Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • AD: Bateri percuma Amaron dalam peraduan “36 Raya-Ready Share & Win” — sertai di Facebook sekarang

    AD: Bateri percuma Amaron dalam peraduan “36 Raya-Ready Share & Win” — sertai di Facebook sekarang

    Kereta anda perlukan bateri baru selepas jarang-jarang digunakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini? Amaron ingin memberikan lima bateri kereta baru sempena peraduan “36 Raya-Ready Share & Win” yang bermula hari ini (27 April) hingga 15 Mei nanti.

    Mudah saja kalau nak ikut serta. “Like” laman Facebook Amaron (Amaron MY) dan ikuti juga mereka di Instagram (Amaron MY), dan kongsikan hantaran berkenaan kepada rakan-rakan anda. Anda boleh melakukan ini seberapa banyak kali yang diinginkan, tetapi capaiannya perlulah disetkan kepada “public”. Di dalam hantaran berkenaan, nyatakan “Mengapa anda pilih bateri Amaron” dalam status anda dan gunakan tanda #amaronisthebest #amaron36 #shareandwin dan #rayaready.

    Itu sahaja. Pemenang akan dipilih berdasarkan komen yang paling kreatif dan menerima perkongsian terbanyak di Facebook. Lima pemenang tersebut akan diumumkan di laman Facebook dan Instagram Amaron pada 18 Mei, dan pemenang perlu menghubungi Amaron melalui pesanan peribadi untuk menuntut hadiah.

    Amaron 36 RAYA-READY Share & Win Contest 2020?STAND YOUR CHANCE TO WIN 5x Amaron 36 Months Warranty Car batteries this…

    Posted by Amaron MY on Ahad, 26 April 2020

    Ambil maklum yang peraduan ini hanya terbuka untuk mereka yang tinggal di Semenanjung sahaja, dan tarikh akhir penyertaan ialah pada 11.59pm, 15 Mei 2020. Keputusan juri adalah muktamad.

    Tidak berlaku kekurangan bekalan bateri kenderaan dalam pasaran, tetapi apa yang menarik tentang Amaron ini ialah jaminan 36-bulan yang diberikan bagi baterinya (siri 38B20L, 46B24 dan bateri jenis DIN). Ini menurut Amaron merupakan tempoh jaminan yang lebih panjang berbanding 18 atau 24 bulan berbanding bateri pesaing.

    Jaminan 36-bulan ini bagaimanapun hanya sah dengan pendaftaran atas talian dari pengedar rasmi Amaron seluruh negara. Jadi, dapatkan bateri anda daripada sumber yang rasmi. Tuntutan jaminan boleh dibuat melalui rangkaian cawangannya. Maklumat lanjut di sini.

     
     
  • Aplikasi mudah alih baru Renault Subscription Jun ini

    Aplikasi mudah alih baru Renault Subscription Jun ini

    Selain daripada penawaran terbaru bagi Renault Subscription dan E-Store, TC Euro Cars juga mengumumkan sebuah aplikasi mobile terbaru akan diperkenalkan pada Jun nanti untuk memudahkan lagi urusan pelanggan.

    Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh menguruskan kenderaan langganan mereka, dengan beberapa fungsi utama seperti mengesan lokasi, kunci/buka kunci dari jauh, sejarah perjalanan, perkongsian kenderaan, peringatan, panggilan kecemasan, sambungan Bluetooth dan papan pemuka yang menyediakan maklumat berkaitan langganan semasa mereka.

    Pelan langganan syarikat ini termasuk Pakej Percubaan yang membolehkan pelanggan “menyewa” Captur bagi tempoh seminggu, atau boleh dimasukkan ke dalam pakej Fixed atau Pre-Owned, dengan tempoh langganan dari setahun hingga tiga tahun.

    Fixed Plan atau Pelan Tetap turut ditawarkan kepada Koleos dan Megane RS 280 Cup, juga bagi tempoh langganan hingga tiga tahun. Pelan ini termasuk sekali dengan cukai jalan, insurans, kos servis biasa dan jarak perjalanan tahunan 20,000 km. Jarak ini juga boleh ditambah kepada 30,000 km atau 40,000 km dengan yuran tambahan dikenakan.

    Bagi mereka yang inginkan lebih fleksibiti, Switch Plan atau Pelan Tukar ada ditawarkan pada dua peringkat, Base dan Prime. Kedua-duanya menawarkan kos yang siap dikira, tanpa had perbatuan, pelindungan terhadap kehausan komponen serta pilihan untuk membatalkan pakej pada bila-bila masa tanpa dikenakan denda. Beberapa pilihan tambahan lain juga ditawarkan bagi kedua-dua plan berkenaan.

     
     
  • Isuzu D-Max XTR Colour Edition 2020 muncul di UK

    Isuzu D-Max XTR Colour Edition 2020 muncul di UK

    Isuzu D-Max XTR Colour Edition 2020 telah diperkenalkan di UK, dengan penampilan lebih agresif disumbang oleh bodykit XTR dan disuntik dengan penggunaan warna hijau yang minimal sebagai kontras di beberapa bahagian.

