Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 2-8 Jun – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 2-8 Jun – semuanya dikekalkan

    Selepas beberapa minggu harga petrol RON 97 mencanak naik, untuk minggu pertama bulan Jun iaitu bertarikh 2 hingga 8 Jun 2022, harganya dilaporkan kekal seperti minggu sebelum ini iaitu pada paras RM4.70 seliter.

    Begitu juga dengan harga untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Malahan harga diesel Euro B10/B20 yang juga masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, Malaysia dijangka perlu menampung jumlah subsidi lebih tinggi bagi tahun 2022 yang mencecah RM71 bilion dengan subsidi bahan api sahaja berjumlah RM30 bilion berikutan kenaikan harga minyak mentah. Malahan ada beberapa pihak menyarankan supaya kerajaan memperkenalkan subsidi bahan api bersasar untuk golongan rentan dan B40 sahaja.

     
     
  • Volvo XC40 2022 di Malaysia – harga naik sehingga RM3.8k; varian PHEV dapat sistem Harman Kardon

    Volvo XC40 2022 di Malaysia – harga naik sehingga RM3.8k; varian PHEV dapat sistem Harman Kardon

    Volvo Malaysia telah mengumumkan harga bagi model XC40 untuk pasaran tempatan telah disemak semula. Ia melibatkan varian bukan-EV iaitu T5 R-Design dan Recharge T5 R-Design, di mana harganya sedikit tinggi berbanding sebelum ini.

    Bermula dengan T5 R-Design, harga sebelum ini ialah RM231,651 bersama insurans dan termasuk dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Ia adalah harga yang disemak semula selepas memperkenalkan Recharge T5 R-Design pada Februari lalu.

    Untuk harga terkini yang diumumkan, varian bukan plug-in hybrid tersebut berharga RM233,710.82, iaitu RM2,059.82 lebih tinggi berbanding senarai harga pada Februari 2021. Sementara itu, Recharge T5 R-Design kini berharga RM245,818.90 atau lebih RM3,821.86 berbanding harga sebelum ini pada RM241,997.04.

    Perubahan harga ini turut didatangkan dengan beberapa semakan semula pada kelengkapan standard. Di mana kini kedua-dua varian tidak lagi didatangkan dengan fungsi private locking untuk glove box dan tailgate, tailgate berkuasa dengan operasi bebas-tangan dan soket kuasa 12-voltan pada bahagian but. Ditambah pula dengan perehat tangan tempat duduk belakang bagi kedua-dua varian.

    Selain itu, Recharge T5 R-Design masih didatangkan dengan roda aloi 19-inci, tetapi kini dengan rekaan potongan berlian hitam lima-jejari berbanding potongan berlian lima-jejari berkembar – tetapi masih berkongsi roda yang sama seperti sebelum ini. Ciri tambahan yang diberikan untuk varian PHEV pula termasuklah sistem bunyi Harman Kardon 600-watt dengan 14-pembesar suara, berbanding sistem audio prestasi tinggi 250-watt dengan lapan-pembesar suara.

    Warna luaran yang ditawarkan untuk XC40 kini merangkumi Crystal White Pearl, Black Stone, Glacier Silver Metallic, Denim Blue Metallic dan Thunder Grey Metallic, dengan dua warna yang terakhir disebut itu adalah bagi menggantikan Bursting Blue Metallic dan Coral Red Metallic yang ditawarkan sebelum ini.

    Klik untuk besarkan

    Selain daripada perubahan yang dinyatakan ini, spesifikasi lain masih dikekalkan seperti sebelum ini. Di mana Recharge T5 masih kekal dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol dengan hambura kuasa 180 PS (178 hp) dan tork 265 Nm.

    Ia dipadankan dengan motor elektrik dengan kadar kuasa 82 PS (81 hp) dan 160 Nm, yang digabungkan bersama enjin dan transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan, menghasilkan keseluruhan sistem kuasa mencecah 262 PS (258 hp) dan 425 Nm. Motor elektrik dikuasakan oleh bateri lithium-ion 10.7-kWh yang boleh memberikannya jarak sehingga 44 km bagi pemanduan elektrik sepenuhnya.

    Bagi T5 R-Design pula, ia masih diberikan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 252 PS (249 hp) dan 350 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda. Waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had masih diberikan secara standard, dan varian PHEV turut diberikan waranti bateri sehingga lapan-tahun/160,000 km.

     
     
  • BMW iX1 2022 didedah – EV yang ditawarkan dalam varian xDrive30, AWD, 313 PS, jarak gerak 438 km

    BMW iX1 2022 didedah – EV yang ditawarkan dalam varian xDrive30, AWD, 313 PS, jarak gerak 438 km

    Sekarang ini nampaknya hampir semua model baru BMW akan ditawarkan dengan versi elektrik penuh, dan ia juga berlaku pada X1 U11 generasi ketiga, apabila syarikat itu memperkenalkan iX1. Ia adalah versi elektrik penuh bagi SUV permulaan BMW tersebut, dan merupakan model kelima dalam barisan kenderaan elektrik yang dihasilkan menggunakan asas model biasa, selepas iX3, i4, i3 dan i7.

    Sama seperti model yang disebutkan tadi, iX1 menggunakan motor eDrive generasi kelima, menggantikan enjin biasa dan transmisi X1. Hanya satu varian yang diperkenalkan sewaktu pelancarannya, iaitu xDrive30, dan ia dipacu oleh satu motor untuk setiap gandar, menghasilkan pacuan semua roda dan jumlah kuasa keseluruhan 200 kW (272 PS) dan tork 494 Nm.

    Fungsi boost sementara dapat meningkatkan lagi kuasa sebanyak 30 kW (41 PS) sewaktu memecut kuat, menjadikan keseluruhannya 230 kW (313 PS), dan membenarkan iX1 ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 180 km/j. Di kalangan semua model yang disebutkan tadi juga, iX1 mempunyai bateri paling kecil, iaitu 64.7 kWh, tetapi masih boleh menyediakan jarak gerak antara 413 ke 438 km.

    Menggunakan kuasa AC, iX1 boleh dicas sehingga 11 kW dan memenuhkan baterinya dalam masa enam jam setengah, sementara apabila menggunakan kuasa 22 kW, masanya dipendekkan menjadi tiga jam 45 minit. Selain itu, ia juga boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 130 kW, yang dapat menaikkan kuasa bateri dari 10 ke 80% dalam masa 29 minit, dan memberikan jarak gerak 120 km selepas hanya dicas 10 minit.

