Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • 20 kematian sehari akibat kemalangan sepanjang tahun lalu, sikap pengguna jadi faktor utama – JKJR

    20 kematian sehari akibat kemalangan sepanjang tahun lalu, sikap pengguna jadi faktor utama – JKJR

    Secara purata, 20 orang hilang nyawa setiap hari sepanjang tahun lalu akibat kemalangan jalan raya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), terdapat sebanyak 7,152 kematian dilaporkan tahun lalu.

    Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Roslan Eusoff berkata penunggan dan pembonceng motosikal mendahului dalam senarai itu, dengan purata 12 kematian daripada 20 yang terlibat.

    “Ini juga menunjukkan penunggan dan pembonceng motosikal menyumbang kepada angka tertinggi kematian dijalan raya, dengan angka 4,485,” jelas beliau. Menurutnya lagi, 82 peratus kemalangan maut dijalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna itu sendiri.

    “Kebanyakan kenderaan bertembung sesama sendiri, atau dilanggar dari belakang serta ada yang tergelincir. Jika pengguna mengurangkan kelajuan, kami percaya jumlah kemalangan juga akan dapat dikurangkan,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Bangkok 2017: Toyota Vios facelift – nampak memikat?

    Bangkok 2017: Toyota Vios facelift – nampak memikat?

    Walaupun Toyota C-HR sudah kelihatan diuji di Thailand, namun ruang pameran jenama itu di Bangkok International Motor Show 2017 (BIMS 2017) belum kelihatan untuk pengenalan pertamanya diperingkat ASEAN. Bagaimanapun, ada satu model facelift yang dipamerkan – model yang sama akan masuk ke pasaran Malaysia – iaitu Toyota Vios.

    Toyota Vios facelift 2017 dilancarkan di Thailand pada Januari lalu, menjadikannya sudah berusia dua bulan. Kemaskini terbaru pada sedan segmen B ini membawakan wajah yang lebih agresif; anda sama ada akan menyukainya atau pun tidak. Bahagian itu nampak lebih lebar, mirip Vios yang dilancarkan untuk pasaran China yang diperkenalkan di Beijing Auto Show 2016 lalu, serta padanan sentuhan dari model Camry 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat.

    Lampu utama dari jenis projektor yang baru dengan lampu posisi LED, gril yang lebih menonjol dengan bentuk T dan lampu kabus yang diposisikan semula beserta DRL LED ditepinya antara pembaharuan yang diberikan. Di belakang, lampunya diberi rekaan baru, dan palang krom yang menghubungkannya lebih nipis. Bampar juga diberi gaya baru yang lebih ringkas daripada yang sebelumnya. Rim 15 dan 16 inci juga dari rekaan baru.

    Tiada perubahan pada ruang kabin. Ciri-ciri seperti unit infotainmen 2-DIN dengan skrin sentuh tujuh inci, operasi tanpa kunci, tempat duduk kulit/fabrik, MID dan pendingin hawa automatik (tidak ditawarkan di Malaysia) masih dikekalkan. Tema dalaman juga berbeza bagi Vios di Thailand, mengikut varian; J, E, G dan S.

    Dari segi sistem pacuan juga ia kekal sama. Ia dikuasakan oleh enjin 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i, yang kali terakhir menerima kemaskini teknikal pada 2016 dan menghasilkan 108 hp/140 Nm sama seperti versi semasanya yang ditawarkan ketika ini. Padanan kotak gear pula adalah dari jenis CVT dengan tujuh nisbah maya. Tiada lagi automatik empat-kelajuan dan transmisi manual.

    Pelanggan di sana boleh memilih dari enam warna luaran – Red Mica Metallic, Quartz Brown Metallic, Super White, Silver Metallic, Gray Metallic dan Attitude Black Mica. Harga pula dari 609,000 baht (RM78,158) bagi varian J hingga 789,000 baht (RM101,237) bagi varian S. Versi terbaru ini dijangka tiba di Malaysia tahun ini untuk memberi saingan kepada Honda City facelift.

     
     
  • Bangkok 2017: Honda CR-V 2017 dengan kit Modulo

    Bangkok 2017: Honda CR-V 2017 dengan kit Modulo

    Aksesori adalah satu perniagaan yang menguntungkan, dan barangan Modulo adalah penting bagi Honda. Hampir semua model baru yang diperkenalkan oleh jenama ini didatangkan dengan pilihan kit Modulo, dan SUV CR-V 2017 terbaru juga tidak terkecuali. Ini adalah contohnya yang berada di Bangkok Motor Show.

    Model asasnya adalah CR-V 2.4 liter i-VTEC 2WD petrol, yang keadaan asalnya boleh dilihat dalam catatan kami sebelum ini. Model asas ini sudah cukup menarik dengan adanya lampu utama LED dan kemasan krom, tetapi kit Modulo menjadikan penampilannya lebih sporty.

    Paling jelas adalah gril besar dengan rekaan honeycomb yang digunakan pada bahagian depan. ‘Sayap’ logo Honda pada gril ini diwarnakan hitam berbanding krom pada model biasa. Melengkapkan kit Modulo di bahagian depan adalah hiasan bampar dengan corong udara tertutup pada bahagian berwarna perak dan lampu kabus LED.

    Bangkok 2017: Honda CR-V 2017 dengan kit Modulo

    Pada bahagian sisi, CR-V ini dilengkapi dengan hiasan cermin sisi, visor pintu, rim Modulo 18 inci dan papan pemijak tepi. Turut mendapat sentuhan khas adalah bahagian bampar belakang, muncung ekzos yang menonjol dan kemasan krom pada sekitar penutup but dan tepi pintu.

