Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Skoda Enyaq iV ditunjuk — hingga 510 km jarak EV

    Skoda Enyaq iV ditunjuk — hingga 510 km jarak EV

    Kumpulan Volkswagen mempunyai barisan kenderaan baru dengan teknologi elektrik yang cukup meyakinkan ketika ini. Ketika Volkswagen ID.4 menuju pengenalan rasminya tak lama lagi, Skoda diam-diam telah “memintas” terlebih dahulu dengan menampilkan versi syarikat itu terhadap model berkenaan, yang dikenali sebagai Enyaq iV. Ini merupakan model pertama jenama itu yang menggunakan Modular Electrification Toolkit (MEB).

    Reka bentuknya lebih “berat” ke bahagian depan yang lebih pendek, dengan rekaan bersegi yang sibuk. Gril oktagonalnya kelihatan tertonjol sedikit ke depan; wajah depan bagi versi paling tinggi menerima Crystal Face dengan lampu terdiri daripada 130 LED. Gril berkenaan dilengkapi juga dengan lampu utama LED matriks.

    Dari sisi, Enyaq mengekalkan bentuk umum bahagian cermin yang sama seperti ID.4, tetapi mempunyai garis bahu yang lebih ketara – dari depan dibawa hingga ke belakang. Ada lapan pilihan untuk rim, dari saiz 18-inci hingga 21-inci ditawarkan.

    Skoda Enyaq iV ditunjuk — hingga 510 km jarak EV

    Di dalam, SUV elektrik ini menempatkan lima tempat duduk, dengan rekaan papan pemuka dengan lapisan rendah, skrin sentuh terapung, paparan panel instrumen digital 5.3-inci serta konsol tengah yang tinggi menyediakan banyak ruang untuk barangan kecil. Perehat lengannya menyediakan Jumbo Box 6.2 liter, sementara bahagian bawah konsol tengah yang sama menyediakan 11.4 liter.

    Untuk material, Skoda memberikan beberapa pilihan. The Lodge misalnya, menggunakan upholstery yang diperbuat daripada 40% wool dan 60% polyester daripada botol PET kitar semula. Sementara itu, ecoSuite pula menggunakan kulit warna cognac yang diproses menggunakan ekstrak daun zaitun.

    Sebagai ciri standard, paparan di tengah bersaiz 10-inci, tetapi boleh juga memilih versi 13-inci. Berdasarkan Modular Infotainment Matrix Volkswagen, ia akan menampilkan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pengecas tanpa wayar Qi. Tombol pembesar suara digantikan dengan touch slider, dan sistemnya juga boeh mengesan kawalan gerak tangan.

    Skoda Enyaq iV ditunjuk — hingga 510 km jarak EV

    Sistem kawalan suara Laura juga mampu memahami 15 bahasa. Aplikasi Skoda Connect membolehkan pengguna mengawal dan menjadualkan pengecasan bateri dan penghawa dingin. Empat pembesar suara datang sebagai standard, dengan pilihan untuk lapan dan 12 unit turut disediakan.

    Enyaq ditawarkan dalam lima pilihan sistem janaan kuasa. Paling asas 50 menggunakan motor elektrik yang menjana 109 kW (146 hp) dan 220 Nm tork, serta bateri lithium-ion 55 kWh yang memberikan jarak 340 km. Bagi model 60 pula, outputnya menjadi 132 kW (177 hp) dan 310 Nm, sementara bateri 62 kWh memberikan jarak perjalanan 390 km.

    Skoda Enyaq iV ditunjuk — hingga 510 km jarak EV

    Tetapi model 80 yang paling tinggi, dengan bateri 82 kWh yang membolehkan Enyaq mencapai jarak 510 km. Versi ini memberikan 150 kW (201 hp). Dua model paling tinggi itu menggunakan bateri yang sama, dibezakan hanya dengan kehadiran motor elektrik kedua pada gandar depan, dengan jarak berkurangan menjadi 460 km.

    Varian 80x diberikan kuasa yang lebih, 195 kW (261 hp), tepi bagi model RS pula menghasilkan 225 kW (302 hp); pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 180 km/j, lebih 20 km/j dari varian lain. Semua model boleh mengguncakan pengecas AC 7.2 kW dan DC 50 kW. Cuma varian 80 ke atas saja boleh menggunakan pengecas pantas, dengan kuasa 150 kW.

     
     
  • Volkswagen ID.4 – bahagian dalam pula didedah, pengenalan penuh SUV elektrik baru hujung bulan ini

    Volkswagen ID.4 – bahagian dalam pula didedah, pengenalan penuh SUV elektrik baru hujung bulan ini

    Hujung bulan ini Volkswagen akan memperkenalkan sebuah SUV elektrik, ID.4 yang akan menjadi model ID kedua diperkenalkan kepada pasaran selepas ID.3. Sebelum itu, sedikit demi sedikit perinciannya didedah; paling baru adalah bahagian dalamnya.

    Volkswagen menjanjikan ruang kabin yang lebih luas berbanding model setara dengannya, dan ini dikatakan sebagai satu kelebihan yang didapati daripada penggerak elektrik kompaknya. Ketua bahagian rekaan Volkswagen Group, Klaus Zyciora merumuskan bahagian dalam ini sebagai “kebebasan pada bahagian luar, ruang bebas di bahagian dalam.

    Pemegang pintu ID.4 adalah sama rata dengan permukaan badan, dan ia datang dengan fungsi membuka secara elektrik. Bukaan pintu itu adalah luas dan kedudukan tempat duduk adalah tinggi, sementara tempat duduk belakang pula menyediakan ruang yang sama seperti SUV biasa dalam segmen yang satu tahap lebih tinggi daripadanya. Ruang barangan belakang adalah 543 liter sebelum tempat duduk dibaringkan.

    Volkswagen ID.4 – bahagian dalam pula didedah, pengenalan penuh SUV elektrik baru hujung bulan ini

    Pada aspek rekaan, Volkswagen memberitahu papan pemuka ID.4 nampak mengalir, ringan dan lebih memberikan fokus kepada benda-benda penting. Panel papan pemuka direka untuk nampak terapung dan ia tidak bersambung dengan konsol tengah.

