Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • UMW Toyota akan buka semula pusat servis terpilih

    UMW Toyota akan buka semula pusat servis terpilih

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah mengumumkan bakal membuka semula beberapa pusat servis rasmi Toyota terpilih, serta memulakan operasi cawangan servis terpilih untuk kecemasan dan keperluan servis segera dalam kapasiti minimum. Langkah ini diambil selepas mendapat kelulusan MITI untuk kembali beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa ketiga.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, perkhidmatan kepada pelanggan adalah berdasarkan temujanji sahaja. Di mana pelanggan perlu menghubungi pusat servis terdekat untuk mengesahkan pusat servis berkenaan telah mula beroperasi, dan seterusnya menetapkan temujanji yang sesuai sebelum datang ke premis. Pelanggan juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi PKP ketika dalam perjalanan.

    Selain, UMWT turut akan tetap mengambil langkah-langkah seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan keselamatan dan perlindungan pelanggan ketika mereka berada di pusat servis. Malah menasihati pelanggan agar terus menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter atau lebih bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan virus.

    UMW Toyota akan buka semula pusat servis terpilih

    “Kami selalu meletakkan pelanggan sebagai keutamaan, dan untuk itu semua kenderaan Toyota yang dihantar ke pusat servis akan diperiksa secara menyeluruh untuk memastikan ia berada dalam keadaan terbaik. Bagaimanapun, kami juga ingin menggesa pelanggan untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan membantu untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

    Berkenaan semua kenderaan yang dibeli daripada UMWT atau pengedar rasmi dengan tempoh jaminan sah yang berakhir di dalam tempoh PKP, lanjutan 30 hari akan diberikan bermula dari hari terakhir PKP dilaksanakan nanti.

    UMWT juga akan terus menyediakan sokongan serta bantuan kepada semua pelanggan yang mempunyai sebarang kecemasan atau pertanyaan sepanjang tempoh PKP melalui talian hotline 1800-8-TOYOTA (869682) atau e-mel [email protected] bagi sebarang pertanyaan dan bantuan umum. Manakala untuk bantuan kecemasan 24 jam pula boleh hubungi 1800-888-247.

     
     
  • Honda hasilkan iklan Civic yang dibuat sepenuhnya di rumah ketika kawalan pergerakan bendung Covid-19

    Ketika kawalan pergerakan yang berlangsung di seluruh dunia bagi membendung penularan wabak Covid-19, masyarakat perlu lakukan sesuatu yang baharu bagi memastikan hidup kita berjalan seperti biasa walaupun tidak boleh keluar dari rumah dan bergaul dengan komuniti.

    Video di atas ini adalah iklan sedan Honda Civic yang dibuat oleh Honda UAE, yang mendakwa ia “mungkin iklan kereta pertama dalam dunia yang ditulis, diarah, disunting dan ditonton secara keseluruhannya di dalam rumah”. Macam mana nak buat iklan sedemikian? Ya, Honda guna model Civic dalam skala jauh lebih kecil untuk penggambaran iklan ini.

    Ia memaparkan perincian luaran Civic berkenaan yang begitu realistik, dan mungkin hanya akan perasan ia hanya sebuah model skala ketika bergerak di bawah meja, atau ketika pintunya ditutup oleh tangan ‘gergasi’ pada pengakhiran video tersebut.

    Selain dari mempromosikan Civic, iklan ini juga sebenarnya menggalakkan orang ramai untuk tidak keluar dari rumah, bagi mengelakkan diri dari dijangkiti Coronavirus yang sedang mengganas sekarang. Seperti juga di Malaysia, UAE khususnya di Dubai, pergerakan rakyat dikawal dimana tiada siapa dibenarkan keluar dari rumah sesuka hati kecuali untuk membeli barangan keperluan (hanya seorang sahaja dalam satu keluarga dibenarkan), kecemasan, ataupun mereka yang terlibat dalam sektor essential service.

