Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Triumph Speed Twin Breitling dikeluarkan hanya 270 unit – pemilik juga boleh dapatkan jam keluaran khas

    Triumph Speed Twin Breitling dikeluarkan hanya 270 unit – pemilik juga boleh dapatkan jam keluaran khas

    Triumph telah melakukan kerjasama dengan pengeluar jam terkemuka, Breitling, untuk menghasilkan model keluaran terhad Speed Twin Breitling. Hanya 270 buah model ini akan ditawarkan kepada pasaran, dan pemilik juga diberikan pilihan untuk mendapatkan jam Breitling Top Time Triumph yang dikeluarkan khas mengikut konsep sama seperti motosikal tersebut.

    Perkara pertama yang boleh dilihat terus pada model istimewa ini adalah warna Polychromatic Blue, iaitu warna yang dibancuh khas mengikut inspirasi daripada model Triumph Thunderbird 6T tahun 50-an, bersama jalur hitam yang dicat menggunakan tangan.

    Sebagai sebuah model kolaborasi, model ini datang dengan perincian khas seperti balutan kulit premium bersama logo Breitling pada tempat duduk, paparan panel instrumen yang menggunakan konsep sama seperti jam keluaran khas untuk model ini, penutup bahagian klac dan alternator buatan aluminium dengan cop Breitling serta nombor keluaran di atas bahagian pemegang.

    Selain daripada perincian yang dinyatakan, model keluaran terhad ini juga diberikan peningkatan prestasi, di mana ia mendapat suspensi belakang Ohlins yang boleh dilaras sepenuhnya. Kelengkapan teknikal lain adalah sama seperti Speed Twin biasa.

    Pada tahun 2021, Speed Twin telah diberikan peningkatan yang menyeluruh, di mana enjin dua silinder selari padanya lebih berkuasa (98.6 hp/112 Nm), suspensi menggunakan unit Marzocchi 43 mm (sebelum ini 41 mm) dan brek hadapan cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo M50 Monobloc empat piston.

     
     
  • Ford Ranger XLT Plus Special Edition dilancar di M’sia – gril seperti Raptor, lengkuk tayar lebih lebar, RM137k

    Ford Ranger XLT Plus Special Edition dilancar di M’sia – gril seperti Raptor, lengkuk tayar lebih lebar, RM137k

    Minta maaf, ini bukanlah Ford Ranger 2022 serba baru. Sebaliknya, ia adalah satu varian yang diperkenalkan oleh Sime Darby Auto Connexion, untuk model T6 yang berada di pasaran sekarang. Dipanggil sebagai Ranger XLT Plus Special Edition, varian ini mendapat beberapa penambahan kelengkapan.

    Harganya adalah RM136,888, tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Ini menjadikannya sekitar RM6,000 lebih mahal berbanding XLT Plus biasa yang merupakan varian pertengahan (RM130,820), dan dia diberikan sekali dengan jaminan lima tahun atau 160,000 km.

    Model Special Edition ini dijangka mendapat sambutan baik kerana ia diberikan dengan tiga modifikasi yang popular di kalangan pemilik trak ini, iaitu gril dengan tulisan Ford besar seperti Raptor, tambahan lengkuk roda yang lebih lebar serta sport bar besi bulat di belakang. Pada bahagian dalam, ia diberi plet tepi pintu berlampu, perakam video hadapan dengan memori 32 GB serta sambungan kepada telefon melalui aplikasi.

    Ford Ranger XLT Plus Special Edition dilancar di M’sia – gril seperti Raptor, lengkuk tayar lebih lebar, RM137k

    Selain daripada itu, semua bahagian lain adalah sama seperti XLT Plus, dengan enjin menggunakan unit diesel empat silinder 2.0 liter EcoBlue yang mampu menghasilkan 180 PS dan 420 Nm tork. Kotak gear automatik 10 kelajuan, sistem pacuan empat roda dan limited-slip differential (belakang) datang secara standard.

    Turut diberikan adalah lampu utama LED, pemijak tepi, pintu ruang belakang Easy Lift, butang pemula enjin, cruise control, balutan kuit, pengawal pendingin hawa dua zon, dua panel paparan info empat inci, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan inci, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, enam pembesar suara serta kamera undur.

    Untuk aspek keselamatan, trak ini datang dengan dua beg udara, Electronic Stability Control, Hill Descent Control, Trailer Sway Control dan cagak ISOFIX di belakang. Trak ini akan dipertontonkan di Queensbay Mall, Pulau Pinang 24 hingga 27 Februari ini, sementara di pusat pameran, ia dijangka tiba bermula 10 Mac.

     
     
  • Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

    Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

    Dilancarkan di Malaysia pada hujung tahun lalu, Mercedes-Benz S-Class W223 akhirnya telah diumumkan harga rasminya. Limosin mewah generasi ketujuh ini yang ditawarkan dengan varian tunggal S 580 e plug-in hybrid, dijual pada harga atas jalan RM698,744 tanpa insurans.

    Harga tersebut adalah RM52,000 lebih mahal berbanding model semasa S 560 e W222. Seperti biasa, angka tersebut termasuk rebat penuh cukai jualan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan pemasangan tempatan CKD sehingga 30 Jun ini. Ia turut diberikan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, limosin mewah ini dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 367 PS pada 5,500 hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm yang digandingkan bersama transmisi 9G-Tronic. Malahan penjana kuasa ini juga digabungkan dengan motor elektrik yang dijanakan dari bateri lithium-ion 28.6 kWh ini mampu memberikan output tambahan sebanyak 110 kW dan 440 Nm.

    Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

    Motor elektrik ini juga memberikan jarak pacuan (elektrik penuh) sehingga 100 km (kitaran WLTP) dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 140 km/j. Hamburan kuasa dari enjin konvensional dan motor elektrik ini membolehkan S 580 e dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

    Secara standard, S 580 e ini didatangkan dengan pengecas onboard 11 kW, dengan pengecas wallbox AC tiga-fasa mengambil masa sekitar dua hingga 2.5 jam untuk bateri mencapai 80% status pengecasan. Pek bateri ditempatkan di ruang but, membuatkan limosin versi PHEV ini hanya menawarkan sekitar 330 liter untuk ruang penyimpanan barang, berbanding 550 liter pada varian petrol atau diesel.

    S 580 e ini diberikan peningkatan di keseluruhan bahagiannya. Bahagian hadapannya diberikan gril yang lebih besar dengan lampu utama trapezoidsal yang lebih nipis dan lebar serta lampu nyalaan siang (DRL) LED serta penunjuk arah berbentuk tajam. Tiga bintik lampu di dalamnya pula menggambarkan ini adalah model S-Class (E-Class menggunakan dua bintik).

    Lampu ini datang secara standard dengan Multibeam LED, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada Digital Light yang mampu meningkatkan ketepatan Adaptive Highbeam Assist Plus sehingga 100 kali berbanding Multibeam dan memancarkan pelbagai informasi ke atas jalan seperti simbol amaran, tanda jalan dan panduan apabila melalui kawasan pembinaan.

    Selain itu, ia turut diberikan rim multi-twin-spoke bersaiz 19-inci dan bumbung suria gelangsar panoramik. Pada bahagian belakang, lampunya menggunakan bentuk segi tiga baru dan mempunyai bintik-bintik yang boleh melakukan pelbagai urutan pergerakan. Di atasnya terdapat jalur krom yang bersambung di bahagian tengah. Ia juga tampil dengan kawalan penutup boot lid.

    Untuk bahagian dalamnya, ia banyak diinspirasikan daripada rekaan bot mewah. Walau pun papan pemukanya kelihatan agak ringkas dan tidak mempunyai banyak butang kawalan, namun elemen eksklusif masih terserlah. Ia juga ditampilkan dengan kemasan kayuan lebar yang bersambung dari tengah sehingga ke tepi pintu.

    Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

    Pada bahagian tengahnya pula, terdapat skrin sesentuh besar yang bentuknya bersambung sekata sehingga ke konsol tengah, dan melaluinya, butang-butang kawalan dapat dikurangkan sehingga menjadi cuma satu baris di bawahnya. Manakala corong pendingin hawa menggunakan bentuk petak yang melintang di tengah dan menegak di tepi. Malah ia diberikan kawalan suhu Thermotronic untuk bahagian depan dan belakang,

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi yang dibaluti kulit nappa, Keyless-Go, akses bebas tangan, konsol tengah dengan kemasan ala kristal hitam, sokat kuasa 12v pada bahagian penyimpanan barang, dan pencahayaan ambien dengan pantulan logo Mercedes-Benz.

    Untuk aspek keselamatan, menurut Mercedes-Benz, S-Class menjadi kereta pertama di dunia yang menggunakan beg udara hadapan untuk penumpang belakang. Ia dipasang pada bahagian belakang tempat duduk hadapan dan mempunyai rekaan yang menjadikannya lebih lembut dan mengurangkan kecederaan. Tali pinggang keledar juga mempunyai beg udara sendiri. Keseluruhan jumlah beg udara untuk S 580 e ini ialah 13 unit.

    Sistem bantuan pemandu sedia ada turut diberi peningkatan. S 580 e baharu kini datang terus dengan pelbagai ciri termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan trafik bertentangan yang diperbaiki, Adaptive Cruise Control (kini boleh mengelak perlanggaran sehingga 130 km/j), Lane Centring Assist, Lane Change Assist, Evasive Steering Assist, Active Emergency Stop Assist dan Blind Spot Monitoring. Sistem kamera 360-darjah disediakan sebagai pilihan tambahan dan dapat membantu mencari petak letak kereta kosong.

     
     
  • VIDEO: Perodua Myvi facelift 2022 — RM46k-RM59k

    VIDEO: Perodua Myvi facelift 2022 — RM46k-RM59k

    Perodua Myvi facelift 2022 walaupun datang dengan pilihan enjin yang sama tanpa sebarang kemaskini, tetap tidak sekadar menampilkan perubahan estetika luaran semata-mata. Paling utama, peralihan kepada transmisi D-CVT (sama seperti Ativa) menjadikan penawarannya kini lebih menarik dan penting, berbaloi dengan apa yang diberikan.

    Dari segi penampilan pula, banyak pembaharuan yang dilakukan. Wajah depan dengan bampar baru, lampu nyalaan siang LED menegak (bagi varian H dan AV sahaja), lampu utama automatik, wajah depan yang kini meminjam mirip SUV Ativa merupakan antara kelainan yang diberikan.

    Di dalam, bagi varian AV seperti yang ditunjuk ini, kemasan merah menghiasi sebahagian besar kabin. Stereng pula sama dengan yang ada pada Ativa, dengan butang tambahan bagi fungsi ADAS (tetapi dengan beberapa kekosongan). Panel suis di bawah liang pendingin hawa sebelah kanan juga telah penuh, dengan menerima butang untuk sistem Lampu Tinggi Automatik dan juga panel kawalan cermin sisi yang turut diambil dari Ativa.

