Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Paten enjin Rotary baharu Mazda didedahkan – hanya berfungsi sebagai enjin penambah jarak motor elektrik

    Paten enjin Rotary baharu Mazda didedahkan – hanya berfungsi sebagai enjin penambah jarak motor elektrik

    Mazda telah mendedahkan paten enjin rotari baharu mereka yang telah didaftarkan, disiarkan oleh laman Autoblog. Tetapi maaf untuk peminat siri kereta sport rotari RX Mazda, enjin ini bukan seperti yang anda harapkan kerana enjin berkenaan direka sebagai enjin penambah jarak (range extender) yang digunakan untuk mengecas bateri bagi sistem motor elektrik sepenuhnya (EV).

    Konsep sistem EV dengan enjin penambah jarak yang digunakan oleh Mazda ini adalah lebih kurang sama yang terdapat pada sistem BMW i3 dan juga Nissan Note e-Power. Untuk sistem binaan Mazda ini, enjin rotari kompak berkenaan diletakkan di bahagian belakang kereta, mengecas bateri lithium-ion yang ditempatkan pada bahagian tengah. Bateri berkenaan akan menjana motor elektrik sistem berkenaan yang diletakkan pada bahagian hadapan kereta, untuk memacu roda hadapan.

    Mazda turut mematenkan sistem start/stop khas untuk enjin rotari berkenaan. Ia sedikit berbeza pada rekaan untuk enjin omboh biasa kerana untuk enjin rotari ini rotor perlu pada kedudukan yang menutup liang kemasukan semasa ia dimatikan. Enjin rotari tidak mempunyai injap seperti enjin omboh dan liang kemasukan ‘dibuka’ dan ‘ditutup’ oleh rotor itu sendiri, jadi rotor perlu menutup liang berkenaan untuk mengelakkan bahan api atau emisi ekzos masuk ke ruang pembakaran.

    Paten enjin Rotary baharu Mazda didedahkan – hanya berfungsi sebagai enjin penambah jarak motor elektrik

    Paten tersebut juga menunjukkan sistem ini akan memberikan percikan api kepada palam pencucuh ketika enjin telah dimatikan untuk melenyapkan baki petrol seterusnya mengelakkan pencemaran. Secara teori, sistem ini telahpun melenyapkan dua kelemahan terbesar enjin rotari iaitu ekonomi bahan api dan juga emisi.

    Apa pula kelebihan menggunakan enjin rotari sebagai enjin penambah jarak berbanding enjin omboh biasa? Seperti yang diketahui, saiz enjin rotari itu sendiri sangat kompak berbanding enjin biasa membolehkan ruang untuk menempatkannya direka kecil, dan dapat memberikan ruang lebih untuk penumpang atau kargo. Enjin rotari ini juga beroperasi lebih lancar membolehkan kadar NVH dikekalkan pada tahap yang rendah dengan lebih mudah.

    Sistem ini sebenarnya sudah pun didemonstrasikan pada prototaip Mazda 2 RE Range Extender 2013 yang diberikan enjin rotari satu rotor berkapasiti 330 cc, walau bagaimanapun masih lagi belum dipastikan adakah Mazda akan menghasilkannya dalam bentuk produksi. Mazda juga sebelum ini telah mempatenkan rekaan enjin rotari turbo baharu mereka digelar SkyActiv-R, tetapi CEO mereka sendiri mengesahkan generasi baharu Mazda RX tidak akan diperkenalkan.

     
     
  • Pemandu teksi protes terhadap Uber, Grab di Parlimen

    Pemandu teksi protes terhadap Uber, Grab di Parlimen

    Sekumpulan pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan terhadap perkhidmatan GrabCar dan Uber di luar Parlimen, semalam. The Star melaporkan, kira-kira 50 orang pemandu menyertai perhimpunan itu seawal 9.30 pagi, membawa bersama mereka sepanduk, menentang perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian itu.

    Mereka juga turut menyampaikan memorandum kepada beberapa orang ahli Parlimen pembangkang yang tiba untuk bertemu mereka. Kumpulan itu mendakwa perkhidmatan perkongsian kenderaan itu melanggar undang-undang sedia ada dan melakukan “aktiviti haram”.

    “Uber dan GrabCar mesti tertakluk di bawah undang-undang yang sama seperti yang dikenakan terhadap pemandu-pemandu teksi. Jika itu berlaku, barulah kami boleh menerima mereka,” jelas jurucakap kumpulan itu, Zailani Sausudin, 54, yang juga merupakan pengerusi Kumpulan Tindakan Pemandu-Pemandu Teksi Lembah Klang.

    “Kami berada di sini hari ini kerana mahukan ahli-ahli Parlimen, yang kami pilih melalui kotak undi, untuk berjumpa dengan kami dan bertanya apa sebenarnya yang sedang berlaku. Pemandu-pemandu teksi seluruh Malaysia mengalami pelbagai kesulitan kini. Kami tak mampu bayar sewa, tiada sumber pendapatan lain dan sukar untuk menyara keluarga termasuk pendidikan anak-anak,” ujarnya.

    Memorandum setebal enam muka surat itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan beberapa orang lagi ahli politik.

     
     
  • Sediakan tempat berteduh motosikal syarat wajib untuk kesemua syarikat konsesi selepas ini

    Sediakan tempat berteduh motosikal syarat wajib untuk kesemua syarikat konsesi selepas ini

    Bimbang dengan tindakan ramai daripada penunggang motosikal yang berteduh di bawah jambatan atau jejantas yang mengundang bahaya, kesemua syarikat konsesi jalan raya telah diarahkan supaya menyediakan tempat berteduh untuk mereka di beberapa lokasi tertentu, lapor Bernama.

    Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), tempat berteduh ini perlu kerana jabatan itu menyatakan bahawa bawah jambatan atau jejantas bukannya tempat yang selamat dan selesa untuk berteduh ketika hujan. JKR bersetuju supaya perkara ini difikirkan dengan serius terutamanya di peringkat reka bentuk, yang mana kesan sosial perlu menjadi norma dalam parameter dan penilaian reka bentuk.

