Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pemandu Honda Civic yang kemalangan di jalan Genting Highlands ada rekod 11 saman — PDRM

    Pemandu Honda Civic yang kemalangan di jalan Genting Highlands ada rekod 11 saman — PDRM

    Awal minggu ini tular sebuah video yang menunjukkan sebuah Honda Civic FD berlumba haram dan terbabas di tepi jalan ketika ingin mengambil selekoh dalam perjalanan naik Genting Highlands.

    Kemalangan yang hanya melibatkan kereta itu berlaku Ahad lepas di KM 14.6 di jalan berkenaan menunjukkan kereta itu dipandu dengan cara merbahaya dan laju ketika memasuki selokoh yang agak tajam, yang mana pemandunya kemudian menekan brek ketika di dalam selekoh dan menyebabkan kereta itu terbabas kemudiannya.

    Terbaru, PDRM mendedahkan maklumat tambahan berkaitan kejadian yang berlaku jam 7.25 pagi itu, yang menyaksikan pemandu berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketika dalam siasatan berkaitan kejadian itu, pemandu berkenaan didapati memiliki 11 saman trafik di bawah namanya.

    Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata pemandu itu telah dipanggil untuk soal siasat dan pemeriksaan lanjut mendapati beliau memiliki rekod saman lampau. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta 333, Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas sebab pemandu secara merbahaya.

    Untuk semua pengguna di jalan raya, berhati-hatilah dan jangan pentingkan diri sendiri. Jika rasa hebat untuk berlumba, masuklah ke litar dan lumpa sepuasnya. Malang tidak berbau.

     
     
  • Sebastien Loeb kembali ke Kejohanan Rallycross Dunia dengan Lancia Delta Evo-e RX musim ini!

    Sebastien Loeb kembali ke Kejohanan Rallycross Dunia dengan Lancia Delta Evo-e RX musim ini!

    Juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) sembilan kali, Sebastien Loeb diumum akan kembali untuk berlumba dalam musim penuh Kejohanan Rallycross Dunia (World RX) bermula tahun ini bersama pasukan Special One Racing.

    Bagi yang belum mengetahui, World RX kini menampilkan kelas RX1e bagi menggantikan kategori RX1 Supercar sebelum ini, menyaksikan kesemua jentera yang bertanding dalam kelas tertinggi tersebut dijana dengan kuasa elektrik sepenuhnya. Untuk itu Special One Racing memilih Lancia Delta Evo-e RX binaan GCK Motorsport untuk bertanding dalam WRX kali ini.

    Dua buah Delta Evo-e RX akan digunakan oleh pasukan tersebut, di mana sebuah lagi akan dipandu oleh pemilik pasukan Special One dan GCK Motorsport sendiri iaitu Guerlain Chicherit.

    GCK Motorsport menggunakan asas Lancia Delta Integrale sebenar sebagai asas Delta Evo-e RX ini, dan bukannya sebuah jentera baharu yang kelihatan seperti kereta klasik tersebut. Sama seperti jentera-jentera RX1e yang lain, Delta Evo-e RX turut menerima kit rangkaian kuasa dua motor elektrik pacuan empat roda yang dibangunkan oleh Kreisel Electric dari Austria, menghasilkan 500 kW atau 680 hp.

    Sebastien Loeb kembali ke Kejohanan Rallycross Dunia dengan Lancia Delta Evo-e RX musim ini!

    Selain dari jentera rallycross sebenar ini, GCK Motorsport turut menghasilkan Lancia Delta Evo-e untuk dijual dalam pasaran umum, iaitu model restomod Delta Integrale yang masih nampak seperti model asal, tetapi enjin 2.0 liter turbo telah digantikan dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

    Ini bukan penampilan pertama Loeb dalam WRX. Sebelum ini Loeb pernah menyertai kejohanan berkenaan bermula musim 2016 sehingga 2018 dengan memandu Peugeot 208. Sepanjang tempoh tersebut Loeb telah memulakan 36 perlumbaan, dan 15 daripadanya ditamatkan dengan kedudukan podium.

    “Saya dari generasi yang menyaksikan Lancia Delta menang dalam banyak perlumbaan rali, jadi secara semula jadi saya mempunyai kelemahan terhadap kereta ini,” kata Loeb yang kini sudahpun berusia 49-tahun.

    “Tetapi Guerlain yang mula-mula bercakap dengan saya berkenaan berlumba dalam musim penuh menggunakannya, saya ingat dia gila! Selepas itu saya cuba kereta ini Disember lalu dan terus yakin dengan kualiti dinamiknya. Saya mempunyai kepercayaan yang besar terhadap projek ini dan saya tak sabar untuk menang dengannya di litar seluruh dunia.

    “Saya sangat bermotivasi untuk cabaran ini, dan saya rasa rallycross merupakan disiplin yang sesuai untuk elektrifikasi kerana ia mempunyai kuasa yang banyak dan perlumbaannya singkat. Kereta-kereta ini sangat mengujakan untuk dipandu, dan World RX merupakan platform yang sempurna untuk menunjukkan evolusinya. Persembahan di litar sangat menakjubkan, dengan persaingan sengit dan aksi lebih menarik dari sebelum ini, dan sekarang kita ada peluang untuk menarik peminat generasi baharu,” jelas Loeb.

    World RX untuk musim 2023 ini akan bermula Jun nanti dengan pusingan pertama akan dilangsungkan di Montalegre, Portugal pada 3 hingga 4 Jun, diikuti pusingan-pusingan Eropah yang lain. Ia kemudiannya akan di bawa ke Cape Town, Afrika Selatan dan Hong Kong untuk perlumbaan musim bunga nanti.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia pada Mac 2023 naik 24%

    Jualan kenderaan di Malaysia pada Mac 2023 naik 24%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Mac 2023, menyaksikan sebanyak 78,849 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Jumlah tersebut ternyata melebihi apa yang dicapai pada Februari 2023 iaitu sebanyak 15,339 unit dengan 63,510 unit yang direkodkan pada bulan lalu, mewakili peningkatan sebanyak 24.15%.

    Rekod jualan yang dicatatkan pada Mac 2023 menjadi prestasi terbaik bagi jumlah keseluruhan jualan (TIV) bulanan setakat ini, melepasi pencapaian yang dicatatkan pada Disember lalu dengan 76,657 unit.

