Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Tular dua-tiga hari kebelakangan ini berkenaan satu pengedar kereta terpakai yang mempunyai stok Proton Satria GTi dengan jumlah yang banyak untuk dijual. Dan ramai yang dah tahu bahawa kesemua Satria GTi ini dijual pada harga rata iaitu RM45,000 setiap satu.

    Namun dengan rasa teruja yang meluap-meluap melihat sejumlah lapan unit Satria GTi dengan rupa stok kilang dikumpulkan sekali, dan kelihatan seperti bilik pameran USPD pada lewat 90’an, kami melawat sendiri bilik pameran pengedar berkenaan iaitu Karrus Automotive yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

    Seperti juga pengedar kereta import persendirian yang lain, perniagaan utama Karrus Automotive adalah membawa kereta-kereta sports dan mewah dari luar negara dengan AP. Tetapi dengan minat yang mendalam terhadap model-model ikonik dan bersejarah, syarikat tersebut telah menubuhkan divisi khas Karrus Classic bagi membawa model-model klasik dan moden klasik tak kira JDM, British Classic atau dari ceruk dunia mana sekalipun, selagi ia boleh di bawa masuk ke Malaysia menggunakan AP kereta klasik.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Dan Satria GTi ini antara projek Karrus Automotive buat masa sekarang. Menurut syarikat tersebut, Satria GTi mempunyai satu tempat istimewa dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Model ini dihasilkan oleh Proton bagi menunjukkan bahawa mereka adalah pemilik kepada Lotus ketika itu, dan membuktikan teknologi jenama kereta sport dari British berkenaan boleh disuntik pada model-model Proton bagi menjadikan ia sebuah kereta prestasi yang seronok dipandu.

    “GTi sangat bermakna untuk kebanyakkan peminat kereta di Malaysia, dan kami gembira kerana dapat merestorasi kereta-kereta ini dan ‘pulangkannya’ kembali ke tangan peminat-peminat sekali lagi. Peminat-peminat model ini mungkin 20 tahun lalu tidak mampu memilikinya, tetapi sekarang mereka boleh merealisasikan semula impian masa muda mereka. Ini adalah objektif kami,” kata Karrus Classis.

    Projek untuk mengumpulkan sejumlah besar Satria GTi ini bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Ia bermula dengan satu unit yang diperolehi dalam Selangor, dan ketika usaha mendapatkan alat-alat ganti bagi merestorasi kereta tersebut, maklumat berkenaan unit-unit lain yang hendak dijual turut mereka perolehi.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Memang banyak Satria GTi yang boleh kita lihat untuk dijual dalam pasaran kereta terpakai. Namun sama seperti Honda Civic Type R EK9 mahupun Integra Type R DC2, nak jumpa unit yang masih ‘dara’ tanpa sebarang ubahsuai adalah perkara yang sukar – bukan sahaja enjin mahupun suspensi yang telah ditukar, kebanyakkannya paling kurang pun rim mesti sudah bukan standard.

    Karrus Classic agak cerewet ketika mendapat kereta-kereta ini, dan unit-unit yang dibeli dari pelbagai negeri seperti Johor, Kelantan dan Pulau Pinang tersebut mestilah hampir standard. Setelah diperolehi, ia direstorasi semula oleh Karrus sebelum dijual kembali kepada pelanggan.

    Secara asasnya, kesemua Satria GTi yang diperolehi oleh Karrus ini akan menerima cat badan baharu, bersama lampu-lampu, perapi-perapi dan emblem (jika perlu) juga baharu. Ada unit yang mereka terima tidak datang dengan rim 16-inci standard Satria GTi, tetapi telah diberikan set rim baharu keluar dari kotak, dan ada juga diberikan rim yang direstorasi seperti baharu. Kesemua unit Satria GTi ini juga telah diberikan satu set tayar baharu Toyo Proxes TR1 bersaiz 205/45R16.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Sistem-sistem mekanikal dalam setiap unit Satria GTi ini juga telah diperiksa, disemak semula, dan segala komponen yang perlu diservis atau diperbaiki telah dibuat sebaiknya. Setiap enjin kereta-kereta ini juga telah dibuat ujian tekanan silinder bagi memastikan komponen-komponen dalaman berada dalam keadaan ‘sihat’.

    Malah Karrus turut membuat ujian jalan raya sejauh 100 km pada setiap Satria GTi berkenaan bagi memastikan ia tidak akan menimbulkan masalah kepada pemilik baharu kelak.

    Manakala untuk bahagian dalaman, komponen-komponen dalam kabin telah dibersihkan semula. Jika upholsteri tempat duduk Recaro Enjoy pada Satria GTi ini sudah terlalu teruk, ia akan dibalut semula. Karpet-karpet kaki digantikan dengan karpet baharu asli Satria GTi, dan mana-mana bahagian yang kurang akan dilengkapkan semula.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Malah ada unit yang masih kekal mempunyai pemain audio asli 2-Din Satria GTi dari Clarion yang masih berfungsi! Kesemua kereta ini juga diberikan kunci yang dibekalkan dengan unit kawalan jauh asli Proton dengan perumah baharu.

    Jadi walaupun kesemua kereta ini dijual pada harga RM45,000, keadaan bagi setiap unit kereta adalah berbeza. Oleh itu sekiranya anda mahu membeli unit Satria GTi yang tersedia ini, sebaik-baiknya datang sendiri ke bilik pameran Karrus Classic yang terletak di No. 6, Jalan Pendaftar U1/54, Temasya Industrial Park, Glenmarie, Shah Alam ini.

