Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sime Darby Motors dan SpareXHub umum jualan 10 hari – diskaun alat ganti asli Ford, Hyundai hingga 90%

    Sime Darby Motors dan SpareXHub umum jualan 10 hari  – diskaun alat ganti asli Ford, Hyundai hingga 90%

    Sime Darby Motors (SDM), bersama rakan kongsi e-dagang SpareXHub telah mengumumkan jualan penghabisan selama 10 hari dengan diskaun sehingga 90% bagi alat ganti asli (stok lama, baru) Ford dan Hyundai. Jualan ini akan berlangsung dari 1 hingga 10 Jun 2021, dan dibuat atas talian melalui laman web SpareXHub.

    Menurut ketua bahagian selepas jualan SDM, Alan Scott Gascoyne, pembeli boleh mendapatkan lebih 3,000 alat ganti Hyundai dan 4,000 alat ganti For asli yang terdiri daripada barangan seperti penapis minyak, sensor, panel badan, bampar, cermin hadapan dan pelbagai lagi.

    “Inisiatif menggunakan platform digital bersama SpareXHub ini membantu kami mendekati pelanggan atas talian dan pemain aftermarket untuk membeli alat ganti asli NOS (stok lama tapi baru) tertentu. Ia membenarkan pelanggan kami terus dapat menyelenggaran kenderaan mereka dengan alat ganti yang disarankan pengeluar meskipun tempoh jaminan sudah tamat,” kata pengarah urusan bahagian pengedaran dan runcit SDM, Jeffrey Gun.

    Untuk informasi selebihnya, termasuk senarai produk dan harganya, anda boleh melayari laman SpareXHub atau Facebook rasmi syarikat itu.

     
     
  • BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Anda sudah saksikan BMW i4 eDrive40, dan ini pula adalah kereta elektrik penuh BMW M, iaitu i4 M50. Ia boleh dianggap seperti satu versi elektrik bagi M440i (terletak di bawah M4) dan kalau BMW M betul-betul ada perancangan untuk memperkenalkan i4 paling berkuasa, ia akan dipanggil sebagai i4 M.

    Buat masa sekarang, kita lihat dulu i4 M50 ini. Ia menggunakan dua motor elektrik, dengan satu di setiap gandar, dan sama seperti varian eDrive40, juga menggunakan unit kuasa pintar berasaskan teknologi eDrive generasi kelima yang menggunakan motor elektrik synchronous (bukan magnetik) yang disepadukan terus dengan kuasa elektronik lain serta transmisi lapan kelajuan.

    Motor di hadapan menghasilkan 190 kW sementara yang di belakang menghasilkan 230 kW. Hasil gabungan dua motor elektrik ini, ia dapat menghasilkan 400 kW secara maksimum. Dalam mod Sport, fungsi Sport Boost boleh menaikkan lagi kuasa kepada 544 PS dan 795 Nm tork, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat (Launch Control juga disediakan). Laju maksimum dihadkan kepada 225 km/j.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Memandangkan varian M50 ini mempunyai dua motor elektrik, pengagihan beban gandar adalah lebih ideal berbanding eDrive40, iaitu 48:52. Varian eDrive40 yang menggunakan pacuan roda belakang (i4 M50 pacuan semua roda) adalah lebih berat di belakang, tetapi nisbah beratnya masih lagi baik iaitu 45:55.

    Kedua-dua varian ini menggunakan pek bateri yang sama, iaitu lithium ion 83.9 kWh (dengan jaminan lapan tahun atau 160,000 km), dan dengan cas penuh, boleh memberikan jarak gerak sehingga 510 km untuk i4 M50. Bateri ini boleh dicas dengan pantas pada kadar 200 kW (DC, sambungan CCS Combo 2), dan selepas 10 minit dicas, ia boleh menyediakan jarak gerak 140 km (160 km bagi eDrive40).

    Model i4 datang secara terus dengan pengecas AC bersepadu 11 kW (sambungan Type 2), dan melaluinya, bateri akan naik dari 0% ke 100% dalam masa tidak sampai 8.5 jam. Tahap penjanaan semula kuasa brek pula boleh menyediakan sehingga 195 kW. Dalam keadaan biasa, i4 M50 akan bergerak menggunakan pacuan dua roda (belakang), sekaligus membantu penjimatan kuasa dan meningkatkan jarak gerak.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Kelengkapan standard lain yang diberikan pada i4 M50 adalah penyerap adaptif M dengan spring kadar lebih tinggi, suspensi belakang boleh rata sendiri, pengehad gelinciran roda near-actuator, anti roll bar serta pendakap tapak atas suspensi buatan khas, stereng sport variable, brek sport M dan pilihan rim dari 18 inci hingga 20 inci.

    Penampilan varian ini juga dipertingkat dengan grafik khas BMW M, bukaan udara tambahan untuk menyejukkan brek, gril Cerium Grey serta spoiler khas M. Lampu hadapan dan belakang LED penuh diberikan secara standard, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada unit adaptif dengan BMW LaserLight dan fungsi BMW Selective Beam.

    Pada bahagian belakang, bamparnya direka khas bersama diffuser bersepadu, dan ditambah dengan lip M, kemasan tepi tingkap hitam serta pelindung cermin sisi hitam. Pilihan warna yang disediakan termasuk dua warna solid, tujuh warna metalik dan satu warna matte. Pemilik juga boleh memilih warna khas lain dalam katalog BMW Individual.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Masuk ke bahagian dalam, i4 M50 mendapat peningkatan biasa M Sport/Performance dengan barangan seperti lapik bumbung anthracite, kemasan aluminium rhombicle, roda stereng M Performance, grafik khas M Performance pada panel meter digital, tali pinggang M serta pedal stainless steel.

