Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jenama minyak Five dilancarkan secara rasmi di M’sia

    Jenama minyak Five dilancarkan secara rasmi di M’sia

    Jenama bahan api terbaru untuk pasaran tempatan, Five, yang mula diperkatakan sejak Februari tahun ini kini telah dilancarkan secara rasmi di dalam satu acara yang dirakam dan disiarkan di laman Facebook jenama berkenaan.

    Stesen minyak pertama Five mula beroperasi di Kalumpang, Selangor pada 16 Mac lalu. Jenama ini juga menjalin kerjasama dengan penyedia penyelesaian telekomunikasi Green Packet untuk memperkenalkan stesen minyak yang dikuasakan oleh kepintaran buatan (AI) pertama di negara ini.

    Five akan memanfaatkan penyelesaian berasaskan teknologi yang disediakan oleh Green Packet, antaranya termasuk electronic-Know Your Customer (e-KYC), sebuah proses online untuk mengenal pasti identiti pelanggan, e-wallet, gerbang pembayaran serta pengesanan nombor pendaftaran.

    Jenama minyak Five dilancarkan secara rasmi di M’sia

    Bagi barisan produk minyak petrol pula, jenama ini memasarkan bahan api Ultimaxx yang dibekalkan oleh Petronas. Terdahulu, syarikat menganggarkan bakal mempunyai 200 stesen di seluruh negara, dengan pembukaannya dilakukan secara berperingkat. Walaupun tiada tempoh waktu dinyatakan, peringkat pertama akan melibatkan sekitar 30 hingga 40 stesen yang terletak di luar Lembah Klang, sebelum ia diperkenalkan pula ke bandar-bandar besar.

    Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd, Dato’ Seri King Lim Chin Fui menjelaskan, Five juga dalam pelancaran untuk mengeluarkan produk-produk berkaitan yang lain, seperti LPG dan minyak pelincir kenderaan. “Setakat ini, sudah ada pihak dari luar yang berminat terhadap produk pelincir formula khas Five. Kami ingin mengeksport produk tempatan untuk pasaran global,” ujar beliau.

    “Five juga bersedia membantu usahawan-usahawan di luar bandar untuk menyediakan bekalan minyak yang stabil kepada mereka. Saya percaya dengan cara ini, kami dapat memainkan peranan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar dengan adanya pembukaan rangakaian runcit Five di kawasan luar bandar,” tambah beliau.

     
     
  • Renault Megane eVision prebiu untuk hot hatch elektrik yang bakal muncul pada tahun 2021

    Renault Megane eVision prebiu untuk hot hatch elektrik yang bakal muncul pada tahun 2021

    Selepas 25 tahun dan empat generasi, Renault Megane akhirnya akan muncul dengan versi elektrik, dijangka bakal diperkenalkan pada tahun hadapan. Kereta berkenaan telah diprebiu sebagai model konsep Megane eVision, dengan menggambarkan rekaan dan teknologi yang bakal ditampilkan bagi pesaing segmen-C ini.

    Berdasarkan varian kenderaan elektrik yang menggunakan platform yang sama, Common Modular Family (CMF-EV), termasuk Nissan Ariya, eVision turut mengetengahkan konsep Morphoz dan dalam format yang lebih mesra produksi. Renault memposisikan kereta ini sebagai crossover, dengan meningkatkan ketinggiannya (lebih tinggi sebanyak 58 mm berbanding Megane IV, pada 1,505 mm) sekaligus memberikan aura SUV.

    Di hadapannya, kelihatan unit pencahayaan lebar sepenuhnya dalam garisan melintang, menyertai lampu utama matrix LED. Diikuti dengan corong pengambilan udara yang diposisikan lebih rendah (termasuk saluran yang mengalirkan udara ke roda hadapan), skirt sisi dan bampar belakang. Petunjuk cahaya yang mengalir dari lampu depan ke bampar memberikan gambaran berkaitan lampu nyalaan siang berbentuk-C.

    Renault berkata garisan bumbung diinspirasikan dari model coupe, dengan serlahan kemasan keemasan yang didapati pada bampar hadapan dan belakang. Dapra hadapan pula dihiasi dengan logo berlian dan menampilkan indikator status pengecasan. Terdapat juga keratan garisan tingkap khas pada pintu belakang, serta kemasan terang yang menonjolkan bentuk tingkap.

    Renault Megane eVision prebiu untuk hot hatch elektrik yang bakal muncul pada tahun 2021

    Pencahayaan hadapan sama seperti di belakang, juga ditampilkan dengan diffuser rona perak. Melengkapkan gayanya dengan padanan roda aloi dua-tona 20-inci yang didatangkan bersama tayar 245/40-section, dan ciri aerodinamik, Renault berkata dengan saiz kompak, jarak roda yang panjang dan overhang yang pendek memberikan gambaran eVision umpama kereta bandar yang miliki nilai estetika.

