Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Petronas kekal sebagai jenama paling bernilai di Malaysia buat 12 tahun berturut-turut – Brand Finance

    Petronas kekal sebagai jenama paling bernilai di Malaysia buat 12 tahun berturut-turut – Brand Finance

    Petronas telah mengekalkan kedudukannya sebagai jenama paling bernilai di Malaysia buat 12 tahun berturut-turut, menurut konsultan penilaian jenama, Brand Finance.

    Di mana nilai jenama bagi Petronas telah meningkat kukuh sebanyak 13% kepada US$13.6 bilion (RM60.6 bilion), lebih tiga kali ganda berbanding Genting yang berada di kedudukan kedua. Nilai jenama bagi Genting meningkat sebayak 44% kepada US$4.5 bilion (RM20 bilion).

    Secara keseluruhannya, nilai bagi semua jenama teratas di Malaysia menunjukkan peningkatan selepas negara kita kembali aktif dalam sektor ekonomi setelah ‘diserang’ pandemik Covid-19. Mengikut kajian, nilai bagi 100 jenama paling bernilai di Malaysia meningkat sebanyak 21% pada tahun 2022, naik dari US$44.4 bilion (RM197 bilion) ke US$53.7 bilion (RM239 bilion).

    Petronas kekal sebagai jenama paling bernilai di Malaysia buat 12 tahun berturut-turut – Brand Finance

    Jenama yang berada dalam senarai 10 kedudukan tertinggi ialah Genting (di kedudukan kedua)
    Maybank (ke-3), CIMB Bank (ke-4), Tenaga Nasional (ke-5), Sime Darby (ke-6), Public Bank (ke-7), Maxis (ke-8), Air Asia (ke-9) dan Telekom Malaysia (ke-10).

    “Jenama berprestasi tinggi dalam sektor minyak dan gas, perbankan dan telekomunikasi, termasuk Petronas, Maybank, dan Affin Bank, terus berinovasi menggunakan transformasi digital dan menebus kerugian yang ditanggung semasa pandemik COVID-19,” kata Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasific Alex Haigh.

    Menurut syarikat tersebut, agenda kemampanan Petronas dan peningkatan permintaan terhadap produk terasnya menjadi penyumpang kepada pertumbuhan nilai jenamanya. Selain daripada mengukuhkan portfolio pertumbuhannya, firma minyak dan gas negara itu juga menyasarkan untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

    Baru-baru ini, Petronas telah memperkenalkan entiti baharu, Gentari Sdn Bhd bertujuan untuk mempercepatkan penggunaan dan pengkomersialan tenaga bersih. Malahan Petronas juga berhasrat untuk menjadi penyedia penyelesaian mobiliti hi­jau pilihan, menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan menguasai 10% bahagian pasaran atau sekitar 25,000 poin pengecasan berdasarkan anggaran semasa.

     
     
  • JPJ eBid: SWF bakal dibuka bidaan pada 21 Ogos ini

    JPJ eBid: SWF bakal dibuka bidaan pada 21 Ogos ini

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah iaitu ‘SWF’ bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), SWF bakal boleh dibida mulai 21 Ogos ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 25 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Ogos 2022. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

    Untuk pengetahuan anda, tiada larangan untuk menggunakan plat nombor Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia. Sesiapa sahaja boleh menggunakannya. No problema!

     
     
  • Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

    Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

    Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) menyatakan sokongannya terhadap cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat bagi item yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain, untuk mengurangkan jumlah kemalangan melibatkan kenderaan berat yang dilihat semakin kerap berlaku buat masa sekarang.

    Menurut Puspakom, pihaknya akan menyelaras semula pemeriksaan yang akan dibuat berdasarkan keputusan yang dibuat oleh JPJ selepas kaedah pemeriksaan sedia ada yang digunakan buat masa sekarang iaitu Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995 disemak semula. Walau bagaimanapun, perubahan yang bakal di buat tersebut tidak akan melibatkan peralatan pemeriksaan sedia ada.

    “Dengan pengalaman yang ada, Puspakom akan memberi kerjasama yang sepenuhnya terhadap cadangan ini untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sesebuah kenderaan berat semasa berada di atas jalan raya,” kata Puspakom dalam kenyataan berkenaan.

    Selain itu, Puspakom turut mengalu-alukan pihak JPJ untuk datang membuat pemantauan di semua 54 pusat-pusat pemeriksaan di seluruh negara dengan lebih kerap.

    Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

    “Pada masa ini, pemantauan oleh pihak JPJ adalah dilakukan secara berkala. Hasil daripada pemantauan tersebut, tindakan susulan yang bersesuaian telah diambil serta merta oleh Puspakom. Pada tahun 2021 sahaja, JPJ telah menjalankan 741 pemantauan terhadap pusat-pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara.

    “Pemantauan oleh pihak JPJ ke atas Puspakom adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi Pemeriksaan Kenderaan Puspakom dengan Kerajaan Malaysia di mana tahap pencapaian KPI perlu dipatuhi oleh Puspakom yang meliputi aspek-aspek penyampaian perkhidmatan yang baik kepada orang ramai, keselamatan kenderaan di jalan raya dan model perkhidmatan yang mampan,” jelas Puspakom.

    Puspakom turut menyatakan bahawa sehingga kini ia telah secara berterusan mencapai skor melebihi keperluan yang ditetapkan di bawah Perjanjian Konsesi.

    “Penilaian dalaman yang dilaksanakan dan pemantauan serta penambahbaikan berterusan terutamanya dalam aspek automasi dan pendigitalan dalam operasi pemeriksaan Puspakom telah membolehkan skor KPI Teknikal Keseluruhan Puspakom meningkat daripada 91.2% pada 2012 kepada 95.8% pada 2016 dan 97.1% pada 2021. Dengan meningkatkan lagi kekerapan pemantauan dan disamping pemantauan dalaman yang dijalankan oleh Puspakom sendiri, langkah ini dapat memastikan tahap kualiti pemeriksaan kenderaan yang dijalankan sentiasa berada di tahap yang tinggi pada setiap masa,” tulis kenyataan itu lagi.

    Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

    Dalam aspek pencegahan rasuah dan meningkatkan integriti, Puspakom menyatakan bahawa usaha-usaha penambahbaikan adalah dilaksanakan secara berterusan terutamanya dari aspek-aspek seperti polisi dan prosedur kerja, penggunaan teknologi terkini berkaitan sistem dan proses serta memupuk budaya kerja berintegriti tinggi di kalangan kakitangan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Rangka Kerja Pematuhan Integriti Puspakom (PICF).

    “Ini adalah selaras dengan Pelan Anti-Rasuah Nasional yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan pensijilan ISO: 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah,” kata Puspakom.

    Tambah Puspakom, ia berpendapat bahawa usaha-usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah-langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain seperti sikap pemandu dan pemilik kenderaan untuk menjaga dan menyelenggara kenderaan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.

    “Pemeriksaan kenderaan secara berkala yang dijalankan oleh Puspakom adalah bertujuan sebagai langkah pencegahan awal dalam mengurangkan jumlah kenderaan yang tidak selamat berada diatas jalan raya. Memandangkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Puspakom hanyalah pada setiap 6 bulan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam tempoh tersebut untuk memastikan setiap kenderaan milik mereka adalah selamat sebelum memulakan sebarang perjalanan,” kata Puspakom.

    Syarikat tersebut turut memberitahu bahawa dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, ia telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap sejumlah 270,385 buah kenderaan berat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15.8% atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan oleh JPJ termasuk 4.6% atau 12,339 kenderaan berat adalah gagal ujian kecekapan brek. “Mana-mana kenderaan yang gagal, perlu menjalani pemeriksaan semula sebelum dapat dilesenkan oleh JPJ,” tegas Puspakom.

     
     
  • Malaysia akan mula guna kereta elektrik untuk kenderaan kerajaan, perolehan bermula 2023 – Menteri

    Malaysia akan mula guna kereta elektrik untuk kenderaan kerajaan, perolehan bermula 2023 – Menteri

    Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa ia akan mula beralih menggunakan kenderaan elektrik penuh (EV) untuk flit kenderaannya bermula 2023. Perkara ini telah didedahkan oleh menteri alam sekitar dan air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    “Bermula tahun hadapan, semua perolehan kenderaan kerajaan akan melibatkan kereta elektrik,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan dalam satu majlis semalam.

    Beliau turut mendedahkan rancangan kerajaan untuk menjadikan beberapa lokasi seperti Langkawi dan Putrajaya sebagai titik permulaan bagi memacu elektrifikasi terus ke hadapan. “Contohnya, di Langkawi, kita boleh memberikan 100 motosikal elektrik kepada penduduk untuk ditukar dengan motosikal lama mereka atau meningkat taraf kenderaan mereka. Tujaan kami adalah untuk menggunakan pulau peranginan sedemikian sebagai projek perintis,” katanya.

