paling besar di Kelantan & Terengganu, ada ruang PGS

    Proton hari ini secara rasmi telah membuka pusat 4S terbaharunya iaitu Harima Auto Mobil 4S (Harima), yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Ini merupakan pusat 3S/4S yang ke-149 Proton di Malaysia, membolehkan ia mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama automotif dengan pusat 3S/4S paling banyak dalam negara. Bukan itu sahaja, malah Harima juga kini merupakan pusat 3S/4S terbesar Proton di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

    Selaras dengan hala tuju perniagaan Proton, Harima yang sudahpun menjadi pengedar Proton di Kota Bharu sejak 1986 memutuskan untuk melabur dalam pusat 4S baharu ini bagi menaik taraf pengalaman pembelian dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan serta menjadi pusat tumpuan bagi pemilik Proton di negeri berkenaan.

    Proton buka pusat 3S/4S ke-149 di Malaysia – paling besar di Kelantan & Terengganu, ada ruang PGS

    Pusat 4S baharu Harima ini terletak di Tunjong, dengan keluasan binaan 2,400 meter persegi. Ia mempunyai bilik pameran yang membolehkan 10-kereta dipamerkan dalam satu-satu masa, 11 ruang servis dan 11 ruang untuk kerja-kerja pembaikan badan dan cat. Seperti pengedar 4S yang lain, fasiliti ini juga mempunyai ruang permainan kanak-kanak, WIFI percuma dan ruang istirahat pelanggan yang selesa.

    Fasiliti baharu Harima ini juga menjadi yang pertama di Kelantan bagi menyediakan ruangan Proton Global Services (PGS), menawarkan ruang kafe menyajikan kopi Starbucks serta sudut produk berjenama Proton dan R3.

    “Apa yang paling penting ialah pelanggan gembira mengunjungi pengedar untuk membeli kereta baharu. Sebaik sahaja mereka telah membelinya, adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka menghantar semula kereta mereka kepada kami untuk servis berkala. Bagaimanapun, Harima merasakan tahap kepuasan pelanggan yang diperlukan tidak dapat dicapai jika kami terus beroperasi sebagai bilik pameran kecil tanpa kemudahan yang diperlukan, justeru, keputusan untuk beroperasi sebagai pengedar 4S,” kata Pengarah Harima, Liew Vee Lee.

    “Pembukaan pengedar 4S baharu Harima Auto Mobil akan membantu meningkatkan reputasi jenama Proton di Kota Bharu. Dengan memiliki rangkaian penuh kemudahan dan aset yang diperlukan untuk melayani jumlah pelanggan yang tinggi, kami berharap dapat meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memberikan pengalaman yang benar-benar premium bagi pelanggan di negeri ini,” kata Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

     
     
  • Harga minyak 22-28 Sept – RON97 turun 10 sen seliter

    Harga minyak 22-28 Sept – RON97 turun 10 sen seliter

    Nampak gayanya harga runcit bagi petrol RON 97 sekali lagi diturunkan. Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan untuk minggu bertarikh 22 hingga 28 September 2022, harga runcit bagi petrol RON97 diturunkan sebanyak 10 sen seliter, iaitu dari RM4.15 seliter menjadi RM4.05 seliter.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 28 September 2022.

    Manakala harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel Euro B10/B20 juga, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Polis Sarawak tawar diskaun saman pada 24-25 Sept

    Polis Sarawak tawar diskaun saman pada 24-25 Sept

    Polis Sarawak bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada hujung minggu ini iaitu 24 hingga 25 September 2022 sempena dengan acara Jelajah Kehakiman Peringkat Negeri Sarawak 2022.

    Selain membayar saman trafik di tapak acara yang bakal dilangsungkan di Plaza Merdeka Mall, Kuching, orang ramai juga boleh berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada tarikh yang sama, jam 10 pagi hingga 6 petang.

