Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kerajaan masih tanggung RM10 bilion subsidi diesel — RM3.3 bil untuk kekalkan harga di Sabah, Sarawak

    Kerajaan masih tanggung RM10 bilion subsidi diesel — RM3.3 bil untuk kekalkan harga di Sabah, Sarawak

    Kerajaan memaklumkan masih menanggung lebih daripada RM10 bilion subsidi diesel setahun walaupun telah melaksanakan penyelarasan semula bahan api itu, yang menyaksikan harga seliter diesel naik kepada RM3.35.

    Menurut Kementerian Kewangan, ini adalah dari subsidi yang ditawarkan dari beberapa saluran, lapor New Straits Times. Ini termasukah sejumlah RM1.8 bilion agihan tunai yang diagihkan melalui Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi, yang menyediakan bantuan tunai RM200 kepada penerima yang layak dalam kategori tersebut.

    Selain itu, RM3.3 bilion diperuntukkan kepada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak, sementara RM4 bilion diagihkan untuk sektor pengangkutan awam/logistik, yang mana harga diesel seliter kekal RM1.88 seliter untuk 10 jenis pengangkutan awam dan RM2.15 seliter bagi 23 jenis kenderaan logistik di bawah sistem kawalan diesel subsidi (SKDS) 1.0 dan 2.0. Nelayan juga terus menikmati RM1.2 bilion subsidi diesel, dengan harga RM1.65 seliter.

    Bagaimanapun, kerajaan juga menjelaskan yang perbelanjaan operasi negara berkaitan subsidi diesel telah berjaya diturunkan sebanyak RM4 bilion daripada RM14 bilion kesan daripada peralihan kepada subsidi bersasar ini. Kementerian memaklumkan perkara ini dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan oleh Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang bertanyakan tentang penjimatan daripada penyelarasan semula subsidi diesel.

    Tahun lalu, peruntukan untuk subsidi ialah sekitar RM81 bilion, dan sebahagian besar daripadanya adalah untuk menampung subsidi untuk mengekalkan RON 95 pada harga RM2.05 seliter. Penjimatan RM4 bilion yang dinyatakan ini akan digunakan untuk menambahbaik prasarana pengangkutan awam serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

     
     
  • BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    Selain model SUV off-road BJ40, model SUV segmen C ini, X55 telah diumumkan untuk menjadi dua model terawal jenama itu yang akan dipasarkan di Malaysia. Mei lalu, harga anggaran untuk kedua-duanya telah pun dimaklumkan, dan serahan kepada pelanggan dijangka dilakukan pada suku keempat tahun ini.

    Namun, unit yang ditampilkan dalam galeri ini merupakan model CBU dari China, bagi kelompok terawalnya. Model pemasangan CKD juga sudah ada dalam perancangan, yang akan dipasang di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka dan bakal menyusul juga pada suku keempat nanti.

    Bakal menjadi pesaing bagi model lain seperti Proton X70 dan Honda CR-V, serta juga Chery Tiggo 7 Pro, BAIC X55 akan ditawarkan dalam dua varian — Standard dan Premium, dengan harga anggaran dari RM12xk-RM14xk. Model ini mempunyai ukuran dimensi 4,620 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,680 mm tinggi.

    BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    Model ini hampir 100 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah berbanding X70, manakala jarak rodanya pula 2,735 mm ialah 65 mm lebih panjang.

    Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder suntikan terus yang menghasilkan 188 PS pada 5,500 rpm dan 305 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.8 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa 7.2 liter bagi 100 km (kitaran WLTP).

    Rekaan luarannya tajam, dengan DRL LED bentuk L yang nipis, kedudukan lampu utama LED yang lebih rendah, rekaan tingkap yang tajam serta kemasan krom di kelilingnya. Wajah depan yang tertutup memperlihatkannya sebagai sebuah EV, ditambah pula dengan rekaan bampar dengan corak hexagon ala Lexus RX. Pemegang pintunya juga tersorok.

    BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    Kami sempat meluangkan masa untuk mencuba sendiri aspek pemanduan model ini. Namun, sekali lagi, ini merupakan unit CBU dari China yang tidak mencerminkan dengan tepat misalnya spesifikasi lengkap versi yang akan ditawarkan di sini dalam bentuk CKD nanti.

    Disebabkan itu, anda akan perasan yang unit ini masih lagi menggunakan nama “Beijing” sebagai jenamanya, dan bukannya BAIC. Begitu juga dengan kelengkapan keselamatan dan teknologi lain — sebagai contoh, unit ini belum dilengkapi dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, sebaliknya model CKD nanti khabarnya akan tersedia ciri berkenaan — spesifikasi lengkap dan disahkan untuk model ini akan diperoleh bagi unit CKD selepas pelancarannya nanti.

    Dari pengalaman singkat bersama SUV ini, boleh dikatakan ia memberikan pemanduan yang agak baik dari banyak aspek. Ia terasa ringan dengan maklum balas pedal minyak yang juga cepat dan responsif. Begitu juga dengan kendalian sterengnya, tidak mengecewakan — baik ketika memandu biasa dalam persekitaran dalam bandar yang banyak kereta mahupun ketika di lebuhraya. Tiada rasa yang model ini kurang kuasa.

    Sepanjang yang dapat diperhatikan, penggunaan minyak dalam keadaan sebenar yang sempat diperhatikan ialah sekitar 7.5 km per 100 km. Ini tidaklah lari terlalu jauh berbanding angka yang dinyatakan di atas kertas tersebut.

    Untuk berada di dalam kabinnya juga cukup selesa. Dapat dilihat yang BAIC cuba memberikan kemasan dan nilai terbaik bagi model ini, yang mungkin varian tertingginya nanti akan ditampilkan sebagai pilihan lebih premium. Rekaan papan pemuka serta permukaan lembut di atasnya, begitu juga dengan bahagian atas panel pintu antara sentuhan yang boleh dipuji.

    Perkara yang kurang digemari pula ialah skrin dan sistem yang ada di dalamnya. Paparan atau antaramuka penggunanya terasa terlalu asas seperti versi lama, dan hampir semua kawalan — dari pendingin hingga kepada cermin sisi — perlu dilakukan di dalam sistem ini. Walhal, semuanya lebih pantas dan mudah jika kawalan bagi perkara yang asas dan kerap dilakukan itu berada di luar skrin. Ruang di belakang juga luas, dengan adanya juga bumbung panoramik.

    Kelengkapan standard yang lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, cermin pandang belakang anti-silau, corong pendingin belakang, kamera undur, pintu ruang barangan belakang kuasa elektrik dan enam beg udara. Premium pula menerima tambahan lampu ambient 10-warna.

    Sistem bantuan pemandu pula masih belum jelas penawarannya. Unit ini tidak dilengkapi sistem tersebut, tetapi BAIC memaklumkan versi jualan nanti akan ada ciri seperti amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong dan amaran titik buta. Tiada ciri pengekalan lorong atau ke tengah lorong, begitu juga ciri AEB yang belum disahkan. Jadi, kita tunggu maklumat yang lebih lengkap bagi X55 ini ketika pelancarannya kelak.

     
     
  • Budi Madani RM200 sebulan cukup untuk 80% pemilik kenderaan diesel – Kementerian Kewangan

    Budi Madani RM200 sebulan cukup untuk 80% pemilik kenderaan diesel – Kementerian Kewangan

    Kementerian Kewangan menyatakan bahawa kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan negara menerusi pemberian bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada rakyat yang layak menerusi skim Budi Madani, bagi merasionalisasikan pemberian subsidi diesel selepas penyasaran subsidi terhadap bahan api itu yang menyebabkan ia dijual pada harga RM3.35 seliter.

    Kenyataan ini dibuat bagi menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang ingin mengetahui mengenai bagaimana kerajaan dapat menjimatkan kos sekiranya pengguna diesel yang layak menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen semalam, dan dipetik oleh Bernama.