    Panel paparan melengkung pada papan pemuka adalah sama seperti eDrive40, iaitu unit 12.3 inci yang digabungkan dengan unit 14.9 inci. Bagi panel infotainmen yang lebih besar itu, ia menggunakan BMW Operating System 8 dan disengetkan sedikit kepada pemandu. Sebagai sebuah model BMW i, kemasan pada stereng, tombol gear serta butang pemula enjin menggunakan warna biru.

    Tempat duduk sport datang secara standard, dengan pelbagai pilihan balutan termasuklah Sensatec berliang, kulit Vernasca atau kulit Merino dalam pelbagai warna. Cermin hadapan akustik juga adalah standard sementara bumbung panoramik pula disediakan sebagai pilihan tambahan. Ruang simpanan di dalam but mempunyai kapasiti 470 liter dan boleh meningkat menjadi 1,290 liter apabila tempat duduk dilipat.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Memandangkan i4 adalah sebuah kereta elektrik penuh, ia dipasang dengan sistem perlindungan pejalan kaki akustik, yang boleh mengeluarkan bunyi menggunakan pembesar suara di luar. Bunyi ini aktif apabila bergerak lebih 21 km/j di Eropah atau lebih 31 km/j di Amerika Syarikat. Bunyi khas untuk bahagian dalam juga telah dibangunkan bersama Hans Zimmer dan kerancakannya boleh bertambah apabila memasuki mod Sport.

    Akhir sekali, i4 datang dengan lebih 40 sistem bantuan pemandu, menjadikan ia sebagai kereta semi autonomous Level 2. Ini termasuklah Active Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Speed Limit Assist, Front-Collision Warning dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Rear-Collision Prevention, dan Lane Departure Warning. Pakej Driving Assistant Professional menambah Steering and Lane Control Assistant, yang boleh beroperasi sehingga kelajuan 180 km/h.

     
     
  • Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Geely telah mendedahkan gambar rasmi pertama bagi model Emgrand terbaru keluarannya, model pengganti bagi sedan mampu milik yang didakwa sebagai kereta paling laris di China dan telah berada dalam pasaran sejak 2008. Kereta ini terdahulu pernah di tunjuk dalam laman web MITI China dengan kodnama SS11.

    Emgrand beralih menggunakan platform Modular Architecture (BMA) segmen B, yang turut digunakan oleh Proton X50, sedan Binrui dan crossover Icon. Sama seperti model sebelumnya, versi terbaru ini diposisikan sebagai penawaran peringkat kemasukan, dengan tumpuan terhadap nilai dan teknologi.

    Seperti dilihat, Emgrand menampilkan rekaan profil sedan “tiga kotak” yang lebih ketara dan asas, berbanding misalnya Binrui yang lebih sofistikated. Namun, ia masih menerapkan bahasa rekaan terkini Geely. Wajah depan dihiasi dengan grill “waterfall” dan jalur melintang.

    Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Rekaan lampu utama juga lebih menarik dengan tiga jalur DRL di atas — pendekatan sama dapat kita lihat pada Kia EV6 dan Cerato facelift. Di bawanya ada bukaan udara hala ke bawah dan inlet sudut betuk T — ada iras sentuhan pada BMW 3 Series G20.

    Garis bahu nampak lebih menonjol, menghubungkan lampu depan dan belakang, serta jalur krom pada bingkai tingkap yang lajak hingga tiang A. Bahagian belakang pula dihiasi dengan lampu kelebaran penuh dengan grafik N, tulisan Geely dan diffuser di bahagian bawah.

    Bahagian dalam juga turut ditunjuk buat pertama kali. Ia menampilkan sentuhan ringkas dan bersih pada papan muka yang minimalis, sesuai dengan imej keseluruhan kereta ini. Corong pendingin berkelebaran penuh, dengan konsol tengah tinggi, skrin terapung, kluster instrumen digital dan kemasan krom.

    Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Menurut laporan dari media China, Emgrand baru ini akan sedikit lebih besar dan rendah berbanding model lama, dengan ukuran 4,638 mm panjang (+6 mm), 1,820 mm lebar (+31 mm) dan 1,460 mm tinggi (-10 mm). Jarak antara roda pula kekal sama 2,650 mm.

    Belum ada perincian teknikal yang diumumkan sekali, tetapi Emgrand baru ini dijangka menggunakan enjin 1.5 liter NA empat-silinder yang diperkemas, menghasilkan 114 PS, naik daripada janaan enjin semasa dengan 109 PS. Model lamanya turut ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

    Penjimatan minyak adalah pertaruhan terbesar Emgrand baru ini. Seperti dalam gambar, kereta dengan pelekat samaran itu tertera tulisan bahawa ia hanya menelan kos 0.04 yuan (26 sen) untuk bergerak satu kilometer. Dengan harga petrol di China sekitar 7.20 yuan (RM4.70) seliter, ini mencadangkan bahawa Emgrand akan mampu memberikan angka sekitar 18 km per liter.

     
     
  • TOM’S Toyota GR Yaris Type TK – kit inspirasi WRC diperkenal di Jepun, mula dijual hujung bulan ini

    TOM’S Toyota GR Yaris Type TK – kit inspirasi WRC diperkenal di Jepun, mula dijual hujung bulan ini

    Selepas didedahkan secara maya dalam bentuk prototaip awal tahun ini, kit badan keluaran TOM’S yang dihasilkan bersama pemandu Kejohanan Rali Dunia (WRC) Jepun, Takamoto Katsuta untuk Toyota GR Yaris – digelar TOM’S GR Yaris Type TK – kini secara rasmi diperkenalkan dalam pasaran negara matahari terbit tersebut, dan bakal dijual bermula lewat bulan ini.

