Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kereta kebal tentera rosak di jalan menuju Carcosa

    Kereta kebal tentera rosak di jalan menuju Carcosa

    Jika ada kenderaan berat yang rosak dan tersadai di tepi jalan awam, itu perkara biasa yang selalu kita lihat. Tetapi, untuk sebuah kereta kebal tentera berada dalam keadaan itu, apa lagi di tengah-tengah jalan ibu kota, ia tentunya menarik perhatian ramai orang, kerana itu bukanlah pemandangan biasa.

    Awal pagi ini, sebuah kereta kebal tentera Malaysia rosak di sekitar Jalan Damansara di susur keluar menuju Carcosa dan KL Sentral. Kejadian itu dilaporkan oleh Pusat Kawalan Kuala Lumpur DBKL melalui Twitter.

    Kereta kebal tentera rosak di jalan menuju Carcosa

    Kereta kebal buatan Poland dengan nama PT-91M Pendekar MBT, yang mana tentera memiliki sebanyak empat dozen model terbabit, rosak dan menghalang laluan di lorong kedua dari kiri di situ. Walaupun bukanlah situasi biasa untuk sebuah kenderaan tentera bergerak di atas jalan awam, ia dibenarkan ketika ini kerana kereta kebal tersebut akan ikut serta dalam perarakan Hari Merdeka 2022, minggu depan, dan sedang dalam sesi latihan pagi ini.

    Turut dilaporkan, kenderaan seberat 46 tan berkenaan telah dialihkan ke lokasi selamat, kemungkinan besar menggunakan pengangkut dari pihak tentera sendiri. Jika anda merancang untuk ke KL menjelang hari Merdeka minggu depan, berhati-hati, dan ambil maklum bahawa banyak jalan-jalan yang akan ditutup untuk acara perarakan Rabu depan.

    Selamat Hari Merdeka!

     
     
  • Givi lancar helmet M35.0 – taraf keselamatan ECE R22.06, lapan warna, harga jangkaan bermula RM360

    Givi lancar helmet M35.0 – taraf keselamatan ECE R22.06, lapan warna, harga jangkaan bermula RM360

    Givi Asia Sdn Bhd telah melancarkan sebuah helmet baru iaitu M35.0 Scudo, yang akan mula berada di pasaran Malaysia September nanti. Helmet jet/openface ini ditawarkan dalam lapan warna, dengan harga jangkaannya sekitar RM360 untuk warna biasa (plain) dan RM410 untuk grafik bercorak.

    Keistimewaan utama helmet ini adalah ia mendapat penarafan ECE R22.06, iaitu ujian homologasi keselamatan dan ketahanan helmet motosikal terkini Eropah. Ujian yang dilalui untuk mendapat penarafan ini juga adalah lebih ketat dan ditetapkan pada tahap lebih tinggi.

    Helmet ini menggunakan dua saiz cengkerang (shell), dengan saiz yang lebih kecil dikongsi untuk saiz helmet S,M dan L, sementara cengkerang yang lebih besar digunakan untuk saiz XL dan 2XL. Kemudiannya, untuk keselesaan, bahagian dalam M35.0 turut dibangunkan khas untuk pengguna Asia, yang mana seperti ramai tahu, kebanyakannya mempunyai bentuk kepala berbeza berbanding orang Eropah atau Barat.

    Di sebalik penghadang muka hadapan (visor) lutsinar anti calar helmet ini terdapat satu lagi penghadang cahaya matahari lebih gelap, yang boleh diturun dan dinaikkan menggunakan tuil di sebelah kiri helmet. Berat keseluruhan helmet ini adalah 1,370 gram.

    Pelapik bahagian dalam helmet ini boleh dicabut untuk dibasuh, sementara pengikatnya pula menggunakan klip “micrometric” yang mudah dan pantas digunakan, tetapi masih lagi tegap dan tidak mudah tertanggal. Menambahkan lagi keselesaan helmet ini adalah dua salur udara di hadapan dan satu di belakang.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Sept 2022 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Sept 2022 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual September 2022 bagi bagi unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.

    Klik untuk besarkan

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Walau bagaimana pun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kudat, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain. Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • Yamaha XMax 250 2022 terima warna baru – RM22.3k

    Yamaha XMax 250 2022 terima warna baru – RM22.3k

    Kali terakhir diberi peningkatan pada Mac lalu, Yamaha XMax 250 pasaran Malaysia kini disediakan dengan dua warna baru iaitu merah dan hijau matte. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk skuter ini adalah RM22,298 tidak termasuk insurans, sekaligus menunjukkan sedikit peningkatan berbanding harga terakhirnya iaitu RM21,998.

    Selain warna, bahagian lain XMax tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder 250 cc suntikan bahan api bertaraf Euro 4, yang mampu menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm, dan disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik tali sawat.

    Rim XMax mempunyai saiz berbeza, dengan di hadapan menggunakan unit 15 inci yang dibalut tayar 120/70 sementara di belakang menggunakan saiz 14 inci, dibalut tayar 140/70. Suspensi terdiri daripada fork teleskopik biasa di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Brek cakera hadapan dan belakang skuter ini datang dengan sistem ABS, sementara tangki bahan apinya pula berkapasiti 13.2 liter. Selain terdapat ruang simpanan kecil di bawah bahagian pemengang, di bawah tempat duduk pula tersedia ruang yang boleh menempatkan dua buah helmet.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada XMax adalah soket pengecas USB di ruang simpanan bawah pemegang, lampu LED dengan DRL, panel instrumen padanan analog dan digital (LCD), sistem kawalan cengkaman serta sistem kunci pintar.