    Menurut kenyataan itu lagi bantuan tunai sebanyak RM200 adalah mencukupi kerana ia ditetapkan menerusi hasil kajian mendalam dan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi serta industri.

    “Berdasarkan data daripada Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia,” tulis kenyataan itu lagi.

    MoF turut menjelaskan kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sekiranya perlu, penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dibuat dalam memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup

    Bulan lalu dilaporkan bahawa sejumlah 76,000 orang dari 100,000 orang pemohon Budi Madani telah menerima bayaran pertama mereka.

     
     
  • smart #3 EV dilancar di Malaysia – Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    smart #3 EV dilancar di Malaysia –  Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    Selepas diperkenalkan pada Mei lalu, petang ini smart #3 telah pun rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia. SUV coupe elektrik ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas Pro berharga RM175,000, RM215,000 untuk Premium dan versi paling padu Brabus pula RM255,000. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan motor elektrik tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm.

    Untuk varian Pro dan Premium, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 180 km/j. Manakala bagi Brabus pula, pastinya ia lebih padu dengan mod Rocket Launch, hanya 3.7 saat bagi pecutan 0-100 km/j.

    Varian Pro diberikan bateri Lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 49 kWh dan ia boleh memberikan jarak gerak hingga 325 km dengan pengecasan tunggal. Manakala varian Premium dan Brabus dibekalkan dengan bateri yang sama dengan kapasiti lebih besar cecah 66 kWh, di mana Premium mampu mencapai jarak gerak hingga 455 km tetapi Brabus hanya sekitar 415 km, kedua-duanya dengan pengecasan tunggal.

    smart #3 EV dilancar di Malaysia –  Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    Bagi pengecasannya, #3 boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW dengan status pengecasan 10% hingga 80% boleh dicapai dalam kurang dari tiga jam. Namun jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 150 kW, ia boleh mencapai status pengecasan pada tahap yang sama di bawah 30 minit.

    Secara fizikalnya, #3 mempunyai dimensi berukuran 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan jarak rodanya 2,785 mm, di mana #1 lebih pendek tetapi lebih tinggi dan lebih lebar, iaitu pada 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar dan 1,636 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Model #3 juga berkongsi binaan Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dengan #1.

    Seperti mana yang pernah dikhabarkan sebelum ini, #3 merupakan model kedua dari jenama smart Automobile hasil kerjasama antara Geely dan Mercedes-Benz, dengan model pertamanya ialah #1. Seperti juga #1, SUV dengan gaya ala coupe ini menerima sentuhan rekaan daripada Mercedes-Benz. Selain dimantapkan dengan dinamik pemanduan yang dipertingkatkan, pastinya rekaan luaran dan dalaman menjadi taruhan bagi #3 ini.

    #3 diberikan rekaan avant-garde dan fastback yang dinamik dengan gaya ala coupe, termasuk membawakan beberapa elemen rekaan yang pastinya menarik perhatian. Ini termasuklah dengan bumbung berbentuk busur dengan elemen flying wing. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan spoiler belakang yang sporty, ditambahkan garisan sudut atas bahagian yang ala berotot dan juga gaya hadapan ala hidung jerung sekaligus menampakkan wajahnya lebih agresif dan maskulin.

    SUV ala coupe ini ditampilkan dengan gril hadapan bercahaya bersama unit lampu utama CyberSparksLED+ dengan bantuan lampu adaptif, serta liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid. Bentuk lampunya senada dengan bahagian belakang yang menerima unit dynamic LED. Bagi varian Pro dan Premium, ia diberikan roda aloi dengan saiz 19-inci.

    Menariknya, #3 ditampilkan dengan suis tailgate tersembunyi yang terletak pada abjad “a” pada perkataan smart. Cuma tekan saja “a”, maka tailgate akan terbuka secara automatik. Memantapkan lagi penggayaannya, #3 turut diberikan logo iluminasi, Welcome Light, pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik Halo,

    Untuk varian Brabus, pastinya diberikan ciri luaran tambahan yang bersesuaian dengan imejnya yang lebih ranggi. Ini termasuklah gril hadapan iluminasi roda merah, spoiler belakang yang lebih sporty, bumbung warna kontras merah eksklusif, logo luaran Brabus, roda Starlink lima-jejari 20-inci bersama kaliper sport berwarna merah, Brabus Welcome Light, hud hadapan yang lebih sporty dan logo hitam berkilat.

    Memantapkan lagi tahap aerodinamiknya hingga mampu mencapai pekali seretan hingga 0.27, smart ditampilkan dengan ciri aerodinamik pada bahagian rim aloi, wind deflector roda hadapan dan belakang, gril pengambilan udara aktif, wind blade air curtain dan juga cermin pandang belakang.

    smart #3 EV dilancar di Malaysia –  Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    Menjengah kabin #3, rekaannya lebih kurang dengan #1 yang juga ditampilkan dengan kokpit pintar walau pun rekaannya bersifat minimalis tanpa elemen futuristik yang sarat. Antara ciri yang ditampilkan untuk #3 termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, corong pendingin hawa ala-turbin dengan corong di kedua belah sisi berbentuk bujur dan bulat untuk di tengah (tidak seperti #1 yang hadir dengan corong berbentuk bujur untuk sisi dan tengah), tempat duduk sport yang disambungkan dengan perehat kepala, paparan instrumen definisi-tinggi LCD 9.2-inci, skrin konsol tengah 12.8-inci dan unit utama (head unit) warna penuh 10-inci.

    Selain itu, ia juga diberikan sistem bunyi Beat dengan 13-pembesar suara, pencahayaan ambien dwi zon 64-warna, pengecas tanpa wayar dengan empat unit USB port dan konsol tengah dilengkapi chiller. Tambahan untuk Brabus, ia diberikan bunyi enjin palsu yang dikatakan diinspirasi dari bunyi enjin V6.

    Pastinya elemen dalaman varian Brabus lebih sporty dengan kehadiran gaya dalaman eksklusif hitam Brabus, roda stereng gaya sport balutan Alcantara dengan jahitan kontras merah dan logo iluminasi Brabus, jaluran jahitan merah pada panel pintu, tali pinggang keledar sporty rona merah, tempat duduk dengan elemen ‘rivet’ dibaluti microfibre suede dan perehat kepala eksklusif Brabus, dan pedal aluminium sport.

    Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, #3 dihadirkan dengan 23 penderiaan berketepatan tinggi dengan satu unit kamera pandangan hadapan, tiga unit kamera kokpit, empat unit kamera pandangan sekeliling, lima unit millimeter wave radar dan 12 unit ultrasonic radar.

    Ciri penderiaan berkenaan adalah bagi menyokong 21 fungsi ADAS bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, antaranya kelajuan kawalan adaptif (ACC), amaran ketibaan lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan kesesakan trafik (TJA), parkir autonomous, mitigasi pelanggaran hadapan (FCM) dan banyak lagi.

    Untuk setiap pembelian #3, ia turut didatangkan dengan waranti lapan-tahun/200,000 km bagi bateri voltan tinggi, lapan-tahun/150,000 km untuk komponen voltan tinggi, empat-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan serta dua-tahun tanpa had perbatuan bagi alat ganti serta bantuan tepi jalan 24/7.

    Selain itu, pembeli #3 juga bakal menerima barangan secara percuma yang terdiri daripada smartCharge home Charger 22 kWh bernilai RM3,200 (dengan waranti dua-tahun), pakej aksesori yang merangkumi enam barangan bernilai RM2,500, Vehicle to Load (V2L) Adaptor (dengan waranti dua-tahun) bernilai RM800 dan data Internet percuma selama lima-tahun dengan keseluruhan berjumlah 60Gb dan pakej waranti standard komprehensif.

