Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKPB: Senarai aktiviti yang masih tidak dibenarkan

    PKPB: Senarai aktiviti yang masih tidak dibenarkan

    Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman bahawa bermula 4 Mei 2020, hampir semua kegiatan ekonomi di negara ini akan kembali dibuka tetapi dengan garis panduan yang ketat untuk mengurangkan risiko kesihatan atau penularan wabak Covid-19.

    Walaupun begitu, masih ada sektor-sektor dan aktiviti yang masih dilarang apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini bermula 4 Mei nanti atas empat sebab utama iaitu sukar untuk mengawal keadaan orang yang ramai, kemungkinan terdedah kepada titisan pernafasan, sukar mengawal perilaku, kemungkinan kontak rapat serta keberadaan dalam ruang rapat dan tertutup.

    Secara amnya, senarai aktiviti dilarang yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibahagikan kepada 23 tajuk dan aktiviti khusus yang dilarang dinyatakan di bawahnya. Anda boleh melihat senarai penuh seperti yang tertera di dalam gambar.

    PKPB: Senarai aktiviti yang masih tidak dibenarkan

    Antara yang termasuk dalam senarai ini adalah aktiviti keagamaan di rumah ibadat, perhimpunan, persidangan, sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong, aktiviti melipat pakaian di kedai dobi, kedai gunting rambut, penggambaran filem, pesta makanan dan pelbagai lagi. Selain itu, anda juga masih perlu ingat, perjalanan rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan.

    Kami juga mahu mengingatkan kepada anda semua, walaupun hampir semua kegiatan ekonomi sudah dibenarkan, anda masih perlu menjaga kesihatan dan jarak sosial antara satu sama lain bagi mengelakkan penularan Covid-19 ini. Sekiranya penularan wabak ini kembali teruk, tidak mustahil kawalan pergerakan yang ketat akan dilaksana semula.

     
     
  • PKPB: Pengendali pengangkutan awam perlu kawal pergerakan orang ramai untuk elak kesesakan

    PKPB: Pengendali pengangkutan awam perlu kawal pergerakan orang ramai untuk elak kesesakan

    Memandangkan kerajaan telah mengumumkan kebenaran untuk hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan untuk kembali beroperasi mulai 4 Mei 2020, tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, pastinya orang ramai sudah boleh mula pergi ke tempat kerja, termasuklah menaiki pengangkutan awam.

    Oleh yang demikian, Perdana Menteri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusannya hari ini sempena Hari Pekerja, menyeru agar syarikat-syarikat pengangkutan awam agar bersedia bagi menyelia operasi masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

    Waktu operasi bagi perkhidmatan rel penumpang termasuk KTMB (ETS, Tren Antarabandar dan Komuter), Prasarana/RapidRail (LRT, MRT dan Monorel), dan ERL (KLIA Ekspress dan KLIA Transit) adalah seperti biasa iaitu dari jam 6 pagi hingga 11 malam.

    “(Bermula tarikh berkenaan) Sudah tentu jumlah pengguna akan meningkat. Dalam keadaan kita nak mengawal penularan COVID 19, kita mesti elakkan kesesakan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya. Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai.

    “Untuk membantu mengelakkan kesesakan di stesen-stesen pengangkutan awam dan di dalam kenderaan awam, saya mencadangkan supaya semua majikan melaksanakan waktu bekerja yang anjal. Tak semua pekerja mesti masuk bekerja pada waktu yang sama. Jadi sedikit sebanyak kita boleh elakkan semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu yang sama,” kata Perdana Menteri.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan semua pengguna pengangkutan awam supaya memakai penutup hidung dan mulut. Malah syarikat pengendali pengangkutan awam turut disarankan agar menyediakan papan tanda dan signage untuk menggalakkan pemakaian penutup hidung dan mulut serta hand sanitizer di kalangan kakitangannya dan juga orang ramai.

    “Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak COVID 19. Jadi ambil langkah- langkah untuk lindungi diri sendiri. Pakai penutup hidung dan mulut dan simpan juga satu atau dua lagi dalam beg. Sentiasa bawa hand sanitizer untuk digunakan jika perlu,” sambungnya lagi.

    PKPB: Pengendali pengangkutan awam perlu kawal pergerakan orang ramai untuk elak kesesakan

    Bukan itu sahaja, orang ramai juga digalakkan membeli tiket secara dalam talian atau pun menggunakan kad transaksi bukan tunai seperti pas bulanan dan kad Touch ‘n Go.

    Dalam masa yang sama, pengendali perkhidmatan rel perlu melakukan pembersihan tren dan fasiliti selepas setiap trip serta di depoh selepas tamat waktu operasi. Malah pemeriksaan suhu badan kakitangan dan penumpang turut perlu dilaksanakan. Di mana pihak pengendali rel perlu menyediakan thermal scanner di semua pintu masuk premis dan stesen. Selain memastikan penjarakan sosial satu meter semasa penumpang berada di dalam premis dan stesen.

    Mengenai penjarakan sosial di dalam tren, tidak pula dimaklumkan. Namun, saranan Perdana Menteri yang mencadangkan supaya majikan melaksanakan waktu bekerja yang anjal dilihat agak relevan. Bagaimana pun, bergantung juga pada orang ramai untuk mengamalkan disiplin diri sendiri (self discipline) dengan menjarakkan diri antara satu sama lain ketika berada di dalam tren, walau pun mungkin agak sukar terutamanya ketika waktu puncak.

