Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Rapid Bus menstrukturkan semula laluan kerana jumlah penumpang susut 58% disebabkan COVID-19

    Rapid Bus menstrukturkan semula laluan kerana jumlah penumpang susut 58% disebabkan COVID-19

    Rapid Bus yang menyediakan perkhidmatan bas di sekitar Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Perak, kini melaksanakan penyusunan semula laluan-laluannya bagi mengoptimakan sumber dan aset khususnya dengan pelbagai cabaran dan kekangan akibat penularan pandemik COVID-19.

    “Langkah penyusunan semula ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan perubahan laluan bas akan dibuat dari masa ke semasa. Para penumpang akan sentiasa dimaklumkan tentang perubahan-perubahan ini,” menurut satu kenyataan Rapid Bus.

    Menurut Rapid Bus lagi, perubahan-perubahan yang dilaksanakan adalah berdasarkan kajian teliti terhadap trend data permintaan penumpang dan jumlah penumpang keseluruhan yang kian merosot, terutamanya bagi beberapa laluan yang mengalami kesan penurunan jumlah penumpang yang besar.

    Rapid Bus menstrukturkan semula laluan kerana jumlah penumpang susut 58% disebabkan COVID-19

    “Buat masa ini jumlah keseluruhan penumpang bas bagi semua laluan di bawah Rapid Bus telah susut daripada sekitar 429,000 penumpang sehari ketika sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan Mac 2020, kepada sekitar hanya 180,000 penumpang sehari, iaitu penurunan melebihi 58%.

    “Rapid Bus menyakinkan para pelanggan bahawa alternatif perjalanan disediakan bagi setiap perubahan,” kata kenyataan itu, yang menambah bahawa dalam perubahan laluan yang diumumkan sejak 19 November dan berkuat kuasa 1 Disember lepas turut melibatkan penggabungan, penamatan dan penyusunan semula beberapa laluan.

    “Seperti juga syarikat-syarikat pengangkutan awam lain, Rapid Bus juga tidak terlepas daripada kesan impak Covid-19 yang turut mengurangkan jumlah penumpang dan hasil kutipan secara mendadak sejak pandemik ini bermula.

    “Oleh itu, salah satu initiatif yang dilakukan adalah menilai semula keseluruhan operasi laluan-laluan kami terutamanya laluan yang mempunyai jumlah penumpang yang terlampau rendah. Kami ingin menekankan bahawa sebelum sebarang keputusan dibuat, kajian yang terperinci akan dilakukan,” tambah kenyataan berkenaan.

     
     
  • Khairul Idham Pawi umum bersara dari perlumbaan

    Khairul Idham Pawi umum bersara dari perlumbaan

    Pelumba negara, yang dulunya pada tahun 2016 pernah mengejutkan negara dengan mendapat tempat pertama sebanyak dua kali dalam perlumbaan Moto 3, iaitu Khairul Idham Pawi mengumumkan persaraan selepas bergelut dengan pelbagai kesukaran pada musim 2020.

    Beliau bukan sahaja gagal memungut sebarang mata sepanjang musim 2020 ini, malah kecedaraan lama beliau di bahagian tangan kembali memberi kesan sehingga satu jari terpaksa dipotong. Dengan keadaan sebegitu, ia akhirnya menyebabkan beliau hilang tempat sebagai pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing dan diganti oleh Darryn Binder bermula tahun hadapan.

    Dengan tiada sebarang kontrak buat masa sekarang, ramai yang tertanya bagaimana nasib pelumba yang juga dikenali sebagai SuperKIP ini. Jawapannya ada dalam satu video temu bual eksklusif antara Khairul dengan Astro Arena. Antara isi pentingnya adalah Khairul “berfikir untuk bersara” walaupun umur beliau masih di awal 20-an.

    “Saya nak lupakan tentang berlumba buat masa sekarang. Saya cuba buat apa yang boleh berikan kegembiraan kepada saya. Saya akan cuba bantu saya punya keluarga. Itu yang saya fikir sebab tahun depan saya nak berehat dan tidak stress. Bagi saya, situasi saya sekarang ini sangat susah, tapi saya masih OK,”kata Khairul.

    “Apa pun yang saya buat esok, saya potong rumput ke, saya tetap akan gembira sebab saya pernah menjadi orang Malaysia pertama yang menjadi juara perlumbaan dalam siri Grand Prix (Moto 3 di Argentina dan Jerman). Lepas ni saya akan fikir apa yang terbaik untuk saya dan orang sekeliling saya,”sambung Khairul.

     
     
  • Subaru Levorg diumumkan sebagai pemenang anugerah utama Kereta Tahunan Jepun 2020-2021

    Subaru Levorg diumumkan sebagai pemenang anugerah utama Kereta Tahunan Jepun 2020-2021

    Subaru Levorg telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jepun bagi edisi 2020-2021. Wagon generasi kedua ini membawakan kemenangan kali ketiga buat Subaru untuk penganugerahan yang sama selepas model Impreza Sport/G4 memenanginya pada tahun 2016. Tahun lalu, Toyota RAV4 telah memenangi anugerah tersebut.

    “Ia adalah penghormatan besar apabila Levorg diiktiraf dengan penghargaan khas ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami dan semua pihak berkepentingan yang lain atas sokongan berterusan mereka kepada Subaru. Kami akan terus meningkatkan usaha kami untuk menawarkan “kenikmatan dan ketenangan fikiran” kepada semua pelanggan,” ujar Tomomi Nakamura, presiden dan CEO Subaru Corporation.

    Diperkenalkan pada Ogos lalu, Levorg mengambil masa yang agak lama untuk muncul di pasaran selepas pertama kali ia dipertontonkan sebagai model Viziv Tourer Concept pada tahun 2018, diikuti dengan Levorg Prototype pada 2019 dan kemudian Levorg Prototype STI Sport setahun selepas itu.

    Subaru Levorg diumumkan sebagai pemenang anugerah utama Kereta Tahunan Jepun 2020-2021

    Hasil produk akhir ini masih mengekalkan ciri model prototaip 2019 dan 2020, dengan penggayaan yang nampak lebih berani berasaskan rekaan ciptaan Subaru, “Dynamic x Solid”. Hujung hadapannya sangat menyerlah dengan gril berbentuk haksagon yang lebih besar disambungkan ke lampu utama LED.

    Pada bahagian sisinya pula, gerbang roda squarish kelihatan berbanding berbentuk bulat pada model sedia ada, memberikan kesan yang lebih maskulin. Malah dua garisan berkarakter yang menonjol juga kelihatan pada sudut tersebut, termasuk berhampiran dengan pintu yang merentangi pemegang pintu.

