Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Getah beku untuk bina jalan lebih baik – Datu Nasrun

    Getah beku untuk bina jalan lebih baik – Datu Nasrun

    Setahun yang lalu, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaporkan menjalankan kajian berkenaan penggunaan getah beku sebagai bahan campuran asfalt untuk turapan jalan.

    Di mana terdapat lima projek perintis penggunaan getah beku untuk pembinaan jalan dilakukan dengan satu projek telah disiapkan pada Disember 2015.

    Bagi perkembangan isu ini, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, penggunaan getah beku untuk turapan jalan raya didapati mampu memberikan prestasi yang lebih baik berbanding bahan konvensional, laporan Bernama.

    Katamya lagi, hasil pemantauan Lembaga Getah Malaysia (LGM) selama dua tahun terhadap jalan perintis sepanjang satu kilometer yang dibina di Kota Tinggi, Johor pada 2014 bagi menguji teknologi itu, menunjukkan ketahanan dan keadaan jalan raya berada dalam keadaan baik.

    “Kelebihan jalan berasaskan penggunaan getah dan campuran asfalt ini dapat meningkatkan ketahanan jalan raya dari segi rintangan keretakan permukaan jalan, geseran yang baik dan mengurangkan bunyi,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai sejauh mana kerajaan telah bersedia dari aspek penyelidikan dan inovasi untuk menggunakan getah dalam pembinaan jalan raya.

    Datu Nasrun berkata penggunaan getah beku juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jalan raya bagi jangka masa panjang.

    “Walaupun pada permulaannya, terdapat peningkatan kos pembinaan sebanyak hampir 15% berbanding jalan konvensional, namun kos penyelenggaran itu dapat dijimatkan pada anggaran 40% setahun,” katanya.

     
     
  • Penghadang keselamatan boleh golek akan dipasang dilebih banyak lokasi di lebuhraya seluruh negara

    Penghadang keselamatan boleh golek akan dipasang dilebih banyak lokasi di lebuhraya seluruh negara

    Susulan daripada pencapaian yang ditujukkan dari program awal penggunaan penghadang keselamatan boleh golek di laluan bawah dari jalan Lapangan Terbang Subang menuju Lebuhraya Persekutuan arah Shah Alam/Klang, Kementerian Kerjaraya memutuskan akan memasang lebih banyak penghadang itu di lebuhraya lain, lapor The Malay Mail.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, tiada kemalangan dilaporkan disepanjang laluan yang ada penghadang berkenaan sejak ia dipasangkan. “Pantulan warna kuning akan membuatkan pengguna berwaspada dan tidak memecut. Kalau pun berlaku kemalangan di situ, kesan yang terhasil akan diserap oleh alat berkenaan,” tambah beliau.

    Projek berkenaan pertama kali diusulkan oleh kementerian pada Oktober 2016, dan penghadang itu dibekalkan oleh sebuah syarikat dari Korea Selatan, ETI. Penghadang itu terdiri daripada tiub besi, yang diantaranya terletak silinder plastik. Ia bertindak sebagai penyerap hentak yang akan bergolek ketika menerima impak dari kemalangan..

    Laluan bawah tempat ia dipasangkan kini terkenal sebagai kawasan kemalangan sebelum ini, dan dipilih bagi tujuan program percubaan teknologi keselamatan jalanraya itu. Fadillah turut menjelaskan, pihaknya serta pengedali lebuhraya seluruh negara dalam perbincangam untuk menentukan kawasan lain yang sesuai untuk dipasangkan alat berkenaan. “Sebaik dikenal pasti, kami akan memulakan pemasangan secara berperingkat,” tambah beliau.

     
     
  • Melaka mula beralih gunakan lampu jalan jenis LED

    Melaka mula beralih gunakan lampu jalan jenis LED

    Melaka telah memulakan peralihan penggunaan lampu jalan dari lampu jenis high-pressure sodium vapour (HPS) kepada jenis light-emitting diode (LED). Peralihan berkenaan, yang dilakukan secara berperingkat, adalah sebagai langkah penjimatan penggunaan elektrik oleh kerajaan negeri serta untuk meningkatkan faktor keselamatan, lapor The Sun.

    Menurut Pengerusi Ahli Jawatankuasa Perumahan Negeri, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman, kerja-kerja menggantikan lampu berkenaan dilakukan oleh empat pihak berkuasa tempatan, termasuk Suruhanjaya Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB).

    Beliau menambah, lebih daripada 1,000 lampu jalan LED sudah dipasang di kawasan tarikan pelancong, termasuk di Bandar Hilir dan Klebang. Beliau berkata, negeri itu komited dalam melaksanakan teknologi hijau, yang selari dengan matlamat kerajaan negeri.

    Pad 2016, dilaporkan Projek Lampu Jalan Melaka bakal menyaksikan pemasangan lebih daripada 100,000 lampu jalan LED diseluruh negeri itu. Langkah itu adalah mengikuti jejak yang sama bagi pengelesaian lampu jalan ditempat lain. Di Lembah Klang, ia turut sedang berlangsung, termasuk di jalan sekitar Lapangan Terbang Subang dan beberapa lebuhraya. Kawasan perumahan juga dalam peralihan yang sama; DBKL mula menukarkannya di kawasan seperti Kepong.

    Walaupun lampu HPS mempunyai kecekapan yang lebih baik dari segi output lumen per watt, ia sebaliknya tidak mampu memberikan render warna yang baik. LED disifatkan mampu mengeluarkan tona lampu yang lebih baik dan tepat, sekali gus menyumbang kepada faktor keselamatan pengguna jalan raya.

