Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Cross Cub 110 edisi terhad diperkenal di Jepun

    Honda Cross Cub 110 edisi terhad diperkenal di Jepun

    Honda Cross Cub diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2018 di Jepun, sebagai satu variasi kepada model Super Cub yang sedia ada di pasaran. Asasnya masih lagi sama, tetapi gayanya dijadikan lebih ranggi seperti motosikal jelajah.

    Kini memasuki tahun 2021, Honda memperkenalkan satu versi edisi terhad bagi Cross Cub 110. Ia menggunakan warna yang dipanggil sebagai Puco Blue, dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 2,000 unit sahaja untuk pasaran Jepun bermula 22 Julai nanti.

    Selain warna badan unik itu, bahagian lain pula kebanyakannya diwarnakan hitam, termasuk rimnya, sementara pelindung ekzos pula menggunakan warna krom. Tiada aksesori tambahan untuk versi keluaran terhad ini dan ia hanya datang dengan satu tempat duduk.

    Honda Cross Cub 110 edisi terhad diperkenal di Jepun

    Bahagian mekanikal juga masih dikekalkan, di mana Cross Cub 110 digerakkan oleh enjin satu silinder OHC suntikan bahan api 109 cc, bersama padanan kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 8.0 PS pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk rim jenis spoked 17 inci, rak meletak barang di belakang, lampu jenis LED, pelindung lampu hadapan, dua penyerap hentak di belakang, pemegang jenis lebar, tangki bahan api 4.3 liter dan berat keseluruhan 106 kg.

     
     
  • Honda sahkan masih tiada kotak gear automatik untuk varian Type R dan Si bagi Honda Civic generasi ke-11

    Honda sahkan masih tiada kotak gear automatik untuk varian Type R dan Si bagi Honda Civic generasi ke-11

    Tak seperti dahulu, sekarang kereta prestasi bukan hanya dibeli oleh orang yang hanya sukakan memandu – oleh kerana kebanyakkan kereta prestasi ini menampilkan suspensi adaptif yang hanya keras ketika diperlukan, serta hadir dengan kotak gear automatik, ia juga banyak dibeli oleh mereka yang berduit dan menganggapnya sebagai objek mewah.

    Honda nampaknya masih mahu memelihara status lencana Type R hanya untuk mereka yang benar-benar suka memandu, dan sebab itu varian ‘Type Racer’ untuk Honda Civic generasi ke-11 juga sah hanya hadir dengan kotak gear manual sama seperti model-model sebelum ini. Malah konsep yang sama juga diterapkan pada satu lagi varian prestasi Civic untuk pasaran Amerika Utara iaitu Si.

    Perkara ini disahkan oleh pengurus perhububungan media kawasan barat Honda Amerika, Carl Pulley dalam video secara langsung pengenalan Honda Civic generasi ke-11 untuk pasaran negara berkenaan. Menurutnya, Civic sedan biasa tidak lagi ditawarkan dengan kotak gear manual, namun ia akan muncul pada model hatchback generasi ke-11 ini kelak, sebelum model berprestasi diperkenalkan.

    “Sudah tentu akan ada [varian] Si, dan sebagai tradisi ia hanya akan ditawarkan dengan transmisi manual, yang mana apa yang kita perkatakan ini. Untuk peminat-super, kami akan memperkenalkan Civic Type R, dan sekali lagi hanya dengan transmisi manual,” kata Pulley.

    Namun bila model-model berprestasi tinggi ini akan membuat kemunculan masih belum diberikan petunjuk rasmi dari Honda sendiri. Model standard Civic sedan generasi ke-11 ini sudahpun didedahkan secara rasmi bulan lalu. Untuk pasaran Amerika Syarikat, varian Civic LX dan Sport menerima enjin petrol 2.0 liter empat-silinder DOHC i-VTEC yang menghasilkan 158 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Manakala varian EX dan Touring masih dibekalkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang ditala bagi menghasilkan kuasa sedikit lebih besar. Enjin tersebut mampu menghasilkan 180 hp pada takat 6,000 rpm (+6 hp) dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm (+20 Nm) jika menggunakan petrol dengan standard oktana 87 Amerika Syarikat.