    Walau bagaimana pun, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan di mahkamah, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

     
     
  • JPJ Perak catat kutipan RM1.07j hasil jualan kenderaan lelong dari Januari-September 2022

    JPJ Perak catat kutipan RM1.07j hasil jualan kenderaan lelong dari Januari-September 2022

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan sebanyak RM1.07 juta hasil jualan kenderaan lelong yang dilakukan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

    Menurut Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan, lelongan itu melibatkan sebanyak 117 kenderaan yang dilucut hak termasuk kereta, motosikal dan sebagainya dalam sesi lelongan yang dilakukan di negeri tersebut, laporan Bernama.

    Semalam, JPJ Perak sekali lagi mengadakan siri lelongan awam kenderaan sita dengan menawarkan sebanyak 47 kenderaan membabitkan 31 kereta, 13 motosikal dan tiga lori dan daripada jumlah kenderaan itu, 35 daripadanya boleh dilesenkan manakala 12 kenderaan tidak boleh dilesenkan (skrap).

    JPJ Perak catat kutipan RM1.07j hasil jualan kenderaan lelong dari Januari-September 2022

    “Pada siri lelongan awam kenderaan sita ini, sebuah Toyota Alphard mencatat nilai bidaan tertinggi RM32,000 manakala motosikal jenis Modenas Kriss menerima nilai bidaan terendah pada harga permulaan RM200,” katanya tamat sesi lelongan semalam.

    “Semua kenderaan yang dilelong telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pembida yang hadir perlu membeli buku lelongan awam berharga RM70 yang dibuka jualannya selama empat hari bermula 12 hingga 15 September lalu,” tambahnya.

     
     
  • VIDEO: Honda CBR250RR pasaran Indonesia diberi peningkatan – kuasa lebih tinggi, panel badan baru

    VIDEO: Honda CBR250RR pasaran Indonesia diberi peningkatan – kuasa lebih tinggi, panel badan baru

    Honda CBR250RR sekali lagi diberikan peningkatan dan kini sudah dipasarkan di Indonesia. Model ini kali pertama diperkenalkan pada tahun 2016, dan pada tahun 2020 ia sudah pernah diberi naik taraf yang menyaksikan bukan sahaja penampilan, tetapi enjin juga diberi perubahan yang menyaksikan sedikit peningkatan kuasa.

    Sekarang bagi model tahun 2023 ini, langkah hampir sama diambil. Enjinnya menerima perubahan pada bahagian head, menghasilkan nisbah mampatan yang lebih tinggi, serta kuasa yang meningkat menjadi 42 PS pada 13,000 rpm dan 25 Nm tork pada 11,000 rpm.

    Bagi penampilan, CBR250RR baru ini bukan setakat menerima pilihan warna dan grafik yang baru, tetapi hampir kesemua panel badannya juga adalah baru, termasuk fairing (sehingga ke bawah), tangki dan juga panel tempat duduk.

    Bahagian lain yang dinaik taraf adalah suspensi, di mana CBR250RR kini menggunakan fork USD SFF-Big Piston di hadapan, sementara di belakang masih menggunakan monoshock dengan sistem sambungan Pro-Link. Turut membantu menjadikan motosikal ini lebih lincah dan mudah dikawal adalah jarak roda yang lebih pendek 4.0 mm berbanding sebelum ini.

    Dalam pasaran, CBR250RR ditawarkan sebagai motosikal sports berspesifikasi tinggi dengan kelengkapan lainnya termasuk sistem pendikit ride-by-wire, tiga mod tunggangan, lengan ayun aluminium, brek cakera depan dan belakang, sistem brek ABS, semua lampu jenis LED, panel meter digital penuh, sistem ekzos sport, transmisi enam kelajuan dengan klac assist/slipper serta quickshifter.

    Berat keseluruhan model baru ini masih adalah 168 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter. Di Malaysia, CBR250RR dilancarkan pada tahun 2020 dan dijual pada harga RM25,999.

