Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton S70 – lebih 10,000 unit terjual pada 6-bulan pertama 2024, lebih laris dari Proton X50 setakat ini

    Proton S70 – lebih 10,000 unit terjual pada 6-bulan pertama 2024, lebih laris dari Proton X50 setakat ini

    Jualan bagi sedan segmen-C Proton S70 sudahpun melebihi 10,000 unit untuk tahun ini selepas 1,440 unit berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang bulan Jun 2024, dan ia masih lagi model terlaris dalam kelasnya untuk pasaran tempatan.

    Ini menjadikan sebanyak 10,914 unit S70 telah terjual bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, dan 11,023 unit secara keseluruhan jika termasuk 109 unit yang telah di terima pelanggan pada Disember 2023 selepas ia dilancarkan pada bulan November.

    Walaupun angka serahan S70 sedikit lebih rendah dari Proton X50 bulan lalu yang berjaya diserahkan kepada 1,711 pelanggan, secara kumulatif dari Januari hingga Jun jumlah jualan S70 sebenarnya sudah melebihi jumlah jualan SUV segmen-B tersebut yang kini mencatatkan angka 10,204 unit.

    Proton S70 – lebih 10,000 unit terjual pada 6-bulan pertama 2024, lebih laris dari Proton X50 setakat ini

    Namun takhta sedan paling laris Proton masih dipegang oleh Saga yang berjaya dijual sebanyak 5,41 unit bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan untuk enam bulan tahun ini adalah sebanyak 34,838 unit. Manakala sedan segmen-B Proton Persona pula terjual sebanyak 1,309 unit pada Jun, menjadikan jumlah keseluruhan 9,753 unit untuk tahun ini.

    Proton S70 dilancarkan ke pasaran tempatan pada penghujung November 2023, dan ia merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • JPJ eBid: JXF dan PRK akan dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Pulau Pinang bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXF bakal dibuka bidaan bermula 7 Julai 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 11 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 12 Julai 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRK, bakal dibuka bidaan mulai 11 Julai 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 15 Julai, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 16 Julai 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton eMas7 – nama EV Galaxy E5 versi Malaysia?

    Proton eMas7 – nama EV Galaxy E5 versi Malaysia?

    Nama eMas7 sedang ligat berlegar-legar di laman media sosial dan ia didakwa bakal digunakan sebagai nama bagi kenderaan elektrik (EV) pertama Proton yang bakal dilancar hujung tahun ini. Nama tersebut dikatakan antara yang telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), di bawah barisan jenama eMas (sebutan e.MAS) bagi EV pengeluar kereta nasional itu.

    Untuk pengetahuan anda, sejak dahulu Proton memang suka mendaftarkan banyak nama dengan MyIPO sama ada untuk membuatkan pesaingnya meneka nama yang bakal digunakan atau pun sekadar ‘menyimpan’ beberapa pilihan nama. Antara nama yang telah didaftarkan termasuklah S3, S30, S300, S5, S50, S500, C5, C50, V5, V70, PS3, dan banyak lagi, dan tiada satu pun di antara nama-nama tersebut yang telah digunakan.

    Memandangkan bagai sudah banyak pengesahan bahawa model eMas pertama yang diasaskan dari Geely Galaxy E5, dengan ‘7’ diletakkan pada namanya, ada kebarangkalian ia bakal menjadi kenyataan, kerana ia dirancang sebagai SUV segmen-C (besar sedikit daripada X70). Bahkan dikhabarkan juga Proton bakal memasarkan model PHEV seawal tahun hadapan, berkemungkinan berdasarkan Galaxy L7, jadi kami agak percaya bahawa model eMas akan mempunyai awalan dalam nama yang bakal diberi.

    Proton eMas7 – nama EV Galaxy E5 versi Malaysia?

    Render digital Proton eMas oleh Theophilus Chin

    Contohnya, Proton eMas E7 untuk model elektrik, dan mungkin P7 (atau L7) untuk PHEV. Proton sebelum ini telah mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan tidak kurang dari lima model eMas di bawah platform QMA baharu.

    Jadi, adakah anda lebih suka dengan nama eMas7 atau pun eMas E7 untuk SUV elektrik Proton yang akan datang? Atau pun anda mungkin ada saranan nama lain yang lebih menarik? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.

     
     
  • Kia bakal jadi penyumbang utama Bermaz – sasaran jualan tinggi untuk Sportage, Mazda ke kelas premium

    Kia bakal jadi penyumbang utama Bermaz – sasaran jualan tinggi untuk Sportage, Mazda ke kelas premium

    Sementara Bermaz Auto kini sedang mempersiapkan pelancaran jenama baru Xpeng dari China, syarikat itu juga sedang menyusun strategi untuk dua lagi jenama di bawahnya, iaitu Kia dan Mazda yang terletak dalam segmen lain pasaran kenderaan penumpang.

    Menurut CEO kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee Kok Chuan, beliau percaya Kia akan menjadi jenama penyumbang utama kepada pertumbuhan syarikat dalam masa dua ke tiga tahun akan datang, mengambil tempat Mazda kerana jenama Jepun itu akan dinaikkan ke kelas atas yang lebih premium – lapor The Edge Malaysia.

    “Pejabat Kia Asia Pasifik berada di KL dan mereka mahu projek ASEAN menjadi kerana mereka sudah pun berada di tahap bagus di tempat lain, kecuali ASEAN dan China. Jadi, sekarang, mereka meletakkan banyak perhatian kepada pasaran ASEAN,” kata Lee.

    Sekarang ini, SUV Kia Sorento dan MPV Kia Carnival yang dijual di pasaran Malaysia dipasang dalam engara (CKD), iaitu di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Kia bakal jadi penyumbang utama Bermaz – sasaran jualan tinggi untuk Sportage, Mazda ke kelas premium

    Mengimbas kepada model yang berada dalam pasaran Malaysia sekarang, Sorento generasi keempat dilancarkan Mac tahun lalu pada harga RM211,498, manakala Carnival pula diperkenalkan pada Februari lalu dengan harga bermula RM199k untuk versi 11 tempat duduk, RM246k untuk lapan tempat duduk dan RM260k untuk tujuh tempat duduk.

