Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia capai 100,000 unit jualan tahun kewangan semasa bagi April 2016-Mac 2017 – BR-V kini kenderaan MPV/utiliti No.1 di negara ini

    Honda Malaysia capai 100,000 unit jualan tahun kewangan semasa bagi April 2016-Mac 2017 – BR-V kini kenderaan MPV/utiliti No.1 di negara ini

    Dalam majlis meraikan pengeluaran yang ke-600,000 unit di kilang Pegoh, Melaka, Honda Malaysia turut mengumumkan kejayaan mereka mencatatkan jualan sebanyak 100,000 unit bagi tahun kewangan semasa (1 April 2016 hingga 31 March 2017) biar pun berhadapan dengan situasi cukup mencabar pada tahun lalu.

    Jumlah ini hanya boleh didedahkan apabila Mac berakhir (esok), dan jumlah tiga bulan pertama bagi 2017 yang memberangsangkan telah ditambah dengan tahun kewangan 2016 sahaja telah mencatatkan jualan sehingga 91,533 unit.

    Sementara itu, Honda BR-V baharu, yang diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Januari lalu, begitu meledak. Bagi bulan pertama kehadirannya di sini, ia telah mencatatkan tempahan sebanyak 4,000 unit, manakala pada Februari berakhir, ia mencecah 7,000 unit.

    Awal bulan ini, tempahannya dilaporkan telah mencecah 8,500 unit. Hari ini, Honda Malaysia mendedahkan, model tujuh-tempat duduk yang menawarkan fungsi umpama MPV dan penggayaan seperti SUV telah mencapai hampir 10,000 unit tempahan dan lebih 5,200 unit telah didaftar sejak ia dilancarkan.

    Honda Malaysia capai 100,000 unit jualan tahun kewangan semasa bagi April 2016-Mac 2017 – BR-V kini kenderaan MPV/utiliti No.1 di negara ini

    Jumlah tersebut membuatkan BR-V menjadi kenderaan yang paling laris di negara ini bagi segmen kenderaan MPV/utiliti. Malah dalam majlis yang berlangsung pagi tadi, Noriaki Abe, Ketua Pegawai Operasi (COO) Honda Motor bagi operasi serantau dan presiden/CEO Asian Honda Motor, telah mendedahkan BR-V kini telah menduduki tempat pertama bagi segmen tersebut pada Februari 2017, sekaligus menewaskan Perodua Alza. Walau bagaimana pun, tiada butiran angka rasmi diberikan.

    Honda Malaysia turut mendedahkan jumlah terkini tempahan bagi model City facelift yang dilancarkan pada 2 Mac lalu. Bagi 10 hari pertama ia berada di pasaran, jumlahnya telah mencapai 2,000 unit tempahan, dan hari ini, ia dilaporkan telah meningkat sebanyak 3,000 unit, iaitu lebih 50% daripada sasaran bulanan.

    Abe turut memuji Honda Malaysia yang menduduki tempat pertama dalam segmen kenderaan bukan-nasional dan nombor dua dalam senarai TIV keseluruhan, malah turut mengumumkan bahawa syarikat ini turut berkongsi prestasi bahagian pasaran dari perspektif global.

    Bagi dua bulan pertama tahun 2017, Honda Malaysia telah disenaraikan dalam semua operasi automobil Honda global kerana mempunyai pasaran tertinggi. Ia merangkumi 19.2% perkongsian pasaran dalam negara pada Januari, dan 18.1% pada Februari. Tahun lalu, ia menduduki tempat kedua dalam rangkaian operasi automobil dunia dalam kedudukan perkongsian pasaran jenama tersebut.

     
     
  • Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Hari ini, Honda Malaysia telah meraikan kejayaan mencatatkan pengeluaran yang ke-600,000 unit bagi unit pemasangan tempatan (CKD), di kilang pemasangannya di Pegoh, Melaka. Dalam majlis yang sama, Honda Malaysia turut mengumumkan pencapaian jualan 100,000 unit untuk tahun kewangan semasa (1 April 2016 – 31 Mac 2017), biarpun berhadapan dengan situasi pasaran yang cukup mencabar pada tahun lalu.

    Pencapaian itu menandakan suku pertama tahun 2017 yang berjaya dan kukuh buat syarikat yang sememangnya terkenal dengan semangat menyahut cabaran serta menetapkan penanda aras dalam industri.

    Pengeluaran ke-600,000 unit dicapai dalam tempoh 14 tahun sejak Honda Malaysia memulakan operasi pemasangan tempatan di kilangnya di Pegoh, Melaka. Buat masa sekarang, Honda Malaysia mempunyai dua saluran pengeluaran di kilang ini. Saluran pengeluaran No.1 memulakan operasi pada tahun 2003, manakala saluran pengeluaran No.2 pula memulakan operasi pada tahun 2014.

    Kenderaan ke-600,000 unit yang dikeluarkan di saluran pengeluaran No.2 di kilang Pegoh ialah sebuah City 2017, yang baru dilancarkan pada 2 Mac lalu.City merupakan model penyumbang jualan terbesar berikutan penerimaan luar biasa dan sambutan baik oleh rakyat Malaysia, sekali gus menjadikannya peneraju segmen-B untuk dua tahun berturut-turut.

    Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi yang menyampaikan teks ucapan penuh dalam Bahasa Melayu, berkata, “Penambahan saluran pengeluaran No.2 pada tahun 2014 membolehkan Honda Malaysia berkembang pesat. Kami mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam masa hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran 300,000 unit yang pertama sebelum ini.”

    “Saya percaya pencapaian ini diperoleh menerusi strategi yang bagus dan semangat menyahut cabaran yang kuat dalam kalangan ahli keluarga Honda. Dengan kemudahan sedia ada di Kilang Melaka ini, Honda Malaysia memiliki keupayaan tambahan untuk memenuhi tempahan pelanggan serta menghasilkan produk terbaik untuk rakyat Malaysia.”

    Melihat akan penerimaan yang amat menggalakkan ini, Honda Malaysia berikrar akan terus menawarkan produk berkualiti serta khidmat selepas jualan yang cemerlang dan melangkaui jangkaan semua pelanggan di Malaysia.

    Turut hadir untuk menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Naib Presiden Eksekutif, Pegawai Eksekutif dan Pengarah Wakil Honda Motor Co., Ltd., Seiji Kuraishi serta Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Serantau (Asia & Oceania) Honda Motor Co., Ltd. merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co., Ltd., Noriaki Abe.

    Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Malah Kuraishi yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia yang kedua pada tahun 2002 hingga 2005 nyata gembira melihat sumbangan Honda Malaysia. Beliau memberitahu bahawa kebangkitan Honda Malaysia adalah kerana kesungguhan serta pemahaman falsafah, misi dan cara pemikiran Honda oleh kakitangan tempatan.

