Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha Fazer FZ15 2023 tiba di Brazil – enjin 150 cc penyejukan udara, lampu depan projector, tayar Pirelli

    Yamaha Fazer FZ15 2023 tiba di Brazil – enjin 150 cc penyejukan udara, lampu depan projector, tayar Pirelli

    Setiap negara mempunyai model pilihan masing-masing, dan di Brazil yang tidak menerima model naked seperti MT-15 atau Vixion, Yamaha telah melancarkan Fazer FZ125 baru. Ia diperkenalkan setelah melihat kejayaan Fazer FZ25 menjadi pilihan ramai di negara itu.

    Membawa bentuk yang gagah dengan saiz motosikal sebenar, FZ15 turut mendapat konsep rekaan moden Yamaha terutamanya pada bahagian lampu projector LED hadapannya. Lampu belakang juga adalah unit LED, tetapi lampu penunjuk arah masih lagi menggunakan mentol.

    Tidak seperti MT-15 dan Vixion yang menggunakan enjin terkini Yamaha, FZ15 pula masih dilengkapi dengan enjin empat strok satu silinder SOHC penyejukan udara lama, yang diberitahu adalah lasak dan jimat bahan api. Satu keistimewaannya, ia datang dengan sistem Blueflex, yang membenarkan pemilik menggunakan bahan api sama ada petrol atau ethanol.

    Yamaha Fazer FZ15 2023 tiba di Brazil – enjin 150 cc penyejukan udara, lampu depan projector, tayar PirelliYamaha Fazer FZ15 2023 tiba di Brazil – enjin 150 cc penyejukan udara, lampu depan projector, tayar Pirelli

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi lima kelajuan dengan klac tangan, dan mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 12.4 hp pada 7,500 rpm dan tork 12.8 Nm pada 6,000 rpm. Bahan api disampaikan dengan sistem suntikan elektronik.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada FZ15 ini adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem ABS, fork teleskopik, monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, panel meter digital penuh, tangki bahan api 11.9 liter, tayar Pirelli Diablo Rosso II saiz 100/80 di hadapan dan 140/60 di belakang, serta berat keseluruhan 135 kg.

     
     
  • Audi e-tron Sportback di Malaysia – 55 quattro S line dengan jarak EV 446 km, 408 PS AWD; dari RM498k

    Audi e-tron Sportback di Malaysia – 55 quattro S line dengan jarak EV 446 km, 408 PS AWD; dari RM498k

    Mula diperkenalkan di peringkat global pada November 2019, Audi e-tron Sportback kini sudah pun tiba di pasaran Malaysia menerusi pengimport tempatan Weststar Motors. Diberikan pilihan versi ala coupe, harga yang ditawarkan untuk varian 55 quattro S line ini mencecah RM498,000.

    SUV elektrik sepenuhnya ini menampilkan penjana kuasa semua-roda dengan motor elektrik hadapan berkuasa 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork 247 Nm. Sementara itu, motor elektrik belakang pula menyalurkan kuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 314 Nm, jadi jumlah keseluruhan output mencecah 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan 561 Nm.

    EV ini juga didatangkan dengan boost mode yang mampu meningkatkan output sementara hingga 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 664 Nm, yang dapat membantu mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dari 6.6 saat (tanpa boost) ke 5.7 saat, dengan kelajuan maksimum cecah 200 km/j.

    Audi e-tron Sportback di Malaysia – 55 quattro S line dengan jarak EV 446 km, 408 PS AWD; dari RM498k

    Motor elektrik ini dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 95 kWh, yang mampu menyalurkan jarak hingga 446 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, e-tron Sportback menyokong AC input (sambungan Type 2) hingga 11 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 8.5 jam. Ia juga boleh menggunakan pengecasan pantas DC (sambungan CCS2) sehingga 150 kW yang mampu menyalurkan kuasa dari status 5-80% dalam hanya 30 minit sahaja.

    Bagi kelengkapannya, model tahun 2020 e-tron Sportback ini digayakan dengan pakej S line yang ditambahkan dengan bampar yang lebih agresif dan lencana yang dikhaskan. Luarannya juga dicat dengan warna Navarra Blue dan dipadankan bersama roda aloi turbin lima-jejari 21-inci, dengan kaliper brek jingga jenama e-tron.