    Honda CR-V 2017 membuat penampilan sekali lagi di Thailand, selepas pelancarannya minggu lalu dan ia ditawarkan dalam pilihan enjin diesel dan petrol. Enjin petrol 2.4 liter sama seperti sebelum ini mampu menghasilkan 175 hp dan 225 Nm, manakala enjin diesel turbo 1.6 liter i-DTEC mampu menghasilkan 160 hp dan 350 Nm tork. Enjin petrol digabungkan bersama transmisi CVT manakala enjin diesel mendapat padanan transmisi automatik sembilan kelajuan.

    Banyak perbezaan yang terdapat di antara varian diesel dan petrol ini, dan anda boleh melihatnya dalam catatan awal kami sebelum ini. Model ini akan datang di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    GALERI: Honda CR-V 2017 dengan aksesori Modulo

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia keluarkan video teaser – E-Class W213 CKD akan dilancar pada 20 April ini?

    Berdasarkan video yang disiarkan di laman Facebook Mercedes-Benz Malaysia ini, sebuah model baru akan tiba dan membuat penampilan pada 20 April ini. Rekaan lampu Multibeam LED dalam sedutan video ini datang daripada barisan kenderaan E-Class, dan memandangkan E-Class Coupe C238 hanya akan tiba pada suku ketiga tahun ini, calon yang tinggal hanyalah E-Class W213 pemasangan tempatan (CKD).

    Sejak pengenalannya di Malaysia Jun tahun lepas, E-Class adalah model yang diimport sepenuhnya, dan model yang ditawarkan terdiri daripada E 200, E 250 dan E 300 AMG Line. Tiada sebarang kenyataan berkenaan spesifikasi kenderaan ini, tetapi tidak lama lagi kita akan mengetahuinya. E-Class CKD akan dihasilkan di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang dan ia turut mengeluarkan S400 Hybrid W222.

    Baca laporan pandu uji Mercedes-Benz E 200 W213 oleh kami di sini.

     
     
  • Nissan GT-R Track Edition 2017 diperkenalkan di USA

    Nissan GT-R Track Edition 2017 diperkenalkan di USA

    Susulan pendedahan peringkat global, Nissan GT-R Track Edition 2017 bakal dilancarkan di Amerika Syarikat (USA) pada penganjuran New York International Auto Show yang bakal berlangsung April ini. Model Track Edition ini diposisikan antara varian Premium dan Nismo dalam barisan GT-R di USA, dengan harga bermula USD127,990 (RM565,395).

    Lima warna luaran ditawarkan untuk pelanggan di USA – Solid Red, Jet Black, Super Silver, Pearl White dan Blaze Metallic.

    Melibatkan penambahbaikan casis, jentera ini juga didatangkan dengan suspensi Bilstein Damptronic bersama talaan perlumbaan untuk kestabilan yang lebih pada laluan lurus serta di selekoh. Malahan Track Edition ini turut menampilkan bar anti-oleng 17.3 mm (model Premium 15.9 mm) pada bahagian belakang juga telah dipadankan untuk memberikan ketegaran badan yang lebih baik serta mengurangkan berat.

    Malahan sambungan yang dibangunkan khas turut dipadankan pada suspensi double wishbone di hadapan, di mana ia mampu meningkatkan jejak lereng bagi menambahkan kemantapan dan kestabilan sewaktu dipandu di selekoh.

    Track Edition ini juga menerima beberapa elemen Nismo, termasuklah fender hadapan GT-R Nismo, roda aloi-aluminium enam-jejari Nismo 20-inci, spesifikasi Nismo, tayar Dunlop Sport Maxx GT600 yang diisi nitrogen, dan spoiler belakang gentian karbon.

    Sementara itu, bahagian kabinnya menerima bentangan warna hitam dan merah, dipadankan bersama tempat duduk Recaro dan plak istimewa pada konsol tengah untuk identitinya.

    Tiada perubahan kuasa, ia masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama dengan model standard tanpa apa-apa perubahan, berkuasa 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Kuasa dari enjin juga masih disalurkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac-berkembar enam-kelajuan.

     
     
  • VIDEO: Di sebalik tabir pembikinan Nissan Navara

    Nissan telah mengeluarkan sebuah video, Steel to Wheels yang menunjukkan bagaimana model Navara NP300 dibuat di kilangnya di Bangna, Thailand. Kilang ini adalah kilang pertama di dunia yang menghasilkan trak pikap generasi ketiga tersebut dan merupakan hab pengeluaran bagi Nissan Asia dan Oceania (A&O).

    Dalam video selama 5 minit ini, anda dapat menyaksikan bagaimana proses menghasilkan Navara, daripada besi mentah, sehinggalah ia menjadi sebuah kereta. Kilang ini mempunyai 1,400 pekerja tempatan dan produk keluarannya dihantar ke 105 pasaran lain di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

    Di Malaysia, Navara NP300 dilancarkan pada bulan November 2015 dan dijual dalam pilihan single cab dan double cab. Enam varian ditawarkan, bermula dengan single cab manual sebagai yang paling asas. Ia seterusnya diikuti double cab E dan SE, yang boleh didapati dengan transmisi manual dan automatik.

    Varian ini dilengkapkan dengan V dan paling atas VL, dan kedua-duanya hanya boleh didapati dengan transmisi automatik sahaja. Semua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo diesel YD25DDTi 2.5 liter, berkemampuan 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm untuk varian VL dan 163 PS dan 403 Nm untuk varian yang lain.

     
     
  • Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo

    Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo

    Memang Honda CR-V 2017 menjadi antara tarikan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017 diruang Honda. Tetapi, ada satu lagi model yang tak kalah menarik; Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo, yang dilancarkan awal bulan ini untuk pasaran Thailand.

