Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Aruz dilancarkan di Singapura, RM286,409!

    Perodua Aruz dilancarkan di Singapura, RM286,409!

    Selepas dua tahun diperkenalkan, kini MPV tujuh tempat duduk dengan gaya SUV Perodua Aruz mula tembusi pasaran seberang tambak Johor, Singapura. Di Republik tersebut, Aruz hanya ditawarkan dalam varian 1.5X, dijual pada harga SGD92,999 (RM286,409), termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan juga sijil kelayakan memiliki (COE).

    Jadi, model pasaran Singapura ini adalah setara dengan varian asas Aruz di Malaysia yang tampil tanpa lampu kabus hadapan, rel bumbung serta skid plate dalam kemasan perak pada sebelah luar, serta ciri keselamatan ASA 2.0.

    Perincian standard yang diberikan pada Perodua Aruz 1.5X pasaran Singpura ini adalah sama dengan model pasaran tempatan termasuk lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infotainment skrin sesentuh dengan paparan kamera undur.

    Selain itu, ia juga menerima barisan tempat duduk kedua yang dibahagi 60:40 serta barisan ketiga yang dibahagi 50:50 boleh dilaras, dilipat dan digolek untuk menghasilkan pelbagai konfigurasi. Manakala untuk keselamatan pula, Aruz di Singapura menerima Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), cagak tempat duduk ISOFIX dan enam beg udara.

    Perodua Aruz dilancarkan di Singapura, RM286,409!

    Juga tiada perubahan dari segi kelengkapan mekanikal pada Aruz ini, dengan dijana enjin 1.5 liter Dual DVVT menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada 4,200 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan bagi memacu roda belakang.

    Empat warna badan ditawarkan pada Aruz bagi pasaran Singapura ini iaitu Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White.

    “Aruz merupakan kenderaan tujuh-tempat duduk pertama yang ditawarkan oleh Perodua di Singapura,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    “Dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan SUV terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020.

    “Kami berbesar hati dapat berkongsi kelebihan Aruz – antaranya ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api – dengan jiran selatan kita,” tambah beliau.

    Perodua Aruz dijual oleh Perocom Auto Pte Ltd yang juga pengedar sah tunggal Perodua di Singapura sejak 1997, yang turut pernah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama dan ketiga, Viva, Axia dan Bezza di sana.

    Selain Singapura, Perodua juga mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia (di mana Myvi dijual sebagai Daihatsu Sirion).

     
     
  • Honda bakal tunjuk prototaip EV, PHEV di Shanghai

    Honda bakal tunjuk prototaip EV, PHEV di Shanghai

    Honda telah mengumumkan senarai kenderaan yang akan dipamerkan ketika Auto Shanghai 2021, dan akan turut melibatkan rekaan baru. Pameran ini akan berlangsung secara langsung, seperti sebelum pandemik dahulu. China telah berupaya membendung Covid-19, dan untuk itu pameran Shanghai berkenaan akan mula dibuka pada 19 April minggu depan.

    Pengeluar kenderaan Jepun itu memaklumkan ruang pamerannya nanti akan membuat pengenalan sulung bagi sebuah model prototaip kenderaan elektrik jenama Honda di China, serta pengenalan global bagi model plug-in hibrid baru.

    Belum ada perincian lanjut, tetapi Honda melabelkannya prototaip, itu biasanya bermakna sebuah versi maju bagi model akan datang, dan tidak akan jauh berbeza dengan apa yang bakal dibangunkan nanti. Adakah prototaip EV ini merupakan lanjutan kepada SUV e:concept yang pernah ditunjukkan di Beijing pada September 2020?

    Honda bakal tunjuk prototaip EV, PHEV di Shanghai

    Ketika itu, Honda menyatakan SUV e:concept berkenaan akan dikeluarkan untuk massa dalam waktu terdekat, walaupun tidak mendedahkan spesifikasi atau sistem janaan kuasa. Ruang dalaman bagi SUV konsep berkenaan telah direka oleh pasukan pereka muda Honda China, dan menampilkan rekaan stereng petak serta skrin sentuh portrait dengan konsol terapung.

    Selain prototaip EV dan PHEV baru yang masih dirahsiakan ini, Honda juga melalui dua rakan tempatannya, GAC Honda dan Dongfeng Honda akan turut mempamerakan seluruh barisan kenderaan elektrifikasi kedua-dua jenama itu. Akan ada juga reruai teknologi yang akan mempamerkan sistem Honda Connect generasi ketiga serta sistem keselamatan ADAS dan bantuan pemandu syarikat itu.

    Ketika pameran di Beijing, Honda memaklumkan sistem ADAS mereka menawarka pengesanan yang dipertingkat, prestasi ramalan dan membuat keputusan, dengan perkakasan baru untuk membolehkan penambahbaikan ini. Ini termasuk sudut kamera depan yang lebih lebar dan penggunaan radar 360-darjah, membolehkan sistem untuk mengesan persekitaran kenderaan dengan lebih tepat.

     
     
  • Yamaha bangunkan motor elektrik untuk Hypercar EV – mampu capai 476 hp, hasilkan bunyi mengujakan

    Yamaha bangunkan motor elektrik untuk Hypercar EV – mampu capai 476 hp, hasilkan bunyi mengujakan

    Yamaha Motor Co. Ltd telah mengumumkan bahawa mereka telah membangunkan motor elektrik khas untuk digunakan pada kereta elektrik hyper yang menawarkan ketumpatan tenaga yang mencapai kelas tertinggi dalam industri, dan ia sudah boleh ditempah bermula bulan ini.

    Menurut Yamaha, mereka sudah pun menerima permintaan untuk membangunkan prototaip motor elektrik sejak 2020, untuk kegunaan automobil serta aplikasi mobiliti lain yang menghasilkan kuasa 35-200 kW (47-268 hp). Walau bagaimanapun, syarikat berkenaan menyatakan mereka turut membangunkan sekali unit motor elektrik yang mampu menghasilkan 350 kW (476 hp) dengan voltan operasi 800V.