    BMW iX1 2022 didedah – EV yang ditawarkan dalam varian xDrive30, AWD, 313 PS, jarak gerak 438 km

    Seperti juga kebanyakan EV lain, iX1 menggunakan sistem penjanaan semula kuasa brek untuk menambah lagi jarak geraknya, dengan sistem adaptif tersebut dapat mengambil data daripada sistem navigasi dan sensor sistem bantuan pemandu. Antara contoh tindakannya adalah memperlahankan kenderaan secara sendiri tanpa pemandu menekan pedal brek apabila mengesan terdapat bulatan atau kenderaan di hadapan.

    Bahagian lain kenderaan adalah sama seperti X1 biasa, dengan berkongsi struktur asas, rekaan serta teknologi baru. Walaupun begitu, ada beberapa bahagian yang unik untuk iX1, seperti kemasan biru pada bucu bampar dan skirting, tiada ekzos dan gril yang tertutup. Kecekapan aerodinamik iX1 adalah 0.26 Cd, dan ia dapat dicapai melalui rekaan bahagian seperti spoiler belakang, diffuser serta bawah badan yang tertutup.

    Di dalam, iX1 mendapat rekaan seperti 2 Series Active Tourer U06, dengan corong pendingin hawa yang besar di tengah dan menghadap penumpang hadapan. Telefon boleh diletakkan menegak sambil dicas pada pengecasi Qi tanpa wayar (pilihan tambahan), sementara penukar gear menggunakan rekaan seakan tuil.

    Tiada lagi tombol iDrive, dan sistem infotainmen hanya boleh dikawal menggunakan skrin sesentuh 10.7 inci di tengah. Ia menjadi sebahagian daripada panel Curved Display yang turut bersambung dengan panel instrumen 10.25 inci dan dikuasakan oleh BMW Operating System 8.

    Turut diberikan standard adalah sistem navigasi BMW Maps berasaskan cloud, dengan ciri spesifik untuk iX1 seperti laluan yang dioptimakan untuk pengecasan (jika perlu) serta informasi tambahan berkenaan tempat mengecas.

    Meskipun bateri iX1 berada di bawah lantai, ia masih menyediakan ruang simpanan belakang yang kurang berbanding model X1 petrol dan diesel, iaitu 490 liter (-50 liter). Apabila tempat duduk belakang dibaringkan, ia menyediakan kapasiti 1,495 liter, sementara pilihan tempat duduk yang boleh dilungsurkan tidak disediakan untuk model elektrik ini.

     
     
  • RON95 vs RON97 — penjelasan daripada jurutera enjin

    RON95 vs RON97 — penjelasan daripada jurutera enjin

    Dengan kenaikan harga petrol RON97 untuk pasaran tempatan sejak beberapa minggu lalu, yang menjadikan perbezaan harganya dengan RON95 makin ketara, pertanyaan tentang perbezaan RON muncul kembali. Ramai yang tertanya-tanya, sebenarnya untuk kereta mereka, RON mana yang paling sesuai. Kami di pualtan.org juga sudah kerap menulis tentang ini, misalnya dalam artikel penggunaan RON95 vs RON97 ini.

    Tetapi kali ini kami alihkan pula perhatian anda kepada perkongsian dan perbincangan yang berlangsung di laman Facebook Dr. Aid Fawzal, seorang jurutera tempatan yang kini bertugas di UK, yang telah menjemput pula Ir. Fadzil ZA, seorang Jurutera Analisa Prestasi Enjin yang kini menjadi pensyarah di UTHM untuk berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan perkara ini.

    1. Apa itu RON?

    RON adalah singkatan bagi Research Octane Number. Ia adalah ukuran kebolehrintangan minyak petrol terhadap “knocking”.”Knocking” pula adalah kejadian letupan tidak terkawal yang berlaku di dalam kebuk pembakaran. Dan kejadian “knocking” ini tidak memberikan kuasa yang positif malah boleh membawa kecelakaan kepada enjin.

    2. Apa beza RON 95/97/100?

    Sebenarnya nilai tenaga (calorific value) untuk petrol dengan RON 95 atau RON 97 atau RON 100 semua lebih kurang sama. Yang membezakannya adalah kualiti melawan sifat “knocking” (anti-knock quality). Dengan itu, tiada isu RON mana yang lagi “power”. Ini kerana kandungan tenaganya sama sahaja. Yang bagi lebihan kuasa itu adalah bagaimana enjin menggunakan kelebihan bahan bakar tersebut secara efektif.

    RON95 vs RON97 — penjelasan daripada jurutera enjin

    3. Apakah kaitan antara RON dengan enjin?

    Pertama sekali, RON berkadar langsung dengan nisbah mampatan (compression ratio) dan bukannya saiz atau kapasiti enjin (cc, cubic centimetres atau L, liter).

    Zaman dahulu, penggunaan RON95/RON97 memang berkait rapat dengan nisbah mampatan enjin.

  • Nisbah mampatan rendah = guna RON 95
  • Nisbah mampatan tinggi = guna RON 97/100
  • Namun kini lain. Disebabkan perkembangan teknologi yang semakin kompleks dan canggih, enjin kereta sudah mampu ubah talaan mengikut RON yang digunakan. Dengan itu, nilai RON sudah kurang perkaitannya dengan nisbah mampatan. Apa pun, peraturan umum RON dengan nisbah mampatan ini harus diamati kerana enjin-enjin dengan teknologi lama/rendah masih kuat kebergantungannya. Manakala untuk enjin moden, tidak lagi. Contohnya enjin Mazda Sky-Activ G. Enjinnya aspirasi natural dengan nisbah mampatan setinggi 14:1. Secara am, ia sepatutnya menggunakan RON100, tetapi tidak. Dengan kecanggihan reka bentuk kebuk pembakaran dan talaan, ia hanya perlukan RON95 tanpa sebarang masalah.

    4. Kenapa enjin moden kurang sensitif dengan RON?

    Sebab utama enjin moden tidak lagi sensitif dengan RON adalah kerana kemajuan Engine Control Unit (ECU). ECE moden membenarkan enjin beroperasi dalam julat (range) RON yang berbeza. Contohnya bermula daripada RON85 sehingga RON100. ECU moden dapat mengadaptasi nilai semburan bahan api dan “ignition” berdasarkan kualiti pembakaran bagi mengelakkan “knocking” berlaku.

