Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

    Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

    Selepas beberapa bulan model S-Class Sedan W222 membuat penampilan di China, Mercedes-Benz akhirnya memperkenalkan pula S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift. Seperti yang dijangka, kedua-duanya menerima penambah baikan hampir sama seperti model sedan, termasuk versi AMG.

    Memandangkan terdapat beberapa variasi bagi model ini, kita mulakan terlebih dahulu dengan model biasa S-Class Coupe dan Cabriolet. Pada bahagian luar, kedua-duanya menerima bampar hadapan dan belakang baru, dengan di bahagian depan terdapat splitter krom dan bukaan udara yang lebih besar. Melalui pakej penggayaan AMG Line pula, bahagian hadapan ini menjadi lebih menonjol dengan adanya dua sirip krom di dalam bukaan udara tersebut.

    Sementara itu di bahagian belakang, terdapat dua muncung ekzos dengan kemasan krom di setiap bucu, menggantikan muncung berkembar sebelum ini. Satu penambahan baru adalah lampu jenis OLED (organic light emitting diode), di mana setiap 66 elemen OLED itu dicetak atas plet kaca untuk menimbulkan gaya yang menarik.

    Selain mempunyai corak penyalaan menarik semasa mengunci dan membuka kereta tersebut, lampu OLED ini juga boleh menyala dalam beberapa tahap keterangan untuk lampu brek dan penunjuk arah, bergantung kepada keadaan pemanduan dan keterangan keadaan sekeliling.

    Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

    Turut diubah adalah side skirt baru, dan pilihan rim yang terdiri daripada dua rekaan baru yang boleh didapati dengan pakej AMG Line. Rim AMG baru ini adalah bersaiz 20 inci, yang boleh didapati dengan lengkuk roda yang dicat warna kelabu titanium (pilihan untuk AMG Line) atau hitam berkilat (pilihan untuk AMG Line Plus).

    Masuk ke bahagian dalam pula, Widescreen Cockpit yang digunakan pula tidak lagi mempunyai pemisah antara dua skrin 12.3 inci yang digunakan, manakala roda stereng pula kini dilengkapi dengan Touch Control Button, seperti model sedan. Sistem hiburan dan informasi COMAND Online terus menawarkan pelbagai servis seperti navigasi 3D, amaran Car-to-X, sambungan telefon pintar dan concierge-on-call. Operasinya boleh dikawal sama ada menggunakan pad sesentuh pada konsol tengah atau kawalan suara LINGUATRONIC.

    Satu lagi ciri yang diambil daripada S-Class Sedan adalah pengawal keselesaan Energising yang disediakan sebagai pilihan. Melalui ciri ini, anda diberikan enam program iaitu Freshness, Warmth, Vitality, Joy, Comfort dan Training, dan ia akan mengubah suhu, pewangi udara, kedudukan tempat duduk, lampu dan media untuk suasana yang tertentu.

    Untuk bahagian pemanduan, kedua-dua coupe dan cabriolet menerima pakej sistem bantuan pemanduan Intelligent Drive yang lebih lengkap, hampir sama seperti model sedan. Ini termasuk Magic Body Control yang dipertingkat, dan mampu beroperasi sehingga kelajuan 180 km/j untuk melaras suspensi bergantung kepada apa yang dilihat jauh di hadapan. S-Class Cabriolet pula didatangkan terus dengan suspensi udara Airmatic yang menampilkan kawalan penyerapan boleh ubah.

    Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

    Enjin yang digunakan pada S 560 4Matic Coupe dan S 560 Cabriolet juga adalah sama dengan model sedan, iaitu unit V8 M176 4.0 liter biturbo dengan kuasa 469 hp dan 700 Nm tork, menggantikan enjin V8 4.7 liter sebelum ini. Enjin baru ini juga datang dengan teknologi nyah aktif silinder untuk menjimatkan minyak dan dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan.

    S-Class Coupe menjadi satu-satunya model yang ditawarkan dengan varian S 450 4Matic, dikuasakan oleh enjin V6 3.0 liter biturbo, dengan kuasa 367 hp dan 500 Nm tork. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan dan mempunyai fungsi gliding untuk menambah kecekapan.

    Pergi kepada model AMG pula, kedua-dua model coupe dan cabriolet ditawarkan dengan varian S 63 4Matic+ dan S 65. Bagi model S 63 4Matic+, ia menggunakan enjin V8 4.0 liter biturbo berkuasa 612 hp dan 900 Nm tork, manakala S 65 pula menggunakan enjin V12 6.0 liter biturbo berkuasa 630 hp dan 1,000 Nm tork.

    Bagi enjin V8 tadi, ia dipadankan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan manakala enjin V12 dipadankan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift TCT 7G-Tronic tujuh kelajuan. Selain itu, hanya S 63 Coupe dan Cabriolet pemanduan sebelah kiri sahaja yang akan dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+, sementara model panduan sebelah kanan datang standard dengan pacuan roda belakang. Bagi model S 65, pacuan roda belakang adalah standard untuk kedua-dua bentuk badan.