    Kelengkapan seperti bampar depan, pelindung bonet dan bingkai lampu utama diberikan warna penyudah yang sama dengan warna badan, sementara di bahagian lencana gril depan ada kemasan hijau. Trak pikap ini seterusnya dipasangkan secara eksklusif dengan rin 17-inci dalam warna hitam satin. Tayar menggunakan Pirelli Scorpion All-Terrain Plus sebagai standard.

    Peralatan tambahan termasuk pemijak sisi berketahanan tinggi, direka untuk mengelakkan bahagian badannya dirosakkan oleh batu di permukaan tanah. Ia hadir dengan permukaan bertekstur untuk mengalirkan lumpur, pasir dan salji. Kemasan lain seperti perumah cermin sisi, pemegang pintu dan tingkap belakang semuanya diberikan kemasan warna hitam.

    Isuzu D-Max XTR Colour Edition 2020 muncul di UK

    Di belakang, pintu ruang barangan didatangkan dengan spoiler serta lencana XTR, dan semuanya tampil dalam warna gelap, termasuk keliling lampu belakang dan hujung ekzos. Di bahagian bawah badanya pula boleh dilihat kelengkapan seperti penyerap hentak serta anti-roll bar dengan kemasan warna hijau.

    Isuzu D-Max XTR Colour Edition ini turut menerima cakera brek depan berprestasi yang direka untuk memberikan rasa pedal yang konsisten, tahan lama serta dengan perlindungan anti-karat. Kaliper diberiken penyudah tona hijau yang sama, dengan pad seramik yang menawarkan lebih prestasi.

    Bahagian suspensi, yang disediakan oleh Pedders, ditala untuk menampung keadaan pemanduan yang ekstrem. Suspensi depan mengunakan penyerap hentak unik bagi artikulasi yang lebih baik, dan meninggikan kedudukan kenderaan, memberikan jarak kelegaan tanaun 250 mm. Ini tidak mengorbankan pengendalian dan kestabilan pemanduan.

    Roda stereng rata bahagian bawah digunakan, dibalut dengan kulit dan suede (jahitan tangan dengan benang hijau), tempat duduk dengan material sama serta jahitan logo XTR pada penyandar kerusi depan dan perehat kepala tengah kerusi belakang.

    Harga dan bila trak ini akan mula dijual dalam pasaran bagaimanapun belum diumumkan. Isuzu D-Max 2020 XTR Colour Edition ini akan didatangkan dalam warna Splash White, Titanium Silver Met, Obsidian Grey Mica dan Cosmic Black Mica. Pengeluarannya pula adalah terhad.

     
     
  • Audi A6 Avant 55 TFSI e quattro C8 – PHEV 362 hp

    Audi A6 Avant 55 TFSI e quattro C8 – PHEV 362 hp

    Ini adalah Audi A6 Avant 55 TFSI e quattro C8, yang merupakan versi wagon bagi model plug-in hybrid A6. Model sedan sebelum ini diperkenalkan pada bulan Oktober tahun lepas. Versi wagon ini masih menggunakan penggerak yang sama seperti versi sedannya, serta beberapa model lain seperti A7 Sportback dan Q5, dengan harga bermula RM71,940 euro (RM340,389).

    Penggerak model ini terdiri daripada enjin empat silinder 2.0 liter TFSI berkuasa 248 hp dan 370 Nm yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan S-tronic, serta motor elektrik synchronous berkuasa 141 hp dan 350 Nm yang terletak antara enjin dan kotak gear.

    Jumlah kuasa keseluruhan adalah 362 hp dan 500 Nm tork, yang mana cukup untuk memacu kenderaan ini 0-100 km/j dalam masa cuma 5.7 saat. Laju maksimum dihadkan pada 250 km/j semasa dalam mod hibrid sementara dalam mod elektrik penuh ia cuma boleh pergi maksimum 135 km/j. Menurut Audi, A6 Avant PHEV mampu memberikan penggunaan bahan api serendah 1.9 l/100 km.

    Audi A6 Avant 55 TFSI e quattro C8 – PHEV 362 hp

    Motor elektrik tersebut mendapat kuasa daripada bateri lithium ion berkapasiti 14.1 kWh, dan sekiranya menggunakan mod elektrik penuh, ia boleh memberikan jarak gerak hingga 51 km. Bateri ini boleh dicas menggunakan kabel Type 2, dan apabila disambung kepada stesen pengecas 7.4 kW, ia akan mengambil masa 2.5 jam untuk penuh.

    Walaupun bateri ini diletakkan di dalam but, pemilik masih boleh menggunakan ruang simpanan sebesar 405 liter, ataupun 1,535 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Kapasiti ruang simpanan ini sudah tentu adalah kurang berbanding model bukan PHEV, iaitu 565 liter dan 1,680 liter.

    Untuk kelengkapan, A6 Avant PHEV datang dengan pakej kemasan S Line dan kemasan hitam, bersama lampu utama Matrix LED, tempat duduk sport, pengawal pendingin hawa automatik empat zon, Audi Virtual Cockpit, suspensi sport, rim 19 inci dan angkup brek berwarna merah.

