Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kuala Terengganu Bypass dijangka siap April ini

    Kuala Terengganu Bypass dijangka siap April ini

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mnegesahkan projek Kuala Terengganu Bypass dijangka siap dalam tempoh lima bulan lebih awal iaitu pada April ini. Katanya, projek yang sebelum ini dijadual siap pada September tahun ini sudah mencapai kemajuan hampir 92%.

    Projek Kuala Terengganu Bypass yang menelan kos RM220 juta, bermula pada 2016 itu sebelum ini tertangguh disebabkan beberapa isu teknikal, laporan Berita Harian.

    Jelas Fadillah, “Ia berkaitan dengan pengambilan tanah yang mengambil masa untuk diselesaikan, reka bentuk yang perlu disesuaikan dengan keadaan tapak dan beberapa perkara yang perlu ditambah baik, di samping penularan COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Setakat ini, projek itu sudah mencapai hampir 92% dan dijangka siap pada September tahun ini. Tetapi, selepas mendengar taklimat daripada pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor mereka memberi komitmen untuk menyiapkan projek ini lebih awal iaitu pada April tahun ini,” katanya ketika melakukan tinjauan projek Kuala Terengganu Bypass semalam.

    Kuala Terengganu Bypass dijangka siap April ini

    Tambah beliau, projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik seterusnya menjimatkan jarak dan tempoh perjalanan pengguna sebanyak 30 minit dari Kuantan ke Kota Bharu atau sebaliknya.

    Di mana pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada 70,000 penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan membawa koridor baharu pembangunan di daerah Kuala Terengganu.

    Kuala Terengganu Bypass melibatkan laluan sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu. Selain itu, dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku turut dinaiktaraf kepada persimpangan bertingkat.

     
     
  • Nissan Skyline GT-R R32 Gr. A yang pernah dipandu Keiichi Tsuchiya terjual pada harga RM1.02 juta!

    Nissan Skyline GT-R R32 Gr. A yang pernah dipandu Keiichi Tsuchiya terjual pada harga RM1.02 juta!

    Jika kita berborak pasal Keiichi Tsuchiya, sudah tentu kita terbayang akan Toyota Corolla AE86 yang begitu ikonik dengan pelumba lagenda Jepun yang terkenal dengan gelaran “The Drift King” berkenaan. Namun tahukah anda pada era awal 90’an, Tsuchiya sebenarnya agak sinonim dengan Nissan Skyline GT-R R32.

    Ketika itu Keiichi Tsuchiya sahaja seringkali tampil kemana sahaja dengan R32 GT-R miliknya, dan beliau turut pernah muncul dalam siri filem “Shuto Kousoku Trial” juga memandu R32 peribadinya. Malah ketika itu Keiichi Tsuchiya juga bertanding dalam siri Kejuaraan Touring Car Jepun (JTCC) untuk musim 1991 dengan jentera Nissan Skyline GT-R R32 Group A pasukan Klepper Taisan, bergandingan dengan ‘Tok Guru’nya sendiri iaitu Takahashi Kunimitsu.

    Team Taisan mempunyai dua buah jentera Skyline GT-R Group A ini – sebuah sudah pun diletakkan di muzium milik Nissan, dan sebuah lagi telah muncul untuk dijual menerusi Collection Car Auction ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 bermula 14 Januari lalu, dan ia dilelong menerusi platform Yahoo Auction.

    Nissan Skyline GT-R R32 Gr. A yang pernah dipandu Keiichi Tsuchiya terjual pada harga RM1.02 juta!

    Lelongan tersebut telahpun tamat pada 23 Januari lalu, dan Nissan Skyline GT-R R32 Group A Klepper Taisan ini telah terjual pada harga 27,845,000 yen tanpa cukai, atau sekitar RM1.02 juta! Kereta yang terjual ini masih dalam keadaan asal, malah kesan-kesan calar pada perlumbaan terakhirnya masih boleh dilihat pada badan kereta tersebut.

    Kereta ini bertanding dalam kelas tertinggi JTCC ketika itu iaitu kelas JTC-1, memerlukan ia dibina berdasarkan spesifikasi Group A atau ‘Production Modified’. Oleh itu, ia masih perlu menggunakan sistem pacuan semua roda ATTESA-ETS Pro dan enjin asal RB26DETT 2.6 liter dengan dua pengecas turbo, tetapi telah diubahsuai bagi menghasilkan kuasa melebihi 540 hp.

    Walau bagaimanapun, enjin asal pada unit yang dilelong ini telah digantikan dengan enjin RB26DETT dalam spesifikasi N1. Namun untuk majoriti perincian lain seperti suspensi, sistem penyejukan, rim magnesium dengan sistem nat tunggal dan lain-lain masih kekal dengan peralatan dalam spesifikasi Group A.

     
     
  • Proton dinamakan sebagai salah satu jenama kereta rasmi Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 di China

    Proton dinamakan sebagai salah satu jenama kereta rasmi  Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 di China

    Walaupun masih belum ada model-model Proton dijual ke pasaran China, jenama kereta nasional Malaysia berkenaan telah dinamakan sebagai salah satu jenama yang akan membekalkan kereta rasmi untuk Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022, yang bakal berlangsung dari 10 hingga 25 September 2022 nanti.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton hari ini, mereka dipilih kerana kaitannya dengan Geely Auto Group, yang merupakan Rakan Kongsi Prestij Rasmi untuk sukan yang bakal berlangsung di Hangzhou, dalam wilayah Zhejiang, China berkenaan.