    Setiap pembelian datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, dan kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Bekas ketua polis tidak setuju kerajaan bina tempat lumba drag, tidak selesaikan isu lumba haram

    Bekas ketua polis tidak setuju kerajaan bina tempat lumba drag, tidak selesaikan isu lumba haram

    Cadangan bagi membina tempat perlumbaan drag untuk mat rempit (pelumba motosikal haram) beraksi tidak dipersetujui oleh bekas ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan. Beliau berpendapat cadangan tersebut bukan boleh menyelesaikan isu lumba haram malah mungkin boleh memakan diri, laporan The Malaysian Insight.

    “Apabila saya mencadangkan agar mat rempit dibenarkan untuk berlumba di litar yang betul pada tahun 1980an, idea tersebut adalah bagi memastikan aktiviti tersebut dapat berlangsung dengan selamat.

    “Walau bagaimana pun, selepas berlumba (di litar yang disediakan), mereka (mat rempit) boleh pula sambung berlumba secara haram di jalanan pula. Kita sangkakan dengan membenarkan mereka berluma di litar yang disediakan, masalah ini (lumba haram) dapat diselesaikan, tetapi rupanya ia tidak membuatkan mereka berhenti untuk berlumba pula di jalanan,” kata Dell, sambil menambah pihak kerajaan harus membuat kajian yang lebih terperinci untuk berbuat demikian.

    Pada tahun 2016, ketika Dell menyuarakan pendapatnya untuk membenarkan perlumbaan jalanan di Kuala Lumpur, tetapi ia mungkin boleh mendorong peningkatan perjudian pula. Dahulu, bekas ketua polis KL inilah yang bertanggungjawab ‘mengangkut’ pelumba haram pada tahun 80an sebelum membenarkan mereka berlumba di litar Shah Alam ketika itu.

    Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rancangan kerajaan untuk membina litar lumba drag di setiap negeri. Katanya, cadangan ini dibuat dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara, dan ia akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini.

     
     
  • Proton Saga MC2 2022 kini tampil varian Standard Lite AT, RM38,300 – RM500 lebih murah dari Standard AT

    Proton Saga MC2 2022 kini tampil varian Standard Lite AT, RM38,300 – RM500 lebih murah dari Standard AT

    Mei Lalu Proton telah melancarkan model kemaskini untuk Saga iaitu Saga MC2 facelift 2022, ditawarkan dengan empat varian (Standard MT, Standard AT, Premium AT dan Premium S AT). Selepas sekitar tiga bulan dalam pasaran, kini model berkenaan tampil dengan satu lagi varian tambahan iaitu Standard Lite AT.

    Model Standard Lite AT ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM38,300, atau RM500 lebih murah berbanding Standard AT. Ia menerima kelengkapan yang hampir sama dengan varian Standard AT, tetapi beberapa perincian telah dikurangkan.

    Jadi varian ini masih dibekalkan dengan kelengkapan seperti lampu hadapan halogen, rim aloi 14-inci dengan tayar 175/65R14, cermin sisi lipatan manual, lid spoiler pada but belakang, roda stereng urethane, paparan pelbagai info pada panel instrumen, ECO Drive Assist, upholsteri fabrik, dua port USB untuk mengecas untuk kabin belakang, pendingin hawa manual dengan penapis kabin N95 serta pemain audio biasa bersama hubungan Bluetooth dan hanya dibekalkan dengan dua pembesar suara.

    Proton Saga MC2 2022 kini tampil varian Standard Lite AT, RM38,300 – RM500 lebih murah dari Standard AT

    Brosur spesifikasi Proton Saga MC2 facelift 2022, klik untuk besarkan

    Untuk keselamatan pula, ia menerima dua beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem brek ABS dengan EBD dan BA serta dua penderia parkir di belakang. Seperti yang disebut tadi, kelengkapan-kelengkapan ini semuanya sama dengan Saga Standard AT. Namun apa yang kurang untuk Standard Lite AT ini adalah ia tidak disertakan dengan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), traction control dan juga bantuan mula mendaki.

    Kelengkapan Standard Lite AT ini juga dilihat hampir sama seperti varian paling murah untuk Proton Saga dan satu-satunya varian yang menerima kotak gear manual lima-kelajuan iaitu Standard MT yang dijual pada harga RM34,800. Walau bagaimanapun, kelengkapan pada model manual berkenaan masih lagi paling rendah kerana ia tidak menerima port USB untuk kabin belakang dan juga hanya diberikan rim besi 14-inci.

    Proton Saga MC2 2022 kini tampil varian Standard Lite AT, RM38,300 – RM500 lebih murah dari Standard AT

    Kesemua varian Proton Saga MC2 facelift ini masih dijana oleh enjin 1.3 liter empat silinder VVT berkuasa 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada takat 4,000 rpm. Model-model AT pula menerima kotak gear empat-kelajuan automatik yang dibekalkan dari Hyundai bagi memacu roda hadapan.