    Malaysia akan mula guna kereta elektrik untuk kenderaan kerajaan, perolehan bermula 2023 – Menteri

    Beliau juga menambah bahawa pemilihan untuk menggunakan pulau seperti Langkawi untuk membantu membangunkan model adalah kerana ia adalah lebih mudah dari segi infrastruktur dan sokongan. Manakala untuk Putrajaya, beliau menyatakan bahawa kerajaan kini sedang merancang untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai bandar bebas-karbon, jadi ia akan meningkatkan penggunaan EV di situ.

    Beliau turut menambah bahawa perincian lebih lanjut masih lagi belum dimuktamadkan. “Perinciannya masih belum dimuktamadkan lagi kerana masih belum banyak EV (dalam pasaran tempatan), jadi kosnya adalah agak tinggi, tetapi lebih banyak ia digunakan, kosnya akan menjadi lebih rendah,” katanya.

    Menurut menteri berkenaan lagi, isu yang timbul buat masa sekarang adalah jumlah stesen pengecas dalam negara yang masih lagi terhad. Beliau menyatakan bahawa kerajaan kini sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pihak bagi membangunkan infrastruktur pengecas tersebut.

    Malaysia akan mula guna kereta elektrik untuk kenderaan kerajaan, perolehan bermula 2023 – Menteri

    Malaysia akan mula guna kereta elektrik untuk kenderaan kerajaan, perolehan bermula 2023 – Menteri

    Kenyataan menteri berkenaan mengenai adaptasi EV oleh kerajaan adalah seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB), iaitu satu kajian yang diterbitkan oleh Pusat Teknologi Hijau Dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC, sebelum ini dikenali sebagai GreenTech) tahun lepas.

    Dalam kajian berkenaan – yang memperincikan cadangan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) – menyenaraikan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) bagi digunakan dalam flit kenderaan kerajaan dan GLC sebagai cara untuk menggalakkan penggunaan yang lebih meluas, menerusi kaedah kepimpinan melalui teladan. Peringkat awal prosesi ini yang adalah dengan mewujudkan perolehan EV untuk flit kerajaan melalui tender terbuka, disenaraikan sehingga 2030.

    Pelan tersebut menyebut bahawa 10% penambahan baharu diperlukan untuk flit BEV pada tahun pertama (yang sepatutnya tahun ini), dengan peratusan meningkat kepada 20% dalam tempoh dua tahun berikutnya. Proses itu juga akan diterima pakai untuk flit GLC, dengan insentif cukai yang ditawarkan sehingga 2030, dengan 20% daripada kenderaan baharu untuk flit GLC akan terdiri daripada EV dalam tempoh lebih tiga tahun akan datang.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Ogos – RON97 turun 10 sen

    Harga minyak 11-17 Ogos – RON97 turun 10 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 Ogos 2022, harga runcit bagi petrol RON97 sekali lagi dilaporkan turun sebanyak 10 sen seliter, menjadikannya daripada RM4.50 ke RM4.40 seliter.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 17 Ogos 2022.

    Untuk harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala diesel Euro B10/B20 juga turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Honda CB300F 2022 dilancar di India – enjin 293 cc sistem penyejukan minyak, kelengkapan canggih

    Honda CB300F 2022 dilancar di India – enjin 293 cc sistem penyejukan minyak, kelengkapan canggih

    Meskipun sudah mempunyai CB300R, CB350RS dan CB350 H’ness dalam barisan motosikal naked kelas permulaan, Honda India telah melancarkan satu lagi model naked untuk pasaran itu, dipanggil sebagai CB300F. Ia menggunakan rekaan yang lebih moden, tajam dan agresif, berbanding neo retro dan klasik pada CB300R dan CB350RS.

    CB300F dipacu oleh enjin satu silinder empat strok 293.5 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-Fi, dan jika anda perhatikan, bloknya mempunyai sirip seperti enjin CB350RS kerana ia tidak mempunyai sistem penyejukan cecair, dan penyejuk yang terdapat di bahagian biasa radiator itu adalah untuk sistem penyejukan minyak.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan yang mempunyai klac jenis assist & slipper, dan mampu menghasilkan 24 hp pada 7,500 rpm dan tork 25.6 Nm pada 5,500 rpm. Nisbah mampatan enjin ini adalah 9.3:1.