    RON95 vs RON97 — penjelasan daripada jurutera enjin

    5. RON yang tinggi sesuai untuk enjin apa?

    RON yang tinggi lebih sesuai untuk digunakan bagi enjin yang menggunakan induksi paksaan (forced induction) seperti supercharger (SC) atau turbocharger (TC). Ini kerana enjin yang ada SC/TC lebih terdedah kepada “knocking” disebabkan angin yang masuk bertekanan dan bersuhu tinggi. RON yang tinggi lebih sesuai kerana ia dapat mengurangkan atau mengelakkan berlakunya “knocking” yang akan menyebabkan kemerosotan prestasi dan juga bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin.

    6. Jadi, adakah semua enjin SC/TC perlu guna RON tinggi?

    Tidak, sebab ECU moden mempunyai talaan untuk beroperasi dalam julat RON yang berbeza. Contohnya julat di antara RON 87 ke RON 100. Pun begitu, kadar prestasi optimum dan penggunaan bahan api yang terbaik akan terhasil pada tahap RON yang disarankan dalam buku manual/buku spesifikasi kereta anda.

    7. Apa kesan guna RON luar daripada julat (range) yang dibenarkan?

    Katakanlah sebuah enjin itu ditala untuk gunakan julat RON 87 ke RON 100. Jika kita gunakan RON80, ECU akan hanya mampu gunakan “mapping” untuk RON87 sahaja. Dengan itu, kemungkinan untuk enjin anda “knocking” teruk boleh berlaku kerana ECU tidak dapat mengawal sebaiknya. Begitu juga jika anda gunakan minyak perlumbaan seperti RON 110 ke dalam enjin standard kereta anda. ECU hanya akan gunakan talaan yang sesuai untuk RON100. Maka, tiada kelebihan yang akan diperoleh jika kita gunakannya.

    8. Sesuai ke RON97/RON100 untuk kereta cc rendah?

    Seperti yang dijelaskan sebelumnya, pemilihan nak guna RON yang mana bukanlah bergantung kepada saiz enjin atau cc. Tetapi itu sebaliknya berdasarkan reka bentuk enjin dengan landasan nisbah mampatan. Jika mampu, silakan.

    9. Mana satu lebih jimat? RON rendah atau RON tinggi?

    Hal ini perlu merujuk kepada unit ukuran. Kebanyakannya bila kita buat kiraan penjimatan hanya agak-agak atau hanya lihat berapa jarak perjalanan. Boleh lihat tulisan Dr. Aid sebelum ini yang menisbahkan jarak perjalanan dengan harga isian petrol untuk dapatkan kepastian adakah kereta anda jimat bila gunakan RON yang berbeza.

    10. Kesimpulan

    Gunalah RON yang sesuai dengan enjin kenderaan anda mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Namun, jika anda mahu guna RON yang berbeza, ini tidak akan merosakkan enjin anda secara langsung.

    Kuncinnya adalah:

  • Enjin yang direka untuk menggunakan RON rendah, boleh berfungsi dengan baik apabila gunakan RON tinggi.
  • Tetapi enjin yang direka untuk gunakan RON tinggi, TIDAK boleh berfungsi dengan baik dengan RON rendah.
  • Tepuk dada, tanya selera, pilihan di tangan anda.

     
     
  • Volkswagen ID. Buzz bagi edisi khas “Obi-Wan Kenobi” dibikin untuk meraikan siri baharu Star Wars

    Volkswagen ID. Buzz bagi edisi khas “Obi-Wan Kenobi” dibikin untuk meraikan siri baharu Star Wars

    Volkswagen telah membikin dua edisi khas bagi van elektrik ID. Buzz sempena dengan meraikan tayangan perdana siri TV baharu “Obi-Wan Kenobi”, watak yang cukup popular menerusi filem Star Wars. Ia turut memiliki tema yang sama dengan Star Wars iaitu Light Side dan Dark Side.

    Bagi Light Side, ia berdasarkan versi kenderaan penumpang ID. Buzz. Dengan krom berkilat di bahagian atas merujuk rekaan kapal angkasa dan droid dari alam semesta Star Wars. Manakala jaluran biru pada sisinya pula, disambung ke hadapan ID. Buzz hingga ke lampu utama dan jaluran cahaya, sebagai simbolik kepada lightsaber biru milik Obi-Wan.

    Volkswagen ID. Buzz bagi edisi khas “Obi-Wan Kenobi” dibikin untuk meraikan siri baharu Star Wars

    Manakala versi Dark Side diasaskan dari van ID. Buzz Cargo. Ia menampilkan rona hitam pada bahagian bawah, sementara seksyen atas pula dengan hitam pekat. Bagi garisan sisi, lampu utama, jaluran cahaya dan permukaan tingkap pula dengan bayangan merah, diinspirasikan dari lightsaber kesayangan Darth Vader.

    Volkswagen ID. Buzz juga turut muncul sebagai penampilan khas dalam Star Wars dan ia boleh disaksikan menerusi perkongsian video di bawah.

     
     
  • Volvo XC60 Recharge T8 2022 dipertingkat untuk pasaran Malaysia – bateri 18.8 kWh, 462 PS, RM332k

    Volvo XC60 Recharge T8 2022 dipertingkat untuk pasaran Malaysia – bateri 18.8 kWh, 462 PS, RM332k

    Volvo XC60 facelift 2021

    Selain XC90 dan XC40, Volvo Car Malaysia juga telah memberi sedikit peningkatan kepada XC60. Paling utama adalah bateri di bawah lantainya kini menerima lapisan sel ketiga, menaikkan kapasitinya dari 11.6 kWh menjadi 18.8 kWh. Dengan ini, jarak gerak elektriknya juga bertambah, menjadi 81 km (sebelum ini 45 km) dan motor elektriknya kini boleh menyampaikan sehingga 145 PS ke roda belakang (sebelum ini 58 PS).

    Enjin petrol empat silinder supercharge 2.0 liter turbo yang memacu roda hadapan model ini turut ditala semula untuk menyampaikan lebih kuasa pada rpm rendah dan waktu memulakan pergerakan; sekarang ia menghasilkan 317 PS dan 400 Nm tork. Sama seperti sebelum ini, di antara enjin dan transmisi automatik lapan kelajuannya terdapat integrated starter generator (ISG) yang membantu menghidupkan enjin dan memberikan prestasi tambahan waktu memecut.