    Model yang disasarkan untuk menjadi penyumbang utama kepada Kia adalah Sportage generasi kelima, yang juga akan dipasang di Kulim, Kedah dan Bermaz meletakkan sasaran jualan sebanyak 4,000 ke 5,000 unit setahun bagi model ini. “Sportage terjual agak bagus di seluruh dunia; malah, mereka tidak mempunyai model import (CBU) untuk kami bawa masuk,” kata Lee.

    Apabila dikatakan Mazda akan dinaikkan kepada kelas premium, Bermaz merujuk kepada model seperti CX-60, yang merupakan model pertama jenama itu yang akan dibina atas platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture baru, dengan kedudukan enjin menegak dan pacuan roda belakang, bersama dengan pakej penggerak hibrid ringkas dan PHEV.

    Jika masuk ke pasaran Malaysia nanti, harga CX-60 mungkin akan terletak lebih tinggi. Pada masa ini, SUV paling besar Mazda, iaitu CX-9 pun sudah dijual pada harga RM328,000. Beberapa negara dalam ASEAN sudah pun menerima CX-60, dan di Indonesia, ia dijual pada harga 1.1888 juta rupiah, bersamaan sekitar RM358k.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Julai – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 4-10 Julai – Semuanya masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Julai 2024, harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 pula, juga dikekalkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia seperti mana yang diumumkan pada 10 Jun lalu. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bagi diesel adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Terkini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran semula subsidi petrol RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Malah belum ada kertas dasar dibawa ke Kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.

     
     
  • Kia Sportage CKD 2024 sah masuk pasaran Malaysia – pesaing Honda CR-V, sasar jumlah jualan tinggi

    Kia Sportage CKD 2024 sah masuk pasaran Malaysia – pesaing Honda CR-V, sasar jumlah jualan tinggi

    Kia Sportage generasi kelima sudah wujud sejak tahun 2021, dan sebelum ini ia pernah dilaporkan bakal memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2022. Walaubagaimanapun, sekarang sudah masuk tahun 2024 dan kelibatnya pesaing SUV segmen C seperti Honda CR-V ini masih tidak kelihatan.

    Ini bagaimanapun bakal berubah kerana dalam satu wawancara bersama The Edge, CEO kumpulan Bermaz, Datuk Francis Lee Kok Chuan bukan sahaja mengesahkan ketibaannya, tetapi juga menyatakan bahawa model tersebut akan menjadi antara penyumbang jualan utama dengan sasaran jualan 4,000 ke 5,000 unit setahun. Model ini akan dipasang dalam negara (CKD), iaitu di kilang Inokom di Kulim, Kedah, sama seperti Sorento dan juga Carnival.

    Jika sasaran jualan itu nampak seperti satu jumlah yang agak tinggi bagi sebuah model Kia, ini sebenarnya adalah disebabkan Kia akan diletakkan sebagai penyumbang utama Bermaz, menggantikan Mazda sekarang ini. Walaupun begitu menurut Lee, Mazda akan dinaikkan satu kelas ke atas untuk Malaysia, bersesuaian dengan model generasi baru yang akan diperkenalkan dalam masa dua hingga tiga tahun hadapan.

    “Pejabat Kia Asia Pasifik berada di KL dan mereka mahu projek ASEAN menjadi kerana mereka sudah pun berada di tahap bagus di tempat lain, kecuali ASEAN dan China. Jadi, sekarang, mereka meletakkan banyak perhatian kepada pasaran ASEAN,” kata Lee.

    “Sportage terjual agak bagus di seluruh dunia; malah, mereka tidak mempunyai model import (CBU) untuk kami bawa masuk,” tambah CEO Bermaz itu sambil mendedahkan bahawa syarikat akan memasarkan varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dahulu sebelum memperkenalkan versi hibrid.

    Di Eropah, Sportage baru ini dilancarkan dengan pilihan dua enjin ICE (petrol 1.6L turbo dan diesel turbo 2.0L), serta hibrid dan plug-in hybrid. Penampilannya lebih moden, mengikut konsep rekaan terkini ‘Opposites United’ jenama itu.

    GALERI: Kia Sportage Hybrid 2021 (Pasaran Korea)

     
     
  • BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    Kalau kita sebut nama “BJ40” pada peminat kenderaan-kenderaan off-road, sudah tentu mereka akan terbayang akan SUV legenda dari Toyota iaitu Land Cruiser siri J40 dengan enjin diesel siri-B. Namun kalau anda taip “BJ40” dalam enjin carian Google sekarang, anda mungkin akan bertemu dengan SUV yang kami paparkan ini – BAIC BJ40 Plus.

    Beijing Automotive Group (BAIC) telah mendedahkan BJ40 Plus ini di Malaysia bulan lalu, dan ia diumumkan akan dilancarkan di pasaran tempatan bermula dengan versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China tidak lama lagi, diikuti versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dibuat oleh EP Manufacturing (EPMB) di kilang mereka yang terletak di Melaka bermula akhir tahun ini.

    Sebelum dilancarkan, kami berpeluang untuk membelek terlebih dahulu SUV ini, dan ini dia galeri penuh dari kami untuk tatapan anda.

    BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    BJ40 Plus ini merupakan SUV off-road sebenar yang menampilkan casis ladder frame, bersama sistem pacuan empat roda dari Borg-Warner dengan transfer case yang menyediakan pilihan 2H, 4H dan 4L menerusi suis putar yang diletakkan pada papan pemuka.

    Namun untuk unit rangkaian kuasa, BJ40 Plus tidak menawarkan enjin diesel, sebaliknya digerakkkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang menghasilkan kuasa 221 hp dan tork maksima 380 Nm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan konvensional dari ZF.

    Walaupun namanya seperti diinspirasikan dari SUV Toyota, rupa luaran BJ40 Plus ini nampaknya menerima pengarah besar dari Jeep Wrangler. Anda boleh lihat rekaannya yang berkotak dan menampilkan engsel pintu yang terletak diluar serta bahagian overfender yang sangat lebar.

