Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Mercedes-Benz baru sahaja mendedahkan strategi masa hadapan, yang akan melihatkan syarikat Jerman itu bersiap untuk beralih kepada elektrik secara penuh menjelang akhir dekad ini. Ya, syarikat itu mahu menghentikan penggunaan enjin pembakaran dalaman, tetapi ia tidak akan dibuat secara mengejut dan akan bergantung kepada keadaan pasaran.

    Strategi baru ini sebenarnya adalah pengembangan kepada strategi Electric First yang dibentangkan Oktober lalu. Pada masa itu, mereka telah mengesahkan pelancaran empat kenderaan elektrik baru menggunakan asas Electric Vehicle Architecture (EVA), iaitu EQS, EQE, SUV EQS dan SUV EQE. Jenama AMG, Maybach dan G-Class di bawahnya juga akan ditukar kepada penggerak elektrik.

    Pada tahun 2024, Mercedes-Benz akan memperkenalkan satu lagi platform khas EV, dipanggil sebagai Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA), dan akan digunakan untuk model bersaiz kompak dan sederhana. Itu sekadar satu ulangan, tetapi apakah rancangan terbaru mereka?

    Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Sebagai permulaan, syarikat itu akan menawarkan pilihan versi elektrik bateri dalam semua segmen bermula 2022. Inisiatif ini sudah pun bermula, dengan model seperti EQA, EQB, EQC, EQS dan EQV ditawarkan kepada pasaran tertentu.

    Pada tahun 2025, peralihan kepada EV-sahaja akan diperkuatkan lagi dengan semua platform yang akan diperkenalkan adalah untuk kenderaan elektrik sahaja. Malahan, platform baru itu nanti tidak akan dipadankan dengan enjin pembakaran dalaman langsung dan hanya untuk elektrik dan bateri sahaja.

    “Sekarang kami percaya keutamaan pelanggan akan bertukar dengan lebih cepat. Kereta elektrik penuh akan mendominasi pasaran mewah menjelang tahun 2030,” kata Britta Seeger yang bertanggungjawab untuk jualan dan pemasaran kenderaan di Mercedes-Benz.

    Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

    Semasa pembentangan, Mercedes-Benz mengesahkan tiga platform baru, termasuk MB.EA (Mercedes-Benz Electric Architecture) untuk kereta bersaiz sederhana dan besar. Ini adalah satu sistem modular yang akan menjadi pendokong utama untuk portfolio EV masa hadapan. Kemudiannya ia akan ditambah dengan AMG.EA untuk kenderaan prestasi dan VAN.EA untuk van serta kenderaan komersial ringan.

    Setakat ini syarikat itu masih belum memberikan kata putus bila enjin pembakaran dalaman akan dihapuskan terus daripada barisan model mereka, tetapi ia tidak akan mengambil masa yang lama lagi kerana pelaburan untuk pembangunan enjin itu akan berkurang semasa peralihan ini. “Sudah tentu, tiada siapa dapat menjangka bila penjualan enjin pembakaran dalaman akan dihentikan, kerana itu bergantung kepada pelangan serta keadaan pasaran masing-masing,” kata Seeger.

    Mercedes-Benz memberitahu, mereka melabur lebih 40 bilion euro untuk kenderaan elektrik antara tahun 2022 hingga 2030 untuk mempercepatkan rancangan EV mereka. Dengan portfolio elektrik lebih besar sedang diusahakan, mereka mensasarkan 50% penjualan kenderaan baru adalah daripada model dengan kuasa elektrik (hibrid, plug-in hybrid dan EV) menjelang 2025. Menjelang 2030, dengan keadaan pasaran yang bersesuaian dengan peralihan kepada EV yang menyeluruh, 100% jualan adalah daripada kenderaan elektrik.

     
     
  • Toyota gantung sementara operasi kilang produksi di Thailand ekoran kekurangan bekalan komponen

    Toyota gantung sementara operasi kilang produksi di Thailand ekoran kekurangan bekalan komponen

    Toyota telah menghentikan operasi di tiga kilang pemasangannya di Thailand akibat kekurangan bekalan komponen. Kilang terbabit yang terletak di Ban Pho, Samrong dan Gateway digantung operasinya bermula Rabu lalu dan dijangka berlangsung sehingga 28 Julai ini. Menurut Toyota, pihaknya akan menilai keadaan dan memutuskan sama ada operasi akan disambung semula mulai 29 Julai, laporan Nikkei Asia.

    Punca utama gangguan bekalan komponen ini adalah disebabkan wabak Covid-19. Sebuah kilang pembekal yang membekalkan kabel wayar untuk menyambungkan komponen elektrik, baru-baru ini terpaksa ditutup sementara kerana virus tersebut dikesan telah merebak di kilang terbabit.

    Negara berkenaan mengalami lonjakan kes positif Covid-19 beberapa minggu kebelakangan ini, dengan rekod sebanyak 13,655 kes dilaporkan kelmarin. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan negara berkenaan untuk mengatasi lonjakan tersebut termasuklah menutup sebilangan perniagaan di wilayah-wilayah yang terjejas. Walau bagaimana pun, kilang-kilang Toyota yang berada di kawasan tersebut tidak tersenarai dalam aktiviti yang dilarang.