    Mempunyai ukuran 4,210 mm panjang dan 1,800 mm lebar, eVision lebih sempit sebanyak 14 mm dan lebih pendek sebanyak 422 mm berbanding model semasa Megane. Walau bagaimana pun, jarak rodanya 31 mm lebih panjang iaitu berukuran 2,700 mm dan secara keseluruhannya, Renault mendakwa ia memiliki ruang dalaman yang terbaik dalam kelasnya.

    Hasil daripada platform CMF-EV, sudut hujung bahagian hadapannya lebih pendek, tetapi mampu menempatkan bateri yang nipis yang diletakkan di bahagian lantai, selain meningkatkan fleksibiliti dan kebolehpercayaannya. Diletakkan di antara petak hadapan yang kompak, motor elektriknya mampu menghasilkan sehingga 160 kW (217 PS) dan tork 300 Nm, membolehkan eVision ini dipecut dari sifar ke 100 km/j di bawah lapan saat.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini tiada angka prestasi didedahkan, namun Renault berkata bateri 60 kWh dan boleh dipertingkatkan sehingga 130 kW dengan keupayaan pengecas pantas DC, eVision ini boleh dipandu dari London ke Newcastle dengan jarak masa yang sama jika menggunakan bahan api petrol atau pun diesel. Kalau menurut Google Maps, jarak tersebut mencecah 480 km.

     
     
  • Volkswagen Arteon facelift 2021 dapat dua enjin baru

    Volkswagen Arteon facelift 2021 dapat dua enjin baru

    Volkswagen telah menambah dua pilihan enjin baru untuk Arteon facelift, sekaligus menjadikan sekarang terdapat 26 varian untuk model tersebut (dicampur dengan model fastback dan shooting brake).

    Model permulaan dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, yang menghasilkan kuasa 150 PS dan 250 Nm tork, dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi manual enam kelajuan. Padanan kuasa ini ditawarkan untuk kedua-dua model fastback dan juga shooting brake.

    Kedua-duanya juga boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat, tetapi model fastback boleh mencapai kelajuan maksimum 220 km/j sementara shooting brake sedikit rendah, iaitu 217 km/j. Penggunaan bahan api purata adalah 5.25 l/100 km bagi fastback dan 5.33 l/100 km bagi shooting brake (WLTP).

    Satu lagi enjin baru yang disediakan adalah unit empat silinder 2.0 liter TDI yang menghasilkan 200 PS. Volkswagen memberitahu ini adalah model kedua paling berkuasa selepas Arteon R (320 PS, 420 Nm). Jumlah tork tidak diberitahu tetapi enjin diesel ini boleh memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dan dipadankan bersama kotak gear DSG tujuh kelajuan serta sistem pacuan empat roda 4Motion.

    Tahap penggunaan bahan api purata untuk model ini adalah 4.33 liter bagi setiap 100 km untuk model fastback sementara untuk model shooting brake ia berada pada tahap 4.41 l/100 km. Jika mahu, pelanggan juga diberikan pilihan transmisi manual enam kelajuan untuk model ini.

    Untuk kelengkapan, Arteon facelift boleh didapati dengan lampu utama LED matriks IQ.Light, rim sehingga 19 inci, spesifikasi R-Line, pengawal HVAC, skrin infotainmen MIB3, rekaan roda stereng baru, panel instrumen digital 10.25 inci baru, Travel Assist serta kamera undur dengan pandangan sudut.

    Volkswagen Arteon R 2020

    Volkswagen Arteon R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Shooting Brake eHybrid R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Elegance 2020

     
     
  • Nissan Almera 2020 – barisan aksesori asli diumum

    Nissan Almera 2020 – barisan aksesori asli diumum

    Nissan Almera generasi kedua masih lagi belum dilancarkan secara rasmi – pendedahannya pada September lalu hanyalah prebiu, dan harga rasminya masih lagi belum diumumkan. Namun, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telahpun mengumumkan kesemua aksesori asli untuk Almera Turbo 2020 ini, lengkap dengan harganya sekali.

    Menurut ETCM, kesemua aksesori asli ini akan dilindungi oleh waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, dan ia boleh dibeli sama ada menerusi pakej yang disediakan atau secara ala-carte. Semua harga yang dinyatakan adalah siap dengan pemasangan.

    Sebanyak empat pakej yang ditawarkan untuk aksesori ini terdiri dari kelengkapan untuk penggayaan luaran dan dalaman. Pakej pertama adalah Interior Styling Package yang berharga RM400, terdiri dari lampu kabin LED, tray untuk ruang but kargo dan kemasan keluli tahan karat atas bendul pintu dengan logo Almera.

    Pakej kedua pula adalah Exterior Styling Package yang berharga RM950. Pakej ini dikhaskan untuk varian asas VL dan pertengahan VLP, terdiri dari visor pintu, dua pelindung pembuka pintu kemasan gentian karbon palsu dan juga spoiler pada penutup but dalam kemasan hitam berkilat. Untuk varian VLT, pakej ini hanya berharga RM350 kerana spoiler sudahpun diberikan secara standard.

