Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Focus Mk4 terima sistem pengesan lubang jalan khas untuk model yang dijual pada pasaran UK

    Ford Focus generasi keempat yang bakal masuk ke pasaran UK bermula musim panas tahun ini akan dilengkapi dengan teknologi pengesan lubang jalan bagi meminimakan kerosakan setiap kali kereta berkenaan dipandu di atas jalan dengan permukaan sedemikian.

    Sistem tersebut merupakan sistem yang sama diperkenalkan pada Ford Fusion tahun lalu, dan pengenalannya pada Focus Mk4 ini merupakan yang pertama untuk model-model pasaran UK. Selepas ini, Ford akan memadankan sistem tersebut untuk model-model yang lebih tinggi dari Focus, dan ia akan diberikan secara standard bagi model yang dilengkapi dengan sistem penyerap hentak yang sentiasa dikawal (continuously controlled damping).

    Sistem ini berfungsi dengan menggunakan teknologi tebatan lubang yang mengesan lubang pada jalan raya seterusnya menghalang tayar dari jatuh terus ke dalam dasar lubang. Komputer pada kereta akan mengesan pelbagai isyarat yang diterima daripada 12 penderia beresolusi tinggi, dan membantu menyelaraskan penyerap hentak setiap dua milisaat untuk respons kenderaan terbaik dalam setiap situasi.

    Apabila sistem mengesan lubang yang akan dilalui, komputer pada kereta akan melaras penyerap hentak lebih pantas dari sekelip mata kepada tahap yang paling keras, jadi tayar kereta akan ‘tergantung’ dan tidak jatuh ke dasar lubang, dakwa Ford. Disebabkan tayar dan roda tidak jatuh jauh ke dasar lubang, ia tidak akan menghentam tebing lubang yang bertentangan dengan begitu kuat.

    Suspensi belakang akan bertindak balas dengan lebih cepat, kerana kejadian yang terjadi pada bahagian hadapan akan memberikan isyarat pra-amaran kepada roda belakang sebelum ia sampai ke lubang tersebut. Menurut Ford, sistem ini telah diuji di litar ujian Ford Eropah yang terletak Lonmel, Belgium – yang mempunyai lebih 100 permukaan ekstrem yang ditiru dari 25 buah negara, termasuk jalan berlubang sepanjang dua kilometer.

    “Jurutera-jurutera kami sentiasa mencari jalan dengan permukaan paling lasak bagi menguji suspensi sehingga ke hadnya, tetapi lama kelamaan kami dapati jalan sedemikian pula yang mula mencari kami,” kata Guy Mathot, penyelia dinamik kenderaan untuk Ford Focus generasi baharu. “Lubang jalan merupakan masalah yang tidak akan selesai dalam masa terdekat tetapi, dengan teknologi suspensi terkini kami untuk Focus baharu, kami mampu untuk mengurangkan impaknya.”

    Sekarang, siapa setuju untuk minta Ford bawa teknologi ini ke Malaysia sila angkat tangan!

    Ford Focus ST-Line 2019

    Ford Focus Vignale 2019

    Ford Focus Titanium 2019

    Ford Focus Active 2019

     
     
  • Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi lapor penjimatan kos €5.7 bilion hasil daripada kerjasama lebih rapat

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi lapor penjimatan kos €5.7 bilion hasil daripada kerjasama lebih rapat

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah mengeluarkan laporan bahawa dengan kerjasama yang lebih rapat di antara ahli, mereka berjaya mencatat peningkatan nilai dan prestasi tahunan sebanyak 14%, iaitu menjadi €5.7 bilion (RM26.5 bilion) bagi tahun 2017, berbanding €5 bilion (RM23.2 bilion) pada tahun 2016.

    “Pakatan ini mempunyai kesan yang terus dan positif terhadap pertumbuhan dan serta keuntungan setiap syarikat yang menjadi ahli. Pada tahun 2017, pakatan ini telah memacu prestasi semua tiga syarikat termasuk Mitsubishi Motors yang baru menikmati keuntungan buat tahun pertama,” kata pengerusi dan CEO pakatan tersebut, Carlos, Ghosn.

    “Kami menjangkakan sinergi yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang, memandangkan pakatan ini akan mempercepatkan lagi penumpuan melalui peningkatan penggunaan kilang bersama, platform kenderaan yang dikongsi, perkongsian teknologi dan penyatuan dalam pasaran matang dan membangun. Sekarang kami boleh mengesahkan semula sasaran sinergi lebih €10 bilion menjelang akhir tahun 2022,” tambah beliau.

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi lapor penjimatan kos €5.7 bilion hasil daripada kerjasama lebih rapat

    Keuntungan berasaskan kejuruteraan yang diperoleh datang daripada perkongsian kos R&D serta pelaburan, manakala dalam aspek pengilangan pula, kos pengeluaran yang lebih rendah dapat dicapai dengan perkongsian platform seperti Datsun Redi-GO dengan Renault Kwid. Pengurangan kos yang lebih jelas juga dapat diperoleh melalui penggunaan sumber berpusat bagi alat ganti, kelengkapan, alatan dan barangan lain.