     
     
  • KPDNKK jangka harga bahan api turun naik 5-10 sen

    KPDNKK jangka harga bahan api turun naik 5-10 sen

    Mulai 29 Mac ini, Kerajaan telah menetapkan harga siling bagi bahan api akan diumumkan secara mingguan. Ia akan diumumkan pada setiap hari Rabu dan harga baharu itu akan dilaksanakan pada keesokan harinya.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjangkakan kenaikan atau penurunan bagi harga bahan api itu hanya sekitar antara lima hingga 10 sen, laporan Berita Harian.

    Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Subsidi Petroleum Kenderaan KPDNKK, Meor Ismail Meor Akim, perubahan harga itu dijangka tidak ketara berbanding sistem penetapan harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Jangkaan kami sekitar lima hingga 10 sen sama ada naik atau turun tetapi saya lebih menjangkakan perubahan berlaku sekitar lima sen sahaja kecuali berlaku sesuatu tindakan di luar kawalan kerajaan termasuk dasar dan keputusan di peringkat antarabangsa seperti keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang mempengaruhi perubahan ketara harga minyak di pasaran dunia,” katanya dalam temubual menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 pagi ini.

    KPDNKK jangka harga bahan api turun naik 5-10 sen

    Menurutnya lagi, keputusan menukar penetapan daripada bulanan kepada mingguan yang dibuat 22 Februari lalu selepas mendapati sistem itu lebih praktikal apabila tidak perlu menunggu lama untuk melaksanakan perubahan harga.

    “Daripada pemerhatian kami, sebagai contoh pada Januari lalu berlaku kenaikan ketara sehingga 20 sen, sedangkan secara mingguan kenaikan hanya antara tiga hingga tujuh sen saja. Kenaikan tiga hingga tujuh sen tidak ketara sangat berbanding kenaikan akibat menunggu sebulan hingga sampai 20 sen yang disifatkan terlalu tinggi oleh banyak pihak. Keadaan itu mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna yang berpusu-pusu ke stesen minyak, ini bermakna sistem mingguan akan mengawal kenaikan dan penurunan harga minyak, sekali gus ia tidak akan naik dan jatuh mendadak,” ujarnya.

    Harga baharu itu akan ditetapkan mengikut kadar harga minyak dunia. Langkah ini akan menggantikan kaedah sebelumnya di mana harga bagi bahan api diumumkan setiap bulan, pada hari terakhir bulan sebelumnya dan berkuatkuasa pada tengah malam.

     
     
  • Honda Malaysia lancar pusat 4S terbesar di Kelantan

    Honda Malaysia lancar pusat 4S terbesar di Kelantan

    Honda Malaysia menerusi rakan pengedarnya di Kelantan, Ban Chu Bee Sdn. Bhd. (Ban Chu Bee) telah melancarkan pusat 4S Honda terbesar di negeri tersebut. Sekaligus turut menjadi pusat 4S terbesar di Pantai Timur, yang bersedia memberikan perkhidmatan terbaik bagi para pelanggan di kawasan berkenaan terutamanya Kelantan.

    Pusat 4S ini meliputi keluasan 152,460 kaki persegi dengan bangunan seluas 62,200 kaki persegi yang menempatkan fasiliti Jualan, Penyelenggaran, Alat Ganti dan Pusat Mengecat Badan. Ia juga menempatkan kemudahan bagi para pelanggan termasuk ruang menunggu, dan Executive Lounge, Wi-Fi percuma, ruang permainan kanak-kanak, dan Surau.

    Sebanyak RM22 juta perlaburan telah dilakukan untuk menaiktaraf Pusat 4S Honda baharu ini termasuk bagi bahagian jualan dan perkhidmatan selepas jualan. Pusat 4S ini turut menempatkan 20 ruang penyelenggaran termasuk lima ruang bagi ‘fast service’,satu ruang penyelenggaran tayar, lapan ruang penyelenggaran dan satu ruang penyelenggaran pendingin hawa. Ia mampy menyelenggara sehingga 100 kenderaan sehari atau lebih 22,000 unit kenderaan setahun.

    Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, “Pada tahun lalu, Honda Malaysia berjaya menjual 91,830 unit, di mana kawasan Pantai Timur sahaja telah menyumbang sebanyak 8% kepada angka jualan tersebut, iaitu melebihi 7,200 unit kenderaan Honda. Kelantan juga telah menyumbang sebanyak 34.6% bagi kawasan Pantai Timur dan Honda Jazz menjadi antara kegemaran di sini. Dalam lima tahun kebelakangan ini, Honda Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 172% di Pantai Timur.”

    Honda Malaysia memulakan tahun ini dengan melancarkan BR-V pada Januari lalu dan kini telah mencapai 10,000 unit tempahan dengan 5,200 unit telah didaftarkan. Pada awal Mac pula, City 2017 telah dilancarkan dan hingga kini menghampiri 3,000 tempahan dalam kurang tiga minggu.

    “Dengan dua pelancaran ini dan ada lagi dua model yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, pasaran di sini semakin berkembang, termasuk di Kelantan. Malahan pembukaan secara rasmi Pusat 4S Honda Ban Chu Bee ini dilihat mampu memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh para pelanggan di sekitarnya.

    Pusat 4S Honda Ban Chu Bee terletak di Lot 1349, Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu dan para pelanggan boleh menghubungi talian 09-744 3337/09-744 5893 untuk membuat temujanji penyelenggaran.

     
     
  • Promosi bagi harga bahan api perlu dapat kebenaran

    Promosi bagi harga bahan api perlu dapat kebenaran

    Syarikat atau pengendali stesen minyak yang ingin memberikan potongan harga atau promosi dari harga siling bagi bahan api yang dijual perlu menghantar permohonan kepada kerajaan terlebih dahulu, lapor Bernama.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan perkara itu bagi mengelakkan kejutan kepada pengguna berikutan pengumuman harga siling minyak yang akan dilakukan setiap minggu bermula Rabu ini.

