Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MIROS sedang bangunkan MyCinta; sistem bagi elak anak kecil tertinggal dalam kereta – Menteri MOT

    MIROS sedang bangunkan MyCinta;  sistem bagi elak anak kecil tertinggal dalam kereta – Menteri MOT

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) sedang membangunkan satu sistem yang dinamakan sebagai MyCinta, atau pun Miros Children in Vehicle Tracking and Alerting System. Di mana sistem ini adalah bagi membendung insiden anak kecil tertinggal di dalam kenderaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan The Star.

    “Sasaran 2024-2025 berhubung dengan sistem MyCINTA adalah untuk melengkapkan proses penghalusan reka bentuk bagi meningkatkan keupayaan sistem dari segi perkakasan dan pengaturcaraan (programming),” kata Loke menerusi maklumbalas bertulis bagi sidang parlimen bertarikh 27 Jun 2024.

    Tambahnya, sistem MyCinta ini dijangka akan menjalani proses akhir rekabentuk tahun ini. Selepas itu, katanya, sistem berkenaan akan menjalani ujian pematuhan standard dan peraturan, jaminan kualiti dan pensijilan lain yang berkaitan sebelum ia boleh digunakan secara meluas.

    Prototaip sistem berkenaan telah pun dilancarkan oleh Kementerian Pengangkutan menerusi MIROS pada tahun lalu. Di mana sistem ini mempunyai keupayaan untuk mengesan kehadiran anak kecil di dalam kenderaan sebaik sahaja enjin dimatikan.

    Walau bagaimana pun, perincian lebih lanjut mengenai sistem MyCinta ini masih belum didedahkan termasuk bagaimana sistem ini berfungsi dan juga sasaran pelancaran rasminya.

    Menurut data yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sebanyak 14 kes kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan sejak tahun 2020.

     
     
  • Toyota Vellfire 2024 di M’sia – galeri penuh; 2.5L NA 182 PS, 235 Nm; RM438k, kurang RM100k dari Alphard

    Toyota Vellfire 2024 di M’sia – galeri penuh; 2.5L NA 182 PS, 235 Nm; RM438k, kurang RM100k dari Alphard

    Belum terlambat lagi untuk kami berkongsikan galeri penuh bagi Toyota Vellfire generasi keempat, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober lalu. MPV mewah tujuh-tempat duduk ini ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM438,000 tanpa insurans, menjadikannya RM100k lebih murah berbanding ‘kembarnya’, Alphard.

    Ia dikuasakan oleh unit 2.5 liter 2AR-FE empat-silinter sebaris DOHC dengan Dual VVT-i. Walau bagaimana pun, dengan filosofi kaizen Toyota, juruteranya telah meningkatkan kuasa puncaknya sebanyak 2 PS, kini mencecah 182 PS (134 kW) pada 6,000 rpm, sementara tork pula 235 Nm pada 4,100 Nm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi Super i-CVT tujuh-kelajuan dengan Sport Sequential Shiftmatic. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh MPV mewah ini mencecah 170 km/j.

    Dibangunkan dengan versi GA-K bagi Toyota New Global Architecture (TNGA), MPV premium mewah ini berukuran 5,005 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,950 mm tinggi dengan jarak roda 3,000 mm, manakala jarak terendah (ground clearance) pula 161 mm.

    Dengan tema ‘Forceful x IMPACT LUXURY‘ buat Vellfire 2.5L 2024, ia mewujudkan sentuhan kemantapan bagi MPV ini. Wajah hadapannya tampak garang dengan sistem pencahayaan nipis yang ditampilkan dengan lampu utama ‘Tri-LED’ penuh bersama lampu membelok, lampu sudut dan lampu nyalaan siang yang juga menggunakan unit LED.

    Sudut hujung bawah bampar yang menempatkan lampu kabus LED juga berbeza, ditampilkan dengan unit pencahayaan di bahagian bawah, panel hitam di atasnya dan dikelilingi jaluran krom separa yang bersambung kiri ke kanan hingga merentasi bawah bahagian bampar. Ciri luaran lain termasuk bilah pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan.

    Jaluran krom turut merentangi bahagian sisi, dari panel atas tingkap hadapan melunjur ke tingkap belakang. Penampilan elegannya ditambahkan dengan rim aloi ringan rekaan baharu 10-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Dunlop Sport Maxx 225/55 R19.

    Untuk bahagian belakangnya pula, jaluran krom dari sisi juga menghiasi spoiler. Kemasan yang sama juga ditammpilkan pada atas lampu kombinasi belakang LED dengan logo Toyota dan perkataan Vellfire di bahagian tengah sebelum plat nombor. Ia juga ditampilkan dengan jaluran krom pada bahagian lampu kabus belakang yang merentangi kiri ke kanan pada bahagian bawah bampar, sinonim dengan wajah hadapannya.

    Memasuki bahagian kabinnya, bentangan kokpit membawakan konsep dalaman ala jet peribadi dengan gabungan kemasan kulit dan ira kayuan menyerlahkan imej mewah dan elegan. Ia turut menampilkan dua bumbung kaca panorama, roda stereng tilt & telescopic balutan kulit bersama kemasan kayuan dengan fungsi pemanas dan suis elektrostatik serta Paparan Pelbagai Informasi (MID) skrin sesentuh 14-inci dengan fungsi paparan audio, dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah sistem bunyi JBL dengan 15-pembesar suara, pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar, sistem smart entry & start, lampu pencahayaan bumbung 64-warna dan Digital Inner Mirror untuk cermin pandang belakang, tirai suria larasan kuasa untuk tingkap sisi dan bumbung panoramik, Panoramic View Mirror (PVM), perakam video digital depan dan belakang, pintu gelangsar larasan kuasa, kawalan suhu automatik untuk depan dan belakang serta tujuh unit USB Type-C (dua di hadapan, satu pada bahagian konsol, dua untuk barisan kedua dan dua untuk barisan ketiga).

    Buat pertama kalinya, Toyota turut memperkenalkan rocker switch pada pemegang pintu untuk lebih memudahkan operasi mengaktifkan bukaan pintu, hanya tolak ke kiri atau kanan suis terbabit untuk membuka atau menutup pintu. Pintu tailgate juga boleh dibuka secara kawalan remote, selain bukaan secara manual dan suisnya terletak pada sisi lampu belakang, bagi mengelakkan individu yang membuka pintu tersebut berdiri betul-betul di hadapan tailgate dan perlu beralih ke tepi atau berganjak lebih belakang apabila tailgate mula dibuka.

    Untuk aspek keselamatan, Vellfire 2.5L 2024 turut diberikan Toyota Safety Sense (TSS) kini dengan versi ketiga dengan kelengkapan sistem Bantuan Pemandu Termaju yang merangkumi sistem Pra-pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC) dengan Bantuan Mengesan Lorong (CTA), Bantuan Isyarat Jalan (RSA) dan sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).

    Melengkapkan lagi ciri keselamatan ialah ABS, sokongan brek, penderia parkir hadapan dan belakang, EBD, pemantauan titik buta (BSM) dengan trafik lintasan belakang (RCTA), kawalan bantuan mendaki bukit (HAC), enam unit beg udara, Isofix dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

     
     
  • Honda Prelude generasi baru disahkan masuk pasaran Eropah, versi konsep tampil di Goodwood minggu ini

    Honda Prelude generasi baru disahkan masuk pasaran Eropah, versi konsep tampil di Goodwood minggu ini

    HONDA MARKS 25 YEARS OF PIONEERING HYBRID SUCCESS WITH EUROPEAN DEBUT OF PRELUDE CONCEPT AS IT ANNOUNCES RETURN OF NAMEPLATE TO EUROPE

    Honda mengesahkan bahawa Honda Prelude generasi baharu bakal dijual di pasaran Eropah selepas ia diproduksi kelak. Oleh itu, Honda Prelude Concept yang telah didedahkan di Japan Mobility Show tahun lalu akan di bawa ke Goodwood Festival of Speed 2024 yang bakal berlangsung bermula 11 hingga 14 Julai ini.

    Pendedahan Honda Prelude Concept tersebut bukan hanya menandakan bahawa ia akan dijual di pasaran Eropah, malah ia turut bagi meraikan ulangtahun ke-25 teknologi hibrid produksi besar-besaran Honda yang diperkenalkan buat pertama kali menerusi Honda Insight, yang muncul pada tahun 1999.

    Prelude generasi pertama telah diperkenalkan pada 1978 dan masuk ke pasaran Eropah 45-tahun yang lalu. Kereta sport dengan badan coupe dua pintu pacuan roda hadapan berkenaan dihasilkan sebanyak lima-generasi sebelum dihentikan pengeluarannya pada 2001.

    Honda Prelude generasi baru disahkan masuk pasaran Eropah, versi konsep tampil di Goodwood minggu ini

    HONDA MARKS 25 YEARS OF PIONEERING HYBRID SUCCESS WITH EUROPEAN DEBUT OF PRELUDE CONCEPT AS IT ANNOUNCES RETURN OF NAMEPLATE TO EUROPE

    Honda masih belum mengumumkan sebarang perincian teknikal berkenaan Prelude generasi baharu ini, dan cuma mendedahkan bahawa ia akan digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid elektrik, dan bakal memberikan “keseronokan memandu” untuk pelanggannya.