    Skrin besar yang terapung di tengah, dengan butang kawalan dan corong pendingin hawa di bawahnya mengingatkan kami sedikit kepada bahagian papan pemuka Toyota Corolla. Apabila gelap, lampu latar pada papan pemuka ini boleh dilaras kepada 30 warna. Bumbung panoramik yang besar disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Satu ciri baru bagi model ID adalah ID Light. Melaluinya, jalur lampu di bawah cermin hadapan akan membantu pemandu dalam situasi tertentu dengan mengeluarkan kesan cahaya intuitif dalam warna berbeza. Antara situasinya adalah seperti waktu enjin baru dihidupkan atau kereta dikunci.

    ID Light juga mendapat informasi daripada sistem bantuan pemandu lain serta sistem navigasi, dan boleh memberi isyarat sekiranya terdapat panggilan telefon. Bersama sistem navigasi, ID Light akan membantu pemandu dalam trafik dengan berkelip apabila perlu menukar lorong atau keluar simpang.

    Tempat duduk ID.4 dinyatakan sebagai sporty dan selesa. Semasa pelancaran di Jerman nanti, model keluaran terhad ID.4 1ST Max akan menggunakan tempat duduk yang mendapat tanda kelulusan daripada German Campaign for Healthier Backs (AGR), dan tempat duduk itu datang dengan pelbagai larasan elektrikal dan fungsi mengurut.

    Model ID.4 1ST dan ID.4 1ST Max keluaran terhad juga akan datang dengan balutan tempat duduk yang dibuat daripada bahan yang tidak melibatkan haiwan. Volkswagen menggunakan kombinasi kulit buatan dan ArtVelours, iaitu bahan gentian mikro yang 20% daripadanya adalah botol PET kitar semula.

     
     
  • PLUS umum penutupan jalan susur masuk Plaza Tol Kajang ke Kuala Lumpur pada 9 Sept-9 Okt 2020

    PLUS umum penutupan jalan susur masuk Plaza Tol Kajang ke Kuala Lumpur pada 9 Sept-9 Okt 2020

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan jalan susuk masuk ke Plaza Tol Kajang menuju ke Kuala Lumpur kepada semua kenderaan bermula 9 September ini hingga 9 Oktober 2020, mulai jam 10 malam hingga 5 pagi. Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan memotong pokok-pokok besar menggunakan jentera khas dapat dijalankan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.

    Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dari arah Kajang yang ingin menuju ke Kuala Lumpur dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dengan menggunakan Lebuh raya SILK dan Besraya untuk ke pusat bandaraya. Malah pengguna juga boleh menggunakan Lebuh raya SILK dan Besraya untuk memasuki lebuh raya PLUS melalui Plaza Tol UPM.

    PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi semua papan tanda dan arahan yang disediakan oleh pihak PLUS.

     
     
  • Daigo Saito sumbat enjin 2JZ dalam Toyota GR Yaris!

    Daigo Saito sumbat enjin 2JZ dalam Toyota GR Yaris!

    Tahun lalu, baru selepas kira-kira dua bulan Toyota GR Supra membuat pendedahan sulung globalnya, Drifter dari Jepun iaitu Daigo Saito telah mengejutkan dunia sukan permotoran dengan Supra A90 pertama di dunia yang dikuasakan oleh enjin lagenda Supra generasi sebelumnya – 2JZ-GTE. Ini satu lagi kejutan yang dibuat oleh Daigo menerusi firmanya, Fat Five Racing – mereka telah menghasilkan hot-hatch homologasi WRC Toyota GR Yaris yang juga dijana enjin 2JZ!

    Ini bermakna, enjin asal G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS/370 Nm dalam perut GR Yaris berkenaan (atau mungkin enjin M15A-FKS 1.5L Dynamic Force 120 PS/145 PS jika ia dari varian paling rendah GR Yaris RS pasaran Jepun) yang diletakkan secara melintang, serta sistem pacuan semua roda GR Four telah dikeluarkan.

    Ia kemudiannya digantikan dengan enjin yang sekali ganda lebih panjang 2JZ enam-silinder sebaris, yang diletakkan secara menegak – anda boleh perhatikan bahagian firewall yang telah dipotong – bagi memacu 100% kuasa ke roda belakang, sebagai sebuah jentera drift.

    Menurut Daigo, enjin 2JZ berkenaan kini menghasilkan kuasa 1000 hp, walau bagaimanapun tidak memperincikan spesifikasi lengkapnya. Namun boleh dijangka, ia diolah dengan resipi sama seperti enjin yang berada dalam Supra A90 miliknya, menampilkan sesaran yang ditingkatkan dari 3.0 liter kepada 3.4 liter, disuap pengecas turbo tunggal bersaiz gergasi, hasil sentuhan dari HKS.

    Pada bahagian luaran, GR Yaris 2JZ Fat Five Racing ini menampilkan kit badan yang sama seperti GR Yaris HKS Concept yang disiarkan minggu lalu, iaitu kit badan lebar Pandem Rocket Bunny, rekaan Kei Miura dari Tra-Kyoto. Ia menerima livery penaja utama Fat Five Racing iaitu Sunoco dan Monster Energy Drink, dan juga rim Work Emotion CR3P ELG berwarna hijau.

     
     
  • Grab luaskan operasi di kawasan bandar kecil di Semenanjung Malaysia menjelang akhir bulan ini

    Grab luaskan operasi di kawasan bandar kecil di Semenanjung Malaysia menjelang akhir bulan ini

    Baru-baru ini Grab Malaysia telah mengumumkan akan meluaskan operasinya di lebih banyak kawasan bandar kecil di Semenanjung Malaysia menjelang akhir bulan ini.

    Menurut Ketua Luar Bandar, Grab Malaysia, Ben Chin, operasi yang diperluaskan ini termasuklah di Mersing dan Segamat di Johor, Cameron Highlands di Pahang, Pantai Remis di Perak dan Baling, Kedah, laporan New Straits Times.

    “Pengembangan ini sebahagian daripada perjalanan berterusan Grab untuk memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia malah membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk pekerja ekonomi gig dan perniagaan berkembang serta mencapai keseimbangan bagi industri ini terus mampan,” katanya.

