Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Plat nombor VJD, JVK bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan giliran nombor pendaftaran JVK dan VJD bakal dibuka untuk bidaan. Bidaan hanya dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Kuala Lumpur, VJD, ini akan dibuka bidaannya mulai esok 10 Jun 2022. Tempoh bidaan adalah selama lima hari, dan bakal berakhir pada jam 10 malam, 14 Jun ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 15 Jun.

    Turut bakal dibuka bidaan ialah siri nombor pendaftaran terkini dari Johor iaitu JVK. Tempoh bidaannya akan bermula pada 12 Jun 2022 dan berakhir pada 10 malam pada 16 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Jun 2022.

    Keseluruhan proses kini dilakukan secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Kalau anda berminat untuk melakukan bidaan sendiri, anda bolehlah rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Kadar tambang perkhidmatan Skypark Line dikurangkan mulai hari ini, kini RM3.50 hingga RM4

    Kadar tambang perkhidmatan Skypark Line dikurangkan mulai hari ini, kini RM3.50 hingga RM4

    Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan pengurangan kadar tambang bagi perkhidmatan tren ekspres Skypark Line, dari RM10 kini menjadi RM3.50 bermula hari ini. Kadar tambang tersebut adalah bagi pembayaran tanpa tunai yang melibatkan tren sambungan dari stesen KL Sentral dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Menurut menterinya, Datuk Sri Dr Wee Ka Siong, bagi penumpang tren yang membayar secara tunai pula, kadar bayaran yang ditetapkan kini sebanyak RM4, berbanding RM11 sebelum ini.

    Tambah beliau, pengurangan sebanyak 50% dari kadar tambang itu juga akan diberikan untuk kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah, warga emas dan juga orang kurang upaya, laporan FMT.

    “Ini adalah salah satu usaha kerajaan bagi membantu golongan bersasar khususnya komuniti B40. Kos pengangkutan awam ini antara faktor penyumbang peningkatan kos hidup, jadi inisiatif sebegini perlu dilaksanakan,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, perkhidmatan tren terbabit juga telah dipertingkatkan sebanyak 32 perjalanan sehari, berbanding 25 sebelum ini, dengan kekerapan antara 30 minit hingga sejam antara stesen KL Sentral, stesen Subang Jaya dan stesen Skypark Terminal di lapangan terbang terbabit. Bagi perjalanan antara stesen KL Sentral dan stesen Skypark Terminal, ia mengambil masa sekitar 37 minit. Skypark Line telah mula beroperasi sejak Mei 2018.

     
     
  • Honda CB250R 2022 dipertingkat dengan fork SFF-BP Showa, klac Assist & Slipper, petunjuk kedudukan gear

    Honda CB250R 2022 dipertingkat dengan fork SFF-BP Showa, klac Assist & Slipper, petunjuk kedudukan gear

    Model naked Honda CB250R telah diberi peningkatan tahun ini dan sudah mula dijual di Eropah dan Jepun. Ia menerima beberapa peningkatan, yang bukan sahaja dapat memperbaiki kualiti tunggangan, tetapi juga memberikan lebih fungsi kepada pengguna.

    Enjin masih lagi sama, iaitu unit silinder 250 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berkemampuan 27.2 hp pada 9,000 rpm dan 23.3 hp pada 8,000 rpm, tetapi penukaran gear di dalam transmisi enam kelajuannya dapat dijadikan lebih lancar dengan naik taraf klac jenis Assist & Slipper.

    Kemudiannya bagi fork USD hadapan, walaupun kelihatan seperti unit Showa yang sama, sebenarnya ia telah dipertingkat dengan unit SFF-BP (Separate Function Front Fork – Big Piston). Bahagian belakang masih lagi menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban yang sama.

    Satu lagi yang diubah adalah paparan pada meter LCD di bahagian kokpit motosikal ini. Tempat yang dulunya terletak penunjuk suhu enjin kini telah diganti dengan petunjuk kedudukan gear (sebelum ini cuma ada shift lamp), bagi memudahkan pengguna.

    Bahagian lain masih lagi dikekalkan, termasuk brek cakera depan dan belakang dengan ABS two-channel, semua lampu jenis LED, tangki bahan api, rim 17 inci dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, serta tinggi tempat duduk 795 mm.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival kembali boleh ditonton di litar pada pusingan kedua musim ke-5, 25-26 Jun ini

    Toyota Gazoo Racing Festival kembali boleh ditonton di litar pada pusingan kedua musim ke-5, 25-26 Jun ini

    Setelah hanya disiarkan melalui siaran langsung di media sosial selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, penganjur Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing yang menampilkan pelumbaan ‘one make’ Vios Challenge iaitu UMW Toyota Motor kini menjemput semula peminat-peminat untuk kembali merasai festival berkenaan ke litar!

    Pembukaan semula festival tersebut kepada orang ramai akan bermula pada pusingan kedua musim kelima yang akan berlangsung bermula 25 hingga 26 Jun ini. Seperti era sebelum pademik sebelum ini, festival berkenaan bukan sahaja menyajikan aksi-aksi perlumbaan sengit di litar, malah pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk persembahan-persembahan pentas oleh selebriti terkemuka.

    “Kami sangat teruja untuk membawa semula orang ramai ke Festival dan juga Pusingan kedua Vios Challenge. Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan sesuai untuk semua orang, daripada keluarga yang ingin menghabiskan hujung minggu mereka kepada peminat perlumbaan. Selamat kembali!” kata Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K.

    “Acara ini adalah dan sentiasa menjadi Festival untuk orang ramai, tidak kisah sama ada mereka mungkin bukan peminat perlumbaan secara sebenar. Ia adalah satu platform untuk Toyota memberi kembali dan meraikan orang ramai, berterima kasih kepada mereka atas sokongan berterusan terhadap jenama ini. Ini juga merupakan peluang yang baik untuk mengembalikan perayaan dan aktiviti untuk rakyat selepas dua tahun berkurung melawan wabak itu.

    “Bagi perlumbaan, Vios Challenge terus menyediakan penyertaan berpatutan ke dalam perlumbaan dengan tahap kompetitif dan sama rata dengan format one-make dan pelbagai kelas untuk pemandu muda, amatur, profesional dan juga selebriti tempatan,” tambah Ravindran lagi.