    Secara keseluruhannya, Recharge T8 boleh menghantar 462 PS dan 709 Nm tork kepada semua empat tayar, membenarkan ia untuk memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.8 saat (satu saat lebih pantas berbanding sebelum ini). Jarak gerak yang bertambah tadi juga telah membantu mengurangkan sedikit penggunaan bahan api menjadi 1.6 l/100 km (sebelum ini 2.2 l/100 km).

    Volvo XC60 facelift 2021

    Bersama peningkatan ini, harga juga telah dinaikkan hampir RM6,000, menjadi RM331,781 atas jalan tanpa insurans. Walaupun begitu, peningkatan ini masih lebih rendah berbanding apa yang dilakukan pada XC90 sedangkan perubahan yang diberi juga adalah sama.

    Untuk rujukan, model hibrid ringkas B5 Momentum juga dijual RM5,000 lebih mahal, menjadi RM297,056, bermakna enjin itu bukanlah satu-satunya sebab harga dinaikkan. Harga yang disebutkan adalah termasuk dengan pengecualian cukai yang bakal berakhir hujung bulan ini, dan selepas itu, ia akan dijual masing-masing pada harga RM353,888 dan RM318,888.

    Selain daripada itu, senarai kelengkapan model ini adalah kebanyakannya sama seperti model sebelumnya yang sudah menerima bampar baru sebagai sebahagian facelift ringkas untuknya. Ia terus menggunakan pakej Inscription, yang termasuk lampu utama LED adaptif, kemasan krom serta rim 19 inci dua tona.

    Di dalam, XC60 Recharge T8 terus menggunakan sistem operasi infotainmen berasaskan Android, dipaparkan pada skrin sesentuh menegak sembilan inci dan masih tidak boleh digunakan dengan Apple CarPlay. Sistem bunyi terdiri daripada unit Bowers & Wilkins 1,100 watt 15 pembesar suara sementara tempat duduk dan papan pemuka dibalut dengan kulit dan kemudiannya terdapat kemasan kayu sama ada Iron Ore atau Driftwood.

    Kelengkapan standard lain adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin jenis pusing, pengawal pendingin hawa automatik dua zon, bumbung panoramik, tombol gear kristal menyala Orrefors, lampu suasana pelbagai warna, head-up display, casis “dynamic”, pengecas tanpa wayar Qi, kamera 360 darjah dan pintu but bukaan kuasa.

    Bagi aspek keselamatan, kenderaan ini menerima pakej aktif lengkap yang termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan, Evasive Steering Assist, Pilot Assist dengan kemampuan semi-autonomous Level 2, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring dengan Steering Assist serta Rear Cross Traffic Alert.

    GALERI: Volvo XC60 facelift 2021

     
     
  • Benarkan anak keluar dari tingkap kereta – bapa didakwa; berdepan denda RM50k, penjara 20 tahun

    Ingat lagi satu video tular sekitar Mac lalu memaparkan tiga orang kanak-kanak yang menaiki Mercedes-Benz E-Class W211 mengeluarkan separuh badan mereka menerusi tingkap kereta yang sedang bergerak tersebut? Terkini, bapa kepada kesemua kanak-kanak tersebut sudahpun dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan tersebut semalam, lapor Bernama.

    Berita tersebut menyebut bahawa T. Vengadasalabathi, 37, bapa kepada ketiga-tiga kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan yang dilakukan di Jalan Tambun di antara pukul 6.20 hingga 6.45 petang, 22 Mac lepas.

    Dia dituduh sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas ketiga-tiga kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun itu telah mendedahkan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal. Walau bagaimanapun Vengadasalabathi mengaku tidak bersalah atas kesemua dakwaan berkenaan.

    Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dengan pendakwaan yang dibuat ini, Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan mendekati mangsa. Namun peguam tertuduh, K. Nahtan memohon jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai ejen insurans berpendapatan hanya RM2,000 dan perlu menanggung ketiga-tiga anak serta isteri selain tinggal bersama ibu bapa yang berusia 67 dan 72 tahun.

    Nahtan turut merayu atas larangan mendekati ketiga-tiga anak itu kerana ia bukan melibatkan kes dera atau jenayah seksual malah Vengadasalabathi adalah bapa kandung mereka. Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Laporan ini turut menyebut bahawa Vengadasalabathi telah ditahan di Sunway City Ipoh pada 24 Mac lalu selepas polis mengesan video berdurasi seminit dua saat berkenaan di laman Facebook yang memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya tersebut dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge Pure Electric terima lebih 400 tempahan di M’sia; 120 unit sudah diserah, stok habis

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric terima lebih 400 tempahan di M’sia; 120 unit sudah diserah, stok habis

    Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa model elektrik penuh (EV) pertama mereka iaitu Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 kini diterima sangat baik dalam pasaran Malaysia – sejak ia dilancarkan pada Mac lalu, lebih 400 tempahan telah diterima sehingga kini!

    Pada bulan April sahaja, lebih 300 tempahan telah dibuat oleh pelanggan, dan 65 unit telah diserahkan kepada pemilik, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah dihantar kepada pelanggan adalah 120 unit.

    “Angka jualan yang memberangsangkan ini merupakan batu loncatan untuk perjalanan elektrik penuh kami. Hanya beberapa bulan lalu, kami lancarkan kereta elektrik penuh petama kami dan mengumumkan pemasangan tempatan untuk kereta EV. Kami telah mula menghantar kereta-kereta berkenaan bermula April, memberikan mereka kenderaan yang membolehkan mereka bebas bergerak sendirian dengan cara yang lestari dan selamat,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric terima lebih 400 tempahan di M’sia; 120 unit sudah diserah, stok habis

    Disebabkan permintaan yang melebihi jangkaan, VCM menyatakan bahawa mereka kini sudahpun menutup tempahan atas talian bagi model XC40 EV 2022 (MY2022). Kami turut membuat tinjuan di laman web rasmi VCM dan mendapati bahawa XC40 EV telah disenaraikan sebagai “habis dijual” bersama mesej “stok XC40 Pure Electric Recharge kami telah habis dijual, buat masa sekarang.”

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, VCM menyatakan bahawa mereka akan mula mengambil tempahan untuk model facelift 2023, dan perincian untuk versi kemaskini berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi. Sebelum pengumuman ini dibuat, model pemasangan tempatan (CKD) XC40 EV berkenaan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan dan insentif EV (pengecualian duti import dan eksais) RM262,460.