    Tambah beliau, rancangan memperluaskan operasi ini akan menyaksikan perkhidmatan GrabCar di Mersing dan Segamat akan bermula akhir bulan ini dan seterusnya diikuti oleh perkhidmatan GrabFood dan GrabMart yang dirancang untuk dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

    Grab luaskan operasi di kawasan bandar kecil di Semenanjung Malaysia menjelang akhir bulan ini

    Sementara itu, Ketua Bahagian Kerajaan dan Hal Ehwal Awam Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah pula berkata, Grab juga memperluas inisiatif ‘Pakej Pikul Bersama’ bagi ahli pemandu baharu yang menyertai platform itu dengan menyediakan pembayaran balik secara sekali sahaja sehingga RM120 bagi lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan RM70 bagi pemeriksaan permulaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    Menurutnya inisiatif itu diwujudkan bagi membantu rakan pemandu melepasi beberapa proses peraturan ketika pertama kali diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, tahun lepas sekaligus membantu memastikan ekonomi yang lebih adil dan inklusif.

    “Grab bermatlamat untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong dan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan bagi rakyat Malaysia di seluruh negara dengan menyediakan kehidupan lebih baik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

     
     
  • Hyundai Sonata generasi kelapan terlihat dalam gambar teaser Kona – petunjuk bakal dilancarkan

    Hyundai Sonata generasi kelapan terlihat dalam gambar teaser Kona – petunjuk bakal dilancarkan

    Hyundai Kona akan dilancarkan tidak lama lagi untuk pasaran Malaysia dan pengedarnya sekali lagi mengeluarkan gambar teaser untuk meningkatkan minat orang ramai terhadap model ini. Walaubagaimanapun dalam gambar teaser terbaru ini, terlihat juga model baru lain yang belum dilancarkan.

    Apa yang kami maksudkan adalah Sonata generasi kelapan, di mana ia diletakkan di belakang Kona dan menunjukkan separuh bahagian kenderaan. Ini sekaligus memberi petunjuk coupe empat pintu tersebut juga akan dilancarkan untuk pasaran, selepas Kona, namun masih tidak diketahui waktu tepatnya.

    Sonata generasi kelapan ini didedahkan buat pertama kali pada bulan Mac tahun lepas dan ia menggunakan banyak inspirasi gaya daripada model konsep Le Fil Rouge (HDC-1). Bukan setakat bahagian luar, bahagian dalam model ini juga diubah banyak dengan di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh infotainmen bersaiz 10.25 inci dan panel instrumen 12.3 inci.

    Tiada sebarang spesifikasi yang diketahui berkenaan model yang akan dipasarkan di Malaysia, tetapi jika dalam pasaran global, pilihannya adalah banyak termasuk sistem bunyi Bose Premium, bumbung suria dan juga tempat duduk berliang.

    Untuk ciri keselamatan, model ini boleh dilengkapi sehingga sembilan beg udara dan sistem bantuan pemandu SmartSense yang merangkumi sistem seperti Advanced Smart Cruise Control dengan fungsi stop and go, Forward Collision Avoidance Assist (AEB), Blind-Spot Collision Warning dan Lane Keeping Assist.

    Antara enjin yang ditawarkan pada Sonata di pasaran global adalah termasuk unit GDI 2.5 liter NA 191 hp, GDI 1.6 liter turbo 180 hp, MPI petrol 2.0 liter dan hibrid GDI. Dua enjin yang pertama dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan.

    GALERI: Hyundai Sonata generasi kelapan

     
     
  • Harga minyak 5-11 Sept-Petrol turun 1 sen, diesel kekal

    Harga minyak 5-11 Sept-Petrol turun 1 sen, diesel kekal

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga runcit baharu bagi bahan api utama di negara ini untuk minggu bertarikh 5 hingga 11 September 2020. Dilaporkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 masing-masing turun sebanyak 1 sen seliter.

    Di mana harga bagi RON 97 daripada RM2.02 seliter kini menjadi RM2.01 seliter. Manakala RON 95 pula menjadi RM1.71 seliter berbanding RM1.72 seliter pada minggu sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel kekal pada paras RM1.78 seliter. Semua harga baharu berkenaan efektif mulai 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 11 September 2020.

    Menurut kementerian terbabit, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • HKS siar imej Toyota GR Yaris yang diubahsuai – satu lagi jentera “Time Attack” Tsukuba Record Breaker?

    HKS siar imej Toyota GR Yaris yang diubahsuai – satu lagi jentera “Time Attack” Tsukuba Record Breaker?

    Jenama penala dari Jepun, HKS baru sahaja menyiarkan satu set gambar projek baharu mereka berasaskan hot-hatch terbaharu Toyota iaitu GR Yaris di laman media sosial mereka. Walau bagaimanapun, tiada sebarang perincian dinyatakan dalam hantaran berkenaan kereta tersebut, hanya diberi kapsyen “HKS 2021 Concept, projek baharu akan datang, sesuatu akan bermula”.

    Seperti yang anda boleh lihat, GR Yaris ini diberikan kit badan lebar yang begitu agresif dengan gaya overfender dan juga spoiler belakang seakan kit dari Rocket Bunny. Ia juga diberikan splitter udara yang begitu besar bersama unit intercooler gergasi yang ‘tersengih’ di belakang bampar hadapan.

    Selain itu, GR Yaris HKS ini turut diberikan rim Advan GT yang cukup besar dan lebar dibaluti tayar perlumbaan. Seperti biasa, ia diakhir dengan badan berwarna hitam dengan grafik badan seakan tin minyak enjin “HKS Super Oil” yang ikonik.

    Dilihat pada gaya kit aero yang agresif ini, tidak mustahil GR Yaris berkenaan bakal dihasilkan sebagai satu lagi jentera “Tsukuba Record Breaker” atau TRB, dibangunkan bagi memecahkan rekod-rekod lap terpantas di litar teknikal Tsukuba di Jepun.

    HKS telah membina empat mesin TRB sebelum ini iaitu TRB-01 Toyota Altezza, TRB-02 Mitsubishi Lancer Evo VIII, TRB-03 Toyota 86 dan TRB-04 Suzuki Swift Sport – kesemuanya berjaya mencatatkan masa terpantas dalam kelas masing-masing, dipandu oleh Nobuteru Taniguchi.

    Dalam keadaan standard, GR Yaris dibekalkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm. Sebagai model yang dihasilkan untuk asas jentera WRC Toyota seterusnya, ia diberikan sistem pacuan semua roda GR-Four, serta kerangka dan badan yang cukup ringan dengan komponen dari gentian karbon dan aluminium berkualiti tinggi.

