Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jiayuan Komi dilancar di China – EV kecil dengan 41 hp, 110 Nm tork, jarak gerak sehingga 161 km

    Jiayuan Komi dilancar di China – EV kecil dengan 41 hp, 110 Nm tork, jarak gerak sehingga 161 km

    Jiayuan Komi adalah satu lagi kenderaan elektrik mini yang mula dijual di China untuk bersaing dengan model seperti Wuling Hongguang Mini EV, Chery QQ Ice Cream dan Pocco Duoduo. Menurut CarNewsChina, Komi dijual pada harga bermula 56,800 yuan (RM37,286), hingga 67,800 yuan (RM44,522), sekaligus menjadikannya lebih mahal berbanding pesaing lain.

    Mempunyai ukuran panjang 2,998 mm, lebar 1,478 mm, tinggi 1,555 mm dan jarak roda 2,000 mm, Komi mampu memuatkan empat orang di dalamnya dan datang dengan hanya dua pintu. Luarannya adalah unik dengan lampu berbentuk lonjong, bampar berlubang serta gril seakan model Jeep sementara rim pula bersaiz 15 inci.

    Dengan harga yang lebih tinggi ini, pembeli akan mendapat butang kawalan pada stereng, panel instrumen digital, pemilih gear jenis bulat yang boleh dipusing, tempat duduk berliang, balutan kain warna terang serta lampu suasana. Skrin sistem infotainmen berukuran tujuh inci padanya juga didatangkan dengan CarLife, iaitu sistem seperti Apple CarPlay milik Baidu sendiri.

    Komi ditawarkan dengan pilihan dua motor elektrik. Pertama adalah yang berkuasa 27 hp dan 90 Nm manakala yang kedua berkuasa 41 hp dan 110 Nm. Pek bateri juga ada dua pilihan, iaitu 17.8 kWh yang mampu memberi jarak gerak 161 km, atau 30 kWh yang memberi 322 km. Melalui mana-mana pilihan pun, laju maksimumnya masih adalah 100 km/j.

    Jiayuan Electric Vehicles, yang membangunkan Komi ini memberitahu bahawa lebih 60% struktur badannya dibuat daripada besi kekuatan tinggi dan melepasi tahap M1 Whole Vehicle Type-Approval (WVTA) European Union dan juga penarafan K-car Jepun.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Komi adalah termasuk dua beg udara, kamera belakang, pengesan undur, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, cermin sisi dengan fungsi pemanas, pendingin hawa manual, ESC, Hill Start Assist, brek parkir elektronik (dengan fungsi Auto Hold), sistem pemerhati tekanan angin tayar, cruise control, lampu utama projector halogen serta lampu belakang LED.

     
     
  • Hyundai dilapor tutup pusat pembangunan enjin di Namyang, kini tumpu terhadap teknologi elektrifikasi

    Hyundai dilapor tutup pusat pembangunan enjin di Namyang, kini tumpu terhadap teknologi elektrifikasi

    Hyundai Motor Group (HMG) dilaporkan telah menutup pusat pembangunan enjinnya. Menurut laporan Business Korea, langkah tersebut diambil oleh gergasi automotif Korea berkenaan sebagai salah satu proses rombakan organisasi semula yang luas terhadap ibu pejabat penyelidikan dan pembangunannya iaitu Namyang Technology Research Center.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa pasukan pembangunan unit rangkaian kuasa di pusat berkenaan kini telah ditukar kepada pasukan pembangunan elektrifikasi, bersama semua jabatan yang berkaitan dengan unit rangkaian kuasa yang turut ditukar kepada unit berkaitan elektrifikasi. Malah HMG turut telah mewujudkan pusat pembangunan bateri bagi menumpukan terhadap “menjamin teknologi bateri”, lapor Business Korea lagi.

    Januari lalu HMG dilaporkan telah menghentikan pembangunan unit-unit rangkaian kuasa serba baharu yang menggunakan enjin diesel bermula separa kedua 2020, namun enjin-enjin diesel sedia ada masih akan diberikan penambahbaikkan.

    HMG turut dilaporkan telah menggabungkan beberapa jabatan R&D mereka bagi mempercepatkan tempoh pembangunan, seperti pengurusan projek berlainan dan pasukan pembangunan produk integrasi yang disatukan di dalam satu bahagian pembangunan kenderaan bagi merangkumi pelbagai aspek dari rekaan sehingga produksi besar-besaran, tulis laporan itu lagi.

    Hyundai dilapor tutup pusat pembangunan enjin di Namyang, kini tumpu terhadap teknologi elektrifikasi

    Rombakan organisasi ini berlaku sebaik sahaja Albert Biermann mengumumkan persaraannya dari jawatan Presiden dan Ketua Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan HMG, namun sekarang beliau masih bertugas sebagai Penasihat Teknikal Eksekutif syarikat berkenaan dan berpusat di Eropah.

    Albert Biermann telah menyertai Hyundai Motor Group sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua untuk Pengujian Keneraan dan Pembangunan Prestasi tinggi pada April 2015, selepas berkhidmat dengan BMW selama 31 tahun dengan jawatan terakhirnya adalah naib presiden untuk sayap prestasi BMW M.

    Bertugas di pusat R&D kumpulan berkenaan yang terletak di Namyang Korea, Biermann telah mengetuai pembangunan model-model baharu Genesis, Hyundai dan Kia, dengan memantau aspek kejuruteraan projek berkaitan pemanduan dan pengendalian, keselamatan, ketahanan serta penyisihan NVH.

    Beliau juga adalah individu penting dalam mewujudkan jenama prestasi dan sayap perlumbaan Hyundai N, dan kemudian Biermann dilantik sebagai Presiden dan Ketua Jabatan R&D Hyundai Motor Group pada 2018.

     
     
  • GAC Motor GS3 dilancarkan di M’sia – dari RM89k-RM97k, SUV segmen-B, 1.5L NA, 6AT, 2 varian

    GAC Motor GS3 dilancarkan di M’sia – dari RM89k-RM97k, SUV segmen-B, 1.5L NA, 6AT, 2 varian

    Seperti yang kami laporkan semalam, hari ini satu lagi jenama China iaitu GAC Motor telah masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi, bermula dengan model pertama yang diperkenalkan – SUV segmen-B GAC GS3. Jualan dan servis selepas jualan jenama tersebut diuruskan oleh Warisan Tan Chong Automotif (WTCA), iaitu satu lagi subsidiari Warisan Tan Chong Holdings selepas perjanjian eksklusif antara syarikat tersebut dengan GAC Motor International ditandatangani pada 30 November 2021.

    GAC GS3 ini tiba di pasaran Malaysia dalam versi facelift terbaharu, dan diimport sepenuhnya (CBU). Ia ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan varian Standard dijual pada harga RM88,800, diikuti varian Premium berharga RM96,800. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran bersama insentif potongan cukai jualan (50% untuk CBU) sehingga 30 Jun 2022.

    Setiap pembelian disertakan dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, bersama servis percuma (kos buruh sahaja) lima kali dalam tempoh tiga tahun atau 100,000 km. Bagi model Standard, ia boleh dipilih dengan dalam warna badan Lunar Grey, Ivory White atau Starlight Silver, manakala model Premium pula hadir dengan warna badan dua tona dengan pilihan Rosefinch Red dan Ivory White, kedua-duanya dipadankan dengan bumbung hitam. Versi tertinggi ini juga ditawarkan dengan satu pilihan warna tona tunggal iaitu Lunar Grey.