    Disebut sebagai satu produk global, CB300F datang dengan pelbagai kelengkapan canggih, termasuk panel instrumen digital yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui sistem kawalan suara HSVCS, sistem kawalan cengkaman HSTC, brek ABS two-channel, semua lampu jenis LED, soket pengecas USB dan fork USD warna emas.

    Perincian lain pada CB300F adalah termasuk tangki bahan api 14.1 liter, berat 153 kg, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, monoshock belakang dengan pelarasan pra beban serta tinggi tempat duduk 789 mm.

    Dua varian CB300F ini diperkenalkan untuk pasaran, iaitu DLX dan DLX Pro, dengan harga masing-masing 225,900 rupee (RM12,671) dan 228,900 (RM12,839).

     
     
  • Geely Boyue L 2023 didedahkan – enjin turbo 1.5L & 2.0L, hibrid & PHEV, guna platform CMA Volvo-Geely

    Geely Boyue L 2023 didedahkan – enjin turbo 1.5L & 2.0L, hibrid & PHEV, guna platform CMA Volvo-Geely

    Geely telah pun memperkenalkan satu lagi SUV yang diberi nama Boyue L – walaupun ia dinamakan “Boyue”, ia sebenarnya hampir tiada kaitan dengan Geely Boyue, iaitu asas untuk Proton X70 yang dijual pada pasaran China.

    Ini kerana Boyue L diasaskan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibina oleh Geely dan Volvo, yang buat masa sekarang digunakan pada model-model premium seperti Volvo XC40, Polestar 2, Lynk & Co 01 dan 03 serta pelbagai lagi. Dari segi hierarki pula, Boyue L diletakkan antara Boyue dan juga Xingyue L.

    Menurut laporan CarNewsChina, Boyue L dihasilkan dengan dimensi panjang 4,670 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,705 mm dan jarak roda sejauh 2,777 mm. Ia dilihat sedikit lebih besar berbanding Boyue/X70 yang menampilkan dimensi panjang 4,519 mm, lebar 1,831 mm dan tinggi 1,694 mm.

    Geely Boyue L 2023 didedahkan – enjin turbo 1.5L & 2.0L, hibrid & PHEV, guna platform CMA Volvo-Geely

    Dari segi rekaan juga dilihat Boyue L tidak langsung menunjukkan sebarang kaitan dengan Boyue. Ia menerima rekaan yang jauh lebih futuristik yang bakal digunakan oleh pelbagai model Geely untuk masa hadapan. Pada bahagian muka, lampu hadapan LED dan lampu nyalaan siang LED direka seakan sebahagian dari gril utama yang bersaiz besar, sama seperti konsep rekaan yang diterapkan oleh Hyundai.

    Profil sisi Boyue L ini menyerlahkan garis-garis tegak dan bersegi, bersama satu garis sisi unik bermula dari pintu hadapan, dan terus menaik ke belakang bagi dijadikan asas untuk cermin tingkap sisi paling belakang. Lampu belakang juga direka unik dengan rekaan keseluruhan seperti anak panah, bersama bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Boyue L ditawarkan dalam dua versi enjin pembakaran dalam sepenuhnya, dan dua versi dengan sistem hibrid elektrik. Bagi model petrol penuh, Boyue L datang dengan pilihan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 218 hp/325 Nm dan juga unit lebih kecil 1.5 liter turbo berkuasa 181 hp/290 Nm. Kedua-dua jenis enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Geely Boyue L 2023 didedahkan – enjin turbo 1.5L & 2.0L, hibrid & PHEV, guna platform CMA Volvo-Geely

    Manakala bagi model dengan teknologi elektrifikasi, ia ditawarkan dalam versi hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV) dari jenama unit rangkaian kuasa terbaharu Geely iaitu Leishen Power. Kedua-duanya versi ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter dengan sistem suntikan bahan api terus serta disuap dengan unit supercharger.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear hibrid khas (DHT) tiga-kelajuan, di mana transmisi tersebut turut menerima dua buah motor elektrik bina-dalam.

    Untuk kabin pula, Boyue L menerima set instrumen digital sepenuhnya, yang turut terdiri dari panel instrumen untuk pemandu, serta skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara potret. Sistem berkenaan berfungsi menggunakan sistem operasi Geely Galaxy OS Air, menampilkn cip pemproses Qualcomm 8155 yang mampu menawarkan kemaskini secara over-the-air (OTA).