    Persatuan ini berkata lonjakan angka tersebut disebabkan syarikat pengeluar kereta yang bertungkus lumus memenuhi tempahan yang dibuat dalam tempoh pengecualian cukai jualan yang berakhir pada hujung Mac. Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh usaha syarikat pengedaran dalam menghantar tempahan pelanggan sebelum tahun kewangan berakhir pada 31 Mac.

    Berbanding bulan yang sama pada 2022, Mac tahun ini merekodkan angka yang lebih tinggi cecah 7.64% (atau 5,599 unit) berbanding 73,250 unit yang dicapai tahun lalu. Manakala TIV untuk tiga bulan pertama tahun 2023 pula kini cecah 192, 474 unit, lebih 32,628 unit (atau 20.4%) berbanding 159,846 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

    MAA turut meramalkan jualan untuk April lebih rendah berbanding Mac disebabkan waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

     
     
  • Sime Darby Motors masuk pasaran Indonesia bagi BMW, MINI bersama PT Performance Motors Indonesia

    Sime Darby Motors masuk pasaran Indonesia bagi BMW, MINI bersama PT Performance Motors Indonesia

    Sime Darby telah memasuki pasaran kereta penumpang Indonesia dengan PT Performance Motors Indonesia, kerjasama antara anak syarikat Sime Darby, Sime Singapore dan Galeon Group. PT Performance Motors Indonesia memasuki Jakarta dan Medan dengan dua pengedaran yang mewakili jenama BMW dan MINI.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat terbabit, pembukaan kedua-dua lokasi di Jakarta dan Medan merupakan titik permulaan bagi perkembangan Sime Darby Motors bagi pasaran Indonesia, dan ia akan diperkembangkan ke jajahan lain termasuk di Jawa dan Sumatera seperti mana sasaran BMW Group yang ingin memperluaskan pasarannya di negara berkenaan.

    Ditubuhkan lebih 22 tahun yang lalu, BMW Group Indonesia yang dimiliki sepenuhnya oleh BMW AG, dan kini mengalu-alukan kedatangan Sime Darby Motors menyertai rangkaian pengedaran BMW Group Indonesia serta menjalinkan kerjasama dengan Galeon Group sebagai keyakinan yang tinggi terhadap kehadiran syarikat berkenaan di Indonesia, sekaligus memperkukuhkan lagi prestasi jualan kedua-dua jenama berkenaan di pasaran ini, ujar presiden BMW Group Indonesia, Ramesh Divyanathan.

    Sime Darby Motors masuk pasaran Indonesia bagi BMW, MINI bersama PT Performance Motors Indonesia

    “Menyertai perniagaan automotif sejak tahun 1989, Galeon mempunyai kepakaran dan kefahaman kritikal tentang persada automotif tempatan. Kami berharap untuk terus berkembang bersama BMW Group Indonesia sebagai rakan kongsi strategik, dan bekerjasama rapat untuk mengembangkan jenama BMW dan MINI di Indonesia,” kata CEO Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Jeffri Salim Davidson.

    “Sime Darby mempunyai pengalaman berharga dalam sektor automotif merentasi rantaian nilai dan akan menjadikan rakan kongsi yang hebat untuk berkembang bersama. Dengan pengalaman automotif dan BMW yang kukuh Sime Darby, sistem back-end yang kukuh dan kapasiti kewangan yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan, kami yakin perkongsian ini akan membawa kejayaan,” kata ketua Galeon Grouo Leonel Gozali.

    Minggu lalu, BMW Indonesia telah terpilih sebagai rakan kongsi mobiliti mampan untuk KTT ASEAN 2023 yang akan berlangsung di Labuan Bajo pada 9 hingga 11 Mei ini, dan menyumbangkan sebanyak 13 unit kenderaan elektrik BMW iX untuk digunakan oleh pemimpin dari 10 buah negara yang akan ke sana bagi menghadiri persidangan tersebut.

     
     
  • Pengguna keliru masih kena saman kerana tidak pamerkan pelekat cukai jalan pada cermin kereta

    Pengguna keliru masih kena saman kerana tidak pamerkan pelekat cukai jalan pada cermin kereta

    Kemaskini: Faiz telah mengesahkan bahawa wakil dari pihak berkuasa sudahpun memberikan penjelesan kepadanya serta mengakui kesilapan yang berlaku dari pihak mereka. Kenyataan oleh pihak polis pada PAUTAN INI

    Seorang pengguna Facebook dengan akaun bernama Faiz Sulaiman membuat hantaran semalam menyatakan dia telah disaman oleh polis kerana tidak mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin hadapan, walaupun pada Februari lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke sudah mengumumkan bahawa pelekat berkenaan tidak perlu lagi dipamerkan.

    Faiz yang juga salah seorang pelumba yang mengendalikan Perodua Myvi pasukan JV Motorsport pada perlumbaan Sepang 1000 KM (S1K) tahun lalu menyatakan bahawa dia disaman ketika sekatan jalan raya yang dibuat berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada Sabtu lalu atas alasan gagal mempamer cukai jalan.

    Menurutnya ketika itu dia memandu kenderaan milik pelanggan yang tidak menampalkan pelekat cukai jalan berkenaan pada cermin hadapan. Alasan diberikan oleh polis bertugas yang mengeluarkan saman tersebut adalah kerana Faiz bukan sahaja tidak mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin, malah tidak menunjukkan cukai jalan digital pada aplikasi MyJPJ.

    Pengguna keliru masih kena saman kerana tidak pamerkan pelekat cukai jalan pada cermin kereta

    Polis berkenaan turut menyatakan bahawa pemilik kenderaan yang tidak dilekat dengan pelekat cukai jalan tersebut perlu memberikan ID aplikasi MyJPJ kepada pemandu bagi membolehkan pemandu masuk ke akaun aplikasi MyJPJ di telefon bimbitnya.

    Anggota berkenaan turut bertegas sekiranya pemandu tidak berjaya mengakses ke aplikasi MyJPJ, ia perlu dirujuk terus ke JPJ.