    Honda sahkan masih tiada kotak gear automatik untuk varian Type R dan Si bagi Honda Civic generasi ke-11

    Kedua-dua enjin tersebut masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Khas untuk versi NA, transmisi berkenaan diberikan pam hidraulik yang lebih lasak yang mampu mengurangkan beban pada pam mekanikal serta dilengkapkan dengan syaf sekunder dengan galas bebola bagi mengurangkan geseran. CVT pada enjin turbo turut dipertingkat dengan torque converter baharu yang lebih berprestasi serta menampilkan program Step-Shift yang ditala semula.

    Honda Civic generasi ke-11 versi sedan ini akan diproduksi di fasiliti Honda di Alliston, Ontario, Kanada. Harga untuk model baharu ini hanya akan diumumkan selepas ini. Manakala untuk Hatchback, produksinya turut akan dipindahkan ke Amerika Syarikat kerana kilang di Swindon, UK sudah ditutup, dan bakal menggunakan kilang Honda di Greensburg, Indiana.

     
     
  • Harga bahan api 13-19 Mei – semua tak berubah

    Harga bahan api 13-19 Mei – semua tak berubah

    Kementerian Kewangan sudahpun mengumumkan harga bahan api untuk minggu ini bermula 13 hingga 19 Mei 2021, yang menyaksikan tiada sebarang perubahan harga berbanding minggu sebelumnya.

    Oleh itu, bahan api untuk RON 97 adalah kekal pada RM2.60 seliter, manakala RON 95 pula kekal pada harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit untuk diesel, kekal pada paras harga siling RM2.15 seliter untuk gred Euro 5M B10/B20 (yang telah pun menggantikan Euro 2M di semua pam seluruh negara). Manakala untuk diesel Euro 5 B7 juga seperti biasa dijual 10 sen lebih mahal iaitu pada RM2.25 seliter.

    Harga-harga yang dinyatakan di atas akan mula efektif pada tengah malam ini sehingga Rabu minggu hadapan, 19 Mei 2021.

     
     
  • Toyota jual 9.92 juta unit kenderaan pada tahun kewangan 2021; sasar 10.55 juta unit untuk TK2022

    Toyota jual 9.92 juta unit kenderaan pada tahun kewangan 2021; sasar 10.55 juta unit untuk TK2022

    Toyota sudahpun mengumumkan prestasi mereka untuk tahun kewangan 2021 (TK2021), iaitu bermula 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Dalam tempoh berkenaan, gergasi automotif Jepun tersebut telah berjaya menjual sebanyak 9.087 juta kenderaan jenama Toyota dan Lexus.

    Angka yang dicapai untuk TK2021 ini sebenarnya lebih rendah berbanding tahun kewangan sebelumnya (TK2020) kerana pada tempoh tersebut Toyota berjaya menjual sebanyak 9.466 juta kenderaan termasuk jenama Lexus (turun 4%). Namun, ia masih melebihi sasaran yang dianggarkan oleh Toyota pada Mei lalu iaitu sebanyak 8 juta unit selepas Jepun diisytiharkan darurat buat kali pertama kerana pandemik Covid-19.

    Menurut Toyota, 23.7% dari 9.087 juta kenderaan atau 2.155 unit adalah kenderaan dengan teknologi elektrifikasi – model hibrid adalah majoriti (2.087 juta) diikuti dengan plug-in hybrid (59,000 unit), elektrik sepenuhnya menggunakan bateri (6,000 unit) dan kenderaan elektrik sel bahan api (3,000 unit).

    Angka ini jelas meningkat dari TK2020 yang menyaksikan 20.3% dari 9.466 juta unit atau 1.919 juta unit yang terjual adalah kenderaan dengan teknologi elektrifikasi.

    Toyota jual 9.92 juta unit kenderaan pada tahun kewangan 2021; sasar 10.55 juta unit untuk TK2022

    Jika diambil kira sekali dengan jenama dibawah subsidiari Toyota yang lain iaitu Daihatsu dan Hino, syarikat tersebut telah berjaya menjual sebanyak 9.92 juta kenderaan, atau kurang dari rekod 10.457 juta unit yang dicatatkan pada TK2019.

    Menurut Toyota, angka yang berkurangan tersebut adalah kerana berberapa faktor termasuk gelombang sejuk di Amerika Syarikat, hujan lebat di Jepun yang menyebabkan banjir, gempa bumi di Fukushima, bekalan semi konduktor global yang terjejas dan juga kebakaran yang berlaku di kilang pembekal.

