Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Arteon facelift 2021 bakal dilancar di M’sia – varian R-Line 4Motion, pendaftaran minat dibuka

    Volkswagen Arteon facelift 2021  bakal dilancar di M’sia – varian R-Line 4Motion, pendaftaran minat dibuka

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mula menguar-uarkan kedatangan Arteon facelift baharu 2021, yang pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Jun tahun lalu, dan mengesahkan varian R-Line 4Motion bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Bagi yang berminat, bolehlah mendaftar menerusi laman web yang dikhaskan oleh VPCM.

    Model facelift ini menerima beberapa ciri luaran yang dipertingkatkan, dan paling jelas kelihatan ialah jaluran pencahayaan baharu yang bersambung pada lampu utama. Menerusi foto teaser yang dipaparkan di laman pendaftaran minat (ROI), ia jelas kelihatan, walau pun perincian lain yang dipertingkatkan termasuklah bampar R-Line dan lampu belakang masih tidak ditunjukkan.

    Malah bahagian dalaman juga dijangka ada semakan, termasuklah papan pemuka dengan corong udara yang direka semula, kepingan kemasan baharu dan juga jam analog yang disingkirkan. Ciri lain yang turut dipertingkatkan termasuklah rekaan roda stereng dan kawalan suhu sentuhan baharu, yang ditempatkan di bawah sistem skrin sesentuh infotainmen MIB3.

    Untuk kali ini, varian R-Line 4Motion telah sah dibawa masuk. Sebelum ini, model import sepenuhnya (CBU) pernah dibawa masuk ke Malaysia. Kemudian ia dipasang secara tempatan (CKD) dan buat masa ini, Arteon merupakan satu-satunya model semasa yang menampilkan varian TSI R-Line 2.0 CKD.

    Bagi model facelift, R-Line 4Motion kekal berada dalam barisan Arteon. Selain hadir dengan pacuan semua-roda dan transmisi dwi-klac DSG kering tujuh-kelajuan standard, varian ini turut menampilkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder TSI dengan hamburan 280 PS (276 hp) dan tork 400 Nm, berdasarkan laman web Volkswagen Jerman.

    Untuk perincian penuh mengenainya, kena nantikan Arteon facelift baharu ini dilancarkan secara rasminya di Malaysia.

     
     
  • Trak Vaksin Bergerak cepatkan pemberian vaksin, Wilayah Persekutuan sasar imuniti kelompok Sept ini

    Trak Vaksin Bergerak cepatkan pemberian vaksin, Wilayah Persekutuan sasar imuniti kelompok Sept ini

    Kementerian Wilayah Persekutuan yakin menerusi Inisiatif Trak Vaksin Bergerak, tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal mencapai imuniti kelompok lebih awal, disasarkan pad akhir Ogos atau awal September ini.

    Trak Vaksin Bergerak berkenaan merupakan antara empat langkah yang sedang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan. Projek rintis Trak Vaksin bergerak tersebut telahpun memulakan operasinya minggu lalu, dan operasi rasmi sebenarnya dijadualkan akan bermula pada 15 Jun ini.

    Kementerian Wilayah menyatakan bahawa trak tersebut berupaya memberi suntikan vaksin COVID-19 antara 15,000 hingga 20,000 dos sehari kepada warga Wilayah Persekutuan.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam satu video yang disiarkan pada laman Facebook rasmi kementeriannya, setiap trak berkenaan akan mempunyai empat bay yang boleh memberikan sehingga 500 orang suntikan vaksin setiap hari. Manakala operasi trak-trak ini pula akan berjalan dalam dua fasa.

    Trak Vaksin Bergerak cepatkan pemberian vaksin, Wilayah Persekutuan sasar imuniti kelompok Sept ini

    Untuk fasa pertama inisiatif ini sebanyak 10 Trak Vaksin Bergerak akan membantu pemberian vaksin ke kawasan sasar termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) dan kampung tradisi, yang rata-ratanya dihuni oleh golongan B40, warga emas dan kumpulan rentan yang sukar untuk ke pusat-pusat pemberian vaksin (PPV).

    Selepas itu bermula 15 Julai, fasa kedua akan bermula dengan 40 trak yang ditumpukan pada kelompok kawasan kilang dan industri di mana-mana satu-satu majikan menggajikan pekerja yang ramai dan memastikan mereka diberikan keutamaan.

    Menurut Menteri berkenaan lagi, projek rintis yang telah dijalankan pada minggu lalu di kawasan perumahan dan tapak binaan dibuat bagi melihat susun atur prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat dimurnikan bagi memastikan kadar kecepatan yang boleh dilakukan dari segi vaksinasi dan perkara berkaitan.

    Selain dari Trak Vaksin Bergerak ini, usaha-usaha lain yang turut dibuat oleh Kementerian Wilayah termasuk melalui peningkatan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi klinik dan hospital swasta yang berdaftar, serta Unit Bergerak daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri yang akan pergi ke kelompok terpencil seperti rumah orang tua, orang kelainan upaya (OKU) dan kawasan kecil lain.