    Ini versi lima-pintu bagi Civic FC, dan dijual di Thailand dalam varian tunggal 1.5L Turbo CVT pada harga 1.169 juta baht (RM149,620). Enjin L15B7 empat-silinder turbo ini menghasilkan 173 PS pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork dari 1,700 rpm hingga 5,500 rpm. Tidak seperti di Amerika Utara dan Eropah, kotak gear manual enam-kelajuan tidak ditawarkan.

    Penggayaan versi hatchback ini berlainan dari sedan dari aspek rekaan bampar depan dan belakang yang nampak lebih lebar dan besar, antaranya disebabkan untuk menempatkan lampu kabus. Sementara itu, bahagian belakangnya yang lebih pendek menempatkan spoiler dan lampu bentuk C yang sama.

    Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo

    Dari segi dimensi, versi hatchback ini berkongsi lebar (1,798 mm) dan jarak roda (2,700 mm) yang sama dengan versi sedan. Bagaimanapun, ia lebih tinggi (+20 mm) dan pendek (-112 mm). Ruang penumpang belakang juga mungkin sedikit terkesan, kerana ingin memberikan keluasan pada ruang kargo; 727 liter dengan tempat duduk belakang tidak dilipat, berbanding ruang but 519 liter pada model sedan. Tayar ganti terletak di bawah lantai but berkenaan.

    Kelengkapan standardnya termasuk rim aloi 17 inci (dengan tayar 215/50), lampu utama, DRL, lampu kabus dari jenis LED, pendingin hawa dwi-zon, panel instrumen digital, skrin sentuh tujuh-inci (dengan Apple Carplay dan Android Auto), paddle shifter, stereng dengan butang pelbagai fungsi dan kemasan upholstery kulit hitam.

    Turut tersedia ialah masukan pintar tanpa kunci dan butang Push Start, remote engine start, cruise control, auto brake hold, kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40, kamera undur dan kerusi depan kuasa elektrik. Dari sudut keselamatan, ia di datangkan dengan enam beg udara, VSA dan Hill Start Assist.

    Warna khasnya ialah Black Burgundy Night Pearl, ditawarkan sebagai pilihan dengan tambahan 6,000 baht. Warna lain yang turut ditawarkan ialah Crystal Black Pearl (pilihan dengan tambahan 6,000 baht juga) serta Orchid White Pearl yang dilihat dalam gambar pula sebagai pilihan dengan tambahan 10,000 baht.

    Jangan lupa juga untuk menonton iklan yang dikeluarkan sebelum ini, yang turut menampilkan Volkswagen Scirocco. Macam mana, nampak menarik? Dan, mahukan model ini untuk masuk ke pasaran Malaysia?

     
     
  • BMW 5 Series G30 – teaser untuk Malaysia tunjuk kunci Display Key dengan skrin seperti telefon pintar

    Pelancaran BMW 5 Series G30 di Malaysia hanya akan berlaku esok, jadi BMW Malaysia mengeluarkan gambar teaser awal sebagai ‘pemanas’- satu gambar menunjukkan lengkuk cermin Hofmeister yang sudah menjadi tanda unik BMW manakala satu lagi adalah kuncinya.

    Kunci bagi model ini yang dipanggil sebagai Display Key mempunyai skrin sesentuh seperti telefon pintar dan ia memaparkan pelbagai informasi berkenaan kereta tersebut. Ia datang secara standard pada model 7 Series sebelum ini di Malaysia, tetapi penawarannya pada 5 Series adalah menarik, kerana kereta sports i8 yang berharga RM1.2 juta pun tidak mempunyai kunci ini.

    Selain kunci tersebut, perkara lain seperti varian dan kemasan untuk G30 masih belum dapat dipastikan. Di pasaran lain, sedan eksekutif ini datang dengan pelbagai teknologi termasuk fungsi pemanduan semi-automatik, Remote Parking, Remote View 3D, pengecas pintar tanpa wayar dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Walaubagaimanapun, tidak banyak kelengkapan ini dijangka akan ditawarkan pada model di Malaysia.

    Semasa pelancarannya nanti, kami menjangkakan barisan G30 ini akan terdiri daripada model 520d, 530i dan mungkin juga 540i sebagai varian paling tinggi. Model 520i yang mempunyai kurang kuasa berbanding 530i, tetapi menggunakan enjin 2.0 liter sama juga mungkin akan tiba bersama model 530e plug-in hybrid.

    Baca pengalaman kami memandu BMW 5 Series G30 lebih awal di sini.

     
     
  • Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Ini adalah berita yang kami dapat terus dari Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017, iaitu penampilan Honda CR-V 2017, selepas pelancaran rasminya yang berlaku minggu lalu. Model terbaru SUV saiz sederhana popular Honda ini akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan akan memberi pandangan awal bagaimana ia akan kelihatan nanti.

    Ini bukan sekadar CR-V yang disalin kulitnya – model generasi kelima ini mempunyai tempat duduk baris ketiga, menjadikan keseluruhannya tujuh tempat duduk. Ia juga adalah pertama kali CR-V mempunyai lebih daripada lima tempat duduk, dan ia sekaligus meletakkannya sama dengan Nissan X-Trail T32 yang menggunakan formasi 2-3-2.

    Kedua-dua tempat duduk baris kedua dan ketiga pada kenderaan ini boleh disandar, dengan baris kedua juga boleh dilungsur supaya lebih fleksibel dan boleh dilipat ke hadapan untuk akses ke baris ketiga. Pada model yang dijual di Amerika Syarikat (Thailand adalah negara ketiga di dunia yang melancarkan CR-V selepas AS dan Kanada), ia turut didatangkan dengan corong pendingin hawa untuk baris ketiga, manakala untuk baris ketiga, corong ini terletak di atas bumbung.

    Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Baris ketiga CR-V 2017 boleh dilipat 50:50 secara berasingan, dan lantai bahagian but boleh ditetapkan dalam dua posisi – posisi tinggi memberikan lantai yang rata apabila baris ketiga dilipat. Tayar ganti bersaiz penuh terletak dalam kenderaan, iaitu di bawah tempat duduk baris ketiga.

    Pada bahagian depan, sementara bentuk asas dalaman CR-V Thailand ini sama seperti yang dijual di AS, dengan adanya skrin tengah ‘terapung’, paparan instrumen virtual TFT LCD dan roda stereng tiga cabang seperti Civic, tombol gear automatik biasa walaubagaimanapun telah diganti dengan unit butang seperti NSX, dengan butang undur diletakkan lebih dalam supaya tidak ditekan secara tidak sengaja. ‘Pemilih gear elektronik’ ini hanya untuk varian berenjin diesel, manakala varian petrol mendapat tombol gear biasa.

    Rekaan luar kenderaan ini juga lebih moden. Seperti model yang dijual di AS, CR-V Thai datang dengan pilihan lampu utama LED (bersepadu baik dengan penampilan Solid Wing Face Honda), lengkuk roda lebar, D-pillar yang condong dan lampu belakang LED berbentuk L. Kereta varian paling tinggi mendapat rim 18 inci (tayar 235/60) manakala varian asas mendapat rim 17 inci (tayar 235/65).

    Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Perkara baru lain pada CR-V Thailand adalah pilihan enjin diesel. Unit N16 1.6 liter DOHC i-DTEC turbodiesel yang digunakan diambil daripada model di Eropah dan ia mampu menghasilkan 160 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm tork pada 2,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan ZF, bersama pedal penukar gear di stereng dan ciri idle stop.

    Enjin i-DTEC ini juga sepatutnya dapat memberikan kuasa tarikan lebih daripada cukup, tetapi bukan semua orang selesa dengan enjin diesel. Oleh itu, Honda menawarkan pilihan enjin petrol K24 2.4 liter N/A DOHC i-VTEC sama seperti sebelum ini, dengan kuasa sebanyak 175 hp pada 6,200 rpm dan 225 Nm tork pada 4,000 rpm. Kotak gear CVT Earth Dreams seperti yang digunakan pada model facelift generasi sebelum ini di Thailand juga dikekalkan (model di Malaysia menggunakan kotak gear automatik lima kelajuan).

    Kedua-dua enjin ini boleh didapati dengan pilihan AWD, dan terdapat dua pilihan kemasan untuk setiap satunya, menjadikan keseluruhannya terdapat empat varian untuk CR-V 2017 di Thailand – 2.4 E 2WD, 1.6 Turbo E 2WD, 2.4 EL 4WD dan 1.6 Turbo EL 4WD. Harga pula terletak di antara 1.399 juta baht (RM179,511) hingga 1.699 juta baht (RM217,974).

    Barangan standard yang diberikan pada CR-V Thailand adalah lampu utama dan lampu siang LED, pintu but elektrik, tempat duduk dibalut kulit, meter digital dengan MID, kunci pintar dan butang pemula enjin, sistem kunci automatik apabila beredar, cruise control, tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan arah dengan sokongan pinggang, sambungan Bluetooth, brek letak kenderaan elektronik, auto brake hold dan enam beg udara.

    Bagi yang memilih varian EL, mereka akan menerima barangan seperti lampu utama dan pengelap cermin automatik, pintu but yang boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bawahnya, rim 18 inci, kemasan kayu, pendingin hawa dua zon, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektronik, skrin sesentuh tujuh inci lengkap dengan navigasi dan Apple CarPlay, penyambung HDMI, LaneWatch dan Driver Attention Monitor. Sudah tentu, terdapat juga pilihan kit Modulo.

    Honda Thailand menjangkakan 40% pembeli akan memilih varian diesel yang lebih mahal. Bagaimana pula keadaan dengan Malaysia? Adakah pengguna lebih terbuka untuk menerima enjin diesel? Kami jangkakan tidak, jadi berkemungkinan enjin 1.5 liter VTEC Turbo petrol seperti pada Civic akan menjadi varian paling tinggi CR-V apabila ia tiba di Malaysia nanti.

    GALERI: Honda CR-V 1.6L i-DTEC EL 4WD

    GALERI: Honda CR-V 2.4L i-VTEC E 2WD

     
     
  • DRB-Hicom tegaskan semua pembida masih bersaing – penilaian terperinci diperlukan bagi FSP Proton

    DRB-Hicom tegaskan semua pembida masih bersaing – penilaian terperinci diperlukan bagi FSP Proton

    Selagi belum memuktamadkan keputusan terakhir mengenai bidaan rakan strategik asing (FSP) bagi Proton, selagi itulah pelbagai spekulasi akan bertebaran mengenai perkara ini.

    Minggu lalu DRB-Hicom menegaskan pencarian FSP Proton masih lagi diteruskan dan mensasarkan untuk menamatkan proses penilaian menjelang akhir suku kedua tahun 2017. Perkara ini timbul selepas terdapat desas-desus mengenai penarikan Geely sebagai salah satu pembida.

    Hari ini, sekali lagi DRB-Hicom menyebarkan siaran media dengan menjelaskan pencarian FSP Proton adalah kunci untuk mengubah hala tuju pengeluar kereta tersebut kepada sebuah syarikat yang berdaya saing.

    Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, keperincian terhadap setiap bidaan amat kritikal dalam proses penilaian semua bidaan yang diterima daripada pengeluar kereta global.

    DRB-Hicom tegaskan semua pembida masih bersaing – penilaian terperinci diperlukan bagi FSP Proton

    “Matlamat kami adalah untuk mengubah hala tuju Proton. Sekiranya kelebihan dan kekuatan Proton dapat dipertingkatkan dengan rakan baharu yang boleh menawarkan teknologi, keupayaan dan pasaran baharu, syarikat ini bakal menjadi satu jenama yang disegani.

