Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota Sienna facelift muncul – lebih bergaya, canggih

    Toyota Sienna facelift muncul – lebih bergaya, canggih

    MPV yang ditawarkan oleh Toyota di Amerika Syarikat, iaitu Sienna, telah diberi facelift untuk model tahun 2018, menawarkan perubahan gaya serta penambahan pelbagai ciri keselamatan dan kesenangan.

    Muka hadapan model ini kelihatan seperti mendapat inspirasi daripada Camry baru, dan menampilkan gril atas lebih kecil, berserta satu gril yang lebih besar di bawah, dan lampu kabus jenis menegak. Side skirt yang sebelum ini hanya datang pada model SE kini dilengkapkan terus pada semua varian.

    Di dalam, Sienna mendapat manfaat daripada sistem informasi dan hiburan baru Toyota, Entune 3.0, dengan sistem navigasi dan App Suite Connect secara standard; varian LE, SE dan XLE mendapat Entune Audio Plus bersama Safety Connect dan Wi-Fi Connect hotspot. Sistem audio Entune 3.0 Premium JBL pada varian Limited paling tinggi mendapat tambahan Dynamic Navigation dan Destination Assist, sembilan pembesar suara, subwoofer 10.1 inci, Sound Staging dan teknologi Clari-Fi.

    Toyota Sienna facelift muncul – lebih bergaya, canggih

    Kelengkapan lain yang ada pada Sienna facelift 2018 adalah lima soket pengecas USB untuk tiga barisan tempat duduknya, Rear Seat Entertainment yang diperbaharui dan paparan informasi 4.3 inci. Varian SE juga menerima cermin hadapan laminated, manakala varian Limited mendapat tingkap tepi depan akustik.

    Untuk aspek keselamatan, semua model Sienna datang secara standard dengan Toyota Safety Sense P, yang termasuk Pre-Collision System (PCS) dengan Pedestrian Detection, Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan jarak kelajuan penuh, Lane Departure Alert (LDA) dengan Steering Assist dan Automatic High Beam (AHB).

    Pada tahun lepas, Sienna telah pun diberikan enjin dan transmisi baru, iaitu enjin 3.5 liter N/A Dual VVT-i V6 yang berkemampuan 296 hp pada 6,600 rpm dan 357 Nm pada 4,700 rpm. Kuasa kemudiannya disampaikan kotak gear Direct Shift lapan kelajuan kepada dua tayar hadapan. Pilihan pacuan semua roda turut disediakan.

     
     
  • Proton akan umumkan rakan strategik asing pada Mei

    Proton akan umumkan rakan strategik asing pada Mei

    Proton akan mengumumkan rakan strategik asingnya pada Mei nanti. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan seperti dilaporkan oleh The Star, susulan daripada berita penarikan diri oleh Zhejiang Geely yang didedahkan semalam.

    Walaupun Geely tidak lagi berada di dalam senarai sebagai pihak yang berminat, Ong menjelaskan itu bukanlah pengakhiran bagi Proton. Menurutnya lagi, masih ada beberapa lagi pembida ketika ini, dan pengeluar dari China itu bukanlah satu-satunya pihak yang ingin bekerjasama dengan Proton. Beliau juga menambah, kerajaan tidak akan campur tangan di dalam proses membuat keputusan oleh DRB-Hicom.

    “Mereka (Proton) kini sedang meneliti keputusan akhir yang akan diambil. Sebagai badan swasta sekarang, kerajaan tidak dapat membantu Proton dalam menentukan keputusannya. Kami hanya boleh mencadangkan arah tuju mana yang sepatutnya diteroka dalam mencari rakan strategik ini,” tambah beliau.

    Terdahulu, Ong turut berkata ada kemungkinan Proton akan mengikut jejak Perodua dengan membenarkan rakan strategik untuk memiliki 51% pegangan dalam syarikat. Semalam, South China Morning Post pula melaporkan bahawa Geely sah menarik diri daripada bidaannya terhadap Proton, dan berita itu disahkan oleh presidennya, An Conghui.

    Jika mengambil kira hanya ada dua pihak yang berminat dengan Proton sebelum ini seperti yang diketahui umum, penarikan diri Geely akan menjadikan PSA Group sebagai satu-satunya syarikat yang menyatakan minatnya secara terbuka terhdap perkembangan ini.

     
     
  • Lexus LC terima peningkatan luaran TRD – roda, aero

    Lexus LC terima peningkatan luaran TRD – roda, aero

    Lexus LC memang sudah nampak begitu menyerlah, namun penampilannya lebih agresif apabila menerima sentuhan Toyota Racing Development (TRD). Penala dalaman Toyota ini telah memberikan peningkatan luaran bagi model mewah Lexus LC, sekaligus membuatkan model mewah ini lebih garang, dan pasti pantas menambat perhatian.

    Pada bahagian hadapannya, kelihatan spoiler kecil pada setiap sudut untuk membantu membersihkan aliran udara, sementara lip spoiler getah yang terletak di bawah gril adalah bagi meminimakan jumlah downforce. Terdapat juga skirt sisi bagi mempertingkatkan kestabilan garisan lurus.

    Beralih ke bahagian belakang pula, bootlid lip spoiler adalah bagi menambah keseimbangan aerodinamik untuk kestabilan, sementara spoiler sisi belakang dan peresap pula bagi meningkatkan lagi downforce. Spoiler sisi di hadapan dan belakang, skirt sisi dan bootlid lip spoiler didatangkan dengan warna hitam, dan badan kereta pula dicat dengan warna Putih Nova, Hitam dan Hitam Graphite.

    Lexus LC terima peningkatan luaran TRD – roda, aero

    Bukan itu sahaja, ia juga ditampilkan dengan roda aloi aluminium yang lebih ringan brsaiz 21-inci berukuran 21×8.5J di hadapan dan 21×9.5J di belakang, menggunakan tayar 245/40RF21 di hadapan dan 275/35RF21 di belakang. Roda juga didatangkan dengan pengunci skru.