    Semua varian Myvi facelift ini diberikan panel instrumen rekaan baharu, namun hanya Myvi AV yang diberikan panel dengan tema merah. Grafik lebih garang berkenaan mengingatkan kepada Myvi SE dan Myvi Extreme 1.5 2011 (atau turut dipanggil “Myvi Lagi Best”), yang ketika itu merupakan Myvi pertama yang menerima enjin 1.5 liter.

    Satu skrin paparan pelbagai info (MID) TFT bersaiz besar diletakkan pada bahagian tengah panel instrumen baru ini yang turut memaparkan grafik animasi “Selamat Datang”. Meter baru ini sebenarnya meter dengan gaya Optitron, kelihatan sentiasa bercahaya tetapi gelap sepenuhnya apabila enjin dimatikan.

    Selebihnya, kami telusiri secara terperinci dalam video ini, termasuklah aspek pemanduannya dengan transmisi baru itu. Adakah ia menawarkan banyak kelainan? Tonton ulasan ini dan kongsikan pandangan anda.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

     
     
  • Baki tidak mencukupi dalam Touch ‘n Go eWallet membuatkan lorong RFID sesak – PLUS

    Baki tidak mencukupi dalam Touch ‘n Go eWallet membuatkan lorong RFID sesak – PLUS

    Baru-baru ini, ada berita yang tular di laman media sosial berhubung dengan kenderaan yang berbaris panjang di dua lorong RFID di Plaza Tol Jalan Duta (arah Kuala Lumpur). Lantas PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengadakan siasatan untuk mengenalpasti punca insiden terbabit.

    “Hasil siasatan kami mendapati bahawa kesesakan tersebut berpunca daripada beberapa pelanggan yang menggunakan lorong RFID tidak mempunyai baki yang cukup dan pada masa yang sama telah menambah nilai eWallet mereka secara atas talian di lorong tol di antara 8 pagi hingga 8.59 pagi iaitu pada waktu puncak,” jelas PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sehubungan itu, PLUS memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan mengambil langkah segera membantu pelanggan yang menghadapi masalah agar tidak menghalang laluan kenderaan lain.

    “Untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pengguna lebuh raya RFID diingatkan supaya sentiasa menyemak baki eWallet dan Kad Touch ‘n Go untuk transaksi sama ada menggunakan RFID, Kad Touch n’ Go dan SmartTAG untuk kemudahan dan keselesaan perjalanan di lebuh raya,” sambung PLUS lagi.

    Baki tidak mencukupi dalam Touch ‘n Go eWallet membuatkan lorong RFID sesak – PLUS

    Untuk anda yang menggunakan RFID sebagai pembayaran tol, anda boleh mengaktifkan fungsi tambah nilai secara automatik dalam aplikasi TnG eWallet. Ia akan menambah nilai baki secara automatik dengan amoun yang telah ditetapkan, anda boleh menonton tutorial bagaimana cara tambah nilai tersebut DI SINI.

    Selain itu, adalah penting untuk melekatkan tag RFID secara betul, terutamanya jika anda melakukannya sendiri. Tag RFID itu perlu dilekatkan paling kurang dalam jarak 5 cm daripada bahagian logam untuk mengelak gangguan isyarat. Maksudnya, jika di cermin depan, ia perlu dijauhkan sedikit dari bingkai logam pada tiang A dan juga bumbung.

    Juga pastikan ia tidak berada dalam laluan pengilap cermin anda. Untuk itu, lebih mudah juga sebenarnya untuk pasangkan tag berkenaan di bahagian lampu utama. Tag berkenaan juga tidak memerlukan kuasa luaran untuk berfungsi (tidak seperti SmartTAG). Ia menggunakan tenaga radio yang dipancarkan untuk diimbas.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 Eropah terima enjin kurang berkuasa kerana undang-undang emisi lebih ketat

    Ford Ranger Raptor 2023 Eropah terima enjin kurang berkuasa kerana undang-undang emisi lebih ketat

    Semalam Ford telah mendedahkan model generasi baharu trak pikap prestasi tinggi Ranger Raptor 2023 untuk peringkat global. Dan apa yang paling menarik perhatian, sudah tentulah enjin baharu yang dipadankan iaitu unit EcoBoost 3.0L V6 dengan dua pengecas turbo bagi menggantikan enjin diesel 2.0 liter empat silinder bi-turbo pada model terdahulu.

    Enjin baharu berkenaan menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm, jauh lebih bertenaga dari enjin sebelum ini yang hanya menjana 213 PS/500 Nm. Pilihan enjin dan juga angka kuasa ini sudahpun disahkan untuk pasaran Australia dan New Zealand, namun untuk pasaran Eropah angka kuasa yang dinyatakan adalah lebih rendah iaitu 288 PS dan 491 Nm dikerah dari enjin V6 yang sama.

    Jumlah kuasa yang jauh lebih rendah berkenaan adalah kerana enjin tersebut perlu ditala agar mematuhi undang-undang pencemaran yang jauh lebih ketat di Eropah, lapor Carscoops. “Seperti OEM lain, kami perlu membuat homologasi bagi mematuhi standard emisi Kesatuan Eropah yang lebih ketat,” kata jurucakap Ford kepada portal berkenaan dan menambah bahawa walaupun kuasanya perlu diturunkan, ia masih sekitar 30% lebih berkuasa dari enjin turbodiesel terdahulu.