    Menurut UMWT, peminat-peminat bukan sahaja boleh melihat selebriti kegemaran mereka seperti Wany Hasrita, Nabila Razali dan Khai Bahar bertarung di litar lumba, malah mereka turut akan membuat persembahan khas secara langsung sepanjang hujung minggu berkenaan.

    Festival ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh kugiran rock tempatan, Bunkface pada hari Sabtu, serta buat pertama kali persembahan khas dari artis antarabangsa, Judika dari Indonesia pada hari Ahad.

    Bagi mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki di atas permukaan tar Litar Antarabangsa Sepang, ini peluang anda untuk merasai pengalaman berkenaan – acara All-Wheel Fest turut akan dibuat pada pusingan kali ini di mana anda boleh mengelilingi laluan litar sepanjang 2.7 km tersebut menggunakan apa sahaja kenderaan tanpa motor seperti basikal, papan luncur, skuter tolak dan sebagainya.

    Selain itu, pelbagai lagi aktiviti lain turut akan dijalankan sepanjang hujung minggu berkenaan, dan pelbagai reruai promosi serta barangan dan permainan-permainan karnival akan diadakan di tapak festival tersebut.

    Tiada sebarang bayaran parkir dan bayaran masuk akan dikenakan, namun bagi mereka yang berminat untuk datang, anda perlu terlebih dahulu mendaftar di laman sesawang rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia pada PAUTAN INI bagi membolehkan anda masuk ke festival tersebut.

     
     
  • Ducati Multistrada V2S 2022 tiba di Malaysia – RM106k

    Ducati Multistrada V2S 2022 tiba di Malaysia – RM106k

    Turut dilancarkan bersama Ducati Streetfighter V2 dan Streetfighter V4 SP adalah Multistrada V2S. Ini adalah versi yang diletakkan atas daripada versi standard Multistrada V2, dan dijual pada harga RM105,900 tidak termasuk insurans.

    Pada casis trellis motosikal touring ini, terletak enjin dua silinder V Testastretta 937 cc yang mampu menghasilkan kuasa 113 hp pada 9,000 rpm dan 96 Nm tork pada 7,750 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan slipper clutch dan pacuan rantai, dan diberikan secara standard dengan quickshifter.

    Pada bahagian suspensi, V2S datang dengan suspensi elektronik Skyhook, terdiri daripada fork serta monoshock yang boleh dilaras sepenuhnya dengan menekan butang sahaja (atau automatik mengikut mod), sementara brek pula adalah daripada Brembo, terdiri daripada cakera 320 mm berkembar dan angkup Monobloc empat piston di hadapan sementara di belakang menggunakan cakera 265 mm bersama angkup dua piston.

    Dalam keadaan standard, tinggi tempat duduk Multistrada V2S adalah 830 mm, namun pemilik boleh mendapatkan tempat duduk lebih tinggi (850 mm) atau lebih rendah (810 mm) yang dijual secara berasingan. Jika mahu lebih rendah lagi, Ducati menyediakan kit khas yang menjadikan tinggi tempat duduknya cuma 790 mm.

    Secara keseluruhannya, Multistrada V2S ini adalah 5 kg lebih ringan berbanding Multistrada 950, dengan catatan berat kering 202 kg. Bahagian enjin sahaja sudah melibatkan pengurangan sebanyak 2 kg, di mana 1.5 kg daripadanya adalah dari bahagian klac, sementara bahagian lain yang turut menyumbang adalah seperti rim (-1.7 kg), cermin sisi serta flange cakera brek hadapan. Selain itu, rim spoked yang disediakan sebagai pilihan tambahan juga dapat memberikan lebih lagi pengurangan berat.

    Pada bahagian kokpit, Multistrada V2S diberikan dengan skrin TFT-LCD 5.0 inci, dengan sistem elektronik seperti Vehicle Hold Control, Traction Control, ABS dan empat mod tunggangan. Sebagai varian yang lebih tinggi, Multistrada V2S juga ditambah lagi dengan cruise control, lampu utama LED dengan lampu membelok, sistem sambungan tanpa sentuh serta butang kawalan yang menyala. Beg barangan dijual secara berasingan.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

    Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

    Ini mungkin berita yang ditunggu oleh mereka yang sudah pun ‘meleleh air liur’ melihat Honda HR-V generasi ketiga yang sudahpun dilancarkan di Thailand, Indonesia dan Singapura sebelum ini – Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk HR-V 2022 kini sudah pun dibuka!

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia, HR-V pasaran Malaysia sah akan ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu petrol sepenuhnya dan hibrid e:HEV – sama seperti City dan City Hatchback, versi hibrid elektrik tersebut menampilkan teknologi intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD) dan tampil dengan penggayaan paling sporty iaitu RS.

    Honda Malaysia mengesahkan bahawa angka kuasa yang dihasilkan oleh HR-V RS e:HEV pasaran Malaysia ini adalah 131 PS dan tork maksima 253 Nm – sama seperti model pasaran Thailand yang dilancarkan pada November tahun lalu, jadi seharusya ia menerima unit rangkaian kuasa i-MMD yang sama.

    Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

    Bagi model pasaran Thailand, unit rangkaian kuasa berkenaan menampilkan gandingan enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson berkuasa 105 hp dan tork maksima 127 Nm serta dua buah motor elektrik dan juga bateri lithium-ion. Honda mendakwa HR-V e:HEV ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api serendah 25.6 km/l.

    Sistem tersebut berfungsi sama seperti sistem hibrid pada City RS e:HEV, di mana dalam kebanyakkan masa ia akan bergerak hanya dengan dipacu motor elektrik, sementara enjin petrol 1.5 liter berkenaan kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium-ion, dan hanya memacu roda hadapan pada kelajuan tertentu.

    Tiada sebarang perincian berkenaan spesifikasi varian yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya diumumkan hari ini. Namun untuk peringkat global, Honda HR-V generasi ketiga ini hanya ditawarkan dengan dua jenis enjin petrol penuh iaitu 1.5 liter empat-silinder i-VTEC NA dan juga 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo – kedua-dua pilihan unit penggerak ini sudahpun ditawarkan pada pasaran Indonesia.

    Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

    Berdasarkan hantaran-hantaran pengedar Honda di media-media sosial, berkemungkinan besar kedua-dua pilihan enjin 1.5L NA dan turbo ini akan ditawarkan di Malaysia, dan pilihan enjin 1.8 liter i-VTEC NA pada model sebelumnya tidak akan ditawarkan lagi.

    Untuk pengetahuan anda, Indonesia merupakan pasaran pertama di dunia yang menerima HR-V generasi ketiga dengan enjin turbo berkenaan. Di sana enjin tersebut menghasilkan kuasa 177 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm pada takat 1,700 hingga 4,500 rpm, digandingkan dengan transmisi CVT. Manakala untuk enjin 1.5 NA, ia menampilkan angka kuasa yang sama seperti pada City iaitu 121 PS dan tork maksima 145 Nm – juga dipadankan dengan kotak gear CVT.

    Hantaran-hantaran dari pengedar itu juga mendedahkan bahawa model dengan enjin petrol penuh HR-V pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu model asas HR-V S (1.5 NA), diikuti dua varian 1.5 turbo iaitu HR-V E dan HR-V V.

    Jadi nampaknya kita mungkin pasaran pertama di dunia yang menerima kesemua pilihan rangkaian kuasa iaitu 1.5 NA, 1.5 Turbo dan hibrid e:HEV. Untuk pengetahuan anda, HR-V pasaran Jepun hanya diberikan pilihan 1.5 NA dan e;HEV, Eropah hanya e:HEV, Singapura hanya 1.5 NA dan e:HEV, Indonesia hanya 1.5 NA dan 1.5 Turbo dan Thailand hanya e:HEV.

    Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

    Model generasi baharu ini menampilkan dimensi panjang 4,385 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,590 mm serta jarak roda 2,610 mm. Jadi berbanding model generasi sebelumnya, SUV ini masih menampilkan lebar dan jarak roda yang sama tetapi ia 39 mm lebih panjang serta 15 mm lebih rendah.

    Antara perincian-perincian yang disahkan untuk HR-V pasaran Malaysia hari ini termasuk teknologi LED untuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu kabus, lampu isyarat membelok jenis LED Sequential serta set rim aloi bersaiz 18-inci.

    Untuk model tertinggi HR-V RS e:HEV, video yang disiarkan mendedahkan bahawa ia menerima pakej penggayaan yang sama seperti model pasaran Thailand, menampilkan gril hadapan dengan elemen pin krom bersama kit-kit aero lain dan juga lebih banyak kemasan dalam warna hitam berkilat.

    Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

    Varian paling tinggi dan paling sporty ini juga disahkan akan menerima kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch, serta pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing dengan perincian seperti Collision Mitigation Braking System (CMBS atau AEB), Lane Keeping Assist System (LKAS), Adaptive Cruise Control dengan Low Speed Follow (ACC with LSF), lampu tinggi automatik dan Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW).

    Selain itu, Honda HR-V RS e:HEV 2022 pasaran Malaysia ini juga sah menerima fungsi seperti Remote Engine Start, Walk Away Auto Lock serta fungsi pintu tailgate belakang bukaan tanpa sentuhan serta Walk Away Close. Ini bermaksud bukan kunci sahaja yang akan secara automatik terkunci sendiri sekiranya anda bergerak menjauhi kereta, pintu tailgate belakang juga turut akan tertutup sendiri tanpa perlu anda menekan mana-mana butang.

    Tiada sebarang tarikh pelancaran sebenar untuk Honda HR-V 2022 pasaran Malaysia ini, namun ia disahkan akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Juga tiada sebarang petunjuk rasmi berkenaan harga dinyatakan dalam pengumuman yang dibuat hari ini.

    Dalam artikel berkenaan “apa yang kami tahu” berkenaan Honda HR-V 2022 ini, kami jangkakan bahawa ia akan dijual pada pasaran Malaysia bermula sekitar RM120,000 untuk varian asas, sehingga sekitar RM138,000 untuk model teringgi RS e:HEV. Namum kita masih perlu menunggu pengumuman dari Honda sendiri bagi mengetahui berapa harga sebenar untuk HR-V generasi baharu ini.

     
     
  • Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Selepas hampir empat tahun dan 70,000 unit sudah terjual, Proton X70 kini diberi kemaskin minor change (MC) yang pertama, melibatkan sedikit perubahan penampilan serta pilihan enjin baru. Ini bukanlah facelift yang biasa dilakukan, walaupun model kembarnya, Geely Boyue telah melalui perubahan sebanyak dua kali setakat ini di China (Boyue Pro/2022 Boyue dan Boyue X) sejak versi pasaran Malaysia dilancarkan pada 2018.

    Harganya juga ada perubahan dan naik sedikit. Proton X70 2022 ini datang dalam lima varian, bermula dengan 1.5 Standard 2WD pada RM93,900 hinggalah kepada 1.5 Executive 2WD dengan harga RM105,500. Kembali ke dalam penawaran setlah digugurkan pada 2022 adalah Executive AWD yang dijual pada harga RM111,300 sementara 1.5 Premium pada harga RM117,900.

    Premium X kekal sebagai varian paling tinggi dan lengkap, dan kini dinamakan sebagai 1.8 Premium, dijual pada harga RM121,800. Semua angka ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian SST hingga hujung bulan ini. Jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan lima kali kos buruh percuma untuk servis diberikan secara standard, sama seperti sebelum ini.

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Enjin X50 hampir untuk semua model, kurang output tetapi lebih ringan

    Antara perubahan yang dilakukan kepada X70 2022 ini termasuklah enjin sama yang digunakan oleh X50. Dalam kapasiti lebih kecil, 1.5 liter turbocas tiga-silinder suntikan terus TGDi — walaupun dengan versi output tinggi ini, ia masih kurang berkuasa berbanding janaan enjin 1.8 liter empat-silinder.

    Janaan kuasa 7 PS lebih rendah dengan 177 PS pada 5,500 rpm. Tork pula berkuarangan lebih banyak lagi, sekitar 45 Nm kepada 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Menurut Proton, kekurangan ini tidak akan dirasakan dalam cara pemanduan harian torknya sampai lebih awal serta penjimatan berat sebanyak 43 kg akibat pengurangan satu silinder akan mengimbangi prestasinya.

