Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Great Wall Motor Haval B07 dan A07 tampil sulung di Shanghai — SUV PHEV, jarak 100 km, 279 PS, 585 Nm

    Great Wall Motor Haval B07 dan A07 tampil sulung di Shanghai — SUV PHEV, jarak 100 km, 279 PS, 585 Nm

    Di Auto Shanghai 2023, Great Wall Motor (GWM) mempamerkan beberapa model kenderaan tenaga baru (NEV); di bawah jenama Haval, ada dua model yang terlibat — dengan kod nama A07 dan B07.

    Pertama kali ditampilkan ialah B07 atau Xialong Max menggunakan platform LEMON GWM dengan ukuran dimensi 4,758 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,725 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,800 mm. B07 adalah sebuah SUV yang saiznya lebih besar daripada Honda CR-V terkini, yang mempunyai ukuran 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, 1,681 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,700 mm.

    B07 yang mirip model H6 tetapi dalam saiz lebih besar hadir dengan rekaan gril tanpa bingkai dan corak mesh di bawah lencana Haval. Lampu utama pula bersegi, dengan DRL yang jelas kelihatan. Di belakang, lampunya menyeluruh. Bukaan udara hiasan dengan kemasan krom juga ada menghiasi kawasan apron bawah di bampar belakang.

    Great Wall Motor Haval B07 dan A07 tampil sulung di Shanghai — SUV PHEV, jarak 100 km, 279 PS, 585 Nm

    Di dalam, B07 sarat teknologi. Ini termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh infotainmen 12.3-inci dan paparan depan penumpang. Sebuah head up display 10-inci juga ada tersedia untuk pemandu. Haval turut menyatakan terdapat 32 ruang simpanan dalam kabin, termasuk satu di bawah konsol tengah. Ada juga dua platform untuk mengecas telefon, satu daripadanya dengan ciri tanpa wayar sehingga 50 watt. Terdapat sistem bantuan pemandu maju untuk B07, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, peninjau perhatian pemandu dan banyak lagi.

    Sistem janaan pula baru dan dikenali sebagai Hi4 (Hybrid intelligent 4WD). Sistem plug-in hybrid yang ada menawarkan kecekapan tenaga sebanyak 41.5% dan memberikan 462 PS (456 hp atau 340 kW). Dua tetapan ditawarkan untuk model ini: yang pertama dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol kitaran Atkinson yang menjana 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 135 Nm tork.

    Kedua, enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan kitaran Miller dengan janaan puncak 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 240 Nm. Kedua-duanya digandingkan dengan dua elektrik motor, dengan yang didepan membekalkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) yang diletakkan di antara enjin dan Direct Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan.

    Motor kedua pula diletak di belakang dengan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 350 Nm untuk melengkapi sistem pacuan semua roda. Ini disertakan juga dengan Torque Vectoring Control (iVTC) pula mengawal agihan tork antara dua gandar berkenaan dengan sembilan mod pemanduan.

    Kuasa untuk motor elektrik dibekalkan oleh bateri dalam dua pilihan kapasiti — 19.94 kWh dan 27.5 kWh — dengan jarak elektrik 100 km. Dalam tetapan tertinggi, output sistem keseluruhan B07 ialah 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan 585 Nm.

    Bagi A07 atau turut dikenali dengan nama Xiaolong, ia sebuah SUV yang lebih kecil dengan ukuran 4,600 mm panjang, 1,877 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak antara roda 2,710 mm — menjadikannya pengganti H6 yang paling hampir.

    Rekaannya luarannya lebih menonjol dengan imej EV — ia sebetulnya sebuah model plug-in hybrid seperti yang dinyatakan pada lencana DHT-PHEV yang tertera di belakang. Sistem ini menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 101 PS (99 hp atau 74 kW), sebuah motor elektrik dan pek bateri sama ada dengan unit 9.41 kWh (jarak 45 km, WLTP) atau 19.27 kWh (96 km).

    Di dalam, A07 menampilkan kurang skrin paparan berbanding B07, dengan hanya ada dua di papan pemukanya. Konsol tengah tetap dengan rekaan dua lapisan dan dilengkapi ciri pemanduan autonomous Tahap 2.

    Haval B07

    Haval A07

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro akan dilancar di Malaysia Jun ini – versi Max yang dipertingkat bakal tiba secara CKD

    Chery Tiggo 8 Pro akan dilancar di Malaysia Jun ini – versi Max yang dipertingkat bakal tiba secara CKD

    Ini ada sedikit berita dari Chery bersempena dengan Auto Shanghai 2023. Setakat ini kita sudah tahu Omoda 5 akan dilancarkan pada bulan Jun, tapi nampaknya SUV itu juga akan disertai oleh Chery Tiggo 8 Pro semasa majlis pengenalannya. Kedua-dua model ini akan dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah yang akan menjadi kilang pertama di dalam dunia yang memasang model ini secara CKD, dalam versi pemandu sebelah kanan.

    Tiggo 8 Pro sebenarnya sudah dipertontonkan di Malaysia Oktober tahun lalu, tetapi kereta CKD sebenar yang akan dijual nanti adalah versi yang dipertingkat, dan wakil kami yang berada Wuhu, China telah terserempak dengannya. SUV tiga baris tempat duduk ini menampilkan gril “galaksi” baru dengan bahagian dalam yang lebih menyerlah serta lambang Chery yang menyala. Bahagian belakang mempunyai jalur lampu LED penuh serta lampu brek berbentuk T, manakala rim pula bersaiz 19 inci.