    Melewati bahagian belakang pula, lampu berbentuk-C lebih nipis berbanding sebelum ini, dengan kepingan kemasan hitam berbanding krom. Selain itu, dua corong ekzos kini menyertai perumah berbentuk tiga segi untuk reflektor.

    Subaru Levorg diumumkan sebagai pemenang anugerah utama Kereta Tahunan Jepun 2020-2021

    Bagi dimensinya, Levorg baharu ini lebih besar berbanding model sebelumnya, dengan 4,755 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,500 mm tinggi, serta jarak rodanya 2,670 mm. Sebagai perbandingan, model sebelumnya berukuran 4,690 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,490 mm tinggi dan jarak rodanya 2,650 mm.

    Dengan platform dan imej baharu, Levorg ini juga menerima enjin petrol 1.8 liter pengecas turbo boxer baharu. Dengan nama kod CB18, unit suntikan terus ini mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS (174 hp) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm, dengan pacuan disalurkan ke semua roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

    Angka tersebut banyak meningkat berbanding unit FB16 1.6 liter dengan 170 PS (168 hp) dan 250 Nm, tetapi kurang dari enjin turbo FA20 2.0 liter dengan lonjakan kuasa 296 PS (292 hp) dan 400 Nm. Subaru mendakwa penggunaan bahan apinya serendah 13.7 km/l mengikut kitaran WLTC, atau 16.6 km/j mengikut standard JC08.

    Subaru Levorg diumumkan sebagai pemenang anugerah utama Kereta Tahunan Jepun 2020-2021

    Di Jepun, Levorg ditawarkan dengan enam varian – GT, GT EX, GT-H, GT-H EX, STI Sport dan STI Sport EX. Hanya varian STI Sport sahaja yang didatangkan dengan sistem mod pemanduan komprehensif, dengan empat pilihan – Comfort, Normal Sport, Sport+ dan Individual – dengan butang pilihan pada roda stereng. Varian lain pula didatangkan dengan sistem SI-Drive dengan dua mod – Intelligent dan Sport.

    Levorg ini turut dipadankan dengan sistem EyeSight X yang dipertingkatkan, dengan penambahan ciri pemanduan semi-automatik seperti bantuan kesesakan trafik, kawalan kelajuan aktif dan bantuan tukar lorong aktif. Teknologi berdasarkan kamera ini masih mengekalkan sistem utama sedia ada termasuk brek pra-pelanggaran, unintentional acceleration suppression, kawalan kelajuan aktif dan amaran ketibaan lorong, kepekaan trafik lintasan belakang, lampu tinggi adaptif dan sistem pemantauan pemandu (yang ditempatkan di atas skrin infotainmen).

    Sehingga 6 Disember 2020, Subaru telah menerima 12,594 tempahan untuk Levorg, dan dilaporkan sebanyak 94% pelanggan memilih varian yang dilengkapi dengan EyeSight X.

     
     
  • Goodyear Eagle F1 Sport dijual di M’sia – dari RM294

    Goodyear Eagle F1 Sport dijual di M’sia – dari RM294

    Goodyear Malaysia telah pun memperkenalkan barisan terbaharu untuk produk tayarnya, Eagle F1 Sport, yang diklasifikasikan sebagai tayar prestasi ultra tinggi (UHP). Menurut Goodyear, model tayar ini merupakan “pilihan tayar sport yang menyeronokkan untuk penggemar yang bercita-cita tinggi”.

    Eagle F1 Sport menampilkan rekaan bunga tayar Eagle Claw pada blok tapak sisi tayar yang merupakan signitur bagi jenama ini. Di mana teknologi ActiveControl membantu mengurangkan sentuhan tampalan dan meningkatkan ketegaran pada blok tapak untuk mempertingkatkan kestabilan jentera dan ketepatan stereng ketika melalui selekoh, ujar Goodyear.

    Kombinasi antara rekaan corak bunga tayar Eagle Claw dan kompaun silica dengan matriks polimer yang dipertingkatkan mampu memberikan cengkaman yang lebih padu sewaktu membrek dalam keadaan permukaan jalan basah mahu pun kering. Sementara bentuk rongga yang dipertingkatkan turut menawarkan jejak dan pengedaran tekanan yang lebih baik. Tayar ini juga diposisikan di bawah model Eagle F1 Asymmetric 5, dan didatangkan pada saiz sehingga 22-inci.

    Menurut Goodyear lagi, tayar ini adalah ideal untuk kereta sport yang digunakan sebagai pengangkutan harian, di mana dengan peningkatan terhadap pengendalian dan prestasi brek, Eagle F1 Sport ini juga merupakan tayar yang cukup sesuai untuk dipertingkatkan saiznya kerana ia memang telah dicipta untuk menawarkan kawalan stereng yang responsif, pengendalian yang lebih baik pada permukaan kering, serta menambah keupayaan sewaktu di selekoh.

    Selain aspek prestasi, Eagle F1 Sport juga menampilkan jaluran penghadang bunyi yang diperbuat daripada getah, yang ditempatkan di antara pelapik bagi memberikan bunyi yang lebih senyap dan pengendalian yang lebih lancar. Ia dilengkapi dengan alur lateral yang sempit pada tayar untuk mengurangkan getaran dan bunyi jalan raya. Manakala pelindung bibir tayar yang lebar juga berfungsi untuk melindunginya daripada kerosakan akibat tergesel pada bahu jalan.

    Dengan harga bermula RM294, Eagle F1 Sport ditawarkan dengan 22 saiz bermula dari 195/50R16 untuk Toyota Vios dan Yaris serta Proton Satria Neo. Manakala 245/40R18 sesuai untuk Honda Accord dan Mitsubishi Lancer Evolution, dengan harga sehingga RM678 untuk saiz sehingga 265/35R18. Goodyear Eagle F1 Sport kini sudah boleh didapati di semua pusat Goodyear Autocare seluruh Malaysia.

     
     
  • Peugeot akan tawarkan waranti 5+5 tahun, servis pantas dengan Berjaya; Bermaz akan ambil alih Kia?

    Peugeot akan tawarkan waranti 5+5 tahun, servis pantas dengan Berjaya; Bermaz akan ambil alih Kia?