    X70 2022 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa yang sedikit lebih lama dengan 9.8 saat. Namun, berita baiknya, Proton mendakwa penjimatan minyaknya juga tujuh peratus lebih baik. Model baru ini juga datang dengan penutup enjin dengan penebat bunyi polyurethane untuk memastikan kabinnya senyap. Ciri ini juga dipasangkan di sini buat pertama kali di Tanjung Malim, sebelum ditawarkan untuk model Proton yang lain.

    Kepada yang masih mahukan enjin 1.8 liter, ia masih juga ditawarkan, tetapi hanya dalam varian yang paling mahal. Janaannya kekal sama, 184 PS pada 5,500 rpm dan 300 Nm tork antara 1,750 dan 4,000 rpm.
    Transmisi pula masih menggunakan unit automatik klac basah tujuh kelajuan yang pula diperkenalkan pada model CKD pada 2020.

    Transmisi berkenaan diberi talaan semula untuk disesuaikan bagi model 1.5 liter. Ia kekal sama bagi model 1.8 Premium. Kuasa disalurkan ke roda depan, walaupun pilihan untuk pacuan semua roda ditawarkan semula kali ini — namun ia masih terhad hanya untuk varian pertengahan Executive sahaja.

    Perubahan warna kemasan dan rekaan rim baru, rekaan lain kekal sama

    Dari segi penampilan, bahagian kemasan yang sebelum ini dalam warna kelabu kesat (palang gril Infinite Weave, gelung sudut pada bampar depan, kemasan ruang nombor plat depan dan skid plate hiasan di belakang) kini diberikan penyudah hitam berkilat. Terkecuali adalah bahagian spoiler depan dan ruang inlet udaranya yang diberikan warna perak kesat, dengan kelilingnya dalam warna hitam berkilat dan bukan warna badan. Cermin sisi pula dalam warna Quartz Black; kedua-duanya dibawa dari versi SE tahun lalu.

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Terakhir, dua rekaan rim baru yang diambil dari Boyue Pro di pasaran China. Rim 19-inci pada varian 1.5 dan 1.8 Premium sudah pernah digunakan untuk model SE, tetapi rim 18-inci pada varian Executive belum pernah ditawarkan di Malaysia. Varian Standard pula menggunakan rim 17-inci yang sama seperti sebelum ini. Di dalam, perubahannya tidak banyak, hanya melibatkan penggunaan alas bumbung yang kini dalam warna hitam — selebihnya semua sama.

    Kelengkapan sama, bantuan pemandu hanya untuk Premium

    Senarai kelengkapan dan ciri juga sama. 1.5 Standard masih menggunakan lampu utama halogen dengan lampu isyarat LED, lampu kabus depan LED dengan fungsi lampu selekoh, lampu belakang LED, sistem tanpa kunci, stereng dengan butang multi-fungsi, larasan kerusi manual, kerusi balutan fabrik, kawalan pendingin dwi-zon, brek parkir elektronik, sambungan internet, enam speaker, sensor parkir belakang dan kamera undur.

    Excutive dan Executive AWD ada tambahan lampu utama dan DRL LED, pengilap cermin automatik, balutan kulit tiruan, kerusi dengan liang udara dengan larasan kuasa untuk pemandu, sensor parkir depan, sistem kamera 360-darjah, lapan pembesar suara dan pintu belakang berkuasa.

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    1.5 Premium pula melibatkan pertambahan fungsi bebas-tangan untuk pintu belakang, kerusi balutan kulit Nappa coklat, kerusi penumpang larasan kuasa, empat tingkap “auto”, fungsi kawalan suara tambahan (termasuk untuk buka tingkap) dan sistem Kenwood dengan sembilan pembesar suara. Sama seperti Premium X yang lalu, 1.8 Premium menerima bumbung panoramik.

    Dari sudut keselamatan, X70 datang standard dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan. Hanya model Premium sahaja dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu ADAS. Ciri di dalamnya juga kekal sama dan termsuk AEB, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta, amaran bukaan pintu dan lampu tinggi automatik. Dengan itu, SUV falgship ini masih berada di belakang X50 yang menawarkan ciri pemanduan semi-autonomous Tahap 2 dengan ciri seperti bantuan mengekalkan lorong.

    Berikut perincian spesifikasi mengikut varian:

    Proton X70 1.5 Standard 2WD – RM93,900
    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter TGDi DOHC
    • 1,477 cc turbocas tiga-silinder petrol
    • 177 PS pada 5,500 rpm, 255 Nm dari 1,500 hingga 4,400 rpm
    • Transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan
    • Tiga mod pemanduan – Normal, Eco dan Sport
    • Stereng kuasa elektrik dengan mod Normal dan Sport
    • Brek parkir elektronik
    • Suspensi MacPherson strut (depan), multilink (belakang)
    • Cakera brek berliang (depan), cakera solid (belakang)

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Luaran

    • Lampu projektor halogen automatik dengan lampu isyarat LED
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Lampu kabus depan LED dengan fungsi lampu selekoh
    • Rim aloi 17-inci
    • Cermin sisi kuasa elektrik dan boleh lipat
    • Sistem tanpa kunci

    Dalaman

    • Butang penghidup
    • Stereng balutan kulit hitam dengan butang multi-fungsi
    • Larasan stereng teleskopik dan atas-bawah
    • Paparan instrumen digital tujuh-inci
    • Tingkap kuasa elektronik/ Auto untuk pemandu
    • Kerusi balutan fabrik
    • Kerusi depan larasan manual
    • 60:40 nisbah lipatan kerusi belakang
    • Kawalan pendingin hawa automatik dua zon dengan corong belakang
    • Skrin sentuh infotainmen lapan-inci dengan kawalan suara “Hey Proton”, strim muzik online, navigasi, sambungan telefon pintar, Bluetooth dan 4G Wi-Fi hotspot
    • Proton Link App untuk semak status kenderaan, fungsi kawalan jauh
    • Enam pembesar suara
    • Enam port USB
    • Empat sensor parkir
    • Kamera undur
    • Penutup barang Tonneau
    • Tayar ganti Space saver