    “Jika mereka ingin menjalankan promosi, mereka tentunya sudah mempunyai perancangan awal. Untuk itu, mereka perlu tampil kepada kami dan maklumkan. Kami akan memberikan kelulusan selepas itu. Selepas diluluskan, kami akan memaklumkan pengguna bahawa pada tarikh-tarikh tertentu, beberapa syarikat akan mengadakan promosi. Kami perlu pastikan tiada kejutan kepada pengguna,” tambah beliau.

    Bagaimanapun, beliau tidak memberikan jangka waktu kepada syarikat dan pengendali stesen minyak untuk menghantar permohonan mereka. Minggu lalu, Hamzah memaklumkan penentuan harga petrol dan diesel secara mingguan akan bermula Rabu ini dan berkuatkuasa pada tengah malam.

    Menurutnya lagi, tindakan keras akan dikenakan terhadap syarikat dan pengendali stesen minyak yang menjual petrol serta diesel pada harga yang berlainan dari yang ditetapkan oleh kerajaan.

     
     
  • Program MyLesen – Hampir 142k orang telah menyertainya, akan dibuka kepada pemandu bas, lori

    Program MyLesen – Hampir 142k orang telah menyertainya, akan dibuka kepada pemandu bas, lori

    Sehingga Disember 2016, seramai 141,369 orang dari seluruh negara yang majoritinya pelajar sekolah telah menyertai program MyLesen sehingga Disember 2016. Walau pun pada awalnya, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan seramai 170,000 belia yang bakal mengambil bahagian pada tahun lalu, namun program ini memang telah menampakkan keberkesanannya.

    Melalui program MyLesen, pengguna jalan raya terutama golongan belia berusia 16 tahun ke atas dan golongan warga tua boleh memiliki lesen motosikal kelas B2 tunggal dengan kos lebih murah.

    Di bawah inisiatif itu, JPJ bekerjasama dengan institut latihan memandu dengan menawarkan kos mendapatkan lesen motosikal kelas B2 pada kadar diskaun RM299 berbanding kadar biasa RM360.

    Meneruskan lagi program tersebut pada tahun ini, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata, ia akan diperluaskan kepada golongan kurang berkemampuan yang ingin mendapatkan lesen memandu vokasional (VDL) bagi kenderaan berat seperti lori dan bas.

    Beliau berkata inisiatif tersebut bagi membolehkan mereka yang layak mampu memiliki Lesen E serta Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), laporan Bernama.

    Nadzri berkata permintaan untuk jawatan pemandu bas dan lori adalah tinggi dan mereka yang memiliki lesen GDL dan PSV mudah mendapat peluang pekerjaan.

    Bagi tujuan itu, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pengusaha bas dan lori bagi mengatasi masalah kekurangan pemandu kenderaan pengangkutan awam dan komersial.

     
     
  • Volkswagen Malaysia lancar projek “Polo P” – latih pemandu baharu tingkatkan aspek pemanduan

    Volkswagen Malaysia lancar projek “Polo P” – latih pemandu baharu tingkatkan aspek pemanduan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan projek “Polo P”, yang bertujuan untuk mendidik pemandu-pemandu yang baru memperoleh lesen memandu, supaya lebih mahir dan memantapkan pengetahuan dengan menekankan aspek keselamatan di jalan raya.

    Projek “Polo P” ini akan dianjurkan pada hujung minggu di beberapa buah kolej dan universiti, di mana para peserta akan diajar mengenai asas penyelenggara kenderaan, posisi stereng dan kedudukan yang tepat, dan pemanduan defensif termasuk kursus slalom dan brek kecemasan.

    Semua latihan pemanduan akan dikendali dengan menggunakan model Volkswagen Polo 1.6L hatchback, walau pun ia bersaiz kecil, namun masih mampu mengekalkan keseronokan pengendalian. Malahan model hatchback ini sesuai untuk golongan muda. Ia dijanakan oleh enjin 1.6 liter dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan bersama Tiptronic. Padanan penjana kuasa ini memberikan tork maksimum sehingga 153 Nm, dengan penggunaan bahan api sekitar 6.7L per 100 km.

    Bermula di UTAR Kampus Sg.Long pada 25 dan 26 Mac ini, projek “Polo P” kemudiannya akan diteruskan di Nilai Universiti, Seremban (8 & 9 April), Taylor’s University Lakeside Campus, Subang Jaya (8 & 9 Julai) dan Sunway College, Johor Bahru (19 & 20 Ogos).

    Untuk menyertai projek “Polo P” ini, sila layari www. volkswagen.com.my atau hantarkan mesej personal menerusi Facebook Volkwagen bagi urusan pendaftaran.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic Type-R 2017 – dedah bunyi unik enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC Turbo dengan 3 tip ekzos

    Selepas muncul buat pertama kali pada Geneva Motor Show 2017, ini merupakan video rasmi pertama disiarkan Honda untuk Civic Type-R generasi baharu (dikenali dengan kod casis FK8) – yang turut mendedahkan bunyi garang yang unik dari enjin empat silinder 2.0 liter DOHC i-VTEC Turbo K20C pada jentera berkenaan.

    Penolong ketua projek Type-R Hideki Kakinuma memberitahu CarThrottle semasa berlangsungnya Geneva Motor Show, pada peringkat rpm rendah, ketiga-tiga tip ekzos berkenaan akan menghasilkan ngauman dinamik. Manakala pada rpm pertengahan dan tinggi, tip kecil pada bahagian tengah tersebut akan “menghasilkan tekanan negatif tertentu” bagi mengurangkan bunyi bergema pada kabin disamping meningkatkan bunyinya secara keseluruhan.