    Melihat kepada prestasi, S 63 4Matic+ boleh melaksanakan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat, manakala S 65 pada 4.1 saat. Kedua-duanya juga mempunyai kelajuan maksimum 250 km/j (dihadkan secara elektronik), namun dengan pakej AMG Driver, ia boleh mencecah 300 km/j.

    Pada S 65 coupe, ia akan dilengkapi dengan AMG Active Ride Control, yang melaras suspensi kenderaan secara berterusan, lebih awal untuk berhadapan dengan keadaan jalan yang tidak rata. Ia juga boleh dilaras mengikut situasi pemanduan, dan boleh ditinggikan sehingga 40 mm atau direndahkan sehingga 15 mm.

    Barangan eksklusif AMG lain pada kenderaan ini termasuk stereng sports elektromekanikal dan sistem brek prestasi tinggi AMG. Seperti juga model AMG lain, ciri Dynamic Select boleh melaras tindak balas enjin, transmisi, suspensi, stereng, ESP dan pacuan empat roda (sekiranya ada) bergantung kepada mod yang dipilih.

    Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

    Pada aspek penampilan, versi AMG kini menampilkan gril radiator AMG Panamericana, serta kemasan bawah bampar ‘sayap jet’. Bahagian hadapannya juga mempunyai bukaan udara lebih besar serta splitter yang bertindak memastikan kenderaan terus melekat atas jalan.

    Pada bahagian belakang, terdapat bahagian bawah bampar yang direka semula bersama diffuser baru, dan muncung ekzos berkembar bersama sistem ekzos AMG. Lampu belakang OLED turut digunakan pada model ini, dan anda mendapat pilihan pelbagai rim daripada 19 inci hingga 20 inci.

    Pada bahagian dalam, model AMG ini ditambah dengan beberapa barangan antaranya tempat duduk sports AMG, jam analog rekaan IWC, roda stereng prestasi, dan AMG Track Pace yang boleh mengambil data kenderaan serta catatan masa pusingan dalam litar.

    Mercedes-Benz S-Class Coupe


    Mercedes-Benz S-Class Cabriolet

    Mercedes-AMG S 63 4Matic+ Coupe

    Mercedes-AMG S 63 4Matic+ Cabriolet

    Mercedes-AMG S 65 Coupe

    Mercedes-AMG S 65 Cabriolet

     
     
  • Toyota siarkan teaser C-HR Hy-Power untuk Frankfurt

    Toyota siarkan teaser C-HR Hy-Power untuk Frankfurt

    Toyota boleh dikatakan bukanlah baru dalam pembangunan kenderaan elektrik, dan kini syarikat itu bersedia untuk memperkenalkan sebuah lagi model semasa Frankfurt Motor Show. Ia dikenali sebagai C-HR Hy-Power Concept dan satu imej teaser rasmi telah dikeluarkan, menampakkan rekaan yang sama seperti kereta produksi, tetapi mempunyai logo berlampu biru.

    Disebabkan rekaan yang sama dengan kenderaan produksi juga, C-HR Hy-Power Concept ini dijangka begitu hampir dengan realiti, meskipun Toyota memanggilnya sebagai satu kajian rekaan. Buat masa ini, kita sudah mengetahui bahawa C-HR yang akan dipasarkan di Malaysia akan menggunakan enjin 1.8 liter petrol Dual VVT-i, menghantar kuasa ke roda hadapan, dan bukannya enjin 1.2 liter turbo petrol.

    Penggayaan model C-HR Hy-Power Concept ini adalah hasil oleh pusat rekaan Toyota Eropah (ED2), dan dikatakan bermaksud untuk “meningkatkan rasa emosi dan penampilan gagah C-HR, sambil memberi gambaran kepada pengembangan masa hadapan terhadap kenderaan hibrid Toyota yang berada di dalam barisan kenderaan utama mereka.”

    Untuk C-HR, sudah terdapat model hibrid yang menggunakan enjin 1.8 liter yang diambil daripada Prius, jadi, model konsep ini berkemungkinan menunjukkan sebuah hibrid yang lebih maju seperti plug-in hybrid. Walaubagaimanapun, perincian berkenaan kenderaan ini hanya akan didedahkan kelak.

    GALERI: Toyota C-HR di Malaysia

     
     
  • VIDEO: Mengapa anda perlu gunakan tempat duduk keselamatan kanak-kanak semasa dalam kenderaan

    Minggu ini kita akan bercuti panjang. Mungkin sekarang ramai yang sudah habis waktu bekerja dan kini bersiap-sedia untuk pulang ke kampung halaman. Seperti biasa pada musim perayaan ini, jumlah kenderaan akan bertambah atas jalan raya, dan sedihnya, jumlah kemalangan juga biasanya akan turut bertambah.