    Proton menyatakan bahawa pengiktirafan ini bukan sekadar memberikan peluang kepada mereka untuk menyokong acara pelbagai-sukan terbesar di Asia tersebut, malah secara tidak langsung akan memberikan peluang kepada Proton untuk tampil sebagai jenama antarabangsa dan meningkatkan imej di Asia.

    Dengan perlantikan ini, Proton akan membawa kesemua model sedia ada mereka termasuk Proton Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 dan X70 untuk bertugas di Sukan Asia Hangzhou 2022.

    Disamping itu, Proton turut akan melancarkan kempen peringkat nasional untuk meningkatkan keterujaan dikalangan rakyat Malaysia menjelang sukan tersebut, bagi menaikkan semangat olahragawan negara yang sedang berusaha untuk menyampaikan persembahan terbaik mereka di Sukan Asia kelak. Kempen akan dijalankan dengan meraikan semangat kesukanan di kalangan rakyat dan menonjolkan peranan sukan dalam memupuk perpaduan, selain dari mempromosikan aktiviti kecergasan dan sukan.

    Kempen tersebut juga adalah “untuk mengukuhkan hubungan di antara Proton dengan orang ramai, selaras dengan slogan acara tahun ini – ‘Heart to Heart, @Future'” menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    “Mencerminkan komitmen Proton ke arah ‘Inspiring Connections’ dan usaha berterusan kami untuk kecemerlangan, kami ingin menampilkan cara baru bagi memeriahkan Sukan Asia ke-19 melalui kempen-kempen kami. Acara pelbagai sukan di Asia akan memberikan platform penting kepada Proton, dan matlamat kami adalah untuk menghubungkan semua lapisan masyarakat untuk menyertai kami dan memberikan sokongan kepada olahragawan negara bagi mendorong mereka untuk mencapai kejayaan, dan meraikan identiti kita sebagai sebahagian dari Keluarga Asia,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    Kempen ini akan dimulakan dengan “Peraduan PROTON Ignite Your Life” di mana pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah apabila mereka menempah dan mendaftar model-model baharu Proton yang terdiri dari Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 ataupun X70 dari 1 Februari hingga 31 Julai 2022.

    Antara hadiah menarik yang ditawarkan menerusi peraduan ini termasuk hadiah utama iaitu perjalanan eksklusif ke Hangzhou untuk merasai acara sukan berkenaan secara langsung, serta hadiah bulanan seperti e-baucar untuk produk sukan.

     
     
  • Michelin Pilot Sport 5 diperkenalkan, rekaan Dual Sport Tread, tahan lebih lama, saiz dari 17″-20″

    Michelin Pilot Sport 5 diperkenalkan, rekaan Dual Sport Tread, tahan lebih lama, saiz dari 17″-20″

    Michelin telah memperkenalkan Pilot Sport 5, yang menggantikan model tayar popularnya sebelum ini, Pilot Sport 4. Menurut pengeluar tayar dari Perancis itu, model generasi kelima Pilot Sport itu menawarkan “ketahanan yang lama dan prestasi berterusan, dan cengkaman brek maksimum atas jalan basah dan kering.”

    Seperti juga dengan Pilot Sport 4, Pilot Sport 5 baru menampilkan “Teknologi Maklum Balas Dinamik”, yang mana hybrid belt yang diperbuat daripada aramid dan nylon menyediakan pengukuhan struktural kepada tayar dan mengekalkan kestabilan permukaan yang bersentuhan dengan jalan.

    Sementara itu, “Teknologi Binaan MaxTouch” mengagihkan secara sekata daya pecutan, membrek dan di selekoh, menawarkan hayat tayar yang lebih panjang. Untuk itu, Pilot Sport 5 juga mempunyai “Rekaan Bunga Dual Sport,” yang mana permukaan luar dan dalam tayar berkenaan mempunyai corak bunga yang berbeza.

    Michelin Pilot Sport 5 diperkenalkan, rekaan Dual Sport Tread, tahan lebih lama, saiz dari 17″-20″

    Corak luaran dengan blok kukuh memberi cengkaman kering yang maksimum, sementara corak dalam mengendalikan cengkaman dalam keadaan basah. Michelin juga menekankan “Groove Clear”, yang merujuk kepada corak bunga yang mengalirkan air ke dalam saluran transversal lebar dan jauh daripada tayar untuk keselamatan dan kendalian ketika dalam hujan.

    Sama seperti produk tayar lain Michelin, Oilot Sport 5 turut diberikan rekaan dinding sisi sentuhan premium untuk menarik perhatian. Saiz bagi PS5 ini bermula dari 205/40R17 hinggalah ke 275/45R20, yang semuanya mempuyai indeks kelajuan “Y” yang bermaksud 300 km/j.

     
     
  • Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

    Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

    Selepas Proton menjalinkan kerjasama dengan Geely, sayap prestasi dan perlumbaannya iaitu Race Rally Research (R3) dikhabarkan akan ditutup. Tetapi perkara berkenaan jelas hanyalah khabar angin kerana pasukan R3 masih lagi dilihat aktif berlumba dalam kejohanan Malaysia Championship Series (MCS) dan perlumbaan endurance Sepang 1000KM (S1K).

    Namun selain berlumba, R3 dilihat tidak lagi menjual aksesori dan juga peralatan prestasi yang boleh digunakan untuk kereta-kereta Proton seperti era ia dipimpin oleh Tengku Djan Ley dahulu. Ia juga tidak lagi menghasilkan model-model talaan prestasi penuh dan edisi terhad seperti Satria R3, Satria Neo R3 Lotus Racing dan lain-lain.