    JKR juga percaya lorong motosikal khas juga perlu dibina, selain daripada membina tempat penunggang berteduh memandangkan perangkaan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal. Mereka juga akan menyediakan dua garis panduan untuk motosikal, reka bentuk kemudahan motosikal dan reka bentuk geometri laluan motosikal.

    Sementara itu dalam satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya pula berkata reka bentuk tempat berteduh itu perlu berdasarkan kepada keselamatan penunggang motosikal dan kesemua reka bentuk serta pembinaan jalan raya di masa hadapan perlu mengguna pakai elemen keselamatan ini.

    Manakala Lembaga Lebuhraya Malaysia pula mencadangkan supaya pembinaan tempat penunggang motosikal berteduh menjadi satu daripada syarat yang perlu dilaksanakan oleh syarikat konsesi.

     
     
  • Mitsubishi lancar pusat 3S baharu di Bayan Lepas

    Mitsubishi lancar pusat 3S baharu di Bayan Lepas

    EON Auto Mart Sdn Bhd (EON Auto Mart), Ahli Kumpulan DRB-HICOM Berhad, dan Mitsubishi Motors Malaysia telah melancarkan pembukaan Pusat 3S Mitsubishi di Bayan Lepas. Ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi para pemilik kenderaan Mitsubishi di sekitar Bayan Lepas dan juga seluruh Pulau Pinang.

    Mula beroperasi semenjak Disember 2016, Pusat 3S Bayan Lepas ini merupakan penempatan semula Pusat 3S Mitsubishi yang dahulunya terletak di Bukit Mertajam. Terletak secara strategiknya di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas dan hanya 20 minit perjalanan dari Georgetown, Pusat 3S Bayan Lepas ini dijangkakan dapat menampung keperluan pelanggan yang semakin meningkat dengan lebih baik, serta mengambil peluang ke atas perkembangan pesat zon perindustrian ini dan pertumbuhan perbandaran kediaman baharu di kawasan tersebut.

    Dibangunkan di tapak seluas kira-kira 1,199 meter persegi, Pusat Mitsubishi 3S Bayan Lepas ini mempunyai enam ruang penyelenggaraan, satu ruang pembersihan dan juga ruang resepsi. Di samping itu, pusat ini juga mempunyai ruang pameran yang mampu mempamerkan sehingga lima kenderaan, dan juga kawasan istirehat pelanggan yang dilengkapi dengan kemudahan Wi-Fi dan minuman ringan untuk keselesaan para pelanggan.

    Mitsubishi lancar pusat 3S baharu di Bayan Lepas

    Dilengkapi sepenuhnya dengan peralatan diagnostik dan Set Peralatan Khas (SST) yang diluluskan oleh Mitsubishi Motors Malaysia, Pusat 3S ini dikendalikan oleh 20 tenaga kerja selepas jualan, servis, juruteknik dan perunding terlatih serta berpengalaman bagi menyediakan penjagaan yang terbaik untuk kenderaan Mitsubishi, termasuk perkhidmatan am dan pembaikan utama.

    Pembukaan rasmi Pusat 3S ini telah dilancarkan oleh Tomoyuki Shinnishi, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia dan Rohimie Shafie, Ketua Pengedaran Automotif, DRB-HICOM Berhad.

    “Penempatan semula ini memberi potensi yang besar untuk pertumbuhan masa depan jenama Mitsubishi. Ianya merupakan bukti bahawa kami berusaha keras untuk menambah baik rangkaian jualan dan selepas jualan. Keselesaan para pelanggan merupakan keutamaan kami dan Mitsubishi Motors Malaysia akan sentiasa berkerjasama dengan EON Auto Mart untuk memastikan pemilik kenderaan kami menikmati kepuasan yang berterusan dan pengalaman keseluruhan terbaik terhadap kenderaan kami,” kata Tomoyuki.

    Rohimie turut menekankan kepentingan kepuasan para pelanggan dan percaya para pelanggan harus dan layak menerima kualiti servis yang baik sepanjang memiliki kenderaan Mitsubishi.

    Mitsubishi lancar pusat 3S baharu di Bayan Lepas

    “Kami amat yakin kerjasama antara Mitsubishi Motors Malaysia and EON Auto Mart, yang merupakan pertemuan dua jenama utama industri, akan seterunya membuka jalan untuk perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan. Ini hanya akan memanfaatkan pemilik-pemilik Mitsubishi.”

    Beliau turut berkata, “EON Auto Mart telah melabur sebanyak RM600 ribu untuk Pusat 3S berkenaan bagi peralatan yang diluluskan oleh Mitsubishi Motors Malaysia, dan usaha-usaha menyokong aspek jualan, perkhidmatan selepas jualan serta latihan tenaga kerja. Ini merupakan komitmen kami dalam menyediakan kualiti servis yang terbaik dan memberi kepuasan kepada pelanggan.”

    Bilik pameran dan jualan Pusat 3S Mitsubishi Bayan Lepas ini beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8.30 pagi hingga 5.45 petang. Sementara pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, pusat ini beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 5 petang. Pusat Selepas Jualan pula hanya beroperasi dari hari Isnin hingga Sabtu mulai 8.30 pagi hingga 5.30 petang, dan tutup pada Ahad dan cuti umum. Pusat ini turut menyediakan pengangkutan ulang-alik untuk para pelanggan Mitsubishi yang berada dalam lingkungan radius 5km daripada pusat ini.

     
     
  • Honda Wave Dash FI 2017 dilancarkan – dari RM5,860

    Honda Wave Dash FI 2017 dilancarkan – dari RM5,860

    Boon Siew Honda (BSH) baru sahaja melancarkan model Wave Dash FI 2017, dengan menampilkan gaya berbeza berbanding sebelum ini. Selain rekaan luar yang lebih segar, model ini turut menawarkan penggunaan bahan api lebih baik, iaitu 61.1 km/l. Pada model sebelum ini, penggunaan bahan apinya adalah 58.7 km/l.