    Kalau tak pasti dengan apa-apa perkara, anda boleh hubungi En.Syazwan, pengurus jualan dan operasi Karrus Private Garage di talian 03-55699606, atau lawati akaun Instagram dan Facebook Karrus Classic.

    Jika dah sampai ke bilik pameran Karrus ini, jangan lepaskan peluang untuk lawat sekali koleksi kereta klasik moden di garaj Karrus tersebut, yang tampil dengan kondisi muzium! Dan jika anda mahukan maklumat, nasihat atau apa sahaja berkenaan untuk mengimport kereta-kereta begini, anda boleh hubungi Maikel di talian 1700 81 1911 yang kini mengetuai Karrus Classic.

    Sekiranya anda membeli mana-mana unit Satria GTi yang dijual oleh Karrus Classis ini, anda turut akan menerima satu fail yang bukan sahaja diisi dengan geran, malah segala rekod-rekod pembaikan, penukaran alat ganti dan lain-lain yang telah dibuat oleh Karrus. Gambar-gambar tolok tekanan ketika ujian tekanan yang dibuat pada setiap silinder enjin juga disertakan dalam fail berkenaan.

    Dalam hantaran yang tular baru-baru ini ada yang mendakwa bahawa walaupun Satria GTi dijual pada harga RM45,000, ia hanya dilindungi insuran dengan nilai RM5,000 sahaja. Karrus Classic menyatakan bahawa mereka boleh membantu pelanggan mendapatkan insuran dengan perlindungan lebih tinggi, setara dengan harga belian kereta berkenaan jika pelanggan mahu, dan sudah tentu bayaran premium lebih tinggi juga diperlukan.

    Insuran yang dimaksudkan adalah insuran di bawah skim insuran kereta klasik. “Syarikat insuran akan membuat semakan latar belakang terhadap sejarah tuntutan insuran pemohon. Namun mereka hanya akan menerima permohonan untuk kereta dengan kondisi terbaik seperti yang kami ada. Permohonan untuk kereta yang telah diubahsuai tidak akan diluluskan,” jelas Karrus Classic.

    Jadi berbaloi ke untuk sebuah Proton lama dibeli dengan harga RM45,000? Unit-unit yang dijual oleh Karrus Classic ini sudah tentu tidak sesempurna unit-unit Satria GTi mahupun model-model C99 lain yang direstorasi oleh Dream Street Restoration (DSR). Namun dengan harga lebih rendah, anda dapat menikmati sebuah Satria GTi dengan rupa luaran seperti kereta baharu, dan disahkan tiada apa-apa isu berkenaan mekanikal atau sistem-sistem lain.

    Seronok bila tengok makin ramai yang menghargai semula kereta-kereta lagenda yang dihasilkan oleh Proton ini seperti model-model ikonik JDM bukan? Jadi bagi mereka yang menyimpan hasrat untuk membeli Satria GTi masa sekolah menengah atau ketika di universiti dulu dan masih belum dapat sehingga kini, unit-unit yang disediakan oleh Karrus Classic ini antara opsyen yang boleh anda timbangkan untuk “membeli kembali masa muda” anda yang tidak kesampaian dahulu!

    GALERI: Koleksi kereta-kereta klasik moden lain di Karrus Private Garage

     
     
  • Volkswagen Das WeltAuto kini di sembilan pengedar di Malaysia – kereta terpakai dengan waranti lanjutan

    Volkswagen Das WeltAuto kini di sembilan pengedar di Malaysia – kereta terpakai dengan waranti lanjutan

    Program kereta terpakai global kendalian Volkswagen, Das WeltAuto, telah dilancarkan pada tahun 2019, yang menawarkan kepada pelanggan nilai yang lebih menarik bagi pemilikan mana-mana barisan kereta terpakai Volkswagen.

    Sehingga kini, Das WeltAuto telah pun terdapat di sembilan wakil pengedaran Volkswagen di seluruh negara, iaitu di Volkswagen Puchong, Volkswagen Tebrau, Volkswagen Skudai, Volkswagen Gombak, Volkswagen Juru, Volkswagen Alor Setar, Volkswagen Seremban, Volkswagen Glenmarie dan Volkswagen Ipoh.

    Walau bagaimana pun, pelanggan tidak perlu ke mana-mana wakil pengedar ini untuk memastikan sama ada ia ada stok mahu pun tidak, kerana anda boleh melihatnya menerusi katalog dalam talian Das WeltAuto di mana-mana jua anda berada. Anda juga boleh membuat temujanji untuk memandu uji kenderaan yang dipilih menerusi laman web terbabit.

    Melalui program ini, pelanggan tidak perlu bimbang kerana semua kenderaan yang disahkan oleh Das WeltAuto sudahpun melalui 133-poin pemeriksaan ketat dan menyeluruh, yang dijalankan serta disahkan oleh juruteknik berpengalaman Volkswagen sendiri.

    Jika sebarang komponen perlu ditukar, hanya alat ganti tulen sahaja yang akan digunakan untuk memastikan kereta terbabit kekal seperti mana spesifikasi pengilangan.

    Selain itu, semua model dan jenama diterima untuk tujuan tukar beli (trade-in) dan pelanggan juga bakal menikmati lanjutan jaminan dan bantuan tepi jalan selama setahun. Sebagai tambahan, pelanggan boleh menikmati manfaat Volkswagen Care Plus untuk kenderaan Volkswagen yang berusia lima tahun ke atas.