    Jika anda dengar sendiri bunyi sebenar Civic Type-R ini pada penghujung video, bunyi yang dihasilkan berbeza dari bunyi Type-R FK2 terdahulu. Bunyi dari Type-R FK8 ini adalah hampir kepada bunyi ‘rumble‘ dari enjin lima-silinder, walaupun ia hanya mempunyai empat silinder.

    VIDEO: Honda Civic Type-R 2017 – dedah bunyi unik enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC Turbo dengan 3 tip ekzos

    Selain itu, video ini turut memaparkan gambaran lebih terperinci pada lampu hadapan LED, skup udara pada bonet enjin, sirip-sirip seperti vortex generator pada bahagian belakang bumbung, tempat duduk hadapan bucket berwarna merah dan juga tombol gear manual titanium. Turut didedahkan, ‘opening ceremony‘ pada papan instrumentasi digital versi Type-R ini yang berbeza dari Civic biasa.

    Walaupun menggunakan enjin yang sama dengan generasi terdahulu, Civic Type-R 2017 ini menjana sejumlah 320 PS pada takat 6,500 rpm serta tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm, mengekstrak lebih 10 PS dari FK2R. Enjin berkenaan turut diberikan sentuhan yang diperhalusi, antaranya, roda tenaga (flywheel) yang dapat mengurangkan inersia klac sebanyak 25%, digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan bersama nisbah gear akhir lebih rendah bagi menambah baik respon pecutan lengkap dengan LSD heliks.

    Berbanding Type-R FK2 sebelum ini yang hanya diberikan suspensi jenis torsion beam, Civic Type-R baharu ini menampilkan suspensi multilink pada bahagian belakang, seterusnya meningkatkan lagi had pengendaliannya. Kesemua suspensi pada model baharu ini juga menerima Sistem Suspensi Adaptif dengan penyerap hentak tiga-chamber, penderia strok individu dan tiga penderia daya-G pada kenderaan bagi menawarkan kadar variasi lebih luas antara keselesaan dan juga respon pengendalian yang dinamik. Ia turut menerima talaan eksklusif pada spring, penyerap hentak dan pada bushing yang berkaitan di litar Nurburgring, Jerman.

    GALERI: Honda Civic Type-R 2017

     
     
  • Ford Ranger 3.2L WildTrak Jet Black Edition – RM142k

    Ford Ranger 3.2L WildTrak Jet Black Edition – RM142k

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan penawaran Ford Ranger Wildtrak edisi terhad, dengan warna Jet Black pada varian 3.2L WildTrak Automatic 4×4 High Rider. Sebelum ini, trak pikap tersebut hanya ditawarkan dalam warna Pride Orange dan Cool White.

    Tidak menampilkan perubahan yang ketara, melainkan ia didatangkan dengan jalur perlumbaan bermula dari hud hadapan hingga ke belakang, sebagai menampakkan kelainan pada model edisi terhad ini.

    Tiada perubahan mekanikal dilakukan pada model ini, dan ia masih lagi menggunakan enjin Puma P5AT lima silinder 3.2 liter Duratorq TDCi. Dengan gabungan transmisi automatik 6R80 enam kelajuan, ia mampu menghasilkan 197 hp pada 3,000 rpm dan 470 Nm pada antara 1,750 hingga 2,500 rpm.

    Spesifikasi dan kelengkapan lain juga masih sama, termasuk sistem informasi dan hiburan SYNC 3. Ranger WildTrak adalah model Ford pertama di Malaysia yang menggunakan sistem ini, menggantikan SYNC 2. Kelengkapan utama pada kenderaan ini adalah antaranya skrin sesentuh lapan inci dengan teknologi sentuhan kapasitif yang membolehkan operasi ‘pinch and swipe‘, serta integrasi Apple CarPlay dan Android Auto, Pandora serta Google Maps+.

    Ford Ranger 3.2L WildTrak Jet Black edisi terhad ini dijual pada harga RM141,588 atas jalan, tidak termasuk insurans. Ini adalah sedikit lebih daripada harga asal RM139,838 yang ditetapkan pada WildTrak 3.2L standard.

     
     
  • DRB-Hicom menegaskan pencarian rakan strategik asing bagi Proton masih berjalan lancar, proses penilaian ditamatkan pada suku kedua tahun ini

    DRB-Hicom menegaskan pencarian rakan strategik asing bagi Proton masih berjalan lancar, proses penilaian ditamatkan pada suku kedua tahun ini

    Baru-baru ini, Zhejiang Geely dikatakan telah menarik diri daripada bidaannya untuk menjadi memiliki pegangan majoriti dalam Proton. Presiden Geely, An Conghui memaklumkan bahawa syarikatnya sah menarik diri daripada perbincangan untuk menjadi rakan strategik asing (FSP) Proton.

    Ini bermakna hanya tinggal Kumpulan PSA sebagai satu-satunya calon tunggal yang masih berminat ke atas Proton. Syarikat ini juga mengesahkan mereka telah menghantar proposal dan bidaannya, dann mengumumkan sedang berbincang dengan pengeluar kenderaan nasional itu.

    Petang ini, DRB-Hicom telah mengeluarkan kenyataan rasmi dengan mengesahkan pencarian FSP Proton masih lagi diteruskan. Malah seperti yang diumumkan pada Februari lalu, DRB-Hicom mensasarkan untuk menamatkan proses penilaian menjelang akhir suku kedua tahun 2017.

    Malahan, DRB-Hicom turut mengesahkan semua pembida masih dalam saingan untuk menjadi FSP Proton. Dengan menegaskan proses pencarian FSP ini adalah rumit kerana ia akan dipilih bagi keuntungan semua pihak terbabit. Di mana setiap rundingan adalah usaha kedua-dua pihak untuk memastikan sinergi dengan pelan masing-masing.