    “Prelude baharu bukan sahaja menandakan bab terbaharu dalam perjalanan hibrid kami yang sentiasa berevolusi, ia juga merupakan produk hasil dari 25 tahun merintis penyelidikan dan pembangunan hibrid. Bagi memastikan model ini mengekalkan DNA ‘sporty’ dengan menggabungkan kecekapan dan kelebihan pemanduan elektrik mesra alam sempurna dengan pengalaman yang menyeronokkan – membebaskan pengguna daripada kehidupan seharian mereka dengan keseronokan pemanduan yang dipertingkat,” kata ketua jurutera dan ketua projek utama Honda, Tomoyuki Yamagami.

    “Selain itu, Prelude menunjukkan kepentingan berterusan rangkaian kuasa hibrid sebagai sebahagian daripada strategi elektrifikasi kereta Honda – satu langkah penting ke arah komitmen kami untuk menjual kenderaan baharu 100% yang dijana sel bahan api elektrik atau hidrogen bateri menjelang 2040,” tambahnya lagi.

    Dalam laporan sebelum ini Yamagami turut menjelaskan bahawa Prelude merupakan coupe dua-pintu global yang diberikan tempat duduk belakang, dan ia bukanlah model yang fokus terhadap prestasi di litar seperti Honda Civic Type R mahupun Acura Integra Type S.

    Berdasarkan rupanya luarannya, Prelude generasi baharu ini seakan dihasilkan menggunakan asas yang sama seperti Honda Civic generasi ke-11 dalam versi coupe dua-pintu serta muka hadapan dan belakang berlainan. Jadi tidak mustahil ia dibina berasaskan platform yang sama dan bakal berkongsi unit rangkaian kuasa hibrid sama seperti Civic.

    Civic Hybrid terbaharu yang didedahkan di Amerika Syarikat baru-baru ini menampilkan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV Honda dua motor i-MMD dengan enjin 2.0 liter. Ia merupakan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Civic RS e:HEV di Malaysia di mana enjin petrol yang dibekalkan secara primary bertugas untuk mengecas bateri hibrid, sementara tayar hadapan dipacu oleh motor elektrik dan dibantu oleh enjin petrol mengikut keadaaan.

    Namun bagi model pasaran Amerika Syarikat ini, kuasa yang ditala adalah lebih besar iaitu 200 hp berbanding hanya 181 hp bagi model pasaran Malaysia, tetapi kedua-duanya masih menampilkan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, ini menjadikan Civic Hybrid 2025 ini sebagai Civic bukan Type R paling berkuasa pernah dihasilkan.

     
     
  • Karamjit Singh dan Proton “Wira Schumacher” DSR buat penampilan di WiraDay 5.0, Litar Gong Badak

    Karamjit Singh dan Proton “Wira Schumacher” DSR buat penampilan di WiraDay 5.0, Litar Gong Badak

    Semalam telah berlangsung perhimpunan tahunan terbesar pemilik-pemilik Proton Wira iaitu WiraDay di Litar Antarabangsa Gong Badak, Kuala Terengganu. Apa yang menarik, perhimpunan yang telah masuk edisi ke-lima sepanjnag tujuh tahun penganjurannya dan dikenali sebagai WiraDay 5.0 berkenaan turut dihadiri oleh “Hero” dikalangan pemilik Wira iaitu pemandu rali kebangsaan, Karamjit Singh serta jentera rali Proton Wira 1.8 DOHC EXi “Wira Schumacher” milik pengasas Dream Street Restoration (DSR), Suriya Sankaran.

    Sepanjang kariernya, nama Karamjit sememangnya sudah sinonim dengan Proton Wira kerana beliau telah berlumba di dalam negara dan peringkat global menggunakan Mitsubishi Lancer Evolution II dan Evolution III pasukan Proton PERT yang telah dihomologasikan sebagai Proton Wira 4WD Turbo oleh Mitsubishi Ralliart pada era 90’an.

    Selain dari “Wira Evo” berkenaan, Karamjit turut pernah berlumba dengan sebuah jentera Proton Wira sebenar yang dibina oleh Proton PERT, disumbat dengan enjin 4G63T dan sistem pacuan semua roda dari Lancer Evolution. Dengan jentera yang dikenali dengan nombor pendaftaran BEJ5459 tersebut, Karamjit telah menjuarai Rally Ng Pilipinas untuk tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1995, 1996 dan 1997.

    Jentera tersebut sebelum ini telah ditemui dilelong di Pickles Auction dan ia telah dibeli oleh seorang peminat fanatik Wira. Dan khas untuk WiraDay 5.0 ini, pemilik baharu BEJ5459 berkenaan telah membawa jentera ini ke acara itu untuk ditemukan semula dengan Karamjit Singh. Pemilik tersebut bercadang untuk merestorasi kembali Wira 4WD itu selepas berakhirnya WiraDay 5.0 ini.

    Karamjit hadir ke acara ini bersama Suriya Sankaran, yang juga sebelum ini seorang pemandu rali dan pernah berkhidmat dengan pasukan Proton R3 sebelum menubuhkan DSR. Malah Proton Wira 1.8 EXi DOHC dengan livery perlumbaan Shell milik Suriya berkenaan turut dikenali sekian lama kerana ia pernah dipandu oleh juara Formula 1 tujuh-kali, Micheal Schumacher pada kelajuan 236 km/j.

    Wira ‘tiang gol’ ini juga sebenarnya merupakan kereta rali sebenar yang digunakan oleh Suriya ketika berlumba dalam Kejohanan Rali Malaysia dari penghujung era 90’an hingga awal era Y2K. Dan tidak seperti kereta lumba lain yang khas dibina untuk berlumba, Suriya turut menggunakan Wira ini sebagai kereta hariannya ketika itu dengan set rollcage yang boleh dipasang dan dibuka semula dengan mudah.

    Selepas tidak lagi berlumba, Wira ini kemudiannya dicat dengan warna putih dan terus digunakan setiap hari oleh Suriya. Dan khas untuk acara Art of Speed tahun lalu, Suriya mengambil keputusan untuk mengaplikasikan semula livery perlumbaan Shell tersebut dan mempamerkan Wira ini di reruai DSR dalam acara tersebut.

    Selain dijemput sebagai VIP dalam WiraDay 5.0, Karamjit dan Suriya turut diberikan slot untuk sesi sembang santai untuk berkongsi pengalaman serta tips untuk menyertai rali, dan nasihat untuk meraka yang berminat untuk berlumba serta meningkatkan kemahiran memandu.

    WiraDay 5.0 ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Asmadi bin Mohamad Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, dan turut diserikan dengan sesi tazkirah dan sembang santai bersama Uztaz Azhar Idrus. Acara ini telah merekodkan pendaftaran lebih dari 5,400 pemilik Proton Wira dari seluruh negara, dan ia turut menawarkan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah Mitsubishi Lancer Evolution III dan juga sebuah Proton Wira yang sudah direstorasi.

     
     
  • Neta X bakal dilancar 25 Julai — tiga varian, bateri 52 kWh/62 kWh; jarak WLTP hingga 410 km, dari RM120k

    Neta X bakal dilancar 25 Julai — tiga varian, bateri 52 kWh/62 kWh; jarak WLTP hingga 410 km, dari RM120k

    Neta X, model kedua jenama itu selepas Neta V untuk pasaran tempatan yang akan bersaing dalam segmen SUV segmen B bakal dilancarkan pada 25 Julai nanti. Unit terawal versi CBU sudah pernah dilihat sebelum ini, dan ia dipamerkan secara rasmi buat julung kalinya ketika Malaysia Auto Show di MAEPS Serdang, Mei lalu.

    Minggu ini, kami berkesempatan mencuba mendekati dan memandu uji model tersebut secara ringkas sebelum pelancarannya. Sebagai jenama yang mengeluarkan model EV sahaja, Neta X ini akan bersaing antara lain dengan model BYD Atto 3. Setakat ini, tiga varian dijangka akan ditawarkan iaitu 400 Comfort, 400 Luxury dan yang paling lengkap, 500 Luxury.

    Dari segi dimensi, Neta X mempunyai ukuran 4,619 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,628 mm tinggi dengan jarak roda 2,770 mm — angka yang terakhir ini menjadikan luas kabin, terutama bahagian penumpang belakang, adalah kelebihannya.

    Neta X bakal dilancar 25 Julai — tiga varian, bateri 52 kWh/62 kWh; jarak WLTP hingga 410 km, dari RM120k

    Perbezaan utama antara model 400 dan 500 Neta X ialah kapasiti bateri dan jarak yang diberikannya. SUV ini akan menggunakan sistem bateri CATL jenis lithium iron phosphate (LFP), dan menurut penerangan produk yang diberikan sebelum sesi pandu uji ringkas berkenaan, siri 400 dilengkapi bateri berkapasiti 52 kWh manakala versi 500 dengan bateri 62 kWh — ini sedikit berbeza dengan apa yang dikongsikan bagi unit yang dipamerkan ketika Malaysia Auto Show lalu. Spesifikasi lengkap untuk pasaran tempatan hanya akan didedahkan ketika pelancarannya nanti.