    Selain itu, enjin empat lejang 109 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi yang kekal diguna kini dapat menghasilkan 8.6 hp pada 7,500 rpm, dan 11.61 Nm tork pada 6,000 rpm. Melalui model Wave Dash FI sebelumnya, enjin ini hanya mempunyai kuasa 8.38 hp pada 7,500 rpm dan 8.42 Nm tork pada 6,000 rpm. Selain dua perkara ini, Wave Dash FI 2017 adalah sama sahaja dengan model 2016.

    Kelengkapan standard yang boleh didapati pada Honda Wave Dash FI 2017 adalah termasuk pemula elektronik dan tendang, transmisi empat kelajuan, suspensi jenis teleskopik di hadapan, dua penyerap di belakang, tayar bersaiz 70/90R17 di hadapan dan 80/90R17 di belakang, serta kapasiti tangki minyak 4.0 liter.

    Wave Dash FI 2017 ditawarkan dalam tiga variasi iaitu S Type yang hanya mempunyai brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang, R Type yang mempunyai brek cakera depan dan belakang, serta Edisi Repsol dengan grafik khas dan brek cakera hadapan dan belakang. Harga termasuk GST, tetapi tanpa insurans bagi setiap model ditetapkan pada masing-masing RM5,860.74, RM6,178.74 dan RM6,337.74.

    Daripada varian S Type dan R Type, pengguna boleh memilih tiga warna berbeza iaitu biru, hitam dan merah. Model ini juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: Honda Wave Dash FI 2017 Repsol Edition dengan aksesori Racing Boy

     
     
  • Toyota Agya 2017 facelift – dilancar April nanti, enjin 1.2 liter turut bakal ditawarkan untuk Indonesia

    Toyota Agya 2017 facelift – dilancar April nanti, enjin 1.2 liter turut bakal ditawarkan untuk Indonesia

    Di Indonesia, Toyota Agya – dan mungkin juga kembarnya, Daihatsu Ayla – nampaknya sedang dipersiap untuk versi facelift. Ia pertama kali diperkenalkan lebih empat tahun yang lalu, ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Indonesia 2012 (IIMS).

    Model hatchback kecil itu, yang diperkenalkan di bawah program kenderaan “hijau” kos rendah (LCGC) di sana, akan menerima beberapa perubahan bagi versi terbaru nanti. Autonetmagz.com telah berhasil mendapatkan salinan brosur yang terlepas ke publik, lengkap dengan elemen-elemen baru serta maklumat spesifikasi.

    Berita paling penting ialah penawaran enjin 1.2 liter 3NR-FE empat silinder. Enjin berkenaan sebelum ini digunakan pada Toyota Calya (dan Daihatsu Sigra) untuk pasaran sana; ia menghasilkan 80 PS kuasa dan 104 Nm tork bagi versi bukan VVTi.

    Kedua-dua Agya dan Ayla akan tetap ditawarkan dengan enjin 1.0 liter 1KR-FE tiga-silinder sedia ada, yang menawarkan 65 hp kuasa dan 87 Nm tork. Bagi kotak gear, manual lima-kelajuan dan automatik empat kelajuan dijangka akan dikekalkan.

    Agya ketika ini ditawarkan dalam tiga varian; Grade E, Grade G dan TRD S. Berdasarkan brosur yang bocor itu, bahagian luaran turut menerima perubahan. lampu projektor dari jenis gelap, lengkap dengan lampu LED dan ciri tutup automatik. Lampu belakang LED yang baru jadi ciri standard untuk semua varian. Selain Grade E, lampu sisi yang melengkapinya juga baru, disekalikan dengan lampu isyarat.

    Varian dengan enjin 1.2 liter itu akan dipadankan dengan rim aloi 14 inci serta unit audio 2-DIN dengan ciri Bluetooth. Varian paling tinggi, TRD S pula akan didatangkan dengan aerokit badan baru. Setakat ini, semua perubahan yang dinyatakan masih belum pasti akan turut dilakukan terhadap Ayla. Kemungkinan besar versi baru ini akan diperkenalkan pada pameran IIMS yang sama, yang akan berlangsung April nanti.

     
     
  • Thailand serius ingin menjadi hab kenderaan EV – pelan tindakan dan insentif akan diumum bulan ini

    Thailand serius ingin menjadi hab kenderaan EV – pelan tindakan dan insentif akan diumum bulan ini

    Setelah berjaya dikenali satu dunia sebagai destinasi untuk pengeluaran trak pikap dan kenderaan kecil, Thailand kini setelah sekian lama melihat pula untuk mempercepatkan lagi pembangunan industri kenderaan mesra alam untuk mengeluarkan kenderaan hibrid, elektrik dan kuasa hidrogen. Perkembangannya semakin positif dan terbaru, Bangkok Post melaporkan bahawa pelan tindakan untuk industri EV dijangka akan dibentangkan bulan ini.

    Menurut laporan tersebut, Lembaga Pelaburan Negara (BoI) Thailand akan membincangkan pelan pembangunan EV dalam satu mesyuarat yang diketuai oleh Perdana Menteri Chan-o-cha pada 24 Mac ini.

    Kenderaan generasi seterusnya adalah satu daripada 10 industri strategik yang difokuskan oleh Thailand ketika ia cuba untuk berubah kepada ekonomi yang berasaskan teknologi tinggi dan inovasi. Bahagian lain adalah termasuk elektronik pintar; pelancongan perubatan dan kesihatan; agrikultur dan bioteknologi; makanan; robotik untuk industri; lojistik dan penerbangan; minyak bio dan bahan kimia bio; digital dan servis perubatan.

    Timbalan Perdana Menteri, Somkid Jatusripitak pula memberitahu bahawa mesyuarat tersebut akan membincangkan perincian pelan 5 dan 10 tahun untuk industri EV. “Kita akan memuktamadkan satu pelan yang akan menjadi garis panduan untuk industri berkaitan, menawarkan garis masa untuk pelan pembangunan EV pula,” kata beliau.