     
     
  • VIDEO: Drift Twins HKS dan Monster Supra – kolobrasi McD & GR untuk Happy Meal dengan hadiah Tomica

    Bermula 1 Mei ini, kanak-kanak yang membeli Happy Set (Happy Meal di Malaysia) McDonald di Jepun akan menerima sebuah replika GR Supra buatan Tomica. Ini adalah kolobrasi antara pihak McDonald Jepun bersama Toyota Gazoo Racing, dan serentak dengan itu satu video promosi telah disiarkan memaparkan aksi drift oleh dua pemandu bekas juara D1GP yang kini memandu Supra dalam kejuaraan drift professional berkenaan iaitu Nobuteru Taniguchi dan Daigo Saito.

    Seperti apa yang telah kami laporkan sebelum ini, Taniguchi masih memandu untuk pasukan HKS, manakala Daigo Saito pula memandu Supra yang disediakan garajnya sendiri, Fat Five Racing dan menerima tajaan Monster Energy Drink. Walau bagaimanapun, kedua-dua Supra A90 ini telah disumbatkan dengan enjin 2JZ-GTE dari Supra A80 generasi sebelumnya, disediakan oleh HKS yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 800 hp menggunakan blok yang dibesarkan dari 3.0 liter kepada 3.4 liter.

    Walaupun dijana oleh enjin yang sama, kedua-dua Supra D1GP ini menampilkan rupa luaran yang berbeza. Supra yang dipandu oleh Taniguchi menggunakan kit badan lebar rekaan HKS sendiri bersama sayap GT gergasi, manakala Monster Supra Daigo Saito pula mengenakan kit badan Pandem Rocket Bunny.

    Dalam video tersebut, kedua-dua GR Supra ini melakukan aksi ‘Twin Drift’ diperkarangan sebuah restoran McDonald setelah membuat pesanan secara pandu lalu (berbunyi perut Daigo Saito sebab lapar). Setelah selesai dengan pelbagai aksi, kedua-duanya mengambil pesanan masing-masing iaitu set Happy Meal berserta sebuah Tomica GR Supra berwarna merah.

    Nak juga merasa Tomica GR Supra McDonalds ini? Rasanya mungkin McDonald Malaysia tidak akan membawanya ke sini, tapi berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas, anda mungkin boleh jumpa Supra ini di gudang barangan pre-loved Jepun tempatan tidak lama lagi.

     
     
  • PKP: Lebih 500k individu daftar Gerak Malaysia, 250k daripadanya mohon permit rentas negeri – PDRM

    PKP: Lebih 500k individu daftar Gerak Malaysia, 250k daripadanya mohon permit rentas negeri – PDRM

    Selepas dilancarkan pada 24 April lalu, kini aplikasi Gerak Malaysia telah menerima lebih 500,000 pendaftaran dengan setengah daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, jumlah itu diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga tengahari semalam.

    “Jumlah pendaftaran diterima setakat jam 12 tengah hari (semalam) daripada SKMM adalah lebih 500,000 individu. Daripada jumlah itu, lebih 250,000 membuat permohonan untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri,” katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro.

    Buat masa ini, kerajaan belum mengumumkan tarikh kebenaran untuk memulakan perjalanan bagi individu yang memohon permit terbabit. Walau bagaimana pun, sekali lagi ditegaskan, permit tersebut hanya boleh digunakan bagi tujuan perjalanan sehala sahaja iaitu bagi mereka yang terkandas di kampung dan mahu pulang ke rumah masing-masing.

    Semalam, Huzir turut berkata, amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja, supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit.

    Tambahnya lagi, dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut. Hasil pemantauan dan penilaian akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima.

     
     
  • Mansory Audi RS6 Avant – wagon kejam dengan 740 PS/1,000 Nm dari enjin V8 4.0 liter Biturbo dan AWD!

    Mansory Audi RS6 Avant – wagon kejam dengan 740 PS/1,000 Nm dari enjin V8 4.0 liter Biturbo dan AWD!

    Anda rasa Audi RS Avant standard dah cukup kejam? Tunggu dulu, memperkenalkan Audi RS6 Avant C8 yang menerima sentuhan semula oleh Mansory dengan bekalan kuasa 740 PS dan tork maksima 1,000 Nm! Ini adalah model kedua dari Audi yang diusik oleh Mansory selepas model R8 generasi pertama, dan seperti biasa bukan hanya menerima ubahsuai enjin, penampilan luaran dan dalamannya juga turut ditingkat taraf.

    Bagi mendapatkan lonjakan kuasa dari kuasa asal 600 PS/800 Nm pada enjin 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo berkenaan, Mansory telah menukar sistem ekzos dan membuat talaan semula pada kotak komputer enjin. Dengan kuasa 140 PS/200 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya, RS6 Avant Mansory ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari asal.