    Malah turut mengesahkan bahawa Honda Malaysia telah mengungguli senarai negara yang mencatat perkongsian pasaran paling tinggi dalam kalangan operasi automobil Honda di seluruh dunia untuk dua bulan pertama tahun 2017.

    Pada masa ini, saluran pengeluaran No.1 dan No.2 menghasilkan tujuh model demi memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas berbanding ketika ia bermula dengan hanya empat model iaitu CR-V, City, Civic dan Accord. Pada masa sekarang, model Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, HR-V dan BR-V dipasang di kilang Pegoh.

    Dilengkapi teknologi canggih, kilang Pegoh dibina dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu-satu masa bagi memenuhi permintaan pasaran. Saluran pengeluaran yang dibina khas dan perancangan strategik membolehkan Honda Malaysia memendekkan tempoh menunggu bagi pelanggan terutama apabila sesetengah model menerima tempahan secara mendadak.

    Sebagai contoh, tempoh menunggu untuk model BR-V kini cuma satu hingga dua bulan sahaja, walaupun ia menerima tempahan hampir 10,000 unit, iaitu 12 kali sasaran jualan bulanannya. Malah secara purata, tempoh menunggu untuk semua model Honda kini adalah sekitar satu hingga dua bulan sahaja.

    Antara teknologi terkini yang digunakan di kilang Pegoh termasuklah Mesin Kimpalan Pintar (Smart Welding Machine) automatik untuk menghasilkan kerangka badan bertegaran tinggi dengan menggunakan material berkualiti tinggi. Selain itu, kemudahan mengecat dengan standard antarabangsa yang merangkumi Robot-robot Penyembur (Spray Robots) dan Lapisan Bahagian Bawah Kenderaan (Under Body Coating) yang meningkatkan kualiti cat badan dan memastikan ketebalan lapisan cat yang tepat.

    Trek Ujian sejauh 2.1 km pula membolehkan setiap kenderaan yang dikeluarkan menjalani ujian yang teliti bagi memastikan ia memenuhi kualiti dan standard jalan raya Malaysia. Ia mempunyai tujuh jenis corak jalan iaitu hump road, wave road, cobble store road, Belgian road, pothole road, slippery road dan up down road yang sesuai dengan kondisi jalan raya di Malaysia. Dengan kelajuan maksimum 140 km/j bagi kenderaan yang diuji, trek ujian ini menelan kos pembinaan sebanyak RM7.1 juta.

    Apa yang membanggakan, kesemua pekerja di kilang ini adalah 100% warga tempatan. Memang tidak dinafikan kejayaan Honda Malaysia pada hari ini adalah turut disumbangkan oleh barisan tenaga kerjanya sendiri yang dilihat begitu komited dan dedikasi dalam menjalankan tugas. Di samping sokongan padu daripada pihak pengedar dan para pelanggan mereka sendiri. Semoga Honda Malaysia kian berkembang dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

     
     
  • Ford panggil semula Kuga, Fiesta ST, Mondeo dan Transit – enjin 1.6 liter EcoBoost berisiko terbakar

    Ford panggil semula Kuga, Fiesta ST, Mondeo dan Transit – enjin 1.6 liter EcoBoost berisiko terbakar

    Langkah ini akan melibatkan 230,756 unit Escape 2014 (dikenali sebagai Kuga di sini), Fiesta ST 2014-2015, Fusion (Mondeo, 2013-2014) dan Transit Connect 2013-2015 bagi pasaran Amerika Utara.

    Ford mengeluarkan notis panggilan semula bagi model-model yang menggunakan enjin 1.6 liter EcoBoost di atas sebab kemungkinan risiko kebakaran bawah bonet.

    Masalah yang dikenal pasti adalah disebabkan kurangnya kitara coolant, yang boleh mengakibatkan enjin menjadi terlebih panas. Ini kemudiannya boleh menyebabkan kepala silinder retak, mengakibatkan kebocoran minyak. Sekiranya minyak berkenaan terkena permukaan enjin yang panas, dikhuatiri ini boleh menyebabkan kebakaran tercetus.

    Setakat ini, masalah berkenaan telah melibatkan 29 laporan kebakaran di Amerika dan Kanada. Pemilik masih dibenarkan memandu kenderaan mereka, tetapi dinasihatkan berjumpa dengan pengedar mereka sekiranya terdapat kesan coolant bocor, enjin terlebih panas dan perlu menambah coolant dengan kerap.

    Di Australia, 4,450 unit Kuga dan 400 unit Fiesta ST telah dipanggil balik, menurut laporan CarAdvice. Ini berlaku dua bulan selepas Ford Afrika Selatan memanggil balik 4,500 pemilik Kuga akibat masalah yang sama.

    Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby AutoConnexion kini sedang menyiasat sama ada model-model berkaitan yang dijual di Malaysia turut terlibat dengan panggilan semula ini atau sebaliknya.

     
     
  • Pandangan awal: Kawasaki Ninja 650 dan Z650 ABS – pengendalian seperti motosikal 250 cc, kuasa 68 PS

    Pandangan awal: Kawasaki Ninja 650 dan Z650 ABS – pengendalian seperti motosikal 250 cc, kuasa 68 PS

    Beberapa tahun yang dulu, Kawasaki adalah antara pencetus naiknya semula gaya hidup bermotosikal kuasa tinggi di Malaysia dengan pengenalan model ER-6. Ia adalah sebuah model yang baik, dengan pakej harga yang menarik. Walaubagaimanapun, setelah sekian lama, model yang menggunakan enjin dua silinder selari 650 cc tersebut semakin tenggelam dengan ketibaan pelbagai lagi model jenama lain.

    Untuk memastikan mereka tidak terus ketinggalan, Kawasaki kini memperkenalkan model gantian kepada ER6, dikenali sebagai Ninja 650 dan Z650 ABS 2017. Kedua-dua model baru ini menggunakan enjin sama – kapasiti masih lagi 650 cc, tetapi digelarkan oleh Kawasaki sebagai serba baru kerana banyak perubahan mekanikal dilakukan di dalamnya. Selain dua model ini, Kawasaki juga ada memperkenalkan dua lagi model lain iaitu Z900 dan Versys X-250 awal tahun ini.

    Sebelum ini hanya sekadar pra tonton, Kawasaki Motors Malaysia (KMM) semalam menganjurkan satu sesi tunggang uji ringkas Ninja 650 dan Z650 2017 untuk wakil media, melibatkan perjalanan dari Nilai ke Morib dan berpatah balik. Ia bagi memberikan rasa awal terhadap dua motosikal baru ini dan mendapatkan maklum balas berkenannya.

    Baca selebihnya di sini

     
     
  • Toyota Hilux Tonka Concept – raja di padang pasir

    Toyota Hilux Tonka Concept – raja di padang pasir

    Permainan untuk orang dewasa, dari memori zaman kanak-kanak. Kurang lebih begitulah Toyota ingin memperkenalkan sebuah model konsep yang baru dihasilkan dari sebuah trak pikap Hilux, dikenali dengan nama Toyota Hilux Tonka Concept.