    GAC Motor GS3 dilancarkan di M’sia – dari RM89k-RM97k, SUV segmen-B, 1.5L NA, 6AT, 2 varian

    Dari segi saiz, GS3 ini diukur dengan dimensi 4,358 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,660 mm/1,685 mm tinggi (dengan/tanpa rel bumbung) serta jarak roda sejauh 2,560 mm. Berbanding saingan dalam kelas SUV segmen-B yang sama iaitu Proton X50, GS3 ini adalah 28 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 51 mm/76 mm lebih tinggi, tetapi menampilkan jarak roda 40 mm lebih dekat.

    Ruang but belakang GS3 ini direka bagi memuatkan kapasiti kargo 356 liter, dan boleh mencapai 780 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) rata. Dari segi casis pula, model ini diberikan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, sistem brek cakera untuk hadapan dan belakang serta stereng bantuan kuasa elektrik (EPS).

    Kedua-dua varian yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini hanya dipadankan dengan satu jenis unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.5 liter empat silinder NA (tanpa pengecas turbo) yang menjana 114 PS (113 hp) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan dari Aisin. Ini membolehkan ia mencapai pengunaan bahan api 6.9 l/100 km (14.5 km/l) mengikut kitaran NEDC.

    GAC Motor GS3 dilancarkan di M’sia – dari RM89k-RM97k, SUV segmen-B, 1.5L NA, 6AT, 2 varian

    Untuk membezakan varian, model Standard diberikan rim aloi 17-inci bersama tayar 215/60R17, lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, upholsteri gabungan fabrik dan leatherette, mod pemanduan Eco, sistem pendingin hawa manual (dengan penapis udara kabin RM2.5), tempat duduk hadapan larasan manual serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan phone mirroring.

    Manakala varian Premium pula menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus hadapan, cermin sisi lipatan berkuasa, antena sirip yu, kemasan hitam pada bumbung, rel bumbung dan cermin sisi, paparan instrumen dengan skrin LCD 3.5-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri leatherette penuh dan perehat kepala untuk tempat duduk baris kedua.

    Untuk aspek keselamatan pula, varian Standard diberikan empat-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, kamera undur dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model Premium hanya diberikan tambahan dua lagi beg udara, bagi menjadikan ia enam buah secara keseluruhan.

    Jika anda berminat untuk melihat model ini secara lebih dekat, ia sudahpun mula dipamerkan di bilik pameran pertama GAC Motor di Malaysia, yang terletak di Lot 72, Jalan Sultan Azlan Shah, 51200 Kuala Lumpur. Menurut WTCA, lebih banyak bilik pameran telah dirancang untuk kawasan luar dari Lembah Klang selepas ini.

    Dengan harga tidak melebihi RM100k, GS3 ini dilihat jauh lebih murah dari pesaing lain seperti Honda HR-V dan juga Toyota Corolla Cross. Namun, ia tentu mengundang komen “baik beli X50” kerana SUV segmen-B Proton tersebut menampilkan harga yang lebih kurang sama tetapi dengan enjin yang jauh lebih berkuasa dan kelengakapan yang jauh lebih banyak. Anda pula bagaimana? Berminat dengan penawaran terbaharu dalam pasaran SUV segmen-B ini?

     
     
  • Proton X70 CBU dilanjutkan waranti ke 5-tahun, perbatuan tanpa had bagi transmisi auto 6-kelajuan

    Proton X70 CBU dilanjutkan waranti ke 5-tahun, perbatuan tanpa had bagi transmisi auto 6-kelajuan

    Perlindungan waranti untuk transmisi torque converter enam-kelajuan bagi Proton X70 versi import sepenuhnya (CBI) telah disemak semula dan berkuatkuasa serta merta, seperti mana kenyataan yang dihantar oleh Proton kepada para pengedarnya.

    Semasa pelancarannya, X70 CBU diberikan waranti lima-tahun, perbatuan tanpa terhad, tetapi untuk transmisinya, ia hanya didatangkan waranti tiga-tahun atau 60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Tapi kini, Proton telah melanjutkan tempoh warantinya kepada lima-tahun dan perbatuan tanpa had.

    Untuk memastikan waranti kekal sah, pelanggan perlu mematuhi selang servis yang ditetapkan oleh pengeluar selama enam bulan atau 10,000 km, dan penggantian waranti komponen transmisi akan diteruskan. Malahan, nombor bahagian khusus untuk kenderaan yang telah menempuh jarak kurang daripada tiga tahun atau 60,000 km, dan nombor yang berbeza bagi kenderaan yang telah melebihi tempoh masa dan perbatuan akan diberikan.

    Proton X70 CBU dilanjutkan waranti ke 5-tahun, perbatuan tanpa had bagi transmisi auto 6-kelajuan

    Walau bagaimana pun, semakan polisi waranti untuk Proton X70 ini adalah untuk kotak gear dan tidak menyebut komponen mekanikal lain seperti untuk enjin.

    Dan kemaskini ini hanya untuk Proton X70 yang diimport sepenuhnya sebelum ini, kerana SUV tersebut telah menerima klac berkembar tujuh-kelajuan automatik dalam versi CKD bagi pengeluaran dari tahun model 2020 dan seterusnya. Semakan untuk model CKD ini membawa angka tork 15 Nm lebih tinggi serta penggunaan bahan api 13% lebih rendah, dan turut menggugurkan satu-satunya varian AWD daripada barisan CBU.

     
     
  • Chery Tiggo 4 Pro di Afrika Selatan datang dengan jaminan 1,000,000 km – semua varian termasuk turbo

    Chery Tiggo 4 Pro di Afrika Selatan datang dengan jaminan 1,000,000 km – semua varian termasuk turbo

    Chery baru sahaja melancarkan Tiggo 4 Pro di Afrika Selatan, dan satu perkara yang menjadi buah mulut ramai adalah ia datang dengan jaminan satu juta kilometer. Menurut pengeluar itu, jaminan ini datang dalam dua fasa, bermula dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km.

    Kemudiannya, sambungan jaminan fasa kedua selama lima tahun atau 850,000 km akan diberi khas untuk bahagian enjin apabila jaminan fasa pertama sudah berakhir. Syarat yang ditetapkan, kenderaan tersebut mestilah masih dimiliki oleh orang yang sama dari awal dan tidak boleh dipindah milik.

    Kemudiannya, untuk jaminan itu terus sah, kenderaan itu perlu diselenggara dan diservis oleh pusat servis rasmi Chery menggunakan alat ganti asli. Chery juga menyatakan bahawa pemilik tidak boleh lambat atau terlepas waktu servis kenderaan tersebut dan ia tidak digunakan untuk tugas ekstrem seperti teksi atau kenderaan keselamatan.

    Di Afrika Selatan, Tiggo 4 Pro ditawarkan dalam lima varian dengan harga antara 269,900 rand (RM73k) untuk varian asas, hingga 359,900 rand (RM97k) untuk varian paling tinggi. Semua varian ini ditawarkan dengan pakej jaminan yang sama, termasuklah model turbo.

    Model asas menggunakan enjin empat silinder NA 1.5 liter yang menghasilkan kuasa 113 PS dan 138 Nm tork, dipadankan bersama transmisi sama ada manual enam kelajuan atau CVT sementara tiga varian paling atas menggunakan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 147 PS dan 210 Nm tork.