    Kilang-kilang itu pada awalnya dijadualkan ditutup dari 24 hingga 28 Julai kerana cuti tempatan, jadi jika syarikat tersebut dapat mengatasi masalah sumber sebelum 29 Julai, syarikat itu dapat mengurangkan pergantungan pengeluaran hanya tiga hari. “Operasi produksi untuk minggu depan akan ditentukan pada tahap selanjutnya,” kata syarikat itu melalui satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Ini merupakan kali kedua produksi kilang syarikat terbabit di Thailand terjejas akibat pandemik, di mana pertama kali ia berlaku pada tahun lalu, apabila operasi kilang terpaksa digantung ketika gelombang pertama pada Mac. Kapasiti pengeluaran untuk kilang-kilang berkenaan adalah sebanyak 760,000 unit setahun, namun pada tahun lalu, produksi hanya berjaya menghasilkan 440,000 unit sahaja. Separuh daripada kenderaan yang dipasang itu adalah untuk pasaran domestik, dan selebihnya dieksport ke pasaran global.

     
     
  • Ducati Panigale V2 Bayliss sambut ulang tahun ke-20 kemenangan pertama Troy Baliss dalam WSBK

    Ducati Panigale V2 Bayliss sambut ulang tahun ke-20 kemenangan pertama Troy Baliss dalam WSBK

    Ducati telah mengeluarkan satu model istimewa bagi menyambut ulang tahun ke-20 kemenangan pertama Troy Baliss dalam WSBK. Ia dipanggil sebagai Ducati Panigale V2 “Bayliss 1st Championship 20th Anniversary”, dan dijual pada harga 20,990 euro (RM104,438) di Itali.

    Bayliss menjadi juara WSBK dengan Ducati pada tahun 2001, dan ia adalah antara tiga kejuaraan pertama yang dimenangi menggunakan enjin v-twin Ducati Corse. Beliau juga sehingga kini menjadi satu-satunya pelumba yang memenangi WSBK dan MotoGP dalam musim sama, dibuat pada tahun 2006.

    Sebagai satu penghormatan, model keluaran terhad yang menggunakan asas V2 ini dicat dengan corak sama seperti motosikal lumba 996R Bayliss pada tahun 2001, dan nombor #21 yang digunakan oleh beliau dalam perlumbaan diletakkan pada tepi fairing, bersama cetakan tandatangan. Nombor keluaran pula dicetak pada bahagian triple clamp atas.

    Jika dibandingkan dengan V2 biasa, model istimewa ini mempunyai kelebihan antaranya pada bahagian suspensi, di mana ia dipasang dengan unit Ohlins yang terdiri daripada fork NX30 di hadapan dan monoshock TTX36 di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras secara sepenuhnya dan dijadikan lengkap dengan tambahan damper stereng yang juga boleh dilaras.

    Selain daripada itu, model ini juga 3 kg lebih ringan berbanding model biasa, dan ia dicapai melalui penggunaan beteri lithium ion serta tempat duduk monoposto (satu sahaja). Walaubagaimanapun, tempat duduk penumpang serta peletak kaki masih akan diberi dan pemilik boleh menggunakannya jika mahu.

    Melengkapkan senarai kelengkapan istimewanya adalah pelindung tabung ekzos gentian karbon dan titanium, getah pemegang jenis sport serta tempat duduk yang menggunakan gabungan dua bahan serta jahitan benang merah. Dalam siaran akhbar, Ducati tidak menyatakan berapa unit model Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary ini akan dikeluarkan.

     
     
  • MAA mahu kerajaan beri lanjutan enam bulan lagi bagi pengecualian SST jika sektor automotif terus ditutup

    MAA mahu kerajaan beri lanjutan enam bulan lagi bagi pengecualian SST jika sektor automotif terus ditutup

    Pengecualian cukai jualan yang dinikmati oleh pembeli ketika ini pertama kali diumum pada June 2020 sebagai sebahagian daripada Penjana, pakej rangsangan ekonomi pertama yang diberikan oleh kerajaan untuk menangani kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu. Ia sepatutnya berakhir hujung tahun 2020, namun pada 29 Disember, pengecualian SST berkenaan dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi, hingga 30 Jun 2021.

    Pengecualian SST ini — yang melibatkan 100% bagi kereta baru CKD dan 50% baru kereta CBU import — telah diberikan lanjutan enam bulan lagi ketika pakej rangsangan Pemerkasa+ diumumkan pada penghujung Mei. Terkini, tarikh akhir untuk pengecualian SST ini ialah pada 31 Disember 2021.

    Tetapi, walaupun pengeculian SST itu bermaksud untuk membantu meningkatkan permintaan terhadap kereta, PKP dan PKPD terbaru yang sedang dijalani ketika ini — terutama di kawasan sekitar kilang pengeluaran kereta dan bilik pameran — memerlukan semua premis berkenaan ditutup, sekaligus menjadikan bantuan itu tidak berkesan. Kini, hampir dua bulan industri automatif di negara ini telah ditutup, dan pengeluar tidak dapat memenuhi tempahan sedia ada.

    Untuk menimbal balik situasi itu, Persatuan Automtoif Malaysia (MAA) meminta kerajaan untuk melanjutkan sekali lagi pengecualian SST itu. “Sudah tentu, ahli kami mahukan tempoh pengecualian SST itu dilanjutkan sekiranya keadaan ini berterusan — walaupun kami ada memperoleh tempahan, kami tidak boleh memenuhinya. Jadi apa selepas ini?” ujar Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad dalam sidang media semalam.

