Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tukar kupon parkir yang belum diguna pada kredit Selangor Smart Parking – 2-3 April, Dewan Sivik MBPJ

    Tukar kupon parkir yang belum diguna pada kredit Selangor Smart Parking – 2-3 April, Dewan Sivik MBPJ

    Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, pembayaran parkir awam di negeri Selangor ditukarkan ke transaksi digital mulai hari ini, 1 April 2022. Justeru, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengumumkan pihaknya sekali lagi bakal menganjurkan program Penukaran Kupon Parkir kepada kredit aplikasi Selangor Smart Parking. Di mana penduduk Petaling Jaya yang memiliki kupon parkir MBPJ yang masih belum digunakan untuk memindahkan lebihan baki yang ada kepada kredit aplikasi Selangor Smart Parking (SSP).

    Program ini dijalankan oleh syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri Selangor iaitu SSDU Innovation Sdn Bhd (SSDU), yang bakal diadakan pada 2 hingga 3 April ini, dari jam 10 pagi hingga 5 petang bertempat di Dewan Sivik, Petaling Jaya.

    Di mana pemegang kupon parkir berkenaan dikehendaki memuat turun aplikasi SSP yang boleh didapati menerusi Google PlayStore, Apple Appstore atau Huawei Store, dan berdaftar dengan SSP sebagai pengguna untuk menukar kupon yang masih belum dipakai berkenaan.

    Tukar kupon parkir yang belum diguna pada kredit Selangor Smart Parking – 2-3 April, Dewan Sivik MBPJ

    “Kerajaan Negeri ambil maklum mengenai kerisauan rakyat yang masih memiliki kupon parkir yang masih belum digunakan akan terbatal dan mengalami kerugian setelah kita kuatkuasakan penggunaan SSP ini. Justeru, kami memberikan jaminan baki nilai kupon berkenana yang masih belum tamat tempoh boleh dipindah nilai ke akaun SSP masing-masing,” kata Ng Sze Han, exco Selangor yang mengendalikan pengangkutan awam dan majlis perbandaran tempatan negeri.

    Walau bagaimana pun, sekiranya anda tidak dapat menghadiri program berkenaan, anda boleh datang terus ke Leading Innovative Technologies & Systems (LITS) at F-4-G, Jalan Multimedia 7/AG, I-City, Shah Alam untuk proses pemindahan baki nilai kupon berkenaan ke aplikasi SSP.

    “Selain itu, pengguna juga boleh hadir ke pejabat PBT masing-masing untuk menjalankan proses pindah nilai tersebut dari 1 hingga 30 April 2022. Untuk proses ini, hanya kupon di bawah selian PBT tersebut yang boleh dipindah nilai,” sambung Ng lagi.

     
     
  • GALERI: Volkswagen Golf R Mk8 di M’sia – hot hatch AWD dengan 320 PS, 400 Nm tork, harga RM358k

    GALERI: Volkswagen Golf R Mk8 di M’sia – hot hatch AWD dengan 320 PS, 400 Nm tork, harga RM358k

    Semasa pelancaran Golf GTI Mk8 dan pengenalan Golf R-Line Mk8 Februari lalu, Volkswagen Malaysia juga membuat kejutan dengan melancarkan Golf R Mk8, yang dijual pada harga RM357,584 tidak termasuk insurans.

    Sedang Golf GTI dan dan Golf R-Line dipasang di Pekan, Pahang, Golf R pula diimport sepenuhnya (CBU) dan harganya mencatat peningkatan yang tinggi berbanding Golf R Mk 7.5 yang dijual pada harga RM295,990 sebelum ini.

    Walaupun begitu, kelengkapannya agak banyak, bermula dengan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo EA888 yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan serta sistem pacuan AWD 4Motion, menghasilkan kuasa 320 PS dan 400 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 4.8 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sistem pacuan 4Motion pada Golf R Mk8 kini menawarkan beza pengagihan tork yang lebih tinggi melalui R-Performance Torque Vectoring, dengan differential belakangnya boleh menghantar sehingga 100% kuasa dari gandar belakang kepada salah satu roda untuk meningkatkan kelincahannya.

    Turut membantu pengagihan tork melalui brek adalah sistem pengunci differential elektronik XDS, yang dikawal oleh Vehicle Dynamicx Manager yang menawarkan empat mod pemanduan iaitu Comfort, Sport, Race dan Individual. Model pasaran Malaysia dipasang dengan rim Adelaide 19 inci bersama tayar 235/35.

    Di dalam, Golf R masih menggunakan susun atur seperti Golf Mk8 yang lain, dengan skrin sesentuh 10 inci Discover Pro untuk sistem infotainmen, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta panel instrumen digital penuh yang paparannya boleh diubah, di hadapan pemandu.

    Pendingin hawa mempunyai kawalan suhu automatik tiga zon, dan turut diberi adalah lampu suasana yang mempunyai lima warna, lampu utama dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri serta cermin sisi dengan fungsi pemanas.

    Tempat duduk sport pada Golf R dibalut dengan kulit Nappa dan ia boleh dilaras secara elektronik dan datang dengan larasan lumbar serta fungsi memori. Sistem bunyi terdiri daripada unit Harman Kardon 480 watt dengan 10 pembesar suara.