    Volvo XC40 EV ini digerakkan oleh dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar menjadikan ia SUV pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, menjadikan ia SUV paling pantas yang boleh anda beli dalam pasaran buat masa sekarang.

    Kuasa dibekalkan dari bateri 78 kWj yang mampu memberikan jarak gerak 418 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. XC40 EV ini menyokong pengecas AC 11 kW menggunakan penyambung Type 2, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa 7.5 jam. Ia juga diberikan sistem cas pantas DC dengan kemampuan maksimum 150 kW (antaramuka CCS2) yang boleh mengecas bateri dari 0% hingga 80% penuh dalam masa hanya 33 minit.

    Walaupun XC40 EV ini sekitar RM20k lebih mahal berbanding XC40 plug-in hybrid, ia adalah pilihan yang lebih berkuasa malah lebih murah berbanding Mercedes-Benz EQA 250 AMG Line dan juga varian tertinggi Hyundai Ioniq 5 Max. Ia turut ditawarkan dengan waranti dan servis percuma selama lima tahun dengan bantuan tepi jalan. Bateri EV pula diberikan waranti berasingan selama lapan-tahun.

    GALERI: Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022

     
     
  • Aksi drift di Jalan Genting Highlands – uji kehebatan sampai sanggup bahayakan keselamatan orang lain?

    Aksi drift di Jalan Genting Highlands – uji kehebatan sampai sanggup bahayakan keselamatan orang lain?

    Umum mengetahui, beberapa laluan di sekitar Genting Highlands dan kawasan berhampirannya memiliki laluan yang cukup digemari oleh peminat pemotoran. Memang ramai ‘kaki motor’ dan ‘kaki kereta’ suka menguji kehebatan jentera dan ‘kepakaran’ pemanduan di laluan yang berbukit dan berliku ini. Namun, sedarkah anda, adakalanya keterujaan untuk mempamerkan kehebatan jentera mahu pun ‘kepakaran’ pemanduan anda itu boleh mengundang padah?

    Baru-baru ini, ada video yang tular menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan sebuah jentera dipandu dengan aksi drift di laluan berliku menuruni Jalan Genting Highlands. Pada awal rakaman, si gadis yang berada dalam video terbabit kononnya mahu merakamkan aksi tiktok di bahu jalan di laluan terbabit. Sedang rakaman tersebut dibuat, kedengaran ada bunyi kuat sebelum muncul sebuah Nissan Skyline berwarna hitam yang bergerak solo menuruni laluan tersebut dengan aksi drift!

    Malah aksi drift ini turut membuatkan sebuah Toyota Hilux berwarna hitam terpaksa pantas berhenti di bahu jalan semata-mata untuk ‘memberikan laluan’ kepada Skyline terbabit. Mujur di situ ada bahu jalan yang agak besar, yang sering menjadi port untuk orang ramai berhenti sejenak bagi merakamkan pemandangan di kawasan sekeliling.

    Aksi drift di Jalan Genting Highlands – uji kehebatan sampai sanggup bahayakan keselamatan orang lain?

    Seandainya ada kenderaan lain sedang melalui jalan terbabit, kena pula jika pemandu yang cepat cemas atau gelabah, mungkin juga ada risiko kemalangan.

    Walau kelihatan pemandu terbabit boleh ‘mengawal’ aksi drift tersebut dengan baik tetapi salah tetap salah kerana itu merupakan jalan yang turut digunakan oleh orang ramai ke/dari Genting Highlands, bukannya litar khas untuk mempamerkan ‘kehandalan’ sebegini.

    Walau pun ada komen dari netizen menyatakan, laluan ini adalah ‘jalan persendirian’, jadi aksi sebegini tidak dianggap salah. Namun jika melibatkan keselamatan orang lain yang lalu lalang di laluan yang sama, adakah kita boleh ‘pejam mata’ saja. “Ala bukan dia ada langgar sesiapa pun…” itu antara komen yang dibaca di laman media sosial. Takkan nak tunggu ada yang kena langgar, baru nak cakap perbuatan itu salah? Macam-macam perdebatan antara netizen yang boleh dibaca di laman media sosial. Apa pun bagi kami, bukan begini cara terbaik untuk mempamerkan kehebatan anda melakukan aksi-aksi sedemikian.

    Aksi drift di Jalan Genting Highlands – uji kehebatan sampai sanggup bahayakan keselamatan orang lain?

    Menurut Seksyen 42 dan 43 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) menyatakan bahawa ‘pemandu yang memandu kenderaan bermotor di jalan raya secara melulu dan berbahaya serta memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa’ jika disabitkan kesalahan berhadapan dengan hukuman denda tidak kurang RM4,000 atau tidak lebih RM10,000, dan boleh juga dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan.

    Tapi sebagai seorang pemandu di jalan raya, jika ada kesedaran sivik dan rasa tanggungjawab ke atas orang lain dan sekeliling, sikap sebegini seharusnya tidak dilakukan. Kalau benar hendak mempamerkan kehebatan jentera dan aksi padu anda mengendalikan jentera, pergilah ke tempat yang dikhaskan atau pun yang lebih bersesuaian dan tidak merisikokan orang lain.

    Selain boleh mengundang risiko, tindakan semberono atau sesuka hati sebegini juga boleh menarik perhatian orang lain untuk melakukan perkara yang sama, dan mungkin dilakukan di lokasi yang sama. Andai perkara ini tidak dipantau oleh pihak berkuasa, tidak hairanlah sekiranya ia menjadi ikut-ikutan, semata-mata dahagakan perhatian dan nak ‘test power’ tak bertempat.

    @mahadewiaris87 Nasib kami masih selamat #driftcar #racecar #tiktokmalaysia #tiktokindonesia #fypdongggggggg @bellaluna_bell ? original sound – Mahadewiaris

     
     
  • Ops Halangan di Temiang-Pantai – polis keluarkan 17 saman; boleh didenda sehingga RM2k, penjara 6 bulan

    Ops Halangan di Temiang-Pantai – polis keluarkan 17 saman; boleh didenda sehingga RM2k, penjara 6 bulan

    Walaupun pelbagai insiden tular berlaku di ‘New Zealand Malaysia’ iaitu di Jalan Temiang-Pantai, Negeri Sembilan, nampaknya masih ramai yang berdegil untuk berhenti di lorong kecemasan jalan berkenaan bukan sahaja untuk bergambar, malah ada yang sewenang-wenangnya bersantai di kawasan tersebut.