    Tahun lalu, Proton melancarkan Saga R3 Limited Edition dan juga Iriz R3 Limited Edition, tetapi model yang dikatakan untuk meraikan kemenangan R3 dalam perlumbaan S1K tersebut sebenarnya tidak langsung mendapat sentuhan R3, sebaliknya hanya diberikan tambahan pada aspek kosmetik semata-mata.

    Minggu lalu, Proton seolah-olah melancarkan semula jenama R3 ini. Proton R3 kini diletakkan di bawah satu anak syarikat Proton Edar yang diberi nama Proton Global Service (PGS), iaitu syarikat yang diwujudkan dengan matlamat agar Proton “hadir lebih kerap di sisi peminatnya”.

    Buat permulaan, R3 kini menghasilkan semula barangan-barangan gaya hidup seperti kemeja-T, topi dan sebagainya. Untuk sesuatu yang boleh ‘dihadiahkan’ pada kereta Proton anda pula, R3 kini hadir dengan minyak enjin premium yang dihasilkan bersama Petronas dan juga penapis minyak enjin. Kesemua ini anda boleh dapatkan di 20 outlet R3 Premium Merchandise Partner (PMP) yang diwujudkan di pusat-pusat 4S/3S Proton di seluruh negara.

    Setakat ini sahaja penampilan R3 dalam pasaran? Dalam temubual dengan CEO PGS iaitu Lee Yeet Chuan dan juga CEO Proton Edar Roslan Abdullah (juga memegang jawatan sebagai naib CEO Proton) selepas perasmian outlet R3 PMP di Setia Gemilang Auto Sabtu lalu, kami diberitahu bahawa R3 bakal tampil kembali seperti dahulu – R3 nampaknya bukan sahaja akan menjual semula peralatan prestasi menerusi R3 PMP, malah turut akan menawarkan khidmat modifikasi untuk pelanggan serta menghasilkan model talaan prestasi penuh berdasarkan model-model produksi Proton sedia ada!

    “Semestinya kami mahu membawa semula zaman kegemilangan R3. Seperti mana yang anda tahu, R3 adalah prestasi, ia lahir kerana keghairahan terhadap prestasi tinggi. Melihat kehadapan, kami berharap untuk membawa kelengkapan pretasi untuk kereta sehingga ke aksesori dan mungkin selepas itu penalaan – ini yang paling penting. Kami akan cuba untuk memilih beberapa model dari Proton yang boleh kami ubahsuai dan jualnya kepada peminat R3,” kata Lee Yeet Chuan yang lebih mesra disapa dengan nama YC.

    YC turut menjelaskan bahawa model baharu dengan lencana R3 sebenar berkenaan mungkin akan muncul seawal setahun dari sekarang kerana pelbagai proses pembangunan dan juga kelulusan dari pihak berkuasa.

    “Biasanya untuk membangunkan satu-satu varian baharu, ia mengambil masa paling kurang pun setahun. Ini kerana banyak proses undang-undang seperti kelulusan jenis kenderaan (VTA) dari JPJ, ujian ketahanan, dan walaupun hanya menghasilkan peralatan prestasi anda tak boleh jual terus, anda perlu melakukan ujian yang ketat seperti komponen OEM. Jadi ia akan mengambil masa lebih kurang setahun, dan anda boleh jangkakan paling cepat pun tahun hadapan,” jelas YC.

    “Tahun lepas kita ada (Saga dan Iriz) R3 Special Editon, yang mana ia lebih kepada kosmetik. Jadi apa yang YC sebutkan tadi, kami akan ada model seperti edisi istimewa yang mana ia bukan sekadar kosmetik, malah ia lebih kepada model model prestasi sebenar R3 yang sah digunakan di jalan raya seperti apa yang telah dibuat sebelum ini,” tambah Roslan Abdullah pula.

    “Buat masa sekarang kami masih lagi membuat penyelidikan kerana perkara paling mustahak yang saya beritahu YC adalah kita tak boleh hasilkan model R3 tapi apabila tengok dalam geran ia cuma tulis Proton Saga. Jadi kami perlu hasilkan model dengan nama R3 tertera di geran. Tetapi untuk menghasilkan model seperti ini, banyak kerja proses tambahan yang perlu dibuat. Kami juga perlu membuat imbangan dari segi harga.

    “Kami perlu jual harga yang betul dan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa. Apabila anda perlu menghasilkan varian tambahan untuk R3, anda perlu melalui proses yang sama seperti menghasilkan varian baru. Kami perlu pergi ke JPJ untuk proses VTA,” jelas Roslan.

    Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

    Berkenaan model yang akan dipilih untuk diberikan varian prestasi ini nanti, Roslan menyatakan bahawa ia boleh jadi model apa sahaja di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    “Contohnya sekarang kita ada Saga, kita ada Iriz, mungkin kita boleh mula dengan model-model ini dulu. Sudah tentu ada orang yang kata kenapa tidak X50? Kenapa tidak X70? Itu juga merupakan cadangan yang baik yang kami terima dan kami akan tengok peluang tersebut. Peluang itu ada, tetapi kami kini masih sedang dalam penyelidikan. Sebelum kami pergi lebih dalam, kami perlu mula langkah demi langkah.