     
     
  • M’sia terima Nissan Almera Turbo dengan spesifikasi lebih baik dari Thailand, tertinggi di ASEAN – ETCM

    M’sia terima Nissan Almera Turbo dengan spesifikasi lebih baik dari Thailand, tertinggi di ASEAN – ETCM

    Ketika sesi prebiu model generasi kedua Nissan Almera untuk pasaran Malaysia hari ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memberitahu bahawa Almera Turbo yang mendarat pada pasaran tempatan merupakan model yang dilengkapi spesifikasi paling tinggi di rantau ASEAN.

    Sehingga kini, hanya Thailand yang sudah melancarkan Almera generasi kedua berkenaan di ASEAN. Oleh itu, ETCM membandingkan model spesfikasi tertinggi di Thailand iaitu Almera dalam varian VL dan juga model tertinggi dalam pasaran Malaysia iaitu Almera Turbo VLT.

    Model VL Thai dilengkapi dengan semua kelengkapan yang sama dengan model VLT Malaysia termasuk paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci.

    M’sia terima Nissan Almera Turbo dengan spesifikasi lebih baik dari Thailand, tertinggi di ASEAN – ETCM

    Ciri keselamatan iaitu pakej sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360 juga diberikan untuk kedua-dua versi berkenaan yang terdiri dari fungsi seperti sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW) bersama Brek Kecemasan Automatik (AEB), sistem Monitor Pemantau Sekeliling Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak (IMOD), Sistem Amaran Titik Buta (BSW), dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    Namun ada berberapa ciri yang dipadankan pada model VLT pasaran Malaysia tetapi tidak ada untuk model VL pasaran Thai iaitu; rim aloi 16-inci dua tona dengan tayar 205/55R16 (model VL Thai hanya diberikan rim aloi 15-inci), upholsteri balutan kulit pada tempat duduk, sistem cruise control dan juga tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40.

    Malah untuk ciri tempat duduk boleh lipat 60:40 dan juga sistem IFCW bersama AEB, ia diberikan secara standard untuk kesemua varian Almera Turbo pasaran Malaysia.

    Secara keseluruhan, ETCM menawarkan tiga varian untuk pasaran tempatan iaitu VL, VLP dan juga VLT. Tempahan untuk Almera generasi baharu ini sudah pun dibuka dengan harga anggaran bermula RM8x,xxx untuk model asas VL, RM8x,xxx untuk model pertengahan VLP, dan RM9x,xxx untuk varian tertinggi VLT.

    Sama seperti pasaran Thai, kesemua varian Almera 2020 ini dijana oleh enjin HRA0 1.0 liter tiga-silinder dengan pengecas turbo, yang menghasilkan kuasa 100 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 152 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm. Tiada transmisi manual ditawarkan, di mana kesemua model diberikan kotak gear Xtronic CVT automatik dengan sistem D-Step Logic.

    Untuk perincian lebih khusus berkenaan spesifikasi dan kelengkapan bagi kesemua varian Nissan Almera Turbo 2020 pasaran Malaysia, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Nissan Almera VLT 2020 pasaran Malaysia

    GALERI: Nissan Almera VL 2020 pasaran Thailand

     
     
  • Nissan Almera 2020 di M’sia — perincian lengkap spesifikasi tiga varian, 1.0 liter turbo/CVT, dari RM8Xk

    Nissan Almera 2020 di M’sia — perincian lengkap spesifikasi tiga varian, 1.0 liter turbo/CVT, dari RM8Xk

    Ketika ini, untuk pasaran tempatan, sedan segmen B agaknya yang paling menarik perhatian ramai orang. Bukan lagi rahsia bahawa dua model penting dan segar dalam segmen berkenaan akan diperkenalkan secara rasmi. Jika Ogos lalu kita sudah diberi pentunjuk serba sedikit tentang Honda City 2020, kini tumpuan diberikan pula terhadap Nissan Almera generasi keempat terbaru (juga dikenali dengan kod casis N18), yang sebelum ini pernah beberapa kali dilihat sedang diuji di sini.

    Seperti di Thailand, tiga varian bakal ditawarkan di sini, iaitu VL yang paling asas, VLP untuk pertengahan dan VLT untuk yang paling lengkap. Harga anggaran setakat ini ketika Almera 2020 mula dibuka untuk tempahan bermula hari ini adalah seperti berikut: RM8x,xxx (VL); RM8x,xxx (VLP); dan RM9x,xxx (VLT).

    Paling menarik bagi Almera generasi kedua ini ialah unit enjin yang ditawarkan turut menampilkan enjin 1.0 liter turbo yang datang sekali dengan ciri Electronic Wastegate (yang memperbaiki tekanan turbo) serta Mirror Bore Coating Technology (diwarisi dari Nissan GT-R) yang bertujuan untuk mengurangkan geseran antara permukaan gelang omboh dengan dinding silinder dalam enjin.

    Nissan Almera 2020 di M’sia — perincian lengkap spesifikasi tiga varian, 1.0 liter turbo/CVT, dari RM8Xk

    Enjin ini menghasilkan sebanyak 100 PS pada 5,000 rpm dan 152 Nm tork dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm, dengan kecekapan penggunaan minyak pada kadar 18.4 km/l. Kapasiti tangki minyak juga kecil, hanya 35 liter. Ini menarik kerana Honda City 2020 walaupun ada enjin dengan kapasiti kecil yang sama seperti yang dijual di Thailand, ia tidak ditawarkan untuk pasaran tempatan.

    Almera baru mempunyai ukuran dimensi 4,495 mm panjang, 1,460 mm tinggi dan 1,740 mm lebar serta jarak antara rodanya ialah 2,620 mm. Beratnya pula berbeza antara varian, seperti berikut; 1,090 kg bagi VL hingga 1,114 kg bagi varian paling tinggi VLT. Secara keseluruhannya, Almera baru ini 70 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar dan 40 mm lebih rendah berbanding model generasi pertamanya sebelum ini. Jarak antara rodanya juga ditambah 20 mm.