    Motor elektrik berkuasa tinggi berkenaan disasarkan untuk kegunaan hypercar elektrik sepenuhnya serta aplikasi output tinggi yang lain. Yamaha turut menyatakan bahawa unit rangkaian kuasa baharu ini menampilkan struktur yang kompak menggabungkan komponen mekanikal dan elektrikal sebagai satu entiti dengan menampilkan inverter dan gear bersepadu.

    Bukan itu sahaja, motor elektrik berkenaan juga dihasilkan bagi membolehkan ia diletakkan dalam jumlah lebih dari satu unit pada sebuah kereta. Selain kuasa, Yamaha juga menala motor elektrik ini agar menghasilkan bunyi yang mengujakan ketika dipandu, dan menggelarkannya sebagai ‘Emotional Motor’.

    Yamaha merancang untuk membawa motor elektrik ini untuk dipamerkan di Automotive Engineering Exposition 2021 yang akan berlangsung di Yokohama pada 26 hingga 28 Mei ini.

    Ini bukan kali pertama Yamaha terlibat dalam pembangunan unit rangkaian kuasa automobil. Syarikat yang terkenal dengan penghasilan motorsikal berkenaan sebenarnya adalah entiti yang membangunkan kepala silinder Twin Cam jenis ‘G’ Toyota, digunakan pada model-model berpretasi tinggi seperti Celica, Supra, Levin dan Trueno serta pelbagai model Lexus termasuk supercar LFA.

     
     
  • Sime Darby Auto Selection perkenalkan program waranti lanjutan baharu untuk kenderaan pra-milik

    Sime Darby Auto Selection perkenalkan program waranti lanjutan baharu untuk kenderaan pra-milik

    Sime Darby Auto Selection (SDAS), dengan kerjasama Guard My Ride (GMR) dan RHB Insurance, telah memperkenalkan program waranti lanjutan baharu untuk kenderaan pra-milik. Kenderaan di bawah perbatuan 140,000 km dan kurang daripada lapan tahun layak untuk menyertai program ini, di mana ia ditawarkan untuk pelanggan yang membeli kenderaan pra-milik dari SDAS.

    Program baharu ini menawarkan liputan waranti komprehensif termasuk penyelenggaraan dan pembaikian untuk beberapa komponen seperti yang disenarai di bawah:

    • Sistem enjin
    • Gandar hadapan/belakang
    • Sistem elektronik
    • Kebocoran minyak transmisi
    • Sistem stereng
    • Sistem turbo
    • Sistem brek
    • Sistem pendingin hawa
    • Sistem penyejukan
    • Sistem pencucuhan
    • Sistem bahan api
    • Sistem transmisi

    Sime Darby Auto Selection perkenalkan program waranti lanjutan baharu untuk kenderaan pra-milik

    Prorgam waranti lanjutan, yang berharga antara RM2,200 dan RM6,900 setahun ini bergantung pada usia dan jenis kenderaan, turut menawarkan perkhidmatan penundaan percuma ke bengkel panel di seluruh negara untuk pembaikian dan penyelenggaraan, serta pelindungan insurans dan insurance underwriting.

    Kerjasama ini juga menyaksikan GMR sebagai pembekal perkhidmatan untuk semua tuntutan waranti lanjutan, perkhidmatan penundaan dan kerja-kerja pembaikian, sementara RHB Insurance pula sebagai pembekal insurance underwriter dan insurans motor. Program ini boleh dibeli dari SDAS Glenmarie. Untuk info selanjutnya, sila layari laman web SDAS.

     
     
  • JPJ tawar diskaun saman 70% hingga 11 Jun 2021

    JPJ tawar diskaun saman 70% hingga 11 Jun 2021

    Sempena dengan ulang tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ke 75, sebanyak 70% diskaun saman yang boleh dikompaun telah ditawarkan untuk pesalah trafik. Walau bagaimana pun, ini tidak termasuk dengan kes yang dibawa ke mahkamah. Tawaran tersebut mulai hari ini, 13 April hingga 11 Jun 2021.

    Pengurangan 70% bagi semua saman yang dikeluarkan di bawah Akta Pengangkuta Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam. Untuk mereka yang mempunyai kes senarai hitam, pesalah haruslah pergi sendiri ke cawangan JPJ berhampiran untuk proses pendokumentasian semula, sebelum pembayaran saman boleh dibuat.

    Tawaran ini juga untuk semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu 60 hari. JPJ turut berkata tawaran ini adalah bagi mengurangkan beban kewangan rakyat, terutamanya yang terjejas disebabkan masalah ekonomi ekoran pandemik COVID-19.

    Semua saman JPJ ini boleh dibayar di pejabat dan cawangan JPJ, cawangan UTC, kios dan juga secara dalam talian.

     
     
  • Karamjit Singh sasar untuk kembali ke APRC, pandu Proton Iriz R5 dengan Cisco Racing bermula 2022

    Karamjit Singh sasar untuk kembali ke APRC, pandu Proton Iriz R5 dengan Cisco Racing bermula 2022

    Siang tadi lagenda rali negara, Karamjit Singh telah mengesahkan penyertaannya dalam Kejohanan Rali Kebangsaan Malaysia (MNRC) untuk musim 2021 yang disokong oleh pasukan Cisco Racing. Sekarang tempat dan pasukan untuk berlumba dalam negara telah pun selamat diterima oleh Karamjit, tetapi bagaimana pula misinya untuk kembali semula ke kancah antarabangsa khususnya bagi memburu sekurang-kurangnya satu lagi gelaran Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) dengan Proton Iriz R5?