     
     
  • Honda Malaysia lancar minyak enjin standard API SP

    Honda Malaysia lancar minyak enjin standard API SP

    Honda Malaysia telah memperkenalkan barisan minyak enjin SP Grade baru yang mengikuti standard American Petroleum Institute (API) SP. Ia akan menggantikan barisan minyak SN Grade sebelum ini, kecuali SN 0W-30 sintetik penuh yang masih akan ditawarkan untuk kereta berenjin prestasi seperti Civic Type R.

    Sesuai digunakan oleh enjin petrol dan turbo, minyak enjin SP Grade baru ini telah diluluskan dan diiktiraf oleh bahagian pembangunan dan penyelidikan (R&D) Honda, dengan keseluruhan pilihannya dibuat menggunakan formula yang memenuhi keperluan enjin Honda dan standard terkini API.

    Selain menyumbang kepada prestasi yang stabil dan penggunaan bahan api lebih baik, minyak baru ini juga dapat memberikan perlindungan terhadap low-speed pre-ignition (LSPI), iaitu satu keadaan pembakaran luar daripada kebiasaan yang boleh menyebabkan kerosakan ketara pada enjin, dan juga datang dengan perlindungan kelusuhan rantai pemasa untuk mengurangkan kesan pemanjangan pada rantai tersebut.

    Sebagai tambahan kepada perlindungan deposit suhu tinggi untuk piston dan pengecas turbo, minyak enjin SP ini juga mampu memberikan kawalan mendapan dan varnish yang lebih baik, perlindungan kepada sistem injap serta intake lifter, kestabilan oksida lebih tinggi dan perlindungan kepada sistem kawalan emisi.

    Barisan minyak enjin SP Grade baru yang terdiri daripada pilihan mineral SP 10W-30, semi sintetik SP 5W-30 dan sintetik penuh SP 0W-20 ini boleh didapati di semua 102 pengedar rasmi Honda di seluruh negara.

     
     
  • Geely Xingyue L Hi-X guna enjin hibrid 245 PS, 540 Nm, transmisi tiga tahap, jarak gerak hingga 1,300 km

    Geely Xingyue L Hi-X guna enjin hibrid 245 PS, 540 Nm, transmisi tiga tahap, jarak gerak hingga 1,300 km

    Apa yang anda lihat ini adalah Geely Xingyue L Hi-X 2022. Ia merupakan satu varian hibrid baru bagi SUV KX11, tetapi dikuasakan oleh enjin hibrid serba baru yang dibangunkan oleh Leishen Power (syarikat bersekutu Geely). Selepas Xingyue, akan ada lebih banyak lagi model hibrid Hi-X yang akan diperkenalkan kepada pasaran.

    Menggerakkan kenderaan ini adalah enjin tiga silinder 1.5 liter DHE, yang dikatakan sebagai enjin hibrid supercharge direct injection pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran di dunia. Geely mendakwa, enjin ini dapat mencapai tahap kecekapan suhu yang tinggi, iaitu sehingga 43.32% sedangkan kebanyakan enjin baru keluaran Jepun hanya mencatat sekitar 40%.

    Sudah tentu, enjin ini dibantu dengan kuasa elektrik, yang menjadikan kuasa keseluruhannya 245 PS dan 540 Nm tork. Ia dihantar ke dua roda hadapan, dan membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Penggunaan bahan api bercampur adalah 4.3 l/100 km (kitaran NEDC) tetapi perincian berkenaan bateri masih belum didedahkan.

    Geely Xingyue L Hi-X guna enjin hibrid 245 PS, 540 Nm, transmisi tiga tahap, jarak gerak hingga 1,300 km

    Melalui penggerak hibrid baru ini, Geely memberitahu Xingyue L Hi-X boleh bergerak sehingga 1,300 km dengan isian tangki penuh dan ujian penggunaan bahan api yang dibuat menunjukkan ia boleh mencatat jarak keseluruhan 1,426 km sambil penggunaan bahan api purata berada pada 3.9 l/100 km.

    Bergantung kepada keadaan pemanduan, enjin 1.5 DHE ini boleh beroperasi dalam mod series ataupun parallel. Dalam mod series, enjin ini akan bertindak sebagai generator untuk memberi kuasa kepada motor elektrik, tetapi apabila dalam kelajuan tinggi, enjin ini akan memberikan pacuan mekanikal kepada roda hadapan melalui klac dan reduction gear.

    Operasi ini dikawal oleh transmisi tiga tahap baru DHT Pro (Dedicated Hybrid Transmission) yang mempunyai berat 120 kg dan mempunyai dua motor elektrik bersepadu di dalamnya. Menurut Geely, transmisi ini mampu melakukan sesuatu yang dipanggil sebagai “catapult start sequence,” yang boleh meningkatkan prestasi pecutan dari pegun sehingga 50% dan 80-120 km/j sehingga 30%.

    Geely Xingyue L Hi-X guna enjin hibrid 245 PS, 540 Nm, transmisi tiga tahap, jarak gerak hingga 1,300 km

    Kelebihan lain pakej kuasa baru daripada Leishen Power ini adalah tahap NVH yang rendah, ada sehingga 20 mod pemanduan serta boleh dinaik taraf melalui firmware-over-the-air (FOTA).

    Daripada aspek rekaan, ia jelas berbeza berbanding Xingyue L yang lain dengan mempunyai bahagian hadapan yang kebanyakannya tertutup, serta gril dan lencana baru yang mempunyai nyalaan lampu. Rim serta bahagian bawah badan turut direka dengan mengambil kira kecekapan aerodinamik.

    Untuk harga, Xingyue L Hi-X ini dijual pada 173,700 yuan (RM114k), yang menjadikannya sedikit lebih murah berbanding varian petrol AWD paling tinggi yang dijual pada 185,000 yuan (RM121k).

     
     
  • CEO VinFast Michael Lohscheller letak jawatan tak sampai 6 bulan bertugas, diganti oleh Le Thi Thu Thuy

    CEO VinFast Michael Lohscheller letak jawatan tak sampai 6 bulan bertugas, diganti oleh Le Thi Thu Thuy

    CEO baharu untuk jenama automotif dari Vietnam, VinFast iaitu Michael Lohscheller disahkan akan melepaskan jawatannya hujung bulan ini untuk pulang ke Eropah kerana sebab peribadi. Bekas CEO Opel berkenaan baru sahaja menyertai VinFast pada Julai lalu, jadi perletakkan jawatan berkenaan adalah sesuatu yang mengejutkan ketika VinFast dijadualkan akan mengumumkan pelan untuk mengembangkan portfolio EV mereka di Consumer Electronic Show 2022 awal tahun hadapan.

    “Adalah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat dengan VinFast dan masyarakatnya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di VinFast untuk pengalaman menakjubkan ini. Saya banyak belajar ketika di Vietnam yang tidak akan saya lupakan. VinFast adalah lebih dari sekadar syarikat baharu, ia merupakan himpunan lelaki dan wanita yang didorong oleh keghairahan dan komitmen kuat untuk berkhidmat kepada pelanggannya,” kata Lohscheller dalam hantaran di profil LinkedIn miliknya.