    Ini membolehkan Neta X 400 memberikan jarak perjalanan sejauh 323 km, manakala versi 500 pula memberi jarak perjalanan 410 km — kedua-duanya mengikut kitaran WLTP. Motor elektriknya pula menghasilkan sebanyak 120 kW kuasa (163 PS) dan 210 Nm tork, dengan kemampuan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat.

    Bagi perbezaan kelengkapan pula, perbezaan antara tahap kemasan bagi Comfort dan Luxury pula ialah pintu ruang barangan automatik, sistem ADAS, kerusi pemandu dengan larasan enam-arah dan juga pengecas tanpa wayar untuk telefon di bahagian papan pemuka.

    Neta X bakal dilancar 25 Julai — tiga varian, bateri 52 kWh/62 kWh; jarak WLTP hingga 410 km, dari RM120k

    Untuk pengecasan, ia mampu menampung pengecasan pantas DC sehingga 65 kW yang membolehkan tahap 30-80% baterinya boleh dicapai dalam pengecasan selama 30 minit. Sementara bagi pengecasan AC pula, ia menampung sehingga 6.6 kW dan memerlukan masa sembilan jam pengecasan (unit 52 kWh) dan 11 jam (unit 62 kWh). SUV ini juga lengkap dengan fungsi V2L 3.3kW.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan jenis MacPherson strut di depan dan jenis multi-link di belakang. Rim pula bersaiz 18-inci dengan profil tayar 225/60R18. Terdapat tiga mod pemanduan disediakan — Eco, Comfort dan Sport dan juga operasi One Pedal, serta ciri Auto Hold.

    Kelengkapan lain yang diberikan ialah skrin utama 15.6-inci dengan ciri Apple CarPlay akan ditawarkan menjelang suku keempat tahun ini. Selebihnya, ia juga dilengkapi kemaskini OTA, kawalan suara, servis muzik dalam talian, Bluetooth serta sistem audio dengan lapan-pembesar suara.

    Bagi sistem keselamatan, selain ciri seperti enam beg-udara, sistem ADAS dengan 11 sensor juga tidak ketinggalan bagi varian yang lebih tinggi, dan antaranya terdiri daripada ciri seperti amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong, ACC kelajuan penuh, bantuan mengekalkan lorong, bantuan melayar pintar, pengesanan papan tanda trafik, bantuan lampu tinggi dan sistem kecemasan pengekalan lorong.

    Untuk ruang barangan, keluasan yang tersedia di bahagian but belakang ialah 508 liter. Dengan menunurnkan penyandar kerusi belakang dan menurunkan tahap lantai ruang kargonya, kapasiti maksimum untuk barangan akan menjadi 1,388 liter.

    Lima pilihan warna ditawarkan — Pearl White, Sky Grey, Jet Black, Glacier Blue dan Amber Brown, dengan dua pilihan warna kemasan untuk ruang kabin: coklat dan hitam. Ketika diperkenalkan dalam pameran Mei lalu, julat harga anggaran yang akan dikenakan ialah dari RM119,900 hingga RM139,900.

    Neta X 2024 di Malaysia

    Neta X di Malaysia Auto Show 2024

     
     
  • Trak pikap EV Geely, Radar RD6 dijenama semula sebagai Riddara RD6 untuk global; akan ke Thailand

    Trak pikap EV Geely, Radar RD6 dijenama semula sebagai Riddara RD6 untuk global; akan ke Thailand

    Geely akhirnya akan membawa trak pikap EV Radar RD6 ke pasaran global, bermula dengan pasaran ASEAN di mana model ini akan dilancarkan di Thailand November ini. Walau bagaimanapun ia tidak akan menggunakan jenama Radar, sebaliknya ditukar kepada Riddara apabila didedahkan di Thai Motor Expo 2024 di Bangkok kelak.

    Jenama Riddara bukan hanya akan digunakan pada trak pikap ini, malah untuk semua model dibawah jenama Radar yang dieksport keluar dari China. Menurut laman CarExpert, nama tersebut terpaksa ditukar kerana permohonan Geely untuk mendapatkan tanda dagang gagal disebabkan nama “Radar” telah digunakan oleh syarikat tayar dari Singapura, Omni United yang telah memegang hak untuk jenama Radar Tires.

    RD6 merupakan trak pikap yang dihasilkan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu platform yang diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Ia diperkenalkan sejak November 2022 dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang, kemudian turut ditawarkan dalam versi dua motor pacuan semua roda pada awal tahun ini.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 5,260 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,830 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,120 mm. Jadi trak pikap EV ini sebenarnya mempunyai saiz yang hampir sama dengan Toyota Hilux yang tampil dengan dimensi 5,325 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,815 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm.

    Rupa keseluruhan Radar RD6 ini dihasilkan oleh pusat rekaan Geely Group Britain, memberikan ‘perisa British’ pada trak pikap ini. Pada bahagian muka, ia diberikan lampu hadapan yang kelihatan agak sama dengan lampu dari SUV Geely Haoyue/Proton X90, tetapi digandingkan dengan gril hadapan yang lebih kecil.

    Bagi varian pacuan roda belakang, ia menerima motor tunggal berkuasa 272 hp (200 kW) diletakkan pada gandar belakang, memberikan pecutan 0-100 km sekitar 6 saat. Motor berkenaan disuap dengan kuasa elektrik yang dibekalkan dari bateri LFP 63 kWj untuk varian asas, memberikan jarak gerak 400 km. Varian pertengahan menerima bateri NMC 86 kWj untuk jarak gerak 550 km, dan varian paling mahal diberikan bateri NMC 100 kWj untuk jarak gerak 632 km.

    Manakala untuk versi pacuan semua roda yang dikenali sebagai Radar Horizon, ia menerima satu lagi motor yang diletak pada gandar hadapan bagi memberikan kuasa keseluruhan 428 PS/590 Nm. Ini membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 190 km/j.

    Untuk Horizon ini, ia diberikan pilihan bateri LF) 73 kWh atau NMC 86 kWh, dengan jarak gerak masing-masing antara 460 km ke 520 km mengikut ujian CLTC China.

    Walau bagaimanapun Riddara RD6 bakal diperkenalkan di Thailand tahun ini dalam versi pacuan roda belakang, dan ia sudahpun ditunjukkan dalam versi pemanduan sebelah kanan. Versi AWD Horizon masih belum disebut sama ada ia akan diperkenalkan sekali atau tidak.

     
     
  • Proton eMas – Pro-Net sudah melantik 18 wakil pengedar, sasar 30 cawangan menjelang 2025

    Proton eMas – Pro-Net sudah melantik 18 wakil pengedar, sasar 30 cawangan menjelang 2025

    Pengeluar kereta nasional Proton telah mengumumkan pelantikan 17 pengedar rasmi Proton eMas (sebutan e.MAS) yang pertama di dalam majlis menandatangani perjanjian semasa pelancaran jenama
    Proton e.MAS baru-baru ini, dan sehingga kini jumlah tersebut telah bertambah kepada 18 pengedar di seluruh Malaysia.

    Menurut Pro-Net, pengembangan portfolio ini menandakan pencapaian yang signifikan dalam memperluas rangkaian pengedar Proton eMAS bagi mengajak lebih ramai rakan kongsi untuk menyertai Proton dalam menjadikan kenderaan elektrik (EV) lebih mudah diakses oleh seluruh rakyat Malaysia.

    Penubuhan 18 cawangan Proton eMas yang diwakili oleh 16 pengedar, menunjukkan langkah penting dalam
    menerajui pengembangan rangkaian yang besar dan meluas. Tujuh belas daripada cawangan ini ditempatkan secara strategik di seluruh Semenanjung Malaysia iaitu tiga di Kuala Lumpur, Selangor (4), Johor (2), Perak (3), Pulau Pinang (2), Kedah (1), Kelantan (1), dan Pahang (1). Manakala satu cawangan di Malaysia Timur iaitu terletak di Sabah.

    Proton eMas – Pro-Net sudah melantik 18 wakil pengedar, sasar 30 cawangan menjelang 2025

    “Pengembangan strategik ini menegaskan komitmen Pro-Net untuk menyediakan rangkaian yang mudah diakses dan sokongan menyeluruh kepada para pelanggan di seluruh negara demi melangkah ke mobiliti masa hadapan dan lestari bersama Proton eMas.

    “Cawangan-cawangan ini beroperasi di bawah model rangkaian komprehensif, dari pusat 1S hingga ke pusat 3S untuk memastikan para pelanggan menerima perkhidmatan yang menyeluruh dari setiap aspek. Pembangunan ini menunjukkan dedikasi Pro-Net untuk memulakan ekosistem yang serba lengkap dan komprehensif dalam memastikan kesiapsediaan kepada bakal pemilik Proton eMas,” kata Pro-Net menerusi kenyatan yang dikeluarkan.

