Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jelmaan semula Datsun Bluebird 510 SSS bakal muncul sebagai kereta elektrik pacuan hadapan?

    nissan-idx-concept

    Nissan telah memfailkan permohonan tanda dagangan “Nissan IMX” untuk kereta konsep yang bakal dibangunkan dan kereta berkenaan dikatakan bakal direka seakan sama dengan kereta konsep mereka sebelum ini iaitu Nissan IDx, menurut laporan Autoguide.

    Ingat lagi kereta konsep Nissan IDx yang muncul pada Tokyo Motor Show 2013 dahulu dan direka sebagai jelmaan semula “poor man BMW” Datsun Bluebird 510 SSS? Nissan sendiri telah menyatakan bahawa kereta konsep tersebut tidak akan muncul dalam bentuk produksi sebenar dan rekaan berkenaan akan diterapkan pada kereta sport pacuan hadapan untuk masa akan datang.

    Namun Nissan belum mendedahkan apa-apa perincian berkenaan model konsep tersebut dapat fail permohonan berkenaan dikelaskan sebagai “Kenderaan untuk pergerakan melalui darat, udara, air atau rel dan bahagian dan kelengkapan strukturnya, iaitu, kereta; kenderaan elektrik, iaitu kereta elektrik, gerabak, trak, van, SUV, bas, kenderaan rekreasi (RV) iaitu kenderaan berkhemah, rumah bergerak dan trak roda kelima; kereta sport, kereta lumba, basikal, lori, forklift, termasuk traktor tunda, dan bahagian dan kelengkapan struktur; Pad Brek untuk kenderaan darat; Bampar kenderaan; Alat keselamatan untuk kenderaan darat, iaitu, beg udara; mudguard; Aksesori kenderaan, iaitu, pam udara dan bingkai plat lesen. ”

    Jelmaan semula Datsun Bluebird 510 SSS bakal muncul sebagai kereta elektrik pacuan hadapan?

    Laporan Motor1 menyorot dua nama dalam kategori tersebut iaitu “kenderaan elektrik iaitu kereta elektrik” dan juga “kereta sport” – seterusnya membuat spekulasi adakah kereta konsep baharu Nissan IMX ini direka seperti Nissan IDx dan menerima janaan elektrik sepenuhnya serta memacu roda hadapan?

    Ketika membuat penampilan, IDx Concept muncul dalam dua versi iaitu IDx Freeflow yang dijana enjin 1.2 liter turbo hingga 1.5 liter bersama kotak gear CVT, dan juga versi lebih berkuasa IDx Nismo yang menggunakan enjin 1.6 liter turbo juga dengan transmisi CVT dengan mod manual enam-kelajuan maya. Kedua-dua versi berkenaan direka dengan konfigurasi pacuan belakang – sama seperti Datsun Bluebird 510.

    Manakala untuk Datsun 510 pula, kereta berkenaan dikenali sebagai ‘Datsun Botak Chin’ di Malaysia kerana penjenayah yang terkenal dengan rompakan bersenjata pada era 70’an tersebut dikatakan memiliki kereta ini. Pelbagai varian dikeluarkan oleh Nissan untuk model Bluebird 510 ini dari versi asas dengan enjin 1.4 liter, sehingga model paling pantas SSS dijana enjin siri L 1.6 dan 1.8 liter empat silinder bersama suapan karburator SU berkembar secara standard – mencipta nama pada perlumbaan Trans Am di Amerika Syarikat, ditala oleh Brock Racing Enterprise (BRE) dan dipandu oleh John Morton.

    Jika ini benar terjadi, nampaknya trend jelmaan semula dalam bentuk elektrik ini nampaknya akan menjadi perkara yang menarik pada masa hadapan. Bulan lalu Volkswagen mengesahkan model konsep I.D Buzz sah akan dihasilkan dalam bentuk produksi untuk jelmaan semula kenderaan utiliti ikonik ‘Kombi Van’ Volkswagen Type 2, manakala minggu lalu di Frankfurt, Honda mendedahkan model konsep elektrik Urban EV yang direka seakan hatchback Honda Civic generasi pertama atau turut dikenali sebagai ‘Civic Telor’ di Malaysia.

     
     
  • Lebuhraya Besraya ditutup secara berperingkat mulai 18 Sept-10 Nov untuk kerja penurapan, penanda jalan

    Lebuhraya Besraya ditutup secara berperingkat mulai 18 Sept-10 Nov untuk kerja penurapan, penanda jalan

    Besraya (M) Sdn Bhd (BMSB), syarikat pengendali bagi Lebuhraya Besraya telah memaklumkan, sebahagian laluan di lebuhraya terbabit ditutup secara berperingkat mulai 18 September (hari ini) sehingga 10 November 2017.