    MAA mahu kerajaan beri lanjutan enam bulan lagi bagi pengecualian SST jika sektor automotif terus ditutup

    “Kami memohon daripada kerajaan agar melanjutkan tempoh tersebut sekiranya situasi PKP ini berterusan dan tidak ditamatkan,” tambah beliau. Berkaitan berapa lama lanjutan tempoh yang diinginkan itu, Aishah memaklumkan tempoh yang sama seperti sekarang adalah cukup baik. “Kali terakhir ia dilanjutkan enam bulan, jadi kami berharap ia boleh dilanjutkan untuk enam bulan lagi,” jawabnya. Jadi, ia akan dilanjutkan hingga Jun 2022 jika diluluskan.

    MAA juga telah mengemaskini sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun 2021 kepada 500,000 unit berbanding angka asal 570,000 unit. Ini kurang 70,000 kenderaan sahaja, dan dengan angka setengah juta pengeluaran dalam keadaan seperti sekarang, itu agak sihat. Ternyata pengecualian SST telah menunjukkan kesannya.

    Masalah paling utama yang dihadapi oleh pengeluar kenderaan ketika ini adalah untuk memenuhi tempahan pelanggan. Aishah memaklumkan jumlah pesanan sangat baik, tetapi mereka tidak boleh mengeluarkan kenderaan kerana kilang automotif dipaksa ditutup. “Tempahan sentiasa ada, pengguna tetap ingin membeli kenderaan. Persoalannya, bila kami akan dapat membuat serahan kepada pelanggan sekiranya kilang dan bilik pameran terus ditutup?” ujarnya.

     
     
  • Tesla Supercharger kini ada di Singapura — laporan

    Tesla Supercharger kini ada di Singapura — laporan

    Pengenalan semula Tesla di Singapura kini semakin rancak, dengan laman rasmi yang lengkap dengan harga, kini sudah boleh dicapai dan pusat servisnya di Tao Payoh pula dijangka akan beroperasi bulan ini. Kini, The Straits Times melaporkan bahawa beberapa Supercharger terawal untuk kegunaan kenderaan jenama itu juga sudah mula beroperasi.

    Tiga daripada pengecas pantas DC berkenaan telah dipasang di tempat letak kereta sembilan tingkat di pusat beli-belah Orchard Central di Orchard Road. Ia merupakan jenis V3 terkini, yang menyediakan kuasa sebanyak 250 kW, dengan menawarkan tempoh mengecas hanya dalam 15 minit. Lebih banyak supercharger atau pengecas pantas seperti ini akan dipasang di sana dalam bulan-bulan mendatang.

    Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran berkata bahawa supercharger berkenaan telah diluluskan oleh Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) di bawah “regulatory sandbox” yang diperkenalkan bulan ini, mensasarkan untuk menyelia teknologi yang direncanakan untuk dimasukkan ke dalam standard pengecasan nasional negara itu. LTA telah berurusan dengan pelbagai syarikat untuk meminta mereka mengirimkan permohonan spesifik bagi penilaian kes demi kes.

    Tesla Supercharger kini ada di Singapura — laporan

    Buat masa ini, pengecas berkenaan khusus untuk kegunaan pemilik kenderaan Tesla sahaja. CEO Tesla, Elon Musk baru-baru ini juga mengesahkan yang rangkaian supercharger global jenama itu akan dibuka untuk dimanfaatkan oleh pemilik kenderaan elektrik lain secara berperingkat bermula akhir tahun ini. Ketika ini, rangkaian terbabit terdiri daripada 25,000 pengecas di lebih dari 2,700 lokasi seluruh dunia.

    Keputusan untuk memasang pengecas pantas itu di pusat beli-belah selari dengan strategi Tesla untuk membuka “kedai pengalaman” di semua lokasi berkenaan berbanding dengan memasangnya di bilik pameran tunggal mereka. Lokasi lain yang turut terdapat dalam perancangan ialah Raffles City dan Jewel Changi Airport.

     
     
  • Toyota Mega Web bakal ditutup sepenuhnya tahun ini

    Toyota Mega Web bakal ditutup sepenuhnya tahun ini

    Jika anda seorang ‘kaki kereta’ dan berpeluang untuk ke Jepun, Toyota Mega Web adalah tempat yang wajib untuk anda lawati. Toyota Mega Web adalah satu pusat yang dibina oleh Toyota sendiri yang disifatkan sebagai ‘Taman Tema Automotif’, disajikan dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan dunia permotoran.

    Namun ini mungkin berita sedih buat anda – Toyota mengumumkan bahawa Toyota Mega Web bakal ditutup sepenuhnya pada 31 Disember 2021. Menurut Toyota, kompleks bangunan berkenaan akan dibuka semula sebagai arena pelbagai guna yang dibangunkan oleh Towa Real Estate Co., Ltd., iaitu syarikat pembangunan di bawah Toyota Group sendiri.

    Toyota Mega Web telah dibuka kepada orang awam bermula pada Mac 1999, dan sehingga kini ia telah dikunjungi oleh sejumlah 127 juta orang. Ia dibina di pulau buatan di Tokyo Bay. Jika anda bertolak dari stesen Tokyo menaiki tren untuk ke Mega Web, anda bakal merentasi jambatan besar dari daratan ke pulau berkenaan yang dikenali sebagai Rainbow Bridge, yang juga sebahagian dari lebuhraya Wangan.