    “Untuk proses yang lengkap saya rasa kita akan ambil masa yang lebih lama, jadi sekurang-kurangnya kita sudah buat penjenamaan semula. Dari sini, kita boleh jangka apa yang pelanggan mahu, apa yang pelanggan jangkakan, dan berdasarkan jangkaan tersebut, bagaimana pula tahap kesediaan kami.

    “Jadi kami perlu pastikan bahawa semua aspek telah diteliti dan bersedia untuk membawa kami ke hadapan. Jadi inilah sebab mengapa R3 kini di bawah PGS. YC akan sepenuh masa memastikan semua aspek telah diteliti. Jadi pihak pengurusan melihat YC mempunyai pasukan yang terdiri dari pakar yang berada dalam pasukan lumba R3 sebelum ini, dan juga mereka yang terlibat dengan aksesori juga akan berada di bawahnya. Jadi mereka tidak akan terlibat dengan jualan kereta baharu, sebaliknya hanya fokus terhadap R3,” jelas Roslan lagi.

    Namun menurut Roslan, model talaan penuh ini juga tidak semestinya akan dihasilkan sebagai model produksi, dan mungkin hanya prototaip untuk menilai penerimaan dalam pasaran. Dengan respon dari prototaip tersebut, R3 mungkin akan menawarkan khidmat ubahsuai untuk menjadikan kereta pelanggan sebagai sebuah model dengan prestasi R3 sebenar tanpa ia dicatatkan pada geran, jika pelanggan mahukan.

    Bercakap tentang ubahsuai dan penawaran aksesori dan kelengkapan prestasi ini, YC pula mengesahkan bahawa R3 akan menawarkan produk-produk seperti set rim, suspensi, kit aero pelekat-pelekat custom dan sebagainya dalam masa terdekat, atau lebih spesifik tahun ini juga.

    Menurut YC, R3 Motorsport sebelum ini hanyalah pasukan lumba, namun selepas ini R3 di bawah PGS akan menawarkan lebih perkhidmatan contohnya modifikasi kenderaan, talaan suspensi serta talaan/remap enjin. Ini kerana R3 sebenarnya telah banyak menerima permintaan dari peminat untuk mengubahsuai kereta mereka berberapa tahun kebelakangan ini.

    “Oleh kerana mereka (R3) sebelum ini bukan berorientasikan perniagaan, mereka tak boleh ambil tempahan kerja tersebut. Jadi sekarang apabila mereka berpindah ke PGS, kami akan cuba masuk ke modifikasi sukan bermotor, seperti perniagaan House of R3 terdahulu, jadi kami boleh menyediakan servis kepada pelanggan kami. Bukan hanya untuk kereta baru, juga untuk pelanggan Proton sedia ada,” kata YC.

    “Kami masih membuat penelitian terhadap pilihan yang ada buat masa sekarang. Ini kerana bila kita bercakap, berkomunikasi berkenaan R3, berkenaan aksesori, kosmetik, saya rasa ini tidak cukup. Semua orang boleh buat kosmetik, semua orang boleh buat aksesori. Untuk Proton, kami boleh buat kedua-duanya. Dalam aspek prestasi, aksesori, jadi kami akan menggunakan tenaga pakar yang masih bekerja dengan kami, untuk manfaat pelanggan,” tambah Roslan pula.

    Roslan juga menyatakan beliau mungkin akan menggunakan kepakaran Automotive Conversion Engineering (ACE) yang juga kini berada di bawah Proton Edar. Mungkin ada yang belum tahu, ACE adalah firma kejuruteraan di bawah Proton Edar yang menghasilkan model-model ubahsuai istimewa seperti Proton Perdana Limosin yang digunakan oleh kerajaan sebelum ini.

    Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

    “Cuma nak jelaskan lagi apa yang YC cakap berkenaan modifikas tadi, mungkin anda pernah dengar pasal ACE yang pernah buat modifikasi kenderaan untuk kereta-kereta Proton, ia juga di bawah Proton Edar, yang juga di bawah saya. Jadi saya akan gabungkan dua syarikat ini bagi membolehkan PGS bekerja bersama bagi membolehkan kerja-kerja ubahsuai yang YC sebutkan tadi boleh dibuat di bawah ACE.

    “Jadi apa yang kami lihat YC boleh membangunkan sesuatu untuk ubahsuai, dan secara asasnya apayang saya buat adalah untuk menggunakan apa sahaja sumber yang kami ada dalam Proton yang terbukti berkesan tetapi kami akan menjadikannya lebih baik kali ini,” tegas Roslan lagi.

    Jadi untuk mereka yang sering bertanya bila Proton R3 nak jadi macam dulu – buat kereta prestasi, buat peralatan prestasi, patutnya sekarang dah kena kumpul duit. Ye lah, dulu masa belum ada sibuk tanya, nanti dah ada jangan lupa bagi sokongan pula ya!

     
     
  • Didi Automotive dilantik pengedar rasmi Royal Enfield di M’sia – sasar buka pusat pameran di semua negeri

    Didi Automotive dilantik pengedar rasmi Royal Enfield di M’sia – sasar buka pusat pameran di semua negeri

    Didi Automotive Sdn Bhd menambah satu lagi jenama di bawah pengurusannya apabila dilantik menjadi pengedar rasmi motosikal Royal Enfield di Malaysia, menggantikan SNH Bhumi Corporation Sdn Bhd sebelum ini, dan ia akan terus berkuatkuasa secara serta merta.