     
     
  • Suzuki Satria F150 diperkenal dengan grafik ala jentera MotoGP di Indonesia, spesifikasi masih sama

    Suzuki Satria F150 diperkenal dengan grafik ala jentera MotoGP di Indonesia, spesifikasi masih sama

    PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) telah melancarkan satu pilihan warna baru untuk Satria F150 (juga dikenali sebagai Raider R150 di negara kita) pasaran Indonesia, melibatkan gabungan warna Solarize Silver dan Met. Triton Blue, menghasilkan penampilan seperti jentera MotoGP Suzuki.

    Harga versi warna baru yang dipanggil sebagai Special Edition ini adalah 29.9 juta rupiah (RM9,094), dan menjadikan ia sedikit lebih mahal berbanding model warna biasa sebelum ini yang dijual pada harga 28.15 juta rupiah (RM8,564) di negara tersebut.

    Bahagian mekanikal dan spesifikasi motosikal ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 147.3 cc DOHC, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan 18.4 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera depan dan belakang, berat 109 kg, tangki bahan api 4.0 liter, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.

    Di Malaysia, Suzuki Raider R150 dilancarkan Mac lalu pada harga RM8,173, dan disediakan dalam pilihan dua warna iaitu hitam/merah dan juga biru matte. Spesifikasinya juga adalah sama seperti Raider dan Satria 150 yang dijual di negara luar.

     
     
  • Geng kayuh ‘takluki’ jalan hingga menyusahkan pemandu – jangan undang risiko dan bahaya!

    Geng kayuh ‘takluki’ jalan hingga menyusahkan pemandu – jangan undang risiko dan bahaya!

    Bukan sekali dua video aksi kumpulan berbasikal yang seakan ‘menakluki’ jalan raya tanpa memikirkan risiko dan bahaya yang menanti. Bukan setakat itu sahaja, tindakan tersebut juga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

    Perkongsian video dari @agishabib menerusi TikTok dan telah pun tular di laman media sosial sejak empat hari lalu, mendapat perhatian dan kecaman netizen. Dengan kapsyen, “Hobi kami mahal, keselamatan diabaikan”, perakam video ini walau bagaimana pun tidak memaklumkan bilakah kejadian dan lokasinya, namun yang pastinya ia melibatkan jalan luar bandar dengan laluan garisan berkembar dan berselekoh.

    Terpaksa sabar dengan memandu dalam kelajuan kurang 40 km/j dan ‘membontoti’ kumpulan pengayuh basikal seramai lebih 10 orang itu, perakam video tersebut turut mengomel sepanjang jalan. Dia turut berpendapat, jika ada kumpulan seramai ini sepatutnya ada pengiring di hadapan dan belakang bagi mengawasi perjalanan kumpulan terbabit, sekaligus tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Apatah lagi di laluan yang berselekoh dan agak sempit itu.

    Bahkan tindakan kumpulan pengayuh basikal terbabit yang menunggang secara beriringan (sepatutnya kenalah menunggang secara berbaris, tidaklah menghalang lalu lintas), pastinya menyulitkan pemandu lain untuk memotong (sekiranya bukan di laluan garisan berkembar). Bukan itu sahaja, jika ada pemandu yang tidak sabar dengan aksi sebegini dan berusaha untuk memotong kumpulan berbasikal ini, mungkin ada risiko dan bahaya yang menanti tanpa disedari.

    Memanglah sebelum ini kerajaan telah menetapkan larangan untuk penunggang basikal menunggang di lebuhraya, tetapi masih ‘membenarkan’ mereka menggunakan jalan biasa untuk meneruskan hobi ini. Tapi apa guna beli basikal mahal-mahal jika aspek keselamatan diabaikan. Jangan seronok tidak bertempat, sampai menyusahkan orang lain, atau paling ‘haram jadah’ mengundang bahaya yang tidak diingini.

    @agishabib Hobi Kami Mahal,Kedelamatan Diabaikan.#fyp? #bahagiaitusederhana ? original sound – AlHabib

     
     
  • Proton Saga Knight Coupe Concept — dari Preve ke imej perlumbaan, adakah ini boleh jadi kenyataan?