    Golf R Mk8 yang dijual oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan dan bantuan tepi jalan lima tahun. Ia juga diberi dengan pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, dengan selang servis setiap 15,000 km.

     
     
  • Pemilik EV di Jakarta nikmati 30% diskaun tarif elektrik jika mengecas kenderaan antara 10 malam – 5 pagi

    Pemilik EV di Jakarta nikmati 30% diskaun tarif elektrik jika mengecas kenderaan antara 10 malam – 5 pagi

    Macam-macam usaha dibuat untuk menarik minat pengguna beralih kepada EV. Di Indonesia, PT PLN (Perusahaan Listrik Negara) menawarkan potongan harga 30% bagi pemilik kenderaan elektrik yang mengecas kenderaan mereka antara 10 malam hingga lima pagi.

    Menurut pengarah syarikat, Darmawan Prasodjo, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan elektrik pada waktu malam, ketika komuniti dan aktiviti industri berada pada tahap minimum. Ia juga mensasarkan untuk menggiatkan lagi pembangunan ekosistem EB di Indonesia, seperti dilaporkan oleh Antara News.

    Darmawan berkata, pemilik EV hanya perlu membayar Rp1,100 (RM0.32) per kWh, berbanding tarif normal Rp1,450 (RM0.43). “Untuk itu, memandangkan pengecasan biasanya mengambil masa lima jam sehari dan kami memberikan diskaun dari 10 pm hingga 5 am, kos operasi untuk kenderaan terbabit akan jadi sangat murah,” tambahnya.

    Untuk menikmati tarif rendah ini, pemilik EV hanya perlu menghubungi PLN, yang selepas itu akan mengirimkan peranti internet untuk digunakan bersama pengecas wallbox di rumah. Ini akan menyambungkan pengecas langsung kepada pelayan PLN, dan membolehkan syarikat itu memantau penggunaan wallbox secara berasingan daripada penggunaan lain di rumah.

     
     
  • Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo 3-silinder 304 PS/370 Nm, AWD GR-Four, manual 6-kelajuan!

    Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo 3-silinder 304 PS/370 Nm, AWD GR-Four, manual 6-kelajuan!

    Ini dia tuan-tuan dan puan-puan, satu lagi kereta sport Toyota dengan lencana GR penuh telahpun diperkenalkan iaitu Toyota GR Corolla! Model ini baru sahaja membuat penampilan sulungnya pagi ini di Long Beach, California, Amerika Syarikat, dengan dua pelumba Formula Drift iaitu Ryan Tuerck dan Ken Gushi memandu keluar GR Corolla berkenaan dengan membuat aksi ‘donut’ di atas pentas yang sempit, menunjukkan kebolehan sistem pacuan semua roda hot-hatch tersebut.

    Khabar sebelum ini menyebut bahawa GR Corolla dihasilkan untuk dijual di pasaran Amerika Syarikat sebagai ganti kepada model homologasi istimewa Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu GR Yaris yang tidak dijual di sana. Namun ketika pendedahannya hari ini, GR Corolla diumumkan masih dibuat oleh fasiliti GR Factory di kilang Motomachi di Jepun, bersama GR Yaris, dan ia disahkan turut akan dibawa ke pasaran lain seluruh dunia!

    Anda mungkin ada terbaca tentang spesifikasi GR Corolla sebelum ini – ya, ia masih dijana oleh enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo seperti GR Yaris. Namun berbanding unit paling berkuasa pada GR Yaris JDM yang menghasilkan ‘hanya’ 272 PS, enjin sama pada GR Corolla yang ditala semula ini berupaya untuk menjana 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm! Walau bagaimanapun kadar tork yang dibekalkan adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

    Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo 3-silinder 304 PS/370 Nm, AWD GR-Four, manual 6-kelajuan!

    Antara penambahbaikkan yang dibuat untuk mengekstrak kuasa lebih besar tersebut adalah dengan pemadanan sistem ekzos baharu. Secara mata kasar, sistem ekzos GR Corolla ini menampilkan tiga tip pada bampar belakang. Ia bukan sekadar gimik kerana sistem ekzos yang turut diberikan injap berkenaan dapat mengurang tekanan, sekaligus “memberikan pecutan yang luar biasa serta tambahan RPM yang lebih menyeronokkan”, dakwa Toyota.

    Enjin berkenaan dipadankan hanya dengan kotak gear manual pintar (i-MT) enam-kelajuan, tanpa pilihan sebarang transmisi automatik. Kotak gear tersebut turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu.

    Sama seperti GR Yaris, GR Corolla ini turut diberikan sistem pacuan semua roda GR-Four. Sistem tersebut menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

    Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo 3-silinder 304 PS/370 Nm, AWD GR-Four, manual 6-kelajuan!

    Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Namun apa yang berbeza, GR Corolla turut diberikan mod “4WD” yang mengawal agihan desakan pemanduan, dan mod “Drive” yang mengawal respon pendikit dan stereng serta lain-lain aspek yang telah diasingkan bagi membolehkan talaan dibuat lebih spesifik mengikut kemahuan pemandu dan keadaan pemanduan yang lain.