    Turut menyumbang kepada perkara ini adalah perkongsian gudang alat ganti antara Renault, Nissan dan Mitsubishi Motors di Eropah, Jepun dan Australia. Dengan ini juga, kos yang berkaitan dengan pengangkutan kenderaan dapat dijimatkan. Sebagai contoh, kenderaan Nissan dan Mitsubishi yang datang daripada kilang sama boleh dihantar menggunakan pengangkutan sama kepada pengedar.

    Untuk tahun 2017, pakatan ini telah mencatat jualan sebanyak 10.6 juta kenderaan, dan berdasarkan pelan strategik 2022, ia dijangka dapat mencapai jumlah jualan lebih 14 juta kenderaan. Sembilan juta kenderaan daripada jumlah keseluruhan tersebut akan dibina menggunakan platform yang dikongsi termasuk kenderaan elektrik dan segmen B.

     
     
  • MRT jajaran Sg. Buloh-Serdang-Putrajaya diteruskan, dengan syarat kos pembinaan perlu dikurangkan

    MRT jajaran Sg. Buloh-Serdang-Putrajaya diteruskan, dengan syarat kos pembinaan perlu dikurangkan

    MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) akan diteruskan pembinaannya dan tidak akan menerima nasib yang sama seperti laluan lingkaran MRT3 yang dibatalkan oleh kerajaan buat masa ini. Namun, MRT Corp diberikan tanggungjawab oleh Majlis Penasihat Kerajaan untuk mencari jalan bagi mengurangkan kos projek itu, lapor Malay Mail.

    Perkara ini dimaklumkan oleh CEO MRT Corp, Datuk Shahril Mokhtar selepas pertemuan dengan majlis penasihat berkenaan hari ini. “Kami sedang mengusahan sesuatu, dan akan berbincang untuk mencari jalan mengurangkan kos laluan kedua MRT yang terlibat itu. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kos supaya wang rakyat boleh dijimatkan,” tambah beliau. Ketika ini, pembinaan laluan terbabit telah siap sebanyak 24%.

    MRT SSP merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai tahun lalu.

    Perdana Menteri, Tun Mahathir mengumumkan pada 30 Mei lalu kerajaan akan membatalkan projek MRT3, yang melibatkan laluan lingkaran bersepadu bagi rangakaian dan laluan sistem pengangkutan di Lembah Klang.

     
     
  • Ops Selamat 13 – kes kemalangan, kematian menurun

    Ops Selamat 13 – kes kemalangan, kematian menurun

    Operasi keselamatan jalan raya, Ops Selamat 13, yang dilaksanakan di seluruh negara sempena Hari Raya ini menyaksikan penurunan sebanyak 9% bagi kadar kemalangan maut, dengan 189 kes direkodkan berbanding 207 kes pada tempoh yang sama tahun lalu, laporan Bernama.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman SAC Shahrul Othman Mansor bagaimanapun bagaimana pun berkata, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang utama kemalangan maut dengan mencatatkan 119 kes pada Ops Selamat kali ini.

    “Jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan parah pula menurun sebanyak 34 kes iaitu 72 kes berbanding 106 kes tahun lepas, ” katanya pada sidang media sempena Ops Khas Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi arah Utara semalam.

    Walau bagaimana pun, Ops Selamat 13, yang berakhir hari ini, merekodkan peningkatan jumlah saman sebanyak 40% iaitu mencecah 201,835. Katanya, memandu melebihi had laju adalah kesalahan tertinggi yang dicatatkan iaitu sebanyak 175,745 kes.

     
     
  • Pusat 3S Ford Sime Darby Auto Connexion yang ditingkat taraf kini di buka di Kota Kinabalu

    Pusat 3S Ford Sime Darby Auto Connexion yang ditingkat taraf kini di buka di Kota Kinabalu

    Pengedar kenderaan berjenama Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini mengumumkan bahawa pusat 3S jenama berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah yang telah ditingkat taraf secara rasminya telah dibuka.

    Fasiliti yang terletak di Jalan Limau Manis Off Jalan Lintas, Inanam, tersebut terletak diatas kawasan yang berkeluasan 3,216 meter persegi dan direka dengan standard Brand@Retail global Ford terkini. Ia mempunyai enam ruang penyelenggaraan tambahan, secara menyeluruh menjadikannya 13 tempat servis yang lengkap dengan sistem pengangkat.

    Pusat 3S ini juga mempunyai ruang untuk pelanggan yang dilengkapi dengan Wi-Fi percuma, minuman panas dan snek juga sediakan khusus untuk pelanggan sementara menunggu kereta diservis.

    “Kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan rangkaian serta penambahbaikan khidmat pelanggan oleh Ford dan SDAC. Ia bertujuan menawarkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan lebih baik untuk semua pelanggan Ford yang kian meningkat di Sabah dan Sarawak,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Bin Syed Faiz

    “Kami amat mementingkan kualiti pemilikan, sama seperti kualiti kenderaan Ford yang bertaraf dunia,” kata Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, Truong Kim Phong. “Sime Darby Auto Connexion (Kota Kinabalu) yang baru sahaja dinaik taraf ini membuktikan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman lebih baik kepada para pelanggan Ford.”