    Proton Saga Knight Coupe Concept — dari Preve ke imej perlumbaan, adakah ini boleh jadi kenyataan?

    Proton Saga Knight memang ada tempat yang tersendiri dalam hati ramai orang, terutamanya bagi yang membesar di tahun-tahun 1990an. Dan, ini bukan kali pertama ia diberi bayangan semula oleh pereka tempatan, dalam bentuk digital. Tahun lalu kita telah dihidangkan dengan satu versi Proton Saga Knight Concept sempena Hari Merdeka, hasil buah tangan daripada Saharudin Busri.

    Kini muncul lagi satu versi terbaru oleh Bear Design, yang ditunjuk melalui laman Facebook Beruang Laut. Nama sebenar perekanya ialah Khairul Anwar Tumingan, seorang pensyarah seni reka di salah sebuah universiti swasta. Apa yang dapat dilihat ini adalah dua rekaan konsep digital Proton Saga Knight Coupe Concept, satu versi biasa yang dibayangkan hadir dengan enjin 2.0 Turbo, dan satu lagi adalah versi perlumbaan, ilham dari unit lumba sebenar suatu masa dulu.

    Bentuk umum luaran kereta ini mengambil ilham daripada bentuk Proton Preve. Apa yang menjadikannya lebih unik tentulah rekaan dua pintu yang diberikan. Dari situ sahaja jelas boleh dilihat bahawa rekaan ini dihalakan untuk membawakan imej yang paling sporty untuk Saga Knight, tetapi dalam tafsiran moden hari ini.

    Proton Saga Knight Coupe Concept — dari Preve ke imej perlumbaan, adakah ini boleh jadi kenyataan?

    Wajah depan ringkas, dengan banyak elemen garis berkelebaran penuh menggantikan rekaan gril biasa. Lampu masih tidak lari jauh daripada lampu Saga yang asal, tetapi bampar dan bukaan udara dengan bingkai merahnya menyuntik kelainan. Keseluruhan rekaan depan ini juga nampak lebih lebar daripada biasa.

    Dari tepi ada banyak rekaan dan garis bersegi, misalnya di bahagian lengkuk roda dan garis bahu. Dan, sebab ini sebuah kereta dua pintu ala coupe, tak boleh tidak ada iras Proton Putra yang diberikan untuk imej pandangan sisi. Cukup sporty dan menarik?

    Untuk mengekalkannya dengan imej Knight yang asal, pelekat hiasan memainkan peranan itu. Rim juga nampak besar, dengan rekaan “bunga” terbuka serta brek cakera dan kaliper merah melengkapinya. Di belakang, rekaannya lebih dominan dengan elemen petak, dan nampak agak besar. Rekaan lampu nampak seperti susunan LED, spoiler besar dan juga pelindung cermin belakang menyumbang dalam memperlihatkan sisi agresifnya.

    Tidak ketinggalan ialah ruang dalam; moden dan lengkapi dengan teknologi semasa. Papan pemuka hadir dengan garis ringkas dan lebar, paparan meter untuk pemandu dan juga skrin di tengah adalah digital, stereng dan bahagian kerusi yang kelihatan disesuaikan dengan aspirasi sport dan tombol gear pendek yang moden. Semuanya nampak bersih dan tak kusut.

    Yang lebih menarik sebenarnya adalah versi lumba bagi rekaan Knight yang dihasilkan ini. Dalam latar warna putih dengan pelekat hiasan yang ada, ia kelihatan lebih kena dengan imej sporty yang diinginkan itu. Apa pandangan anda tentang rekaan ini? Cukup menarik?