    Seperti yang anda boleh lihat, kit aero TOM’S GR Yaris yang direka bersama Katsuta ini menampilkan rupa yang jauh lebih agresif dari model asal dan ia diinspirasikan dari jentera rali sebenar Toyota Yaris WRC yang dipandu Katsuta dalam perlumbaan rali peringkat tertinggi dunia berkenaan.

    Kit ini dimulakan dengan bampar hadapan baharu sepenuhnya dengan apron serta spoiler bawah yang lebih besar dan agresif, serta menampilkan sirip-sirip udara tambahan seakan Yaris WRC. Gril atas asal GR Yaris ini turut diubah dengan rekaan gril yang lebih sinonim dengan TOM’S.

    Tiada skirt sisi yang dibuat untuk kit ini, tetapi ia hadir dengan ‘sayap’ untuk kedua-dua bawah bendul sisi digelar sebagai side diffuser, yang kelihatan seperti memberikan lebih downforce menerusi udara yang mengalir dari spoiler bampar hadapan.

    TOM’S Toyota GR Yaris Type TK – kit inspirasi WRC diperkenal di Jepun, mula dijual hujung bulan ini

    Bampar belakang masih menggunakan bampar asal GR Yaris dari kilang. Namun kit TOM’S Type TK ini merubah rupa asal bampar berkenaan agar kelihatan seperti Yaris WRC Katsuta – menampilkan dua liang udara yang ‘berdiri’ pada setiap sisi, bersama diffuser lebih agresif yang menempatkan tip ekzos tunggal berbentuk leper “TOM’S Barrel” di tengah bagi menggantikan dua tip ekzos bulat asal GR Yaris.

    Kit ini dilengkapkan dengan spoiler bumbung di belakang yang direka lebih besar dari spoiler GR Yaris asal, menampilkan dua lapis sayap dan juga sirip-sirip tambahan pada setiap sisi, seakan replika spoiler Yaris WRC dalam skala lebih kecil.

    Namun TOM’S tidak mengumumkan sebarang peralatan prestasi untuk GR Yaris ini. Tetapi pada unit prototaip yang didedahkan pada Januari lalu, ia turut dipadankan dengan pelbagai peralatan prestasi dari LUCK yang turut dibangunkan bersama Katsuta. Antaranya adalah set suspensi boleh laras LUCK El Sport V1 DFK yang bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik, malah dapat merapatkan lagi badan hot-hatch ini ke permukaan jalan.

    Dalam keadaan standard, Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, menghasilkan 272 PS/370 Nm dan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa jarang dengar nama Takamoto Katsuta ini berbanding nama tiga pemandu utama Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) iaitu Sebastien Ogier, Elfyn Evans dan Kalle Rovanpera bukan? Sebenarnya misi Presiden Toyota, Akio Toyoda bukan hanya untuk membawa semula nama syarikatnya itu dalam persaingan WRC. Beliau turut berhasrat untuk membawa semula pusingan WRC Rally Japan (sepatutnya berlangsung tahun lalu, tetapi turut dibatalkan kerana pandemik Covid-19), dan melahirkan seorang pelumba WRC dari Jepun sendiri.

    Jadi, Takamoto Katsuta yang juga anak kepada juara lapan kali Kejohanan Rali Jepun, Norihiko Katsuta, terpilih untuk menggalas impian Akio Toyoda berkenaan selepas prestasi yang ditunjukkan olehnya. Pada tahun 2015 hingga 2016, pembangunan Katsuta yang ketika itu berumur 22 tahun diletakkan di bawah pengawasan terus Tommi Makinen oleh Toyoda untuk berlumba di Eropah.

    Pada tahun 2017, Katsuta mula menyertai musim penuh WRC dalam kategori WRC2 dengan jentera R5 juga bersama Tommi Makinen Racing, dalam masa yang sama juara dunia empat kali berkenaan bertugas sebagai prinsipal pasukan TGR WRT. Peluang pertama Katsuta untuk berlumba dengan jentera Yaris WRC adalah pada tahun 2019 di rali Jerman dan Sepanyol, namun Yaris WRC tersebut masih didaftarkan di bawah pasukan kedua Toyota, Tommi Makinen Racing.

    Tahun lalu Katsuta diberi peluang untuk berlumba dalam lebih banyak pusingan WRC, dan berjaya mengutip 13 mata untuk berada di tempat ke-13 secara keseluruhan. Malah Katsuta turut berjaya membuat kejutan dengan menjuarai Wolf Power Stage di pusingan terakhir WRC musim 2020, ACI Rally Monza. Dia juga berjaya mendapat menghabiskan Rally Portugal minggu lalu di tangga ke-4, menjadikannya pelumba WRC Jepun paling berjaya setakat ini.

     
     
  • PKP 3.0: Toyota tutup bilik pameran, beberapa pusat servis dibuka – lanjutan waranti 30 hari diberikan

    PKP 3.0: Toyota tutup bilik pameran, beberapa pusat servis dibuka – lanjutan waranti 30 hari diberikan

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Lockdown Penuh Fasa Pertama mulai 1 hingga 14 Jun 2021, kerajaan turut mengumumkan semua bilik pameran kenderaan tidak dibenarkan untuk beroperasi. Walau bagaimana pun, sekiranya anda berminat untuk membeli kereta keluaran Toyota, jangan gusar, kerana UMW Toyota Motor (UMWT) memaklumkan, anda boleh meneliti dan membuat tempahan mana-mana model yang diminati menerusi bilik pameran dalam talian.