    Sebelum ini kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sudahpun menyatakan sokongan mereka bagi membantu Karamjit mencari dana tajaan berjumlah RM3 juta untuk misi berkenaan, namun menurut Karam kementerian tersebut masih lagi berusaha mencari jalan tetapi masih lagi belum mendapat berita baik walaupun kedua-dua pihak sentiasa berhubung.

    Walau bagaimanapun, Karamjit Singh tidak akan berdiam diri dan sekadar menunggu ‘bantuan dari langit’ kerana beliau sekarang bersama dengan Cisco Racing akan memulakan sendiri kempen berkenaan.

    Karamjit Singh sasar untuk kembali ke APRC, pandu Proton Iriz R5 dengan Cisco Racing bermula 2022

    Menurut Pengarah Urusan Cisco, Rabin Nijhar, pasukan Cisco Racing yang ditubuhkannya bukan sahaja bagi mengembalikan kedudukan Karamjit sebagai Juara Rali Malaysia, malah beliau akan cuba untuk membantu membawa Karamjit Singh sejauh yang boleh dengan tiga peringkat yang telah dirancang.

    Mengikut perancangan awal Cisco Racing, halatuju sebenar mereka bersama Karam akan ditentukan pada pusingan pertama MNRC 2021 yang akan bermula pada 26 Jun nanti di Sepang. Pada peringkat pertama ini mereka mahu melihat dahulu keputusan perlumbaan pertama berkenaan.

    Selepas berakhirnya pusingan pertama di Sepang nanti, Rabin menyatakan mereka akan membuat penilaian sama ada Karamjit Singh dan Cisco Racing masih relevan atau tidak untuk terus berlumba. Jika keputusan pada perlumbaan pertama memberangsangkan – sama ada menang atau hampir menang, Cisco Racing akan mula masuk ke rancangan ke peringkat kedua mereka iaitu cuba untuk memenangi gelaran juara keseluruhan MNRC 2021.

    Karamjit Singh sasar untuk kembali ke APRC, pandu Proton Iriz R5 dengan Cisco Racing bermula 2022

    Karamjit Singh bersama koleksi piala yang dimenanginya sepanjang bergelar pemandu rali

    Menurut Rabin lagi, sekiranya misi berkenaan juga berjaya di capai dengan Karamjit berjaya merangkul gelaran juara nasional di Malaysia untuk kali ke-17, ia bermaksud Karamjit dan Cisco Racing sememangnya sangat relevan dalam rali.

    Jadi pada peringkat itu, Cisco Racing akan menubuhkan satu asas bagi meminta bantuan dari pihak-pihak yang lebih besar, yang lebih berpengalaman dan juga yang mempunyai lebih banyak dana kerana mereka tahu Cisco Racing masih baru dalam dunia rali ini.

    Dan apabila semuanya sudah cukup, Cisco Racing akan melangkah ke peringkat antarabangsa bersama Karam iaitu ke APRC. Rabin turut memberitahu bahawa jika semua ini berjalan mengikut perancangan, Cisco Racing dan Karamjit Singh bakal menerima Proton Iriz R5 mereka pada Februari atau Mac tahun hadapan.

    Karamjit Singh sasar untuk kembali ke APRC, pandu Proton Iriz R5 dengan Cisco Racing bermula 2022

    Namun menurut Rabin, untuk mereka yang berminat dan bekerjasama dengan Cisco Racing untuk terlibat dengan projek ini, ‘buku tajaan’ bukan hanya akan dibuka setelah mereka berjaya mencapai sasaran misi pertama dan kedua, sebaliknya peluang berkenaan akan dibuka seawal esok.

    Proton Iriz R5 merupakan jentera rali yang dibina oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM), iaitu firma kejuruteraan dari UK yang turut bertanggungjawab membawa Karamjit Singh memenangi gelaran Juara Dunia Kejuaraan Rali Dunia (WRC) untuk kategori Produksi (Group N) dengan Proton PERT Evo VI pada tahun 2002. MEM adalah pihak yang bertanggungjawab membangunkan jentera rali Proton Satria Neo S2000.

    Menerusi temu bual eksklusif bersama pasukan MEM, Chris Mellors pada penghujung 2019, kami dapat menyelami banyak perkara berkenaan Proton Iriz R5 berkenaan yang boleh anda baca menerusi artikel-artikel di bawah:

  • Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!
  • Proton Iriz R5 – kenapa guna enjin 4B11T Evolution X?
  • Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?
  • Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!
  • GALERI: Proton Iriz R5

     
     
  • Honda 1 Million Dreams – Tiga pemenang diumumkan dengan kerjasama Cuckoo, Shopee dan Watsons

    Honda 1 Million Dreams – Tiga pemenang diumumkan dengan kerjasama Cuckoo, Shopee dan Watsons

    Honda Malaysia telah mengumumkan tiga lagi pemenang bagi kempen 1 Million Dreams, dan kali ini dengan rakan kerjasamanya iaitu CUCKOO, Shopee dan Watsons.

    Pemenang yang bertuah ialah Megawati Affendi yang memenangi Honda City selepas mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan oleh CUCKOO. Manakala bagi aktiviti yang dijalankan oleh Shopee pula, ia dimenangi oleh Muhammed Faisal Adnan yang berjaya membawa pulang HR-V. Manakala individu yang berjaya memenangi BR-V hasil aktiviti yang dianjurkan oleh Watsons pula ialah Mohd Aisamuddin Mohd Azilah.

    Menurut CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Madoka Chujo yang baru sahaja menerajui kepimpinan syarikat ini sejak 1 April lalu, “Bulan lalu, Honda Malaysia telah mencapai satu juta unit jualan, dan kami mahu meraikannya bersama semua rakyat Malaysia. Sebelum ini, model Edisi Istimewa 1 Million telah pun diserahkan kepada empat orang pemilik bertuah. Dan hari ini, tiga lagi pemenang iaitu dengan kerjasama rakan jenama lain diumumkan.