    “Dengan semua usaha ini, kita berharap menjelang suku ketiga tahun ini, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjadi zon selamat untuk pergerakan dan segala aktiviti berjalan seperti biasa,” katanya.

    Dalam laporan Bernama pada 12 Jun lalu, Tan Sri Annuar Musa turut menyatakan bahawa golongan peniaga dan pekerja di pasar borong, pasar harian dan penjaja, juga bakal menerima vaksin menerusi program Trak Vaksin Bergerak ini kerana mereka adalah antara individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19 walaupun dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

    “Walaupun kes pasar borong mencecah ratusan kes, tetapi operasinya tidak boleh dihentikan. Oleh itu mereka ini akan disenaraikan dalam siri kedua program itu untuk diberikan vaksin melalui trak bergerak, yang yang akan terus ke lokasi,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition dilancarkan di Indonesia

    Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition dilancarkan di Indonesia

    PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) melancarkan model edisi istimewa untuk Xpander dan Xpander Cross pada pasaran berkenaan yang digelar Rockford Fosgate Black Edition. Seperti namanya, kedua-dua model berkenaan diberikan lebih banyak kemasan-kemasan hitam yang membuatkan rupanya lebih garang, bersama sistem bunyi dari Rockford Fosgate.

    Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross RF Black Edition ini dihasilkan dari asas varian Sport pasaran berkenaan. Pada bahagian luaran, kemasan-kemasan perak dan krom pada Xpander RF Black Edition seperti gril, kemasan ‘X’ pada muka Dynamic Shield, skid plate bawah bampar hadapan dan belakang, penutup cermin sisi dan juga rim aloi digantikan dengan kemasan hitam dan hitam berkilat.

    Manakala untuk Xpander Cross RF Black Edition pula, perincian-perincian hitam yang sama turut diberikan kecuali kemasan ‘X’ pada muka kekal krom, pelindung bawah sisi badan diberikan warna perak gelap, serta kemasan ‘X’ pada pintu tailgate belakang turut diwarnakan hitam berkilat. Kedua-dua model ini turut menerima emblem ‘Rockford Fosgate Black Edition’ di bahagian belakang.

    Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition dilancarkan di Indonesia

    Untuk bahagian dalaman pula, Xpander RF Black Edition diberikan kabin hitam sepenuhnya dengan upholsteri fabrik menggantikan kemasan beige pada model biasa. Manakala Xpander Cross RF Black Edition pula diberikan tempat duduk balutan kulit hitam sepenuhnya, berbeza pada model biasa pada pasaran Indonesia yang menampilkan balutan kulit dua tona pada Xpander Cross biasa.

    Manakala untuk sistem bunyi Rockford Fosgate, ia terdiri dari pemproses isyarat digital, subwoofer dan juga skrin sesentuh yang memberikan visual dari kamera pemantau sekeliling bersama fungsi rakaman.

    Tiada sebarang perubahan mekanikal diberikan di mana kedua-dua model berkenaan terus dijana oleh enjin petrol NA 4A91 1.5 liter MIVEC empat-silinder yang menghasilkan 104 PS dan tork maksima 141 Nm. Xpander Cross RF Black Edition hanya hadir dengan kotak gear automatik empat kelajuan, manakala Xpander RF Black Edition turut ditambah dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Seperti juga pada varian-varian standard, Xpander dan Xpander Cross ini dibezakan dengan jarak kelegaan tanah 25 mm lebih tinggi. Xpander Cross juga diberikan pelindung plastik sekeliling badan, bampar hadapan dan belakang lebih tebal serta menerima rel bumbung untuk kelihatan lebih SUV berbanding MPV tujuh-tempat duduk.

    Model istimewa ini ditawarkan hanya dalam dua warna badan iaitu Graphite Gray Metallic serta Quartz White Pearl. Mitsubishi Xpander Cross RF Black Edition dijual pada harga Rp 312,650,000 (RM90,649). Xpander RF Black Edition MT pula dijual pada harga Rp 273,900,000 (RM79,414), manakala versi AT dijual pada harga Rp 283,800,000 (RM82,284).

    GALERI: Mitsubisi Xpander Rockford Fosgate Black Edition

    GALERI: Mitsubisi Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition

     
     
  • PKP 3.0: Lockdown disambung lagi hingga 28 Jun

    PKP 3.0: Lockdown disambung lagi hingga 28 Jun

    Dalam sidang akhbar harian mengenai perkembangan COVID-19 sebentar tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, telah mengumumkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Penuh disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

    Menurut beliau, perkara ini telah dibentangkan dan dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871 kes.

    Beliau turut menjelaskan, diharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksaan penguatkuasan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan semua senarai positif/negatif adalah sama seperti sebelum ini.

    “Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa,” katanya lagi.

    Mengenai senarai tersebut, boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my

     
     
  • Volvo Car Malaysia umum tempoh waranti dan servis dilanjutkan berikutan pelaksanaan PKP Penuh

    Volvo Car Malaysia umum tempoh waranti dan servis dilanjutkan berikutan pelaksanaan PKP Penuh

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Penuh Fasa Pertama, Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan untuk memberikan tempoh lanjutan bagi waranti dan servis. Ia membolehkan para pelanggan yang tidak dapat menghantar kereta mereka untuk diselenggara mendapat tempoh lanjutan terbabit.