    Elemen-elemen yang disebut ini sesuai dipadankan untuk kedua-dua model LC 500 dan LC 500h. Ia dikuasakan oleh enjin V8 Atkinson-cycle NA 5.0 liter yang diambil daripada model GS F dan RC F, dengan hamburan kuasa 471 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm pada 4,800 rpm. Kuasanya disalurkan menerusi roda belakang menerusi transmisi automatik Direct Shift 10-kelajuan. Enjin ini mempunyai teknologi VVT-i dan sistem suntikan terus D-4S, dengan penyambung rod diperkuat dan injap titanium.

    Manakala LC 500h pula menggunakan enjin V6 3.5 liter dengan Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem Multi Stage Hybrid yang terdiri daripada motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 311 V. Transmisi yang digunakan pula adalah unit automatik empat-kelajuan. Kuasa maksimum yang mampu terhasil adalah sehingga 354 hp.

     
     
  • TechArt GTStreet R Cabriolet – 720 hp, tiada bumbung

    TechArt GTStreet R Cabriolet – 720 hp, tiada bumbung

    Bagi sebuah porsche 911 bumbung boleh buka, model 911 Turbo S Cabriolet adalah yang paling laju, dengan enjin enam silinder 3.8 liter twin turbo padanya mampu menghasilkan 580 hp dan 750 Nm tork. Jika anda mahukan lebih daripada itu, TechArt sudah menunjukkan contohnya, dinamakan sebagai GTStreet R Cabriolet, dan syarikat itu berjaya mendapatkan sehingga 720 hp dan 920 Nm tork daripada enjin yang sama.

    Perubahan yang dilakukan pada bahagian enjin adalah termasuk kit unit kawalan elektronik (ECU), penapis udara sport, pengecas turbo TechArt dengan turbin geometri boleh ubah dan sistem ekzos sport lengkap dengan pelarasan injap stepless. Selain itu, bahagian transmisi juga kini menggunakan kalibrasi khas TechArt.

    Untuk bahagian casis, GTStreet R ditawarkan dengan pilihan sama ada rim 20 inci atau 21 inci, bersama pilihan kit suspensi VarioPlus yang boleh dipadankan bersama penyerap PDDC Porsche atau kit axle hadapan TechArt Noselift yang memberikan tambahan 60 mm ruang kelegaan dari tanah pada bahagian hadapan.

    Bahagian luar GTStreet R lebih adalah lebih agresif dari setiap penjuru, dengan bahagian bampar hadapannya lebih ke dalam dan mempunyai spoiler lip untuk membentuk semula laluan udara. Lengkuk tayar juga dilebarkan – di mana bahagian hadapan mirip 911 GT3 RS manakala lubang udara lebih besar terletak berhampiran roda belakang.

    Pada bahagian belakang, sayap bersaiz besar terletak di atas penutup but, manakala bampar barunya turut menempatkan muncung ekzos di bahagian tengah. Kereta sports ini mampu mencatat masa pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.7 saat, 0-200 km/j dalam 8.5 saat, 0-300 km/j dalam 23.3 saat dan laju maksimum 340 km/j.

     
     
  • Proton anjur ‘Experience The Drive’ – peluang menangi hadiah mingguan, bulan menarik termasuk wang tunai

    Proton anjur ‘Experience The Drive’ – peluang menangi hadiah mingguan, bulan menarik termasuk wang tunai

    Proton telah melancarkan peraduan “Experience the Drive” untuk mendorong pelanggan untuk memandu uji kereta buatan jenama tersebut. Melalui sesi pandu uji ini, pelanggan akan dapat merasai dan menikmati pemanduan kereta dan pada masa yang sama akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai ciri-ciri pada kereta terutamanya ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif yang telah diberikan penarafan keselamatan empat- dan lima-bintang oleh ASEAN NCAP.

    Sepanjang kempen pandu uji ini, pelanggan yang memandu uji kereta-kereta Proton, di mana-mana bilik pameran Proton atau semasa siri jelajah, layak untuk menyertai peraduan mingguan dan bulanan serta berpeluang untuk memenangi kad petrol bernilai RM500 bagi peraduan mingguan dan wang tunai RM3,000 bagi peraduan bulanan.

    Bermula sejak 1 Mac 2017 yang lalu, peraduan ini akan diteruskan sehingga hujung tahun. Penyertaan adalah mudah iaitu pelanggan boleh memandu uji kereta Proton di mana-mana bilik pameran Proton atau siri jelajah Proton dan tulis slogan pendek yang kreatif atau penerangan mengenai pengalaman pandu uji dalam borang Peraduan tidak melebihi 20 patah perkataan untuk berpeluang memenangi hadiah-hadiah mingguan atau bulanan.

    Hadiah bernilai RM7,000 untuk dimenangi setiap bulan termasuk dua pemenang mingguan yang akan memenangi kad petrol bernilai RM500 manakala pemenang bulanan akan menerima wang tunai sebanyak RM3,000.

    Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi mudah alih MyProton untuk memudahkan mereka menempah sesi pandu uji. Aplikasi mudah alih MyProton juga menyediakan kemudahan untuk pelanggan memilih masa, tarikh serta lokasi pandu uji yang sesuai hanya di hujung jari sahaja.

    Minggu pertama peraduan telah menyaksikan lebih 200 penyertaan dan 2 pemenang mingguan telah dikenal pasti berdasarkan slogan pengalaman pemanduan mereka yang paling kreatif. Pemenang mingguan yang julung kali diadakan itu ialah Mohamad Darulhisham Mohd Rashid dari Kedah dan Saliza Ahmad dari Melaka. Kedua-dua mereka menerima kad petrol bernilai RM500 setiap seorang.

     
     
  • VIDEO: Hum Rider ada cara atasi kesesakan lalu lintas

    Hanya dengan satu butang, anda boleh melepasi kesesakan lalu lintas di hadapan. Bunyinya seperti tak masuk akal, tetapi fungsi khas yang dibangunkan pada Jeep Grand Cherokee ini membolehkan perkara itu berlaku. Walaupun hanya gimik bagi sebuah kempen pemasaran, badan kenderaan ini boleh diangkat tinggi, dengan kedudukan tayar yang dilebarkan dan ia seterusnya boleh “memotong barisan yang sesak”.