    Jika sudah muktamad mahu membelinya, pelanggan Das WeltAuto akan menikmati beberapa pilihan pembiayaan yang menarik termasuk dengan kadar faedah sewa beli yang setara dengan kenderaan baharu (tertakluk pada terma dan syarat).

    Program ini juga menawarkan penyelesaian sehenti tanpa kerumitan jika anda bercadang untuk menukar kenderaan sedia ada anda. Jika anda sedang mencari Volkswagen terpakai yang diperakui, Das WeltAuto sememangnya patut dipertimbangkan. Jika ingin mengetahui lebih lanjut mengenai prorgam ini, sila layarilaman web yang disediakan.

     
     
  • Projek Lebuhraya Pan Borneo akan ditambahbaik – PM

    Projek Lebuhraya Pan Borneo akan ditambahbaik – PM

    Bagi memantapkan lagi infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat jelata, selain meneruskan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan membina membina lebih banyak tebatan banjir, kerajaan juga telah memutuskan untuk menambahbaik pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak dan Sabah.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan, membabitkan sebanyak 15 pakej dengan kemajuan kerja ketika ini sudah mencapai 52% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024, laporan Berita Harian.

    “Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan membabitkan jajaran sepanjang 367 km dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

    “Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan membabitkan jajaran 786 km dan telah mencapai 78% kemajuan kerja setakat ini. Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB),” jelas beliau.

    Tambah beliau, pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara serta kesejahteraan rakyat.

    “Keputusan melaksanakan projek berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara,” katanya.

     
     
  • Kerajaan setuju laksana projek MRT3 – Ismail Sabri

    Kerajaan setuju laksana projek MRT3 – Ismail Sabri

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan telah pun bersetuju untuk melaksanakan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) selepas keputusan ini tertangguh sejak tahun 2018.

    “Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Juga dikenali sebagai MRT Circle Line, sistem keretapi berkenaan beroperasi secara automatik tanpa pengendali berperanan sebagai laluan penghubung kepada laluan MRT lain yang ada di Lembah Klang. Awalnya dijangka siap pada tahun 2025, laluan sepanjang 40 km itu akan meliputi kawasan Bandar Malaysia, Ampang, KL Eco City, Bukit Kiara dan Sentul.

    Sebelum ini, projek berkenaan terpaksa ditangguh memandangkan ia melibatkan kos pembinaan yang sangat tinggi iaitu mencecah RM50 bilion dan keputusan yang dibuat pada tahun 2018 itu juga atas faktor bebanan hutang negara yang meruncing.

    Walau bagaimana pun, keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri untuk meneruskan projek terbabit masih belum diperincikan, termasuk soal kos pembinaan dan juga mungkin terdapat perubahan rancangan lain untuk mengurangkan kosnya.

     
     
  • Mercedes-Benz EQA 2022 bakal tiba di M’sia – EQA250 dengan jarak EV lebih 400 km, di bawah RM300k?

    Mercedes-Benz EQA 2022 bakal tiba di M’sia – EQA250 dengan jarak EV lebih 400 km, di bawah RM300k?

    Nampak gayanya program elektrifikasi oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal bermula tidak lama lagi, ini kerana syarikat berkenaan telah pun mengeluarkan teaser menerusi Facebook mengesahkan model semua-elektrik pertamanya untuk negara ini bakal tiba tidak lama lagi.

    Model tersebut, EQA, boleh dianggap sebagai GLA versi tanpa emisi, dan merupakan model ketiga dalam barisan EQ selepas EQC dan EQV. Ia diperkenalkan di peringkat global pada Januari tahun lalu, dan untuk pasaran kita, ia ditawarkan dengan varian EQA 250 versi pacuan roda-hadapan.

    Ia menampilkan satu motor elektrik asynchronous di hadapan untuk memberikan 140 kW (190 PS) dan 375 Nm tork, sekaligus membenarkan ia memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa 8.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 160 km/j. Bateri lithium ion 66.5 kWh yang digunakan mampu memberi jarak gerak 426 km.

    Mercedes-Benz EQA 2022 bakal tiba di M’sia – EQA250 dengan jarak EV lebih 400 km, di bawah RM300k?

    EQA boleh dicas menggunakan kuasa AC sehingga 11 kW, tetapi waktu mengecas bergantung kepada insfrastruktur yang digunakan. Jika menggunakan pengecas AC 11-kW, ia mengambil masa sekitar lima jam 45 minit untuk pengecasan penyg. Malahan ia juga boleh menerima kuasa daripada pengecas pantas DC sehingga 100 kW, yang akan mengambil masa untuk mengecas dari 10% ke 80% dalam masa cuma setengah jam sahaja.

    Pengeluar kereta ini juga memiliki dua versi pacuan empat-roda, iaitu EQA 300 4Matic dan EQA 350 4Matic, yang diperkenalkan pada pertengahan tahun lalu. Model motor-berkembar ini menawarkan kuasa 225 hp (228 PS atau 168 kW) dan tork 390 Nm untuk EQA 300, dan 288 hp (292 PS atau 215 kW) dan 520 Nm bagi EQA 350.

