Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Putrajaya bakal dapat monorel maglev; akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan yang lain

    Putrajaya bakal dapat monorel maglev; akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan yang lain

    Monorel Rapid KL

    Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah diberikan taklimat mengenai sistem rel maglev (keretapi laju) untuk dilaksanakan di Putrajaya.

    Taklimat ini adalah sebahagian dari kunjungan beberapa para pemain industri rel Korea Selatan termasuk Hyundai Corp yang diwakili oleh wakilnya di Malaysia, Park Geunhwa, Ketua Hyundai Rotem Malaysia, Min Jun Sung, Pengarah Urusan Kanan Keretapi EP Korea, Yoo Jai Tark dan Pengerusi Maglev MKC, Chung Dong Wan. Turut hadir ialah CEO KTM Berhad Rani Hashim dan juga Ketua Pengarah Keretapi Bahagian Darat Unit Rel MOT, Shahriman Shafein.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, MOT akan mengadakan perbincangan lanjut tidak lama lagi dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai pembangunan monorel maglev di Putrajaya serta integrasinya dengan sistem rel dan pengangkutan lain.

    Putrajaya bakal dapat monorel maglev; akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan yang lain

    Tren Kelas 91 buatan Hyundai Rotem turut digunakan oleh KTM bagi perkhidmatan ETS

    Menerusi perkongsiannya di laman Facebook, Wee turut berkata, KTMB telah lama menjalinkan hubungan dengan Hyundai Rotem sehingga membuahkan hasil kerana mereka masih menggunakan kaedah pembuatan kereta api Kelas 83 dan 91 sebagai bukti ketahanan dan kebolehpercayaan mereka dengan sokongan dan kepakaran hebat dari Korea. Malah tren Kelas 91 juga digunakan untuk pengendali rel ETS.

    “MOT juga dalam proses untuk membawa lebih banyak rakan kongsi yang berpengalaman dan berpengetahuan ke Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE). Sehubungan itu, MOT sedang mengusahakan butiran lengkap untuk bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Rel Korea (Korea Railroad Research Institute-KRRI) bagi meningkatkan pengetahuan dari sudut teknikal sektor keretapi,” kata Wee.

     
     
  • myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    myTukar Auto Fair 2022 bakal berlangsung hujung minggu ini, bermula 17 hingga 19 Jun bertempat di myTukar Retail Experience Centre – Plentong, Johor Bahru. Bagi mereka yang ingin memberi kereta tetapi tak mahu tunggu lama untuk mendapatkan kereta baru ketika ini, ada banyak pilihan kereta terpakai yang tersedia untuk dinilai, dengan harga yang tentunya menarik.

    Antara model yang akan dipamer adalah dua SUV Mazda ini, yang berada dalam keadaan sangat baik dan baru. Mazda CX-3 2018 yang dilihat ini adalah versi facelift, diperkenalkan di Malaysia dalam tahun yang sama dan kini ada dijual melalui myTukar pada harga RM107,100. Ini membawa kepada ansuran bulanan dari hanya RM1,174*.

    Sama seperti semua kenderaan dengan myTukar Certified, CX-3 ini telah menjalani pemeriksaan 160-poin dan lulus dengan cemerlang, dengan enjin, transmisi, bateri, suspensi, tayar, brek dan pendingin hawa semuanya tanpa sebarang masalah. Bacaan diagnostik juga tidak menunjukkan sebarang kerosakan, sementara keadaan luaran dan dalamannya hampir sempurna, melainkan ada kesan kecil di cermin depan dan calar kecil di cermin sisi dan tombol gear.

    Versi facelift ini datang dengan gril baru, begitu juga dengan lampu belakang serta perincian krom tambahan serta rim 18-inci. Warna premium Snowflake White Pearl juga menawan. Di dalam, corong pendingin lebih kurus, serta ada brek parkir elektronik dengan situasi penebat bunyi yang lebih baik untuk keselesaan. Balutan kerusi yang sebahagiannya suede memberikan sentuhan premium untuk kabinnya.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    CX-3 juga ada ciri yang lengkap, antaranya lampu utama LED, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kerusi pemandu larasan elektrik dengan memori, pendingin automatik, head-up display, skrin sentuh tujuh-inci dan kamera undur. Kuasa pula datang dari enjin 2.0 liter NA dengan janaan 154 PS dan 204 Nm tork, diganding bersama transmisi automatik enam-kelajuan.

    Kalau mencari sesuatu yang lebih besar pula, ada SUV CX-5, dalam generasinya yang kedua dengan enjin 2.0 liter dan warna Soul Red Crystal. Juga dikeluarkan pada 2018, ia kini dijual melalui myTukar pada harga RM126,500, atau hanya RM1,387 sebulan*.

    Model ini juga lulus dengan cemerlang bagi pemeriksaan 160-poin yang dilakukan, tiada sebarang masalah mekanikal atau elektronik. Luaran dan dalaman kereta ini berada dalam keadaan sangat baik, dengan hanya sedikit kesan pada cermin utama, gril dan lampu kirinya sahaja sepanjang empat tahun ia digunakan.

    Warna merahnya menyerlahkan rekabentuk badan SUV ini tanpa sebarang cacat cela, dan di dalam, kerusinya menerima balutan kulit hitam. Ada banyak juga kelengkapan seperti i-Activesense untuk bantuan pemandu dengan ciri seperti AEB, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang. Sistem janaan pula sama dengan CX-3, cuma output yang sedikit berbeza dengan 164 PS dan 210 Nm.

    Kalau inginkan kereta lain, jangan risau. Ada banyak lagi pilihan yang tersedia untuk anda di myTukar Auto Fair 2022. Semuanya lulus myTukar Certified dan melalui pemeriksaan 160-poin, dan dipastikan bebas daripada kemalangan teruk, kebakaran dan kerosakan akibat banjir. Setiap pembelian myTukar datang dengan lanjutan jaminan PERCUMA selama setahun dan dua temujanji servis PERCUMA — perkara yang jarang ditawarkan untuk kereta terpakai.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    Selain itu, setiap pembelian myTukar disertakan sekali dengan lanjutan jaminan selama setahun dan dua servis percuma, tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya anda berdepan sebarang masalah atau bertukar fikiran tentang kenderaan yang dibeli, anda hanya perlu pulangkannya tanpa sebarang pertanyaan diajukan kepada anda — melalui polisi jaminan pulangan wang lima-hari yang diberikan. Semak senarai panjang kereta yang ada di sini.

    myTukar Experience Centres merupakan pusat sehenti yang memastikan perjalanan anda untuk membeli kenderaan berlangsung dengan mudah dan tidak rumit. Semua urusan dari pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman hinggalah kepada insuran, semuanya diuruskan oleh syarikat ini.