    Audi e-tron Sportback di Malaysia – 55 quattro S line dengan jarak EV 446 km, 408 PS AWD; dari RM498k

    Ia juga didatangkan dengan lampu utama matrix LED, bumbung suria kaca panoramik dan cermin maya Audi. Direka bagi mengurangkan seretan aero dinamik, kamera yang dipasang di tepi menggantikan cermin biasa, dengan rakaman video dihantar ke skrin yang diletakkan di atas pemegang pintu dalam.

    Lain-lain ciri berteknologi tinggi yang diberikan termasuk kokpit maya Audi, sistem bunyi premium Bang & Olufsen, kawalan suhu empat-zone, kamera 360-darjah, pakej pencahayaan dalaman LED, bantuan sisi AUdi (pra-penderia belakang, bantuan lintasan-trafik belakang, amaran keluar), dan Tour Pack (kawalan kelajuan adaptif, bantuan membelok, amaran ketibaan loronh, bantuan pengelak pelanggaran, pengesan isyarat trafik, AEB).

     
     
  • Mitsubishi Motors M’sia serahkan Triton unit ke-100k kepada pelanggan di EON Auto Mart Jalan Ampang

    Mitsubishi Motors M’sia serahkan Triton unit ke-100k kepada pelanggan di EON Auto Mart Jalan Ampang

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun menyerahkan unit yang ke-100,000th untuk trak pikap Triton di Malaysia kepada pemiliknya di pengedar bertauliah Mitsubishi iaitu EON Auto Mart Jalan Ampang.

    Bagi meraikannya, MMM telah memberikan bekalan diesel untuk perjalanan sejauh 100,000 km yang bernilai sehingga RM27,000 kepada pemilik Triton yang bertuah tersebut iaitu Muhammad Ferdaus, seorang kotraktor pemasangan panel solar.

    “Pelanggan Triton kami datang daripada semua lapisan masyarakat – pemilik perniagaan, peminat off-road dan pengguna gaya hidup. Selama bertahun-tahun, dengan teknologi dan fungsi Triton yang dipertingkatkan, ia telah memberi inspirasi kepada pemilik untuk menyahut cabaran sehingga ke hadnya dalam mencipta perjalanan hidup yang menarik, sambil memenuhi impian dan cita-cita mereka,” kata CEO Mitsubishi Motors Malaysia Shinya Ikeda.

    Mitsubishi Motors Malaysia memuktamadkan kalendar tahun 2021 dengan peningkatan 91% dalam jumlah jualan dengan merekodkan jualan sebanyak 17,489 unit pada tahun tersebut, naik 9,163 unit berbanding tahun sebelumnya. Dari jumlah keseluruhan tersebut, Triton merupakan model paling laris dengan 9,268 unit telah diserahkan kepada pelanggan, atau 34% lebih banyak berbanding 2020. Jualan Triton mewakili sebanyak 53% dari angka keseluruhan pada 2021.

    MMM memuktamadkan tahun kewangan 2021 mereka pada Mac 2022, menyaksikan jumlah jualan 19,217 unit pada FY2021, mewakili peningkatan sebanyak 66% berbanding tahun kewangan sebelumnya. Sementara itu, MPV tujuh-tempat duduk jenama berkenaan iaitu Mitsubishi Xpander mencatatkan jualan sebanyak 7,937 unit pada tahun kalendar 2021.

     
     
  • PLUS umum laluan keluar Plaza Tol Hutan Kampung ditutup sehingga 21 Oktober untuk kerja penurapan

    PLUS umum laluan keluar Plaza Tol Hutan Kampung ditutup sehingga 21 Oktober untuk kerja penurapan

    PLUS telah mengumumkan penutupan sementara laluan keluar Plaza Tol Hutan Kampung untuk kerja-kerja penambahbaikan turapan. Penutupan tersebut bermula hari ini sehingga 21 Oktober 2022.

    Jadi, jika anda mendapati trafik lebih sesak daripada biasa di plaza tol Kedah ini, sila lebih bersabar dan memandu dengan selamat. Ikuti arahan pada papan tanda dan yang diberikan oleh petugas.

    Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan ini juga menggalakkan pemandu untuk memuat turun aplikasi PLUS dan berinteraksi secara maya dengan chatbot bernama Putri bagi mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Pandu selamat.

     
     
  • Puspakom akan buka hari Sabtu, 24 September ini di cawangan terpilih untuk penuhi permintaan tinggi

    Puspakom akan buka hari Sabtu, 24 September ini di cawangan terpilih untuk penuhi  permintaan tinggi

    Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) mengumumkan bahawa beberapa cawangannya yang terpilih akan dibuka pada Sabtu 24 September nanti, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. Langkah ini diambil bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tinggi, sama seperti yang dibuat pada Sabtu lalu.