    “Inilah sebab mengapa kami perlu terperinci dalam menilai bidaan yang diterima. Proton dan FSP baharu ini perlu mampu menghasilkan sinergi yang akan memastikan kejayaan kerjasama ini,” kata Syed Faisal.

    Beliau juga menegaskan kenyataan syarikat minggu lalu bahawa semua pembida masih lagi bersaing untuk dipilih menjadi FSP Proton.

    “Ada laporan media yang menyatakan DRB-HICOM kini hanya mempunyai satu pembida. Saya ingin mengesahkan bahawa semua pihak yang membuat bidaan masih bersaing dan DRB-HICOM kini sedang menilai semua bidaan tersebut Kami kini di peringkat akhir proses yang teliti ini, dan akan menamatkan penilaian menjelang akhir separuh pertama tahun ini,” tambah beliau.

     
     
  • Uber Malaysia perkenalkan ciri keselamatan terkini

    Uber Malaysia perkenalkan ciri keselamatan terkini

    Uber Malaysia kini memperkenalkan ciri keselamatan terbaru yang dipanggil Real-Time ID Check. Ciri ini menggunakan perkhidmatan Microsoft Cognitive untuk memastikan pemandu yang menggunakan aplikasi berkenaan adalah sama dengan rekod dalam simpanan Uber sendiri.

    Menurut syarikat itu, langkah ini bertujuan untuk mengelak penipuan dan juga melindungi akaun pemandu. Ia juga melindungi penumpang dengan cara menambah satu lagi lapis ciri keselamatan kerena mereka dapat pastikan pemandu adalah sama dengan rekod dari dalam aplikasi berkenaan.

    Ciri baru ini memerlukan pemandu untuk mengambil gambar mereka sendiri dalam sela masa tertentu sebelum mereka menerima sesuatu perjalan, yang akan dibandingkan terus dengan rekod didaftarkan dan ada dalam simpanan. Sekiranya gambar yang diambil tidak sepadan, akan berkenaan akan digantung sementara Uber menyiasat situasi berkenaan.

    Uber Malaysia perkenalkan ciri keselamatan terkini

    Bagi memastikan pengalaman pelanggan yang menyenangkan, aplikasi berkenaan akan memaklumkan pemandu dengan kadar segera sekiranya ia tidak dapat mengesan wajah atau gambar yang diambil terlalu rendah kualitinya, bertujuan untuk memastikan gambar yang dihantar adalah gambar asli.

    Selain itu, pemandu akan diarahkan untuk memberhentikan kenderaan mereka sebelum mengambil gambar untuk pengesahan. “Ini satu cara lagi bagaimana untuk menjadikan perkhidmatan kami lebih selamat kepada semua,” ujar ketua komunikasi Uber Malaysia, Leigh Wong seperti yang dipetik oleh The Sun.

     
     
  • Kadar tambang MRT disemak setiap lima tahun

    Kadar tambang MRT disemak setiap lima tahun

    Sebelum operasinya dilancarkan pada Disember 2016, Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) telah menguar-uarkan kadar tambang perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT). Bagi fasa pertama yang melibatkan laluan antara Sg.Buloh ke Semantan, ia ditawarkan pada kadar yang sangat berpatutan; pengguna akan dikenakan RM3.40 bagi keseluruhan perjalanan melibatkan 12 stesen berkenaan bagi kaedah pembayaran elektronik. Sementara itu, bagi bayaran tunai pula kadarnya ialah RM3.90.

    Pagi ini, di dalam Persidangan Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semakan kada tambang perkhidmatan tersebut akan dilakukan setiap lima tahun dengan mengambil kira pelbagai kos semasa termasuk overhead, insurans serta penyelenggaraan kenderaan, landasan, stesen dan depoh, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, daripada penilaian semula kos semasa yang berkaitan, kerajaan akan mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh pihak MRT, sama ada keuntungan atau sebaliknya. Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah itu tidak bermakna kadar tambang akan dinaikkan setiap kali semakan dilakukan.

    “Tidak seperti yang dilaksanakan dalam penjanjian konsesi (lebuhraya), kadar tambang bagi MRT tidak dinaikkan, cuma kerajaan hanya melakukan semakan terhadap kos semasa, apa yang boleh membantu mereka (operator) mengendalikan MRT dari segi pengendalian kos.

    “Ini kerana kita perlu menambah baik sistem perkhidmatan itu, termasuk memperbaiki dan menyelenggara kemudahan perkhidmatan MRT,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin mengetahui sama ada struktur kadar tambang MRT mengguna pakai struktur kadar tol lebuh raya.

    Kadar tambang MRT disemak setiap lima tahun

    Dalam masa yang sama, beliau turut menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berkaitan dengan keuntungan, Nancy berkata, kerajaan menyedari projek pembangunan MRT tidak akan memberikan semula pulangan pelaburan yang dibelanjakan melalui kutipan tambang, namun sebagai kerajaan bertanggungjawab, pembangunan itu perlu dilaksanakan demi kebajikan rakyat.

    Beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan pelbagai faktor dalam menentukan kadar tambang pengangkutan awam yang berpatutan, adil dan berdaya saing bagi memastikan pengguna mampu menggunakannya dan pada masa sama membolehkan operator terus mapan untuk menyediakan pengangkutan awam yang berkesan.

    Malah menerusi penstrukturan semula kadar tambang rel bandar pada akhir 2015, kerajaan mewujudkan rangka kerja yang konsisten, sekali gus berupaya mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu terutama antara perkhidmatan rel bandar iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, KTM, komuter dan MRT.