    Untuk mendapatkan gambaran awal mengenai pandu ujinya, sila KLIK PAUTAN INI.

    smart #3 Brabus

    smart #3 Premium

    smart #3 Pro

     
     
  • Tiada larangan untuk individu dengan masalah pendengaran memiliki lesen PSV – Hasbi Habibollah

    Tiada larangan untuk individu dengan masalah pendengaran memiliki lesen PSV – Hasbi Habibollah

    Polisi kementerian pengangkutan sekarang tidak melarang Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan daripada memohon Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing, kata timbalan menteri pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dalam Dewan Rakyat, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Hasbi turut menambah bahawa mereka yang termasuk dalam kategori ini boleh memohon lesen tersebut dengan mendapatkan pengesahan kesihatan daripada pengamal perubatan berdaftar. Kenyataan Hasbi ini dibuat sebagai jawapan kepada soalan ahli parlimen Subang, Wong Chen yang bertanyakan tentang garis panduan untuk membenarkan pemandu kurang upaya dengan lesen A atau A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing, serta rancangan kerajaan untuk membenarkan mereka mendapatkan lesen PSV.

    Lesen A adalah untuk individu kurang upaya mengendalikan motosikal dengan berat tanpa muatan tidak lebih 450 kg, manakala lesen A1 adalah untuk OKU mengendalikan kenderaan dengan berat tanpa muatan tidak lebih 3,500 kg.

    Pada masa ini, polisi lesen memandu PSV tidak membenarkan pemandu kurang upaya dengan lesen A atau A1 memohon lesen vokasional sebarang kelas. “Perkara ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mensyaratkan seorang pemohon membuat akuan dalam borang ditetapkan sama ada menghidap apa-apa penyakit atau ketakdayaan jasmani yang mungkin menyebabkan pemanduan menjadi punca bahaya kepada orang lain,” kata Hasbi.

    Tiada larangan untuk individu dengan masalah pendengaran memiliki lesen PSV – Hasbi Habibollah

    Apabila ditanya oleh ahli parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff sama ada terdapat sebarang pengecualian untuk individu kurang upaya dalam sektor e-hailing, menteri pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan bahawa ada pengecualian yang dibuat, tetapi kekurangan fizikal pemegang lesen A dan A1 tersebut perlu diambil kira.

    “Ada yang mungkin tidak boleh di peringkat pengecualian tetapi sebagaimana dalam dasar kita, kita memang ‘pro’ kepada pemandu OKU sebab kita melihat mereka juga mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan mampu menjadi pemandu berhemah dalam perkhidmatan e-hailing.

    “Selagi mereka dapat membuktikan bahawa dari segi fizikal mereka boleh memandu, kita cuba beri pengecualian. Cuma dalam borang pendaftaran mereka memerlukan pengecualian daripada Kementerian Kesihatan dan kita akan buat kajian dan penambahbaikan perkara ini,” kata Loke.

     
     
  • Pengedar tayar mahu k’jaan benarkan ambil pekerja asing; anak tempatan tak minat kerja ‘tangan kotor’

    Pengedar tayar mahu k’jaan benarkan ambil pekerja asing; anak tempatan tak minat kerja ‘tangan kotor’

    Persatuan Peniaga dan Pencelup Tayar Malaysia meminta kerajaan agar membenarkan pekerja asing bekerja sebagai juruteknik di bengkel-bengkel memandangkan agak sukar untuk mencari anak-anak tempatan yang berminat untuk bekerja dalam bidang tersebut, lapor The Star.

    Presiden persatuan itu, Goh Kiang Weng menyatakan bahawa pengedar dan pengusaha bengkel tayar buat masa sekarang sedang menghadapi kesukaran untuk mencari pelapis bagi dalam industri tersebut kerana kerja-kerja yang dilakukan dianggap “kotor”.

    “Terdapat kekurangan juruteknik bengkel yang serius di negara ini, terutamanya di Johor Bahru kerana jaraknya yang dekat dengan Singapura. Industri ini menghadapi jurang besar di mana juruteknik sedia ada semakin tua dan bersara, namun tidak ada pengganti daripada generasi akan datang,” katanya temu bual oleh akhbar tersebut.

    Menurutnya lagi bilangan mereka yang berkerja di bengkel-bengkel mula berkurangan dalam beberapa dekad sebelum ini, dan situasi itu telah menjadi lebih teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Pengedar tayar mahu k’jaan benarkan ambil pekerja asing; anak tempatan tak minat kerja ‘tangan kotor’

    “Kami merasakan bahawa mengupah pekerja asing adalah penyelesaian terbaik seterusnya. Tetapi kerajaan tidak membenarkan kami berbuat demikian kerana dikatakan terdapat pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang mencukupi di negara ini yang boleh diambil bekerja.

    “Sebagai pemain industri, kami melihat situasi yang berbeza kerana pemegang SKM muda lebih suka bekerja sebagai pemandu e-hailing, penunggang penghantaran makanan, dan rangkaian kedai makanan dan minuman berbanding bekerja dalam industri pembaikan automotif, yang menyebabkan tangan mereka kotor,” tambah Goh.

    Beliau turut menjelaskan bahawa persatuan itu pernah membangkitkan perkara ini dengan wakil kerajaan pada masa lalu, dan sekali lagi merayu kepada pihak berkuasa untuk membenarkannya pengambilan pekerja asing untuk mengisi kekosongan itu.

    “Dalam era pendigitalan dan peralihan model perniagaan, kami perlu menangani isu ini dengan serius atau berisiko disingkir oleh industri dan pengedar terpaksa ditutup,” jelasnya.

     
     
  • Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    Sejak Mac lalu, semua berkenaan kenderaan Peugeot di Malaysia diambil alih oleh Stellantis Malaysia, dan menjelang April mereka melancarkan model 408 untuk pasaran. Terbaru berkaitan jenama ini, pada bulan lalu mereka mengumumkan perubahan pada tempoh waranti yang diberi secara standard dengan pembelian kenderaan. Perkara ini sekarang diperjelaskan.

    Pada mulanya, Peugeot Malaysia menawarkan waranti tujuh tahun, 200,000 km untuk 408, dan diberi kepada semua kenderaan Peugeot baru yang dibeli melalui Stellantis Malaysia. Kemudiannya, waranti tersebut ditukar pula kepada lima tahun, 150,000 km, supaya pelanggan mempunyai fleksibiliti untuk memilih tempoh waranti lima tahun, bersama rebat harga pembelian.

    “Keputusan ini dibuat berdasarkan maklum balas pelanggan yang mengatakan mereka tidak memerlukan [perlindungan waranti tujuh tahun] dan lebih suka untuk mengambil rebat penjimatan daripada bayaran muka. Pakej waranti tambahan baru ini juga dibuat untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis pelanggan dan keperluan berbeza,” kata syarikat itu kepada paultan.org.

    Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    “Pelanggan yang mahu menjual kenderaan Peugeot mereka dalam masa tiga tahun pertama pemilikan masih boleh membeli waranti tambahan ini, sehingga 90 hari sebelum tempoh waranti tiga tahun tersebut berakhir, dan ini mungkin dapat memberikan nilai jual balik yang lebih tinggi bagi kenderaan tersebut, dan memberi tambahan ketenangan kepada pemilik seterusnya,” kata syarikat itu.

    Sebagai tambahan, kenyataan yang dikeluarkan turut memberitahu bahawa kebanyakan pemilik kenderaan Peugeot baru sehingga waktu ini telah memilih waranti penuh tujuh tahun, sementara mereka yang memilih perlindungan lima tahun adalah pelanggan korporat atau pelanggan yang tidak mempunyai rancangan memiliki kenderaan dalam masa panjang.

    Pilihan waranti tambahan ini turut disediakan bagi trak pikap Landtrek, namun perlindungannya adalah sedikit berbeza. Secara standard, ia diberikan dengan waranti tiga tahun, 100,000 km, dan kemudiannya boleh ditambah kepada lima tahun atau 150,000 km, atau tujuh tahun, 200,000 km.

    Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    Peugeot Malaysia sekali lagi mengingatkan bahawa waranti tambahan tujuh tahun yang ditawarkan memberi perlindungan sama seperti waranti kilang, dan ini merangkumi “semua bahagian enjin, elektronik, keadaan cat dan badan serta komponen casis,” tetapi tidak termasuk bahagian lusuh pakai (wear and tear).