    Apa yang dijelaskan oleh anggota polis tersebut nampaknya bercanggah dengan apa yang diumumkan oleh Anthony Loke tempoh hari. Menteri berkenaan menjelaskan bahawa aplikasi MyJPJ tidak wajib digunakan oleh mana-mana pengguna jalan raya kerana pihak penguatkuasa mempunyai peranti khas mereka bagi memeriksa rekod cukai jalan dan juga lesen pemandu.

    Pengguna keliru masih kena saman kerana tidak pamerkan pelekat cukai jalan pada cermin kereta

    Tangkap layar dari laman sesawang Kementerian Pengangkutan berkenaan cukai jalan digital

    Malah dalam laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan sendiri dengan jelas ditulis aplikasi MyJPJ tidak diwajibkan untuk pengguna jalan raya, dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka yang memandu kenderaan milik orang lain dan tidak menunjukkan cukai jalan digital tersebut kerana penguatkuasa mempunyai peranti khas bagi memeriksa rekod yang diperlukan.

    Diharapkan kekeliruan ini dapat diatasi antara JPJ dan Polis kerana ia boleh menyusahkan pengguna.

    Pengguna keliru masih kena saman kerana tidak pamerkan pelekat cukai jalan pada cermin kereta

     
     
  • Chevrolet panggil semula 3,725 unit kenderaan di Malaysia berhubung inflator beg udara Takata

    Chevrolet panggil semula 3,725 unit kenderaan di Malaysia berhubung inflator beg udara Takata

    Walaupun sudah tidak lagi bertapak di Malaysia, jenama automotif dari Amerika Syarikat iaitu Chevrolet tetap menjalankan tanggungjawabnya untuk memanggil semula sejumlah 3,725 unit kenderaan keluarannya yang telah dijual di sini berkenaan masalah inflator beg udara yang dibekalkan syarikat Jepun, Takata.

    Panggilan semula ini dibuat oleh Chevrolet Thailand dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan ia melantik Honda Malaysia untuk melakukan kerja-kerja pembaikkan di cawangan-cawangan pusat servis terpilih. Kumpulan kali ini bukan hanya melibatkan kenderaan dengan jenama Chevrolet, malah sebilangan kecil kereta berjenama Saab.

    Model-model yang terlibat dalam panggilan semula ini adalah seperti berikut:

    ● Chevrolet Cruze: model tahun 2010–2015
    ● Chevrolet Orlando: model tahun 2013–2015
    ● Chevrolet Sonic: model tahun 2013–2014
    ● Chevrolet TRAX model tahun 2017
    ● SAAB 9-3: model tahun 2007

    “Kadar sambutan di Malaysia adalah di bawah jangkaan. Ini membimbangkan kerana kematian mungkin berlaku jika beg udara yang rosak teraktif ketika berlakunya. Kami berharap masyarakat membantu menyebarkan peringatan ini, atau memaklumkan segera kepada rakan dan orang tersayang yang mungkin memiliki kenderaan Chevrolet yang tersenarai,” kata jurucakap Chevrolet Thailand dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Pemilik kenderaan Chevrolet yang terlibat yang tidak menerima makluman atau panggilan kerana data pemilikan dalam sistem yang sudah lapuk, adalah digalakkan untuk menghubungi pasukan petugas kami atau log masuk ke laman web kempen panggilan balik untuk mendapatkan butiran lanjut. Demi untuk keselamatan anda dan insan yang anda sayangi, kami menggesa para pemilik kenderaan yang masih belum tampil untuk segera menukar beg udara sebelum memulakan perjalanan di musim perayaan kelak,” tambahnya lagi.

    Chevrolet turut menambah bahawa memandangkan kenderaan yang terlibat bukan baharu, sukar untuk mengesan pemilik yang terkini oleh kerana data pelanggan yang sudah lapuk. Ini ditambah lagi dengan ketiadaan pejabat rasmi Chevrolet di Malaysia.

    Bagaimanapun, memandangkan penggantian beg udara percuma itu dikendalikan oleh pengedar sah Honda terpilih, Chevrolet berharap para pemilik kenderaan akan memanfaatkan kemudahan rangkaian pusat servis Honda yang komprehensif. Walaupun tarikh akhir untuk kerjasama itu belum diumumkan, pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini secepat mungkin, kerana kerjasama antara Chevrolet dan Honda Malaysia ini hanya untuk tempoh yang terhad.

    Chevrolet panggil semula 3,725 unit kenderaan di Malaysia berhubung inflator beg udara Takata

    Ia turut menjelaskan kerja-kerja untuk mendapatkan khidmat menukar beg udara secara percuma ini mungkin akan menjadi sangat sukar sebaik sahaja kerjasama dengan Honda Malaysia berakhir.

    Kempen panggilan balik untuk penukaran beg udara Takata di bahagian pemandu ini berpunca daripada inflator beg udara yang mengandungi tablet pendorong (propellent) Ammonium Nitrat Stabil Berfasa (Phased Stabilized Ammonium Nitrate atau PSAN) yang tidak kering.

    Ia mungkin terjejas setelah mengalami perubahan akibat terdedah kepada suhu tinggi dan kitaran suhu siang dalam persekitaran kelembapan tinggi. Ketika beg udara diaktfikan ketika kemalangan berlaku, inflator mungkin meletup dan pecah jika penjanaan gas melebihi keupayaan inflator untuk mengeluarkan gas.

    Letupan itu boleh menerbangkan serpihan tajam lagi berbahaya ke arah pemandu dan juga penumpang, yang bukan hanya mengakibatkan kecederaan serius malah maut.

    Kempen panggilan semula untuk menggantikan inflator beg udara ini sebenarnya sudah bermula sejak tahun lalu. Selain Honda Malaysia, Chevrolet turut melantik Saphan9 Engagement, iaitu firma perundingan komunikasi dan kandungan untuk mengendalikan hal-hal berkaitan yang mencakupi pengumuman rasmi, khidmat pelanggan, pengurusan aset digital, maklumat dan data pelanggan.

    Pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk melayari laman web kempen ini di www.chevrolettakatarecallmy.com di mana mereka akan dibimbing bagaimana untuk membuat tempahan slot penggantian, melalui tiga langkah mudah:

    1. Cari nombor VIN: Panduan untuk mengenalpasti nombor VIN kenderaan anda juga tersedia dalam laman sesawang tersebut. Nombor VIN adalah penting untuk mengesahkan status kenderaan yang terlibat.