    Malahan, UMWT turut mengesahkan hanya beberapa pusat servis 3S dan 4S sahaja, termasuk fasiliti body and paint yang dibuka sepanjang PKP 3.0 ini. Justeru, bagi pemilik mana-mana model Toyota, sekiranya perlu mendapatkan perkhidmatan selepas jualan, bolehlah menempah slot temujanji untuk menghantar kereta anda, juga menerusi dalam talian. Tiada kunjungan secara ‘walk-in’, hanya yang membuat temujanji sahaja yang akan dilayan.

    Untuk pelanggan yang bakal menghadiri temujanji di mana-mana pusat 3S atau 4S, dikendaki mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ini termasuklah memakai face mask dan memeriksa suhu badan sebaik tiba di pusat 3S/4S berkenaan. Kenderaan pelanggan akan disanitasi sebanyak dua kali – sebelum ia memasuki ruang pusat servis dan sebelum ia diserahkan semula kepada para pelanggan. Anda boleh menyemak pusat pengedaran berdekatan dengan tempat tinggal anda menerusi PAUTAN INI.

    Selain itu, UMWT turut menawarkan lanjutan waranti selama 30 hari, dan ini tertakluk untuk kenderaan dengan warantinya yang bakal tamat dalam tempoh PKP 3.0 ini. Lanjutan waranti ini dikira dari hari terakhir PKP 3.0, bermakna ia diberikan tambahan 30 hari mulai 14 Jun. Sila KLIK PAUTAN INI untuk mengetahui waktu operasi pusat servis yang terlibat sepanjang tempoh PKP 3.0 ini.

     
     
  • Jualan Proton jatuh 37.1% kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Jualan Proton jatuh 37.1%  kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Selepas tiga bulan berturut-turut mencatatkan peningkatan jualan, bulan Mei nampaknya mencatatkan rekod yang tidak berapa baik buat Proton. Sepanjang bulan lalu, Proton berjaya menjual 9,440 unit kenderaan atau memegang 20.3% peratus bahagian pasaran. Ini bermaksud prestasi mereka pada bulan lalu jatuh 37.1% berbanding April 2021.

    Manakala untuk jumlah kumulatif dari Januari sehingga Mei pula, sebanyak 57,283 unit telah berjaya dijual, atau sekitar 23.5% bahagian pasaran; naik 2.4% berbanding tempoh sama tahun lalu. Angka-angka yang disebutkan ini adalah data yang didedahkan oleh Proton sendiri, dan biasanya syarikat berkenaan mencampurkan sekali jumlah jualan domestik serta eksport dalam pengumuman bulanan yang dibuat.

    Bulan Mei tahun ini bukan sahaja menjejaskan Proton. Dengan masalah seperti bekalan mikrocip global yang terganggu serta ketidaktentuan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan wabak Covid-19, ia telah menjejaskan keseluruhan industri automotif Malaysia dengan kejatuhan TIV sekitar 20%.

    Dari jumlah keseluruhan jualan berkenaan, empat model Proton telah mencatatkan jualan terbaik berbanding pesaing dalam kelasnya. Proton Saga masih sedan segmen-A paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 3,786 unit.

    Jualan Proton jatuh 37.1%  kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Dua SUV Proton iaitu X50 dan X70 juga menjadi model paling laris dalam kelasnya, dengan jumlah jualan masing-masing 1,899 unit dan 1,523 unit. Ia diikuti oleh Proton Exora sebagai MPV segmen-C paling laris dijual sebanyak 399 unit.

    Proton turut menyatakan bahawa prestasi eksport yang dicatatkan pada bulan lalu adalah yang tertinggi selepas Mac 2013. Untuk Mei 2021, Proton telah mengeksport sebanyak 669 unit kenderaan yang meliputi model Saga, X50 dan X70. Ini membolehkan angka eksport keseluruhan sehingga kini untuk tahun ini hanya 100 unit kurang berbanding keseluruhan eksport 2020.

    “Jualan kereta bulan Mei menurun atas pelbagai faktor seperti kekurangan bekalan cip dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pertengahan bulan. Walaupun kebanyakan pemain industri mempunyai tempahan yang mencukupi, kebanyakan perlu bergelut untuk memenuhi permintaan pelanggan. Bagi Proton, jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan dan kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan walaupun menghadapi cabaran dari rangkaian penghantaran antarabangsa,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Jualan Proton jatuh 37.1%  kepada 9,440 unit pada Mei 2021, eksport catat jumlah tertinggi sejak Mac 2013

    Proton menyatakan bahawa mereka akan mengambil kesempatan ini untuk mengkaji semula pelan jualan bagi bulan-bulan akan datang selepas kerajaan mengumumkan insentif PENJANA dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, pada masa yang sama akan mengambil langkah bagi memastikan perniagaan mampu berdaya saing pada masa hadapan walaupun menghadapi perubahan di luar kawalan dan faktor lain seperti virus corona.