    Oleh itu, adalah penting untuk kita melakukan apa sahaja yang boleh untuk memastikan keselamatan diri serta orang yang tersayang. Kami juga rasakan ini adalah waktu yang bersesuaian untuk mengingatkan anda sekali lagi kepentingan kerusi keselamatan khas kanak-kanak, melalui siri video keselamatan yang dihasilkan dengan kerjasama Proton.

    Ini adalah video siri ketiga, dan melaluinya anda akan dapat melihat apa yang akan terjadi sekiranya kanak-kanak tidak duduk kemas dalam kenderaan. Bagi menggantikan kanak-kanak sebenar, kami menggunakan dua patung beruang yang diletakkan dalam Proton Ertiga – satu dibiarkan bebas, dan satu lagi duduk dalam kerusi keselamatan khas kanak-kanak.

    VIDEO: Mengapa anda <em>perlu</em> gunakan tempat duduk keselamatan kanak-kanak semasa dalam kenderaan

    Kemudiannya, kami bergerak sehingga kelajuan 50 km/j, seterusnya membrek dengan kuat bagi menggambarkan situasi kecemasan. Jelas, patung yang dibiarkan bebas tadi terus menghentam bahagian belakang kerusi penumpang dengan daya yang kuat, dan keadaan lebih buruk mungkin akan berlaku sekiranya mereka duduk di bahagian tengah.

    Sebagai perbandingan, patung yang duduk dalam kerusi khas pula kekal di tempatnya, hasil daripada bukan sahaja bentuk kerusi tersebut, malah juga tali pinggang yang direka khas untuk mengagihkan tenaga ke bahagian badan kanak-kanak yang lebih kuat. Ini adalah bukti jelas bagaimana tempat duduk keselamatan khas kanak-kanak dapat menyelamatkan nyawa.

    Mari bersama kita jadikan penggunaan tempat duduk khas kanak-kanak ini sebagai satu kemestian. Juga, kongsi video ini untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai. Jika anda masih belum menonton dua siri video sebelum ini, kami telah meletakkannya di bawah, di mana ia menerangkan kenapa tempat duduk khas kanak-kanak penting, mana satu yang mahu dibeli dan bagaimana memasangnya.

    Proton kini sedang menawarkan tempat duduk keselamatan kanak-kanak yang bernilai RM1,000 pada harga cuma RM299, untuk setiap pembelian sebuah Proton baru. Anda juga boleh membeli tempat duduk ini secara berasingan pada harga RM599. Promosi ini tertakluk kepada stok yang masih ada dan terma serta syaratnya yang lain.


     
     
  • Harga bahan api 31 Ogos hingga 6 Sept – petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel semuanya naik sedikit

    Harga bahan api 31 Ogos hingga 6 Sept – petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel semuanya naik sedikit

    Minggu lalu, harga petrol kekal tidak berubah dari minggu sebelumnya manakala harga untuk bahan api diesel pula turun sedikit. Minggu ini harga untuk kesemua bahan api nampaknya mula naik kembali, tetapi dalam jumlah yang kecil.

    Harga siling bagi bahan api RON 95 naik 1 sen minggu ini, kini menjadi RM2.16 seliter, manakala RON 97 juga naik 1 sen menjadi RM2.44 seliter. Diesel turut naik sebanyak 3 sen bagi Euro 2 menjadi RM2.04 sen seliter dan RM2.14 seliter untuk Euro 5 M.

    Semua harga yang diumumkan ini akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 6 September 2017. Minggu sebelum ini iaitu 24 hingga 30 Ogos, harga siling bagi bahan api RON 95 dan RON 97 kekal tidak berubah, dijual pada harga masing-masing RM2.15 dan RM2.43 seliter. Bagi diesel pula ia turun sebanyak 3 sen seliter untuk Euro 2 dan Euro 5, dijual pada harga masing-masing RM2.01 dan RM2.11 seliter.

     
     
  • MBPJ kembali gunakan kupon parkir, kaedah alternatif selain pembayaran pada mesin yang kerap rosak

    MBPJ kembali gunakan kupon parkir, kaedah alternatif selain pembayaran pada mesin yang kerap rosak

    Bagi memberikan alternatif selain dari membayar parkir menggunakan mesin tiket, kini Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan semula sistem kupon parkir bagi memudahkan orang ramai, lapor The Sun.

    “Sistem ini diimplementasi bagi menguruskan kawalan tempat parkir di Petaling Jaya. Ia juga sebagai alternatif kepada mesin parkir sedia ada. Sistem ini turut termasuk parkir pada jalan raya yang wujud di PJ buat masa sekarang,” kata Datuk Bandar Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

    Tiga jenis kupon akan ditawarkan iaitu booklet kupon secara jam berharga RM6 yang terdiri dari 10 kupon setiap satunya berharga RM0.60, booklet kupon harian berharga RM25 terdiri dari lima kupon berharga RM5 setiap keping,dan juga pas bulanan berharga RM100.