    Sejurus selepas mengambil alih Peugeot untuk pasaran Malaysia dari Naza Group, Berjaya Auto Alliance (BAASB) kini sedang berusaha untuk mengangkat semula jenama Perancis tersebut. Syarikat yang diwujudkan oleh usahasama Berjaya dan Bermaz berkenaan dijangka bakal menawarkan pakej waranti yang menarik serta bakal mengubah perspektif negatif orang awam terhadap servis selepas jualan Peugeot pada pasaran tempatan, lapor The Star.

    Akhbar tersebut memetik laporan dari Maybank Investment Bank yang menyatakan bahawa syarikat berkenaan akan menawarkan “waranti 5+5” untuk model-model baharu Peugeot. Tawaran tersebut boleh dijangka akan merangkumi waranti pengeluar selama lima tahun dan tambahan sama ada waranti unit penjana atau waranti yang dipanjangkan lagi lima tahun oleh pihak insuran menjadikan perlindungan tersebut akan diberikan selama 10-tahun.

    BAASB juga menjanjikan servis yang lebih pantas, bagi mengubah imej jenama berkenaan sebelum ini yang terjejas antara kerana kesukaran untuk mendapatkan alat ganti dalam masa yang cepat. Dengan semua langkah yang diambil ini, BAASB mensasarkan untuk menjual 4,000 unit kenderaan jenama Peugeot dalam setahun, atau 947 unit lebih tinggi dari jualan 10 bulan pertama untuk tahun ini.

    Usaha yang lebih positif ini dijangka akan turut dibantu oleh model baharu crossover Peugeot 2008 yang akan tiba ke pasaran Malaysia, dalam versi pemasangan tempatan (CKD) pada tahun hadapan.

    Walaupun Berjaya merupakan pemegang saham terbesar BAASB iaitu sebanyak 51%, difahamkan bahawa Bermaz yang berpengalaman mengendalikan jenama Mazda di Malaysia akan mengetuai operasi ini walaupun hanya mempunyai pegangan saham sebanyak 20%. Kerjasama ini turut akan bergantung dengan kekuatan permodalan dan juga jaringan dalaman dari Berjaya sendiri.

    Laporan yang sama turut menyatakan bahawa BAASB yakin akan mengembalikan semula keuntungan operasi ini dalam masa 24 bulan. Oleh itu, dengan perbelanjaan modal yang minimal, Maybank Investment Bank menjangkakan syarikat tersebut akan menghasilkan keuntungan dalam tahun kedua ia beroperasi, dengan pendapatan tahunan antara RM8 juta hingga RM10 juta.

    Kerjasama ini mungkin akan dikembangkan lebih dari jenama Peugeot sekiranya perniagaan ini berjaya, tulis laporan berkenaan lagi. Buat masa sekarang, pemilik jenama Peugeot iaitu PSA Groupe turut mempunyai pelbagai jenama lain (termasuk Citroen dan DS di mana BAASB akan mengambil alih servis selepas jualannya walaupun jenama berkenaan tidak lagi di jual di Malaysia) serta pelbagai model elektrik dan hibrid.

    Ini bakal memberikan manfaat kepada Bermaz kerana Mazda buat masa sekarang mempunyai penawaran model dengan teknologi elektrifikasi. Bermaz turut “berminat” untuk mengambil alih satu lagi jenama pada akhir tahun ini, dikhabarkan satu lagi jenama yang ditinggalkan oleh Naza iaitu Kia. Namun untuk usaha ini, ia tidak berkaitan dengan BAASB dan franchise ketiga ini akan dimiliki secara majoriti oleh Bermaz.

     
     
  • AC Cobra Series 4 Electric dilancar – 625 PS, 1,000 Nm

    AC Cobra Series 4 Electric dilancar – 625 PS, 1,000 Nm

    AC Cars telah mengumumkan model kelahiran semula Cobra dengan penjana kuasa semua-elektrik telah pun dilancarkan, dengan penghantaran pertama disasarkan pada musim panas tahun 2021. Ia dijual pada harga 168,000 pounds sterling (RM917,162).

    Ini bukanlah pertama kali syarikat tersebut menjual Cobra versi elektrik, di mana sebelum ini pernah memperkenalkan Series 1 Electric. Model baharu bagi Series 4 Electric, dengan menggunakan badan ikonik yang dirombak semula, dan ditampilkan dengan lebih banyak prestasi.

    Motor elektrik bagi Series 4 Electric pada kadar 625 PS (617 hp atau 460 kW) dan puncak tork cecah 1,000 rpm (berterusan 500 Nm), dengan berat kasar mencecah 1,190 kg, termasuk pek bateri 54 kWh. Untuk sesetengah konteks, ia adalah 90 kg lebih berat berbanding Cobra 378 yang dipadankan dengan 6.2 liter V8. Ia disebabkan pengurangan berat pada casis ladder–frame dan panel badan yang diperbuat daripada material komposit.

    Ini membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dengan jarak anggaran sekitar 322 km (200 batu). Menurut syarikat ini, baterinya menyokong pengecasan AC sehingga enam kW, tetapi tidak mendedahkan tempoh pengecasannya.

    Series 1 Electric menggunakan pek bateri dengan kapasiti tenaga yang mirip, tetapi dengan kuasa yang kurang daripada motor yang lebih berprestasi dengan hanya 313 PS (308 PS atau 230 kW) dan 500 Nm (250 Nm berterusan). Ia juga lebih berat sekitar 1,250 kg, dan mengambil masa 6.7 saat bagi pecutan 0-100 km/j, dan anggaran jarak sekitar 241 km (150 batu).

    “Menyingkirkan berat badan yang berlebihan membawa manfaat positif kepada pemilik kereta. Keseluruhan berat yang lebih rendah juga mengurangkan penggunaan tenaga, membolehkan bateri memberikan jarak yang lebih panjang dan kemampuan untuk memandu dengan kelajuan dan pendikitan yang lebih tinggi dapat dicapai selama bertahun-tahun,” ujar Alan Lubinsky, pemilik AC Cars.

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross facelift 2020 dilancarkan di Jepun – petrol dan PHEV, harga bermula RM99k

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> 2020 dilancarkan di Jepun – petrol dan PHEV, harga bermula RM99k

    Mitsubishi Eclipse Cross facelift 2020 kini sudah pun dilancarkan secara rasmi di Jepun. Selain dari rupa yang diperbaharui, Eclipse Cross juga kini ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV) pada pasaran berkenaan, dengan sistem yang diambil dari Outlander PHEV.

    Menurut Mitsubishi, sistem PHEV berkenaan terdiri dari gandingan enjin 4B12 2.4 liter MIVEC empat-silinder NA dan juga dua motor elektrik yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang. Enjin petrol tersebut menghasilkan 128 PS dan tork maksima 199 Nm, manakala motor elektrik hadapan menjana 82 PS/137 Nm dan motor elektrik di belakang pula menghasilkan 95 PS/195 Nm.