    Pelanggan juga boleh trade-in kenderaan mereka di myTukar Auto Fair 2022 — nilai maksimum dan tawaran trade-in menarik boleh ditentukan terus oleh petugas berpengalaman di acara ini nanti.

    Dengan pembelian kenderaan di acara berkenaan, anda juga berpeluang memenangi satu daripada 10 pasang tiket yang ditanggung sepenuhnya untuk menonton Liverpool menentang Manchester United di Bangkok. Tempah kenderaan anda sebelum 19 Jun dan dapatkannya sebelum 30 Jun, jawab soalan kuiz bila anda menerima panggilannya, dan anda mungkin bertuah untuk ke Thailand menonton perlawanan persahabatan itu. Jika anda mendaftarkan minat untuk hadir ke acara berkenaan di sini, anda akan mendapat peluang tambahan untuk hadiah berkenaan.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    Tambahan pula, anda akan menerima tawaran istimewa jika anda membeli kenderaan di acara ini, seperti pinjaman dengan kadar faedah serendah 1.88% bagi 100 tempahan pertama serta peluang untuk menang baucar bernilai sehingga RM1,000 melalui promosi Spin & Win.

    Tidak lupa juga ada hadiah bernilai RM12,000 untuk cabutan bertuah eksklusif untuk dimenangi. Ini termasuklah iPhone 13, sebuah iPad, sebuah konsol Playstation, SmarTV Android, pembersih hampagas Xiomi Mi Robot serta pam air Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Untuk hidangan pula, trak makanan akan turut berada di lokasi, jadi pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman pilihan mereka dengan mudah. Prosedur penghindaran Covid-19 juga perlu diamalkan — pelitup muka adalah wajib sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak lagi wajib. Kru acara akan kerap membersihkan keseluruhan lokasi serta permukaan yang kerap disentuh seperti kereta dan kemudahan umum untuk memastikan keselamatan terjamin.

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar. Berkunjung ke myTukar Auto Fair 2022 pada 17-19 Jun ini, bermula 9.30 pagi hingga 8 malam setiap hari. Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon: 03-7890 4499
    WhatsApp: +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Plentong, JB
    Jalan Masai Lama,
    Taman Perindustrian Plentong
    81750 Johor Bahru, Johor.

    GALERI: Mazda CX-3 2.0 Skyactiv-G 2WD 2018 di myTukar Auto Fair 2022

    GALERI: Mazda CX-5 2.0 Skyactiv-G High 2WD 2018 di myTukar Auto Fair 2022

     
     
  • Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Selepas kejayaan Fabia R5 dan Fabia Rally2 evo mendominasi rali kelas R5/Rally2 di seluruh dunia, Skoda kini memperkenalkan versi terbaharu jentera rali Fabia untuk kelas berkenaan dan juga program perlumbaan pelanggannya – memperkenalkan, Skoda Fabia RS Rally2!

    Jentera terkini ini dibina berasaskan Fabia produksi jalan raya generasi keempat yang muncul pada tahun lalu. Jadi ia kini tampil dengan kerangka baharu yang lebih berpotensi, bersama unit rangkaian kuasa yang juga baru dibangunkan, berbeza dari jentera sebelum ini.

    Dengan kerangka badan baharu, Fabia RS Rally2 ini dapat dihasilkan lebih lebar serta menampilkan jarak roda lebih jauh berbanding Fabia Rally2 evo sebelumnya. Ini membolehkan jurutera mengoptimakan karekteristik pengendaliannya, menghasilkan bahagian belakang yang lebih stabil. Jarak roda lebih jauh pula membolehkan tangki bahan api diatur semula bagi mendapatkan nisbah berat hadapan dan belakang yang lebih seimbang, manakala ruang enjin yang lebih luas membolehkan ia menerima unit intercooler bagi sistem turbo yang juga lebih besar.

    Walaupun tiada sebarang perubahan diumumkan oleh FIA terhadap regulasi Rally2, dan enjin dari jentera sebelum ini terbukti sangat kompetitif, Skoda Motorsport tetap membangunkan enjin baharu untuk jentera Fabia RS Rally2 ini. Enjin baharu berkenaan diasaskan dari enjin produksi EA888 2.0 TSI dari model produksi seperti Skoda Kodiaq vRS, dan sudah tentu ia enjin yang sama digunakan oleh Volkswagen Golf GTI dan Golf R.

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Namun bagi memenuhi undang-undang Rally2 FIA, kapasiti enjin berkenaan perlu diturunkan kepada 1.6 liter (sama seperti kes enjin 4B11 dari Proton Inspira yang perlu diturunkan dari 2.0L ke 1.6L untuk dipadankan pada jentera rali Proton Iriz R5).

    Enjin baharu ini menampilkan port kemasukan dan ekzos yang direka semula, omboh serta kebuk pembakaran yang dioptimakan, serta rekaan semula dibuat pada sistem injap bervariasi dan sistem pelinciran bagi mendapatkan proses pembakaran lebih baik.

    Sistem ekzos dan pengecas turbo turut menerima sentuhan semula dari jurutera, manakala sistem intercooler yang lebih inovatif dan litar penyejukan dibangunkan semula bagi mendapatkan kapasiti penyejukkan yang lebih besar. Enjin berkenaan turut menerima perisian baharu untuk sistem pengurusan enjin, serta unit restrictor turbo kekal dengan diameter 32 mm mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh FIA. Kesemua ini membolehkan enjin berkenaan menghasilkan kuasa sekitar 289 hp dengan tork maksima 430 Nm.

    Kuasa berkenaan dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif. Menurut Skoda Motorsport, nisbah gear rapat yang diberikan pada transmisi Fabia RS Rally2 ini masih membolehkan ia mencapai kelajuan maksima sekitar 200 km/j.

    Seperti juga kategori tertinggi Kejohanan Rali Dunia (WRC) Rally1, kategori Rally2 untuk WRC2 juga kini sudah mula menggunakan bahan api bio 100% mampan. Jadi selain dari tangki minyak yang direka untuk bahan api perlumbaan fosil, Fabia RS Rally2 ini juga boleh dipilih untuk dilengkapkan dengan tangki bahan api bio berkapasiti 82.5 liter. Tangki istimewa tersebut menampilkan bahan kedap dari busa bagi mengelakkan ia bocor, serta diberikan pelindung yang diperbuat komposit Karbon/Kevlar dan lapisan penyerap di bahagian bawah.