    Bilik pameran di pusat 3S ini dibuka mulai jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu pula ia dibuka bermula 8.30 pagi hingga 12:30 tengah hari. Waktu operasi pusat servis pula bermula daripada 8.00 pagi hingga 5.00 petang untuk Isnin hingga Jumaat dan 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari pada hari Sabtu.

     
     
  • Volvo XC40 EV sah bakal masuk pasaran pada 2019

    Volvo XC40 EV sah bakal masuk pasaran pada 2019

    Kereta elektrik sepenuhnya yang pertama bagi Volvo akan tampil melalui model XC40. Begitu yang dinyatakan oleh ketua pereka Volvo, Thomas Ingenlath seperti yang dilaporkan oleh Autocar. Dikhabarkan lagi, XC40 EV berkenaan akan diperkenalkan tahun depan, sejurus selepas model Polestar 2 memasuki pasaran.

    Bercakap ketika pengenalan model S60 serba baru, Ingenlath berkata syarikat itu hanya akan mengeluarkan versi elektrik bagi model-model semasa yang ada berbanding menghasilkan model-model baru EV semata-mata. Selepas melancarkan XC40 EV pada 2019, Volvo merancang untuk memperkenalkan XC90 EV serba baru pada 2021 – dengan model berkenaan akan dipasang di kilang Charleston, South Carolina.

    “Bukan lagi rahsia bahawa model EV sepenuhnya yang pertama bagi Volvo adalah dalam versi XC40. Ia akan hadir tidak lama selepas pengenalan Polestar 2. Kami akan mulakan (model EV) dengan XC40, dan akan diikuti oleh SUV XC90,” jelas beliau.

    “Itu adalah rancangan besar bagaimana elektrifikasi akan diperkenalkan pada barisan produk Volvo. Kami akan memperkenalkan versi elektrifikasi sebagai varian kepada model-model sedia ada dan bukannya sebagai model baru yang berasingan.

    Volvo XC40 EV sah bakal masuk pasaran pada 2019

    “Boleh dikatakan ini pendekatan yang berbeza berbanding kebanyakan jenama pengeluar utama yang lain. Tetapi saya sendiri sukar untuk memahami bagaimana perancangan yang mereka ambil itu akan berhasil dalam jangka masa panjang.

    “Elektrifikasi adalah masa depan industri automotif. Jadi, bagaimana anda akan berdepan dengannya apa bila kenderaan elektrik menjadi lebih meluas dan majoriti dalam barisan produk anda? Bagi kami, langkah paling baik yang boleh difikirkan ialah dengan menambah versi atau varian EV pada barisan model yang sedia ada,” tambahnya.

    Volvo XC40 dan XC90 versi EV akan memanfaatkan bateri lithium-ion, sama seperti Polestar 1 dan 2. XC40 misalnya turut akan ditawarkan sekali dengan versi XC40 T5 Twin Engine (versi plug-in hybrid). Menjelang 2025, Volvo mensasarkan sebanyak 50% jualannya adalah terdiri daripada model-model elektrik sepenuhnya.

     
     
  • Volvo Cars buka kilang pertama di Amerika Syarikat, mula hasilkan model sedan S60 generasi baharu

    Volvo Cars buka kilang pertama di Amerika Syarikat, mula hasilkan model sedan S60 generasi baharu

    Serentak dengan pendedahan sedan Volvo S60, Volvo Cars juga secara rasmi mengumumkan pembukaan kilangnya pertamanya di Amerika Syarikat yang terletak di Charleston, Carolina Selatan. Pembukaan kilang baharu ini adalah selari dengan strategi “bina di mana ia dijual” Volvo dan melengkapi operasi produksinya yang lain iaitu dua kilang pembuatan dan sebuah kilang enjin di Eropah, tiga kilang kereta dan sebuah kilang enjin di China, serta kilang pemasangan di India dan Malaysia.

    Buat permulaan, kilang Charleston ini akan memproduksi Volvo S60 generasi baharu yang diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA). Kemudian, kilang tersebut dirancang akan membina SUV Volvo XC90 generasi seterusnya pada 2021. Kereta-kereta yang dihasilkan dari kilang berkenaan bukan sahaja akan dijual pada pasaran domestik, malah turut akan dieksport keluar dari Amerika Syarikat.

    “Kilang Charleston menjadikan Amerika Syarikat sebagai pasaran rumah ketiga kami. Segmen saloon dan platform SPA membuktikan kebolehannya untuk menjana keuntungan menawarkan peluang pertumbuhan yang signifikant untuk Volvo Cars di Amerika Syarikat dan secara global,” kata Hakan Samuelsson, presiden dan CEO Volvo Cars.

    Volvo sedang melabur sekitar US$1.1 bilion (RM4.4 bilion) dalam operasi pembuatannya di Amerika Syarikat dan akan mewujudkan sekitar 4,000 perkerjaan baharu di Charleston untuk berberapa tahun akan datang. Dijangka seramai 1,500 staf akan diambil untuk bekerja menjelang akhir tahun ini.

    Fasiliti berkenaan turut termasuk bangunan pejabat untuk lebih 300 kakitangan Penyelidikan dan Pembangunan, pembelian, kualiti dan jualan. Kilang tersebut mampu menghasilkan 150,000 kereta setiap tahun dengan kapasiti penuh. Secara keseluruhan, tapak fasiliti berkenaan berkeluasan 1,600 ekar manakala bangunan-bangunannya memenuhi ruang sebanyak 2.3 juta kaki persegi. Pembinaan kilang ini telahpun bermula pada tahun 2015.