    2. Panggilan untuk temujanji: Senarai pengedar sah Honda yang terpilih akan turut dipaparkan. Pemilik kenderaan boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Honda yang berdekatan dari senarai yang disediakan tersebut dengan menyatakan nombor VIN kenderaan untuk diperiksa status kenderaan mereka dan membuat tempahan slot penggantian secara percuma jika terlibat.

    3. Pemilik kenderaan akan diminta untuk berkongsi butiran mereka bagi membolehkan Chevrolet membuat pemakluman dan kemaskini yang penting berkenaan dengan kempen panggilan semula ini.

    Selain hebahan media, Chevrolet turut berusaha untuk menghubungi pemilik kenderaan-kenderaan yang terlibat dengan pelbagai cara lain termasuk jangkauan melalui platform media sosial, SMS dan e-mel. Pasukan panggilan juga telah disediakan untuk menghubungi pemilik kenderaan yang mungkin mengalami kesukaran sambungan internet.

    Untuk pertanyaan lanjut, pemilik-pemilik kenderaan boleh menghubungi talian 011 3129 9963 atau 011 3129 9965.

     
     
  • Nissan Fairlady RZ34 Greddy Stance sah ke Tokyo Auto Salon KL 2023 – 659 ps, kit badan Rocket Bunny

    Nissan Fairlady RZ34 Greddy Stance sah ke Tokyo Auto Salon KL 2023 – 659 ps, kit badan Rocket Bunny

    Nissan Fairlady Z (atau Nissan Z di Amerika Syarikat) generasi baharu dengan kod casis RZ34 telah didedahkan untuk peringkat global pada Ogos 2021. Model ini nampaknya hanya dijual di pasaran Jepun dan AS, dan langsung tiada bayang bahawa ia akan turut dipasarkan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.

    Jadi jika anda nak lihat ‘Devil Z’ versi moden ini, jangan lupa untuk datang ke Tokyo Auto Salon KL yang berlangsung pada Jun nanti, kerana penala Jepun Trust/Greddy sudah mengesahkan bahawa ia akan turut ke KL membawa Greddy Stance RZ34!

    Kereta ini masih digerakkan enjin asal RZ34 iaitu unit VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo. Namun berbanding versi standard yang menjana 400 hp dan tork maksima 475 Nm, enjin pada Greddy Stance RZ34 ini telah diubahsuai bagi mengekstrak kuasa maksima sehingga 652 ps.

    Tiada perincian apa yang dibuat pada enjin tersebut, namun ia disahkan menerima sistem ekzos lengkap GReddy Power Extreme R.

    Nissan Fairlady RZ34 Greddy Stance sah ke Tokyo Auto Salon KL 2023 – 659 ps, kit badan Rocket Bunny

    Kuasa masih disalurkan ke gandar belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan manual. Namun bagi menyampaikan kuasa berkenaan dengan lebih efisien, ia kini telah menggunakan set klac yang masih dalam peringkat prototaip OS Giken, serta unit LSD asal juga telah dibuka dan digantikan dengan komponen dari OS Giken.

    Bahagian paling menyerlah pada Greddy Stance Z34 ini sudah tentulah pada penampilan luarannya kerana ia dipadankan dengan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny rekaan Kei Miura dari Tra Kyoto. Kit ini hadir dengan bampar hadapan bersama dengan muncung lebih rendah, bersama gril bawah yang kini berbentuk trapezoid terbalik.

    Bampar berkenaan turut datang dengan spoiler bawah dan juga canard udara yang agresif. Walaupun ia masih menggunakan lampu hadapan standard, rekaan bampar ini telah pun menghilangkan rupa sebuah Fairlady S30Z klasik yang menjadi inspirasi pereka Nissan dalam menghasilkan model generasi baharu ini.

    Di belakang, bamparnya dirombak semula bagi memberikan diffuser yang lebih agresif bersama ruang untuk menempatkan sepasang tip sistem ekzos GReddy Power Extreme R. Manakala spoiler ‘ekor itik’ asal turut telah dibuka dan diganti dengan unit lebih besar.

    Nissan Fairlady RZ34 Greddy Stance sah ke Tokyo Auto Salon KL 2023 – 659 ps, kit badan Rocket Bunny

    Keempat-empat ruang roda Fairlady ini diberikan overfender yang lebih lebar. Namun sedikit berbeza dari rekaan-rekaan Kei Miura sebelum ini, ia tidak mendedahkan bahagian rivet cantuman, dan pada bahagian atas ruang roda tersebut kini direka lebih rata. Skirt sisi juga telah dipadankan dengan unit lebih lebar bagi disesuaikan dengan kesemua fender berkenaan.

    Rupa luaran kereta ini dilengkapkan dengan set rim Work Meister S1 berdiameter 19-inci, dengan lebar 10.5J (offset -46) di hadapan serta 12j (offset -65) di belakang, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 265/30R19 di hadapan dan 295/30R19 di belakang.

    Berbeza dengan demo car Trust/Greddy lain yang lazimnya akan dipadankan dengan penyerap hentak boleh laras keluaran mereka sendiri, Greddy Stance RZ34 ini diberikan suspensi udara yang dihasilkan oleh Air Lift Performance. Ini membolehkan badan kereta ini bebar-benar rapat ke permukaan tanah apabila sedang parkir, dan ditinggikan semula untuk berjalan.

    Nissan Fairlady RZ34 Greddy Stance sah ke Tokyo Auto Salon KL 2023 – 659 ps, kit badan Rocket Bunny

    Pada sebelah dalam, ubahsuai yang dibuat agak ringan. Tempat duduk asal Nissan Fairlady Z ini telah dicabut dan diganti dengan tempat duduk bucket Bride edrib, dan ia turut dilengkapkan dengan set tali pinggang perlumbaan dari Greddy.

    Jadi jika anda nak lihat Greddy Stance RZ34 ini, jangan lupa untuk dapatkan tiket Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang telah pun mula dijual di laman web rasminya. Acara ini akan berlangsung di dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Jun 2023.

    Selain Trust/Greddy, antara penala Jepun lain yang sudah disahkan akan menyertai acara ini termasuk Top Secret, RE Amemiya, Spoon dan HKS. Malah pengasas Top Secret, Smoky Nagata juga merupakan antara ikon penala JDM yang dijangka akan turun ke TASKL 2023 ini.