    Sejumlah 16 cawangan Puspakom akan terlibat. Di Lembah Klang, cawangan yang akan beroperasi pada tarikh berkenaan adalah Wangsa Maju, Petaling Jaya, Shah Alam dan Padang Jawa. Manakala di kawasan Utara pula membabitkan cawangan Alor Setar, Mak Mandin (Pulau Pinang) dan Gopeng (Perak), sementara di Selatan pula cawangan yang dibuka pada Sabtu tersebut adalah Johor Bahru, Kluang dan Pasir Gudang.

    Untuk kawasan Pantai Timur, cawangan yang dibuka pada 24 September tersebut adalah Kuantan dan Kota Bharu, dan di kawasan Timur Malaysia pula membabitkan cawangan Kota Kinabalu dan Kuching.

    Bagi mereka yang mahu membuat pemeriksaan pada tarikh berkenaan, anda terlebih dahulu perlu membuat temujanji menggunakan aplikasi MyPuspakom. Mereka yang tidak mempunyai temu janji tidak akan dilayan.

     
     
  • SUKE bakal dibuka tidak lama lagi – lebuhraya bertingkat sepanjang 24.4 km; Sri Petaling-Ulu Kelang

    SUKE bakal dibuka tidak lama lagi – lebuhraya bertingkat sepanjang 24.4 km; Sri Petaling-Ulu Kelang

    Dengan jarak sepanjang 24.4 km dari Sri Petaling ke Ulu Kelang, Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mewakili generasi akan datang lebuh raya Malaysia apabila ia dilancarkan tidak lama lagi.

    Ditetapkan untuk menjadi lebuh raya bertingkat ikonik di Malaysia apabila siap, lebuhraya ini turut menampilkan jambatan galang kotak bersegmen setinggi 56.4 meter yang merupakan struktur tertinggi yang pernah dibina di Lembah Klang. Jambatan bertingkat ini juga merentangi Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), telah mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records.

    Itu bukan satu-satunya rekod yang dianugerahkan kepada SUKE, kerana satu lagi sejarah yang dicatatkan ialah dengan adanya tanjakan helicoidal (spiral) pertama di negara yang terletak berhampiran persimpangan Cheras-Kajang. Bahagian unik lebuh raya itu juga menerima pengiktirafan Reka Bentuk Lebuhraya Dinamik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    SUKE bakal dibuka tidak lama lagi – lebuhraya bertingkat sepanjang 24.4 km; Sri Petaling-Ulu Kelang

    Dengan adanya ciri ini, pemandu akan dapat menikmati pengalaman pemanduan yang tidak dapat dilupakan semasa menggunakan SUKE. Satu lagi ciri unik SUKE ialah ia mempunyai 90% laluannya yang dinaikkan, dengan reka bentuk bercabang (berpecah) yang membolehkan cahaya matahari menembusi ke Sungai Ampang. Selain itu, ia juga mempunyai taman yang terletak di bawah struktur lebuh raya dengan trek pejalan kaki/joging sepanjang 1.6 km.

    Tujuan utama lebuh raya ini dibina adalah untuk menggalakkan ketersambungan antara laluan lain, dan SUKE mempunyai 14 persimpangan di sepanjang laluannya di Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.

    Selain itu, SUKE turut menghubungkan beberapa lebuhraya sedia ada, termasuk Lebuhraya Shah ALam (KESAS) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). Malahan lebuhraya ini juga boleh dihubung terus dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Grand Saga, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).

    Selain memberikan laluan alternatif untuk pengguna jalan raya di Lembah Klang, SUKE juga dikatakan dapat membantu masalah kesesakan lalu lintas di sepanjang MRR2 sebanyak 30%, Jalan Ampang (30%) dan Jalan Loke Yew (12%) ketika waktu puncak. Salah satunya disumbangkan dengan reka bentuk dua laluan tiga lorong, dengan setiap lorong berukuran 3.5 meter lebar untuk mengendalikan jumlah besar kenderaan.

    Ciri lain yang ditampilkan ialah dua kawasan lay-bay, satu kawasan rehat dan servis (R&S) di Tasik Tambahan serta tiga plaza tol, termasuk kompleks plaza tol berbilang tingkat tertinggi di negara ini. Ia terletak di struktur dua tingkat di Alam Damai, dengan plaza tol lain berada di Bukit Teratai dan Ampang. Dengan lebih ramai pemandu beralih kepada kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, SUKE juga menyediakan enam stesen pengecas EV di sepanjang laluannya untuk menyokong pengguna kenderaan sifar pelepasan.