    Mula ditubuhkan pada tahun 1901, Royal Enfield kini merupakan jenama motosikal dengan pengeluaran berterusan paling lama dan barisan model yang ditawarkan di serata dunia sekarang antaranya terdiri daripada Interceptor 650, Continental GT 650, Himalayan 400, Classic 500 dan Bullet 500.

    “Malaysia adalah satu pasaran yang penting bagi Royal Enfield dan kami percaya bahawa motosikal kami adalah sesuai untuk ditunggang melalui landskap menarik di negara ini dan menawarkan pelanggan satu pengalaman menunggang yang berbeza. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Didi Automotive untuk pasaran strategik ini,” kata ketua bahagian perniagaan untuk pasaran APAC Royal Enfield, Vimal Sumbly.

    “Sasaran kami adalah untuk meletakkan kehadiran Royal Enfield di seluruh negeri dalam Malaysia dan menyediakan pengalaman pemilikan terbaik, daripada jualan, selepas jualan dan tunggangan. Dengan Royal Enfield, kami berharap dapat memacu perkara ini lebih lagi dengan menyediakan gaya hidup motosikal yang mudah didekati dan berkualiti, termasuk dengan pelbagai aktiviti dan pusat pameran di seluruh negara,” kata pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo.

     
     
  • Polis guna alat pengesan had laju ‘In-Car Radar’, iCOPS untuk Op Selamat 17 pada 28 Jan-6 Feb

    Polis guna alat pengesan had laju ‘In-Car Radar’, iCOPS untuk Op Selamat 17 pada 28 Jan-6 Feb

    Sepanjang pelaksanaan Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang, buat kali pertama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempraktikkan penguatkuasaan secara digitalisasi menggunakan alat pengesanan had laju ‘In-Car Radar’ di sepanjang lebuh raya, laporan Berita Harian.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, teknologi itu akan digunakan sebagai tambahan kepada operasi penguatkuasaan biasa untuk mengesan kenderaan yang dipandu di lebuh raya melebihi had laju yang ditetapkan. Selain itu, peranti Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) juga akan digunakan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik.

    “Ini termasuk kenderaan yang terbabit dalam kes jenayah seperti kenderaan curi, klon dan sebagainya. Kedua-dua peralatan ini amat membantu dalam menyimpan serta membina profil kenderaan secara sistematik bagi rekod analisa PDRM, pada masa kini dan hadapan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 sebentar tadi.

    Polis guna alat pengesan had laju ‘In-Car Radar’, iCOPS untuk Op Selamat 17 pada 28 Jan-6 Feb

    Jelas beliau, penguatkuasan secara ‘In-Car Radar’ dan ‘iCOPS’ akan dilaksanakan oleh pasukan Peronda Lebuhraya PDRM yang ditugaskan melakukan rondaan di sepanjang lebuh raya negara termasuk Lebuh raya PLUS. Op Selamat 17 akan dilaksanakan mulai 28 Januari hingga 6 Februari 2022 dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.

    “Selepas dua tahun Op Selamat tidak dilaksanakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Op Selamat kini dilancarkan semula. Operasi ini dilaksanakan dengan dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan,” katanya.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 sedang diuji di Thailand

    Ford Ranger Raptor 2023 sedang diuji di Thailand

    Sebuah prototaip Ford Ranger Raptor generasi seterusnya telah dilihat di Thailand sebelum trak itu diperkenalkan secara rasmi di sana. Versi Ford Performance ini dikenakan pelekat samaran, tetapi beberapa perbezaan berbanding model biasa boleh dilihat.

    Antaranya bahagian body cladding plastik yang ada nampak lebih menonjol pada prototaip ini, dengan lengkung fender yang lebih tebal serta pemijak sisi magnesium khas untuk model ini. Bahagian pemijak ruang belakang pula tidak kelihatan, tetapi ciri itu pasti akan diberikan pada model produksi nanti.

    Ciri lain yang berkemungkinan besar akan ditawarkan ialah sistem kameran pandangan 360-darjah, peninjau titik buta serta lampu gabungan LED di belakang dan rin 20-inci dari Wildtrak. Raptor merupakan model paling tinggi bagi trak pikap ini, jadi boleh dijangkakan ia akan hadir dengan paparan digital dan ciri bantuan pemanduan lengkap.

    Ford Ranger Raptor 2023 sedang diuji di Thailand

    Masih belum diketahui unit enjin mana yang akan digunakannya, tetapi ada laporan mencadangkan Ford mungkin akan menggugurkan enijn 2.0 liter biturbo sebelum ini dan beralih kepada kapasiti enjin lebih besar. Menurut beberapa eksekutif tertinggi Ford, ada kemungkinan mereka akan memanfaatkan enjin 5.0 liter Coyote V8 Mustang. Tetapi versi enjin 3.0 liter V6 turbodiesel Wildtrak mungkin lebih sesuai.

    Enjin lain yang mungkin digunakan ialah unit EcoBoost 2.3 liter empat-silinder, serta enjin diesel EcoBlue 2.0 liter yang dipertingkat (biturbo dan turbo tunggal). Ford memaklumkan masalah kebocoran minyak telah diselesaikan dengan rekaan gasket yang lebih baik.

    Setakat ini, Ford masih berdiam diri berkaitan elektrifikasi untuk Ranger, tetapi memaklumkan pihaknya akan mengemaskini platform T6 dan menjadikannya boleh digunakan untuk tujuan itu. Spesifikasi lebih lanjut model ini akan didedahkan ketika pelancarannya kelak.