     
     
  • PKPB: Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung sempena Aidilfitri tidak dibenarkan – PM

    PKPB: Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung sempena Aidilfitri tidak dibenarkan – PM

    Kerajaan telah memutuskan untuk memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei 2020. Perkara tersebut telah diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusannya hari ini sempena Hari Pekerja.

    Menurut beliau, terdapat beberapa langkah yang digariskan sepanjang tempoh PKPB tersebut.

    Salah satunya ialah orang ramai tidak dibenarkan membuat perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung sempena Aidilfitri ini. Walau bagaimana pun kelonggaran diberikan untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

    Selain itu, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    PKPB: Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung sempena Aidilfitri tidak dibenarkan – PM

    “Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

    “Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya.

    Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan. Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

    PKPB: Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung sempena Aidilfitri tidak dibenarkan – PM

    Perdana Menteri turut menambah, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

    Bahkan, menurutnya, buat masa ini, aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah- rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

    Untuk mengetahui senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan, orang ramai bolehlah melayari laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN). Di mana senarai tersebut akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes-kes jangkitan COVID-19.

     
     
  • Bank akan kenakan kadar faedah bagi penangguhan bayaran balik pinjaman selepas 6-bulan moratorium

    Bank akan kenakan kadar faedah bagi penangguhan bayaran balik pinjaman selepas 6-bulan moratorium

    Di dalam pengumuman terbaru oleh Bank Negara Malaysia, nampaknya macam apa perubahan kepada langkah penangguhan pembayaran balik pinjaman seperti yang diumumkan sebelum ini. Terbaru, BNM memaklumkan, akan ada kadar faedah tambahan yang akan dikenakan bagi tempoj enam bulan moratorium yang diberikan sebelum ini, bermula 1 April hingga 30 September 2020.

    Perkembangan ini mengejutkan banyak pihak, kerana sebelum ini apa yang difahami oleh peminjam adalah tiada sebarang caj tambahan yang dikenakan bagi jumlah bayaran yang ditangguh itu, memandangkan pinjaman sewa beli dan pelan pembiayaan Islamik menggunakan kadar faedah tetap, yang dikira dan ditentukan sejak mula.

    Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, BNM mengarahkan bank untuk memaklumkan peminjam/pelanggan mereka berkaitan sebarang perubahan berkaitan perjanjian mereka sekiranya mereka memilih untuk mengambil langkah penangguhan atau moratorium berkenaan. Ini termasuklah jadual bayaran balik yang dikemaskini dan perubahan jumlah bayaran; ini termasuk caj tambahan daripada kadar feadah sedia ada yang dikenakan sepanjang tempoh moratorium – inilah perubahan terbaru yang dimaksudkan itu.

    Bank akan kenakan kadar faedah bagi penangguhan bayaran balik pinjaman selepas 6-bulan moratorium

    Menurut Persatuan Bank Malaysia (AMB), pelanggan yang memilih untuk mengambil penangguhan atau moratorium kini mempunyai dua pilihan. Pertama, untuk pelanggan “terus menyambung pembayaran pinjaman semua ansuran ini bermula Oktober nanti dengan lanjutan tempoh enam bulan bagi tempoh bayaran balik tersebut daripada tarikh matang pinjaman yang asal.”

    Faedah yang perlu dibayar untuk pilihan ini adalah bergantung kepada kadar seperti yang dinyatakan dalam kontrak dan akan dicaj bergantung kepada jumlah yang terlibat bagi tempoh penangguhan enam bulan tersebut, sehinggalah semuanya langsai dibayar pada penghujung tempoh lanjutan enam bulan yang dianjak itu. Maksudnya, faedah akan dikenakan sepanjang tempoh enam bulan moratorium ini berlangsung, walaupun pelanggan tidak pun perlu membayar ansuran bulanan seperti biasa. Ini akan membawa kepada jumlah ansuran bulanan yang lebih tinggi perlu dibayar oleh peminjam bermula Oktober 2020 nanti.

    Ok, ini contoh situasi ringkas yang disediakan oleh BNM. Bagi pinjaman sewa beli berjumlah RM50,000 dengan tempoh bayaran berbaki lima tahun dengan kadar faedah tetap 2.71% (atau kadar efektif 5.36%) setahun, ansuran bulanan akan dari daripada RM712 sebelum penangguhan, kepada RM731 bagi Oktober 2020 dan seterusnya.

    Bank akan kenakan kadar faedah bagi penangguhan bayaran balik pinjaman selepas 6-bulan moratorium

    Ini menjadikan perbezaan ansuran bulanan sebanyak RM19, atau keseluruhannya RM1,140 bagi tempoh baki bayaran berkenaan. BNM juga menjelaskan bahawa bagi contoh ini, kenaikan bayaran ansuran bulanan akan naik sebanyak 2%. Tetapi, kalau dikira betul-betul, kenaikan itu sebenarnya sebanyak 2.67%. Ada beza antara dua angka ini.

    Angka sebenar bagi pinjaman kereta tentunya berbeza antara individu, bergantung kepada jumlah ansuran, baki tempoh bayaran dan kadar faedah (dan apa yang lebih penting di sini ialah kadar efektif yang biasanya disebut sebagai Annual Percentage Rate atau APR, yang lebih rumit untuk dijelaskan). Lebih lama baki tempoh anda untuk langsaikan pinjaman, maka lebih banyaklah yang perlu anda bayar; tetapi perbezaan untuk bayaran bulanan tidaklah terlalu ketara, seperti yang ditunjukkan ini.