    Dari stesen Tokyo teleport, berjalan kaki ke Mega Web memerlukan anda menempuhi DiverCity Tokyo Plaza, iaitu tempat dimana terletaknya figura robot Gundam dengan skala 1:1. Secara amnya, Toyota Mega Web mempunyai tiga bahagian utama iaitu Toyota City Showcase, Ride Studio dan History Garage. Kami sendiri telah berkesempatan untuk mengunjungi Toyota Mega Web ini pada 2019, selepas habis tugasan di Tokyo Auto Salon.

    Namun disebabkan kaki penulis sendiri telah diseksa oleh 11 dewan besar di Tokyo Auto Salon selama tiga hari, lawatan ke Toyota Mega Web ini hanya kami tumpukan kepada subjek yang paling penulis minat iaitu History Garage. Nak tahu apa yang ada di History Garage berkenaan? Mari baca ‘pengembaraan’ kami pada PAUTAN INI.

    GALERI: Toyota Mega Web History Garage

     
     
  • Stesen Shell di seluruh negara kini terima ShopeePay

    Stesen Shell di seluruh negara kini terima ShopeePay

    Shell Malaysia telah mengumumkan kini para pelanggannya boleh menggunakan ShopeePay sebagai transaksi pembayaran bagi pembelian bahan api atau barangan lain di semua stesen Shell di seluruh Malaysia.

    Sebagai kerjasama antara peruncit bahan api dan platform dalam talian ini, pengguna Shopee kini diberikan ganjaran sebanyak RM4 dalam bentuk pulangan tunai (cashback) apabila berbelanja minimum RM30 dan membayar menggunakan ShopeePay di mana-mana stesen Shell yang mengambil bahagian. Tawaran pulangan tunai ini diberikan dalam masa yang terhad iaitu dari 15 Julai sehingga 15 Ogos 2021, dan hanya untuk 250,000 transaksi pertama sahaja.

    Sementara itu, menjelang Shopee 8.8 Brands Festival, pelanggan juga boleh mengambil peluang ini dengan membeli minyak pelincir Shell untuk kereta dan motosikal dengan harga istimewa menerusi Shell Lubes Official Store di Shopee.

    “Menerusi kerjasama dengan ShopeePay, kami dapat memberikan pengalaman pembayaran tanpa sentuhan tambahan di semua stesen Shell yang mengambil bahagian di seluruh negara, demi kemudahan para pelanggan,” kata pengarah urusan Shell Malaysia Trading Shairan Huzani Husain.

     
     
  • Porsche catat jualan separa tahun terbaik – 153,656 unit kereta berjaya dijual, Cayenne model paling laris

    Porsche catat jualan separa tahun terbaik – 153,656 unit kereta berjaya dijual, Cayenne model paling laris

    Porsche mengumumkan bahawa mereka telah mencapai jualan separa tahun terbaik pernah dicapai, dengan jualan sebanyak 153,656 unit kereta telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini. Jumlah tersebut juga dilihat 31% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

    SUV Porsche Cayenne masih menjadi model paling laris jenama kereta sport Jerman berkenaan, dengan jualan sebanyak 44,050 untuk enam bulan pertama 2021, naik 12% berbanding tempoh sama tahun lalu. Satu lagi SUV Porsche iaitu Macan menjadi model kedua terlaris untuk separa tahun ini dengan jualan 43,618 unit, naik sebanyak 27%.

    Ia diikuti dengan kereta sport ikonik Porsche 911 dengan jualan 20,611 unit (naik 22%) serta kereta sport elektrik pertama Porsche iaitu Taycan dengan jualan 19,822 unit. Kereta sport Porsche 718 Cayman dan Boxster pula dijual sebanyak 11,922 unit (naik 33%), manakala Porsche Panamera berjaya dijual sebanyak 13,633 unit (naik 6%) sepanjang separa tahun ini.

    Dari segi pasaran pula, Asia Pasifik, Afrika dan Timur Tengah menyumbang jumlah jualan sebanyak 69,198 unit. Dari jumlah berkenaan, 48,654 unit adalah China, naik 23% berbanding tempoh sama tahun lalu. Permintaan terhadap 911 naik mendadak di republik berkenaan dengan 2,324 unit telah berjaya dihantar ke pelanggan, naik 83% berbanding separa pertama 2020.

    Pasaran Amerika Syarikat juga mencatatkan kenaikan sehingga 50% dengan jualan sebanyak 36,326 unit. Di Eropah pula, sebanyak 40,435 unit telah dihantar ke pelanggan, naik 25% serta 13,094 unit daripadanya adalah milik pelanggan di kampung halaman Porsche iaitu Jerman.

    “Selepas separa tahun yang intensif pada 2021, kami mampu untuk melaporkan hasil yang sangat positif. Buku tempahan kami penuh. Pada masa yang sama, kami sedar akan keadaan yang tidak menentu disebabkan pandemik Corona dan situasi pembekalan semikonduktor. Kami terus memerhatikan dengan situasi keseluruhan dengan rapat sambil mengekalkan kedudukan yang optimistik,” kata ahli lembaga eksekutif Porsche untuk jualan dan pemasaran, Detlev von Platen.

    “Kami sangat gembira dengan tahap permintaan yang tinggi untuk kereta sport kami – peningkatan penghantaran pada separa pertama tahun ini adalah di atas keseluruhan pasaran. Kadar elektrifikasi kini sedang berkembang di semua rantau. Pembangunan ini mengesahkan halatuju yang telah kami ambil dengan strategi pemacu kami.