    Walau bagaimana pun, proses sebegini adalah menjadi kebiasaan dalam mana-mana rundingan perniagaan di mana pihak terbabit membuat cadangan-cadangan yang berasingan dan berbeza, bergantung kepada apa yang diminta dan dicadangkan oleh pihak kedua. Dan DRB-Hicom akan mengumumkan syarikat mana yang berjaya membida kepentingan di dalam Proton apabila tiba masanya kelak.

     
     
  • UMWT lancar bilik pameran Toyota di Segambut

    UMWT lancar bilik pameran Toyota di Segambut

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah melancarkan bilik pameran Toyota baharu yang terletak di Pusat Komercial Jalan Kuching, Jalan Kepayang off Jalan Kuching iaitu di Segambut, Kuala Lumpur. Bilik pameran baharu ini adalah kemudahan para pelanggan yang berada di kawasan berhampiran. Malahan Pusat 2S (servis dan alat ganti) yang terletak di Kawasan Perusahaan Segambut juga telah diperbaharui bagi memenuhi permintaan selepas jualan.

    “Peningkatan jumlah kenderaan Toyota mendorong kami untuk memperkembangkan fasiliti dan daripada kajian kami, pusat 2S di Segambut memerlukan ruang tambahan berdasarkan pertambahan para pelanggan. Oleh itu, kami meluaskan lagi cawangan ini untuk perkhidmatan selepas jualan, dalam masa yang sama membuka bilik pameran baahru bagi para pelanggan yang ingin membeli kenderaan Toyota,” ujar Ravindran Kurusamy, Presiden UMW Toyota Motor.

    Bilik pameran baharu ini dibina dengan kos sebanyak RM1 juta dan mengikut konsep ‘Toyota’s Nexr Generation Showroom’. Ia boleh menempatkan tiga model kenderaan dalam satu masa. Malahan turut menyediakan ruang menunggu untuk para pelanggan, lengkap dengan wifi percuma.

    Setakat ini, Toyota memiliki hampir 100 pusat jualan dan servis di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi.

     
     
  • Kawasaki Z900 ABS 2017 – harga ditetapkan RM49,158 untuk model asas, RM50,959 untuk model edisi khas

    Kawasaki Z900 ABS 2017 – harga ditetapkan RM49,158 untuk model asas, RM50,959 untuk model edisi khas

    Awal tahun ini, Kawasaki Motor Malaysia telah mempertontonkan empat model baru bagi tahun 2017 iaitu Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250. Harga untuk Z650 ABS dan Ninja 650 sudah diumumkan, dan kali ini harga Z900 ABS pula diumumkan, iaitu RM49,158 untuk model biasa dan RM50,959 untuk model edisi khas. Harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan pendaftaran.

    Z900 ABS adalah pengganti bagi Z800, dan ia adalah sebuah jentera serba baru, dengan tidak banyak perkara yang dikongsi selain penggayaan asasnya. Enjin yang digunakan pada pada Z900 ABS adalah berkapasiti 948 cc, empat silinder sebaris berpenyejukan cecair dan mampu menghasilkan 124 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm tork pada 7,700 rpm. Jumlah ini adalah 13 hp lebih berbanding enjin Z800.

    Penambahan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah ia datang secara standard dengan klac jenis slipper, yang boleh mengelakkan lantunan pada tayar belakang semasa menurunkan gear secara agresif. Panel instrumen juga kini menggunakan unit skrin LCD dan penunggang boleh memilih tiga mod. Turut disediakan adalah lampu shift light pada bahagian meter rpm.

    Model asas Z900 ditawarkan dalam warna kelabu, manakala model edisi khas dijual dalam warna biru. Model edisi khas Z900 ABS didatangkan sekali bersama penutup tempat duduk belakang, penutup meter, soket DC, skrin radiator, slider badan, pelindung enjin, slider di tayar hadapan dan grafik yang istimewa.

    Turut diberikan pada model edisi khas adalah lapik tangki (tank pad) dan kaki OEM Kawasaki. Kawasaki Z900 ABS 2017 boleh didapati di kedai GT World Ninja, Ninja Shops dan pengedar sah Kawasaki bermula 8 April.

     
     
  • PLUS guna sistem elektronik penuh bermula 26 April

    PLUS guna sistem elektronik penuh bermula 26 April

    Pengguna mana-mana lebuhraya yang di bawah kendalian PLUS perlu menggunakan kaedah bayaran elektronik – melalui kad Touch n’ Go, PLUSMiles dan SmarTAG – sepenuhnya bermula 26 April ini. Bayaran tunai tidak lagi akan diterima selepas tarikh ini, seperti dilaporkan Bernama.

    Usaha ini adalah lanjutan kepada perkembangan yang dimulakan pada 2008, dan melibatkan 71 buah plaza tol, antara Juru dan Skudai. “Sistem ini ternyata memendekkan masa pembayaran, dengan lorong Touch n’ Go dan SmarTAG mampu menampung 1,000 dan 600 transaksi sejam,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

    Setakat ini, 94% pengguna jalan raya laluan sepanjang Juru ke Skudai sudah menggunakan kaedah pembayaran elektronik. PLUS juga akan sentiasa memperkemas sistem berkenaan supaya lebih cekap dan lancar dan memudahkan lagi perjalanan.

     
     
  • BMW K 1600 GT dilancar di M’sia – harga RM160k

    BMW K 1600 GT dilancar di M’sia – harga RM160k

    Diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali pada bulan Oktober tahun lalu, motosikal touring mewah BMW K 1600 GT 2017 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM159,900, termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran.