    Pembelian untuk kesemua varian Proton Saga ini datang standard dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km, serta pakej servis percuma (hanya untuk kos buruh) untuk tiga servis pertama.

    GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

     
     
  • MBSJ laksana had parkir dua jam mulai 1 Sept – rancang liputi 6 kawasan di Subang Jaya, Puchong

    MBSJ laksana had parkir dua jam mulai 1 Sept – rancang liputi 6 kawasan di Subang Jaya, Puchong

    Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akhirnya melaksanakan had parkir dua jam di enam kawasan jajahannya, mulai 1 September ini. Pada mulanya rancangan ini diumumkan pada Februari lalu dan dijadualkan dilaksanakan mulai 1 Jun, namun ia ditangguhkan berikutan kerajaan Selangor masih belum meluluskan dan mewartakan pindaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSJ 2022.

    Enam kawasan yang bakal terlibat untuk pelaksanaan zon had parkir dua jam ini ialah USJ10, SS12, SS15, USJ21, Bandar Puteri Puchong dan Jalan Kenari di Puchong, laporan The Star.

    Menurut Datuk Bandar Subang Jaya, Johary Anuar, sebanyak 1,895 petak parkir telah dicat dengan garisan jingga supaya pemandu kenderaan menyedari kawasan berkenaan terletak dalam zon had parkir dua jam, dan lebih banyak petak parkir sebegitu akan ditambah. Selain itu,beliau turut berkata, pihaknya sedang menyediakan sebanyak 2,106 petak parkir dua jam daripada keseluruhan 45,000 petak parkir yang terdapat di kawasan komersil terbabit.

    Jelas beliau, kadar bayaran yang ditetapkan bagi zon parkir dua jam itu adalah sebanyak 50 sen bagi setengah jam pertama (dikurangkan sebanyak 10 sen berbanding kadar asal yang disebutkan pada Februari lalu), dan pemandu diberikan tempoh selama sejam sebelum dibenarkan untuk parkir kembali di zon berkenaan.

    MBSJ laksana had parkir dua jam mulai 1 Sept – rancang liputi 6 kawasan di Subang Jaya, Puchong

    Beliau turut berkata, tempoh berkenaan juga meliputi kesemua enam kawasan yang terbabit di bawah sistem yang sama. Sebagai contoh, sekiranya pemilik kenderaan telah memarkir di petak parkir dua jam berkenaan hingga tamat tempoh, misalnya di SS15, dia perlu menunggu dalam sejam untuk parkir di petak parkir dua jam yang lain, tak kiralah sama ada di USJ10, SS12 atau di mana-mana di bawah zon yang sama.

    Tambahnya, pasukan penguatkuasa MBSJ akan sentiasa membuat rondaan di kawasan berkenaan dan kenderaan yang melebihi had masa akan ditunda. Walau bagaimana pun, katanya, tempat letak kereta OKU sedia ada dikecualikan daripada had baharu, dan tempat letak kereta selama satu jam yang dimulakan sebelum ini akan dimansuhkan. Had dua jam itu juga tidak akan menjejaskan pemilik rumah kedai atau premis lain yang menyewa tempat letak kereta secara tahunan.

    Bagi kaedah pembayarannya, beliau berkata, pemilik kenderaan boleh membayar kadar parkir menggunakan aplikasi Smart Selangor bermula 1 September ini. Lain-lain aplikasi pembayaran parkir seperti Flexi Parking, JomParking serta sistem ewallet termasuk Boost, Touch ‘n Go, KK Mart dan Setel akan disepadukan kelak.

     
     
  • Toyota Sienta 2022 dalam tiga kit Modellista di Jepun

    Toyota Sienta 2022 dalam tiga kit Modellista di Jepun

    Toyota Sienta generasi ketiga baru saja dilancarkan di Jepun dan ditawarkan dengan pilihan tiga sistem janaan Dynamic Force, dengan dua daripadanya hibrid. Hadir dengan konfigurasi hingga tujuh tempat duduk dalam tiga baris, MPV kecil ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dari bersi GA-B.

    Dijual bermula 1.95 juta yen (RM63,906), Sienta boleh juga didapati dengan pelbagai aksesori (dari katalog 100 muka surat) untuk memenuhi kepelbagai selera pengguna. Ini termasuklah tiga penggayaan Modellista dikenali sebagai Bright Tech Elegance, Cool Shine Kit dan Urban Tech Gear.

    Yang paling mahal adalah Bright Tech Elegance, meliputi bodykit penuh termasuk spoiler depan, skirting sisi dan lanjutan bampar belakang serta muffler sporty. Tambahan lain misalnya ialah spoiler bumbung dan rim 15-inci Modellista Trinitas II.

    Yang kedua adalah Cool Shine Kit, tidak datang dengan kit badan tetapi ada lebih banyak kemasan krom pada bonet, kemasan sisi dan cermin sisi, pintu barangan belakang dan pemegang pintu. Rim menarik yang sama turut ditawarkan sebagai pilihan.