    Menurut kenyataan media yang disiarkan menerusi Berita Harian, penutupan sebahagian daripada laluan itu adalah untuk kerja penurapan dan penanda jalan.

    Di mana laluan yang ditutup dari jam 9 malam sehingga 6 pagi di kedua-dua arah membabitkan kawasan Kilometer (KM) 0.0 hingga KM21.9; KMB0.0 hingga KMB0.8 dan KMP0.0 hingga KMP3.3.

    Syarikat itu berkata lagi, kerja pembaikan ini dijalankan demi keselesaan pengguna lebuh raya pada masa akan datang. Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi arahan papan tanda keselamatan dan had laju yang ditetapkan. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Besline di talian 1800880999.

     
     
  • Perodua Alza baharu dilukis secara digital guna badan Daihatsu Mira e:S pasaran Jepun, lampu bertingkat

    Perodua Alza baharu dilukis secara digital guna badan Daihatsu Mira e:S pasaran Jepun, lampu bertingkat

    Perodua Alza sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2009, dan mungkin ada di antara anda yang tertanya, bagaimana rupa model baru yang seterusnya. Lukisan render ini mungkin boleh memberi sedikit idea, dan ia nampak agak menarik.

    Model Alza yang ada sekarang menggunakan asas daripada model Daihatsu, atau lebih spesifik lagi, Boon Luminas. Oleh itu, lukisan render ini juga menggunakan asas Daihatsu, iaitu Mira e:S. Perubahan besar pada bahagian hadapan adalah terasuk lampu utama, yang menggunakan rekaan bertingkat seperti Citroen C4 Picasso.

    Pada bahagian lain, logo Perodua digunakan mengganti logo jenama Jepun tersebut, manakala cermin sisi pula menggunakan unit asal Alza. Bahagian belakang mempunyai perubahan besar, dengan pintu but serta lampu belakang yang lebih rata dan cermin belakang yang lebih besar.

    Perodua Alza baharu dilukis secara digital guna badan Daihatsu Mira e:S pasaran Jepun, lampu bertingkat

    Anda juga boleh melihat garisan badan pada tepi kenderaan ini bermula dari pemisah lampu hadapan, terus sehingga ke pintu belakang, dan selepas itu, naik mendadak ke bahagian atas. Dengan panel paling belakang turut diwarnakan hitam, bumbung kenderaan ini kelihatan seperti terapung.

    Di Jepun, Mira e:S dikuasakan oleh enjin petrol 660 cc, yang mampu menghasilkan 49 PS dan 57 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik CVT, dan boleh didapati sama ada dengan sistem pacuan dua roda atau empat roda. Kelengkapan keselamatan yang ada pada kenderaan ini termasuk brek kecemasan automatik, fungis amaran perlanggaran dan lampu tinggi automatik.

    Apa pendapat anda dengan lukisan render ini? Adakah ia cukup menarik untuk pasaran negara kita?

    GALERI: Daihatsu Mira e:S pasaran Jepun

     
     
  • Pakatan Nissan-Renault-Mitsubishi bakal memproduksi 12 model EV menjelang tahun 2022

    Pakatan Nissan-Renault-Mitsubishi bakal memproduksi 12 model EV menjelang tahun 2022

    Pakatan Nissan-Renault dan yang baru menyertai mereka, Mitsubishi, telah mengumumkan bakal memproduksi 12 buah model kenderaan elektrik (EV) menjelang tahun 2022. Menerusi kerjasama yang diberi nama “Alliance 2022”, pakayan ini turut mengumumkan pelan perancangan bagi tempoh enam tahun akan datang dengan memfokuskan pengeluaran terhadap EV dan apa juga yang berkaitan dengan teknologi, autonomi dan penjimatan sinergistik.

    Dijangkakan 12 EV baharu yang diproduksikan itu, dengan beberapanya akan berkongsi platform yang sama, kebanyakannya bersarkan teknologi yang diperkenalkan oleh Mitsubishi yang dianggap pakar dalam teknologi plug-in hybrid. Di mana ia akan menggunakan teknologi PHEV baharu bagi semua kenderaan segmen C dan D- menjelang 2022.

    Pakatan ini juga diramalkan akan melakukan peningkatan besar terhadap penggunaan bateri, di mana salah satu matlamat mereka ialah kenderaan tersebut harus mencapai 600 km mengikut New European Driving Cycle (NEDC) termasuk pengurangan kos sebanyak 30%.

    Malah mereka juga percaya kelajuan pengecasan akan dipertingkatkan dengan kadar 15 minit untuk mencapai simpanan bateri bagi jarak 230 km, iaitu peningkatan sebanyak 90 km yang dicapai pada tahun 2016. Bukan itu sahaja, pakatan ini juga berkata, bateri akan dipakejkan sekali dengan bentuk yang lebih leper untuk memberikan ruang kabin yang lebih optimum dan penggayaan yang lebih fleksibel.