    Walaupun bahagian luar sudah cukup menarik, Tiggo 8 Pro Max sebenarnya lebih menyerlah dengan bahagian dalamnya. Ia mendapat rekaan yang lebih kemas dan moden, dengan perincian yang hampir seperti yang digunakan oleh Mercedes-Benz, skrin bersambung, konsol tengah tinggi serta corong pendingin hawa seakan tersembunyi.

    Roda stereng juga adalah baru, dengan terdapat tulisan Chery dan bukan setakat logo. Berkenaan logo, terdapat lencana Tiggo di beberapa bahagian termasuk tepi skrin tengah serta corong pendingin hawa belakang. Jumlah beg udara serta pembesar suara juga telah ditingkatkan.

    Di China, Tiggo 8 Pro Max dijual dengan pilihan enjin 1.6T dan 2.0T, tetapi negara kita cuma akan menerima enjin 2.0T. Nama juga akan jadi berbeza di mana model ini nanti akan dipanggil cuma sebagai Tiggo 8 Pro untuk pasaran Malaysia, dan tidak mempunyai tambahan Max di belakangnya, seperti model China. Kita boleh jangkakan harganya berada sekitar harga Honda CR-V ataupun Mazda CX-8.

    Wakil daripada Chery Malaysia juga ada memberitahu kami bahawa Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro versi PHEV sah akan tiba di Malaysia dan kita boleh menjangkakan pelancarannya awal tahun hadapan. Apa pandangan anda dengan Tiggo 8 Pro ini? Adakah ia lebih menarik berbanding Proton X90 atau Mazda CX-8?

     
     
  • Neta V EV dari China dilancarkan di Malaysia bulan hadapan – Intro Synergy dilantik sebagai pengedar

    Neta V EV dari China dilancarkan di Malaysia bulan hadapan – Intro Synergy dilantik sebagai pengedar

    Pengeluar kereta elektrik China, Neta, telah merancang untuk memasuki Malaysia bulan hadapan, dengan memperkenalkan crossover Neta V sebagai model pertamanya bagi pasaran sini, seperti yang dinyatakan sebelum ini melalui laman web Neta Malaysia. Perkara ini didedahkan oleh Intro Synergy, yang dilantik sebagai pengedar di negara ini.

    Merupakan anak syarikat GoAuto Group, Intro Synergy berkata, ia telah menandatangani perjanjian lima tahun dengan Hozon New Energy Auto, dan bersama rakan kongsinya akan melabur sekitar RM300 juta untuk membangunkan rangkaian jualan dan selepas jualannya serta kilang pembuatan untuk pemasangan tempatan.

    “Kami teruja untuk mengumumkan kerjasama kami dengan Neta, yang akan membolehkan kami membawa kenderaan elektrik inovatif kami pada harga yang berpatutan dan kompetitif kepada lebih ramai pelanggan di Malaysia. Kami berharap jenama ini akan diterima baik oleh orang ramai dan seterusnya meningkatkan penerimaan EV di negara ini,” kata pengerusi kumpulan GoAuto Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal.

    Neta V EV dari China dilancarkan di Malaysia bulan hadapan – Intro Synergy dilantik sebagai pengedar

    Neta V dipertontonkan di Thailand awal bulan lepas. Crossover semua-elektrik ini diperkenalkan pada tahun 2020 dan menggunakan platform HPC yang sama digunakan untuk Neta U-II. Di Thailand, Neta V menampilkan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik di depan dengan janaan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 150 Nm tork.

    Dengan jarak perjalanan 384 km mengikut standard NEDC (kadar WLTP biasanya 20% lebih rendah), model ini lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, dengan laju maksimum 101 km/j dan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat.

    Untuk pengecasan, Neta V menerima input AC maksimum (Type 2) 6.6 kW, dengan satu cas penuh mengambil masa lapan jam. Turut ada pengecasan DC dengan maksimum 100 kW yang membekalkan bateri dari 30-80% dalam masa 30 minit. Sementara itu, output sistem vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW untuk kegunaan peranti luaran.

    Neta V di Bangkok International Motor Show 2023

    Neta S di Bangkok International Motor Show 2023

     
     
  • JPJ Selangor kenalpasti 23 lokasi yang kerap berlaku kemalangan untuk dipantau sepanjang Aidilfitri

    JPJ Selangor kenalpasti 23 lokasi yang kerap berlaku kemalangan untuk dipantau sepanjang Aidilfitri

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengenal pasti 23 lokasi hotspot yang kerap berlaku kemalangan jalan raya untuk dipantau menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 18 April lalu.

    Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Kamarunzaman Ahmad berkata, antara lokasi tersebut ialah Lebuhraya Persekutuan, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dan Kilometer (KM) 9 hingga KM 16 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), laporan Utusan Malaysia.

    “Kita dapat maklumat mengenai kawasan kerap kemalangan ini berdasarkan data daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain pemantauan, kita juga mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka melakukan kesalahan di bawah bidang undang-undang JPJ,” katanya.

    JPJ Selangor kenalpasti 23 lokasi yang kerap berlaku kemalangan untuk dipantau sepanjang Aidilfitri

    Tambahnya, operasi penguatkuasaan dilaksanakan hingga 27 April 2023 melibatkan 325 anggota anggota penguatkuasa JPJ negeri. Untuk Ops kali ini juga pihaknya akan memberi tumpuan kepada penunggang motosikal, antaranya yang berkaitan dengan lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan teknikal.