    Urban Tech Gear pula menampulkan tambahan kemasan dalam warna badan, antaranya terletak di bawah lencana depan, di sudut bampar depan, serta apron bawah bampar belakang. Turut ada ialah pemegang pintu hitam berkilat dan rim Trinitas II. Komponen ini boleh dipesan bersekali atau secara berasingan.

    Pilihan tambahan untuk Sienta di Jepun sangat banyak. Selain barangan Modellista, pelanggan juga boleh memilih kemasan warna lain bagi perincian lampu kabus, pelantar kayu untuk but, meja talam boleh lipat, tilam, lencana warna lain, lampu pintu dengan grafik Sienta, lampu suasana dan banyak lagi.

     
     
  • Karnival Proton-MSF Merdeka Race 2022 – alami semuanya berkaitan Proton di Sepang 27-28 Ogos ini

    Karnival Proton-MSF Merdeka Race 2022 – alami semuanya berkaitan Proton di Sepang 27-28 Ogos ini

    Dah lama kita Proton tak buat karnival kan? Berita baik untuk pelanggan mahupun peminat-peminat kereta Proton serta sayap perlumbaan Proton R3, hujung minggu ini akan berlangsung Karnival Proton-MSF Merdeka Race 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bukan sahaja menyajikan aksi-aksi perlumbaan, malah banyak aktiviti keluarga yang boleh anda sertai.

    Acara ini diadakan dengan kerjasama Proton dan juga Malaysia Speed Festival (MSF), iaitu penganjur siri perlumbaan MSF Saga Cup. Ia akan berlangsung dari 27 hingga 28 Ogos ini, bermula 11 pagi hingga 10 malam setiap hari. Sepanjang acara tersebut, Proton akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk anda dan seisi keluarga sertai di North Paddock SIC pada hari Sabtu dan Ahad berkenaan.

    Selain dari pelbagai promosi istimewa untuk model-model Proton terkini, komponen alat ganti dan pakej pembiayaan, ada juga penilaian untuk kereta terpakai dan juga pemeriksaan percuma untuk kereta-kereta Proton akan dijalankan. Manakala bagi mereka yang gemar mengumpul barangan, pelbagai cenderamata Proton dan juga R3 akan dijual sepanjang acara ini.

    Tak lengkap karnival seperti ini jika tidak membabitkan aktiviti pemanduan bukan? Jadi pihak penganjur turut mengadakan aktiviti cabaran pemanduan tepat berasaskan autocross, di mana peserta berpeluang mempamerkan kemahiran pemanduan masing-masing dengan mencatatkan masa terpantas pada litar autocross pendek dan kereta Proton yang disediakan.

    Untuk acara ini, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mengikuti akaun Facebook dan Instagram rasmi Proton. Tiga peserta yang mencatatkan masa terpantas untuk setiap hari akan menerima hadiah berupa barangan MSF dan R3.

    Anda juga berpeluang untuk memandu kereta Proton di litar Sepang sekiranya anda membuat tempahan kereta Proton baharu ketika acara ini berlangsung, atau membeli barangan R3 bernilai RM200.

    Selain itu, acara ‘Taxi Ride’ juga akan dilangsungkan. Menerusi acara ini, anda akan dibawa mengelilingi litar berkenaan dengan kereta lumba R3 oleh salah seorang pelumba pasukan lumba berkenaan dengan kelajuan penuh. Untuk merasai pengalaman ini, anda juga perlu sama ada membuat tempahan kereta Proton baharu atau membeli barangan R3 bernilai RM300.

    Ingat lagi aksi-aksi Proton Knight satu ketika dulu yang dipandu dua roda dalam iklan di televisyen? Ketika acara ini juga, pelumba tempatan, Faidzal Alang akan membuat aksi sama dan cuba membuat rekod dengan memandu Proton Saga mengelilingi sepenuhnya litar Sepang dengan hanya menggunakan dua roda. Wakil dari Malaysia Book of Records akan hadir untuk mengesahkan rekod berkenaan.

    Selain itu, anda turut berpeluang untuk mendekati pelumba-pelumba R3 dengan kemunculan istimewa yang akan dibuat oleh juara Sepang 1000km (S1K) 2018 dan 2019 Farique Hairuman, juara S1k 2017 James Veerapen, lagenda rali dan juga juara dunia FIA WRC kategori Production 2002 Karamjit Singh, serta pelumba dan drifter wanita Leona Chin.

    Kelab-kelab Proton juga akan mengadakan perhimpunan pada acara ini. Pada hari Sabtu, lebih dari 200 kereta dari pelbagai kelab Proton akan berkumpul, manakala pada hari Ahad pula sekitar 300 buah Proton Saga generasi pertama akan turun memberikan sokongan kepada perlumbaan MSF Saga Cup Merdeka Enduro pada sebelah petang.

    Proton turut akan mempamerkan teknologi-teknlogi terkini mereka bersama kereta-kereta lumba R3 di Paddock Club, dan sesi bicara teknikal turut akan dibuat oleh pasukan R&D Proton. Anda juga boleh merasai bagaimana sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Proton berfungsi dalam sesi demo yang akan dibuat. Antara sistem tersebut termasuk amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan juga brek kecemasan automatik.