     
     
  • Renault Captur ditawarkan pakej servis ‘5inCaptur’ – lima-tahun/100,000 km penyelenggaraan percuma

    Renault Captur ditawarkan pakej servis ‘5inCaptur’ – lima-tahun/100,000 km penyelenggaraan percuma

    TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia baru mengumumkan pakej selepas jualan ‘5inCaptur’ baru untuk crossover urban Renault Captur pemasangan tempatan. Servis selepas jualan 5inCaptur diperkenalkan untuk menawarkan para pelanggan dengan kemudahan dan lebih penjimatan selama lima-tahun.

    Pakej tersebut merangkumi servis dan penyelenggaraan percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk lima-tahun atau perbatuan sehingga 100,000km, mana-mana tiba dahulu. Selain itu, ia mengemukakan waranti pengilang selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan 24 jam secara percuma.

    Bukan itu sahaja, ia turut menawarkan perkhidmatan mengambil dan hantar untuk penyelenggaraan berjadual di pusat servis Renault serta servis mobiliti dengan kereta gantian sekiranya alat ganti tidak boleh diperoleh untuk tempoh 48 jam di pusat servis sah, bergantung kepada kebolehdapatan.

    Menurut TCEC, pakej yang sama terdahulu ditawarkan kepada para pemilik Fluence.

    Sebagai tambahan, rebat sebanyak RM5,000 turut ditawarkan sepanjang tempoh promosi yang sedang berlangsung sekarang dan bakal berakhir pada 31 Oktober 2017.

    Sebagai model pemasangan tempatan dan menerima penarafan EEV (Kenderaan Cekap Tenaga), Renault Captur ditawarkan pada harga RM109,000 (di atas jalan termasuk GST, tanpa insurans untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia).

     
     
  • Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

    Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

    Semakin bertebaran sana sini spekulasi mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Proton yang dikatakan bakal melantik orang kuat Zhejiang Geely Holding (Geely) bagi menerajui tampuk kepimpinan syarikat pengeluar kereta nasional pertama Malaysia ini.

    Walau bagaimana pun, menurut kenyataan media yang dihantar oleh DRB-Hicom sebentar tadi, bahawa pihaknya bersama Geely masih dalam proses memuktamadkan transaksi yang telah dimeterai pada bulan Jun tahun ini. Malah keputusan untuk mengumumkan CEO baharu bagi Proton akan dilakukan secepat mungkin.

    Kenyataan itu turut menyebut, DRB-HICOM dan Geely Holding sedang meningkatkan usaha memperincikan pelan perniagaan baharu bagi Proton. Pelan perniagaan terperinci ini penting bagi menghasilkan “peta hala tuju” yang kukuh bagi Proton untuk tahun-tahun akan datang, dan antara perkara utama yang perlu dimuktamadkan dalam proses ini. Ia juga akan meliputi strategi bagi kedua-dua syarikat bekerjasama bagi membangunkan kenderaan baharu untuk pasaran global.

    Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

    DRB-HICOM dan Geely Holding masing-masing memegang 50.1% dan 49.9% kepentingan dalam Kumpulan Proton, yang dibahagikan kepada tiga entiti utama iaitu; PROTON Holdings Berhad (PHB), yang merupakan syarikat induk; Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), 100% anak syarikat PHB yang berfungsi sebagai syarikat pengeluar, operasi, pembuatan dan pemasaran yang utama; serta PROTON Edar Sdn Bhd, 100% anak syarikat PHB, sebagai pengedar utama Proton. Bagi ketiga-tiga syarikat tersebut, DRB-HICOM mempunyai satu kerusi tambahan di peringkat Lembaga Pengarah, menyamai pegangan 50.1% yang dimiliki DRB-HICOM.

    Apabila transaksi dimuktamadkan kelak, satu pengumuman akan dibuat berkaitan komposisi lembaga pengarah syarikat-syarikat tersebut. Ketiga-tiga syarikat ini akan mempunyai wakil daripada DRB-HICOM dan Geely Holding.

    Dalam masa yang sama, DRB-HICOM mengumumkan bahawa Dato’ Ahmad Fuaad Kenali akan melepaskan jawatan sebagai CEO PHB berkuatkuasa 30 September 2017. Beliau akan meneruskan perjuangannya di Malakoff Corp Bhd sebagai CEO mulai Oktober ini.

    Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Fuaad telah memberikan sumbangan yang sangat bermakna sepanjang bersama Proton.