    Syarikat ini juga menjelaskan bahawa program waranti tambahan mereka adalah tidak sama seperti kebanyakan syarikat lain kerana waranti Peugeot Malaysia diuruskan oleh rakan kongsi waranti global oleh Stellantis, dan bukannya syarikat insurans.

    Rakan kongsi waranti ini dijelaskan sebagai penyedia servis diiktiraf untuk OEM global, dan menyediakan servis waranti khas untuk kumpulan Stellantis di pelbagai pasaran.

     
     
  • Jualan teruk Subaru sebabkan keuntungan Tan Chong International jatuh 86.6% untuk separa pertama 2024

    Jualan teruk Subaru sebabkan keuntungan Tan Chong International jatuh 86.6% untuk separa pertama 2024

    Tan Chong International (TCIL) yang memiliki pengedar utama jenama Subaru di Asia iaitu Motor Image dilaporkan mengalami kejatuhan keuntungan sehingga 86.6% bagi separa pertama 2024 disebabkan masalah yang dihadapi oleh perniagaannya.

    Isnin lalu syarikat yang berpangkalan di Singapura dan Hong Kong tersebut telah mengeluarkan amaran panduan keuntungan kepada pelabur yang menyatakan bahawa keuntungan selepas cukai jatuh kepada HK$25 juta (RM15 juta), berbanding HK$187 juta (RM112.6 juta) dalam tempoh yang sama tahun lalu.

    Keuntungan yang berkurangan berkenaan telah dikaitkan dengan “penurunan jualan yang teruk,” dengan kerugian yang ketara dalam pasaran CKD syarikat itu di Malaysia dan Thailand dan pasaran CBU Taiwan, Singapura (di mana TCIL juga merupakan pengedar Nissan) dan Filipina.

    Walaupun dalam keadaan yang disifatkan sebagai “sangat mencabar,” TCIL berkata keseluruhan kedudukan kewangan dan kesediaan operasinya kekal “stabil dan teguh.” Ia juga menjangkakan untuk bangkit semula pada separuh kedua tahun ini, berdasarkan bilangan tempahan yang “agak kukuh” dalam bahagian automotifnya.

    Jualan teruk Subaru sebabkan keuntungan Tan Chong International jatuh 86.6% untuk separa pertama 2024

    Kemerosotan jualan yang teruk juga mungkin telah memainkan peranan dalam keputusan Subaru untuk menarik diri daripada operasi pemasangan tempatan (CKD) di Asia Tenggara, termasuk bukan sahaja di Malaysia dan Thailand tetapi juga di Vietnam dan Kemboja.

    Tiada lagi pemasaran model-model CKD Subaru pada pasaran-pasaran tersebut mulai tahun depan, dan ia akan diganti dengan model-model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Operasi pemasangan tempatan bagi Subaru di Malaysia di buat di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA, anak syarikat Tan Chong Motor Holdings) di Segambut sejak akhir 2012, dengan menghasilkan model-model seperti XV dan Forester. Langkah untuk menghentikan operasi pemasangan tempatan ini berkemungkinan akan memberi impak yang ketara dalam jualan, kerana harga model-model CBU dijangka akan lebih mahal.

     
     
  • Lexus RZ450e dibuka tempahan di Malaysia – RM430k

    Lexus RZ450e dibuka tempahan di Malaysia – RM430k

    Selepas hampir setengah tahun ia dipertontonkan menerusi acara Toyota Beyond Zero pada Februari lalu, Lexus RZ 450e kini telah pun dibuka tempahan secara rasminya untuk pasaran Malaysia. Model elektrik bateri (BEV) ini telah pun dilancarkan di Thailand pada tahun lalu dalam acara International Bangkok Motor Show 2023.

    Harga RZ 450e di Malaysia juga sudah diumumkan, di mana model dengan kemasan Luxury ini ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM429,888 tanpa insurans, menurut Lexus Malaysia.

    Dengan ukuran 4,805 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,635 mm tinggi, RZ 450e masih dijelmakan dengan gaya Lexus walau pun tanpa gril spindle yang menjadi signature jenama ini, dan sebagai gantinya, ia diberikan ‘BEV Spindle’ bagi menggantikan corong kemasukan udara tradisional yang diperlukan untuk enjin pembakaran, kerana ini ialah model elektrik bateri.

    Lexus RZ450e dibuka tempahan di Malaysia – RM430k

    Klik untuk besarkan

    Untuk pasaran Malaysia, RZ 450e sah akan diberikan pek bateri lithium-ion 71.4 kWh, dan ini menawarkan jarak gerak hingga 440 km mengikut kitaran WLTP. Bateri ini boleh dicas menggunakan pengecas DC hingga 150 kW menerusi sambungan CCS2, memberikan tahap pengecasan 0-80% sekitar 30 minit. Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti hingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, pengecasan penuh boleh dicapai dalam 6.5 jam.

    RZ 450e menampilkan penjana kuasa AWD dwi-motor sebagai tempat penympan tenaga, dengan output keseluruhan cecah 230 kW (313 PS), mampu dikeluarkan oleh gabungan motor hadapan 204 PS/266 Nm dan motor belakang 109 PS/169 Nm, dan ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.

    Di dalamnya, antara ciri kelengkapan yang diberikan ialah konsol tengah yang menampilkan perincian rekaan Tsuyasumi, balutan tempat duduk upholstery Ultrasuede, sistem bunyi sekeliling Mark Levinson Premium bersama 13 unit pembesar suara.

    Selain itu, ia turut diberikan kamera parallel view monitor (PVM) bersama 12 penderia parkirm paparan pemandu pelbagai-info lapan-inci dan juga skrin sesentuh 14.1-inci.

    Bagi kelengkapan keselamatan pula, Lexus Malaysia berkata, RZ 450e diberikan Lexus Safety System (LSS+) generasi ketiga. Menjadikan model spesifikasi Thailand sebagai rujukan, kelengkapan ADAS pada RZ termasuklah all-speed adaptive cruise control, Lexus Teammate Advanced Park (bantuan parkir), paparan pandangan panoramik, Pre-Collision System (brek kecemasan sendiri), Lane Tracing Assist, Lane Change Assist dengan pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang.

    Di Malaysia, RZ 450e diberikan waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had, bersama waranti lapan-tahun dan perbatuan tanpa had untuk bateri, yang boleh dilanjutkan dua tahun lagi sebagai pilihan. Warna luaran bagi RZ 450e di Malaysia pula terdiri daripada Aether Metallic, Sonic Copper, Sonic Chrome, Graphite Black Glass Flake, Sonic Quartz dan Sonic Iridium.

     
     
  • Jualan EV Audi di Eropah merudum – Volkswagen mungkin terpaksa tutup kilang di Brussels, Belgium

    Jualan EV Audi di Eropah merudum – Volkswagen mungkin terpaksa tutup kilang di Brussels, Belgium

    Volkswagen mengumumkan bahawa ia mungkin akan menutup kilangnya di Brussels, Belgium kerana jualan model-model EV di Eropah yang kini sedan merudum teruk, lapor Reuters. Kilang berkenaan buat masa sekarang memproduksi model-model EV mewah di bawah salah satu jenama kumpulan Volkswagen iaitu Audi.

    Pengeluar automotif Jerman tersebut kini terjejas teruk kerana permintaan model-model EV buat masa sekarang jauh lebih rendah dari apa yang dijangka selepas ia membuat pelaburan besar dalam pembangunan kapasiti dan pembangunan untuk kenderaan elektrik.

    Awal tahun ini Audi telahpun memberikan amaran bahawa jualannya mungkin akan jatuh pada 2024, dalam masa yang sama ia perlu memperkenalkan model-model baharu dan mengurangkan pelbagai kos.