    “Saya mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil gambar dan merakam video sekiranya mereka nampak ada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. Mereka boleh menghantar gambar dan video tersebut di talian hotline 03-55669442 atau emel [email protected],” ujarnya.

    Dalam pada itu, Kamarunzaman memaklumkan kenderaan membawa barangan seperti lori dan traktor tidak dibenarkan menggunakan jalan persekutuan dan negeri di dalam Selangor pada empat hari yang ditetapkan iaitu 20 hingga 21 April dan 24 hingga 25 April.

     
     
  • Kadar khas saman RM50 untuk semua jenis kesalahan kecuali yang belum selesai bicara mahkamah – JSPT

    Kadar khas saman RM50 untuk semua jenis kesalahan kecuali yang belum selesai bicara mahkamah – JSPT

    Bagi memberikan penjelasan yang lebih tepat mengenai penawaran kadar khas saman trafik RM50 seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri ANwar Ibrahim baru-baru ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik berkata, semua saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya layak menikmati kadar berkenaan kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana di luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, tawaran yang diumumkan oleh PM itu adalah berbeza dengan tawaran diskaun saman PDRM sehingga 60% sempena Peringatan Hari Polis ke-216 baru-baru ini.

    Katanya, diskaun sempena Hari Polis sebelum ini mempunyai beberapa jenis saman yang tidak layak untuk diberikan diskaun pengurangan antaranya kes kemalangan, kesalahan tidak boleh kompaun, tidak patuhi isyarat lampu merah dan saman berstatus waran, laporan Harian Metro.

    Kadar khas saman RM50 untuk semua jenis kesalahan kecuali yang belum selesai bicara mahkamah – JSPT

    “Tetapi bagi Kadar Khas Bayaran Saman yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin, ia berbeza dan lebih berbaloi daripada diskaun 60%itu kerana orang awam hanya perlu bayar RM50 untuk satu saman.

    “Orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara bermula 21 April hingga 21 Mei 2023,” katanya.

    Tambah beliau lagi, PDRM juga tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.

     
     
  • LLM jangka 2.3 juta kenderaan sehari guna tiga lebuhraya utama hingga 7 Mei 2023 sempena Aidilfitri

    LLM jangka 2.3 juta kenderaan sehari guna tiga lebuhraya utama hingga 7 Mei 2023 sempena Aidilfitri

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuhraya utama mulai hari ini hingga 7 Mei 2023 sempena perayaan Aidilfitri. Tiga lebuhraya berkenaan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, LLM berkata, bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, pihaknya telag mengarahkan syarikat konsesi lebuhraya mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik tersebut. Ini termasuklah menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula semalam hingga 7 Mei ini.

    Syarikat konsesi juga disarankan mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi pengguna lebuh raya utama berkenaan untuk membantu mereka merancang perjalanan, serta memaparkan maklumat trafik dan peringatan menambah nilai Touch n’ Go atau e-Wallet sebelum memulakan perjalanan di papan tanda elektronik (VMS).

    LLM jangka 2.3 juta kenderaan sehari guna tiga lebuhraya utama hingga 7 Mei 2023 sempena Aidilfitri

    Malahan syarikat konsesi juga diminta untuk membuka lorong tol tambahan di lokasi yang dikenalpasti mempunyai trafik tinggi, selain menempatkan petugas di plaza tol bagi membantu pengguna dalam memastikan kelancaran trafik semasa inisiatif tol percuma berkuat kuasa pada 19-21 April dan 24 April 2023.

    “Bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma yang bermula hari ini hingga 21 April serta 24 April, kad Touch n’ Go atau SmartTAG perlu disentuh di plaza tol manakala pengguna Radio Frequency Identification (RFID) perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID,” kata LLM.

    LLM juga memaklumkan akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) secukupnya bagi menangani sebarang insiden, selain menyediakan kemudahan tambahan di tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat sepanjang PLUS serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

     
     
  • Harga minyak 20-26 April – Tiada perubahan

    Harga minyak 20-26 April – Tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 20 hingga 26 April 2023, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-17 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Chery Omoda 5 EV tampil di pameran Shanghai Auto Show 2023, bakal tiba di Malaysia hujung tahun ini

    Chery Omoda 5 EV tampil di pameran Shanghai Auto Show 2023, bakal tiba di Malaysia hujung tahun ini

    Di Auto Shanghai 2023 ketika ini, antara model yang mendapat perhatian ialah Chery Omoda 5 EV. Ia versi elektrik bagi SUV Omoda 5, dan kini kelihatan seperti menghampiri peringkat akhir pengeluarannya. Lebih menarik, Omoda 5 EV ini juga akan masuk ke pasaran Malaysia, dengan pengenalannya dijangka berlangsung pada penghujung 2023.

    Hal ini dikongsikan oleh pegawai Chery Malaysia yang ditemui di sana, yang menambah bahawa SUV EV berkenaan akan dibawa masuk sebagai unit CBU dari China. Ini berbeza daripada Omoda 5 enjin petrol yang dipasang di sini, dan akan dilancarkan tak lama lagi sebagai unit CKD.