    Kerajaan Thailand perlu memulakan langkah dengan menawarkan sesuatu yang menarik kepada pengeluar kenderaan, dan pakej insentif BoI dijangkan akan merangkumi perkara seperti pelepasan cukai korporat selama 15 tahun. Jika pelabur berbelanja untuk R&D, mereka boleh meminta bantuan kewangan daripada kerajaan, yang akan memberi dana persaingan sebanyak 10 bilion baht untuk tujuan tersebut.

    Antara sebab kenapa pengeluar kenderaan tidak pergi kepada Thailand untuk melabur dalam pembangunan industri EV adalah permintaan untuk kenderaan tersebut tidak begitu tinggi. Tetapi, Somkid percaya perkara ini akan berubah tidak lama lagi, dengan menjangkakan permintaan kenderaan EV berkembang dalam masa lima tahun lagi kerana harga bahan api yang tidak menentu dan kerisauan orang ramai terhadap alam sekitar.

    Thailand serius ingin menjadi hab kenderaan EV – pelan tindakan dan insentif akan diumum bulan ini

    “Sekiranya pengeluar kenderaan tidak bertindak sekarang, mereka akan ketinggalan. Pembangunan segmen ini memakan masa, dan lebih cepat, lebih bagus,” kata beliau sambil menambah bahawa BMW yang kini mengeluarkan model plug-in hybrid di Thailand sudah menyatakan rasa berminat untuk membina kemudahan pengeluaran bateri di negara itu. Mercedes-Benz juga sedang mempertimbangkan membina kilang bateri PHEV di sana.

    Dalam perkara berasingan, menteri industri Thailand, Uttama Savanayana memberitahu Federation of Thai Industries (FTI) bahawa kerajaan tidak lama lagi akan mengumumkan satu pakej pelaburan baru untuk menyokong pelaburan dalam industri EV. “Rancangan kerajaan adalah untuk menetapkan perbincangan dengan FTI pada bulan April untuk mengumumkan polisi serta sokongan yang akan diberikan oleh kerajaan kepada sektor swasta untuk menggalakkan mereka membuat pelaburan sebenar, terutamanya untuk kenderaan EV,” kata beliau.

    Tidak sekadar berpuas hati dengan tahap pengeluaran kenderaan sekarang, Thailand yang digelar sebagai ‘Detroit Timur’ sedang meletakkan persiapan asas untuk masa hadapan. Malaysia juga mempunyai insentif untuk pengeluaran kereta hibrid dan PHEV, tetapi manfaatnya hanya boleh didapati dengan perbincangan terus bersama kerajaan. Sebaliknya di Thailand, pelan tindakan dan kelayakan dinyatakan dengan jelas. Sementara ini adalah telus dan kukuh, pakej yang diberi oleh Malaysia pula dipuji kerana fleksibilitinya.

     
     
  • Yamaha YZF-R25 2017 dalam dua warna baru – RM21k

    Bagi tahun 2017, pengedar Yamaha di Malaysia, Hong Leong Yamaha Malaysia mengumumkan dua warna baru bagi model YZF-R25 untuk pasaran tempatan – Racing Blue dan Matte Black. Harga jualan yang dicadangkan kekal sama, iaitu RM20,630 termasuk GST.

    Dengan enjin 249 cc sejukan cecair, jentera ini menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm. Dengan saluran minyak melalui sistem EFI, kuasanya disampaikan melalui kotak gear enam-kelajuan.

    Model ini menggunakan brek cakera di depan dengan kaliper dua piston, sementara di bahagian belakang pula menggunakan kaliper tunggal. Berat jentera ini pula ialah 166 kg, dan kapasiti tangki petrolnya 14.3 liter. Ketinggian tempat duduk pula ialah 780 mm.

    Warna bagi model 2016 sebelum ini sudah dihentikan. Jika anda ingin memiliki motosikal ini sekarang, pilihan warnanya hanya ada dua warna baru ini sahaja. Antara pesaing terdekat YZF-R25 ini ialah Kawasaki Ninja 250 yang dijual pada harga RM22,000, dan juga KTM RC250 dengan ABS, dengan harga RM21,081 termasuk GST.

     
     
  • SPYSHOT: Imej Toyota Supra paling jelas setakat ini

    SPYSHOT: Imej Toyota Supra paling jelas setakat ini

    Setakat ini, kami telah menerima berberapa set gambar Toyota Supra generasi baharu yang sedang diuji, dari imej di jalan raya hingga ke litar Nurburgring. Namun, set gambar baharu yang kami terima dari jurufoto pengintip kami ini adalah antara yang paling menarik – gambar jarak dekat ketika unit prototaip berkenaan berhenti di stesen minyak ketika ujian musim sejuk.

    Menerusi gambar close-up ini, berberapa perinciannya dapat dilihat lebih jelas. Bahagian hadapan Supra ini boleh dikatakan mengambil sepenuhnya rekaan dari model konsep Toyota FT-1 yang didedahkan di Detroit pada 2014, meliputi bahagian lampu utama, hidung seakan muncung jentera F1 serta tiga liang kemasukan udara yang besar pada bampar.

    Penderia radar kelihatan diletakkan pada liang kemasukan udara sebelah kanan yang digunakan untuk sistem active cruise control. Manakala imej jarak dekat pada bahagian sisi pula mendedahkan garisan sisi pada fender hadapan kereta ini sebenarnya sebahagian dari penutup bonet clamshell seperti pada BMW Z3.

    SPYSHOT: Imej Toyota Supra paling jelas setakat ini

    Disebalik rim aloi 17-inci Supra ini juga dapat disaksikan ia diberikan cakera brek besar bersama angkup empat omboh pada bahagian hadapan. Cermin hadapan juga dapat dilihat direka seakan bersambung dengan cermin tingkap serta ruang roda belakang direka dengan agak berotot.

    Pada bahagian belakang, model baharu ini sekali lagi dilihat mengambil rekaan terus dari FT-1 – yang juga direka diinspirasikan dari bahagian belakang Supra Mk4. Bampar unit ujian ini juga dilihat tampil seperti FT-1 dengan tip ekzos pada setiap sisi.