     
     
  • P. Pinang sediakan kad pergerakan PKP untuk yang terlibat sebagai peniaga dan penghantar makanan

    P. Pinang sediakan kad pergerakan PKP untuk yang terlibat sebagai peniaga dan penghantar makanan

    Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memperkenalkan Kad Pergerakan PKP bagi peniaga, penjaja dan petugas penghantar makanan yang beroperasi di pulau itu sepanjang tempoh PKP, lapor The Star. Menurut Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang, langkah itu dilakukan bagi meninjau, mengawal dan menyelaras pergerakan mereka yang terlibat, dalam usaha untuk memudahkan urusan polis sepanjang PKP.

    Dua kumpulan yang layak mendapatkan kad berkenaan ialah peniaga makanan dan penghantar makanan, yang bertugas untuk menghantar makanan atau barang keperluan harian seperti makanan basah, sayur dan buah dan sebagainya yang berkaitan. Mereka boleh memohon melalui laman Facebook MBPP, dengan yuran sebanyak RM5 dikenakan bagi setiap kad.

    “Perkara ini diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan polis P. Pinang untuk memudahkan pemberian kelonggaran bagi mereka yang perlu bertugas berkaitan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan. Bagaimanapun pemegang kad ini hanya boleh menggunakannya dalam jarak 10 km dari alamat perniagaan mereka.

    “Kad ini hanya akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk memudahkan pergerakan ketika PKP. Tolong jangan salah guna. Kami ada hak untuk membatalkannya pada bila-bila masa tanpa sebarang notis sekiranya pemegang didatapi menyalahgunakan kad berkenaan,” ujar Yew. Harapnya, kalau kemudahan begini sudah disediakan untuk mereka yang berkaitan, tak adalah pihak yang saja-saja menyalahgunakannya. Nanti menyusahkan orang lain yang memerlukan.

     
     
  • VPCM kemaskini kempen “Welcome Back” – diskaun 10%, tempahan diutamakan bagi barisan hadapan

    VPCM kemaskini kempen <em>“Welcome Back”</em> – diskaun 10%, tempahan diutamakan bagi barisan hadapan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengemaskini kempen selepas jualan “Welcome Back” yang memberikan manfaat tambahan kepada pemilik Volkswagen yang bertugas sebagai barisan hadapan (frontliner) dalam memperjuangkan pencegahan penularan COVID-19 di negara ini.

    Manfaat baharu yang kini menjadi sebahagian daripada kempen berkenaan termasuklah tempahan yang diutamakan, pembersihan kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 10% untuk jumlah keseluruhan bil. VPCM berkata inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan bagi semua petugas barisan hadapan untuk meringankan beban mereka selain memberikan ketenangan pemilihan.

    Bagi mendapatkan manfaat yang ditawarkan ini, mana-mana pemilik Volkswagen yang merupakan barisan hadapan perlulah memberikan butiran mengenai bidang masing-masing apabila mendaftar di laman web rasmi VPCM. Daripada situ, wakil jualan Volkswagen akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan, dan apabila sudah mendapat kelulusan, manfaat tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Volkswagen Cares mereka.

    Pemilik tersebut akan menikmati manfaat tersebut untuk temujanji pra-temoahan, di mana ia boleh dilakukan dalam tempoh 30 hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan semua pusat servis dibuka semula. Untuk mereka yang bukan bertugas sebagai barisan hadapan, mereka akan menerima cenderahati percuma apabila mendaftar dalam tempoh kempen “Welcome Back” ini.

    Untuk mereka yang belum menebus servis penyelenggaraan percuma atau pun bukan ahli Volkswagen Care Plus (VCP) layak untuk menerima baucer minyak enjin bernilai RM50. Syarikat ini juga akan terus melanjutkan tempoh waranti bagi kereta yang tidak dapat memenuhi jadual penyelenggaraan sepanjang tempoh PKP.

     
     
  • PKP: Operasi mesin ATM kini hanya sampai 8 malam

    PKP: Operasi mesin ATM kini hanya sampai 8 malam

    Macam-macam alasan orang cari untuk mengesahkan tindakan mereka keluar rumah sepanjang PKP ini, terutama sekali di waktu malam ketika semua urusniaga seperti kedai makan telah ditetapkan tamat pada 8 malam sebelum ini.

    Antara pemerhatian yang dilakukan oleh pihak berkuasa baru-baru ini, segelintir warga menggunakan alasan keluar rumah untuk ke mesin ATM bagi mengeluarkan duit. Disebabkan perkara ini, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam taklimat hariannya semalam memaklumkan bahawa semua operasi mesin ATM perlu ditamatkan pada jam 8 malam setiap hari (8 pagi hingga 8 malam sahaja) sepanjang baki PKP yang berlangsung.