    Tiada harga jangkaan diberikan buat masa ini, namun jika di Australia, EQA 250 bermula dari AUD76,800 (RM236,500), sementara di UK pula ia berharga dari £45,645 (RM255,000), jadi bolehlah dijangka EV ini mungkin berharga di bawah RM300k untuk pasaran kita, termasuk pengecualian cukai untuk EV. Mungkin harganya tidak jauh berbeza dengan GLA 250 CKD versi petrol (berharga RM271,164 buat masa ini).

    Bagi EQS yang telah lama diuar-uarkan menjadi model EQ terawal bakal diperkenalkan di sini, namun ternyata ia masih tertangguh disebabkan ia mendapat permintaan yang tinggi di pasaran global. Walau pun, ia akan tetap diperkenalkan di sini, cuma belum tahu bila waktunya.

    November tahun lalu, Timbalan Presiden bagi pemasaran dan jualan MBM, Michael Jopp berkata, jangkaan model ini bakal diperkenalkan adalah tidak lama selepas pengumuman mengenai rancangan membawa masuknya ke pasaran tempatan. Jadi, dengan kemunculan teaser EQA ini, pastinya detik pelancarannya bakal menjelang tiba bila-bila masa dalam waktu terdekat ini.

     
     
  • Dongfeng Seres 5 akan dilancar di Thailand tahun ini

    Dongfeng Seres 5 akan dilancar di Thailand tahun ini

    Dongfeng Seres 5, atau turut dikenali dengan nama Huawei Seres SF5 untuk pelancaran di pasaran Thailand pada 2022, akan disertai juga oleh Seres 3 tahun ini, lapor Headlight Magazine.

    Seres SF5 membuat kemunculan pertamanya di Auto Shanghai April tahun lalu, dengan penawaran dua varian untuk pasaran China; varian dengan motor tunggal pada 216,800 yuan (RM137,287) serta varian dwi-motor pada harga 246,800 yuan (RM156,334).

    Apa yang menarik, Headlight Magazine melaporkan yang Seres 5 juga akan diberi pilihan untuk dua versi janaan elektrik; motor tunggal pada gandar belakang dengan 347 PS dan 520 Nm tork yang mendapatkan kuasa daripada bateri lithium-ion 88 kWh. Yang kedua ialah versi dwi-motor dengan tambahan satu lagi unit motor yang sama di gandar depan untuk pacuan semua roda.

    Seres 5 boleh menggunakan pengecas Type 2 pada 11kW AC, dan pengecas CCS bagi pengecas DC hingga 100 kW. Dalam kaedah kedua ini, pengecasan 0-80% boleh dilakukan dalam masa hanya 30 minit, menurut majalah berkenaan. Ini membolehkah Seres 5 memberikan jarak perjalanan 500 km di bawah protokal NEDC, atau 430 km dengan piawaian WLTP.

    Dongfeng Seres 5 akan dilancar di Thailand tahun ini

    Menurut penerbitan itu lagi, Seres 5 mendakwa pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 3.5 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Sebagai perbandingan, versi dwi-motor Huawei Seres SF5 menawarkan janaan 551 PS dan 820 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.

    Bagi Huawei Seres SF5, ia memanfaatkan motor elektrik SEP200 di depan, sementara di belakang menggunakan sistem pacuan elektrik semua dalam satu Huawei DriveOne, yang mempertemukan komponen mekanikal dan kuasa dalam satu unit, termasuk unit kawalan mikro, motor, reducer, pengubah DC, pengecas dalaman, unit agihan kuasa dan unit kawalan bateri.

    Dengan itu, Huawei Seres SF5 memberikan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 180 km mengikut protokol NEDC, atau mececah 1,000 km jika turut menggunaan enjin pembakaran dalaman range-extender 1.5 liter turbo empat-silinder. Antara Dongfeng Seres 5 dan model Huawei yang sama itu, kedua-duanya mempunyai ukuran yang sama; 4,700 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,625 mm tinggi dan 2,875 mm jarak antara roda.

    Kelengkapan keselamatan dalam Huawei Seres SF5 termasuklah radar gelombang-milimeter terperinci, radar ultrasonik, kamera keliling dan sensor lain yang membolehkan ciri autonomous Tahap 2. Ciri aktif lain pula termasuklah bantuan kesesakan jalan, kawalan melayar adaptif, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan automatik, bantuan ke tengah lorong dan lain-lain.

    Dongfeng Seres 5 akan dilancar di Thailand tahun ini

    Untuk Huawei Seres SF5, skrin menegaknya membolehkan capaian kepada sistem HiCar dengan OS Harmony oleh Huawei, versi buatan China bagi ecosistem sambungan dalam kenderaan seperti Google dan Apple. SF5 juga dilengkapi dengan 11-pembesar suara sistem Huawei Sound, serta kaca kalis bunyi dua lapis dan ciri penabatan bunyi yang lain, memberikan kadar kesenyapan kabin pada tahap 38 desibel.

    Sebagai tambahan kepada Seres 5 serta Seres 3 EV yang akan dilancarkan di Thailand tahun ini, Dongfeng juga akan menlancarkan model elektrik sepenuhnya yang ketiga pada 2023, lapor Headlight Magazine.

     
     
  • Harga minyak dunia tertinggi dicatatkan sejak 2013

    Harga minyak dunia tertinggi dicatatkan sejak 2013

    Sejak Rusia menyerang Ukraine beberapa minggu lalu, harga minyak mentah dunia kian melonjak. Antara isu yang mempengaruhi harga tersebut ialah masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan memandangkan banyak negara mengenakan sekatan terhadap Rusia.