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ISOFIX kerusi belakang
    • Anti-lock Braking System (ABS)
    • Electronic Brake Force Distribution (EBD)
    • Brake Assist
    • Auto brake hold
    • Electronic Stability Control (ESC)
    • Kawalan cengkaman
    • Hill Hold Assist (HHA)
    • Hill Descent Control (HDC)
    • Emergency Stop Signal (ESS)

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Proton X70 1.5 Executive 2WD – RM105,500
    Tambahan:

    Luaran

    • Lampu utama projector LED dengan DRL LED
    • Rim 18-inci dua tona

    Dalaman

    • Pengilap automatik
    • Cermin pandang belakang anti-silau
    • Lampu Welcome
    • Kemasan kulit tiruan dengan perincian merah
    • Kerusi pemandu larasan enam-arah
    • Kerusi depan berliang
    • Lapan pembesar suara
    • Dua sensor parkir depan
    • Sistem kamera 360-darjah
    • Pintu belakang kuasa elektrik

    Proton X70 1.5 Executive AWD – RM111,300
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Pacuan semua roda

    Keselamatan

    • Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)

    Proton X70 MC 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L turbocas tiga-silinder, AWD; RM94k hingga RM122k

    Proton X70 1.5 Premium 2WD – RM117,900
    Tambahan:

    Luaran

    • Rim 19-inci dua tona warna

    Dalaman

    • Stereng balutan kulit Nappa hitam
    • Tingkap Auto untuk semua tingkap
    • Kerusi balutan Nappa coklat
    • Larasan kuasa untuk lumbar pemandu, larasan empat arah bagi kerusi penumpang denpan
    • Fungsi arahan suara tambahan bagi sistem infotainmen
    • Sistem bunyi Kenwood sembilan pembesar suara (dengan amplifier dan subwoofer)
    • Empat sensor parkir depan
    • Pintu barangan kuasa elektrik dan kendalian bebas tangan

    Keselamatan

    • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
      • Autonomous Emergency Braking (AEB)
      • Forward Collision Warning (FCW)
      • Adaptive Cruise Control (ACC)
      • Lane Departure Warning (LDW)
      • Blind Spot Information System (BLIS)
      • Door Opening Warning (DOW)
      • Intelligent High Beam Control (HBC)

    Proton X70 1.8 Premium 2WD – RM121,800
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Enjin 1.8 liter TGDi DOHC
    • 1,799 cc turbocas empat-silinder petrol
    • 184 PS pada 5,500 rpm, 300 Nm dari 1,750 hingga 4,400 rpm

    Luaran

    • Bumbung panoramik
    • Filem penapis haba

    Proton X70 MC 2022 1.5 TGDi Executive AWD

    Proton X70 MC 2022 1.5 TGDi Premium 2WD

    Proton X70 MC 2022 1.5 TGDi Premium 2WD — Pilihan Warna

     
     
  • Puspakom umum pelaksanaan transaksi tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Julai 2022 di semua cawangannya

    Puspakom umum pelaksanaan transaksi tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Julai 2022 di semua cawangannya

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan mulai 1 Julai 2022, kesemua 54 pusat pemeriksaannya di seluruh negara akan melaksanakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya bagi bayaran untuk semua jenis pemeriksaan kenderaan.

    CEO Puspakom, Shukor Ismail berkata, peralihan kepada transaksi urus niaga tanpa tunai ini dilihat dapat menjimatkan masa, selain lebih selamat dan selaras dengan aspirasi Puspakom untuk mendigitalisasikan sepenuhnya urusan di semua cawangan. Di mana pelanggan boleh membuat bayaran secara dalam talian iaitu melalui pilihan e-dompet, kad debit atau kad kredit.

    “Sejak April tahun lalu, pembayaran tanpa tunai serta pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit secara elektronik tanpa kertas sememangnya telah dilaksanakan. Namun pembayaran secara tunai masih lagi dibenarkan ketika itu, atas pertimbangan masih ada sebilangan kecil pelanggan yang tidak memiliki e-dompet, kad debit atau kredit.

    “Data bagaimanapun menunjukkan lebih 90% pelanggan Puspakom kini menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan kami. Ini jelas menunjukkan kaedah pembayaran tanpa tunai ini menjadi pilihan kerana ia lebih mudah dan cepat. Di waktu pandemik seperti sekarang, ia juga lebih selamat dari segi kebersihan”, kata Shukor.

    Untuk itu, Puspakom kini menerima pembayaran melalui pelbagai pilihan e-dompet termasuk PUSPAKOM e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara.

    Malahan sejak 2017 lagi Puspakom telah mula menerima pembayaran secara dalam talian, antaranya ialah melalui kad debit atau kredit, FPX dan PUSPAKOM e-wallet bagi semua janji temu pemeriksaan kenderaan yang dibuat melalui sistem MyPUSPAKOM.

     
     
  • Ducati Streetfighter V2, V4 SP tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM101,900 dan RM239,900

    Ducati Streetfighter V2, V4 SP tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM101,900 dan RM239,900

    Dua versi baru bagi model naked Ducati Streetfighter kini sudah tiba di Malaysia, iaitu Streetfighter V2 dan Streetfighter V4 SP. Melihat kepada barisan Streetfighter yang ada, kedudukan dua versi ini agak jauh kerana Streetfighter V2 adalah versi paling asas, sementara Streetfighter V4 SP pula adalah versi paling atas. Harganya masing-masing adalah RM101,900 dan RM239,900.

    Daripada namanya, kita sudah boleh tahu bahawa Streetfighter V2 menggunakan enjin Superquadro V2 955 cc yang mampu menghasilkan 153 hp pada 10,750 rpm dan 101.4 Nm tork pada 9,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan quickshifter yang didatangkan standard, tetapi nisbah pacuan akhirnya (sprocket) telah ditukar kepada 15/45 berbanding 15/43 pada Panigale V2. Lengan ayun Streetfighter V2 ini juga adalah 16 mm lebih panjang untuk memberikan lebih stabiliti.