    Ia juga menerima pembuka pintu berbentuk petak bersama silinder kunci konvensional untuk pintu hadapan (lama dah kita tak tengok silinder kunci ni pada kereta baru bukan?), tidak menerima suis bukaan tanpa kunci pada mana-mana pintu, serta tayar gantian bersaiz penuh yang disangkut bersama pembalut pada pintu tailgate belakang.

    Dan kalau anda nak tahu juga, BAIC BJ40 Plus ini tampil dengan bumbung dan juga pintu yang boleh dicabut sepenuhnya, membolehkan anda bergaya di tepi pantai atau ketika meredah off-road di kawasan pedalaman.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 4,645 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,871 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,745 mm. Rekaan bampar hadapan dan belakang serta jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm pada BAIC BJ40 Plus ini membolehkan ia menampilkan sudut approach 37 darjah dan sudut berlepas 31 darjah.

    BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    Perincian luaran lain yang turut ditampilkan pada BAIC BJ40 Plus ini termasuk lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED, lampu kombinasi belakang LED, set rim aloi 17-inci kemasan dua-tona dengan tayar 245/70R17 serta cangkuk penyelamat dalam kemasan merah masing-masing diletakkan dua di hadapan dan dua di belakang.

    Jika bahagian luarnya seperti Jeep Wrangler, bahagian dalaman BAIC BJ40 Plus ini pula diinspirasikan dari rekaan SUV ladder frame Mercedes-Benz G-Class. Pengaruh jenama automotif premium Jerman itu boleh anda lihat pada rekaan suis penghidup enjin dan bentuk-bentuk suis lain, elemen permukaan pada papan pemuka, liang-liang penghembus udara, roda stereng dan lain-lain. Dan jika anda lihat kunci kawalan jauh BAIC ini, rekaannya juga ‘sebiji’ kunci Mercedes-Benz.

    Disebabkan kesemua bumbungnya boleh dicabut, anda boleh lihat BJ40 Plus ini seakan diberikan roll cage, dan ia balut dengan fabrik untuk nampak lebih kemas. Untuk itu pemegang tangannya juga direka seperti tali untuk memudahkan ia dibuka, begitu juga bahagian spring engsel pintu yang turut digantikan dengan tali fabrik bagi memudahkan pintu dicabut sepenuhnya.

    Selain itu, BJ40 Plus ini menerima perincian standard lain seperti upholsteri kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa empat hala, roda stereng balutan kulit, penghawa dingin dua zon, paparan instrumen digital dengan skrin LCD berwarna 12.3-inci, skrin infotainmen 10-inci, enam pembesar suara, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, kamera undur dan juga dua port USB.

    Namun terasa sedikit janggal pada BAIC BJ40 Plus ini kerana skrin infotainmen yang dibekalkan tidak diberikan sokongan Android Auto, Apple CarPlay mahupun apa-apa aplikasi screen mirroring kepada telefon pintar, dan ia juga tidak diberikan fungsi auto-naik (hanya auto-turun) pada kesemua tingkat cermin berkuasa.

    Dari segi praktikaliti, ruang kargo belakang BAIC BJ40 ini menyediakan ruang berkapasiti 532 liter, dan ia bertambah sehingga 965 liter. Walau bagaimanapun tidak terdapat penutup tonneu pada bahagian ini, dan ini agak menyukarkan untuk pengguna meninggalkan barang dengan selamat di sini.

    BAIC BJ40 ini mungkin akan dilancarkan pada bulan ini juga. Harganya masih belum dimuktamadkan, namun ia dibayangkan akan dijual pada harga sekitar RM180k hingga RM190k. Nampaknya model ini akan berhadapan terus dengan satu lagi SUV ladder frame dari China, iaitu GMW Tank 300 yang turut dijangka akan dilancarkan pada bulan ini.

     
     
  • Proton catat jualan sebanyak 10,999 unit bagi Jun 2024

    Proton catat jualan sebanyak 10,999 unit bagi Jun 2024

    Sepanjang bulan Jun 2024, Proton telah berjaya menjual sebanyak 10,999 unit kenderaannya bagi pasaran domestik dan juga eksport. Ini sekaligus membolehkan syarikat itu mengukuhkan kedudukannya di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia walaupun jualannya berkurangan sebanyak 12.2% berbanding Mei lalu.

    Bagi Proton, jualan bulan Jun terkesan akibat pemberhentian sementara pengeluarannya seperti yang dirancang untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan berjadual. Bagaimanapun, syarikat itu tetap mampu mencatat angka perkongsian pasaran sebanyak 19.1% bagi bulan lalu, angka yang sama bagi perkongsian pasaran setakat ini (YTD) yang dicatatnya. Jualan keseluruhan yang dicapai bagi tempoh separuh tahun 2024 setakat ini ialah 73,696 unit.

    Jun 2024 merupakan bulan yang sibuk untuk Proton. Selain pengenalan jenama EV Proton e.Mas, Proton juga meraikan pengeluaran ke-5 juta kenderaan dari kilangnya dan melancarkan Proton X50 2024 sebagai versi diperkemas melibatkan 20 penambahbaikan berkaitan NVH.

    Untuk itu, X50 kembali mendahui SUV segmen B dengan jualan sebanyak 1,711 unit yang turut merupakan prestasi jualan terbaiknya dalam tempoh tiga bulan ini. Satu lagi model yang menjadi pendahulu segmennya ialah Proton S70, yang mendahului dalam segmen C sedan dengan mencatatkan jualan sebanyak 1,440 unit.

    Proton catat jualan sebanyak 10,999 unit bagi Jun 2024

    Proton Saga pula terjual sebanyak 5,441 unit sepanjang Jun, menjadikan jualannya setakat ini bagi 2024 ialah 34,838 unit. Secara purata, 5,800 unit Saga sudah terjual setiap bulan, menjadikannya model paling popular di Malaysia. Persona pula mencatatkan jualan 1,309 unit, meletakkannya di kedudukan kedua segmen B sedan.