    Ini membolehkan Eclipse Cross PHEV tersebut bergerak dengan sistem pacuan semua roda, dan ia diatur dengan sistem Super-All Wheel Control (S-AWC) Mitsubishi bagi mengalirkan tork dengan tepat untuk setiap roda, bergantung pada permukaan jalan.

    Motor berkenaan menerima kuasa daru bateri lithium ion 300 volt, 13,8-kWj yang diletakkan pada lantai SUV ini. Dalam mod hibrid, apabila ia bergerak dalam kelajuan rendah, ia boleh bergerak dengan sistem elektrik sepenuhnya dalam masa yang sama enjin petrol hanya bertugas untuk mengecaj semula bateri.

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> 2020 dilancarkan di Jepun – petrol dan PHEV, harga bermula RM99k

    Manakala pada kelajuan lebih tinggi, enjin tersebut turut boleh terus menjana roda menerusi klac lock-up, dan agihan tork juga diselia dengan sistem S-AWC bersama Active Yaw Controller (AYC) bagi memberikan cengkaman roda lebih baik. Selain dari meggunakan enjin, bateri hibrid pada Eclipse Cross PHEV ini turut boleh dicaj semula menerusi sistem regenarative braking dan juga menggunakan palam caj terus kepada stesen pengecaj.

    Ia menyokong sistem pengecaj AC Type 1 sehingga 3.7 kW, dan boleh di caj penuh dalam masa 4.5 jam menggunakan wallbox. Sistem caj pantas DC CHAdeMO sehingga 22 kW juga boleh digunakan yang membolehkan caj 0 hingga 80% dicapai hanya dalam masa 25 minit.

    Untuk yang gemarkan aktiviti berkhemah, anda kini tidak perlu membawa ‘generator pasar malam’ bagi mendapatkan tenaga elektrik jika Eclipse Cross PHEV. Ini kerana SUV tersebut turut dibekalkan dengan soket AC 100-volt yang mampu meberikan kuasa sehingga 1,500 watt untuk kegunaan peralatan-peralatan elektrik dan elektronik anda.

    Dalam video iklan yang disiarkan, Mitsubishi membuat demonstrasi di mana sistem berkenaan mampu menyinari kawasan hutan dengan lampu elektrik yang dibawa ketika perkhemahan. Untuk situasi seperti ini, ia turut dilengkapi dengan mod penjimatan bateri bagi membolehkan kuasanya bertahan untuk digunakan ketika sampai ke destinasi.

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> 2020 dilancarkan di Jepun – petrol dan PHEV, harga bermula RM99k

    Sistem pengecas ini juga memberikan fungsi bekalan elektrik kenderaan-ke-rumah (V2H), membolehkan Eclipse Cross PHEV ini mengalirkan tenaga elektrik ke rumah pemiliknya sekiranya berlaku sebarang bencana alam yang menyebabkan bekalan tenaga elektrik terputus.

    Untuk kedua-dua fungsi ini, bateri akan membekalkan kuasa sehingga tahap kuasa paling rendah, kemudian enjin petrol akan dihidupkan untuk mengecas semula bateri berkenaan.

    Untuk model petrol biasa pula, Eclipse Cross facelift JDM ini terus dijana enjin 4B40 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik INVEC-III, yang memberikan lapan kelajuan maya.

    Pembeli boleh memilih model ini dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda. Model pacuan hadapan dan AWD kedua-dua hadir dengan sistem AYC yang berfungsi dengan sistem brek torque vectoring, manakala model pacuan semua roda dibekalkan sekali dengan sistem S-AWC.

    Untuk penggunaan bahan api, model PHEV mampu untuk mencatatkan penggunaan bahan 16.4 km/l (6.1 l/100km) dalam ujian WLTC yang lebih ketat, manakala versi petrol sepenuhnya pula mencatatkan 13.4 km/l (7.5 l/100 km) untuk model pacuan roda hadapan, dan 12.4 km/l(8.1 l/100 km) bagi model AWD.

    Dengan kelengkapan penjana dan mekanikal yang berbeza juga menyebabkan kesemua model menampilkan perbezaa berat yang berbeza. Model 1.5L 2WD ditimbang dengan berat antara 1,450 hingga 1,480 kg, model 1.5L pula antara 1,520 hingga 1,550 kg, manaka model PHEV adalah yang paling berat iaitu 1,900 hingga 1,920 kg.

    Tangki bahan api juga diberikan dengan kapasiti berbeza di mana model PHEV hanya dibekalkan dalam 43 liter, model 1.5L AWD pula 60 liter, dan yang paling besar adalah 1.5L 2WD dengan tangki 63 liter.

    Untuk rekaan, Eclipse Cross facelift ini menerima sentuhan yang menyeluruh pada bahagian luaran. Walaupun masih menerapkan rekaan Dynamic Shield Mitsubishi dengan elemen ‘X’ diberikan pada muka, model facelift ini sebenarnya telah diberikan perubahan wajah yang signifikant.

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> 2020 dilancarkan di Jepun – petrol dan PHEV, harga bermula RM99k

    Lampu hadapan utama telah dialihkan pada bampar, manakala lampu tirus yang tajam pada bahagian atas yang selari dengan gril berkenaan sebenarnya adalah lampu nyalaan siang LED – sama seperti konsep rekaan pada Mitsubishi Xpander.

    Gril yang diberikan juga dihasilkan berdasarkan model-model konsep terbaharu Mitsubishi seperti Engelberg Tourer dan e-Evolution. Kemasan skid plate pada bawah bampar juga diperkemaskan dengan rekaan tiga bahagian yang nampak lebih lasak dan menonjol.

    Perubahan lebih besar dapat dilihat pada bahagian belakang. Tiada lagi lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate SUV ini, dan ia digantikan dengan lampu berbentuk-L (juga seakan Xpander) tanpa cermin belakang yang terbahagi. Bahagian bawah bampar juga menerima kemasan skid plate yang direka semula sama seperti di hadapan.

    Dalam kabin, rekaan keseluruhan papan pemuka masih lagi nampak sama, dan ia masih hadir dengan paparan head-up berwarna. Namun skrin infotainmen tujuh-inci sebelum ini digantikan dengan skrin berdiri sendiri lebih besar bersaiz lapan-inci, dan turut menampilkan dua butang fizikal.