    Bagi menghasilkan GR Corolla ini Toyota bukan sekadar menyumbat unit rangkaian kuasa lebih bertenaga dalam badan Corolla standard. Dibuat di dikilang GR Factory bermakna kerangka badan kereta tersebut adalah lebih tegar dari Corolla biasa bagi memberikan respon lebih baik kepada pemandu, dan ia dipasang seperti penghasilan sebuah kereta lumba.

    Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo 3-silinder 304 PS/370 Nm, AWD GR-Four, manual 6-kelajuan!

    GR Corolla ini juga menerima pendakap-pendakap tambahan pada badan, antaranya di bahagian tengah antara ruang roda kiri dan kanan sebelah belakang, terowong bawah badan dan juga di bawah lantai pada bahagian hadapan tangki minyak – kesemua ini bagi memberikan kestabilan pengendalian yang lebih baik.

    Juga sama seperti GR Yaris, panel bumbung GR Corolla ini diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dengan proses kompaun acuan lembaran (SMC) yang membolehkan ia dihasilkan dengan rupa lebih bebas, serta menampilkan komponen yang lebih ringan dan lebih kuat.

    Konfigurasi asal sistem suspensi GR Corolla ini kekal dengan topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, tetapi diolah semula bagi memberikan trek roda hadapan 60 mm lebih lebar dan trek roda belakang 85 mm lebih lebar berbanding Corolla Hatchback standard, membolehkan ia menawarkan prestasi di selekoh yang lebih baik – jadi fender hadapan 20 mm lebih lebar dan belakang 30 mm lebih lebar pada GR Corolla berbanding Corolla biasa ini bukan untuk kosmetik semata-mata.

    Toyota GR Corolla didedahkan – 1.6L Turbo 3-silinder 304 PS/370 Nm, AWD GR-Four, manual 6-kelajuan!

    Selain itu, sistem suspensi GR Corolla ini juga diberikan set bushing jenis pillow ball, serta talaan terhadap penyerap hentak, spring serta jajaran roda yang dioptimakan bagi membolehkan tork dari sistem GR-Four diagih lebih baik terhadap permukaan jalan. Toyota juga telah menala sistem kawalan kestabilan ketika pemanduan sporty agar ia memberikan keyakinan dan keseronokan walaupun kereta ini dipandu sehingga ke hadnya.

    Untuk memberhentikan kereta ini, GR Corolla dilengkapi dengan sistem brek menampilkan cakera bersaiz 18-inci bersama angkup empat omboh di hadapan, dan juga cakera 16-inci bersama angkup dua omboh di belakang. Kuasa dari sistem pacuan semua roda dialirkan ke permukaan tar menerusi tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 235/40R18 yang membaluti set rim aloi 18-inci 15-jejari dalam kemasan hitam berkilat.

    Untuk rupa, seperti diberitahu tadi GR Corolla tampil dengan badan yang lebih lebar dari Corolla Hatchback biasa. Bampar hadapan pula diberi rekaan tipikal GR dengan liang udara utama yang lebih besar bagi memberikan aliran udara lebih baik tidak kira sama ada di litar, jalan raya dengan permukaan lasak, mahupun di atas permukaan salji.

    Liang udara yang besar turut diberikan pada fender, manakala fender belakang yang dilebarkan turut melibatkan panel tambahan pada pintu. Bampar belakang pula diolah semula bagi memberikan reflektor yang direka lebih tegak, bersama diffuser lebih agersif serta perumah untuk tiga tip ekzos yang bersaiz besar.

    Manakala untuk kabin, ia masih menampilkan papan pemuka yang sama seperti Corolla Hatchback biasa, tetapi diberikan paparan instrumen digital TFT penuh yang dihasilkan khas untuk model GR, diinsprasikan dari kereta lumba serta mendapat input dari pelumba profesional. Ia juga diberikan tempat duduk GR yang lebih sporty.

    Berbanding Corolla biasa yang diberikan brek parkir elektronik, GR Corolla ini hanya diberikan brek parkir manual yang menggunakan tuil tradisional. Downgrade? Tidak, kerana brek parkir manual ini sangat diperlukan dalam pemanduan prestasi khususnya ketika beraksi dalam litar gymkhana dan rali, serta untuk memulakan aksi drift.

    Manakala untuk keselamatan, GR Corolla ini hadir standard dengan sistem bantuan Toyota Safety Sense. Walau bagaimanapun, perincian berkenaan apa fungsi yang diberikan dalam pakej tersebut belum diberitahu secara spesifik.

    Di Amerika Syarikat GR Corolla turut ditawarkan dalam versi Track Edition. Model ini diberikan penambahan liang udara pada bonet hadapan, spoiler belakang lebih besar serta tombol gear yang menampilkan tandatangan “Morizo”, iaitu presiden Toyota, Akio Toyoda (Morizo adalah nama samaran Toyoda ketika berlumba).

    Model asas GR Corolla Core akan mula dijual di Amerika Syarikat lewat tahun ini, sementara Track Edition pula akan dijual di sana bermula 2023. GR Corolla juga disahkan akan mula dijual di Jepun pada separa kedua tahun ini, sementara jualannya di pasaran-pasaran lain seluruh dunia akan diumumkan kemudian.