    Bahagian dalamannya moden dan ringkas. Papan pemuka dengan dua tona warnanya lengkap dengan paparan skrin sentuh 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay serta tiga slot USB. Kluster instrumen “Gliding Wing” hadir dengan kemasan krom, serta paparan meter digital berwarna untuk pemandu pula bersaiz tujuh-inci, memberikan kejelasan penglihatan kepada pemandu.

    Nissan Almera 2020 di M’sia — perincian lengkap spesifikasi tiga varian, 1.0 liter turbo/CVT, dari RM8Xk

    Bagi ruang pula, ia luas dan selesa; tempat duduk semi-bucket dari ilham Zero Gravity datang dengan kemasan kelabu. Penyandar belakang pula mempunyai nisbah rebahan 60:40. Saiz ruang barangan di belakang pula ialah 428 liter (didakwa mampu memuatkan empat beg golf), dengan bukaan yang lebih luas serta lantainya yang lebih rendah untuk memudahkan pengguna.

    Almera terbaru ini juga dilengkapi lampu belakang dan lampu kabus LED bagi semua varian. Bagi lampu depan, VL datang dengan lampu halogen (On/Off automatik). Bagi VLT dan VLP, lampu depan jenis LED (bagi semua lampu utama, DRL dan lampu kabus). Ia turut membawakan rekaan wajah depan yang seiras dengan model-model jenama ini yang terbaru melalui gril V-Motion khusus daripada Nissan.

    Bagi rim pula, VL akan menggunakan rim 15-inci dengan saiz tayar 195/65. Bagi VLP dan VLT pula menggunakan rim 16-inci dengan saiz tayar 205/55. Lain-lain kelengkapan asas bagi VL termasuk kerusi semi-bucket balutan fabrik, pendingin hawa manual, empat-pembesar suara dengan sistem audio sambungan Bluetooth dan stereng daripada urethane.

    Aspek keselamatan, Almera turut dilengkapi dengan Nissan Safety Shield 360. Ia terdiri terutamanya daripada ciri amaran perlanggaran hadapan pintar serta brek kecemasan automatik (AEB, untuk semua varian!) dan amaran titik buta. Selebihnya, Almera baru ini ini juga (bagi varian paling tinggi) datang dengan enam beg udara SRS (dua beg udara bagi VL), peninjau sekeliling dengan pengesanan pintar objek bergerak serta amaran lintasan trafik di belakang.

    Selain daripada itu, Almera baru ini juga dilengkapi dengan ciri seperti kawalan kestabilan kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki serta dua Isofix sebagai ciri standard bagi semua varian. Enam pilihan warna badan ditawarkan – lima metalik dan satu warna solid. Ini termasuk Radiant Red, Monarch Orange, Dark Metal Grey, Diamond Black dan Tungsten Silver, sementara warna solid tunggal ialah Brilliant White.

      Perincian mengikut spesifikasi:

      Nissan Almera VL

      Nissan Almera 2020 di M’sia — perincian lengkap spesifikasi tiga varian, 1.0 liter turbo/CVT, dari RM8Xk

      Ciri standard:

      Mekanikal

    • Enjin HR10 DET 1.0 liter
    • 999 cc turbocas tiga-silinder
    • 100 PS pada 5,000 rpm
    • 152 Nm dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm
    • Xtronic CVT (dengan D-Step Logic dan mod Sport)
    • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
    • Luaran

    • Rim aloi 15-inci (perak) dengan tayar 195/65
    • Lampu utama halogen dengan On/Off automatik
    • Lampu nyalaan siang halogen, lampu kabus depan
    • Lampu belakang dan lampu kabus belakang LED
    • Gril depan krom
    • Pemegang pintu warna badan, diffuser belakang
      Antena radio in-glass
    • Dalaman

    • Kerusi semi-bucket Zero Gravity
    • Kemasan fabrik dengan hiasan kelabu
    • Pendingin hawa manual
    • Empat pembesar suara, sistem radio/USB (dengan auxiliary dan sambungan Bluetooth)
    • Stereng urethane dengan kawalan audio
    • Larasan stereng Tilt/telescopik
    • Tiga slot USB
    • Lapan ruang cawan
    • Nisbah lipatan penyandar kerusi 60:40
    • Ruang barangan 482 liter
    • Keselamatan

    • Dua beg udara
    • Intelligent Forward Collision Warning (FCW) dan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB)
    • Kawalan kestabilan kenderaan (VDC) dan kawalan cengkaman
    • ABS, EBD, bantuan brek
    • Bantuan mula mendaki
    • Cagak Isofix
    • Nissan Almera VLP

      Nissan Almera 2020 di M’sia — perincian lengkap spesifikasi tiga varian, 1.0 liter turbo/CVT, dari RM8Xk

      Tambahan:

      Luaran

    • Rim aloi 16-inci (dua tona) dengan tayar 205/55
    • Dalaman

    • Kemasan kulit dengan hiasan kelabu
    • Papan pemuka dua tona dengan permukaan lembut
    • Pendingin hawa automatik
    • Sistem Nissan Connect Infotainment, enam pembesar suara dengan sokongan Apple Carplay
    • Paparan skrin sentuh lapan-inci
    • Panel instrumen digital berwarna tujuh-inci
    • Stereng balutan kulit dengan kawalan audio
    • Keselamatan

    • Enam beg udara
    • Kamera pandangan belakang
    • Nissan Almera VLT

      Nissan Almera 2020 di M’sia — perincian lengkap spesifikasi tiga varian, 1.0 liter turbo/CVT, dari RM8Xk

      Tambahan

      Luaran

    • Lampu utama LED dengan On/Off automatik
    • Lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED
    • Spoiler dalam warna hitam berkilat
    • Dalaman:

    • Kawalan melayar (cruise control)
    • Keselamatan

    • Intelligent Around View Monitor (kamera 360-darjah) dengan pengesanan objek bergerak
    • Amaran titik buta
    • Amaran lintasan trafik belakang
    • Enam pilihan warna:

      Metalik

    • Radiant Red
    • Monarch Orange
    • Dark Metal Grey
    • Diamond Black
    • Tungsten Silver
    • Solid

    • Brilliant White

    Nissan Almera VLT 2020

    Nissan Almera VLP 2020

    Nissan Almera VL 2020

     
     
  • Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

    Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

    Ini berita baik untuk mereka yang jiwa kacau selepas kali pertama melihat Nissan Almera generasi kedua didedahkan di Amerika Syarikat April tahun lalu – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini mengumumkan tempahan untuk sedan segmen-B yang kacak ini sudah pun di buka untuk pelanggan di Malaysia.