    Ini menyebabkan pendapatan operasi Toyota jatuh 2.2 trilion yen pada TK2021 dari 2.4 trilion pada TK2020. Dari segi pendapatan secara geografik pula, hanya Amerika Utara dan Asia mencatatkan peningkatan, manakala di Jepun, Eropah dan pasaran lain mencatatkan penurunan.

    Untuk tahun kewangan yang sedang berjalan (TK2022) yang akan berakhir pada 31 Mac 2022, syarikat tersebut menjangkakan jualan Toyota dan Lexus akan naik kepada 9.6 juta unit, atau 10.55 juta unit jika dikira sekali dengan Daihatsu dan Hino. Toyota juga mensasarkan pendapatan operasi mereka akan naik kepada 2.5 trilion yen.

     
     
  • HLYM panggil balik Tracer 900 GT untuk tukar suis

    HLYM panggil balik Tracer 900 GT untuk tukar suis

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengeluarkan notis panggilan balik bagi semua pemilik model Tracer 900 GT yang mempunyai nombor rangka antara PMYRN6110K0000101 hingga 0000620 dan PMYRN6110L0000621 hingga 0000900.

    Panggilan balik ini dibuat bagi menggantikan kit suis brek hadapan pada motosikal yang terlibat. HLYM tidak menyatakan apa masalah yang timbul tetapi pemilik masih boleh terus menunggang motosikal mereka seperti biasa sebelum ia ditukar.

    Notis akan dihantar kepada pemilik dan apabila sudah menerimanya, mereka boleh menghubungi pengedar rasmi Yamaha atau cawangan HLYM untuk membuat temu janji menukar alat ganti yang terlibat. Maklumat lanjut boleh diperolehi laman web Hong Leong Yamaha Motor atau aplikasi mudah alih Yamaha Motor Malaysia.

     
     
  • AD: Segarkan kereta anda dengan Shopee — beli dari kedai mikro rasmi, nikmati baucar rebat hingga RM100!

    AD: Segarkan kereta anda dengan Shopee — beli dari kedai mikro rasmi, nikmati baucar rebat hingga RM100!

    Kini, segala macam benda boleh dibeli secara dalam talian, termasuklah barisan produk yang akan menarik perhatian peminat kereta dan automotif. Untuk ini, anda boleh meneliti dan memiliki aksesori serta cenderahati rasmi sempena Festival Jenama Gaya Hidup di Shopee.

    Anda boleh menikmati baucar yang diberikan oleh Shopee serta jenama-jenama automotif terlibat — anda boleh memanfaatkan baucar Shopee tanpa had perbelajaan minimum, serta akan menerima pula cashback 50% dalam bentuk syiling Shopee bernilai sehingga 500 syiling. Anda juga boleh memilih dan menggunakan baucar daripada jenama automotif yang terlibat; sekali lagi, tanpa had minimum yang perlu dibelanjakan, serta menerima potongan 50% daripada jenama terlibat, dengan had RM5.

    Sebagai tambahan, anda boleh menghimpunkan kedua-dua baucar untuk digunakan pada masa yang sama bagi mendapat lebih penjimatan bagi pembelian di Shopee. Tidak ketinggalan, penghantaran juga adalah percuma.

    AD: Segarkan kereta anda dengan Shopee — beli dari kedai mikro rasmi, nikmati baucar rebat hingga RM100!

    Kempen ini juga melibatkan peraduan “Belanja dan Menang”. Asalkan anda membeli barangan yang tersenarai dalam laman kempen, anda akan layak secara automatik untuk menyertai peraduan tersebut dan berpaluang memenangi baucar rebat bernilai RM100, yang boleh digunakan tanpa sebarang belanja minimum diperlukan!

    Ada lagi — anda akan menikmati tawaran lebih hebat untuk pembelian berganda. Beli mana-mana dua barangan daripada senarai terpilih, dan anda akan menerima potongan sehingga 25% daripada harga biasa untuk jenama terpilih.

    Terdapat banyak jenama terlibat di dalam kempen ini. Bagi peminat Formula 1 dan MotoGP, cenderahati rasmi Petronas turut ditawarkan melalui pembelian minyak pelincir kenderaan Syntium dan Sprinta. Ingin lebih kepelbagaian? Senarai minyak pelincir enjin yang ditawarkan di Shopee juga turut disertai oleh produk rasmi dari Castrol Malaysia dan Caltex Malaysia.

    AD: Segarkan kereta anda dengan Shopee — beli dari kedai mikro rasmi, nikmati baucar rebat hingga RM100!