    Chery Omoda 5 EV tampil di pameran Shanghai Auto Show 2023, bakal tiba di Malaysia hujung tahun ini

    Perincian rasmi tentang Omoda 5 EV masih samar-samar, tetapi pada Julai 2022, Chery Malaysia pernah mengeluarkan borang kaji selidik berkaitan Omoda 5 EV, menyatakan perincian seperti output 150 kW (204 PS) dan 400 Nm, dengan bateri 64 kWh dan jarak perjalanan WLTP sejauh 450 km. Turut disebut ialah pengecasan pantas DC dari 0-80% SOC dalam masa 40 minit dan pengecasan AC dalam masa lima jam.

    Berbanding Omoda 5 versi biasa, model EV mempunyai wajah depan yang berbeza: tiada corak gril yang menonjol, yang digantikan dengan penampilan lebih ringkas yang tertutup. Omoda, sub-jenama Chery di China, nampak dieja dengan jelas di situ. Rim aero juga mengenakan penyudah dua-tona.

    Chery Omoda 5 EV tampil di pameran Shanghai Auto Show 2023, bakal tiba di Malaysia hujung tahun ini

    Di dalam, unit yang dipamerkan ini menunjukkan skim warna yang menarik dengan biru menjadi warna utamanya, dan kontras dengan jahitan kuning serta kemasan kayu yang nampak segar. Di setereng masih menampakkan nama Chery, serta papan pemuka moden disediakan dengan skrin besar dan slot telefon. Tiada tuil gear yang sama seperti model bukan EV-nya yang kelihatan.

    Berapa agaknya harga Omoda 5 EV ini bila sampai di Malaysia nanti?

     
     
  • Honda e:NS2 Prototype, e:NP2 Prototype dan e:N SUV buat penampilan pertama di Auto Shanghai 2023

    Honda e:NS2 Prototype, e:NP2 Prototype dan e:N SUV buat penampilan pertama di Auto Shanghai 2023

    Honda e:N SUV Concept

    Honda telah membawa tiga model elektrik baru ke Auto Shanghai 2023, dengan dua daripadanya adalah prototaip, iaitu e:NP2 Prototype dan e:NS2 Prototype, sementara satu lagi merupakan model konsep, dipanggil sebagai e:N SUV.

    Tema nama e:N untuk kenderaan elektrik penuh seperti yang mula diperkenalkan pada tahun 2021 melalui e:NS1 dan e:NP1 masih digunakan pada model baru ini dan kita boleh menjangkakan kesinambungan rekaan melaluinya, dengan masing-masing diubah sedikit supaya dapat dibezakan.

    Menurut Honda, e:NP2 dan e:NS2 yang menggunakan rekaan ala fastback ini mendapat cermin belakang yang besar, digabungkan bersama utiliti cemerlang SUV serta bentuk kemas sedan, selain dapat menawarkan “kepuasan memandu unik yang membenarkan pemandu menikmati rasa kesatuan bersama kenderaan.”

    Honda e:NS2 Prototype, e:NP2 Prototype dan e:N SUV buat penampilan pertama di Auto Shanghai 2023

    Honda e:NP2 Prototype

    Kedua-duanya juga akan mendapat ruang dalaman yang “menyampaikan rasa pintar dengan bentuk bulat yang kemas, tidak berselerak dan bersih, digabungkan bersama kelengkapan canggih seperti Honda Connect 4.0.”

    Perincian kuasa, dimensi atau spesifikasi model-model ini masih belum didedahkan, tetapi Honda memberitahu, ia dirancang memasuki pasaran China awal tahun 2024. Menurut jangkaan kami, ia juga akan dibuat oleh Dongfeng Honda dan GAC Honda seperti e:NP1 dan NS1.

    Honda e:NS2 Prototype, e:NP2 Prototype dan e:N SUV buat penampilan pertama di Auto Shanghai 2023

    Honda e:NS2 Prototype

    Bagi model konsep e:N SUV pula, kajian rekaan yang dibuat adalah berbeza berbanding model yang pernah ditunjukkan dengan nama sama pada tahun 2021 lalu. Sebagai contoh, muka hadapan N SUV sebelum ini telah diganti dengan rekaan yang lebih organik dan tradisional.

    Model ini dijangka tiba di pasaran sebelum penghujung tahun 2024, dan akan menjadi model pertama yang menggunakan platform e:N Architecture W khas untuk model siri e:N RWD dan AWD yang lebih premium. Ia juga akan dipasang dengan sistem keselamatan serta bantuan pemandu terkini Honda dan juga teknologi Honda Connect kawalan AI.

     
     
  • Suzuki Malaysia siar teaser GSX-8S – bawah RM38k?

    Suzuki Malaysia siar teaser GSX-8S – bawah RM38k?

    Pengedar rasmi motosikal Suzuki di Malaysia nampaknya sejak beberapa hari lalu rancak menyiarkan teaser model baru di laman media sosial. Tidak seperti kebanyakan teaser lain, model tersebut tidak disembunyikan, dan sebaliknya jelas menunjukkan ia adalah GSX-8S.

    Model naked ini pertama kali didedahkan kepada dunia sewaktu pameran EICMA yang berlangsung di Itali November tahun lalu. Ia dianggap sebagai satu penyambung generasi kepada model naked tahun 70-an dan 80-an Suzuki, dan akan bersaing dalam pasaran antaranya dengan Kawasaki Z650, Yamaha MT-07 dan Aprilia Tuono 660.