    Tambah Pro-Net, rakan kongsi yang dilantik juga penting dalam menyediakan ruang komuniti untuk pengalaman yang luar biasa, platform digital yang lancar, perkhidmatan selepas jualan, dan pilihan pengecasan.

    Proton eMas – Pro-Net sudah melantik 18 wakil pengedar, sasar 30 cawangan menjelang 2025

    Dalam masa yang sama, Pro-Net menetapkan sasaran untuk memiliki 30 cawangan pengedar menjelang tahun 2025, dengan plan pembesaran yang fleksibel berdasarkan permintaan yang tinggi.

    “Dengan penambahan rangkaian pengedar Proton eMas ini, Pro-Net berhasrat untuk memimpin industri
    kereta nasional dalam memanfaatkan perubahan kepada kenderaan elektrik untuk membina masa depan yang lebih lestari. Pengedar kami bukan sekadar untuk menjual kenderaan malahan menyediakan pusat inovasi dan pembelajaran yang bertujuan untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada pengguna.

    “Inisiatif ini menunjukkan komitmen kami untuk membina kepercayaan yang lebih kukuh di kalangan para pelanggan dan kami bertekad untuk menjadi peneraju bagi segmen kereta nasional dalam sektor EV,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

     
     
  • JPJ eBid: ANQ dan NED bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANQ, bakal dibuka bidaan bermula 8 Julai 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 12 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 13 Julai 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan pula, NED, bidaannya akan dibuka mulai 21 Julai 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 25 Julai 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Julai ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Parkir percuma untuk kenderaan elektrik di kawasan bandar sedang dipertimbangkan – Menteri KPKT

    Parkir percuma untuk kenderaan elektrik di kawasan bandar sedang dipertimbangkan – Menteri KPKT

    Kerajaan sedang mempertimbangkan parkir percuma untuk kenderaan elektrik (EV) di kawasan bandar bagi menggalakkan pertukaran daripada kenderaan pembakaran dalaman (ICE) kepada elektrik. Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KPKT) Nga Kor Ming, cadangan tersebut sedang dibincangkan susulan langkah Kementerian Pengangkutan memperkenalkan “plat hijau” untuk EV.

    “Buat masa ini kami sedang mengkaji kemungkinan untuk memberikan pengecualian bayaran parkir untuk EV sebagai faktor penggalak untuk lebih ramai membeli EV berbanding kereta bahan api fosil,” kata Nga memaklumkan kepada media selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Asean-China bagi Perumahan dan Pembangunan Urban semalam, laporan The Star.

    Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan majlis tempatan untuk mempertimbangkan kebolehlaksanaan cadangan itu. Beliau memetik ibu negara UK London sebagai contoh, di mana caj kesesakan kira-kira RM90 bagi setiap kemasukan dikenakan ke atas kereta berkuasa ICE yang memasuki bandar manakala EV dikecualikan daripada bayaran parkir.

    Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan struktur cukai jalan baharu bagi EV yang mana 85% lebih rendah berbanding sebelumnya. Beliau juga berkata bahawa nombor plat khas untuk EV kini dalam peringkat akhir pembangunan. Ia juga dikatakan akan termasuk teknologi RFID dan dapat membantu mengenal pasti EV dalam kemalangan.

     
     
  • PJD Link masih dalam semakan, penilaian impak sosial baharu perlu dijalankan – Kerajaan negeri

    PJD Link masih dalam semakan,  penilaian impak sosial baharu perlu dijalankan – Kerajaan negeri

    Pada April lalu, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link). Terkini, The Star dan New Straits Times melaporkan bahawa projek lebuhraya berkenaan masih dalam semakan.

    Perkara ini dinyatakan oleh exco negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Negeri Izham Hashim, yang berkata PJD Link antara tujuh projek lebuhraya yang sedang dipertimbangkan di Selangor. Beliau berkata demikian dalam persidangan DUN semalam bagi menjawab soalan ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran (PH-DAP) mengenai lebuhraya baharu yang sedang dalam perancangan.

    Beliau berkata, kerajaan negeri telah diminta oleh pentadbiran persekutuan untuk mengkaji semula projek PJD Link selepas syarikat konsesi membuat penambahbaikan sekurang-kurangnya lima kawasan di sepanjang lebuhraya yang dicadangkan itu.

    “Pemaju PJD Link telah membuat beberapa perubahan pada penjajaran di Petaling Jaya, berdasarkan penilaian impak sosial (SIA) dan bantahan daripada orang ramai. Penjajaran baharu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tindakan ekonomi Selangor,” kata Izham sambil menyatakan bahawa kebanyakan bantahan terhadap projek itu adalah daripada penduduk PJ.

    Penjajaran awal PJD Link yang dicadangkan. Klik untuk besarkan

    Beliau turut menambah, “Pemaju telah mencadangkan pelan mitigasi berdasarkan bantahan yang diterima. Jajaran baharu itu perlu dikaji semula dan SIA baharu mesti dijalankan dengan mereka yang terjejas sebelum ia dibentangkan kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk dipertimbangkan

    “Ini syarat yang kita kenakan kepada pemegang konsesi projek lebuhraya. Mereka mesti melibatkan diri dan mendapatkan maklum balas daripada penduduk terjejas yang tinggal di kawasan di mana perubahan dan penambahbaikan dibuat untuk cadangan pembinaan lebuh raya melalui SIA. Kita ingin tahu sama ada rakyat menerima perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan.”

    Projek itu yang dianggarkan menelan belanja lebih RM2 bilion, pada mulanya dibatalkan pada Julai tahun lepas, dan kemudian dikatakan boleh dibuka semula pada masa hadapan sekiranya ia memenuhi keperluan.

    PJD Link ialah lebuhraya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 km dengan 11 susur keluar yang menghubungkan bahagian utara dan selatan Petaling Jaya, melalui kawasan seperti Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

    Ia juga akan melibatkan 11 persimpangan antaranya di Bandar Utama, SPRINT, Damansara Intan, Jalan Universiti, Lebuhraya Persekutuan, Jalan Barat/Jalan Sultan, NPE, KESAS, Jalan Puchong, Jalan Kinrara 1 dan Lebuhraya Bukit Jalil.

     
     
  • Mercedes-Benz World di KL Base, Sg Besi dari 5-7 Julai – peluang pandu uji atas landasan pesawat!

    Mercedes-Benz World di KL Base, Sg Besi dari 5-7 Julai – peluang pandu uji atas landasan pesawat!

    Mercedes-Benz World bakal berlangsung di KL Base, Sungai Besi bermula 5 hingga 7 Julai ini, dan ia dibuka untuk orang ramai. Apa yang akan alami sekiranya berkunjung ke acara tersebut hujung minggu ini?

    Hampir kesemua barisan model baharu jenama premium dari Jerman tersebut akan dipamerkan termasuk tiga model prestasi Mercedes-AMG yang baru dilancarkan semalam iaitu C63S E Performance, GLA45S 4Matic+ facelift dan GLB35 4Matic facelift.

    Anda juga boleh melihat dengan lebih dekat model-model lain Mercedes-Benz seperti barisan model-model PHEV, model-model EV EQ, serta model-model lebih mewah seperti SUV G-Class dan barisan model Mercedes-Maybach. Malah kereta pertama di dunia yang menggunakan enjin pembakaran dalaman iaitu Benz Patent-Motorwagen turut dipamerkan di sini.

    Bukan hanya boleh dibelek, malah sebahagian model termasuk model-model prestasi Mercedes-AMG turut ditawarkan untuk dipandu uji di atas litar cabaran pemanduan dan slalom yang di buat di atas landasan pesawat, dengan bimbingan dari jurulatih pemanduan profesional.

    Sekiranya anda berhasrat untuk membeli model-model idaman dari Mercedes-Benz, acara ini juga menjadi tempat sesuai bagi berbuat demikian kerana banyak tawaran hebat bersama pilihan pembiayaan khas disediakan. Bagi pelanggan yang membeli model-model EQ dalam acara ini, mereka akan ditawarkan dengan pemasangan wallbox percuma atau pengecasan tanpa had dari Gentari selama 18-bulan.

    Manakala pelanggan yang membeli model-model dengan enjin pembakaran dalaman pula, mereka akan menerima barangan rasmi Mercedes-Benz bernilai RM1,000 dan juga baucer servis. Tawaran lebih menarik sekiranya anda membeli model-model Mercedes-AMG dalam acara ini kerana anda akan dibawa ke Sweden untuk pengalaman pemanduan di atas ais yang dibawa oleh AMG Experience.

    Terdapat juga insentif untuk 100 pembeli pertama di Mercedes-Benz World, di mana mereka akan menerima pakej filem penapis secara percuma – ini terpakai untuk kesemua model termasuk model dengan enjin pembakaran dalaman atau EQ baharu. Pelbagai pilihan kenderaan Pre-Owned Certified Mercedes-Benz turut disediakan di sini, dengan model EQ ditawarkan menerusi program itu diberikan baucar tayar Michelin bernilai sehingga RM600.