    CEO VinFast Michael Lohscheller letak jawatan tak sampai 6 bulan bertugas, diganti oleh Le Thi Thu Thuy

    Le Thi Thu Thuy (tengah)

    “Dengan kemunculan sulung di Los Angeles Show, VinFast sedang dalam perjalanannya untuk menjadi jenama elektrik global. Saya percaya bahawa VinFast akan sangat berjaya di Amerika Utara, Eroph dan Asia dalam menjual kenderaan elektrik pintar. Saya ucapkan yang terbaik buat VinFast dalam pengembaraannya akan datang. Terima kasih VinFast, terima kasih Vingroup, terima kasih Vietnam!” tambahnya lagi.

    Jawatan yang dikosongkan oleh Lohscheller akan diisi oleh Le Thi Thu Thuy, yang juga menyandang tugas sebagai naib pengerusi Vingroup. Beliau akan ditugaskan untuk memantau aktiviti perniagaan Vinfast dalam pasaran sedia ada seperti Vietnam, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman dan Belanda, dalam masa yang sama menerajui aktiviti meninjau pasaran dan berkembang ke pasaran berpotensi secara global selepas ini.

     
     
  • Perlindungan kerosakan akibat banjir untuk insuran kereta di Malaysia – berapa pengguna perlu tambah?

    Perlindungan kerosakan akibat banjir untuk insuran kereta di Malaysia – berapa pengguna perlu tambah?

    Ketika memperbaharui insuran kenderaan, anda tentunya ditawarkan dengan pelbagai perlindungan tambahan terhadap polisi perlindungan sebelum membuat pembayaran. Salah satu perlindungan tambahan tersebut adalah termasuk kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) – perlindungan seperti ini tentunya sangat berguna sekiranya anda terlibat dengan insiden sedemikian seperti yang melanda berberapa negeri dalam Malaysia baru-baru ini.

    Anda mungkin tinggal dikawasan yang tidak pernah berhadapan dengan masalah banjir, tetapi dengan fenomena banjir kilat yang kerap berlaku – air naik dengan sangat pantas malah ia boleh berlaku di kawasan yang tidak diduga – sekarang, tidak mustahil ia akan menimpa sesiapa sahaja.

    Dengan melihat impak bencana alam berkenaan terhadap banyak kereta yang terlibat menerusi gambar-gambar yang disiarkan di media sosial, jelas banjir akan menyebabkan kerosakan yang sangat teruk yang sudah tentu melibatkan kos baik pulih yang sangat tinggi. Jika insuran anda tidak disertakan dengan perlindungan special perils ini, sudah tentu kos pembaikkan tersebut perlu keluar dari poket anda sendiri.

    Bayaran tambahan untuk perlindungan bencana alam berkenaan biasanya dikira berdasarkan kadar tertentu dari nilai jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda – ia tidak tetap, ada yang mahal dan ada yang murah bergantung penawaran dari syarikat insuran masing-masing.

    Perlindungan kerosakan akibat banjir untuk insuran kereta di Malaysia – berapa pengguna perlu tambah?

    Jadual kadar perlindungan special perils dari penyedia-penyedia insuran di Malaysia; klik untuk besarkan

    Jadi kami mengambil inisiatif bagi menghimpunkan kadar bayaran tambahan untuk perlindungan special perils ini yang boleh anda lihat pada jadual yang telah kami sediakan ini. Ada sebahagian maklumat berkenaan yang kami ambil dari laman sesawang rasmi, dan ada juga maklumat yang kami perlu dapatkan menerusi talian-talian hotline syarikat-syarikat insuran tersebut.

    Kadar-kadar ini adalah untuk jumlah keseluruhan yang diinsurankan, tetapi ada sesetengah penyedia insuran yang anda boleh tentukan sendiri amaun jumlah perlindungan berkenaan (lebih rendah jika anda mahu), yang ditawarkan dengan pelbagai kadar berbeza.

    Ada juga perlindungan special perils ini hanya memberikan perlindungan terhadap bencana banjir, dan ada yang turut memberikan perlindungan terhadap bencana alam yang lain termasuk letusan gunung berapi, tanah runtuh, pokok tumbang, panahan petir dan lain-lain. Jadi sebelum memilih dan melihat jumlah bayaran yang ditawarkan, anda masih perlu melihat perincian perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insuran ini sebelum membuat persetujuan.

    Sebagai contoh, Etiqa menawarkan dua pilihan, sama ada perlindungan asas banjir (banjir dan ribut) dengan kadar 0.25%, atau perlindungan bencana alam menyeluruh termasuk tanah runtuh, taufan, dan bencana alam lain dengan kadar 0.5%. Dalam jadual yang kami sediakan di atas adalah kiraan yang telah dipermudahkan untuk anda melihat secara kasar berapa jumlah bayaran tambahan yang diperlukan untuk perlindungan special perils ini. Jadi jika anda mahukan kiraan yang lebih terperinci, adalah lebih baik untuk anda hubungi syarikat insuran masing-masing.

    Perlindungan kerosakan akibat banjir untuk insuran kereta di Malaysia – berapa pengguna perlu tambah?

    Juga anda boleh lihat, kadar perlindungan untuk special perils ini secara keseluruhannya tidak melebihi 1%, malah ada yang menawarkan serendah 0.2% dan ada yang setinggi 0.5%. Oleh kerana kiraannya adalah berdasarkan jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda, secara asasnya semakin mahal kenderaan itu, semakin tinggi juga jumlah yang perlu anda bayar untuk insuran ini.

    Contohnya, jika jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda adalah RM25,000, anda hanya perlu membayar serendah RM50 untuk perlindungan tambahan special perils ini untuk insuran seperti Allianz, AXA, MSIG dan Tokio Marine. Untuk insuran yang mengenakan kadar lebih tinggi seperti AIA, AIG, Etiqa, Kurnia, RHB dan Takaful, jumlah bayaran tambahan untuk kereta yang diinsurankan sebanyak RM25,000 tersebut adalah antara RM63 sehingga RM125.

    Amaun-amaun ini akan terus meningkat sekiranya nilai perlindungan keseluruhan kenderaan anda semakin tinggi – kami sediakan contoh untuk nilai RM50,000, RM100,000 dan RM200,000. Anda juga perlu ingat bahawa bayaran tambahan untuk perlindungan special perils ini juga akan dikenakan SST 6%, dan anda boleh berjimat sekiranya ia ditawarkan dengan promosi atau diskaun yang diberikan dalam tempoh tertentu.

    Ya, memang perit jika melihat kereta yang rosak dipenuhi lumpur, malah dizaman kereta yang penuh dengan kotak komputer ini akan menyebabkan kos pembaikan tersebut terus meningkat. Jadi apa salahnya kita bayar sedikit lebih untuk perlindungan insuran bencana alam ini bukan? Sekurang-kurangnya tak lah kusut kepala mana nak cari duit bila terbabit dalam kejadian macam ni.

     
     
  • Pas perjalanan My50 dilaksana mulai 1 Jan 2022 – gantikan My30 yang tamat pada 31 Dis 2021

    Pas perjalanan My50 dilaksana mulai 1 Jan 2022 – gantikan My30 yang tamat pada 31 Dis 2021

    Pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang, yang diumumkan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat Oktober lepas, akan bermula pada 1 Januari ini.

    Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Ir. Wee Ka Siong yang berkata My50 menggantikan pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan Kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA pada bulan Jun 2020.