    Senarai jenama yang ikut serta juga menyaksikan penglibatan Bosch Autoparts Official Store yang menawarkan produk seperti pengecas bateri, pengilap cermin, penapis udara kabin serta palam pencucuh terkini. Turut ditawarkan ialah pakej pemasangan bateri oleh Bosch. Trapo Malaysia Official Store juga tidak ketinggalan, dengan produk pelapik kaki kereta hygienic untuk pelbagai jenama, dan disertai juga oleh barisan aksesori kereta Oxtra dan tidak lupa, produk-produk dari Brembo.

    Untuk meningkatkan penglihatan ketika memandu, barisan produk lampu dari PIAA, Osram Automotive dan Philips Automotive di dalam kedai rasmi mereka di Shopee juga boleh ditemui untuk pembelian. Untuk ubah suai penampilan kenderaan, Kakimotor Official Store juga ada banyak pilihan barangan.

    Terakhir sekali, untuk penjagaan penampilan kereta anda, barisan produk dari IGL Coatings, Soft99, Autoglym, Meguiar’s dan 3M Auto Care melalui kedai rasmi masing-masing di Shopee turut tersedia. Manjakan kereta anda dan teliti semua pilihan produk automotif yang ada daripada semua jenama ini di Shopee bermula 15 Mei hingga 17 Mei — jangan ketinggalan, jadi dapatkan peringatannya di sini, sekarang!

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace facelift diperkenal – rupa dan kelengkapan dipertingkat, enjin masih sama

    Volkswagen Tiguan Allspace facelift diperkenal – rupa dan kelengkapan dipertingkat, enjin masih sama

    Hampir satu tahun selepas Volkswagen Tiguan diberikan facelift, kini giliran model sama, versi lebih besar, iaitu Tiguan Allspace pula menerima peningkatan. Bahagian mekanikalnya masih sama tetapi penampilan dan teknologi dipertingkat seperti Tiguan biasa.

    Ini termasuklah keseluruhan bahagian hadapan yang direka semula, menampilkan lampu LED lebih nipis (boleh didapati dengan teknologi matriks IQ.Light) dan mempunyai ekor seperti Golf Mk8, serta gril yang lebih besar. Di bahagian gril itu juga anda akan nampak jalur lampu yang menyambungkan kedua-dua lampu utama, dan ini sebenarnya disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Bahagian bampar juga mendapat rekaan baru, dengan bahagian bucunya terdapat kemasan bukaan udara berbentuk C yang besar. Kemasan hiasan di bahagian fender telah dijadikan lebih nipis dan panjang, sementara di belakang pula terdapat lencana Tiguan baru di tengah, jalur pemantul cahaya sepanjang bampar serta kemasan bawah bampar dengan muncung ekzos hiasan. Lampu seperti dalam gambar adalah pilihan tambahan IQ.Light.

    Volkswagen Tiguan Allspace facelift diperkenal – rupa dan kelengkapan dipertingkat, enjin masih sama

    Seperti sebelumnya, anda boleh memilih pakej R-Line untuk Tiguan Allspace ini, di mana ia datang dengan kemasan krom serta hitam berkilat pada keliling bukaan udara di bampar, serta kemasan lengkuk roda dan diffuser belakang yang sama warna seperti badan. Pilihan rim yang diberi pula antara 17 inci hingga 20 inci.

    Di dalam, Tiguan Allspace mendapat panel jenis sensitif sentuhan untuk butang kawalan pada stereng serta pendingin hawa. Panel instrumen digital dengan skrin lapan inci diberikan secara standard sementara skrin sepuluh inci pula disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem infotainmen dalam kenderaan ini juga dinaik taraf dengan sistem Modular Infotainment Matrix (MIB3) generasi ketiga.

    Barangan lain yang boleh dipilih adalah seperti pengecas telefon tanpa wayar, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, lampu suasana 15 warna serta sistem bunyi premium sama ada daripada Fender ataupun Harman Kardon. Untuk aspek keselamatan, semua model datang dengan brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, pemerhati titik buta serta amaran trafik dari belakang.

    Pembeli kemudiannya boleh mendapatkan pakej IQ.Drive yang memberikan tambahan Adaptive Cruise Control dengan fungsi gerak dah henti, serta Lane Centring Assist yang memberikan pemanduan semi autonomous Level 2. Terdapat juga beberapa kelengkapan tambahan lain seperti lampu tinggi automatik, bantuan letak kereta dan pengenalan tanda jalan.