    Proton-Geely bakal umum CEO baharu – dalam usaha memperincikan pelan perniagaan bagi hala tuju baharu

    Dato’ Ahmad Fuaad Kenali

    “Beliau telah menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam tempoh yang singkat di PHB. Sepanjang kepimpinannya, Proton telah melancarkan empat model baharu dalam tempoh hanya lapan bulan. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pencarian rakan strategik yang sesuai untuk Proton. Salah satu keutamaan DRB-HICOM setelah mengambil alih PHB pada tahun 2012 adalah untuk mendapatkan rakan strategik asing untuk Proton”, tegas Syed Faisal.

    Fuaad dilantik sebagai CEO PHB pada 1 April 2016, selepas mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Operasi/Pengarah Kanan Kumpulan DRB-HICOM pada tahun 2013.

    “Semasa kepimpinannya, Proton mengalami peningkatan konsisten dalam operasi perniagaan. Kedua-dua Lembaga Pengarah DRB-HICOM dan PHB ingin merakamkan penghargaan tertinggi kami atas sumbangannya yang besar di DRB-HICOM dan di Proton; terakhir, kejayaan beliau mendapatkan Geely Holding sebagai rakan strategik untuk Kumpulan Proton. Fuaad bakal memegang peranan yang lebih besar dengan salah sebuah syarikat berkait dengan kumpulan, dan ahli-ahli Lembaga Pengarah mendoakan yang terbaik bagi kerjaya beliau di masa hadapan”, tambah Syed Faisal.

    Manakala Syed Faisal pula disahkan akan meneruskan peranan utamanya sebagai Pengerusi keseluruhan PHB. Antara lain, Syed Faisal berperanan untuk memastikan kerjasama ini dapat mencapai matlamatnya dan akhirnya, memberikan pulangan pelaburan kepada pemegang-pemegang saham, iaitu DRB-HICOM dan Geely Holding.

    Antara intipati Perjanjian Muktamad yang ditandatangani DRB-HICOM dan Geely Holding ialah untuk syarikat China tersebut bukan sahaja melabur didalam Kumpulan Proton, tetapi juga berkongsi kepakaran mereka dalam pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran, terutamanya di PONSB. Sejajar itu, apabila transaksi ini selesai, Geely Holding akan menamakan seorang calon yang sesuai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di PONSB.

    “PONSB adalah sebahagian besar daripada operasi Kumpulan Proton, justeru, pemilihan individu yang tepat untuk tugasan ini amat kritikal. Satu pengumuman akan dibuat kelak,” jelas Syed Faisal.

    Bagi memastikan proses integrasi yang lancar, DRB-HICOM juga mengumumkan bahawa Dato’ Mohd Radzaif Mohamed akan kekal sebagai salah seorang pegawai utama di Kumpulan Proton; beliau akan meneruskan peranannya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di PONSB. Sementara itu, Abdul Rashid Musa, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd pada Februari 2017, juga akan meneruskan peranannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di pusat pengedaran syarikat.

    “Mengekalkan Radzaif dan Rashid di jawatan masing-masing akan memastikan kesinambungan didalam Kumpulan PROTON. Ia juga akan membantu kemasukkan CEO baru untuk PONSB dan ini akan memanfaatkan usahasama ini,” tambah Syed Faisal lagi.

    DRB-HICOM dan Geely Holding menandatangani Perjanjian Dasar pada 24 Mei 2017 untuk membolehkan pembuat kereta China itu menjadi rakan strategik asing PROTON. Pada 23 Jun, kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Muktamad di Kuala Lumpur, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

     
     
  • PANDU UJI: Honda City Sport Hybrid i-DCD – prestasi lebih mengujakan dari model petrol konvensional?

    PANDU UJI: Honda City Sport Hybrid i-DCD – prestasi lebih mengujakan dari model petrol konvensional?

    Sejak Toyota memperkenalkan model Prius, pandangan saya terhadap kereta hibrid adalah skeptikal – ia sebuah model yang direka untuk penjimatan bahan api, dan yang paling penting adalah ia sebuah kereta yang bersahabat baik dengan alam sekitar. Jadi untuk seorang yang masih merasakan bunyi karburator itu sesuatu yang sangat menenangkan jiwa, karekter pada kereta hibrid tentunya sangat membosankan.

    Skeptikal ini terus saya bawa ketika Honda mengumumkan model CR-Z yang didakwa sebagai jentera Sport hybrid dan sebagai model jelmaan semula hatchback ikonik Honda CR-X. Saya anggap CR-Z ini sebagai hanya gimik dari Honda dan terma ‘Sport’ berkenaan hanya kerana bentuk badan tiga pintu yang ditampilkan.

    Tetapi selepas diberi peluang untuk memandunya, pandangan saya terhadap CR-Z terus berubah 180 darjah. Kereta berkenaan benar-benar mengingatkan saya kepada barisan hatchback lagenda Honda sebelum ini seperti Civic EF dan EG. Ia sangat responsif serta sangat lincah ketika dipandu pada jalan berliku!