    Menurut Volkswagen, kos mencari untuk penggunaan alternatif untuk kilang Brussels itu atau menutupnya, serta perbelanjaan lain yang tidak dirancang, akan memberi kesan berjumlah sehingga 2.6 bilion euro (RM13.2 bilion) pada tahun kewangan 2024.

    Jualan EV Audi di Eropah merudum – Volkswagen mungkin terpaksa tutup kilang di Brussels, Belgium

    Syarikat itu turut sudah menurunkan jangkaan untuk pulangan operasi kepada 6.5-7% daripada 7-7.5%, mendorongnya menurunkan unjuran pendapatan kepada 3.5 bilion hingga 5.5 bilion euro. Berita ini juga telah menyebabkan saham Volkswagen dan satu lagi divisi kereta sportnya iaitu Porsche masing-masing turun 1.7% dan 2.1%.

    Permintaan model EV Audi Q8 e-Tron yang dilancarkan pada 2018 kini telah jatuh dengan drastik. Menurut sumber yang rapat dengan syarikat tersebut, ini telah membuat Volkswagen mempertimbangkan untuk menamatkan produksi model tersebut pada 2025.

    Bagi kilang di Brussels yang menghasilkan sekitar 50,000 unit kenderaan tahun lalu kini menghadapi “cabaran struktur yang telah lama wujud” termasuk kesukaran mengubah susun aturnya kerana berdekatan dengan bandar dan kos logistik yang tinggi.

    Proses rundingan bagi mencari penyelesaian alternatif untuk kilang yang menggaji kira-kira 3,000 orang itu kini sudah bermula. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Audi, antara langkah yang mungkin diambil termasuk menghentikan operasi jika tiada alternatif ditemui.

    Keuntungan operasi suku pertama Volkswagen turun 20%, sebahagiannya adalah disebabkan oleh kelewatan penghantaran kereta baharu oleh Audi, selepas kilang di Brussels tersebut ditutup selama dua minggu kerana kekurangan komponen pada bulan Februari.

     
     
  • Lemon Law: Cadangan wujudkan skim ombudsman khas industri automotif antara agenda kajian – Menteri

    Lemon Law: Cadangan wujudkan skim ombudsman khas industri automotif antara agenda kajian – Menteri

    Mengenai perkembangan terkini Lemon Law, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan mewujudkan skim ombudsman khas untuk industri automotif di Malaysia sebagai suatu mekanisme bagi menyelesaikan pertikaian antara pengguna dan syarikat automotif akan dijadikan antara agenda dalam Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan isu berkenaan.

    Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

    Tambah beliau, elemen penyelesaian pertikaian alternatif yang merupakan antara ciri utama dalam skim ombudsman sedang dirintis kementerian sebagai kaedah penambahbaikan serta-merta dan langkah interim, laporan Bernama.

    “Ini dilaksanakan melalui penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di kementerian sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor di Malaysia berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.

    “Kaedah yang digunakan adalah rundingan tiga pihak antara Kementerian, pembeli kereta (pengguna) dan pengedar atau pengilang. Melalui platform rundingan khas ini, disasarkan akan dapat mencari solusi yang adil dan seimbang untuk semua pihak,” katanya di Parlimen semalam.

    Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai cadangan penubuhan ombudsman di Malaysia supaya pelaksanaan Lemon Law menjadi lebih holistik dan berkesan.

    Lemon Law: Cadangan wujudkan skim ombudsman khas industri automotif antara agenda kajian – Menteri

    Katanya lagi, pendekatan itu sekali gus dapat mengurangkan kos dan tempoh penyelesaian sebagai alternatif kepada proses mahkamah dan tatacara perundangan lain.

    “Dalam temu bual mendalam bersama pihak industri automotif, kita akan mendapatkan maklum balas industri terhadap ketersediaan mereka untuk terlibat dalam skim ombudsman khas tersebut,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata kementerian juga sedia maklum isu dan kes terkait hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan dibekalkan gagal mematuhi jaminan yang juga menyentuh beberapa perundangan lain.

    “Ini termasuk beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian dan agensi di Malaysia seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967. Atas sebab itu, kajian yang sedang dilaksanakan kementerian bersama kumpulan perunding ini juga akan melihat aspek ini merentasi semua kerangka perundangan,” katanya.

    Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law yang bermula Jun lalu dijangka selesai hujung September ini di mana hasilnya akan dijadikan asas pertimbangan bagi menetapkan keputusan dasar di peringkat kementerian dalam menentukan hala tuju kerangka perundangan yang komprehensif dan kondusif dengan tuntutan semasa.

    “Ini termasuk sama ada kita perlu menambah baik perundangan sedia ada iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) atau mewujudkan perundangan baharu,” katanya.

     
     
  • MIROS anjur program pemeriksaan kerusi keselamatan kanak-kanak di Puchong; 13 Julai, 10 pagi-3 petang

    MIROS anjur program pemeriksaan kerusi keselamatan kanak-kanak di Puchong; 13 Julai, 10 pagi-3 petang

    Untuk ibu bapa yang mempunyai anak yang berusia bawah 12 tahun dan mempunyai masalah untuk menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dengan kerjasama My Lovely Baby Puchong akan menganjurkan program MIROS Car Seat Check pada 13 Julai 2024.

    Program berkenaan akan diadakan pada jam 10 pagi hingga 3 petang bertempat di My Lovely Baby,
    No 1, Jalan TPP 1/7, Taman Perindustrian Puchong, 47100, Puchong, Selangor. Bagi yang berminat untuk menyertainya, anda hanya perlu mengimbas kod QR (pada imej entri Facebook di bawah), dan mengisi borang penyertaan secara dalam talian. Penyertaan adalah percuma.

    Ketika hadir dalam program terbabit, anda perlu membawa sekali kerusi keselamatan kanak-kanak tersebut, panduan pengguna untuk kerusi terbabit, dan panduan manual kenderaan anda.

    Selain itu, anda juga digalakkan membawa sekali kanak-kanak yang bakal menggunakan kerusi terbabit. Pihak penganjur juga meminta semua peserta untuk hadir 10 minit sebelum slot yang ditempah dan ibu bapa dan/atau penjaga dikehendaki memastikan keselamatan kanak-kanak yang mengambil bahagian di bawah jagaan mereka sepanjang program pemeriksaan ini.

    Slot adalah terhad, jadi bagi ibu bapa atau penjaga yang berminat, sila daftar secepat mungkin. Pengetahuan berkaitan keselamatan adalah sentiasa berharga , dan ia boleh membantu menyelamatkan nyawa dalam situasi yang sukar.

     
     
  • Royal Enfield Himalayan 450 2024 bakal dilancar di Malaysia dalam dua varian, harga bawah RM33k?

    Royal Enfield Himalayan 450 2024 bakal dilancar di Malaysia dalam dua varian, harga bawah RM33k?

    Didedahkan kepada dunia hujung tahun lalu, Royal Enfield Himalayan 450 kini sudah tiba di Malaysia dan hanya menunggu waktu pelancaran rasmi sahaja tidak lama lagi. Malah jika pergi ke pusat pameran, anda sudah boleh menunggang uji model touring/adventure permulaan ini.

    Daripada maklumat yang kami terima, Himalayan 450 mungkin akan dilancar sewaktu acara Art of Speed 2024 hujung bulan ini, dengan harga yang dikatakan “tinggi sedikit berbanding siri Triumph 400 (Speed 400 RM27k, Scrambler 400 RM30k).”

    Daripada situ, kami menjangkakan harganya mungkin berada di sekitar RM33k, dengan turut mengambil kira ia mempunyai pelbagai peningkatan serta kelengkapan baru lebih moden berbanding Himalayan Scram 411 yang sebelum ini diperkenalkan di pasaran pada harga sekitar RM27k.

    Himalayan 450 adalah sebuah model yang dibangunkan serba baru oleh Royal Enfield, dengan mendapat enjin pertama jenama itu yang menggunakan sistem penyejukan cecair, dengan berkapasiti 452 cc, dan dilengkapi sistem suntikan bahan api dan tetapan DOHC, digabungkan bersama tranmsisi enam gear untuk menghasilkan kuasa 40 hp pada 8,000 rpm dan tork 40 Nm pada 5,500 rpm.