    Dibangunkan oleh 150 individu dari bahagian perancangan produk dan pembangunan Toyota Australia, versi unik ini turut menandakan sambutan ulang tahun Toyota (ke-80) dan Tonka (ke-50) tahun ini. Ia dibangunkan berdasarkan Hilux dengan spesifikasi paling tinggi, Hilux SR5 2.8 liter turbodiesel yang dijual di Australia.

    Enjin berkenaan menjana 174 hp dan 420 Nm tork. Ia turut menerima banyak modifikasi untuk menjadikannya membawa imej sebuah kenderaan yang mampu mengharungi laluan apa saja. Tingginya dinaikkan sebanyak 150 mm, digandingkan dengan gandar dan suspensi tugas berat yang juga tinggi, dengan tayar berdiameter 35-inci.

    Dari segi penggayaan, palang bahagian depan adalah tambahan baru, sementara bonet diberikan kemasan ala gentian karbon serta bukaan corong udara. Untuk suasana gelap, model konsep ini dilengkapi dengan lampu LED pada palang hadapan serta di baagian bumbung.

    Untuk memastikan komponen-komponen penting sentiasa terlindung, plat aloi setebal 6 mm digunakan, begitu juga dengan tiub tubular sisi untuk melindungi badan kenderaan dan casisnya. Perubahan tambah ketara di belakang, dengan lampunya dibalut dengan elemen gentian karbon. Ada juga penggunaan spoiler bersepadu dan dua corong udara.

    Banyak lagi kelengkapan lain yang turut ditambah untuk menampakkan sisi maskulin pada trak pikap ini dalam persekitarannya yang “liar” – kapak, pemadam api, penyodok serta alatan keselamatan off-road lain. Nampak mengiurkan? Tetapi sayangnya, ia bukanlah bertujuan untuk dijual dan tidak akan dipamer dibilik pameran di sana.

     
     
  • Bangkok 2017: BMW M760Li xDrive – enjin V12 6.6L

    Bangkok 2017: BMW M760Li xDrive – enjin V12 6.6L

    Semalam, pengenalan rasmi bagi model BMW 5 Series G30 sudah pun dilakukan di Malaysia. Di BIMS 2017, ada sebuah lagi model yang dipertonton dan boleh tahan menarik; BMW M760Li xDrive dalam kemasan Exellence.

    Ia bukanlah sebuah M7 seperti mana lambang ‘M’ itu digunakan untuk model prestasi M2. Ia bagaimanapun tentang melambangkan versi yang lebih sporty dan pantas bagi 7 Series G12 ini. Ia hanya didatangkan dalam versi “Li”, dengan jarak roda yang lebih panjang. Amerika dan China menjadi pasaran utama bagi 7 Series dalam penampilan ini – lengkap dengan enjin V12.

    12 silinder, dan ia kini bukan lagi dengan enjin enam liter, sebaliknya 6.6 liter yang mempunyai pertalian dengan enjin yang digunakan oleh Rolls-Royce, ditala untuk lebih prestasi. Kenapa V12? Kerana ia ingin memberikan kelainan yang tidak dapat diberikan oleh konfigurasi enjin yang lain.

    Enjin M Performance TwinPower Turbo V12 yang diguna menghasilkan 610 hp pada 5,500 rpm dan 800 Nm dari 1,550 rpm. Walaupun angka itu kurang daripada kuasa yang dihasilkan oleh Mercedes S65 AMG (630 hp/1,000 Nm), saingan dari BMW ini bagaimanapun lebih pantas dalam kiraan 0-100 km/j dengan bacaan 3.7 saat. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j atau 305 km/j dengan pakej pilihan M Driver.

    Binaan keseluruhannya enjin menggunakan blok aluminium. Jurutera memberi tumpuan terhadap memaksimumkan ketahanan dan dalam masa sama, meminimumkan berat. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan automatik yang telah disesuaikan untuk kegunaan enjin V12 berkenaan.

    Ia datang dengan ciri-ciri seperti paddle shifter, Launch Control dan mengekalkan gear pada garis merah rpm. Sistem AWD BMW XDrive yang ada pula lebih bias kepada sistem pacuan belakang. Sistem kawalan suspensi Executive Drive Pro dan Integral Active Steering adalah standard.

    Model ini juga memberi tumpuan lebih sebagai kereta mewah berbanding prestasi sport. Luarannya, varian Excellence ini tidak menggunakan pakej aerodinamik M, sebaliknya menggunakan pakej rekaan Excellence. Ini termasuk rim 20-inci BMW Individual.

    Ringkasnya, ia kelihatan lebih miri kepada imej 7 Series biasa. Jika tidak kerana lambang V12 yang dikenakan pada C-pillar dan penutup but, pasti sukar untuk orang mengecam model ini, kerana semua sisi prestasi dan sportnya diselindung dengan sangat baik. Harganya? 12.499 juta baht (RM1.6 million).

     
     
  • Skoda Vision E Concept sedia tampil di Shanghai

    Skoda Vision E Concept sedia tampil di Shanghai

    Skoda juga ingin menunjukkan langkah mereka ke arah penawaran kenderaan elektrik, dengan pengenalan Vision E Concept, yang akan membuat penampilan semasa Shanghai Motor Show 2017 penghujung April ini. Lakaran ini dikeluarkan oleh Skoda untuk menunjukkan sebuah SUV lima pintu dengan bentuk seperti sebuah coupe.

    Jika dikira dari tayar, ke bahagian hujung badan (overhang), ia adalah pendek, dan dikatakan dapat memberikan ruang yang lebih pada bahagian dalaman kenderaan ini. Ketiadaan gril hadapan juga menjelaskan lagi bahawa ia adalah sebuah kenderaan elektrik. Dari aspek dimensi, SUV ini berukuran 4,645 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,850 mm.

    Kuasa penggerak kenderaan ini datang daripada sepasang motor elektrik – satu bagi setiap gandar, yang memberikan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 225 kW (302 hp). Skoda mendakwa ia boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 180 km/j manakala jarak pergerakan pula boleh pergi sehingga 500 km, hasil daripada penggunaan bateri jenis lithium ion dan sistem penjanaan semula kuasa.

    Skoda Vision E Concept sedia tampil di Shanghai

    Penawaran model elektrik dalam barisan kenderaan Skoda akan bermula seawal tahun 2019, dengan pelancaran model plug-in hybrid Superb. Ini akan diikuti dengan kereta elektrik bateri pertama pada tahun 2020, dan menjelang 2025, Skoda mensasarkan untuk mempunyai lima kereta elektrik dalam beberapa segmen.

    Bukan itu sahaja, Vision E juga dikata akan mencapai penarafan pemanduan automatik tahap 3. Ini bermakna, ia boleh bergerak sendiri dalam kesesakan trafik, menggunakan autopilot di lebuh raya, kekal di dalam lorong dan mengelak jika perlu, memotong, mencari ruang letak kereta dan keluar dari tempat letak kereta. Semuanya secara automatik.