    Kuasa masih disampaikan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan tiptronic automatik, dan juga sistem pacuan semua roda Audi Quattro. Casis RS Avant Mansory ini juga masih menggunakan sistem suspensi udara adaptif standard yang dibekalkan.

    Untuk bahagian luaran, wagon yang sudah sedia nampak garang ini tampil lebih agresif dengan kit aero yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser belakang – kesemuanya dibuat secara ‘in-house’ oleh Mansory menggunakan bahan gentian karbon.

    Sistem ekzos yang telah ditukar juga membuatkan rupa belakang RS6 ini nampak lebih menakutkan kerana dua tip ekzos bulat asal telah digantikan dengan sepasang tip petak berkembar yang mengapit diffuser belakang baharu berkenaan. Badan wagon ini menerima warna Deep Black, bersama jalur berwarna oren, dan dilengkapkan dengan rim aloi forged YN.10 22-inci, dibaluti tayar UHP 295/30R22.

    Mansory telah memberikan balutan semula upholsteri kabin wagon Audi ini dengan menggunakan kulit Nappa dan Alcantara, bersama kemasan-kemasan yang lebih mewah gaya Mansory dan juga panel-panel yang diperbuat dari gentian karbon. Untuk menyesuaikan dengan tema badan, tempat duduk, panel pintu, karpet, roda stereng dan konsol tengan diberikan serlahan dan jahitan bersilang berwarna oren.

     
     
  • Mazda MX-5 R-Sport dilancarkan di UK – 150 unit

    Mazda MX-5 R-Sport dilancarkan di UK – 150 unit

    Mazda telah memperkenalkan model edisi istimewa MX-5 R-Sport di United Kingdom, yang hanya dihasilkan dalam jumlah terhad iaitu 150 unit sahaja. Berharga pada 27,700 pound (RM150,125), model edisi terhad ini kini sudah boleh ditempah menerusi dalam talian dan didatangkan dengan beberapa sentuhan yang unik untuk membuatkan ia lebih menyerlah daripada model biasa MX-5.

    Ini termasuklah kemasan warna badan Polymetal Grey metalik, dan juga bumbung fabrik kelabu. Model dua tempat duduk ini juga didatangkan dengan aloi RAYS gunmetal 16-inci dengan kontras hitam pada cermin sisi, sementara bahagian dalam pula dihiasi kulit Nappa burgundy dengan jahitan tona perak.

    R-Sport berasaskan varian Sport bagi model MX-5 2020 dan dijanakan oleh SkyActiv-G 1.5 liter empat-silinder dengan kuasa 132 PS dan tork 152 Nm, yang pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan.

    Mazda MX-5 R-Sport dilancarkan di UK – 150 unit

    Lain-lain kelengkapan standard masih sama, termasuk kawalan suhu, pemanas tempat duduk, sistem infotainmen MZD Connect 7-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan kelajuan.

    “Saya berbesar hati kerana kami dapat menawarkan model eksklusif MX-5 ini kepada para pelanggan. Dengan menyertai model Convertible dan RF dalam barisan MX-5, kini sudah ada pilihan yang hebat dalam barisan Mazda MX-5 2020 yang telah dikemaskini, yang bermaksud sesiapa yang mahu mengemudi roadster yang bergaya, ini yang diperlukan,” ujar Jeremy Thomson, pengarah urusan Mazda Motors UK.

     
     
  • Datsun redi-Go facelift – teaser mula disiarkan di India

    Datsun redi-Go facelift – teaser mula disiarkan di India

    Datsun yang muncul semula sebagai satu jenama kenderaan bajet melancarkan model kompak redi-Go di India pada tahun 2016. Kini model itu akan diberikan facelift dan teaser untuknya sudah mula disiar, melalui dua keping gambar.

    Kedua-dua gambar ini digelapkan supaya cuma bayangnya sahaja yang boleh dilihat dan ia diambil dari dua sudut iaitu penjuru hadapan dan juga sisi. Apa yang boleh dilihat, bahagian hadapan redi-Go facelift ini lebih agresif dengan bukaan gril lebih besar dan lampu siang LED berbentuk L panjang ke bawah.

    Kedudukan logo Datsun di hadapan masih lagi sama manakala lampu hadapan pula dilihat lebih nipis dan tajam. Di bahagian tepi fender terdapat lencana tulisan Datsun manakala di belakang terdapat spoiler kecil di atas pintu butnya.

    Datsun redi-Go facelift – teaser mula disiarkan di India

    Gambar teaser ini disiarkan tanpa perincian lain dan sekadar bersama satu bahagian untuk orang ramai mendaftarkan minat. Mengikut jangkaan, perincian teknikal model ini mungkin masih lagi sama, iaitu dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 800 cc bersama transmisi manual lima kelajuan.

    Sebelum ini juga Datsun pernah membuat pengumuman tidak akan memperkenalkan model serba baru dalam masa terdekat sementara bulan lepas, ia juga telah membuat keputusan untuk menutup kilang di Indonesia dan keluar dari pasaran tersebut.