    “Di Eropah, sekitar 40% kereta kini telah dihantar mempunyai motor elektrik – sama ada ia kenderaan elektrik sepenuhnya atau plug-in hybrid. Keutamaan tertinggi kami akan terus memenuhi impian pelanggan-pelanggan kami,” tambah von Platen.

     
     
  • Kia Sportage Hybrid 2021 dilancar di Korea Selatan – enjin 1.6L turbo dan e-motor; 230 PS/350 Nm; 16.7 km/l

    Kia Sportage Hybrid 2021 dilancar di Korea Selatan – enjin 1.6L turbo dan e-motor; 230 PS/350 Nm; 16.7 km/l

    Kia telah mendedahkan versi hibrid bagi Sportage generasi kelima di Korea Selatan, yang menyertai varian petrol dan diesel yang telah sedia ditawarkan di sana. Sportage Hybrid baharu ini menerima larasan yang sama yang digunakan pada Tucson Hybrid, di mana motor elektriknya diletakkan antara enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder dan transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 180 PS (178 hp) pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm, sementara e-motor pula pada kadar 60 PS (59 hp atau 44.2 kW) dan 264 Nm. Bila digabungkan, ia mampu memberikan keseluruhan output sehingga 230 PS (227 hp) dan 350 Nm) – sama seperti Tucson Hybrid. Bagi penggunaan bahan apinya, pengeluar kereta Korea ini berkata ia pada kadar 16.7 km/l, atau lebih kurang enam liter bagi setiap 100 km.

    Lain-lain teknologi yang turut diberikan termasuk Hyundai E-Ride, yang menggunakan e-motor untuk menjana daya inertial pada arah yang bertentangan dengan pergerakan kenderaan yang melalui speed bump untuk meningkatkan keselesaan. Sementara itu, E-Handling pula membolehkan e-motor melakukan brek regeneratif untuk meningkatkan ketangkasan dan kestabilan pada selekoh masuk dan keluar.

    Antara ciri yang diberikan termasuklah pencahayaan LED pada lampu utama, lampu belakang dan lampu kabus, upholstery kulit, paparan kluster instrumen 4.2-inci atau 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci atau 12.3-inci, sistem bunyi Krell, bumbung suria panoramik, tailgate larasan kuasa, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

    Sportage Hybrid boleh dikenalpasti menerusi lencana “HEV” pada tailgate, roda unik 17- dan 18-inci serta paparan spesifik model untuk sistem infotainmen dan kluster instrumen digital. Harganya bermula dari 31.09 juta won (RM114,294) selepas faedah cukai tempatan.

     
     
  • Jualan dan pengeluaran kenderaan di Malaysia vs Thailand, Indonesia, Vietnam sehingga Mei 2021

    Jualan dan pengeluaran kenderaan di Malaysia vs Thailand, Indonesia, Vietnam sehingga Mei 2021

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan angka jualan kenderaan di ASEAN bagi tahun ini setakat Mei 2021. Data berkenaan merangkumi jualan di tujuh negara anggota ASEAN dengan pengecualian Brunei, Kemboja dan Laos.

    Tempoh lima bulan pertama tahun 2021 menyaksikan keseluruhannya 1,200,210 kendeaan dijual di semua negara terbabit, berbanding 827,316 unit yang dijual bagi tempoh sama tahun lalu. Ini mencatatkan peningkatan sebanyak 372,894 unit berbanding tahun lalu, atau peningkatan 45%. Thailand menyumbang angka terbesar dengan 363,355 kenderaan terjual, mewakili 34% peningkatan berbanding Mei 2020 yang hanya menyaksikan 270,591 unit sahaja.

    Indonesia mengikuti di belakang dengan jualan 320,749 unit kenderaan setakat Mei tahun ini, mencatatkan peningkatan 29% berbanding 248,309 unit yang dijual dalam tempoh sama tempoh sama tahun lalu. Kedua-dua negara ini juga mecatatkan angka berkenaan dengan segmen kenderaan yang berbeza; Thailand menjual lebih banyak kenderaan komersial (213,251 komersial berbanding 150,104 penumpang), manakala Indonesia pula lebih banya jualan kenderaan penumpang (236,884 penumpang berbanding 83,865 komersial).

    Malaysia pula menyaksikan jumlah kesuluruhan industri (TIV) 245,932 unit sehingga Mei 2021, mewakili peningkatan 91% berbanding 128,790 unit bagi tempoh yang sama dicatatkan tahun lalu. Daripada jumlah ini, kenderaan penumpang menyumbang sebanyak 220,785 unit, sementara kenderaan komersial 25,147 unit.

    Jualan dan pengeluaran kenderaan di Malaysia vs Thailand, Indonesia, Vietnam sehingga Mei 2021

    Jumlah jualan di rantau ini kebanyakannya kembali meningkat kecuali di Myanmar, yang menjual hanya 5,048 unit kenderaan bagi tempoh itu, menurun 33% berbanding 7,587 unit terjual bagi tempoh sama tahun lalu. Vietnam pula menjual 126,894 unit kenderaan setakat Mei 2021, mencatatkan 53% peningkatan berbanding 83,181 kenderaan yang dijual dalam tempoh sama, tahun lalu. Filipina pula mencatatkan jualan 110,217 setakat Mei 2021 (naik 59% berbanding 69,463 unit setakat Mei 2020), sementara Singapura dengan jualan 28,015 unit setakat Mei 2021, naik 44% berbanding 19,395 unit tahun lalu.