    Masih lagi tiada imej bahagian dalaman pada set imej kali ini, tetapi pada gambar yang kami terima sebelum ini Supra dilihat mengambil terus rekaan dalaman dari BMW Z5, dengan roda stereng tiga jejari, skrin paparan pada bahagian tengah papan pemuka, paparan instrumen separa-maya dan juga suis-suis kawalan penghawa dingin. Namun, ini hanyalah model ujian dan diharapkan ia akan berubah dengan rekaan lebih tersendiri pada model produksi sebenar nanti.

    BMW Z5 dan Toyota Supra dibina oleh kedua-dua pengeluar berkenaan di atas platform kereta sport terbaharu yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z5 dan Supra dilakukan secara berasingan. Namun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z5 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

    Supra dan Z5 dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa kedua-duanya bakal diberikan unit janakuasa hibrid dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda.

    Baru-baru ini, Toyota telah mengumumkan model prototaip Supra yang hampir ke bentuk produksi akan didedahkan pada Tokyo Motor Show Oktober ini, manakala model produksi sebenar dijangka akan muncul setahun selepas itu. Tiada lagi pengumuman rasmi dari BMW, tetapi berdasarkan kenyataan mereka sebelum ini yang menjelaskan Z5 dan Supra dibina dalam ruang masa yang sama, serta dijumpai diuji bersama seperti sebelum ini, kedua-duanya berkemungkinan besar bakal diperkenalkan pada waktu yang hampir sama.

    GALERI: Toyota FT-1 Concept

    GALERI: Evolusi Toyota Supra

     
     
  • Mercedes-Benz S-Class W222 facelift tiba April ini

    Mercedes-Benz S-Class W222 facelift tiba April ini

    Mercedes-Benz S-Class W222 telah menjalani ujian untuk beberapa tempoh sebelum ini. Dan akhirnya, Mercedes kelihatan sudah bersedia untuk memperkenalkan versi terkini dari model generasi ke-enam berkenaan. Selepas sempat mencuma kereta ini sebagai pemandu dan penumpang, Auto Express memaklumkan ia akan diperkenalkan “dalam bulan hadapan”.

    Jika benar, maka versi terbaru ini akan membuat penampilannya di Pameran Automotif Antarabangsa New York atau Auto Shanghai, kedua-duanya akan berlangsung pada April. Dijangka, ia tidak akan melibatkan banyak perubahan pada bahagian luaran, kecuali pada bampar dan susunan lampu. Perubahan paling penting adalah pada sisten janaan.

    Barisan enjin yang ditawarkan adalah antara yang utama. Enjin 3.0 liter M256 enam-silinder sebaris yang menampilkan sistem elektrikal 48V akan digunakan. Selain itu, enjin 4.0 liter M176 V8 bi-turbo juga dijangka ditawarkan – juga dengan barisan enjin turbo empat dan enam silinder dari E-Class W213.

    Sistem janaan baru ini dibolehkan kerana penggunaan seni bina elektronik E-Class. S-Class yang diperbaharui ini turut akan dilengkapi dengan teknologi bantuan pemandu dan sistem autonomous yang turut diperkenalkan pada E-Class.

    Antaranya termasuk ciri Remote Parking Pilot serta sistem Active Brake Assist; yang berupaya mengimbas lorong lain untuk mengesan kereta dan mengenakan brek lebih awal sekiranya ada pergerakan mengejut yang dikesan. Selain itu, turut tersedia ialah Active Distance Assist Distronic dengan Active Speed Limit Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist dan Active Lane Change Assist separa autonomous.

    W222 Mercedes-Benz S-Class W222 dan S63 AMG facelift

     
     
  • Tesla Model S tiba di Korea Selatan, dari RM480k – senarai menunggu untuk pandu uji cecah 6 bulan

    Tesla Model S tiba di Korea Selatan, dari RM480k – senarai menunggu untuk pandu uji cecah 6 bulan

    Tesla Model S baru sahaja dilancarkan di Korea Selatan, dan senarai menunggu untuk mendapatkan sesi pandu uji kini dikatakan mencecah sehingga lebih enam bulan, mengikut laporan daripada Forbes. Dua pusat pameran telah dibuka di Korea Selatan – satu di daerah Cheongdam, Gangnam dan satu lagi di Hanam. Setiap satunya menawarkan hanya 10 slot untuk sesi pandu uji setiap hari.

    Dikatakan juga pelanggan pertama Tesla di Korea Selatan akan menerima kereta beliau pada bulan Jun, bermakna anda akan mendapat kereta lebih cepat daripada masa yang diperlukan untuk mendapat sesi pandu uji. Ini adalah luar biasa.

    Di pusat bandar Korea Selatan, Seoul, terdapat 294 tempat mengecas kenderaan elektrik, menjadikan keseluruhannya 2,526 tempat mengecas di negara tersebut – semuanya dibuat hasil daripada pembiayaan orang ramai. Korea Selatan juga menawarkan subsidi 14 juta won (RM55,465) untuk kenderaan elektrik, tetapi model kenderaan yang termasuk di dalam senarai ini tidak banyak, malah Tesla Model S juga tiada di dalamnya.

    Pengecualian Tesla daripada subsidi kenderaan elektrik Korea Selatan ini adalah kerana Model S mengambil masa lebih 10 jam untuk dicas penuh menggunakan sumber kuasa 220V biasa, dan peraturan yang ditetapkan untuk subsidi ini adalah yang mempunyai pek bateri lebih kecil (bawah 10 jam untuk dicas penuh), tanpa mengambil kira mod cas pantas.

    Tanpa subsidi ini, pembeli di negara tersebut perlu membayar harga penuh 121 juta won (RM479,450) untuk sebuah Tesla Model S 90D. Walaupun begitu, permintaannya tetap meningkat tinggi, seperti yang dibuktikan oleh tempahan sesi pandu ujinya.