    Setiap satu versi penjana untuk pasaran Jepun ini akan ditawarkan dalam tiga varian kemasan berbeza. Antara kelengkapan tersebut termasuk lampu hadapan halogen dan LED, lampu belakang LED, lampu kabus, pilihan rim 16- dan 18-inci, paparan meter analog bersama skrin pelbagai info, pemilih mod pemanduan untuk varian dengam sistem S-AWC dan juga pendingin hawa automatik.

    Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> 2020 dilancarkan di Jepun – petrol dan PHEV, harga bermula RM99k

    Selain itu, Eclipse Cross facelift ini juga ditawarkan dengan pilihan upholsteri fabrik, sued kombinasi, kulit buatan atau kulit sebenar, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, lapan pembesar suara, paparan head-up dan juga pilihan bumbung panaromik.

    Untuk keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi tujuh-beg udara, Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), traction control, bantuan mula mendaki, dan sistem brek ABS bersama EBD serta BA. Sistem bantuan pemanduan Mitsubishi e-Assist juga standard untuk semua, menampilkan ciri seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan lampu tinggi automatik.

    Varian kemasan terpilih turut hadir dengan cruise control, pemantau titik buta, bantuan tukar lorong dan amaran lintasan trafik belakang.

    Mitsubishi Eclipse Cross dijual di pasaran ini dengan harga bermula 2,531,100 yen (RM98,741) untuk model 1.5L 2WD dalam kemasan asas M, sehingga model paling mahal 4.477 juta yen (RM174,713) untuk model paling tinggi – harga ini tidak termasuk peralatan opsyen yang ditawarkan berasingan. Di Jepun, Mitsubishi menawarkan waranti selama lapan tahun/160,000 km dan jaminan kapasiti untuk bateri hibrid model PHEV.

     
     
  • Waze kini ada mod papan pemuka untuk Apple CarPlay

    Waze kini telah mengeluarkan kemaskini terbaru aplikasi itu untuk Apple iOS, kini dengan sokongan terhadap paparan terpisah CarPlay untuk mod papan pemuka. Ciri ini terdahulu ditawarkan dalam versi beta Waze, dan kini ditawarkan secara langsung sebagai versi 4.69 yang lebih stabil.

    Mod papan pemuka ini membolehkan pengguna memaparkan peta tunjuk arah mereka bersebelahan dengan kawalan muzik atau aplikasi lain dalam satu paparan keseluruhan yang sama. Sebelum ini, hanya Apple Maps boleh digunakan dalam mod seperti ini, tetapi selepas sokongan pihak ke-tiga diperkenalkan dengan iOS 13.4, lain-lain aplikasi seperti Google Maps, dan kini Waze, turut boleh memanfaatkan ciri yang sama.

    Waze melalui CarPlay ini memaparkan maklumat seperti peta tunjuk arah (dengan bantuan lorong), jangkaan masa tiba ke destinasi, kelajuan semaas dan had laju. Lain-lain kebolehan ialah pemakluman kawasan sesak dan perangkap had laju, sementara paparan berasingan sebelah lagi menyediakan tunjuk arah dalam bentuk teks.

    Amaran visual dan kiriman laporan bagaimanapun tidak disediakan jika menggunakan Waze dalam mod papan pemuka ini, mungkin disebabkan oleh kekangan ruang paparan pada skrin. Jadi, pengguna perlu menggunakan aplikasi itu sepenuhnya untuk tujuan itu, yang boleh dilakukan dengan menyentuh paparan mana-mana dua kad Waze yang ada.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R Trickstar cecah kelajuan 202 km/j

    Kawasaki ZX-25R Trickstar cecah kelajuan 202 km/j

    Syarikat pengeluar aksesori ubah suai motosikal dari Jepun, Trickstar telah menyiarkan satu video yang menunjukkan mereka sedang menguji Kawasaki Ninja ZX-25R di Litar Fuji Speedway, Jepun. Ini adalah sebahagian cara untuk mereka mempromosi produk yang dikeluarkan.

    Menarik boleh dilihat dalam video ini adalah motosikal sports berenjin 250 cc empat silinder itu boleh mencecah kelajuan sehingga 202 km/j (atau 195 km/j mengikut meter GPS) pada gear yang kami jangkakan adalah gear enam, kerana penunjuk gear pada meternya tidak berfungsi sementara rpm pula berada pada sekitar 7,000.

    Trickstar tidak menyatakan sebarang naik taraf yang dibuat pada bahagian dalaman enjin, tetapi mengikut senarai yang disiarkan, motosikal ini cuma dipasang dengan penapis udara MWR, corong udara Trickstar, Ram Air dan laluan udara Trickstar serta ECU Rapid Bike versi Trickstar.

    Semasa sesi ujian itu juga Trickstar telah menukar beberapa kali sprocket depan dan belakang jenama ISA yang digunakan untuk mendapatkan kelajuan paling tinggi. Catatan 202 km/j ini juga dibuat dalam keadaan litar lembap, sekaligus memberikan kita jangkaan bahawa laju lebih tinggi boleh dicapai sekiranya keadaan kering.

    Kawasaki ZX-25R mencetus fenomena apabila ia membawa semula tetapan empat silinder kepada enjin 250 cc dan memuatkan pelbagai kelengkapan berprestasi seperti fork USD, monoshockn Horizontal Back-link, pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik.

     
     
  • Karamjit Singh terpaksa jual Proton Waja miliknya, bagi beli Proton Saga 1.3 untuk dibuat e-Hailing

    Karamjit Singh terpaksa jual Proton Waja miliknya, bagi beli Proton Saga 1.3 untuk dibuat e-Hailing

    Pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan kita, malah penyakit ini juga memberikan pelbagai impak kepada semua orang tidak kira pangkat mahupun bangsa, terutamanya dari segi ekonomi – dan Juara Kejohanan Rali Dunia kategori Produksi (Production WRC) 2002, The Flyng Sikh Karamjit Singh tidak terkecuali dari terhimpit.

    Dalam kita menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang masih belum berakhir, banyak aktiviti yang tidak dapat dilakukan, antaranya aktiviti sukan permotoran. Ini bukan sahaja melibatkan perlumbaan, malah banyak acara seperti sesi uji pandu media dan juga pelbagai pertunjukan terpaksa dibatalkan, nyata memberi impak kepada mereka yang mencari rezeki dalam bidang ini seperti Karamjit Singh sendiri.

    Minggu lalu, penulis terkejut apabila Karamjit Singh membuat hantaran pada laman Facebook rasminya bahawa beliau mahu menjual Proton Waja 1.6 manual miliknya dengan sebab kereta tersebut tidak boleh digunakan untuk membuat perkhidmatan e-Hailing kerana terlalu lama, dan beliau mahu membeli Proton Saga 1.3 manual untuk tujuan tersebut!