    Dalam pendedahan semalam, pasaran Australia dan New Zealand turut disahkan akan menerima pilihan rim 17-inci dengan beadlock. Malah Ford turut menyatakan bahawa ada pasaran yang masih akan ditawarkan dengan enjin turbodiesel 2.0L yang dibawa dari model sebelumnya.

    Ranger Raptor 2023 ini juga menerima kelengkapan lain seperti kotak gear automatik 10-kelajuan, sistem pacuan semua roda yang dilengkapi transfer case dua-kelajuan yang dikawal secara elektronik, gandar hadapan dan belakang kini dipadankan dengan locking differential, sistem suspensi Fox yang menampilkan penyerap hentak dilengkapi injap pirau dalaman 2.5-inci bersama sistem Bottom Out Control, pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm, dan lain-lain lagi.

    Seperti model sebelumnya, produksi untuk Ford Ranger Raptor 2023 ini turut akan berjalan di Thailand, dan penghantaran kepada pelanggan terawal dijangka pada lewat tahun ini. Untuk spesifikasi dan perincian penuh Ranger Raptor generasi kedua ini, anda boleh baca laporan pendedahannya pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Certified Used Car dilancar di M’sia – ditawarkan di 6 pusat pengedaran di seluruh negara

    Honda Certified Used Car dilancar di M’sia – ditawarkan di 6 pusat pengedaran di seluruh negara

    Khamis lalu, Honda Malaysia (HMSB) telah mengumumkan pelancaran perniagaan Honda Certified Used Car (HCUC), yang membolehkan pengguna di negara ini membeli kereta Honda pra-pemilikan yang disahkan melalui platform yang boleh dipercayai.

    Hari ini, syarikat berkenaan telah pun mengesahkan perniagaan tersebut sudah pun bermula dan ditawarkan di enam pusat pengedarannya di negara ini. Pusat pengedaran yang terlibat ialah MJN Motors (Selangor), Tiong Nam Motor (Selangor), Kah Motor (Pulau Pinang), Kah Motor (Johor), Yong Ming Motor (Johor) dan Chuan Thye Motor (Pahang). Menurut HMSB, program HCUC ini akan diperluaskan untuk memenuhi permintaan di dalam perniagaan kereta terpakai.

    Di bawah HCUC, pelanggan boleh memilih pelbagai jenis model Honda pra-pemilikan. Kesemua kenderaan Honda pra-pemilikan yang dijual oleh jabatan ini adalah berusia lima tahun dan ke bawah dengan odometer bagi rekod perbatuan adalah 100,000 km dan ke bawah.

    Honda Certified Used Car dilancar di M’sia – ditawarkan di 6 pusat pengedaran di seluruh negara

    HMSB berkata, kereta yang dijual di bawah perniagaan HCUC adalah diperakui, dilengkapi dengan alat ganti tulen dan bebas daripada kemalangan besar dan kerosakan akibat banjir. Kenderaan di bawah program ini telah menjalani pemeriksaan 288-poin oleh Inspektor Honda Bertauliah, termasuk memeriksa keadaan enjin dan transmisi, semua fungsinya, bahagian bawah, luaran dan dalaman kereta.

    Tambahnya lagi, pelanggan yang membeli kenderaan pra-pemilikan bertauliah melalui HCUC ini layak menerima waranti lanjutan tambahan selama satu tahun di samping waranti sedia ada yang masih sah untuk kenderaan berkenaan. Selain itu, pelanggan juga akan mendapat akses kepada perkhidmatan selepas jualan di semua rangkaian pengedaran sah Honda di seluruh negara.

     
     
  • Suzuki Malaysia buka pendaftaran minat GSX-S150

    Suzuki Malaysia buka pendaftaran minat GSX-S150

    Meskipun Suzuki Malaysia sudah kembali aktif dengan pelancaran pelbagai model baru, setakat ini semuanya adalah model berkapasiti tinggi. Bagi model berkapasiti rendah, masih belum ada yang dilancarkan secara rasmi, dan apa yang berlaku cuma penyiaran teaser dan juga pendaftaran minat.

    Hari ini pendaftaran minat untuk satu lagi model dibuka, iaitu GSX-S150, menyusuli GSX-R150 yang dibuka minggu lalu. Ketibaan model ini, bersama Belang/Raider 150 memang sudah diberitahu oleh Suzuki Malaysia tahun lalu, dan pelancaran sepatutnya berlaku pada suku pertama tahun ini.

    GSX-S150 adalah sebuah model naked yang menggunakan enjin satu silinder penyejukan cecair DOHC 147.3 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,500 rpm dan 14 Nm tork pada 9,000 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan menggunakan nisbah mampatan 11.5:1.

    Suzuki Malaysia buka pendaftaran minat GSX-S150

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 130 kg, dan kelengkapan lain yang terdapat padanya adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, fork teleskopik, monoshock di belakang, panel instrumen digital LCD, tangki bahan api 11 liter dan lampu jenis LED.

    Apabila masuk ke dalam pasaran nanti, GSX-S150 akan bersaing terus dengan Yamaha MT-15 yang dijual pada harga RM11,988 di Malaysia. Walaubagaimanapun, model Yamaha tersebut memiliki lebih banyak kelebihan, seperti fork USD di hadapan, klac jenis slip & assist serta tayar lebih lebar.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

    Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

    Seperti yang dijanjikan lebih seminggu yang lalu, ini dia, Ford Ranger Raptor 2023 secara rasmi didedahkan untuk peringkat global hari ini. Model generasi baharu untuk trak pikap berprestasi tinggi ini bukan sahaja masih mengekalkan suspensi perlumbaan off-road, malah ia kini menerima enjin yang betul-betul berkuasa!