    Katanya lagi, struktur kadar tambang MRT turut menggunakan asas sama iaitu gabungan dua komponen terdiri daripada komponen tambang asas sebanyak 90 sen dan komponen tambang berdasarkan jarak perjalanan per kilometer.

    “Kadar tambang berdasarkan jarak per kilometer bagi setiap sistem adalah berlainan kerana setiap perkhidmatan rel ada ciri dan kos operasi tersendiri, kadar tambang bagi perkhidmatan MRT, LRT dan monorel menurun untuk setiap empat atau lima kilometer jarak perjalanan, manakala kadar tambang KTM komuter menurun bagi setiap lima hingga 30km jarak perjalanan,” katanya.

     
     
  • PDAM suarakan kekhuatiran kaedah diskaun bahan api

    PDAM suarakan kekhuatiran kaedah diskaun bahan api

    Sebelum ini, dilaporkan bahawa KPDNKK menjangkakan harga bahan api akan naik dan turun antara lima hingga 10 sen selepas kaedah baru penentuan harga silingnya diumumkan secara mingguan bermula esok.

    Dengan harga yang ditetapkan itu akan lebih kerap berubah dan ditambah dengan diskaun serta promosi yang dibolehkan, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) khuatir dengan kesan dan akibat yang akan disebabkan oleh diskaun berkenaan, lapor The Star. Persatuan itu menegaskan, sesetengah pengedar petrol, terutama yang beroperasi secara kecil-kecilan, tidak mampu untuk mengikut jejak itu memandangkan mereka tidak mempunyai margin keuntungan yang besar untuk memberikan diskaun.

    Kelonggaran untuk memberikan diskaun dan promosi muncul selepas kenyataan yang diberikan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan, peruncit dan pengedar bahan api boleh mengikut kadar harga siling yang ditetapkan atau menawarkan diskaun pada harga yang lebih rendah dengan kebenaran daripada kementerian.

    Presiden persatuan itu, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, sehingga hari ini masih tidak jelas bagaimana insentif dan diskaun ini akan dilakukan. “Kementerian tidak menyatakan dalam situasi bagaimana diskaun ini boleh diberikan,” ujar beliau.

    Jelasnya, walaupun kementerian memberi peluang kepada peruncit untuk memberikan diskaun dengan kebenaran kementerian, PDAM perlu meneliti sama ada langkah itu benar-benar baik untuk perniagaan mereka.

     
     
  • Porsche tawarkan pilihan tambahan kuasa untuk 911 S

    Porsche tawarkan pilihan tambahan kuasa untuk 911 S

    Sehingga kini, model 911 standard yang paling berkuasa, selain varian GT adalah 911 GTS, dengan kuasa sebanyak 450 hp dan 550 Nm tork datang daripada enjin enam silinder turbo 3.0 liter. Kini, varian S (Carrera S, Carrera 4S) juga boleh menghasilkan jumlah kuasa sama, naik berbanding sebelum ini cuma 420 hp dan 500 Nm.

    Peningkatan kuasa ini datang daripada sepasang pengecas turbo yang lebih besar, ekzos sport, sistem penyejukan brek yang diubah suai, dan pakej Sport Chrono pula datang dengan tapak enjin dinamik. Walaupun begitu, model GTS masih lagi mempunyai kelebihan seperti model standardnya mempunyai limited-slip differential dan torque vectoring, bersama brek lebih besar dan pelapik brek 911 Turbo.

    Porsche tawarkan pilihan tambahan kuasa untuk 911 S

    Selain itu, semua model Porsche juga menerima warna baru untuk luar dan dalam, termasuk Crayon, yang kini boleh didapati pada semua model 911, 718 Boxster dan Cayman. Eksklusif untuk barisan 911 adalah Saffron Yellow Metallic, iaitu cat empat lapisan dengan proses menggosok khas untuk mendapatkan hasil akhir yang istimewa.

    Barisan model Panamera pula kini menerima pilihan warna Burgundy Red Metallic dan Ristretto Brown Metallic untuk bahagian luar, sementara kulit dalamannya boleh dipilih dengan warna kombinasi Black/Luxor Beige. Untuk SUV Macan, warna Black/Luxor Beige juga ditawarkan untuk bahagian dalamnya. Bagi Cayenne pula ia menerima warna istimewa Purpurite Metallic, serta Palladium Metallic.

     
     
  • Volvo tumpu perhatian bangunkan kenderaan elektrik

    Volvo tumpu perhatian bangunkan kenderaan elektrik

    Teknologi elektrik bagi kenderaan adalah masa depan untuk Volvo. Itu dijelaskan oleh CEO-nya, Hakan Samuelsson. Dalam sebuah wawancara dengan WardsAuto, beliau berkata enjin diesel sukar untuk berdaya saing di masa hadapan.

    Ini adalah berikutan piawaian pembebasan sisa bakar enjin yang semakin ketat yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah, di mana menjelang 2021, purata pembebasan karbon dioksida (CO2) yang dibebaskan semua kereta baru perlu mencapai 95 g/km. Begitu juga dengan had dibenarkan bagi nitrogen dioksida (NOx), diesel bukan satu pilihan yang baik untuk Volvo.

    “Melihat kepada angka 95 g/km itu, diesel tidak dapat membantu kami. Sebaliknya, teknologi elektrik mampu. Enjin pembakaran dalaman selepas ini akan lebih kerap digabungkan dengan sistem hibrid, sama ada bagi diesel atau pun petrol. Memaksimumkan kecekapan enjin pembakaran dalaman sudah selesai, selepas ini sampai kepada langkah untuk menumpukan kepada pembangunan teknologi hibrid dan elektrik sepenuhnya,” ujar beliau.