    Seterusnya adalah Protection Package yang berharga RM1,950. Pakej aksesori perlindungan ini terdiri dari filem penebat haba Solar Gard Armorcoat serta kamera perakam digital (DVR) untuk hadapan dan belakang. Jika anda mahukan perlindungan lebih baik, Protection Plus Package ditawarkan pada harga RM2,750 menampilkan DVR yang sama bersama filem penapis haba V-Kool Elite.

    Ingin diingatkan, sekiranya anda membeli aksesori-aksesori ini secara ala-carte harganya adalah lebih mahal. Contohnya untuk semua kelengkapan yang disenaraikan dalam Interior Styling Package jika dicampurkan secara individu adalah RM570, berbanding hanya RM400 secara pakej.

    Nissan Almera 2020 – barisan aksesori asli diumum

    Walaupun harga sebenar Almera generasi kedua ini masih belum diumum, ETCM telah pun memberitahu harga anggaran untuk setiap varian iaitu RM8x,xxx untuk varian paling rendah Almera VL, RM8x,xxx untuk Almera VLP dan RM9x,xxx untuk varian tertinggi Almera VLT. Perincian untuk setiap varian tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Kesemua tiga varian tersebut akan hanya dijana oleh satu pilihan enjin iaitu HR10DET 1.0L tiga-silinder turbo berkuasa 100 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 152 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik Xtronic CVT bersama D-Step Logic dan mod Sport.

    ETCM juga menawarkan kesemua varian Almera tersebut dengan sistem keselamatan Intelligent Forward Collision Warning bersama Intelligent Forward Emergency Braking (brek kecemasan automatik/AEB) secara standard.

     
     
  • Valentino Rossi positif Covid-19 – kini asingkan diri

    Valentino Rossi positif Covid-19 – kini asingkan diri

    Ini satu lagi bukti bahawa Covid-19 boleh menyerang siapa sahaja. Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi juga sudah terkena. Beliau disahkan positif selepas pulang dari Le Mans minggu lepas dan kini berada di kampung halaman beliau di Tavullia, Itali.

    Berita ini disahkan sendiri oleh Rossi dalam media sosial di mana beliau menyatakan rasa sedih dan hampa terutamanya kerana tidak dapat berlumba dalam dua pusingan yang paling hampir sekarang iaitu di Aragon.

    “Malangnya, pagi ini saya bangun dan rasa tidak berapa sihat. Tulang saya rasa mencucuk dan saya ada sedikit demam, jadi saya terus menghubungi doktor yang telah menguji saya dua kali. ‘Ujian pantas PCR’ menunjukkan keputusan negatif, sama seperti ujian yang saya buat Selasa lalu. Tetapi, ujian kedua, yang mana keputusannya diberikan kepada saya 16:00 petang tadi malangnya menunjukkan tanda positif.

    Valentino Rossi positif Covid-19 – kini asingkan diri

    “Saya sangat hampa saya akan terlepas perlumbaan di Aragon. Saya ingin menjadi optimis dan yakin, tetapi saya jangkakan pusingan kedua di Aragon juga saya masih tidak boleh menyertainya. Saya sedih dan marah kerana saya telah lakukan yang terbaik untuk menghormati protokol dan walaupun keputusan ujian Selasa lalu negatif, saya telah mengasingkan diri sejak tiba dari Le Mans.

    Apapun, beginilah keadaan sekarang, dan saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah situasi ini. Sekarang saya akan mengikut semua saranan perubatan yang diberi dan saya harap saya akan kembali pulih tidak lama lagi.”

     
     
  • Nissan Magnite 2021 diperkenal di India 21 Okt ini

    Nissan Magnite 2021 diperkenal di India 21 Okt ini

    Baru tiga bulan berlalu sejak pertama kali Nissan Magnite Concept ditunjuk, tahu-tahu pasaran India akan memperkenalkan SUV segmen B tersebut secara rasmi pada 21 Oktober nanti. Berita ini muncul selepas seminggu model produksinya dilihat sedang diuji di negara tersebut.

    Walaupun sebuah SUV segmen B, Magnite agak kecil daripada biasa. Panjangnya kurang daripada empat meter, dan akan bersaing dalam pasaran SUV kecil yang padat di sana. Magnite bagaimanapun bukanlah model yang unik hanya untuk pasaran India, kerana menurut Nissan, ini sebuah SUV global. Ia juga telah diuji di kemudahan syarikat itu di Nissan Tochigi Proving Ground, Jepun.

    Pengarah Urusan Nissan Motor India, Rakesh Srivastava memaklumkan; “Nissan Magnite direka khusus di Jepun, dengan mempertimbangkan keperluan pelanggan di India. Ia satu penawaran yang berani bagi segmen kenderaan di bawah empat meter panjang, dan kami yakin Magnite akan membawa definisi baru dan mengunjurkan sempadan SUV segmen B.”