     
     
  • Nissan Almera Sportech-X di Thai – terhad 300 unit

    Nissan Almera Sportech-X di Thai – terhad 300 unit

    Nissan Thailand telah memperkenalkan varian Almera Sportech-X edisi terhad, yang dikeluarkan terhad hanya 300 unit sahaja. Sportech-X ini dibangunkan dari varian tertinggi bagi siri ini, VL Sportech yang tampil dengan rekaan kit badan dari Autech – dengan kelengkapan tambahan bernilai 20,000 baht (RM2,520).

    Dengan harga tambahan, ciri premium yang bakal diberikan termasuklah roda aloi 16-inci dengan rekaan dua tona, corong ekzos krom dengan goresan Nissan, pelekat Sportech-X pada B-pillar (semua tiang dan bumbung diberikan warna hitam) dan lencana Sportech-X pada but dan bawah pintu belakang.

    Untuk kabinnya pula, kit tambahan termasuk pencahayaan ambien merah, tempat duduk kulit hitam dengan logo Sportech-X dan jahitan merah, alas lantai dan scuff plate dengan logo yang sama dan welcome light bersama logi Sportech-X merah. Turut diberikan pedal sport dan lencana Sportech-X pada tuil gear.

    Nissan Almera Sportech-X di Thai – terhad 300 unit

    Sportech-X ditawarkan pada harga 695,000 baht (RM87,620), atau lebih mahal sebanyak 20,000 baht (RM2,520) berbanding VL Sportech. Harga Almera di Thai naik sebanyak 6,000 baht (RM756) bagi setiap varian awal bulan ini disebabkan peningkatan kosnya.

    Almera dijanakan oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo, berbeza daripada model pesaingnya di bawah segmen kereta-eco di Thailand, yang kebanyakannya menggunakan enjin 1.2L NA, termasuk Yaris Ativ (Vios untuk kita) serba baharu. Sedan saiz sederhana ini hadir dengan hamburan kuasa sebanyak 100 PS dan tork 152 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm, dan dipadankan dengan Xtronic CVT dari Nissan sendiri.

    Kombinasi penjana kuasa ini sama dengan versi Almera di Malaysia, di mana Almera merupakan satu-satunya model sedan segmen-B yang diberikan enjin turbo yang dikecilkan kapasitinya. Kebanyakan sedan di bawah segmen yang sama menggunakan enjin 1.5L NA, jadi jika anda inginkan jentera dengan kuasa turbo di bawah harga RM100k, pilihan yang ada antara Almera atau pun Perodua Ativa.

    GALERI: Nissan Almera Sportech-X di Thailand

    GALERI: Nissan Almera Sportech di Thailand

     
     
  • 6,889 individu ditahan dalam Op Samseng Jalanan dari 2020-Jun 2022, tangkapan tertinggi di Johor – JSPT

    6,889 individu ditahan dalam Op Samseng Jalanan dari 2020-Jun 2022, tangkapan tertinggi di Johor – JSPT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 6,889 individu ditahan menerusi Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh pihaknya di seluruh negara sejak tahun 2020 hingga Jun 2022.

    Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, daripada jumlah itu, seramai 6,308 individu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tambahnya, berdasarkan statistik pihaknya, negeri Johor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi diikuti Kuala Lumpur, Selangor serta Kedah, Harian Metro

    “Kita akan mempergiatkan lagi operasi samseng jalanan bagi membanteras kegiatan lumba haram serta mat rempit yang kini semakin berleluasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang semalam.

    6,889 individu ditahan dalam Op Samseng Jalanan dari 2020-Jun 2022, tangkapan tertinggi di Johor – JSPT

    Manakala sejak Januari hingga Jun 2022 sahaja, seramai 1,451 pesalah atau mat rempit ditahan dalam 1,096 operasi yang sama yang dilaksanakan di seluruh negara. Selain itu, sebanyak 21,258 saman trafik atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan 2,200 kenderaan telah disita, seperti yang laporkan Bernama pula.

    Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak juga berkata, kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk membendung kegiatan lumba haram di negara ini, dan ia akan dilakukan melalui pengubalan akta sedia ada untuk memberi tumpuan bukan sahaja kepada pelumba haram, tetapi juga penonton dan bengkel yang melakukan pengubahsuaian pada kenderaan yang digunakan untuk lumba haram.

    Isham menambah bahawa hukuman yang dikenakan juga akan dipinda untuk memberi pengajaran kepada pesalah lumba haram – bukan sahaja dalam bentuk denda yang dinaikkan, tetapi juga hukuman penjara.