     
     
  • MBPJ batalkan pelan aliran trafik kontra Petaling Jaya

    MBPJ batalkan pelan aliran trafik kontra Petaling Jaya

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan pelan aliran trafik kontra di Petaling Jaya akan dibatalkan mulai 19 April ini, laporan The Star.

    Keputusan untuk tidak meneruskan pelan ini diambil selepas ujian percubaannya. Pada Februari lalu, majlis bandaraya berkenana telah mengumumkan mulai 1 Mac, beberapa jalan dan persimpangan akan ditutup mulai 5 petang hingga 7.30 malam pada hari biasa untuk menguji laluan aliran kontra selama tiga bulan.

    Jalan dan persimpangan yang terbabit ialah persimpangan Jalan Othman–Jalan Templer, persimpangan Jalan Gasing–Jalan Templer, persimpangan Jalan Templer–Jalan 6/29, dan setiap pembukaan median di Jalan Templer.

    Sewaktu ujian percubaan berkenaan, pengguna jalan raya yang datang dari arah Jalan Gasing menghala ke Jalan Othman diminta untuk menggunakan Jalan Changgai 6/22 atau Jalan Anak Gasing 6/5-Jalan Tinggi 6/12-Jalan Selangor. Sementara yang datang dari arah Jalan Othman menghala ke Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) pula perlu membuat pusingan-U di bulatan Hospital Assunta.

    Walau bagaimana pun, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata pada hari pertama ujian percubaan tersebut dilaksanakan telah menyebabkan kesesakan teruk di bulatan Assunta, di mana ada pengguna jalan raya yang membuat pusingan-U secara salah di jalan median di sepanjang Jalan Templer.

     
     
  • JPJ senarai tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun, penguatkuasaan ketat sepanjang 18-27 April ini

    JPJ senarai tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun, penguatkuasaan ketat sepanjang 18-27 April ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan senarai tujuh kesalahan trafik yang tidak boleh dikompaun sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Dimaklumkan, mereka yang didapati melakukan semua kesalahan ini dalam tempoh 10-hari operasi Hari Raya yang akan berlangsung dari 18-27 April ini akan dikemukakan saman dan pesalah perlu ke mahkamah untuk penyelesaian lanjut.

    Tujuh kesalahan yang tidak boleh dikompaun yang dimaksudkan termasuklah: menggunakan telefon bimbit ketika memandu; melanggar lampu isyarat; memandu dalam lorong kecemasan; memandu melebihi had laju; memotong di garisan berkembar; memotong barisan dan tidak menggunakan tali keledar (atau helmet). JPJ juga akan menjalankan penguatkuasaan yang ketat untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan.

    Ini adalah susulan daripada pengumuman Menteri Pengangkutan berkaitan pengharaman kenderaan berat daripada berada di atas jalan sepanjang empat hari, dari 20 dan 21 April serta 24 dan 25 April bagi mengelakan kesesakan trafik dan risiko kemalangan. Pengurangan had laju kebangsaan kepada 80 km/j di seluruh negara juga akan dilaksanakan.

     
     
  • Mitsubishi masih pengeluar bukan nasional ke-3 terlaris di Malaysia; jualan naik 27% untuk TK22

    Mitsubishi masih pengeluar bukan nasional ke-3 terlaris di Malaysia; jualan naik 27% untuk TK22

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 24,315 unit kenderaan sepanjang Tahun Kewangan 2022 (TK22 iaitu April 2022 hingga Mac 2023). Ini menunjukkan bahawa syarikat tersebut berjaya menjual 27% lebih banyak kenderaan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    Angka jualan ini juga merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan oleh MMM sejak ia ditubuhkan pada 2005. Ia juga membolehkan MMM memegang bahagian pasaran sebanyak 3.2%, menjadi jenama bukan nasional ketiga paling laris di Malaysia.

    Mitsubishi Xpander masih kekal sebagai MPV bukan nasional paling laris dalam pasaran tempatan, terjual sebanyak 13,794 unit sepanjang TK22. Angka tersebut dilihat naik 52.2% berbanding TK21, dan ia menjadi penyumbang utama jualan keseluruhan dengan mewakili 57%.

    Mitsubishi masih pengeluar bukan nasional ke-3 terlaris di Malaysia; jualan naik 27% untuk TK22

    Jualan selebihnya adalah disumbangkan oleh trak pikap Mitsubishi Triton yang berjaya dijual sebanyak 10,520 unit. Angka jualan yang dicatatkan Triton ini juga adalah 12% lebih tinggi dari Tahun Kewangan sebelumnya. Dan dengan bahagian pasaran 18% yang dipegang, Triton adalah trak pikap nombor dua paling laris di Malaysia.

    “Triton dan Xpander telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan jualan kami pada TK22. Untuk menamatkan tahun kewangan yang berjaya, kami akan terus fokus terhadap penambahbaikan pengalaman pembelian dan perkhidmatan pelanggan untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang, memastikan pengalaman yang lancar,” kata CEO MMM, Shinya Ikeda.

    Beliau turut mengumumkan bahawa untuk perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini, Mitsubishi Ralliart akan bertanding menggunakan trak pikap Mitsubishi Triton generasi baharu bagi mempertahankan gelaran juara yang telah dirangkul dalam AXCR 2022.

    Mitsubishi masih pengeluar bukan nasional ke-3 terlaris di Malaysia; jualan naik 27% untuk TK22

    Model produksi Triton generasi kelima berkenaan dijadualkan akan diperkenalkan untuk peringkat global di Thailand tidak lama lagi, dan ia adalah versi produksi untuk trak pikap Mitsubishi XRT Concept yang telah didedahkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 bulan lalu.

    Trak pikap perlumbaan sebenar yang bakal dihasilkan dalam spesifikasi FIA T1 Cross Country Prototype itu kelak mungkin akan tampil dengan rupa serupa seperti XRT Concept kerana ia dilihat telahpun menerima perincian seperti rim aloi Work Crag T-Grabic II bersama tayar mud-terrain, dua set tayar gantian pada bed belakang dan juga unit snorkel untuk ‘menyelam’ merentas sungai.