    “Polis memberi makluman kepada kita bahawa ramai orang yang masih keluar di sebelah malam dengan alasan untuk ke mesin ATM, menyatakan ada kecemasan. Jadi, komiti bertanggungjawab telah mengambil keputusan untuk menghadkan tempoh operasi semua mesin ATM. Tak ada lagi alasan untuk mereka keluar di sebelah malam untuk keluarkan wang,” tambah beliau.

    Setakat semalam, jumlah kes baru positif Covid-19 di Malaysia sekali lagi dilaporkan di bawah 100 kes (84 kes sahaja), menjadikan jumlah keseluruhan 5,389 kes. Lengkuk graf positif jangkitan mungkin telah mendatar dan stabil, tetapi kita masih jauh daripada mengatasi jangkitan ini. Jadi, terus kekal di rumah melainkan anda terlibat dengan urusan atau perkhidmatan penting.

     
     
  • Polis tangkap 1,174 individu yang didapati ingkar PKP semalam, beberapa kawasan lagi dikenakan PKPD

    Polis tangkap 1,174 individu yang didapati ingkar PKP semalam, beberapa kawasan lagi dikenakan PKPD

    Memasuki PKP fasa tiga ketika ini, masih ramai lagi warga yang masih berdegil dan tidak mahu patuh kepada perintah berkenaan. Merujuk kepada maklumat dari saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam sahaja polis telah menangkap seramai 1,174 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, daripada jumlah berkenaan, 1,012 orang telah direman, sementara 162 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis. Walaupun beberapa lagi perkhidmatan penting yang mula dibenarkan untuk beroperasi, sangat penting untuk semua kita memahami bahawa PKP masoh berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelonggaran. Adalah langkah tidak bijak dan pentingkan diri sekiranya orang-ramai mengandaikan sebaliknya.

    Dalam beberapa perkembangan berkaitan, selain Selangor Mansion dan juga Malayan Mansion di ibu negara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sebelum ini, terbaru terdapat dua kawasan lagi yang diletakkan di bawah pengawasan dan status yang sama. Lokasi yang dimaksudkan ialah Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan juga kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, bagi tempoh sehingga 3 Mei 2020.

    Polis tangkap 1,174 individu yang didapati ingkar PKP semalam, beberapa kawasan lagi dikenakan PKPD

    Memetik laporan Astro Awani, kawasan terlibat bagi PKPKD ke-enam ini termasuk:

    • Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
    • Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
    • Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur
    • Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

    “Pasar borong kita tak tutup, kita hanya tutup kawasan perumahan di sekitarnya, terutamanya yang melibatkan rakyat ramai rohingya yang memegang UNHCR…itu yang kita tutup. Pasar borong masih dibuka seperti biasa,” jelas Ismail. Dengan perkembangan ini, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan harian adalah mencukupi dan mampu memenuhi permintaan semasa.

     
     
  • Pengusaha stesen minyak gusar pam kering jika tetapan harga secara mingguan tidak dihentikan k’jaan

    Pengusaha stesen minyak gusar pam kering jika tetapan harga secara mingguan tidak dihentikan k’jaan

    Pemilik-pemilik stesen minyak seluruh negara gusar mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membeli stok bahan api baharu dan seterusnya menyebabkan pam kering selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, kecuali jika kerajaan menghentikan sementara waktu amalan menetapkan harga mingguan, lapor FMT.

    Menurut Presiden Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia (PDAM), Khairul Annuar Abdul Aziz, kebanyakan pemilik stesen minyak tidak mempunyai dana untuk membeli petrol dan diesel yang mencukupi untuk memenuhi kenaikan permintaan yang dijangkakan.

    Khairul Annuar menjelaskan bahawa penurunan harga bahan bakar dan penurunan 70% dalam penjualan sejak PKP memberi kesan buruk kepada peniaga bahan api. Harga bahan berkenaan menjunam selepas PKP berkuatkuasa dan Khairul berkata ramai ahli PDAM membeli stok mereka lebih awal, yang bermaksud mereka membayar lebih banyak seliter daripada harga yang mereka jual sejak itu.