    “Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Disember 2021 dan ia akan diganti dengan pas perjalanan RM50 sebulan, yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lepas. Pengenalan pas perjalanan My50 ini adalah bukti bahawa Kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

    “Dengan pengenalan pas perjalanan My50 ini dan dengan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak Kementerian dan Prasarana yakin tahun 2022 akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana,” kata Wee.

    Pas perjalanan My50 dilaksana mulai 1 Jan 2022 – gantikan My30 yang tamat pada 31 Dis 2021

    Menurut beliau, secara keseluruhan untuk tahun 2021, berdasarkan data sehingga 24 Disember 2021, purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan oleh Prasarana adalah 462,246 penumpang. Purata jumlah penumpang untuk perkhidmatan rel adalah 324,517 penumpang sehari dan untuk bas, yang meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, adalah 137,729 penumpang.

    “Sebelum penularan wabak Covid-19, Prasarana pernah mengendalikan sehingga 1.1 juta penumpang sehari pada tahun 2019. Dengan keupayaan dan kapisiti yang dimiliknya, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya andai permintaan meningkat sambil memastikan para penumpang terus menikmati perjalanan yang selesa, lancar dan selamat,” tambahnya.

    Terbuka eksklusif untuk warga negara Malaysia, pas perjalanan My50 menawarkan perjalanan tanpa had kepada warga negara Malaysia untuk menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana – LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT dengan hanya membayar RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari berturut-turut.

    Kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

    “Untuk Pulau Pinang, pas perjalanan akan dipanggil Pas Mutiara My50 dan boleh digunakan untuk bas henti-henti perkhidmatan Rapid Penang,” kata Wee, sambil menambah bahawa buat masa ini, kemudahan pas perjalanan itu belum dilaksanakan untuk Rapid Kuantan, yang merupakan satu lagi rangkaian perkhidmatan bas henti-henti kendalian Prasarana.

    Untuk pembelian di Lembah Klang, orang ramai boleh melanggan pas perjalanan My50 ini pejabat-pejabat khidmat pelanggan Rapid KL di semua stesen LRT, stesen MRT, stesen Monorel dan stesen BRT–Laluan Sunway. Selain itu, ia juga boleh didapati di hab-hab Bas Rapid KL terplih seperti di Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

    Manakala untuk pembelian di Pulau Pinang, ia boleh didapati di kiosk-kiosk terpilih Rapid Penang iaitu di KOMTAR, Weld Quay (Terminal B), Penang Sentral, Bukit Jambul, Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Kompleks Dato’ Kailan (Kepala Batas), Balik Pulau dan Bukit Mertajam.

    Bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan ini, kerajaan memperuntukkan RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung oleh Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia ini.

    Kata Wee, ia adalah pelaburan yang besar, tetapi amat penting kerana peranan yang dimainkan oleh sektor pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

    “Seperti yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri ketika melancarkan Pas Keluarga Malaysia pada 22 November lepas, pengangkutan awam mempunyai peranan besar dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia dalam visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan konteks pendekatan kekeluargaan.

    “Selain menjadi alat penyatuan bangsa dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia, perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien juga akan menggalakkan perkembangan aktiviti komersial dan menjana pertumbuhan ekonomi negara.
    Justeru, adalah menjadi harapan ikhlas saya agar rakyat terus menyokong perkhidmatan pengangkutan awam dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pas perjalanan tanpa had My50 ini untuk menyemarakkan semula ekonomi negara dan semangat penyatuan Keluarga Malaysia,” tambah beliau.

    Walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Disember ini, Wee berkata mereka yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara pada hari berkenaan boleh terus menikmati kemudahan itu sehingga 30 Januari 2022 sebelum beralih kepada pas My50.

     
     
  • Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Sekiranya anda berminat dengan kereta, berkemungkinan besar sebelum ini anda pernah tertarik dengan tawaran kenderaan terpakai. Kenapa pula tidak, kan? Sebabnya kadang-kadang, dengan bajet yang ada untuk kereta baru, anda boleh dapatkan kereta terpakai yang lebih menarik, lebih memenuhi kemahuan dan malah juga juga berspesifikasi lebih tinggi. Contohnya, kenapa beli Perodua sedangkan anda boleh dapatkan sebuah BMW?

    Ya, memang betul, tetapi banyak benda yang perlu diperhatikan pada kenderaan terpakai ini. Kereta yang anda rasa teringin sangat beli dulu masih lagi nampak elok sekarang, tetapi ia mungkin menyembunyikan pelbagai isu di sebalik rupa luarannya. Semua ini memang boleh dijangka bagi sebuah kereta lama.

    Tapi, anda sendiri sudah tahu tentang perkara ini dan bersedia untuk membuat pilihan sebaik mungkin. Lagipun, hidup cuma sekali dan ada masanya kita juga patut memuaskan kemahuan sendiri kan? Jadi, di sini kami beri sedikit sokongan moral, bersama beberapa tips apa yang perlu dilihat apabila mahu membeli sebuah kenderaan terpakai.

    Jangkaan

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Bagi seseorang yang sudah biasa menjual dan membeli kenderaan, mereka mungkin tahu apa yang boleh dijangka. Tapi, bagi mereka yang sebelum ini cuma membeli kereta baru, anda perlu meletakkan jangkaan di tempat yang betul.

    Tidak kiralah betapa bersih dan terjaganya sesebuah kereta terpakai itu, anda tidak sepatutnya berharap pengalaman pemanduannya seperti kereta baru. Maksudnya, ia bukanlah sebuah kereta yang anda cuma perlu jaga servis berkalanya sahaja. Pengedar kenderaan terpakai memang sudah biasa ‘membuat balik’ sesebuah kereta supaya penampilannya nampak menarik dan bersih.

    Satu kompromi yang anda boleh buat adalah membeli kereta yang masih mempunyai jaminan dari kilang. Ini akan dapat memberi keseimbangan antara penjimatan dan ketenangan minda. Apabila masih ada lagi jaminan, kereta itu juga biasanya tidak berusia terlalu lama dan berkemungkinan tidak mempunyai banyak masalah.

    Ada pengeluar yang mempunyai program kenderaan terpakai diiktiraf sendiri, bersama jaminan. Selain itu, ada juga pengedar kenderaan terpakai yang membuat kerjasama dengan pihak ketiga untuk memberi jaminan terhadap kenderaan mereka.

    Vendor seperti myTukar mengambil inisiatif yang lebih lagi – semua kenderaan datang dengan tambahan jaminan satu tahun serta servis percuma selama satu tahun. Rasa ragu-ragu dan mahu bertukar fikiran? Anda juga boleh memulangkan semula kereta kerana myTukar memberikan jaminan pulangan-balik dalam masa lima hari.

    Kemampuan

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Anda mungkin berpendapat aspek ini adalah jelas. Sama ada anda mampu untuk membeli kereta itu ataupun tidak, kan? Tapi sebenarnya ia tidaklah begitu. Ramai yang masih gagal untuk mengira kos lain apabila melihat tanda harga sesebuah kenderaan terpakai.

    Kos penyelenggaraan kenderaan terpakai biasanya lebih tinggi kerana selain servis biasa, banyak alat ganti yang mungkin perlu ditukar. Sebagai tambahan kepada bayaran bulanan, anda juga perlu menyediakan dana untuk baik pulih. Selain itu, cuba juga lakukan penyelidikan harga alat ganti dan servis model tersebut supaya jangkaan anda berada di tahap yang betul. Sebagai contoh, kos penjagaan kereta Continental adalah lebih tinggi berbanding kereta jenama nasional.