    “Penyertaan kami dalam perlumbaan rali bukan hanya akan mencerminkan model Triton baharu tetapi juga merentasi rangkaian luas kenderaan Mitsubishi. Kami optimis tentang masa depan jenama Mitsubishi Motors dan kehadirannya di Malaysia,” tambah Ikeda.

     
     
  • PDRM laksana Op Lancar pada 18-19 April dan Op Selamat 20 pada 20-27 April sempena Aidilfitri

    PDRM laksana Op Lancar pada 18-19 April dan Op Selamat 20 pada 20-27 April sempena Aidilfitri

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melaksanakan Op Lancar dan Op Selamat 20 bagi memastikan kelancaran trafik serta penekanan pada pencegahan jenayah pecah rumah menjelang Aidilfitri. Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Op Lancar akan dilaksanakan bermula 18 hingga 19 April bagi memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

    Manakala menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 hingga 27 April 2023 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

    “Fokus utama operasi ini untuk memastikan aliran trafik yang lancar, meminimakan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau lagi, sepanjang Op Selamat 20 ini juga, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut akan dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi-lokasi titik panas yang telah dikenalpasti, seterusnya menyalurkan info tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan penyuraian trafik.

    “Pengguna jalan raya juga diminta peka dengan info trafik terkini menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya. Pengguna jalan raya boleh bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pesalah trafik yang melanggar undang-undang melalui rakaman video atau gambar agar tindakan dapat diambil,” katanya.

    Acryl Sani berkata, bagi kedua-dua operasi berkenaan, pihaknya menggerakkan seluruh jentera PDRM membabitkan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), rondaan bit, risikan dan operasi yang akan digerakkan secara sistematik. Bahkan PDRM turut bekerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik terutama di jalan-jalan negeri dan perbandaran.

    “PDRM menasihatkan pengguna jalan raya bertimbang rasa dalam pergerakan, sentiasa berhemah, berhati-hati, dan fokus dalam pemanduan agar Aidilfitri dapat disambut dalam kesejahteraan,” katanya.

     
     
  • ANIH jangka Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 bakal sesak sempena Aidilfitri – saran pengguna rujuk TTA

    ANIH jangka Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 bakal sesak sempena Aidilfitri – saran pengguna rujuk TTA

    Peringatan: Elakkan guna lorong kecemasan

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), menjangkakan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan dua lebuh raya itu sempena Aidilfitri.

    Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula dari 19 hingga 21 April. Manakala kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei ini.

    “Peningkatan kenderaan itu memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Pekerja. Kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan dua lebuh raya ini pada musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    ANIH jangka Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 bakal sesak sempena Aidilfitri – saran pengguna rujuk TTA

    Klik untuk besarkan imej

    Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) (seperti yang dipaparkan pada imej di atas) dan mula mengedarkannya di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong sejak 16 April lalu. Selain itu, ANIH Berhad turut memuat naik maklumat di laman sosial sebagai rujukan kepada pengguna lebuh raya.

    Bagi mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan, ANIH turut menambah sehingga 30% bilangan kakitangan sokongan di plaza tol dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan. Manakala
    lebih 140 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya.

    Selain itu, jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik juga ditingkatkan sebanyak 20% dan memperbanyakkan rondaan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh berkenaan.

    ANIH jangka Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 bakal sesak sempena Aidilfitri – saran pengguna rujuk TTA

    “Sebelum memulakan perjalanan, ingatan penting untuk pengguna agar memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol.

    “ANIH Berhad juga bersiap sedia memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya jika ada berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diduga dengan bantuan dan kerjasama daripada pasukan Emergency Response Team (ERT) iaitu daripada pasukan St John Ambulance, bomba dan polis,” katanya.

    Katanya, maklumat tepat dan terkini, pengguna boleh mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur), Twitter, (@LPTTrafik) Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).

     
     
  • MOT umum larangan kenderaan barangan dari 20-21 April dan 24-25 April 2023 sempena Hari Raya Aidilfitri

    MOT umum larangan kenderaan barangan dari 20-21 April dan 24-25 April 2023 sempena Hari Raya Aidilfitri

    Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan larangan kenderaan barangan (road-ban) berada di jalan raya khususnya lebuhraya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini.

    Larangan ini akan dikuatkuasakan pada 20-21 April (sebelum perayaan) dan 24-25 April 2023 (selepas perayaan) bagi mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya kenderana persendirian yang pulang ke kampung halaman.

    “Tujuan utama road-ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian,” ujar kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut MOT, kategori 1 melibatkan larangan sepanjang masa iaitu dalam tempoh yang dinyatakan. Ia melibatkan kenderaan berat termasuk car carrier, tipper, dumper, dan tiping yang yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), low loader, pole trailer, bulk cement tanker, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda dan traktor.

    MOT umum larangan kenderaan barangan dari 20-21 April dan 24-25 April 2023 sempena Hari Raya Aidilfitri

    Bagi kategori 2 pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya. Serta lori mengangkut hasil pengeluaran kelapa sawit, dan getah, serta lori kargo tanpa muatan.

    Seterusnya bagi kategori 3 pula membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

    Bagaimana pun, menurut MOT, jentera berat beroda dan kren bergerak diberi pengecualian melaksanakan kerja-kerja kecemasan. “Manakala kenderaan barangan atau jenis barangan yang tidak dinyatakan dibenarkan untuk berada di jalan raya pada tempoh waktu larangan ini,” tambahnya lagi.

     
     
  • Iklan raya Proton 2023 – papar kisah berdasarkan Sarjan Ismail, pencipta nama ‘Saga’ pada 1984

    Tahun ini merupakan ulangtahun ke-40 untuk syarikat automotif nasional pertama negara, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton). Macam-macam yang akan Proton buat tahun ini untuk merayakan sambutan tersebut, antaranya bakal memperkenalkan model skala kecil Hot Wheels Proton Saga, dan melancarkan SUV tiga baris tempat duduk serba baharu Proton X90.

    Sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang akan disambut umat Islam tidak sampai seminggu lagi, Proton menayangkan video iklan istimewa yang turut menyelitkan tema ulangtahun empat dekadnya – mempersembahkan, video raya bertajuk “Sarjan Saga”.