    GALERI: Tesla Model S

     
     
  • 70% graduan universiti tempatan pilih kereta jenama import berbanding Proton – CEO Proton Edar

    70% graduan universiti tempatan pilih kereta jenama import berbanding Proton – CEO Proton Edar

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd, Abdul Rashid Musa, menerusi statistik yang diperoleh melalui kajian terperinci pihaknya, sebanyak 70% graduan universiti tempatan yang menamatkan pengajian memilih membeli jenama luar berbanding kereta nasional.

    Perkara ini dinyatakan Rashid dalam laporan Harian Metro ketika majlis penyerahan kereta Proton Suprima S kepada Kelab Automotif dan Sukan Bermotor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Arau, Perlis, baru-baru ini.

    Menurut Abdul Rashid lagi, graduan yang memilih kereta jenama import tersebut mengganggap Proton tidak setanding dengan jenama pilihan mereka, walhal tidak sampai 10% daripada mereka tidak berpengalaman memandu sendiri kereta-kereta keluaran Proton.

    70% graduan universiti tempatan pilih kereta jenama import berbanding Proton – CEO Proton Edar

    “Kira-kira 70 peratus graduan memilih memakai kereta luar negara kerana beranggapan kereta nasional tidak setanding jenama luar meskipun tidak berpengalaman memandu kereta nasional,” katanya. “Malah, sebahagian graduan universiti yang membuat perbandingan antara kereta nasional dengan jenama mewah dari luar adalah tidak adil.”

    CEO Proton Edar berkenaan turut menjelaskan, jenama syarikatnya itu merupakan antara 14 syarikat pembuat kereta di dunia yang masih mampu kekal dalam industri automotif sementara banyak syarikat besar negara lain sudah diisytihar muflis.

    “Menjadi satu daripada 14 syarikat yang mampu menghasilkan kereta di peringkat antarabangsa bukanlah perkara mudah. Banyak syarikat utama dunia terpaksa menutup perusahaan dan untuk bertahan dalam industri ini adalah sukar terutama dalam keadaan ekonomi tidak stabil kini,” jelasnya.

     
     
  • PSA Group akan lebih maju di persada global dengan pengambil alihan Opel-Vauxhall; jualan membesar

    PSA Group akan lebih maju di persada global dengan pengambil alihan Opel-Vauxhall; jualan membesar

    Awal bulan ini, PSA Group menjadi syarikat pengeluar kenderaan kedua terbesar di Eropah apabila ia membeli operasi General Motor di Eropah, dengan mengambil alih jenama Opel dan Vauxhall, melibatkan urusan jual beli berjumlah US$2.3 bilion.

    Menurut pemegang saham keluarga, Jean-Philippe Peugeot, transaksi ini akan menawarkan pengeluar kenderaan Perancis ini jumlah yang lebih besar, dalam usahanya untuk mengembangkan perniagaan global, lapor Reuters. Berkata kepada surat khabar Jerman, Welt am Sonntag dalam satu temu ramah bersama sepupunya, Robert Peugeot, Jean-Philippe memberitahu bahawa langkah ini akan “membenarkan kumpulan tersebut menawan bahagian lain di dunia ini langkah demi langkah.”

    Beliau juga berkata bahawa perjanjian PSA-Opel telah dipertimbangkan sejak sebelum tahun 2012 lagi, sewaktu GM dan Peugeot menandatangani perjanjian untuk membangunkan beberapa model kenderaan penumpang, tetapi waktu itu, masanya masih belum bersesuaian.

    Robert Peugeot, selaku pengerusi jawatan kuasa strategi PSA pula memberitahu bahawa pembelian Opel/Vauxhall akan memberikan skala ekonomi kepada PSA, dengan ia boleh mengeluarkan tiga juta kenderaan dalam satu pasaran utama. “Semua pengeluar kenderaan yang besar mempunyai jumlah pengeluaran tiga juta kenderaan dalam satu pasaran penting,” terang beliau.

    Robert turut menambah bahawa pemilikan Opel dan Vauxhal tidak akan mengganggu portfolio jenama mereka dan tidak akan menjatuhkan penjualan model Peugeot dan Citroen, kerana kesan antara jenama ini begitu sedikit.

    Beliau juga memberitahu bahawa Opel kuat di pasaran yang PSA tidak, dengan memberi contoh di Jerman, di mana Opel terjual lebih banyak berbanding Peugeot, DS dan Citroen bila digabungkan. Sementara itu, Vauxhall pula terjual lebih banyak di Amerika Syarikat berbanding tiga jenama Perancis itu apabila digabungkan.

    Rancangan pengembangan perniagaan kumpulan ini juga mengambil kira keadaan global. Ia telah menghantar bidaan untuk kerjasama dengan Proton, di mana bulan lepas, mereka mengumumkan sedang berbincang dengan pengeluar kenderaan dari Malaysia tersebut. Ia dikata akan bertentang dengan Zhejiang Geely dari China untuk menjadi rakan kongsi Proton, tetapi laporan yang dikeluarkan awal bulan ini mengatakan pula bahawa Geely berkemungkinan akan menarik diri.

    Sekiranya PSA berjaya mendapatkan kerjasama ini, ia akan memberikan akses kepada PSA untuk kemudahan Proton yang kurang diguna untuk dijadikan sebagai pusat pengeluaran dan eksport. Ini juga akan membantu kedudukan PSA di Asia Tenggara (Thailand dan Indonesia) – satu bahagian yang ia tidak mempunyai pusat pengeluaran – serta pasaran lain yang sedang meningkat.

     
     
  • SPYSHOT: Porsche 911 Turbo (992) generasi berikut

    SPYSHOT: Porsche 911 Turbo (992) generasi berikut

    Porsche 911 Turbo generasi seterusnya, iaitu 992 dijumpai kini sedang diuji, dan ia menggunakan badan sama seperti 991. Walaupun begitu, kereta baru ini kelihatan seperti lebih besar berbanding model sekarang, dengan tambahan lengkuk roda yang mungkin juga akan meletakkan rim dan tayar lebih besar.