    “Dengan sistem ini, tiada lagi alasan mesin parkir rosak. Booklet ini boleh didapati dengan mudah pada kebanyakkan kedai runcit,” tambah Azizi. Buat masa sekarang, 16 agen telah dilantik untuk mengedarkan booklet ini ke kedai-kedai.

    Sistem parkir baharu ini akan dijalankan di seluruh Petaling Jaya sebaik sahaja syarikat konsesi sedia ada, Godell Parking, ditamatkan perkhidmatannya. Laporan ini turut menyebut, lebih 700 mesin tiket disediakan bagi kegunaan 21,000 tempat parkir, namun lebih separuh daripadanya telah rosak.

    Sebelum ini, sistem parkir menggunakan kupon pernah digunakan di Petaling Jaya, tetapi telah ditamatkan pada tahun 2001.

     
     
  • No. pendaftaran ‘U’ dibuka untuk bidaan – U1 – U9999

    No. pendaftaran ‘U’ dibuka untuk bidaan – U1 – U9999

    Satu lagi nombor pendaftaran dengan abjad istimewa akan diterbitkan tidak lama lagi, kali ini melibatkan siri dengan abjad tunggal ‘U’ – U 1 hingga U 9999. Nombor pendaftaran ini telah pun dibuka untuk di bida minggu lalu, dan hanya akan ditutup pada 8 September 2017, manakala keputusannya pula akan diketahui pada 18 September.

    Siri ini diterbitkan oleh “iM4U Sentral” yang berkemungkinan pihak sama menerbitkan siri nombor pendaftaran 1M4U. Bagi mereka yang berminat, anda perlu membuat bidaan dengan harga permulaan RM50. Namun, sudah tentu nombor-nombor berkenaan akan dijual pada pihak yang menawarkan bidaan tertinggi.

    Setakat ini, tiada lagi nombor yang ditetapkan dengan harga-harga rizab, dan bidaan juga tidak ditetapkan kadar maksimum. Bagi mereka yang berminat, ikut langkah-langkah seperti yang tertera di atas untuk memulakan bidaan.

     
     
  • VIDEO: Rolls Royce Phantom VII dengan enjin Toyota 2JZ disuap turbo dan supercharger, berkuasa 600 hp

    Di Malaysia, kereta Eropah yang disumbat dengan enjin Jepun merupakan perkara biasa. Pemilik-pemilik BMW, Mercedes-Benz, Jaguar malah Volvo lama seringkali memilih enjin-enjin turbo enam silinder Jepun seperti siri RB Nissan (RB20, RB25, RB26), dan juga siri G (1G-GTE) dan JZ (1JZ, 2JZGTE) untuk menggantikan enjin asal mereka dengan alasan lebih tahan lasak, lebih berkuasa, dan dalam konteks Malaysia ia lebih kecil dari segi kapasiti yang membolehkan bayaran cukai jalan juga lebih rendah.

    Perkara ini turut berlaku diluar Malaysia sebenarnya. Tetapi menerusi video yang dimuatnaik oleh SpeedHunter ini nampak pengubahsuai berkenaan telah masuk ke fasa lebih tinggi apabila sebuah Rolls Royce Phantom VII 2008 di Jepun yang asalnya dijana enjin V12 6.75 liter berkuasa 459 hp kini digantikan dengan enjin enam silinder 3.0 liter turbo Toyota 2JZ yang biasanya dijumpai di dalam perut Toyota Supra JZA80.

    Menurut Speedhunter, Rolls Royce ini menghadapi masalah enjin ketika meter perbatuannya mencecah 190,000 km dan ia perlu ditukar kepada sebuah lagi enjin baharu. Masalah yang dihadapi oleh pemilik adalah, beliau terpaksa menunggu sehingga dua tahun bagi mendapatkan sebuah enjin gantian baharu dari Rolls Royce.

    Jadi, untuk mengatasi masalah ini, pemilik berkenaan mengambil jalannya sendiri untuk memperbaiki kereta berkenaan secepat mungkin dengan menukar enjin asal tersebut dengan enjin 2JZ yang lebih mudah didapati di Jepun. Sudah tentu jumlah kuasa standard sekitar 280 hp pada 2JZ ini tidak mencukupi untuk membawa badan Rolls Royce ini sama seperti keadaan asalnya, jadi enjin tersebut diberikan pengubahsuai yang ekstensif.

    Kini enjin berkenaan bukan hanya disuap dengan pengecas turbo Trust T78, ia turut didesak oleh kit supercharger HKS GT8555. Buat masa sekarang, tekanan boost dilaras pada 1.6 bar, tetapi ia dalam perancangan untuk menala komputer HKS F-CON V Pro pada tahap boost 2.0 bar dan dijangka sejumlah 900 hp bakal dihasilkan pada peringkat tersebut.