     
     
  • Data jualan kenderaan Disember 2021 di M’sia ikut jenama — Perodua naik 13.5%, Proton mendatar

    Data jualan kenderaan Disember 2021 di M’sia ikut jenama — Perodua naik 13.5%, Proton mendatar

    2021 memberi kesan besar terhadap segenap perkara, termasuklah industri automotif. Tidak hanya masih bertarung dengan pandemik Covid-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan semula seperti tahun 2020, halangan berkaitan kekurangan bekalan cip yang belum kelihatan penghujungnya serta bencana banjir terburuk yang berlaku di Malaysia telah menambah kesulitannya.

    Untuk itu, tidak menghairankan jumlah keseluruhan industri (TIV) turun hingga empat peratus kepada 508,911 unit, pengurangan lebih daripada 20,000 unit. Bagaimanapun, pasaran kembali rancak pada Disember — walaupun berlaku bencana banjir dan menyebabkan penangguhan pengeluaran — untuk mencatatkan 65,184 unit kenderaan dalam bulan tersebut. Ini peningkatan hampir 10% berbanding November.

    Berdasarkan data MAA mengikut pecahan ikut jenama, Perodua terus mendahului di depan, dengan menjual 2,142 lebih banyak kenderaan dengan keseluruhannya 23,041 unit, naik 13.5%. Walaupun begitu, syarikat tersebut tidak dapat mencapai sasaran 200,000 unit yang ditetapkan, dengan mencatatkan hanya 190,291 jualan pada 2021 — prestasi terburuknya sejak 2012.

    Proton pula agak bergelut untuk bulan Disember, dengan angka jualan yang tidak banyak berbeza (-1.5% atau 209 unit) dengan mencatatkan keseluruhan 13,701 unit jualan. Ini disebabkan oleh pengeluaran model X50 dan X70 yang terganggu akibat vendor yang terkesan banjir. Ia bagaimanapun masih mampu mendahului Toyota yang mencatatkan 9,193 unit terjual bulan lalu (naik 9.3%), didorong oleh permintaan yang meningkat terhadap Hilux.

    Data jualan kenderaan Disember 2021 di M’sia ikut jenama — Perodua naik 13.5%, Proton mendatar

    Ini membantu jenama itu berada di depan Honda, walaupun Honda sendiri tetap mencatatkan peningkatan dengan menjual 5.1% lebih banyak kenderaan pada 7,982 unit. Di tempat kelima ialah Mitsubishi, yang mengakhiri tahun dengan penurunan jualan sebanyak 5.9% menjadi 2,126 unit.

    Lain-lain jenama yang perlu diberi perhatian pula seperti berikut; jualan Hyundai melonjak 122.6% kepada 207 unit; Volvo naik 75.3% kepada 524 unit dan Isuzu meningkat 41.5% kepada 1,380 unit. Bagaimanapun, Disember bukan bulan yang bagus untuk Land Rover (-45.5%); Subaru (-16.6%) dan Mazda (-10.1%).

    Bagi jenama premium yang lain, BMW dan MINI akhirnya mengeluarkan angka jualan bagi suku terakhir tahun lalu. Sepanjang Oktober-Disember, jualannya mencatatkan 1,681 unit kenderaan menjadikan keseluruhannya 8,439 unit. Ini meletakkan BMW di tangga kesembilan, sementara MINI yang menjuak 110 unit pada Disember menjadikan keseluruhan jualan 2021 sebanyak 978 unit.

     
     
  • Lamborghini akhiri enjin pembakaran; bakal produksi model hibrid atau elektrik penuh mulai 2023 – CEO

    Lamborghini akhiri enjin pembakaran; bakal produksi model hibrid atau elektrik penuh mulai 2023 – CEO

    Lamborghini, salah satu jenama automotif paling emotif, telah mengumumkan 2022 merupakan tahun terakhir ia menawarkan kereta dengan enjin pembakaran tulen. Menerusi temubual bersama Bloomberg, CEO Lamborghini Stephan Winkelmann berkata, “Tahun ini merupakan tahun terakhir kami menawarkan enjin pembakaran.”

    Bermula tahun hadapan, pengeluar jentera prestasi tinggi ini akan mula menjual model plug-in hybrid, dan juga elektrifikasi menjelang 2024. Model produksi PHEV pertamanya akan didedahkan tahun ini, iaitu di antara empat produk baharu yang dijadualkan bakal dilancarkan.

    Sebagai rekod, sebanyak 1.5 bilion euro (RM7.12 bilion) telah diperuntukkan untuk fasa elektrifikasi, termasuk Raging Bull elektrik penuh yang dijadualkan dikeluarkan pada separuh kedua dekad ini. Lamborghini juga sedang bekerja dalam fasa terakhir rekaan untuk EV pertamanya, dan Winkelmann berkata pihaknya mahu mengeluarkan model empat-pintu yang sesuai untuk kegunaan harian.

    Sementara itu, CEO terbabit turut berkata Lamborghini hampir menjual keseluruhan pengeluarannya untuk 2022, yang mengatasi rekord pengeluaran dan permintaan pada 2021. Tahun lalu, Lamborghini telah menghantar 8,405 unit kenderaan di peringkat global, dengan pendapatan penuh setahun (sebelum faedah dan margin cukai) dijangkakan berada dalam lingkungan 20%.