    Kita di Malaysia sudahpun mempunyai jaringan pengedar GR Garage yang menjual GR Supra dan GR Yaris, serta GR86 tidak lama lagi. Tak mustahil Toyota GR Corolla ini turut akan dibawa ke Malaysia pada masa akan datang bukan?

     
     
  • Siri nombor pendaftaran FE mula boleh dibida di JPJ

    Siri nombor pendaftaran FE mula boleh dibida di JPJ

    Siri nombor pendaftaran kenderaan bagi Putrajaya “F” dilihat agak perlahan, tidak dipastikan penyebabnya. Untuk FB, ia muncul pada tahun 2018, manakala FC pula pada 2019 dan FD dilancarkan tahun lalu.

    Bila agak jarang-jarang kelihatan, sebenarnya ia nampak sedikit istimewa. Jika ada di antara anda yang mahu siri nombor pendaftaran ini, JPJ memaklumkan ia telah pun dibuka bidaannya bermula hari ini, 1 April 2022 menerusi JPJ eBid. Menurut JPJ, bidaan tersebut akan berlangsung sehingga 5 April ini dan keputusannya akan diumumkan sehari selepasnya.

    Kalau anda perasan, plat pendaftaran Putrajaya ini dilihat agak sempurna untuk Honda Civic, dan model generasi terkini Civic yang dilancarkan pada Januari lalu juga adalah dengan kod nama FE. Jadi, bagi yang sudah menempah Civic baharu ini, apa kata anda mempertimbangkan untuk mendapatkan plat FE ini. Hanya sekadar cadangan dari kami.

     
     
  • Chery Malaysia wujudkan fan page rasmi SUV Omoda 5 di Facebook – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Chery Malaysia wujudkan fan page rasmi SUV Omoda 5 di Facebook – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Chery Malaysia telah pun mewujudkan fan page rasmi bagi Omoda 5 di laman Facebook, bagai memberikan petanda SUV segmen-B serba baharu ini bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Malaysia merupakan pasaran antarabangsa yang pertama di luar China bakal menerima Omoda 5.

    Buat masa ini, tiada perkhabaran mengenai harga bagi pencabar terdekat Proton X50 dan Honda HR-V ini. Untuk dimensinya, ia berukuran 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar and 1,585 mm tinggi, dengan jarak roda sejauh 2,630 mm. Sebagai perbandingan, Honda HR-V terbaharu (generasi ketiga yang belum dilancarkan di Malaysia) dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm – jelas Omoda 5 adalah sedikit lebih besar.

    Menurut laporan sebelum ini, Chery Omoda 5 menerima enjin dari siri Kunpeng terbaharu Chery iaitu unit 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) berkuasa 197 PS dan 290 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan untuk memacu roda hadapan.

    Chery Malaysia wujudkan fan page rasmi SUV Omoda 5 di Facebook – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Falsafah rekaan baharu pada Omoda 5 ini dikenali sebagai “Art in Motion” (seni dalam pergerakan). Muka SUV tersebut diberikan gril hadapan yang sangat besar tanpa bingkai, dengan lampu nyalaan siang LED nipis yang dilihat seperti ‘diadun’ bersama gril berkenaan.

    Lampu hadapan utama LED dengan teknologi Matrix SUV ini pula diletakkan pada bahagian bampar, seperti rekaan terkini Hyundai dan juga Mitsubishi. Garis bumbung Omoda 5 ini direka landai kebelakang, bersama lampu-lampu belakang yang direka tajam, membuatkan ia nampak seakan model-model rekaan terkini dari Lexus/Toyota.

    Untuk kabinnya pula, Omoda 5 diberikan ciri kelengkapan termasuk roda stereng balutan kulit rata di bawah, skrin berkembar 12.3-inci (untuk instrumen dan infotainmen, seperti Mercedes-Benz), kawalan pusat untuk media dan pendingin hawa, dan juga terowong tengah yang tinggi untuk memisahkan ruang pemandu dan penumpang hadapan, serta tempat duduk sport yang kelihatan mewah.

     
     
  • Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

    Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

    Sistem bantuan pemanduan Mercedes-Benz Drive Pilot yang ditampilkan pada model generasi W223 baharu S-Class telah pun diberi kelulusan untuk digunakan di Jerman tahun lalu, menjadikan jenama premium berkenaan sebagai pengeluar kereta pertama di negara tersebut yang berjaya untuk mencapai sistem pemanduan autonomi Tahap 3.

    Menurut laporan Road & Track, Mercedes-Benz menyatakan bahawa dalam setiap kemalangan yang berlaku, sekiranya ketika itu sistem Drive Pilot ini sedang diaktifkan, mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya dan kesalahan tersebut tidak akan dikenakan terhadap pemandu yang mengaktifkan sistem Drive Pilot berkenaan.

    “Sehingga akhir tahun lalu, kami merupakan pembuat kenderaan pertama yang menerima pengiktirafan untuk sistem Tahap 3 antarabangsa. Kami sedang mensasarkan untuk mendapatkan pengiktirafan yang sama untuk California dan Nevada menjelang akhir tahun ini, dan kami sedang meninjau [situasi] di kebanyakkan negeri lain juga,” kata pengurus pembangunan senior Drive Pilot, Gregor Kugelmann kepada Road & Track.