    Tambahnya lagi, jualan bahan api jatuh teruk setelah kerajaan mengumumkan PKP, dan stok memerlukan masa yang lebih lama untuk habis berbanding hari biasa.

    Pengusaha stesen minyak gusar pam kering jika tetapan harga secara mingguan tidak dihentikan k’jaan

    “Pada asasnya kami memberi pelanggan subsidi lebih 30 sen seliter. Nasib baik, harga agak stabil dalam 2 minggu terakhir,” katanya kepada portal berita berkenaan, dan menambah bagi stesen minyak biasa yang selalunya akan membelanjakan kos antara RM150,000 hingga RM250,000 sebulan untuk membeli bahan bakar, tidak lagi mampu membeli sebanyak itu kerana kekurangan modal kerja.

    “Rasa bimbang saya ialah apabila PKP ditarik balik dan orang ramai dibenarkan melakukan perjalanan, akan ada peningkatan permintaan bahan bakar, permintaan yang tidak dapat dipenuhi kebanyakan stesen. Dalam senario terburuk, anda mungkin melihat pam kering pada hari-hari awal pasca PKP atau beberapa peniaga akan mengambil jalan untuk menutup perniagaan mereka,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, buat masa sekarang peniaga lebih berharap harga bahan api tetap dan untuk beberapa waktu, bukannya naik atau turun setiap minggu. Jika harga tersebut stabil, ia bukan hanya baik untuk pengusaha stesen minyak, tetapi untuk seluruh industri minyak dan gas, katanya lagi.

    “Pelanggan terbesar dalam kalangan pembeli komersial adalah syarikat penerbangan. Industri itu tidak akan pulih begitu cepat. Jadi, keseluruhan industri minyak dan gas akan bergantung pada penjualan kepada peruncit seperti peniaga petrol. Jika kita tidak boleh bertahan, itu juga bukan hal yang baik untuk industri ini,” katanya.

     
     
  • Petronas tawar minyak enjin percuma kepada petugas baris hadapan di hospital dan AutoExpert terpilih

    Petronas tawar minyak enjin percuma kepada petugas baris hadapan di hospital dan AutoExpert terpilih

    Dalam membantu negara untuk memerangi wabak Covid-19, syarikat petroleum nasional, Petronas bukan sahaja memberikan bantuan peralatan perubatan, malah kini turut membantu petugas baris hadapan negara untuk menservis kenderaan mereka dengan datang ke hospital-hospital terpilih untuk melakukan servis rutin tersebut serta memberikan minyak enjin percuma.

    Program Sokongan Barisan Hadapan ini akan bermula hari ini sehingga 28 April nanti di mana pasukan servis bergerak Petronas RessQ 60Min akan datang ke hospital-hospital yang tersenarai, dan menawarkan minyak enjin Petronas Syntium secara percuma.

    Unit servis bergerak berkenaan akan datang ke hospital-hopital berikut pada masa-masa yang telah ditetapkan; 20 dan 21 April di Hospital Sungai Buloh, 22 dan 23 April di PPUM dan 24,27 dan 28 April untuk HKL. Masa beroperasi pula adalah antara 9 pagi hingga 4 petang untuk kesemua tiga lokasi. Petugas barisan hadapan untuk tiga hospital ini juga boleh ke outlet Petronas AutoExpert untuk membuat servis dengan minyak enjin percuma berkenaan.

    Petronas tawar minyak enjin percuma kepada petugas baris hadapan di hospital dan AutoExpert terpilih

    Outlet AutoExpert yang terpilih tersebut adalah Autohaus KL di Tiong Nam Industrial Park Shah Alam, di Seri Kembangan dan juga di Taman Sri Manja. Antara syarat-syarat untuk menerima minyak enjin percuma ini adalah; anda petugas kesihatan baris hadapan di Hospital Sungai Buloh, Unversiti Malaya Medical Centre (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur yang sah, dan setiap individu hanya diberikan satu penukaran minyak sahaja.

    Pelanggan yang layak akan menerima minyak enjin Petronas Syntium 3000 5W-30 untuk kereta dengan enjin berkapasiti lebih 1,600 cc, dan Petronas Syntium 800 10W-40 untuk kereta dengan enjin 1,600 cc ke bawah. Walau bagaimanapun, pelanggan dengan kereta yang masih lagi dalam waranti pengeluar tidak layak untuk program ini.