    Apabila tergoda dengan sesebuah model yang eksotik, tanya semula kepada diri, adakah anda mampu untuk menjaga sebuah Porsche ataupun Bentley baru? Kalau jawapannya tidak, berkemungkinan besar, anda juga tidak akan mampu untuk menjaga sebuah model terpakai jenama yang sama – meskipun harganya ada yang berada di bawah RM100k.

    Satu lagi godaan adalah kereta yang dijual “bawah harga pasaran”. Ada kalanya, lebih baik kita berbelanja lebih sedikit untuk mendapatkan kereta yang lebih terjaga dan mempunyai rekod servis penuh. Kalau mahu “beli murah dan buat balik”, anda perlu ingat ia mungkin boleh mengambil masa yang lama, dan memerlukan lebih usaha.

    Juga, ambil kira berkenaan cukai jalan. Walaupun harga kereta boleh turun, cukai jalan pula tidak. Lagi satu, kadar faedah pinjaman kereta terpakai juga boleh jadi lebih tinggi berbanding kereta baru.

    Pemeriksaan luar

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Sekarang anda sudah membuat kira-kira dan membuat keputusan untuk membeli sebuah kereta terpakai. Seperti kebiasaan bagi barang terpakai, secara kasarnya, harga adalah bergantung kepada keadaan. Untuk itu, kita mulakan dengan pemeriksaan bahagian luar.

    Ambil kira umur kereta itu. Sedikit calar dan kemek memang boleh dijangka bagi sebuah kereta yang digunakan hari-hari. Lihat sebarang cacat cela pada cat serta badannya, dan buat anggaran kos yang diperlukan untuk menjadikannya cantik semula (seperti cat seluruh badan, ketuk dan sebagainya). Ataupun, anda tidak kisah untuk menggunakannya dengan keadaan sebegitu.

    Tidak semua kenderaan terpakai mempunyai cat yang pudar kerana ada yang sudah dicat semula. Periksa sebarang bahagian badan yang tidak rata kerana permukaan yang nampak berkilat dan seperti baru mungkin menyembunyikan kesan baik pulih yang telah dibuat.

    Bandingkan warna kenderaan tersebut dengan apa yang tertulis di dalam geran. Dalam masa yang sama, periksa juga jarak setiap panel kerana jarak yang tidak sama mungkin bukan setakat melibatkan perlanggaran kecil, tetapi juga kemalangan yang lebih besar. Lihat juga keadaan lampu hadapan dan belakang – kedua-dua bahagian kiri dan kanan sepatutnya menampakkan kesan pemakaian yang sama; jika tidak, mungkin salah satu daripadanya sudah ditukar. Anda juga tidak akan mahu sebarang retakan pada cermin hadapan.

    Penggunaan tayar berjenama adalah tanda kereta tersebut dijaga baik oleh pemilik sebelumnya. Apabila tayar yang murah berada pada sebuah kereta mahal, ia mungkin adalah tanda penjimatan kos. Apapun, adalah lebih baik sekiranya anda menukar kesemua tayar apabila membeli sesebuah kenderaan terpakai kerana ia mungkin sudah disimpan agak lama dan tayar tersebut sudah keras atau rata di satu bahagian.

    Untuk kit badan pula, sekiranya ia adalah bahagian yang dipasang daripada kilang, tidak mengapa. Tetapi jika ia dipasang di kedai luar (boleh dilihat melalui rekaan serta bahannya), anda perlu memeriksa kekemasannya. Anda juga tidak mahu sebarang paku rivet atau skru yang ditembak terus pada badan kenderaan.

    Secara umumnya, cari kereta yang masih berada dalam keadaan asal – lagi kurang ubah suai yang dibuat, adalah lebih bagus. Lain pula kisahnya jika anda memang mencari kit badan atau ubah suai tertentu dan ia sudah dipasang oleh pemilik asalnya.

    Pemeriksaan dalam

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Bahagian dalam adalah lebih susah untuk dicantikkan semula berbanding bahagian luar dan ia boleh memberitahu sejarah kenderaan tersebut. Tanda penggunaan biasa memang boleh dijangka tetapi jika ia keterlaluan dan perlu ditukar, ini melibatkan lebih lagi kos tambahan.

    Untuk tempat duduk yang dibalut kain, pastikan tiada koyak atau lubang. Kesan gesekan adalah biasa. Tempat duduk kulit pula boleh merekah, jadi berkilat ataupun keras. Meskipun semua ini boleh dibuat semula, anda perlu ingat tentang kosnya. Sama juga keadaannya dengan stereng serta bahagian lain yang dibalut kulit. Tengok juga jika ada sebarang kesan terbakar dari rokok. Bau rokok yang sudah berada lama pada kereta kadang kala susah untuk dibuang.

    Selain stereng dan tempat duduk, ada juga bahagian lain yang selalu disentuh dalam kabin. Tanda penggunaan pada penarik pintu serta butang kawalan pendingin hawa dan audio adalah sesuatu yang biasa, tetapi jaga-jaga dengan bahagian yang pecah. Bahagian-bahagian ini mungkin nampak kecil, tetapi kadang-kadang ia susah dicari dan harganya boleh jadi mahal.

    Semua ciri elektronik sepatutnya berfungsi dengan baik. Periksa pengelap cermin, tingkap, kunci, kamera belakang, sistem bunyi dan skrin. Cuba juga buat larasan tempat duduk, cermin sisi, stereng serta tali keledar – ia sepatutnya boleh keluar dan masuk semula dengan lancar.

    Untuk kereta yang mempunyai bumbung kaca boleh buka, pastikan operasinya lancar. Langkah ini adalah lebih penting bagi sebuah kereta dengan keseluruhan bumbung yang boleh dibuka secara elektronik kerana ia mempunyai lebih banyak panel, actuator dan pelbagai lagi kelengkapan lain berbanding bumbung biasa. Ini juga membawa kepada potensi lebih banyak masalah.

    Akhir sekali, lihat di bawah karpet lantai dan ruang simpanan di belakang. Sebarang tanda kebasahan atau air yang bertakung boleh membawa kemungkinan terdapat kebocoran ataupun lebih teruk, banjir. Walaubagaimanapun, sekiranya anda membeli kenderaan ini daripada pengedar kenderaan terpakai, mungkin ada bahagian yang dinyatakan tadi sudah ditukar terlebih dahulu.

    Pandu uji

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Sesi pandu uji adalah langkah penting. Hidupkan enjin dan dengar bunyi enjin beroperasi – dalam keadaan melahu, ia sepatutnya stabil dan tidak tersekat-sekat. Pasang pendingin hawa untuk memastikan ia sejuk dan semua corong keluar angin.

    Apabila mula bergerak, pastikan memandu dengan tenang. Tidak perlu tergopoh-gopoh atau memandu secara agresif dalam kereta yang anda masih belum biasa dan belum menjadi milik anda. Ambil masa untuk biasakan diri dengan bahagian kawalan dan keadaan dalam kereta. Dalam situasi ini juga anda boleh memerhatikan keadaan kenderaan tersebut apabila bergerak perlahan.