     
     
  • myTukar buka bilik pameran di Penang, Melaka, Johor – 30 cawangan pemeriksaan, jualan di seluruh negara

    myTukar buka bilik pameran di Penang, Melaka, Johor – 30 cawangan pemeriksaan, jualan di seluruh negara

    myTukar telah membuka tiga lagi bilik pameran baharu, masing-masing di Pulau Pinang, Melaka dan Johor. Langkah itu bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan fizikalnya di seluruh negara, memberi pengalaman membeli kereta yang lebih telus dan boleh dipercayai kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

    Ketiga-tiga bilik pameran baharu ini terletak di kawasan strategik untuk akses yang lebih mudah. Dibina di kawasan seluas antara 4,000 kaki persegi hingga 180,000 kaki persegi, ia boleh memuatkan sehingga 500 unit kenderaan. Dengan pertambahan bilik pameran baharu ini, kini myTukar sudah mempunyai sejumlah 30 cawangan di seluruh negara.

    Pautan Google Maps:

    myTukar turut menyediakan pembiayaan dan perkhidmatan selepas jualan seperti penyelenggaran dan tinting. Seperti biasa, semua kenderaan tertakluk kepada pemeriksaan ketat 160 mata sebelum ia dijual. myTukar juga boleh menghantar kereta yang baru dibeli ke depan pintu pelanggannya untuk pengalaman membeli kereta menerusinya.

    CEO myTukar Derrick Eng berkata, “Langkah strategik ini disasarkan untuk melonjakkan lagi pertumbuhan myTukar ke tahap yang lebih tinggi. Bilik pameran baharu ini meliputi lokasi serantau yang belum diterokai dan meluaskan tawaran dan perkhidmatan kami kepada khalayak yang lebih luas. Selaras dengan usaha penjenamaan semula kami, kami komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan cekap untuk para pelanggan.”

    Baru-baru ini, myTukar telah melakukan penjenamaan semula dengan mengadaptasikan warna jingga sebagai identiti korporat (CI) baharu bagi melambangkan pengukuhan jenama serta kebolehannya sebagai sebahagian dari jaringan serantau Carro.

    Syarikat penjualan kereta terpakai yang berpusat di Singapura, Carro, sebelum ini melaporkan tahun kewangan pertamanya yang menguntungkan, dengan lebih daripada SGD650 juta (RM2.1 bilion). Dalam proses itu, keuntungan kasar pada tahun berakhir Mac 2022 juga meningkat dua kali ganda.

    Dengan pertumbuhan 2.5 kali ganda dan mencatatkan keuntungan kasar, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carro, Aaron Tan, berkata syarikat itu berada di landasan untuk peningkatan 10% dalam margin keuntungan kasar menjelang akhir tahun kewangan semasa. Tahun lepas, Carro memperoleh lebih USD100 juta (RM456 juta) dalam pembiayaan daripada pelabur, termasuk pelabur dari Singapura iaitu Temasek Holdings dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Malaysia.

    Baru-baru ini, Carro turut mengaut keuntungan sebanyak USD360 juta (RM1.64 bilion) dalam pembiayaan Siri C, dengan Sime Darby selaku antara pelabur. Dengan kehadiran di Singapura, Malaysia (melalui myTukar), Thailand dan Indonesia, syarikat itu sedang mencari jalan untuk meluaskan rangkaiannya ke Taiwan dan Jepun pada tahun ini.

     
     
  • Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Selepas 12 tahun berada dalam pasaran, akhirnya crossover kompak Mitsubishi ASX muncul dalam versi generasi baharu. Didedahkan oleh Mitsubishi Motors Europe, model ini disebut sebagai model khas yang dibangunkan untuk pasaran Eropah. Walau bagaimanapun, Mitsubishi ada menyebut model ini turut dikenali dengan nama “RVR atau Outlander Sport di pasaran lain”, yang mungkin membayangkan ia akan turut menjadi model global.

    Seperti yang sudah dilaporkan sebelum ini, dan seperti yang jelas anda boleh lihat dalam gambar, Mitsubishi ASX 2023 ini merupakan model rebadge dari Renault Captur, dibangunkan dari platform CMF-B Pakatan Renault-Nisssan-Mitsubishi yang sama.