    Pembekal khidmat telekomunikasi Amerika Syarikat, Verizon meminta agensi pemasaran Thinkmodo untuk mengemukakan sebuah konsep. Jeep yang mampu mengubah kedudukannya menjadi sangat tinggi ini dibina oleh A2Zfx, sebuah syarikat yang khusus membangunkan kenderaan binaan khas dan menghasilkan kenderaan untuk tugas promosi.

    VIDEO: Hum Rider ada cara atasi kesesakan lalu lintas

    Sistem berkenaan dikuasakan oleh generator tunggal daripada Honda yang terletak pada ruang enjin, yang menyediakan kuasa elektrik kepada pam hidraulik untuk sistem stereng kuasa, brek dan tentunya, mekanisme untuk menaikkan ketinggiannya.

    Dikatakan mampu mengangkat badan kenderaan itu sejauh dua kali jarak biasa yang boleh dilakukan pada Jeep Grand Cherokee standard, Hum Rider ini menggunakan tayar trak bagi menggantikan tayar standard yang digunakan untuk menampung pertambahan berat. Dalam jarak maksimumnya, tinggi Hum Rider ini mencapai sembilan kaki, dengan kelebaran bukaan antara tayarnya juga ditambah – membolehkannya untuk “merentasi” Ford Fiesta, Kia Rio Sedan dan Mazda 3 sedan seperti dalam video ini.

     
     
  • Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

    Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

    Pertama kali ia diperkenalkan di khalayak umum di MIECC Serdang pada November lalu, sekali gus tempahannya mula dibuka. Kia Grand Carnival baharu ini merupakan model generasi ketiga yang pertama kali diperkenalkan secara global di Amerika Syarikat pada tahun 2014 (juga dikenali sebagai Sedona). Bagi pasaran Malaysia, Naza Kia sebelum ini ada menjual Kia Carnival generasi pertama yang ditukar namanya kepada Naza Ria tetapi generasi kedua tidak dijual.

    Hari ini, secara rasminya, model baharu bagi MPV ini dilancarkan di Malaysia, dengan menawarkan tiga varian iaitu 2.2D yang merupakan spesifikasi paling rendah dengan dua lagi varian yang lebih utama; 2.2 CRDI KX dan spesifikasi tertinggi 2.2 CRDI EX. Kesemua varian dijanakan oleh enjin 2.2 liter CRDi VGT turbodiesel empat-silinder. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 193 PS pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

    MPV lapan-tempat duduk yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ini memiliki ukuran 5,115 mm panjang, 3,060 mm bagi jarak roda, berketinggian 1,740 mm dan selebar 1,985 mm yang memberikan pandangan profil yang lebih teguh.

    Bahagian hadapannya direka lebih lebar, menonjol dengan padanan gril ‘hidung harimau’ bersama lampu utama projektor halogen yang dilengkapi lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus. Ia juga dilengkapi dengan cermin sisi elektrik (dengan lampu isyarat LED) dan antena ‘sirip jerung’. Ia turut ditampilkan dengan rim aloi 18-inci (Clear Silver bagi 2.2 CRDI KX, Machine Finieshed untuk 2.2 CRDI EX) yang dibaluti tayar 235/60.

    Melewati bahagian belakangnya, ia tampil dengan lampu gabungan dari jenis LED. Malahan bagi varian 2.2 CRDI EX, ia dilengkapi pintu tailgate berkuasa pintar yang boleh dibuka secara automatik apabila didekatkan dengan kunci (bukaan secara manual bagi varian 2.2D, 2.2 CRDI KX), kemasukan tanpa kunci (kunci standard bagi varian asas), rel bumbung (untuk varian tertinggi sahaja) dan juga pintu gelungsur elektrik (manual untuk varian asas).

    Kia Grand Carnival dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.2L turbodiesel, harga dari RM154k

    Menjengah bahagian kabin pula, tempat duduknya dibaluti material kulit bagi 2.2 CRDI EX dan varian asas pula dengan material fabrik serta disertakan dengan ciri kawalan pendingan hawa automatik triple-zone (kawalan manual bagi varian asas) dengan cluster ioniser. Warna bagi bentangan dalaman pula (termasuk tempat duduk), kuning langsat (beige) bagi 2.2D, kelabu dengan dua tona untuk 2.2 CRDI KX dan 2.2 CRDI EX pula kuning langsat dengan dua-tona.

    Selain itu, kesemua varian berkongsi unit utama yang sama iaitu skrin sentuh berwarna TFT LCD 4.3-inci bagi sistem hiburan. Manakala dua varian tertinggi menerima butang penghidup enjin, kluster instrumen Supervision TFT-mono OLED 3.5-inci, cermin pandang belakang siang-malam, kamera undur dan enam pembesar suara. Malah ia juga dilengkapi dengan brek parkir kaki dan juga kawalan kelajuan auto.

    Sebagai tambahan, tempat duduk depan dialihkan secara manual, dengan lumbar support bagi sebelah pemandu, yang boleh dilaras dengan dua-cara bagi 2.2 CRDI KX dan empat-cara untuk 2.2 CRDI EX. Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40, dan boleh ditolak ke hadapan untuk memudahkan penumpang memasuki barisan ketiga.

    Kerusi barisan ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50 untuk membolehkan penggunaan ruang kargo yang lebih luas. Ruang barangan di belakang berkapasiti 359 liter dan sekiranya tempat duduk barisan kedua serta ketiga dibaringkan, ia mampu mencecah maksimum 2,718 liter.

    Setiap baris tempat duduk dilengkapi dengan corong pendingin hawa sendiri di bahagian siling, untuk memudahkan capaian. Walau bagaimana pun untuk tempat duduk barisan kedua dan ketiga, varian asas 2.2D hanya disertakan dengan tali pinggang keledar tengah sahaja, sebaliknya 2.2 CRDI KX dan 2.2 CRDI EX dilengkapi tali pinggang keledar tiga-poin.

    Bagi ciri-ciri keselamatan pula, ia dilengkapi dengan enam beg udara, pengesan parkir di bahagian depan dan belakang, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Isofix (dua unit pada tempat duduk barisan kedua, satu unit di barisan ketiga) dan Bantuan Mula Mendaki (HAC) merupakan ciri standard bagi kedua-dua varian.