    Model lain seperti X70 dan X90 pula masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 481 unit dan 248 unit. X70 bakal diberikan kemaskini tak lama lagi. Proton Iriz pula mencatatkan jualan sepanjang Jun sebanyak 369 unit, menduduki tempat keempat dalam segmen hatchback segmen B.

    Jummlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jun diramal rendah berbanding bulan lain tahun ini. Dianggarkan sebanyak 57,700 unit kenderaan dijual bulan lalu, lebih rendah berbanding April lalu disebabkan cuti perayaan yang panjang. Bagaimanapun, secara terkumpul bagi enam bulan pertama 2024 ialah sekitar 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih banyak bagi tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB200 2024 di Malaysia – galeri penuh SUV 7-tempat duduk; 1.33L turbo; dari RM291k

    Mercedes-Benz GLB200 2024 di Malaysia – galeri penuh SUV 7-tempat duduk; 1.33L turbo; dari RM291k

    Susulan dengan pelancaran Mercedes-Benz GLB X247 facelift beberapa hari lalu, kini kami membawakan pula galeri penuh SUV yang dipertingkatkan ini dengan varian GLB200 Progressive. Ditawarkan pada atas jalan M290,888 tanpa insurans, GLB200 ini merupakan varian asas bari barisan GLB, dengan GLB250 4Matic AMG Line sebagai varian tertinggi yang berharga RM341,888.

    Semakan penggayaan bagi GLB termasuklah bampar hadapan yang direka semula, lampu utama LED High Performance baharu dengan Adaptive Highbeam Assist serta grafik lampu belakang baharu. Ciri spesifik untuk GLB200 adalah gril radiator dengan empat kepingan mendatar, dengan pakej penggayaan Progressive Line dan roda aloi-ringan lima-jejari-berkembar 18-inci. Kesemua varian GLB didatangkan dengan Night Package secara standard, bersama kemasan hitam berkilat untuk luaran.

    Di dalamnya, keadaan kabin kebanyakannya adalah sama sahaja, dengan peningkatan yang dibuat tidak begitu ketara. Ia menerima roda stereng sport pelbagai fungsi baharu, yang dibalut dengan kulit pada GLB 200 manakala GLB 250 menerima balutan kulit Nappa. Jumlah soket USB-C juga ditambah dan kini mempunyai kuasa mengecas yang lebih tinggi.

    Tetapan skrin digital 10.25 inci berkembar masih dikekalkan, tetapi sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) telah dinaik taraf kepada generasi NTG7 terkini, memberikan antaranya tema paparan baru, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta Intelligent Voice Assistant yang lebih berkemampuan.

    Kemasan dalaman GLB200 juga diberikan elemen Star Pattern, tempat duduk balutan kulit upholstery Artico, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan suhu dwi-zon Thermotronic (dengan corong di belakang), pencahayaan ambien 64-warna dan pad pengecas tanpa wayar. Kedua-dua varian GLB buat masa ini didatangkan dengan versi tiga barisan tempat duduk, dengan barisan kedua boleh dilipat dan dibaring dengan 40:20:40, sementara 50:50 untuk barisan ketiga.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz GLB200 Progressive Line facelift 2024 (atas), GLB250 4Matic AMG Line (bawah) – Klik untuk besarkan

    Di bawah bonetnya, GLB200 masih terus dijanakan oleh enjin 1.33 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol. Dengan unit M282 ini, pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan 7G-DCT, bersama hamburan kuasa sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 270 Nm (lebih 20 Nm berbanding sebelum ini). Dengan penjana kuasa tersebut, varian ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.3 saat dengan kelajuan maksimum mampu dicapai pada 207 km/j.

    Bagi sistem bantuan pemanduan dan keselamatan, ia diberikan Parking Package dengan kamera undur,
    Active Paring Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist dan Active Brake Assist. Lain-lain ciri termasuk Easy-Pack tailgate, Keyless-Go, Hands-Free Access, pelindung kenderaan Guard 360 dan sistem pemantauan tekanan tayar.

     
     
  • Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Di Thailand, Tokio Marine Safety Insurance mengumumkan bahawa ia kini telah menghentikan premium insurans semasanya untuk pelanggan EV baharu, dan kini akan mempertimbangkan kadar premium baharu berdasarkan kes demi kes. Perubahan dalam polisi insurans kenderaan elektrik (EV) ini berkuat kuasa pada 1 Julai, lapor Bangkok Post.

    Penyedia insurans kenderaan itu berkata bahawa ia akan terus menyediakan insurans untuk EV, tetapi menyatakan langkah untuk menyemak semula kadarnya akan dipengaruhi oleh turun naik harga pasaran EV baharu dan terpakai, yang dikatakan memberi kesan kepada nilai insurans. Syarikat itu menambah bahawa pelanggan sedia ada yang ingin memperbaharui polisi akan terus menerima perlindungan standard, tetapi ia kini akan adalah berasaskan kadar premium pembaharuan pada rekod tuntutan.

    Turun naik harga EV yang tidak tentu dan nilai tuntutan yang tinggi dilaporkan menyebabkan penyedia insurans itu perlu memikirkan semula cara menawarkan perlindungan. Menurut laporan media tempatan, Persatuan Insurans Am Thai baru-baru ini turut memberi amaran kepada ahlinya tentang EV.

    Difahamkan bahawa alat ganti dalam beberapa kes adalah 50-60% lebih mahal daripada kereta enjin pembakaran dalaman, dan kebanyakkan tuntutan kerosakan adalah berjumlah 90-100% daripada nilai kereta. Berdasarkan apa yang terjadi di banyak negara, walaupun hanya berlaku kerosakan kecil pada pek bateri EV ketika berlaku pelanggaran sudah cukup boleh mengakibatkan keseluruhan unit perlu diganti. Pek bateri biasanya menyumbang kira-kira separuh daripada kos kenderaan elektrik.

    Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Presiden persatuan itu, Suwat Supakarndechakul, berkata dua syarikat insurans dilaporkan telah memutuskan untuk menghentikan tawaran polisi untuk EV. “Kami sedang memantau keadaan untuk mengetahui apa yang berlaku dengan kedua-dua syarikat insurans itu,” katanya, tanpa menamakan kedua-dua firma itu.

    Beliau menambah bahawa TAIA merancang untuk bertemu dengan pembuat EV global, yang juga ahli persatuan, serta Persatuan Insurans Am Thai (TGIA) untuk meneliti isu itu. Presiden TGIA Somporn Suebthawilkul berkata persatuan itu meminta ahlinya membentangkan kaedah mereka untuk mengira premium insurans EV.

    Naib pengerusi Persekutuan Industri Thai Surapong Paisitpatanapong berkata masih tidak jelas sama ada dua syarikat insurans mahu berhenti menawarkan perlindungan EV. “Kami tidak tahu sama ada ini berpunca daripada masalah berkaitan pembayaran pampasan kepada pelanggan,” katanya.

    Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Sementara itu, sumber di Pejabat Suruhanjaya Insurans (OIC) berkata tiada syarikat insurans secara rasmi mengumumkan pembatalan perkhidmatan insurans EV mereka. Pengawal selia itu berkata, sebanyak 23 syarikat insurans masih menyediakan insurans EV di negara ini.

    “Bagi kes Tokio Marine, mungkin berlaku salah faham mengenai pembatalan perkhidmatan insurans EVnya. Baru-baru ini syarikat menjelaskan ia sedang menyesuaikan syarat untuk pelanggan sedia ada dan bukan sahaja menerima pemindahan kereta plat hitam,” kata sumber OIC kepada penerbitan berita itu.

    Perang harga antara pengeluar, kebanyakannya dari China, merumitkan lagi isu bagi pemilik kereta serta syarikat insurans, tambah laporan itu. Sebagai contoh, syarikat insurans yang menilai nilai gantian kereta pada, katakan, satu juta baht dan harga premium yang sewajarnya mungkin mendapati model yang sama berharga baharu pada 750,000 baht beberapa bulan kemudian, dan oleh itu perlu mengakui jumlah yang lebih tinggi jika kenderaan itu mengalami kemalangan yang serius.

     
     
  • Kajian perundangan Lemon Law dijangka selesai Sept ini – had ganti rugi pengguna dipertimbangkan

    Kajian perundangan Lemon Law dijangka selesai Sept ini – had ganti rugi pengguna dipertimbangkan

    Kajian mengenai perundangan berkaitan Lemon Law membabitkan kumpulan perunding pakar yang dimulakan bulan lalu, dijangka selesai September ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

    Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

    Menurut Asmizan, kajian kebolehlaksanaan Lemon Law itu dilaksanakan susulan pelbagai aduan yang diterima. Di mana hasil kajian berkenaan akan dijadikan asas pertimbangan, sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau perundangan baharu perlu digubal, laporan Bernama.

    “Kementerian akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, termasuk penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 esok,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Kajian perundangan Lemon Law dijangka selesai Sept ini – had ganti rugi pengguna dipertimbangkan

    Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai usaha kerajaan menggubal akta baharu atau meminda akta sedia ada, berkaitan Lemon Law bagi melindungi pengguna dalam hal pembelian kenderaan.

    Armizan berkata peruntukan perundangan bercirikan Lemon Law setakat ini termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

    Selain itu, peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki ciri komponen Lemon Law juga terkandung dalam beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian serta agensi seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.

    Beliau turut berkata kadar baharu amaun had tuntutan ganti rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang adalah antara komponen utama dalam pertimbangan menambah baik undang-undang bercirikan Lemon Law. Ini kerana, katanya, Seksyen 98(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) ketika ini, hanya menetapkan tuntutan ganti rugi pada kadar RM50,000 sahaja.

    “Laporan awal KPDN dalam menambah baik undang-undang Lemon Law, had bidang kuas termasuk nilai had RM50,000 adalah antara empat komponen utama isu berbangkit yang perlu ditambah baik. Saya amat bersetuju bahawa melihat realiti dan tuntutan semasa nilai had amaun ini adalah perkara perlu diperkukuh dan ditambah baik,” katanya menjawab soalan tambahan Shamshulkahar mengenai syor menaikkan had tuntutan kepada RM150,000.

     
     
  • Mercedes-AMG C63S E Performance W206, GLB35 dan GLA45S baru akan lancar di Msia hujung minggu ini

    Mercedes-AMG C63S E Performance W206, GLB35 dan GLA45S baru akan lancar di Msia hujung minggu ini

    Hujung minggu ini, 5 hingga 7 Julai di KL Base, Sungai Besi, Mercedes-Benz Malaysia akan menganjurkan acara Mercedes-Benz World di mana selain pameran model semasa dan pelbagai aktiviti, mereka juga akan memperkenalkan tiga model AMG baru.

    Daripada teaser yang dikeluarkan melalui laman media sosial, kita boleh mengetahui model tersebut adalah Mercedes-AMG C63S E Performance, dan GLB35 4Matic serta GLA45S 4Matic+ facelift.

    Mercedes-AMG C63S E Performance

    Bermula dengan C63S E Performance, ia diperkenalkan kepada dunia pertama kali September tahun 2022 dan menggunakan asas daripada C-Class W206. Tiada lagi enjin V8 pada model ini, dan ia diganti dengan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo plug-in hybrid.

    Secara keseluruhannya, dengan bantuan motor elektrik di gandar belakang, pakej penggerak ini dapat menghasilkan kuasa 680 PS dan tork 1,020 Nm, lebih banyak daripada C63 yang menggunakan enjin V8 sebelum ini. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.4 saat manakala laju maksimum adalah 250 km/j.

    Menyampaikan kuasa ini kepada semua empat tayar adalah kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4Matic+. Selain menggunakan kuasa enjin, ia juga boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik daripada bateri 6.1 kWh untuk jarak sehingga 13 kilometer.

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift

    SUV GLB35 4Matic ini diberikan facelift Mac lalu, bersama varian biasanya yang lain. GLB200 dan GLB250 4Matic baru sudah pun tiba di Malaysia bulan lalu, dan sekarang masa untuk versi AMG pula.