    Ia tidak lagi menggunakan enjin diesel 2.0 liter empat-silinder dengan dua pengecas turbo berkuasa 213 PS/500 Nm dari model sebelumnya, sebaliknya Ranger Raptor generasi kedua ini menerima enjin EcoBoost V6 3.0 liter dengan dua pengecas turbo, iaitu enjin yang sama dengan Bronco Raptor yang hanya dijual di pasaran Amerika Syarikat.

    Enjin berkenaan berupaya menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm! Enjin V6 baharu ini menampilkan blok silinder yang diperbuat dari material grafit-logam yang dipadatkan, yang menurut Ford ia adalah 75% lebih kuat dan 75% lebih tegar berbanding blok silinder besi tuang biasa.

    Manakala pengecas turbo untuk enjin ini pula menampilkan sistem anti-lag yang diambil dari teknologi kereta lumba, bagi memastikan penghantaran boost yang cepat setiap kali ia diperlukan. Menurut Ford, dalam mod Baja, turbin pada pengecas turbo berkenaan akan terus berputar selama tiga saat selepas pemandu melepaskan sepenuhnya pedal pendikit, membolehkan ia membekalkan respon pendikit dengan kadar sepenuhnya apabila pedal pendikit tersebut dikerah semula selepas itu tanpa sebarang lag.

    Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

    Ia juga menerima sistem ekzos dengan paip berkembar 2.5-inci bersama injap aktif seperti Bronco Raptor. Sistem ini diberikan empat profil bunyi yang boleh dipilih menerusi butang “R” pada roda stereng iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja. Menurut Ford, untuk mod Baja, ia akan memberikan bunyi seakan sistem paip terus, tetapi ia hanya untuk kegunaan off-road.

    Enjin berkenaan masih digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dengan tukaran gear adaptif. Namun ia kini telah ditala semula bagi memberikan profil boost tersendiri untuk setiap gear. Ia juga diberikan mod pemanduan Normal, Sport dan Slippery untuk jalan raya. Manakala untuk pemanduan prestasi off-road, Ranger Raptor diberikan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.

    Menurut ketua jurutera Ford Performance untuk Ranger Raptor, Dave Burn, model generasi baharu berkenaan kini jauh lebih pantas berbanding model terdahulu, dengan menggandingkan kuasa asli bersama kejituan mekanikal dan teknikal bagi melahirkan Ranger termaju pernah dihasilkan.

    Dalam litar ujian 10 km, Ranger Raptor generasi baharu ini mencatatkan masa seminit lebih pantas berbanding Ranger Raptor lama. “Enjin 3.0L V6 memberikan dinamik yang berlainan kepada Ranger Raptor yang akan memuaskan hati peminat prestasi paling hardcore,” kata Burn dan menyifatkan trak pikap ini “pantas seperti hot-hatch, di atas permukaan off-road“.

    Walau bagaimanapun, Ford masih akan menawarkan enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar untuk Ranger Raptor pada pasaran tertentu. Enjin berkenaan buat masa sekarang masih digunakan untuk beberapa varian biasa Ranger generasi baharu, namun untuk Raptor kelak ia akan menerima karekter penghantaran kuasa yang tersendiri. Juga masih belum jelas adakah enjin berkenaan turut akan ditala bagi menghasilkan lebih kuasa atau tidak.

    Seperti juga model sebelum ini, struktur casis untuk Ranger Raptor 2023 ini turut diperkukuhkan lagi serta menampilkan cagak-cagak lebih lebih tersendiri berbanding Ranger standard. Ford menghasilkan cagak atas untuk penyerap hentak hadapan dan juga braket penyerap hentak yang lebih kuat untuk Ranger Raptor baharu ini.

    Suspensi trak pikap ini direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox. Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini.

    Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road. Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.

    Untuk sistem pacuan semua roda, buat pertama kali Ranger Raptor menerima sistem kekal termaju, dilengkapi transfer case dua-kelajuan yang dikawal secara elektronik. Gandar hadapan dan belakang kini dipadankan dengan locking differential bagi memberikan cengkaman lebih kuat.

    Ford Ranger Raptor ini juga kini menerima sistem Trail Control iaitu sistem cruise control untuk jalan off-road, yang boleh digunakan oleh pemandu sekiranya mereka mahu menumpukan terhadap kawalan stereng ketika melalui laluan yang dengan permukaan mencabar. Sistem ini boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 32 km/j.

    Ranger Raptor generasi kedua ini masih mengekalkan rupa asas sebuah Ranger standard, bersama pelbagai kelengkapan yang menyerlahkan imej lebih agresif. Ia masih diberikan lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C, serta Dynamic Bending yang membolehkan ia menyuluh mengikut haluan kereta.

    Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

    Tulisan “FORD” pada gril hadapan juga kini lebih garang, dan seperti biasa ia menerima fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda. Rim 17-inci yang diberikan pada Ranger Raptor ini adalah lebih lebar, dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2. Khas untuk pasaran Australia dan New Zealand, Ranger Raptor diberikan rim dengan beadlock seperti pada unit yang didedahkan ini.

    Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm. Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.

    Pada bahagian kabin pula, pemandu Ranger Raptor ini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik. Ford turut menyatakan bahawa tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.

    Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana.

    Perincian bagi sistem keselamatan masih belum didedahkan secara terperinci. Namun Ford ada menyatakan bahawa trak pikap ini memang dihasilkan bagi disesuaikan dengan sistem bantuan pemanduan dengan standard tinggi, jadi ia mungkin menampilkan sistem paling kurang pun dengan Pemanduan Autonomi Tahap 2.

    Seperti model sebelumnya, produksi untuk Ford Ranger Raptor 2023 ini turut akan berjalan di Thailand, dan penghantaran kepada pelanggan terawal dijangka pada lewat tahun ini. Anda rasa macam mana? Adakah pasaran Malaysia akan menerima Ranger Raptor dengan enjin V6, atau kita antara pasaran yang kekal dapat enjin diesel 2.0 liter bi-turbo?

     
     
  • Modenas siarkan satu lagi teaser untuk Karisma 125 S

    Modenas siarkan satu lagi teaser untuk Karisma 125 S

    Hanya tinggal dua hari saja lagi sebelum Karisma 125 S dilancarkan secara rasmi, Modenas hari ini mengeluarkan satu lagi teaser untuk skuter tersebut, menyusuli video pendek menampakkan bahagian depannya, yang disiarkan minggu lepas.

    Dalam gambar terbaru ini pula, kita boleh menyaksikan bahagian belakang skuter tersebut, dengan menampakkan lampu jenis runcing ke atas, panel badan gelap berserta jalur biru dan spoiler tinggi berwarna perak. Tiada sebarang logo atau lencana, dan Modenas sekadar meletakkan pelekat namanya di bahagian bawah lampu.

    Selepas melihat bahagian hadapan dan belakang skuter baru daripada Modenas ini, ia seakan mirip dengan beberapa model keluaran China di luar negara seperti Kenbo Wolf X 125, Lucky Star Theo 150 dan Motoposh Evo 125. Walaubagaimanapun, kita masih perlu menunggu pelancaran rasmi untuk melihat skuter tersebut secara penuh.

    Modenas siarkan satu lagi teaser untuk Karisma 125 S

    Jika benar ini Karisma 125 S ini menggunakan asas sama seperti model-model tersebut, ia menimbulkan tanda tanya kenapa Modenas tidak mengambil model Kymco sebagai asas, seperti yang digunakan pada Karisma 125 sebelum ini. Adakah kerjasama antara dua syarikat ini sudah berakhir?

    Apapun bagi pengguna, mereka pasti mahukan produk yang boleh dipercayai dan berbaloi untuk dimiliki. Pendapat anda pula bagaimana? Kelengkapan seperti mana yang patut diperkenalkan pada skuter Modenas ini?

     
     
  • Thailand bakal keluarkan lebih dua juta kenderaan setahun menjelang 2024 — sasar 50% EV pada 2030

    Thailand bakal keluarkan lebih dua juta kenderaan setahun menjelang 2024 — sasar 50% EV pada 2030

    Sebagai sebuah pelopor industri automotif paling giat di Asia Tenggara, Thailand dijangka akan mengeluarkan lebih daripada dua juga kenderaan setahun dalam tempoh dua tahun ke depan sebagai langkah pemulihan ekonomi, lapor Bangkok Post. Federation of Thai Industries (FTI) berkata menjelang waktu itu, industri automotif Thailand sepatutnya pulih kembali daripada jualan perlahan yang disebabkan oleh larangan pergerakan akibat Covid-19.

    Kali terakhir pengeluaran kenderaan di sana mencecah angka dua juta unit adalah sebelum pandemik, dengan 2,167,694 kenderaan pada 2018 — 1,142,733 unit daripadanya dikeluarkan untuk pasaran eksport. Tahun lalu, negara ini berjaya melepasi jangkaan FTI, dengan menambah pengeluaran sebanyak 18.1% dari tahun ke tahun kepada 1.68 juta unit, mengatasi sasaran 1.6 juta yang ditetapkan.

    Bagi 2022, FTI menjangkakan pengeluaran akan meningkat lagi kepada 1.8 juta kenderaan, dengan ekport berada pada jumlah 900,000 hingga 950,000 unit. Dan ketika insentif untuk kenderaan elektrik — termasuk pengurangan 40% duti kastam — boleh merancakkan lagi import, ia tidak akan memberi kesan kepada pengilangan domestik dalam jangka panjang.

    Thailand bakal keluarkan lebih dua juta kenderaan setahun menjelang 2024 — sasar 50% EV pada 2030

    “Walaupun pengimport kenderaan akan menerima manfaat daripada pakej berkenaan, kerajaan tetap inginkan lebih bayak pelaburan bagi pembangunan EV dalam negara,” jelas Naib Pengerusi dan jurucakap organisasi itu, Surapong Paisitpatanapong.

    Jawatankuasa Dasar EV Nasional Thailand mengumumkan Mac lalu bahawa ia mahukan EV meliputi 50% pengeluaran tempatan menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada rancangan “ambitious” untuk menjadikan negara terbabit hab pengeluaran EV. Surapong berkata beliau percaya pakej insentif akan mampu memperkukuh industri automotif.

    “Kita akan dapat lihat dengan lebih jelas perkembangan dalam pasaran EV pada separuh kedua tahun ini, dipacu oleh maklum balas insentif yang diberikan kepada pengeluar dan pembeli,” ujarnya.

     
     
  • Honda HR-V 2022 dijumpai di M’sia – model generasi ketiga bakal tiba dengan enjin VTEC Turbo dan hibrid?