    Ataupun, pilihan kedua, untuk mengelakkan sebarang kadar faedah dikenakan sama sekali, peminjam boleh “membayar jumlah ansuran terkumpul selama enam bulan penangguhan ini bersekali dengan bayaran ansuran bagi bulan Oktober nanti,” yang bermaksud, peminjam perlu membayar jumlah ansuran bagi tujuh bulan pada Oktober 2020 – tentunya satu angka yang sangat besar untuk ramai pelanggan.

    Bank akan kenakan kadar faedah bagi penangguhan bayaran balik pinjaman selepas 6-bulan moratorium

    Bagi mereka yang tidak lagi mahu meneruskan penangguhan bayaran atau moratorium ini, mereka masih boleh memilih yang demikian dengan cara memaklumkan kepada bank masing-masing dan menyambung pembayaran ansuran mereka seperti biasa berdasarkan perjanjian sedia ada sebelum ini.

    Bagi senario ini, mereka akan diberikan “tempoh yang munasabah” oleh bank untuk melangsaikan baki ansuran yang tertunggak akibat penangguhan moratorium sebelum ini, maksudnya jumlah ansuran bagi bulan April 2020 yang tidak dibayar sebelum ini disebabkan permulaan tempoh moratorium yang dilaksanakan. Bank tidak akan mengenakan sebarang caj lewat bayar atau tunggakan bagi bayaran ini sehingga ia matang berdasarkan jadual pembayaran yang dikemaskini dengan peminjam.

    Arahan yang dikeluarkan oleh BNM ini bertujuan untuk memastikan pelanggan dengan pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islamik kadar tetap diberikan maklumat yang jelas dan lengkap berkaitan tempoh penangguhan moratorium enam bulan yang diumumkan pada 25 Mac 2020.

    KEMASKINI: Tiada tambahan kadar faedah bagi penangguhan bayaran pinjaman moratorium.

    Ini bagi memastikan pematuhan keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah, yang digunapakai ke atas sebarang perubahan yang dibuat terhadap terma perjanjian-perjanjian ini, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah disebabkan moratorium yang berkuatkuasa dari 1 April hingga 30 September 2020.

    Semua proses ini akan bermula pada 1 Mei 2020, dengan pihak bank perlu memaklumkan peminjam berkaitan pelan pembiayaan ini melalui SMS, email atau surat berdaftar, memaklumkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk melengkapkan proses penangguhan pinjaman/pembayaran semula pembiayaan di bawah moratorium.

    Apa pandangan berkaitan perkembangan terbaru ini? Adakah langkah ini adil untuk peminjam? Dari satu sisi, kita juga tidak boleh mengandaikan yang bank akan menyerap semua kerugiannya sepanjang tempoh moratorium ini, walaupun memang betul, keputusan terbaru ini mengejutkan banyak pihak.

    KEMASKINI: Pandangan atau andaian awal bahawa mereka yang mengambil moratorium tidak akan dikenakan caj tambahan faedah terhadap jumlah yang terlibat dalam penangguhan bayaran balik itu adalah betul. Merujuk kepada FAQ BNM bertarikh 27 Mac 2020 menunjukkan “tiada faedah tambahan akan dikenakan kepada pinjaman sewa beli.” Frasa ini kemudiannya digugurkan dalam versi FAQ yang kemudiannya dikeluarkan pada tarikh 21 April, dan caj faedah tambahan mula dimasukkan, sehinggalah membawa kepada versi terkini yang dikeluarkan bertarikh 1 Mei 2020. Anda boleh rujuk FAQ BNM yang kami sertakan dalam artikel ini.

    Bank akan kenakan kadar faedah bagi penangguhan bayaran balik pinjaman selepas 6-bulan moratorium

     
     
  • Kementerian Pengangkutan serap peranan dan fungsi JKJR ke dalam unit JPJ berkuatkuasa 1 Mei 2020

    Kementerian Pengangkutan serap peranan dan fungsi JKJR ke dalam unit JPJ berkuatkuasa 1 Mei 2020

    Kementerian Pengangkutan telah membuat keputusan untuk menyerap peranan dan fungsi Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) ke dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuatkuasa 1 Mei 2020. Ia adalah bertujuan bagi memperkasa serta memantapkan lagi jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

    Penyerapan ini adalah mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pengangkutan jalan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan iaitu suatu akta bagi membuat peruntukan mengenai pengawalseliaan kenderaan-kenderaan motor dan lalu lintas di jalan-jalan dan perkara lain yang berkenaan dengan jalan-jalan dan kenderaan-kenderaan di atasnya.

    Selain itu, ia bagi membuat peruntukan mengenai perlindungan pihak ketiga terhadap risiko yang berbangkit daripada penggunaan kenderaan-kenderaan motor dan penyelarasan serta pengawalan cara-cara dan kemudahan bagi pengangkutan.

    Kementerian Pengangkutan serap peranan dan fungsi JKJR ke dalam unit JPJ berkuatkuasa 1 Mei 2020

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian terbabit turut menyebut, keputusan ini juga adalah
    bagi membuat peruntukan mengenai penyelarasan dan pengawalan cara-cara dan kemudahan bagi pembinaan dan penyesuaian kenderaan-kenderaan motor serta perkara-perkara yang berkaitan.