     
     
  • Dapatkan kebenaran perjalanan rentas negeri dari polis dulu, baru beli tiket pengangkutan awam – MOT

    Dapatkan kebenaran perjalanan rentas negeri dari polis dulu, baru beli tiket pengangkutan awam – MOT

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengingatkan orang ramai yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar mendapatkan kebenaran dari pihak Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan tersebut, lapor Bernama.

    Menurut satu kenyataan yang disiarkan oleh kementerian tersebut, ini perlu dilakukan bagi mengelakkan mereka yang mahu melakukan perjalanan tersebut menanggung kerugian sekiranya perjalanan berkenaan tergendala kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa setelah tiket bas atau kapal terbang telah dibeli terlebih dahulu.

    “Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran PDRM di balai polis berdekatan terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan bagi mengelakkan berlakunya kerugian yang terpaksa ditanggung sendiri oleh pengguna pengangkutan awam,” tulis kenyataan berkenaan.

    MOT mengambil maklum mengenai pergerakan orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk perjalanan rentas negeri apabila syarikat penerbangan kembali membuka operasi untuk penerbangan domestik.

    Selari dengan kenyataan media PDRM sebelum ini, orang ramai dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab sahih yang ditetapkan.

    MOT turut menyarankan orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam supaya sentiasa mematuhi garis panduan pencegahan wabak COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), seperti penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut ketika di dalam pesawat serta sentiasa menjaga keselamatan dan kebersihan diri.

     
     
  • MINI John Cooper Works GP sudah tiba di Thailand – RM563,453, 306 hp/450 Nm, hanya 30-unit ditawarkan

    MINI John Cooper Works GP sudah tiba di Thailand – RM563,453, 306 hp/450 Nm, hanya 30-unit ditawarkan

    Model edisi terhad, yang juga model MINI produksi yan paling hardcore pernah di hasilkan iaitu MINI John Cooper Works GP kini sudahpun tiba dipasaran Thailand. Dari 3,000 unit yang dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia, negara jiran kita ini menerima 30-unit daripadanya. Harganya pun tidak murah, dimana ia dijual pada harga 4.2 juta baht, atau RM563,453.

    Apa yang istimewa sangat dengan MINI berharga lebih RM setengah juta ini? Seperti yang disebut tadi, ini adalah MINI produksi yang paling ganas pernah dihasilkan. Dengan menggunakan asas badan varian paling kecil dan ringan iaitu MINI tiga-pintu, JCW GP ini diberikan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo, sama seperti model jauh lebih besar JCW F54 Clubman dan crossover F60 Countryman baharu – menghasilkan 306 hp pada takat 5,000 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,750 rpm hingga 4,500 rpm.

    Juga ia lebih ringan tanpa sistem pacuan semua roda ALL4 seperti pada Clubman dan Countryman, dimana kesemua kuasa hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik yang lengkap dengan LSD mekanikal, membolehkan ia memecut dari memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.2 saat. Tiada cut-off pada enjin model ini, dan secara standard ia boleh mencapai kelajuan maksima 265 km/j.

    MINI John Cooper Works GP sudah tiba di Thailand – RM563,453, 306 hp/450 Nm, hanya 30-unit ditawarkan

    JCW GP ini turut datang sekali dengan pakej pemanduan dan pengendalian yang mantap. LSD yang diberikan bukan berfungsi secara mekanikal semata-mata, dan ia turut dihubungkan kepada Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC). Ia berupaya untuk menghasilkan kesan lock-up sehingga 31% untuk memberikan cengkaman kedua-dua roda hadapan yang lebih baik, bagi memastikan understeer atau oversteer boleh dielakkan lebih awal.

    MINI juga memastikan sambungan pada cagak enjin, struktur badan dan suspensi adalah lebih kuat dari biasa. Ini memberikan respon stereng dan juga pedal pendikit menjadi lebih baik. Suspensi hadapan menerima pendakap-pendakap tambahan, manakala di belakang kerangka topang berbentuk segi-empat yang direka khas memastikan suspensi boleh dilaras untuk menangani pecutan sisi pada tahap tertinggi.

    Model istimewa ini juga menerima talaan suspensi khas hanya untuknya dan ia diuji secara intensif di litar Nürburgring, Jerman. Badan kereta ini juga adalah 10 mm lebih rendah dari JCW biasa, manakala sudut camber hadapan dan belakang yang dipertingkat membolehkan potensi untuk memindahkan daya sisi dipertingkat ketika mengambil selekoh secara agresif.

    MINI John Cooper Works GP sudah tiba di Thailand – RM563,453, 306 hp/450 Nm, hanya 30-unit ditawarkan

    Bukan itu sahaja, ia juga diberikan galas getah pada gandar hadapan dan belakang yang lebih keras. Manakala pada lengan wishbone belakang, sambungan dengan cagak getah di sebelah luar telah digantikan dengan komponen dari logam, dan pada sebelah dalam menggunakan getah dengan material lebih keras.