    Menerusi laman Facebook rasminya, syarikat ini mengumumkan, tambahan bagi tempoh waranti dan juga penyelenggaraan berkala ini diberikan adalah diluar pelaksanaan PKP penuh ini. Ia menawarkan lanjutan sehingga dua bulan selepas lockdown ini ditamatkan oleh kerajaan untuk lanjutan waranti.

    VCM turut memaklumkan bagi para pelanggan yang jadual berkala bagi penyelenggaraan kenderaan telah melebihi syarat (bagi perbatuan, tarikh waranti, janji temu) ketika dalam tempoh lockdown juga diberikan lanjutan.

    Turut dimaklumkan, sepanjang PKP penuh ini, operasi pusat servisnya mungkin berbeza-beza bergantung pada lokasi, dan sekiranya pelanggan yang memerlukan perkhidmatan segera atau keperluan pembaikan haruslah menghubungi wakil penjual Volvo yang terdekat untuk menjadualkan janji temu secepat mungkin.

     
     
  • Proton X70 Exclusive Edition untuk pasaran Brunei — hanya 37 unit, warna dwi-tona, rim baru, kulit Nappa

    Proton X70 Exclusive Edition untuk pasaran Brunei — hanya 37 unit, warna dwi-tona, rim baru, kulit Nappa

    Pengedar di Brunei, Fadli Proton Brunei, telah kongsikan gambar-gambar sebenar Proton X70 Exclusive Edition, memberikan kita gambaran lebih jelas terhadap model edisi terhad ini. Hanya 37 unit edisi ini dikeluarkan di sana, sempena dengan Hari Kebangsaan Brunei yang ke-37 tahun ini.

    Dari segi mekanikal, X70 EE ini menggunakan enjin yang sama, 1.8 liter turbocas empat-silinder petrol dengan suntikan terus yang menghasilkan 181 hp (184 PS) dan 300 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    X70 EE menampilkan warna dalam dua tona, khususnya biru dengan bahagian bumbung, cermin sisi dan spoiler belakang warna hitam. Rekaan rim 19-inci juga berbeza dari versi biasa, lebih seiras dengan rim yang ada pada Geely Boyue Pro, dengan lencana khusus di belakang. Di dalam, kemasan kulit Nappa hitam digunakan menggantikan material coklat dalam varian biasa.

    Proton X70 Exclusive Edition untuk pasaran Brunei — hanya 37 unit, warna dwi-tona, rim baru, kulit Nappa

    Penampilan keseluruhannya nampak sama dengan X70 Special Edition (SE) sebelum ini, yang juga mengenakan warna biru dikenali sebagai Ocean Blue yang tidak berada dalam senarai pilihan semasa, yang melibatkan warna Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown dan Space Grey.

    Berdasarkan risalah X70 SE, turut ditawarkan ialah pilihan warna Ruby Red dengan skim dua tona. Lain-lain kelainan untuk versi SE termasuk kemasan dan perincian eksklusif, rim baru serta pelapik kaki dengan logo SE.

    Pelanggan di Brunei boleh membuat tempahan bagi X70 EE ini, walaupun belum ada maklumat tentang harga yang ditawarkan. Bagi X70 SE pula, ia dijangka akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

     
     
  • Volkswagen T7 Multivan 2022 – pilihan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid, kuasa sehingga 218 PS

    Volkswagen T7 Multivan 2022 – pilihan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid, kuasa sehingga 218 PS

    Selepas beberapa siri teaser, Volkswagen akhirnya mendedahkan T7 Multivan, yang ditawarkan dalam beberapa pilihan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid. Ukuran van ini adalah 4,973 mm panjang, 1,941 mm lebar, sehingga 1,903 mm tinggi dan jarak roda 3,124 mm. Menurut Volkswagen, versi lebih besar dengan panjang 5,173 mm juga akan diperkenalkan nanti.

    Semasa pelancaran, T7 diperkenalkan dalam tiga varian iaitu Multivan, Life dan Style. Pelanggan boleh mendapatkan rim sehingga saiz 19 inci dan ia juga ditawarkan dengan bumbung panoramik yang dibuat menggunakan kaca laminated “LowE” yang dapat mengurangkan panas sehingga 44%. sebagai kemudahan tambahan, pintu ruang simpanan belakang menggunakan pembuka elektrik manakala pintu lungsur tepi pula boleh dibuka tanpa sentuhan.

    Secara standard, lampu hadapan T7 Multivan didatangkan dengan unit LED, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada unit matriks IQ.Light LED yang boleh terus menggunakan lampu tinggi tanpa membuatkan pengguna jalan lain silau. Lampu IQ.Light ini juga datang dengan jalur LED yang bersambung dengan DRL di sepanjang grilnya.