    SOLD! Thank you my friends for all the shares and support! Love you all!

    Hi all, I am selling my personal daily drive…

    Posted by Karamjit Singh on Thursday, 3 December 2020

    Sebagai seorang peminatnya, penulis sendiri berasa perit kerana hero yang pernah berbakti pada negara di peringkat dunia, terpaksa membuat keputusan seperti ini untuk mengharungi masa-masa sukar seperti sekarang. Mujur kereta tersebut dapat dijual dengan cepat pada hari yang diiklankan itu juga.

    Dalam laporan Harian Metro hari ini, Karam meluahkan bahawa beliau masih sayangkan Proton Waja berkenaan. Dia juga menceritakan bahawa banyak wang ringgit termasuk kereta, rumah, wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semuanya habis digunakan sebagai modal untuk berlumba rali di peringkat Asia Pasifik satu ketika dulu.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa Karamjit Singh pernah dijanjikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapat pencen hasil kejayaan di arena rali dunia, namun ia hanya janji mulut dan hingga kini tidak pernah menerimanya.

    “Saya pernah jumpa KBS sekitar 2005 atau 2006. Mereka kata saya layak menerima pencen kerana kejayaan bergelar juara dunia sama seperti kejayaan meraih emas. Ketika itu mereka kata saya boleh dapat RM5,000.

    “Itu hanya janji mulut dan hingga sekarang saya tidak dapat pencen berkenaan. Ia amat diperlukan untuk hari tua saya. Tapi ketika ini saya masih mahu berlumba sekurang-kurangnya untuk dua tiga tahun lagi.

    “Berlumba hingga ke negara Asia Pasifik lain seperti New Zealand, Indonesia dan merata lagi sebab saya masih mampu bergelar nombor satu Asia. Kecergasan saya juga pada tahap terbaik dan saya rasa ramai anak muda tidak boleh tewaskan saya.

    “Saya ke gimnasium empat kali seminggu selain melakukan aktiviti memanjat bukit dan gunung untuk kekal cergas. Daripada segi skil saya masih nombor satu.

    “Ramai peminat mahu saya berlumba semula. Masalahnya, sekarang sukar untuk mendapatkan penajaan kerana kos berlumba dalam dunia permotoran tidak murah walaupun tidak semahal Formula Satu (F1),” kata Karamjit Singh.

    Untuk pengetahuan anda, selepas pasukan Petronas EON Racing Team dibubarkan, Karamjit Singh terus berlumba dengan duitnya sendiri. Pada tahun 2011, beliau kembali ke kancah Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk memburu gelaran kategori Group N 2WD dengan memandu Proton Satria Neo pasukan Proton R3.

    Namun ia bukan projek yang dibiayai oleh Proton, sebaliknya Karamjit sendiri perlu membayar pasukan lumba Proton untuk mengejar gelaran berkenaan, dan beliau telah menghabiskan kira-kira RM600,000. Usaha tersebut berbaloi kerana beliau berjaya memperoleh gelaran juara tersebut pada 2011, dan Proton mengambil keputusan untuk meneruskan perlumbaan berkenaan untuk musim 2012, dengan membayar Karamjit sebagai pemandu rasmi – Karam dan Proton R3 sekali lagi mempertahankan kejuaraan berkenaan untuk musim 2012.

    Sebelum ini kami telah pun menyiarkan artikel bagaimana Karamjit Singh berjaya memperolehi gelaran juara dunia hanya dalam percubaan pertamanya pada tahun 2002, diceritakan sendiri oleh pengasas Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Chris Mellors dan anda boleh membacanya pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Monkey Gundam keluaran terhad di Thailand

    Honda Monkey Gundam keluaran terhad di Thailand

    Semasa acara Motor Expo 2020 yang berlangsung di Thailand, Honda telah memperkenalkan model keluaran terhad Monkey Gundam dalam dua versi iaitu Monkey RX-78-2 Gundam dan Monkey MS-06S CHAR’s ZAKU II. Kedua-duanya cuma dihasilkan sebanyak 125 unit dan dijual pada harga 129,900 baht (RM17,513).

    Gundam adalah satu siri anime Jepun yang sudah wujud sejak tahun 1979 dan konsep yang digunakan pada Monkey keluaran terhad ini mengambil inspirasi daripada dua model robot terkenal siri tersebut iaitu RX-78-2 (warna biru) dan Zaku II (warna merah).

    Perincian unik yang digunakan pada Monkey Gundam ini antaranya adalah kemasan pada tangki yang dibuat daripada gentian karbon, berserta lencana aluminium khas di tepi. Kemudiannya, di bahagian tepi tangki serta kotak anginnya dihias dengan grafik khas mengikut konsep anime tersebut. Selain daripada itu, pembeli juga diberikan dengan barangan istimewa yang termasuk kotak barangan, jaket, topi serta pembesar suara Bluetooth.

    Bahagian mekanikal motosikal bersaiz kecil ini tidak berubah, di mana ia masih menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 125 cc bersama kotak gear empat kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 9.2 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Kelengkapan lain Honda Monkey adalah termasuk rim 12 inci dengan tayar 120/80 di hadapan 130/80 di belakang, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, fork USD di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, berat keseluruhan 107 kg, tangki bahan api 5.6 liter dan meter jenis digital.

     
     
  • Kia panggil semula 295,000 unit kenderaan di Amerika Syarikat akibat kemungkinan risiko kebakaran enjin

    Kia panggil semula 295,000 unit kenderaan di Amerika Syarikat akibat kemungkinan risiko kebakaran enjin

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, Kia mengumumkan panggilan semula sebanyak 295,000 unit kenderaannya akibat risiko kebakaran. Panggilan semula itu melibatkan model Soul dari tahun 2014-2015 dan Sportage model tahun 2012. Ada risiko kebakaran boleh bermula dari ruang enjinnya ketika kenderaan sedang digunakan.

    Kenderaan yang dihantar akan diperiksa jika berlaku sebarang kebocoran minyak atau bahan api, dilakukan ujian enjin ke atasnya dan kemudian jika perlu, dilakukan gantian enjin. Kia memaklumkan, ketika ini syarikat itu sedang membangunkan kemaskini perisian Knock Sensor Detection System.