    Honda 1 Million Dreams – Tiga pemenang diumumkan dengan kerjasama Cuckoo, Shopee dan Watsons

    “Untuk semua rakyat Malaysia, pelanggan Honda, rakan media dan rakan jenama, terima kasih di atas sokongan anda dan juga menjadi sebahagian daripada pencapaian ini.”

    Honda Malaysia telah menerima lebih 155,600 penyertaan sejak kempen tersebut bermula pada Februari lalu. Menerusi kempen ini, sebanyak tujuh model menawarkan unit edisi istimewa masing-masing iaitu Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V.

    Keistimewaan yang ditampilkan ialah semua unit ini menggunakan warna putih berkilau dengan kemasan hitam dan merah sebagai perinciannya. Ini juga merupakan kerja mengecat berkualiti tinggi — termasuk bahagian bumbung hitam — dan bukannya sekadar menggunakan pelekat.

     
     
  • PKPB di Selangor, KL, Johor, Penang, Kelantan dilanjutkan hingga 28 April, Sarawak hingga 26 April

    PKPB di Selangor, KL, Johor, Penang, Kelantan dilanjutkan hingga 28 April, Sarawak hingga 26 April

    Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Penang, Kelantan dan Sarawak telah pun diumumkan oleh kerajaan sebentar tadi. Di mana PKPB telah dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi negeri-negeri terbabit, kecuali Sarawak yang dinyatakan hingga 26 April 2021.

    Sementara itu, negeri yang diletakkan di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula masih kekal hingga 28 April 2021. Ini termasuk Sabah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka, Perlis, Putrajaya, Labuan, Kedah dan Negeri Sembilan.

    Walau bagaimana pun, terdapat beberapa daerah yang akan diletakkan di bawah kawalan pergerakan berbeza. Untuk Sabah, daerah yang terlibat iaitu Lahad Datu, Tawau dan Keningau diletakkan di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sementara, Kuala Muda di Kedah, dan Seremban di Negeri Sembilan diletakkan di bawah PKPB.

    Seperti sebelum ini, semua pergerakan merentas negeri tanpa permit kebenaran adalah masih tidak dibenarkan, kecuali untuk pergerakan pelancongan di bawah lokaliti PKPP, namun perlulah dengan agensi pelancongan berdaftar di bawah kementerian pelancongan, kesenian dan kebudayaan (MOTAC).

     
     
  • Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

    Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

    Cisco Security Academy hari ini secara rasmi mengumumkan pasukan lumba baharu mereka iaitu Cisco Racing bakal berlumba dalam musim pertama Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC 2021) yang bakal bermula Jun ini, serta menampilkan lagenda rali negara, Karamjit Singh sebagai pemandu utama.

    Ini pastinya satu perkembangan yang sangat positif selepas berita yang tak ingin kita dengar pada akhir tahun lalu berkenaan juara dunia WRC Group N 2002 berkenaan yang terpaksa menjual Proton Waja kegunaan hariannya bagi kelangsungan hidup untuk membeli Proton Saga baharu, supaya boleh digunakan sebagai kenderaan perkhidmatan e-hailing.

    Menurut Pengarah Urusan Cisco, Rabin Nijhar, pasukan ini ditubuhkan bagi mengembalikan kedudukan Karamjit sebagai Juara Rali Malaysia – beliau sendiri telah menghubungi Karamjit selepas mendengar berita yang tular disiarkan oleh media tahun lalu tersebut.

    Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

    “Selepas tahun 2020, saya mencari peluang yang terbaik bagi Karamjit selepas mendengar kisahnya. Cisco juga berada dalam kedudukan yang serba unik untuk membantu beliau. Oleh kerana Pandemik Covid-19, Malaysia perlu sebuah cerita kebangkitan semula seorang Juara Rali, dan saya percaya bahawa cerita Karamjit Singh adalah cerita yang perlu didengari oleh seluruh rakyat Malaysia. Kami sangat gembira dan teruja untuk menyatukan Malaysia bersama-sama untuk menyokong ikon negara yang sejati,” kata Nijhar.

    “Saya sangat bersemangat untuk berlumba semula, ianya sudah menjadi tugas saya selama hampir tiga puluh tahun. Saya memandu secara profesional sejak tahun 1988, hingga baru-baru ini di mana saya menghadapi masalah untuk mencari penaja. Tetapi hakikatnya, saya tidak dapat hidup tanpa bertanding di litar rali. Ini adalah semangat saya dan saya hanya mahu fokus dan bekerja keras sebanyak mungkin kerana saya benar-benar menantikan acara ini untuk kembali ikut rentak prelumbaan rali saya. Saya sangat rindu untuk berlumba semula,” kata Karamjit Singh.

    Untuk kejohanan MNRC musim ini, Karam akan dibantu oleh juruarah yang sangat berpengalaman dan sudah bersamanya sejak sekian lama sama ada untuk rali tempatan atau antarabangsa iaitu Jagdev Singh.

    Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

    “Saya sangat gembira kerana dapat kembali ke dunia permotoran rali dan juga dapat bekerjasama dengan Karam. Saya sangat berterima kasih kepada pihak Cisco kerana memberi kami peluang untuk kembali ke persaingan permotoran rali. Karam dan saya telah bekerja bersama sejak tahun 1997, mewakili Proton dan Malaysia di dalam Rali Asia Pasifik China. Sejak itu kami telah bersaing dalam perlumbaan rali bersama-sama di dalam dan luar negara, memenangi hampir setiap acara yang kami sertai. Saya pasti menantikan acara pertama pada bulan Jun dan akan berusaha 100 peratus untuk mendapatkan kemenangan untuk kami!” ujar Jagdev Singh.