    Walaupun rupanya tidak banyak berubah dan masih nampak klasik, Himalayan 450 sudah dilengkapi kelengkapan model seperti mod tunggangan, brek ABS serta panel instrumen TFT yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk memaparkan navigasi.

    Selain daripada itu, kami juga menerima maklumat bahawa model ini akan tiba dalam dua varian. Perbezaan antara keduanya selain grafik adalah pada bahagian rim, di mana unit spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakangnya akan hadir dengan pilihan sama ada yang menggunakan tiub ataupun tidak.

     
     
  • Pencuri kereta di valet KLCC punya rekod dadah, ditangkap di USJ 1 Subang pada hari sama – PDRM

    Pencuri kereta di valet KLCC punya rekod dadah, ditangkap di USJ 1 Subang pada hari sama – PDRM

    Ini ada maklumat tambahan kejadian kecurian kenderaan di valet KLCC yang berlaku hujung minggu lalu, daripada ketua polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahya.

    Menurut beliau, kejadian bermula pada jam 12.48 pm hari Ahad, di mana pemilik yang berusia 31 tahun menyerahkan SUV Honda HR-V kepada pekerja valet Suria KLCC, dan kemudiannya ia dialihkan sementara ke persisiran jalan utama. Selepas 10 minit, sewaktu kenderaan tersebut mahu dialihkan semula, ia didapati sudah tiada, sedangkan kunci masih berada pada pekerja valet.

    Pemilik kenderaan tersebut, yang merupakan seorang penghias dalaman mengetahui berkenaan kecurian tersebut apabila beliau mahu beredar daripada pusat membeli belah tersebut pada jam 1.20 pm, dan selepas itu terus membuat laporan polis.

    “Mangsa kemudiannya menghubungi pusat kawalan Dang Wangi untuk membuat laporan kehilangan kenderaan tersebut dan buletin menyeluruh dimuat naik untuk mengesan kenderaan tersebut,” kata Noor Dellhan sambil menambah bahawa pada jam 2.35 pm, SUV tersebut ditemui di USJ One Avenue, Subang Jaya oleh unit peronda polis.

    Suspek yang memandu kenderaan tersebut cuba untuk melarikan diri tetapi berjaya ditahan. “Permohonan reman untuk suspek yang berusia 58 tahun dan mempunyai dua rekod dadah lampau ini akan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” kata Noor Dellhan dalam laporan Bernama.

    Kejadian ini mungkin adalah satu kes ‘relay attack‘, yang semakin banyak digunakan oleh pencuri untuk mendapatkan akses kepada kenderaan yang menggunakan sistem masuk dan hidup tanpa kunci. Biasanya dengan cara ‘relay attack‘ ini, ia melibatkan dua individu.

    Seorang akan berada dekat dengan kunci untuk mendapatkan frekuensi kunci kenderaan, dan seorang lagi akan berada dekat dengan kenderaan, menerima frekuensi tersebut dan ‘menipu’ kenderaan supaya berfikir bahawa kunci berada berdekatan, sekaligus boleh dibuka dan dihidupkan seperti biasa.

    Antara cara untuk mengelakkan kecurian ‘relay attack‘ ini adalah dengan meletakkan kunci kenderaan di dalam kotak Faraday, iaitu kotak yang boleh menghalang siaran medan elektromagnetik. Bagi pemilik kenderaan, tidak banyak yang boleh mereka lakukan, dan sistem telematik dan GPS kenderaan yang boleh menunjukkan kedudukan kenderaan dalam telefon mungkin adalah yang paling berguna.

     
     
  • Nissan Lightfoot Quest catat 28.61 km/l dengan Almera dari PJ ke Ipoh — bacaan terbaik penggunaan sebenar

    Nissan Lightfoot Quest catat 28.61 km/l dengan Almera dari PJ ke Ipoh — bacaan terbaik penggunaan sebenar

    Nissan Almera memang dikenali mampu memberikan bacaan penggunaan minyak yang baik, yang disumbang oleh saiz enjin turbonya yang kini berkapasiti lebih kecil berbanding kebiasaan sedan segmen B yang mempunyai enjin 1.5 liter biasa. Tetapi, sejauh mana enjin ini benar-benar menjimatkan? Inilah yang ingin diketahui melalui penganjuran acara Nissan Lightfoot Quest 2024 oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

    Diadakan pada satu hujung minggu Jun lalu, peraduan ini menyaksikan penyertaan daripada 30 pasukan — 21 pemilik yang memandu Almera mereka sendiri dan sembilan lagi wakil media termasuk wakil kami, Hafriz Shah memandu Almera yang disediakan oleh ETCM — dan meliputi jarak 203 km. Laluannya bermula dari Nissan Flagship Store di PJ menuju Uniti Republic Cafe di Ipoh, dan singgah sebentar di BHP Bandar Seri Botani Ipoh di mana bacaan penggunaan minyak untuk setiap kenderaan ini diambil dan disahkan.

    Nissan Lightfoot Quest catat 28.61 km/l dengan Almera dari PJ ke Ipoh — bacaan terbaik penggunaan sebenar

    Bagi memastikan persaingan tersebut setara dan tahap kecekapan minyaknya mencerminkan penggunaan harian yang sebenar, setiap Almera yang ikut serta perlukan berada dalam keadaan standard tanpa sebarang ubah suai dan dikilangkan dari tahun 2020 hingga 2024. Kereta berkenaan juga perlu menggekalkan kerusi asal, bahagian sebelah dalam pintu serta tayar ganti di dalam but, sementara pemandu pula perlu ditemani oleh seorang penumpang dewasa.

    Selain perlu mengikuti laluan yang ditentukan, cabaran ini juga perlu diselesaikan dalam masa 2 jam 45 minit, dengan pintu corong minyaknya ditandai dengan pelekat keselematan agar tidak dibuka sepanjang cabaran ini berlangsung.

    Nissan Lightfoot Quest catat 28.61 km/l dengan Almera dari PJ ke Ipoh — bacaan terbaik penggunaan sebenar

    Keputusannya? Angka paling tinggi yang berjawa dicapai ialah oleh Muhammad Nifail Bin Basri dari KL, dengan bacaan 28.61 km/l, dengan penggunaan sebanyak hampir tujuh liter sahaja bagi perjalanan tersebut. Tempat kedua dan ketiga cabaran ini pula masing-masing mencatatkan 27.31 km/l dan 27.14 km/l. Bagi kategori media pula, Gan Yong Li dan Muhammad Sharil Bin Tarmize peraih tempat pertama dengan mencatatkan 28.2 km/l.

    Bagaimana pula pencapaian wakil kami Hafriz? Kami mencatatkan penggunaan minyak 7.592 liter dengan 25.92 km/l. Ini bersamaan dengan hanya RM15.56 petrol RON95 dari KL ke Ipoh! Hafriz memandu di antara kelajuan 90 hingga 110 km/j di lebuhraya PLUS — ini tidaklah terlalu perlahan untuk cabaran penggunaan minyak seperti ini. Ditambah dengan had masa yang ditetapkan, memandu terlalu perlahan bukanlah satu pilihan. Terdapat beberapa kereta yang turut diberikan penalti kerana tiba lewat daripada masa yang ditetapkan.

    Nissan Lightfoot Quest catat 28.61 km/l dengan Almera dari PJ ke Ipoh — bacaan terbaik penggunaan sebenar

    Ini kelajuan yang biasa dipandunya ketika di lebuhraya. Selain itu, peserta juga tidak dibenarkan untuk mematikan pendingin — semua kereta ditetapkan dengan pendingin di tahap tiga dengan suhu 19-darjah Celsius — dengan diletakkan pelekat keselamatan untuk pengesahan tersebut.