    Walau bagaimana pun, Kementerian Pengangkutan turut menegaskan bahawa tidak berlaku pembuangan kakitangan berhubung penyerapan JKJR ke dalam JPJ ini. Sebaliknya kakitangan JKJR akan terus berkhidmat di JPJ bagi menjalankan tugas sebagai peneraju advokasi keselamatan jalan raya demi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

    Dengan penyerapan JKJR ke dalam JPJ, diharap dapat menambahbaik dan mempertingkatkan lagi urus tadbir jabatan khusus dalam soal keselamatan jalan raya sekaligus membawa manfaat kepada rakyat Malaysia.

     
     
  • PKP: Sabah kini benarkan orang awam keluar berdua

    PKP: Sabah kini benarkan orang awam keluar berdua

    Kerajaan negeri Sabah menyatakan bahawa mereka kini sudah pun menuruti keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat semalam untuk membenarkan dua orang dalam satu keluarga untuk keluar menaiki kenderaan bagi membeli barang keperluan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Harian Metro.

    Kebenaran tersebut diumumkan menerusi Pusat Arahan Covid-19 Sabah hari ini. Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong, keputusan itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No. 4) 2020.

    “Seseorang itu dibenarkan untuk ditemani oleh seorang individu lain ketika keluar bagi mendapatkan atau membeli barangan keperluan termasuklah makanan, perubatan. Namun, syarat bagi orang yang menemani itu hendaklah tinggal serumah.

    PKP: Sabah kini benarkan orang awam keluar berdua

    “Bagaimanapun, bagi pembelian barangan penjagaan kesihatan dan perubatan, seseorang itu boleh ditemani oleh orang lain dengan alasan yang munasabah,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu.

    Semalam Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan sedikit kelonggaran untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan dua orang individu bergerak dalam satu kenderaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan ketua keluarga membawa salah seorang ahli keluarga terdekatnya yang menetap di rumah yang sama, melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian, makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

    Namun selepas itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan itu perlu diperinci dan dibincangkan terlebih dahulu dalam Pusat Arahan Covid-19 Sabah sebelum ia dilaksana di peringkat negeri tersebut.

     
     
  • PKP: Bengkel kenderaan dibuka semula di Kelantan

    PKP: Bengkel kenderaan dibuka semula di Kelantan

    Walau pun kerajaan pusat telah mengumumkan beberapa sektor tambahan sudah boleh beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 10 April yang lalu, baru kini Kelantan memberikan kebenaran kepada pengusaha bengkel dan pusat servis kenderaan untuk membuka kembali premis perniagaan masing-masing.

    Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, perkara itu diputuskan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri yang bersidang hari ini.

    “Walaupun premis berkenaan sudah dibenarkan beroperasi di negeri lain sebelum ini, Kelantan ambil pendekatan tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum keputusan dicapai hari ini. Sehubungan itu, premis yang dibenarkan beroperasi itu perlu membuat permohonan selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk tempoh masa beroperasi.

    “Setakat ini, ratusan pengusaha sektor terbabit sudah membuat permohonan dan keputusan mesyuarat hari ini akan dibawa kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum premis itu dibenar beroperasi dalam masa terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Selain bengkel kenderaan, Kelantan juga turut memberikan kebenaran yang sama untuk kedai dobi (bukan perkhidmatan layan diri) dan kedai perkakasan (hardware) kembali beroperasi di negeri terbabit.

     
     
  • SYM DRG BT dilancar di Jepun – enjin 158 cc, 14.6 hp

    SYM DRG BT dilancar di Jepun – enjin 158 cc, 14.6 hp

    Pengeluar motosikal dari Taiwan iaitu SYM telah melancarkan sebuah skuter baru dipanggil sebagai DRG BT untuk pasaran Jepun. Ia dijual pada harga 409,000 yen (RM16,500) dalam pilihan empat warna iaitu hitam, putih, hijau dan kelabu.

    Nama DRG itu dikatakan diambil daripada perkataan dragon yang bermaksud naga dan ia digunakan sebagai inspirasi untuk rekaannya. Lampu hadapan LED skuter ini terletak di bahagian dada sementara panel meter digital yang terletak di bahagian atas pemegang tidak mempunyai sebarang penghadang.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin satu silinder penyejukan cecair 158 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta padanan transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa sebanyak 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 15.44 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Enjin ini juga adalah enjin generasi baru keluaran SYM yang datang sistem idling stop yang boleh mematikan enjin secara sendiri apabila berhenti sekejap seperti di lampu isyarat. Di bawah tempat duduknya pula terdapat ruang yang cukup untuk meletakkan helmet fullface.

    Rim yang digunakan adalah bersaiz 13 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Kelengkapan lain yang terdapat padanya adalah termasuk tangki bahan api 7.4 liter, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, soket pengecas USB serta suspensi jenis monoshock di belakang.

     
     
  • Volvo Ara Damansara mula operasi pusat servis 3S

    Volvo Ara Damansara mula operasi pusat servis 3S

    Pusat servis 3S Volvo di Ara Damansara kini mula dibuka selepas penutupan sementara semasa tempoh PKP sebelum ini. Sime Darby Swedish Auto telah menerima kelulusan untuk beroperasi (bagi bahagian servis dan penyelenggaraan sahaja) daripada MITI.

    Merujuk makluman di laman Facebook rasmi, Volvo Ara Damansara akan dibuka untuk servis kenderaan dan penyelenggaraan enam hari seminggu. Isnis-Jumaat tempoh terlibat ialah dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, sementara pada Sabtu dari 8.30 pagi hingga 12.45 tengahari.