    Nissan Magnite 2021 diperkenal di India 21 Okt ini

    Tak banyak yang didedahkan berkaitan spesifikasinya setakat ini. Ia didakwa menggunakan platform CMF-A yang sama dengan Renault Triber, dan kemungkinan akan gunakan enjin yang sama juga. Laporan dari India menyebut akan ada empat gandingan penjana kuasa akan ditawarkan, termasuk unit 1.0 liter NA tiga-silinder yang menghasilkan 72 hp, serta dengan pilihan kotak gear manual atau AMT. Ada juga enjin 1.0L turbocas tiga-silinder dengan gear manual atau CVT. SUV ini dipacu oleh roda depan.

    Walaupun akan dilancarkan dalam masa terdekat, Magnite hanya akan dijual bermual Januari 2021 nanti. Di India, model ini akan bersaing dengan model-model seperti Maruti Suzuki Vitara Brezza, Hyundai Venue, Tata Nexon, dan Kia Sonet.

     
     
  • Hadkan kelajuan 180 km/j idea kelakar? Tonton video dari Volvo ini dan mungkin fikiran anda akan berubah

    Macam-macam sindiran diberikan pada Volvo ketika mereka mengumumkan untuk mengehadkan had laju kereta-kereta mereka kepada hanya 180 km/j awal tahun ini. Sebenarnya, ini bukan pertama kali mereka berhadapan situasi yang sama.

    Seperti yang ramai tahu, tali pinggang keledar tiga poin yang kita pakai hari ini adalah hasil rekaan jurutera Volvo, Nils Bohlin pada tahun 1959. Volvo memberikan paten tersebut secara percuma kepada semua pengeluar automotif untuk menggunakannya dengan niat untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

    Namun ketika undang-undang mandatori untuk mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar ini diumumkan, idea berkenaan mendapat pelbagai cemuhan dari orang ramai dan media, sehingga satu laporan dari akhbar New York Times pada 1973 menyebut bahawa pemakaian tali pinggang keledar ini “melanggar hak asasi individu”!

    Hadkan kelajuan 180 km/j idea kelakar? Tonton video dari Volvo ini dan mungkin fikiran anda akan berubah

    Baru-baru ini, Volvo telah menyiarkan satu video bertajuk “A Million More” yang memaparkan cerita-cerita terus dari mulut mereka-mereka yang terselamat dari menjadi korban ketika berlaku kemalangan jalan raya, kerana memakai tali pinggang keledar. Paling mengharukan, kesemua mereka yang terselamat ini seakan tidak percaya apa yang dihamburkan oleh media terhadap undang-undang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar berkenaan.

    Sehingga kini, dianggarkan lebih dari sejuta nyawa yang terselamat dari terkorban dalam kemalangan trafik kerana memakai tali pinggang keledar. Menurut Volvo, walaupun sekali lagi menerima pelbagai kritikan, mereka nekad untuk mengehadkan kelajuan 180 km/j tersebut bagi menyelamatkan lebih sejuta lagi nyawa pada masa akan datang.

    Idea untuk mengehadkan kelajuan kenderaan hanya pada 180 km/j ini telah disuarakan Volvo pada Mac 2019, dengan menyatakan bahawa mereka percaya kelajuan adalah penyebab utama kecederaan dan juga kehilangan nyawa ketika berlakunya kemalangan. Perlaksanaan untuk mengehadkan kelajuan tersebut mula dibuat pada model-model baharu mereka bermula tahun ini.

     
     
  • Heico Sportiv tawar ‘buka’ had laju maksima 180 km/j pada model-model baharu Volvo dengan e.motion

    Heico Sportiv tawar ‘buka’ had laju maksima 180 km/j pada model-model baharu Volvo dengan e.motion

    Awal tahun ini, Volvo telahpun mengumumkan bahawa model-model baharu mereka serta merta akan dihadkan kelajuan maksima masing-masing hanya pada 180 km/j bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian pada kereta-kereta mereka.

    Model-model petrol baharu Volvo kini semuanya hadir dengan enjin Drive-E yang disuap pengecas turbo (T4 dan T5), malah untuk model lebih tinggi (T6 dan T8) turut diberikan turbo dan supercharger serentak – pecutan dah kuat tapi top speed tak tinggi, mesti ada pemilik yang rasa agak geram kan?

    Namun untuk mereka yang tak berpuas hati, masih lagi ada cara untuk mengembalikan had kelajuan asal model-model berkenaan. Penala Volvo dari Jerman, Heico Sportiv mengumumkan bahawa kotak komputer enjin (ECU) e.motion mereka akan dihasilkan dalam versi khusus untuk tujuan tersebut dan akan mula dijual pada November ini.