    Enjinnya masih menggunakan unit petrol empat silinder turbo 2.0 liter, tetapi dibantu dengan starter generator (RSG) yang memberikan tambahan 14 PS (13 hp atau 10 kW) apabila memecut. Melengkapi penggeraknya adalah transmisi automatik klac berkembar AMG Speedshift lapan kelajuan bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic.

    Perubahan gaya yang diberi pada GLB35 adalah sama seperti varian bukan AMG, termasuk lampu hadapan baru dan kemasan bampar yang dibentuk semula. Lampu belakang juga mendapat pencahayaan unik baru, manakala bahagian dalam menyaksikan peningkatan pada sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic facelift

    Sama seperti GLB, GLA juga baru mendapat facelift dan beberapa varian sudah tiba di Malaysia, iaitu GLA200 pada Januari, diikuti GLA250 4Matic dan GLA35 4Matic bulan lalu. Ahli seterusnya yang bakal dilancar adalah GLA45S 4Matic+, dengan kuasa 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan tork 500 Nm.

    Enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo pada model ini dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift DCT lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda boleh ubah 4Matic+, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

    Sama seperti GLB, perubahan gayanya tidak banyak dan antara yang mendapat sentuhan baru adalah bahagian bawah bampar, kemasan keliling roda serta lampu hadapan. Sistem MBUX di dalam SUV ini turut diberi peningkatan.

    GALERI: Mercedes-AMG C63S E Performance

    GALERI: Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift

    GALERI: Mercedes-AMG GLA45S 4Matic facelift

     
     
  • Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Bloomberg melaporkan bahawa kerajaan Malaysia mungkin akan membuat penyasaran subsidi bahan api petrol RON 95 pada bulan ini juga bagi membolehkan negara mencapai sasaran defisit yang telah ditetapkan.

    Dalam laporan itu, Ketua Pakar Ekonomi Malaysia bagi pihak Citigroup Wei Zheng Kit menyatakan bahawa perbelanjaan fiskal Malaysia untuk lima bulan pertama 2024 sudahpun mencapai 53.9% dari sasaran tahunan yang telah ditetapkan, melebihi tahap perbelanjaan pada tempoh sama tahun lalu.

    Dan bagi memenuhi sasaran defisit negara, beliau menjangkakan bahawa penyasaran subsidi bahan api petrol mungkin akan dilaksanakan seawal bulan ini.

    Laporan ini juga menyatakan bahawa defisit belanjawan Malaysia kini ada 5% dari GDP tahun lalu, dan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mensasarkan untuk merendahkan aanga tersebut sehingga 4.3% dengan mengurangkan subsidi bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

    Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Tahun lalu, Malaysia memperuntukkan sekitar RM81 bilion untuk subsidi, dan sebahagian besarnya digunakan untuk subsidi bahan api bagi mengekalkan harga RON 95 pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter. Langkah merasionalisasikan subsidi untuk diesel sebelum ini dijangka boleh menjimatkan kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun.

    Citi menganggarkan kerajaan boleh menjimatkan tambahan RM3 bilion hingga RM4 bilion tahun ini jika kenaikan 30 sen seliter bagi RON 95 dilaksanakan bulan ini, menjadikan harga bahan api itu kepada RM2.35 seliter. Jangkaan ini mengandaikan kenaikan tersebut dibuat secara beransur-ansur kepada harga pasaran, dan bukan kenaikan harga secara drastik.

    Walau bagaimanapun, ini hanyalah kiraan yang dilihat pada sisi ekonomi sahaja, manakala untuk realiti langkah ini turut perlu dinilai dari segi politik. Sesetengah penganalisis percaya pemotongan subsidi RON 95 hanya boleh dilakukan menjelang penghujung 2024.

    Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Sebelum ini Anwar menyatakan bahawa tumpuan kerajaan sekarang adalah untuk memastikan kelancaran pelaksanaan subsidi diesel berikutan kenaikan harga 56% bulan lepas yang menimbulkan reaksi orang ramai. Beliau turut mengakui bahawa langkah untuk menghapuskan subsidi ini bukanlah mudah.

    “Subsidi yang disasarkan sukar dilaksanakan. Jika anda bertanya kepada saya, kita sepatutnya melakukannya untuk RON 95 sejak dahulu lagi, tetapi ia bukan mudah,” katanya.

    Sehingga kini masih lagi belum ada petanda jelas dari kerajaan sendiri untuk membyangkan bila penyasaran subsidi RON 95 ini akan dilaksanakan. Walau bagaimanapun baru-baru ini menteri ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil strategi sama untuk petrol RON 95, seperti diesel, di mana tiada notis awam awal dikeluarkan berkenaan keputusan untuk menarik balik subsidi menyeluruh sedia ada.

     
     
  • Gentari tukar harga cas EV ikut kWh – dari RM1.30 per kWh untuk DC dan 90 sen per kWh untuk AC

    Gentari tukar harga cas EV ikut kWh – dari RM1.30 per kWh untuk DC dan 90 sen per kWh untuk AC

    Gentari adalah antara beberapa syarikat yang masih menggunakan harga mengikut minit pada pengecas kenderaan elektrik mereka. Walaubagaimanapun, sekarang anak syarikat Petronas itu akhirnya mengambil keputusan mengikut kebanyakan syarikat lain dengan menetapkan harga mengikut kWh, pada semua pengecas mereka.

    Kenapa Gentari mengambil masa lama untuk beralih sepenuhnya tidak diketahui, sedangkan mereka sudah mempunyai pengecas per-kWh yang beroperasi di X Park Sunway Serene sejak November 2022. Berkemungkinan, ia mempunyai kaitan dengan lesen Electric Vehicle Charging System (EVCS) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk pengecas per-kWh.

    Melihat di dalam aplikasi Gentari Go, struktur harga rangkaian pengecas sekarang kebanyakannya adalah sama sahaja seperti yang ditetapkan pada April 2023. Sedikit perubahan yang dibuat, pengecas AC 11 dan 22 kW kini diletakkan dalam kategori sendiri, pada harga RM1.05 kWh, membawa ia keluar daripada kategori harga 90 sen per kWh yang masih digunakan pada pengecas 7 kWh.