    “Lebuhraya SUKE ini dilihat mampu memberikan impak yang mendalam terhadap usaha untuk mengurangkan kesesakan dan menambah baik aliran trafik, khususnya di bahagian timur Kuala Lumpur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

    SUKE bakal dibuka tidak lama lagi – lebuhraya bertingkat sepanjang 24.4 km; Sri Petaling-Ulu Kelang

    Tambahnya, “Ia juga memberikan laluan alternatif terbaik untuk pengguna jalan raya, ketersambungan yang lancar dan kebolehcapaian yang lebih baik terutamanya di 14 persimpangan di sepanjang laluan SUKE.” Anak syarikat PROLINTAS, Projek Lintasan Sungai Besi Ulu Klang, bertanggungjawab membina SUKE, dengan kos pembinaan mencecah RM5.7 bilion dan ia mula dibina sejak 2016.

    Aspek keselamatan juga sangat diberi keutamaan, dan ia mempunyai lorong kecemasan selebar tiga meter sebagai tambahan kepada tiga lorong biasa. Terdapat juga 40 unit CCTV di sepanjang laluan, dengan setiap satu dipasang pada tiang bersepadu yang menempatkan sistem CCTV, telefon kecemasan dan sensor pengesanan kenderaan – ini membentuk sebahagian daripada sistem kawalan lalu lintas dan pengawasan.

    Untuk meminimumkan kesan lebuh raya terhadap alam sekitar dan menggalakkan kemampanan, SUKE dibina dan diperakui dengan sistem penarafan hijau Indeks Bangunan Hijau (GBI). Selain panel solar, lebuh raya ini juga mempunyai sistem penuaian air hujan dan panel e-kaca rendah untuk meminimumkan jumlah cahaya inframerah dan ultraungu daripada memasuki plaza tol bertingkat Alam Damai.

     
     
  • Toyota Innova generasi baru dengan nama Zenix, guna platfrom TNGA, bakal muncul 22 Nov ini di Indonesia?

    Toyota Innova generasi baru dengan nama Zenix, guna platfrom TNGA, bakal muncul 22 Nov ini di Indonesia?

    Toyota Innova generasi kedua sudahpun berada sekitar tujuh-tahun dalam pasaran, sejak ia diperkenalkan di Indonesia pada 2015. Seperti model generasi pertamanya, Innova generasi kedua tersebut masih mengekalkan konsep dari model generasi pertama iaitu menggunakan casis ladder frame yang dikongsi bersama trak pikap Toyota Hilux.

    Khabar dari Indonesia bertiup bahawa Toyota bakal memperkenalkan Innova generasi ketiga pada 22 November ini, lapor OtoDriver.com berdasarkan pendedahan dari sumber portal berkenaan.

    Dan apa yang menarik, sama seperti Avanza generasi baharu yang kini sudahpun menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture pacuan hadapan yang jauh lebih moden berbanding casis ladder frame pacuan belakang sebelumnya, Innova juga dikhabarkan akan diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) setara dengan model-model global Toyota terkini.

    Dengan menggunakan platform TNGA, sudah tentu Innova tidak mempunyai masalah untuk menerima varian yang dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid, dan tidak mustahil ia akan menggunakan unit yang sama seperti Toyota Corolla Cross Hybrid, menggandingkan enjin 1.8 liter empat silinder NA dan juga motor elektrik. Malah dengan platform baharu ini juga, Innova tentunya bakal menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense.

    Toyota Innova generasi baru dengan nama Zenix, guna platfrom TNGA, bakal muncul 22 Nov ini di Indonesia?

    Sumber berkenaan turut memberitahu, model generasi baharu Innova ini juga akan menerima nama “Zenix” – masih tidak diketahui sama ada ia adalah untuk varian tertinggi yang akan digelar sebagai “Innova Zenix”, atau mungkin akan diberi nama terus sebagai “Toyota Zenix”.

    Untuk rekod, varian tertinggi Avanza di Indonesia kini hanya dikenali sebagai Toyota Veloz dan bukan lagi Toyota Avanza Veloz seperti generasi sebelumnya. Ini bagi membolehkan Avanza dipisahkan dengan Veloz bagi memberikan imej lebih premium pada Veloz, seolah-olah ia tiada kaitan dengan Avanza.