    Justeru, semalam satu operasi telah dijalankan oleh pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Seremban di kawasan berkenaan. Operasi yang dinamakan sebagai Ops Halangan itu dibuat bagi mengelakkan tindakan segelintir pengguna jalanraya yang berhenti di lorong kecemasan di sepanjang laluan tersebut, yang tentunya boleh mengundang bahaya kepada semua pihak.

    Menurut BSPT IPD Seremban, sepanjang operasi ini dijalankan sebanyak 17 saman telah dikeluarkan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna jalanraya.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, polis turut menyatakan bahawa tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Larangan Terhadap Halangan’ dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Lorong Kecemasan’, yang jelas tidak membenarkan mana-mana individu atau kenderaan berada di atas jalan yang boleh menghalang lalulintas. Pesalah juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam.

    Menurut polis lagi, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan, dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, didenda tidak melebihi empat ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya.

     
     
  • Proton buat penghantaran pertama ke pasaran Afrika Selatan; CKD di Sri Lanka bakal bermula tahun ini

    Proton buat penghantaran pertama ke pasaran Afrika Selatan; CKD di Sri Lanka bakal bermula tahun ini

    Selepas menandatangani perjanjian bagi melantik CMH Group sebagai pengedarnya di Afrika Selatan April lalu, Proton kini telah membuat penghantaran pertamanya ke negara berkenaan pada Jumaat, 27 Mei, selepas penghantaran terakhir dibuat ke pasaran berkenaan adalah pada 2012.

    Penghantaran stok kumpulan pertama yang menggunakan kapal ini terdiri dari tiga model iaitu X50, X70 dan juga Saga, berlepas dari Westport, Klang, dan dijangka tiba di Durban, Afrika Selatan, pada bulan Julai tahun ini.

    “Penghantaran ini adalah satu lagi pencapaian yang penting bagi Proton pada tahun ini. Afrika Selatan merupakan pasaran yang matang dengan banyak pesaing tetapi kami yakin Proton X50, Proton X70 dan Saga mempunyai kombinasi ciri-ciri dan nilai untuk wang yang mencukupi untuk bersaing di sana,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton.

    “CMH Group sedang berusaha untuk menyediakan rangkaian pengedaran mereka dan kami merancang untuk melancarkan model kami pada akhir suku ketiga tahun ini. Pada minggu lepas, beberapa ahli pengurusan CMH Group telah melawat Malaysia untuk bermesyuarat bersama Proton serta melawat pengedar dan kilang di Tanjung Malim,” tambah Xu.

    Menurut Proton, pertambahan jualan eksport mereka pada tahun ini adalah kerana peningkatan permintaan sebanyak 77% dan 31% bagi Proton X50 dan Proton X70.

    “Bagi suku pertama tahun ini, jumlah keseluruhan eksport telah bertambah sebanyak 175% berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021 dan kadar pertumbuhan itu dijangka akan terus naik kerana syarikat mempunyai sasaran untuk menambah jualan sebanyak 300%,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Proton turut menyatakan bahawa untuk mencapai sasaran berkenaan, mereka perlu memperluaskan operasi pemasangan tempatan (CKD) pada pasaran-pasaran eksport mereka. Buat masa kini, operasi CKD sedang berjalan di Pakistan, Kenya dan Bangladesh, manakala Sri Lanka turut bakal memasang model-model Proton bermula separuh tahun kedua 2022, kata Proton lagi.

    Jenama automotif nasional berkenaan turut menyatakan bahawa bagi tiga tahun sebelum ini, jumlah eksport mereka berbanding pengeluar lain di Malaysia meningkat 12.8% pada tahun 2019 ke 30.2% pada 2020 dan 61.0% pada 2021 walaupun perlu berhadapan dengan pelbagai halangan akibat pandemik Covid-19.

    “Penambahan jualan eksport amat penting bagi Proton jika kami ingin mencapai sasaran jangka masa panjang. Syarikat perlu memasuki lebih banyak pasaran baru untuk meningkatkan lagi jumlah jualan, dan kami telah membuat pelaburan di Tanjung Malim dan bagi operasi luar negara untuk memastikan kami dapat menyambut sebarang peluang yang bakal diterima,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

     
     
  • Land Rover Defender 130 2023 diperkenal – SUV besar dengan 8 tempat duduk dewasa, 340 mm lebih panjang

    Land Rover Defender 130 2023 diperkenal – SUV besar dengan 8 tempat duduk dewasa, 340 mm lebih panjang

    Meskipun Defender yang diperkenal sebelum ini sudah nampak cukup besar, Land Rover menunjukkan mereka boleh pergi satu tahap lebih tinggi lagi apabila memperkenalkan Defender 130, iaitu satu versi yang menyediakan lapan tempat duduk untuk dewasa.

    Asalnya, jika mengikut model Defender klasik, nama 130 itu adalah merujuk kepada jarak roda yang lebih panjang, tetapi bagi Defender 130 baru ini, jarak rodanya masih lagi sama dengan Defender 110, iaitu 3,022 mm. Penambahan tempat duduk itu dapat dibuat cuma melalui badan yang lebih panjang. Tinggi dan lebarnya juga masih tidak berubah.

    Dengan semua tempat duduk tegak, anda masih disediakan dengan ruang simpanan barang 389 liter, sementara apabila baris paling belakang dilipat, ia menjadi 1,232 liter. Untuk lebih besar, tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat, menjadikan ruang simpanannya 2,291 liter. Turut disediakan bagi Defender 130 ini adalah versi lima tempat duduk yang menyediakan ruang barang 1,329 liter apabila tempat duduk tegak dan menjadi 2,516 apabila baris kedua dilipat.

    Land Rover Defender 130 2023 diperkenal – SUV besar dengan 8 tempat duduk dewasa, 340 mm lebih panjang

    Menurut Land Rover, tempat duduk baris ketiga pada Defender 130 ini cukup lebar untuk tiga orang dewasa, manakala bumbung yang rata pula memberikan kelegaan pada kepala. Menjadikan keadaan lebih selesa adalah tingkap yang luas serta bumbung panoramik besar, yang diberikan secara standard.