    Minggu lalu, Kia dan Hyundai merekodkan penalti sivil berjumlah US$210 juta (RM855 juta) selepas regulator keselamatan di AS mendakwa pengeluar kenderaan Korea dari kumpulan yang sama itu gagal untuk memanggil semula 1.6 juta kenderaan berikutan masalah enjin dalam tempoh waktu yang sewajarnya. National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) di Amerika Syarikat memaklumkan, syarikat itu melaporkan maklumat yang tidak tepat kepada agensi berkenaan berhubung panggilan semula itu, lapor Reuters.

    Penalti Kia mencecah US$70 juta (RM285 juta), termasuk bayaran pendahuluan sebanyak US$27 juta (RM109 juta), perlu membelanjakan US$16 juta (RM65 juta) ke atas langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan dan kemungkinan denda tertangguh sebanyak US$27 juta (RM109 juta). Bayaran itu adalah bagi panggilan semula pada 2015 dan 2017 ke atas masalah pengeluaran yang boleh membawa kepada kegagalan enjin.

    Bagi panggilan semula terbaruini pula, NHTSA memulakan siasatan tahun lalu terhadap kebakaran bukan disebabkan oleh kemalangan bagi kenderaan Kia dan Hyundai. Minggu lalu Hyundai memanggil semula sebanyak 129,000 kenderaan di AS disebabkan masalah bearing pada sambungan rod yang mungkin akan haus cepat, yang jika dibiarkan boleh menyebabkan kerosakan enjin dan meningkatkan kemungkinan kebakaran.

     
     
  • Audi Q3 45 TFSI e 2021 diperkenalkan – PHEV kompak pertama berenjin 1.4L, 245PS/400 Nm, e-jarak 50 km

    Audi Q3 45 TFSI e 2021 diperkenalkan – PHEV kompak pertama berenjin 1.4L, 245PS/400 Nm, e-jarak 50 km

    Audi telah pun memperkenalkan Q3 dan Q3 Sportback plug-in hybrid yang pertama seumpamanya. Kedua-dua model ini dinamakan sebagai 45 TFSI e, dikuasakan oleh enjin elektrifikasi 1.4 liter empat-silinder TFSI yang mampu menghamburkan output hingga 150 PS dan tork 250 Nm.

    Motor elektrik ini turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac S trnonic enam-kelajuan (dengan mekanisma declucthing) yang mampu menyalurkan kuasa tambahan sebanyak 85 kW, menjadikan kuasa keseluruhannya mencecah 245 PS dan tork 400 Nm. Ia membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.3 saat.

    Ia dilengkapi dengan pek bateri 13 kWh (dengan 96 high density prismatic cells) yang ditempatkan di bawah lantai kenderaan – berhadapan dengan gandar belakang. Ruang but terpaksa dikorbankan sedikit disebabkan penempatan bateri ini – Q3 kini menawarkan 380 liter (berbanding 530 liter sebelum ini) dan boleh dipertingkatkan sehingga 1,375 liter. Dengan pengecasan penuh, ia mampu memberikan pacuan sehingga 50 km dengan kuasa elektrik sepenuhnya. Motor elektrik ini juga cukup untuk memacu Q3 dengan kelajuan setinggi 140 km/j. Seperti biasa, beberapa mod pemanduan hibrid juga diberikan.

    Audi Q3 45 TFSI e 2021 diperkenalkan – PHEV kompak pertama berenjin 1.4L, 245PS/400 Nm, e-jarak 50 km

    Menariknya, dalam mod Dynamic, pemandu boleh mengakses rizab tork 330 Nm dengan motor elektrik sepenuhnya, sehingga 10 saat, tetapi memerlukan shifter ditetapkan dalam mod “S”. Pengaktifannya cukup mudah dengan menekan sepenuhnya pedal pendikit. Motor elektrik boleh mengumpul sehingga 0.3 g (atau sehingga 40 kW bagi kuasa), di mana ia cukup untuk mengendalikan majoriti situasi brek secara lebih meluas.

    Pengecasan penuh menerusi AC wallbox domestik (menggunakan kabel Type 2) mengambil masa tiga jam dan 45 minit. SUV ini juga sepatutnya boleh menggunakan pengecasan pantas AC dan DC, tetapi buat masa ini Audi belum mendedahkan lagi angka pengecasannya. Seperti model PHEV Audi yang lain, pengecasan juga boleh dikawal menerusi aplikasi myAudi.

    Di Eropah, Q3 dan Q3 Sportback 45 TFSI e boleh didapati dalam beberapa kekemasan, dinamakan sebagai Technik (hanya Q3), S line dan Black Edition. Dengan varian yang terakhir itu menerima suspensi adaptif dan roda 20-inci. Bagi varian Technik, ia dilengkapi roda 17-inci, tetapi boleh dipertingkatkan ke 18- atau 19-inci. Ciri ekstra termasuk kaca privasi, pelbagai pakej penggayaan, rel bumbung (hanya Q3) dan pencahayaan LED penuh (versi paling tertinggi menerima lampu utama Matrix LED).

    Audi Q3 45 TFSI e 2021 diperkenalkan – PHEV kompak pertama berenjin 1.4L, 245PS/400 Nm, e-jarak 50 km

    Di dalamnya, kokpitnya hampir mirip dengan beberapa model bukan-hibrid lain di bawah jenama yang sama. Model standard menerima kokpit maya Audi 10.25-inci, dengan model paling mahal diberikan skrin digital yang lebih besar bersaiz 12.3-inci. Kedua-duanya menampilkan fungsi spesifik-hibrid, di mana ia memaparkan status pemanduan, fasa output dan pemulihan, tahap pengecasan bateri dan baki kuasa bateri. Selain itu, ia diberikan paparan infotainmen 10.1-inci dengan ketersambungan Audi (termasuk Apple CarPlay dan Android Auto) secara standard.

    Bagi aspek keselamatan, semua model menerima sistem Audi pre sense basic, pre sense front, pemantauan titik buta, dan amaran ketibaan lorong secara standard. Ia turut diberikan bantuan kelajuan adaptif dengan sokongan untuk pendikitan, stereng dan brek, serta semuanya beroperasi antara had yang dibenarkan.

     
     
  • Pravaig Extinction Mk1 didedah — EV pertama India, jarak 504 km, dijangka masuk pasaran pada 2021

    Pravaig Extinction Mk1 didedah — EV pertama India, jarak 504 km, dijangka masuk pasaran pada 2021

    Lain macam perkembangan automotif di India sekarang. Misalnya, Pravaig Dynamics telah mendedahkan kereta elektrik pertama syarikat itu, yang diberi nama Extinction Mk1. Model ini akan ditawarkan secara eksklusif kepada perkhidmatan fleet premium untuk pelanggan business-to-business (B2B) di India. Servis berkenaan akan ditawarkan di Bangalore dan Delhi terlebih dahulu.