    Honda HR-V 2022 dijumpai di M’sia – model generasi ketiga bakal tiba dengan enjin VTEC Turbo dan hibrid?

    Baru-baru ini Honda Malaysia telah membuat pengumuman bahawa mereka akan memperkenalkan dua model serba baru tahun ini, yang kami jangkakan adalah BR-V dan HR-V terkini. Syarikat itu tidak memberitahu secara terang apakah model yang akan mereka bawa, tetapi satu hantaran di laman Facebook Proton X50 Community Malaysia seakan mengesahkan ketibaan salah satu daripadanya, iaitu HR-V.

    Dalam hantaran yang dimuat naik oleh Mohd Asrul B Saari – berserta video – kami boleh nampak dengan jelas lekuk-lekuk badan HR-V generasi ketiga, meskipun ia dibalut penuh dengan pelekat camouflage. Turut kelihatan adalah sedikit bahagian lampunya.

    Penggerak HR-V yang ditemui ini masih belum diketahui, tetapi ia berkemungkinan adalah unit hibrid e:HEV dengan teknologi i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) seperti yang diperkenalkan di pasaran Thailand. Ia menggunakan padanan enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson 105 hp dan 127 Nm tork, bersama transmisi automatik e-CVT, bateri lithium-ion dan dua motor elektrik. Digabungkan semuanya, janaan maksimum adalah 131 hp dan 253 Nm tork dari 0 hingga 3,500 rpm.

    Selain versi e:HEV, HR-V baru ini juga ditawarkan dengan enjin biasa. Untuk pasaran Jepun dan Singapura, mereka mendapat unit yang dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter 118 PS dan 142 Nm bersama transmisi CVT, sementara di Indonesia pula, mereka dikhabarkan bakal menerima unit yang digerakkan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo – kuasa mungkin sama seperti Civic baru.

    Memandangkan Honda Malaysia telah menyatakan hasrat untuk membawa model yang datang dengan teknologi canggih generasi seterusnya, seperti VTEC Turbo, Honda Sensing dan Honda CONNECT, kita boleh menjangkakan ketibaan HR-V baru ini dengan enjin VTEC Turbo dan hibrid. Harga serta spesifikasi sebenarnya cuma akan diketahui apabila dilancarkan kelak.

     
     
  • BMW X5 xDrive45e G05 dilengkapi ciri M Performance – kumpulan kedua diumumkan, terhad 22 unit, RM481k

    BMW X5 xDrive45e G05 dilengkapi ciri M Performance – kumpulan kedua diumumkan, terhad 22 unit, RM481k

    Pada Mei tahun lalu, Auto Bavaria telah memperkenalkan BMW X5 xDrive45e G05 dengan kelengkapan M Performance, terhad hanya 30 unit sahaja. Belum genap setahun, pengedar BMW tersebut mengumumkan kumpulan kedua SAV mewah tersebut di pasaran tempatan, kali ini terhad 22 unit pula.

    Sama seperti sebelum ini, pelbagai kelengkapan berwarna hitam untuk menjadikannya lebih garang dan sporty. Ia diberikan ciri kelengkapan merangkumi gril hadapan hitam berkilat, pelindung cermin sisi gentian carbon dan rim aloi M Star Spoke Style 748 20-inci warna hitam, menggantikan rim Style 740 M dua-tona yang digunakan pada varian biasa X5.

    Harga pula ada kenaikan iaitu mencecah RM480,800 (tanpa pendaftaran dan cukai jalan, tidak termasuk insurans), dilengkapi dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berkala percuma. Kenaikan harga sebanyak RM12k berbanding RM468,800 pada kumpulan pertama yang diperkenalkan tahun lalu. Walau bagaimana pun, pihak pengedaran menawarkan beberapa hadiah percuma bernilai RM22,000 untuk pembelian SAV ini, termasuklah baucer cakera brek/pad brek BMW, kelengkapan penjagaan kulit BMW dan beg bimbit mewah.

    Selain daripada itu, tiada perubahan mekanikal, enjinnya masih lagi menggunakan unit B58 3.0 liter enam-silinder bersama gabungan motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 394 PS dan 600 Nm tork. Kuasa pacuannya disalurkan menerusi transmisi automatik ZF lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda xDrive (dengan differential lock belakang). Ia membolehkan SAV ini dipecut dari 0.100 km/j dalam 5.6 saat dan kelajuan maksimum cecah 235 km/j.

    Kelengkapan lain juga adalah sama seperti varian biasa. Ini termasuklah lampu jenis LED adaptif, brek M Sport dengan angkup berwarna biru, sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional dengan 14 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 464 watt, suspensi udara dan pakej BMW Driving Assistant.

     
     
  • Lotus akan apungkan cabang EV terbaru di pasaran saham — Etika Automotive dijangka dapat manfaat

    Lotus akan apungkan cabang EV terbaru di pasaran saham — Etika Automotive dijangka dapat manfaat

    Lotus mensasarkan untuk mengapungkan cabang Lotus Technology yang baru dibentuk di dalam pasaran saham sebagai langkah untuk menjadikan nilainya pada £5 bilion hingga £6 bilion (RM28.5 bilion hingga RM34.2 bilion), lapor Autocar. Perkara ini didedahkan oleh syarikat berkenaan kepada pelabur berpotensi dalam sebuah siri jelajah. Jelajah berkenaan — yang bermula di China — kini berada di London, yang mana pelabur telah diberikan pra-tonton bagi SUV elektrik penuh jenama itu, dengan kodnama Type 132.