    Buat masa sekarang, Toyota Astra Motor sudahpun menawarkan MPV dengan platform TNGA di pasaran negara berkenaan iaitu Toyota Voxy, iaitu lawan terus kepada Nissan Serena. Namun ia dijual jauh lebih mahal berbanding Innova sedia ada, dijual pada harga Rp 574,600,000 (RM174k).

    Manakala Innova (dikenali sebagai Kijang Innova di sana) dijual pada harga bermula Rp 369,600,000 (RM112k) untuk varian asas G, sehingga Rp 494,400,000 (RM150k) untuk varian tertinggi yang dikenali sebagai Kijang Innova Venterur.

     
     
  • Honda tunjuk enjin dua silinder 755 cc baru – kuasa 34 hp lebih tinggi berbanding enjin 750 cc sekarang

    Honda tunjuk enjin dua silinder 755 cc baru – kuasa 34 hp lebih tinggi berbanding enjin 750 cc sekarang

    Melalui teaser-teaser yang dikeluarkan, ramai sudah tahu bahawa Honda sedang membangunkan Hornet baru. Pendedahan rasminya masih belum diberitahu bila akan berlaku, tetapi untuk enjinnya, ia akan dibawa ke pameran EICMA November ini di Milan, Itali. Sebelum itu, beberapa gambar dan perinciannya didedahkan terlebih dahulu.

    Sedang ramai yang menjangkakan Hornet baru ini akan menggunakan enjin 750 cc sama seperti X-ADV ataupun Forza, Honda nampaknya mempunyai sesuatu yang lebih istimewa apabila memperkenalkan enjin baru yang dikatakan mempunyai banyak tork pada tahap rpm pertengahan, serta kuasa mengujakan di rpm tinggi.

    Masih meggunakan tetapan dua silinder selari, enjin baru ini mempunyai kapasiti 755 cc, bersama lapan injap dan dipanggil sebagai Unicam. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 92 hp pada 9,500 rpm dan tork 75 Nm pada 7,250 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin dua silinder selari 745 cc yang menghasilkan 58 hp/69 Nm, enjin baru ini adalah lebih berkuasa sehingga 34 hp dan 6 Nm.

    Honda tunjuk enjin dua silinder 755 cc baru – kuasa 34 hp lebih tinggi berbanding enjin 750 cc sekarang

    Enjin ini datang dengan kedudukan crankshaft 270 darjah, serta strok pendek, sekaligus dapat menghasilkan pemasaan pengapian tidak sekata dan penyampaian kuasa seperti enjin v-twin. Menurut timbalan pengarah projek utama Honda, Fuyuki Hosokawa, ia juga sesuai untuk pemanduan dalam bandar dan keluar dari selekoh dengan cepat.

    “Bagi kami, Hornet sentiasa menjadi lambang kepada konsep streetfighter dan model baru ini dengan bangganya akan mengikut tradisi itu,” tambah Hosokawa. Kemunculan enjin ini sudah diberitahu akan berlaku di EICMA 2022, tetapi untuk Hornet, kita masih belum pasti sama ada ia juga akan berada di sana ataupun tidak.

     
     
  • Subaru akan perkenalkan EyeSight berasaskan AI bermula tahun 2025 – lebih fokus kepada keselamatan

    Subaru akan perkenalkan EyeSight berasaskan AI bermula tahun 2025 – lebih fokus kepada keselamatan

    Subaru, dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Automotive News Europe memberitahu bahawa syarikat sedang membangunkan versi masa hadapan bagi pakej ADAS EyeSight mereka, yang akan menggunakan Artificial Intelligence (AI) untuk kemampuan pemanduan autonomous pada kenderaan.

    Antara kemampuan pemanduan yang dimaksudkan boleh termasuk sistem letak kenderaan sendiri, dan pengeluar dari Jepun itu mempunyai perancangan untuk memperkenalkan versi baru EyeSight ini kepada pasaran bermula tahun 2025. Dalam laporan itu juga tertulis bahawa EyeSight baru ini akan dibangunkan menggunakan asas sedia ada, tetapi ditambah dengan AI untuk memperbaiki kemampuan mengenal pasti keadaan jalan dalam situasi sukar.

    EyeSight dengan AI ini juga sedang dibangunkan di satu pusat pembangunan Artificial Intelligence baru, di mana para jurutera menggunakan pembelajaran mesin untuk membawa ciri keselamatan termaju lebih cepat kepada pasaran. EyeSight baru ini juga dilaporkan boleh dikemas kini secara dalam talian.