    Untuk mereka yang membawa anak-anak, pelbagai permainan akan disediakan ketika acara ini berlangsung. Antaranya taman tema air dan bouncy castle boleh kembung setinggi 25 kaki serta permainan Jenga gergasi. Simulator perlumbaan juga disediakan untuk menguji kemahiran memandu anda secara maya. Pengunjung yang datang turut tidak perlu gusar tentang makanan kerana 10 trak makanan akan ditempatkan untuk memenuhi selera anda.

    Berminat dengan semua acara yang bakal dilangsungkan ini? Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk ke Karnival Proton-MSF Merdeka Race 2022 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang 27 dan 28 Ogos ini. Namun sebelum itu, anda perlu mengesahkan kehadiran anda dengan mengisi borang pra-pendaftaran secara atas talian menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat DEM, JVQ bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bakal dibuka untuk bidaan. Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bermula 3 September 2022, siri plat nombor dari Kelantan, DEM, bakal dibuka bidaan. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 7 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 8 September 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala siri plat nombor dari Johor pula, JVQ, akan mula boleh dibida pada 28 Ogos 2022 dan berlangsung selama lima hari serta berakhir jam 10 malam pada 1 September. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 2 September.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Kereta elektrik tak sesuai untuk rali, WRC – bos Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Jari-Matti Latvala

    Kereta elektrik tak sesuai untuk rali, WRC – bos Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Jari-Matti Latvala

    Seperti yang sudah diketahui, Kesatuan Eropah (EU) bakal mengharamkan penjualan kereta-kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman di benua berkenaan menjelang tahun 2035 nanti. Jadi peralihan ini bukan sahaja dilihat berlaku untuk kenderaan pasaran awam, ia turut menyaksikan sukan permotoran juga sedang dalam peralihan bagi memastikan teknologi dari dunia perlumbaan adalah seiring dengan model-model produksi.

    Perlumbaan open wheel/single seater sudahpun mempunyai siri Formula E sebagai alternatif EV dari Formula 1 yang diperkenalkan pada 2011. Siri kejohanan World Touring Car Cup (WTCR) juga ada alternatif EV mereka iaitu eTouring Car World Cup bermula tahun lalu, manakala siri Kejuaraan Rallycross Dunia (WRX) tahun ini sudahpun menggunakan jentera elektrik penuh RX1e untuk kategori tertinggi bagi menggantikan jentera kelas RX1 sebelumnya.

    Walau bagaimanapun, peralihan kepada teknologi elektrifikasi ini dilihat sangat lambat untuk disiplin rali. Masih tiada perancangan dari FIA untuk Kejuaraan Rali Dunia (WRC) untuk beralih sepenuhnya kepada kuasa elektrik, dan kejohanan berkenaan baru sahaja menggunakan teknologi hibrid bermula musim ini di mana kategori tertinggi perlu menggunakan jentera spesifikasi Rally1 Hybrid yang menggunakan enjin pembakaran dalaman 1.6 liter turbo dengan bantuan motor elektrik diletakkan pada gandar belakang.

    Kereta elektrik tak sesuai untuk rali, WRC – bos Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Jari-Matti Latvala

    Malah dalam laporan DirtFish, Prinsipal Pasukan Rali Dunia Toyota Gazoo Racing (TGR WRC), Jari-Matti Latvala menyatakan beliau percaya bahawa EV bukanlah masa hadapan untuk sukan rali.

    “Elektrik penuh perlu saya katakan kita perlu berhati-hati dengan perkara ini. Pada saya untuk sukan ini, sukan rali, [ia bukan] jalan yang betul untuk diikut,” kata Latvala.

    “Tiada orang yang akan ke hutan-hutan untuk menonton kereta-kereta [rali] jika ia tiada bunyi,” tambah Latvala lagi dan menjelaskan penonton masih lagi boleh terhibur dengan perlumbaan EV di litar kerana walaupun tidak mempunyai bunyi, ia masih menghidangkan aksi sentuhan rapat dan pertarungan pintas memintas sesama sendiri, berbanding sukan rali yang hanya bertarung dengan masa.

    Kereta elektrik tak sesuai untuk rali, WRC – bos Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Jari-Matti Latvala

    Latvala juga memberitahu bahawa pemandu-pemandu juga masih gembira dengan kereta spesifikasi Rally1 Hybrid tahun ini, dan walaupun mereka menghadapi kesukaran pada awal musim, masalah-masalah teknikal yang timbul kini sudahpun diselesaikan.

    “Untuk pemandu, mereka menikmati tujahan boost tambahan yang mereka dapat. Mereka sangat laju. Kereta-kereta tersebut sama laju dengan kereta tahun lalu, kereta spesifikasi 2017. Ia juga ada bunyi pada kereta. Pada awal tahun seperti di Monte Carlo, Sweden kami dapat lihat beberapa isu teknikal tetapi semuanya sudah diselesaikan,” jelas Latvala.

    Bagi jentera Rally1 Hybrid tahun ini, ia masih menggunakan enjin 1.6 liter turbo dengan restrictor berdiameter 36 mm yang sama dengan jentera WRC spesifikasi 2017, menggunakan bahan api lebih mesra alam berasaskan hidrokarbaon yang bebas dari sebarang unsur fosil, menghasilkan sekitar 380 hp.