    Gentari tukar harga cas EV ikut kWh – dari RM1.30 per kWh untuk DC dan 90 sen per kWh untuk AC

    Kemudiannya, Gentari tidak lagi menggunakan pengecas pantas DC 350 kW mereka di X Park Sunway Serene pada kadar maksimum. Ia dihadkan kepada 175 kW dan dikenakan harga RM1.50 per kWh sama seperti pengecas DC yang lain. Struktur harga pengecas Gentari adalah seperti berikut:

    • AC 7kW – RM0.90/kWh
    • AC 11kW/22kW – RM1.05/kWh
    • DC up to 30kW – RM1.30/kWh
    • DC 50kW-180kW – RM1.50/kWh

    Walaubagaimanapun, pengecas Gentari di The Exchange TRX masih mengenakan harga mengikut minit, iaitu 25 sen per minit, untuk pengecas AC 22 kW.

     
     
  • Wing Hin Motorsport terus berlumba di pusingan ke-2 Thailand Super Series 2024 di Bangsean Street Circuit

    Wing Hin Motorsport terus berlumba di pusingan ke-2 Thailand Super Series 2024 di Bangsean Street Circuit

    Selepas menampilkan aksi menyakinkan pada pusingan pembukaan Thailand Super Series 2024 di Litar Antarabangsa Chang Mei lalu, pasukan Wing Hin Motorsport kini meneruskan perjuang ke pusingan kedua siri perlumbaan tersebut yang akan bermula hari ini, 3 Julai hingga 7 Julai di litar jalan raya Bangsean.

    Pasukan itu masih berlumba dalam kelas sama iaitu kelas Super Compact dengan jentera Toyota Yaris, dipandu dua pelumba muda negara iaitu Mitchell Cheah and Naquib Azlan. Dalam pusingan sebelum ini Cheah dan Naquib menawarkan perlumbaan ditempat kedua dan kelima secara keseluruhan serta memenangi tempat pertama untuk kelas NA.

    Ini merupakan kali pertama Naquib dan Wing Hin Motorsport berlumba di litar sepanjang 3.7 km tersebut, jadi harapan diletakkan pada Cheah untuk membimbing pasukan dengan pengalamannya di situ.

    “Apa yang kami tahu tentang trek itu adalah hanya menerusi video on-board yang kami tonton tidak terkira banyaknya sejak dua bulan lalu, dan cuba menentukan apa yang terbaik untuk kereta di sekitar trek,” kata Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports. K. C. Chua

    “Persediaan yang kami ada pada Toyota Yaris kami nampaknya betul, dan jika ya, maka kami akan mempunyai peluang pertempuran yang baik di Bangsaen. Kami tidak akan tahu pasti sehingga hari pertama latihan bebas,” tambahnya.

    Berdasarkan pengalaman, Cheah telah berlumba di Bangsaen beberapa tahun lalu dan setiap pengetahuan di sana akan menjadi bonus untuk pasukan itu, manakala Naquib yang akan terus meluangkan masa mempelajari trek di simulator bagi memahami litar tersebut.

    “Kami hanya mempunyai satu sesi latihan di Bangsaen sebelum terus ke kelayakan dan adalah penting untuk kami menyediakan kereta, nisbah gear yang betul dipilih dan keyakinan pemandu pada tahap tertinggi sepanjang masa dalam had masa 1 jam… Tetapi itu perlumbaan dan kami percaya kami mempunyai orang yang sesuai dalam pasukan untuk melakukannya,” kata Chua.

     
     
  • Belum ada kertas dasar rasionalisasi subsidi petrol RON95, tidak dilaksana dalam masa terdekat – PMX

    Belum ada kertas dasar rasionalisasi subsidi petrol RON95, tidak dilaksana dalam masa terdekat – PMX

    Belum ada kertas dasar dibawa ke Kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95, itulah yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam masa yang sama, beliau juga mengesahkan bahawa penyasaran semula subsidi petrol RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat, laporan Berita Harian.

    “Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel.

    “Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam. Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

    Walau bagaimana pun, beliau berkata, pada hematnya, penyasaran semula subsidi petrol RON95 wajar dilaksanakan sejak dulu lagi, namun beliau sedar terdapat pelbagai kekangan yang menyukarkan pelaksanaan semula subsidi bagi bahan api itu.

    Belum ada kertas dasar rasionalisasi subsidi petrol RON95, tidak dilaksana dalam masa terdekat – PMX

    “Kalau tanya saya, (penyasaran semula) subsidi RON95 patut sudah dilaksanakan lama dulu. Tetapi ini tak mudah, masalah kita hadapi adalah 3.8 juta orang asing guna minyak ini, begitu juga orang kaya, ini yang mesti dan amat penting untuk kita hentikan.

    “Bagi isu ini (penggunaan babitkan orang asing dan orang kaya), saya tak tolak ansur kerana mereka sudah gunakan subsidi sejak berpuluh tahun lalu. Justeru (sekarang ini) bagaimana kaedah (terbaik bagi pelaksanaannya) kita perlu fikir supaya ia tidak membebankan rakyat,” katanya.

    Pada hujung bulan lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95. Katanya lagi, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lalu sehingga penyasaran subsidi itu menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan.

    Rafizi turut memaklumkan tiada notis awam awal akan dikeluarkan berkenaan keputusan untuk menarik balik subsidi menyeluruh sedia ada, sama seperti yang dilaksanakan terhadap pengumuman harga baharu diesel untuk Semenanjung Malaysia bulan lalu.

     
     
  • PLUS bekerjasama dengan Petronas bangunkan stesen hibrid komersil pertama di lebuhraya Malaysia

    PLUS bekerjasama dengan Petronas bangunkan stesen hibrid komersil pertama di lebuhraya Malaysia

    PLUS Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas Dagangan Bhd untuk membangunkan stesen hibrid komersil yang pertama di lebuhraya Malaysia. Menurut Bernama, Lembah Klang telah dikenalpasti sebagai lokasi perintis bagi projek yang digelar sebagai Stesen Super Hibrid atau ‘Hybrid Super Station’.