    Bagi memastikan enjin ini kekal bertahan dengan desakan boost jauh lebih besar dan menhasilkan kuasa lebih optimum, J&K Power dari Chiba yang bertanggungjawab membuat pengubahsuaian ini turut memadankan omboh forged lebih besar dari HKS, sistem penyejukkan menggunakan radiator dari HPI Evolve serta tangki tambahan yang diambil dari Lexus RC F.

    Untuk memastikan casis Rolls Royce ini mampu menampung jumlah kuasa lebih besar serta mengatasi masalah reliabiliti pada sistem suspensi jenis udara standard kereta mewah ini, pemilik telah memadankan suspensi boleh laras sepenuhnya dari Öhlins, yang dipasang secara ubahsuai bagi menggantikan sistem asal.

    Rolls Royce Phantom VII ini masih lagi kelihatan standard pada bahagian luaran, cuma ditambah sepasang splitter pada bampar hadapan serta jalur LED tambahan pada liang udara. Jika mereka yang arif dengan pengubahsuaian kereta, unit intercooler disebalik gril standard Rolls Royce ini tentunya mengundang sangsi.

    Dalaman kereta mewah ini juga kelihatan standard, tetapi ditambah dengan meter boost Defi, serta paparan informasi Defi Advance ZD. Satu suis dipadankan pada tombol gear – ia bukan suis sistem NOS, tetapi sebenarnya untuk mengaktifkan/mematikan fungsi overdrive kerana 2JZ pada Rolls Royce ini menggunakan kotak gear automatik empat-kelajuan dari Toyota Aristo.

     
     
  • LPT2 tawar rebat tol 50% sempena Merdeka, Aidiladha

    LPT2 tawar rebat tol 50% sempena Merdeka, Aidiladha

    Selain dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya MEX, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) turut menawarkankan rebat tol sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha esok.

    Menurut laporan Bernama, LPT2 menawarkan rebat sehingga 50% bagi pengguna yang menggunakan lebuhraya yang menghubungkan Jabor ke Kuala Terengganu berkenaan.

    Pengurus Besar LPT2 Husni Md Yusof berkata, rebat tol itu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pengguna lebuh raya itu terhadap inisiatif transaksi tol 100 peratus elektronik yang dilancarkan di LPT2 baru-baru ini.

    “Rebat tol kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan kelas 1 dan melebihi 100 Kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di lebuh raya LPT2 pada tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau menjelaskan pengguna perlu membayar tol dengan kadar biasa kerana rebat 50 peratus itu hanya dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch n Go (dalam bentuk tambah nilai) apabila mereka menambah nilai kad berkenaan di plaza tol LPT2 dan pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Sep hingga 14 Dis depan.

     
     
  • MASOC saran guna pengangkutan awam ke upacara penutup Sukan SEA di Stadium Bukit Jalil malam ini

    MASOC saran guna pengangkutan awam ke upacara penutup Sukan SEA di Stadium Bukit Jalil malam ini

    Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) menyarankan orang ramai yang ingin ke upacara penutup Sukan SEA Ke-29 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini agar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan, lapor Bernama.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdekat ialah LRT Bukit Jalil dengan pengguna disaran menggunakan kad Touch n Go untuk pembelian tiket bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan selepas upacara itu tamat. Khas untuk perkara berkenaan, waktu operasi LRT Laluan Sri Petaling di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 2 pagi pada 31 Ogos ini.

    MASOC juga berkata hanya penonton yang mempunyai tiket sah, kad jemputan dan pas akreditasi dengan pelekat khas sahaja yang dibenarkan masuk ke stadium. “Pemegang tiket diingatkan bahawa mereka tidak dibenarkan masuk semula ke dalam stadium sekiranya mereka keluar stadium,” kata kenyataan berkenaan.

     
     
  • Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Volkswagen telah menyiarkan imej-imej baharu untuk hatchback segmen-B Polo generasi keenam yang sebelum ini telah didedahkan pada Jun lalu. Gambar-gambar baharu ini memaparkan Polo Mk6 dalam varian standard, berbanding sebelum ini yang lebih menonjolkan versi R-Line dan Beats.

    Volkswagen Polo generasi terkini berkenaan menampilkan badan yang lebih besar dari sebelum ini. Dibina di atas platform MQB A0 yang sama dengan Seat Ibiza generasi baharu, dimensinya diukur dengan 4,053 mm panjang, 1,751 mm lebar dan 1,446 mm tinggi. Jika dibandingkan dengan generasi Mk5, model baharu ini 81 mm lebih panjang, 94 mm lebih lebar dan 7 mm lebih rendah. Kerangka baharu berkenaan juga jauh lebih tegar dari sebelum ini tanpa apa-apa berat tambahan.

    Polo generasi baharu direka dengan rupa yang lebih sporty dan tajam, dengan imej seperti Golf generasi terkini. Dengan badan yang lebih lebar dan rendah, lampu hadapan (juga terdapat dalam versi LED) diletakkan lebih rendah dari sebelum ini, manakala bentuk liang udara sisi menyerlahkan lagi kelebaran kereta tersebut.

    Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Untuk model Mk6 ini, Polo tidak lagi dihasilkan dalam versi tiga-pintu dan pembeli hanya ditawarkan dengan badan hatchback lima-pintu. Lampu belakang turut diberikan opsyen teknologi LED, manakala rim hatchback ini pula ditawarkan dengan 12 rekaan berbeza yang disediakan dalam diameter 14 hingga 18-inci. Bagi pilihan warna pula, 14 warna berbeza diletakkan pada brosur untuk dipilih oleh pembeli.

    Masuk ke kabin, anda akan disajikan dengan papan pemuka serba baharu yang menampilkan rekaan menegak menggantikan rekaan melintang pada generasi sebelum ini bersama pilihan empat pilihan warna kemasan pad pemuka dan 11 pilihan balutan tempat duduk. Ia turut diberikan kluster instrumen digital yang lebih besar dengan skrin Active Info Display bersaiz 11.7-inci yang bukan sahaja lebih berdefinasi tinggi, malah menampilkan susunan lebih logik dari sistem-sistem Volkswagen sebelum ini.

    Untuk sistem infotainmen, dua pilihan skrin disediakan iaitu 6.4-inci dan 8.0 inci (skrin paling besar turut diberikan pelindung kaca). Skrin ini juga turut boleh memaparkan informasi-informasi yang diambil dari Active Info Display. Pilihan lain yang turut ditawarkan termasuk App Connect dengan Mirrorlink, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem kunci pintar dengan suis penghidup, manakala model Beats turut menerima sistem audio berkuasa 300-watt.

    Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Bagi keselamatan dan teknologi pula, Polo baharu ini menerima Bantuan Hadapan bagi sistem pemantauan dengan Brek Kecemasan Bandar dan Pemantauan Pejalan kaki – standard untuk semua model Eropah. Manakala sistem Kawalan Kelajuan Adaptif ditawarkan sebagai pilihan, dengan fungsi Stop & Go. Selain itu, Pengesan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Belakang, juga Bantuan Parkir turut ditampilkan.

    Untuk pilihan janakuasa pula, tiga enjin petrol 1.0 liter tiga-silinder ditawarkan semasa pelancarannya termasuk enjin NA dengan pilihan talaan sama ada 65 PS/95 Nm atau 75 PS (digandingkan hanya dengan kotak gear manual lima-kelajuan), dan juga enjin turbo TSI berkuasa 95 PS/175 Nm (turut diberi pilihan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan).

    Manakala pada hujung tahun kelak, Polo Mk6 turut terdapat dalam versi 1.0 TSI berkuasa 115 PS/200 Nm dan juga 1.5 TSI empat silinder bersama sistem Active Cylinder Management (ACT) berkuasa 150 PS/250 Nm. Varian paling berkuasa GTI turut bakal ditawarkan – dijana enjin 2.0 liter TSI berkuasa 200 PS/320 Nm. Kesemua pilihan enjin ini ditawarkan dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam-kelajuan atau DSG.

    Selain petrol, Polo baharu ini turut menerima pilihan enjin diesel yang terdiri dari enjin 1.6 TDI dengan talaan 80 PS/250 Nm dan 95 PS, serta enjin 1.0 liter TGI yang digerakkan oleh gas asli menghasilkan kuasa 90 PS/175 Nm.

    Volkswagen Polo Mk6 masih mengekalkan konfigurasi asal suspensi seperti generasi-generasi seterusnya iaitu topang McPherson pada bahagian hadapan, serta torsion beam bersama bar anti-oleng pada bahagian belakang. Pilihan suspensi sport turut disediakan bagi membolehkan badan kereta ini 15 mm lebih rapat ke permukaan tanah, yang turut boleh dipilih bersama penyerap hentak adaptif.

    GALERI: Volkswagen Polo R-Line

    GALERI: Volkswagen Polo Beats

     
     
  • Keuntungan BMW lebih tinggi berbanding Daimler dan Volkswagen Group pada separuh pertama 2017

    Keuntungan BMW lebih tinggi berbanding Daimler dan Volkswagen Group pada separuh pertama 2017

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Ernst & Young, keuntungan yang dijana oleh BMW bagi separuh pertama tahun ini adalah lebih tinggi berbanding seteru utama senegaranya iaitu Daimler serta pengeluar automotif nombor dua dunia juga dari Jerman – Volkswagen, lapor agensi berita Jerman DPA.

    Berdasarkan laporan tersebut, BMW berjaya mencatatkan angka jualan 49.25 bilion euro dan memperolehi keuntungan 5.58 bilion euro bagi margin keuntungan 11.3% dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

    Apa yang mengejutkan, pengeluar dari Jepun iaitu Suzuki berada pada kedudukan kedua untuk margin keuntungan terbaik dengan 10.3%, manakala Daimler pada kedudukan ketiga dengan 9.7%. Volkswagen pula hanya berada pada kedudukan kelima dalam carta 10 terbaik, dibelakang GM dengan margin 7.7%.