    Karamjit bakal mengemudi Proton Gen2 2.0L Turbo 4WD yang telah digunakan sejak 2017. Walaupun ia sebuah jentera lama, Gen2 berkenaan bukanlah kereta sebarangan. Jentera ini sebenarnya telah dihasilkan oleh Proton sendiri pada tahun 2007 sebagai rakan teknikal kepada Felda Rally Team.

    Pasukan rali Felda tersebut diketuai oleh Brain Palmer (individu yang bertanggungjawab membina banyak jentera rali Proton termasuk Satria 1.6 Group A yang telah menyertai WRC Safari Rally 1997 serta menjadi juara untuk kategori Formula 2WD/A6), dan Gen2 berkenaan telah disumbat dengan enjin 4G63T bersama sistem pacuan semua roda dari Mitsubishi Lancer Evo VI, bagi digunakan oleh seorang lagi bintang rali negara yang pernah menyinar satu ketika dulu iaitu Saladin Mazlan bersama juruarahnya, Arish Qutb.

    Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

    Tahun ini juga sebenarnya adalah tahun kebangkitan semula perlumbaan rali dalam negara, selepas Kejahonan Rali Malaysia (MRC) tidak lagi dianjurkan dan ditamatkan pada penghujung musim 2018. MNRC yang akan berlangsung kali ini merupakan kejohanan nasional tertinggi di Malaysia buat masa sekarang.

    MNRC 2021 sepatutnya berlangsung dalam lima pusingan tahun ini, bermula pada bulan April. Walau bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19, pusingan pertama telah pun dibatalkan dan pelumba bakal mengharungi cabaran musim ini hanya dalam empat pusingan, dengan pusingan pertama akan berlangsung pada 26 hingga 27 Jun di Sepang.

     
     
  • Sime Darby Motors City dilancarkan secara rasmi – kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara

    Sime Darby Motors City dilancarkan secara rasmi – kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara

    Sime Darby Motors telah pun melancarkan Sime Darby Motors City, berlokasi di Ara Damansara, Selangor, yang disasarkan untuk menjadi pusat automotif terunggul di Malaysia. Ia melibatkan pelaburan sebanyak RM570 juta untuk membangunkan Sime Darby Motors City ini.

    Merupakan kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara dengan ruang-ruang pameran terbesar untuk jenama-jenama kenderaan terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, Sime Darby Motors City ini mempunyai bangunan lapan tingkat dengan luas keseluruhan 1.3 juta kaki persegi yang dibangunkan di atas kawasan seluas 8.6 ekar.

    Sime Darby Motors City menempatkan enam pusat jualan utama yang menampilkan sepuluh jenama perdana di Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Motors. Jenama-jenama tersebut terdiri daripada BMW, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, MINI, Motorrad, Porsche dan Volvo. Ia juga mempunyai fasiliti di dalam bangunan yang mampu menyimpan hampir 100 unit kenderaan terpakai, khusus untuk Sime Darby Auto Selection.

    Fasiliti yang menyepadukan teknologi terkini bagi mempertingkatkan pengalaman para pelanggan di segenap ruang ini mampu memuatkan hampir 200 petak servis, lebih kurang 700 petak parkir untuk pelanggan dan petak mengecas kenderaan elektrik (EV) dan boleh mempamerkan lebih 180 unit kenderaan.

    Sime Darby Motors City dilancarkan secara rasmi – kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara

    “Sebagai salah satu pemain utama dalam industri automotif, Sime Darby Motors sentiasa komited untuk mengejar kecemerlangan di mana kami berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada para pelanggan kami. Pelancaran Sime Darby Motors City merupakan bukti terhadap komitmen kami yang teguh,” kata Andrew Basham, Pengarah Urusan Sime Darby Motors.

    Sime Darby Motors City merupakan fasiliti automotif pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Internet Benda (IoT) yang mampu meningkatkan keupayaan servis, dan menggalakkan peningkatan Sime Darby Motors dengan menambah kecekapan dalam memberikan khidmat terbaik kepada para pelanggan.

    Tumpuan infrastruktur digital di fasiliti ini ialah sistem Pengurusan Pengesanan Kenderaan yang menggunakan kamera untuk panduan parkir bagi memastikan panduan, keselamatan dan keselesaan yang terbaik untuk para pelanggan. Ini membolehkan pengambilan kenderaan selepas selesai servis lebih lancar. Infrastuktur digital fasiliti ini juga menyatakan status setiap kenderaan dalam masa nyata bagi memastikan lebih kecekapan dicapai.

    Kamera Pengecaman Nombor Plat Automatik yang dikuasakan secara IoT turut disepadukan dalam sistem daftar kendiri tanpa sentuhan, membolehkan maklumat janji temu para pelanggan terus diakses sebaik sahaja mereka tiba. Serentak dengan itu, perunding servis akan diberitahu dan kemudiannya akan ditugaskan secara automatik untuk mengendalikan pelanggan tersebut dalam satu proses yang lancar. Aturan teknologi ini akan dilaksanakan secara progresif di seluruh Pusat Automotif Sime Darby.

    Apabila berada di ruang pameran, para pelanggan boleh memilih untuk membuat daftar kendiri tanpa sentuhan menggunakan sistem QR code. Seterusnya ia akan menempatkan pelanggan menurut giliran menunggunya secara automatik tanpa perlu proses-proses remeh seperti mengambil tiket nombor giliran. Sistem daftar masuk ini akan diperkenalkan di kesemua ruang pameran yang berada di Sime Darby Motors City.

    Fasiliti ini turut menempatkan Sime Darby Swedish Auto, rakan perniagaan Sime Darby Motors yang terbaharu dalam mengunggulkan jenama Volvo Cars di Malaysia. Ruang pameran Volvo di Sime Darby Motors City adalah ruang pameran 3S pertama di Asia Tenggara yang dilengkapi dengan Studio Realiti Maya.