    Kerangka baharu ini juga membolehkan ia menerima bentangan suspensi lebih baik. Skoda Fabia RS Rally2 ini menampilkan suspensi jenis Topang McPherson pada gandar hadapan dan belakang yang lebih keras dari sebelum ini, manakala penyerap hentak pula menawarkan strok pergerakan yang lebih jauh serta daya geseran yang lebih baik.

    Bagi tetapan rali pada permukaan tar, Fabia RS Rally2 ini dibekalkan dengan rim 18-inci bersama brek dengan cakera 355 mm di hadapan dan cakera 300 mm di belakang. Manakala untuk tetapan rali permukaan batu kerikil pula, ia menerima rim 15-inci bersama set brek dengan cakera 300 mm untuk hadapan dan belakang.

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Dalam kabin, kedua-dua pemandu dan juruarah menerima pelindungan dari roll cage baharu, dibina dari tiub logam krom-molybdenum berkekuatan tinggi sepanjang 35.8 meter. Pemandu pula menerima roda stereng yang mempunyai butang terus untuk kawalan seperti butang penghidup enjin, yang memudahkan enjin dihidupkan semula jika ia termati ketika berlumba.

    Malah Fabia RS Rally2 ini juga menerima paparan instrumen yang lebih besar serta boleh memainkan semula video informasi serta operasi lebih intuitif ketika rali, serta panel kawalan utama baharu dengan skrin sesentuh dan sistem intercom bersepadu.

    Menurut Skoda, model produksi Skoda Fabia generasi baharu ini sudahpun memberikan aspek aerodinamik yang cukup baik, dengan pekali seretan terbaik dalam kelasnya. Oleh itu, Skoda Motorsport sudahpun mempunyai kelebihan kerana rekaan asas yang mereka terima sangat berpotensi untuk dijadikan kereta rali.

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Malah, sebahagian aspek aerodinamik model produksi turut dibawa kepada kereta rali ini misalnya tirai udara pada bampar hadapan yang mampu mengalirkan udara dari hadapan kepada bahagian badan dan roda seterusnya meningkatkan downforce pada bahagian skirt sisi serta mengelakkan udara dari mengalir ke bawah badan.

    Berbanding model standard, jentera rali ini sudah tentu menerima kelengkapan aerodinamik lebih agresif termasuk splitter hadapan, fender hadapan dan belakang yang lebih lebar dan spoiler belakang baharu bersama Gurney Flap pada penghujung sayap – hasilnya, Fabia RS Rally2 ini downforce hampir sekali ganda lebih kuat berbanding Fabia Rally2 evo sebelum ini.

    “Beberapa elemen aerodinamik dari model produksi telah membuktikan ia bernilai untuk kereta rali. Dengan model ini, kami telah menumpukan lebih perhatian kepda aeodinamik berbanding model sebelumnya, dan kami membuat penilaian ketat untuk setiap perincian. Matlamat kami: Downforce lebih besar untuk kelajuan ketika membelok yang lebih tinggi dan menambahbaik pengendalian, dalam masa yang sama mempertingkatkan keberkesanan aerodinamik jentera ini,” kata Lukáš Vojík, pakar aerodinamik dari Pembangunan Teknikal di Skoda Auto.

     
     
  • Touch n Go eWallet kini boleh bayar teksi di S’pura

    Touch n Go eWallet kini boleh bayar teksi di S’pura

    Jika anda berkunjung ke Singapura, anda kini boleh membayar tambang teksi yang dikendalikan oleh ComfortDelGro, dengan menggunakan Touch n Go eWallet. Ia adalah hasil kerjasama dengan Alipay+, yang merupakan pembayaran digital rentas sempadan global dan penyelesaian pemasaran yang dikendalikan oleh Ant Group.

    “Ini adalah permulaan untuk memgembangkan perkhidmatan pembayaran kami ke Singapura. ComfortDelGro ialah pengendali rangkaian teksi terbesar di Singapura, mengendalikan kira-kira 9,000 teksi di seluruh bandar. Kami melihat ini sebagai peristiwa penting untuk mengembangkan kaedah pembayaran kami ke Singapura dan kami amat berbesar hati kerana dapat membawa pengguna kami menikmati kemudahan tambahan ini,” kata Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital.

    Tambah beliau, “Selepas sempadan negara dibuka semula dan perjalanan antarabangsa juga boleh dilakukan, saya jangka pengguna kami bakal menikmati penggunaan eWallet secara lebih meluas memandangkan kini ia turut diterima di Singapura, dengan cara yang sama mereka menggunakannya di Malaysia. Kami juga akan terus mengembangkan lagi rangkaian ini pada masa akan datang.”

    TnG berkata, dalam tempoh pra-Covid, lebih 350,000 pengguna merentasi Malaysia dan Singapura setiap hari menggunakan Tambak Johor, dan kerjasama dengan Alipay+ dilihat tepat pada masanya.

    Terkini, ada promosi khas turut dianjurkan buat pengguna Touch n Go eWallet. Bermula kini sehingga 25 Jun ini, pengguna layak mendapat diskaun (RM4 hingga RM6) bila menggunakan teksi ComfortDelGro dan membayar tambang dengan menggunakan eWallet. Diskaun diberikan adalah berbeza setiap minggu dan dihadkan untuk 300 transaksi pertama setiap hari.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R akan tiba di Malaysia tahun hadapan

    Kawasaki ZX-25R akan tiba di Malaysia tahun hadapan

    Baru sebentar tadi kami siarkan berita model-model CKD dan CBU Kawasaki yang akan tiba di Malaysia, dan kami dapat lihat ada yang memberi komen bertanya tentang satu model 250 cc yang cukup menarik, iaitu ZX-25R. Ini dia maklumat yang kami terima – ia akan tiba di negara kita pada tahun hadapan!

    Perkara ini dinyatakan sendiri oleh CEO Modenas, Roslan Roskan, dan beliau turut menambah bahawa bukan kita sahaja yang teruja dengan model ini, malah Kawasaki juga bersemangat untuk memperkenalkannya kepada pasaran Malaysia.

    Menariknya berkenaan ZX-25R, ia adalah sebuah motosikal 250 cc yang dihasilkan dengan fokus kepada prestasi, bermula dengan enjin empat strok empat silinder 249.8 cc DOHC penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 51 PS pada 15,500 rpm (dengan ram air) dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm. Laju maksimum yang diberitahu adalah 197 km/j.