     
     
  • Volkswagen Malaysia menambahbaik eShowroom – kini paparkan waktu sebenar ketersediaan model

    Volkswagen Malaysia menambahbaik eShowroom – kini paparkan waktu sebenar ketersediaan model

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan penambahbaikan eShowroom, platform maya bagi pelanggan yang ingin membeli kereta secara dalam talian. Dengan penambahbaikan ini, pelanggan kini mempunyai akses ke atas unit-unit yang ada dijual di pengedar-pengedar sah Volkswagen di seluruh negara pada masa sebenar. Berdasarkan seperti konsep ‘siapa cepat dia dapat’, hanya model yang ada pada pengedar sahaja akan dipamerkan.

    Menerusi platform berkenaan, pelanggan boleh mencari model apa yang tersedia dan lokasinya. Kemudian boleh memilih sama ada untuk mendapatkan slot pandu uji atau membuat tempahan secara dalam talian dengan yuran standard RM1,500. Kemudian pengedar berkenaan akan menghubungi pelanggan terbabit untuk langkah-langkah seterusnya dan melengkapkan pembelian.

    Menerusi semakan yang dilakukan terhadap laman platform yang telah ditambahbaik itu, terdapat 67 unit kenderaan berada dalam senarai, kebanyakannya dari model Tiguan Allspace TSI Life, bersama beberapa unit Allspace 1.4 TSI Elegance. Model lain yang turut berada dalam senarai termasuklah Golf 1.4 TSI R-Line dan Passat 2.0 TSI Elegance. Kesemua harga yang disenaraikan adalah harga runcit semasa bagi model berkenaan, sebelum ditambah dengan harga atas jalan (tidak termasuk insurans)

    Volkswagen Malaysia menambahbaik eShowroom – kini paparkan waktu sebenar ketersediaan model

    Sebagai sebahagian daripada sambutan Merdeka dan Hari Malaysia sepanjang dua bulan ini, pelanggan yang membuat tempahan menerusi eShowroom akan menerima rebat eksklusif sebanyak RM500 atas pembelian mereka.

    Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Volkswagen Malaysia sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan kami bermula dari saat pembelian lagi. Dengan ini, eShowroom kami dibina di atas konsep untuk membawakan pengedar Volkswagen terus ke hujung jari pelanggan.

    “Kami kini berbesar hati untuk menawarkannya dengan memperkenalkan ciri kebolehdapatan pada masa sebenar. Ia akan memberi kemudahan dan memastikan perjalanan pemilikan yang lebih lancar buat pelanggan.”

     
     
  • Dapatkan permainan Hot Wheels percuma dengan tukarkan barangan kitar semula di MBSA pada 14 Ogos

    Dapatkan permainan Hot Wheels percuma dengan tukarkan barangan kitar semula di MBSA pada 14 Ogos

    Anda ada banyak barangan terpakai seperti botol minuman yang boleh dikitar semula? Daripada simpan tanpa digunakan, lebih baik dikitar semula menerusi program Jelajah Kesedaran Alam Sekitar bersama Majlis Bandaraya Shah Alam pada 14 Ogos 2022, Ahad ini.

    Menerusi program terbabit yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 7 pagi hingga 10 pagi, bagi yang menukarkan sama ada 12 unit botol 1.5 liter atau 24 unit untuk botol 500/600 ml, anda berpeluang menerima satu unit permainan Hot Wheels secara percuma.

    Satu tebus nilai terhad hanya untuk satu keluarga sahaja. Apa pun, hanya botol kosong air mineral/minuman yang berada dalam keadaan baik sahaja yang diterima.

    Jadi, inilah peluang untuk mendidik anak-anak anda tentang kitar semula, kerana ia bukan sahaja dapat mengajar mereka betapa pentingnya untuk menjaga alam sekitar termasuk kitar semula barangan yang terpakai, tapi dalam masa yang sama, mereka juga boleh mendapat permainan Hot Wheels secara percuma sebagai galakan di atas usaha yang dilakukan itu.

     
     
  • Triumph pertingkat enjin 765 cc Moto2 – lebih kuasa, rpm boleh pergi lebih tinggi, piston lebih tahan

    Triumph pertingkat enjin 765 cc Moto2 – lebih kuasa, rpm boleh pergi lebih tinggi, piston lebih tahan

    Sejak menjadi pembekal enjin untuk motosikal yang digunakan dalam perlumbaan Moto2 pada tahun 2019, Triumph telah menunjukkan prestasi memberangsangkan, dengan enjin tiga silinder 765 cc tersebut membantu pelumba mencatat 68 rekod baru, 20 pemenang yang berbeza serta kali pertama jentera Moto2 melepasi kelajuan 300 km/j.