    Jenama yang dimiliki oleh Geely itu memberitahu pelabur yang ia merancang untuk menjual 100,000 kereta setahun menjelang 2028, yang mana 90,000 daripadanya adalah kereta saloon elektrik dan SUV yang dikeluarkan oleh Lotus Technology. Tugas cabang baru itu adalah untuk mempercepatkan inovasi dalam lapangan pengurusan bateri dan tenaga, motor elektrik, sistem kawalan elektronik, pemanduan pintar dan pengilangan pintar.

    Seorang jurucakap syarikat itu memberitahu, tujuan jelajah itu diadakan adalah untuk mengetahui sentimen pelabur terhadap pembelian saham Lotus. Beliau juga menambah syarikat mensasarkan untuk mengapungkan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan, tetapi keputusan sama ada untuk melakukan itu di Asia, London atau New York belum ditetapkan. Reaksi di China terhadap potensi pengapungan itu juga sangat kuat, ujarnya.

    Lotus akan apungkan cabang EV terbaru di pasaran saham — Etika Automotive dijangka dapat manfaat

    Laporan itu menambah yang syarikat itu lebih cenderung untuk menyebelahi kaedah penyeneraian initial public offering (IPO) berbanding special purpose acquisition company (SPAC) yang digunakan oleh Polestar, walaupun penilaian tambahannya melibatkan laluan yang lebih tradisional ke dalam pasaran.

    Syarikat menambah yang keputusan untuk menyenaraikan Lotus Technology dan bukannya Lotus Cars, sebuah perniagaan kereta sport tradisionalnya, adalah disebabkan struktur pemilikan cabang berkenaan.

    51% Lotus Car dimiliki oleh Geely, sementara baki 49% dimiliki oleh Etika Automotive, sebuah anak syarikat Etika Strategy, yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang turut menguasai DRB-Hicom. Etika mempunyai pegangan yang lebih kecil iaitu 30% dalam Lotus Technology.

     
     
  • McLaren Elva tiba di M’sia – 149 unit di peringkat global; 4.0L twin-turbo V8, 815 PS, harga dari RM8.1j

    McLaren Elva tiba di M’sia – 149 unit di peringkat global; 4.0L twin-turbo V8, 815 PS, harga dari RM8.1j

    McLaren Elva telah pun tiba di Malaysia dan kini dipamerkan di bilik pameran McLaren Kuala Lumpur, selepas varian tanpa cermin hadapan ini didedahkan di peringkat dunia pada Mei tahun lalu. Ketika pertama kali Elva diperkenalkan pada November 2019, pengeluar kereta British itu berkata hanya 399 unit sahaja yang akan dikeluarkan, tetapi angka tersebut diubah kepada 149 unit.

    Hasilnya, Elva menjadi salah satu model paling eksklusif dalam McLaren Ultimate Series, kedua selepas Speedtail yang hanya dikeluarkan sebanyak 106 unit. Lain-lain model di dalam barisan Ultimate Series termasuklah P1 dan Senna, tetapi Elva lebih istimewa disebabkan ia speesters dan bersaing hebat dengan model yang setanding dengannya termasuk Ferrari Monza dan Aston Martin V12 Speedster.

    Sebagai speedster, varian ini adalah tanpa cermin hadapan, bumbung, tingkap tepi mahu pun skrin cermin belakang, walau pun Elva ini tetap diberikan pilihan untuk memiliki cermin hadapan, tetapi McLaren berkata, varian ini bukan sekadar untuk pemilik yang mahukan cermin hadapan fizikal, tetapi untuk memastikan Elva boleh dipandu secara sah di jalanraya di negeri tertentu di Amerika Syarikat.

    Varian cermin hadapan ini sebenarnya adalah 20 kg lebih berat berbanding Elva standard, yang mempunyai berat sekitar 1,269 kg. Pilihan lain termasuklah bilah pengelap cermin dengan penderia hujan, washer jet dan pelindung matahari atau sun visor yang ditawarkan bersama set cermin hadapan kaca yang dikelilingi gentian karbon.

    Tidak seperti Elva tanpa cermin hadapan, Active Air Management System (AAMS) tidak lagi mempunyai keperluan untuk berfungsi. Saluran udara AAMS yang terletak pada bahagian hadapan kereta ini berfungsi untuk ‘menolak’ udara dari hadapan naik 120 darjah ke atas. Kemudian ia akan ditolak semula kebelakang dan akan melalui bahagian atas kepala dan bukannya tepat ke muka pemandu, atau secara teorinya satu kanopi maya terhasil dari lencongan aliran udara tersebut.

    Kedua-dua versi Elva (sama ada dengan atau tanpa cermin hadapan) mempunyai aspek mekanikal yang sama. Ia dijana oleh enjin 4.0 4.0 liter biturbo V8 yang mampu menghasilkan 815 PS dan tork maksima 800 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Ini membolehkan Elva memecut 0-100 km/j dalam masa tidak sampai tiga saat, serta catatan pecutan 0-200 km/j lebih laju dari McLaren Senna iaitu 6.7 saat.

    Elva dijual pada harga asas bermula 1.425 juta British pounds (sekitar RM8.1 juta). Tetapi harga ini belum termasuk dengan pelbagai cukai yang dikenakan serta pilihan lain yang ditawarkan. Kalau mahukan cermin hadapan, juga dikenakan kos tambahan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025