    Kereta elektrik tak sesuai untuk rali, WRC – bos Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Jari-Matti Latvala

    Kesemua pasukan menerima sistem plug-in hybrid yang sama dibangunkan oleh Compact Dynamics dan dihomologasi oleh FIA. Unit tersebut menampilkan bateri lithium ion 3.9 kWj, motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm, serta unit inverter dan unit pengurusan kuasa – kesemuanya diletakkan dalam perumah yang diperbuat dari gentian karbon.

    Ini membolehkan jentera Rally1 Hybrid ini memperolehi kuasa keseluruhan sekitar 500 hp ketika pemandu menggunakan tujahan boost dari motor elektrik berkenaan, dan kereta-kereta rali ini perlu bergerak dengan hanya kuasa elektrik penuh ketika bergerak dalam road stage (pergerakan kereta dari service park ke SS atau dari satu SS ke SS yang lain) di atas jalan raya awam

    Bagi melindungi modul sistem hibrid bervoltan tinggi yang berada di belakang, kesemua pasukan perlu menggunakan rollcage dengan rekaan blueprint dari FIA untuk semua pasukan, dan FIA turut memberikan kebebasan bagi menggunakan rollcage berkenaan sebagai asas kepada kerangka spaceframe, dan jentera tersebut tidak perlu lagi menggunakan kerangka produksi dari kilang.

    Namun FIA turut mensyaratkan jentera Rally1 ini hanya boleh dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan (enam-kelajuan sebelum ini) tanpa pedal penukar gear pada stereng yang sama seperti jentera spesifikasi Rally2/R5, tidak dibenarkan menggunakan unit differential tengah, suspensi dengan jarak strok lebih pendek dan tahap aerodinamik 15% kurang dari sebelum ini; ia adalah untuk mengimbangi prestasi dan kos penghasilannya bagi kekal sama dengan jentera WRC 2017-2020.

    Jadi jika tidak beralih kepada elektrik penuh, bagaimana cara bagi membolehkan sukan rali ini mampan untuk masa hadapan? Bagi perkara ini, Latvala agak ‘sebulu’ dengan bos besarnya iaitu CEO dan presiden Toyota, Akio Toyoda untuk menggunakan enjin pembakaran dalaman yang digerakkan menggunakan hidrogen.

    “Mereka kini sedang membangunkan H2 [kuasa hidrogen], ini yang mungkin boleh menjadi solusi sebenar dan bukan elektrik penuh,” kata Latvala.

    Kereta elektrik tak sesuai untuk rali, WRC – bos Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Jari-Matti Latvala

    Presiden Toyota, Akio Toyoda bersama Juha Kankunnen memandu Toyota GR Yaris berkuasa hidrogen di Ypress Rally Belgium minggu lalu

    “Kita perlu memikirkan berkenaan era di mana hibrid akan berakhir pada penghujung 2024, dan tak lama lagi kita perlu buat keputusan apa yang perlu kita lakukan selepas 2025. Toyota telah melabur banyak untuk hidrogen, dan saya rasa ini boleh menjadi perkara yang menarik di mana kita boleh gunakan sesuatu teknologi yang masih boleh menggunakan enjin pembakaran dalaman.

    “Anda masih boleh mempunyai bunyi; anda boleh lihat ia masih menarik tetapi tiada pencemaran. Jadi ini merupakan sesuatu yang sangat-sangat menarik, tetapi sudah tentu ia perlu dibincangkan antara pasukan-pasukan lain, dengan FIA. Tetapi sekurang-kurangnya ada sesuatu dalam poket yang boleh kita tengok,” kata Latvala.

    April tahun lalu Toyota mengumumkan bahawa ia sedang membangunkan enjin pembakaran dalaman menggunakan hidrogen menerusi sukan permotoran, dan kemudian mendedahkan kereta lumba Corolla Hatchback dengan enjin G16E-GTS dari GR Yaris yang diubah menggunakan kuasa hidrogen berbanding petrol untuk bertanding dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun.

    Corolla berkenaan dipandu sendiri oleh Akio Toyoda (menggunakan nama alter ego “Morizo”) dalam perlumbaan, dan Latvala sendiri turut pernah berlumba dengan kereta tersebut bersama Toyoda dalam perlumbaan Fuji 24 Jam Mei lalu. Toyota turut telah mendedahkan enjin V8 5.0L dikuasakan oleh hidrogen yang dibangunkan bersama Yamaha, menghasilkan kuasa 455 ps dan tork maksima 540 Nm.

    Malah pada pusingan WRC yang berlangsung di Belgium minggu lalu, Akio Toyoda bersama juara dunia WRC empat-kali (sekali dengan Toyota) dari Finland, Juha Kankunnen memandu GR Yaris berkuasa hidrogen pada SS ke-11 perlumbaan berkenaan dengan laluan permukaan tar yang sempit sejauh 15 km.

    “Pemanduan Akio adalah hebat. Dan enjin hidrogen yang memberikan tork yang solid, membuatkan ia tidak ada beza dengan enjin gasolin. Disebabkan ia tidak menghasilkan sebarang gas CO2, saya percaya enjin hidrogen akan menjadi salah satu pilihan untuk mencapai neutral karbon bukan sahaja dalam dunia sukan permotoran tetapi juga dalam dunia kereta biasa,” kata Kankkunen selepas sesi berkenaan.