    Volkswagen T7 Multivan 2022 – pilihan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid, kuasa sehingga 218 PS

    Empat pilihan enjin telah diumumkan setakat ini untuk T7 Multivan, bermula dengan eHybrid PHEV yang menggunakan gabungan enjin petrol 1.4 liter TSI 150 PS dengan motor elektrik 85 kW/115 PS, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 218 PS dan dipadankan bersama transmisi automatik DSG klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Menurut Volkswagen, varian eHybrid PHEV ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik penuh untuk jarak yang pendek di kawasan urban. Ia disokong oleh bateri lithium ion 13 kWh yang berada di bahagian lantai kenderaan, sekaligus memberikan lebih ruang untuk bahagian dalam dan membantu merendahkan titik graviti.

    Untuk enjin pembakaran dalaman tanpa kuasa elektrik, terdapat beberapa pilihan yang disediakan; 1.5 liter TSI 136 PS dan 2.0 liter TSI 204 PS. Ia kemudiannya akan disertai enjin diesel turbo empat silinder 2.0 liter berkuasa 150 PS pada tahun hadapan. Menurut Volkswagen, semua enjin ini akan menggunakan kotak gear automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan.

    Volkswagen T7 Multivan 2022 – pilihan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid, kuasa sehingga 218 PS

    Di bahagian dalam, T7 Multivan boleh memuatkan sehingga tujuh penumpang, dengan lima tempat duduk di belakang kini 25% lebih ringan berbanding sebelumnya. Ia boleh dialih dan digerakkan mengikut kesesuaian sementara baris kedua boleh dipusing 180 darjah untuk menghadap tempat duduk baris ketiga. Tiga tempat duduk di baris ketiga menggunakan tetapan berpisah dan boleh dicabut sekiranya mahu.

    Seperti yang ditunjuk dalam teaser sebelum ini, T7 Multivan mempunyai meja pelbagai guna yang boleh diletakkan di mana-mana tempat antara tiga baris tempat duduk ini dan bila berada di bahagian paling hadapan, ia boleh menjadi konsol tengah untuk pemandu. Ketinggiannya boleh dilaras dan juga boleh dicabut sepenuhnya. Apabila semua tempat duduk tegak, ruang simpanan yang disediakan berkapasiti 469 liter dan ia boleh bertambah menjadi sehingga 3,672 liter sekiranya semua tempat duduk belakang dilipat (4,053 liter untuk varian badan panjang).

    Di depan, pemandu disediakan dengan roda stereng pelbagai fungsi menyamai seperti Golf generasi kelapan dan semua ciri penting diletakkan di tempat yang mudah dilihat dan diguna. Kawalan pendingin hawa, pemanas tempat duduk dan tahap bunyi audio kini semua menggunakan papan sesentuh.

    Volkswagen T7 Multivan 2022 – pilihan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid, kuasa sehingga 218 PS

    Paparan instrumen T7 Multivan menggunakan panel skrin Digital Cockpit 10.25 inci, dan di sebelahnya terdapat skrin sesentuh infotainmen bersaiz 10 inci. Di antara dua skrin ini anda boleh melihat butang pemilih gear, yang kini menggunakan sistem shift-by-wire. Menurut Volkswagen, T7 Multivan juga menjadi kenderaan pertama dalam kategori komersial mereka yang menggunakan head-up display.

    Bagi sistem infotainmen van ini, ia menggunakan sistem yang dipanggil sebagai Ready 2 Discover, yang mana termasuk dengan ciri kemudahan dan keselamatan atas talian We Connect percuma tanpa had masa, untuk servis seperti bantuan kecemasan, status kenderaan dan kedudukan terakhir.

    Ia kemudiannya ditambah dengan We Connect Plus, yang disediakan kepada pelanggan secara percuma selama tiga tahun, dan ia menawarkan ciri seperti fungsi kawalan jauh telefon pintar untuk mengunci dan membuka kenderaan, serta mengawal pemanas dari jauh.

    Volkswagen T7 Multivan 2022 – pilihan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid, kuasa sehingga 218 PS

    Servis lain yang berkaitan dengan navigasi seperti peta atas talian dan kemas kini informasi trafik turut disediakan melalui We Connect Plus, bersama dengan fungsi eHybrid seperti menetapkan suhu dalam kenderaan dan menguruskan proses mengecas menggunakan telefon pintar. Bagi sistem audio, terdapat 14 pembesar suara dengan amplifier 16 channel dan output 840 watt.

    Pada bahagian keselamatan, T7 Multivan mendapat Front Assist secara standard, di mana ia termasuk City Emergency Braking, Dynamic Road Sign Display, and Lane Assist. Sistem baru lain yang diberi adalah seperti Car2X untuk komunikasi antara kenderaan dengan infrastruktur, serta ciri lain seperti Cross Wind Assist, Turn Off Assist dan Exit Warning.

     
     
  • Toyota GR Corolla hatchback AWD dalam imej render

    Toyota GR Corolla hatchback AWD dalam imej <em>render</em>

    Agak jelas kini yang Toyota akan gunakan imej dan sambutan terhadap GR Yaris dan perluaskannya kepada sebanyak mungkin penawaran. Pakej sistem janaan kuasa yang diilhamkan dari rali itu dikhabarkan akan turut diterapkan kepada model lebih besar, Corolla, untuk menjadi pesaing yang lebih dekat kepada Honda Civic Type R.