    “Tahun 2020 membuktikan pada dunia bahawa perniagaan berjalan seperti biasa mampu diganggu tanpa sebarang amaran. Untuk kekal kompetitif dalam persekitaran yang sukar diramalkan, Proton berserta pembekal dan pengedarnya perlu bersifat lebih anjal untuk mengubah haluan dengan kadar segera dan mengambil peluang yang tidak diduga. Dengan itu, kami akan gandakan usaha kami untuk melaksanakan kerangka kerja untuk mematuhi peraturan domestik dan peringkat antarabangsa yang penting untuk pertumbuhan masa hadapan.

    “Kami juga sedang berusaha untuk memuktamadkan pelan pelancaran model bagi sepanjang tahun ini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada masa ini sudah tentu akan memberi impak kepada tarikh yang dirancang, namun Proton tetap komited untuk memastikan pelancaran akan dijalankan dan terus memberi keterujaan pada pelanggan untuk tahun 2021”, tambah Roslan Abdullah.

     
     
  • PKP 3.0: Tidak semua pusat servis beroperasi, masih tunggu kelulusan — pengeluaran, jualan dihentikan

    PKP 3.0: Tidak semua pusat servis beroperasi, masih tunggu kelulusan — pengeluaran, jualan dihentikan

    Walaupun bengkel kenderaan, pusat servis lepas jualan, perniagaan alat ganti serta kedai tayar dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh yang sedang berlangsung ketika ini, nampaknya tidak semua pernigaan seperti yang dinyatakan itu dibuka untuk operasi setakat 2 Jun 2021.

    Nampaknya masih banyak syarikat yang sedang meninggu surat kebenaran untuk menyambung operasi. Hari ini, kami dimaklumkan bahawa Perodua Sentral di Seksyen 19, Petaling Jaya masih lagi ditutup, termasuklah bahagian lepas jualannya. Sumber syarikat itu memaklumkan yang mereka akan membuat pengumuman berkaitan hal itu dalam masa terdekat.

    Begitu juga dengan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) yang mengumumkan semalam di laman FB rasminya bahawa semua bengkel Nissan akan ditutup buat sementara waktu, kerana sedang menunggu kelulusan permohonan operasi. Syarikat itu masih belum membuat kemaskini berkaitan pengumuman tersebut, setakat ini.

    Sementara itu, cawangan Honda yang telah mendapatkan kelulusan bagi servis lepas jualan akan meneruskan operasinya. Bagaimanapun, kami dimaklumkan sumber bahawa bukan semua pusat servis Honda beroperasi ketika ini. Honda Malaysia sebelum ini memaklumkan pihaknya akan terus menawarkan servis lepas jualan sepanjang tempoh PKP penuh ini.

    PKP 3.0: Tidak semua pusat servis beroperasi, masih tunggu kelulusan — pengeluaran, jualan dihentikan

    Sama juga kesnya dengan bengkel dan perniagaan alat ganti, menandangkan kelulusan daripada pihak berkuasa — termasuk protokol perjalanan untuk staf — diperlukan untuk membolehkan mereka beroperasi. Dengan penguatkuasaan yang dijangka lebih ketat kini, ramai yang memilih untuk menutup dulu operasi sehinggalah surat kebenaran diperoleh.

    Terdahulu, menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan yang pusat servis kenderaan serta kemudahan badan dan cat dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh ini, dengan kapasiti pekerja 60%. Semua perniagaan wajib mematuhi SOP ketat dan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

    Jualan kenderaan pula dihentikan sama sekali sepanjang tempoh ini, begitu juga dengan pemeriksaan dan pendaftaran kenderaan, memandangkan kedua-dua Puspakom dan JPJ telah umumkan penutupan operasi mereka sepanjang tempoh sama. Pengeluaran dan pengilangan automotif juga dihentikan, dengan pengeluar seperti Honda dan Toyota menutup kilang mereka sepanjang PKP penuh ini.

     
     
  • PKP 3.0: SOP berkait kapasiti kenderaan persendirian

    PKP 3.0: SOP berkait kapasiti kenderaan persendirian

    Seperti yang kita sudah maklum, sepanjang tempoh PKP penuh dari 1 hingga 14 Jun 2021, SOP yang melibatkan kenderaan persendirian adalah dihadkan kepada kepada dua jenis keperluan sahaja. PDRM dalam satu infografik terbaru mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi had penumpang seperti yang ditetapkan ini.

    Untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan, supplement diet atau keperluan asas yang lain, sesebuah kenderaan itu hanya boleh membawa dua orang sahaja dari isi rumah yang sama untuk tujuan berkenaan. Ini ditanpa mengira berapa pun kapasiti penuh yang boleh ditampung oleh kenderaan tersebut.

    Bagi tujuan untuk keluar dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan, hal-hal perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan pula, hanya tiga orang dibenarkan termasuk pesakit untuk berada di dalam sebuah kereta.

    Semua ini pula tertakluk kepada peraturan pergerakan yang tidak melebihi jarak 10 km radius dari tempat kediaman mereka, atau tertakluk kepada lokasi paling hampir dengan kediaman. Dan jangan lupa, bagi yang ada keperluan untuk ke tempat kerja, surat kebenaran MITI dan dokumen sokongan lain perlu disediakan untuk pemeriksaan.

    Semoga kita dilindungi dan kekal selamat.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Jun – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 3-9 Jun – RON 97 naik 2 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 3 hingga 9 Jun 2021, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan kenaikan harga bagi bahan api petrol RON 97 yang melibatkan sebanyak dua sen seliter. Ini menjadikan harganya kini mencecah RM2.63 seliter setelah dua minggu berturut-turut sebelum ini ia berada pada paras RM2.61 seliter.