    Semua varian juga ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu Snow White Pearl, Aurora Black Pearl dan Titanium Brown. Harga atas jalan (berserta insurans) yang ditawarkan bagi varian varian asas ialah RM153,888, 2.2 GRDI KX pula RM165,888 dan 2.2 GRDI EX pula RM185,888. Ia turut didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan juga tertakluk di bawah skim ‘Value 5’ oleh Naza Kia.

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2 CRDI KX

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2 CRDI EX

     
     
  • Kajian mendalam diperlukan sebelum naikkan had laju

    Kajian mendalam diperlukan sebelum naikkan had laju

    Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan had kelajuan 110 km/j di lebuhraya. Bagaimanapun, ia memerlukan kajian yang mendalam terlebih dahulu, melibatkan perbincangan bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

    Bernama melaporkan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan; “Bagi menentukan had kelajuan di lebuhraya, ia bukanlah tertakluk kepada bidang kuasa JKR sahaja, tetapi turut melibatkan JKJR dan Miros yang mempunyai sudut pandangan berbeza dan mementingkan faktor keselamatan.”

    “Kami melihatnya lebih kepada aspek keselamatan, kerana lebuhraya kita direka untuk menampung kelajuan maksimum hanya pada kadar 120 km/j. Itu pun, ada yang memandu sehingga 200 km/j, dan tambahan pula, kadar kemalangan di Malaysia sangat tinggi,” katanya.

    Fadillah juga sedia maklum bahawa kemalangan jalan raya disebabkan oleh banyak faktor lain. Namun, hasil kajian JKJR dan Miros turut mendapati bahawa kelajuan juga menjadi antara faktor utama menyebabkan kemalangan.

    Beliau menyentuh tentang perkara ini ketika sidang Dewan Rakyat semalam. Selain itu, kementeriannya juga telah mengarahkan semua pengendali konsesi tol untuk menaiktaraf sistem bayaran elektronik yang digunakan. Ini bertujuan untuk melancarkan lagi urusan di plaza tol, dan sekiranya ada litar pada sistem yang bermasalah, ia adalah masalah terpencil dan tidak sepatutnya mengganggu keseluruhan sistem berkenaan.

     
     
  • Subsidi minyak tiada dalam perancangan – Menteri

    Subsidi minyak tiada dalam perancangan – Menteri

    Kerajaan buat masa ini tiada perancangan untuk menyediakan harga subsidi bagi bahan api. Ini kerana, untuk berbuat demikian, perbelanjaan yang perlu disediakan oleh kerajaan ialah sekitar RM100 juta walaupun hanya untuk memberikan subsidi sebanyak lima sen.

    The Sun melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan jumlah adalah besar; jika kerajaan perlu memberikan subsidi 40 sen, jumlah keseluruhannya melonjak kepada RM800 juta.

    Menjawab soalan yang diajukan di Parlimen, bahawa sama ada kerajaan akan mempertimbangkan menetapkan harga siling bagi petrol pada kadar RM2.50 per liter, Hamzah menjelaskan kerajaan tidak dapat mencari formula terbaik untuk menstabilkan harga siling kekal pada kadar berkenaan. Beliau menambah, harga siling bagi petrol di Malaysia pernah mencecah RM2.90 seliter.

    “Jika kita ingin mengekalkan harga siling pada RM2.50, kita akan membayar subsidi dalam jumlah yang banyak sekiranya harga berkenaan naik kepada RM2.90 dan kekal untuk satu tempoh yang lama,” ujar beliau, dengan memberi penekanan bahawa subsidi kerajaan sepatutnya hanya terarah kepada kelompok tertentu yang memerlukan – seperti pengguna di luar bandar, bergantung kepada penggunaan mereka.

    Hamzah juga mengingatkan pengusaha stesen-stesen minyak agak mereka tidak menyimpan dan menyorokkan petrol kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang. Tindakan keras akan diambil sekiranya ada yang didapati berbuat demikian.

    Sebelum ini, Hamzah turut memaklumkan, bermula 29 Mac, Rabu minggu depan, harga bahan api akan diumumkan secara mingguan dan bukan lagi secara bulanan seperti yang dilakukan terdahulu.

     
     
  • UMW Toyota sasar jualan 70,000 unit untuk tahun 2017 – empat model Toyota baharu, Lexus LC akan dilancar

    UMW Toyota sasar jualan 70,000 unit untuk tahun 2017 – empat model Toyota baharu, Lexus LC akan dilancar

    Dalam satu majlis bersama media petang ini, UMW Toyota Motor mengumumkan meletakkan sasaran jualan sebanyak 70,000 unit kenderaan untuk tahun 2017. Jumlah ini adalah melibatkan dua jenamanya iaitu Toyota dan Lexus.

    Bagi mencapai jumlah itu, UMW Toyota akan melancarkan empat model baru dan berdasarkan gambar bayang yang dipaparkan dalam tayangan, salah satunya boleh dijangka sebagai Vios facelift selebihnya kemungkinan adalah varian baru bagi Fortuner, Hilux dan Innova.

    UMW Toyota sasar jualan 70,000 unit untuk tahun 2017 – empat model Toyota baharu, Lexus LC akan dilancar

    Model paling terbaru yang dilancarkan oleh UMW Toyota adalah Innova, di mana majlis pelancarannya berlaku pada bulan Disember tahun lalu. Sementara dalam tahun 2017 pula, syarikat itu ada memperkenalkan Toyota Hilux 2.4G AT Edisi Terhad, Hilux 2.4G Limited Edition dan Toyota Hilux 2.4G STD.

    Bagi jenama Lexus pula, selain model IS facelift, NX200t Edisi Istimewa dan NX200t Black Edition yang diperkenalkan pada awal tahun ini, UMW Toyota juga memberitahu bahawa satu lagi model istimewa akan tiba di Malaysia tahun ini iaitu LC 500.

     
     
  • Geely sah tarik diri daripada bidaan terhadap Proton

    Geely sah tarik diri daripada bidaan terhadap Proton

    Persoalan tentang siapa yang berminat untuk menjadi rakan strategik Proton kelihatannya hanya akan tertumpu kepada satu syarikat sahaja. Menurut laporan South China Morning Post, Zhejiang Geely telah menarik diri daripada bidaannya untuk menjadi memiliki pegangan majoriti dalam Proton. Presiden Geely, An Conghui memaklumkan penerbitan itu hari ini bahawa syarikatnya sah menarik diri daripada perbincangan untuk menjadi rakan strategik Proton.