    Sebagai varian permulaan bagi modelnya, Streetfighter V2 dipasang suspensi yang terdiri daripada fork Showa BPF 43 mm di hadapan dan monoshock Sachs di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya, dan menurut Ducati, disediakan supaya boleh disesuaikan dengan keselesaan tunggangan atas jalan biasa dan boleh dilaras apabila perlu untuk tunggangan atas litar.

    Brek adalah sama seperti Panigale V2, iaitu set berkembar Brembo Monobloc M4.32 bersama cakera 320 mm di hadapan, dan cakera 245 mm dengan angkup dua piston di belakang. Bagi menyesuaikan motosikal ini dengan tunggangan atas jalan biasa, pad breknya telah ditukar kepada jenis yang kurang agresif tetapi masih memberikan rasa dan prestasi yang baik.

    Fungsi elektronik pada motosikal ini juga ada pelbagai, dengan termasuk tiga mod tunggangan, Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Engine Brake Control (EBC) EVO dan Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2. Model ini juga datang dengan semua lampu jenis LED serta steering damper Sachs. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 178 kg.

    Pergi kepada Streetfighter V4 SP, ia nampak berbeza dengan yang utama, warna gelap yang sebenarnya mendapat inspirasi daripada jentera ujian pra musim MotoGP dan SBK Championship. Menjadikannya lebih garang, ia ditambah dengan pelbagai bahagian gentian karbon termasuk fender hadapan, sayap biplane, pelindung tumit serta pelindung klac.

    Ducati Streetfighter V2, V4 SP tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM101,900 dan RM239,900

    Sebagai model V4, Streetfighter V4 SP ini menggunakan enjin Desmosedici Stradale V4 1,103 cc yang berkuasa 208 hp pada 13,000 rpm dan 123 Nm tork pada 9,500 rpm, sama seperti Streetfighter V4 S, tetapi transmisi enam kelajuan dengan quickshifter DQS EVO 2 padanya telah dinaik taraf dengan klac slipper jenis kering.

    Kemudiannya, ia dipasang dengan suspensi elektronik yang terdiri daripada fork Ohlins NIX30 40 mm dan monoshock Ohlins TTX36 yang kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya. Steering damper juga menggunakan unit daripada Ohlins. Brek masih lagi adalah set berkembar cakera 330 mm dengan angkup Brembo Monobloc Stylema di hadapan dan cakera 245 mm tunggal bersama angkup dua piston di belakang.

    Pada bahagian keselamatan dan elektronik, ia dilengkapi dengan mod tunggangan dan kuasa, Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Slide Control (DSC), Engine Brake Control (EBC) EVO, kalibrasi tayar automatik, Ducati Power Launch serta Ducati Quick Shift EVO 2.

    Mengikut spesifikasi asal, Streetfighter V4 SP mencatat berat 177 kg, tetapi kami menjangkakan bagi unit yang dipasarkan di Malaysia ia akan bertambah sedikit kerana tidak menggunakan rim gentian karbon. Ia sebaliknya diganti dengan rim forged Marchesini.

    GALERI: Ducati Streetfighter V4 SP 2022


    GALERI: Ducati Streetfighter V2 2022

     
     
  • Proton X70 MC 2022 akan dilancarkan secara rasmi esok, 9 Jun – siaran langsung di Facebook, 11 pagi

    Proton X70 MC 2022 akan dilancarkan secara rasmi esok, 9 Jun – siaran langsung di Facebook, 11 pagi

    Proton X70 MC 2022, iaitu versi kemaskini terkini untuk SUV segmen-C berkenaan akan dilancarkan secara rasmi esok, 9 Jun dan ia bakal disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook bermula pukul 11 pagi. Sebelum itu, Proton telah sekali lagi menyiarkan teaser untuk kali terakhir menunjukkan bahagian belakang model tersebut.

    Dari imej-imej teaser yang disiarkan setakat ini, nampaknya hampir pasti bahagian hadapan dan belakang X70 MC ini menampilkan rupa yang masih sama seperti model sedia ada – sesuai dengan namanya, MC yang bermaksud Minor Change. Ia juga menerima rim 19-inci dengan rekaan sama seperti model edisi terhad X70 SE yang dihasilkan hanya 2,000 unit tahun lalu.

    Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa model kemaskini ini akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang sama seperti X50. Ini juga bukan perkara baharu kerana X70 yang dieksport untuk ke pasaran luar seperti Pakistan dan Nepal sememangnya hanya ditawarkan dengan enjin tersebut bermula pada lewat 2020.

    Apa yang belum pasti, adakah Proton masih akan menawarkan enjin 1.8 liter empat silinder turbo pada model sedia ada untuk versi kemaskini ini, atau ia hanya akan tampil dengan enjin 1.5 liter sahaja. Walaupun kedua-dua enjin tersebut dibezakan dengan kapasiti sekitar 300 cc, kuasa yang dihasilkan tidak banyak beza.

    Proton X70 MC 2022 akan dilancarkan secara rasmi esok, 9 Jun – siaran langsung di Facebook, 11 pagi

    Enjin 1.8 liter TGD-I pada model sedia ada menjana 184 PS dan tork maksima 300 Nm, manakala enjin 1.5 liter TGD-I pada X50 dan X70 pasaran eksport pula mnghasilkan 177 PS dan 255 Nm dengan kelebihan berat yang dapat dikurangkan. Kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT seharusnya terus digunakan.

    Namun menerusi imej-imej intipan sebelum ini, X70 berkemungkinan akan ditawarkan semula dengan sistem pacuan semua roda. Sistem berkenaan sebelum ini telah pun ditawarkan pada model-model awalan X70 CBU sejak ia dilancarkan pada 2018, namun ia tidak lagi diberikan pada mana-mana varian selepas versi CKD dilancarkan pada 2020.

    Jadi kalau nak tahu apa perubahan sebenar untuk Proton X70 MC 2022 ini, jangan lupa saksikan siaran langsung pelancarannya esok pada pukul 11 pagi, atau tunggu laporan bertulis dari kami.

     
     
  • DBKL larang e-skuter digunakan di Dataran Merdeka

    DBKL larang e-skuter digunakan di Dataran Merdeka

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan larangan penggunaan skuter elektrik (e-skuter) di sekitar Dataran Merdeka, memandangkan ia adalah sebahagian dari jalan awam dan tidak diwartakan untuk aktiviti berkenaan. Malahan, katanya, keputusan itu selaras dengan arahan kerajaan bahawa tiada kenderaan mikromobiliti, termasuk e-skuter, dibenarkan di jalan awam.