    Bahagian penting yang perlu diberikan perhatian adalah enjin (sama ada ia beroperasi lancar, tiada gegaran berlebihan), transmisi (tukar gear dengan lancar, tidak tersengguk-sengguk dan tidak banyak kekosongan bagi transmisi manual), stereng (tiada gegaran berlebih, tidak tertarik kepada satu arah) dan suspensi (tiada bunyi-bunyi pelik dan rasa tegap).

    Selepas memandu, buka bonet dan periksa bahagian enjin sama ada terdapat sebarang tanda cecair yang bocor. Habuk dan kotoran pada enjin itu memang sudah biasa, tapi anda tidak mahu sebarang minyak atau air yang meleleh.

    Tengok juga minyak enjin menggunakan batang pemeriksa, hidupkan semula enjin dan dengar bunyinya. Perhatikan keadaannya sewaktu melahu dan cuba dengar sekiranya ada sebarang bunyi yang tidak sepatutnya. Tekan sikit minyak dan tengok sama ada ia boleh kembali stabil tanpa sebarang masalah.

    Panduan membeli kenderaan terpakai di Malaysia ada di sini.

    myTukar AutoFair 2022 — kereta terpakai tanpa risau

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Senarai yang kami nyatakan di atas mungkin nampak macam banyak, tetapi dalam keadaan sebenar ia tidaklah begitu menakutkan, dan tanpa diberitahu, anda juga mungkin sudah memeriksanya secara sendiri.

    Banyak masalah kenderaan terpakai ini sebenarnya boleh dielak dengan adanya jaminan. Setiap pembelian melalui myTukar bukan sahaja diberi tambahan jaminan satu tahun, tetapi juga servis percuma selama satu tahun. Ini dapat mengurangkan risau pembeli kenderaan terpakai. Anda juga diberi dengan jaminan pulangan-balik selama lima hari – tanpa sebarang soalan – sekiranya anda bertukar fikiran.

    Acara myTukar AutoFair 2022 akan berlangsung dari 7 hingga 9 Januari 2022 di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan. Ini bakal menjadi acara jualan kenderaan terpakai terbesar di Malaysia dengan lebih 1,000 unit kenderaan terpakai akan dipamerkan, dari model biasa seperti Perodua Myvi dan Axia, Proton Saga dan Persona, serta pelbagai model Honda dan Toyota, hinggalah model premium seperti BMW, Mercedes-Benz and Volvo.

    Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

    Selain manfaat yang dinyatakan tadi, apabila membeli kereta ketika acara ini nanti, anda juga akan menerima tambahan servis percuma selama setahun (maksudnya menjadi dua tahun), kadar faedah serendah 1.68%, kelulusan dan serahan kenderaan pada hari yang sama dan pengalas kaki Trapo untuk semua kereta. myTukar juga ada menyediakan penilaian kenderaan untuk trade-in kereta semasa anda ketika acara ini nanti.

    Ada lagi. Pembeli juga layak menyertai promosi myTukar Lucky Spin Wheel untuk memenangi satu daripada enam hadiah, termasuk iPad generasi kesembilan; mereka juga berpeluang untuk membawa pulang sebuah Proton X70 melalui peraduan Ulang Tahun Ke-4 myTukar. Pelawat juga boleh menikmati hidangan ringan dan ruang pameran jenama rakan niaga yang lain.

    SOP Covid-19 yang ketat juga dipraktik, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal. Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, dan anda juga melayari inventori di sini untuk mencari kereta yang diinginkan.

     
     
  • Jualan tiket untuk perkhidmatan tren ETS dan KTM Antarabandar bagi 2022 mula dibuka 5 Januari ini

    Jualan tiket untuk perkhidmatan tren ETS dan KTM Antarabandar bagi 2022 mula dibuka 5 Januari ini

    KTM Berhad telah mengumumkan jualan tiket bagi perkhidmatan tren ETS dan KTM Antarabangsa untuk tahun 2022 akan dibuka bermula 5 Januari ini. Ia adalah untuk perjalanan antara 15 Januari hingga 30 Jun mengikut penjadualan baharu. Jadi, bagi sesiapa yang ingin pulang ke kampung atau pun pergi bercuti ke mana-mana destinasi sempena cuti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, sudah boleh standby ya.

    Jadual KTM yang baharu ini melibatkan pertambahan 32 perkhidmatan ETS. Ini termasuk dengan 10 perkhidmatan KL Sentral-Butterworth, 10 perkhidmatan KL Sentral-Ipoh, lapan perkhidmatan KL Sentral-Padang Besar, dua perkhidmatan Gemas-Butterworth dan dua lagi perkhidmatan Gemas-Padang Besar. Ia menunjukkan peningkatan yang agak besar juga kerana buat masa ini hanya ada 16 perkhidmatan tren yang disediakan.

    Manakala bagi KTM Antarabandar pula, ia meningkat sebanyak 20 perkhidmatan berbanding 16 masa ini. Ia merangskumi dua Ekspres Timuran, Enam Ekspres Selatan dan 12 shuttle Timuran. Malahan ia juga akan ada dua laluan baharu menggunakan tren Diesel Multiple Unit (DMU), bermula pertengahan Januari ini, dan ia melibatkan laluan Gemas-Gua Musang-Gemas dan Gemas-Kuala Lipis-Gemas.

    Bagi yang ingin membeli tiket perkhidmatan ETS atau KTM Antarabandar, bolehlah mendapatkannya menerusi laman web rasmi KTM atau pun aplikasi KTMB Mobile.

     
     
  • GAC GS3 dilihat di atas jalan raya Malaysia – akan dilancarkan esok, diedar oleh Tan Chong Group

    GAC GS3 dilihat di atas jalan raya Malaysia – akan dilancarkan esok, diedar oleh Tan Chong Group

    Selepas melancarkan trak pikap dari China, JMC Vigus Pro menerusi subsidiarinya iaitu Angka-Tan Motor Oktober lalu, Tan Chong Group bakal membawa satu lagi jenama dari negara Tembok Besar berkenaan iaitu GAC Motor. Pagi tadi laman Facebook GAC Motor Malaysia telah pun menyiarkan teaser model pertama mereka yang akan dilancarkan di sini esok iaitu GS3, dan sekarang kami baru sahaja menerima imej dari pembaca Pua yang memaparkan SUV segmen-B tersebut sedang dipandu di atas jalan raya.

    Pelancaran GS3 ini esok sekaligus turut menjadi detik rasmi penampilan GAC Motor di Malaysia. Jenama tersebut akan dikendalikan oleh satu lagi subsidiari Tan Chong iaitu WTC Automotif. Bilik pameran pertama GAC Motor ini terletak di ibu pejabat TC di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan bilik pameran Nissan.

    Imej yang kami terima ini hanya menunjukkan bahagian belakang dua buah GAC GS3 yang berwarna biru dan putih berkenaan. Namun menerusi imej teaser rasmi yang disiarkan, dapat disahkan bahawa pasaran Malaysia akan terus menerima GS3 dalam versi facelift terbaharu berdasarkan gambar lampu hadapan dan belakang yang ditunjukkan dengan jelas.

    Walau bagaimanapun, model pasaran Malaysia ini hanya menerima lampu hadapan dengan projektor tunggal bersama lampu isyarat membelok menggunakan mentol biasa. Di China, GS3 turut hadir dengan versi yang diberikan lampu hadapan spesifikasi tertinggi menampilkan dua pemancar berbentuk segi empat bersama jalur LED untuk lampu isyarat membelok.