    Tahun ini, Honda membawa masuk Jazz dan City Hybrid yang juga diberi kelas ‘Sport’ padanya – Sport Hybrid i-DCD – dan ia menerima kotak gear klac berkembar DCT tujuh-kelajuan, serta didakwa menerima talaan pengendalian lebih sporty dari model petrol standard – fakta atas kertas ini benar-benar menaikkan nafsu saya untuk menguji model berkenaan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • BMW i Vision Dynamics – Gran Coupe elektrik tegap

    BMW i Vision Dynamics – Gran Coupe elektrik tegap

    BMW bukanlah baru dalam penghasilan kenderaan elektrik, di mana untuk pasaran awam, mereka mempunyai model i3 dan i8, yang masing-masing adalah sebuah kereta kompak bandar dan supercar dua tempat duduk. Pada tahun lepas, syarikat dari Jerman ini telah menunjukkan kereta konsep Vision Next 100 bagi menyambut ulang tahun mereka yang ke-100.

    Paling baru di Frankfurt Motor Show, syarikat itu menunjukkan pula sebuah Gran Coupe empat pintu konsep kuasa elektrik yang dinamakan sebagai i Vision Dynamics. Walaupun ini adalah sebuah kenderaan konsep, BMW memanggilnya sebagai “kenderaan elektrik masa hadapan yang lebih dekat”, sekaligus menunjukkan komitmen untuk mengeluarkan versi produksi dalam masa beberapa tahun sahaja lagi.

    Penjana kuasa bagi kenderaan ini tidak diberitahu, tetapi ia dikatakan boleh memberi jarak pergerakan sehingga 600 km, laju maksimum lebih 200 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat. Pada aspek rekaan, walaupun nampak futuristik, kenderaan ini masih mengekalkan ciri elegan yang sudah menjadi tanda sebuah BMW.

    Pada bahagian hadapan contohnya, gril ‘kidney‘ masih lagi digunakan, dan di sebaliknya terdapat pelbagai pengesan untuk menyokong sistem pemanduan autonomous. Untuk bahagian lampu pula, dua garisan LED di setiap bucu digunakan bukan sahaja untuk memberi pencahayaan, malah juga menjadikan kereta ini lebih menonjol.

    Dari belakang pula, walaupun mempunyai lampu LED berbentuk L yang moden, kereta ini tetap nampak tegap dengan lengkuk roda yang lebar. Tanpa spoiler, kereta ini nampak serba licin dan di bahagian bawah bampar terdapat diffuser dan bukaan angin menegak di setiap sisi.

    Menurut BMW, menjelang tahun 2025, syarikat mempunyai sasaran menawarkan 25 buah model yang mendapat kuasa elektrik, dan 12 daripadanya adalah kenderaan elektrik penuh. Melalui model konsep i Vision Dynamics ini, mereka dapat menunjukkan bayangan kenderaan yang akan ditawarkan nanti.

     
     
  • Subaru XV 2017 ditemui lagi di Malaysia – varian 2.0i-P

    Subaru XV 2017 ditemui lagi di Malaysia – varian 2.0i-P

    Selepas Geneva Motor Show awal tahun ini, Subaru XV 2017 serba baru dilancarkan pula buat pertama kali di rantau Asia Tenggara, iaitu di Taiwan pada bulan Jun. Tidak lama selepas itu, kelibatnya sudah ditemui di Malaysia.

    Tarikh pelancaran model ini masih belum diketahui, tetapi ia kelihatan pasti akan menemui pengguna di Malaysia kerana dalam gambar terbaru yang dihantar oleh Nicholas Nyy ini, Subaru XV 2017 dijumpai seperti sedang melakukan rakaman video komersial di sekitar Sungai Wang, Kuala Lumpur.

    Unit yang ditemui ini menggunakan warna luaran oren, dan di bahagian belakangnya terdapat lencana 2.0i-P (sebelah kanan), selain lencana nama Subaru dan Symmetrical AWD, sekaligus menunjukkan ia adalah varian lebih tinggi. Antara kelengkapan yang boleh dilihat ada pada unit ini adalah rak bumbung, spoiler, lampu hadapan LED dan antena berbentuk sirip.

    Subaru XV 2017 ditemui lagi di Malaysia – varian 2.0i-P

    Subaru XV 2017 menggunakan platform sama seperti Impreza terkini, dan ia dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder FB20 2.0 liter suntikan terus. Jika melihat kepada spesifikasi kenderaan yang dilancarkan di Taiwan, XV baru ini boleh menjana 154 hp dan 196 Nm, dan digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT yang dipertingkat, serta sistem Symmetrical AWD oleh Subaru. Ia juga hadir lengkap dengan ciri X-Mode (seperti pada Forester).