    Kuasa penggerak GSX-8S datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik. Kotak gear enam kelajuan bersama sistem pacuan rantai digunakan untuk menyalurkan kuasa kepada roda belakang, dan rim menggunakan saiz 17 inci.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, manakala bentuk badannya pula mengikuti model yang lebih besar iaitu GSX-S1000. Model baru ini menyediakan tiga mod tunggangan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Tarikh sebenar model ini akan dilancar atau didedahkan secara rasmi masih belum diketahui. Sekiranya mahu meletakkan jangkaan harganya, kita boleh mengambil contoh di United Kingdom, GSX-8S ini dijual pada harga 7,999 pound (RM44,174) dan lebih murah berbanding V-Strom 650 XT yang berharga 8,799 pound (RM48,592). Di Malaysia V-Strom 650 XT dijual pada harga RM37,989 dan berkemungkinan GSX-8S ini nanti boleh jadi lebih murah daripada harga itu.

    GALERI: Suzuki GSX-8S

     
     
  • Kerajaan tanggung RM93 juta untuk pemberian Tol Rahmah, anggaplah sebagai duit raya – Ahmad Maslan

    Kerajaan tanggung RM93 juta untuk pemberian Tol Rahmah, anggaplah sebagai duit raya – Ahmad Maslan

    Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa kerajaan menanggung kira-kira RM93 juta bagi pemberian Tol Rahmah percuma kepada pengguna lebuh raya sempena cuti Hari Raya Aidilfitri selama empat hari, yang sudahpun bermula hari ini.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, jumlah itu adalah anggaran awal oleh Pejabat Belanjawan Negara untuk dibayar kepada konsesi yang terlibat.

    Kerajaan tanggung RM93 juta untuk pemberian Tol Rahmah, anggaplah sebagai duit raya – Ahmad Maslan

    “Anggaplah itu (pemberian Tol Rahmah) sebagai duit raya, ini sebahagian daripada duit rakyat juga yang kita berikan semula kepada rakyat bagi memberikan peluang kepada pengguna lebuh raya balik ke kampung halaman atau menziarahi keluarga sempena Aidilfitri,” katanya.

    Pemberian Tol Rahmah percuma ini diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim semalam. Ia melibatkan 33 Lebuhraya di seluruh negara dan manfaat tersebut mula diberikan pada tengah malam tadi sehingga 21 April (Jumaat) dan juga pada 24 April (Isnin).

     
     
  • JKR sediakan panduan jalan alternatif bagi zon utara, selatan, tengah dan timur sempena sambutan Aidilfitri

    JKR sediakan panduan jalan alternatif bagi zon utara, selatan, tengah dan timur sempena sambutan Aidilfitri

    Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyediakan panduan jalan alternatif untuk kegunaan orag ramai yang mahu pulang ke kampung halaman atau pun mana-mana destinasi sempena sambutan Aidilfitri ini. Jalan alternatif berkenaan melibatkan zon utara, selatan, tengah dan timur.

    Untuk zon selatan, ia melibatkan perjalanan dari Seremban melalui Jelebu ke Karak, dari Jempol/Kuala Pilah ke Karak, Temerloh dan Muadzam, serta dari Tol Ayer Keroh ke bandar Melaka. Selain itu, untuk yang ingin ke daerah di Johor, panduan jalan alternatif turut disediakan bagi perjalanan yang menghubungkan daerah Muar, Segamat, Kluang dan Pontian yang melalui Batu Pahat.

    Bagi zon tengah dan timur pula, pengguna yang ingin ke Kota Bahru, bolehlah melalui Kuala Lipis dari persimpangan Tol Bentong di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK). Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan laluan FT34 dari persimpangan Tol Bentong (KLK) atau dari Bentong melalui Raub untuk ke Kota Bahru.

    JKR sediakan panduan jalan alternatif bagi zon utara, selatan, tengah dan timur sempena sambutan Aidilfitri

    Jika anda datang dari arah Gua Musang, jalan alternatif lain untuk ke Kota Bahru ialah menggunakan laluan Kuala Krai. Manakala bagi yang datang dari persimpangan Tol Ajil (di LPT2), boleh menggunakan laluan Hulu Terengganu untuk ke Kota Bahru. Atau pun dari persimpangan Tol Kuala Terengganu (LPT2) untuk Jalan Pantai (Kota Bahru).

    Walau bagaimana pun, diingatkan bahawa laluan FT2747 iaitu dari Gua Musang hala ke Kuala Lumpur sedang ditutup untuk kerja-kerja pembinaan projek Central Spine Road Pakej 3. Untuk anda yang menghala ke Kuala Terengganu, bolehlah menggunakan laluan Kuala Ibok jika anda dari Chukai.

    Untuk zon Perak tengah, jika datang dari arah Pantai Remis/Persimpangan Tol Ijok (Lebuhraya Latar), anda boleh menggunakan laluan Kuala Selangor untuk ke Sabak Bernam dan Teluk Intan.

    JKR sediakan panduan jalan alternatif bagi zon utara, selatan, tengah dan timur sempena sambutan Aidilfitri

    Manakala bagi zon utara pula, jalan alternatif yang disarankan oleh JKR melibatkan dari persimpangan Jalan Teluk Intan/Changkat Jong (Hotel Grand Court) melalui Padang Tembak untuk ke Kg Gajah, Ipoh dan Bidor/Lebuhraya PLUS (melalui susur keluar 128 di Sungkai). Untuk ke Sungai Siput dan Batu Gajah, anda boleh melalui jalan alternatif dari Gopeng/Persimpangan Simpang Pulai.