    Tiada sebarang petunjuk spesifikasi lain didedahkan untuk SUV ini. Bagi pasaran negara asalnya, SUV yang dikenali sebagai Trumpchi GS3 tersebut menerima pilihan enjin paling berkuasa 1.5 liter tiga-silinder turbo menjana 163 PS dan tork maksima 235 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam-kelajuan atau klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Sekiranya WTC Automotif menawarkan spesifikasi ini di pasaran Malaysia, ia bakal memberikan satu lagi pilihan SUV segmen-B dengan kuasa turbo selain Proton X50 dan juga Hyundai Kona. Proton X50 yang diasaskan dari SUV segmen-B dari China iaitu Geely Binyue hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5L Turbo GDI berkuasa 177 PS/255 Nm (untuk model Flagship) dan 1.5L Turbo MPI berkuasa 150 PS/226 Nm (untuk varian-varian lebih rendah). Manakala Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N-Line pula dijana enjin 1.6L Turbo GDI berkuasa 198 PS/265 Nm, tetapi dijual pada harga agak premium iaitu RM147k hingga RM157k.

    Selain dari pilihan enjin paling berkuasa berkenaan, Trumpchi GS3 di China juga hadir dengan enjin 1.5 liter tanpa turbo berkuasa 115 PS/150 Nm dan 1.3L Turbo berkuasa 137 Nm PS/202 Nm. Melihat pada angka kuasa, kemungkinan besar GAC GS3 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dengan enjin 1.5L Turbo bagi memastikan ia relevan untuk bersaing dengan SUV segmen-B lain di sini.

    GAC GS3 ini diukur dengan 4,350 mm panjang dan 1,825 mm lebar – 20 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dari Proton X50. Rupa X50 yang lebih sporty juga menyebabkan ia 76 mm lebih rendah berbanding GAC GS3 ini. Berbanding Perodua Ativa? Sudah tentu GS3 menampilkan saiz yang lebih besar.

    Dalam kabin, GS3 diberikan rekaan yang minimalis menampilkan bentangan skrin ala-Mercedes-Benz di mana skrin paparan instrumen digital yang kelihatan seperti satu unit bersama skrin infotainmen di tengah papan pemuka. GS3 juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) untuk versi pasaran China.

    Bagaimana dengan harga? GAC GS3 ini dijangka akan bersaing dalam pasaran dengan julat harga RM100k sehingga RM150k, yang bukan sahaja bakal bersaing dengan Proton X50 dan X70, malah dengan turut bakal berhadapan dengan Toyota Corolla Cross, Subaru XV, Honda HR-V dan lain-lain.

    Memandangkan Tan Chong merupakan entiti yang memang mempunyai kemampuan produksi, tidak mustahil model GAC ini hanya akan tampil dengan versi yang diimport sepenuhnya (CBU) untuk unit permulaan dan diikuti versi pemasangan tempatan (CKD) selepas itu.

    Usaha untuk membawa masuk model-model GAC ke pasaran tempatan ini sebenarnya bukan baru. Hubungan antara Tan Chong dan Guangzhou Automobile Group tersebut secara rasminya terbentuk pada Disember 2020, dengan kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan potensi untuk jualan dan pemasangan kenderaan jenama GAC di Malaysia dan Vietnam.

    Malah awal tahun ini, GAC GS3 telah pun dijumpai sedang diuji di Malaysia dengan berselindung disebalik pelekat penyamaran, menandakan ia mungkin akan dilancarkan di sini.

    GALERI: GAC Trumpchi GS3 Power pasaran China

     
     
  • PLUS umum lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG di Jambatan Pulau Pinang telah berfungsi

    PLUS umum lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG  di Jambatan Pulau Pinang telah berfungsi

    Bermula pada 25 Disember lalu, lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG telah pun dibuka di Plaza Tol A Jambatan Pulau Pinang. Ia bertujuan untuk memberi keselesaaan dan keselamatan pengguna lebuh raya wilayah utara. Sebelum ini, ia hanya untuk lorong SmartTAG sahaja.

    Menurut PLUS Berhad, pengguna yang menggunakan RFID yang datang dari Kedah atau Sg Dua boleh menggunakan lorong ini dan bagi yang datang dari Juru boleh terus ke lorong-lorong RFID di Plaza Tol B.

    Bagi yang belum memasang tag RFID, bermula 15 Januari 2022, PLUS telah mengumumkan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan kendaliannya.

    PLUS umum lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG  di Jambatan Pulau Pinang telah berfungsi

    Walau bagaimana pun, dengan pengenalan RFID, ini tidak bermakna pondok tol PLUS akan menamatkan transaksi pembayaran menggunakan kad Touch n Go dan SmartTAG pada tahun hadapan, sebaliknya ia masih diteruskan dan RFID adalah salah satu pilihan bagi transaksi pembayaran tol, bukan untuk menggantikannya.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata bayaran tol menggunakan RFID ketika ini akan menjadi pilihan tambahan kepada kaedah pembayaran sedia ada seperti kad TnG dan SmartTAG. “Bayaran melalui RFID adalah langkah pertama ke arah pelaksanaan bayaran tol tanpa adanya plaza tol (sistem aliran bebas multi-lorong, MLFF) di masa hadapan,” ujar beliau.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RFID dan bagaimana ia berfungsi di lebuhraya PLUS, anda BOLEH MEMBACA PENJELASANNYA DI SINI.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI dan R-Line Mk8 2022 di Malaysia

    Volkswagen Golf GTI dan R-Line Mk8 2022 di Malaysia

    Dikhabarkan, unit pemasangan tempatan Volkswagen Golf Mk8 bakal dilancarkan di Malaysia. Ia dijangkakan akan dilancarkan dalam suku pertama 2022, dan diberikan dua pilihan varian sama ada R-Line atau GTI.

    Bagi varian R-Line, ia diberikan enjin 1.4 liter TSI dengan hamburan 150 PS dan tork 250 Nm. Namun tidak lagi diberikan DSG klac kering tujuh-kelajuan, sebaliknya dipadankan dengan kotak gear torque converter (dari Aisin) lapan-kelajuan yang memacukan kuasa ke roda hadapan. Ia membolehkan R-Line ini mengambil masa 8.5 saat untuk mencapai 100 km/j, berbanding 8.2 saat bagi Golf R-Line Mk7.5 yang dilengkapi DSG.

    Manakala untuk GTI, ia dikuasakan dengan unit EA888 2.0 liter turbo empat-silinder, yang menghasilkan 245 PS dan 370 Nm, iaitu meningkat 15 PS dan 20 Nm berbanding GTI terdahulu, dan dipadankan dengan DSG klac kering tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. GTI ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.4 saat.

    Buat masa ini, harganya masih belum didedahkan, tetapi unit pemasangan tempatan dari kilang Volkswagen di Pekan, Pahang ini dijangka akan ditetapkan harga yang lebih kompetitif berbanding model sebelumnya. Ketika Golf Mk7.5 CBU dilancarkan pada 2019, 1.4 TSI R-Line ditawarkan pada harga RM166,990, sementara GTI pula berharga RM239,990.

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk8 2022

    GALERI: Volkswagen Golf TSI R-Line 2022

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025