    Volvo tumpu perhatian bangunkan kenderaan elektrik

    Turut dinyatakan ialah kenderaan elektrik sepenuhnya keluaran Volvo akan dilancarkan pada 2019, walaupun tiada maklumat lanjut dihuraikan. “Kami sedang membangunkan bukan hanya satu model tetapi sistem elektrik untuk platform kecil dan juga besar; kami juga belum mendedahkan yang mana akan diperkenalkan dulu,” ujarnya.

    Terdahulu, dilaporkan kenderaan bateri elektrik pertama Volvo dan sistem mild hybrid 48 V akan tiba pada 2019 nanti, serta enjin T5 Twin Engine plug-in hybrid pada 2018. Volvo membangunlan pek bateri modular yang boleh dimuatkan pada kenderaan dengan platform Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture (SPA).

    Beliau turut memberi penekanan terhadap aspek pemanduan sebegai keutamaan bagi kenderaan EV. “Pengalaman pemanduan dengan sistem elektrik sepenuhnya adalah sangat baik dengan kelajuan tinggi yang senyap, kebisingan yang hampir tiada dari sistem transmisi. Sebaik saja kami mampu mengurangkan kosnya, ia akan menjadi satu penawaran yang sangat baik. Orang tidak akan membelinya hanya disebabkan kurang pencemaran dari enjin, tetapi kerana ia teknologi yang bagus,” tambahnya.

     
     
  • SPYSHOT: Limosin presiden Rusia ditemui di Sweden

    SPYSHOT: Limosin presiden Rusia ditemui di Sweden

    Pada mulanya, jurugambar kami yang menemui kereta ini di kawasan salji di Sweden menyangkakan ia adalah kereta tiruan dari China, yang menggabungkan elemen Rolls-Royce dan Bentley. Tetapi sebenarnya ia adalah limosin presiden Rusia yang dikenali sebagai Kortezh, ataupun Project Cortege.

    Menurut laporan daripada Autonetmagz, dokumen paten yang bocor sebelum ini mendedahkan bahawa Project Cortege sedang dibangunkan oleh Institut Kajian Saintifik Automobil dan Enjin Automotif (disingkatkan sebagai NAMI dalam bahasa Rusia).

    SPYSHOT: Limosin presiden Rusia ditemui di Sweden

    Laporan tersebut juga memberitahu bahawa NAMI bekerjasama dengan Porsche untuk pembangunan sistem utama pada kenderaan ini termasuk enjin dan transmisi, yang berkemungkinan akan menggunakan unit V8 4.0 liter twin-turbo petrol daripada Panamera Turbo generasi kedua, berkemampuan 550 PS pada 5,750 rpm dan 770 Nm pada antara 1,960 rpm dan 4,500 rpm.

    Turut dilaporkan adalah pertimbangan untuk menggunakan enjin V12, walaubagaimanapun, perincian penggunaan dua enjin ini masih lagi kabur. Walaupun Kortezh akan digunakan oleh wakil rasmi kerajaan, ia juga akan ditawarkan kepada orang awam setelah presiden Rusia, Vladimir Putin menerima kenderaan beliau. Ia dijangka masuk ke fasa produksi pada akhir tahun 2017.

     
     
  • MINI Malaysia umumkan program pembiayaan Full Circle bagi MINI 3 Pintu dan 5 Pintu; pilihan cara bayar

    MINI Malaysia umumkan program pembiayaan Full Circle bagi MINI 3 Pintu dan 5 Pintu; pilihan cara bayar

    Selain mengumumkan kelengkapan baru yang ditambah pada MINI F56 3 Pintu dan F55 5 Pintu, MINI Malaysia juga mengumumkan penawaran skim pembiayaan baru yang dipanggil program Full Circle oleh MINI Financing, untuk MINI 3 Pintu dan MINI 5 Pintu.

    Skim ini menawarkan pelan pembiayaan fleksibel, dengan lebih banyak pilihan untuk pembeli. Pelanggan akan memulakan pengalaman memiliki MINI dengan model yang dimahukan, dan kemudian memilih tempoh batuan yang mereka mahu menikmatinya.

    Pada akhir tempoh tersebut, mereka akan dipersembahkan dengan beberapa penyelesaian – sama ada memulangkan kunci kenderaan kepada MINI Financing berdasarkan terma dan syarat program; tukar-beli/jual MINI mereka kepada mana-mana pengedar rasmi MINI untuk MINI baru; membuat pembayaran penuh untuk menyimpan kereta mereka, atau memanjangkan lagi terma kontrak untuk menikmati kereta tersebut.

    Program Full Circle ini bermula pada harga RM1,348 sebulan untuk MINI 3 Pintu, dan RM1,378 sebulan untuk MINI 5 Pintu, dan hanya dapat digunakan untuk model MINI Hatch baru.

     
     
  • PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

    PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

    Jun tahun lalu, Mercedes-Benz E-Class W213 dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia, menampilkan pelbagai ciri mewah, sangat senyap serta dipadankan dengan banyak teknologi futuristik. Ia secara tidak langsung membawa persaingan segmen sedan mewah berkenaan ke tahap baharu yang lebih tinggi.

    Setakat ini, jumlah model dari Merc berkenaan belum lagi banyak di atas jalan raya kerana harga yang ditawarkan untuk unit yang datang secara diimport sepenuhnya berkenaan masih lagi sangat tinggi. Tetapi, dengan model pemasangan tempatan yang dirancang oleh Mercedes-Benz Malaysia yang akan bermula pada tahun ini, dilihat bakal menawarkan E-Class dengan harga yang lebih rendah, seterusnya bakal meningkatkan jualannya.

    Walau bagaimanapun, bagi mereka yang setia dalam segmen berkenaan, sudah tentu pencabar E-Class yang juga dari Jerman – BMW 5 Series – generasi baharu amat ditunggu. Generasi 5 Series sebelum ini iaitu F10 menawarkan keseimbangan dari segi kuasa, pengendalian dan juga keselesaan, menjadikan ia sebuah sedan lengkap untuk semua perkara – tidak hairan mengapa ia mendahului segmen berkenaan untuk tempoh yang agak lama.