    GALERI: Toyota GR Yaris H2 berkuasa hidrogen dipandu presiden Toyota, Akio Toyoda di Rally Belgium 2022

     
     
  • Perkhidmatan KTM Komuter beroperasi lebih awal pada 31 Ogos sempena Hari Kebangsaan ke-65

    Anda merancang untuk ke Dataran Merdeka bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos ini? Disebabkan banyak jalan utama di sekitar pusat bandar KL, kami sarankan anda gunakan pengangkutan awam yang sedia ada. Baru-baru ini Rapid KL telah mengumumkan perkhidmatan bagi tren LRT, MRT, monorel dan bas kendaliannya bermula seawal jam 4.30 pagi pada 31 Ogos ini. Dan terbaru, perkhidmatan KTM Komuter turut mengikuti langkah yang sama.

    KTMB mengumumkan terdapat lima perkhidmatan tambahan untuk KTM Komuter pada 31 Ogos ini yang melibatkan dua perkhidmatan untuk laluan Pulau Sebang-Batu Caves, dua bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim dan satu lagi untuk laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang.

    Untuk laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang, tren pertama akan bergerak dari Tg Malim pada jam 5.15 pagi dan sampai ke stesen Kuala Lumpur pada 6.53 pagi. Untuk laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim pula, tren pertama akan meninggalkan Port Klang pada jam 5.20 pagi, dan sampai ke stesen utama KL pada 6.53 pagi. Akan ada satu lagi tren akan bergerak pada jam 5.50 pagi dan tiba di KL pada 7.23 pagi.

    Untuk laluan Pulau Sebang-Batu Caves, dua tren tambahan akan bergerak pada jam 4.35 pagi dan 5.05 pagi, dan sampai di KL masing-masing pada jam 6.56 pagi dan 7.28 pagi. Rujuk jadual di atas untuk butiran sepenuhnya. Bagi penumpang KTM Komuter yang mahu ke Dataran Merdeka, dua stesen terdekat adalah stesen Kuala Lumpur atau Bank Negara.

     
     
  • Pembuli jalan raya dalam kes di NKVE telah ditahan

    Pembuli jalan raya dalam kes di NKVE telah ditahan

    Dalam perkembangan terbaru, polis telah menahan pemandu Honda City putih yang terlibat dalam kejadian buli jalan raya di NKVE yang tular awal minggu ini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPD Shah Alam mendapati kereta berkenaan didaftarkan di bawah nama seorang wanita yang menetap di KL. Soal siasat wanita berkenaan kemudiannya mendapati, ketika kejadian, kereta itu dipandu oleh bekas teman lelakinya. Suspek, seorang pemandu lori berusia 36-tahun, telah ditahan di perkarangan IPD Shah Alam petang semalam dan akan direman.

    Sebelum ini, pengguna Twitter @syats berkongsi rakaman dashcam keretanya ke dalam talian, menunjukkan seorang pembuli jalanan, memandu sebuah Honda City dengan nombor plat WUG 285, dan mendakwa telah mengekori beliau sejauh 3 km dan kemudian memberhentikan keretanya untuk menghalang mangsa. Pelaku juga didakwa terus mengejar selepas itu, dan membaling barang ke arah kereta mangsa.


    Video berkenaan juga menunjukkan pemandu City berkenaan memberhentikan keretanya di tengah lebuhraya yang sibuk. Dia kemudiannya keluar kenderaan dan mendekati kereta mangsa, dan berlaku pertengkaran, dengan adanya kata-kata kesat.

    Kemudian, penumpang City berkenaan, seorang wanita, turun dari kenderaan. Ketika inilah kereta mangsa beredar dari situasi itu. City kemudiannya mengejar lagi; dapat dilihat isyarat tangan dari pemandu City yang sedang berang dalam video berkenaan.

    “Dia terus memaki dan mengejar saya sehinggalah sebelum susur keluar tol Bukit Raja. Ada seorang wanita berusia (saya andaikan ibunya) dan beberapa kanak-kanak dalam kereta ketika kejadian,” ujar @syats.

    Kejadian seperti ini tidak perlu berlaku. Bertenang sahaja ketika di jalan raya.

     
     
  • Kad Enhanced Touch ‘n Go dengan fungsi NFC kembali dijual menerusi TnG eWallet mulai hari ini

    Kad Enhanced Touch ‘n Go dengan fungsi NFC kembali dijual menerusi TnG eWallet mulai hari ini

    Permintaan terhadap kad Enhanced Touch ‘n Go baharu memang cukup menggalakkan sejak ia diperkenalkan pada April lalu. Kad dengan fungsi near-field communication (NFC) ini cukup laku keras dan sering kali kehabisan stok. Menerusi laporan The Star, bagi yang mencari-cari kad Enhanced Touch ‘n Go ini, anda sudah boleh membelinya mulai hari ini, 25 Ogos 2022 menerusi aplikasinya.

    Walau bagaimana pun, menurusi laporan berkenaan, difahamkan pembelian kad terbabit dihadkan, iaitu untuk satu kad bagi setiap tempahan, berbanding sebelum ini maksimum dua kad untuk satu tempahan.