    Tapi setakat ini, kita belum tahu lagi bagaimana rupa jentera berkenaan. Jadi, kami minta Theophilus Chon untuk membayangkan beberapa rekaan yang mungkin bersesuaian sebagai GR Corolla. Hasilnya nampak mengujakan juga, menyuntik imej lebih agresif kepada kereta yang sudah sedia ada penampilan yang kuat tersebut.

    Bahagian depan mengambil inspirasi besar daripada wajah depan GR 86 yang baru ditunjukkan, dengan bahagian bawah grilnya lebih rendah dan bukaan udara menegak di sudutnya. Ada juga scoop bonet ala Subaru WRX (kereta betulnya nanti mungkin tak ada ciri ini). Corolla ini juga nanti mungkin akan menggunakan enjin sama seperti GR Yaris, G16E-GTS 1.6 liter turbocas tiga-silinder, dengan intercooler di depan.

    Dari sisi, rim aloi lapan-jejari dari GR Yaris diterapkan. Bahagian fender juga lebih lebar, selari dengan khabar angin yang mengatakan versi GR ini 20 mm lebih lebar berbanding Corolla biasa. Diffuser besar di belakang dengan muncung ekzos berkembar juga diambil dari GR Yaris.

    Toyota GR Corolla hatchback AWD dalam imej <em>render</em>

    GR Corolla yang sebenar nanti sepatutnya memiliki kuasa yang lebih tinggi juga untuk mengimbangi penampilan garangnya ini. Enjin pada GR Yaris menghasilkan 272 PS dan 370 Nm di Jepun (untuk pasaran lain termasuk Malaysia, ia lebih rendah dengan output 261 PS dan 360 Nm).

    Malangnya, Corolla yang lebih besar ini dijangka tidak akan menerima peningkatan kuasa itu, menjadikannya sedikit kurang dari aspek prestasi jika dibandingkan dengan Civic Type R. Harapannya talaan sistem pacuan semua roda Yaris, yang boleh menghantar sehingga 70% tork ke roda belakang, akan dapat memberikan kelebihan. Kotak gear manual enam-kelajuan dijangka kekal ditawarkan.

    Menarik juga, GR Corolla ini turut akan dilanjutkan rekaannya kepada versi Touring wagon, yang akan menjadi berita gembira bagi peminatnya. Apa pun, itu kita tunggi di lain waktu.

     
     
  • Opel/Vauxhall Grandland facelift 2022 diperkenalkan

    Opel/Vauxhall Grandland facelift 2022 diperkenalkan

    Pengeluar kereta Jerman Opel dan jenama sekutunya, Vauxhall, telah mendedahkan model Grandland facelift, dengan menampilkan ciri rekaan dalaman dan luaran yang lebih moden. Buat setakat ini, kami hanya mempunyai sedikit perincian mengenai crossover ini, yang bakal memberikan persaingan buat Ford Kuga, Nissan Qashqai, Peugeot 3008, Renault Kadjar dan Volkswagen Tiguan.

    Bahagian yang melibatkan semakan rekaan termasuklah sudut hadapan Vizor yang memiliki sedikit persamaan dengan Mokka terkini, di mana gril atas dan lampu utama disambung untuk penampilan yang lebih padu. Lampu utama juga ditampilkan dengan teknologi IntelliLux LED Pixel Light adaptif, merangkumi 84 LED dengan tiga barisan pada setiap kluster untuk memberikan pandangan yang lebih jelas.

    Setiap kluster juga merupakan perumah untuk lampu nyalaan siang LED berbentuk-L, sementara apron bawah disambung pada tiga corong pengambil kecil dengan corong bersudut palsu pada hujung bampar. Di belakangnya pula, banyak ciri yang dibawa dari model pre-facelift, dan kini perkataan Grandland ditempatkan di bawah logo jenama pada tailgate.

    Selain berwajah baharu, kabin Grandland turut menerima perubahan yang lebih signifikan, dengan sistem Pure Panel pada papan pemuka. Ia menempatkan dua paparan, dengan unit 10-inci bertindak sebagai kluster instrumen digital, dan unit 12-inci pula berfungsi sebagai skrin sesentuh infotainmen.

    Opel/Vauxhall Grandland facelift 2022 diperkenalkan

    Larasan baharu pada papan pemula ini juga menampilkan corong udara yang lebih bersudut, dan pengeluar kereta ini memilih untuk tidak mengurangkan beberapa kawalan fizikal. Kawalan akses pantas untuk beberapa fungsi infotainmen masih dikekalkan, sama seperti butang dan dail bagi sistem kawalan suhu.