    Pada bahagian transmisi, model ini menggunakan unit enam kelajuan bersama klac jenis assist and slipper, sementara kelengkapan lain juga berspesifikasi tinggi, termasuk dua mod tunggangan, kawalan cengkaman KTRC, throttle valve elektronik, kerangka trellis serta suspensi yang terdiri daripada fork USD SFF-BP 37 mm tanpa pelarasan di hadapan dan monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 182 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 15 liter.

    Harga apabila ia masuk ke pasaran Malaysia nanti masih belum diberitahu, tetapi sebagai rujukan, ia dijual pada harga RM28,427 di Indonesia, RM36,450 di Thailand dan RM35,692 di Filipina. Untuk membuat jangkaan, mungkin kita perlu menunggu terlebih dahulu Ninja 250 ABS dilancarkan tidak lama lagi.

     
     
  • Modenas bungkus projek “supermoped”, tapi masih bangunkan kapcai atas 150 cc dengan Kawasaki

    Modenas bungkus projek “supermoped”, tapi masih bangunkan kapcai atas 150 cc dengan Kawasaki

    Modenas Kriss Concept rekaan Saharuddin Busri

    Apa pun yang ada dengar tentang “supermoped” Modenas sebelum ini, semuanya sudah berakhir. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh CEO Modenas, Roslan Roskan dalam satu majlis bersama media di Gurun, Kedah. Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna Modenas melupakan terus segmen ini.

    Modenas sedar, segmen motosikal 150 cc dan ke atas adalah sangat besar dan mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bersaing di dalamnya. Selain daripada itu, Roslan juga menjelaskan, Modenas kini dalam proses untuk memperkenalkan semula kapcai Modenas berkapasiti 150 cc ke atas.

    Memandangkan sekarang hampir separuh pegangan saham dalam Modenas dipegang oleh Kawasaki, pasti ramai yang menjangkakan campur tangan Kawasaki dalam pembangunan kapcai berprestasi ini. Itu memang benar, dan Roslan sendiri memberitahu, mereka mahukan kapcai ini mempunyai identiti seperti Kawasaki.

    Modenas bungkus projek “supermoped”, tapi masih bangunkan kapcai atas 150 cc dengan Kawasaki

    Ketua bahagian rekaan Kawasaki Heavy Industries Ltd., Keishi Fukumoto

    Malangnya, Kawasaki sekarang lebih banyak memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran motosikal berkuasa tinggi berbanding yang berkuasa rendah. Kita boleh berkata, kalau begitu, mengapa tidak ambil sahaja enjin 250 cc dan turunkan kapasitinya kepada bawah 200 cc? Salah seorang wakil Kawasaki yang turut hadir dalam majlis sama memberitahu, ia tidak semudah itu, dan akan menyebabkan kos kapcai tersebut menjadi tinggi (kerana enjin itu sendiri berspesifikasi tinggi).

    Namun, apa yang diberitahu dengan jelas adalah kapcai ini turut menerima sentuhan daripada pereka Kawasaki dari Jepun, termasuklah Keishi Fukumoto, yang telah datang ke Malaysia untuk proses-proses akhir pengesahan rekaannya. Pendapat kami, prototaip kapcai tersebut mungkin sudah ada, tetapi semasa lawatan ke dalam kilang, tiada sebarang bayang atau kesannya lagi.

    Roslan masih tidak membuka mulut berkenaan spesifikasi kapcai berprestasi ini, tetapi beliau ada menyatakan bahawa Kawasaki juga tidak cuma menggunakan enjin atau kelengkapan keluaran mereka sendiri, dan disebabkan itu, mereka juga boleh memilih barangan dari pembekal tertentu. Sebagai pengeluar motosikal tempatan, kita boleh menjangkakan harga berada di bawah RM10k.

     
     
  • Pemasangan rasuk jambatan di NKVE di Jln Duta-Bkt Lanjan – penutupan sementara, 10mlm- 5pg, 14-16 Jun

    Pemasangan rasuk jambatan di NKVE di Jln Duta-Bkt Lanjan – penutupan sementara, 10mlm- 5pg, 14-16 Jun

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE). Ada kerja pemasangan rasuk jambatan di lebuhraya berkenaan iaitu KM23.9, di antara plaza tol Jalan Duta dan Bukit Lanjan.

    Kerja-kerja pemasangan struktur berkenaan dilaksanakan pada jam 10 malam hingga 5 pagi, bermula hari ini, 14 Jun sehingga Khamis ini (16 Jun 2022).

    Kedua-dua arah akan terlibat dengan penutupan sementara di laluan berkenaan, tetapi tidak membabitkan penutupan penuh. Aliran trafik akan dikawal dan dilepaskan secara stop and go. Sila ikuti papan tanda jalan dan arahan kru yang bertugas. Apa pun sila rancang perjalanan anda dan berhati-hati dalam pemanduan.

     
     
  • Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Sejak pengedaran motosikal Kawasaki diambil alih oleh Modenas melalui Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), ramai yang tertanya-tanya bila model jenama Jepun tersebut dapat ditawarkan kepada pasaran. Kini, kita sudah ada jawapannya.

    Dalam satu majlis bersama pengurusan Modenas di kilang mereka di Gurun, Kedah, ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan memberitahu, syarikat bersedia untuk memperkenalkan empat model pemasangan tempatan (CKD) dan empat model import (CBU) Kawasaki kepada pasaran Malaysia dalam tahun ini.

    Pengeluaran untuk dua motosikal yang dimaksudkan juga sudah bermula dan kami dapat melihat depan mata sendiri Ninja 250 ABS dan Z250 ABS. Ini adalah model yang menggunakan asas daripada model tahun 2018, yang bermakna ia menggunakan enjin dua silinder selari DOHC 249 cc berkuasa 39 hp dan 23.5 Nm tork. Ia dijangka dapat berada di wakil pengedar Kawasaki menjelang hujung bulan Julai ini.

    Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Bagi Ninja 250 ABS, grafik yang digunakan hampir sama seperti model yang dipamerkan pada tahun 2020, sementara Z250 ABS pula menggunakan warna merah gelap. Selepas dua model ini, Modenas akan mengeluarkan pula Ninja 250 tanpa ABS – jangkaan kami, ia adalah untuk menjadikannya sebagai satu pilihan yang lebih mampu milik.

    Satu lagi model CKD yang akan dilancar tahun ini tidak diberitahu, tetapi semasa lawatan ke dalam kilang (gambar tidak boleh diambil, dan hanya akan disediakan oleh Modenas), kami dapat melihat gambar Vulcan S, Z900 dan Z900 SE.