    Kemudahan lain yang disediakan untuk penumpang adalah termasuk perehat tangan berlapik, ruang simpanan bersepadu, soket pengecas USB-C serta tambahan corong udara. Defender 130 ini juga adalah satu-satunya Defender yang ditawarkan dengan pilihan pengawal pendingin hawa empat zon automatik, bersama kemampuan untuk dipasang dengan lima cagak ISOFIX.

    Selain badan yang lebih panjang di belakang, bahagian lain pada Defender 130 ini adalah sama sahaja dengan Defender lain. Pilihan yang disediakan khas untuknya adalah warna Sedona Red serta Extended Bright Pack yang menambah kemasan warna Ceres Silver Satin di bahagian bawah keseluruhan badan. Rel bumbung warna hitam serta rim 20 inci disediakan secara standard, sementara plet corak diamond atas bonet dan sirip udara di fender juga menggunakan warna Ceres Silver.

    Land Rover Defender 130 2023 diperkenal – SUV besar dengan 8 tempat duduk dewasa, 340 mm lebih panjang

    Di dalam, papan pemukanya telah dipasang dengan skrin sesentuh melengkung 11.4 inci secara standard, disambung dengan sistem infotainmen Pivi Pro sama seperti Defender V8, bersama sistem what3words untuk input navigasi. Pilihan lain yang disediakan untuk bahagian dalam adalah seperti pengawal corong pendingin hawa Noble Chrome, gril pembesar suara Ceres Silver serta kemasan kayu Natural Light Oak.

    Untuk enjin, pilihannya adalah sama seperti Defender lain (kecuali V8), dan kesemuanya adalah enjin enam silinder 3.0 liter hibrid ringkas dengan starter-generator 48 volt. Versi petrol P300 menghasilkan 300 PS dan 470 Nm tork, manakala P400 berkemampuan 400 PS dan 500 Nm. Bagi model D250 pula, ia boleh menghasilkan 250 PS dan 600 Nm, manakala D300 berkemampuan 300 PS dan 650 Nm.

    Demi memberikan kemampuan meredah jalan lasak, Defender didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, Intelligent All-Wheel Drive (iAWD) serta suspensi udara elektronik dengan penyerap adaptif. Semua pergerakan suspensi ini dikawal oleh sistem Terrain Response.

    Badan yang panjang di belakang biasanya tidak begitu baik untuk pemanduan offroad, dan disebabkan itu, Land Rover telah menaikkan sedikit bahagian itu supaya sudut mendongaknya dapat menjadi 28.5 darjah (untuk D90 ia adalah 40 darjah). Sama seperti Defender lain, Defender 130 ini dibina atas platform D7x yang dikatakan tiga kali kuat berbanding casis body-on-frame yang lain. Kemampuan menundanya boleh mencapati 3,000 kg.

     
     
  • Mercedes-AMG C63 2022 – tiada V8, 670 hp dari 2.0L Turbo 4-silinder hybrid, motor elektrik belakang

    Mercedes-AMG C63 2022 – tiada V8, 670 hp dari 2.0L Turbo 4-silinder hybrid, motor elektrik belakang

    Sebelum didedahkan sepenuhnya, Mercedes-AMG telahpun membuat pratonton untuk model generasi baharu Mercedes-AMG C 63 ketika berlangsungnya perlumbaan Nürburgring 24-jam baru-baru ini. Unit yang dibawa tersebut masih lagi mengenakan pelekat penyamaran, dan beberapa perincian berkenaan sedan prestasi tinggi tersebut telah pun diumumkan.

    Seperti biasa, ia diasaskan dari C-Class biasa, untuk kali ini generasi W206 yang sudahpun berada lebih setahun dalam pasaran. Apa yang menarik, tiada lagi enjin V8 akan dibekalkan untuk lawan terus kepada BMW M3 G80 ini, dan ia akan digantikan dengan enjin empat-silinder seperti apa yang dilaporkan sebelum ini.

    Menurut laporan Autocar, C 63 generasi baharu ini akan menerima enjin M139 2.0 liter empat silinder sebaris sama seperti Mercedes-AMG A 45 S, dipasang secara menegak kebelakang seperti C 43 4Matic yang telah diperkenalkan April lalu (turut sudah tidak menerima enjin V6 seperti generasi sebelumnya), serta diberikan bantuan kuasa dari teknologi elektrifikasi.

    Enjin M139 pada C 63 berkenaan menghasilkan kuasa lebih besar dari versi C 43 (408 PS) dan A 45 S (421 PS), iaitu pada kadar 470 hp, menjadikan ia enjin empat-silinder produksi paling berkuasa di dunia. Enjin tersebut turut dibantu dengan sistem hibrid ringkas 48-volt dengan starter generator pacuan tali sawat seperti pada enjin M256 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris Mercedes-AMG CLS 53 4Matic+, menghasilkan kuasa dan tujahan tambahan 22 hp/249 Nm.

    Tidak cukup dengan itu, C 63 generasi baharu ini turut menerima motor elektrik pada gandar belakang yang menerima kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan 201 hp, membolehkan sedan berkenaan dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 670 hp dan tork maksima 750 Nm!

    Mercedes-AMG C63 2022 – tiada V8, 670 hp dari 2.0L Turbo 4-silinder hybrid, motor elektrik belakang

    Imej Mercedes-AMG C43, C 63 pastinya akan kelihatan lebih agresif

    Bagi sistem transmisi, ia masih menerima kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Bentangan konfigurasi unit rangkaian kuasa bagi C 63 ini menepati apa yang didedahkan oleh Mercedes-AMG dalam pembentangan strategi E Performance yang dibuat pada Mac tahun lalu.

    Jadi walaupun C 63 baharu ini telah ‘kehilangan’ empat silinder serta kapasiti enjin yang jauh lebih kecil, kuasa yang dihasilkan sebenarnya adalah 167 hp/50 Nm lebih besar dari model generasi sebelum ini. Malah yang paling penting, ia juga tampil dengan kuasa 167 hp/100 Nm berbanding BMW M3 Competition sedia ada.

    Dengan tidak lagi menggunakan enjin M177 4.0 liter V8 dengan turbo berkembar, model generasi baharu ini dapat dihasilkan lebih ringan. Menurut Mercedes-AMG, enjin baharu ini ditimbang hanya seberat 160.5 kg, membolehkan ia 48.5 kg lebih ringan dari enjin M177.