    Dalam laporan Bernama menyebut, DBKL turut menyita dua unit e-skuter yang digunakan untuk disewa kepada orang ramai memandangkan aktiviti ini tidak dibenarkan. “Tiada kebenaran diberikan oleh DBKL untuk aktiviti ini. Anggota penguat kuasa juga telah membuat laporan polis terhadap pengendali yang menghalang tugas penjawat awam, manakala skuter elektrik yang disita itu dibawa ke Stor Rampasan DBKL di Jalan Lombong, Cheras,” kata DBKL itu dalam satu kenyataan.

    Pada 26 April lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kenderaan mikromobiliti adalah dilarang digunakan di jalan raya. Menurut kementerian terbabit, kenderaan mikromobiliti dirujuk sebagai kenderaan yang dijanakan oleh elektrik elektrik, enjin pembakaran dalaman, atau kuasa manusia, atay gabungan kuasa manusia dengan mana-mana enjin yang disebut itu, dengan kelajuan maksimum mencecah 50 km/j.

    DBKL larang e-skuter digunakan di Dataran Merdeka

    Larangan tersebut membabitkan Moped, Personal Mobility Devices (PMD – contoh e-skuter, hoverboard, skateboard dan kick scooter) dan Personal Mobility Aids (PMA – cotnoh kerusi roda bermotor, skuter mobiliti). Wee berkata, penggunaan tiga kategori kenderaan mikromobiliti ini masih dibenarkan di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.

    Tambah beliau, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

    “Kami mahu menguatkuasakan perkara ini kerana semakin banyak kenderaan mikromobiliti digunakan di jalan raya sejak kebelakangan ini. Ia boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada pengguna kenderaan mikromobiliti tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” kata Wee.

     
     
  • Harga minyak 9-15 Jun – RON97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 9-15 Jun – RON97 naik 2 sen seliter

    Untuk minggu bertarikh 9 hingga 15 Jun 2022, Kementerian Kewangan telah memaklumkan harga runcit bagi petrol RON 97 akan dinaikkan sebanyak 2 sen seliter, iaitu menjadi RM4.72 seliter, selepas dua minggu berturut-turut harganya kekal pada RM4.70 seliter.

    Harga baharu yang diumumkan ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan 15 Jun 2022.

    Untuk petrol RON 95 pula, harganya yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang juga masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Naza Ria Design Concept — bayangan semula antara MPV terawal di M’sia; saingi rekaan Alphard, Vellfire

    Naza Ria Design Concept — bayangan semula antara MPV terawal di M’sia; saingi rekaan Alphard, Vellfire

    Ingat lagi dengan Naza Ria? Itu MPV pertama yang dipasang dan dijual untuk pasaran tempatan dan pernah mendapat sambutan ramai. Lama menghilang, dan kemudian dengan kehadiran banyak lagi model yang lebih canggih dan popular selepas itu menyebabkan MPV besar ini makin dilupakan.

    Disebabkan itu jugalah Saharuddin Design membayangkan semula model terbabit dalam suasana dan perkembangan semasa dan juga masa depan. Sebagai seorang yang menurutnya pernah terlibat dalam projek berkenaan dahulu dan menghasilkan rekaan logo Naza, bampar depan dan juga bahagian gril model lama itu, rekaan bayangan yang terbaru ini adalah semacam satu penghormatan buat MPV berkenaan.

    Melihat kepada saiz dan arah tuju rekaan “kotak” yang besar, sangat jelas bahawa Naza Ria Concept ini ingin bermain dan mencabar segmen MPV mewah yang di dominasi oleh Toyota Alphard dan Vellfire, yang sudah terlalu banyak berada di atas jalan raya.

    Naza Ria Design Concept — bayangan semula antara MPV terawal di M’sia; saingi rekaan Alphard, Vellfire

    Disebabkan itu juga bahagian bampar depannya kelihatan luas dengan rekaan lampu utama yang kecil dan tirus — pendekatan rekaan yang sama pada Aplphard, tetapi diberikan sentuhan kelainan. Kemasan krom yang banyak mungkin sedikit mengganggu, begitu juga dengan kedudukan logo utama yang agak besar pada bampar, dan nama Naza Kia di depan sedikit menjadikan rekaanya sedikit sibuk.

    Rekaan landai dari bahagian hud depan dan cermin utama dan membawa ke bumbung bagaimanapun nampak yakin dan menarik. Tambahan pula bahagian tengah tiang A dalam warna hitam, itu memberikan suntikan imej elegan dan sporty sekaligus. Jalur krom pada bahagian bumbung pula memperlihatkan ilusi garis nyata yang lebih rendah, berbeza dengan kedudukan sebenar bumbungnya — juga satu pendekatan yang menarik.

    Naza Ria Design Concept — bayangan semula antara MPV terawal di M’sia; saingi rekaan Alphard, Vellfire

    Dua gari bahagian sisinya, satu garis bahu dan satu garis badan, dalam lengkungnya yang bukan standard menjadikan visual bahagian tepi MPV nampak agak aneh. Elemen berkenaan terlalu ketara disebabkan ruang yang luas terbentang pada sisi kenderaan ini. Kelainan itu diikuti juga oleh rekaan tingkapnya yang hadir dengan potongan yang tidak konvensional juga. Cermin sisi menampilkan kelainan dengan menerapkan bentuk bersegi, serta bahagian pemegang pintu yang tersorok mengemaskan lagi penampilan MPV ini. Rekaan rim dengan bilah perak-hitam juga nampak serasi dengan imej yang ada.

    Bahagian belakang pula lebih rata, dengan elemen utamanya adalah garis melintang, seperti apa yang dapat dilihat pada rekaan jalur krom, lampu belakang dengan dua jalur merah serta elemen sama pada bampar dengan jalur krom dan bahagian hitamnya. Jika ini bayangan kepada rekaan MPV yang lahir dari Malaysia sendiri, adakah ia punya potensi untuk diterima umum?