     
     
  • Bangkok 2017: Nissan Navara NP300 Black Edition

    Bangkok 2017: Nissan Navara NP300 Black Edition

    Trak pikap, kemasan trim hitam dan rekaan grafik tambahan memang akan menaikkan tarikan. Kita biasa melihat trak pikap yang maskulin yang dipopularkan oleh Ford F-150 Raptor, dan kini arah rekaan yang sebegitu semakin kerap dipinjam terhadap trak dari jenama lain.

    Di Bangkok kini ada beberapa trak pikap dalam motif yang sama sedang dipamerkan. Sebelum ini, Chevrolet Colorado High Country Storm mengikut jejak yang sama, dan sebuah lagi trak yang anda lihat ini – Nissan Navara NP300 Black Edition – juga mengambil pendekatan itu.

    Bangkok 2017: Nissan Navara NP300 Black Edition

    Edisi ini yang ditawarkan bagi varian King Cab Calibre 2.5 E 6MT, Double Cab Calibre 2.5 E 6MT dan Double Cab Calibre 2.5 EL 7AT antaranya menggunakan lampu utama projektor hitam, pelindung lampu kabus hitam, gril hitam, perumah cermin sisi hitam serta pemijak sisi, rim 18 inci, bampar belakang dan pelekat hiasan pada bonet dan bumbung yang semuanya dalam rona hitam. Tiada lagi warna perak atau krom.

    Tiada perubahan mekanikal dilakukan. Jadi, model Black Edition ini turut dikuasakan dengan enjin YD25DDTi 2.5 litre turbodiesel oleh Nissan yang menghasilkan kuasa sebanyak 163 hp dan 403 Nm tork. Enjin VGS berkenaan dipadankan dengan sama ada kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik tujuh-kelajuan dengan mod manual. Harganya pula berada diantara 786,000 baht (RM100,831) hingga 918,000 baht (RM117,754) – sekitar 35,000 baht (RM4,489) lebih mahal berbanding versi biasa model ini.

     
     
  • Tesla perkenalkan Autopilot 8.1 – Autosteer lebih laju

    Tesla perkenalkan Autopilot 8.1 – Autosteer lebih laju

    Tesla akhirnya memperkenalkan perisian versi 8.1 bagi sistem Autopilot yang dibangunkannya, yang hanya didatangkan dengan kereta yang dilengkapi peranti Autopilot 2.0. Seperti diumumkan sebelumnya oleh CEO Elon Musk, kenderaan Tesla yang dilengkapi dengan peranti lengkap pemanduan automatik akan mampu menawarkan sehingga tahap 5 pemanduan autonomous melalui kemaskini perisian secara berperingkat.

    Autopilot 8.1 adalah satu daripadanya, yang turut dilengkapi ciri Autosteer dengan had kelajuan yang lebih tinggi (dari 89 km/j hingga 129 km/j). Bagaimanapun, Tesla mewajibkan kamera pada kereta untuk diselaraskan sebelum menggunakan Autosteer pada kelajuan yang lebih tinggi, yang dilakukan secara automatik dalam tempoh beberapa hari pemanduan di lebuhraya semasa.

    Ciri lain yang turut diperkenalkan ialah Auto Lane Change, sebuah ciri yang sudahpun melengkapi model Tesla yang didatangkan dengan peranti Autopilot generasi pertama. Kemaskini berkenaan termasuk Summon, yang masih dalam fasa beta untuk digunakan dengan ciri Autopark, di mana kereta boleh diarahkan untuk memasuki atau keluar dari ruang parkir garaj yang sempit.

     
     
  • Dego Ride bantutkan usaha jadi negara membangun

    Dego Ride bantutkan usaha jadi negara membangun

    Di dalam sesi Dewan Rakyat yang berlangsung semalam, sekali lagi isu berkaitan perkhidmatan Dego Ride dibangkitkan. The Sun melaporkan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dalam jawapan balasnya berkata, perkhidmatan itu akan membantutkan matlamat dan usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara membangun.

    Beliau merujuk kepada beberapa negara maju lain, seperti Singapura, Tokyo dan New York di mana perkhidmatan perkongsian motosikal tidak terdapat di sana sebagai sebahagian penyelesaian pengangkutan dalam kota.

    “Kita sedang berusaha untuk menjadi sebuah negara membangun. Kita ingin mengikut jejak sistem yang digunakan di bandar-bandar besar lain (seperti yang dinyatakan) yang lebih maju dan bukan sebaliknya,” tambah beliau.

    Kenyataan ini adalah sebagai jawapan balas kepada pertanyaan yang diajukan berkenaan mengapa perkhidmatan yang sangat sinonim dan berkesan seperti yang ada di Jakarta, Bangkok dan Manila itu tidak dibenarkan di sini.

    Aziz menjelaskan, keadaan di bandar-bandar itu berbeza dengan apa yang boleh dan telah ditawarkan di Kuala Lumpur berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan. “Di KL kini ada monorail, LRT dan MRT sebagai jaringan pengangkutan awamnya,” tambah beliau.

    Mengulas tentang mengapa kerajaan membenarkan perkhidmatan Grab dan Uber pula, Aziz memaklumkan perkhidmatan itu menawarkan pilihan pengangkutan tambahan dan selamat terutama dalam bandar. “Pilihan pengangkutan yang ada kini sudah banyak, dan kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkannya kepada motosikal pula kerana kita inginkan sebuah bandar yang mapan dan mesra alam,” tambahnya.

    Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Dego Ride untuk memberhentikan perkhidmatannya, dan memaklumkan penyedia perkhidmatan itu akan dikenakan tindakan tegas sekiranya enggan mematuhi arahan berkenaan.

     
     
  • Hyundai Tucson T-GDI turbo dipamer di Mid Valley

    Hyundai Tucson T-GDI turbo dipamer di Mid Valley

    Pengedar rasmi kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors telah mengesahkan kepada kami bahawa Hyundai Tucson akan menerima pilihan dua lagi enjin baru tidak lama lagi, dan satu daripadanya, iaitu model T-GDI kini sedang dipamerkan di pusat beli-belah Mid Valley. Bukan setakat enjin saja yang diubah, kereta ini juga mempunyai kelengkapan tambahan lain.

    Pada bahagian luar, model ini boleh dibezakan dengan Tucson biasa melalui adanya lampu utama projector LED dengan lampu siang serta lampu penjuru LED, serta cat yang lebih gelap pada rim 17 incinya. Rim 19 inci lima cabang pula disediakan sebagai pilihan tambahan, dan disertakan dengan tayar 245,45R19, berbanding 225/45R17 untuk rim 17 inci.

    Malangnya, kereta ini dikunci. Tetapi, tidak banyak yang berubah di dalam. Terdapat kamera hadapan, melengkapi kamera belakang yang sedia ada pada Tucson standard, dan pintu but kuasa elektrik dengan operasi tanpa sentuh.