    Selain dari kereta, Mercedes-Benz World juga meneydiakan pelbagai aktiviti untuk pelawat dari semua peringkat umur. Ini termasuk aktiviti memanjat batu, simulator golf dan perlumbaan, pengalaman Bunyi Dolby Atmos yang mengasyikkan, trivia dan sudut kanak-kanak. Terdapat hadiah untuk dimenangi, dan setiap pengunjung juga boleh mengumpul setem di stesen permainan untuk menebus pelekat Mercedes-Benz World yang eksklusif.

    Jika anda tiada rancangan untuk hujung minggu ini dan ingin merasai segala-galanya tentang Mercedes-Benz, datanglah ke KL Base, Sungai Besi dari 5-7 Julai untuk menyelami dunia Mercedes-Benz.

     
     
  • Kad akreditasi pemandu bas diperhalusi – Loke

    Kad akreditasi pemandu bas diperhalusi – Loke

    Kementerian Pengangkutan sedang memperincikan beberapa peraturan berhubung cadangan pengeluaran kad akreditasi untuk pemandu bas di Malaysia, laporan New Straits Times.

    “Kami sedang memuktamadkan peraturan dari segi pengeluaran kad pemandu bas. Malah, perkara ini telah dibangkitkan kepada kami beberapa bulan lalu, dan kami sebenarnya telah meluluskan pengeluaran kad pemandu bas tertakluk kepada beberapa peraturan yang sedang diperhalusi,” kata menteri pengangkutan Anthony Loke sebagai menjawab cadangan Presiden Persatuan Pengusaha Datuk Mohamad Ashfar Ali berhubung kad untuk pemandu bas.

    Jelasnya, kad itu juga dapat memastikan pemandu bas bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukannya, jika terdapat aduan dikemuka ke atas pemandu berkenaan. Buat masa ini, kad akreditasi hanya dikeluarkan kepada pemandu e-hailing dan teksi, kata agensi pengangkutan awam darat (APAD).

    Kad akreditasi pemandu bas diperhalusi – Loke

    Mengenai operasi bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres yang sedang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Loke berkata, setakat ini, sebanyak 351 pemeriksaan sudah dijalankan. Dimana daripada jumlah itu, seramai enam pemandu bas ditahan kerana gagal ujian saringan air kencing dalam operasi bermula sejak Selasa lalu. Selain itu, empat kes lagi dikesan yang melibatkan tiada lesen memandu.

    “Kita memandang serius perkara ini kerana daripada angka ini menunjukkan pemandu terlibat bukan sahaja tidak memiliki lesen malah turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Saya ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan ini tidak bermusim. Ia bukan kerana terdapat kemalangan baru-baru ini. Penguatkuasaan ini akan diteruskan untuk semua jenis kenderaan, sama ada bas persiaran, bas ekspres, bas kilang mahu pun lori,” kata Menteri Pengangkutan itu.

    Tindakan keras terhadap pengusaha bas bermula minggu ini, selepas sebuah bas persiaran kemalangan berhampiran Genting Highlands dan mengakibatkan kematian dua warga China, manakala beberapa lagi cedera. Insiden berkenaan berlau di KM16.5 di Jalan Genting Highland, siasatan awal mendapati permit bas berusia 15 tahun terbabit telah luput pada 16 Februari lalu dan pemandu itu juga tidak memiliki lesen serta mempunyai 27 saman lalu lintas atas pelbagai kesalahan.

     
     
  • BYD pilih Thailand untuk lokasi kilang pertamanya di Asia Tenggara – sasar keluarkan 150k unit EV setahun

    BYD pilih Thailand untuk lokasi kilang pertamanya di Asia Tenggara – sasar keluarkan 150k unit EV setahun

    Pengeluar kereta China, BYD, telah membuka fasiliti pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Thailand, sekaligus menjadi kilang pertamanya di Asia Tenggara, pasaran EV serantau yang berkembang pesat di mana ia telah menjadi syarikat dominan, laporan Reuters.

    “Thailand mempunyai visi EV yang jelas dan sedang memasuki era baharu pembuatan kereta. Kami akan membawa teknologi dari China ke Thailand,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden BYD, Wang Chuanfu pada majlis perasmian kilang berkenaan.

    Kilang BYD itu adalah sebahagian daripada gelombang pelaburan bernilai lebih AS$1.44 bilion (RM6.79 bilion) daripada pembuat EV China yang mendirikan kilang di Thailand, dibantu oleh subsidi kerajaan dan insentif cukai.

    BYD pilih Thailand untuk lokasi kilang pertamanya di Asia Tenggara – sasar keluarkan 150k unit EV setahun

    Thailand yang sememangnya menjadi hab pengeluaran kenderaan serantau telah menetapkan sasaran untuk menukarkan 30% pengeluaran tahunannya yang berjumlah 2.5 juta kenderaan kepada EV menjelang 2030.

    “BYD menggunakan Thailand sebagai hab pengeluaran untuk eksport ke ASEAN dan banyak negara lain,” kata Setiausaha Agung Lembaga Pelaburan Thailand, Narit Therdsteerasukdi, merujuk kepada 10 negara blok Asia Tenggara itu.

    Kilang pemasangan BYD yang terletak di Rayong di timur Thailand ini bernilai AS$490 juta dan menyasarkan kapasiti pengeluaran sebanyak 150,000 kenderaan setahun termasuk untuk model plug-in hybrid.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 Experience beri peluang peserta kumpul ilmu, kemahiran menunggang bersama pro

    Yamaha Tenere 700 Experience beri peluang peserta kumpul ilmu, kemahiran menunggang bersama pro

    Dalam segmen motosikal touring/adventure kelas pertengahan, ada satu model yang kerap disebut-sebut selepas diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2019, iaitu Yamaha Tenere 700 atau gelaran singkatnya, T7. Jika muncul sahaja pesaing baru dalam segmen itu, T7 pasti akan dimasukkan dalam perbandingan.

    Di Malaysia, T7 baru sahaja dilancarkan Februari tahun ini pada harga RM69,888 dan sambutan terhadapnya semakin meningkat. Bagi memberikan lebih nilai kepada pelanggan, dan menunjukkan kemampuan motosikal ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menganjurkan Yamaha Tenere 700 Offroad Experience.

    Acara yang julung kali diadakan ini dibuat di Kev Advenduro Park, Gamuda Gardens, Rawang, dengan melibatkan bukan sahaja pemilik, tetapi juga wakil media terpilih seperti kami dan juga wakil pengedar Yamaha.

    Seperti kebiasaan program seperti ini, acara dimulakan dengan sesi teori yang melibatkan pelatih berpengalaman dalam dunia offroad tempatan, iaitu Kevin Lee serta Habibullah Saleh (Gabit), yang juga merupakan pelumba offroad profesional.

    Menunggang motosikal di kawasan offroad memerlukan set kemahiran yang berbeza berbanding atas jalan biasa, dan kursus yang diberi meliputi pelbagai perkara bermula dari kelengkapan pada diri penunggang, tetapan motosikal, kedudukan menunggang dan ke mana mata perlu tertumpu apabila menunggang.

    Lebih satu jam sesi teori ini berjalan, peserta bergerak ke motosikal untuk memulakan latihan tunggangan. Cabaran pertama adalah dakian bukit. Sekali pandang, bukit yang nampak tidak terlalu tinggi sebenarnya bukanlah mudah bagi semua.

    Yamaha Tenere 700 Experience beri peluang peserta kumpul ilmu, kemahiran menunggang bersama pro

    Penggunaan gear haruslah betul, termasuk sekali dengan momentum dan tentunya, penunggang perlu bersedia dengan kedudukan yang bersesuaian. Walaupun permukaan tanah adalah kering, masih ada yang terjatuh dan membuktikan perkara mudah seperti ini juga memerlukan latihan.

    Kemudian, peserta bergerak pula ke kawasan lapang untuk melakukan latihan memulas dan melepaskan pendikit dengan hanya satu tangan, melanggar halangan batu sambil melepaskan tangan serta membuat slalom (mengelak ke kiri dan kanan).

    Dalam keadaan seperti ini, kepentingan kemahiran yang diperoleh daripada latihan ini mungkin tidak boleh dilihat, tetapi ia sebenarnya berguna apabila masuk ke jalan offroad atau bagi pemilik, apabila mereka menjelajah dengan motosikal mereka.

    Daripada sini, anda akan belajar menambah rasa selesa dan yakin apabila mengendalikan motosikal, dan apa yang perlu dibuat semasa berhadapan dengan cabaran tertentu. Meskipun latihan hanya dibuat beberapa kali, penunggang boleh mengulangnya kembali apabila pulang untuk menambah kemahiran sendiri.

    Akhir sekali, peserta dibawa ke litar offroad yang memang tersedia di Gamuda Gardens. Di sini, apa yang dipelajari dalam latihan sebelum ini dipraktikkan atas keselesaan dan kemampuan masing-masing. Hujan yang turun pada hari sebelumnya membuatkan keadaan jadi agak mencabar memandangkan kebanyakan motosikal masih menggunakan tayar asal yang lebih untuk penggunaan 50% jalan biasa dan 50% offroad.