    Malah cengkaman yang lebih tinggi juga boleh dijangka, yang mana, akan melibatkan kuasa dan tork yang lebih tinggi. Model sekarang ini berkemampuan 580 hp bagi varian Turbo S, dan bagi 992 baru ini, jumlah itu mungkin dapat dilepasi dengan mudah. Begitu juga dengan prestasinya; menjadi lebih cepat daripada 2.9 saat untuk pecutan 0-100 km/j yang dicatat oleh 911 Turbo S sekarang.

    SPYSHOT: Porsche 911 Turbo (992) generasi berikut

    Di bawah badan yang cukup familiar ini, terdapat platform modular baru, yang dikatakan bersedia untuk dikongsi bersama kereta sports lain dalam Kumpulan Volkswagen, seperti Audi R8 dan pengganti bagi Lamborghini Huracan. Platform baru ini juga boleh digunakan untuk kenderaan enjin tengah lain Porsche.

    Teknologi lebih maju juga dijangka berada pada bahagian enjin, melebihi turbin variable geometry dan charge pressure maintenance untuk peralihan throttle lebih baik yang ada pada model sekarang. Pada bahagian casis, rear-wheel steering juga boleh dijangka memberi bantuan dalam stabiliti kelajuan tingi dan kelincahan kelajuan rendah. Porsche 911 generasi seterusnya ini dijangka membuat penampilan pertama pada 2018 dan akan diikuti oleh model Turbo.

     
     
  • VIDEO: Toyota Hilux RC Tamiya tarik Hilux sebenar

    Tamiya, pengeluar permainan dari Jepun, bersama Toyota UK telah menghasilkan video yang agak menarik – mampukah kereta kawalan jauh (RC) Toyota Hilux menarik sebuah Toyota Hilux sebenar dan berapa unit RC yang diperlukan untuk tugas ini?

    Menurut Tamiya, idea untuk menghasilkan video ini hadir dari iklan mereka pada era 80’an dahulu yang memaparkan sekumpulan trak RC Tamiya Hilux Bruiser 4X4 membuktikan kekuatan mereka dengan menunda sebuah Hilux sebenar. Walau bagaimanapun, Hilux generasi baharu kini dibina lebih besar dan lebih berat, pastinya lebih menyukarkan tugas kumpulan Hilux kecil berkenaan.

    Setiap RC Hilux Bruiser ini mempunyai berat 3.2 kg serta menghasilkan tork maksima 23.2 Nm dan beban yang perlu ditarik ialah Toyota Hliux 2.4 dengan berat 3,200 kg. Dengan gear sistem 4×4 dilaras pada gear nisbah rendah, sejumlah 15 buah RC diperlukan untuk menarik Hilux sebenar berkenaan.

    Selain dari video ini, Toyota dan Tamiya turut menghasilkan tiga lagi video berbeza untuk siri ini, yang memaparkan kedua-dua Hilux kecil dan besar tersebut berseronok di laluan lumpur, meredah sungai dan juga menunda kereta sport Toyota GT86.

     
     
  • Kerajaan luluskan RM1 juta kaji sistem keretapi di Sabah; laluan Kudat-Sandakan turut dipertimbangkan

    Kerajaan luluskan RM1 juta kaji sistem keretapi di Sabah; laluan Kudat-Sandakan turut dipertimbangkan

    Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kini menjalankan kajian awal bagi menyediakan perkhidmatan tambahan dari utara ke bahagian timur negeri itu. Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, kerajaan persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menjalankan kajian berkenaan, tahun ini.

    Beliau yang juga merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah menjelaskan kajian itu turut bermatlamat untuk mengenal pasti kelengkapan komunikasi moden yang sesuai untuk memenuhi aspek-aspek keselamatan di sepanjang laluan sedia ada dari Tanjung Aru ke Tenom, dengan jarak sejauh 134 km.

    Menurut Pairin lagi, kerajaan negeri juga dalam usaha memodenkan sistem keretapi di Sabah untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakannya. “Dari rekod JKNS, seramai 494,638 penumpang menggunakan perkhidmatan ini tahun lalu, dengan 6,170 jumlah perjalanan keseluruhan,” jelasnya.

    Dalam tempoh sama, jabatan itu merekodkan sejumlah 134 pembatalan perjalanan atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, misalnya kerana kerosakan teknikal dan cuaca buruk. Bagaimanapun, ini juga satu pencapaian positif jika dibandingkan dengan pembatalan perjalanan pada tahun 2015, dengan angka 762.

    Selepas penambah baikan terhadap sistem operasi yang dilakukan tahun lalu, JKNS berhasil mengurangkan jumlah berkenaan pada kadar yang sangat baik. Antara yang dilakukan ialah penggunaan enam diesel multiple units (DMU) dengan 200 orang kapasiti penumpang digunakan bagi operasi hariannya.

    Pada sebuah majlis yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar JKNS, Melvin V. Majangga semalam, tiga lagi DMU dari India dilancarkan untuk kegunaan laluan Beaufort-Tenom sejauh 48 km.

     
     
  • Sehari sebagai pemeriksa kenderaan di Puspakom – apa yang ditawarkan oleh pusat pemeriksaan ini?

    Sehari sebagai pemeriksa kenderaan di Puspakom – apa yang ditawarkan oleh pusat pemeriksaan ini?

    Sepanjang menjadi seorang pemilik kenderaan, pernahkan anda berurusan terus dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)? Adakah anda menggunakan khidmat ‘runner‘ ke pusat berkenaan untuk ‘menjamin kelulusan’ dalam proses-proses seperti untuk menukar hak milik? Atau adakah anda gusar akan caj yang dikenakan untuk pemeriksaan sukarela dan bimbang maklumat ‘gagal’ kenderaan anda akan dilaporkan ke JPJ?

    Untuk menangkis semua persepsi negatif seperti ini, Puspakom telah menjemput kami dan juga berberapa media lain ke Puspakom cawangan Shah Alam untuk menyertai acara “Be a Vehicle Examiner for a Day” bagi memberikan pengalaman sebenar sebagai seorang pemeriksa kenderaan (VE) Puspakom dan menjelaskan keseluruhan proses yang berlangsung pada setiap sesi pemeriksaan.