    Dari segi pengeluaran di rantau ini, Thailand dan Indonesia mendahului carta, diikuti Malaysia. Thailand di atas dengan 710,356 unit kenderaan dikeluarkan setakat Mei 2021, naik 33% berbanding 534,428 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Indonesia pula mengeluarkan 413,116 unit, peningkatan 17% berbanding 351,954 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Malaysia pula menyaksikan pengeluaran 240,998 unit bagi tempoh seperti dinyatakan tahun ini, hampir dua kali lipat (99%) pengeluaran berbanding 120,874 unit tahun lalu.

    Vietnam menghasilkan 82,817 kenderaan setakat Mei 2021, naik 81% berbanding 45,879 unit tahun lalu. Melengkapkan data ini ialah Myanmar dengan pengeluaran 988 unit kenderaan setakat Mei 2021, turun 79% berbanding 4,764 unit tahun lalu.

     
     
  • Jualan kenderaan bulan Jun 2021 menjunam 96%

    Jualan kenderaan bulan Jun 2021 menjunam 96%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyiarkan data jualan kenderaan bagi bulan Jun 2021, yang mencatatkan cuma 1,921 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Jumlah ini bersamaan penurunan 45,283 unit daripada 47,204 unit yang dicatatkan pada bulan Mei, ataupun 96%.

    Jika dibandingkan pula dengan bulan sama pada tahun 2020 yang mencatat 44,755 unit, jumlah bulan lepas adalah kurang 42,834 unit (ataupun 95.7%). Walaubagaimanapun, jumlah jualan keseluruhan bagi tahun ini masih lagi lebih banyak daripada tempoh sama tahun lepas, di mana 249,129 unit (+75,584 unit atau 43.6%) telah diserahkan sepanjang enam bulan pertama 2021 sementara pada tempoh sama tahun 2020 ia cuma mencatat 173,545.

    Kejatuhan besar ini tidak mengejutkan kerana pusat pameran kenderaan di seluruh negara diarahkan tutup bermula 1 Jun dan masih kekal begitu sepanjang Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kecuali di Sabah yang mana pusat pameran sudah dibenarkan dibuka kerana sudah memasuki Fasa 2.

    Jualan kenderaan bulan Jun 2021 menjunam 96%

    Bagi yang tertanya macam mana masih boleh ada jualan, MAA memberitahu ini adalah baki pendaftaran dari bulan Mei. Situasi ini sama seperti apa yang berlaku tahun lepas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksana – kereta boleh didaftar secara atas talian, tetapi ketiadaan aktiviti jualan membuatkan kereta tidak dapat diberi kepada pelanggan.

    Dengan sekarang ini bulan Julai sudah hampir berakhir dan pusat pameran masih ditutup, MAA menjangka jumlah jualan bulan ini juga sangat minimal. Selain daripada itu, meskipun pengecualian cukai jualan yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini telah dipanjangkan lagi sehingga hujung tahun, pendaftaran kenderaan dijangka masih tidak akan meningkat begitu banyak.

    Ini kerana pengeluaran juga sudah berada dalam keadaan statik agak lama kerana kilang ditutup dan hanya dijangka beroperasi semula dalam Fasa 2 PPN. Dengan tempoh dua bulan yang sudah hilang, sekarang kita perlu melihat sama ada pembeli akan dapat menerima kenderaan mereka dan menikmati pengecualian cukai tersebut dalam tahun ini.

     
     
  • Suzuki dan Daihatsu sertai Toyota bangunkan kenderaan komersial berkuasa elektrik sepenuhnya

    Suzuki dan Daihatsu sertai Toyota bangunkan kenderaan komersial berkuasa elektrik sepenuhnya

    Suzuki dan Daihatsu mengumumkan bahawa mereka kini menyertai entiti baharu untuk membangunkan kenderaan komersial berkuasa elektrik sepenuhnya serta dengan teknologi pemandu berautonomi yang diterajui oleh Toyota, lapor Bloomberg. Entiti berkenaan telah pun ditubuhkan Toyota pada awal tahun ini, dianggotai dua jenama trak dan bas di bawah Toyota iaitu Isuzu dan Hino.

    Langkah ini dilihat akan mengeratkan lagi hubungan antara kesemua jenama automotif tersebut. Suzuki dan Daihatsu bakal mengusai 10% kepentingan dalam kerjasama yang dikenali sebagai Commercial Japan Partnership Technologies (CJPT) berkenaan. Ia juga turut akan membantu pakatan itu untuk memperluaskan fokus mereka bukan sekadar untuk trak, malah turut melibatkan kenderaan yang lebih kecil.

    Suzuki dan Daihatsu menyatakan bahawa mereka akan membawa pengalaman luas masing-masing dalam menghasilkan kenderaan bersaiz mini yang diperlukan oleh pengguna dan perniagaan, yang kini berjumlah 31 juta dari keseluruhan 78 juta kenderaan di Jepun, digunakan sebagai keperluan harian rakyat negara berkenaan terutamanya di kawasan pedalaman.

    Pakatan CJPT ini akan mengumpulkan sumber bagi menyelesaikan isu yang tidak boleh diselesaikan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan mini secara bersendirian serta mencari pelbagai cara bagi mengatasi masalah kos bagi memberikan teknologi elektrifikasi dan autonomi kepada kenderaan lebih kecil agar ia kekal dapat dijual pada harga mampu milik.