    Antara pembaharuan lain yang turut dilakukan ialah pusat graviti yang direndahkan sebanyak 70%, nisbah stereng yang lebih cepat (dari 14:1 kepada 13:1) serta pengenalan Active Torque Vectoring. Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), ABS, bantuan brek dan tapak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

    Subaru XV 2017 dijangka dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada hujung tahun ini, dengan pemasangannya akan dilakukan di dalam Malaysia CKD).

     
     
  • Toyota Hilux terima kit keselamatan ekstra, dari RM87k

    Toyota Hilux terima kit keselamatan ekstra, dari RM87k

    Tidak seperti Toyota Innova dan Fortuner, yang kedua-duanya menerima varian baharu, namun tiada varian baharu yang diumumkan untuk Hilux. Walau bagaimana pun, trak pikap ini telah dijajarkan semula – yang turut menerima beberapa peningkatan bagi elemen dan keselamatannya. Ini semua adalah berdasarkan maklumbalas dan permintaan para pelanggan, ujar UMW Toyota Motor.

    Bagi varian tertinggi, 2.8G, hanya hanya ditawarkan untuk 4×4 AT sahaja, ia menerima lampu kabus hadapat LED baharu (dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED masih dikekalkan), kawalan suhu automatik dengan corong pendingin hawa belakang, kawalan kelajuan dan Kawalan Bantuan Menurun Bukit (DAC) bersama Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

    Bagi 2.4G STD yang diperkenalkan Januari lalu, telah digugurkan, namun demikian, senarai spesifikasinya telah diambil alih oleh model 2.4G baharu. Ia telah diberi peningkatan bagi kit keselamatan termasuk tujuh beg udara untuk 2.4G AT (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu; sama seperti 2.8G) dan tambahan bagi VSC, HAC dan bantuan brek untuk 2.4G MT. Kedua-dua 2.8G dan 2.4G turut menerima port pengecas USB baharu.

    Harganya pula ialah RM130,900 bagi 2.8G, RM106,700 untuk 2.4G MT serta 2.4G AT pula RM116,300. Varian lain termasuk Single Cab 2.4 MT 4×4 (RM87.2k), 2.4 STD MT 4×4 (RM96.9k) dan 2.4 MR 4×2 (RM89.1k) tidak terlibat dengan perubahan ini. Kesemuanya diberikan waranti lima-tahun atay 150,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

     
     
  • Toyota Fortuner terima 2 varian diesel baharu; cakera brek belakang standard untuk semua, dari RM170k

    Toyota Fortuner terima 2 varian diesel baharu; cakera brek belakang standard untuk semua, dari RM170k

    Telah dilancarkan pada Mei 2016, kini Toyota Fortuner bagi pasaran Malaysia menerima dua lagi varian baharu, janaan diesel, iaitu 2.4 VRZ 4×4 dan 2.4 VRZ 4×2. Kedua-duanya diposisikan antara varian asas 2.4 4×4 (sebelum ii dikenali sebagai 2.4 VRZ) dan varian tertinggi, 2.7 SRZ 4×4 janaan petrol.

    Varian baharu ini (termasuk dengan 2.4 4×4) dijanakan oleh enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel dengan kuasa 150 PS pada 3,400 rpm dan tork 400 NM dari 1,600 hingga 2,000 rom. Sama seperti unit perol 2TR-FE 2.7 liter, ia juga dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dengan mod sequential shift dan pedal penukar gear (tidak ditawarkan bagi varian asas).

    Bagi 2.4 VRZ 4×4 ini, ia turut menerima sistem pacuan empat-roda dengan automatic disconnecting differential (ADD) serta rear differential lock. Manakala varian 2.4 VRZ 4×2 pula hanya pacuan dua-roda, dengan kuasa yang disalurkan ke roda belakang.

    Untuk elemennya, varian baharu ini banyak berkongsi persamaan dengan 2.7 SRZ 4×4, dan turut didatangkan dengan roda aloi 18-inci (dibaluti tayar 265/60), lampu utama projektor Bi-LED dengan lampu nyalaan siang dan lampu belakang kombinasi LED.

    Menjengah bahagian dalamannya, kelihatan panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT-LCD 4.2-inci, kawalan suhu automatik (hadapan dan belakang), kulit upholstery, tempat duduk pemandu dengan lapan-hala larasan berkuasa (manual untuk penumpang hadapan), kawalan kelajuan dan roda stereng empat-jejari balutan kulit (dengan kekemasan perak dan kayuan). Sistem infotainmen DVD-AVX juga melengkapi varian baharu ini, dengan skrin sesentuh lapan-inci, input untuk beberapa media dan juga kamera undur.