    Walau bagaimana pun, petrol RON 95 masih berada pada paras harga siling iaitu RM2.05 seliter, sejak Februari lalu.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 pula kekal pada RM2.15 seliter, begitu juga dengan gred Euro 5 B7 masih berharga RM2.25 seliter.

    Semua harga tersebut efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 9 Jun 2021.

     
     
  • Petron anjur program “PetronMyKasih Jom Derma” – ahli PMiles berpeluang derma poin untuk kebajikan

    Petron anjur program “PetronMyKasih Jom Derma” – ahli PMiles berpeluang derma poin untuk kebajikan

    Petron Malaysia bekerjasama dengan Yayasan MyKasih dalam menganjurkan program amal “PetronMyKasih Jom Derma”, yang memberikan peluang kepada para pemegang kad keahlian Petron Miles (PMiles) untuk menderma poin atau mata ganjaran untuk tujuan kebajikan.

    Program yang bermula sejak 7 Mei lalu bakal berlangsung sehingga 31 Ogos ini, di mana setiap poin PMiles yang didermakan akan ditukarkan dengan tunai yang akan disalurkan ke Yayasan MyKasih. Menerusi yayasan tersebut, keluarga dari golongan B40 boleh membeli barangan keperluan daripada lebih 250 peruncit yang mengambil bahagian termasuk Mydin, Tesco, Giant, Econsave, The Store, Aeon, 99 Speedmart, dan TF Value Mart.

    Setiap 500 poin PMiles akan ditukar menjadi RM5, manakala setiap poin sebanyak 1000 PMiles pula menjadi RM10. Pelanggan juga boleh menderma dalam gandaan RM5 atau RM10 di semua stesen Petron menerusi kaunter jualan.

    “Dengan kerjasama Yayasan MyKasih, kami akan memberikan peluang kepada pelanggan kami untuk membantu menyumbangkan mata ganjaran PMiles mereka untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya pada masa ini di mana penularan wabak banyak memberikan kesulitan kepada keluarga B40.

    “Dengan menggunakan kas PMiles, para pelanggan dapat menyalurkan sumbangan dengan lebih mudah, di mana-mana stesen kami. Setiap pelanggan yang membuat sumbangan akan diberikan resit bagi pengecualian cukai daripada MyKasih,” ujar Choong Kum Choy, Ketua Perniagaan Runcit dan Komersil Petron Malaysia.

     
     
  • BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    BMW i4 akhirnya didedahkan secara penuh, dan ia merupakan model elektrik penuh pertama dalam kelasnya. Gran coupe empat pintu ini akan dipasarkan dalam dua varian sebagai permulaan, iaitu eDrive40 dan eDrive M50. Model M50 adalah kereta elektrik penuh pertama BMW M, dan ia membawa makna tidak lama lagi akan ada juga model elektrik lain daripada BMW M.

    Dimensi i4 adalah 4,785 mm panjang, 1,852 mm lebar, 1,448 mm tinggi dan 2,856 mm untuk jarak roda. Jika dibandingkan dengan 3 Series G20, ia jarak roda kiri dan kanan hadapannya adalah lebih lebar 26 mm, sementara di belakang pula lebih lebar 13 mm. Hasil daripada kedudukan pek bateri yang rendah, pusati graviti i4 juga menjadi 53 mm lebih rendah berbanding model 3 Series tersebut.

    Varian eDrive40 yang anda lihat ini adalah model pacuan roda belakang, di mana kuasanya datang daripada satu motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang. Ia masih lagi menggunakan asas daripada teknologi eDrive generasi kelima, dan menggunakan motor synchronous elektrik (bukan magnetik) yang disepadukan terus dengan kuasa elektronik lain serta transmisi lapan kelajuan.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Model eDrive40 juga mendapat unit kuasa 250 kW, yang menghasilkan 340 PS dan 430 Nm tork. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 190 km/j. Memandangkan eDrive40 ini cuma mempunyai satu motor elektrik, pembahagian berat antara depan dan belakangnya menjadi 45.1:54.9.

    Melihat kepada jarak gerak, bateri 83.9 kWh (waranti lapan tahun atau 160,000 km) padanya boleh menyediakan jarak sehingga 590 km. Ia boleh dicas dengan pengecas pantas DC 20 kW (sambungan CCS Combo 2), jadi dengan selepas hanya 10 minit mengecas, pengguna boleh bergerak sehingga 164 km.

    Model ini datang dengan pengecas AC bersepadu 11 kW (sambungan Type 2) dan apabila menggunakannya, bateri akan penuh, dari kosong dalam masa tidak sampai 8.5 jam. Tahap penjanaan semula kuasa brek pula boleh menyediakan sehingga 195 kW.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Bagi memastikan suhu bateri berada pada tahap yang baik, BMW menggunakan sistem penyejukan dan pemanas bersepadu. Ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk suhu sekitar dan sesi pengecasan pantas yang diguna. Sistem ini berjalan secara automatik dengan pam berkecekapan tinggi, dan BMW memberitahu ia dapat membantu meningkatkan kecekapan jarak gerak yang disediakan sehingga 31% apabila memandu dalam trafik bandar.

    Sistem penyerap berhubung dengan angkatan (lift-related) digunakan, di mana menurut BMW, ia menyediakan kualiti serapan linear serta menghindari dongakan melebih apabila melalui bonggol yang besar. Sistem suspensi udara boleh rata sendiri diberikan standard untuk kedua-dua varian, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada suspensi M adaptif untuk eDrive40 (datang secara standard pada M50).