    Pilihan enjin masih sama seperti sebelumnya, di mana ia termasuk unit empat silinder petrol turbo 1.5 liter TSI 150 PS dan empat silinder 2.0 liter pacuan semua roda dengan kuasa 190 PS atau 245 PS. Unit yang digerakkan enjin diesel turbo 2.0 liter TDI ditawarkan dengan kuasa 150 PS atau 200 PS manakala pilihan kotak gear pula terdiri daripada manual enam kelajuan ataupun DSG tujuh kelajuan.

     
     
  • Geely jual 100k kenderaan pada April, naik 39%

    Geely jual 100k kenderaan pada April, naik 39%

    Geely Automobile Holding Limited telah mengumumkan jualan sebanyak 100,331 unit kenderaannya sepanjang bulan April 2021, termasuk dari jenama Lynk & Co.

    Walaupun angka ini 5% lebih rendah berbanding bulan sama pada tahun 2020, ia berada pada tahap yang sama dengan Mac 2021. Daripada jumlah lebih 100k jualan bagi April itu, 3,787 unit daripadanya merupakan kenderaan elektrifikasi dan tenaga baru. Jumlah eksport kumpulan syarikat itu juga meningkat hampir 96% bagi tempoh sama dari tahun lalu kepada 8,578 unit bulan lalu. Jualan Geely untuk pasaran di China pula ialah 91,753 unit, turun 9% bagi tempoh sama berbanding tahun sebelumnya.

    Bagaimanapun, jualan terkumpul bagi empat bulan pertama 2021 ialah 433,907 unit, peningkatan kira-kira 39% daripada tempoh sama tahun lalu. Ini bersamaan dengan 28% daripada sasaran setahun penuh bagi jualan 2021 yang ditetapkan sebanyak 1.53 juta unit.

    Segmen kenderaan SUV Geely mendominasi jualan; dengan 58,897 unit terjual sepanjang April, dan mendahului jualan sedan yang mencatatkan 41,115 unit terjual. Bagi MPV pula, hanya 319 unit terjual, sementara Lynk & Co menyumbang sebanyak 19,021 unit kenderaan — naik 87% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Pengeluar kenderaan yang berpusat di Hangzhou itu baru saja melancarkan varian Koi dan Blazing bagi SUV Icon keluarannya. Geely juga baru memperkenalkan SUV flagship jenama itu, Xingyue L sempena Shanghai Auto Show bulan lalu.

     
     
  • Mitsubishi sah hidupkan semula Ralliart! Kembali ke sukan bermotor dan penghasilan kelengkapan custom

    Mitsubishi sah hidupkan semula Ralliart! Kembali ke sukan bermotor dan penghasilan kelengkapan custom

    Ini berita gembira untuk peminat Mitsubishi, khususnya dalam dunia modifikasi dan juga sukan permotoran – jenama tiga berlian berkenaan kini mengesahkan bahawa divisi perlumbaan mereka, Mitsubishi Ralliart akan dihidupkan semula!

    Perkara ini disahkan ketika pengumuman pendapatan Mitsubishi untuk tahun kewangan 2020. Mitsubishi menyatakan mereka bakal menghidupkan kembali Ralliart selepas 11-tahun menyepi bagi mengembalikan apa yang disifatkan sebagai “Mitsubishi-ness driving.”

    “Untuk pelanggan yang mahukan pengalaman Mitsubishi-ness, kami akan melancarkan akseosori buatan custom untuk barisan model kami serta masuk semula dalam acara sukan permotoran di seluruh dunia,” kata CEO Mitsubishi, Takao Kato dalam laporan Forbes.

    Perincian lebih lanjut tentang rancangan berkenaan masih lagi belum dijelaskan buat masa sekarang. Namun menerusi slaid yang disiarkan, trak pikap Mitsubishi Triton adalah antara model yang akan menerima sentuhan Ralliart. Berberapa model baharu Mitsubishi juga mungkin akan menerima sentuhan yang sama, serta mungkin melibatkan teknologi elektrifikasi.

    Mitsubishi sah hidupkan semula Ralliart! Kembali ke sukan bermotor dan penghasilan kelengkapan custom

    Mitsubishi sudah pun berkecimpung dalam pelbagai kejohanan rali antarabangsa menerusi Lancer generasi pertama pada era 70’an. Ralliart kemudiannya ditubuhkan pada era 80’an untuk membawa cabaran Mitsubishi dalam kejohanan rali dunia (WRC).