    Pelanggan bagaimanapun tidak dibenarkan menunggu, dan hanya melalui temujanji dan bukan secara walk-in. Serahan kenderaan tanpa sentuhan antara individu berkenaan boleh ditempoh slotnya dengan menghubungi talian 019-2471003 (Emma).

    Mula dibuka Februari lalu, pusat servis 3S Volvo berkenaan terletak di alamat Block 6, Sime Darby Motors City, Jalan PJU 1A/7, Ara Damansara.

     
     
  • Proton Iriz Neo dua pintu — boleh jadi kenyataan?

    Proton Iriz Neo dua pintu — boleh jadi kenyataan?

    Selepas Satria Neo, Proton tidak lagi mengeluarkan apa-apa model hot hatch dua pintu yang bagi kebanyakan peminatnya merupakan sebuah kereta yang sangat stabil dan mantap pengendaliannya dalam banyak-banyak barisan kereta Proton yang pernah dihasilkan. Antara faktornya tentulah
    kewangan, dan disebabkan Satria Neo tidak dapat memenuhi keperluan pengguna massa yang lebih meluas.

    Di satu sisi lain, Proton tetap mempunyai sebuah model kompak yang kerap dipuji juga aspek kendaliannya. Mana lagi kalau bukan Iriz. Keyakinan terhadap aspek pengendaliannya sampai membuatkan Iriz dipilih sebagai sebuah jentera rali sebenar yang cemerlang dan boleh diharapkan oleh pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM). Jangan lupa, sebelum Iriz, Satria Neo juga pernah berada dalam kelompok jentara yang sama; Satria Neo S2000.

    Jadi, macam mana rupa jika dua model ini digabungkan? Katakanlah, sebagai bayangan atau sekadar untuk menunjuk jalan kepada Proton supaya kembali menghasilkan kenderaan unik dengan pemanduan sporty seperti Satria Neo dahulu. Kami minta bantuan Theophilus Chin untuk menghasilkan rekaan digital berkenaan. Hasilnya, kita panggil saja Iriz Neo dua-pintu.

    Proton Iriz Neo dua pintu — boleh jadi kenyataan?

    Inilah penampilan yang boleh jadi menarik, sebuah Iriz, yang kekal dengan citra rekaannya seperi yang kita kenali ketika ini, tetapi hanya dilengkapi dengan dua pintu sahaja. Yang diubah rekaannya pada imej render ini ialah pada bahagian pintu penumpang belakang Iriz; tiada lagi pintu, tetapi digantikan dengan bahagian rekaan cerminnya yang meminjam sentuhan daripada Satria Neo dahulu. Bahagian garis bahu pula juga ditinggikan semakin ia di belakang.

    Selebihnya kekal sama seperti Proton Iriz yang diberikan facelift terkini pada 2019 dahulu. Ketika itu, antara nafas baru yang diberikan ialah rekaan bampar baru, lencana Iriz baru, reka huruf Proton yang digunakan di belakang.

    Paling penting, Iriz memperkenalkan penggunaan kotak gear 4AT yang lebh responsif dan senyap bagi menggantikan CVT sebelum itu dengan kabinnya yang lebih selesa. Proton Iriz 2019 menggunakan enjin 1.6 liter VVT yang sama, dengan janaan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Apa pandangan anda tentang Iriz Neo dua-pintu ini? Patut dijadikan kenyataan?

     
     
  • Data jualan kenderaan Mac 2020 ikut jenama — hanya Honda catat kenaikan, rampas semula tempat kedua

    Data jualan kenderaan Mac 2020 ikut jenama — hanya Honda catat kenaikan, rampas semula tempat kedua

    Sebelum ini, kejatuhan angka jualan sektor automotif bukan hanya di Malaysia, malahan di seluruh dunia, terutama bagi bulan Mac 2020 sudah boleh dijangka. Bagi konteks tempatan, dengan adanya angka dan data rasmi daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), keadaan yang lebih jelas pun dapat diketahui.

    Secara keseluruhannya, jualan kenderaan bagi Mac 2020 menunjukkan kejatuhan sebanyak 44%, dengan hanya 22,478 unit kenderaan dijual berbanding 40,403 unit pada Februari lalu. Ini tidak mengejutkan, memandangkan bilik pameran terpaksa ditutup bermula sejak 18 Mac di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Hampir semua jenama mencatatkan penurunan jualan, kecuali Honda yang memperlihatkan pertumbuhan positif. Selepas jualannya jatuh ke paras bawah 2,000 unit pada Febaruari, angka Mac bagaimanapun naik sebanyak 86.5% kepada 3,281 unit. Ini didorong oleh pengenalan Accord dan Civic hujung Februari lalu. Ini membolehkan Honda untuk rampas semula kedudukan kedua secara keseluruhan, mengatasi Toyota dan Proton, termasuk mengatasi angka semasa ketika ini berbanding Toyota.

    Perodua pula terus berada di depan, walaupun jumlah jualannya berkurang sebanyak 10,294 unit menjadi hanya 8,601 unit – penurunan sebanyak 54.5%. Proton pula mencatatkan penurunan jualan sebanyak 67.1% atau 6,697 unit kepada hanya 3,277 unit, sementara Toyota jatuh 30.3% atau 1,210 unit, menjadikan hanya 2,779 unit terjual.