    Sime Darby Motors City dilancarkan secara rasmi – kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara

    “Kami begitu teruja untuk terus meneroka solusi perniagaan automotif baharu serta peluang berpotensi bersama rakan-rakan perniagaan kami. Melalui Sime Darby Motors City, kami komited untuk memainkan peranan penting dalam memajukan perkembangan sektor automotif di rantau ini di samping menyumbang terhadap kemajuan ekonomi Malaysia,” tambah Basham.

    Sime Darby Motors City juga mengalu-alukan rakan perniagaan daripada kolaborasi mobiliti, SOCAR, iaitu rangkaian perkongsian kereta utama Malaysia, dan myTukar, platform perniagaan kenderaan terpakai secara dalam talian yang kian meningkat di Malaysia. Kompleks ini akan menyediakan kawasan parkir bagi kenderaan SOCAR – sesuai untuk pelanggan untuk menghantar kenderaan mereka untuk diservis, dan akan ada juga pusat pameran bagi kenderaan tukar-beli myTukar, kolaborasi bersama Sime Darby Auto Selection.

    Selain itu, Sime Darby Motors City telah direka agar bersedia untuk masa hadapan. Ia dilengkapi dengan juruteknik EV yang terlatih dan berkelayakan. Ruangan khusus bagi mengecas EV, penyimpanan dan penyelenggaraan disediakan di Auto Bavaria, Auto Hyundai, Auto Performance dan Swedish Auto.

    Sime Darby Motors City dilancarkan secara rasmi – kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara

    Sime Darby Auto Performance turut mempelopori dimensi baharu dalam fasiliti mengecas EV dengan pengecas Arus Terus (DC) berprestasi tinggi yang pertama di Malaysia, yang telah mula beroperasi pada September 2020 di ruang pameran Porsche. Ia mampu menghasilkan cas maksimum 175 kWh dan berupaya untuk memberikan kadar cas-hampir-penuh (near-full charge) dalam masa 36 minit sahaja – sekurang-kurangnya lapan kali lebih pantas dari pengecas Arus Ulang-Alik (AC) pada kuasa maksimum 22kWh.

    Selain itu, fasiliti ini dibina dengan kelayakan Green Building Index (GBI) untuk kelestarian persekitaran dan menggabungkan teknologi untuk memupuk budaya tanpa kertas dalam organisasi.

    Sempena sambutan pelancaran, Sime Darby Motors City menganjurkan Pelancaran Hujung Minggu Mega (Grand Launch Weekend) yang akan berlangsung bermula 16 hingga 18 April 2021 di enam ruang pameran utama. Para pelanggan yang berminat digalakkan untuk menempah janji temu, sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 bagi kawalan kumpulan dan penjarakan fizikal.

     
     
  • Porsche 911 Turbo S tiba di Malaysia – harga RM2.2 juta, kuasa 650 PS, tork 800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat

    Porsche 911 Turbo S tiba di Malaysia – harga RM2.2 juta, kuasa 650 PS, tork 800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat

    Pengedar Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan model 992 paling berkuasa untuk pasaran, iaitu 911 Turbo S baru. Harga yang ditetapkan untuk model ini adalah RM2,235,463, tidak termasuk insurans, tetapi sudah dimasukkan sekali dengan pengecualian cukai SST 50% yang diberi oleh kerajaan sehingga 30 Jun.

    Enjin enam silinder 3.7 liter yang terletak di belakang model ini telah dinaik taraf dengan dua pengecas turbo variable geometry yang lebih besar, wastegate elektronik serta injector piezo yang dikatakan dapat meningkatkan kadar respon enjin tersebut dan mengurangkan emisi.

    Sistem intake juga telah diubah, dengan kini mendapat angin daripada bukaan di bahagian tepi (sebelum ini digunakan untuk intercooler), dan ditambah dengan gril belakang yang meningkatkan lagi kecekapannya. Bagi memberi ruang kepada saluran udara baru ini, posisi intercooler telah diubah ke belakang (sebelum ini di tepi).

    Porsche 911 Turbo S tiba di Malaysia – harga RM2.2 juta, kuasa 650 PS, tork 800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat

    Hasil daripada semua perubahan ini, enjin 911 Turbo S dapat menghasilkan 650 PS pada 6,750 rpm dan 800 Nm tork dari 2,500 hingga 4,000 rpm, yang mana meningkat sebanyak 70 PS dan 50 Nm. Dilengkapi dengan transmisi klac berkembar PDK lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, model ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.7 saat (lebih laju 0.2 saat) sebelum mencapai laju maksimum 330 km/j.

    Apabila menggunakan badan 992, bermakna Turbo S ini adalah lebih lebar berbanding sebelum ini – terutamanya di bahagian depan yang mempunyai badan 45 mm lebih lebar (1,840 mm) untuk memuatkan jarak roda 42 mm lebih lebar, manakala di belakang ia bertambah lebar 20 mm (1,900 mm) untuk memuatkan jarak roda 10 mm lebih lebar. Rim kini satu inci lebih besar, iaitu 21 inci di hadapan dengan tayar 315/30 dan 20 inci di belakang dengan tayar 255/35.

    Selain lebih lebar, 911 Turbo S ini juga mendapat naik taraf casis, dengan menampilkan penggunaan Porsche Active Suspension Management (PASM) terbaru. Penyerap adaptifnya kini memberi maklum balas lebih pantas dan lebih tepat, manakala cengkaman atas jalan, tindak balas stereng, stabiliti serta laju di selekoh semuanya bertambah baik.