     
     
  • Yamaha EMF dilancar untuk pasaran Taiwan – skuter elektrik 10.3 PS, brek radial empat piston di hadapan

    Yamaha EMF dilancar untuk pasaran Taiwan – skuter elektrik 10.3 PS, brek radial empat piston di hadapan

    Selepas EC-05, Yamaha Taiwan kini melancarkan satu lagi model skuter elektrik, dipanggil sebagai EMF. Harga pasarannya adalah 102,800 NT (RM15,526), namun bagi tempoh awal sehingga 31 Mac ini, ia dijual pada harga diskaun 99,800 NT (RM15,073). Satu lagi promosi yang diadakan adalah 100 pembeli awal diberikan dengan set lima aksesori tambahan pada skuter mereka.

    Dengan badan yang kecil seperti Q-bix, EMF dipacu oleh motor elektrik yang mampu menghasilkan 10.3 PS pada 3,000 rpm, dan 26 Nm tork pada 2,500 rpm, dan mendapat kuasa daripada dua pek bateri yang kelihatan seperti boleh dicabut keluar. Saiz serta waktu mengecas bateri ini bagaimanapun tidak didedah kepada umum.

    Luar daripada kebiasaan bagi sebuah skuter kecil, EMF tidak menggunakan sistem pacuan tali sawat untuk menghantar kuasa ke belakang, sebaliknya menggunakan tetapan rantai dan lengan ayunnya pula menggunakan unit yang dibuat daripada aluminium tuang.

    Walaupun tempat duduk EMF ini nampak seperti skuter biasa, ia sebenarnya dicipta hanya untuk satu orang sahaja dan anda boleh melihat tiada tempat peletak kaki bagi penumpang. Rim menggunakan saiz 10 inci sementara brek pula kedua-duanya adalah unit cakera dengan angkup empat piston radial di hadapan.

    Satu lagi ciri unik EMS adalah ia menggunakan sistem tanpa kunci dan motosikal dihidupkan dengan menggunakan kad pintar khas. Di hadapan penunggang pula terdapat skrin digital yang boleh disambung dengan aplikasi khas Y-Connect untuk motosikal elektrik.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada EMS adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan semua lampu LED. Tinggi tempat duduk skuter elektrik ini adalah 785 mm dan berat keseluruhannya adalah 114 kg termasuk dua pek bateri di bawah tempat duduknya.

     
     
  • Polis panggil individu dari FCCM-FC Club M’sia kerana berkumpul di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang

    Polis panggil individu dari FCCM-FC Club M’sia kerana berkumpul di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang

    Selepas tular gambar sekumpulan pemilik Honda Civic generasi ke-10 (FC) yang berkumpul di lorong kecemasan Lebuh raya Temiang-Pantai di Negeri Sembilan semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan memanggil sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan dalam masa terdekat, lapor Bernama.

    Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya berkenaan kira-kira 6.30 petang, Sabtu lalu.

    “Kita akan panggil ketua kelab itu dahulu, kita sudah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu adalah satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

    “Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Manurutnya lagi, hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terbabit mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Mohd Fazley turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

    Mohd Fazley juga menyatakan bahawa pihaknya akan membuat perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaraskan tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai bergambar serta menjaja.

    “Lebuh raya Temiang-Pantai adalah lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi terbabit tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya,” katanya.

     
     
  • Moto Morini X-Cape 650 dipertonton di Malaysia – harga jangkaan RM45k, pelancaran tengah tahun ini

    Moto Morini X-Cape 650 dipertonton di Malaysia – harga jangkaan RM45k, pelancaran tengah tahun ini

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang baru sahaja mengeluarkan pengumuman bahawa mereka dilantik menjadi pengedar motosikal jenama Moto Morini di Malaysia beberapa minggu lepas tidak mengambil masa lama untuk membawa model jenama tersebut ke dalam negara.

    Model yang pertama sudah pun tiba, iaitu X-Cape 650, namun pengenalan rasminya hanya dijangka berlaku pada pertengahan tahun ini. Harga untuk model itu juga masih belum ada, tetapi ada sumber yang memberitahu, ia akan berada di sekitar RM45,000 dan sedang menunggu kelulusan.

    Setakat ini masih belum diketahui sama ada ketibaan X-Cape 650 akan diikuti oleh model lain seperti Corsaro ZZ, ZT 1200, Super Scrambler 1200 dan Seiemmezzo SCR/STR 650, tetapi bagi X-Cape 650, ia akan ditawarkan dalam dua varian dengan yang membezakannya adalah rim (aloi/spoked) sementara pilihan warna pula ada dua iaitu Smoky Anthracite dan Red Passion.

    Penggerak X-Cape 650 adalah enjin dua silinder suntikan bahan api, penyejukan cecair, 649 cc yang digabungkan bersama kotak gear enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 59 hp pada 8,250 rpm dan 56 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Suspensi hadapan menggunakan fork USD daripada Marzocchi berdiameter 50 mm sementara di belakang terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban. Untuk rim, ia menggunakan padanan saiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dengan masing-masing dibalut tayar 110/80 dan 150/70.

    Moto Morini X-Cape 650 dipertonton di Malaysia – harga jangkaan RM45k, pelancaran tengah tahun ini

    Brek cakera digunakan pada kedua-dua roda hadapan dan belakang, dengan masing-masing menggunakan tetapan cakera berkembar 298 mm bersama angkup Brembo dua piston dan cakera 255 mm bersama angkup dua piston, dan ia dilengkapi dengan sistem ABS daripada Bosch yang boleh ditutup menggunakan suis.