    Walaupun menerima pelbagai kelengkapan tambahan untuk sistem hibrid seperti bateri lithium-ion dan motor elektrik, berat keseluruhan C 63 generasi baharu ini didakwa adalah lebih ringan berbanding model sebelumnya. Malah model ini juga dikatakan mempunyai titik graviti lebih rendah bagi memberikan kelincahan serta kawalan badan lebih baik.

    Laporan ini juga menyebut bahawa versi produksi C 63 yang diasaskan dari C-Class W206 ini bakal didedahkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan lagi, manakala penghantaran kepada pelanggan akan bermula tahun hadapan.

     
     
  • Pemandu Wira tunjuk “pistol” di LDP sudah ditahan

    Pemandu Wira tunjuk “pistol” di LDP sudah ditahan

    Polis telah menahan seorang lelaki selepas videonya tular menunjukkan dia sedang menunjukkan sebuah pistol “revolver” ketika memandu berdekatan One Utama, baru-baru ini. Menurut Penolong Pesuruhjaya Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kejadian itu berlaku sekitar jam 6.15 pm Ahad lalu (29 Mei 2022) di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

    “Suspek dilihat memandu sebuah Proton Wira merah dan melambaikan apa yang kelihatan seperti sepucuk pistol yang di halakan ke atas,” jelas Fakhrudin dalam satu kenyataan. “Bertindak hasil aduan orang-ramai, pada jam 10 pm, pasukan polis telah menahan seorang lelaki berusia 28-tahun di sebuah apartment di Bandar Sri Damansara,” jelas beliau, dengan menambah bahawa Proton Wira merah itu serta pistol mainan itu turut disita.

    Pemandu itu juga telah membuat pengakuan berkaitan kejadian itu, dan memaklumkan bahawa pistol mainan itu bernilai RM2.40 dan merupakan milik anaknya yang berusia empat tahun. Dia mendakwa sedang bermain dengan anaknya di dalam kereta ketika itu. Siasata lanjut mendapati suspek mempunyai rekod polis sebelum ini.

    Pemandu Wira tunjuk “pistol” di LDP sudah ditahan

    Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Senjata Api 1960, dan jika didapati bersalah, suspek berhadapan hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan atau di denda, atau kedua-duanya sekali. Main-main atau tidak, melambaikan objek senjata ketika memandu adalah perbuatan yang mencari masalah sendiri, dan sudah tentu pihak polis akan mencari anda. Jadi, tak perlulah membuat perlakuan seperti ini untuk tujuan apa sekali pun.

    Juga, untuk keselamatan di jalan raya, letak tangan atau anggota badan anda serta penumpang di dalam kabin sahaja, melainkan perlu memberi isyarat tangan untuk memaklumkan pengguna jalan yang lain, misalnya untuk menukar lorong atau masuk simpang.

     
     
  • Memandu kereta di Malaysia seharusnya jadi perkara mewah, bukan keperluan – ADUN DAP Liew Chin Tong

    Memandu kereta di Malaysia seharusnya jadi perkara mewah, bukan keperluan – ADUN DAP Liew Chin Tong

    Anda mungkin perasan sebaik sahaja pelbagai sekatan dibuka ketika negara menuju ke fasa peralihan ke endemik, kesesakan jalan raya dilihat menjadi semakin teruk, khususnya di kawasan Lembah Klang. Perkara ini telah pun mendapat perhatian beberapa wakil pembangkang untuk bersuara agar ia diambil perhatian oleh kerajaan.

    Antara mereka yang memberikan pandangan terhadap isu berkenaan adalah wakil rakyat Perling dan juga timbalan setiausaha agong DAP, Liew Chin Tong. Jika sebelum-sebelum ini pembangkang selalu memperkatakan berkenaan harga kereta dan juga harga bahan api di Malaysia yang tinggi, lain pula pendapat Liew kali ini.

    Menurutnya dalam satu hantaran Facebook, kerajaan kini perlu mencari kehendak politik agar memandu kereta persendirian menjadi sesuatu yang mewah dan bukan lagi keperluan di Malaysia. Beliau menyatakan buat masa sekarang rakyat Malaysia terpaksa berharap kepada kereta persendirian kerana keperluan seperti pengangkutan awam masih tidak wujud di banyak kawasan dalam negara, termasuk Kuala Lumpur, di mana bandaraya berkenaan masih kurang hubungan mula dan akhir dalam jaringan sistem tersebut.

    Memandu kereta di Malaysia seharusnya jadi perkara mewah, bukan keperluan – ADUN DAP Liew Chin Tong

    Beliau menggesa kerajaan untuk meluaskan lagi kawasan perkhidmatan untuk bas dan pelbagai mod pengangkutan awam yang lain bagi membolehkan sekurang-kurangnya 40-50% populasi mempunyai jaringan pengangkutan awam yang boleh diharap. Perkara ini menjadi lebih mendesak dengan kenaikan harga minyak global.

    “Setiap kali harga petrol global meningkat kepada AS$100 setong, akan ada seruan panik untuk mengurangkan kadar subsidi. Menurut menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz, dengan harga minyak mentah yang tinggi sekarang, subsidi petrol Malaysia sahaja mungkin mencecah sehingga RM30 bilion tahun ini, hampir dua kali ganda daripada anggaran asalnya,” katanya.

    Kerajaan sebelum ini sudahpun menyatakan bahawa struktur subsidi bahan api kepada yang lebih bersasar akan diperkenalkan bagi mengurangkan beban kewangannya dan ia hanya akan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Menurut Liew, langkah tersebut tentunya akan menyebabkan harga petrol naik.

    Memandu kereta di Malaysia seharusnya jadi perkara mewah, bukan keperluan – ADUN DAP Liew Chin Tong

    Dengan sistem pengangkutan awam yang baik masih belum dapat disediakan, kenaikan harga petrol tersebut akan memaksa mereka yang berpendapatan rendah beralih kepada motosikal untuk bergerak, sekaligus akan meningkatkan kadar kematian di atas jalan raya.

    “Penyelidikan menunjukkan setiap kali harga petrol naik di Malaysia, jumlah kematian jalan raya meningkat. Terdapat korelasi langsung antara kenaikan petrol dan bilangan orang yang beralih kepada motosikal, selari dengan jumlah kematian dan kemalangan jalan raya,” katanya. Walau bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang data untuk menyokong dakwaannya itu.

    Menurutnya lagi, dengan sistem pengangkutan awam yang mencukupi bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi ia juga akan menyumbang besar kepada pengurangan pelepasan karbon, iaitu faktor utama untuk melambatkan perubahan iklim.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025