    Porsche 911 Turbo S tiba di Malaysia – harga RM2.2 juta, kuasa 650 PS, tork 800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat

    Pilihan casis sport PASM baru juga dapat meningkatkan lagi pengendalian kenderaan, di mana kedudukannya menjadi 20 mm lebih rendah. Sistem pacuan semua roda Porsche Traction Management (PTM) yang dipertingkat kini boleh menghantar 500 Nm tork kepada roda hadapan dan jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

    Demi menguatkan lagi kedudukannya sebagai 992 paling berpotensi, 911 Turbo S dipasang dengan bukaan udara hadapan lebih besar dengan panel aktif, splitter hadapan lebih panjang serta sayap belakang aktif yang lebih besar dan mampu memberikan tambahan 15% lagi daya tolakan ke bawah (downforce).

    Dalam mod Eco, sayap ini tertutup waktu kelajuan tinggi untuk mengurangkan seretan, manakala dalam mod Wet ia terkeluar (tapi tidak terjungkit) dan lip hadapan dimasukkan untuk memfokuskan aerodinamik ke arah belakang dan meningkatkan stabiliti waktu jalan basah. Pada diffuser terdapat dua muncung ekzos bulat yang besar, khas untuk model Turbo dan ia boleh didapati dengan sistem injap aktif.

    Di bahagian dalam, anda akan mendapat balutan kulit penuh, serta gabungan kemasan gentian karbon dan Light Silver secara standard, bersama tempat duduk sport larasan kuasa dengan jahitan yang memberi penghormatan kepada model 911 Turbo pertama, iaitu 930. Melengkapkan penampilannya adalah grafik serta logo panel instrumen khas untuknya.

    Kelengkapan standard lain 911 Turbo S baru ini adalah lampu utama LED matriks, skrin sesentuh tengah 10.9 inci untuk sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM), roda stereng sports GT, pakej Sport Chrono dengan aplikasi Porsche Track Precision serta sistem bunyi Bose.

     
     
  • Proton akan mulakan pemasangan di Pakistan Q3 2021

    Proton akan mulakan pemasangan di Pakistan Q3 2021

    Proton telah membuat pengumuman bahawa pengeluaran mereka di Pakistan akan bermula tahun ini, dengan rakan kongsinya, Al-Haj Automotive bersedia untuk memulakan operasi pemasangan tempatan di kilang baru di Karachi pada suku ketiga 2021.

    Kilang yang dibina di luar kawasan bandar ini dijangka mempunyai kapasiti 25,000 unit satu tahun. Pelan asal kilang ini diumumkan pada tahun 2019, dengan pelaburan awal USD30 juta (sekitar RM121.9 juta), dan ia sepatutnya memulakan operasi sebelum tahun 2020 berakhir.

    Dalam masa tiga tahun pertama, kilang ini dijangka dapat menyediakan 2,000 peluang pekerjaan terus di sana, dan 20,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung apabila ia terus menjalankan operasi.

    Proton akan mulakan pemasangan di Pakistan Q3 2021

    Melalui perjanjian yang dibuat pada tahun 2019, jualan awal kenderaan Proton di sana akan dibuat melalui unit yang diimport dari Malaysia (CBU), sebelum diambil alih oleh unit pengeluaran tempatan. Bulan lepas, Proton X70 telah dilancarkan di Pakistan sebagai model CBU, dan selepas ini ia akan dipasang di kilang baru tersebut. Tempoh menunggu untuk model tersebut juga dikatakan mencecah sehingga sembilan bulan selepas ia dilancarkan, dan pengeluaran tempatan di sana diharap dapat mengatasi masalah ini.

    Aktiviti Proton di Pakistan juga kini semakin rancak dengan awal bulan lepas, mereka telah melancarkan Saga dalam lima varian termasuk Saga R3 keluaran terhad. Saga untuk pasaran Pakistan dikuasakan oleh enjin S4PE berkapasiti 1,299 cc – lebih rendah berbanding 1,332 cc – di Malaysia. Dengan enjin yang lebih kecil ini, harganya juga dapat diturunkan sedikit mengikut klasifikasi cukainya.

     
     
  • ACE 2021: Beli MINI dan sertai cabutan bertuah untuk memenangi rebat RM10,888, kadar faedah menarik

    ACE 2021: Beli MINI dan sertai cabutan bertuah untuk memenangi rebat RM10,888, kadar faedah menarik

    Hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum acara ACE 2021 tajaan bersama dengan Carsome berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam (SCCC) 17 dan 18 April ini. Di sana, anda boleh memandu uji dan membeli kenderaan yang diminati, sambil menikmati pelbagai diskaun menarik.

    MINI, yang menyertai acara ini sebagai salah satu jenama premium menyediakan kadar faedah menarik untuk pembiayaan, yang bermula dari 0%, dan pelanggan yang mengesahkan pembelian kenderaan baru dapat menyertai cabutan bertuah yang memberi peluang untuk memenangi rebat bernilai RM10,888.

    Model MINI yang memenuhi syarat akan menerima pengecualian cukai SST yang diberikan sekarang oleh kerajaan, dan seperti kebiasaan, model baru MINI yang dibeli melalui pengedar rasmi juga didatangkan dengan jaminan empat tahun tanpa had batuan serta pakej servis berkala percuma.

    ACE 2021: Beli MINI dan sertai cabutan bertuah untuk memenangi rebat RM10,888, kadar faedah menarik

    Sebagai tambahan, paultan.org akan memberikan baucar kombinasi bernilai RM2,550 kepada 200 pelanggan pertama yang menempah kenderaan baru. Ini termasuk baucar DK SCHWEIZER RM650 untuk balutan kulit dalam kenderaan, baucar filem penapis haba cermin RM500, baucar penapis udara Blueair RM500, baucar Dodomat RM300, baucar tempat duduk kanak-kanak Recaro RM300, baucar petrol BHP RM200 dan baucar Shopee RM100.

    Selain daripada itu, tempahan yang sudah disahkan juga melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah yang memberi peluang memenangi hadiah termasuk telefon bimbit bernilai RM2,300 setiap satu dan pakej percutian bernilai RM10,000!