    Bagi menghentikan kereta ini, ia diberikan angkup aluminium tetap empat-omboh berwarna merah, bersama cakera berliang 360 x 30 mm pada sebelah depan. Angkup terapung silinder-tunggal pula berfungsi untuk menghentikan roda belakang. Set brek tersebut berselindung di sebalik rim aloi forged yang sangat ringan (kurang 9 kg setiap satu) bersaiz 18-inci dengan lebar 8.0 j. Ia dibaluti tayar berprestasi tinggi bersaiz 225/35R18.

    Dengan talaan suspensi lebih agresif dan perlunya sistem aero yang lebih baik, MINI JCW GP ini turut menerima rupa luaran yang lebih ganas dari biasa. Bampar hadapan versi ini menerima gril bawah dengan liang pengambilan udara yang besar untuk mengalirkan udara sejuk ke sistem penyejukkan enjin dan sistem brek. Kemudian ia diberikan spoiler yang bersambung terus dengan kedua-dua overfender hadapan yang kelihatan seperti terapung. Rekaan hampir sama tampil pada fender belakang.

    Kesemua panel overfender tersebut diperbuat dari bahan ringan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP). JCW GP ini kemudiannya diberikan spoiler belakang yang cukup besar dengan dua bilah sayap. Juga seperti bahagian hadapan, overfender kelihatan bersambung dengan bampar belakang, dan terus dihubungkan kepada diffuser yang bersaiz besar.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini diberikan tempat duduk sport yang dibalut dengan gabungan Dinamica dan kulit, bersama serlahan jalur perak pada setiap sisi, jahitan benang merah dan juga logo GP. Bagi mengurangkan beratnya, tiada tempat duduk diberikan pada bahagian belakang.

    Logo-logo GP diberikan pada pelbagai tempat seperti pedal penukar gear dan juga pada karpet kaki. Manakala serlahan jalur merah pula menghiasi pelbagai bahagian termasuk pada tombol gear dan juga bar pengukuh di belakang tempat duduk.

    30-unit dari 3,000 unit keseluruhan, ini bermakna Thailand menerima 1% dari jumlah penuh produksi MINI John Cooper Works GP ini. Agaknya, adakah kita juga akan menerima model edisi terhad ini? Ada yang berminat dengan hot-hatch dengan harga lebih dari RM500k ini di Malaysia?

     
     
  • TC Euro Cars kemaskini tawaran pelan langganan dan E-Store Renault — dengan pelan tiga tahun terbaru

    TC Euro Cars kemaskini tawaran pelan langganan dan E-Store Renault — dengan pelan tiga tahun terbaru

    Sebagai menyesuaikan penawaran dengan keadaan pacsa-PKP kelak yang dijangka akan mengubah cara dan keperluan pelanggan terhadap pemilikan kenderaan persendirian, pengedar kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars kini memperkenalkan beberapa kaedah dan kemaskini terbaru bagi penawaran sedia ada.

    Antaranya pengenalan Renault Subscription Packge, yang kini telah dilanjutkan kepada semua bilik pameran Renault di negara ini dan pelanggan boleh mendaftar tidak kira berapa kali. Sebelum ini, ia hanya ditawarkan hanya di bilik pameran Renault Petaling Jaya dan untuk sekali tawaran sahaja.

    Langkah ini bagi menampung keperluan pelanggan yang mungkin keadaan kewangan mereka telah terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini. Ia akan menjadi satu cara bagi mereka yang tidak mahu untuk memberi komitmen jangka panjang bagi pemilikan kenderaan di sebabkan ketidak tentuan keadaan ekonomi selepas ini. Lanjutan bagi tempoh jaminan kenderaan dan servis juga diteruskan.

    TC Euro Cars kemaskini tawaran pelan langganan dan E-Store Renault — dengan pelan tiga tahun terbaru

    Pelan ini membenarkan pelanggan untuk “menyewa” Captur pada kadar RM399 seminggu, atau RM57 sehari, dengan melibatkan proses yang cukup ringkas yang hanya memerlukan salinan kad pengenalan atau passport pelanggan, serta lesen memandu dan kad kredit.

    Tawaran berikutnya ialah pelan “Fixed and Switch Subscription” yang kini telah diberi penyelarasan baru. Langganan kekal kini turut termasuk pelan tiga-tahun bagi model Captur dan Koleos, yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada Megane RS 280 Cup.

    Terma langganan yang lebih lama juga datang dengan kadar bulanan yang lebih rendah berbanding pilihan langganan satu atau dua tahun. Sama seperti pelan lain, ia termasuk cukai jalan, insurans, kos servis biasa dan jarak perbatuan tahunan 20,000 km. Dengan kemaskini pelan kekal, pelanggan juga akan diberikan jarak perbatuan tahunan lebih tinggi, 40,000 km setahun berbanding 30,000 km, dengan yuran tambahan.

    Pelan pertukaran juga turut diberikan kemaskini. Di dalam pelan Switch Base ini, Captur Trophy kini ditawarkan pada harga RM1,999 sebulan, manakala bagi pelan Switch Prime kini termasuk model Koleos dengan RM3,199 sebulan.