    Selain daripada itu, kit standard sepatutnya sama sahaja dengan model paling tinggi yang dijual sekarang, iaitu Executive. Ini termasuk lampu kabus depan dan belakang, lampu puddle, operasi tanpa kunci, butang pemula enjin, stereng pelbagai fungsi, kemasan kulit, tempat duduk pemandu larasan elektrik, kawalan tiga mod Drive Mode Control (Normal, Sports dan Eco) dan skrin informasi TFT LCD Supervision 4.2 inci.

    Kelengkapan lain yang akan disertakan pada kereta ini adalah brek kecemasan elektronik, cermin pandang belakang malap automatik dengan kompas, corong pendingin hawa di belakang, sistem informasi dan hiburan berasaskan Android dengan skrin lapan inci dan cruise control. Ciri keselamatan yang ada pula terdiri daripada enam beg udara, ABS, EBD, BA, hill start assist, hill descent control dan cagak ISOFIX.

    Di bawah hud kereta ini terdapat enjin empat silinder T-GDI 1.6 liter turbo direct injection yang mampu menghasilkan 177 PS pada l5,500 rpm dan 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm – satu peningkatan yang jelas berbanding 155 PS dan 192 Nm pada model 2.0 liter yang ada sekarang. Ia masih lagi menggunakan pacuan roda hadapan, tetapi kotak gear kini menggunakan unit klac berkembar tujuh kelajuan berbanding automatik enam kelajuan biasa.

    Model T-GDI ini akan disertai oleh varian turbodiesel CRDi, yang mampu menawarkan 182 hp pada 4,000 rp dan 400 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm yang datang daripada enjin 2.0 liter diesel dan kotak gear automatik enam kelajuan.

     
     
  • Pengusaha stesen minyak berhadapan tindakan tegas jika gagal patuhi penetapan harga bahan api mingguan

    Pengusaha stesen minyak berhadapan tindakan tegas jika gagal patuhi penetapan harga bahan api mingguan

    Sebentar tadi, telah diumumkan harga bahan api bagi tarikh 30 Mac hingga 5 April 2017, menyaksikan penurunan harga bagi RON 95 sebanyak 17 sen iaitu RM2.13, manakala RON 97 turun 19 sen menjadi RM2.41. Sementara itu, diesel pula mencatatkan penurunan harga paling sedikit di antara ketiga-tiganya, dengan 9 sen lebih rendah.

    Sebelum itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan syarikat dan pengusaha stesen minyak yang gagal mematuhi penetapan harga petrol serta diesel secara mingguan, bakal berdepan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

    Katanya lagi, hukuman yang diperuntukkan di bawah akta itu ialah denda maksimum RM500,000 bagi syarikat sementara dan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu, laporan Bernama.

    Katanya melalui beberapa siri perbincangan bersama syarikat dan pengusaha stesen minyak sebelum ini, mereka telah menyatakan persetujuan untuk menambah baik mekanisme berkenaan.

    Malah sebelum ini, beliau pernah berkata, pengendali stesen minyak yang ingin memberikan potongan harga atau promosi dari harga siling bagi bahan api yang dijual perlu menghantar permohonan kepada kerajaan terlebih dahulu.

    Pada 22 Mac lalu, Kerajaan telah mengumumkan harga siling baharu bagi bahan api petrol dan diesel akan diumumkan secara mingguan iaitu pada setiap hari Rabu, bermula 29 Mac 2017. Dan harga baharu tersebut akan berkuatkuasa pada hari berikutnya.

     
     
  • Harga bahan api 30 Mac – 5 April 2017 – RON 95 turun 17 sen, RON 97 turun 19 sen dan diesel turun 9 sen

    Harga bahan api 30 Mac – 5 April 2017 – RON 95 turun 17 sen, RON 97 turun 19 sen dan diesel turun 9 sen

    Malam ini merupakan kali pertama kaedah penetapan harga bahan api dilakukan secara mingguan, selepas ia diumumkan secara bulanan sebelum ini. Berkuatkuasa tengah malam nanti, harga bahan api akan menjadi sedikit rendah dan kekal sepanjang tempoh 30 Mac hingga 5 April nanti.

    Petrol RON 95 yang pada bulan lalu dijual pada harga RM2.30 seliter akan menjadi 17 sen lebih murah dan dijual pada harga RM2.13 untuk tempoh seminggu ke hadapan.

    Bagi RON 97, harganya juga turun sebanyak 19 sen. Harga jualannya kini RM2.41 seliter berbanding RM2.60 sepanjang bulan Mac. Sementara itu, diesel pula mencatatkan penurunan harga paling sedikit di antara ketiga-tiganya, dengan 9 sen lebih rendah.

    Sepanjang Mac, diesel dijual RM2.20 seliter dan RM2.30 seliter bagi diesel Euro 5. Dengan harga baru ini, masing-masing akan dijual pada harga RM2.11 dan RM2.21.

     
     
  • Lexus NX facelift diperkenal di Auto Shanghai 2017

    Lexus NX facelift diperkenal di Auto Shanghai 2017

    Selepas penampilan perdananya tiga tahun lalu di Auto China 2014, Lexus NX kini akan menerima perubahan facelift yang pertama. NX yang dikemaskini itu direncanakan untuk membuat penampilannya juga di China, ketika Auto Shanghai 2017 April nanti, berkongsi pentas dengan LS 500h.

    Berikutan pengumuman itu, pengeluarnya turut mendedahkan satu-satunya gambar teaser NX terbaru berkenaan, yang menampilkan lampu utamanya yang diberi rekaan semula. Lampu ada model semasa yang mempunyai LED tiga sebaris telah digantikan dengan satu kluster tunggal yang menyatukan ketiga-tiganya. DRL di bawah dalam bentuk L juga dipendekkan sedikit untuk disesuaikan dengannya.

    Selebihnya yang dipersembahkan hanyalah bayangan kepada keseluruhan model berkenaan dalam imej yang terpisah-pisah. Gril bagaimanapun nampak seperti mengekalkan bentuknya pada model sedia ada. Menurut Lexus, NX terbaru ini akan hadir dengan rekaan luaran yang diperkemas, juga dengan peningkatan di bahagian dalaman untuk memberikan lebih keselesaan dan fungsi kepada penumpang.

     
     
  • Petronas dan Grab perkenal program Kad Mesra Grab – berikan penjimatan untuk belian petrol dan pelincir

    Petronas dan Grab perkenal program Kad Mesra Grab – berikan penjimatan untuk belian petrol dan pelincir

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Grab Malaysia telah menandatangani kerjasama jangka panjang, yang menyaksikan program kesetiaan pelanggan baharu dilancarkan iaitu Kad Mesra Grab. Kad berkenaan menerusi kerjasama ini membolehkan pemandu GrabCar menikmati faedah dan ganjaran yang eksklusif.