    Suzuki kini sudahpun mempunyai kerjasama rapat dengan Toyota, di mana kedua-dua syarikat berkenaan telah menandatangani kerjasama pakatan permodalan pada 2019 bagi berkerjasama dalam pelbagai bidang. Manakala untuk Daihatsu yang sudahpun menjadi subsidiari Toyota sejak 2016, pakatan baharu ini akan mengembangkan lagi skop kerjasama mereka dalam lapangan aplikasi kenderaan komersial mini.

     
     
  • Toyota tarik iklan TV berkaitan Sukan Olimpik kerana kes jangkitan Covid-19 di Jepun semakin meningkat

    Toyota tarik iklan TV berkaitan Sukan Olimpik kerana kes jangkitan Covid-19 di Jepun semakin meningkat

    Jepun tetap akan meneruskan Sukan Olimpik yang tertangguh sejak tahun lalu walaupun jangkitan kes Covid-19 dilihat semakin meningkat. Langkah yang diambil ini sebenarnya mendatangkan kegusaran banyak pihak, dan terbaharu salah satu penaja korporat terbesar untuk Komiti Olimpik Antarabangsa (IOC) iaitu Toyota mengambil keputusan untuk menarik semua iklan TV Sukan Olimpik yang disiarkan di negara berkenaan.

    Menurut laporan AP News, Toyota bukan sahaja menarik iklan-iklan berkenaan dari disiarkan di televisyen, malah presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan, Akio Toyoda tidak akan menghadiri acara pembukaan Sukan Olimpik tersebut.

    Toyota telah menyuarakan kegusaran orang awam terhadap Sukan Olimpik berkenaan sejak Mei lalu, tulis Nikkei Asia, apabila atlet-atlet Jepun diminta untuk menyuarakan tentangan terhadap acara ini menerusi media sosial. “Sebagai penaja, kami merasa sedih kerana kegelisahan orang ramai yang ditujukan kepada atlet. Sejujurnya kami mahu semua atlet dan orang ramai boleh datang ke Sukan Olimpik Tokyo tanpa kegusaran,” kata ketua pegawai komunikasi Toyota, Jun Nagata.

    Toyota tarik iklan TV berkaitan Sukan Olimpik kerana kes jangkitan Covid-19 di Jepun semakin meningkat

    Konsumer-konsumer secara terus menerus mengkritik Sukan Olimpik Tokyo ini, di mana ciapan-ciapan negatif di Twitter yang mengandungi perkataan “Olimpik” dan “Toyota” telah mengatasi ciapan-ciapan positif yang mengandungi perkataan sama, menurut tinjauan yang dibuat oleh Nikkei menerusi sistem analitik media sosial, Social Insight.

    Walau bagaimanapun, Toyota masih akan terus membekalkan 3,340 kenderaan, termasuk kenderaan elektrik mengunakan bateri serta sel bahan api untuk tugas-tugas pengangkutan atlet-atlet dan kakitangan sepanjang acara itu berlangsung, hampir sama dengan jumlah asal yang dipersetujui pada peringkat awal, lapor Nikkei Asia.

    Ia juga turut termasuk penyediaan robot-robot pada pelbagai tempat acara, serta Toyota akan terus mempromosikan atlet-atlet yang ditaja pada laman web mereka.

    “Terdapat pelbagai isu dengan sukan ini yang dilihat sukar untuk difahami,” kata Nagata kepada para wartawan awal minggu ini. Toyota akan terus memberikan sokongan kepada atlet-atlet berkenaan dan terdapat sekitar 200 atlet dalam Olimpik dan Paralimpik yang dikaitkan dengan Toyota, tambah Nagata menerusi laporan berkenaan.

    Toyota tarik iklan TV berkaitan Sukan Olimpik kerana kes jangkitan Covid-19 di Jepun semakin meningkat

    Sementara itu, Toyota Motor North Amerika menyatakan bahawa mereka tiada perancangan untuk mengubah pemasaran Sukan Olimpik ini di Amerika Syarikat.

    “Perancangan media untuk Olimpik dan Paralimpik Toyota bagi iklan kempen global diuruskan oleh syarikat-syarikat individu dan mengikut rantau. Di Jepun, pejabat Toyota tempatan sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak menyiarkan kempen berkenaan kerana sensiviti terhadapa situasi Covid-19 di negara itu,” kata divisi Toyota di Amerika Utara tersebut.

    “Di Amerika Syarikat, kempen sudah pun disiarkan diperingkat nasional dan ia akan terus disiarkan seperti yang dirancang oleh rakan media kami sepanjang Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020,” tambahnya. Buat masa sekarang, kerajaan Jepun akan meneruskan sukan berkenaan walaupun Tokyo kini diletakkan dalam situasi darurat.

    Toyota telahpun menandatangani perjanjian dengan IOC sebagai penaja global Sukan Olimpik pada 2015, dengan persetujuan untuk menaja dari 2017 hingga 2024 yang bernilai hampir US$1 bilion (RM4.23 bilion) sekaligus menjadi jenama automotif pertama untuk meyertai IOC dalam program pemasaran peringkat tertinggi, lapor AP News.