    MINI menyertai beberapa lagi jenama premium seperti BMW dan Lexus di ACE, sementara jenama lain yang turut hadir adalah termasuk Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Toyota dan Volkswagen. Anda juga berpeluang untuk melihat kereta lumba MSF Racing waktu acara ini!

    ACE 2021: Beli MINI dan sertai cabutan bertuah untuk memenangi rebat RM10,888, kadar faedah menarik

    Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

    Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

    Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

    Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan ACE 2021

     
     
  • ACE 2021: Toyota sertai 12 jenama lain, baucar bernilai RM2,550, termasuk pulangan balik Shopee RM100

    ACE 2021: Toyota sertai 12 jenama lain, baucar bernilai RM2,550, termasuk pulangan balik Shopee RM100

    Sekiranya bercadang mahu membeli sebuah kereta baru, anda perlu berkunjung ke acara ACE 2021 yang ditaja bersama oleh Carsome hujung minggu ini. Ia akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) 17 dan 18 April ini, dan menyediakan pelbagai tawaran menarik.

    Dengan sekarang ini 12 jenama turut serta, pilihan yang tersedia memang banyak. Toyota juga akan berada di sana, bersama jenama biasa lain seperti Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Toyota dan Volkswagen, sementara untuk jenama premium, ia diwakili oleh BMW, Lexus dan MINI. Kereta lumba MSF Racing juga akan dipamerkan di sana!

    Setiap jenama mempunyai promosi dan tawaran mereka sendiri, tetapi terdapat juga tarikan lain untuk pembeli kerana kami ada sesuatu untuk mereka yang menjadi pembeli terawal. Baucar kombinasi bernilai RM2,550 akan diberi kepada 200 pelanggan pertama yang menempah kenderaan baru.

    ACE 2021: Toyota sertai 12 jenama lain, baucar bernilai RM2,550, termasuk pulangan balik Shopee RM100

    Ini termasuk baucar DK SCHWEIZER RM650 untuk balutan kulit dalam kenderaan, baucar filem penapis haba cermin RM500, baucar penapis udara Blueair RM500, baucar Dodomat RM300, baucar tempat duduk kanak-kanak Recaro RM300, baucar petrol BHP RM200 dan baucar Shopee RM100.

    Selain daripada itu, tempahan yang sudah disahkan juga melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah yang memberi peluang memenangi hadiah termasuk telefon bimbit bernilai RM2,300 setiap satu dan pakej percutian bernilai RM10,000!

    Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

    ACE 2021: Toyota sertai 12 jenama lain, baucar bernilai RM2,550, termasuk pulangan balik Shopee RM100

    Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

    Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

    Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan ACE 2021

     
     
  • Optimus Prime Robosen edisi terhad – transform sendiri guna arahan suara, buat pelbagai aksi

    Optimus Prime Robosen edisi terhad – <em>transform</em> sendiri guna arahan suara, buat pelbagai aksi

    Saya pasti, ini bukan hanya impian kanak-kanak, ini sebenarnya impian ramai ‘bapak-bapak budak’ diluar sana – mempersembahkan, Optimus Prime dari Robosen yang betul-betul robot, boleh bertukar dari lori ke bentuk robot atau sebaliknya dan bergerak sendiri!

    Robosen menghasilkan Optimus Prime ini dalam jumlah terhad (tidak disebutkan jumlah spesifik) dengan lesen rasmi dari Hasbro, dan ia tampil dalam bentuk yang paling digemari ramai serta menggamit kenangan kanak-kanak ramai orang dewasa iaitu Optimus Prime asli dari siri Generation 1 (G1).

    Optimus Prime Robosen ini mempunyai arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menyebut “Hey, Optimus Prime”, dan kemudian ia akan menyahut dengan suara sebenar Optimus Prime yang direkodkan oleh Peter Cullen. Selepas ia bertukar dari bentuk lori ke robot, Optimus Prime ini akan berdiri dengan nampak seakan ‘bernafas’ serta bersedia untuk bertempur.

    Secara standard, Optimus Prime ini sudahpun diset dengan 25 pergerakan atau aksi yang boleh dibuat dengan menggunakan arahan suara. Selain dari menggunakan arahan suara, Optimus Prime ini turut boleh dikawal menggunakan aplikasi mudah alih.

    Lebih banyak aksi yang boleh anda lakukan menggunakan aplikasi berkenaan. Robosen telah pun menyiapkan banyak pergerakan dalam aplikasi berkenaan, dan ia akan ditambah dari masa ke masa yang boleh anda muat naik pada masa hadapan. Tak cukup dengan itu, anda juga boleh memprogramkan sendiri pergerakan yang anda inginkan menerusi aplikasi tersebut.

    Menurut Robosen, robot ini dibuat menggunakan material-material premium dan terdiri dari lebih dari 5,000 komponen. Optimus Prime berkenaan mempunyai ketinggian 19-inci. Ia juga dibekalkan dengan 27 motor servo bagi menggerakkan sendi-sendi badan, yang menerima arahan dari 60 mikrocip.

    “Kami sama-sama gembira dengan kerjasama ini! Dalam usaha berterusan kami bagi meningkatkan permainan berjenama, inovasi canggih Robosen dalam robotik, akan membolehkan peminat kami menghidupkan watak Transformers kegemaran mereka dengan cara yang tidak pernah dicapai sebelum ini dalam koleksi, ”kata Casey Collins, pengurus besar dan naib presiden senior Hasbro.

    Tempahan Optimus Prime Robosen ini terus dibuka di laman Hasbro Pulse selepas ia didedahkan minggu lalu, dijual pada harga USD699.99 (RM2.9k) – dalam bentuk apa sekalipun, Optimus Prime G1 memang tak pernah murah. Walau bagaimanapun, menerusi tinjauan kami di laman berkenaan, Optimus Prime Robosen ini sudah pun habis dijual.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025