    Pengguna yang datang dari arah persimpangan Tol Kuala Kangsar, anda boleh melalui Kuala Kangsar untuk ke Sungai Siput/Ipoh. Anda boleh menggunakan Jalan Gerik-Kuala Kenderung (A 170) dan Jalan Benderiang-Bersia Lama (A 171) ke Jeli, Kelantan atau Jalan Gerik-Ulu Kenderung (A 169) ke Kupang, Kedah.

    Untuk yang ingin ke Alor Setar, Kuala Lumpur dan Yan, anda boleh menggunakan Jalan Pulau Bunting sekiranya anda datang dari arah Persimpangan Tol Gurun. Yang menuju ke Tokai, Alor Setar dan Tanah Merah, boleh melalui Bukit Raya jika dari Kobah.

    Anda boleh rujuk gambarajah di bawah untuk mengetahui pelan laluan jalan alternatif yang disediakan oleh JKR ini. Walau bagaimana pun, untuk pengetahuan anda, semua jalan yang terlibat merupakan ‘jalan dalam’, bukannya lebuhraya. Apa pun, diharapkan perjalanan anda lancar dan selamat sampai ke destinasi yang ditujui. Jangan lupa untuk amalkan pemanduan selamat.

    Panduan Jalan Alternatif Zon Selatan

    Panduan Jalan Alternatif Zon Tengah & Timur

    Panduan Jalan Alternatif Zon Utara

     
     
  • Nissan GT-R Top Secret TS R35GTR Gold sah akan ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023; 815 PS!

    Nissan GT-R Top Secret TS R35GTR Gold sah akan ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023; 815 PS!

    Top Secret adalah antara penala dari Jepun yang sah akan menyertai Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023 yang akan berlangsung di Malaysia pada Jun nanti. Dan jentera yang sah akan dipamerkan di reruai Top Secret nanti adalah ini – Nissan GT-R TS R35GTR Gold, iaitu kereta yang sama dipamerkan oleh Top Secret di Tokyo Auto Salon 2023 Januari lalu!

    Ini adalah antara unit-unit R35 terbaharu yang dibina oleh pengasas Top Secret, Smokey Nagata. TS R35GTR Gold ini masih dijana oleh enjin VR38DETT 3.8 liter V6, tetapi telah dirombak semula secara keseluruhan membolehkan kuasanya diekstrak sehingga 815 PS, berbanding hanya 570 PS untuk versi standard.

    Sistem ekzos juga dipertingkat dengan pemadanan sports catalyzer dari Trust, diadun dengan muffler titanium binaan Top Secret sendiri. Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan GR6 dari Borg Warner, namun ia telah ditingkat taraf dengan penggunaan set klac juga dari Top Secret.

    Bagi memastikan kereta ini kekal stabil pada kelajuan lebih dari 300 km/j, ia dipadankan dengan kit aero rekaan Top Secret, terdiri dari set fender lebih lebar, bampar hadapan dan juga komponen-komponen dari material gentian karbon termasuk spoiler hadapan, skirt sisi dan juga spoiler gergasi pada penutup but belakang.

    Nissan GT-R Top Secret TS R35GTR Gold sah akan ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023; 815 PS!

    Bagi mengurangkan beratnya, penutup bonet hadapan dan juga but belakang turut dihasilkan menggunakan material gentian karbon. Akhir sekali badan kereta ini disudahkan dengan warna emas ikonik Top Secret Candy Gold.

    Untuk bahagian roda, GT-R TS R35GTR Gold ini dipadankan dengan set rim O.Z Futura generasi baharu dari versi khas dibuat untuk Top Secret. Set rim berkenaan menampilkan saiz 20-inci dengan lebar 11j pada kesemua bahagian, tetapi dengan offset berbeza iaitu ET33 di hadapan dan ET10 di belakang. Ia dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE71RS bersaiz 285/35R20 di hadapan dan 285/35R20 di belakang.

    Manakala untuk pengendalian, suspensi GTR ini ditingkat taraf menerusi pemadanan set coilover Top Secret Dumptronic yang menampilkan penyerap hentak Top Secret Time Attack SPL bersama spring dari Swift. Lengan-lengan suspensi asal juga tidak lagi digunakan dan diganti dengan komponen keluaran Top Secret.

    Nissan GT-R Top Secret TS R35GTR Gold sah akan ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023; 815 PS!

    Top Secret biasanya akan menjual kereta-kereta ‘demo car’ mereka pada orang awam, tak terkecuali GT-R TS R35GTR Gold ini. Dan, Smokey Nagata juga sudah diumumkan akan turun sendiri ke TASKL 2023 ini, jadi jika anda berminat untuk membeli kereta ini boleh berunding terus dengannya kelak.

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 akan berlangsung di dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Jun 2023. Tiket untuk acara ini sudahpun mula dijual secara atas talian menerusi laman web rasminya.

    Selain Top Secret, antara penala Jepun lain yang sudah disahkan akan menyertai acara ini termasuk Trust/Greddy, RE Amemiya, Spoon dan HKS.

     
     
  • Nombor plat pendaftaran ‘AMY 1’ dibida dengan nilai RM400k, RM6j diperoleh untuk siri ini – JPJ Perak

    Nombor plat pendaftaran ‘AMY 1’ dibida dengan nilai RM400k, RM6j diperoleh untuk siri ini – JPJ Perak

    Ternyata nombor plat pendaftaran kenderaan ‘AMY 1’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menjadi ‘nombor panas’ apabila menerima bidaan tertinggi dengan nilai RM400,000.