    Mitsubishi Ralliart benar-benar menunjukkan taringnya pada era 90’an dan Y2K apabila berjaya menggondol 12 gelaran juara Rali Paris Dakar dengan SUV Pajero, serta membawa Tommi Makinen untuk mempertahankan takhta juara dunia WRC empat tahun berturut-turut dengan siri Lancer Evolution.

    Namun akibat masalah kewangan yang dihadapi, Mitsubishi terpaksa mengecilkan operasi mereka dari semasa ke semasa, termasuk terpaksa menarik diri dari WRC pada penghujung musim 2005, kemudian penutupan divisi Ralliart pada tahun 2010 di mana mereka menutup terus program perlumbaan pelanggan dan menghentikan penghasilan aksesori serta peralatan prestasi.

     
     
  • Restoran Jejantas Sungai Buloh kembali dibuka lepas tiga hari tutup akibat HIDE, kerja sanitasi selesai

    Restoran Jejantas Sungai Buloh kembali dibuka lepas tiga hari tutup akibat HIDE, kerja sanitasi selesai

    Restoran Jejantas Sungai Buloh menjadi antara lokasi yang tersenarai dalam Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dan terpaksa ditutup untuk kerja-kerja sanitasi sebelum ini. Namun, ia kembali dibuka hari ini — pada haria terakhir Ramadan — untuk memudahkan pengguna lebuhraya mendapatkan makanan; tetapi masih tiada perkhidmatan “dine-in”.

    PLUS memaklumkan kerja-kerja sanitasi lokasi berkenaan telah selesai. “PLUS juga akan bekerja sama dengan pihak berkuasa untuk memastikan semua premis di sepanjang lebuhraya tidak lagi disenaraikan dalam HIDE. Keselamatan dan keselesaan pengguna adalah keutamaan kami,” jelas pengendali konsesi lebuhraya itu, mengingatkan orang-ramai supaya menjaga SOP.

    Bermula hari ini, PKP 3.0 dikenakan di seluruh negara; tiada perjalanan rentas daerah atau rentas negeri dibenarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa. Selebihnya, setiap kenderaan hanya boleh membawa maksimum tiga orang penumpang termasuk pemandu, sementara bagi kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan tertakluk kepada kapasiti masing-masing.

     
     
  • Mercedes-Benz akan terus guna enjin pembakaran dalaman selagi boleh, tiada masa tetap untuk peralihan

    Mercedes-Benz akan terus guna enjin pembakaran dalaman selagi boleh, tiada masa tetap untuk peralihan

    Mercedes-Benz kini sedang giat memperkenalkan model-model elektrik untuk setiap segmennya iaitu siri EQ yang terdiri dari EQA, EQB, EQC, EQS dan EQV. Walau bagaimanapun, jenama automotif premium dari Jerman berkenaan menjelaskan mereka akan terus menghasilkan kereta dengan enjin pembakaran dalaman selagi ia masih mempunyai permintaan dalam pasaran.

    Perkara ini didedahkan CEO Daimler, Ola Källenius ketika acara tahunan Future of the Car Summit anjuran Financial Times, enjin pembakaran dalaman masih mempunyai tempat untuk masa hadapan Mercedes-Benz (buat masa sekarang), dan syarikatnya bersedia untuk melakukan peralihan sepenuhnya kepada teknologi elektrik bila tiba masa yang sesuai.

    “Dalam perjalanan ke emisi-sifar, kami akan tiba ke titik perubahan, di mana pemanduan elektrik menjadi pemanduan yang dominan, dan ketika itu anda akan kehilangan skala terhadap enjin pembakaran dalaman,” kata Källenius.

    Seperti yang dilaporkan oleh Autocar, Mercedes-Benz mungkin akan terus membangunkan enjin-enjin sedia ada untuk memenuhi piawaian undang-undang baharu Euro 7 yang digandingkan dengan elektrifikasi, berbanding melabur untuk menghasilkan barisan enjin petrol dan diesel baharu.

    Mercedes-Benz akan terus guna enjin pembakaran dalaman selagi boleh, tiada masa tetap untuk peralihan

    Tidak seperti jenama lain seperti Volvo dan juga Volkswagen, Mercedes-Benz tidak menetapkan bila mereka akan beralih sepenuhnya kepada kuasa elektrik, tetapi mempunyai sasaran untuk menghasilkan lebih 45 model elektrifikasi menjelang 2030.