    Petang semalam, Reuters melaporkan niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak sebanyak 3.62% kepada AS$117 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat 3.44% kepada AS$114.40 setong. Sebelum ini, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi AS$118.22 setong, sekaligus rekod yang tertinggi sejak Februari 2013.

    Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) seperti yang dilaporkan oleh CNBC, Rusia ialah pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global. Walau bagaimana pun, banyak negara mengambil keputusan untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia termasuk sektor eksport minyak dan gas.

     
     
  • PACE 2022: Dekati model dinamik Volkswagen Arteon — kemasan R-Line, kuasa 280 PS, 4Motion AWD

    PACE 2022: Dekati model dinamik Volkswagen Arteon — kemasan R-Line, kuasa 280 PS, 4Motion AWD

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org akan menjadi tempat di mana anda boleh menemukan tawaran terbaik bagi kereta premium baru dan terpakai. Ia akan berlangsung dari 19-20 Mac 2022 bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Dengan tempoh pengecualian SST untuk kenderaan yang masih berbaki hingga 30 Jun nanti, kini adalah masa terbaik untuk pembeli menikmati lebih penjimatan. Pembeli di PACE juga akan menikmati tawaran istimewa lainnya, serta banyak hadiah untuk dimenangi.

    Antara kenderaan yang akan dipamerkan di PACE ialah Volkswagen Arteon, yang ditawarkan dalam tingkat kemasan R-Line yang sporty, dengan penjimatan sepenuhnya daripada pengecualian cukai memandangan ini model pemasangan tempatan.

    Tampil sangat bergaya, Arteon mempunyai banyak daya penarik. Enjin EA888 2.0 liter turbocas empat-silindernya menghasilkan 280 PS dan 350 Nm tork, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

    PACE 2022: Dekati model dinamik Volkswagen Arteon — kemasan R-Line, kuasa 280 PS, 4Motion AWD

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan klac basah, dengan pacuan semua roda melalui sistem 4Motion yang disediakan. Ciri seperti Dynamic Chassis Control (DCC) juga didatangkan standard, memberikan pilihan mod pemanduan yang pelbagai dengan perwatakan pemanduan yang berbeza.

    Di dalam, kabin antara lain menampilkan kerusi balutan kulit Nappa, sistem kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi depan larasan kuasa, kluster instrumen Digital Cockpit dengan sistem bunyi Harman Kardon 12-pembesar suara. Ini disambungkan kepada sistem infotainmen dengan skrin sentuh Discover Pro 9.2-inci dengan App-Connect tanpa wayar — untuk sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Jenama yang ikut serta termasuklah Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta.

    Seperti biasa, membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022: Dekati model dinamik Volkswagen Arteon — kemasan R-Line, kuasa 280 PS, 4Motion AWD

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • PACE 2022: Land Rover Defender 90 juga dipertonton

    PACE 2022: Land Rover Defender 90 juga dipertonton

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org kembali tahun ini, dengan akan berlangsung pada 19-20 Mac di Setia City Convention Centre (SCCC). Sepanjang dua hari ia berlangsung, anda akan dapat menikmati pelbagai tawaran untuk kereta premium bukan sahaja baru, tetapi juga terpakai.

    Bagi yang membeli kenderaan di acara ini, anda bukan sahaja akan disediakan dengan pelbagai kelebihan dan hadiah menarik, tetapi juga yang lebih penting, adalah penjimatan yang diperoleh daripada pengecualian cukai yang masih lagi berlangsung sehingga 30 Jun ini, iaitu 50% bagi kenderaan CBU dan 100% bagi kenderaan CKD.

    Jika anda sukakan sesuatu yang lasak dan berminat dengan Defender generasi terbaru, ia juga akan berada di PACE sepanjang dua hari ia berlangsung, dan lebih istimewa lagi, dalam versi Defender 90. Model generasi L663 ini tiba di Malaysia Oktober lalu dalam versi Defender 110 lima pintu, dan sekarang, Defender 90 ini pula menyediakan satu lagi pilihan yang lebih ranggi bagi SUV tersebut.

    PACE 2022: Land Rover Defender 90 juga dipertonton

    Untuk pasaran kita, Defender 110 L663 ditawarkan dalam pilihan dua enjin petrol, iaitu 2.0L Ingenium empat-silinder dan 3.0L MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) enam-silinder. Untuk enjin 2.0L, ia mampu memberikan kuasa sehingga 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.1 saat.

    Manakala enjin 3.0L MHEV pula, ia menampilkan twin-scroll turbocharger dan supercharger 48-volt yang berkemampuan menghamburkan kuasa yang lebih padu sehingga 400 PS dan tork 500 Nm. dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Sekali gus membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat. Kedua-dua varian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dengan transfer-case dua-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua roda.

    Selain Defender 90 ini, pelbagai lagi model Land Rover akan dibawa ke PACE 2022, dan apabila anda membeli sewaktu acara ini, pelbagai hadiah serta tawaran boleh dinikmati.

    PACE 2022: Land Rover Defender 90 juga dipertonton

    Setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Jenama lain yang akan menyertai PACE 2022 adalah seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Ford dan Hyundai. Bukan setakat kereta, BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan berada di acara ini. Jadi, jangan lupa, 19 dan 20 Mac ini!