    Video raya ini diinspirasikan dari kisah Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang, iaitu individu yang dipilih sebagai pemenang ‘Pertandingan Menamakan Kereta Nasional’ pada tahun 1984. Sarjan Ismail menang pertandingan berkenaan bukan sahaja nama ‘Saga’ yang diberikan tersebut mudah disebut, malah ia adalah akronim yang padat serta memberikan makna yang baik dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

    Sarjan Ismail menerangkan bahawa Saga adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (Pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Ability (Kebolehan). Beliau mendapat idea untuk menghasilkan akronim ini ketika dia dan rakan-rakannya bermain permainan ‘Scrabble’ dan ternampak empat perkataan tersebut.

    Iklan raya Proton 2023 – papar kisah berdasarkan Sarjan Ismail, pencipta nama ‘Saga’ pada 1984

    Bukan sahaja nama berkenaan berasal dari akronim yang sangat bermakna, malah ‘Saga’ turut mempunyai maksud yang begitu baik – dalam bahasa melayu ia adalah nama biji keras berwarna merah dari pokok Saga (abrus precatorius) yang banyak terdapat di Malaysia, manakala dalam bahasa inggeris pula Saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa.

    Staf Sarjan Ismail Jaafar menerima sebuah Proton Saga sebagai hadiah kemenangannya itu setelah model berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 1 September 1985.

    Walau bagaimanapun, Saga tersebut terpaksa dijual oleh Sarjan Ismail bagi menampung perbelanjaan pengajian anak-anak serta membayar balik pinjaman perumahan – babak berkenaan turut dilakonkan semula dalam video raya Proton ini.

    Sarjan Ismail telah meninggal dunia pada 12 Januari 2018 ketika berusia 71 tahun. Beliau sempat mengerjakan ibadah haji bersama isterinya pada tahun 2017 dan menghembuskan nafas terakhir dirumahnya sendiri yang terletak di Sungai Petani, Kedah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudahtus Solihin Amanjaya. Sebelum meninggal dunia, allahyarham disahkan menghidap sakit jantung, sakit buah pinggang dan juga diabetis.

    Iklan raya Proton 2023 – papar kisah berdasarkan Sarjan Ismail, pencipta nama ‘Saga’ pada 1984

    Menurut balu Sarjan Ismail, Sariah Abdul Rahman, sebelum meninggal dunia juga Sarjan Ismail pernah berhasrat untuk menjejak semula Proton Saga yang diterimanya tersebut kerana amat menyayanginya. Malah anak bongsu mereka, Siti Sarismahaniza (meninggal dunia pada 2016) juga telah membelikan sebuah Proton Gen 2 dengan nombor plat yang sama kira-kira tujuh tahun sebelum itu untuk ayahnya.

    Nama Saga terus digunakan oleh Proton untuk model sedan paling mampu milik yang sentiasa menghuni bilik pamerannya dari 1985 sehingga kini. Selepas model generasi pertama yang diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore ditamatkan pengeluarannya pada 2008, ia digantikan pula dengan model generasi kedua, kali ini dihasilkan sepenuhnya oleh Proton dari casis hingga ke enjin.

    Model generasi ketiga Proton Saga pula diperkenalkan pada 2016, dan ia sebenarnya masih diasaskan dari kerangka model sebelumnya tetapi diberikan kejuteraan semula bagi memberikan kualiti yang lebih baik. Versi facelift untuk model ini muncul pada 2019 menampilkan pelbagai penambah baikkan termasuk kotak gear CVT digantikan dengan transmisi 4AT yang dibekalkan oleh Hyundai.

    Ia sekali lagi diberikan kemaskini pada tahun lalu menerusi Saga MC2, yang menerima perincian lebih baik seperti sistem ESC yang standard untuk semua varian, diberikan butang penghidup enjin untuk varian paling tinggi dan pelbagai lagi.

    GALERI: Proton Saga generasi pertama (versi Megavalve)

    GALERI: Proton Saga generasi kedua (versi FLX)

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium AT 2019

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

     
     
  • Lelaki bakar mercun di tepi MRR2 sudah ditahan polis

    Lelaki bakar mercun di tepi MRR2 sudah ditahan polis

    Susulan video memaparkan seorang lelaki yang membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sudahpun pun menahan individu terlibat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam laporan Bernama, lelaki warga tempatan berusia 35 itu ditahan pada jam 10 malam semalam di Jalan Dagang, Kuala Lumpur.

    Hasil siasatan mendapati suspek, seorang pemandu lori membakar mercun jenis cake (138) shot berhadapan stesen minyak Petronas Lotus Ampang atas permintaan pelanggan premis milik kawannya.

    “Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta negatif ujian saringan dadah dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini dan dibenarkan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga Rabu depan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menggunakan apa-apa bahan letupan yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau kerosakan harta atau kecederaan pada orang,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

    Mohamad Farouk menyatakan bahawa suspek juga disiasat mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana bermain dan membakar mercun dan bunga api. Beliau turut memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menggunakan bahan letupan membahayakan nyawa atau kerosakan atau kecederaan.

     
     
  • PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

    PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

    Kita di Malaysia bila sebut sahaja MPV Premium, tiadalah model lain yang akan terungkap dari mulut selain kembar Toyota Alphard dan Vellfire. Namun akhir-akhir ini, ada satu MPV Premium yang dilihat semakin ‘bersepah’ di atas jalan raya, dan apa yang menarik ia bukan jenama Jepun, tetapi adalah Kia Carnival dari Korea Selatan!

    Seperti yang kita tahu, jenama Korea bukanlah sesuatu yang popular di Malaysia. Berbagai alasan diberikan oleh pengguna tempatan untuk tidak memilih Kia dan Hyundai di sini, antaranya ada yang masih risau tentang isu alat ganti dan juga nilai jualan balik yang rendah.

    Jadi apa yang menyebabkan Kia Carnival generasi terkini ini boleh menongkah arus walaupun pelbagai persepsi negatif berkenaan model-model dari Korea? Kalau nak tahu, baca pengalaman penulis yang berpeluang menguji MPV ini.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • KTMB tawar tambang percuma hingga 16 April 2023 dari Stesen Kajang 2 ke mana-mana destinasi

    KTMB tawar tambang percuma hingga 16 April  2023 dari Stesen Kajang 2 ke mana-mana destinasi

    Orang ramai berpeluang menikmati tambang percuma dengan menaiki tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) dari Sstesen Kajang 2 mulai hari ini sehingga Ahad, 16 April 2023.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tawaran perkhidmatan percuma itu terpakai dari stesen berkenaan ke mana-mana stesen KTM menghala ke stesen Batu Caves atau stesen Pulau Sebang, laporan Malaysia Gazette.