    Data jualan kenderaan Mac 2020 ikut jenama — hanya Honda catat kenaikan, rampas semula tempat kedua

    Abaikan angka dicatatkan Mercedes-Benz (kerana itu merupakan angka bagi suku pertama jenama itu), tempat kelima menjadi milik Mazda dan juga Isuzu. Jualan kedua-dua jenama Jepun ini masing-masing jatuh sebanyak 52.7% dan 31.1% kepada 521 dan 433 unit. Nissan pula merudum ke tempat ke-11 selepas mencatatkan kejatuhan jualan sebanyak 68.3% berbanding Februari.

    Bagi segmen Premium pula, BMW (yang akhirnya mendedahkan angka jualan bulanan mereka, selepas beralih kepada angka suku tahunan seperti dilakukan Mercedes-Benz sebelum ini) mencatatkan penurunan 64.1% dengan hanya 230 unit terjual. Walaupun begitu, bagi jumlah jualan keseluruhan semasa, BMW masih mengatasi Mercedes-Benz, dengan 1,600 unit berbanding 1,324 unit. Lain-lain jenama yang catatkan kejatuhan ialah Volvo (turun 56.1%) dan Lexus (turun 70.5%).

    Jenama lain yang memperlihatkan penurunan yang tinggi juga termasuk Subaru (-78%), MINI (-70.8%) dan Volkswagen (-60.5%). Bagi April pula, sudah tentu jualan yang dicatatkan adalah sifar memandangkan semua bilik pameran ditutup sebulan penuh akibat PKP.

     
     
  • 10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Extraction yang mula ditayangkan di Netflix minggu lalu bukanlah satu-satunya filem yang menampakkan kelibat penampilan kereta-kereta Proton di dalamnya. Ada beberapa lagi penampilan sama yang pernah dilihat sebelum ini.

    Anda pernah tahu yang Proton Saga 1.3 1989 ada terselit dalam filen Tomorrow Never Dies dalam siri James Bond pada tahun 1997? Tak percaya? Untuk itu, dalam artikel ini kami senaraikan 10 “cameo” kereta Proton dalam filem atau rancangan tivi bikinan produksi luar negara. Kalau belum pernah tengok, boleh cari nanti.

    1. Proton Saga 1.5 SE in Fifth Gear

    Ini mungkin satu segmen rancangan automotif yang ramai pengikutnya, dan mungkin ramai juga yang pernah tengok sebuah Proton Saga 1.5 SE 1991 ditampilkan dalam rancangan Fifth Gear. Pengacara Tim Shaw menukar BMW M3 E46 miliknya untuk cuba menggunakan Saga ini untuk tempoh seminggu dan maklumkan pandangan dan pengalamannya. Walaupun usia Saga berkenaan sudah agak tua – sekitar 20 tahun – serta harga yang dikenakan ketika itu, ia tidaklah terlalu cikai di UK.

    2. Proton Saga dalam Mr Bean

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Ini pun satu lagi “cameo” yang mungkin ramai pernah lihat tapi dah terlupa. Ini juga mungkin menjadi satu babak dalam filem yang akan membuatkan nama Proton terus diingati di seluruh dunia. Dengan populariti Sir Rowan Atkinson dalam Mr Bean, Proton juga telah menjadi sebahagian daripadanya dan terus akan dikenang setiap kali orang menonton filem berkenaan.

    3. Proton Satria GTi dalam Fat Pizza

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Satria GTi mungkin menjadi model pertama Proton yang hadir dengan semangat pemanduan untuk perlumbaan, walaupun masih dengan pakej yang sah digunakan di atas jalan raya. Dan, kereta ini juga pernah “berlakon” dalam sebuah filem yang diterbitkan di Australia berjudul Fat Pizza. Mungkin ramai lagi yang belum tahun tentang filem ini. Jadi bolehlah mula mencari.

    4. Proton Satria Neo dalam Top Gear Australia

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Sejak Wira dieksport ke pasaran Australia pada 1995, Proton menjadi satu jenama yang tidak terlalu asing di negara itu, walaupun angka orang yang membeli dan menggunakannya mungkin tidaklah terlalu besar. Apapun, pada 2008, Satria Neo sempat tampil dalam rancangan Top Gear di sana, ketika The Stig memandu versi standard kereta berkenaan di dalam litar dalam satu episod rancangan itu. Nampak meyakinkan?

    5. Proton Satria Neo S2000 dalam Top Gear UK

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Sebelum Mellors Elliot Motorsport (MEM) menggunakan Proton Iriz R5 untuk perlumbaan rali sebenar, pernah satu ketika Proton memiliki sebuah lagi ayam tambatan lain untuk tujuan sama; apa lagi kalau bukan Satria Neo 2000. Jentera berkenaan punya keterampilan sendiri di tangan Alister McRae. Dalam episod ini, MEM menyediakan dua Satria Neo S2000 yang serupa untuk “perlumbaan manja” antara Top Gear UK dan rakan sebumbung mereka dari Australia.

    6. Proton Gen2 dalam Yaprak Dökümü

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Ini filem Turki, jangan rasa pelik pula. Di dalamnya, sebuah Proton Gen2 kelihatan digunakan beberapa kali oleh pelakon utama filem Yaprak Dökümü, sebuah siri tivi yang menang anugerah di sana. Tidak ketinggalan, Waja juga ada terselit sekali (dan kerap digunakan sebagai teksi di Istanbul). Untuk muncul berterusan begini menjadi satu pendedahan yang menguntungkan juga, kan? Turki pula tidaklah terlalu asing bagi Proton. Beberapa model sebelum Gen2 sudah pernah dipasarkan di sana.