    Semakan lain yang turut dibuat termasuk melibatkan pemilih gear yang kini menerima butang baharu untuk fungsi bantuan parkir automatik, namun konsol tengah dan stack tengah masih dikekalkan seperti sebelum ini. Lain-lain ciri yang diberikan termasuk tempat duduk aktif ergonomik dan larasan kuasa, fungsi pengaliran dan haba, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, tailgate larasan kuasa bebas-tangan, Night Vision (penhesan pejalan kaki dan haiwan dalam suasana gelap pada jarak sehingga 100 meter dan amaran kepada pemandu) dan sistem infotainmen Multimedia Navi Pro.

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, Grandland menerima Highway Integration Assist untuk kawalan kelajuan adaptif dan bantuan kekal lorong untuk pemanduan di lebuhraya yang lebih menyenangkan, walau pun ketika berhenti dan meluncur. Sistem lain yang turut diberikan termasuklah kamera 360-darjah, sementara amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, pengesan pejalan kaki, amaran ketibaan lorong, pengesan isyarat trafik dan pengesan mengantuk diberikan secara standard.

    Walau bagaimana pun, kedua-dua syarikat tidak mendedahkan penjana kuasa untuk Grandland, tetapi difahamkan ia akan diberikan enjin petrol dan diesel, serta plug-in hybrid sebagai pilihan. Untuk model pre-facelift (yang dinamakan sebagai Grandland X), larasan PHEV menggabungkan enjin petrol 1.6 liter pengecas turbo dengan motor elektrik untuk keseluruhan kuasa mencecah 300 PS (296 hp) dan tork 520 Nm.

    Opel Grandland facelift 2022

    Vauxhall Grandland facelift 2022

     
     
  • BMW Alpina XD3, XD4 facelift didedah – asas daripada X3 G01 dan X4 G02 LCI, enjin 3.0L lebih berkuasa

    BMW Alpina XD3, XD4 facelift didedah – asas daripada X3 G01 dan X4 G02 LCI, enjin 3.0L lebih berkuasa

    Baru sahaja beberapa hari BMW mendedahkan BMW X3 G01 dan X4 G02 facelift, sekarang Alpina sudah menunjukkan versi mereka pula, iaitu XD3 dan XD4. Seperti yang boleh dijangka, syarikat talaan terkenal ini tidak meniru X3 dan X4 M, sebaliknya membuat naik taraf mereka sendiri.

    Kuasa datang daripada enjin diesel enam silinder 3.0 liter dengan empat pengecas turbo, menghasilkan 394 PS dari 4,000 hingga 5,000 rpm, dan 800 Nm tork dari 1,750 hingga 3,000 rpm. Ini adalah 6 PS dan 30 Nm lebih berbanding sebelum ini.

    Dengan kelengkapan sebegitu, kedua-dua model boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat, sebelum mencecah kelajuan maksimum 267 km/j (268 km/j untuk XD4). Kotak gear ZF lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive terus diberikan secara standard.

    Bagi memberikan pemanduan yang lebih sporty, Alpina telah membuat talaan semula kepada penyerap adaptif asal kenderaan ini dan memadankannya dengan spring yang lebih keras dan rendah. Stereng pula ditala untuk menjadi lebih sensitif dan tepat, dan dikatakan dapat menawarkan maklum balas lebih intuitif. LSD di belakang terus digunakan, tetapi ditambah dengan Performance Control yang boleh membrek setiap roda secara berasingan untuk mengurangkan understeer.

    XD3 dan XD4 turut mendapat manfaat daripada peningkatan gaya yang dibuat pada model facelift X3 dan X4, termasuk gril double kidney yang lebih besar, grafik lampu yang diubah, bampar hadapan dan belakang rekaan baru serta pada X3, lampu belakang 3D baru.

    Alpina kemudiannya telah membuat sendiri lip bampar hadapan, diffuser belakang serta empat muncung ekzos, dan ia kemudiannya dipasang dengan rim 20 inci yang dibalut tayar 255/45 di hadapan dan 284/45 di belakang. Untuk bahagian dalam, Alpina menggunakan kemasan balutan tempat duduk mereka sendiri dan boleh dipilih oleh pelanggan.

     
     
  • Proton X70 Exclusive Edition diperkenalkan untuk Brunei – luaran dua-tona, roda khas, kulit Nappa hitam

    Proton telah memperkenalkan X70 Exclusive Edition baharu untuk pasaran Brunei, sempena dengan Hari Kemerdekaan yang ke-37 negara berkenaan tahun ini. Hanya 37 unit sahaja yang ditawarkan untuk model edisi terhad ini, seperti mana yang kita pernah dapat ketika Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-62 pada tahun 2019, menerusi X70 Merdeka Edition.

    Varian Exclusive Edition ini menerima beberapa perubahan estetika berbanding X70 biasa, ini termasuklah dengan luaran yang menerima dua-tona warna seperti mana yang dapat dilihat menerusi foto ini dengan kemasan warna biru baharu yang dipadankan dengan rona hitam pada bumbung, perumah cermin sisi dan juga spoiler belakang. Selain warna luaran yang unik, SUV ini turut menerima lencana “EE” pada tailgate dan juga. roda baharu bersaiz 19-inci, yang rekaannya kelihatan hampir sama dengan Geely Boyue Pro.