    Heico Sportiv tawar ‘buka’ had laju maksima 180 km/j pada model-model baharu Volvo dengan e.motion

    Heico Sportiv sudah lama menawarkan ECU e.motion ini untuk kegunaan enjin-enjin Volvo di mana ia akan mengoptimakan lagi talaan enjin berkenaan bagi mengekstrak lebih kuasa kuda dan tork serta kelajuan maksima kereta berkenaan. Untuk versi yang diumumkan kali ini, ia mampu mengembalikan had laju asal (30 hingga 70 km/j bergantung pada model) model-model 2021 sama seperti model-model 2020.

    Ia bukan sahaja untuk model-model petrol, malah turut ditawarkan untuk model-model yang dijana enjin turbodiesel dan model hibrid Volvo siri 40, siri 60 dan siri 90. Pembelian dan pemasangan kotak komputer yang datang lengkap dengan pendawaian ini juga diberikan waranti selama 60 bulan.

    Untuk pasaran Eropah, ECU e.motion Heico Sportiv ini akan dijual pada harga bermula 1,112.06 euro (RM5.4k) hingga 1543.10 euro (RM7.5k).

    Buat masa sekarang, model-model CKD Volvo yang dipasang di kilang Shah Alam masih belum dihadkan kelajuan maksimanya. Menurut Volvo Cars Malaysia, langkah tersebut akan dibuat pada masa akan datang dan antara model terawal yang akan menerapkan fungsi tersebut adalah sedan S60 T8 Twin Engine R-Design.

     
     
  • Nissan Navara NP300 facelift 2021 dijumpai di Thailand

    Nissan Navara NP300 <em>facelift</em> 2021 dijumpai di Thailand

    Nissan Navara NP300 sudah berada kira-kira enam tahun dalam pasaran, adakah Nissan akan menghasilkan model generasi baharu untuk trak pikap ini? Nampak usia produksinya masih lagi panjang di mana ia dijumpai dalam versi facelift di Thailand.

    Gambar Navara facelift yang anda lihat ini disiarkan oleh portal automotif Thai, Headlightmag dan menyatakan ini adalah dari versi ‘minor change’ (MC). Ia nampaknya kini diberikan muka yang diinspirasikan dari ‘abang besar’nya untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Nissan Titan.

    Kluster lampu hadapan Navara ini nampaknya masih seakan sama dengan model sedia ada (ini mungkin dari varian rendah kerana hadir dengan lampu halogen reflektor dengan rim bukan aloi), tetapi gril hadapan telah diubah dengan kemasan krom yang lebih banyak serta ‘hidung’ yang direka nampak lebih tinggi.

    Gril baharu dengan bezel krom tebal di atas dan sisi ini juga memerlukan bampar hadapan Navara MC ini turut diubah, menampilkan perumah lampu kabus yang direka ‘berdiri’, berbanding melintang pada model sedia ada.

    Nissan Navara 2018 pasaran Malaysia (kiri) dan Nissan Titan pasaran Amerika Syarikat (kanan)

    Ini sebenarnya adalah facelift kali pertama yang diberikan pada Navara, selepas ia membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada tahun 2014, dan kemudian tiba di pasaran Malaysia pada 2015.

    Dikhabarkan, Navara MC 2021 ini bakal menerima enjin diesel 2.3 liter dengan dua pengecas turbo yang sama seperti SUV tujuh-tempat duduk dari platform yang sama iaitu Nissan Terra. Enjin YS23DDTT pada Terra berkenaan menghasilkan 190 PS pada takat 3,750 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,500 hingga 2,500 rpm – kuasa yang hampir sama dengan Navara sekarang tetapi dengan kapasiti 2.5 liter.

    Untuk transmisi, boleh dijangka ia masih akan menggunakan unit kotak gear automatik tujuh-kelajuan yang sama. Memandangkan Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan juga Ford Ranger kini sudahpun menerima sistem bantuan pemanduan termasuk sistem brek kecemasan automatik, Navara 2021 ini juga mungkin akan dibekalkan dengan sistem Nissan Safety Shield 360.

    Jadi apa pendapat anda berkenaan rupa baharu Navara NP300 ini? Suka dengan penampilan ala trak gergasi Amerika, atau lebih suka dengan imej Navara yang sekarang?

    GALERI: Nissan Navara NP300 2018 VL Black Series pasaran Malaysia

     
     
  • Toyota Innova facelift 2020 diperkenalkan di Indonesia

    Toyota Innova facelift 2020 diperkenalkan di Indonesia

    Toyota baru sahaja memperkenalkan Innova facelift di Indonesia, yang dinaik taraf pada beberapa bahagian luar dan dalam. Dimensi MPV ini bagaimanapun masih lagi sama iaitu panjang 4,735 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,795 mm dan jarak roda 2,750 mm.

    Model yang juga dipanggil sebagai Kijang ini datang dalam dua pilihan enjin iaitu unit petrol empat silinder 2.0 liter 1TR-FE atau diesel turbo empat silinder 2.4 liter 2GD-FTV. Kedua-duanya boleh didapati dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik enam kelajuan.