    Portal berkenaan turut menyatakan bahawa dengan tidak mengenakan sebarang tanggungjawab terhadap pemandu, Mercedes-Benz mempunyai peluang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh pelbagai pengawal selia. Ini kerana sistem pemanduan autonomi yang lebih tinggi dari Tahap 2 seharusnya tidak memerlukan sebarang pemantauan dari pemandu.

    Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

    Contohnya seperti sistem SuperCruise dari General Motors dan juga Autopilot dari Tesla, kedua-duanya masih diklasifikasikan sebagai sistem Tahap 2 kerana ia masih memerlukan pemandu memantau operasi sistem tersebut dan sentiasa bersedia mengambil alih pemanduan secara manual sekiranya operasi sistem berkenaan terhenti.

    Sistem Drive Pilot dari Mercedes-Benz ini menampilkan lebih banyak sistem sandaran seperti bekalan kuasa tambahan untuk sistem-sistem kritikal, serta ia memberikan amaran awal 10-saat kepada pemandu sebelum sistem berkenaan terpaksa dihentikan dan pemandu perlu mengambil alih pemanduan, menurut R&T.

    Operasi pemanduan autonomi yang lebih tinggi serta kesediaan Mercedes-Benz menanggung semua tanggungjawab bermaksud sistem ini perlu mampu untuk mengesan lampu kecemasan dan siren lebih awal bagi memberikan amaran awal 10 saat sebelum pemandu mengambil alih pemanduan.

    Dengan amaran awal lebih lama ini juga bermaksud, sekiranya sistem Drive Pilot tersebut sedang diaktifkan, pemandu boleh menumpukan perhatian mereka terhadap perkara lain sepenuhnya. Menurut Mercedes-Benz, ketika kereta berkenaan dipandu sendiri dengan sistem Drive Pilot tersebut, ia mampu menangani situasi seperti ‘dicantas’ secara agresif oleh pemandu lain, jarak memberhenti yang pendek dalam aliran trafik dan juga mengelak serpihan di atas jalan.

    Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

    Setiap negara berbeza akan menetapkan undang-undang berbeza untuk sistem pemanduan sendiri ini. Contohnya di Jerman, pemandu dibenarkan menggunakan telefon bimbit sekiranya sistem Drive Pilot berkenaan beroperasi, iaitu pertama seumpamanya untuk sistem pemanduan separa autonomi.

    Oleh itu, menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya pemanduan kenderaan kepada sistem Drive Pilot hanya boleh dibuat pada situasi-situasi tertentu. Buat masa sekarang, Drive Pilot hanya boleh digunakan pada kelajuan 40 bsj di Amerika Syarikat, atau 60 km/j di Jerman di lebuhraya akses-terhad tanpa lampu isyarat, bulatan atau sistem-sistem kawalan trafik lain, dan tanpa laluan melintasi tapak pembinaan.

    Drive Pilot juga hanya boleh diaktifkan pada siang hari, dalam keadaan cuaca cerah, serta tanpa halangan-halangan lain; bermaksud jika ia mengesan cuaca buruk, terowong, zon pembinaan dan kehadiran kenderaan kecemasan, Drive Pilot akan mengeluarkan amaran awal kepada pemandu untuk mengambil alih pemanduan secara manual.

    Dengan Mercedes-Benz sedang bersedia untuk melancarkan sistem Drive Pilot ini untuk kegunaan awam di Amerika Syarikat menjelang akhir 2022, sistem pemanduan autonomi dilihat semakin hampir untuk menjadi kenyataan dalam kebanyakkan pasaran, dan kesanggupan dari pengeluar untuk bertanggungjawab terhadap sebarang insiden yang berlaku ketika menggunakan sistem pemanduan sendiri tersebut bakal memberikan lebih keyakinan kepada pengguna dan pihak berkuasa.

     
     
  • Toyota GR Corolla 2023 – satu lagi video teaser disiar

    Toyota GR Corolla 2023 – satu lagi video teaser disiar

    Hanya tinggal satu hari saja lagi sebelum GR Corolla didedahkan secara rasmi, dan Toyota telah mengeluarkan satu lagi video teaser pendek untuk menghangatkan suasana. Kali ini, ia dipanggil sebagai “The Detective” dan menunjukkan seorang individu giat mengkaji segala petunjuk yang pernah dikeluarkan berkenaan kereta ini.

    Antara cebisan teka-teki yang telah dikeluarkan oleh Toyota melalui teaser sebelum ini antaranya adalah seperti “GR-Four” dan “G16”, yang jelas merujuk kepada enjin tiga silinder 1.6 liter turbo G16E-GTS berkuasa 272 PS/370 Nm, serta sistem pacuan empat roda sama seperti GR Yaris.

    Seperti yang sudah diketahui, pasaran Amerika Syarikat tidak menerima hot-hatch homologasi istimewa untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu GR Yaris, dan ia akan diganti dengan GR Corolla. Ia akan menggunakan asas daripada Corolla Hatchback yang duduk di atas platform TNGA-C, dan bukannya TNGA-B seperti Yaris.