    “Kami berbesar hati menganjurkan Nissan Lightfoot Quest ini sekali lagi, dan kali ini untuk menguji kecekapan dan penjimatan minyak Nissan Almera 1.0L Turbo. Almera ini tidak hanya bergaya dan seronok untuk dipandu, ia juga dilengkapi enjin turbocas canggih yang membolehkannya memberikan maklumbalas pantas dan cekap untuk kegunaan seharian,” ujar CEO ETCM, Khoo Cheng Pah.

    “Dengan harga petrol dijangka naik dalam masa terdekat ini, Almera kini adalah pilihan yang paling menjimatkan bagi sedan segmen B,” jelasnya.

    Nissan Lightfoot Quest catat 28.61 km/l dengan Almera dari PJ ke Ipoh — bacaan terbaik penggunaan sebenar

    Pemenang utama, Muhd Nufail ialah seorang pemandu Grab yang memandu sejauh 300 km sehari dan sudah terbiasa dengan pemanduan untuk penjimatan. Dalam dua tahun ini, beliau sudah memandu sejauh 100,000 km dan sudah cukup faham bagaimana untuk mengendalikan Almera dengan cara menjimatkan bahan api. Beliau memaklumkan yang Almera N18 miliknya sangat jimat minyak ketika melakukan pekerjaannya (dengan kekalkan rpm di bawah 2,000) serta kos servis yang rendah. Dengan hadiah utama RM3,000, ia menjadi pengalaman lebih manis untuk Nufail dengan Almeranya.

    Secara teori, Muhd Nufail boleh memandu sejauh 1,000 km dengan satu tangki penuh Almera miliknya. Bacaan penggunaan minyak rasmi Almera ialah 18.4 km/l.

     
     
  • Proton terima Saga 1985 untuk dipamer di CoE, disumbang keluarga pembeli kumpulan terawal

    Proton terima Saga 1985 untuk dipamer di CoE, disumbang keluarga pembeli kumpulan terawal

    Proton hari ini menerima sebuah Saga generasi pertama keluaran tahun 1985 untuk dipamerkan di ruang pameran Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya. Namun kereta berkenaan bukannya milik Proton sendiri, sebaliknya disumbangkan oleh keluarga pemilik kereta tersebut iaitu Allahyarham Encik Ariffin Hew.

    Kereta berkenaan diserahkan oleh wakil keluarga Encik Ariffin iaitu isteri arwah sendiri, Puan Rosni Rahmat dan ditemani oleh menantunya, Imran Abdullah kepada naib CEO Proton, Roslan Abdullah. Penyerahan ini juga adalah untuk meraikan 39-tahun usia Proton Saga dalam pasaran.

    Encik Ariffin Hew adalah antara pembeli kumpulan pertama Proton Saga ini selepas ia mula keluar dari kilang Shah Alam pada Julai 1985 dan dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed (ketika itu Perdana Menteri ke-4 dan juga pengasas Proton) pada 1 September 1985.

    Walaupun kereta berkenaan menjadi pengangkutan keluarganya setiap hari dan merakamkan pelbagai memori serta peristiwa hidup, Saga dengan nombor pendaftaran ‘Proton 712’ ini tetap dijaga dengan begitu baik oleh Encik Ariffin yang juga seorang peminat kereta – mungkin ada yang mempersoalkan gril model ‘Megavalve’ yang dipadankan pada kereta ini, namun hakikatnya ia masih mengekalkan cat badan dan juga bahagian dalaman yang masih asal!

    Keluarga Encik Ariffin mengambil keputusan untuk menyerahkan kereta ini kepada Proton untuk dipamerkan kepada khalayak awam bagi memastikan legasi yang ditinggalkan oleh allahyarham ini dapat dihargai oleh generasi-generasi akan datang.

    “Kami amat berbesar hati dengan sumbangan besar Encik Ariffin Hew. Proton Saga 1985 adalah sebahagian penting dalam sejarah kami, dan untuk mempamerkannya di Ibu Pejabat kami akan memberikan peluang unik kepada pelawat untuk melihat dengan lebih dekat warisan sejarah kami. Pameran ini bukan sahaja meraikan kereta, tetapi semangat inovasi dan kemajuan yang dilalui Proton,” kata Roslan dalam hantaran akaun LinkedIn rasmi Proton.

     
     
  • Zeekr CX1E/Ark keluar teaser – SUV EV baharu berasas PMA2+ dengan 800V; pesaing Tesla Model Y

    Zeekr CX1E/Ark keluar teaser – SUV EV baharu berasas PMA2+ dengan 800V; pesaing Tesla Model Y

    Zeekr telah pun mengeluarkan imej teaser untuk model SUV elektrik akan datang yang dikatakan mampu menyaingi Tesla Model Y. Menurut laporan media, model baharu ini akan dinamakan sebagai Ark tetapi buat masa ini ia menggunakan kod nama CX1E.

    Beberapa perincian rasmi telah pun tersebar, termasuk menyatakan bahawa CX1E/Ark dibangunkan dengan platform PMA2+ yang sama seperti 007. Ia didakwa berukuran 4.7 meter panjang, lebih kurang sama dengan Model Y yang sepanjang 4,751 mm.

    Berkenaan dengan rekaannya, CX1E/Ark menampilkan palang pencahayaan ‘Stargate’ yang nipis di atas lampu utamanya. Di belakangnya pula, lampu sepenuhnya diberikan, selain ciri lain yang turut terserlah termasuk pemegang pintu jenis flush pop-out door dan penderia LiDAR dipasang pada bumbung yang agak kelihatan walau pun masih ditutup balutan penyamaran.

    Ada juga yang menyatakab dengan menggunakan PMA2+, SUV ini bakal menampilkan binaan elektrikal 800V yang membolehkan pengecas pantas DC berkapasiti hingga 500 kW (sama seperti 007). Kita juga menjangkakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti tenaga hingga 75 kWh turut diberikan, bersama konfigurasi dwi-motor dan motor-belakang.

    Zeekr CX1E/Ark keluar teaser – SUV EV baharu berasas PMA2+ dengan 800V; pesaing Tesla Model Y

    Versi roda-belakang bagi 007 dengan hamburan 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan tork 440 Nm membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.6 saat. Sementara itu, varian pacuan semua-roda pula mampu menghamburkan hingga 646 PS (640 hp atau 475 kW) dan tork 710 Nm dengan pecutan 0-100 km/j cecah 3.8 saat. Bagi tambahan kepada bateri 75 kWh, sedan juga menawarkan pilihan nickel manganese cobalt (NMC) 100 kWh – dengan jarak gerak antara 616 dan 688 mengikut standard CLTC.

    Menurut CarNewsChina, Zeekr merancang untuk melancarkan tujuh kenderaan baharu menjelang tahun 2026, termasuk empat crossover/SUV, dua minivan dan satu wagon. Tahun ini, telah menyaksikan pelancaran Mix, bakal disusuli dengan CX1E/Ark. Manakala untuk tahun hadapan, dilaporkan CC1E iaitu wagon dan dua lagi SUV (EX1E untuk segmen-D dan segmen-E DX1E) akan diperkekanlkan, sementara 2026 akan dilancarkan minivan baharu (kod nama Beluga) dan crossover (kod nama Grampus).

    Pengeluar kereta China dan sub-jenama Geely ini juga sedang mencari peluang untuk lebih berkembang di peringkat global dan kini telah pun tiba di 30 pasaran, dengan pertambahan lagi 20 pasaran menjelang akhir tahun ini. Malaysia juga merupakan sebahagian daripada perkembangan pasaran ini, dengan X dan 009 ditetapkan sebagai model pertama yang akan dilancarkan di sini.