    “Sempena pelancaran KTM yang baru ini, esok hingga Ahad boleh pakai (perkhidmatan dari KTM Kajang 2) untuk pergi membeli-belah sebelum raya Aidilfitri. Tren boleh sampai ke Midvalley, KL Sentral,” katanya.

    Anthony turut berkata, pembinaan stesen Kajang 2 meningkatkan kebolehhunian di kawasan tersebut sekaligus mewujudkan gaya hidup berkualiti.

    KTMB tawar tambang percuma hingga 16 April  2023 dari Stesen Kajang 2 ke mana-mana destinasi

    “Ia boleh diakses melalui beberapa lebuh raya utama antaranya SILK Highway, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras-Kajang dan Lebuhraya SKVE. Saya optimis pembinaan stesen Kajang 2 ini akan merubah wajah Kajang 2 ini kepada kawasan yang berdensiti tinggi dan lebih baik dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

    Dilancarkan pada 13 Mac 2023, Stesen KTMB Kajang 2 melibatkan 46 perkhidmatan tren beroperasi pada hari bekerja dan 33 perkhidmatan pada hari minggu dan hari kelepasan am. Perkhidmatan tren pertama adalah pada 6.15 pagi dari Stesen Kajang 2 menuju stesen KL Sentral dan tren terakhir dari KL Sentral ke Kajang 2 pada 10.45 malam hari bekerja.

    Manakala pada hari minggu dan kelepasan am, tren pertama dari Kajang 2 ialah 7.11 pagi dan tren terakhir dari KL Sentral pada 10.43 malam manakala kekerapan tren adalah 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.

     
     
  • CFMoto Papio XO-1, X0-2 diperkenal – minibike 125 cc

    CFMoto Papio XO-1, X0-2 diperkenal – minibike 125 cc

    CFMoto telah memperkenalkan dua model mini bike yang dipanggil sebagai Papio XO-1, dan XO-2. Sementara dua model ini cuma diperkenalkan untuk pasaran China, CFMoto memberitahu masih terdapat kemungkinan ia akan dieksport ke negara lain yang dilihat bersesuaian.

    Patio XO-1 dan XO-2 digerakkan oleh enjin satu silinder penyejukan udara 125 cc, bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 9.5 hp pada 8,500 rpm dan tork 7.8 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api.

    Walaupun dengan enjin yang sama, XO-1 dan XO-2 dibuat mempunyai penampilan yang berbeza. XO-1 lebih kepada motosikal sports retro dengan fairing jenis separuh, tempat duduk rata serta cermin sisi di hujung pemegang.

    CFMoto Papio XO-1, X0-2 diperkenal – minibike 125 cc

    XO-2 pula membawa gaya scrambler retro, dengan hanya mempunyai perumah untuk lampu (tiada fairing), penghadang lumpur yang terletak tinggi, tempat duduk yang bersambung antara hadapan dan belakang, serta pemegang yang kelihatan seperti lebih tinggi.

    Kelengkapan lain yang ada pada dua motosikal ini adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, lampu hadapan dan belakang LED, panel meter bulat ringkas dan rim 12 inci.

     
     
  • JPJ sahkan tidak keluarkan siri pendaftaran MADANI

    JPJ sahkan tidak keluarkan siri pendaftaran MADANI

    Ekoran promosi bidaan siri nombor pendaftaran khas MADANI yang tersebar menerusi laman media sosial sejak kebelakangan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan siri terbabit.

    “Dalam hal ini, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya serta menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih,” ujar JPJ menerusi Facebook rasminya.

    Bidaan siri MADANI 1 hingga 9999 itu dikatakan bagi mengabdikan dasar kepimpinan Malaysia Madani. Buat setakat ini, tidak diketahui siapakah pihak yang bertanggungjawab mempromosikan siri nombor pendaftaran khas tersebut. Justeru, orang ramai diminta untuk tidak terperdaya dan tidak ‘membida sebarangan’ bagi siri nombor pendaftaran yang tidak diiktiraf oleh JPJ.

     
     
  • VIDEO: Proton X90 2023 – info penuh – perincian luar dan dalam, 6-kerusi Flagship vs 7-kerusi Premium

    Proton X90 2023 telah pun didedahkan kepada media pada hujung bulan lalu. Namun ketika itu tiada sebarang gambar dapat kami rakamkan untuk anda kerana tidak dibenarkan oleh Proton, dan hanya gambar rasmi dari Proton dapat disiarkan.

    Minggu ini Proton sekali lagi membuat majlis pra-tonton sebelum ia dilancarkan tidak lama lagi, dan kali ini bukan hanya gambar foto, kami sempat sediakan satu video untuk anda meneliti dengan lebih terperinci apa penawaran yang diberikan dan apa perbezaan X90 ini berbanding kembarnya, Geely Haoyue dan Okavango pada pasaran China dan Filipina.

    SUV segmen-D dengan tujuh tempat duduk ini sudah boleh ditempah bermula 8 April lalu, namun harganya masih belum diumumkan. Malah tarikh pelancaran rasminya juga masih belum dimuktamadkan, tetapi dijangka selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

    Selain dari video yang kami sediakan di atas, anda turut mengetahui pelbagai fakta terperinci berkenaan X90 ini pada PAUTAN INI, dan perincian setiap varian boleh anda ketahui pada PAUTAN INI. Manakala untuk laporan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Jadi apa pendapat anda berkenaan SUV terbaharu dari Proton ini? Adakah Proton membuat keputusan yang betul untuk memperkenalkan SUV tiga baris tempat duduk dan bukan MPV tujuh-tempat duduk bagi menggantikan Proton Exora? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di ruang-ruang komen laman sosial kami yang lain termasuk saluran YouTube dan Facebook.

    Proton X90 1.5L Flagship 2023

    Proton X90 1.5L Premium 2023

    Pilihan warna Proton X90 2023