    Volvo S60 generasi baharu berkenaan merupakan Volvo pertama yang tidak ditawarkan dengan enjin diesel, dan hanya hadir dengan pilihan enjin petrol dan unit janakuasa hibrid. Kesemua model berkenaan dijana enjin 2.0 liter Drive-E bersama gandingan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari Aisin. Versi turbo T5 membekalkan kuasa 254hp/350 Nm, versi suapan serentak supercharger dan turbo T6 AWD berkuasa 310 hp/400 Nm, manakala model hibrid T6 Twin Engine AWD menjana 340 hp/590 Nm.

    Model paling berkuasa untuk S60 adalah dari versi hibrid T8 Twin Engine AWD yang mengekstrak kuasa keseluruhan 390 hp/640 Nm. Tak cukup? Volvo turut menawarkan tingkat taraf Polestar Engineered untuk model ini yang mampu melepaskan kuasa penuh 405 hp/670 Nm dengan talaan semula pada kotak komputer enjin bersama peralatan lebih sporty lain termasuk set rim baharu serta sistem brek dan suspensi yang ditingkat taraf.

    Sama seperti model-model baharu Volvo yang lain, S60 turut hadir dengan tiga pakej kemasan iaitu Momentum, Inscription dan R-Design. Model ini turut ditawarkan dalam servis sewaan Care by Volvo. Menerusi kaedah ini, pelanggan hanya perlu membayar yuran pada kadar rata setiap bulan yang turut termasuk kos selenggara dan juga insuran.

    GALERI: Volvo S60 Inscription 2019

    GALERI: Volvo S60 R-Design 2019

    GALERI: Volvo S60 Polestar Engineered 2019

     
     
  • Indian sah keluarkan FTR1200 untuk pasaran 2019

    Indian sah keluarkan FTR1200 untuk pasaran 2019

    Pengeluar motosikal dari Amerika Syarikat iaitu Indian Motorcycles telah mengesahkan bakal mengeluarkan model FTR1200 untuk pasaran awam pada tahun hadapan. Istimewanya berkenaan model ini, ia mendapat inspirasi daripada motosikal lumba flat track, tetapi masih boleh digunakan atas jalan biasa dan mematuhi undang-undang.

    Sebelum ini, FTR1200 pernah dipertontonkan dalam versi konsep, iaitu semasa pameran EICMA pada tahun lepas. Dari waktu itu, Indian cuba mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, dan kini keputusan telah dibuat untuk mengeluarkannya kepada pasaran awam.

    Perincian lanjut berkenaan FTR1200 versi produksi tidak didedahkan, tetapi ia diberitahu bakal menggunakan kerangka trellis dan kuasa datang daripada enjin V-twin. Indian juga akan menggunakan sebanyak boleh gaya rekaan flattrack daripada FTR1200 Concept, tetapi ia akan dipastikan boleh diguna atas jalan biasa.

    Indian sah keluarkan FTR1200 untuk pasaran 2019

    Selain daripada itu, FTR1200 ini juga akan dibina dengan inspirasi daripada model khas flat track keluarannya sejak tahun 2017 iaitu FTR750. Dalam perlumbaan di Amerika, model ini mendominasi carta pemenang dan digunakan oleh banyak pasukan yang bertanding.

    Bagi menunjukkan mereka serius dalam perkara ini, beberapa orang penting dalam industri di sana telah dibawa untuk melihat sendiri FTR1200 ini dalam kawasan tertutup waktu acara Wheels & Waves. Melalui model ini juga, Indian berharap dapat membawa jenama mereka ke pasaran global.

    GALERI: Indian FTR1200 Concept

     
     
  • TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

    TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

    Melihat kepada waktu sekarang ini, Yamaha seperti sudah mendapat formula rekaan yang baik untuk menarik pengguna kepada motosikal mereka. Gaya yang digunakan lebih garang dan moden berbanding pesaing yang lain.

    Lihat saja kepada model Y15ZR (juga dipanggil sebagai Y suku di kalangan mat motor). Walaupun mempunyai pesaing dekat iaitu Honda RS150R dalam kategori yang sama, populariti Y15ZR seperti lebih tinggi dan menjadi kegilaan ramai peminat motosikal.

    Sebolehnya, saya mahu membuktikan perkara ini melalui data jualan, tapi pengeluar motosikal tidak menyiarkan jumlah spesifik model yang mereka jual kepada pelanggan. Jadi, kalau mengikut pemerhatian saja, baik di atas jalan raya mahupun media sosial, pengaruh Y15ZR nampak seperti lebih kuat.

    Bukan setakat model itu, melihat pula kepada skuter, NVX155 juga mencetus fenomena sama. Honda PCX yang merupakan pesaing terdekatnya cuma popular bagi mereka yang mahukan penampilan tidak begitu menonjol, manakala NVX155 pula menarik penggemar ciri sporty. Dan sudah tentu, mereka yang mahukan ciri sporty lebih tinggi jumlahnya di negara kita.