    Subaru akan perkenalkan EyeSight berasaskan AI bermula tahun 2025 – lebih fokus kepada keselamatan

    “Pendekatan Subaru adalah untuk mengurangkan korban kemalangan trafik kepada sifar secepat mungkin, berbanding memberi fokus kepada pemanduan autonomous.,” kata pengarah Subaru Lab, Eiji Shibata kepada Automotive News Europe.

    Timbalan kepada Shibata pula, iaitu Toru Saito menambah, bahawa Subaru yakin gabungan AI dengan kamera stereo adalah cara yang lebih berkesan untuk mencapai sasaran mereka, berbanding lidar sensor yang digunakan kebanyakan pengeluar kenderaan lain untuk sistem ADAS mereka.

    Kemalangan di dalam kawasan letak kereta menyumbang satu pertiga daripada kesemua kemalangan, kata Shibata, dan ini adalah antara sebab Subaru akan memberi fokus terlebih dahulu kepada fungsi letak kenderaan automatik untuk sistem pemanduan autonomous bermula tahun 2025 dan seterusnya.

     
     
  • Proton Saga SV88 dari ilham filem Seoul Vibe di Netflix — rekaan Hari Merdeka ke-65 Saharudin Design

    Proton Saga SV88 dari ilham filem Seoul Vibe di Netflix — rekaan Hari Merdeka ke-65 Saharudin Design

    Bagi mereka yang selalu meluangkan masa menonton atau meneroka kandungan dalam Netflix, ada kemungkinan anda pernah terserempak dengan judul Seoul Vibe. Ia sebuah filem aksi Korea Selatan, menampilkan banyak babak melibatkan kereta dan aksi pemanduan, dengan latar sukan Olimpik Seoul 1988 dengan tumpuan kepada kereta-kereta buatan Korea Selatan sebahagian besarnya.

    Sempena Hari Merdeka ke-65 negara ini yang baru saja disambut, Netflix Malaysia telah bekerjasama dengan Saharuddin Busri untuk menghasilkan sesuatu dengan unsur dan ilham dari Malaysia, yang dalam masa sama turut mempunyai pertalian dengan filem berkenaan.

    Dengan semua latar “sejarah dan kereta” ini, maka perhatian tentunya sudah boleh dijangka: mereka memilih untuk membayangkan semula Proton Saga untuk dipadankan dengan imej atau keperluan filem aksi Seoul Vibe.

    Proton Saga SV88 dari ilham filem Seoul Vibe di Netflix — rekaan Hari Merdeka ke-65 Saharudin Design

    Jika selalu mengikuti perkembangaan rekaan digital oleh Saharudin seperti yang selalu kami bawakan, pasti anda juga sudah tahu kemampuan dan pendekatan beliau dalam membayangkan semula model-model kereta yang pernah dihasilkan, misalnya Myvi EV dan juga Proton Savvy18 ini.

    Tahun lalu, sempena Hari Merdeka, Saharudin sempat memberi tumpuan kepada sebuah lagi model klasik Proton, iaitu Saga Knight Concept 2021, yang dibayangkan sebagai sebuah model hatchback moden. Untuk tahun ini, dengan kerjasama Netflix, beliau sekali lagi memberi tumpuan kepada model klasik, Proton Saga.

    Memperkenalkan, Saga SV88, sebuah rekaan yang dibayangkan sekiranya model terbabit turut menghiasi filem Seoul Vibe itu, tentunya dengan elemen dari Malaysia. Jelas sekali, Saga yang dihasilkan ini sarat dengan sentuhan modifikasi dan perlumbaan — perkara yang menghiasi filem berkenaan — dalam penampilan yang tidak keterlaluan.

    Proton Saga SV88 dari ilham filem Seoul Vibe di Netflix — rekaan Hari Merdeka ke-65 Saharudin Design

    Banyak rekaan petak yang dikekalkan, misalnya untuk lampu depan dan belakang, begitu juga misalnya untuk wajah depan keseluruhannya. Lampu isyarat, bampar bersegi, bukaan udara untuk radiator (atau mungkin intercooler yang dibayangkan) juga bersegi dan disudahi dengan bahagian lip di bawah.

    Hud juga seperti diberikan bukaan udara, dengan kedudukan yang lebih tinggi pada bahagian tengahnya. Bahagian sisi, selain kedudukan kereta yang lebih rendah, ia dihiasi dengan hiasan angka 88 yang menjadikan namanya, serta rim rekaan klasik dalam warna putih. Tak lupa juga bodykit di sekelilingnya.