    Almera generasi baharu ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT, dan kesemuanya akan dijana oleh enjin 1.0L tiga silinder dengan pengecas turbo sama seperti pasaran Thailand. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, di mana kesemua varian menerima kotak gear CVT Xtronix automatik dengan D-Step Logic untuk memacu roda hadapan.

    Untuk lebih spesifik, Almera ini diberikan enjin HRA0 yang menjana 100 PS pada takat 5,000 rpm, dan tork puncak 152 Nm bermula seawal 2,400 hingga 4,000 rpm. Oleh itu, enjin ini menghasilkan sekitar 2 PS kurang dari enjin HR15DE 1.5 liter NA pada model generasi pertama, namun ia menghasilkan lebih 13 Nm tork yang dicapai jauh lebih cepat (139 Nm pada 4,000 rpm pada enjin lama).

    Menurut Nissan, enjin ini menerima teknologi Mirror Bore Coating yang sama seperti pada enjin VR38DETT Nissan GT-R R35 pada silinder, yang membantu mengurangkan geseran antara gegelang omboh dan dinding silinder, seterusnya akan meningkatkan ketahanan dan pengurusan suhu yang lebih baik.

    Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

    Dari segi rupa, pasaran Malaysia menerima rekaan seiras dengan Almera pasaran Thailand dan juga Versa pasaran Amerika Syarikat. Tiada lagi rupa pelik seperti model generasi pertama, dan Almera kini merupakan antara sedan paling kacak dalam kelasnya.

    Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

    Pada bahagian sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

    Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

    Semua varian Almera pasaran Malaysia akan menerima lampu kabus LED, lampu belakang LED, dan juga cermin sisi boleh-lipat berkuasa bersama lampu isyarat membelok LED. Model VL dan VLP menerima lampu hadapan automatik dan lampu nyalaan siang halogen, manakala model VLT pula komponen tersebut menerima teknologi LED.

    Istimewa lagi bagi model tertinggi Almera VLT, ia turut diberikan spoiler lid pada but belakang berwana hitam. Untuk set roda pula, model asas VL diberikan rim 15-inci dengan tayar 195/65R15, manakala dua varian lebih tinggi pula diberikan rim 16-inci kemasan dua tona dengan tayar 205/55R16.

    Bukan sahaja tampil dengan rupa yang lebih sedap mata memandang, Almera generasi baharu ini juga dihasilkan dengan saiz lebih besar dari model sebelumnya. Ia kini 70 mm lebih panjang dengan jarak roda 20 mm lebih jauh, serta 45 lebih lebar dan 40 mm lebih rendah bagi memberikan rupa yang lebih sporty.

    Kabin Almera 2020 ini juga nampak jauh lebih sporty dengan papan pemuka yang dihasilkan dengan elemen melintang, di mana model VLP dan VLT menerima papan pemuka dua tona. Semua varian Almera diberikan tempat duduk semi-bucket dan juga roda stereng rata di bawah, namum hanya dua varian paling tinggi diberikan uphosteri balutan kulit.

    Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

    Model paling rendah diberikan kluster paparan meter analog sepenuhnya, pemain audio tanpa skrin bersama 4 pembesar suara dan sistem penghawa dingin manual.

    Manakala varian VLP dan VLP diberikan paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci menyokong fungsi Apple Carplay, enam-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

    Untuk keselamatan, semua varian Almera Turbo 2020 akan dibekalkan standard dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama Traction Control (TC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model asas VL diberikan hanya dua beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam-beg udara.

    Model paling mampu milik dari Nissan ini juga kini hadir dengan sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360, di mana kesemua varian termasuk varian paling rendah dilengkapkan dengan sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW) bersama Brek Kecemasan Automatik (AEB).

    Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

    Walau bagaimanapun, hanya model tertinggi VLT diberikan fungsi penuh Safety Shiled 360 ini yang merangkumi sistem Monitor Pemantau Sekeliling Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak (IMOD), Sistem Amaran Titik Buta (BSW), dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Model pertengahan VLP pula diberikan kamera undur.

    Model ini ditawarkan dalam enam warna badan iaitu tiga warna baharu Radiant Red, Monarch Orange, dan Dark Metal Grey, dan tiga lagi warna dari model sebelum ini iaitu Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

    ETCM masih lagi belum mendedahkan harga sebenar Nissan Almera Turbo 2020 ini. Namun harga anggaran diumumkan RM8x,xxx untuk model asas VL, RM8x,xxx untuk model pertengahan VLP, dan RM9x,xxx untuk varian tertinggi VLT. Ia hadir dengan jaminan selama lima-tahun, tanpa had perbatuan.

    Menurut Nissan, Almera generasi kedua ini mencatatkan jualan yang sangat laris di seluruh dunia, iaitu lebih 100,000 unit di 30 negara sehigga 19 Ogos lalu, di mana ia model terlaris dalam kelasnya di Amerika Syarikat dan Mexico, serta kedua di Thailand.

    Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, kereta ini boleh diprebiu dan dipandu uji oleh orang ramai di bilik-bilik pameran terpilih dari 5 hingga 6 September dan juga dari 11 hingga 13 September 2020.

    Untuk perincian lebih khusus berkenaan spesifikasi dan kelengkapan bagi kesemua varian Nissan Almera Turbo 2020 pasaran Malaysia, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    Nissan Almera VLT 2020

    Nissan Almera VLP 2020

    Nissan Almera VL 2020

     
     
  • Jeep Wrangler 4xe 2021 diperkenal – gabung enjin 2.0L turbo dengan dua motor elektrik, tork cecah 637 Nm

    Jeep Wrangler 4xe 2021 diperkenal – gabung enjin 2.0L turbo dengan dua motor elektrik, tork cecah 637 Nm

    Selepas Renegade dan Compass 4xe, kini Jeep memperkenalkan pula Wrangler 4xe. Ini adalah model yang mempunyai tambahan kuasa daripada motor elektrik dan boleh dikenali melalui penggunaan warna biru pada cangkuk hadapan, lencana, serta kemasan di bahagian dalam.