     
     
  • Mitsubishi ASX 2023 akan didedahkan Sept ini – ada pilihan enjin turbo, hibrid & PHEV, sehingga 160 hp!

    Mitsubishi ASX 2023 akan didedahkan Sept ini – ada pilihan enjin turbo, hibrid & PHEV, sehingga 160 hp!

    Selepas Mitsubishi mengumumkan bahawa SUV kompak ASX akan muncul dalam versi generasi baharu Januari lalu, kini jenama berkenaan sudah pun membuat beberapa pendedahan berkenaan beberapa perincian dan spesifikasi model tersebut.

    Mitsubishi Motors mengesahkan bahawa ASX 2023 ini akan menampilkan versi dengan enjin petrol sepenuhnya, versi hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV). Kesemua pilihan ini akan terus diperkenalkan ketika ianya dilancarkan pada September ini, dan ia akan mula dijual di Eropah bermula pada musim bunga tahun hadapan.

    Model pasaran Eropah ini akan ditawarkan dalam empat varian. Ia bermula dengan varian 1.0L MPI-T dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 97 hp digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, diikuti ASX 1.3L DI-T dengan enjin 1.3 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus – dua pilihan kotak gear disediakan untuk varian ini; enam-kelajuan manual mendapat talaan 140 hp dan klac berkembar automatik tujuh-kelajuan mendapat talaan 158 hp.

    Manakala versi hibrid diwakili varian ASX 1.6L Hybrid yang menampilkan enjin petrol 1.6 liter bersama dua motor elektrik dan bateri 1.3 kWj, memberikan kuasa keseluruhan 145 hp.

    Mitsubishi ASX 2023 akan didedahkan Sept ini – ada pilihan enjin turbo, hibrid & PHEV, sehingga 160 hp!

    Varian paling tinggi adalah ASX 1.6L Plug-in Hybrid yang dijana oleh enjin 1.6 liter bersama sistem plug-in hybrid yang menampilkan bateri 10.5 kWj, transmisi multi-mode dengan kuasa keseluruhan 160 hp. Mitsubishi juga menyatakan bahawa dengan varian tersebut membolehkan mereka menawarkan teknologi PHEV dalam kelas segmen-B buat pertama kali.

    Sebelum ini Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi ada menyatakan bahawa ASX generasi baharu ini akan menggunakan asas “model terlaris Renault”. Dengan perincian-perincian yang didedahkan ini nampaknya hampir pasti ASX adalah kembar kepada Renault Captur generasi terkini kerana unit rangkaian kuasa serta angka prestasi yang diumumkan adalah seiras dengan SUV segmen-B yang dibangunkan dengan platform CMF-B tersebut.

    Sebelum ini ramai yang menyangka bahawa Mitsubishi akan menggantikan ASX dengan Eclipse Cross, kerana kedua-dua SUV tersebut dihasilkan dalam saingan segmen-B. Namun ketika Eclipse Cross dijual, ASX masih ditawarkan dalam pasaran walaupun sudah diperkenalkan sejak 2010 dan diberikan versi facelift terakhir pada tahun 2019.

     
     
  • Pengecualian SST beri manfaat buat industri auto, tapi terpulang pada MoF untuk lanjutkan atau tidak – Wee

    Pengecualian SST beri manfaat buat industri auto, tapi terpulang pada MoF untuk lanjutkan atau tidak – Wee

    Pengecualian cukai jualan (SST) yang sedang berlangsung untuk kenderaan baharu bakal berakhir pada 30 Jun 2022, dan setakat ini, tiada lagi khabar berita mengenai tempoh lanjutan skim ini, biar pun ada permintaan. Bulan lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk lanjutan tempoh pengecualian SST, namun sehingga kini tiada maklum balas mengenainya.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong turut memberikan pandangan beliau mengenai perkara ini, mengikut laporan The Star. Dalam sesi Q&A susulan pelancaran ACO ATLAS semalam, beliau berkata, pengecualian cukai tersebut dilihat memberikan manfaat buat industri automotif.

    Walau bagaimana pun, beliau difahamkan MoF mempunyai pertimbangan kewangan sendiri untuk dibuat, dan oleh itu, beliau menjelaskan bahawa keputusan sama ada untuk meneruskan lagi skim itu terserah kepada kementerian terbabit.

    Beliau berkata lagi, pengecualian cukai jualan sebanyak 100% bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi kereta import sepenuhnya (CBU) banyak membantu industri sepanjang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19. “Jika tidak, situasi ini pasti menjadi lebih sukar buat syarikat pengedar kenderaan untuk bertahan sepanjang pandemik,” katanya.

    Pengecualian SST beri manfaat buat industri auto, tapi terpulang pada MoF untuk lanjutkan atau tidak – Wee

    Sambungnya lagi, “Insentif terbabit mampu melonjakkan lagi sektor ekonomi dan fasa pemulihan kita, dan Kementerian Pengangkutan melihat ini melalui transaksi di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira keupayaan kewangan negara dan untuk itu, saya serahkan kepada budi bicara kementerian kewangan.”

    Wee berkata beliau akan berkongsi pendapatnya dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. “Saya akan membincangkan perkara ini apabila saya bertemu dengannya tidak lama lagi. Sebagai Menteri Pengangkutan, saya merasakan skim pengecualian itu telah memberi manfaat kepada perniagaan dan pengedar kereta. Mereka dapat mengekalkan perniagaan mereka dan tidak perlu membuang pekerja.

    “Tetapi apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan akan disokong oleh Kementerian Pengangkutan, kerana kami adalah sebahagian daripada kerajaan yang sama. Ia adalah keputusan dan tanggungjawab bersama,” tambahnya.

    Pengecualian SST pertama kali diumumkan pada 5 Jun 2020 sebagai sebahagian daripada pakej PENJANA untuk mengurangkan impak perintah kawalan pergerakan pertama, yang dilaksanakan dari Mac tahun itu. Pada asalnya, pengecualian SST itu berakhir pada 31 Disember tahun yang sama, namun ia dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021, dan sekali lagi pada 31 Disember 2021. Lanjutan kali ketiga, yang merupakan pengecualian terkini, diumumkan ketika pembetangan Bajet 2022.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025