    Selain dari minyak enjin, kos-kos servis dan komponen lain seperti penapis minyak akan dikenakan bayaran. Unit servis bergerak Petronas RessQ 60Min turut ada menawarkan penukaran bateri kereta dengan harga bermula RM241 untuk saiz NS40ZL, sehingga RM1277 untuk bateri DIN95.

    Pelanggan boleh membuat bayaran kepada RessQ 60Min menerusi bayaran tunai atau pun pindahan telegrafik menerusi akaun bank yang dihasilkan oleh pengendali servis, atau tunai atau kad kredit di semua outlet AutoExpert yang tersenarai.

    View this post on Instagram

    During this MCO period, PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), via its subsidiary, PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM), is extending the support to healthcare frontliners by joining forces with RessQ60Min, in setting up mobile car service workshops at selected hospitals from 20-28 April 2020 to provide them with convenient auto car services, including free PETRONAS Syntium mobile engine oil change. This initiative is one of PETRONAS’ CSR efforts to ease the burden of our healthcare frontliners by keeping them safe on the road, and to show our appreciation for their contribution. To enjoy the service, frontliners can either walk-in at the mobile service workshop at the selected hospitals or book for an appointment at selected PETRONAS AutoExpert outlets. For more info, visit www.mymesra.com.my/4frontliners. #PETRONAS #PETRONASCSR #WeWishYouWell #StaySafe #FightCovid19

    A post shared by PETRONAS Brands (@petronasbrands) on

     
     
  • Modenas mula buka pusat servis terpilih 10am-3pm

    Modenas mula buka pusat servis terpilih 10am-3pm

    Berikutan kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan perniagaan tertentu di bawah industri automotif untuk kembali beroperasi, Modenas telah mengumumkan beberapa cawangan pusat khidmat lepas jualan mereka yang terpilih kini kembali dibuka.

    Ia adalah pusat servis di Subang, Ipoh, Gurun dan Kuantan, namun operasi diterhadkan kepada dua hari sahaja dalam seminggu iaitu hari Isnin dan Khamis, manakala waktu operasi adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang. Pengumuman akan dibuat sekiranya terdapat sebarang perubahan.

    Selain daripada itu, pusat servis ini juga cuma akan melayan pemilik yang telah membuat temu janji terlebih dahulu, melalui laman http://bit.ly/mcobookaservice, http://bit.ly/jomservis atau menghantar mesej WhatsApp kepada Modenas Careline di 0195708135.

    Setelah membuat temu janji atas talian, pelanggan akan dihubungi oleh wakil Modenas sebagai pengesahan dan mereka akan memberitahu waktu dan slot yang ditetapkan. Langkah ini diambil bagi mengehadkan jumlah individu dalam premis dan menjaga penjarakan sosial.

    Pelanggan yang hadir juga diminta memakai penutup hidung dan mulut, dan suhu mereka akan diperiksa sebelum boleh memasuki pusat servis.

     
     
  • VIDEO: Kawasaki Ninja ZX-25R diuji atas mesin dyno

    VIDEO: Kawasaki Ninja ZX-25R diuji atas mesin dyno

    Motosikal terbaru Kawasaki yang menggunakan enjin 250 cc empat silinder iaitu Ninja ZX-25R sepatutnya sudah dilancarkan di Indonesia tetapi disebabkan oleh pandemik Covid-19, ia ditangguh sehingga masa yang belum diberitahu lagi.

    Jiwa penggemarnya yang sudah teruja diusik lagi dengan penyiaran video-video pendek dan yang terbaru menunjukkan motosikal sports permulaan itu diuji atas mesin dynamometer (dyno). Unit yang ditunjukkan adalah unit standard tanpa sebarang modifikasi.

    Seperti yang diketahui, ujian atas mesin dyno adalah untuk mengetahui kuasa sesebuah jentera, tetapi dalam video ini data yang diperolehi tidak ditunjuk. Sebaliknya apa yang boleh anda perolehi adalah bunyi sebenar motosikal tersebut yang ternyata mempunyai beza berbanding jentera yang berenjin satu atau dua silinder.