    “Ini sebab mengapa kami tidak merancang untuk menetapkan satu titik [untuk peralihan penuh kepada elektrifikasi], tetapi apabila teknologi baru mengambil alih, anda akan tiba pada titik pada lengkung-S di mana pertumbuhan eksponen menjadi sangat cepat secara semula jadi,” jelas Källenius.

    “Apabila tiba pada titik berkenaan, kami akan bersedia, dan kami tidak teragak-agak dengan sebab-sebab nostalgik untuk beralih 100% kepada teknologi baharu,” tambahnya lagi.

    Mercedes-Benz akan terus guna enjin pembakaran dalaman selagi boleh, tiada masa tetap untuk peralihan

    Sebelum ini Daimler telah pun bersetuju untuk bekerjasama dengan Geely bagi membangunkan dan memproduksi enjin pembakaran dalam, sebagai sebahagian dari kerjasama antara kedua-dua pihak, jenama Smart Mercedes-Benz juga terlibat dalam kerjasama, dengan produk yang dirancang untuk pasaran global.

    “Dengan Geely, kami mempunyai kerjasama yang sangat baik. Projek-projek yang kami buat mempunyai rasional yang jelas: menang-menang. Jika kedua-dua pihak dapat menang dalam ekonomi, masa dan asas teknikal, kami akan lakukan,” kata Källenius.

    “Kesan berskala dengan melakukannya bersama adalah lebih bijak dari melakukannya sendiri, terutamanya dalam dekad transformasi apabila sebahagian dari jumlah telah beralih kepada elektrifikasi sahaja,” tambahnya lagi.

     
     
  • Ford F-150 Lightning – trak versi elektrik dengan kuasa serta tork melebihi semua F-150 yang ada sekarang

    Ford F-150 Lightning – trak versi elektrik dengan kuasa serta tork melebihi semua F-150 yang ada sekarang

    Biasanya, trak besar Ford F-150 dikuasakan oleh enjin V6 atau V8 tapi sekarang, Ford sedang membangunkan versi elektrik pula. Berita tentang perkara ini sudah diketahui sejak dua tahun lepas, namun kini Ford sudah memberikan ia nama, iaitu F-150 Lightning, dan tarikh pengenalannya adalah pada 19 Mei ini.

    Nama Lightning ini sebenarnya sudah pernah dipakai oleh Ford pada F-150 versi prestasi yang dibangunkan bersama Special Vehicle Team (SVT, atau sekarang dikenali sebagai Ford Performance), dan dipacu oleh enjin V8. Meskipun nama ini bakal digunakan pada versi elektrik, Ford memberitahu, ia akan terus mengujakan dan lebih pantas berbanding model sebelum ini.

    Malah, tetapan dua motor elektrik yang digunakan pada F-150 Lightning baru ini nanti dikatakan boleh menghasilkan kuasa serta tork lebih tinggi berbanding semua F-150 yang sedang dijual sekarang. Bermakna, ia dengan mudah boleh mengatasi jumlah 430 hp dan 773 Nm tork yang dihasilkan oleh versi berenjin hibrid V6 3.5 liter PowerBoost.

    Seperti yang boleh dijangka daripada model elektrik, trak ini juga boleh menghasilkan pecutan yang paling pantas dan kemampuan menarik paling tinggi bagi modelnya. Ia sebelum ini pernah ditunjukkan melalui versi prototaip yang menarik 10 gerabak yang mempunyai 42 unit F-150 di dalamnya (berat lebih 454,000 kg).

    Setakat ini yang dapat kita lihat melalui gambar teaser, F-150 Lightning akan mempunyai garis DRL LED berbentuk petak besar yang bersambung sepanjang lebar muka trak tersebut. Bahagian gril pula tertutup, dan terdapat lencana Lightning di bahagian tepi badannya.

     
     
  • Honda Dio tiba di Filipina – enjin 110 cc karburator, brek depan dan belakang jenis dram, harga RM4k

    Honda Dio tiba di Filipina – enjin 110 cc karburator, brek depan dan belakang jenis dram, harga RM4k

    Honda telah melancarkan sebuah model motosikal baru di Filipina, dipanggil sebagai Dio. Ia dikatakan sebagai versi dipertingkat bagi model yang popular di negara itu, tetapi ia mungkin tidak akan sampai di negara kita melihat kepada bentuk serta spesifikasinya.