    Di bawah pelan Prime terbaru, pelanggan akan mendapat akses keluarga Renault bagi tempoh dua bulan, yang membolehkan mereka menggunakan Captur (bagi 1.5 bulan) atau Megane RS 280 Cup (bagi setengah bulan) – ini turut terpakai bagi pelan Base, dengan Captur akan menggantikan Koleos. Kedua-dua pelan Switch ini menawarkan pengiraan semua kos dan fleksibiliti, tanpa had perbatuan, pelindungan terhadap kehausan komponen dan pilihan untuk membatalkannya pada bila-bila masa tanpa dikenakan denda.

    Senarai akesesori pilihan dan akses juga ditambah, termasuk filem penebat haba, kerusi kanak-kanak, perakam video digital dan akses Singapura. Untuk menjadikannya lebih mampu milik, kos terlibat boleh dimasukkan ke dalam bayaran bulanan langganan pelanggan.

    TC Euro Cars kemaskini tawaran pelan langganan dan E-Store Renault — dengan pelan tiga tahun terbaru

    Bagi Renault E-Store pula, pelanggan yang membeli model baru Renault dari showroom digital bermula 20 April hingga 31 May 2020 akan menikmati rebat yang sama nilai dengan ansuran enam bulan, servis percuma lima tahun/100,000 km dan ganjaran trade-in bernilai RM8,000.

    Sebagai tambahan, mereka yang melanggan sama ada pelan Fixed atau Switch akan menikmati satu bulan langganan percuma, sementara mereka yang memilih program Captur terpakai pila akan menikmati potongan 50% bagi enam bulan pertama yuran langganan mereka. Semua kenderaan akan diserahkan selepas tamat tempoh PKP.

     
     
  • Proton Saga FL, Satria Neo dan Savvy muncul dalam filem aksi Netflix, dibintangi oleh Chris Hemsworth

    Proton Saga FL, Satria Neo dan Savvy muncul dalam filem aksi Netflix, dibintangi oleh Chris Hemsworth

    Diam-diam rupanya, tiga adik-beradik Proton Saga FL, Satria Neo dan Savvy buat percubaan untuk jadi bintang filem. Sebetulnya, tiga model ini membuat penampilan singkat dalam filem dan menarik tumpuan terhadap mereka, walaupun cuma sekejap.

    Kalau anda belum tahu, tiga model kenderaan keluaran syarikat Malaysia itu ada ditampilkan di dalam filem Netflix terbaru berjudul Extraction, yang dibintangi oleh Chris Hemsworth. Filem berkenaan, yang mula ditayangkan pada 24 April 2020 diterbitkan oleh Joe dan Anthony Russo serta Chris sendiri.

    Ia kisah pembunuh upahan, Tyler Rake, yang dihantar untuk menyelamatkan seorang anak kepada raja dadah India dari Bangladesh, selepas dia diculik dan diletakkan harga ke atas nyawanya oleh penjahat. Jalan cerita mungkin biasa-biasa saja, tetapi cara filem ini dibuat – aksi dan juga kesan visualnya – akan membuatkan anda untuk terus menonton.

    Proton Saga FL, Satria Neo dan Savvy muncul dalam filem aksi Netflix, dibintangi oleh Chris Hemsworth

    Berbalik kepada “tiga beradik” Proton yang ditampilkan dalam filem ini. Menariknya, Satria Neo Savvy sebenarnya tidak ditawarkan pun dalam pasaran Bangladesh. Kehadiran kereta-kereta berkenaan muncul dalam filem ini adalah kerana, sebahagian besar penggambaran filem berkenaan dijalankan di Ratchaburi, Thailand.

    Di Bangladesh, Proton diwakili oleh PHP Automobile, yang turut memasang Preve di sana. Proton juga ada dijual dinegara jirannya Pakistan, dengan kilang pengeluaran dijangka akan dibuka tahun ini. Kalau anda ada masa lapang, bolehkan pergi tonton “aksi” tiga model Proton dalam filem berkenaan. Kiranya ini “cameo” terbaru merekalah, walaupun entah berapa peluru terkena badan.

     
     
  • Porsche perkenal pemain audio moden dengan rupa retro untuk 911 klasik – ada skrin dan sistem navigasi

    Porsche perkenal pemain audio moden dengan rupa retro untuk 911 klasik – ada skrin dan sistem navigasi

    Untuk peminat kereta klasik yang sukakan elemen retro sebenar, mereka biasanya akan mengekalkan set stereo dari zaman kereta berkenaan dihasilkan, supaya papan pemuka mereka tidak kelihatan janggal. Namun dengan cara ini, mungkin akan mengehadkan penggunaan sistem stereo berkenaan dengan cara lama, tanpa boleh menggunakan aplikasi streaming muzik dan juga sistem navigasi. Lagi pun, bukan senang nak cari kedai jual kaset sekarang kan?

    Jadi bagi menyelesaikan masalah ini, Porsche Classic, iaitu divisi rasmi dari Porsche bagi memproduksi dan membekalkan komponen alat ganti bagi kerja-kerja restorasi model-model lama Porsche telah menghasilkan unit pemain utama dengan bentuk klasik tetapi padat dengan fungsi terkini, khas untuk Porsche 911 era 60’an hingga 90’an, dan ia turut boleh digunakan pada model-model klasik enjin hadapan dan tengah Porsche.