    Bahagian belakan nampak menarik dan “sibuk” dengan pelindung cermin yang digunakan, serta spoiler besar yang ada. Bampar juga dihiasi dengan garis ringkas, berserta elemen bersegi yang sama di depan yang disepadankan — termasuklah dua muncung ekzosnya. Terakhir, jika lip/spoier di depan dalam warna hitam, di belakang ini warnya merah — dan dua warna berkenaan juga menjadi kombinasi utama kereta ini.

    Adakah anda rasa Saga SV88 ini cukup menarik untuk ditampilkan dalam filem sebenar?

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor BRD kini dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor BRD kini dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor dari Selangor, BRD, bersedia untuk dibida menerusi platform bidaan dalam talian, JPJ eBid.

    Mula dibuka bidaannya sejak 10 September 2022, ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 14 September ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya,15 September 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Trak pikap Toyota Alphard – projek baharu pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun!

    Trak pikap Toyota Alphard – projek baharu pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun!

    Saban tahun, pasti ada sahaja projek yang menggemparkan dari pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon (TAS). Nampaknya untuk Januari 2023 nanti, NATS bakal membawa sebuah Toyota Alphard yang diubah sebagai sebuah trak pikap!

    Kerja-kerja transformasi Alphard berkenaan kini sedang berlangsung, dan foto-foto kemajuan projek itu dimuat naik di laman instagram kolej tersebut. Menerusi lakaran yang dikongsikan, trak pikap Alphard ini bakal menampilkan rupa seakan sebuah trak pikap low rider bersaiz penuh dari Amerika Syarikat seperti Ford F-350, dan ia akan turut membawa motosikal jenis easy rider di belakangnya; sebab itulah ia diberi nama sebagai “Alphard Super Dually”.

    Jadi pelajar-pelajar kolej berkenaan telah memotong badan Alphard tersebut bermula pada bahagian belakang pintu gelangsar, bagi memberikan ruang kabin yang masih luas, dan memberikan rupa seakan badan “crew cab” pada Ford F-350. Ini juga membolehkan sistem suspensi belakang jenis bebas pada Alphard berkenaan masih boleh digunakan, dan akan memberikan sudut camber negatif (terkangkang) dan sebahagian roda dapat disembunyikan dalam fender selepas ia direndahkan semahunya nanti.

    Trak pikap Toyota Alphard – projek baharu pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun!

    Badan MPV tersebut dipotong di atas sebuah jig, bagi memastikan bahagian belakangnya kekal tegak ketika disambung semula. Pelajar-pelajar NATS ini telah menghasilkan kerangka baharu bagi menjadikan ia sebahagian dari casis yang dipanjangkan. Setakat ini, bahagian bed belakang dimulakan dengan pemadanan bed dari Toyota Hilux, dan belakang kabin dilihat diberikan pintu hatch yang diambil dari Toyota Probox untuk memberikan akses dari bed ke kabin.

    Seperti biasa, Alphard Super Dually ini dijangka akan siap dan dipamerkan di TAS 2023 awal yang akan berlangsung pada awal tahun depan, dan ia adalah projek akhir bagi mereka yang mengambil jurusan Customize di kolej berkenaan.

    Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

    Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). Bagi projek jurusan Customize seperti Alphard Super Dually ini, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia sumbang trak Triton kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia

    Mitsubishi Motors Malaysia sumbang trak Triton kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menyumbangkan seunit trak Triton kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang ditubuhkan pada tahun 1966 yang menyediakan pelbagai perkhidmatan penjagaan dan sokongan kepada pengidap kanser.

    Trak Triton ini akan digunakan oleh NCSM untuk berkunjung ke kawasan luar bandar di mana penduduknya kurang atau tiada akses mendapatkan kemudahan pemeriksaan kanser terutamanya yang berpendapatan rendah.

    “Mitsubishi Motors menyokong usaha murni NCSM dalam melaksanakan misi mereka untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pencegahan, saringan dan pengesanan awal kanser. Selaras dengan visi CSR kami ‘Inspiring Lives Today for a Greater Future’, kami tahu bahawa kejayaan bukan semata-mata diukur dengan kenderaan yang dibawa di jalan raya, tetapi juga dengan kehidupan yang diperkayakan sepanjang perjalanan,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

    Tambah beliau lagi, “Selama bertahun-tahun, trak pikap Triton yang memenangi pelbagai anugerah telah melepasi banyak ujian ketahanan dan telah melalui keadaan jalan yang paling teruk. Kami berharap Triton akan membantu NCSM untuk akses ke banyak tempat dan membantu seramai mungkin orang.”