    Sebelum kami mula untuk menjadi seorang pemeriksa kenderaan, Puspakom terlebih dahulu menjelaskan peranan sebenar mereka. Puspakom sebenarnya bukanlah penguatkuasa seperti JPJ dan SPAD, malah mereka juga bukan unit di bawah mana-mana jabatan kerajaan atau badan berkanun.

    Sebaliknya, Puspakom merupakan sebuah syarikat swasta subsidiari penuh DRB-HICOM yang telah ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak awal penubuhannya, syarikat tersebut dilantik oleh kerajaan untuk melakukan pemeriksaan-pemeriksaan kenderaan yang diperlukan pada akta-akta yang diwujudkan seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk JPJ, Akta Sewa Beli 1987 untuk KPDNKK, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 untuk Jabatan Alam Sekitar serta pelbagai lagi.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG GT empat pintu kini diuji

    SPYSHOT: Mercedes-AMG GT empat pintu kini diuji

    Kereta konsep Mercedes-AMG GT empat pintu baru sahaja membuat penampilan di Geneva Motor Show awal bulan ini, dengan membawa jenama EQ Power+, bersama enjin hibrid berprestasi tinggi, yang didapati daripada kereta lumba Mercedes-AMG W08 F1.

    Kebanyakan bahagian luar kenderaan ini masih lagi tertutup dengan pelekat camouflage, tetapi di hadapannya boleh dilihat terdapat lampu utama yang mengikuti bentuk kereta GT Concet yang ditampilkan sebelum ini. Lampu siang LED padanya menghasilkan nyalaan berbentuk ‘C’ , berbeza dengan model konsep yang lebih mempunyai corak hiasan. Walaupun masih tertutup, gril dengan garisan tegak boleh dijangka pada model ini.

    Ukuran tepat juga masih belum dipastikan, walaupun begitu unit ujian ini dilihat mempunyai bayang yang hampir seperti kereta pameran di Geneva. Sepertinya juga, model ini akan menggantikan CLS Shooting Brake secara tidak langsung.

    SPYSHOT: Mercedes-AMG GT empat pintu kini diuji

    Seperti yang dijangka, GT empat pintu ini menggunakan cermin sisi biasa, tidak seperti model konsep yang menggunakan kamera pada bahagian fender. Pada bahagian belakang pula, terdapat penutup but yang rendah, manakala dua muncung ekzos berkembar terletak pada bampar yang lebih sederhana. Bampar ini tidak mempunyai diffuser dan muncung ekzos di tengah seperti kereta konsep.

    GT Concept tiba di Geneva dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 815 hp yang datang daripada enjin V8 twin-turbo 4.0 dan gabungan motor elektrik kuasa daripada bateri lithium-ion. Bateri tersebut akan sentiasa dicas untuk mempunyai “kuasa elektrik penuh apabila diperlukan,” kata Mercedes-AMG. Walaupun begitu, untuk model produksi ia mungkin akan ‘dijinakkan’ sedikit kepada 500/ 600 hp.

     
     
  • Honda UR-V dilancar di China – Avancier Dongfeng

    Honda UR-V dilancar di China – Avancier Dongfeng

    Dongfeng Honda secara rasminya telah melancarkan model perdananya di China, iaitu Honda UR-V. SUV untuk pasaran China ini adalah adik-beradik kepada Honda Avancier, iaitu sebuah lagi model yang dihasilkan kerjasama Honda dengan satu lagi syarikat di China iaitu Guangqi. Avancier pertama kali dilihat April tahun lalu.

    Honda UR-V sebenarnya sama sahaja dengan Avancier tetapi ia mempunyai rekaan depan dan belakang yang unik. Di depan, gril atas dan bawahnya disambungkan dengan bentuk ‘U’ seperti HR-V dan lampu LED disambungkan sekali di situ, menjadikannya kelihatan seperti topeng. Ini adalah bertentangan dengan rupa Avancier yang lebih tradisional bagi kenderaan penumpang, di mana ia menggunakan gril krom dan muka seperti Civic FC.

    Pada bahagian belakang, elemen yang ada diatur semula, termasuk lampu, kemasan hiasan dan tempat meletak nombor plet. Ciri khusus pada UR-V adalah garisan merah yang menyambungkan lampu belakang, dan ini turut digunakan pada BR-V. Turut diubah adalah logo serta kemasan krom, manakala tempat nombor plet diletakkan lebih rendah. Pemantul cahaya pula adalah menegak, berbanding melintang, dan barangan lain (muncung ekzos dan diffuser) yang terdapat pada bampar juga adalah sedikit berlainan.

    Honda UR-V dilancar di China – Avancier Dongfeng

    UR-V adalah 9 mm lebih panjang berbanding Avancier, pada 4,825 mm. Ini, ditambah dengan lebar 1,942 mm dan jarak roda 2,820 mm membawa makna bahawa ia agak besar berbanding CR-V. Saingan kepada Honda UR-V/Avancier di China adalah Toyota Highlander, Ford Edge dan Volkswagen Tiguan L (Allspace di Eropah). Walaubagaimanapun, tiga model ini mempunyai barisan tempat duduk tambahan.

    Dua pilihan enjin turbo diberi bagi Honda UR-V iaitu 1.5T 193 hp/ 240 Nm (memakai lencana 240 Turbo) dan 2.0T 272 hp/ 370 Nm (menggunakan lencana 370 Turbo). Bagi enjin 2.0T tersebut, ia didatangkan dengan pilihan transmisi AWD, dan dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan. Masa pecutan 0-100 km/j yang boleh dicatat adalah 7.8 saat. Enjin 1.5T pula dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

    Kelengkapan standard bagi UR-V adalah termasuk bumbung panoramik, kamera undur, ciri pemasukan pintar, tempat duduk kulit, pendingin hawa tiga zon dan head unit skrin sesentuh lapan inci. Varian paling tinggi UR-V menerima ciri tambahan seperti adaptive cruise control, pre-collision warning, auto parking, head-up display, lane departure warning dan blind spot monitoring.

    GALERI: Honda Avancier

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026