    Disebabkan badannya yang lebih besar dan berat, ada khabar yang mengatakan enjin GR Corolla bakal ditala untuk menghasilkan kuasa yang lebih tinggi, sehingga 300 PS, sementara transmisi pula akan menggunakan tetapan sama seperti GR Yaris, iaitu unit manual enam kelajuan kerana itu sudah memang sebahagian daripada pakej pacuan semua roda GR Four.

    Setakat ini masih tidak diketahui sama ada GR Corolla bakal menjadi model yang dikhaskan untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja atau juga bakal dipasarkan di negara lain. Walaubagaimanapun, pada tahun 2020, Toyota sudah dilihat mendaftarkan tanda dagang “GR Corolla” di Australia.

     
     
  • Perodua Myvi 2022 – imej kit badan Gear Up bocor

    Perodua Myvi 2022 – imej kit badan Gear Up bocor

    Ketika dilancarkan pada hujung tahun lalu, Perodua Myvi 2022 tidak diperkenalkan sekali dengan kit badan Gear Up seperti lazimnya mana-mana pelancaran model Perodua yang lain, dan ia hanya menampilkan beberapa aksesori ringkas. Tapi nampaknya pakej penggayaan tersebut bakal dilancarkan dalam pasaran tak lama lagi, dan ini adalah imej-imej bocor Myvi facelift 2022 yang telah dipadankan dengan kit badan Gear Up, disiarkan oleh laman Facebook RiderAth.

    Kit badan lengkap berkenaan terdiri dari kemasan tambahan untuk apron bampar hadapan bersama spoiler pada bahagian bawah, skirt sisi, kemasan tambahan bawah bampar belakang dengan diffuser dan juga spoiler bumbung pada bahagian atas pintu tailgate belakang.

    Sama seperti kit badan Gear Up pada Perodua Ativa, kit untuk Myvi ini sekali lagi menampilkan rekaan yang agak ‘sibuk’ dan agresif. Untuk kemasan apron bampar hadapan, ia diberikan perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara.

    Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang diberikan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

    Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler asal Myvi 2022 yang ringkas digantikan dengan spoiler bumbung yang jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

    Perodua Myvi 2022 – imej kit badan Gear Up bocor

    Secara asasnya, kit badan Gear Up ini bukan sahaja memberikan rupa lebih garang kepada Perodua Myvi facelift 2022, malah ia secara tidak langsung menjadikan warna badan model berkenaan berubah kepada tema dua-tona kerana diberikan kemasan-kemasan hitam yang cukup banyak.

    Anda rasa bagaimana? Sedap mata memandang atau Perodua memberikan imej yang terlalu melebih-lebih untuk kit badan Gear Up untuk Myvi 2022 ini?

     
     
  • Toyota Innova EV Concept terdedah awal sebelum pengenalan rasmi di IIMS – asas model generasi kedua

    Toyota Innova EV Concept terdedah awal sebelum pengenalan rasmi di IIMS – asas model generasi kedua

    Indonesia International Motor Show (IIMS) 2022 sudah bermula hari ini, dan salah satu kenderaan yang dipamerkan adalah Toyota Kijang Innova EV Concept ini. Menggunakan asas daripada Innova generasi kedua yang sekarang dijual di Malaysia, Indonesia dan Thailand, model ini mungkin adalah salah satu daripada 10 kereta elektrik yang akan dilancarkan oleh Toyota di Indonesia.

    Melihat kepada rekaan, model konsep ini menggunakan cat warna putih berserta hiasan grafik berwarna biru, berserta kemasan biru pada lampu hadapan, lampu belakang serta lencana Toyota di gril. Sama seperti kebanyakan EV hari ini, bahagian gril itu sebahagian besarnya adalah tertutup dan rekaan bampar diubah sedikit manakala rim juga menggunakan rekaan khas.

    MPV ini sebenarnya masih belum didedahkan secara rasmi, tetapi gambarnya sudah beredar dan kami peroleh daripada Instagram Autonetmagz, Indra Fathan dan Hillarius Satrio. Anda juga boleh melihat bahagian dalam Innova EV Concept ini mempunyai panel instrumen baru yang nampak lebih moden dan mempunyai meter Eco. Satu yang pelik, ia masih mempunyai meter rpm.

    Informasi tambahan dipaparkan pada skrin infotainmen, termasuk status penggerak elektriknya (tahap bateri, baki jarak gerak dan kuasa yang disampaikan), kelajuan serta “gear” atau mod yang sedang digunakan.

    Memandangkan ini masih adalah model konsep, ia mungkin tidak menggambarkan sepenuhnya model yang akan ditawarkan kepada pasaran sekiranya Toyota mahu menjadikan Innova menggunakan penggerak elektrik sepenuhnya. Kami masih belum ada spesifikasi penuh model konsep ini sekarang, tetapi apabila ada nanti, kami akan tambah.

     
     
  • Jalan Yong Shook Lin di PJ akan ditutup pada 1 April

    Jalan Yong Shook Lin di PJ akan ditutup pada 1 April

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah umumkan akan berlangsungnya Program Santai Budaya Kota Seni PJ 2022 pada 1 April. Acara berkenaan akan diadakan di Seksyen 52 atau lebih dikenali dengan nama PJ State.