    Pengarah Urusan PLUS Nik Airina Nik Jaffar berkata projek ini adalag senada dengan Low Carbon Mobility Blueprint (LCMB) 2021-2030, yang bertujuan untuk menyahkarbonkan sektor pengangkutan Malaysia.

    “Ini merupakan salah satu projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat, khususnya pengguna lebuhraya. Dengan wujudnya Stesen Super Hibrid, rakyat yang menggunakan lebuhraya bakal menikmati perjalanan yang lebih selesa dengan pelbagai pilihan sepanjang perjalanan mereka,” katanya.

    Sementara itu, CEO dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Azrul Osman Rani pula berkata, Stesen Super Hibrid berkeluasan lebih 30,000 kaki persegi ini akan menawarkan pelbagai kemudahan komprehensif yang lengkap dan selesa untuk kemudahan pengguna lebuhraya. Ini termasuklah stesen petrol dan diesel serta stesen pengecasan pantas bagi pemilik kenderaan elektrik (EV).

    Fasiliti lain termasuklah kemudahan awam yang selesa, perkhidmatan runcit yang pelbagai, ruang makanan dan diberikan penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan yang cekap tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

     
     
  • Mercedes-Benz World di KL Base, Sg. Besi 5-7 Julai ini – rasai sesi pandu uji di landasan kapal terbang!

    Mercedes-Benz World di KL Base, Sg. Besi 5-7 Julai ini – rasai sesi pandu uji di landasan kapal terbang!

    Bagi yang belum merancang bagaimana mahu menghabiskan masa hujung minggu ini, apa kata datang ke KL Base, Sungai Besi untuk berkunjung ke acara Mercedes-Benz World yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 Julai ini.

    Dalam acara ini anda bukan hanya boleh melihat dengan lebih dekat model-model terkini yang ditawarkan oleh jenama premium Jerman tersebut, malah turut berpeluang untuk memandu uji unit-unit yang disediakan di atas landasan kapal terbang Sungai Besi.

    Anda boleh menguji model-model Mercedes-Benz dengan unit rangkaian kuasa hibrid, Plug-in hybrid (PHEV) dan juga model elektrik sepenuhnya (EV) menerusi sesi pandu uji dan cabaran pemanduan yang disediakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

    Malah ada juga model-model baharu yang belum dilancarkan akan dipamerkan terlebih dahulu pada acara ini. Acara ini juga sesuai untuk seisi keluarga kerana ia turut menyediakan pelbagai lagi aktiviti, termasuk sukan memanjat batu dan juga pelbagai lagi aktiviti yang sesuai dan seronok untuk dilakukan seisi keluarga.

    Sudah tentu, akan ada tawaran eksklusif untuk acara ini sahaja, jadi inilah masa terbaik untuk anda memiliki Mercedes-Benz baharu yang diidamkan. Model-model Mercedes-Benz EQ terpilih akan disertakan sekali dengan pengecas wallbox rumah secara percuma termasuk pemasangan, dan pembeli EV turut diberikan pengecasan tanpa had sehingga 18 bulan.

    Tawaran menarik lain termasuk 12 bayaran balik bulanan percuma secara eksklusif untuk model EQS, empat pakej servis untuk memastikan kereta anda dalam keadaan terbaik dan peluang untuk memenangi baucar barangan Mercedes-Benz. Rasai sendiri pengalaman bersama kereta-kereta Mercedes-Benz dan dapatkan tawaran menarik KL Base, Sungai Besi hujung minggu ini, dari 10 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Proton e.Mas — Pro-Net akan kendalikan jenama EV ini

    Proton e.Mas — Pro-Net akan kendalikan jenama EV ini

    Proton telah mengumumkan bahawa Proton New Energy Technology (Pro-Net) mengambil alih pengurusan jenama e.MAS selepas pelancaran rasmi jenama kenderaan elektrik (EV) tersebut pada awal bulan lalu. Pengeluar kereta nasional itu juga berkata, Pro-Net diberikan tanggungjawab yang penting dalam membangunkan jenama e.MAS iaitu rebadge dari Geely Galaxy E5, bagi mengukuhkan pasaran dan bersiap sedia untuk pelancaran produk yang akan datang.

    Tambahnya, Pro-Net juga akan merekrut pasukan yang berdedikasi, menubuhkan rangkaian pengedar yang kukuh serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengecas bagi memastikan ekosistem EV berjalan dengan lebih lancar.

    Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan Pro-Net. “Kepakaran yang telah dibangunkan oleh PRO-NET sepanjang dua tahun lepas meletakkan kami pada kedudukan yang unik bagi mengangkat jenama Proton e.MAS ke barisan hadapan dalam industri EV di Malaysia.

    Proton e.Mas — Pro-Net akan kendalikan jenama EV ini

    “Bakal pelanggan kami bukan sahaja akan mendapat manfaat daripada rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh, malah, melebihi jangkaan mereka, sama seperti pemilikan pengalaman premium yang disediakan kepada pemilik kenderaan smart.” Kata Dr. Li.

    Pengeluar kereta ini juga turut mengumumkan barisan pemenang bagi pertandingan meneka jenama EV ini iaitu Puteri Hanna Batrisha Ibrahim (yang membawa pulang hadiah utama bernilai RM5,000), Noor Hidayah Mohd Rodzi (naib johan dengan hadiah bernilai RM1,500) dan Ahmad Norrizzuan Noor Azhar (di tempat ketiga dengan hadiah bernilai RM1,000). Menurut Proton, seramai lebih 25,000 peserta telah menyertai pertandingan yang dianjurkan ini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri DFB dan KFV bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Kelantan, DFB, bakal dibuka bidaan bermula 4 Julai 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 8 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 9 Julai 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah pula, KFV, bidaannya pula bakal dibuka mulai 5 Julai dan akan berakhir jam 10 malam pada 9 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 10 Julai 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.