    Menurut Jeep, 4xe itu disebut sebagai “four-by-e”, dan ia menggabungkan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 375 hp dan 637 Nm tork. Sebagai perbandingan, Renegade dan Compass 4xe juga menggunakan dua motor elektrik, tetapi digabungkan bersama enjin petrol 1.3 liter turbo untuk menghasilkan kuasa sekitar 240 hp.

    Pada Wrangler 4xe, enjin pembakaran dalaman itu sahaja boleh menghasilkan 270 hp pada 5,250 rpm dan 400 Nm tork pada 3,000 rpm, dan ia dibantu oleh motor starter generator eTorque yang berkuasa 44 hp dan 53 Nm tork, bersama satu lagi motor dalam transmisi yang berkuasa 134 hp dan 245 Nm tork. Kuasa dihantar kepada roda melalui transmisi automatik TorqueFlite lapan kelajuan, keluaran ZF.

    Kenderaan ini juga boleh bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik, dengan kuasa yang datang daripada pek bateri lithium ion 400 volt, 17 kWh dengan rumusan nickel manganese (NMC). Ia diletakkan di bawah tempat duduk belakang demi melindunginya daripada elemen luar dan tempat duduk itu sendiri boleh dilipat untuk memberikan akses kepadanya.

    Pek bateri ini juga diletakkan dalam satu perumbah aluminium yang mempunyai sistem pengawalan suhu khas untuk memastikannya berada dalam tahap yang optimum. Untuk mengecas, modul pengecas berkembar bersepadu (IDCM) menggabungkan pengecas bateri dengan converter DC/DC dalam satu unit dan menjadikannya lebih kompak.

    Semua bahagian elektronik voltan tinggi pada kenderaan ini ditutup rapat dan kalis air, sekaligus membenarkan kenderaan meredah air sehingga ketinggian 76 sm. Wrangler 4xe akan dijual di serata dunia, dan tempat mengecasnya akan diletakkan bergantung kepada keperluan pasaran yang berbeza.

    Jeep Wrangler 4xe 2021 diperkenal – gabung enjin 2.0L turbo dengan dua motor elektrik, tork cecah 637 Nm

    Tiga mod operasi enjin ditawarkan pada Wrangler 4xe melalui kawalan E Selec. Mod hibrid menggabungkan penggunaan kedua-dua enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik sementara mod Electric pula cuma menggunakan kuasa elektrik sehingga kuasanya hampir habis. Mod eSave pula lebih banyak menggunakan enjin biasa, dan menjimatkan bateri supaya kuasa elektrik boleh digunakan pada waktu yang perlu.

    Wrangler 4xe datang dalam tiga versi iaitu 4xe asas, Sahara 4xe dan Rubicon 4xe. Sistem penggerak 4xe asas dan Sahara 4xe menggunakan transfer case Selec-Trac dengan nisbah low range 2.72:1 manakala Rubicon 4xe pula mendapat transfer case Rock-Trac dengan nisbah low range 4:1. Kedua-dua penggerak ini datang dengan mod 2WD High, 4WD Auto, 4WD High, Neutral dan 4WD Low.

    Gandar pula menggunakan unit Dana 44, untuk semua varian. Bagi gandar hadapan, 4xe asas dan Sahara 4xe menggunakan unit open differential manakala Rubicon 4xe menggunakan unit Tru-Lock yang boleh dikunci secara elektronik. Di bahagian belakang, gandar open differential dengan Trac-Lock dipasang pada 4xe asas serta Sahara 4xe manakala Rubicon 4xe menggunakan Tru-Lock.

    Jeep Wrangler 4xe 2021 diperkenal – gabung enjin 2.0L turbo dengan dua motor elektrik, tork cecah 637 Nm

    Untuk roda, 4xe asas dan Sahara 4xe menggunakan rim 20 inci berserta tayar Bridgestone Dueler H/L Alenza 275/55 manakala Rubicon 4xe yang lebih kepada pemanduan lasak pula menggunakan rim 17 inci yang dibalut tayar BF Goodrich KO2 All-Terrain LT285/70.

    Wrangler 4xe juga boleh didapati dengan kit tambahan tinggi dua inci Jeep Performance Parts (JPP) yang dibangunkan khas untuk versi PHEV ini. Aksesori lain juga disediakan seperti bampar offroad, lampu LED dan rel penahan badan.

     
     
  • VIDEO: Honda City RS i-MMD — gaya pun penting

    Sebelum ini Honda Malaysia tampil dengan sebuah video iklan menampilkan model City 2020 yang “bersenda” dengan pesaing-pesaing yang lain. Dalam video “nakal” berkenaan, mesej yang ingin disampaikan ialah City baru ini yang mempunyai lebih tork. Tetapi, ia tidak berakhir di situ sahaja.

    Hari ini sebuah lagi iklan dikeluarkan oleh Honda, dan masih menampilkan model City RS i-MMD 2020, dengan tumpuan diberikan kepada penggayaan pula. Video berkenaan memberi perhatian kepada aspek penampilan sedan segmen B berkenaan; dari kemasan hitam berkilat pada gril depan dan cermin sisi, rekaan lampu belakang, rim aloi dan sebagainya.

    Sistem i-MMD ini – seperti yang pernah ditawarkan pada model Jazz – menampilkan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127Nm yang digandingkan dua motor elektrik. Dengan gandingan tersebut, ia dibekalkan dengan kuasa 109 PS dan tork maksimum sama seperti yang diumumkan pada City e:HEV ini iaitu 253 Nm.

    Selebihnya, dijangka City 2020 ini akan turut ditawarkan dalam varian S, E dan V, yang akan dikuasakan oleh enjin baru 1.5 liter DOHC i-VTEC. Untuk pasaran India, enjin tersebut menghasilkan 121 PS dan 145 Nm, digandingkan bersama transmisi CVT. Honda Sensing juga dijangka akan ditawarkan pada model tertinggi nanti.

     
     
  • Peugeot 5008 facelift 2021 diperkenalkan – berwajah baharu seperti 3008, kit & keselamatan ditambahbaik

    Peugeot 5008 facelift 2021 diperkenalkan – berwajah baharu seperti 3008, kit & keselamatan ditambahbaik

    Pengeluar kereta Perancis, Peugeot telah pun memperkenalkan model 5008 facelift 2021. Ia tampil dengan rombakan rekaan yang hampir sama dengan adiknya, 3008 2021.