    Setakat yang diketahui, ZX-25R menggunakan enjin empat silinder 250 cc yang boleh dikerah sehingga 17,000 rpm dan mampu menceah kelajuan 160 km/j dengan pantas semasa ia diuji oleh Alex Lowes dan Jonathan Rea di Litar Jerez, Sepanyol.

    Kawasaki juga memasang kelengkapan yang bersesuaian dengan prestasinya pada motosikal ini, termasuk fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

     
     
  • PKP: PDRM tubuh pasukan ‘jam squad’ untuk pantau kesesakan lalu lintas dalam sekatan jalan raya

    PKP: PDRM tubuh pasukan <em>‘jam squad’</em> untuk pantau kesesakan lalu lintas dalam sekatan jalan raya

    Sejak minggu lalu, isu kesesakan lalu lintas khususnya di sekitar Lembah Klang menjadi perbualan netizen. Adakah ia menandakan semakin ramai yang mulai bosan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah pun memasuki fasa ketiga, hingga ada yang memberanikan diri untuk keluar walau pun tanpa alasan munasabah? Malah laman Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sering kali memaparkan foto kesesakan di beberapa lebuhraya utama terutamanya pada waktu pagi.

    Perkara ini turut mendapat perhatian pihak Polid DiRaja Malaysia (PDRM) yang tidak menolak kemungkian peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya ketika ini adalah kerana beberapa sektor baharu dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP.

    Justeru, bagi memantau memantau kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekatan jalan raya di sekitar Lembah Klang sewaktu tempoh PKP, PDRM telah menubuhkan pasukan ‘jam squad’ bagi tujuan berkenaan.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias, pasukan berkenaan mempunyai 20 anggota bermotosikal untuk memantau kesesakan lalu lintas di setiap sekatan jalan raya. Di mana dengan adanya inisiatif itu, pihak polis dapat memberi respons dengan pantas kepada orang awam punca berlakunya kesesakan lalu lintas.

    “Ini membolehkan pihak polis untuk melakukan pemantauan dan penyuraian trafik di lokasi sekatan jalan raya yang sesak. Selain itu, penggunaan dron turut dilaksanakan bagi memantau kesesakan selain membuka laluan khas kepada kenderaan perkhidmatan penting seperti petugas kesihatan di setiap sekatan jalan raya,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya, kesesakan lalu lintas luar biasa didapati berpunca daripada tindakan segelintir individu yang bukan kategori perkhidmatan penting keluar pada waktu puncak sepanjang tempoh PKP terutamanya di sekitar Lembah Klang.

    PKP: PDRM tubuh pasukan <em>‘jam squad’</em> untuk pantau kesesakan lalu lintas dalam sekatan jalan raya

    Azisman berkata kesesakan didapati berlaku pada dua waktu puncak iaitu antara 7 pagi hingga 1 tengah hari dan 4 petang hingga 9 malam.

    “Kami telah mengenal pasti lokasi di empat negeri yang mengalami kesesakan melebihi satu kilometer pada satu-satu masa iaitu 16 lokasi di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor.

    “Antara alasan yang diberikan adalah mahu membeli barangan keperluan. Oleh itu, dinasihatkan kepada mereka yang tidak terlibat dalam perkhidmatan penting ini supaya keluar pada waktu bukan puncak untuk membeli-belah bagi memberi peluang kepada petugas perkhidmatan penting keluar bertugas tanpa kesesakan,” katanya.

    Pada masa sama, beliau turut menasihatkan kenderaan perdagangan seperti lori dan seumpamanya supaya dapat mengubah waktu penghantaran pada waktu bukan puncak contohnya di waktu malam bagi mengelak kesesakan.

     
     
  • Wanita dakwa ingkar PKP guna ‘kabel’ KPN sudah dikesan, rakaman percakapan sudah diambil – Polis

    Wanita dakwa ingkar PKP guna ‘kabel’ KPN sudah dikesan, rakaman percakapan sudah diambil – Polis

    Ini satu lagi kisah orang yang tunjuk ‘terer’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – menurut Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan, pihaknya telah berjaya mengesan seorang wanita yang mendakwa dirinya menggunakan ‘kabel’ Ketua Polis Negara (KPN) untuk mendapatkan kebenaran pulang ke Kuantan, yang tular di laman sosial baru-baru ini, lapor Bernama.