    Innova yang menggunakan enjin petrol mampu menghasilkan kuasa 139 PS pada 5600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm, sementara model berenjin diesel pula menghasilkan 149 PS pada 3,400 rpm dan 342 Nm tork pada antara 1,200 hingga 2,800 rpm apabila dipadankan bersama transmisi manual. Jika menggunakan transisi automatik, torknya bertambah menjadi 360 Nm antara 1,200 hingga 2,600 rpm.

    Toyota Innova facelift 2020 diperkenalkan di Indonesia

    Innova yang digerakkan oleh enjin petrol datang dalam empat varian iaitu G, G Luxury, V dan V Luxury manakala Innova yang menggunakan enjin diesel pula datang dalam pilihan varian G dan V. Semua varian ini boleh didapati dengan transmisi manual dan juga automatik.

    Perubahan utama pada bahagian rupa Innova facelift ini adalah gril yang kini mempunyai kemasan krom di sekelilingnya sementara jalur tengahnya pula dicat warna hitam. Pada varian V dan V Luxury, lampu utamanya menggunakan unit projector LED. Pada bahagian belakang terdapat tempat nombor plet berbentuk heksagon berwarna hitam dan keliling lampunya juga diletakkan kemasan hitam. Rekaan rim adalah baru, dengan saiz 16 inci dan dibalut tayar 205/65.

    Masuk ke dalam, bentuk papan pemuka masih kelihatan sama seperti model sebelumnya, dengan varian G dan G Luxury diberikan head unit lapan inci yang boleh disambung dengan USB, Bluetooth serta fungsi mirroring, manakala V dan V Luxury ditambah lagi dengan sambungan telefon pintar dan Miracast.

    Tempat duduk baris kedua masih lagi menggunakan jenis kapten yang berasingan dan ia kemudiannya ditambah lagi dengan skrin hiburan di konsol tengah untuk varian V dan V Luxury. Pilihan warna yang ditawarkan adalah Super White 2, Silver Metallic, Dark Gray Mica Metallic, Attitude Black dan Phantom Brown.

    Kelengkapan lain yang diberikan pada Innova facelift ini adalah termasuk pembersih udara dengan ioniser untuk varian Luxury, lampu suasana untuk varian V dan V Luxury, dua beg udara hadapan dan beg udara kaki untuk pemandu, cagak Isofix, kawalan kestabilan, Hill Start Assist, ABS dan EBD.

     
     
  • Lexus IS 2021 dilancar di Australia – dari RM182,097

    Lexus IS 2021 dilancar di Australia – dari RM182,097

    Selepas empat bulan Lexus IS 2021 diperkenalkan di peringkat global, sedan yang dinaik taraf ini telah pun mula dibuka pra-tempahan untuk pasaran Australia. Sedan ini juga akan menerima lima peningkatan iaitu bantuan membelok di persimpangan, bantuan stereng kecemasan, notifikasi pelanggaran automatik, panggilan SOS dan penjejak kenderaan yang dicuri.

    Barisan IS bermula dengan IS 300 Luxury yang ditawarkan pada harga AUD61,500 (RM182,097), dan ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 241 hp dan tork 350 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Model seterusnya ialah IS 300h Luxury hybrid yang berharga AUD64,500 (RM190,733), di mana ia menggabungkan enjin 2.5 liter naturally aspirated empat-silinder sebaris petrol dengan kuasa 221 Nm bagi tork dan digandingkan bersama motor elektrik dengan tork 300 Nm, bersama jumlah keseluruhan output pula cecah 220 hp.

    Lexus IS 350 F Sport

    Kedua-dua IS 300 Luxury dan IS 300h Luxury turut diberikan pilihan Enhancement Pack berharga AUD2,000 (RM5,914) yang ditampilkan dengan moonroof, roda 19-inci, lampu utama LED gred-tinggi, kemasan tempat duduk balutan kulit, pengaliran udara untuk tempat duduk belakang, ketetapan memori bagi tempat duduk pemandu, pelindung matahari larasan kuasa di belakang dan sistem audio Mark Levinson bersama 17-pembesar suara.

    Ciri standard lain bagi IS Luxury termasuk skrin sesentuh 10.3-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kemasukan pintar, tempat duduk hadapan dengan larasan lapan-hala dan fungsi pemanas, kawalan suhu dwi-zon, sistem audio dengan 10-pembesar suara, navigasi satelit dengan Suna 6 live traffic, kawalan suara dan lampu utama LED dengan lampu tinggi automatik.

    Varian ketiga dalam barisan IS yang ditawarkan di Australia hadir dengan enjin 3.5 liter naturally aspirated V6 (311 hp/380 Nm) yang ditampilkan pada model IS 350 dan berharga dari AUD75,000 (RM221,829), di mana ia ditawarkan dengan varian tunggal bagi F Sport. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, yang menyalurkan pacuan ke roda belakang.