     
     
  • Yamaha bakal lancar skuter elektrik Neo’s dan E01

    Yamaha bakal lancar skuter elektrik Neo’s dan E01

    Dalam masa beberapa minggu lagi, Yamaha akan melancarkan dua buah skuter elektrik di Eropah, iaitu Neo’s dan E01. Meskipun sudah banyak membekalkan penggerak elektrik kepada syarikat lain, termasuklah untuk basikal, dua model ini sebenarnya adalah antara motosikal elektrik terawal bagi Yamaha.

    Pernah ditunjukkan sebagai sebuah prototaip dipanggil E02 di Tokyo Motor Show 2019, Neo’s adalah sebuah skuter elektrik kapasiti rendah yang kuasanya boleh disamakan seperti skuter enjin biasa 50 cc. E01 pula, menurut Yamaha lebih seperti skuter 125 cc.

    Kedua-dua model elektrik ini mempunyai bentuk biasa sebuah skuter, tetapi diterapkan dengan rekaan yang lebih moden. Bagi Neo’s kita boleh melihat kelengkapan yang lebih ringkas, termasuk brek cakera di hadapan serta panel meter bulat kecil sahaja, sementara E01 mendapat brek cakera di belakang, pacuan tali sawat, panel instrumen lebih besar serta tempat duduk yang lebih luas.

    Yamaha bakal lancar skuter elektrik Neo’s dan E01

    Perincian lanjut dua skuter elektrik ini masih belum didedah, dan E01 juga masih belum mempunyai nama sebenar, tetapi Yamaha mahu menunjukkan kebolehgunaannya melalui kerjasama dengan syarikat perkongsian kenderaan di bandar-bandar besar Eropah. Menurut Presiden dan CEO Yamaha Motor, Eric de Seynes, pengenalan skuter elektrik ini adalah sebahagian daripada perancangan untuk “memberi inspirasi kepada pelanggan generasi baru.”

    Bersama dengan Neo’s dan E01, Yamaha juga akan melancarkan B01, iaitu prototaip model hibrid yang menggabungkan fungsi basikal elektrik dengan prestasi sebuah moped. Model ini adalah satu konsep yang direka oleh Yamaha Motor Europe bersama rakan kongsi jangka masa panjang mereka, iaitu Fantic Motor dan Motori Minarelli.

     
     
  • HLYM siar teaser model Yamaha baru “Evolusi Penakluk” – mungkinkah LC135 dengan EFI, 8 Mac ini?

    HLYM siar teaser model Yamaha baru “Evolusi Penakluk” – mungkinkah LC135 dengan EFI, 8 Mac ini?

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melalui laman media sosial mereka hari ini telah menyiarkan satu video teaser yang memberi petunjuk ketibaan sebuah model baru dengan tajuk “Evolusi Penakluk, Kuasa Baharu.”

    Video selama 15 saat itu cuma menampakkan bahagian roda hadapan motosikal tersebut, tetapi melalui saiznya, kita boleh menjangka ia adalah sebuah kapcai, dengan brek cakera yang mempunyai angkup satu piston serta rim jenis aluminium. Pada penghujung video, tertulis tarikh 8-3-2022 yang berkemungkinan adalah hari ia akan dilancar.

    Tiada petunjuk lain yang boleh didapati daripada video ini, tetapi berdasarkan spyshot yang sudah banyak tersebar di seluruh internet, kita boleh menjangka ini mungkin adalah LC135 versi baru dengan enjin yang dipertingkat.

    Yamaha LC135 sudah berada dalam pasaran Malaysia lebih daripada 10 tahun, dan sehingga sekarang, ia masih menjadi pilihan ramai pengguna meskipun tiada banyak perubahan pada enjinnya – satu silinder 134 cc dengan sistem bahan api karburetor dan transmisi empat kelajuan (versi lima kelajuan juga pernah dikeluarkan, tapi dalam tempoh yang terhad).

    Paling baru ia diberikan peningkatan adalah pada tahun 2019, di mana panel badannya mengalami sedikit perubahan, sementara pada tahun 2021, pilihan warnanya diperbaharui. Harga terkini LC135 (tahun 2020) adalah RM6,868 tidak termasuk insurans).

    Jika benar teaser ini adalah untuk LC135 baru seperti dalam gambar spyshot, kita boleh menjangkakan kelengkapan lain seperti brek cakera depan dan belakang, meter gabungan LCD dan analog serta panel badan serba baru.

     
     
  • Lamborghini Aventador LP 780-4 Ultimae dilancar di Malaysia – dari RM1.8 juta tidak termasuk cukai

    Lamborghini Aventador LP 780-4 Ultimae dilancar di Malaysia – dari RM1.8 juta tidak termasuk cukai

    Bersekali dengan pembukaan bilik pameran baru di Glenmarie, Shah Alam hari ini, Lamborghini Kuala Lumpur juga telah melancarkan Aventador LP 780-4 Ultimae untuk pasaran, pada harga asas RM1.8 juta untuk versi coupe dan RM1.9 juta untuk versi roadster. Harga ini tidak termasuk cukai, insurans, pendaftaran dan aksesori tambahan lain.

    Dalam pasaran sedunia, model yang dikeluarkan sebagai tanda pengakhiran bagi Aventador ini hanya dihasilkan sebanyak 350 unit bagi versi coupe dan 250 unit bagi versi roadster. Ia juga adalah Lamborghini berenjin V12 tanpa bantuan elektrik yang paling berkuasa pernah dikeluarkan.