    Untuk itu, jalan utama di sekitarnya — iaitu Jalan Yong Shook Lin — akan ditutup kepada lalu lintas bermula tengah hari hingga tengah malam. Laluan yang ditutup itu berhadapan dengan Laman MBPJ. Satu lorong belakang di Jalan 52/18 juga akan ditutup.

    Sebagai alternatif, laluan trafik akan dialihkan, dengan kenderaan dari Jalan Yong Shook Lin (Menara PKNS) akan dihalakan ke Jalan RU 7/1 (bersebelahan IJM). Kenderaan akan melakukan pusingan di belakang Dewan Sivik di Jalan Taman 7/6 dan kembali ke Jalan Yong Shook Lin sebelum stesen Shell.

    Kepada yang akan melalui jalan itu, harap peka dengan alihan lalu lintas berkenaan.

     
     
  • Mazda kata tiada model MPS walau kembali ke RWD

    Mazda kata tiada model MPS walau kembali ke RWD

    Mazda sekali lagi memaklumkan dengan jelas yang syarikat itu tidak akan menghidupkan semula jenama prestasi MPS (Mazda Performance Series), yang turut dikenali sebagai Mazdaspeed di sesetengah pasaran. Hal ini diutarakan oleh Pengurus Pemasaran Mazda Australia, Alastair Doak yang memaklumkan Which Car?; “Saya fikir arah tuju penawaran prestasi kami akan melonjak dengan CX-60; unit plug-in hybrid berkenaan menghasilkan 234 kW dan tangkas.”

    SUV yang dimaksudkan itu didedahkan awal bulan ini dan dibina menggunakan platform pacuan belakang serba baru (Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture) yang sangat penting buat Mazda. Penawaran lain dengan RWD ketika ini ialah MX-5 yang menggunakan platform N Mazda, dan trak pikap BT-50 terkini dari Isuzu.

    CX-60 akan diperkenalkan dengan sistem janaan plug-in hybrid pacuan semua roda yang menjana 327 PS (323 hp) dan 500 Nm, menjadikannya kereta paling berkuasa yang pernah di hasilkan Mazda. Enjin enam-silinder akan diperkenalkan kemudian dan mungkin untuk RWD sahaja.

    Mazda kata tiada model MPS walau kembali ke RWD

    Dengan prestasi atas kertas seperti itu, Mazda tidak merasakan ada keperluan untuk menghadirkan semula sayap prestasi untuk memuaskan hati penggemar jenama itu. Ini termasuk untuk menghasilkan versi prestasi untuk C-5 atau mana-mana model semasa yang ada. “Itu mungkin menarik, tetapi jumlahnya nanti akan jadi terlalu kecil,” ujar Doak.

    “Jika kami meningkatkan lagi penawaran prestasi berbanding apa yang ada ketika ini, itu mungkin akan ok, tambahan pula kami ada platform RWD sekali lagi, yang akan menjadi kelebihan kepada kami,” tambah beliau, mencadangkan yang Mazda sudah mempunyai penawaran prestasi yang agak baik untuk model-model akan datang.

    Ini tidak bermakna Mazda langsung tiada barisan model prestasi ketika ini. Selain CX-60, syarikat itu juga ada Mazda 3, CX-5 dan CX-30 dengan versi turbocas walaupun semua ini bukan model MPS, yang bertanggungjawab terhadap penalaan model seperti Mazda 3, Mazda 6, MX-5, Protégé dan RX-8, dengan penawaran terakhirnya adalah Mazdaspeed 3 generasi kedua yang telah dihentikan pada 2013 — turut dijual di Malaysia lama dulu.

     
     
  • Jalan TAR ditutup setiap Sabtu sepanjang April ini

    Jalan TAR ditutup setiap Sabtu sepanjang April ini

    Bulan Ramadan akan bermula Ahad ini, dan musim perayaan Aidilfitri pun bakal menyaksikan orang ramai membuat persiapan awal. Untuk itu, Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 oleh DBKL akan berlangsung di Lorong Tuanku Abdul Rahman bermula 9 April hingga 2 Mei 2022.

    Untuk itu, pasar malam yang biasanya diadakan setiap Sabtu di Lorong TAR berkenaan akan dialihkan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dari persimpangan Jalan Esfahan (Sogo) ke persimpangan Jalan Melayu. Dewan Bandaraya memaklumkan yang keseluruhan Jalan TAR akan ditutup kepada trafik setiap Sabtu sepanjang April nanti, melibatkan 9, 16, 23 dan 30 haribulan. Penutupan itu akan dilakukan bermula tengah hari hingga tengah malam.

    Jadi, jika tidak ingin terperangkap dalam kesesakan di tengah Kuala Lumpur, rancang perjalanan dan elakkan kawasan sekitar TAR pada setiap Sabtu. Jika perlu ke sana, pilihan yang terbaik mungkin dengan mengambil pengangkutan awam.