    Extinction bakal menggunakan pek bateri lithium-ion 96-kWh yang diletakkan pada lantai kenderaan, yang mempunyai density kuasa sebanyak 155 Wh/kg. Angka ini, sebagai contoh, melebihi apa yang ada pada Hyundai Kona (141 Wh/kg), Mercedes-Benz EQC (123 Wh/kg) dan Tata Nexon EV (95 Wh/kg).

    Bateri berkenaan membekalkan kuasa kepada motor elektrik 204 PS, yang turut mampu menghasilkan 2,400 Nm tork – selepas menggandakannya dengan nisbah gear kereta ini, tentunya. Dari segi prestasi, syarikat berkenaan mendakwa model ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum 196 km/j.

    Pravaig Extinction Mk1 didedah — EV pertama India, jarak 504 km, dijangka masuk pasaran pada 2021

    Bateri berkenaan juga dikatakan mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 504 km untuk satu cas penuh. Perincian tentang cas masih belum diketahui, tetapi Extinction akan menyokong pengecasan pantas DC, dari 0-80% dalam masa 30 minit.

    Dari segi rekaan, prototaip Extinction yang ditunjuk menampilkan rekaan badan coupe dua-pintu, lampu tirus dan bulan dalamnya, lampu belakang yang juga kurus, rim 17-inci dan bentuk jitu untuk kesan aerodinamik yang baik.

    Pravaig Extinction Mk1 didedah — EV pertama India, jarak 504 km, dijangka masuk pasaran pada 2021

    Berdasarkan laporan Hindustan Times, Techradar dan DriveSpark, produk akhir nanti akan lebih baik daripada prototaip, termasuk jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, empat-pintu dan kabin lebih selesa. Penapis udara maju katanya akan digunakan, menyediakan udara nyaman ala “di Himalaya”, mengurangkan CO2 hingga 10 kali di dalam kabin, dengan pengasingan 99% partikulat PM 2.5.

    Extinction akan dilancarkan pada 2021, dengan syarikat bakal memanfaatkan strategy pemasaran digital berbanding kaedah tradisional. Harga pula akan dimaklumkan kemudian.

     
     
  • WRC 2020 – Sebastien Ogier dinobat juara dunia kali ke-7, Hyundai Motorsport pertahan gelaran pengeluar

    WRC 2020 – Sebastien Ogier dinobat juara dunia kali ke-7, Hyundai Motorsport pertahan gelaran pengeluar

    Sebastien Ogier telah mengesahkan gelaran dunia kali ketujuh setelah berakhirnya pusingan terakhir Kejuraan Rali Dunia (WRC) yang dilangsungkan di Monza, Itali hujung minggu lalu. Manakala jenama dari Korea, Hyundai sekali lagi mempertahankan gelaran untuk kategori pengeluar yang pertama kali dikecapi pada musim lalu.

    Gelaran yang dirangkul oleh Ogier ini membolehkan ia dinamakan antara pemandu yang paling versatil dengan memenangi gelaran dunia dengan memandu untuk pasukan Volkswagen, Ford dan juga Toyota, berbanding juara dunia sembilan kali Sebastien Loeb kesemuanya dengan pasukan Citroen, dan juara dunia empat kali Tommi Makinen kesemuanya dengan pasukan Mitsubishi.

    Ketika bermulanya rali yang diadakan disekitar litar Monza berkenaan pada 3 Disember lalu, Ogier bukanlah pelumba favourite untuk gelaran tahun ini kerana beliau tertinggal 14-mata berbanding rakan sepasukannya, Elfyn Evans. Walau bagaimanapun, Ogier berjaya mendahului rali ini pada pagi Sabtu, dan tambah memudahkan tugasnya apabila Evans terbabas jatuh ke lereng bukit pada SS ke-11.

    WRC 2020 – Sebastien Ogier dinobat juara dunia kali ke-7, Hyundai Motorsport pertahan gelaran pengeluar

    Insiden berkenaan menyebabkan Evans yang diramal bakal menjadi juara dunia ketiga dari British selepas Colin McRae (1995) dan Richard Burns (2001) terpaksa melupakan gelaran berkenaan serta merta. Ogier meneruskan penguasaannya pada hari terakhir rali ini pada hari Ahad, menamatkan SS terakhir di litar Monza’s Cathedral of Speed dengan kelebihan 13.9 saat di hadapan juara dunia tahun lalu, Ott Tanak dari pasukan Hyundai.

    Seorang lagi pemandu Hyundai, Dani Sordo berada di tempat ketiga bagi mengesahkan gelaran dunia untuk kategori pengeluar yang berjaya dicatatkan oleh jenama Korea berkenaan untuk tahun kedua berturut-turut. Walau bagaimanapun, pemandu utama Hyundai yang juga berpeluang untuk merebut gelaran juara dunia tahun ini, Thierry Neuville terpaksa menamatkan saingan lebih awal kerana melanggar blok konkrit pada chicane SS ke-4.

    Dalam pusingan ‘bonus’ Wolf Power Stage, pemandu dari pasukan satelit Toyota, Takamoto Katsuta dari Jepun membuat kejutan dengan mencatatkan masa terpantas bagi memungut lima mata tambahan. Dia diikuti oleh Ott Tanak yang berada 1.4 saat di belakang dan juga Elfyn Evans dengan catatan 2.4 saat lebih perlahan.

    Seperti kejohanan-kejohanan lain, WRC turut terjejas kerana pandemik Covid-19 tahun ini menyebabkan ia dipendekkan dari 14 pusingan keseluruhan kepada hanya tujuh pusingan. Rali Jepun (kali terakhir berlangsung pada 2010) dan Rali Safari (kali terakhir berlangsung pada 2002) yang sepatutnya kembali pada tahun ini turut terpaksa dibatalkan.

    ACI Rally Monza ini pula hanya diumumkan sebagai pusingan terakhir saingan WRC 2020 pada awal Oktober lalu. Rali berkenaan berlangsung di kawasan baru dan lama litar Monza termasuk di kawasan banking yang ikonik di litar berkenaan dan juga di kawasan pergunungan Alps berhampiran.

    Rali ini menyajikan cabaran yang sangat getir buat pemandu dan pasukan kerana ia dilangsungkan di atas permukaan jalan tar yang hujan dan bersalji, serta ada SS yang berlangsung di atas permukaan gravel dan berlecak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025