    Pada aspek penampilan, i4 tidak banyak berbeza berbanding 4 Series G22 kecuali yang pasti, tambahan dua pintunya. Pelanggan juga boleh memilih tambahan lampu LED adaptif dengan BMW LaserLight dan BMW Selective Beam. Dari tepi, anda akan dapat melihat pembuka pintu yang sama rata dengan permukaan.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Di belakang, walaupun lampunya sama dengan 4 Series, ia mendapat bampar khas dengan diffuser bersepadu. Pilihan rim terdiri daripada saiz 17 inci hingga 20 inci, dan pemilik juga boleh menaik taraf kepada cakera brek M Sport bersaiz 374 mm.

    Bahagian dalam juga kebanyakannya sama seperti 4 Series, dengan perubahan paling jelas adalah panel instrumen 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci yang digabungkan sekali sebagai satu unit, dengan kaca anti pantulan cahaya. Model i4 didatangkan dengan BMW Operating System 8 secara standard, dan beberapa bahagian mendapat kemasan warna biru.

    Kelengkapan standard lain adalah termasuk BMW Live Cockpit Professional, pengawal suhu automatik tiga zon dengan penapis nano, roda stereng balutan kulit, cermin hadapan akustik, lampu suasana dan enam pembesar suara 100 watt. Sistem bunyi ini juga boleh dinaik taraf kepada unit 10 pembesar suara 205 watt, atau sistem Harman Kardon 16 pembesar suara dengan amplifier tujuh saluran 464 watt.

    BMW i4 eDrive40 2022 – model elektrik pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS, jarak gerak 590 km

    Bagi model M Sport dan M Performance, bahagian kabinnya datang dengan kemasan hitam berkilat atau salutan aluminium rhombicle anthracite (bahan lain juga ada dalam katalog BMW Individual). Tempat duduk sport diberikan standard dan ia dibalut dengan kombinasi kain serta kulit Sensatec. Ruang but yang disediakan adalah 470 liter, dan apabila kerusi dibaringkan, ia menjadi 1,290 liter.

    Memandangkan i4 adalah sebuah kereta elektrik penuh, ia dipasang dengan sistem perlindungan pejalan kaki akustik, yang boleh mengeluarkan bunyi menggunakan pembesar suara di luar. Bunyi ini aktif apabila bergerak lebih 21 km/j di Eropah atau lebih 31 km/j di Amerika Syarikat. Bunyi khas untuk bahagian dalam juga telah dibangunkan bersama Hans Zimmer dan kerancakannya boleh bertambah apabila memasuki mod Sport.

    Akhir sekali, i4 datang dengan lebih 40 sistem bantuan pemandu, menjadikan ia sebagai kereta semi autonomous Level 2. Ini termasuklah Active Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Speed Limit Assist, Front-Collision Warning dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Rear-Collision Prevention, dan Lane Departure Warning. Pakej Driving Assistant Professional menambah Steering and Lane Control Assistant, yang boleh beroperasi sehingga kelajuan 180 km/h.

     
     
  • Proton S50 dalam imej render iras Geely Emgrand

    Proton S50 dalam imej <em>render</em> iras Geely Emgrand

    Kalau sebelum ini anda pernah tengok hasil rekaan Theophilus Chin yang membayangkan sedan segmen C Proton yang diberi gelaran S50, itu adalah ilham yang diambil dari sentuhan rekaan SUV X50. Kali ini, beliau kembali lagi membayangkan model S50 yang sama, tetapi dengan perhatian dialihkan kepada Geely Emgrand sebagai inspirasi utama.

    Dengan panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm dan tinggi 1,460 mm serta jarak antara roda 2,650 mm, saiz Emgrand ini meletakkan sedan berkenaan antara segmen B dan C, dengan spesifikasi yang lebih menjurus kepada segmen B+, memandangkan Emgrand menggunakan platform BMA yang turut digunakan pada Binyue.

    Wajah depan, terutamanya pada rekaan gril, telah diubah mengikut sentuhan rekaan pada model Proton dengan corak Infinite Weave dengan logo Proton ditempatkan sekali menggantikan logo Geely. Bampar depan yang digunakan pula nampak seiras dengan yang ada pada Geely Emgrand.

    Proton S50 dalam imej <em>render</em> iras Geely Emgrand

    Dalam satu video yang mengiringi rekaan ini, lencana S50 telah dihasilkan menggunakan bentuk huruf Volvo S60, yang turut digunakan pada plat bilik pameran serta untuk logo pada but. Selari dengan pendekatan perkongsian badannya, penggayaan bahagian belakang Emgrand dibawa untuk rekaan S50 ini. Lencana S50 serta nama Proton diletakkan di tengah antara lampunya, tempat yang sama penjenamaan model Geely tersebut diletakkan. Turut dipinjam terus daripada Emgrand ialah rekaan rim S50 yang dilihat ini.

    Beliau juga ada menunjukkan rekaan rendering bagi bahagian ruang dalaman sedan Proton ini, dengan menampilkan peralihan dari pemanduan sebelah kiri kepada sebelah kanan. Manakala paparan kandungan infotainmen juga sudah diterapkan dengan unsur tempatan — lihat nama “Petaling Jaya” ditulis pada paparan cuaca dan lokasinya.

    Macam mana? Adakan imej render dari Geely Emgrand ini lebih menarik untuk diterapkan kepada sedan Proton S50 nanti?