    Roslan turut menjelaskan bahawa model yang dipasang dalam negara cumalah model berkapasiti bawah 650 cc, sementara yang lebih tinggi pula akan diimport. Untuk tahun ini, empat model import berada dalam perancangan untuk pengenalan kepada pasaran Malaysia.

    Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Ia diberitahu adalah Versys 1000 SE, ZX-10R, ZX-6R dan juga Ninja 1000. Semua pilihan ini dibuat setelah wakil daripada Kawasaki melihat dan membuat kajian terhadap penggunaan dan penerimaan motosikal di dalam negara kita.

    Selepas ini, lebih banyak lagi model akan diperkenalkan, sehinggalah H2R dan Z H2. Walaubagaimanapun, untuk dua model hypersport ini, rangkaian pengedar dan servis selepas jualan Kawasaki di Malaysia perlulah menjadi lebih matang terlebih dahulu.

    Satu lagi perkara berkenaan yang dinyatakan, Modenas dengan adanya kemampuan dan kemahiran sendiri untuk memasang motosikal, mereka mensasarkan harga yang lebih mampu milik berbanding sebelum ini.

     
     
  • Masyarakat di Sabah diminta sabar dengan keadaan jalan daif; k’jaan tidak boleh kecualikan cukai jalan

    Masyarakat di Sabah diminta sabar dengan keadaan jalan daif; k’jaan tidak boleh kecualikan cukai jalan

    Masyarakat di Sabah diminta bersabar dengan keadaan jalan yang daif dan banyak kerosakan di negeri itu, terutamanya yang menghubungkan Sandakan dan Telupid, jika mahu terus menggunakan jalan bebas tol. Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin seperti yang dilaporkan oleh The Vibes.

    Beliau berkata sedemikian sebagai maklumbalas terhadap kekecewaan yang diluahkan oleh pengguna jalan raya di Sabah yang terpaksa meredah jalan yang serba daif sepanjang 6.4 km itu. Beliau turut berkata, jalan terbabit tidak akan dibaikpulih memandangkan projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun lagi. Walau bagaimana pun, pengguna jalan raya di negeri terbabit turut memohon untuk dikecualikan bayaran cukai jalan sehingga lebuhraya baharu itu siap sepenuhnya, memandangkan keadaan jalan raya yang rosak teruk.

    Keadaan jalan yang semakin rosak teruk sehingga penduduk tempatan menggelarkannya “jalan bulan” merujuk kepada permukaannya yang berlopak-lopak. Difahamkan, peruntukan sebanyak RM256 juta telah diperoleh untuk membaikpulih jalan tersebut, tetapi ia (baikpulihnya) hanya untuk waktu yang singkat kerana jangka hayat jalan itu telah tamat pada tahun 2018, dan ia memerlukan pembinaan semula dari peringkat asas, ujar Bung Moktar.

    Masyarakat di Sabah diminta sabar dengan keadaan jalan daif; k’jaan tidak boleh kecualikan cukai jalan

    “Ya, perkara ini menjadi tular (menerusi media sosial). Saya sering dimarahi oleh orang ramai saban hari berhubung dengan keadaan jalan ini. Tetapi saya fikirkan, adalah rugi membelanjakan RM200 juta untuk jalan yang akan kembali rosak. Jadi, saya berharap orang Sabah teruslah bersabar,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Sion berkata kerajaan Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan pengecualian cukai jalan untuk masyarakat di Sabah kerana kerajaan negeri memperoleh sebanyak RM3 bilion dari aliran pendapatan.

    “Saya memahami pemasalahan yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, tetapi ini melibatkan polisi kerajaan pusat. Kami akan berbincang sekali lagi mengenai isu ini dengan kerajaan negeri Sabah dan juga Jabatan Kerja Raya Sabah, (walau bagaimana pun), kami faham, jika Sabah memohonnya (pengecualian cukai jalan), Sarawak juga akan buat perkara yang sama,” ujar Wee. Pada masa ini, hanya OKU sahaja yang diberi pengecualian daripada membayar cukai jalan, kata menteri terbabit.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser Hyryder (D22) tertiris di India – rekaan seakan Perodua X-Concept; kebetulan ke?

    Toyota Urban Cruiser Hyryder (D22) tertiris di India – rekaan seakan Perodua X-Concept; kebetulan ke?

    Toyota Urban Cruiser Hyryder dikhabarkan bakal didedahkan di India pada 1 Julai nanti – ia adalah SUV segmen-B yang dibangunkan di India, khas untuk pasaran negara tersebut bagi berhadapan terus dengan Hyundai Creta. Sebelum ia membuat kemunculan sulung, imej SUV tersebut telah pun tertiris dan disiarkan oleh laman Team BHP.

    Namun apa yang menarik perhatian kami, bahagian muka Toyota Urban Cruiser Hyryder berkenaan menampilkan rekaan seakan model konsep Perodua X-Concept, terutamanya pada lampu LED yang tirus yang bersambung terus dengan gril hadapan! Adakah ini kebetulan atau ada sesuatu sedang berlaku?

    Toyota Urban Cruiser Hyryder ini diberikan kod projek D22. Ia adalah model lanjutan dari Toyota Urban Cruiser yang dilancarkan pada tahun 2020, iaitu SUV paling kecil Toyota untuk pasaran India dengan panjang tidak sampai empat meter, dan ia sebenarnya diasaskan dari Maruti Suzuki Vitara Brezza.

    Segmen SUV dengan saiz sub-4 meter Di India sebenarnya agak kompetitif, dengan saingan seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, Skoda Kushaq, MG Hector dan model tempatan Tata Harrier.

    Perodua X-Concept

    Manakala untuk Urban Cruiser Hyryder baharu ini, ia sebenarnya dihasilkan lebih besar dengan panjang melebihi empat meter, dan akan dijual satu segmen lebih tinggi berbanding Urban Cruiser. Menurut apa yang ditulis oleh Team BHP, Hyryder ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian TNGA-B yang “telah dilokalisasikan”. Malah selepas ini, ia turut akan dihasilkan untuk versi Maruti Suzuki.

    Laman tersebut turut menyatakan bahawa Hyryder bakal ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Yang pertama adalah enjin petrol 1.5 liter dengan sistem hibrid ringkas menghasilkan kuasa 102 hp, yang kedua pula adalah enjin petrol 1.5 liter dengan sistem hibrid penuh menghasilkan 114 hp.

    Enjin dengan sistem hibrid ringkas ditawarkan dengan kotak gear manual dan automatik, manakala versi dengan sistem hibrid penuh hanya menerima transmisi CVT. Tiada pilihan enjin diesel ditawarkan untuk Toyota Urban Cruiser Hyryder ini.