     
     
  • Pihak berkuasa siasat pengedar BYD Thailand selepas dapat aduan turunkan harga dengan mendadak

    Pihak berkuasa siasat pengedar BYD Thailand selepas dapat aduan turunkan harga dengan mendadak

    Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Reuters, pihak berkuasa di Thailand kini sedang menjalankan siasatan terhadap pengedar kenderaan BYD di negara itu selepas pengguna membuat aduan berkenaan diskaun keterlaluan yang dikatakan sebagai tidak adil.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri Thailand, siasatan itu dikatakan bermula apabila seorang pelanggan membuat dakwaan seorang wakil jualan memberitahu beliau bahawa harga kenderaan yang dibeli pada waktu kempen diskaun akan kembali naik, tapi kemudian, sebaliknya yang berlaku kerana harga ‘dipotong’ lebih rendah.

    “Kami telah memanggil pengedar yang terlibat untuk menjelaskan kenapa mereka memotong lagi harga dan bagaimana mereka mahu mencari penyelesaian dengan pelanggan,” kata pegawai rsami lembaga perlindungan pelanggan Thailand, Passakorn Thapmongkol.

    Pihak berkuasa siasat pengedar BYD Thailand selepas dapat aduan turunkan harga dengan mendadak

    Beberapa pelanggan lain turut berkongsi rungutan sama dalam media sosial, dengan salah seorang daripadanya, Thanasit Chai berkata, “wakil jualan mulanya berkata harga akan naik selepas pameran, tetapi akhirnya, ia dikurangkan pula,” dengan merujuk kepada Bangkok Motor Show yang berlangsung Mac lalu.

    Aduan seperti ini dijangka berterusan selepas pengedar rasmi kenderaan BYD di Thailand, Rever Automotive mengambil keputusan mengurangkan harga Atto 3 sehingga 340,000 baht (sekitar RM44k) bulan ini bagi menyambut ulang tahun kilang pengeluaran baru BYD di negara itu.

     
     
  • Kereta kena curi di valet KLCC tanpa kunci – pelaku sudah ditangkap, apa sebenarnya yang terjadi?

    Kereta kena curi di valet KLCC tanpa kunci – pelaku sudah ditangkap, apa sebenarnya yang terjadi?

    Hujung minggu lalu, seorang pemuda yang menggunakan nama Zach Khai Shin di Facebook menggunakan khidmat letak kereta valet di Suria KLCC, dan selepas kembali setengah jam kemudian, Honda HR-V beliau tidak dapat dijumpai.

    Seperti biasa pada zaman sekarang, beliau berkongsi insiden ini dalam media sosial, mengatakan bahawa SUV itu hilang dengan kunci masih lagi ada pada pekerja valet di tempat itu. Tambah beliau, apabila melihat kepada pengesan GPS, SUV tersebut sudah sampai ke Subang dan polis masih menyiasat.

    Berikutan kejadian ini, Suria KLCC juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menyatakan keadaan daripada pihak mereka. Tertulis di dalamnya, “sebuah kenderaan yang diamanahkan kepada khidmat valet telah dicuri meskipun sudah diletakkan secara selamat oleh pekerja valet.”

    “Setelah diberitahu, kami dengan pantas melancarkan siasatan menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa. Bersama dengan pihak polis, kami melihat rakaman CCTV dan terlihat seorang individu tidak dikenal pasti memasuki kenderaan dan terus memandunya keluar sementara kunci masih disimpan dengan selamat di kaunter valet. Menggunakan rakaman CCTV dan sistem GPS kenderaan, suspek kini sudah ditahan,” jelas Suria KLCC dalam kenyataan tersebut.

    Dari sini kita boleh katakan kenderaan tersebut tidak dicuri oleh pekerja valet dan kunci berada pada mereka sepanjang masa. Tapi, apa sebenarnya yang terjadi dan bagaimana pencuri boleh masuk dan memandu pergi kenderaan tersebut tanpa kunci?

    Ini mungkin adalah satu kes ‘relay attack‘, yang semakin banyak digunakan oleh pencuri untuk mendapatkan akses kepada kenderaan yang menggunakan sistem masuk dan hidup tanpa kunci. Biasanya dengan cara ‘relay attack‘ ini, ia melibatkan dua individu.

    Seorang akan berada dekat dengan kunci untuk mendapatkan frekuensi kunci kenderaan, dan seorang lagi akan berada dekat dengan kenderaan, menerima frekuensi tersebut dan ‘menipu’ kenderaan supaya berfikir bahawa kunci berada berdekatan, sekaligus boleh dibuka dan dihidupkan seperti biasa.

    Antara cara untuk mengelakkan kecurian ‘relay attack‘ ini adalah dengan meletakkan kunci kenderaan di dalam kotak Faraday, iaitu kotak yang boleh menghalang siaran medan elektromagnetik. Bagi pemilik kenderaan, tidak banyak yang boleh mereka lakukan, dan sistem telematik dan GPS kenderaan yang boleh menunjukkan kedudukan kenderaan dalam telefon mungkin adalah yang paling berguna.

     
     
  • Geely Emgrand facelift 2024 dilancar di China – 1.5L NA, CVT dan 5MT, kamera 540-darjah, RM45k-RM58k

    Geely Emgrand facelift 2024 dilancar di China – 1.5L NA, CVT dan 5MT, kamera 540-darjah, RM45k-RM58k

    Selepas didedahkan bulan lalu, kembar Proton S70 di China iaitu Geely Emgrand generasi keempat secara rasminya dilancarkan dalam versi facelift 2025. Di sana, Emgrand ditawarkan dalam empat varian berbeza bermula model asas 1.5D 5MT berharga 69,900 yuan (RM45k), 1.5D CVT berharga 78,900 yuan (RM52k), 1.5D CVT Premium berharga 83,900 yuan (RM54k) dan juga 1.5D CVT Flagship berharga 88,900 yuan (RM58k).

    Kesemua varian ini menerima hanya satu jenis enjin iaitu unit 1.5 liter empat silinder NA, menghasilkan kuasa 127 PS dan tork maksima 152 Nm, tanpa sebarang pilihan enjin turbo seperti S70 di Malaysia. Bagi varian 5MT, ia diberikan kotak gear manual lima kelajuan, manakala pilihan CVT automatik diberikan kotak gear yang didakwa sudah diperbaharui dengan lapan-kelajuan maya yang memberikan penghantaran kuasa lebih lancar.

    Pada sebelah luar, model facelift ini hanya menerima beberapa perubahan kosmetik kecil, antaranya gril dengan elemen air terjun diberikan nafas baharu dan dipadankan dengan logo Geely pada sebelah tengah yang kini dalam kemasan Perak sepenuhnya. Ia juga diberikan lampu kabus baharu yang lebih ringkas dengan jalur LED berbentuk-L.

    Geely Emgrand facelift 2024 dilancar di China – 1.5L NA, CVT dan 5MT, kamera 540-darjah, RM45k-RM58k

    Rekaan dalaman juga masih lagi sama seperti sebelum ini, namun ia menerima peningkatan pada pada skrin instrumen LCD berwarna bersaiz 12.3-inci baharu yang kini nampak sama seperti yang dipadankan pada Proton S70 dan juga skrin infotainmen baharu lebih besar juga kini bersaiz 12.3-inci.

    Skrin infotainmen tersebut beroperasi dengan OS Galaxy Geely terkini, dan ia dilengkapkan untuk semua varian termasuk varian asas dengan kotak gear manual. Manakala untuk varian Premium dan Flagship, skrin tersebut turut memaparkan visual dari kamera pemantau “Eye of God” 540-darjah yang menunjukkan paparan bahagian bawah lantai kereta ini.

    Bumbung panaromik pula hanya ditawarkan bermula varian Premium, manakala tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala hanya diberikan pada varian Flagship. Selain itu, versi facelift ini juga kini ditawarkan dengan tema kabin oren-hitam.

    Namun Geely Emgrand masih lagi belum dipadankan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti Proton S70. Antara perician keselamatan yang diberikan termasuk enam beg udara (hanya varian Flagship), bantuan mula mendaki, sistem kunci pintar dan bantuan parkir.

    Selain itu ia juga aplikasi telefon pintar bagi memantau pelbagai informasi kenderaan, serta mengawal fungsi secara jarak jauh seperti menghidupkan/mematikan enjin dan sistem penghawa dingin.