    Sistem pemain baharu ini digelar sebagai Porsche Classic Communication Management (PCCM) dan ia hadir dalam dua varian. Kedua-duanya dilengkapkan dengan skrin sesentuh berdefinasi tinggi dan fungsi moden lain seperti radio digital DAB+, sokongan Apple CarPlay, sistem navigasi bina dalam, dan juga pelbagai pemain media termasuk kad SD, USD AUX dan Bluetooth.

    Porsche perkenal pemain audio moden dengan rupa retro untuk 911 klasik – ada skrin dan sistem navigasi

    Untuk PCCM varian pertama, ia dihasilkan untuk model-model yang mempunyai slot pemain utama 1DIN seperti model 911 keluaran era 1960 dan juga model terakhir 911 dengan enjin penyejukan udara pada awal 90’an iaitu siri 993. Untuk varian ini, ia hadir dengan dua tombol bulat, enam butang bina dalam dan juga skrin sesentuh bersaiz 3.5-inci.

    Sistem navigasinya pula turut mempunyai fungsi “point of interest search,” tetapi memerlukan kad SD berasingan bagi fungsi peta tersebut.

    Manakala untuk varian PCCM kedua digelar Plus, ia dihasilkan khas untuk model dengan slot pemain utama 2DIN. Unit pemain yang lebih besar ini memberikan skrin sesentuh 7-inci, dan selain dari fungsi sama pada versi 1DIN, ia juga mempunyai sokongan untuk Android Auto.

    Menurut Porsche lagi, rekaan haptik dan visual pada PCCM Plus ini dihasilkan dengan mengambil kira komponen-komponen bersebelahannya seperti pelaras hala liang penghembus pendingin hawa, bagi membolehkan ia dioperasikan dengan mudah dan lancar.

    Selain dari rekaan, satu lagi kelebihan sistem PCCM ini adalah ia dihasilkan seperti kelengkapan OEM lain. Jadi ia boleh dipasangkan dengan mudah tanpa pemotongan sebarang wayar, dan ia turut boleh beroperasi bersesuaian dengan aksesori asli lain yang telah pun terpasang seperti amplifier, pembesar suara dan juga antena.

    Harga? Untuk sistem PCCM ia dijual pada harga 1,439.89 euro (RM6,767.52), manakala PCCM Plus pula berharga 1,606.51 euro (RM7,551.08). Harga yang dinyatakan ini turut termasuk sokongan komponen untuk sistem navigasi, dan anda boleh menempahnya di laman pembelian atas talian Porsche Classic.

     
     
  • JPJ buka semula kaunter urusniaga mulai 29 April bukan bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing

    JPJ buka semula kaunter urusniaga mulai 29 April bukan bagi kenderaan persendirian, teksi dan <em>e-hailing</em>

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka semula kaunter urusniaga bagi kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan mulai 29 April 2020. Walau bagaimana pun, pembukaan semula kaunter tersebut buat masa ini tidak melibatkan urusan bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ, ini adalah untuk mengelakkan berlakunya ketidakpatuhan kepada garis panduan yang ditetapkan iaitu penjarakkan sosial dan aspek kesihatan seperti berlakunya kesesakan di kaunter.

    Bagi pemandu kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (termasuk lesen memandu vokasional) masih dilanjutkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan syarat kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang perkhidmatan dan pengoperasian.

    “Bagi urusniaga yang melibatkan perkhidmatan JPJ yang lain, arahan pembukaan akan dimaklumkan berdasarkan perkembangan semasa isu pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan mengenai PKP,” kata kenyataan terbabit.

    Klik untuk besarkan

    Urusan kaunter urusniaga yang dibuka mulai 29 April ini iaitu yang melibatkan kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan adalah bagi memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), memperbaharui Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) serta menyelesaikan senarai hitam dan pembayaran saman berhubung dengan dua urusan lesen berkenaan. Walau bagaimana pun, waktu operasi bagi kaunter berkenaan adalah dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari sahaja.

    Sejak 20 Mac lalu, JPJ telah menutup semua perkhidmatan di kaunternya selaras dengan keputusan kerajaan melaksanakan PKP mulai 18 Mac 2020. Walau pun pada mulanya, JPJ telah memaklumkan pembukaan kaunter perkhidmatan di cawangannya (kecuali di UTC) beroperasi seperti biasa. Namun demikian, setelah mendapati kaunter-kaunter JPJ telah menjadi tempat orang ramai berkumpul, iaitu bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, keputusan penutupan tersebut terpaksa diambil.

    Walau bagaimana pun, bagi LKM kenderaan persendirian yang tamat tempoh dalam pelaksanaan PKP ini, anda boleh memperbaharuinya menerusi portal MYEG dengan transaksi bayaran secara dalam talian. Manakala cetakan bagi LKM anda juga akan dihantar menerusi perkhidmatan pos.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025