    Langkah ini terpaksa dilaksanakan selepas menerima banyak aduan daripada para pelanggan yang kesukaran untuk mendapatkan kad ini di pasaran. Malah ada juga yang mengambil kesempatan dengan membelinya dengan had yang banyak dan kemudian menjualnya semula menerusi dalam talian tetapi dengan harga yang lebih tinggi, berbanding harga runcit sebenarnya yang hanya RM10.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, dengan kad Enhanced, anda boleh menambah nilai di dalam kad melalui fungsi NFC kepada telefon pintar, sekaligus memudahkan pengguna kerana tidak perlu pergi ke lokasi fizikal. Sistem keselamatannya juga dikatakan telah ditambah baik.

    Setiap kad baru perlu dihubungkan kepada aplikasi dengan meletakkannya di bahagian belakang telefon yang mempunyai fungsi NFC selama lima saat, dan selepas itu anda boleh menggunakan aplikasi untuk melihat baki serta melakukan tambah nilai kepadanya (letakkan kad sekali lagi pada telefon). Menurut Touch ‘n Go, setiap akaun aplikasi masih hanya boleh disambung kepada maksimum lima kad sahaja, termasuk versi Enhanced.

    Meskipun pengguna jalan raya kebanyakannya tidak lagi memerlukan tambah nilai secara fizikal kerana sudah ada fungsi PayDirect, kad Enhanced ini masih lagi berguna bagi mereka yang menggunakan kad Touch ‘n Go di Lebuh Raya Utara Selatan (tidak boleh guna PayDirect), lot parkir serta servis dan tempat lain.

     
     
  • Kereta polis Perodua Myvi diserahkan secara rasmi – PDRM gunakan di Ulu Yam Bharu, Rasa dan Serendah

    Kereta polis Perodua Myvi diserahkan secara rasmi – PDRM gunakan di Ulu Yam Bharu, Rasa dan Serendah

    Pagi tadi secara rasminya Perodua menyerahkan lima buah Perodua Myvi yang akan digunakan sebagai kereta peronda polis kepada PDRM Selangor, dengan majlis yang dilangsungkan di Ibu Pejabat Perodua yang terletak di Rawang, Selangor. Majlis tersebut dihadiri oleh pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan juga ketua polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Bagi yang tertanya-tanya, ya, ini merupakan lima buah Myvi yang tular di media-media sosial sebelum ini. Kesemua Myvi berkenaan adalah dari varian tertinggi AV, namun ia bukan model facelift terkini yang dilancarkan pada November tahun lalu, sebaliknya adalah dari versi pre-facelift. Unit-unit tersebut diserahkan kepada PDRM adalah atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perodua, dan syarikat itu turut menawarkan servis dan penyelengaraan percuma selama dua tahun untuk kesemua Myvi berkenaan.

    Kesemua Myvi ini akan bertugas di sekitar Hulu Selangor, iaitu daerah terletaknya Ibu Pejabat Perodua di Sungai Choh, dan balai-balai Polis yang menerimanya adalah Serendah, Rasa dan Ulu Yam Bharu. Manakala unit selebihnya akan digunakan oleh ibu pejabat polis daerah.

    Kereta polis Perodua Myvi diserahkan secara rasmi – PDRM gunakan di Ulu Yam Bharu, Rasa dan Serendah

    Menurut Arjunaidi, kehadiran kesemua Myvi ini dapat membantu barisan kereta-kereta peronda PDRM sedia ada yang terdiri dari jenama Proton dan Honda. Beliau turut menyatakan bahawa kereta peronda Polis Myvi ini adalah selari dengan hasrat PDRM untuk terus mendekati rakyat dengan menggunakan kereta yang setaraf; Myvi merupakan kereta paling laris di Malaysia dan ia benar-benar kereta untuk rakyat.

    Berbeza dengan kereta-kereta peronda polis lain yang diberikan warna badan putih, peronda Myvi ini menampilkan warna badan perak, atau secara lebih spesifik warna Glittering Silver. Namun grafik badan yang diberikan adalah seiras dengan kereta-kereta peronda polis terkini.

    Turut kelihatan adalah pelekat logo Perodua yang ditampal pada bonet hadapan, but belakang dan juga kedua-dua pintu belakang. Manakala Myvi yeng bertugas di balai polis Serendah, Rasa dan Ulu Yam Bharu, masing-masing diberikan pelekat kawasan pada bahagian bawah pintu.

    Selain dari perincian-perincian standard sebuah Myvi AV, kabin peronda polis ini menerima butang untuk mengaktifkan lampu strob polis yang berada di atas bumbung. Ia juga menampilkan mikrofon bagi membolehkan anggota polis bercakap menggunakan pembesar suara, serta sistem siren bersama unit kawalan tangan tanpa wayar, memberikan bunyi seperti yang tertera pada butangnya termasuk “wail”, “yelp”, “co co” dan “wa wa”.

    Tiada ubahsuai dibuat pada sistem mekanikal, dan kesemua Myvi AV pre-facelift ini masih dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter berkuasa 102 hp dan tork maksima 136 Nm, digandingkan dengan kotak gear 4AT dan bukan D-CVT seperti model terkini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025