    Dengan Kad Mesra Grab ini, pemandu bakal menerima penjimatan untuk pembelian bahan api dan juga minyak pelincir. Bukan itu sahaja, mereka juga layak untuk menerima promosi Kedai Mesra serta boleh mendapatkan mata ganjaran untuk setiap pembelian yang dibuat pada semua stesen Petronas seluruh negara.

    “Kami agak teruja dengan kerjasama ini kerana ia menyatukan dua organisasi berpandangan sama dalam perniagaan yang menekankan usaha tanpa sepadan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan dalam industri pengangkutan. Grab menawarkan peluang untuk berkembang dengan pesat untuk PDB, memanfaatkan jaringan pemandu yang luas yang akan menguatkan lagi posisi kami sebagai pembekal utama bahan api dan pelincir di Malaysia,” kata Aadrin Azly, ketua jabatan perniagaan runcit di Petronas.

    “Salah satu sebab utama pengasas bersama kami mewujudkan Grab (sebelum ini dikenali sebagai MyTeksi) adalah untuk membantu memperbaiki kebajikan pemandu teksi dan GrabCar. Oleh itu, kami secara konsisten mencari peluang untuk mengenalpasti dan memberikan ganjaran kepada pemandu kami bagi kerjasama mereka,” kata Sean Goh, ketua Grab Malaysia.

    “Kami secara konsisten memperbaiki skema faedah pemandu kami, dengan mencari kerjasama yang boleh membantu kami untuk menambah lebih nilai kepada rakan-pemandu kami dengan mengurangkan kos operasi harian bagi membolehkan pendapatan akhir mereka dimaksimakan. Selain dari faedah untuk bahan api dan minyak pelincir serta diskaun ekslusif menerusi Kad Mesra Grab, mereka turut akan menerima baucar beli-belah atas talian, penyegar udara kereta, tawaran makanan dan minuman dan juga faedah penjagaan kenderaan,” tambah Goh.

    Program kesetiaan pelanggan ini bukan satu-satunya kerjasama yang dimeterai oleh kedua-dua syarikat. Pada masa akan datang, PDB dan Grab dijangka bakal bekerjasama pula dalam program tanggungjawab sosial tahun ini, yang melibatkan penyertaan pemandu Grab untuk memberikan sumbangan terhadap penambahbaikkan dalam masyarakat.

     
     
  • SsangYong Rexton 2018 – imej rasmi pertama disiar

    SsangYong Rexton 2018 – imej rasmi pertama disiar

    SsangYong akhirnya mempertontonkan Rexton 2018, yang akan menyertai Tivoli sebagai usaha pengeluar kenderaan Korea Selatan itu untuk memperbaharui identiti jenamanya. Dibangunkan dengan nama Y400, model ini mengambil pengaruh yang sangat kuat dari model LIV-2 Concept yang dipertonton di Paris tahun lalu.

    Model baru ini akan menjadi utama dalam barisan kenderaan yang ditawarkan SsangYong, diposisikan di atas Korando dan SUV tujuh-tempat duduk yang dipertonton disamping XAVL Concept di Geneva awal tahun ini. Dari segi dimensi, Rexton memiliki panjang 4,850 mm, 1,920 mm lebar, 1,800 mm tinggi dengan jarak roda 2,865 mm.

    Menurut SsangYong, SUV besar ini dibangun berpandukan struktur badan Quad-Frame, menggunakan 1.5 Gpa giga-steel – yang pertama seumpamanya di dunia. Ia juga melibatkan penggunaan 63% besi berkekerasan tinggi termaju (advanced high strenght steel, AHSS) yang memberikan kekuatan tambahan bagi bahagian badan dan dalam masa sama lebih ringan.

    SsangYong Rexton 2018 – imej rasmi pertama disiar

    Penggayaan luarannya hampir sama dengan model LIV-2 Concept, dengan sedikit perubahan. Gril dengan dengan bentuk hexagonal kini menerima tiga barisan melintang, dan lampu utama kelihatan lebih konvensional. Sementara itu, lampu kabus pula dialih sedikit ke atas di bahagian sisi bampar.

    Gambar yang didedahkan hanya menunjukkan model ini dari sudut terpilih dan terhad sahaja. Namun, ia dijangka akan mengikut jejak rekaan yang mirip dengan model konsep yang dipamer di Paris dulu. Begitu juga dengan perincian spesifikasi mekanikal lainnya, masih tidak banyak yang diketahui.

    Namun, adalah difahamkan, model ini nanti akan dikuasakan oleh dua pilihan enjin, petrol dan diesel bersih. Ciri AWD dijangka turut akan ditawarkan, memandangkan jenama itu sebelum ini memang sinonim dengan sistem pacuan itu. Antara ciri lain yang disebut-sebut akan melengkapi model ini ialah Apple Carplay, Android Auto, sembilan beg udara, 3D Around View Monitoring (AVM) dan skrin sentuh 9.2 inci HD.

     
     
  • Bangkok 2017: Chevy Colorado High Country Storm

    Bangkok 2017: Chevy Colorado High Country Storm

    Pada Bangkok International Motor Show tahun ini, Chevrolet tidak mempunyai model baharu untuk diperkenalkan. Jadi jenama berkenaan membawa kereta sport klasik mereka iaitu Corvette Stingray, serta trak klasik dan model terkini Silverado untuk tatapan pengunjung. Mereka turut membawa versi istimewa trak pikap Colorado facelift, digelar Chevrolet Colorado High Country Storm.

    Trak pikap istimewa ini diasaskan dari varian tertinggi High Country, dan ia merupakan varian untuk pasaran Thailand sahaja, diberikan pelbagai ciri tambahan serta rupa luaran lebih agresif. Ia dilengkapi bar sport, rim aloi 18-inci, pemegang pintu, pemegang tailgate serta bampar belakang dengan penderia parkir yang kesemuanya diberikan warna hitam.

    Ia turut diberikan pelekat berwarna hitam bersama logo High Country, pelekat badan Storm serta penutup cermin sisi berwarna hitam. Model yang dipamerkan ini hadir dengan warna badan Blue Me Away, tetapi ia tetap ditawarkan dengan lima pilihan warna lain iaitu Pull Me Over Red, Black Meet Kettle Metallic, Summit White, Satin Steel Grey Metallic dan Auburn Brown Metallic.

    Bangkok 2017: Chevy Colorado High Country Storm

    Chevrolet Colorado High Country Storm turut diberikan bantuan parkir hadapan, kamera undur, lampu dan penggilap cermin automatik, dan juga penghidup enjin kawalan jauh. Trak ini turut hadir dengan sistem infotaimen Chevrolet MyLink, Apple CarPlay dan Siri Eyes Free.