    Rupa Captur jelas kelihatan pada ASX 2023 ini di mana ia menampilkan bentuk dan garis badan, rekaan “bumbung terapung” dengan kemasan pada tiang-C, lampu hadapan dan belakang dan kemasan seakan liang udara pada fender hadapan yang sama seperti crossover segmen-B dari Renault berkenaan.

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Jadi tiada rekaan lampu tirus dan tajam pada muka ASX 2023 seperti model-model terkini Mitsubishi yang lain, namun Mitsubishi masih menggelar rekaan gril hadapan bersama logo “tiga berlian” sebagai rekaan signatur Dynamic Shield mereka. Selain itu, Mitsubishi turut menampilkan rekaan bampar hadapan serta bampar dan diffuser belakang yang lebih unik pada ASX ini.

    Abjad yang membentuk nama “MITSUBISHI” diatur merentangi pintu hatch belakang, namun tiada logo Tiga Berlian diletakkan di atasnya, mungkin kerana tidak ngam dengan kamera belakang yang terletak pada bahagian tersebut (kamera berkenaan berada di tengah logo Renault pada Captur).

    Lima pilihan unit rangkaian kuasa untuk ASX 2023 ini ditawarkan untuk pasaran Eropah, di mana empat daripadanya diberikan sistem elektrifikasi. Pilihan tertinggi adalah dengan sistem plug-in hybrid (PHEV), menggandingkan enjin petrol 1.6 liter, dua motor elektrik (satu sebagai unit alternator-starter dan satu lagi motor utama), kotak gear multi-mode automatik dan bateri 10.5 kWj.

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Ia diikuti dengan model hibrid penuh (HEV) menampilkan enjin 1.6 liter, dua motor elektrik dan kotak gear multi-mode automatik yang sama, tetapi dipadankan dengan bateri dengan kapasiti jauh lebih kecil iaitu 1.3 kWj dan tidak boleh dicas semula menerusi pengecas EV.

    ASX 2023 ini ditawarkan dengan model hibrid ringkas menampilkan enjin petrol 1.3 liter turbo dengan sistem suntikan terus. Bagi model ini, ia hadir dengan dua pilihan transmisi, sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh kelajuan klac berkembar automatik (7DCT).

    Manakala versi paling asas, ASX 2023 ini diberikan enjin petrol 1.0 liter turbo yang dipadankan hanya dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Buat masa sekarang, Mitsubishi masih belum mengumumkan angka prestasi mahupun penggunaan bahan api untuk kesemua model ini, tetapi ia mungkin sama dengan angka-angka pada Renault Captur.

    Hanya satu imej bahagian dalaman ASX 2023 ini disiarkan. Dapat dilihat, ia masih menggunakan rekaan yang sama seperti Captur yang menampilkan skrin pada konsol tengah yang diletakkan secara menegak. Namun ASX menerima rekaan lebih tersendiri pada bahagian tombol dan konsol gear serta diberikan logo Mitsubishi bagi menggantikan logo Renault pada bahagian tengan roda stereng.

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Menurut Mitsubishi, Smartphone-link Display Audio (SDA) turut diletakkan pada bahagian tengah panel instrumen digital ASX 2023 ini. Ia membolehkan sistem Multi-Sense pada SDA tersebut dikawal oleh pemandu bagi memilih mod pemanduan yang sesuai. ASX ini juga menampilkan ruang kargo yang luas dan tempat duduk bench belakang yang boleh digelangsarkan memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pengguna, dakwa Mitsubishi.

    Mitsubishi ASX 2023 ini juga datang dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan MI-PILOT, yang menampilkan teknologi bantuan pemanduan satu lorong untuk pemandu yang mengintegrasikan cruise control adaptif (ACC) dan juga bantuan kekal lorong (LCA).