    Gelaran ini datang hasil daripada penggunaan enjin V12 NA 6.5 liter yang ditala khas untuk memberikan 40 PS (39 hp) lebih berbanding Aventador S, dan 10 PS (10 hp) lebih berbanding Aventador SVJ, dengan jumlah kuasa keseluruhan 780 PS (769 hp) pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm.

    Sama seperti model Aventador yang lain, enjin model keluaran terhad ini dipadankan bersama kotak gear Independent Shifting Rod (ISR) tujuh kelajuan, serta sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 2.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 355 km/j.

    Pelbagai cara dibuat untuk meringankan kereta ini, sekaligus menjadikan beratnya cuma 1,550 kg bagi versi coupe, iaitu kurang 25 kg berbanding Aventador S. Brek seramik karbon digunakan untuk menghentikan kereta ini, dan daripada kelajuan 100 km/j, ia boleh berhenti dalam jarak cuma 30 meter.

    Aspek rekaan Ultimae banyak menggunakan elemen daripada Aventador S dan SVJ, tetapi beberapa bahagian diubah menjadi lebih unik dengan mengambil kira kepentingan aerodinamik serta sistem penyejukan, seperti bampar dan splitter.

    Lamborghini Aventador LP 780-4 Ultimae dilancar di Malaysia – dari RM1.8 juta tidak termasuk cukai

    Model ini tidak mempunyai bonet berlubang serta sayap yang besar di belakang seperti SVJ, tetapi ia dipasang dengan ekzos yang keluar lebih tinggi serta diffuser gentian karbon yang bekerjasama dengan sayap belakang jenis aktif.

    Bahagian elektronik utama yang menjaga operasi kereta ini dipanggil sebagai Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva (LDVA), di mana ia menguruskan sistem seperti Lamborghini Dynamic Steering (LDS), four-wheel steering, suspensi aktif serta sistem pacuan semua roda, untuk memberikan dinamik yang terbaik dalam apa jua keadaan.

     
     
  • Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

    Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

    Selepas dipisahkan dari Volvo untuk bergelar sebagai pengeluar kereta sport bebas oleh Geely pada 2017, Polestar kemudiannya memperkenalkan model Polestar 1 dan Polestar 2 menampilkan rekaan yang masih nampak sangat ‘Volvo’. Namun pada April 2020, jenama tersebut mendedahkan model konsep yang digelar Polestar Precept dengan rekaan yang jauh berbeza dari Volvo, dan kemudian rupa versi produksinya ditunjukkan pada November tahun lalu dan disahkan digelar sebagai Polestar 5, dijangka bakal dilancarkan pada 2024 .

    Dan sekarang, Polestar mendedahkan satu lagi model konsep dengan rupa tersendiri tanpa sebarang pengaruh Volvo, digelar sebagai Polestar O2. Kereta sport ini dihasilkan sebagai model empat tempat duduk dengan garis bumbung seakan Nissan Z, serta boleh berubah menjadi sebuah roadster dengan diberikan bumbung hard top yang boleh dibuka dan dilipat.

    Menurut Polestar, O2 dihasilkan dengan kerangka binaan aluminium terikat. Teknologi yang menghubungkan binaan aloi dengan bahan pelekat tanpa sebarang kimpalan berkenaan sebelum ini diketahui digunakan secara meluas oleh jenama kereta sport British iaitu Lotus. Jadi disebabkan Lotus juga di bawah Geely, berkemungkinan Polestar menerima teknologi tersebut dari Lotus.

    Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

    Malah, struktur casis untuk O2 ini sebenarnya diadaptasi dari casis Polestar 5, yang dibangunkan di fasiliti R&D Polestar di Coventry, England, hanya 200 km dari ibu pejabat Lotus yang terletak di Hethel.

    O2 menampilkan rekaan muka signatur terkini Polestar sama seperti Polestar 5. Oleh itu, lampu hadapannya dihasilkan dengan jalur LED seperti berbentuk-T, atau lebih spesifik berbentuk “tukul Thor” serta muncung yang tirus tanpa sebarang gril. Bampar hadapan kereta sports ini diberikan apron yang agresif bersama liang kemasukan udara nipis bersama spoiler di bawah.

    Bampar berkenaan turut memberikan liang udara untuk mengalirkan udara ke dalam ruang roda hadapan. Dengan badan yang direka hanya menampilkan dua-pintu, O2 diberikan jarak roda yang jauh lebih pendek dari Polestar 5. Manakala di belakang lampunya direka ringkas dan sangat nipis, digandingkan dengan bampar yang menampilkan diffuser yang agak besar.

    Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

    Seperti yang dinyatakan tadi, bumbung Polestar O2 ini boleh dibuka, dan ia dilipat kemas bagi disorokkan dibawah penutup yang nampak seperti kulit kerang di belakang. Rupa luaran kereta sport ini dilengkapkan dengan set roda yang menampilkan rim gergasi bersaiz 22-inci.

    Pada sebelah dalam, rekaan O2 ini dilihat hampir sama dengan kabin Precept tetapi dengan ruang kaki belakang yang jauh lebih kecil. Ia tampil dengan papan pemuka minimalis dengan elemen melintang bersama skrin sesentuh potret bersaiz 15-inci, paparan instrumen digital yang nipis, perehat tangan tengah terapung, dan empat tempat duduk bucket dengan tali keledar berwarna emas.