    Menurut Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan, ia menjadi bidaan tertinggi menerusi sesi yang berlangsung selama lima hari sejak 9 April 2023. Malahan jumlah bidaan itu lebih tinggi berbanding nombor plat kenderaan siri ‘AKU’ termasuk ‘AKU 8055’ (RM74,000) serta ‘AKU 1’ (RM207,898.90) yang dikeluarkan pada Ogos 2017, laporan Berita Harian.

    Tambahnya, menerusi sesi bidaan itu yang berakhir 13 April lalu, pihaknya mengutip hasil bidaan sebanyak RM6 juta hanya bagi nombor pendaftaran siri ‘AMY’.

    “Selepas ‘AMY 1’, jumlah tertinggi seterusnya disusuli oleh plat ‘AMY 2’ hingga ‘AMY 9’ dengan nilai masing-masing melebihi RM80,000 setiap satu. Dengan siri ‘AMY’ sekarang, saya melihat trend macam orang banyak duit memandangkan hampir semua nombor popular sudah dibida dan dimiliki. Masih ada 16 sahaja nombor berbaki membabitkan nombor popular bagi siri ‘AMY’,” katanya kepada pihak media.

    Adakah pembida yang berjaya mendapat ‘AMY 1’ ini bernama Amy (atau mungkin ada Amy yang istimewa di hatinya)? Agak-agak nombor plat ini akan dipadankan dengan model kenderaan apa ya?

     
     
  • Kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuhraya dihentikan sementara hingga 7 Mei – Menteri KKR

    Kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuhraya dihentikan sementara hingga 7 Mei – Menteri KKR

    Semalam ramai pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Timur meluahkan rasa tidak puas hati apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan teruk dari KM20.1 hingga KM30.8 di lebuhraya terbabit, berhampiran dengan Bentong disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya. Apatah lagi sejak semalam lagi, orang ramai sudah mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini.

    Perkara ini turut mendapat perhatian Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang telah mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dihentikan sementara serta merta hingga 7 Mei 2023.

    Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan tidak mengganggu perjalanan orang ramai sepanjang perayaan Aidilfitri sekali gus memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna lebuh raya, laporan Harian Metro.

    Kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuhraya dihentikan sementara hingga 7 Mei – Menteri KKR

    “Kerja penyelenggaraan itu perlu bagi memastikan lebuh raya kita berada pada tahap terbaik, tetapi kerja-kerja itu kita boleh tangguh dahulu supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya semasa perayaan ini. Itu yang penting,” katanya.

    Tambahnya, pemberhentian kerja penyelenggaraan itu dipersetujui semua syarikat konsensi lebuh raya dan arahan tersebut dikeluarkan berikutan tular video di media sosial berhubung kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak disebabkan penutupan lorong kecemasan dan kiri untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

     
     
  • PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai hingga 1 Mei 2023

    PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai hingga 1 Mei 2023

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0. Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula hari ini dan berlangsung sehingga 1 Mei 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

    Ini merupakan inisiatif PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim perayaan Aidilfitri 2023, kata PLUS.

    Tambahnya lagi, pengaktifan Smartlane juga akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di Lebuhraya PLUS bergantung kepada keadaan trafik semasa. Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan ini turut menasihati pengguna lebuhrayanya agar patuhi papan tanda trafik dan arahan petugas PLUS ketika melalui lokasi tersebut.

    PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai hingga 1 Mei 2023

    Sebelum ini, PLUS juga pernah mengaktifkan laluan Smartlane di lokasi yang sama sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari lalu.

    Pada Oktober 2019, PLUS telah melaksanakan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual di Lebuhraya NKVE iaitu dari laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam bagi mengatasi aliran kesesakan trafik. Ujian yang sama turut dilaksanakan pada Januari 2022, juga melibatkan laluan yang sama.

    Melihat akan keberkesanan SmartLane ini, PLUS turut mengaktifkan laluan yang sama sewaktu musim perayaan Deepavali pada Oktober tahun lalu. Ia melibatkan dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu di antara persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai, arah utara dari KM19.0 hingga KM27.0. Ia turut diaktifkan di laluan dari Port Dickson ke Seremban, arah utara dari KM260 hingga KM263.1.

     
     
  • Kes pengguna jalan raya disaman kerana tak pamer cukai jalan – polis akui kesilapan, anggota disiasat

    Kes pengguna jalan raya disaman kerana tak pamer cukai jalan – polis akui kesilapan, anggota disiasat

    Susulan kes seorang pengguna jalan raya yang mendakwa dia disaman oleh polis kerana memandu kenderaan yang tidak dilekat dengan pelekat cukai jalan semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa kes itu telah diselesaikan dan mengakui ia adalah kesilapan yang dibuat oleh anggotanya.

    “Pada 18/04/2023, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah mengesan satu posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook menggunakan pemilik akaun benama “Faiz Sulaiman” yang telah berkongsi satu posting dan gambar sehelai saman POL. 257 yang telah dikeluarkan kepada beliau.

    “Semakan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya mendapati, saman tersebut telah dikeluarkan oleh anggota polis peronda pada 16/04/2023 atas kesalahan gagal mempamer cukai jalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Petaling Jaya,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Bin Abdul Hamid dalam kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan.

    Beliau turut menyatakan bahawa arahan telah dikeluarkan kepada petugas-petugas di lapangan untuk tidak mengeluarkan saman berkaitan kesalahan tidak mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan telah diumumkan oleh menterinya, Anthony Loke pada Februari lalu.