    Angka-angka yang dicatatkan ini meneruskan trend yang direkodkan tahun lalu, di mana pada tahun penuh 2016 BMW mencatatkan margin keuntungan 10%, dan berada dihadapan Daimler (8.3%), tetapi dengan pengenalan pelbagai model baharu dari saingannya itu dapat mengurangkan jurang kemudiannya.

    Walau bagaimanapun, laporan tersebut turut menyatakan jika dinilai hanya pada perniagaan dalam sektor automotif, Daimler sebenarnya membuat untuk yang lebih besar dari BMW. Namun keuntungan Daimler berkenaan juga sebenarnya masih lagi jauh jika dibandingkan dengan Ferrari, yang mencatatkan margin paling tinggi di dalam industri.

    Kajian E&Y ini juga mengatakan cabaran dalam pasaran akan terus memberikan kesan terhadap semua pemain dalam industri, dan menambah bahawa jualan pada pasaran Eropah kini menurun manakala perkembangan yang melebihi purata pada pasaran China bakal menyebabkan berberapa pengeluar Jerman akan bergantung pada pasaran republik rakyat tersebut.

     
     
  • BMW Malaysia perkenal program servis tambahan

    BMW Malaysia perkenal program servis tambahan

    BMW Malaysia telah mengumumkan pengenalan program BMW Oil Inclusive untuk semua kenderaan BMW yang tidak mempunyai program servis aktif pada waktu ini ataupun yang mana program servis asal telah pun tamat. Melalui program ini, pemilik boleh memilih untuk menambah tempoh servis kepada sama ada lima tahun/ 60,000 km, atau lima tahun/ 100,000 km.

    Menurut syarikat itu, program BMW Oil Inclusive menawarkan pakej yang fleksibel, jadi pemilik boleh memilih pakej yang lebih bersesuaian dengan cara penggunaan dan pemanduan kenderaan mereka. Sebagai contoh, sebuah BMW 3 Series yang didaftar pada tahun 2012 dengan catatan jarak batuan 70,000 km sudah pun tamat tempoh program servis dan waranti, jadi, mereka boleh memilik program ini untuk menyambungnya.

    Melalui program ini, pemilik akan menikmati servis profesional di semua pengedar BMW, menggunakan pelincir dan alat ganti asli. Harga bagi setiap pakej dan model kenderaan boleh dirujuk melalui carta di bawah.

    BMW Malaysia perkenal program servis tambahanBMW Malaysia perkenal program servis tambahan

     
     
  • UMW Toyota taja acara berbasikal Jelajah Malaysia

    UMW Toyota taja acara berbasikal Jelajah Malaysia

    Acara berbasikal tertua di Asia, Jelajah Malaysia yang kini telah memasuki edisi ke-53 sejak penganjuran pertamanya pada 1963 akan di taja oleh UMW Toyota tahun ini. Acara berkenaan akan berlangsung dari 3 hingga 7 Oktober hadapan dan akan bermula dari Ibu Pejabat Toyota di Shah Alam, Selangor serta bakal berakhir di Alor Star, Kedah.

    Edisi tahun ini akan disertai oleh 132 penunggang dari dalam dan luar negara, manakala acara selama lima hari berkenaan akan melalui jarak kayuhan sejauh 700 km bersama perlumbaan peringkat, serta dikelaskan dalam penarafan 2.2 di bawah klasifikasi Union Cycliste Internationale (UCI).

    UMW Toyota taja acara berbasikal Jelajah Malaysia

    Bagi UMW Toyota pula, mereka akan menyediakan 70 kenderaan berjenama Toyota termasuk MPV dan SUV yang terdiri dari Avanza, Sienta, Innova, Fortuner dan juga trak pikap Toyota Hilux.

    “Acara bertaraf antarabangsa seperti Jelajah Malaysia diadakan dengan kejituan pada perancangan dan logistik. Ini memerlukan rantaian sokongan yang berkebolehan, versatil dan sangat boleh diharap,” kata presiden UMW Toyota, Ravindran Kurusamy.

    “Kami berharap menerusi penggunaan kenderaan-kenderaan sokongan Toyota yang sememangnya terkenal dengan reliabiliti, pasukan penganjur, pegawai dan media boleh memainkan peranan masing-masing secara komprehensif dan efektif serta menjadikan acara berkenaan lebih berjaya tahun ini,” tambahnya.

     
     
  • Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kurangkan pelanggaran belakang sehingga 90%

    Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kurangkan pelanggaran belakang sehingga 90%

    Toyota telah mengumumkan rancangannya untuk mengembangkan lagi penggunaan teknologi keselamatan sokongannya untuk mengurangkan pelanggaran, terutamanya pelanggaran pada bahagian belakang kenderaan.