    Sekarang, dengan sasaran memberi lebih kelajuan, catatan masa lebih pantas serta peluang memotong yang lebih tinggi, syarikat British itu mahu meningkatkan lagi kemampuan enjin tersebut dengan piston, head, valve, camshaft serta crank yang dinaik taraf.

    Melalui peningkatan ini, enjin yang mempunyai asas sama seperti enjin yang digunakan pada model Street Triple RS ini akan mempunyai kuasa yang lebih pada tahap rpm tinggi (+5 PS dan boleh dikerah dengan tambahan 400 rpm lagi), serta nisbah mampatan dan tahap ketahanan piston lebih tinggi (90 BAR).

    Sejak membuat kemunculan dalam Moto2, karekter enjin tiga silinder Triumph ini telah mendapat banyak pujian kerana merapatkan lagi jurang antara Moto2 dan MotoGP dari aspek prestasi dan kemahiran menunggang yang diperlukan, seterusnya menjadikan ia lebih relevan sebagai kategori pengenalan sebelum naik ke MotoGP.

    “Kita sudah hampir mencapai catatan perlumbaan satu juta kilometer bagi enjin 765 cc Moto2 sekarang, dan itu memberikan kami keyakinan yang tinggi untuk mengambil langkah seterusnya untuk memberi pelumba sesuatu yang mereka semua mahukan – lebih kuasa dan rpm lebih tinggi,” kata ketua pegawai bahagian produk Triumph, Steve Sargent.

     
     
  • Mahkamah putuskan mangsa kemalangan harus diberi pampasan secara automatik dari syarikat insuran

    Mahkamah putuskan mangsa kemalangan harus diberi pampasan secara automatik dari syarikat insuran

    Seperti yang kita tahu, setiap kali berlaku kemalangan di Malaysia, mereka yang disabitkan bersalah menyebabkan kemalangan berkenaan hanya akan menerima hukuman dari pihak berkuasa, sementara mangsa yang terlibat tidak akan menerima apa-apa pampasan. Namun menerusi berita Free Malaysia Today semalam, Mahkamah Persekutuan dilaporkan telah memutuskan bahawa mangsa kemalangan jalan raya perlu diberi pampasan secara automatik tanpa perlu menyaman syarikat insurans.

    Menurut Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli dalam laporan berkenaan, hasrat Parlimen menggubal Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah untuk melindungi pengguna jalan raya pihak ketiga yang tidak bersalah, dan peruntukan dalam akta tersebut perlu ditafsirkan untuk melindungi semua pemandu, termasuk mangsa kemalangan jalan raya.

    Rahman mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mempengerusikan panel tiga hakim, dalam penghakimannya setebal 140 muka surat yang membenarkan rayuan membabitkan lapan pemandu berbeza, tujuh daripadanya cedera dalam kemalangan. Daripada lapan rayuan itu, lima melibatkan Pacific & Orient Insurance Co Bhd, Amgeneral Insurance Bhd, Allianz General Insurance Company (M) Bhd, dan Malaysian Motor Insurance Pool, tulis laporan berkenaan.

    Panel yang dipengerusikan oleh Rahman tersebut turut disertai Hasnah Mohammed Hashim dan Rhodzariah Bujang, dan ia telah menganugerahkan kos RM150,000 kepada setiap pihak yang berjaya dalam rayuan berkenaan.

    Mahkamah putuskan mangsa kemalangan harus diberi pampasan secara automatik dari syarikat insuran

    Walau bagaimanapun, Rahman turut menjelaskan bahawa semua pemilik kenderaan perlu mempunyai perlindungan insurans wajib bagi membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan cukai jalan, dan jika kenderaan itu menyebabkan kecederaan pada mangsa, orang terbabit boleh menyaman pemilik atau pemandu kenderaan tersebut.

    Beliau menjelaskan, ini kerana jika pemilik kenderaan mempunyai perlindungan insurans, syarikat insurans secara automatiknya akan membantu dan “menanggung kerugian” mangsa, tanpa mangsa perlu menyaman syarikat insurans. Dalam sesetengah kes, pampasan boleh mencecah jutaan ringgit dan syarikat insurans akan membayar ganti rugi kepada mangsa bagi pihak pemandu.