    Laporan itu juga menyebut, An tidak mengulas lanjut tentang sebab tindakan itu, namun sebelum ini, Pengerusi syarikat itu, Li Shufu telah memberi isyarat bahawa Geely – yang disifatkn calon paling popular untuk urusniaga berkenaan – sedang merancang untuk menarik diri disebabkan Proton masih belum menetapkan pendiriannya terhadap kerjasama itu.

    Pengumuman terbaru ini bermaksud kini hanya tinggal kumpulan PSA sebagai satu-satunya calon tunggal yang masih berminat ke atas Proton. Syarikat ini juga mengesahkan mereka telah menghantar proposal dan bidaannya, dn mengumumkan sedang berbincang dengan pengeluar kenderaan nasional itu.

    Jika persetujuan terhadap usahasama ini terjalin, PSA berhasrat untuk menggunakan kemudahan yang dimiliki Proton untuk tujuan pengeluaran serta eksport, memperluas kehadiran jenama seliaannya di rantau Asia Tenggara.

    Kerjasama antara Proton dan Geely, sekiranya dimeterai, akan memerikan pengeluar kenderaan China itu keupayaan untuk menembusi pasaran pemanduan sebelah kanan. Ada sumber menyatakan Geely turut berjanji untuk menyediakan teknologi terkini pada kenderaan yang dibangunkan oleh Volvo.

    Awal hari ini juga, ada pengumuman menyatakan ada kemungkinan Proton akan mengikut jejak langkah Perodua dengan membenarkan rakan strategik asingnya memegang 51% pegangan dalam syarikat itu.

     
     
  • Harga minyak akan diumumkan setiap minggu bermula 29 Mac; peruncit juga boleh tawarkan diskaun harga

    Harga minyak akan diumumkan setiap minggu bermula 29 Mac; peruncit juga boleh tawarkan diskaun harga

    Harga siling baru bagi bahan api petrol dan diesel akan diumumkan secara mingguan, bermula 29 Mac ini. NST melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan langkah itu akan dilakukan pada setiap hari Rabu.

    Harga baru bahan api pula akan berkuatkuasa pada hari berikutnya. “Berdasarkan perbincangan dengan syarikat petroleum, kerajaan bersetuju untuk mengumumkan harga baru bahan api secara mingguan selepas ini.

    “Syarikat swasta dan stesen petrol yang berhasrat untuk menawarkan diskaun dari harga yang ditetapkan itu boleh melakukannya dengan mendapatkan kebenaran daripada kementerian,” jelas beliau dalam rancangan siaran langsung Nasional 5 di TV1 hari ini.

    Harga baru itu akan ditetapkan mengikut kadar harga minyak dunia. Langkah ini akan menggantikan kaedah sebelumnya di mana harga bagi bahan api diumumkan setiap bulan, pada hari terakhir bulan sebelumnya dan berkuatkuasa pada tengah malam.

     
     
  • Luxing iStar – klon Mercedes-Benz berharga RM14k

    Luxing iStar – klon Mercedes-Benz berharga RM14k

    Kereta SUV ini dipacu oleh elektrik, dan kelihatan seperti sebuah Mercedes-Benz EQ C, tetapi sebenarnya adalah Luxing i-Star, sebuah kereta kompak yang dikeluarkan oleh Dezhou Luxing Vehicle Company di Dezhou, Shandong, China.

    Ia kelihatan seperti gabungan konsep rekaan Mercedes-Benz yang tidak berapa betul: bintang tiga bucu jenama dari Jerman itu diterbalikkan, digabungkan pula dengan lampu seperti GLC dan bahagian bawah bampar yang menyerupai Mercedes-Benz Concept Coupe SUV (yang kini telah menjadi GLE Coupe).

    Pada bahagian belakang, iStar menggunakan sepasang lampu yang juga menyerupai SUV Mercedes-Benz, dengan tambahan bahagian berwarna merah lutsinar yang menggabungkan kedua lampu tersebut. Profail kenderaan ini lebih kecil berbanding SUV yang disebutkan tadi, dan lebih kepada saiz kereta kompak, dengan roda yang juga kecil. Di bawah badan ini terdapat kuasa daripada bateri 72 V yang membolehkan ia memecut sehingga kelajuan 45 km/j dan jarak pergerakan 150 km.

    Di dalam, konsep yang ditiru juga jelas, lebih tepat lagi papan pemuka seperti A-Class, lengkap dengan corong pendingin hawa sama. Alat teknologi seperti skrin informasi dan hiburan COMAND sudah tentu tiada pada model ini, tetapi terdapat skrin sesentuh yang terletak di bahagian bawah papan pemuka.

    Kereta elektrik ini dijual pada harga 22,000 yuan (RM14,135), iaitu satu harga yang murah, dan ia disasarkan untuk penggunaan di dalam kawasan urban.

     
     
  • Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

    Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

    Mungkin ada di antara anda pernah melihat hasil kerja ubah suai Kenny Yeoh, seorang pereka tempatan yang menggunakan label nama Kenstomoto. Kali ini, beliau menunjukkan kepada kami projek keempat yang dinamakan sebagai Kenstomoto MechaStallion. Asas motosikal ini adalah Honda CBR250R, iaitu sebuah model sports permulaan, tetapi Kenny telah menjadikannya sebuah jentera tersendiri dengan gaya Zaku Mecha.

    Bagi yang tidak tahu, Zaku adalah watak ‘mecha’ (sut robotik) antagonis dalam siri manga dan anime Jepun Mobile Suit Gundam. Untuk MechaStallion ini, Kenny telah menggunakan kembali lampu tunggal yang direka sendiri oleh beliau, dan ia mempunyai persamaan dengan sut Zaku – satu ‘mata’.

    Tipikal bagi sebuah motosikal Kenstomoto, MechaStallion juga menggunakan satu tempat duduk, dengan bahagian sub-frame dan tempat letak kaki penumpang dibuang. Satu pod kecil yang ditinggikan kini diguna untuk meletakkan hujung belakangnya, bersama lampu jenis LED.

    Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

    Bahagian ini sebenarnya adalah satu unit tunggal, yang dilekatkan pada kepingan cetakan 3D honey comb, dan Yeoh memberitahu ia dilakukan sebegini supaya kuat dan boleh digunakan untuk menarik badan motosikal apabila perlu.

    Panel badan motosikal ini lebih unik – ia dibina dengan plastik ABS yang dicetak secara 3D dan terdiri daripada beberapa kepingan. Untuk bahagian hadapan, ia sebenarnya mempunyai lima bahagian berasingan, manakala bahagian tepi dan pelindung radiator masing-masing mempunyai enam dan dua keping setiap satu. Bahagian belakang pula menggunakan lima kepingan berbeza.

    Antara tanda unik Kenstomoto adalah tetapan lampu LED yang bermula pada model P6, dan diikuti pada Demolisher dan BOBR. Satu lampu bulat utama yang boleh dilihat di bahagian hadapan itu sebenarnya bukanlah lampu utama, tetapi hanyalah lampu kabus yang dikelilingi oleh empat lampu siang LED. Lampu utama sebenarnya berada pada bahagian sisi, atas sedikit daripada perumah radiator.

    Di atas, tangki asal CBR250R dikekalkan, tetapi kini lebih gemuk apabila ditambah dengan panel plastik ABS. Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan pada panel digital Trail Tech Vapor LCD yang lebih kompak dan terletak di antara dua pemegang.

    Untuk suis kawalan, Yeoh telah menambah suis jenis slide di bahagian kanan untuk mengawal pilihan lampu sama ada ditutup sepenuhnya, lampu kabus atau lampu utama. Pada bahagian kiri pula, suis asal dikekalkan termasuk fungsi lampu tinggi, penunjuk arah dan hon.

    Kepakaran Yeoh dalam bidang elektrik dan elektronik jelas dapat dilihat pada setiap motosikal projeknya, dan MechaStallion tidak terkecuali, apabila sistem pendawaiannya tersorok kemas dan disambung dengan box-connector secara betul. Keseluruhan sistem pendawaian ini adalah baru, namun kualitinya cukup baik, tanpa ada sebarang wayar yang terkeluar.

    Walaupun begitu, masih ada beberapa bahagian yang masih belum dapat dihabiskan oleh Yeoh. Sebagai contoh, ekzos Akrapovic pada motosikal ini berbunyi pelik dan ia hanya dipegang dengan cable tie.

    Kenstomoto MechaStallion – CBR250R gaya Gundam

    “Saya minta maaf, ekzos ini baru sahaja dipasang malam tadi bila awak memberitahu mahu membawanya keluar untuk sesi penggambaran,” kata Yeoh. Kami menerimanya secara baik kerana ini adalah satu motosikal buatan khas, dan bukannya produk yang keluar dari kilang.

    Menurut rakan sekerja kami, Mohan K Ramanujam, yang berpeluang menunggang motosikal ini, ia terasa ringan, cukup lincah, senang dikawal dan mempunyai suspensi yang baik. Walaubagaimanapun, bahagian brek asal mungkin boleh diperbaiki lagi.

    Untuk produk keempat ini, ternyata Yeoh telah meningkatkan tahap yang ditetapkan sebelum ini dan beliau mengambil segala kritikan serta komen yang didapati daripada model sebelum ini dan diambil untuk memperbaiki produk seterusnya.

    “Idea saya datang sepanjang masa, dan setiap satunya akan membawa kepada satu langkah besar ke hadapan, atau peningkatan kecil, bergantung pada apa yang perlu dilakukan,” kata Yeoh. Ditambah pula kini beliau mempunyai pengimbas 3D, Yeoh sedia untuk membawa idea yang lebih menarik.

     
     
  • Mitsubishi tangguh pengenalan ASX, Outlander baharu

    Mitsubishi tangguh pengenalan ASX, Outlander baharu

    Mitsubishi dikatakan menangguhkan perancangan untuk memperkenalkan model generasi akan datang bagi ASX dan Outlander disebabkan syarikat tersebut bagi penyesuaian dengan Pakatan Nissan-Renault. Para pembekal berkata, penangguhan tersebut membolehkan mereka melihat perkongsian elemen untuk dua kenderaan tersebut dengan model Nissan, laporan Automotive News.

    Pada mulanya, Outlander baharu dirancang bakal dilancarkan pada suku pertama 2019, manakala ASX generasi ketiga pula bakal tiba pada 2020. Kini, perancangan tersebut ditangguhkan pada akhir 2019 atau awal 2020, dan ASX baharu pula tidak akan ditampilkan sehingga 2021.

    Menurut pembekal, pembangunan kedua-dua model telah dihentikan buat sementara dan Nissan sedang mencari jalan untuk berkongsi komponen, iaitu ASX dengan Nissan Qashqai (lebih dikenali sebagai Rogue Sport di USA) dan Outlander pula, dengan X-Trail (Rogue di USA). Idea untuk elemen yang distandardkan ini dilihat sebagai cara untuk pengurangan kos.

    Mitsubishi tangguh pengenalan ASX, Outlander baharu

    Pada Oktober lalu, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan Nissan kini merupakan pemegang saham terbesarnya setelah pengambilalihan sejumlah 34% saham MMC berjumlah 237 bilion yen oleh Nissan lengkap. Turut diumumkan, Mitsubishi kini merupakan ahli penuh Pakatan Nissan-Renault yang kini telahpun berusia 17 tahun, bagi memberikannya peluang untuk memacu lebih pertumbuhan pada masa akan datang. Kemasukan Mitsubishi kedalam pakatan berkenaan juga secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia.

    Di mana pakatan terbabit membolehkan kerjasama dalam program sinergi yang luas, dimulakan membina kereta kecil antara kedua-dua syarikat berkenaan selama lima tahun. Kedua-dua syarikat tersebut juga akan meneroka pembelian bersama dalam usaha untuk mengurangkan kos serta pemerhatian semula aspek untuk proses lokalisasi kilang bersama, perkongsian platform kenderaan serta perkongsian teknologi.