    Untuk keselamatan, ia diberikan tiga-beg udara (dua di hadapan dan satu pada lutut pemandu), ESC, Kawalan Menurun Bukit, Bantuan Mula Mendaki, Amaran Keluar Laluan, Amaran Pelanggaran Hadapan serta sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Di Thailand, model istimewa ini dijual pada harga 1.028 juta baht (RM131,582) untuk versi 4X2 dan 1.098 juta baht (RM140,563) untuk 4X4. Ia dijana oleh enjin 2.5 liter turbodiesel VGT Duramax berkuasa 180 hp/440 Nm. Enjin Euro berkenaan dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan.

     
     
  • Bangkok 2017: Nissan Note, kereta eco terkini Thai

    Bangkok 2017: Nissan Note, kereta eco terkini Thai

    Nissan Note merupakan kereta eco terkini bagi pasaran di Thailand. Dilancarkan Januari lalu, ia merupakan kereta eco ketiga Nissan selepas March Hatchback dan Almera sedan, dan merupakan yang terakhir bagi Fasa 1 projek kereta eco.

    Tetapi, Note bukan sebuah model baru; dalam penampilan generasi keduanya sejak 2012. Kereta dengan bumbung tinggi dengan lima-pintu itu diberikan sentuhan facelift untuk pasaran Jepun tahun lalu. Versi yang diperkenalkan untuk Thailand ini adalah berdasarkan model yang terkini – hadir dengan gril V-Motion, LED belakang dalam rekaan boomerang serta stereng dengan rekaan rata di bahagian bawah.

    Bagaimanapun, JDM Note e-Power dengan sistem hibrid tidak ditawarkan, kerana matlamat projek berkenaan ialah untuk memberikan harga rendah dengan nilai terbaik kepada pengguna. Enjin yang digunakan oleh Note ialah HR12DE 1.2L tiga-silinder yang sama pada model March dan Almera, dengan janaan 79 PS dan 106 Nm tork. Kotak gear pula dari jenis Xtronic CVT. Penggunaan bahan apinya mampu mencecah 5 liter / 100 km.

    Nissan Note ialah model yang sama jenis dengan Honda Jazz, dengan ruang kabin yang luas menjadi antara keunikannya. Jarak roda 2,600 mm (70 mm lebih panjang dari Jazz), dan 1,535 mm tinggi (11 mm lebih tinggi). Apa pun, Jazz 1.5L di Thailand tidak tertakluk di bawah kereta eco di Thailand. Ini menjadikan Note mempunyai lebih kelebihan dari faktor harga.

    Dua varian ditawarkan; dengan harga 568,000 baht (RM72,692) bagi varian V dan 640,000 baht (RM81,905) bagi varian VL. Kelengkapan standardnya termasuk lampu utama projektor, masukan tanpa kunci dengan Push Start, pendingin hawa automatik, meter Fine Vision, skrin sentuh lima-inci, dua beg udara, ABS/EBD/BA, kawalan kestabilan dan Hill Start Assist.

    Varian VL mempunyai lebih ciri tambahan; antaranya lampu utama LED, lampu kabus, spoiler belakang, nisbah lipatan 60:40 serta butang pada stereng. Ciri keselamatan aktif pula terdiri daripada Forward Collision Warning (FCW), Nissan Intelligent Emergency Braking, Forward Emergency Braking, Lane Departure Warning, Around View Monitor dan Moving Object Detection.

    Jika model ini dibawa masuk untuk pasaran Malaysia, adakah anda fikir ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan berbanding Honda Jazz? Tambahan pula, sekiranya ia dijual pada harga yang lebih rendah, adakah kemungkinan untuk itu berlaku?

     
     
  • Toyota Corolla iM 2017 – penampilan pertama untuk Formula D; dengan 1,000 hp kuasa dan 1,152 Nm tork

    Apa yang sedang anda lihat ini ialah jentera Papadakis Racing bagi perlumbaan Formula Drift musim akan datang, ditaja oleh Rockstar Energy Drink dan Nexen Tire. Kelebihannya? Ia menjana kira-kira 1,000 hp kuasa. Seperti yang dapat dilihat, jentera ini diasaskan daripada model Toyota Corolla iM 2017.

    Seperti biasa didengar; Corolla dan drift? Jika anda membayangkan Initial D, maka jawapannya memang tepat. Pasukan yang merangkul kemenangan paling banyak dalam Formula Drift ini juga tahu tentang itu, dan untuk memperkenalkan jentera lumba terkini, mereka membikin semula video aksi sebenar sebagai tribute kepada anime Jepun lagenda itu.

    “Kami tahu peminat ternanti-nantikan pengumuman jentera ini. Dengan pengenalan seperti ini, kami sangat gembira. Corolla bukanlah nama asing bagi kebanyakan orang, dan kami berbangga untuk membawanya meraih kejuaraan lagi selepas ini,” jelas pemilik pasukan, Stephan Papadakis.

    Toyota Corolla iM 2017 – penampilan pertama untuk Formula D; dengan 1,000 hp kuasa dan 1,152 Nm tork

    “Ramai di antara kita yang membesar dengan menonton Initial D. Perasaannya sangat mengujakan untuk membawa kereta ini ke laluan pergunungan sebagai sebuah tribute kepada sejarah drifting itu sendiri,” jelas pemandu pasukan, Fredric Aosbo, yang juga juara Formula D 2015 dan akan memandu jentera ini kelak.

    Jentera ini menggunakan enjin 2AR 2.7 liter dan menggunakan bahan api E85 bio-ethanol. Dengan turbo BorgWarner EFR dan penyuntik minyak AEM Infinity, ia mampu menghasilkan 1,000 hp kuasa dan 1,152 Nm tork. Semua kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi Gforce GSR empat-kelajuan. Ia menggunakan roda dari Motegi Technomesh D dengan tayar Nexen N’fera SUR4 (245/50 depan dan 275/40 belakang).

    Ia dijangka akan membuat penampilan pertama di litar Formula D hujung bulan ini di Long Beach, California. Kami sediakan juga video asal Initial D yang dirujuk untuk pembikinan video baru oleh RockstarD ini. Semoga menikmati.

     
     
  • BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Setelah setahun Mercedes-Benz E-Class W213 tanpa saingan sebenar dalam pasaran, akhirnya BMW 5 Series G30 secara rasminya di lancarkan di Malaysia. Buat permulaan, 5 Series generasi ketujuh ini hanya ditawarkan dalam varian 530i, dan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU).

    Untuk pasaran Malaysia, 530i G30 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM398,800. Ia ditawarkan dengan warna Black Sapphire, Sophisto Grey Brilliant Effect, Alpine White dan Mediterranean Blue. Warna luaran berkenaan akan dipadankan dengan upholsteri dalaman berwarna hitam (Leather Dakota Black) yang diserlahkan dengan jahitan biru atau Kulit Dakota Cognac bersama jahitan berwarna kontras (hanya untuk warna putih, kelabu dan hitam). Setiap pembelian akan diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    5 Series G30 ini diperkenalkan untuk peringkat global buat pertama kali pada Oktober tahun lalu, dan dibina berasaskan platform modular baharu Cluster Architecture (CLAR), asas yang sama untuk pembinaan 7 Series G12. Dengan dimensi 4,936 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,479 mm tinggi, G30 ini ternyata lebih besar dari model sebelumnya dengan ukuran 37 mm lebih panjang, 8 mm lebih lebar dan 17 mm lebih tinggi berbanding 5 Series F10.