    Turut serta dalam program ini, kami boleh katakan latihan dan aktiviti yang disediakan oleh penganjur sangat bersesuaian bukan sahaja bagi penunggang motosikal adventure baru, tetapi juga yang berpengalaman. Sentiasa ada ilmu baru yang dapat dikutip dan apabila kemahiran semakin bertambah, lebih banyak yang dapat anda lakukan atas motosikal.

     
     
  • Berhujung minggu dengan Mercedes-Benz World @ KL Base — pandu uji di atas landasan pesawat!

    Berhujung minggu dengan Mercedes-Benz World @ KL Base — pandu uji di atas landasan pesawat!

    Hujung minggu ini akan menjadi satu pengalaman yang menarik! Mercedes-Benz World bakal berlangsung di KL Base, lapangan terbang lama Sungai Besi dan anda berpeluang untuk mengalami sendiri sensasi pemanduan model-model kenderaan terkini Mercedes-Benz dalam persekitaran terkawal yang tidak kalah mengujakan.

    Pandu uji barisan model Mercedes-Benz terbaru, termasuklah model-model AMG yang baru dilancarkan mengharungi laluan pemanduan mencabar yang telah dipersiapkan dengan bantuan pelatih profesional. Mercedes-Benz World juga akan mempamerkan barisan kenderaan yang menyeluruh daripada jenama ini — sama ada sedan, SUV, plug-in hybrid, EQ elektrik mahupun model prestasi tinggi AMG. Semuanya boleh didekati di KL Base hujung minggu ini.

    Juga, jangan lepaskan peluang untuk mendekati model high-end lain seperti G-Class dan Mercedes-Maybach GLS. Turut akan dipamerkan ialah Benz Patent-Motorwagen, yang merupakan kereta pertama di dunia.

    Bawa seisi keluarga ke acara ini kerana ada pelbagai aktiviti disediakan untuk semua golongan. Ini termasuklah aktiviti memanjat batu, golf dan simulator perlumbaan, pengalaman bunyi oleh Dolby Atmos serta sudut untuk kanak-kanak. Ada hadiah untuk dimenangi, dan anda juga boleh mengumpul setem di stesen permainan untuk menuntut pelekat eksklusif Mercedes-Benz World.

    Mercedes-Benz World adalah tempat yang betul untuk menempah kereta impian anda kerana ada pelbagai tawaran istimewa masa terhad yang ditawarkan khas di lokasi sepanjang hujung minggu ini. Berikut adalah antara tawaran yang menanti anda di Mercedes-Benz World hujung minggu ini.

    Yang pertama, jika anda antara 100 pembeli terawal di Mercedes-Benz World, anda akan menerima pemasangan filem penapis haba percuma, dan sah untuk kereta baharu mahupun EQ elektrik.

    Jika anda memilih untuk pengalaman elektrifikasi dengan EV EQ, anda akan menerima wall box dengan pemasangan percuma, atau pengecasan tanpa had selama 18 bulan daripada Gentari untuk memudahkan rutin elektrik anda. Begitu juga dengan tawaran pelan premium Agility+ untuk menikmati sifar ansuran selama 12 bulan.

    Belum bersedia untuk EV? Beli kereta ICE baharu Mercedes-Benz di acara ini dan pulang dengan baucar servis dan cenderahati Mercedes-Benz bernilai RM1,000. Pilih model berprestasi tinggi AMG pula anda akan berpeluang memenangi kunjungan ke “AMG Experience on Ice” di Sweden.

    Pilihan pembiayaan khusus juga disediakan di lokasi, memberikan anda keistimewaan dari pelan Agility+ yang fleksibel — nikmati hingga lapan pakej servis serta sokongan insurans kenderaan sehingga RM7,000.

    Tidak ketinggalan ialah barisan kenderaan terpakai bertauliah yang berkualiti dengan nilai yang berbaloi yang turut akan dipamerkan di sana. Bagi model terpakai EQ, ia datang dengan baucar tayar Michelin sehingga RM600.

    Inilah masanya untuk mengalami sendiri kenderaan Mercedes-Benz dan membuat tempahan anda di Mercedes-Benz World hujung minggu ini, dari 5-7 Julai di KL Base, Sungai Besi (cari KL Base Events di Waze dan Google Maps). Klik di sini untuk maklumat lanjut.

    *Tawaran tertakluk kepada model. Tertakluk kepada terma dan syarat. Selagi stok masih ada.

     
     
  • Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    Bagi mengehadkan kejutan yang mungkin berlaku akibat kenaikan harga bahan api itu, rasionalisasi subsidi petrol RON95 dijangka dilaksana secara berperingkat dan terukur, kata Ketua Penganalisis TA Securities, Kaladher Govindan.

    Beliau menambah kerajaan berkemungkinan akan mengambil masa untuk menilai impak pelarasan harga diesel dan kesediaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menentukan kelayakan bantuan tunai sebelum melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95, laporan Harian Metro.

    Katanya lagi, pelaksanaan rasionalisasi RON95 adalah lebih rumit berbanding diesel ketika ini kerana ia akan memberi impak kepada sebahagian besar kenderaan berdaftar iaitu sekitar 36 juta serta menyumbang sebanyak RM66.7 bilion dalam jualan runcit bahan api automotif pada 2023.

    Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    “Ia tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa sehingga sistem yang betul disediakan dan kerajaan berkemungkinan akan melaksanakannya paling awal pada suku keempat tahun ini sebelum disemak secara berperingkat sehingga 2025.

    “Kami khuatir kenaikan harga RON95 akan memberi kesan ketara kepada inflasi. Ia membawa wajaran yang lebih tinggi daripada diesel, 5.5% daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP). Justeru, dijangkakan impak yang lebih luas daripada pemotongan subsidi RON95 terhadap inflasi. Sumbangan langsung kenaikan 10% dalam harga runcit RON95 kepada inflasi utama adalah dianggarkan sekitar 0.5% berbanding hanya 0.02% bagi pelaksanaan diesel,” katanya.

    Tambahnya, jangkakan butiran lanjut tentang subsidi bahan api akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025 akan datang, yang dijadualkan pada Oktober 2024. “Pada masa itu, kerajaan mungkin mempunyai beberapa bulan data inflasi (Jun hingga September 2024) untuk menilai kesan mekanisme diesel,” katanya menerusi laporan separuh tahun pasaran TA Securities.

    Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    Beliau turut berkata, dari satu sudut, ketiadaan subsidi secara pukal berkemungkinan akan meningkatkan harga minyak RON95 sebanyak RM1.25 daripada RM2.05 seliter ketika ini kepada RM3.30 seliter.

    Namun, dari sudut yang lain pula, beliau berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dapat memberikan penjimatan yang lebih besar kepada perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penyatuan dan pembaharuan fiskal negara.

    “Dengan menggunakan andaian 20 bilion liter penggunaan bahan api tahun ini, dianggarkan setiap 10 sen kenaikan harga bahan api akan memberikan penjimatan sekitar RM2 bilion dalam subsidi bahan api setahun,” katanya. Seperti yang dinyatakan dalam unjuran inflasi, TA Securities menetapkan harga pelarasan RON95 tahun ini sebanyak 40 sen, melonjakkannya kepada RM2.45 seliter.

    Walau bagaimana pun, beliau menambah, penjimatan penuh subsidi bahan api sebanyak RM8 bilion hanya akan dilihat tahun depan, yang sudah tentu bergantung kepada kuantum dan masa pelarasan. Di mana lebih banyak dapat dijimatkan jika rasionalisasi subsidi bahan api RON95 berlaku tahun ini.

     
     
  • Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Selepas versi facelift Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia bulan lalu, hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan pula versi prestasi SUV tersebut iaitu Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift ke pasaran tempatan. Ia diperkenalkan sekali dengan Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition dan GLA45S 4Matic+facelift 2024 di KL Base Sungai Besi, sebelum berlangsungnya acara Mercedes-Benz World yang diadakan pada lokasi sama pada 5 dan 7 Julai ini.

    Ia diumumkan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM418,888. Model ini diperkenalkan pada Mac lalu dan ia menerima tingkat taraf yang sama seperti model bukan AMG, termasuk rombakan rekaan pada apron hadapan dan juga lampu LED hadapan dan belakang signatur. Versi AMG penuh ini juga masih menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk berbanding tujuh-tempat duduk pada model GLB200 dan GLB250 4Matic.

    Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa di mana ia masih digerakkan oleh enjin 2.0 liter empat silinder berkuasa 306 PS pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm Bermuda 3,000 hingga 4,000 rpm. Ia kini turut dibantu oleh sistem hibrid ringkas 48V dengan stater generator digerakkan tali sawat (RSG) generasi kedua yang memberikan tujahan kuasa 14 PS ketika memecut.

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik AMG Speedshift lapan-kelajuan, dan kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda bervariasi AMG Performance 4Matic. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Perincian standard luaran yang dibekalkan pada GLB35 ini termasuk lampu hadapan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, suspensi AMG Ride Control, AMG Dynamic Select, rim aloi ringan AMG 20-inci, angkup brek berwarna merah, dan rel humbug aluminium digilap.