    Untuk bahagian dalamannya pula, upholstery kulit Nappa kini diberikan dengan warna hitam berbanding coklat pada varian lain. Selain daripada itu, ciri di dalam kabinnya tidak perubahan.

    Begitu juga dengan bahagian mekanikal yang tidak diberikan sebarang perubahan. Ini termasuklah masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.8 liter pengecas turbo dan suntikan-terus empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 181 hp (184 PS) dan tork 285 Nm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Buat setakat ini, harganya masih belum dimaklumkan, tetapi tempahan bagi Exclusive Edition ini telah dibuka untuk pelanggan di Brunei. Perincian penuh hanya akan didedahkan apabila model ini dilancarkan secara rasmi kelak.

     
     
  • Nissan Z generasi baharu sah akan buat kemunculan sulung global pada 17 Ogos 2021 di Amerika Syarikat

    Nissan Z generasi baharu sah akan buat kemunculan sulung global pada 17 Ogos 2021 di Amerika Syarikat

    Nissan telah mengesahkan bahawa model generasi baharu kereta sport Z mereka bakal membuat kemunculan sulungnya di New York, Amerika Syarikat pada 17 Ogos akan datang. Walau bagaimanapun, tiada sebarang maklumat baharu mahupun imej teaser disiarkan untuk kali ini.

    Model prototaip Z generasi ketujuh berkenaan telah pun didedahkan pada September tahun lalu, digelar sebagai Nissan Z Proto. Ia menampilkan rupa klasik dengan banyak perincian dari model generasi pertama Datsun 240Z S30Z terutamanya pada bahagian muka dan bayangan sisi badan, manakala lampu belakangnya pula diinspirasikan dari model generasi keempat Nissan 300ZX Z32.

    Pengaruh S30Z turut banyak dibawa ke bahagian kabin dengan diberikan meter ‘tiga beradik’ pada bahagian tengah papan pemuka, serta menampilkan paparan instrumen utama digital dan juga tuil brek tangan manual.

    Gambar Nissan Z generasi baharu versi produksi yang bocor

    Menurut Presiden Nissan, Makoto Uchida, rupa yang ditampilkan pada Z Proto tersebut adalah sangat hampir pada bentuk produksi. Dan apa yang diperkatakan berkenaan terbukti benar apabila gambar model produksi sebenar Nissan Z generasi baharu tersebut bocor di internet Mac lalu, yang menyaksikan hanya sedikit perincian kecil yang berbeza.

    Ketika pendedahan Z Proto tahun lalu juga Nissan telah mengesahkan bahawa model generasi baharu ini akan dijana oleh enjin V6 Twin Turbo, dan ia juga ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan, serta memacu hanya roda belakang.

    Menerusi pelbagai laporan media sebelum ini, Nissan Z generasi baharu ini dijangkan akan digelar 400Z, dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula, dan oleh itu ia mungkin akan dijana oleh enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo. Manakala dalam permainan video simulator pemanduan Project Cars 3, spesifikasi Nissan Z Proto tersebut mencatatkan bahawa enjin berkenaan menghasilkan kuasa 450 PS, dengan berat badan hanya 1,475 kg.

    GALERI: Nissan Z Proto

     
     
  • Geely Emgrand 2021 SS11 – lagi gambar baru ditunjuk

    Geely Emgrand 2021 SS11 – lagi gambar baru ditunjuk

    Sebelum ini, Geely telahpun menunjukkan gambar awal bagi Emgrand sedan terbaru keluarannya. Kini, beberapa lagi gambar didedahkan melalui platform seperti WeChat. Gambar yang baru didedahkan ini memperlihatkan lebih banyak perincian, termasuk untuk bahagian dalaman.

    Seperti yang diketahui, kabinnya hadir minimalis, ada iras rekaan sama seperti model Audi, dengan papan pemuka yang nipis, corong pendingin hawa kelebaran penuh, skrin sentuh terapung, dail digital serta konsol tengah yang tinggi dengan tuil gear berbentuk T. Banyak juga kemasan krom terlihat pada panel pintu, stereng rata bawah, corong pendingin, suis kawalan udara dan konsol tengah untuk nampak premium.

    Geely Emgrand 2021 SS11 – lagi gambar baru ditunjuk

    Luaran masih kekal dengan rupa bentuk sedan asas, tanpa bentuk lengkung dan bumbung rendah seperti yang selalu dilihat ada pada model Geely yang lain. Namun menurut Geely, masih ada sentuhan khas padanya, seperti rekaan gril, lampu utama tajam dengan DRL-nya, garis bahu yang ringkas, garis tingkap luas serta lampu belakang kelebaran penuh dengan grafik bentuk N.

    Emgrand baru ini akan terus diposisikan sebagai model peringkat kemasukan dengan fokus untuk menawarkan nilai dan teknologi. Ia akan berkongsi platform B-segment Modular Architecture (BMA) yang sama digunakan pada Proton X50 dan khabarnya akan lebih rendah dan besar berbanding model lamanya, walaupun jarak antara rodanya akan kekal sama.