     
     
  • Jualan kenderaan bagi Februari 2017 mengikut jenama – Perodua kekal teratas, dengan peningkatan 16.9%

    Jualan kenderaan bagi Februari 2017 mengikut jenama – Perodua kekal teratas, dengan peningkatan 16.9%

    2017 bermula dengan agak perlahan bagi industri automotif tempatan. Graf menurun kekal mengiringi jualan kenderaan pada Februari 2017, walaupun jurangnya berkurangan – berbanding Januari lalu, penurunan dicatatkan pada Februari ialah sebanyak lima peratus.

    Bagaimanapun, secara keseluruhan, lima jenama teratas masih belum berubah kedudukannya berbanding Januari lalu. Perodua kekal di tangga pertama. Tidak hanya itu, jumlah kenderaan yang dijual juga meningkat sebanyak 16.9% kepada 16,603 unit. Bagi kedudukan lima jenama teratas, Perodua mencatatkan peningkatan peratusan jualan tertinggi.

    Ditangga kedua juga masih dihuni oleh Honda, walaupun mencatatkan penurunan jumlah jualan sebanyak 10.5% dengan 7,695 unit. Ini diikuti oleh Proton yang berada ditempat ketiga, juga mencatatkan penurunan, kali ini sebanyak 15.4%, dengan 6,099 unit terjual.

    Begitu juga dengan tempat keempat, ia masih milik Toyota walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 22% dengan 4,530 unit terjual. Nissan yang berada ditangga kelima pula bagaimana pun mencatatkan peningkatan positif, sebanyak 16.3% dengan jualan sebanyak 1,808 unit.

    Selain itu, terdapat beberapa lagi jenama yang mencatatkan peningkatan. Paling tinggi ialah Volvo dengan pertambahan sebanyak 192.3%. Kia juga mengikut jejak yang sama dengan peningkatan 24.1%. Turut mencatatkan sedikit pertumbuhan positif ialah BMW (+1.8%) dan Peugeot (+3.5%).

    Jenama utama yang lain, Mazda dan Hyundai pula menguncup jualannya dan berkongsi peratusan penurunan yang sama sebanyak 42.8%.

     
     
  • Beri pegangan ekuiti 51% kepada rakan strategik asing, Proton mungkin ikut hala tuju Perodua – Menteri

    Beri pegangan ekuiti 51% kepada rakan strategik asing, Proton mungkin ikut hala tuju Perodua – Menteri

    Semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mengenai kewajaran penjualan 51 peratus ekuiti Proton kepada rakan strategik asing (FSP) serta implikasinya kepada masa depan syarikat berkenaan di Parlimen semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan menjelaskan langkah berkenaan dapat melonjakkan syarikat tersebut di persada tempatan mahupun antarabangsa dan ia mungkin akan mengikut hala tuju yang diambil Perodua, menurut laporan Bernama.

    “Proton mungkin akan mengikut hala tuju Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), tetapi (ia) tidak semestinya sebegitu,” kata Ong dan menyatakan Perodua juga mempunyai Daihatsu sebagai rakan strategik dengan pegangan ekuiti sebanyak 51 peratus. “Daihatsu perlu memperolehi 51 peratus ekuiti itu kerana Perodua memerlukan pelaburan teknologi yang tinggi,” tambah Ong.

    Beliau juga menggesa agar semua pihak bersabar kerana proses penilaian tersebut kini di fasa terakhir sebelum dapat dimuktamadkan pada separuh pertama 2017 dan pada peringkat ini, hal yang berkaitan dengan ekuiti masih lagi dibincangkan.

    Sebelum ini, Ong pernah menyatakan bahawa langkah ini diambil untuk membantu Proton membangun secara lebih cekap dan setanding jenama besar dalam industri automobil dunia dan bukannya untuk menggadaikan aset negara. Ia dijangka dapat memberi manfaat kepada ekosistem industri automotif domestik.

    Selain aspek perkongsian platform, kedua-dua pihak juga bakal berkongsi sumber untuk membangunkan produk baharu serta akan membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada Proton, sekaligus membantu jualan serta eksport ke pasaran serantau.

    Setakat ini dua syarikat asing dilihat sedang bersaing sengit untuk mendapatkan tempat sebagai FSP Proton iaitu Zhejiang Geely dari China dan juga PSA Group dari Perancis. Walau bagaimanapun, laporan awal bulan ini menyebut Geely berkemungkinan akan menarik diri dari bidaan ini atas sebab-sebab tertentu.

     
     
  • Tata Tigor – styleback pertama India, tempahan dibuka

    Tata Tigor – styleback pertama India, tempahan dibuka

    Bulan lalu, Tata Motors telah menyiarkan satu gambar teaser yang menunjukkan model lima pintu terbarunya yang dinamakan sebagai Tigor, dengan gaya belakang unik, menggunakan C pillar yang landai seperti fastback. Walaupun begitu, Tata menggelar gaya ini sebagai styleback dan mendakwa ia adalah kereta India pertama yang menggunakan gaya tersebut.

    Kini, Tata telah membuka tempahan untuk Tigor di India, dengan bayaran hanya INR 5,000 (RM338), namun harga sebenarnya masih belum dikeluarkan. Menurut laporan daripada laman Rushlane, Tigor akan dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac ini dan sekiranya mereka yang membayar tempahan tadi bertukar fikiran, wang mereka akan diberikan kembali.

    Tigor sebenarnya diasaskan daripada model Tiago dan ia juga akan ditawarkan dengan pilihan enjin sama iaitu unit tiga silinder petrol 1.2 liter Revotron yang berkemampuan 85 PS dan 114 Nm, dan tiga silinder diesel 1.05 liter Revotorq yang mampu menghasilkan 70 PS dan 140 Nm tork. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan sahaja untuk waktu awal ini.

    Kereta ini juga adalah model ketiga Tata (selepas Tiago dan Hexa) yang menggunakan falsafah rekaan IMPACT, dan melibatkan penggunaan barangan yang bergaya seperti lampu hadapan projector 3D dengan lensa smoked, lampu siang LED, kemasan plastik hitam, lampu belakang LED berbentuk tajam, rim 15 inci (untuk varian petrol) dan garis badan yang jelas.