    Lakaran digital bayangan SUV Perodua berasaskan platform DNGA-B oleh Theophilus Chin

    Seperti yang kita tahu, Perodua merupakan salah satu ahli di bawah kumpulan Toyota, dan ia sudahpun mempunyai model-model kembar bersama seperti Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz. Malah model terkini pakatan berkenaan yang menggunakan platform generasi baharu berasaskan TNGA iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) – kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa juga telah berada dalam pasaran.

    Baru-baru ini juga Perodua dikatakan sedang membangunkan SUV segmen-B yang lebih besar dari Ativa, diasaskan dari platform DNGA-B. SUV misteri berkenaan dikatakan mempunyai dimensi panjang 4,320 mm, lebar 1,770 mm dan tinggi 1,685 – saiz yang agak sama dengan Hyundai Creta iaitu lawan terus kepada Toyota Urban Cruiser Hyryder di India.

    Jadi dengan rupa muka yang ada iras-iras Perodua X-Concept yang didedahkan pada KLIMS 2018, adakah Toyota Urban Cruiser Hyryder akan ada bau-bau bacang dengan SUV baharu Perodua nanti?

    GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018

     
     
  • UMW Toyota jual 7,579 unit kenderaan pada Mei 2022 — naik 9.1% dari April, YTD naik 8.7% jadi 36,972 unit

    UMW Toyota  jual 7,579 unit kenderaan pada Mei 2022 — naik 9.1% dari April, YTD naik 8.7% jadi 36,972 unit

    Bagi Mei 2022, UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjual sebanyak 7,579 kenderaan, dengan 7,442 unit daripadanya merupakan model Toyota, sementara baki 137 unit adalah model Lexus. Angka terbaru ini mewakili peningkatan sebanyak 633 unit, atau 9.1%, berbanding bulan April 2022 ketika syarikat itu menyerahkan 6,946 unit (6,868 Toyota, 78 Lexus).

    Bagi tempoh sama setakat ini, serahan yang dilakukan sepanjang Mei tahun ini hanya kurang sedikit (16 unit) berbanding Mei tahun lalu. Walaupun begitu, jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD) bagi UMWT hampir 9% lebih tinggi pada 2022 dengan 36,972 unit berbanding 34,026 unit pada 2021.

    UMWT mendakwa jualan menggalakkan itu tetap berlaku walaupun jangkaannya jualan kenderaan di Malaysia akan perlahan sepanjang baki tahun ini. Ini disebabkan gangguan bakalan semikonduktor global, yang telah menyebabkan pengeluar sukar untuk meningkatkan produksi bagi memenuhi permintaan.

    UMW Toyota  jual 7,579 unit kenderaan pada Mei 2022 — naik 9.1% dari April, YTD naik 8.7% jadi 36,972 unit

    Selain itu, berakhirnya pengecualian SST selepas Jun 2022 akan memberi kesan kepada jualan, walaupun sesetengah pelanggan ingin memanfaatkan harga semasa kenderaan, yang telah membantu meningkatkan jualan sebelum ini.

    “Ketika kami bersiap untuk separuh kedua tahun ini, kami di UMW Toyota sangat menghargai sokongan yang telah diterima daripada pelanggan. Sentiasa menjadi polisi kami untuk memberi keutamaan kepada pelanggan terlebih dahulu dan kami sentiasa bersedia untuk melanjutkan bantuan kami kepada peminat Toyota dalam menempuh waktu yang tidak menentu ketika ini,” ujar Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

    “Kami ingin terus menerapkan keyakinan dalam setiap produk kami dan kemampuan untuk melayani permintaan pelanggan, disokong oleh teknologi automotif canggih Toyota serta ciri keselamatan pada semua produk. Semoga keadaan lebih baik menanti di hadapan,” tambah beliau.

     
     
  • Toyota Vios 2023 dibayangkan oleh Theophilus Chin — rekaan dari Corolla untuk model generasi baru

    Toyota Vios 2023 dibayangkan oleh Theophilus Chin — rekaan dari Corolla untuk model generasi baru

    Selepas mula dilihat bulan lalu, dan sekali lagi minggu lepas, Toyota Vios 2023 kini menerima pula sentuhan dan bayangan digital oleh Theophilus Chin, yang telah memberikan penafsirannya tentang bagaimana rupa dan penampilan sedan segmen B Toyota ini akan dizahirkan.

    Penampakan model generasi baru Vios ini minggu lalu telah memberikan sedikit petunjuk, walaupun masih mengenakan pelekat samaran. Antara yang dapat dikesan adalah gril besar yang mirip digunakan pada Corolla 2023, terutama pada bahagian jalur lintang grilnya.

    Dalam video ini, Theophilus menampilkan rekaan yang sepertinya mempertemukan wajah depan Corolla, dengan memanfaatkan siluet keseluruhan Volkswagen Virtus, sebuah sedan segmen B dari pengeluar Jerman itu yang dijual antaranya di Brazil dan India.

    Di bahagian sisi, Theo menjadikan rekaan bayangannya ini dengan cermin sisi dengan yang terletak lebih tinggi pada pintu, seperti Vios yang dilihat di Thailand sebelum ini, menggantikan unit sama dari Corolla yang menjadi rujukan awal rendisinya ini.

    Di belakang, Theo menggabungkan rekaan lampu balakang Corolla sedan dengan Virtus, dengan tambahan kemasan yang menghubungkan kedua lampu berkenaan, berbeza daripada Vios ujian yang dilihat di Thailand itu. Bukaan di bahagian sudut bawah bampar belakang turut diterapkan sekali.

    Toyota Vios 2023 dibayangkan oleh Theophilus Chin — rekaan dari Corolla untuk model generasi baru

    Dijangka membuat penampilan sulung di Thailand Ogos nanti, Toyota Vios generasi terbaru itu didakwa akan ditawarkan dalam dua pilihan enjin di sana — 1.2 liter NA empat-silinder petrol dan juga enjin baru 1.5 liter hibrid.

    Enjin 1.2 liter berkenaan dijangka akan menjadi penawaran spesifik kepada Thailand memandangkan itu had sesaran kapasiti bagi enjin kereta eco di pasaran itu, dan enjin 1.5 liter petrol mungkin akan diteruskan untuk penawaran Vios/Yaris dipasaran lain.

    Bagaimana dengan rekaan ini, nampak meyakinkan dan menjadikan Vios lebih matang atau sebaliknya?