    Motosikal ini menggunakan enjin enam silinder sebaris, yang didakwa oleh BMW sebagai yang paling ringan dalam kelasnya, dan ia mammpu menghasilkan 160 hp pada 7,750 rpm dan 175 Nm tork pada 5,250 rpm. Bagi model baru ini, enjin tersebut sudah melepasi tahap Euro 4 hasil daripada penggunaan catalytic converter baru, serta padanan pemetaan enjin dan sistem bahan api dengan tabung karbon untuk pengudaraan lebih baik.

    K 1600 GT 2017 juga datang secara standard dengan sistem suspensi boleh laras elektronik Dynamic ESA. Suspensi semi aktif ini dibangunkan daripada teknologi yang ada pada kenderaan M-Series BMW – injap dalamannya adalah sama dengan M3 dan M4 – dan memberikan penyerapan yang optimum dalam pelbagai keadaan tunggangan dan permukaan jalan.

    BMW K 1600 GT dilancar di M’sia – harga RM160k

    Seterusnya, pemilik K 1600 GT 2017 juga boleh memilih dua mod tunggangan – tetapan Road memberikan keselesaan dan cengkaman optimum, manakala Dynamic terletak dalam tetapan yang lebih keras. Mod ini boleh ditukar dengan menekan butang yang terletak pada pemegang, dan pra beban spring juga boleh dilaras secara berasingan.

    Bagi memberikan lebih kemudahan kepada penunggang, motosikal ini dilengkapi dengan sistem bantuan undur dan penukar gear Shift Assistant Pro. Untuk sistem undur tersebut, penunggang boleh mengaktifkannya dengan menekan butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang, sambil juga menekan butang pemula enjin manakala Shift Assistant Pro pula boleh digunakan untuk menaik serta menurunkan gear.

    BMW K 1600 GT 2017 menyediakan operasi tanpa kunci, di mana enjin boleh dimulakan dengan hanya menekan butang secara terus, dan pada waktu itu kunci perlu berada berdekatan, sama ada di dalam poket atau beg. Turut disediakan adalah Hill Start Control, yang membenarkan penunggang terus berada dalam kawalan walaupun berhenti di atas bukit, tanpa perlu bermain dengan pendikit, klac atau brek.

    Pada bahagian kanan motosikal ini terdapat satu ruang simpanan kecil yang boleh dikunci, dan di dalamnya terdapat soket USB untuk mengecas alat elektronik seperti telefon atau unit GPS. Panel meter yang digunakan adalah daripada jenis skrin TFT LCD berwarna manakala penghadang angin hadapan pula boleh dilaras secara elektronik untuk dijadikan tinggi atau rendah.

    Tiga pilihan warna disediakan untuk BMW K 1600 GT iaitu Black Storm Metallic, Mars Red Metallic dan Lupine Blue Metallic. Bagi warna terakhir itu, bahagian enjin dan transmisi motosikal diwarnakan hitam.

     
     
  • Naza Kia serah seunit Kia Sorento 2016 kepada PDRM

    Naza Kia serah seunit Kia Sorento 2016 kepada PDRM

    Naza Kia telah menyerahkan seunit Kia Sorento 2016 serba baharu kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai kegunaan urusan rasmi agensi penguatkuasa berkenaan.

    Majlis penyerahan tersebut disempurnakan di ibupejabat PDRM, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Sorento 2016 tersebut diserahkan sendiri oleh SM Nasarudin Tan Sri SM Nasimuddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, pagi tadi.

    Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza World Group of Companies Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, SM Faliq Tan Sri SM Nasimuddin selaku Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI Sdn Bhd dan juga Dato’ Samson Anand George, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporatin Holdings Sdn Bhd.

    Naza Kia serah seunit Kia Sorento 2016 kepada PDRM

    “Sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaaan buat pihak PDRM di atas pengorbanan meraka dalam menjaga keselamatan negara. Malah turut memberikan peluang kepada pihak berkenaan untuk merasai peluang pengalaman memandu Sorento ini,” ujar SM Nasarudin.

    Sorento baharu ini diberikan beberapa pilihan penjana sama ada 2.2 liter R CRDi turbodiesel yang memberikan kuasa 200 PS pada 3,800 rpm dan tork 441 Nm pada 1,750 hingga 2,750 rpm. Selain itu, enjin petrol 2.4 liter Theta II MPI CVVT juga ditampilkan dengan kuasa 172 PS pada 6,000 rpm dan tork 224 Nm pada 4,000 rpm. Pacuannya disalurkan pada semua roda untuk semua model menerusi sistem pacuan semua-roda Dynamax baharu dan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Bagi varian 2.2 LS diesel, ia ditawarkan pada harga RM155,888, manakala 2.4 MS petrol pula RM165,888. Bagi spesifikasi tertinggi 2.4 HS pula pada harga RM175,888. Semuanya harga atas jalan termasuk insurans dan waranti lima-tahun bersama perbatuan tanpa had.

     
     
  • Lebih 1k unit CCTV dipasang di semua 31 stesen MRT bagi mempertingkatkan aspek keselamatan pengguna

    Lebih 1k unit CCTV dipasang di semua 31 stesen MRT bagi mempertingkatkan aspek keselamatan pengguna

    Dewan Rakyat telah dimaklumkan, sebanyak 1,082 unit CCTV telah dipasang di semua 31 stesen Transit Aliran Massa (MRT) bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna dan menghalang serangan pengganas. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz, sejumlah RM360 juta telah diperuntukkan bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan dan infrastruktur berkaitan termasuk hal kecemasan bagi projek MRT.

    Berita yang disiarkan oleh The Star turut menyebut Prasarana selaku pengendali perkhidmatan MRT turut memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta setahun bagi menguruskan aspek keselamatan berkenaan.