    Pada bahagian dalam pula, Tigor menggunakan kokpit dua tona warna, pengawal suhu automatik, sistem informasi dan hiburan Harman dengan lapan pembesar suara, kamera undur, mod pemanduan Eco dan City (untuk model petrol) dan perehat tangan belakang.

    Rekaan bahagian belakang fastback pada Tigor ini memberikannya kelebihan pada ruang simpanan, di mana ia menawarkan 419 liter ruang di belakangnya, bersama ruang kelegaan kepala yang kekal selesa untuk penumpang. Tigor juga mempunyai kapasiti tangki bahan api 35 liter, jarak roda 2,450 mm, panjang 3,992 mm, lebar 1,677 mm, tinggi 1,537 mm, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang.

     
     
  • BMW dan DS Automobiles turut akan sertai Formula E

    BMW dan DS Automobiles turut akan sertai Formula E

    FIA telah mengumumkan bahawa sembilan pengeluar telah diterima selaku pembekal sistem pacuan bagi perlumbaan Formula E musim kelima hingga musim ketujuh. Selain daripada Renault dan Jaguar Land Rover, BMW kini turut ikut serta, dan Audi melalui ABT Formula E.

    Sebuah lagi pengeluar, DS Automobiles dari PSA juga akan menyertai, bersama pasukan Mahindra Racing, NextEV NIO, Penske Autosport dan Venturi Automobiles. Pengeluar-pengeluar ini akan kekal di dalam Formula E sehingga musim ketujuh pada tahun 2021 nanti.

    Mercedes-Benz bagaimanapun tidak dinyatakan, yang mana sejak Oktober tahun lalu dilaporkan akan menyertai siri ini pada 2018. Musim 2018/19 bakal menyaksikan jentera lumba berwajah baru bagi Formula E, dihasilkan oleh Spark Racing Technology, yang memenangi tender bagi pembangunan casis.

    BMW dan DS Automobiles turut akan sertai Formula E

    Dari musim kelima, perlumbaan itu akan menampilkan standard baru bagi pek bateri yang dikeluarkan oleh McLaren Applied Technologies. Semua sistem jana kuasa daripad pengeluar perlu menggunakan komponen ini.

    “Homologasi sisten janaan kuasa yang akan digunakan dari musim kelima adalah langkah penting kerana ini bermaksud, jentera akan berkeupayaan bertahan dua kali lebih lama dengan tahap prestasi yang sama,” jelas Presiden FIA, Jean Todt.

    “Perkara ini memberi penekanan terhadap bagaimana sukan permotoran boleh mempercepatkan pembangunan teknologi yang kemudiannya boleh dipindahkan kepada kenderaan penumpang di atas jalan raya. Eletrik juga menjadi sumber tenaga baru bagi kemapanan mobiliti di masa hadapan,” tambahnya.

    FIA menyatakan musim kelima ini mewakili langkah penting terhadap pembangunan jentera lumba elektrik bagi siri ini. Ini kerana, bermula musim 2018/19, pemandu hanya akan menggunakan satu jentera sahaj untuk berlumba, berbanding dua buah ketika ini.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic Hatchback Turbo 2017 dikejar VW Scirocco dalam iklan Thai – adakah mereka seteru?

    Sudah pasti kita menyangka, kelibat Volkswagen Scirocco di dalam iklan Honda Civic Hatchback yang ditayangkan di Thailand ini memberikan petanda kedua-dua model berkenaan adalah seteru atau pesaing. Adakah sangkaan kita itu benar, atau Honda Thailand sengaja mencipta gimik yang hanya mereka sahaja memahami maksud yang tersirat.

    Honda telah melancarkan Civic Hatchaback 2017 di Thailand pada awal bulan ini. Model hatch lima-pintu ini ditawarkan dengan varian 1.5L Turbo CVT, dijual pada harga 1.169 juta baht (RM149,094). Seperti sedan, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 173 PS pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm. Tiada pilihan manual enam-kelajuan untuk Thailand.

    Penggayaan bagi Civic Hatchback ini diberikan sentuhan yang agak berbeza berbanding sedan dengan keunikan bampar hadapan dan belakang serta liang kemasukan udara yang lebih besar, yang menempatkan lampu kabus. Walau pun bahagian belakang Civic ini lebih pendek, ia masih diberikan lampu ‘boomerang’ yang kelihatan hampir sama seperti model sedan. Sebagai sebuah hatchback, but belakang direka sebagai pintu tailgate, lengkap dengan spoiler yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang, dan sebuah lagi pada bahagian bumbung.

    Bagi dimensinya, hatchback ini berkongsi ukuran lebar (1,798 mm) dan jarak roda (2,700 mm) yang sama seperti sedan, namun ia lebih tinggi (+20 mm) dan lebih pendek (-112 mm). Hatchback ini juga memiliki ruang kargo yang agak luas, lebih kurang 727 liter, berbanding 519 liter pada sedan.

    Kit luaran standard termasuklah rim aloi berdiameter 17-inci dibaluti tayar 215/50R17, lampu hadapan LED penuh (dengan lampu nyalaan siang LED serta fungsi on/off automatik), lampu kabus LED, cermin sisi dan pembuka pintu dengan warna badan serta antena sirip yu.

    Bahagian dalaman model hatchback ini menampilkan rekaan seiras dengan versi sedan dan turut diberikan penghawa dingin dua-zon, paparan instrumen TFT-LCD, skrin sesentuh infotaimen bersaiz 7-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, pedal penukar gear, roda stereng pelbagai fungsi dan juga upholsteri hitam. Ciri lain seperti Sistem Kunci Pintar Honda, butang penghidup enjin, cruise control, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40 dan juga tempat duduk hadapan larasan berkuasa antara ciri yang diberikan secara standard.

    Bagi ciri keselamatan pula ,ia dibekalkan dengan enam-beg udara (dua hadapan, sisi dan tirai), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS lengkap dengan EBD serta auto brake hold.

    Warna signatur bagi hatchback ialah Black Burgundy Night Pearl dengan kos tambahan 6,000 baht. Juga tambahan kos yang sama bagi Crystal Black Pearl, sementara Orchid White Pearl pula tambahan 10,000 baht.

    GALERI: Honda Civic Hatchback spesifikasi Thai

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026