    Anda boleh mengatakan bahawa ini cuma pendapat saya, tapi maklum balas yang diterima apabila memuat naik berita di laman paultan.org/BM juga menjurus kepada perkara sama. Sebagai contoh, Honda PCX kini sudah ada model baru dengan sistem hibrid, yang bakal tiba di negara kita tidak lama lagi, tapi sambutan terhadap beritanya tidak begitu seberapa berbanding berita sewaktu NVX155 baru diperkenalkan di Indonesia dulu.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Subsidi RM3b untuk RON95, diesel dikekalkan – Lim

    Subsidi RM3b untuk RON95, diesel dikekalkan – Lim

    Biarpun harga minyak dunia meningkat, namun Kerajaan Malaysia masih menetapkan pendirian untuk mengekalkan subsidi sebanyak RM3 bilion bagi bahan api petrol RON95 dan diesel.

    Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan juga memperuntukkan subsidi untuk bahan api berkenaan sebanyak RM3 bilion sehingga akhir tahun ini, laporan Harian Metro.

    “Saya telah mengeluarkan kenyataan mengenai RON95, harganya telah ditetapkan kepada RM2.20 seliter. Harganya dan diesel tidak akan diapungkan mengikut harga pasaran. Kita anggarkan subsidi yang akan dibelanjakan untuk kedua-dua bahan api ini ialah kira-kira RM3 bilion. Jumlahnya mungkin kurang bergantung kepada harga minyak dunia,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, “Kami tidak boleh memberikan jumlah tepat mengenai subsidi ini kerana harga minyak dunia berubah-ubah setiap minggu, maka perlu tunggu akhir tahun ini untuk mengetahui jumlah sebenar,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mengulas mengenai kemungkinan harga minyak RON95 dapat diturunkan lebih rendah jika ada lebihan peruntukan, Guan Eng berkata, agak sukar untuk menurunkan harga bahan api itu kerana harga minyak dunia ketika ini sedang meningkat.

    “Sekarang harga minyak naik, nak turun lagi agak sukar sedikit. Sungguhpun harga minyak naik, kita akan terus kekalkan harga diesel dan RON95,” katanya.

     
     
  • Genesis, Kia dan Hyundai duduk tempat teratas dalam kajian kualiti awal oleh J.D Power di Amerika Syarikat

    Genesis, Kia dan Hyundai duduk tempat teratas dalam kajian kualiti awal oleh J.D Power di Amerika Syarikat

    Syarikat penyelidik pasaran global, J.D Power telah mengeluarkan keputusan kajian Initial Quality Study (IQS) 2018, yang merupakan satu tinjauan di Amerika Syarikat yang mengukur kualiti awal kenderaan berdasarkan jumlah masalah yang dihadapi daripada setiap 100 kenderaan (PP100) semasa 90 hari pertama memiliki kenderaan.

    Tahun ini, kajian tersebut menunjukkan bahawa kualiti awal telah meningkat sedikit, dengan jumlah purata industri adalah 93 mata PP100 – peningkatan empat mata berbanding tahun 2017 (97 PP100). Memandangkan ini adalah kajian yang mengira jumlah masalah dalam satu saiz sampel, lagi rendah matanya maka lebih tinggilah kualiti.

    Menariknya, jenama Genesis terletak di tempat paling atas secara keseluruhan dengan catatan 68 mata. Kia di tempat kedua dengan 72 mata dan Hyundai ketiga dengan 74 mata. Ini adalah pertama kali dalam sejarah Amerika Syarikat, tiga jenama Korea menguasai kedudukan paling atas.

    Tempat berikutnya diperolehi oleh Porsche dengan 79 mata, diikuti Ford di tempat kelima dengan 81 mata. Pergi lebih bawah, anda boleh melihat Mitsubishi (111), Subaru (115) dan Volvo (122), manakala Jaguar dan Land Rover duduk paling bawah dengan masing-masing 148 dan 160 mata.

    Kajian ini juga turut menunjukkan bahawa Mazda adalah jenama yang paling banyak menunjukkan peningkatan, dengan catatan mata yang berkurang 25 berbanding tahun 2017. Jenama lain yang juga menunjukkan prestasi lebih baik berbanding 2017 adalah Mitsubishi (-20), Cadillac (-15), Infiniti (-15), Hyundai (-14) dan Lexus (-14).

     
     
  • Polestar 1 – 230 kg lebih ringan dengan gentian karbon

    Polestar 1 – 230 kg lebih ringan dengan gentian karbon

    Polestar 1 white exterior, 3/4 rear

    Penggunaan bahan gentian karbon yang meluas pada model Polestar 1 kini didedahkan dengan lebih terperinci; model kereta sport plug-in hybrid buatan Sweden itu dikatakan akan menggunakan bahan plastik yang diperkukuh dengan gentian karbon (carbon-fibre reinforced plastic (CFRP)) bagi sebahagian besar badannya. Lebih menarik, pendekatan ini menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 230 kg!

    Menurut CarAdvice, CRFP akan digunakan pada bahagian bonet, penutup but depan, panel sisi, pintu dan keseluruhan struktur bumbung. Begitu juga pada bahagian antara tengah lantai dengan struktur belakang turut akan menggunakan material yang sama. CFRP ringan dan juga lebih kukuh berbanding besi.