    Kenyataan Othman tersebut adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dalam Dewan Rakyat semalam.

    Tambahnya lagi, Prasarana turut memberikan kerjasama sepenuhnya dengan polis dan telah mengajikan 91 orang kakitangan keselamatan untuk melindungi pengguna dan ia membabitkan kesemua stesen MRT termasuk di bahagian depoh.

    Bukan itu sahaja, seramai 126 orang kakitangan keselamatan juga akan ditambah apabila fasa kedua MRT iaitu dari Semantan ke Kajang beroperasi sepenuhnya mulai Julai ini.

     
     
  • Volvo S90 dan V90 dilancarkan di M’sia; T5 dan T6 R-Design, semi-autonomous – harga dari RM389k

    Volvo S90 dan V90 dilancarkan di M’sia; T5 dan T6 R-Design, semi-autonomous – harga dari RM389k

    Selepas mengeluarkan teaser Volvo S90 dan V90 hampir setahun di laman webnya dan dilihat sedang diuji di jalan raya, Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini melancarkannya secara rasmi di sini. Bagi peringkat awal, dua model sedan dan wagon eksekutif ini di bawa masuk sebagai unit CBU terlebih dahulu, sebelum versi CKD menyusul kelak.

    Dari sudut spesifikasi, kedua-duanya adalah identikal. Ia juga ditawarkan dalam dua versi; T5 dan T6 AWD R-Design. S90 T5 dijual pada harga RM388,888, manakala T6 yang lebih berkuasa ialah pada RM453,888. Sementara itu, V90 T5 dan T6 pula adalah RM5,000 lebih mahal dari versi sedan masing-masing, pada harga RM393,888 dan RM458,888. Semua harga yang dinyatakan ialah atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

    Semua model ini menerima rekaan unit lampu utama LED “Thor’s Hammer” dengan ciri Active Bending Lights dan Active High Beam Control. Begitu juga lampu belakang LED yang hadir dengan ciri Adaptive Brake Lights. Varian T5 dilengkapi dengan rim 18-inci aloi.

    Volvo S90 dan V90 dilancarkan di M’sia; T5 dan T6 R-Design, semi-autonomous – harga dari RM389k

    Bagi varian T6 pula, ia hadir dengan penampilan R-Design yang lebih agresif, termasuk pada rekaan bamparnya, gril hitam berkilat, kit sisi badan yang lebih menonjol, cermin sisi warna perak dan diffuser bahagian belakang mengikut warna badan dengan empat corong ekzos. Ia dilengkapi dengan rim 19-inci aloi dengan rekaan lima jejari.

    Bagi luaran, pembeli versi T5 boleh memilih di antara lima warna; Onyx Black, Ice White, Osmium Grey dan Bright Silver yang dikongsi oleh semua varian. Bagaimana pun, warna Mussel Blue adalah khusus bagi varian T5, manakala warna Bursting Blue hanya terdapat pada varian T6 sahaja.

    Di dalam, upholstery hadir dalam tiga warna material kulit; Charcoal (hitam), Amber (coklat) dan Blonde (krim). Ini diikuti dengan kemasan dalam warna Iron Ore atau Dark Flame Birch. Sementara itu, versi T6 pula hadir di dengan kelainan khusus; material kulit pada tempat duduk Charcoal Nubuck serta Nappa, begitu juga dengan pilihan Metal Mesh dan kemasan dari gentian karbon. Stereng dan tuil gear juga ada yang membezakan versi R-Design.

    Volvo S90 dan V90 dilancarkan di M’sia; T5 dan T6 R-Design, semi-autonomous – harga dari RM389k

    Kit standard lain termasuk keyless entry dan pengidup enjin, sensor parkir di depan dan belakang, kawalan suhu dwi-zon automatik dengan penapis CleanZone serta corong pendingin hawa di belakang, tempat duduk depan dengan 12 larasan, booster seat kerusi belakang, sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sentuh 9-inci, 10 pembesar suara dengan sistem bunyi 330 W High Performance dan kamera undur.

    Dimensi S90 didirikan daripada 4,963 mm panjang, 1,879 mm lebar dan 1,443 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,941 mm. Bagi V90 pula, ia 27 mm lebih pendek dengan 4,936 mm panjang dengan kelebaran 1,475 mm (-32 mm). Ruang buat S90 yang tersedia ialah 500 liter, manakala bagi V90 pula ialah 930 liter, dan boleh dilanjutkan sehingga 1,526 liter jika tempat duduk belakang dilipat.

    Menyalurkan kuasa pula ialah enjin 2.0 liter Drive-E turbocaj petrol empat silinder, menghasilkan 254 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm dari 1,500 hingga 4,800 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dari Aisin. Versi T6 pula lebih berkuasa, dengan janaan 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm antara 2,200 dan 5,400 rpm, serta sistem pacuan semua roda.

    Dari aspek keselamatan, semua modelnya didatangkan dengan set Intellisafe dengan ciri keselamatan aktif, termasuk City Safety autonomous emergency braking – ciri ini beroperasi pada kelajuan antara 4 hingga 70 km/j dan boleh mengesan kenderaan, pejalan kaki, penunggang basikal serta haiwan saiz besar.

    Turut disertakan sebagai ciri standard ialah ciri pemanduan semi-autonomous Pilot Assist dengan Adaptive Cruise Control dan Lane Keeping Aid yang turut akan mengekalkan kenderaan dalam jarak selamat daripada kenderaan lain di depan pada kelajuan sehingga 130 km/j. Ciri lain termasuk Driver Alert Control, Road Sign Information, Run Off Road Mitigation dan Protection and Lane Departure Warning.