    Kit standard yang ditawarkan untuk F Sport termasuklah aloi 19-inci, spoiler dan kit badan F Sport, hiasan dan scuff plates F Sport, lampu utama LED gred-tinggi, lima mod Pemilihan Pemanduan, suspensi boleh laras adaptif, kemasan kulit, pedal dan tempat duduk sport F Sport, tempat duduk pemandu dengan ketetapan memori, tempat duduk hadapan dengan pengaliran udara dan paparan instrumen digital lapan-inci.

    Lexus IS 2021 dilancar di Australia – dari RM182,097

    Pembeli yang memilih kemasan F Sport untuk ketiga-tiga varian IS 300, IS 300h dan IS 350 juga diberikan pilihan Enhancement Pack berharga AUD3,300 (RM9,760), yang merangkumi moonroof, pelindung matahari larasan kuasa di belakang dan sistem audio Mark Levinson bersama 17-pembesar suara.

    Untuk kit keselamatan bagi Lexus IS termasuklah Lexus Safety System+ dengan amaran pra-pelanggaran, bantuan brek pra-pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada siang hari, dan brek pra-pelanggaran (brek kecemasan sendiri) dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada siang hari. IS juga menerima bantuan membelok kiri dan kanan di persimpangan, yang akan memberikan amaran kepada pemandu dan membrek sekiranya pemandu membelok ke arah trafik yang datang.

    IS untuk pasaran Australia turut menerima bantuan stereng kecemasan, di mana stereng akan bergerak secara automatik sekiranya tiba-tiba ada pejalan kaki di lorong kereta yang dipandu itu. Selain itu, ia turut menampilkan sistem bantuan pemandu termasuk kawalan kelajuan adaptif semua-kelajuan, bantuan mengesan lorong, bantuan tanda jalan, paparan titik buta, brek sokongan parkir dan kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek.

     
     
  • Yamaha Vinoora di Taiwan – rupa comel, enjin 125 cc

    Yamaha Vinoora di Taiwan – rupa comel, enjin 125 cc

    Taiwan adalah antara negara yang menerima produk unik daripada Yamaha kalau dibandingkan dengan Malaysia dan negara Asia lain. Terbaru, sebuah model yang dinamakan sebagai Vinoora dilancarkan untuk negara itu, dan ia menampilkan rupa tersendiri yang menggabungkan ciri retro dan moden.

    Paling menarik perhatian adalah bahagian depannya, yang menggunakan dua lampu LED berbentuk bulat seakan mata watak kartun. Lampu belakang juga menggunakan bentuk sama, tetapi cuma satu sementara bahagian pemegang dan meter digitalnya pula dibiarkan terdedah.

    Skuter ini digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 125 cc, dipadankan bersama transmisi CVT dan dilengkapi dengan sistem start/stop (enjin mati sendiri apabila berhenti dan kembali hidup apabila pendikit dipulas). Tangki bahan api berkapasiti empat liter.

    Kelengkapan lain yang terdapat padanya adalah termasuk brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk, rim 10 inci dengan tayar 90/90, berat 94 kg dan pilihan empat warna.

    Selain versi standard, Yamaha turut memperkenalkan satu lagi versi Vinoora yang dipanggil sebagai Vinoora M. Selain menggunakan warna hitam matte, versi ini turut dipasang dengan kemasan tambahan di hadapan lampu, pemegang belakang yang lebih besar serta tempat duduk berwarna coklat yang lebih tebal.

     
     
  • UMW Toyota jual 5,605 unit kenderaan sepanjang September, 18,870 unit bagi tempoh suku ketiga 2020

    UMW Toyota jual 5,605 unit kenderaan sepanjang September, 18,870 unit bagi tempoh suku ketiga 2020

    UMW Holdings telah mengumumkan prestasi jualan UMW Toyota bagi bulan September serta suku ketiga tahun 2020. Sepanjang September, UMWT telah menjual sebanyak 5,605 unit kenderaan, dengan Toyota Vios, Yaris dan Hilux menjadi model-model utama yang mendahului jualan tempoh itu.

    Bagi prestasi jualan suku ketiga 2020 pula, syarikat itu mendedahkan sebanyak 18,870 unit kenderaan telah terjual oleh UMWT sepanjang tempoh itu, mencatatkan peningkatan sebanyak 2,242 unit (atau 13.5%) berbanding 16,628 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu. Syarikat itu menambah, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2020, UMWT berjaya menjual sebanyak 37,339 unit, iaitu sebanyak 70.5% daripada sasaran untuk menjual 53,000 unit tahun ini.

    Hebahan media oleh UMW Holdings juga turut mendedahkan jualan bulan September dan suku ketiga tahun ini oleh Perodua, di mana syarikat itu mempunyai 38% kepentingan. Pemangku Presiden dan CEO UMW Holdings, Azmin Che Yusoff menyatakan, syarikat berpuas hati dengan pencapaian jualan yang memberangsangkan oleh kedua-dua UMWT dan Perodua bagi suku ketiga tahun ini, walaupun keadaan pasaran terjejas akibat Covid-19.