     
     
  • Operasi LRT, MRT untuk stesen terlibat dilanjutkan sempena Malaysia VS Bangladesh malam ini

    Operasi LRT, MRT untuk stesen terlibat dilanjutkan sempena Malaysia VS Bangladesh malam ini

    Walau pun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan peminat pasukan Malaysia berhubung kekalahan menentang Bahrain hujung minggu lalu, namun rasanya malam ini, demi perlawanan bola sepak Kelayakan Piala AFC menentang Bangladesh, pasti ramai penyokong Harimau Malaya tetap akan ke Stadium Bukit Jalil.

    Justeru, bagi orang ramai yang ke stadium berkenaan pada malam ini dan memilih untuk menaiki tren LRT, jangan khuatir, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan waktu operasi bagi perkhidmatan terbabit akan dilanjutkan.

    “Bagi pengguna perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, tren terakhir menuju ke Sentul Timur akan berlepas pada jam 12.03 tengah malam. Manakala tren terakhir menuju ke Putra Heights pula berlepas pada jam 12.44 tengah malam.

    “Bukan itu sahaja, tren tambahan juha akan disediakan bagi membawa penumpang setelah selesai perlawanan. Kemudian, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Masjid Jamek dan ke MRT Laluan Kajang di Stesen Plaza Rakyat,” ujar Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Honda HR-V 2022 ditampilkan di beberapa bilik pameran di KL dan Selangor hujung minggu ini

    Honda HR-V 2022 ditampilkan di beberapa bilik pameran di KL dan Selangor hujung minggu ini

    Menjelang pelancarannya tidak lama lagi, Honda HR-V 2022 bakal ditampilkan di beberapa bilik pameran terpilih di sekitar KL dan Selangor pada hujung minggu ini. Sebanyak lima wakil pengedar bakal mengendalikan sesi pra-tonton HR-V generasi ketiga ini untuk pelanggan meraka iaitu pada 18-19 Jun ini.

    Walau bagaimana pun, difahamkan, beberapa varian yang bakal dipamerkan ini ialah unit pra-produksi, yang akan dipasang di kilang Honda di Melaka. Bagi pelanggan yang berminat untuk menyertai sesi pra-tonton ini, dinasihatkan agar menghubungi wakil pengedar yang terpilih (nombor telefonnya turut disertakan di bawah) untuk temujanji dan menempah slot kehadiran bagi mengelakkan kesesakan.

    Tapi jangan terkejut, sekiranya anda dikehendaki menyerahkan telefon bimbit atau sebarang peranti perakam imej sebaik tiba di bilik pameran terbabit. Tiada sesi fotografi atau videografi dibenarkan. Ini perkara biasa kalau melibatkan pra-tonton untuk pihak media, sama konsep turut dilaksanakan bagi orang ramai yang berpeluang menyertai sesi sedemikian. Dan, disebabkan model yang dipamerkan ini melibatkan unit pra-produksi, maka ada beberapa ciri yang masih belum dimuktamadkan.

    Honda HR-V 2022 ditampilkan di beberapa bilik pameran di KL dan Selangor hujung minggu ini

    Senarai pengedar yang mengambil bahagian – klik untuk besarkan

    Pada Khamis lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan tempahan HR-V baharu ini mula dibuka. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia, HR-V pasaran Malaysia sah akan ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu petrol sepenuhnya dan hibrid e:HEV – sama seperti City dan City Hatchback, versi hibrid elektrik tersebut menampilkan teknologi intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD) dan tampil dengan penggayaan paling sporty iaitu RS.

    Tapi, versi bukan-hibrid petrol juga akan ditawarkan. Walau bagaimana pun, spesifikasi penuhnya masih belum didedahkan. Mungkin ia juga didatangkan dengan pilihan enjin 1.5L naturally-aspirated i-VTEC (121 PS/145 Nm, sama seperti City sedan dan hatchback) dan 1.5L VTEC Turbo dengan 177 PS/240 Nm.

    Dijangkakan, varian yang bakal ditawarkan adalah gred S (1.5 NA), E dan V (1.5T) dan e:HEV RS. Honda Malaysia juga mengesahkan ia bakal diberikan Honda Sensing, bukaan tailgate bebas-tangan, lampu membelok LED di hadapan dan kawalan penghidup enjin. Kit lengkap hanya akan diketahui apabila ia dilancarkan kelak.

    Untuk yang berada di luar KL dan Selangor, kena lihat jadual yang diberikan, bila HR-V ini bakal ditayang berhampiran tempat anda dan jangan lupa tempah slot kehadiran anda.

    GALERI: Honda HR-V RS e:HEV 2022 pasaran Thailand

     
     
  • Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Membeli kereta terpakai seharusnya menjadi perkara yang ringkas dan mudah, tetapi ia mungkin boleh berubah menjadi perkara sebaliknya. Jika anda bernasib baik, anda akan menemui kenderaan terpakai tanpa sebarang isu dan tidak diusik, namun dalam kebanyakkan masa, ia biasanya tidak seperti itu.

    Biasanya pembeli kereta terpakai akan menghadapi pelbagai masalah, melainkan anda benar-benar tahu apa yang anda cari. Antara perkara yang kerap terjadi adalah anda tidak dapat mengenalpasti petanda-petanda, masalah dan juga isu yang berpotensi, yang kebanyakkannya boleh disorokkan pada pandangan mata kasar.

    Contohnya, kenderaan yang pernah ditenggelami banjir. Memandangkan kini banyak kereta yang mengalami masalah tersebut akibat banjir kilat yang kerap berlaku kebelakangan ini, ia menjadi kegusaran paling besar terhadap ramai pembeli apabila hendak membeli kereta terpakai, membuatkan mereka tertanya-tanya adakah unit yang menarik minat mereka itu bebas dari kerosakan sedemikian. Lagipun, dengan kerja pembaikan, masalah tersebut boleh disorokkan dari pandangan orang biasa, cukup membolehkan mereka tidak dapat membezakannya dengan kereta tanpa masalah yang sama.

    Inilah antara sebab mengapa sekiranya anda membeli kereta terpakai dari pengedar yang mempunyai reputasi, dipercayai, yang mampu memberikan pengesahan keadaan kereta yang bebas dari kerosakan sedemikian, akan memberikan perbezaan yang besar, kerana ia akan menyisihkan sebarang tekaan yang perlu dibuat, dan yang paling penting, kebimbangan anda.

    Satu syarikat yang menjanjikan tiada langsung kereta yang pernah ditenggelami banjir dalam inventorinya adalah myTukar. Syarikat ini menggunakan proses dan pemeriksaan yang ketat bagi menjamin kenderaan yang dijual di bawah namanya tidak pernah terlibat dalam banjir.