    Walaupun ia kini lebih besar, model baharu ini sebenarnya 100 kg lebih ringan dari sebelum ini. BMW berjaya mengurangkan berat kereta ini tanpa struktur asas karbon seperti 7 Series, dan hanya bergantung pada aluminium, keluli berketegaran tinggi serta magnesium. Kekuatan badan dan ketegaran torsi juga telah dipertingkatkan.

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Untuk rekaan luaran, 5 Series generasi baharu ini menampilkan rekaan muka signatur terkini dengan lampu hadapan bersambung bersama gril ‘kidney‘ tradisi BMW. Ia diberikan lampu hadapan LED Adaptif BMW sepenuhnya serta lampu nyalaan siang LED yang kini dipertingkatkan dengan lampu berbentuk bulat serta lampu tinggi yang menawarkan jarak sehingga 500 meter.

    Pada bahagian sisi, liang aliran udara diberikan pada bahagian belakang ruang roda hadapan yang berperanan untuk mengurangkan tekanan pada ruang roda berkenaan – bersama udara kemasukan dari liang hadapan bagi memberikan aerodinamik lebih baik dengan pekali geseran sehingga 0.22 cd. Di bawah garis bahu utama, satu lagi garis badan diberikan bermula dari bahagian atas roda hadapan, hingga ke bahagian tiang-C.

    Bahagian belakang G30 ini menampilkan lampu tipikal berbentuk-L BMW, seiras dengan model-model terkini jenama berkenaan. Dengan pakej penampilan M-Sport, ia hadir bersama rim 19-inci berwarna hitam serta brek M-Sport berwarna biru, dan juga kit badan M Aerodynamics yang didatangkan dengan warna badan terdiri dari penutup sil sisi, apron hadapan dan belakang.

    Masuk kebahagian dalaman, G 30 diberikan tempat duduk hadapan dengan larasan berkuasa, membolehkan pemandu mendapatkan posisi pemanduan terbaik serta dengan bentuk yang sporty. Papan pemuka generasi terkini ini direka lebih tirus berbanding model terdahulu bersama skrin iDrive utama baharu yang berdiri sendiri.

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Kabin model baharu ini juga diberikan lampu suasana pelbagai warna, serta sistem audio 600 watt Harmann Kardon dengan 16-pembesar suara, selain dari sistem penghawa dingin automatik empat-zon. Selain itu, 530i turut diberikan kemasan bendul pintu M bernyala, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit M da juga set pedal sport M.

    Bagi sistem infotaimen iDrive, ia masih lagi bleh dikawal menggunakan gestur, suara asli atau sentuhan kepada skrin besar bersaiz 10.25-inci. Apa yang berbeza, susunan enam petak pada interface kini telah dibahagikan kepada dua bagi memberikan info langsung pada masa yang sama. Petak-petak berkenaan masih lagi boleh disusun semula oleh pemilik, seperti interface pada telefon pintar atau tablet.

    5 Series generasi baharu ini turut diberikan kunci dengan paparan LCD berwarna dan panel kawalan sentuh digelar BMW Display Key yang boleh menunjukkan pelbagai maklumat tentang status kenderaan. Sistem Comfort Access turut diberikan bagi memudahkan bukaan but belakang tanpa mnggunakan tangan. BMW ConnectedDrive diberikan secara standard yang menawarkan kemudahan Intelligent Emergency Call, BMW Teleservices, Concierge Services dan Remote Services.

    Untuk model 530i ini, ia dijana enjin petrol B48 2.0 liter empat-silinder turbo dengan valvetronic dan double-VANOS, menghasilkan kuasa 252 hp/350 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dari ZF, dan mampu mencatatkan 6.2 saat untuk pecutan 0-100 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 5.8 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan, serta menghasilkan 132 gram karbon dioksida untuk setiap 1 km.

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Bagi pengendalian pula, G30 diberikan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan serta gandar belakang dengan hubungan lima bahagian, yang lebih ringan serta lebih canggih dari sebelum ini, memberikan stabiliti dan kelincahan yang lebih baik, serta mengurangkan daya olengan tanpa mengorbankan keselesaan. Cagak serta sistem sokongan yang lebih besar turut membantu untuk menjadikan kereta ini lebih senyap.

    Ia turut dibantu sistem Driving Experience Control yang akan menghubungkan enjin, unit janakuasa dan casis untuk menyesuaikan keadaan pemanduan, dan kini turut menerima mod Adaptive bagi tambahan kepada mod Eco Pro, Comfort dan Sport. Mod baharu berkenaan membolehkan semuanya dilaraskan secara automatik berdasarkan corak pemaduan dan juga laluan yang bakal ditempuhi, mengambil input dari pedikit, stereng, posisi tuil penukar gear serta data navigasi.

    G30 turut menerima sistem pemaduan separa-automatik menerusi sistem Cruise Control aktif dengan fungsi Stop&Go yang boleh beroperasi dari kedudukan pegun hingga kelajuan 210 km/j, dan ia turut boleh mengesan dua kenderaan di hadapannya bagi pemanduan yang lebih lancar, serta mampu membuat keputusan pada susur keluar lebuhraya dan juga pada laluan bulatan.

    5 Series baharu ini turut diberikan Lane Departure Warning dan Lane Change Warning, selain dari fungsi Approach Control Warning & Person Warning dengan City Brake. Sistem itu akan memberi amaran dan membrek pada kelajuan antara 10km/j sehingga 60km/j untuk manusia dan mencecah 80km/j bagi kenderaan lain.

    Sekiranya kemalangan tidak dapat dielakkan, fungsi City Braking akan membantu mengurangkan impak pelanggaran. Approach Control Warning pula akan memberi amaran jika pelanggaran mungkin berlaku dengan kenderaan di hadapan pada kelajuan lebih tinggi. Ia berfungsi dengan mememastikan respon brek diberikan lebih pantas dan jarak membrek yang lebih pendek.

    Ciri baharu lain yang diberikan adalah Amaran Lintasan Trafik, digabungkan dengan kamera undur, yang akan memberikan amaran secara visual dan akustik kepada pemandu sekiranya ia mengesan pemandu berkenaan membuat jangkaan yang salah, serta memberikan brek awalan bagi memendekkan jarak berhenti.

    Rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris, Jonathan Lee, telah menguji 5 Series generasi baharu ini dalam versi lebih tinggi 540i di Lisbon, Portugal, sebelum ianya dibawa ke Malaysia, dan anda boleh membaca ulasan tersebut di sini. Anda juga boleh lihat spesifikasi penuh model baharu ini pada laman Carbase.my.

    GALERI:Gambar rasmi BMW 5 Series G30

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026