    “Kami juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dengan pengecualian cukai jualan untuk merancakkan semula industri automotif di Malaysia. Kami yakin, momentum jualan yang kukuh akan berterusan sehingga suku terakhir tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

     
     
  • Proton sahkan seorang pekerjanya positif Covid-19

    Proton sahkan seorang pekerjanya positif Covid-19

    Proton hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan bahawa seorang pekerjanya telah positif jangkitan wabak Covid-19 pada 14 Oktober 2020.

    Menurut kenyataan tersebut, pekerja berkenaan bertugas di bahagian Penyelidikan & Pembangunan di Shah Alam, dan beliau telah dihantar ke pusat rawatan kerajaan selepas keputusan positif itu diketahui.

    Proton juga menyatakan bahawa pihaknya telah mengikuti semua garis panduan pencegahan dari pihak kerajaan, serta telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kemungkinan penularan wabak ini.

    Kenyataan itu turut menyebut bahawa aktiviti pengesanan kontak telah dimulakan dan semua rakan sekerja staf terbabit telah diarahkan untuk menjalankan kuarantin di rumah masing-masing, manakala pembersihan secara mendalam dan pembasmian kuman telah dijalankan di tempat kerja berkenaan.

    “Oleh kerana pekerja terlibat tidak menghadap para pelanggan, pihak syarikat yakin bahawa risiko penyebaran ke pihak luaran adalah rendah. Sejak permulaan pandemik ini, Proton telah mengikuti semua garis panduan yang dibentang oleh pihak berkuasa dan kami ingin mengesyorkan semua pelanggan bahawa akan terus berbuat demikian,” jelas kenyataan berkenaan

    “Keselamatan semua pekerja Proton, para pelanggan dan rakyat Malaysia akan sentiasa diutamakan,” tegas syarikat itu lagi dan memberitahu bahawa situasi ini akan dipantau secara terperinci sebelum keputusan untuk langkah-langkah seterusnya diambil.

     
     
  • Honda Forza 350, Forza 150 2021 – enjin dinaik taraf

    Honda Forza 350, Forza 150 2021 – enjin dinaik taraf

    Berita utama untuk pengenalan model skuter baru Forza oleh Honda sudah tentu tertumpu kepada versi 750 tetapi ini tidak bermakna pengeluar itu melupakan model yang lebih kecil. Mereka turut mendedahkan sekali Forza 350 dan Forza 150 yang dinamakan sebagai model tahun keluaran 2021.

    Forza 350 bakal masuk ke dalam pasaran untuk menggantikan Forza 300, dan seperti yang boleh dilihat daripada namanya, kapasiti enjin satu silinder empat injap model ini telah ditingkatkan untuk menjadi 330 cc sekaligus kuasanya meningkat 16%, dengan jumlah keseluruhan 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.5 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Selain kapasiti, beberapa bahagian lain dalam enjin turut dinaik taraf termasuk crankshaft 10% lebih ringan, throttle body lebih besar (36 mm), injap lebih besar (28 mm), piston oil jet, lubang intake dan ekzos yang diubah, ekzos direka semula serta pelaras rantai cam hidraulik. Transmisi adalah unit CVT yang menggunakan tali sawat untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Penampilan skuter baru ini sudah tentu dipertingkat untuk menjadikannya terus menarik dan di hadapan mempunyai penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik. Di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan yang boleh memuatkan dua helmet fullface dan juga soket pengecas USB. Tangki bahan api berkapasiti 11.7 liter.

    Panel instrumen juga telah dinaik taraf, di mana ia sekarang boleh disambungkan dengan Honda Smartphone Voice Control, tetapi dijual sebagai pilihan tambahan. Skuter ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh ditutup sekiranya mahu dan ABS two channel.

    Kelengkapan lain pada Forza 350 adalah fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, brek cakera tunggal 256 mm di hadapan dan 240 mm di belakang, berat 184 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, sistem tanpa kunci dan semua lampu LED.

    Pergi pula kepada model Forza paling kecil, iaitu Forza 125, hanya beberapa bahagian sahaja yang dipertingkat termasuklah penampilan. Kemudiannya, ia sekarang dipasang dengan penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik, sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta pengecas USB untuk menggantikan soket kuasa 12V biasa.

    Enjin masih tidak berubah, menggunakan unit satu silinder empat injap 125 cc suntikan bahan api, berserta transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 14.7 hp pada 8,750 rpm dan 12.2 Nm tork pada 6,500 rpm, tetapi ia sekarang sudah menepati tahap emisi Euro 5.

    Ruang bawah tempat duduk Forza 125 juga boleh menempatkan dua helmet full face, dan kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk sistem tanpa kunci, semua lampu LED dan tangki bahan api 11.5 liter. Rim adalah unit 15 inci di hadapan, dan 14 inci di belakang sementara brek pula kedua-dua bahagian menggunakan cakera.

    GALERI: Forza 350 2021

    GALERI: Forza 125 2021

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025