    Ini melibatkan pemeriksaan 160-poin yang ketat, bermula dari memahami keseluruhan sejarah kereta tersebut sehingga kepada pemeriksaan terhadap setiap sudut dan celah di bawah hud – tiada yang ketinggalan bagi memastikan semua kereta adalah bebas dari kemalangan besar dan banjir, supaya anda mendapat pemanduan yang berkualiti.

    Pemeriksaan ekstensif 160-poin tersebut termasuk pemeriksaan terhadap enjin, stereng, brek & suspensi, transmisi & klac, luaran & dalaman, serta bawah badan & bawah hud. Jika pembetulan atau pembaikan perlu dibuat, ia akan dibuat oleh myTukar Refurbishment Centre, yang akan memastikan bahawa pembaikan dan penukaran alat ganti dibuat dengan betul bagi membuatkan kereta tersebut baik seperti baru.

    Refurbishment Centre yang canggih tersebut menjalankan kerja-kerja yang terperinci dan ketat pada kedua-dua bahagian dalaman dan luaran, termasuk pembetulan badan & cat serta proses perincian & kebersihan, bagi memenuhi standard “myTukar Certified Pre-Owned”. Selepas siap, kenderaan tersebut akan menerima lencana myTukar Certified.

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Satu lagi isu yang diketahui diamalkan oleh pengedar kereta terpakai adalah mengubah bacaan meter perbatuan, di mana pembeli tidak dapat memastikan perkara ini. Di sini, myTukar menyerlah dengan mengisytiharkan secara terbuka bahawa kereta yang dijual semuanya menunjukkan perbatuan asal. Syarikat tersebut memberikan jaminan bahawa bacaan perbatuan pada semua kereta myTukar Certified tidak diubah, bermaksud apa yang anda lihat pada odometer adalah jarak perjalanan sebenar yang telah dicatatkan oleh kereta tersebut.

    Selain itu, syarikat ini juga menawarkan ketenangan fikiran kepada pembeli dengan melengkapkan setiap kenderaan yang dijual dengan waranti dan perkhidmatan percuma, membezakannya daripada pengedar kereta terpakai lain. Kereta terpakai sering dijual dalam keadaan “seadanya”, biasanya tanpa jaminan atau perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan.

    Bagaimanapun, semua kereta myTukar Certified didatangkan dengan jaminan lanjutan setahun yang meliputi kedua-dua enjin dan kotak gear, serta servis percuma 2X. Standard untuk setiap kereta yang dijual, ini memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan dan menjadikan pemilikan kereta mereka mudah, kerana kitaran penyelenggaraan kereta dan kerumitan yang datang bersamanya dijaga oleh myTukar.

    Selain daripada semua ciri peneraju segmen ini, myTukar juga menawarkan polisi jaminan pulangan wang lima hari jika anda tidak berpuas hati dengan pembelian anda, tanpa sebarang soalan. Semua ini menjadikan pembelian kenderaan daripada syarikat tersebut benar-benar bebas kebimbangan.

    myTukar AutoFair 2022 – pembelian tanpa kebimbangan, dengan pelbagai hadiah

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Jika anda sedang mencari pembelian tanpa kebimbangan, anda boleh hadir ke myTukar Auto Fair 2022 yang berlangsung di myTukar Retail Experience Centre – Plentong, Johor Bahru pada 17 hingga 19 Jun ini. Selain daripada pelbagai jenis kereta untuk dipilih, terdapat juga banyak hadiah disediakan untuk pembeli.

    Buat pembelian kenderaan di acara itu dan anda boleh memenangi salah satu daripada 10 pasang tiket tajaan sepenuhnya semua perbelanjaan untuk menyaksikan Liverpool menentang Manchester United di Bangkok. Tempah kenderaan anda selewat-lewatnya pada 19 Jun dan terima selewat-lewatnya pada 30 Jun, jawab kuiz dengan betul apabila anda mendapat panggilan telefon, dan anda mungkin dalam perjalanan ke Thailand untuk menonton perlawanan persahabatan itu. Jika anda mendaftarkan minat anda sebelum acara di sini, anda akan mendapat peluang tambahan untuk bertanding bagi mendapatkan tiket ke perlawanan secara langsung tersebut.

    Anda akan menerima tawaran istimewa tambahan apabila anda membeli kereta anda di acara tersebut, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.88% untuk 100 tempahan PERTAMA serta peluang memenangi baucar bernilai sehingga RM1,000 dengan promo Putar & Menang.

    Bukan itu sahaja, terdapat juga hadiah cabutan bertuah eksklusif bernilai RM12,000 untuk dimenangi. Ini termasuk iPhone 13, iPad, konsol PlayStation 5, Android SmartTV, vakum robot Xiaomi Mi serta jet air Karcher, vakum Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Selain itu, seperti yang dinyatakan sebelum ini, setiap pembelian myTukar termasuk jaminan lanjutan setahun percuma dan dua janji temu servis percuma. Segala-galanya dari Pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman, hingga urusan insurans diuruskan oleh syarikat. Dan, sekiranya anda menghadapi masalah atau hanya mengubah fikiran anda tentang kenderaan, anda boleh mengembalikannya dengan polisi jaminan wang dikembalikan selama 5 hari syarikat – tiada soalan ditanya.

    Anda boleh menukar-beli kereta semasa anda di myTukar Auto Fair 2022 – pakar produk syarikat akan dapat memberikan anda tawaran tukar-beli segera dengan nilai maksimum untuk kenderaan anda pada acara tersebut. Lawat laman web myTukar untuk mula melayar!

    Trak makanan akan disediakan pada acara berkenaan, membolehkan pengunjung membeli makanan dan minuman. Prosedur pencegahan Covid-19 akan dilaksanakan – topeng muka perlu dipakai sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak diwajibkan. Krew dan kakitangan acara akan kerap membersihkan keseluruhan tempat serta peralatan dan permukaan yang kerap disentuh seperti kereta, kemudahan kegunaan orang ramai, dan lain-lain untuk memastikan aspek keselamatan dikekalkan.

    Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi acara myTukar. Datang ke Pameran Auto myTukar 2022 pada 17-19 Jun ini, dari 9.30 pagi hingga 8 malam setiap hari. Anda juga boleh menghubungi kami menerusi:

    Telefon : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Email: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Plentong, JB
    Jalan Masai Lama,
    Taman Perindustrian Plentong
    81750 Johor Bahru, Johor.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025