    7. Proton Perdana V6 dalam Jaggubhai

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Ini mungkin ramai yang tak pernah tahu. Proton Perdana V6 pernah tampil dalam sebuah filem Tamil, Jaggubhai (2008). Melihat kelibat kereta Proton dan Perodua dengan nombor pendaftaran tempatan yang ada dalam filem ini, itu adalah disebabkan kebanyakan penggambaran yang menampilkan Australia sebenarnya dijalankan di sini. Ia turut dimenjalani shooting di Bangkok, Chennai dan Bangkok.

    8. Proton Wira dalam Battle of the Damned

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Penggambaran filem ini dijalankan di Malaysia pada 2013. Dengan Proton Wira menjadi penghias babak yang dilakonkan oleh Dolph Lundgren, ia menjadi sesuati yang berbeza, walaupun hanya muncul untuk satu tempoh yang singkat. Ini cerita tentang dunia yang diserang wabak virus dan yang menukar orang menjadi zombie. Kalau berminat dengan jenis cerita macam ini, boleh tonton.

    9. Proton Wira Aeroback dalam Ordinary Lies

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Ia merupakan sebuah siri tivi British yang ditonton oleh jutaan orang, dan BBC memainkannya untuk tempoh dua musim antara tahun 2015 hingga 2016. Dalam episod kelima musim pertama, sebuah Wira Aeroback lama dapat dilihat muncul.

    10. Proton Saga Iswara Aeroback dalam Power Rangers Jungle Fury

    10 kereta Proton yang pernah buat penampilan dalam filem dan rancangan tivi oleh produksi luar negara

    Yang terakhir dalam senarai ini ialah Proton Saga Iswara Aeroback. Ia tampil dalam satu babak pergaduhan di dalam filem Power Rangers Jungle Fury. Siri berkenaan dirakamkan di Australia dan New Zealand dan dikeluarkan pada 2008.

    Jadi inilah senarai 10 filem atau rancangan tivi yang pernah menampilkan beberapa model Proton di layar mereka. Jika ramai yang masih belum pernah tahu tentang perkara ini, bolehlah gunakan masa dalam PKP untuk mencari dan cuba mengesan kereta-kereta ini dalam semua filem/rancangan yang disenaraikan ini. Selamat mengisi masa lapang!

     
     
  • Mitsubishi Triton satu-satunya pikap yang mencatat peningkatan positif bagi tahun kewangan 2019

    Mitsubishi Triton satu-satunya pikap yang mencatat peningkatan positif bagi tahun kewangan 2019

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan bahawa Triton adalah satu-satunya model dalam segmen trak pikap yang mencatat peningkatan positif bagi tahun kewangan 2019 yang berakhir Mac 2020 baru ini. Meskipun segmen ini menunjukkan penurunan 21%, Triton masih dapat mencatat peningkatan jualan 0.9% berbanding tempoh sama sebelumnya.

    Tiga bulan terakhir dalam tahun kewangan tersebut, iaitu dari Januari hingga Mac 2020 menyaksikan Triton masih mengekalkan perkongsian pasaran sekurang-kurangnya 22% untuk tiga bulan berturut-turut. Sepanjang tempoh kewangan tersebut, perkongsian pasaran keseluruhan bagi Triton adalah 17%, melebihi sasaran 16% yang diletakkan oleh Mitsubishi.

    Menurut MMM lagi, Triton versi double-cab juga telah menguasai pasaran di beberapa negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Kedah, di mana sepanjang tahun kewangan 2019, model tersebut berada di kedudukan paling atas.

    Pada bulan Januari, Triton telah mencatat peningkatan jualan tahun ke tahun sebanyak 2.4% meskipun jumlah keseluruhan bagi segmen trak pikap menunjukkan penurunan sebanyak 21% bagi tempoh sama. Mitsubishi juga memegang kedudukan teratas dalam Malaysia Customer Service Index (CSI) Mass Market Study selama dua tahun berturut-turut.

    Varian Triton paling mampu milik adalah Quest 4×2 yang diperkenalkan pada bulan November tahun lalu dengan harga RM79,890, sementara satu lagi varian iaitu VGT MT Premium turut diberikan peningkatan Februari lalu, yang menyaksikan ia datang dengan lebih kelengkapan dan harga RM113,300.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X

     
     
  • PKP: ETCM umum 10 pusat servis telah dibuka semula

    PKP: ETCM umum 10 pusat servis telah dibuka semula

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM), selaku pengedar rasmi Nissan, telah mengumumkan pembukaan semula 10 pusat servis terpilih yang dioperasikan oleh Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS) selepas menerima kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Walau bagaimana pun, bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya sistem ‘Drop off and Pick-up’ sahaja yang akan dilaksanakan. Ini bermakna, para pelanggan tidak dibenarkan untuk menunggu kenderaan diselenggara di premis berkenaan.

    Jadi, pelanggan yang mahu menghantar kenderaan masing-masing untuk diselenggara, perlulah membuat temujanji lebih awal dengan cara menelefon pusat khidmat pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838, atau pusat servis berhampiran. Selain itu, pilihan lain termasuk mengaturkan temujanji menerusi aplikasi DriveOn atau laman web TCEA. Malah pelanggan juga dinasihati agar memilih pusat servis yang terhampir selaras dengan peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP, iaitu pergerakan dalam jarak radius 10 kilometer dari rumah masing-masing.