    Abd Jalil berkata wanita berusia 30an dan bekerja di Kuala Lumpur itu juga telah diambil rakaman percakapannya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, semalam.

    “Wanita itu mendakwa dirinya tidak berniat untuk menggunakan nama KPN, namun berbuat demikian kerana amat tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga mengada-adakan cerita.

    “Kita juga sedang menyiasat bagaimana dia boleh terlepas pulang ke rumah orang tuanya di sini pada 12 April lalu tanpa alasan kukuh bagi melakukan pergerakan dalam tempoh PKP,” katanya semasa dihubungi agensi berita tersebut semalam.

    Sabtu lalu, Astro Awani melaporkan terdapat ciapan di Twitter oleh seorang individu bernama ‘Aznie Afiza’ yang melanggar PKP dengan mengaitkan nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

    Wanita dakwa ingkar PKP guna ‘kabel’ KPN sudah dikesan, rakaman percakapan sudah diambil – Polis

    Laporan berita berkenaan menyebut bahawa Aznie mendakwa, bapanya merupakan rakan kepada Abdul Hamid dan menyatakan dia berjaya pulang ke Kuantan pada 12 April lalu.

    “Hari ini ‘mood’ tidak baik sikit petang tadi cakap dekat mama papa nak balik Kuantan kemudian papa telefon KPN TS Hamid (Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid) sebab itu kawan dia tapi tidak jawab.

    “Mungkin dia (Abdul Hamid) tidak boleh jawab panggilan sebab terlalu ramai orang minta tolong masa COVID-19, cuba nasib kalau ‘cable‘ ini membantu,” tulis Aznie di Twitter.

    Astro Awani turut melaporkan bahawa Aznie turut memuatnaik video berdurasi 14 saat yang menunjukkan beliau telah tiba di persimpangan Genting Sempah untuk ke Kuantan.

    Bagi memberi respon terhadap perkaran ini, Sabtu lalu Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, beliau tidak pernah memberi sebarang keistimewaan kepada mana-mana individu untuk melakukan sebarang perjalanan sepanjang pelaksanaan PKP.

    “Kecuali bagi kes-kes melibatkan kebajikan golongan OKU (orang kelainan upaya) dan pesakit, saya tidak pernah dihubungi oleh sesiapapun untuk mendapatkan “keistimewaan” bagi melakukan sebarang perjalanan tidak wajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa. Segala peraturan yang terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi oleh semua pihak.” katanya dalam satu kenyataan.

     
     
  • MKN akan tetapkan SOP khidmat hantar makanan bulan Ramadan, termasuk untuk bersahur – menteri

    MKN akan tetapkan SOP khidmat hantar makanan bulan Ramadan, termasuk untuk bersahur – menteri

    Ramadan nanti, jadual kita sebagai umat Islam sememangnya berubah, sudah tentu sekali bila menyebut tentang makan dan minum kerana kita turut perlu bersahur sebelum waktu Subuh. Jadi bagaimana untuk kita hadapinya ketika tempoh PKP ini?

    Oleh itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan penghantaran makanan pada bulan Ramadan bermula 24 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media hariannya di Putrajaya semalam, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, mesyuarat Jawatankuasa Khas pada pagi semalam memutuskan, SOP akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat.

    MKN akan tetapkan SOP khidmat hantar makanan bulan Ramadan, termasuk untuk bersahur – menteri

    “Mesyuarat pagi tadi memutuskan MKN akan menyediakan SOP sewaktu bulan Ramadan termasuk penghantaran servis makanan. Kita (Kerajaan) tahu mungkin sampai sahur ada (orang) order (tempah makanan), jadi pagi ini kita minta MKN dalam tempoh dua hingga tiga hari keluarkan SOP untuk bulan puasa termasuk penghantaran dan sebagainya,” jelasnya.

    Namun apa yang pasti, Ismail menyatakan bahawa radius penghantaran masih kekal 10 kilometer seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

    Sebelum ini, menteri berkenaan sudahpun mengumumkan bahawa sebarang jenis bazar termasuk e-bazar dan bazar pandu lalu tidak akan dibenarkan sama sekali. Namun perkhidmatan penghantaran makanan atau e-hailing termasuk bagi restoran makanan segera masih dibenarkan seperti biasa sepanjang Ramadan ini.