    Klik untuk besarkan

    Bagi kit keselamatan pula, ia ditampilkan dengan tujuh beg udara (dua di hadaoan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), VSC, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), ABS dengan EBD, bantuan brek, Kawalan Bantuan Menurun Bukit (DAC) dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC). Dua yang terakhir hanya untuk 2.7 SRZ 4×4 dan 2.4 VRZ sahaja.

    Lebih kurang sama seperti Innova, Fortuner turut menerima beberapa peningkatan, di mana cakera brek belakang kini ditampilkan untuk semua varian. Selain itu, lampu kabusnya kini dengan LEDuntuk semua varian kecualo 2.4 4×4, yang masih terus menggunakan unit mentol dengan lampu utama projektor halogen. Semua varian juga menerima port USB baahru di bahagian hadapan kabin.

    Aksesori pilihan baharu juga ditawarkan termasuklah kit badan TRD Sportivo (RM4,982), termasuk aerokit, gril hadapan hitam, lencana, jaluran pada badan, alas lantai spesifik dan scuff plate. Ia turut menampilkan paparan pandangan panoramik (RM2,650) dan paparan titik buta (RM1,855), dan semua harga yang dinyatakan adalah termasuk GST.

    Dengan semua peningkatan ini, harganya juga turut melibatkan semakan semula, dengan 2.4 4×4 kini berharga RM169,800 (atas jalan tanpa insurans – sebelum ini RM170,400). Manakala 2.7 SRZ 4×4 kini RM181,800 (sebelum ini RM178,600). Bagi harga 2.4 VRZ 4×4 dan 2.4 VRZ 4×2, ia akan diumumkan kelak.

    Perincian lanjut mengenai barisan Toyota Fortuner, boleh layari CarBase.my. Ikuti ulasan pandu ujinya DI SINI.

     
     
  • Toyota Innova 2.0X terima tempat duduk kapten, lampu utama LED; 7 beg udara untuk semua – dari RM108k

    Toyota Innova 2.0X terima tempat duduk kapten, lampu utama LED; 7 beg udara untuk semua – dari RM108k

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan varian baharu bagi Toyota Innova generasi kedua di Malaysia, yang kini tempahannya telah pun dibuka Varian 2.0X baharu ini merupakan varian tertinggi bagi barisan Innova, menyertai varian sedia ada iaitu 2.0G AT dan 2.e (MT dan AT).

    2.0X ini banyak berkongsi elemen yang sama dengan 2.0G, namun terdapat beberapa elemen baharu untuk meletakkannya sebagai varian tertinggi. Paling menonjol ialah ia ditampilkan dengan lampu utama LED yang menggantikan unit reflektor halogen, serta roda aloi yang lebih besar berbanding 16-inci pada 2.0G dan 2.0E.

    Perubahan terbesar yang dilakukan ialah menampilkan dua tempat duduk kapten pada barisan kedua, menjadikan 2.0X berkapasiti tujuh-tempat duduk berbanding lapan. Ia turut menampilkan tempat duduk balutan kulit upholstery, berbanding fabrik pada varian lain, bersama enam-cara larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu (kekal dengan larasan manual untuk penumpang hadapan).

    Toyota Innova 2.0X terima tempat duduk kapten, lampu utama LED; 7 beg udara untuk semua – dari RM108k

    Senarai kit lain masih sama dengan 2.0G, masih menerima kekemasan kayuan berkilat dan “emas sutera” pada beberapa bahagian permukaan, sistem pendingin hawa automatik, panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT-LCD berwarna 4.2-inci, meja boleh lipat pada belakang tempat duduk, pencahayaan ambien dwi-zon, kamera undur dan sistem infotainmen DVD-AVX lapan-inci.

    Selain memperkenalkan 2.0X, varian lain bagi Innova turut menerima peningkatan, dengan tujuh beg udara, VSC dan kawalan cengkaman secara standard termasuk bagi 2.0E. Pelanggan juga boleh mendapatkan aksesori pilihan dengan kos tambahan termasuk perakam video digital (RM636) dan paparan pandangan panoramik (RM2,650).

    Harga bagi barisan Innova ini juga disemak semula, dengan 2.0E (MT) kini RM107,800 (sebelum ini RM105,800), 2.0E AT pula pada RM115,800 (sebelum ini RM113,800), dan 2.0G AT pula RM123,800 (sebelum ini RM122,400). Semuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan termasuk dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had.

    Ikuti ulasan pandu uji Toyota Innova DI SINI.

     
     
  • Honda Shuttle dipertingkatkan dengan teknologi Sensing, sistem i-DCD turut diberi penambahbaikan

    Honda Shuttle dipertingkatkan dengan teknologi Sensing, sistem i-DCD turut diberi penambahbaikan

    Honda Shuttle, atau sebelum ini dikenali sebagai Fit Shuttle, telah menerima beberapa peningkatan untuk pasaran negara kelahirannya, Jepun. Walau bagaimana pun, peningkatan ini tidak langsung melibatkan imej dalaman dan luarannya. Shuttle ini mula dijual di Jepun sejak Mei 2015.