    Kelengkapan lain yang diberikan standard pada X-Cape 650 adalah termasuk tangki bahan api 18 liter, skrin TFT-LCD, semua lampu LED, pengecas USB serta suis yang menyala. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 213 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 820 mm.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga 2022 ada sistem keyless!

    SPYSHOT: Proton Saga 2022 ada sistem keyless!

    November lalu Proton telah dikesan menguji satu lagi versi kemaskini untuk sedan mampu milik Saga. Imej unit ujian berkenaan tempoh hari mendedahkan bahawa Saga bakal menerima hanya sedikit perubahan rupa luaran untuk model 2022 berkenaan.

    Namun menerusi gambar dikirimkan oleh pembaca Putra Kamrin Azran yang menemui unit ujian Saga 2022 tersebut di Genting Highland, nampaknya Saga diberikan pembuka pintu pemandu dengan suis kunci, menandakan ia bakal dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci. Malah menerusi maklumat dari sumber kami, ia turut akan disertakan dengan butang penghidup enjin.

    Unit ujian ini turut memperlihatkan Saga 2022 menerima gril dengan logo baharu Proton yang berbentuk bulat (masih dilindung dengan pelekat penyamaran), kit aero yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan dan skirt sisi, serta rim aloi mungkin dengan rekaan baharu kerana ia turut diberikan pelekat penyamaran berwarna hitam.

    Saga generasi ketiga ini telah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2016. Ia kemudiannya menerima kemaskini yang ekstensif untuk model facelift 2019 – menampilkan penyegaran pada bahagian luaran, serta bahagian kabin yang diberikan material komponen yang lebih baik serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh android ‘terapung’ di tengah papan pemuka untuk varian Premium.

    Ia masih dijana oleh enjin 1.3 liter empat-silinder Campro VVT menghasilkan 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm. Namun kotak gear CVT Punch pada model 2016 telah digantikan dengan kotak automatik konvensional 4AT yang dibekalkan oleh Hyundai bagi model 2019.

    Sistem mekanikal ini dijangka akan terus digunakan untuk model 2022. Namun apa yang tak dapat dipastikan adakah varian Standard akan terus ditawarkan dengan pilihan kotak gear lima-kelajuan manual, kerana pilihan transmisi berkenaan sebelum ini telah pun digugurkan pada varian asas hatchback Proton Iriz 2022.

     
     
  • Setia Gemilang Auto jadi outlet barangan premium Proton R3 pertama – tawar minyak enjin, barangan lain

    Setia Gemilang Auto jadi outlet barangan premium Proton R3 pertama – tawar minyak enjin, barangan lain

    Khamis lalu, Proton telah memperkenalkan semula barangan-barangan dengan jenama sayap perlumbaannya iaitu Proton R3 yang kini diuruskan oleh Proton Global Service (PGS). Selain dari barangan gaya hidup seperti kemeja-T dan topi dengan logo R3, ia turut disertai dengan penawaran minyak enjin premium R3.

    Selain dari outlet utama Lifestyle Boutique yang terletak di dalam bangunan Pusat Kecermelangan Proton (CoE), pelanggan turut boleh mendapatkan barangan-barangan berkenaan di outlet R3 Premium Merchandise Partner yang diwujudkan di pusat-pusat 4S/3S Proton di seluruh negara.

    Dan outlet R3 pertama yang dibuka adalah di Setia Gemilang Auto, terletak di Sungai Buloh, Selangor. Majlis pelancaran rasmi R3 Premium Merchandise Partner Setia Gemilang Auto tersebut telah dibuat semalam, dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PGS Lee Yeet Chuan serta Ahli Parlimen Sungai Buloh YB Sivarasa Rasiah.

    Menerusi outlet ini, pelanggan boleh mendapatkan minyak enjin premium R3 yang ditawarkan dalam dua pilihan. Ia terdiri dari minyak enjin premium R3 P2 Semi-Synthetic 10W-30 dijual pada harga RM158.00, dan juga R3 P1 Fully-Synthetic 5W-30 berharga RM208.00 – kedua-duanya dalam pek botol empat liter.

    Namun untuk masa terhad, kedua-dua minyak enjin premium R3 ini akan ditawarkan pada harga pengenalan masing-masing RM128 dan RM178 sehingga 30 April nanti. Bagi pemilik-pemilik Proton dengan enjin Campro/CFE (1.3L S4PE dan 1.6L S4PH), anda turut boleh menggunakan penapis minyak enjin premium R3 yang ditawarkan di outlet ini.

    Menurut Proton, penawaran minyak enjin penapis minyak enjin ini adalah permulaan semula R3 dalam menawarkan produk prestasi untuk kereta-kereta Proton. Selepas ini ia akan menawarkan semula pelbagai aksesori dan kelengkapan prestasi lain seperti sebelum ini.

    Untuk barangan gaya hidup pula, pelanggan ditawarkan dengan barangan seperti topi snapback (RM55), topi baseball (RM55) baju polo dry-fit (RM60), kemeja-T kolar bulat dalam dua rekaan berbeza (RM49) dan juga baju polo kolar zip dry-fit (RM55).

    Setia Gemilang Auto merupakan salah satu outlet R3 Premium Merchandise Partner dari 20 outlet secara keseluruhan yang akan dibuka di pengedar-pengedar lain di seluruh negara. Senarai pengedar lain yang turut akan menampilkan outlet ini adalah seperti yang tertera di atas.

    GALERI: Barangan gaya hidup Proton R3

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025