     
     
  • PKP 3.0: Tiada urusan JPJ di pejabat pos seluruh M’sia

    PKP 3.0: Tiada urusan JPJ di pejabat pos seluruh M’sia

    Dengan semua agensi pengangkutan darat di bawah Kementerian Pengangkutan ditutup untuk PKP penuh yang bermula semalan hingga 14 Jun ini, jangan lupa semua urusan berkaitan JPJ di pejabat pos juga akan digantung buat sementara waktu. Pejabat Pos bagaimanapun akan terus dibuka sebagai salah satu perkhidmatan penting sepanjang PKP ini, tetapi sebarang transaksi JPJ tidak boleh dilakukan.

    Tapi jangan kalut, kerana JPJ telah mengumumkan kelonggaran bagi semua perkara seperti lesen memandu, cukai jalan atau lesen PSV/GDL yang tamat tempoh antara 1 Jun hingga 31 Julai nanti. Semua dokumen ini boleh diperbaharui nanti, bermula 1 Ogos hingga 30 September tahun ini. Sama seperti PKP sebelum ini, semua kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan perlu mempunyai insurans yang sah. Cetak salinan insurans anda dan simpan dalam kereta sekiranya perlu.

    Ingat, tak perlu perbaharui lesen atau cukai jalan sepanjang PKP penuh ini, walaupun insurans perlu ada. Saling mengingati, dan kekal selamat!

     
     
  • PKP 3.0: Pergerakan kenderaan di seluruh negara turun 70% pada hari pertama ‘lockdown’ – Menteri

    PKP 3.0: Pergerakan kenderaan di seluruh negara turun 70%  pada hari pertama ‘lockdown’ – Menteri

    Semalam merupakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Lockdown penuh Fasa Pertama yang dilaksanakan selama dua minggu. Untuk hari pertama ini, mengikut pemantauan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pergerakan kenderaan di jalan raya di selurun negara secara purata menurun sehingga 70%.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menerima laporan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata, perkara ini membuktikan ramai rakyat memahami matlamat kerajaan mengurangkan pergerakan dalam negara ketika ini.

    “Laporan yang saya dapat daripada Ketua Trafik Bukit Aman, pergerakan di jalan raya agak berkurangan, ada kawasan sehingga 90% tetapi secara keseluruhannya purata pergerakan kenderaan menurun antara 70 hingga 80%, kurang daripada kebiasaannya.

    PKP 3.0: Pergerakan kenderaan di seluruh negara turun 70%  pada hari pertama ‘lockdown’ – Menteri

    “Alhamdulillah ini adalah laporan yang baik dan kita minta ia berterusan supaya dapat kita membantu membengkokkan dan akhirnya melatarkan COVID-19,” katanya menerusi Berita Harian.

    Beliau turut menjelaskan dakwaan beberapa beberapa selebriti ataupun individu terkenal berhubung dengan kesesakan trafik yang dikatakan masih berlaku walaupun penguatkuasaan bermula hari ini.

    Katanya, kesesakan yang berlaku di SJR kerana polis perlu memastikan pengguna jalanraya semua mengikut kaedah yang diluluskan.

    “Walaupun terdapat sedikit kekecohan mengenai kelulusan untuk mereka bergerak, ia tidak menyulitkan kerana polis memahami perkara ini. Kita ambil maklum dan mereka akan mendapat surat yang baharu,” katanya.

     
     
  • Triumph Speed Twin 2021 diperbaharui – enjin Euro 5, lebih kuasa dan tork, angkup brek Brembo Monobloc

    Triumph Speed Twin 2021 diperbaharui – enjin Euro 5, lebih kuasa dan tork, angkup brek Brembo Monobloc

    Model yang terletak sebagai antara yang tertinggi dalam kelas klasik moden Triumph iaitu Street Twin diberikan beberapa pembaharuan bagi tahun 2021. Ini termasuklah enjin, yang kini menepati tahap emisi Euro 5, lebih responsif, lebih kuasa dan lebih tork.

    Secara keseluruhannya, enjin dua silinder selari SOHC 1,200 cc penyejukan cecair tersebut mampu menghasilkan kuasa 98.6 hp pada 7,250 rpm – 3 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini – dan tork 112 Nm pada 4,250 rpm – lebih cepat berbanding 4,950 rpm sebelum ini.

    Antara bahagian yang diubah dalam enjin tersebut adalah crankshaft dan alternator, yang menjadikan putarannya lebih ringan 17% dan membolehkan had rpm dijadikan lebih tinggi 500 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama piston mampatan tinggi, profail cam baru dan lubang udara yang diubah. Servis menyeluruh (major) pertama motosikal ini sekarang boleh dilakukan pada 16,000 km.

    Bahagian pengendalian juga dinaik taraf, dengan fork USD 43 mm Marzocchi yang digunakan sekarang adalah spesifikasi lebih tinggi berbanding unit 41 mm sebelum ini, tetapi ia bagaimanapun masih tidak boleh dilaras. Di belakang, terdapat dua penyerap hentak yang boleh dilaras untuk pra beban.

    Bahagian brek tidak ketinggalan. Street Twin 2021 mendapat cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo M50 Monobloc empat piston di hadapan sementara di belakang menggunakan cakera 220 mm dan angkup dua piston. Sistem ABS diberikan secara standard.

    Bagi mod tunggangan, kini penunggang diberikan tiga pilihan iaitu Road, Rain dan Sport, dan penukarannya boleh dilakukan sambil bergerak. Sistem kawalan cengkaman boleh ditutup sekiranya mahu. Bentuk asas motosikal ini masih tidak berubah tetapi ergonomiknya diperbaiki tempat letak kaki yang lebih rendah dan sedikit ke hadapan. Berat keseluhan Street Twin 2021 adalah 216 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025