    NCSM dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan sukarela daripada orang ramai dan menyediakan sokongan kanser holistik kepada pesakit dan penjaga dalam memahami dan menangani kanser dalam pelbagai fasa melalui pelbagai inisiatif.

     
     
  • VIDEO: Warga Singapura menipu untuk isi RON95 di Malaysia – berpakat dengan pemilik kereta tempatan

    VIDEO: Warga Singapura menipu untuk isi RON95 di Malaysia – berpakat dengan pemilik kereta tempatan

    Sebelum ini kita sudah lihat bagaimana warga Singapura tanpa segan silu mengisi petrol RON95 bersubsidi yang khas untuk rakyat Malaysia di sini. Namun setelah pihak berkuasa tempatan memberikan amaran keras kepada pemilik stesen minyak dalam negara bagi mengekang aktiviti tersebut, nampaknya warga negara sebarang tambak berkenaan kini membuat helah bagi membolehkan mereka terus mengisi bahan api yang dijual murah dengan subsidi kerajaan Malaysia itu.

    Dalam video baharu yang disiarkan dalam laman Youtube SG Road Vigilante, sebuah MPV Toyota Estima bernombor pendaftaran Singapura dilihat berpakat dengan sebuah Audi bernombor pendaftaran Malaysia. Laman berkenaan menyatakan kejadian tersebut berlaku di stesen Petron Gelang Patah pada pukul 2.30 pagi semalam, 11 September 2022.

    Menurut kapsyen pada video tersebut, kedua-dua kenderaan itu mengisi petrol secara sebelah menyebelah, di mana pemandu Audi berkenaan yang mengaktifkan pam petrol RON 95, manakala pemandu Estima mengkatifkan pam petrol RON97 yang tidak bersubsidi. Namun selepas itu, kedua-dua mereka dilihat saling menukar nozel bagi membolehkan pemilik kenderaan Singapura berkenaan mengisi MPVnya dengan petrol RON95.

    Buat masa sekarang petrol RON95 di Malaysia masih dijual pada harga RM2.05 seliter, di mana harga siling berkenaan boleh dikekalkan dengan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai perbandingan, petrol RON97 yang tidak diberikan subsidi kini sudahpun mencecah RM4.20 seliter.

    Manakala di Singpapura, buat masa sekarang petrol RON95 dijual pada harga sekitar SG$2.88 (RM9.27) seliter dan RON 98 pula sekitar SG$3.35 (RM10.78) seliter. Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia.

    Sebelum ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

     
     
  • Perkhidmatan LRT dilanjutkan operasi hingga jam 1 pagi sempena Piala FA di Bukit Jalil pada 10 Sept ini

    Perkhidmatan LRT dilanjutkan operasi hingga jam 1 pagi sempena Piala FA di Bukit Jalil pada 10 Sept ini

    Esok malam (10 September) bakal berlangsungnya perlawanan bola sepak Piala FA 2022 yang melibatkan pertembungan sengit antara pasukan Terengganu FC dengan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Bukit Jalil. Susulan itu, Rapid KL telah mengumumkan waktu operasi bagi perkhidmatan LRT, terutamanya laluan Seri Petaling akan dilanjutkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Rapid KL berkata, operasi stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sehingga jam 1 pagi dan tren tambahan akan disediakan selepas perlawanan tamat.

    Para pengguna diingatkan agar menggunakan kad Touch ‘n Go untuk transaksi pembayaran tambang bagi melancarkan lagi perjalanan masing-masing. Malah Rapid KL juga memaklumkan ruang khas untuk solat juga disediakan di stesen Bukit Jalil. Jadi, bagi anda yang bakal ke Stadium Bukit Jalil esok, lebih mudah untuk menggunakan perkhidmatan LRT bagi mengelakkan anda tersekat di kesesakan lalu lintas.

    Dalam masa yang sama, konsert 30 Years of Dewa 19 juga diadakan untuk malam kedua di Axiata Arena Bukit Jalil yang terletak berhampiran dengan Stadium Bukit Jalil. Jadi, jika anda mahu ke konsert berkenaan, juga boleh menggunakan perkhidmatan LRT.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025