    Dio digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 109 cc dengan sistem bahan api karburator, bersama gabungan transmisi automatik untuk menghasilkan kuasa 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.91 Nm tork pada 5,000 rpm. Untuk menghidupkan enjin ini, pemilik masih boleh menggunakan penghidup elektrik ataupun tendang.

    Pada harga 49,900 peso (RM4,297), Dio boleh dianggap sebagai sebuah skuter bajet, dan kelengkapannya juga sebegitu. Selain enjin yang masih menggunakan karburator, ia juga menggunakan brek jenis dram bukannya sahaja di belakang, tetapi juga di depan. Tetapan ini diletakkan pada rim bersaiz 10 inci.

    Apa yang lebih diketengahkan pada skuter ini adalah kemudahannya seperti ruang barangan 14.4 liter di bawah tempat duduk, tempat menyangkut barang di bawah bahagian pemegang dan bawah tempat duduk, tempat duduk lebar yang menjamin keselesaan, platform kaki luas, tangki bahan api 5.3 liter dan panel meter yang mudah dilihat.

    Secara keseluruhannya, Dio mencatat berat 104 kg dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 58.3 km/l (mengikut ujian yang dilakukan pada kelajuan sekata 40 km/j). Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu oren, merah dan biru.

     
     
  • Subaru Solterra diumumkan – SUV EV segmen-C yang bakal dilancarkan pada pertengahan tahun 2022

    Subaru Solterra diumumkan  – SUV EV segmen-C yang bakal dilancarkan pada pertengahan tahun 2022

    Subaru telah mengumumkan SUV elektrik sepenuhnya yang dipanggil Solterra, bakal dikeluarkan dan dijual mulai pertengahan tahun 2022. Ia dirancang bakal memasuki beberapa pasaran termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan China.

    Gabungan nama “sol” dan “terra” jika diterjemahkan membawa maksud “matahari” dan “bumi” dalam bahasa Latin. Menurut Subaru, ia membawa makna “hargai alam sekitar dan kehidupan di sekitarnya.”

    Sebelum ini ada laporan menyebut, SUV terbabit diposisikan di bawah segmen-C dan dibangunkan dengan platform khas untuk EV dengan kerjasama Toyota, yang dipanggil e-Subaru Global Platform atau pun ringkasnya, e-SGP. Sementara itu, pasaran Toyota pula menggunakan platform e-TNGA, dan digunakan untuk model bZ4X Concept.

    Subaru Solterra diumumkan  – SUV EV segmen-C yang bakal dilancarkan pada pertengahan tahun 2022

    Kerjasama itu memanfaatkan pengembangan sistem pacuan semua-roda Subaru dan teknologi elektrifikasi Toyota, dan platform modular dapat digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan selain SUV, termasuk sedan dan minivan.

    Buat masa ini, tiada perincian lanjut termasuk mengenai penjana kuasa, yang dikongsikan, tetapi kita dapat lihat teaser rupa Solterra. Walau pun tidak begitu jelas diperlihatkan, namun kelihatan lampu utama bersudut yang ditempatkan sedikit tinggi, bersama torehan menegak pada bampar hadapan dan juga tiang-C yang menyerlah.

     
     
  • Kaunter JPJ seluruh negara ditutup dari 12-16 Mei

    Kaunter JPJ seluruh negara ditutup dari 12-16 Mei

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan yang semua kaunternya di seluruh negara akan ditutup bermula 1 pm esok (12 Mei) hingga 16 Mei 2021. Ini sempena cuti Hari Raya. Kaunter akan dibuka semula Isnin minggu depan, 17 Mei.

    Selain itu, tawaran JPJ untuk diskaun 70% bagi saman juga masih sah, dan akan berlanjutan hingga 11 Jun 2021. Diumumkan bulan lalu sempena ulang tahun ke-75 jabatan itu, diskaun berkenaan adalah bagi saman kompaun dan bukan bagi kes yang telah dibawa naik mahkamah.

    Potongan 70% itu sah bagi semua saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), termasuk kes disenarai hitam. Bagi kes senarai hitam ini, pelaku perlu hadir sendiri ke pejabat JPJ bagi proces dokumentasi semula, sebelum bayaran boleh dibuat.

    Tawaran ini juga dilanjutkan kepada saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih sah, sekiranya bayarannya dibuat dalam tempoh tawaran tersebut. JPJ memaklumkan, tawaran ini bertujuan mengurangkan beban rakyat, yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025