    Menurut Rahman lagi, akta itu perlu mengimbangi dua kepentingan yang bersaing, iaitu pertamanya melindungi pihak ketiga yang tidak bersalah daripada risiko, tetapi dalam masa yang sama undang-undang perlu melindungi syarikat insurans daripada menjadi mangsa penipuan tuntutan.

    Rahman turut memberitahu, dalam salah satu kes berkenaan mangsa telah kalah kerana membabitkan kaedah pemilikan “sambung bayar”. Menurutnya, pemilik kenderaan telah “menjual” kenderaan itu kepada pihak ketiga melalui kaedah tersebut, tanpa memaklumkan kepada syarikat insurans.

    Kerana kesalahan yang dibuat oleh mangsa berkenaan, syarikat insuran berjaya meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan dasar itu terbatal dan syarikat insurans enggan menanggung kerugian mangsa. Dengan perintah berkenaan, mangsa telah kalah dalam tuntutan tersebut.

     
     
  • Geely Radar RD6 – bahagian dalam pikap EV didedah

    Geely Radar RD6 – bahagian dalam pikap EV didedah

    Pertengahan bulan lalu, Geely telah memperkenalkan trak pikap elektrik RD6 yang diletakkan di bawah jenama sub baru mereka Radar Auto. Jenama ini akan memberi fokus lebih kepada kenderaan elektrik penuh (EV) gaya hidup outdoor, dan produk pertamanya adalah RD6 ini.

    Sebelum ini, hanya bahagian luar trak pikap elektrik itu ditunjuk, tetapi sekarang melalui set gambar yang disiarkan melalui akaun Twitter pegawai perhubungan Geely, Ash, kita dapat melihat pula bahagian dalam terutamanya kokpit.

    Bagi yang bermata tajam, anda pasti dapat melihat rekaan papan pemuka ini nampak familiar. Ini adalah kerana ia sama seperti SUV Haoyue VX11 (juga dikenali sebagai Okavango), termasuklah rekaan stereng, skrin infotainmen dan instrumen serta corong pendingin hawa.

    Panel pintu dan konsol tengah juga sama, tetapi tombol gear trak pikap ini menggunakan bentuk petak melintang, berbanding menegak pada Haoyue. Stereng model di dalam gambar ini masih lagi berada di sebelah kiri (untuk negara asalnya), sementara tempat duduk pula dibalut dengan kemasan warna hitam, sama seperti kebanyakan bahagian lain.

    Dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely, RD6 akan ditawarkan dalam tetapan satu motor dan dua motor. Laporan sebelum ini menyatakan bahawa jarak geraknya boleh pergi sehingga 600 km, bergantung kepada pakej bateri, manakala kuasa pula boleh pergi antara 200 hp hingga 400 hp.

     
     
  • Guna video tangkap Mat Rempit, pelumba haram – gubal undang-undang libatkan penonton, bengkel

    Guna video tangkap Mat Rempit, pelumba haram – gubal undang-undang libatkan penonton, bengkel

    Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang meningkatkan usaha untuk membendung kegiatan lumba haram di negara ini, dan ia akan dilakukan melalui pengubalan akta sedia ada untuk memberi tumpuan bukan sahaja kepada pelumba haram, tetapi juga penonton dan bengkel yang melakukan pengubahsuaian pada kenderaan yang digunakan untuk lumba haram.

    Kenyataan ini dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha MoT Datuk Isham Ishak, yang bercakap pada sidang media “Isu Mat Rempit” di IPK Pulau Pinang. Turut bercakap pada pihak wartawan di Georgetown hari ini termasuklah Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim Karim dan juga Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

    Isham menambah bahawa hukuman yang dikenakan juga akan dipinda untuk memberi pengajaran kepada pesalah lumba haram – bukan sahaja dalam bentuk denda yang dinaikkan, tetapi juga hukuman penjara.

    Pertemuan yang berlangsung hari ini adalah bagi membincangkan persetujuan antara MoT, PDRM dan JPJ dalam kerjasama memerangi isu lumba haram. Bagi mengurangkan risiko penguatkuasaan, suspek yang terlibat dengan lumba haram akan ditahan berdasrkan bukti seperti rakaman video. Isham juga berkata Pulau Pinang akan menjadi negeri contoh bagi pelaksanaan pendekatan operasi baharu ini.

    Bulan lalu, seramai lima penunggang motosikal meninggal dunia dalam satu kes kemalangan jalan raya yang melibatkan beberapa buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025