     
     
  • Malaysia-Singapura: Tiada kutipan tol di Tambak Johor dan Linkedua selama seminggu bermula 1 April

    Malaysia-Singapura: Tiada kutipan tol di Tambak Johor dan Linkedua selama seminggu bermula 1 April

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa kesemua kenderaan akan dikecualikan dari bayaran tol di kedua-dua pintu masuk darat antara Malaysia dan Singapura selama seminggu bermula 1 April ini, serentak dengan pembukaan sempadan berkenaan kepada umum, lapor Malay Mail.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob menyatakan bahawa kutipan tol di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru dan juga Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri akan dihentikan sementara dalam tempoh berkenaan.

    Menurutnya pengecualian tol untuk kesemua jenis kenderaan berkenaan adalah khusus untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui Touch ‘n Go, dan ia sah untuk kenderaan yang melalui kedua-dua plaza tol berkenaan dalam tempoh tujuh hari tersebut.

    Beliau menambah bahawa keputusan untuk mengecualikan sementara bayaran tol ini adalah untuk memastikan kelancaran trafik di kedua-dua plaza tol tersebut ketika sempadan dibuka semula. Inisiatif ini adalah tambahan kepada pengecualian caj jalan raya (CJ) kepada semua kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang masuk ke Johor melalui Tambak Johor dan Linkedua selama seminggu, seperti yang diumumkan tempoh hari.

    Menurut Ismail lagi, keputusan untuk mengecualikan bayaran tol ini akan memberikan manfaat kepada lebih dari 300,000 pemilik kenderaan yang merentas sempadan Malaysia-Singapura, dengan PLUS Malaysia menganggarkan 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia setiap hari menerusi Tambak Johor dan Linkedua apabila pintu sempadan berkenaan dibuka.

     
     
  • Honda Malaysia capai pengeluaran ke sejuta unit dari kilang Pegoh — Civic RS jadi model bertuah

    Honda Malaysia capai pengeluaran ke sejuta unit dari kilang Pegoh — Civic RS jadi model bertuah

    Selepas 20 tahun Honda Malaysia beroperasi di sini, syarikat itu kini melakarkan sejarah tersendiri melalui pencapaian 1 juta unit pengeluaran kenderaannya di Malaysia, dari kilang di Pegoh, Melaka. Syarikat itu memulakan pemasangan kenderaan tempatan di sini sejak 2003. Model Civic RS terbaru menjadi unit ke-1 juta yang dikeluarkan dan diraikan dalam majlis khas hari ini.

    Pencapaian ini sangat bermakna, dan disambut hanya selepas setahun Honda Malaysia mencatatkan satu lagi pencapaian lain yang sama penting, iaitu jualan ke-1 juta unit kenderaan mereka di negara ini sejak awal bertapak dahulu.

    Honda Malaysia membuka jalur pengeluaran No. 1 di kilang Pegoh pada Januari 2003. Ia memanfaatkan kawasan dengan keluasan keseluruhan 46,543 meter persegi dengan kapasiti pengeluaran 50,000 unit kenderaan setahun. Model Honda pertama yang dikeluarkan dari kilang ini adalah CR-V generasi kedua.

    Honda Malaysia capai pengeluaran ke sejuta unit dari kilang Pegoh — Civic RS jadi model bertuah

    Kemudian, pada Oktober 2013, Honda Malaysia mengeluarkan pula Jazz Hybrid melalui jalur No. 2 kilang ini yang dibangun di atas kawasan berkeluasan 49,190.5 meter persegi. Jalur pemasangan kedua ini mula dirasmikan pada Januari 2014, dan pertambahan itu melibatkan peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan di kilang Pegoh kepada 100,000 unit setahun.

    Ini membolehkan Honda memasang tujuh model berbeza untuk menepati permintaan pelanggan temaptan, termasuk — City, City Hatchback serba baru, Civic serba baru, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V. Kilang ini juga berkemampuan untuk memasang model berbeza dalam satu masa.

    Kilang ini juga mempunyai teknologi pemasangan yang setanding dengan kilang Honda di Jepun, bertujuan untuk mengeluarkan kenderaan dengan kualiti tinggi yang sama untuk dinikmati pelanggan. Untuk itu, Honda Malaysia banyak melabur untuk peralatan dan teknologi canggih di kilang Pegoh.

    Honda Malaysia capai pengeluaran ke sejuta unit dari kilang Pegoh — Civic RS jadi model bertuah

    Antara lain turun menampilkan teknologi maju seperti Laser Brazing untuk mendapatkan garis bumbung yang lebih halus dan kemas. Selain itu, teknologi Inner Frame Welding turut digunakan untuk mempertingkat ketahanan badan kereta, sementara Spray Polyurethane Foam mengurangkan kebisingan dan gegaran pada model kenderaan Honda.

    Menuju ke depan, Honda Malaysia akan terus memanfaatkan teknologi maju dalam pengeluaran kenderaannya, dengan menerapkan teknologi e:HEV, pengecas turbo VTEC, Honda Sensing dan Honda Connect ke dalam dalam barisan modelnya untuk melangkaui jangkaan pelanggan. Ini komitmen yang diberikan oleh jenama Jepun ini untuk pasaran tempatan.

    “Sokongan yang menggalakkan daripada semua pihak berkepentingan yang terlibat telah membantu Honda Malaysia terus bergerak ke depan dan membolehkan kami muncul sebagai pendahulu bagi segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional di sini untuk lapan tahun berturut-turut sejak 2014,” ujar Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025