    Ia kini didatangkan dengan teknologi Honda Sensing yang dijadikan elemen standard bagi semua variannya. Sama seperti varian tertinggi CR-V yang kita terima, ia turut menggunakan rada bergelombang milimeter dan kamera monokular yang diletakkan di atas cermin hadapan untuk Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist System, Road Departure Mitigation, Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning (FCW) dan Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Low Speed Follow (LSF).

    Selain itu, versi hibrid bagi Shuttle kini turut menambahbaik sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive), seperti mana yang sama dengan Jazz Hybrid dan City Hybrid untuk pasaran Malaysia. Dengan ujian ketahanan yang dikendalikan di Malaysia, ia turut menerima kelebihan bagi peningkatan keupayaannya.

    Bagi enjin bukan hibrid yang menerima enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT, bagi pasaran Jepun ia turut didatangkan dengan versi AWD. Lain-lain peningkatan kecil yang dilakukan termasuklah menambah sistem infotaimen yang mampu menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta didatangkan dengan lampu kabus LED. Harga dari 1.7 hingga 2.5 juta yen (RM64,727 hingga RM95,203).

     
     
  • VIDEO: Nikolass Bertans – budak 12 tahun dengan kereta drift BMW M3 E36 berenjin LS3 6.2 liter V8

    Apa yang anda lakukan ketika berumur 12 tahun dahulu? Saya sendiri ketika umur tersebut masih lagi sibuk berlumba kereta mini 4WD Tamiya di longkang-longkang sekitar rumah. Berbeza dengan Nikolas Bertans dari Latvia ini, dimana dia telah menerima hadiah hari jadi ke-12 berupa kereta drift sebenar BMW M3 E36 oleh ayahnya.

    M3 milik Nikolass ini tidak lagi dijana enjin asal S50 3.0 liter enam silinder sebaris, sebaliknya ia kini telah digantikan dengan enjin lebih berkuasa Chevrolet LS3 6.2 liter V8, digabungkan dengan kotak gear sequential dari Samsonas. Kuasa liar tersebut dialirkan ke roda menerusi unit differential lengkap dari Winters pada gandar belakang.

    Casis M3 ini disokong dengan rollcage spesifikasi Formula Drift yang dibina oleh HGK Racing, selain dari suspensi lengkap dari Feal, angle kit hadapan dan belakang bagi mendapatkan sudut drift agresif, brek gergasi dari Wilwood serta kit badan karbon kevlar asli yang turut dihasilkan oleh HGK Racing sendiri.

    Apa yang istimewa pada jentera milik Nikolass ini adalah bagaimana HGK menghasilkan sebuah kereta yang sesuai dipandu oleh seorang budak berumur 12 tahun. Mereka memadankan bolster pada tempat duduk bucket penuh kereta tersebut, memasang paddle box (unit yang terdiri dari pedal pendikit, klac dan brek) boleh laras, serta membina kembali kolum stereng bagi mendapatkan sudut agar Nikolas boleh melihat jalan dengan jelas tanpa diganggu roda stereng.

    Kereta yang dihadiahkan kepada Nikolas ini bukan digunakan untuk perhiasan, sebaliknya Nikolas sememangnya handal dalam sukan drift dan kini menyertai kejohanan drift tempatan, bertanding dengan drifter-drifter dewasa sebenar!

     
     
  • VIDEO: Akrapovic beri penghargaan kepada superbike

    Ada sesuatu berkenaan berada atas motosikal yang tidak boleh difahami oleh orang yang tidak menunggang. Malah bagi penunggang sendiri, perkara ini sukar dijelaskan tetapi secara ringkasnya, ia diketahui memberi kepuasan yang berlainan dengan perkara lain.

    Pengeluar ekzos dari Slovenia, iaitu Akrapovic cukup faham perkara ini, dan mereka telah mengeluarkan sebuah video bagi memberi penghargaan kepada motosikal superbike. Melaluinya anda akan dapat melihat kelibat Yamaha YZF-R1, Honda CBR1000RR, Suzuki GSX-R1000R, BMW S1000RR, Kawasaki ZX-10R dan pelbagai lagi. Memandangkan ini adalah video daripada pengeluar ekzos, sudah tentu anda dapat menikmati bunyi yang boleh menaikkan bulu roma.

    Walaupun dalam video ini ia lebih fokus kepada superbike, Akrapovic sebenarnya mempunyai barisan produk yang luas, bagi pelbagai jenis motosikal. Ia adalah jenama yang boleh dikatakan sebagai antara yang paling popular di kalangan pemilik motosikal, dengan kualiti binaan serta bahan yang terbaik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025