     
     
  • Audi R8 LMS GT3 evo II – larasan suspensi, elektronik dan aerodinamik diperbaiki, siap pendingin hawa

    Audi R8 LMS GT3 evo II – larasan suspensi, elektronik dan aerodinamik diperbaiki, siap pendingin hawa

    Program lumba pelanggan Audi Sport telah mendedahkan Audi R8 LMS GT3 untuk musim 2022, yang kini tiba dalam versi “evo II”, membawa beberapa perubahan khas yang memenuhi keperluan pasukan lumba persendirian pelanggan mereka.

    Enjin model baru ini masih lagi sama seperti kereta lumba generasi kedua versi tahun 2019, iaitu unit V10 5.2 liter NA yang dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan sequential, mampu menghasilkan kuasa 585 hp dan 550 Nm tork, bergantung kepada peraturan perlumbaan yang ditetapkan.

    Enjin versi evo II ini bagaimanapun telah dipasang dengan sistem saluran udara baru yang mempunyai panjang tambahan 30 mm dan boleh memberikan peningkatan tork pada tahap rpm rendah dan pertengahan. Sebagai makluman, enjin ini dikeluarkan di kilang yang sama dengan enjin kereta biasa yang digunakan atas jalan, dan ia masih mengekalkan selang servis 10,000 km dan 20,000 km untuk rebuild.

    Sistem kawalan cengkaman boleh ubah pada versi evo II ini juga telah dirujuk semula, dengan kini membenarkan kawalan sewaktu di apex selekoh dan waktu keluar selekoh, dengan kedua-duanya boleh dilaras secara berasingan. Kawalan baru ini boleh dilakukan menggunakan butang pada roda stereng.

    Audi R8 LMS GT3 evo II – larasan suspensi, elektronik dan aerodinamik diperbaiki, siap pendingin hawa

    Bagi suspensi, R8 LMS GT3 evo II kini menggunakan penyerap yang boleh dilaras empat cara. Menurut Audi, jika dibandingkan dengan unit larasan dua cara yang digunakan pada kereta lumba sebelum ini, unit baru memberikan talaan yang lebih halus tanpa sebarang ubah suai tambahan.

    Ciri aerodinamik juga ditambah baik dengan tujuan menjadikan kereta ini lebih stabil, terutamanya waktu membrek dan bukannya untuk mencapai “nilai aerodinamik tertinggi”. Antara bahagian penting yang diubah adalah spoiler serta lantainya.

    Akhir sekali, versi evo II ini dipasang dengan sistem pendingin hawa yang hampir sama seperti kereta jalanan biasa dan dianggap penting untuk membantu pemandu terus fokus dalam perlumbaan, terutamanya apabila suhu sekitar tinggi dan melibatkan perlumbaan jarak jauh.

    Harga Audi R8 LMS GT3 evo II untuk tahun 2022 ini boleh ditempah sebagai sebuah kereta yang lengkap pada harga 429,000 euro (RM2.14 juta), atau juga boleh dibeli sebagai sebuah kit naik taraf bagi mereka yang sudah mempunyai R8 LMS GT3 sebelum ini.

     
     
  • Novitec Ferrari SF90 – 1,033 PS, 0-100 km/j dalam 2.5s

    Novitec Ferrari SF90 – 1,033 PS, 0-100 km/j dalam 2.5s

    Tidak lama selepas memperkenalkan model edisi terhad Ferrari F8 N-Largo, Novitec menampilkan pula kit naik taraf baharu untuk SF90 Stradale. Hypercar ini sesuai untuk mereka yang mahukan ledakan prestasi yang lebih padu tanpa mengubah imej asalnya.

    SF90 diberikan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghasilkan jumlah kuasa sebanyak 1,000 PS dan 800 Nm, hasil tiga motor elektrik. Dengan transmisi dwi-klac wet lapan-kelajuan serba baharu, SF90 boleh dipecut dari titik pegun ke 100 km/j dalam 2.5 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 340 km/j.

    Apa yang ditawarkan oleh Novitec ialah sistem ekzos prestasi tinggi, yang mampu meningkatkan output hingga 1,033 PS dan tork 858 Nm. Active flap boleh ditentukan, tetapi dengan kit termasuk corong paip keluli tahan karat berkembar dengan hiasan gentian karbon. Kabin juga boleh dikustom dengan material dan warna yang berlainan.

    Novitec Ferrari SF90 – 1,033 PS, 0-100 km/j dalam 2.5s

    Lain-lain peningkatan termasuklah Novitec sport springs yang merendahkan jentera sebanyak 30 mm di hadapan dan 25 mm di belakang, menyerlahkan lagi roda Vossen baharu. Ia juga menawarkan sehingga 72 warna termasuk serlahan Bronzino, ukuran hadapan 9.5J x 20 (tayar 255/35; sama seperti model asal) dan 12J x 21 dengan 325/35 (model asal SF90 dapat roda belakang 20-inci dengan tayar 315/30) di belakang.

    Tiada perubahan yang dilakukan pada sistem hibrid, bermaknanya ia masih kekal menggunakan pek bateri lithium-ion 7.9 kWh standard (diletakkan di belakang tempat duduk) dan masih menawarkan jarak semua-elektrik sehingga 25 km. Apabila beroperasi dalam mod elektrik, jentera ini hanya menggunakan dua motor elektrik pada gandar hadapan (efektif menjadikannya sebagai Ferrari pertama dengan pacuan roda-hadapan apabila berada dalam mod elektrik), dan boleh mencapai sehingga 135 km/j.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025