     
     
  • Kadar kemalangan turun 70% sepanjang PKP – PDRM

    Kadar kemalangan turun 70% sepanjang PKP – PDRM

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan kadar kemalangan jalan raya menurun hampir 70% sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, sebanyak 10,382 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh PKP yang telah berlangsung selama 32 hari dengan fasa ketiga bakal berakhir pada 28 April ini.

    “Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 130 kemalangan maut membabitkan 145 kematian dicatat sehingga 14 April, manakala purata kemalangan ketika PKP fasa satu dan dua adalah sebanyak 370 kemalangan sehari.

    “Trend ini menunjukkan penurunan hampir 70% yang mana sebelum pelaksanaan PKP, polis merekodkan sebanyak 1,500 kes kemalangan setiap hari dengan 16 hingga 17 maut dicatatkan. Dengan pelaksanaan PKP, trend kemalangan maut menunjukkan penurunan antara empat hingga lima kemalangan maut dicatatkan setiap hari,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Kadar kemalangan turun 70% sepanjang PKP – PDRM

    Menurut Azisman, sebanyak 80% daripada jumlah kemalangan maut yang dicatatkan semasa PKP fasa satu dan dua, adalah membabitkan penunggang motosikal.

    Mengenai persiapan polis menghadapi bulan Ramadan tidak lama lagi, Azisman berkata pihaknya masih meneliti beberapa perkara berkaitan dalam pelaksanaan arahan PKP serta bergantung kepada pengumuman dan polisi kerajaan.

    “Untuk pihak saya, adalah lebih baik jika bilangan kenderaan atas jalan raya kurang, dan apabila diumumkan bahawa tiada bazar Ramadan, maka ia lebih baik.

    “Kalau tidak, wabak COVID-19 ini tidak dapat diputuskan rantaiannya, (dan) ini akan memeningkan polis trafik dengan kenderaan yang banyak di tempat meletak kenderaan di tepi jalan berdekatan bazar,” katanya.

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini turut mengumumkan, sekatan jalan raya akan diperbanyakkan dan diperketatkan menjelang Ramadan ini bagi mengelakkan orang ramai membuat perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung halaman.

     
     
  • Honda City Turbo AZC Original, ringkas tapi menarik

    Honda City Turbo AZC Original, ringkas tapi menarik

    Selepas Honda City VTEC Turbo dilancarkan di Thailand hujung tahun lalu, pengeluar peralatan ubahsuai dan prestasi di negara berkenaan berlumba-lumba untuk menghasilkan pelbagai produk aftermarket untuk sedan segmen-B tersebut. Sebelum ini, kami sudahpun tunjukkan anda dengan City Turbo dengan kit gentian karbon dari NKGarage, dan kali ini giliran satu lagi garaj dari Siam iaitu AZC Original.

    Dari segi luaran, sebenarnya tiada ubahsuai banyak yang diberikan pada City ini. Ia hanya diberikan lips gentian karbon untuk dipadankan terus ke bampar hadapan dan juga skirt sisi. Faktor utama yang menjadikan ia kelihatan menarik adalah penggunaan rim Volks Racing CE28 16-inci bersama tayar Toyo Proxes R888R bersaiz 205/45R16, dengan badan yang direndahkan menggunakan set suspensi boleh laras dari RSR.

    Juga, brek hadapan asal City ini telah digantikan dengan set brek lebih padu dari Endless dengan angkup empat omboh bersama cakera yang dilarik. Rupa luaran kereta ini disempurnakan dengan pelekat badan livery perlumbaan RSR, manakala dalam kabin pula diberikan ubahsuai ringkas di mana tempat duduk asal hadapan digantikan dengan sepasang tempat duduk bucket Recaro Sportster edisi Nürburgring.

    AZC bukan hanya menghasilkan aksesori kosmetik untuk City GN1 ini, mereka juga menghasilkan kit plug and play yang terdiri dari set muffler untuk sistem ekzos, serta kit injap blow off yang hadir sekali dengan ram pipe dari material logam tahan karat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025