    Turut berada di dalam perancangan VCM untuk pasaran Malaysia nanti, dua model ini juga turut akan ditawarkan dalam versi T8 Twin Engine, plug-in hybrid (PHEV) yang mampu menjana 410 hp kuasa dan jarak mod elektrik sepenuhnya sejauh 50 km.

    Volvo S90 T6 R-Design

    Volvo V90 T6 R-Design

    Volvo S90 T5

    Volvo V90 T5

     
     
  • Geely turut berminat dengan Lotus, mahu bina SUV Lynk & Co 01 di Tg Malim dengan perjanjian Proton

    Geely turut berminat dengan Lotus, mahu bina SUV Lynk & Co 01 di Tg Malim dengan perjanjian Proton

    Pengeluar kenderaan China, Zhejiang Geely, yang dilaporkan telah menarik diri daripada membida Proton, dikatakan berminat bekerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan nasional negara untuk membina SUV Lynk & Co 01 versi pemanduan sebelah kanan di kilang pemasangan Tanjung Malim sekiranya perjanjian tersebut termeterai. Penawaran tersebut turut melibatkan pasaran eksport ke beberapa buah negara lain termasuk UK dan Australia.

    Menurut Autocar, Geely mempunyai perancangan untuk memperkukuhkan kedudukan Proton ke tahap yang lebih tinggi bagi keseluruhan struktur. Sumber dari China memberitahu, Geely juga berminat mahu mendapatkan Lotus sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

    “Geely telah memantapkan kedudukannya sendiri sebagai jenama kelas pertengahan di China, yang didorong oleh hasil kerjasama dengan Volvo. Rancangan untuk menjadi rakan strategik proton dilihat mampu membawanya ke satu lagi tahap, yang dianggap sangat penting untuknya terus berkembang,” ujar sumber terbabit.

    Bagi Lotus pula, Geely dikatakan turut berminat dengan jenama tersebut, “Pengerusi kami sangat berharap dapat membeli kepentingan dalam syarikat pengeluar kereta sport. Kami telah berbincang dengan Aston Martin dan beberapa jenama lain, tetapi Lotus sentiasa menjadi sasaran utama,” tambahnya lagi.

    Geely turut berminat dengan Lotus, mahu bina SUV Lynk & Co 01 di Tg Malim dengan perjanjian Proton

    Pada 22 Mac lalu, terdapat laporan menyebut Geely telah menarik diri daripada membina kepentingan dalam Proton, dan ia telah disahkan oleh presidennya sendiri An Conghui. Walau bagaimana pun, beliau tidak mengulas lanjut berhubung keputusan menarik diri tersebut. Namun pengerusi syarikat berkenaan, Li Shufu berkata perancangan untuk menarik diri daripada bidaan berkenaan disebabkan DRB-Hicom tidak dapat membuat keputusan mengenai perkongsian terbabit.

    Sekiranya perjanjian di antara Proton dan Geely termeterai, ia akan memberikan pengeluar kenderaan China itu keupayaan untuk menembusi pasaran pemanduan sebelah kanan. Ada sumber menyatakan Geely turut berjanji untuk menyediakan teknologi terkini pada kenderaan yang dibangunkan oleh Volvo.

    Pengumuman terbaharu bermaksud kini hanya tinggal kumpulan PSA sebagai satu-satunya calon tunggal yang masih berminat ke atas Proton. Syarikat ini juga mengesahkan mereka telah menghantar proposal dan bidaannya, dan mengumumkan sedang berbincang dengan pengeluar kenderaan nasional itu.

     
     
  • PDAM harap perubahan harga siling bahan api yang bakal diumumkan setiap minggu tidak ketara

    PDAM harap perubahan harga siling bahan api yang bakal diumumkan setiap minggu tidak ketara

    Mulai 29 Mac ini, harga siling baharu bagi bahan api petrol dan diesel akan diumumkan secara mingguan, iaitu pada setiap hari Rabu. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata harga baharu bahan api pula akan berkuatkuasa pada hari berikutnya.

    “Berdasarkan perbincangan dengan syarikat petroleum, kerajaan bersetuju untuk mengumumkan harga baru bahan api secara mingguan selepas ini. Syarikat swasta dan stesen petrol yang berhasrat untuk menawarkan diskaun dari harga yang ditetapkan itu boleh melakukannya dengan mendapatkan kebenaran daripada kementerian,” jelas beliau.

    Akur dengan keputusan kerajaan itu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) berharap harga siling tersebut hanya melibatkan perubahan yang minimal. Menurut presidennya, Datuk Khairul Annuar, pengusaha stesen minyak mungkin akan mengalami kerugian sekiranya harga siling bahan api yang diumumkan itu lebih daripada 10 sen berbanding minggu sebelumnya.

    “Kami berharap perubahan secara mingguan ini hanya sekirar lima sen dan ke bawah. Tidak melibatkan perubahan yang begitu ketara, jika tidak ia memberikan kesan yang buruk terhadap keuntungan,” ujarnya sewaktu ditemubual oleh The Star.

    Khairul turut berkata, sekiranya perubahan mingguan tidak begitu tinggi, paten pembelian pengguna juga tidak akan terjejas teruk.

    Malahan, industri ini juga tidak bersedia untuk terlibat dengan ‘perang harga’ memandangkan segelintir pengusaha memiliki beberapa stesen minyak dan margin lebih besar berbanding yang lain, jadi ia melibatkan persaingan yang tidak sihat

    Sebelum ini PDAM menyuarakan kebimbangan terhadap kesan perubahan harga siling bahan api pada setiap minggu, dengan alasan ia akan memberikan kesan buruk terhadap pengusaha stesen minyak kerana mempunyai kebarangkalian terpaksa gulung tikar. Malahan ia juga dikatakan tidak akan menguntungkan para pengguna dalam tempoh waktu yang panjang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026