    Ketua ciptaan produk Polestar, Christian Samson menjelaskan; “bila anda gabungkan kekuatan kerangka dengan struktur badan dan bumbung yang juga sangat kukuh, anda akan mendapatkan sebuah casis yang keras dan sekaligus memberikan maklum balas yang tepat. Dengan input yang cermat dari pemandu, ini boleh diterjemah untuk mendapatkan sebuah karakteristik pemanduan yang sangat baik.”

    Model Polestar 1 ini juga akan menerima bumbung panoramik yang diperbuat daripada kaca yang luas. Dengan penggunaan CFRP, panel kaca berkenaan akan membantu memberikan “pemandangan panoramik” yang sebenar.

    Polestar 1 yang dipertontonkan pertama kali Oktober tahun lalu akan dilengkapi dengan sistem janaan “Electric Performance Hybrid” yang menampilkan penggunaan enjin 2.0 liter Drive-E empat-silinder yang memacu roda depan. Ia disertai juga oleh unit integrated starter generator (ISG) dengan janaan 46 hp/150 Nm. Dua motor elekrik dengan kuasa 109 hp setiap satu berfungsi untuk memacu roda belakang. Motor berkenaan akan mendapatkan kuasa dari tiga pek bateri dengan kuasa keseluruhan 34 kWh. Ciri torque vectoring juga ada sama.

    Output keseluruhannya ialah 600 hp dan 1,000 Nm tork. Namun, kepantasan 0-100 km/j jentera ini masih belum diketahui (ura-ura mengatakan di bawah 4.0 saat). Menurut Polestar, model ini mampu untuk mencecah kelajuan 150 km/j hanya dengan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Pengeluaran kereta ini akan dijaankan di kilang khusus Polestar di Chengdu, China. Syarikat itu juga sudah mula mengambil tempahan, dengan harga yang dinyatakan adalah sekitar 130,000 Euro (RM600k). Mengikut jejak langkah model 1 ini, Polestar juga akan memulakan kerja pembinaan model 2 pula, yang akan menjadi kenderaan elektrik kuasa bateri (BEV) pertama dari Volvo Car Group.

     
     
  • Jeep Renegade diberi facelift untuk 2019 – enjin baru

    Jeep Renegade diberi <em>facelift</em> untuk 2019 – enjin baru

    Model Jeep paling kecil iaitu Renegade telah diberikan facelift untuk tahun ini dan ia kelihatan semakin comel. Tidak seperti model Jeep yang lain, Renegade telah dibangunkan bersama oleh sepasukan jurutera dan pereka dari Itali dan Amerika, dan ia menggunakan platform sama seperti Fiat 500L.

    Model ini diangkat sebagai sebuah model global pertama Jeep, dan selain di Itali, ia juga dikeluarkan di kilang FCA di Guangzhou, China dan Pernambuco, Brazil untuk pasaran Amerika Selatan. Untuk model 2019 ini, ia akan mula dipasarkan di Eropah pada tahun 2019, manakala di Rusia, Timur Tengah dan Afrika pada hujung tahun ini.

    Perhatian utama untuk model yang dipertingkat ini adalah pilihan enjin baru, yang termasuk unit tiga silinder 1.0L berkuasa 120 hp/190 Nm, serta dua pilihan unit empat silinder 1.3L dengan kuasa 150 hp atau 180 hp. Kesemuanya adalah enjin petrol dengan pengecas turbo, dan menggunakan pacuan dua roda hadapan. Untuk transmisi, enjin 1.3L didatangkan dengan unit manual enam kelajuan manakala unit 1.3L pula dengan transmisi klac berkembar DDCT dan unit 1.3L 180 hp dengan unit automatik sembilan kelajuan (bersama pilihan 4WD).

    Jeep Renegade diberi <em>facelift</em> untuk 2019 – enjin baru

    Selain enjin petrol, Renegade facelift ini juga boleh didapati dengan enjin diesel, iaitu yang berkapasiti 1.6L (120 hp, 6MT atau DDCT) atau 2.0L MultiJet II (140 hp atau 170 hp, dengan 6MT atau 9AT). Kedua-dua enjin ini mempunyai sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) dan melepasi tahap Euro 6/D. Operasinya juga dijadikan lebih mesra alam dengan suntikan AdBlue.

    Renegade boleh didapati dalam dua sistem 4WD iaitu Jeep Active Drive dan Jeep Active Drive Low, pemutus hubungan gandar belakang, kawalan cengkaman Selec-Terrain, Hill Start Assist dan Hill Descent Control. Varian Trailhawk ditawarkan dengan kemampuan off-road paling hebat dengan artikulasi roda maksimum sehingga 205 mm, jarak dari tanah sehingga 210 mm dan mod ‘Rock’ tambahan dalam Selec-Terrain.

    Daripada aspek rekaan, Renegade baru ini menerima ‘muka’ baru dengan gril tujuh jalur seperti Wrangler berwarna gelap, serta lampu utama dan lampu kabus baru. Untuk varian Longitude, Limited dan Trailhawk, rel bumbungnya datang dalam warna hitam.