    Model generasi baharu Mitsubishi ASX ini akan diproduksi di kilang Valladolid milik Renault yang terletak di Sepanyol. Ia bakal dijual di pasaran-pasaran Eropah tertentu bermula pada bulan Mac 2023.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor VJU sedia untuk dibida

    JPJ eBid: Siri plat nombor VJU sedia untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VJU, telah mula dibuka bidaan hari ini, 21 September 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 25 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 26 September 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Karamjit Singh kembali ke pentas rali antarabangsa – sertai APRC Danau Toba Rally 2022 minggu ini

    Karamjit Singh kembali ke pentas rali antarabangsa – sertai APRC Danau Toba Rally 2022 minggu ini

    Lagenda sukan rali negara, Karamjit Singh bakal kembali semula ke pentas antarabangsa pada hujung minggu ini dengan menyertai Rally Danau Toba 2022 di Indonesia, yang juga merupakan pusingan kedua Kejurnas Rali Indonesia serta pusingan keempat Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) piala Asia 2022.

    Danau Toba Rally 2022 ini akan berlangsung di salah satu kawasan tumpuan pelancongan Indonesia iaitu di Aek Nauli, Parapat, Sumatera Utara bermula 23 hingga 25 September. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur berkenaan, seramai 62 pelumba telah berdaftar untuk menyertai Danau Toba Rally 2022 kali ini, melebihi kuota awalan yang ditetapkan iaitu hanya 60 peserta.

    Apa yang menarik, Danau Toba Rally 2022 akan menyaksikan pertarungan antara pelbagai jenis jentera rali dari pelbagai spesifikasi seperti Rally2 (R5), AP4, ProtoCars dan pelbagai lagi. Turun sebagai juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori produksi untuk tahun 2002 dan juara APRC tiga kali, kehadiran Karamjit Singh bersama juruarahnya, Jagdev Singh agak menarik perhatian peminat rali di Indonesia pada Danau Toba Rally kali ini.

    Masih belum memperolehi Proton Iriz R5 seperti yang dirancang sebelum ini, Karamjit masih akan memandu Proton Gen2 2.0L Turbo 4WD untuk Rally Danau Toba 2022. Proton Gen2 dengan enjin 4G63T dan sistem 4WD dari Mitsubishi Lancer Evo VI tersebut masih jentera yang sama digunakannya akhir-akhir ini di Malaysia sejak 2017, termasuk ketika menang di pusingan pertama Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 yang berlangsung di Maran, Pahang akhir Julai lalu.

    Rupa terkini Proton Gen2 4WD Turbo Karamjit Singh untuk dibawa ke Danau Toba Rally 2022. Foto ihsan laman Facebook HashrulSubzero

    Antara pemandu lain yang bakal diberikan tumpuan pada rali Danau Toba ini termasuk beberapa pelumba tempatan seperti Sean Galael yang memandu Citroen C3 R5 pasukan Jagonya Ayam, Rifat Sungkar dengan MPV Mitsubishi Xpander AP4 pasukan Xpander Rally Team dan Ryan Nirwan yang memandu Toyota GR Yaris AP4 dari pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia.

    Namun dalam Danau Toba Rally 2022, bukan Karamjit Singh sahaja yang memandu Proton. Senarai peserta menunjukkan salah seorang dari pemandu wanita yang bertanding kali ini iaitu Qanita Syahshiyah bersama juruarahnya Julian Puspa Andari dari Eurostar Racing Team bakal memulakan rali berkenaan dengan Proton Saga.

    Danau Toba Rally 2022 akan menampilkan 12 special stage (SS) di atas permukaan batu kelikir, berlangsung di kawasan Hutan Tanaman Industri PT Toba Pulp Lestari sektor Aek Nauli.

    “Danau Toba Rally APRC 2022 terbuka untuk umum. Ada beberapa tempat yang cukup menarik sebagai spectator points. Penonton dapat menyaksikan perlumbaan ini secara langsung tanpa sebarang pungutan bayaran, atau kata lainnya percuma, dengan tetap mengambil kira faktor keselamatan penonton,” kata Elwin Siregar selaku ketua penganjur Danau Toba Rally 2022.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025