    Generasi terbaharu 5 Series G30 akan mula menerjah masuk pasaran Malaysia, bakal dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac ini. Model berkenaan mempunyai tugas yang agak berat untuk meneruskan kecemerlangan, menyambung momentum dari F10. Model generasi-ketujuh menampilkan teknologi yang lebih maju, dan untuk meneroka prestasinya, rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris, Jonathan Lee, telah mengujinya di Lisbon, Portugal.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • MINI Malaysia umum kelengkapan baharu untuk F56 3-pintu dan F55 5-pintu – Cooper, Cooper S dan JCW

    MINI Malaysia telah memperkenalkan kelengkapan baru untuk barisan MINI 3 Pintu dan 5 Pintu yang dijual di Malaysia. Model asas F56 Cooper 3 Pintu kini datang secara terus dengan gril berwarna hitam berkilat, pemegang pintu but, lampu LED dan lampu kabus LED (sebelum ini didatangkan sebagai pilihan tambahan untuk pakej Chili).

    Di dalam, Cooper 3 Pintu kini dilengkapi dengan sistem kawalan suhu dua zon (sebelum ini manual), serta skrin MINI Visual Boost 6.5 inci, lengkap dengan MINI Connected. Cooper S 3 Pintu pula ditambah dengan sistem mula/henti Comfort Access, manakala John Cooper Works 3 Pintu yang diperkenalkan pada bulan April 2015 juga mendapat Comfort Access, cermin pandang belakang malap secara automatik dan kamera pandangan belakang.

    Perubahan pada F56 model permulaan juga boleh didapati pada F55 MINI Cooper 5 Pintu – kelengkapan baru terdiri daripada gril hitam berkilat, pemegang pada pintu but, lampu LED dan lampu kabus LED. Cooper 5 Pintu juga kini diberikan sistem kawalan suhu dua zon. Begitu juga dengan Cooper S 5 Pintu – termasuk Comfort Access.

    Walaubagaimanapun, tiada perubahan mekanikal pada semua model ini, bermakna enjin tiga silinder 1.5 liter 136 hp dan 220 Nm kekal digunakan pada model Cooper, dan enjin empat silinder B48 2.0 liter 192 hp dan 280 Nm pada Cooper S, manakala model JCW ditala untuk 231 hp dan 350 Nm.

    Untuk harga, MINI Cooper 3 Pintu dijual pada RM188,888, manakala Cooper S 3 Pintu RM229,888, dan model paling tinggi, JCW 3 Pintu dijual pada RM293,888.

    Untuk MINI Cooper 5 Pintu pula, harganya kini adalah RM193,888, dan Cooper S 5 Pintu pada RM239,888. Semua harga ini adalah untuk atas jalan, tidak termasuk insurans. Semua model MINI ini didatangkan bersama jaminan empat tahun tanpa had batuan dan servis berkala percuma.

     
     
  • Semua model baharu yang dijual di M’sia merupakan kenderaan berstatus EEV menjelang tahun 2025 – MAI

    Semua model baharu yang dijual di M’sia merupakan kenderaan berstatus EEV menjelang tahun 2025 – MAI

    Institut Automotif Malaysia (MAI) mensasarkan untuk memberi penekanan yang lebih terhadap kenderaan cekap tenaga (EEV). Organisasi itu mensasarkan menjelang tahun 2025, 100% kenderaan yang dijual di sini merupakan EEV berbanding 42.8% pada 2016, seperti dilaporkan The Sun.

    “Saya percaya menjelang 2025, semua model yang dijual di Malaysia adalah EEV,” jelas CEO MAI, Datuk Madani Sahari. Bagaimanapun, beliau menjelaskan penembusan 100% itu diukur dari sudut model-model baru yang diperkenalkan dalam pasaran, dan bukannya diukur dari jumlah kenderaan yang berada di atas jalan – yang turut merangkumi kenderaan bukan EEV terdahulu.

    “42.8% itu juga satu pencapaian yang baik. Pengeluar kenderaan kini menyusun semula perancangan perniagaan mereka untuk menepati Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014),” jelas Madani. Angka yang dicapai pada 2016 itu melebihi sasaran awal yang ditetapkan, iaitu pada 40%.

    Semua model baharu yang dijual di M’sia merupakan kenderaan berstatus EEV menjelang tahun 2025 – MAI

    “Ya, kami sedang mempersiap gerak kerja ke arah itu (100% EEV). Ia sangat penting untuk memastikan kenderaan menggunakan kurang bahan api dan membebaskan gas karbon dioksida yang kurang,” tambahnya, dengan turut menyentuh bahawa kenderaan yang dijual di Jerman kini semuanya EEV. Setakat 2016, 59 model sudah diiktiraf sebagai EEV, termasuk Perodua Bezza, Honda City, Proton Ertiga, Volvo S60 dan Toyota Vios.

    Satu daripada perkara penting dalam NAP 2014 ialah pengeluar yang mengilangkan kenderaan keluaran mereka di sini akan menerima insentif khas dalam bentuk Pioneer Status, Investment Tax Allowance (ITA), geran, bantuan prasarana serta cukai yang lebih rendah. Untuk itu, semua pengeluar memohon insentif EEV ini.

    MAI mendefinisikan EEV sebagai “kenderaan yang menepati spesifikasi yang ditentukan terhadap pembebasan CO2 (g/km) dan penggunaan bahan api (l/100 km) – ini termasuk kenderaan hibrid dan kenderaan yang menggunakan CNG, LPG, Ethanol, Hidrogen dan Fuel Cell.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026