    Geely Emgrand 2021 SS11 – lagi gambar baru ditunjuk

    Kuasa pula dijangka dibekalkan oleh enjin 1.5 liter NA empat-silinder, menghasilkan 109 PS hingga 114 PS. Ia kemungkinan besar akan terus memanfaatkan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT seperti sebelumnya. Geely memaklumkan kadar penggunaan bahan api sekitar 18 km bagi setiap liter.

     
     
  • LRT bertembung: pengendali abai SOP ketika kawal tren secara manual punca kemalangan – menteri

    LRT bertembung: pengendali abai SOP ketika kawal tren secara manual punca kemalangan – menteri

    Susulan kejadian dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung berhampiran Stesen KLCC pada 24 Mei lalu, hari ini kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa insiden tersebut terjadi kerana pengendali tren T40 dan pusat kawalan operasi (OCC) LRT berkenaan didapati telah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) kritikal ketika mengendalikan gerabak tersebut secara manual.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam laporan Sinar Harian, pengabaian itu telah menyebabkan tren T40 secara tidak sengaja bergerak ke arah utara sebelum bertembung dengan tren T81, dalam kejadian yang berlaku lebih dua minggu lalu itu.

    “T40 mengalami masalah apabila salah satu daripada dua ‘vechical on board communication’ (VOBC) gagal berfungsi pada jam 6 petang,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Beliau menjelaskan bahawa tren T40 berkenaan perlu dikosongkan dan dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk dihantar ke depoh penyelenggaraan di Lembah Subang kerana gagal berfungsi.

    “Namun pada jam 8.13 malam, satu lagi VOBC tren berkenaan gagal berfungsi dan pengendali telah dikerahkan untuk mengendalikan T40 secara manual ke Stesen Dang Wangi bagi reset semua ke mod automatic train operation (ATO),” tambahnya lagi.

    Dalam kejadian tersebut, seramai 47 penumpang cedera parah termasuk enam kritikal yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, sementara 166 yang lain cedera ringan.

     
     
  • Sime Darby sedia memperkenalkan lebih banyak EV apabila keadaan pasaran mengizinkan – CFO

    Sime Darby sedia memperkenalkan lebih banyak EV apabila keadaan pasaran mengizinkan – CFO

    Sime Darby bersedia untuk membawa lebih banyak model kenderaan elektrik (EV) apabila keadaan pasaran mengizinkan, laporan The Edge. Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat berkenaan, Mustamir Mohamad dalam diskusi di Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akaun Malaysia. Beliau berkata, kadar penerimaan EV bergantung pada faktor seperti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, insentif dan kesediaan infrastruktur yang diperlukan.

    “Kami bernasib baik kerana perniagaan kami merangkumi 18 negara, yang memberi kami kesempatan untuk melihat bagaimana tren EV berkembang di pasaran maju seperti China, Hong Kong dan Singapura dan sekaligus mempengaruhi perkembangan di beberapa pasaran kami yang lain termasuk ASEAN,” ujar Mustamir.

    Sime Darby Motors, anak syarikat yang mengendalikan perniagaan automotif, buat masa ini turut memasarkan EV dari beberapa jenama. Ini termasuklah dari MINI yang mempunyai model Cooper SE, begitu juga dengan Porsche Taycan yang diperkenalkan pada September tahun lalu. Lain-lain jenama di bawah portfolio syarikat ini termasuklah BMW, Ford, Jaguar, Land Rover, Hyundai dan Volvo turut mempunyai model EV mereka yang tersendiri, tetapi masih belum dipasarkan di Malaysia.

    Mustamir turut berkata, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk memperkenalkan lebih banyak EV apabila pasaran menjadi lebih kondusif dan diterima, termasuk lebih ramai orang yang terbuka terhadap persekitaran serta mula bertukar kepada EV.

    Sime Darby sedia memperkenalkan lebih banyak EV apabila keadaan pasaran mengizinkan – CFO

    Sime Darby Motors City

    Dalam diskusi berkenaan, Mustamir turut mendedahkan Sime Darby kini sedang membuat persiapan untuk melancarkan BMW iX di China. Crossover semua-elektrik, termasuk i4 telah pun dipaparkan menerusi laman web BMW Malaysia, walau bagaimana pun perincian mengenai pelancarannya masih belum didedahkan buat masa sekarang.

    Mustamir turut menyatakan bahawa telah ada banyak kemajuan berkaitan dengan pelancaran EV secara serantau, ini termasuklah Malaysia. “Selama lima tahun ke depan misalnya, akan ada banyak perkembangan bagi EV yang akan datang dan kerajaan perlu membantu kita dari segi insentif dan infrastruktur,” katanya.

    Dalam laporan sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) Datuk Madani Sahari berkata, insentif cukai untuk EV sedang dipersiapkan sebagai memberikan manfaat kepada pemain industri dan juga pelanggan. Ini termasuklah pelanggan bakal menikmati insentif langsung seperti cukai jalan yang rendah, skim parkir hijau, rebat tol dan rebat infrastruktur.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025