    Manakala pada bahagian dalaman, ia disertakan dengan tempat duduk sport yang dibalut kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut larasan kuasa dan fungsi memori, roda stereng AMG Performance dibalut kulit Nappa, perapi kemasan Star Pattern, tali pinggang keledar berwarna merah, sistem pendingin hawa dua zon Thermotronic, lampu suasana 64-warna, pad pengecas tanpa wayar, kemasan bendul pintu bernyala AMG dan karpet kaki AMG.

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Ia juga menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi NTG7 serta diberikan paparan dan fungsi khas AMG menerusi dua skrin 10.25-inci, disambungkan kepada sistem bunyi surround Burmester, serta menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Untuk keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemanduan yang mlerangkumi Parking Package dengan kamera 360-darjah, Active Parking Assist, Driving Assistance Package, Active Distance Assist Distronic, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist dan Exit Warning Assist.

    Sama seperti C 63 SE Performance dan GLA 45 S facelift, MBM menyatakan bahawa penghantaran pertama GLB 35 facelift ini akan dibuat bermula pada bulan Ogos.

     
     
  • Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Selain dari sedan prestasi Mercedes-AMG C 63 S E Performance, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini turut melancarkan dua buah SUV prestasi dan salah satunya adalah Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024. Pelancaran ini dibuat di KL Base Sungai Besi, sebelum berlangsungnya acara Mercedes-Benz World yang dilangsungkan pada lokasi sama pada 5 dan 7 Julai ini.

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Oktober tahun lalu, menampilkan beberapa tingkat taraf rupa dan perincian. Di Malaysia, model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM539,888.

    Pada bahagian luar, model facelift ini boleh dikenali dengan beberapa perubahan antaranya rekaan apron hadapan baharu dengan logo AMG pada bonet, perapi overfender kini dalam kemasan warna badan, rekaan lampu signatur baharu untuk lampu Multibeam LED hadapan dan lampu belakang.

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Model pasaran Malaysia ini diberikan pakej AMG Aerodynamics dan pakej AMG Night secara standard, yang memberikan perincian seperti splitter udara hadapan serta perapi-perapi luarsn dan penutup cermin sisi dalam kemasan hitam berkilat.

    Selain itu itu turut diberikan set rim aloi ringan AMG pelbagai jejari berdiameter 21-inci dalam kemasan hitam matte secara standard. MBM turut menawarkan warna badan Manufaktur mountain grey Magno dan Patagonia red metallic dengan bayaran tambahan selain warna-warna standard yang disediakan.

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, GLA45S facelift ini masih dijana oleh enjin petrol turbo M139 2.0 liter empat-silinder sebaris, menghasilkan kuasa 421 PS pada 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 5,000 hingga 5,250 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi klac berkembar automatik DCT lapan kelajuan AMG Speedshift, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic+.

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Sistem penghantaran kuasa tersebut turut dibantu dengan AMG Torque Control. Gandingan semua ini membolehkan GLA45S 4Matic+ memecut dari 0-100 km/j dalam 4.3 saat, serta mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

    Pada bahagian kabin, GLA45S 4Matic+ facelift pasaran Malaysia ini menerima tempat duduk AMG Performance secara standard bersama pakej tempat duduk pelbagai-kontur dan dibalut dengan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut. Pemandu pula diberikan roda stereng pelbagai-fungsi AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Microcut.

    Selain itu, ia turut diberikan tali pinggang keledar Manufaktur berwarna merah, serta set karpet kaku AMG dan kemasan bendul pintu bernyala AMG.

    Infotainmen untuk GLA45S 4Matic+ facelift turut dipertingkatkan dengan sistem MBUX terkini dengan dua skrin 10.25-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta menawarkan MBUX Interior Assistant, sistem navigasi AR MBUX dan MBUX Navigation Premium.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk pengecas tanpa wayar Qi, paparan head-up, pakeha Light and Sight, lampu suasana 64-warna, bumbung panaromik, sistem bunyi surround Burmester 710 watt dan 12-pembesar suara. Model kemasikini ini juga menerima port pengecas USB dan port tambahan USB-C menerusi pakej USB Plus.

    Juga tidak ketinggalan Mercedes-AMG GLA 45 S ini diberikan AMG Track Pace dan AMG Real Performance Sound, yang membolehkan pemandu memilih bunyi enjin turbo di bahagian dalam kabin. Bagi peralatan keselamatan dan bantuan pemandu, SUV ini dilengkapi dengan Pakej Bantuan Pemanduan, dengan bantuan jarak aktif Distronic, bantuan titik buta aktif, bantuan kekal lorong aktif, bantuan brek aktif dan bantuan amaran keluar, serta beg udara untuk bahagian belakang.

    Seperti C 63 SE Performance dan GLB 35, MBM menyatakan bahawa penghantaran pertama GLA 45 S facelift ini akan dibuat bermula pada bulan Ogos.

     
     
  • Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan tiga model prestasi AMG di KL Base Sungai Besi, sebelum berlangsungnya acara Mercedes-Benz World yang diadakan pada lokasi sama pada 5 dan 7 Julai ini. Antara tiga model tersebut, yang ditunggu-tunggu sudah tentulah versi paling berkuasa untuk C-Class W206 iaitu Mercedes-AMG C 63 S E Performance. Model ini dilancarkan dalam versi F1 Edition di sini, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM958,888.

    C 63 generasi W206 ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada September 2022. Dan seperti yang diketahui, ia menghasilkan kuasa yang lebih besar dari model generasi sebelumnya, tetapi enjin 4.0 liter V8 twin-turbo sebelum ini telah digantikan dengan enjin 2.0 liter empat silinder yang digandingkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV).

    Enjin yang dimaksudkan adalah unit M139L 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan desakan turbo, sama seperti yang terdapat dalam perut Mercedes-AMG A 45 S, tetapi ia dipasang menegak ke belakang seperti pada model C 43 dan SL 43 (sebab itu ia diberi kod “L” di belakang, bermaksud Longitudinal). Enjin M139L pada C 63 S ini juga menerima pengecas turbo lebih besar dari C 43 dan SL 43, tetapi masih menggunakan sistem turbo dibantu motor elektrik yang diadaptasi terus dari teknologi Formula 1 pasukan Mercedes-AMG Petronas.

    Dengan enjin petrol ini sahaja, Mercedes-AMG C 63 S ini dapat mengerah sejumlah 476 hp pada takat 6,725 rpm, dan tork maksima 545 Nm bermula 5,250 hingga 5,500 rpm – ia didakwa sebagai enjin produksi empat silinder paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, jauh lebih berkuasa dari M139 pada Mercedes-AMG A 45 S yang menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Tidak cukup dengan itu, ia turut disertakan dengan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang, memberikan kuasa sehingga 204 hp (150 kW). Jadi secara keseluruhan, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini menghasilkan kuasa 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm. Dengan sistem hibrid tersebut Mercedes-AMG C 63 S baharu ini ditimbang dengan berat 2,111 kg, atau sekitar 300 kg lebih berat berbanding C 63 S dengan enjin V8 generasi terdahulu.

    Namun ia tetap membolehkan Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat, lebih pantas dari C 63 S V8 sebelum ini hanya mencatatkan pecutan sama dalam masa 4 saat. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan AMG Driver Package membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 290 km/j.

    Bagi menghasilkan kuasa yang tinggi serta angka prestasi yang menakjubkan ini, unit rangkaian hibrid E Performance bukanlah ringkas seperti sistem-sistem hibrid lain. Pada pengecas turbo misalnya, selain dari bergerak menggunakan gas ekzos, ia turut menerima motor elektrik senipis 4 cm di tengah-tengah antara turbin dan pemampat, yang mampu menghilangkan ‘lag’, memberikan boost segera sebaik sahaja pedal pendikit diperah tanpa perlu menunggu gas ekzos memutarkan turbin, serta memberikan respon lebih baik pada setiap tahap putaran enjin.

    Walaupun bersaiz kecil, motor elektrik yang dikawal secara elektronik pada pengecas turbo berkenaan menggunakan asas sistem elektrik 400-volt (hanya 48 volt pada model-model 43), dan ia mampu berputar sehingga 150,000 rpm.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Enjin ini juga dibekalkan dengan dengan unit stater generator yang digerakkan oleh tali sawat (RSG). RSG merupakan komponen yang menggabungkan motor penghidup dan alternator, berfungsi untuk menghidupkan enjin petrol dalam masa yang sama mampu membekalkan kuasa elektrik kepada komponen seperti sistem pendingin hawa dan lampu.

    RSG ini turut berhubung dengan jaringan sistem asas 400-volt pada kereta berkenaan, dan mampun membekalkan kuasa elektrik ketika kereta tidak bergerak sekiranya bekalan kuasa pada bateri voltan tinggi pada tahap yang rendah.