    Senarai 10 pusat servis yang dibuka adalah seperti berikut:

    PKP: ETCM umum 10 pusat servis telah dibuka semula

    Sebagai langkah kesihatan dan keselamatan, TCEAS akan mempraktikkan pemeriksaan suhu badan dan penjarakkan social untuk semua kakitangan pusat servis dan pelanggan. Malah kakitangan TCEAS juga diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut serta sarung tangan. Bahkan penutup hidup dan mulut serta hand sanitizer juga akan diberikan secara percuma kepada pelanggan. Premis juga akan kerap disembur dengan cecair pembasmi kuman, begitu juga dengan kenderaan pelanggan yang turut akan dinyah kuman sebelum dan selepas diselenggara.

    TCEAS juga memaklumkan pembayaran tanpa sentuhan amat digalakkan bagi mencegah penularan COVID-19. Dalam hal lain, ETCM turut memaklumkan pusat servis kendalian TCEAS yang lain akan dibuka semula mengikut peringkat. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.tceas.com atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838.

     
     
  • Xpeng P7 – EV yang mampu beri jarak gerak 706 km

    Xpeng P7 – EV yang mampu beri jarak gerak 706 km

    Selepas SUV G3, pengeluar kenderaan elektrik di China iaitu Xpeng kini melancarkan model sedan pula, dipanggil sebagai P7. Ia sudah pun mula dijual pada harga bermula 229,900 yuan (RM140,400) untuk model asas pacuan roda belakang manakala varian paling tinggi yang menggunakan pacuan semua roda dijual pada harga 349,900 yuan (RM213,700).

    P7 dikatakan mempunyai jarak gerak kenderaan elektrik paling tinggi di China iaitu 706 km (kitaran NEDC), melalui versi yang menggunakan bateri lithium ion prismatic 80.9 kWh. Jumlah ini mengatasi jumlah yang mampu diberikan oleh Tesla Model 3 iaitu 668 km. Satu lagi versi P7 yang menggunakan bateri 70.8 kWh memberi jarak gerak 568 km.

    Jumlah jarak gerak yang dicatat ini juga adalah untuk model asas pacuan dua roda belakang, sementara pada varian lebih tinggi yang mempunyai lebih banyak kelengkapan, jumlahnya menurun menjadi 656 km (bateri 80.9 kWh). Model pacuan roda belakang ini menggunakan satu motor elektrik, mampu menghasilkan kuasa 196 kW (263 hp) dan 390 Nm tork, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.7 saat.

    Versi yang menggunakan pacuan semua roda pula ditambah dengan satu lagi motor elektrik berkuasa 120 kW (161 hp) dan 265 Nm di bahagian hadapan, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 316 kW (424 hp) dan 655 Nm tork. Versi ini cuma ditawarkan dengan pakej bateri 80.9 kWh yang mampu memberi jarak gerak 552 km dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat.

    Untuk mengecas bateri 80.9 kWh P7 daripada tahap 30% ke 80%, ia akan mengambil masa 6.5 jam sekiranya menggunakan soket biasa, 4.2 jam menggunakan soket three-phase bersama pengecas AC 380-volt dan 31 minit apabila menggunakan pengecas pantas DC. Untuk bateri 70.8 kWh pula, masanya masing-masing menjadi 5.7 jam, 3.6 jam dan 28 minit.

    P7 menggunakan bentuk sedan yang sporty dengan bumbung bahagian belakang lebih menjunam seperti sebuah fastback. Lampu utamanya terletak di bahagian bampar sementara di atas terdapat jalur yang bersambung dari kiri hingga ke kanan. Konsep sama digunakan pada bahagian belakang. Untuk melengkapkan penampilan ini, pelanggan diberi pilihan rim 18 ataupun 19 inci.

    Xpeng P7 – EV yang mampu beri jarak gerak 706 km

    Bahagian dalam nampak lebih bersih dan kemas, dengan di tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 14.96 inci yang disambung dengan sistem infotainmen Xmart OS keluaran syarikat itu sendiri. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 10.25 inci.

    Xpeng juga mempunyai kerjasama dengan beberapa syarikat teknologi lain dari negara itu seperti Alipay untuk menguruskan proses pembayaran dalam kereta (mengecas atau servis lain) dan kunci digital yang boleh dikawal bersama dengan telefon, jam atau gelang pintar Xiaomi. Sistem bunyi 18 pembesar suara adalah daripada Dynaudio.

    P7 dibina atas platform Smart Electric Platform Architecture (SEPA), dan dilengkapi dengan pemproses Nvidia Xavier untuk ciri pemanduan autonomous. Data untuk sistem ini diperolehi daripada 12 pengesan ultrasonik, lima pengesan radar, 13 kamera dan satu kamera dalam kereta untuk pemetaan HD.

    Sistem operasi Nvidia Drive OS open-source juga membolehkan Xpeng menggunakan perisian pemanduan autonomous Xpilot 3.0 mereka sendiri. Sistem ini mampu memberikan ciri pemanduan semi-autonomous Level 3, dengan ciri seperti adaptive cruise control, lane centring assist, automatic lane change dan adaptive turning control. P7 juga datang dengan ciri bantuan lain seperti autonomous emergency braking, lane departure warning dan blind spot monitoring.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025