    Kes pengguna jalan raya disaman kerana tak pamer cukai jalan – polis akui kesilapan, anggota disiasat

    Fakhrudin turut mengesahkan siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terlibat atas kecuaian yang dilakukan serta saman berkenaan telah pun dibatalkan.

    Terdahulu Faiz Sulaiman telah membuat hantaran di akaun Facebook miliknya menyatakan bahawa dia telah disaman kerana tidak mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin hadapan, serta tidak menunjukkan cukai jalan digital pada aplikasi digital kerana kereta tersebut adalah milik pelanggan.

    Ia jelas bercanggah dengan apa yang ditulis dalam laman sesawang Kementerian Pengangkutan sendiri di mana pengguna jalan raya kini tidak lagi diwajibkan menampal pelekat cukai jalan dan tidak wajib menggunakan aplikasi MyJPJ kerana pegawai penguatkuasa boleh memeriksa maklumat tersebut menggunakan peranti yang telah dibekalkan.

    Namun siang tadi Faiz telah memadam hantaran tersebut dan menyatakan bahawa pihak berkuasa telah menghubunginya dan mengakui kesilapan yang dibuat oleh anggota terbabit.

     
     
  • PDRM beri kadar khas RM50 untuk saman trafik 2022 dan sebelumnya mulai 21 April 2023 selama sebulan

    PDRM beri kadar khas RM50 untuk saman trafik 2022 dan sebelumnya mulai 21 April 2023 selama sebulan

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kadar khas bayaran saman mulai 21 April 2023 selama sebulan. Ia adalah bagi semua saman trafik PDRM yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya.

    Menurut Anwar, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada 2023.

    “Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan. Maka, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

    “Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April ini bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’. Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan-laluan hotspots seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya pada sidang media hari ini.

     
     
  • Lesen PSV bagi pemandu e-hailing dipercepatkan dan boleh diperoleh dalam tempoh seminggu – Loke

    Lesen PSV bagi pemandu e-hailing dipercepatkan dan boleh diperoleh dalam tempoh seminggu – Loke

    Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan jaminan urusan mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi pemandu e-hailing kini dipercepat dan boleh diperoleh dalam tempoh seminggu.

    Menurut menterinya, Anthony Loke, keputusan ini dibuat selepas pemansuhan ujian teori bagi PSV yang mula berkuat kuasa sejak 10 April lalu.

    “Sebelum ini, setiap pemandu perlu menunggu antara dua hingga tiga bulan bagi mendapatkan lesen PSV. Malah, kapasiti untuk meluluskan lesen PSV amat terhad iaitu sekitar 200 ke 300 pemandu seminggu disebabkan pelaksanaan ujian teori berkenaan,” katanya selepas Majlis Majlis Penyerahan Lesen PSV kepada 300 calon pemandu e-Hailing Grab pagi tadi.

    Lesen PSV bagi pemandu e-hailing dipercepatkan dan boleh diperoleh dalam tempoh seminggu – Loke

    Tambahnya, “Sebelum ini syarikat pengendali e-hailing (EHO) memaklumkan lebih 2,000 permohonan bagi mendapatkan lesen PSV tertangguh terutama di Lembah Klang. Menerusi kerjasama dengan EHO ini, kita berjaya menyelesaikan lebih 2,000 permohonan lesen PSV yang tertunggak sejak tiga bulan lalu.”

    Pada majlis berkenaan, Loke turut menyampaikan lesen PSV kepada pemandu e-hailing orang kelainan upaya (OKU) pekak. Di mana seramai 210 daripada 2,295 calon pemandu e-hailing Grab adalah pemandu OKU.

    “Sebelum ini pemandu e-hailing OKU pekak tidak dibenarkan memandu, namun kini dibenarkan oleh kerajaan. Data daripada EHO menunjukkan pemandu pekak boleh memandu dengan baik dan tidak timbul isu keselamatan kepada penumpang, malah mereka adalah pemandu yang berhemah,” katanya.

     
     
  • PM umum ‘Tol Rahmah’ percuma sempena Hari Raya Aidilfitri; 19-21 & 24 April 2023 di 33 Lebuhraya

    PM umum ‘Tol Rahmah’ percuma sempena Hari Raya Aidilfitri; 19-21 & 24 April 2023 di 33 Lebuhraya

    Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan tol percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebentar tadi.

    Untuk tahun ini, buat pertama kali tol percuma yang digelar sebagai inisiatif Tol Rahmah berkenaan pengecualian bayaran selama empat hari iaitu dari 19 hingga 21 April dan 24 April di 33 Lebuhraya seluruh negara.

    Senarai kesemua lebuhraya tersebut adalah seperti berikut:
    PM umum ‘Tol Rahmah’ percuma sempena Hari Raya Aidilfitri; 19-21 & 24 April 2023 di 33 Lebuhraya

    Dalam pengumuman yang dibuat sebentar tadi itu, PM turut mengumumkan kerajaan turut memberikan tambahan satu hari cuti Hari Kelepasan Am untuk raya tahun ini. Sekiranya 1 Syawal jatuh pada Hari Sabtu, cuti tambahan tersebut akan diberikan pada 21 April 2023 (Jumaat), manakala jika 1 Syawal pada Hari Jumaat, maka cuti tambahan akan diberi pada 24 April 2023 (Isnin).