    Kuasa dari enjin petrol berkenaan dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan baharu AMG Speedshift MCT 9G. Berbeza dengan kotak gear sebelum ini, transmisi baharu ini menggunakan klac start-off (MCT = Multi-Clutch Transmission) bagi menggantikan torque converter konvensional.

    Ini membolehkan ia dihasilkan lebih ringan, serta memberikan respon pedal pendikit lebih baik kerana daya inersia yang lebih rendah. Perisian yang mengawal kotak gear ini juga memberikan masa tukaran gear yang sangat pantas serta membolehkan beberapa gear diturunkan dengan laju sekiranya diperlukan. Ia juga diberikan fungsi RACE START, membolehkan pecutan optima diberikan ketika mula memecut dari kedudukan pegun.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Gandar belakang C 63 S ini juga direka begitu sofistikated untuk memadankan sistem hibrid E Performance. Secara umumnya, gandar belakang berkenaan digelar sebagai compact electric drive unit (EDU). Dalam unit EDU tersebut, ia bukan sahaja mempunyai motor elektrik 204 hp, malah ia juga diintegrasikan bersama kotak gear dua kelajuan yang berfungsi dengan sistem elektrik, dan juga LSD yang dikawal secara elektronik.

    Bateri bervoltan dan berprestasi tinggi (High Performance Battery atau HPB) untuk sistem keseluruhan E Performance ini pula diletakkan betul-betul di atas gandar belakang berkenaan, membentuk satu pakej sistem hibrid kompak.

    Dengan rekaan ini, motor elektrik bukan sahaja dapat memberikan boost tambahan 204 PS selama 10 saat ketika diperlukan, malah ia turut dapat berfungsi untuk menghantar kuasa secara mekanikal ke syaf pemacu roda hadapan menerusi syaf kardan, memberikan pacuan semua roda pada setiap masa, walaupun kereta ini bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol.

    Walau bagaimanapun, menerusi bateri lithium-ion dengan kapasiti 6.1 kWj, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini mempunyai jarak gerak elektrik penuh hanya 13 km. Bateri berkenaan dihasilkan dengan berat 89 kg, dan mampu untuk memberikan kuasa berterusan 70 kW. Manakala untuk memberikan boost selama 10 saat yang disebut tadi, bateri ini turut mampu membekalkan kuasa berterusan 150 kW.

    Binaan bateri berkenaan terdiri dari 560 sel, di mana setiap satu sel tersebut disejukkan secara individu. Keseluruhan modul berkenaan dihubungkan kepada sistem penyejukkan enjin bagi mengekalkan suhu operasi optimum sekitar 45 darjah selsius. Ini membolehkan bateri tersebut memberikan prestasi konsisten ketika mengecas dan mengeluarkan tenaga.

    Menurut Mercedes-AMG, keseluruhan sistem kompak termasuk EDU dan HPB ini dihasilkan hanya seberat 250 kg. Ia boleh di cas secara plug-in menerusi pengecas on-board 3.7 kW. Manakala ketika bergerak, ia diberikan empat mod mengecas semula bateri berkenaan, termasuk Tahap 3 yang membolehkan tenaga sebesar 100 kW dipulihkan semula.

    Seperti biasa, setiap model Mercedes-AMG datang sekali dengan mod-mod pemanduan di dalam sistem AMG Dynamic Select; untuk C 63 S E Performance ini ia diberikan pilihan mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Race, Slippery dan Individual.

    Bagi mod Electric, model ini boleh dipandu tanpa enjin petrol dihidupkan dengan kelajuan maksima 125 km/j, namun seperti yang disebut tadi ia hanya bertahan untuk jarak 13 km dengan satu cas penuh bateri. Manakala untuk mod Battery Hold pula, sistem ini akan memastikan tenaga bateri berada dalam tahap yang malar.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Beralih kepada mod Sport dan Sport+, ia akan memberikan interaksi berbeza antara enjin dan motor elektrik, di mana pada mod Sport+, boost kuasa elektrik akan dibekalkan sehingga 80%. Pada mod Race pula, sistem hibrid ini akan memastikan kapasiti bateri tidak akan berkurangan sehingga bawah 30%, membolehkan tujahan elektrik sentiasa dapat diberikan 100%.

    Untuk mod Slippery, seperti namanya, ia untuk ketika situasi jalan yang licin di mana kuasa akan ‘dijinakkan’ bagi memudahkan kereta ini dikendalikan. Dan bagi mereka yang merasakan satu pun pra tetapan untuk mod yang disediakan tidak sesuai dengan gaya pemanduan masing-masing, anda boleh ‘merojakkan’ sendiri tetapan yang dimahukan menerusi mod Individual.

    Pada bahagian luaran, C 63 S AMG ini menerima muka dengan apron lebih agresif menjadikan bahagian muncungnya 50 mm lebih panjang dan fender lebih lebar berbanding C-Class W206 standard, bersama bonet hadapan menampilkan liang untuk aliran udara.

    Bampar C 63 S ini pula menampilkan liang udara sisi yang jauh lebih besar bersama tirai udara yang mengalirkan udara ke bahagian-bahagian tertentu. Gril Panamericana model ini turut diberikan dua panel udara bagi mengalirkan udara masuk ke ruang enjin. Selain itu, ia turut dibezakan dengan pemadanan skirt sisi, diffuser belakang bersama perumah tip ekzos berbentuk-trapezoid, dan lid spoiler bersaiz besar dalam kemasan hitam pada penutup but.

    Model pasaran Malaysia ini datang dengan set rim aloi ringan 10-jejari 20-inci AMG dalam kemasan hitam matte secara standard. Ia juga diberikan AMG Night Package yang menampilkan serlahan hitam krom pada gril hadapan serta emblem model pada penutup but belakang dan kedua-dua fender hadapan.

    Sebagai model istimewa F1 Edition, C 63 S pasaran tempatan ini juga diberikan pelekat badan unik serta diberikan warna badan Manufaktur Alpine Grey Solid serta serlahan jalur merah pada apron hadapan dan belakang dan sisi badan.

    Kit standard lain yang dibekalkan termasuk lampu hadapan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panaromik serta suspensi dengan spring logam biasa AMG Ride Control bersama sistem penyerap hentak adaptif. Ia juga diberikan stereng pada gandar belakang bagi membolehkan roda belakang dikemudi dengan sudut sehingga 2.5 darjah pada kelajuan sehingga 100 km/j.

    Manakala pada bahagian dalaman, ia menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dengan uphosteri kulit Nappa hitam bersama serlahan jahitan benang merah dan logo AMG yang ditekap pada perehat kepala. Pemandu pula menerima roda stereng AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Microcut. Ia turut ditambah dengan elemen-elemen perapi gentian karbon AMG dalam kemasan hitam dan merah, tali pinggang keselamatan merah, kemasan bendul pintu menyala AMG dengan lencana F1 Edition dan karpet lantai F1 Edition.

    Untuk infotaimen, C 63 S ini menerima sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menerusi skrin LCD utama 11.9-inci, paparan instrumen digital dengan skrin LCD 12.3-inci bersama fungsi AMG Track Pace. Turut diberikan adalah paparan head-up dan juga sistem bunyi surround Bermester 3D.

    Bagi keselamatan pula, sedan prestasi tinggi ini menerima sistem bantuan pemanduan Driving Assistance Package Plus bersama bantuan jarak aktif Distronic, bantuan stereng aktif dan bantuan kekal lorong aktif. Ia juga diberikan Parking Package dengan kamera 360-darjah, bantuan parkir aktif Parktronic dan bantuan parkir memori.

    MBM menyatakan ipenghantaran pertama Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition ini kepada pelanggan di Malalysia akan bermula pada Ogos ini.

     
     
  • MIROS bangunkan pangkalan data Gehana – kongsi rakaman pemanduan sebenar bahaya di jalanraya

    MIROS bangunkan pangkalan data Gehana – kongsi rakaman pemanduan sebenar bahaya di jalanraya

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) sedang membangunkan satu pangkalan data yang diberi nama GEHANA. Ia merupakan pangkalan data mengenai bahaya di jalan raya melalui rakaman naturalistik yang dihadapai oleh pengguna jalan raya.

    Justeru, bagi melengkapkan lagi pangkalan data tersebut, MIROS mengalu-alukan pembabitan pengguna jalan raya untuk berkongsikan rakaman situasi-situasi bahaya seperti hampir kemalangan atau pun pelanggaran sebenar. Di mana rakaman terbabit adalah daripada pandangan pemandu atau penunggang motosikal, berlaku pada atau sebelum 28 Jun 2024 dan tidak pernah diterbitkan di mana-mana platform termasuk di laman media sosial.

    “Anda dipelawa untuk menghantar rakaman tersebut kepada kami dan berpeluang menerima saguhati e-dompet bernilai RM5 bagi setiap rakaman. Maklumat lanjut termasuk syarat kelayakan dan langkah-langkah untuk memuat naik, sila ke pautan https://t.me/miros_gehana,” kata MIROS.

    Jadi, bagi anda yang mempunyai rakaman yang diperlukan, sila ikuti langkah-langkah yang dikongsikan menerusi saluran Telegram miros_gehana.