    Jeep Renegade diberi <em>facelift</em> untuk 2019 – enjin baru

    Menurut Jeep sendiri, lampu utama dengan ciri lampu siang, lampu tinggi, lampu rendah dan lampu kabus LED penuh (disediakan sebagai pilihan tambahan bagi Limited dan Trailhawk) bukan sahaja untuk gaya, tetapi juga meningkatkan ciri keselamatan, di mana cahayanya adalah 20% lebih terang berbanding xenon. Lampu belakang juga diperbaharui dengan unit LED untuk varian Limited dan Trailhawk.

    Peningkatan bahagian luar kemudiannya dilengkapkan dengan pilihan rekaan rim baru, yang terdiri daripada tujuh rekaan berlainan, bermula dari saiz 16 hinggalah 19 inci. Saiz paling besar tersebut hanya eksklusif untuk varian Limited. Untuk bumbung, terdapat dua pilihan iaitu jenis kaca boleh lungsur elektrik dan MySky yang boleh dicabut dan disimpan dalam but.

    Bahagian dalam juga diberikan sedikit peningkatan, di mana ia kini mempunyai konsol tengah baru dengan pelbagai ruang simpanan termasuk untuk peranti elektronik. Soket USB pula diletakkan di tempat baru (di belakang perehat tangan) supaya lebih mudah diakses oleh penumpang belakang.

    Untuk sistem infotainmen, Renegade boleh didapati dengan skrin sesentuh lima, tujuh atau 8.4 inci dengan sistem NAV Uconnect. Sistem ini mempunyai pemproses data yang lebih berkuasa sekaligus dapat meningkatkan tindak balasnya. Dua varian tertinggi turut mendapat bahagian menu yang boleh diubah suai dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

    Bagi sistem keselamatan, Renegade datang secara standard dengan Lane Sense Departure Warning-Plus (membetulkan kenderaan supaya duduk dalam laluan) dan Intelligent Speed Assist dengan Traffic Sign Recognition. Sistem letak kenderaan automatik juga boleh membawa keluar kenderaan secara sendiri. Turut diberi adalah Forward Collision Warning-Plus dengan Active Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Blind-Spot Monitoring dan Rear Cross Path Detection.

     
     
  • Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

    Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

    New Volvo S60 R-Design exterior

    Jika anda rasa sedan Volvo S90 terlalu besar, kini jenama dari Sweden berkenaan melancarkan pula sedan dengan saiz ‘sedap-sedap mata memandang’ iaitu S60 generasi baharu. Model 2019 ini didedahkan bersama kilang pertama Volvo di Amerika Syarikat yang terletak di Charleston, Carolina Selatan.

    Sedan yang diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA) sama dengan versi wagon V60 yang didedahkan awal tahun ini berkenaan bakal bersaing dengan lawannya dari Jerman seperti Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series dan Audi A4 dalam pasaran kelak. Ia merupakan model pertama Volvo yang dipasang di Amerika, dan hanya dijana oleh enjin petrol, tanpa pilihan enjin diesel.

    Volvo menawarkan empat versi janakuasa untuk S60 generasi baharu ini iaitu T5, T6 AWD, T6 Twin Engine AWD dan T8 Twin Engine AWD yang kesemuanya diasaskan dari enjin 2.0 liter Drive-E bersama gabungan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari Aisin. Bagi model asas T5, enjin Drive-E tersebut dibantu sebuah pengecas turbo tunggal bagi menghasilkan kuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm, memacu hanya roda hadapan.

    Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

    New Volvo S60 R-Design exterior

    Model T6 AWD pula turut dibantu sebuah lagi supercharger (bersama pengecas turbo) bagi mengekstrak 310 hp dan tork maksima 400 Nm, manakala kuasa berkenaan dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD.

    Versi T6 Twin Engine pula masih mengekalkan enjin yang sama namun hanya memacu roda hadapan. Tetapi model ini turut diberikan sistem hibrid plug-in yang terdiri motor elekktrik pada gandar belakang yang bukan sahaja membuatkan ia sebagai model AWD, malah menghasilkan kuasa akhir 340 hp dan tork maksima 590 Nm, sama seperti pada model wagon V60.

    S60 paling berkuasa untuk model generasi ini adalah dari model T8 Twin Engine, menampilkan sistem hibrid plug-in yang lebih berkuasa, membekalkan 390 hp dengan tork maksima 640 Nm. Tak cukup? pembeli juga ditawarkan dengan pakej tingkat taraf Polestar Engineered yang menghasilkan kuasa 405 hp bersama tork 670 Nm, eksklusif untuk versi T8 ini.

    Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

    New Volvo S60 Polestar Engineered

    Pakej Polestar berkenaan juga hadir sekali dengan set rim yang lebih agresif serta sistem brek dan suspensi yang dipertingkat, dan sudah tentu kotak komputer enjin yang ditala semula.

    Menurut Volvo, pasaran Amerika menerima jumlah kuasa yang sedikit berbeza dari model-model pasaran lain, dimana T5 menjana 250 hp, T6 316 hp, T8 400 hp manakala T8 Polestar Engineered menghasilkan 415 hp.

    Ciri lain, S60 ini masih dibekalkan sistem elektronik sama seperti wagon V60 termasuk sistem infotaimen Sensus Connect dan juga sistem keselamatan dan bantuan pemanduan City Safety dan Intellisafe.

    Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

    New Volvo S60 Polestar Engineered

    Sekali imbas, penggayaan luaran S60 ini adalah seiras dengan abang besarnya iaitu Volvo S90, namun dengan saiz yang lebih kompak, model ini nampak lebih lincah dan lebih sporty. Ia masih lagi diberikan bampar hadapan dengan apron yang agresif, gril enam-poin bersama loga iron mark, tidak ketinggalan juga sepasang lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur “Tukul Thor”.

    Volvo juga menawarkan pakej kemasan yang boleh dipilih yang terdiri dari Momentum, Inscription dan R-Design. Bagi versi Momentum, ia boleh dikenali dengan kemasan hitam pada jalur gril dan perumah lampu kabus, manakala versi Inscription menerima kemasan krom pada bahagian yang sama.

    Untuk R-Design pula, seperti biasa ia akan kelihatan lebih garang. Jalur pada gril hadapan digantikan dengan elemen pin-pin rata untuk pakej ini, manakala bampar hadapan pula menampilkan kemasukan udara yang lebih lebar dan rendah. Walau bagaimanapun, rupa baharu ini diberikan perumah lampu kabus yang lebih kecil bagi menyerlahkan ‘otot-otot’ pada bampar berkenaan.

    Bahagian belakang S60 ini juga menampilkan rekaan yang tidak jauh beza dari S90 terutama pada bentuk lampu belakang. Namun ruang letak nombor plat pendaftaran pada S60 ini diletakkan pada penutup but, berbanding S90 yang diletakkan di bampar. Tulisan ‘Volvo’ juga diletakkan lebih keatas, bersama spoiler but yang lebih menyerlah.

    Bampar belakang S60 turut diberikan reflektor/lampu kabus pada kedua-dua sisi, manakala kemasan seakan diffuser pada bahagian bawah juga menempatkan dua perumah ekzos; model Momentum dan Inscription diberikan rekaan lebih ringkas, manakala R-Design menerima versi yang lebih kompleks dan sporty.

    Masuk ke bahagian kabin, S60 turut diberikan rekaan hampir seiras dengan V60, termasuk skrin infotaimen dan sepasang liang penghawa dingin menegak pada bahagian tengah pemuka, bersama kluster informasi digital sepenuhnya menggunakan skrin bersaiz 12.3-inci. Roda stereng pula direka dengan berberapa rekaan bagi disesuaikan dengan pakej kemasan berbeza.

    Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

    New Volvo S60 Polestar Engineered

    Bahagian konsol tengah juga hampir serupa, dengan menempatkan tombol gear, pemilih mod pemanduan, brek parkir elektronik, suis enjin, pemegang cawan dan juga perehat tangan yang turut diberikan ruang storan di bawahnya. Tempat duduk direka dengan pelbagai versi, dan disesuaikan dengan versi kemasan yang ditawarkan. S60 generasi baharu ini juga diberikan sistem bunyi dari Bowers & Wilkins serta penghawa dingin sendiri untuk kabin belakang.

    Bagi model Polestar Engineered, kebanyakkan komponen dan penggayaan dikongsi dengan model R-Design kecuali logo-logo Polestar pada tempat-tempat sepatutnya serta angkup brek berwarna emas. Ia juga menerima balutan kulit pada perehat lutut pemandu serta perehat tangan dengan rekaan tersendiri. Ciri istimewa lain untuk model ini termasuk serlahan jahitan pada roda stereng, pedal aluminium, tombol gear kristal dan juga tali pinggang keledar berwarna emas.

    Selain dari jualan secara konvensional, S60 turut ditawarkan dalam servis sewaan Care by Volvo. Menerusi kaedah ini, pelanggan hanya perlu membayar yuran pada kadar rata setiap bulan yang turut termasuk kos selenggara dan juga insuran.


    GALERI: Volvo S60 Inscription 2019

    GALERI: Volvo S60 R-Design 2019

    GALERI: Volvo S60 Polestar Engineered 2019

    GALERI: Ujian casis dan pelanggaran Volvo S60 2019

     
     
  • Johor cadang bina kilang pengeluaran kereta elektrik

    Johor cadang bina kilang pengeluaran kereta elektrik

    Sebagai sebuah negeri yang semakin pesat membangun, Johor tidak lekang dari membuat pelbagai perancangan bagi memantapkan lagi ekonominya. Terbaru, negeri ini turut bercadang untuk membina sebuah kilang pengeluaran kereta elektrik.

    Menurut ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, beliau akan mencadangkan pembinaan kilang terbabit di kawasan Pasir Gudang, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai khususnya penduduk sekitar. Katanya kilang kereta elektrik itu akan dicadangkan menggunakan teknologi hasil kerjasama syarikat China dan Jepun.

    “Kita sedang mencari kawasan sesuai untuk membina kilang kereta elektrik ini. Kajian pembinaan telah dibuat, kertas kerja pun saya sudah buat dan sekarang ini, kita tengah mencari masa yang sesuai untuk kita bentangkan kepada menteri besar, insya-Allah selepas bulan puasa nanti,” katanya kepada Bernama.

    Che Zakaria berkata pembinaan tersebut juga akan melihat beberapa contoh dari negara luar bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk melaksanakan dan memastikan ia sesuai dengan persekitaran Pasir Gudang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025