    Menurut Polestar, komponen-komponen dalaman pada O2 ini dihasilkan dari bahan “mono-material” yang boleh dikitar semula. Ini bermaksud setiap komponen dihasilkan dengan hanya satu material asas – contohnya, kesemua bahagian sentuhan lembut diperbuat dari polyester yang dikitar semula, termasuk busa, bahan perekat, gentian kait-3D dan juga lapisan bukan tenunan. Ini membolehkan kesemua komponen tersebut dikitar semula dengan mudah dalam masa yang sama mengurangkan berat dan sisa buangan.

    Bukan sahaja untuk komponen dalam kabin, malah kaedah yang sama turut dibuat pada binaan aluminium kereta ini. Pelbagai logam dengan gred berlainan digunakan pada O2 ini dilabelkan, membolehkan ia dikitar semula dengan lebih efektif serta mengekalkan karekteristik masing-masing. Ini membolehkan material-material berkenaan digunakan semula dengan penggunaan aluminium asli yang lebih sedikit.

    Logam berlainan gred tersebut digunakan untuk memberikan kadar ketegaran badan yang lebih baik bagi meningkatkan tindak balas dinamik pada kereta berkenaan. Polestar mendakwa bahawa O2 menampilkan pengendalian yang baik menerusi sudut olengan yang kecil bersama redaman olengan yang tinggi, serta stereng dengan rasa terus dan linear bersama binaa tork stereng yang baik.

    Polestar turut menyatakan bahawa mereka telah menala casis O2 ini bagi memberikan rasa “hidup, ringan dan penuh keyakinan.” Buat masa sekarang Polestar masih belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal, termasuk unit rangkaian kuasa yang digunakan, mahupun apa-apa angka prestasi.

    Satu lagi ciri yang agak menarik pada Polestar ini adalah ia dilengkapi dengan dron yang disembunyikan di bawah tempat duduk belakang. Dron berkenaan dibangunkan bersama Hoco Flow, iaitu jenama milik Aerofugia (syarikat yang diwujudkan dengan kerjasama Geely dan pembuat ‘kereta terbang’ Terrafugia yang juga kini milik Geely).

    Dron tersebut boleh diterbangkan untuk merekodkan video kereta ini ketika ia sedang bergerak. Pemandu boleh memilih mod “atmospheric sequence” yang lebih lebar atau “action-filled sequence” bagi memberikan rupa yang lebih sporty kepada kereta tersebut dalam rakaman berkenaan.

    Dron ini juga mampu terbang dengan kelajuan sehingga 90 km/j serta boleh terbang pulang kereta secara automatik. Rakaman video yang diperoleh dari dron berkenaan boleh diedit dan dikongsi menerusi skrin utama Polestar O2 ini ketika ia tidak bergerak.

     
     
  • Honda RS150R diberi peningkatan – harga RM8,299

    Honda RS150R diberi peningkatan – harga RM8,299

    Honda RS150R versi facelift (V2) yang dilancarkan pada tahun 2020 kini diberikan peningkatan untuk pasaran Malaysia. Ia bermula dengan warna baru, iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan Radiate Grey Metallic, dijual pada harga RM8,299 tidak termasuk insurans.

    Enjin satu silinder DOHC 149.16 cc dengan sistem penyejukan cecair pada model ini masih lagi sama, tetapi ia kini mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm (sebelum ini 15.6 PS pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm), dan kini mematuhi tahap emisi Euro 4.

    Melengkapkan penampilan yang lebih segar serta sedikit larasan pada enjin ini adalah ekzos rekaan baru, yang lebih sporty. Selain daripada itu, kelengkapan RS150R ini masih lagi sama seperti sebelum ini.

    Honda RS150R menggunakan transmisi enam kelajuan, dan kelengkapan lainnya adalah termasuk panel meter digital LCD, tangki bahan api 4.5 liter, rim 17 inci dengan tayar 90/80 di depan dan 120/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang, fork teleskopik, pemula enjin jenis elektrik serta monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Selain RS150R ini, Boon Siew Honda juga ada menjual satu lagi model yang menggunakan kelengkapan serta enjin yang sama, iaitu RS-X, tetapi datang dengan panel badan lebih sporty. Ia dijual pada harga RM8,688 tidak termasuk insurans (harga waktu pelancaran November lalu).

     
     
  • Proton X50 cecah 100,000 unit tempahan keseluruhan

    Proton X50 cecah 100,000 unit tempahan keseluruhan

    SUV paling laris untuk tahun 2021 kini telah mencipta satu lagi kejayaan, apabila Proton mengumumkan X50 telah mencecah lebih 100,000 tempahan sejak ia dilancarkan pada Oktober 2020.

    Walau pun produksinya terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, namun permintaan terhadap SUV itu kekal utuh. Pada 2021, Proton telah menghantar 28,774 unit X50, menjadikan ia model kedua terlaris bagi keluaran syarikat berkenaan selepas Saga.

    Selepas melepasi angka 4,000 unit pada November, jualan bagi X50 mendadak pada Disember, dengan mencatatkan sejumlah 4,310 unit yang terjual. Sekaligus membuatkan kedua-dua SUV keluaran Proton termasuk X70 telah mencecah 40% untuk jualan keseluruhan jenama ini pada tahun lalu.

    Susulan jualan yang menurun pada Januari, di mana hanya 2,601 unit SUV yang dapat dihantar disebabkan produksi yang terjejas akibat banjir besar pada Disember lalu, kini jualannya kembali meningkat. Sebanyak 3,002 unit telah terjual pada Februari, dan X50 terus menduduki tangga teratas dalam segmennya.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025