    SUV tujuh-tempat duduk segmen-C ini menerima rekaan semula bagi wajah hadapannya, dengan menampilkan lampu utama LED (kini standard bagi semua varian) bersama gril radiator frameless. Sama seperti 3008, lampu nyalaan siang LED menegak dan indikator isyarat ditampilkan secara lebih bergaya, malah nombor model ini diposisikan di atas bonet, betul-betul di atas lambang Singa kebanggaannya.

    Pada bahagian belakangnya, kelihatan lampu LED penuh baharu dengan motif rekaan tiga-cakaran versi yang lebih nipis, dilengkapi dengan indikator membelok jujukan. Peugeot turut menawarkan dua warna baharu iaitu Celebes Blue dan Metallic Copper.

    Peugeot 5008 facelift 2021 diperkenalkan – berwajah baharu seperti 3008, kit & keselamatan ditambahbaik

    Buat pertama kalinya, varian tertinggi GT akan mempunyai ‘Black Pack’, yang didatangkan dengan lencana Singa krom gelap, kemasan luaran hitam sutera, tread plate hitam berkilat, fender hadapan, palang bumbung, kemasan bampar belakang, roda Washington Black Onyx 19-inci dan kemasan Black Mist.

    Varian sedia ada – Active, Allure dan GT bakal menerima versi Premium yang ditambahbaik, menjadikannya keseluruhannya sebanyak enam varian. Ia dilengkapi dengan ciri yang lebih baik, seperti sistem bantuan pemandu dan kemudahan lain termasuk kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.

    Untuk kabinnya, ia ditampilkan dengan rekaan terkini i-Cockpit yang dilengkapo paparan instrumen digital 12.3-inci, roda stereng diameter-kecil untuk pemanduan dinamik yang lebih baik dan paparan skrin sesentuh berdefinisi tinggi 10-inci baharu dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kemasan baharu juga diperkenalkan. Di mana model GT menerima kulit Nappa merah atau upholstery kulit hitam dengan Alcantara. Manakala varian Allure menerima tempat duduk kulit Mistral Nappa dengan jahitan Tramontane. Ciri standard untuk semua varian termasuklah cermin pandang belakang tanpa bingkai dan dua soket tambahan USB untuk barisan kedua tempat duduk. Manakala sistem bunyi Focul High-End HiFi 515-watt ditawarkan secara pilihan.

    Ruang but tidak berubah, masih menawarkan 780 liter dengan kedudukan tempat duduk dalam keadaan normal dan boleh dipertingkatkan sehingga 1,940 liter jika ia dibaringkan, Manakala tempat duduk kedua boleh dilaras sepenuhnya dengan penyandarnya dibaringkan, dan boleh juga dilipat sepenuhnya untuk memberikan lebih ruang pada bahagian kargo. Malahan tempat duduk penumpang hadapan juga boleh ditolak ke hadapan, bagi memberikan barangan sehingga 3.2 meter dimuatkan dari belakang.

    Bagi enjinnya pula, kini 5008 diberikan empat pilihan enjin, bermula dengan unit 1.2 liter PureTech 130, 1.6 liter PureTech 180, 1.5 liter BlueHDi 130, dan 2.0 liter BlueHDi 180. Bergantung pada varian, pilihan transmisi termasuk manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan, yang kedua-duanya menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Peugeot 5008 facelift 2021 diperkenalkan – berwajah baharu seperti 3008, kit & keselamatan ditambahbaik

    Manakala untuk elemen keselamatan pula, 5008 kini didatangkan dengan Night Vision, di mana menurut Peugeot ini merupakan ciri unik di dalam segmennya. Ia menggunakan teknologi infra merah bagi mengesan pejalan kaki dan haiwan sehingga jarak 200 meter daripada bahagian hadapan kenderaan.

    Ia juga menampilkan kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop-and-go untuk model yang dilengkapi kotak gear automatik lapan-kelajuan, sementara yang lainnya menerima Bantuan Posisi Lorong. Kedua-dua sistem ini adalah sebahagian daripada pakej Drive Assist Plus.

    Brek kecemasan sendiri juga turut diberikan (beroperasi dari 5 km/j hingga 140 km/j), serta Bantuan Parkir, Amaran Ketibaan Lorong, Bantuan Lampu Tinggi Pintar, Kawalan Cengkaman Termaju, Alter Warning Driver dan Visiopark 1 (kamera 180-darjah) atau Visiopark 2 (kamera 360-darjah).

     
     
  • Husqvarna E-Pilen – dipacu elektrik, tiba pada 2022?

    Husqvarna E-Pilen – dipacu elektrik, tiba pada 2022?

    Husqvarna lebih terkenal dengan penghasilan jentera lasak motocross, tetapi sejak beberapa tahun lepas, pengeluar dari Sweden ini telah menyertai segmen motosikal street dengan penghasilan model seperti Svartpilen dan Vitpilen.

    Dalam perkembangan terbaru, Husqvarna nampaknya juga akan mula mengorak langkah dalam penghasilan kenderaan elektrik dan ia telah dibentangkan kepada pemegang saham baru-baru ini. Sedikit perincian juga telah bocor di dalam internet.

    Semasa pembentangan tersebut, Husqvarna telah menunjukkan beberapa basikal elektrik, tetapi apa yang lebih menarik bagi penggemar dua roda adalah motosikal yang dipanggil sebagai E-Pilen dan sebuah skuter. Kedua-duanya menggunakan pacuan elektrik.

    Husqvarna E-Pilen – dipacu elektrik, tiba pada 2022?

    E-Pilen menggunakan bentuk seperti Vitpilen dan Svartpilen 401, tetapi tempat yang biasanya diletakkan enjin pembakaran dalaman diganti dengan motor elektrik sebagai pemacu. Baterinya pula kelihatan seperti berada di atas (tempat tangki motosikal biasa) dan berkemungkinan boleh dicabut dan ditukar dengan mudah.

    Setakat yang diketahui, E-Pilen ini direncanakan masuk ke pasaran pada tahun 2022 dengan dua versi iaitu yang berkuasa 4 kW (5.5 hp) dan 10 kW (13.3 hp). Model skuter elektrik itu pula akan menggunakan motor elektrik 4 kW (5.5 hp). Perincian lain pula masih lagi belum diketahui.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025