    Menerusi data kemalangan yang diperolehi dari Institute for Traffic Accident Research and Data Analysis (ITARDA), Toyota menemui pelanggaran belakang bagi kenderaan yang dilengkapi dengan Pakej Toyota Safety Sense P telah berkurangan sebanyak 50%, manakala bagi kenderaan yang dilengkapi dengan Toyota Safety Sense P bersama Intelligent Clearance Sonar (ICS) pula menyaksikan penurunan pelanggaran yang lebih drastik iaitu sehingga 90%.

    Kenderaan yang dipadankan dengan kedua-dua sistem Toyota Safety Sense P dan juga ICS diklasifikasikan dalam kategori Kereta S dengan Sokongan Keselamatan ‘lebar’ (Sapo Car S), dan ia disarankan khas untuk pemandu lebih berusia yang mungkin mempunyai respon dan kesedaran terhadap suasana sekeliling yang lebih rendah.

    Untuk kategori Kenderaan dengan Sokongan Keselamatan (Sapo Car) pula dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik, manakala kategori Kereta S dengan Sokongan (Sapo Car S) diberikan sistem bagi mengelakkan kesilapan ketika menekan pedal.

    Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kurangkan pelanggaran belakang sehingga 90%

    Kesemua kategori terdiri dari tiga sub-kategori yang dibahagikan oleh ciri brek automatik, di mana sub-kategori ‘lebar’ turut termasuk perlindungan pelanggaran untuk pejalan kaki, pengelak kesalahan menekan pedal, amaran keluar laluan dan sistem lampu terkini yang termasuk fungsi anti-silau automatik.

    Program “Support Toyota” ini dijalankan di pengedar-pengedar Toyota Jepun yang disasarkan untuk mendidik pemandu, pejalan kaki dan juga pengguna jalan raya lain berkenaan keselamatan. Toyota terlebih dahulu akan menghasilkan struktur untuk menjalankan ujian ICS pada 280 pengedarnya di Jepun, dan mensasarkan untuk mengimplementasikan program tersebut di semua pengedarnya yang boleh menyediakan ruang bagi ujian ICS ini pada Jun tahun hadapan.

    Data-data tersebut dikumpulkan dari barisan model Prius, dalam tempoh dari Disember 2015 hingga Disember 2016. Sejumlah 247,000 kenderaan telah disubjekkan untuk tinjauan ini, di mana sekitar 84,000 daripadanya dilengkapkan dengan Safety Sense P, manakala sekitar 121,000 lagi diberikan Safety Sens P bersama ICS.

     
     
  • Honda CRF250L dan CRF250 Rally dilancar di Malaysia pada harga masing-masing RM24k dan RM29k

    Selepas dipertontonkan kepada media Jun lalu, Boon Siew Honda Sdn Bhd kini melancarkan secara rasmi dua model kembara, CRF250L dan CRF250 Rally untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga masing-masing RM24,378.94 dan RM28,618.94 termasuk GST, tetapi tanpa insurans. Jaminan yang diberikan pula adalah dua tahun atau 20,000 km.

    Kedua-dua motosikal ini menggunakan enjin yang sama iaitu unit satu silinder berpenyejukan cecair 250 cc DOHC dan gabungan transmisi enam kelajuan, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 24.4 hp pada 8,500 rpm dan 22.6 Nm tork pada 6,750 rpm. Enjin ini dilekatkan kepada kerangka tiub dwi besi.

    CRF250 baru ini dilengkapi dengan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, manakala suspensi yang digunakan pula adalah jenis teleskopik 43 mm di hadapan dan monoshock bersama ProLink di belakang. Brek pula adalah unit cakera depan dan belakang, dan datang bersama sistem ABS two-channel. Brek ABS ini boleh ditutup untuk bahagian belakang sekiranya masuk ke jalan offroad menggunakan hanya satu butang.

    Honda CRF250L dan CRF250 Rally dilancar di Malaysia pada harga masing-masing RM24k dan RM29k

    CRF250 Rally mempunyai berat lebih 11 kg berbanding CRF250L, menjadikan keseluruhannya 157 kg, dan ini adalah disebabkan antaranya, ia dilengkapi dengan tangki bahan api lebih besar iaitu 10.1 liter. CRF250L pula sekadar mempunyai tangki 7.8 liter.

    Namun, apa yang lebih jelas adalah CRF250 Rally mempunyai penampilan yang berbeza, di mana ia mendapat inspirasi daripada jentera rali Dakar, dengan terdapat penghadang angin yang tinggi, penutup bahagian enjin dan radiator, serta penghadang lumpur. Lampu utama dan penunjuk arah motosikal ini pula menggunakan unit LED.

    GALERI: Honda CRF250L 2017


    GALERI: Honda CRF250 Rally 2017

    GALERI: Honda CRF250 Rally 2017 di Sepang

    GALERI: Honda CRF250L 2017 di Sepang

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024