Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

    Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

    Seperti ramai yang sedia maklum, Proton akan memperkenalkan secara rasmi model terbarunya dalam masa tedekat, dan sudah dibuka untuk tempahan. Proton X90 2023, SUV ketiga daripada Geely selepas X70 dan X50 sebelum ini, dan bakal menjadi model flagship terbaru untuk jenama itu di pasaran tempatan. Kecuali harga, sudah banyak juga perkara dan perincian yang kita tahu tentang SUV ini. Dan, kali ini, kami akan berkongsi juga pandangan dan pengalaman awal selepas memandu uji secara ringkas Proton X90 pertengahan mingggu ini — bagaimana prestasinya di atas jalan?

    Ini kali kedua kami melihat dari dekat model terbabit, dengan kesempatan untuk bergilir-gilir memandu dari Shah Alam ke Genting Highland itu, kami sempat meluangkan masa untuk berada di dalamnya dan memerhatikan beberapa perkara yang menarik juga untuk dikongsi. Namun, perlu dinyatakan, lima unit Proton X90 yang menggunakan trade plate dan berada di atas jalan raya hari itu adalah unit pra-pengeluaran: maksudnya, mungkin ada lagi kemaskini yang akan dilakukan sebelum model sebenar untuk pasaran mula diedarkan kelak.

    Proton X90 2023 adalah model yang berasal daripada Geely Haoyue, sebuah SUV enam atau tujuh-tempat duduk yang akan menjadi model paling besar dan canggih untuk Proton selepas X70. Bagaimanapun, ia bukanlah “sebijik” seperti model pasaran China itu: banyak penyesuaian yang dilakukan untuk SUV berkenaan memenuhi selera dan keperluan pasaran tempatan. Ia dipasang di kilang Proton Tanjung Malim, dan akan ditawarkan dalam empat varian. Untuk laporan ini, kami sempat mendekati dua varian teratas X90, iaitu Premium dan Flagship.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 19 April-1 Mei di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidilfitri – PLUS

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 19 April-1 Mei di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidilfitri – PLUS

    Seperti amalan yang dilaksanakan pada musim perayaan yang lain, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut mengumumkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan yang bertujuan untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini bagi tempoh bermula 19 April hingga 1 Mei 2023.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, “Saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak dua juta kenderaan sehari bakal menggunakan Lebuhraya PLUS pada hari-hari puncak pada musim perayaan yang akan datang. Oleh itu, sila jangkakan kesesakan yang mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda.

    “Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya. Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti perayaan Aidilfitri, tetapi juga bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang selepas bercuti.”

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 19 April-1 Mei di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidilfitri – PLUS

    Bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 9 pagi. Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat seperti Perak (Tanjung Malim-Ipoh), Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya di antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

    Manakala bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada tempoh yang sama (19 April hingga 1 Mei), pengguna lebuh raya daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

    “Pengguna lebuh raya sentiasa dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna lebuh raya menggunakan mod pembayaran RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.

    Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka,” tambah Zakaria lagi.

    Menurut PLUS, sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini, semua kemudahan awam seperti surau, tandas dan stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah dibuka 24 jam setiap hari untuk kemudahan dan keselesaan pengguna lebuh raya. PLUS juga menempatkan anggota RELA di kawasan-kawasan tersebut untuk pengurusan trafik.

    Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

    Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

     
     
  • Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

    Baru-baru ini tular satu hantaran di Facebook Group Mekanik kereta & Info² berkenaan kenderaan dari seorang pengguna FB wanita, memaparkan bil pembaikan kereta yang mencecah hampir RM5,000. Menurutnya, dia mahukan pengesahan dari ahli-ahli dalam FB Group tersebut adakah bil tersebut berpatutan kerana pada asalnya kereta tersebut dihantar ke bengkel hanya untuk masalah brek yang kurang mencengkam.

    “Assalamualaikum abang-abang pomen…saya ada hantar kereta kat bengkel…tujuan saya hantar tu sebab brek tak makan jaa…lepas tu dia test kereta saya, dia kata pam brek, okey laa….saya kata tukar…lepas tu dia buka dia kata macam-macam laa rosak…total semua RM4.7k ka…nak tanya abang-abang pomen betoi ka harga barang-barang tu sampai macam tu sekali…maklum la perempuan kan yg hantar kereta kat bengkel….orang perempuan kan tak berapa tahu bab-bab ni”, tulis hantaran tersebut.

    Melihat bil berkenaan, berdasarkan pengalaman kerja penulis sendiri, senarai barang yang ditukar adalah komponen haus dan lusuh biasa untuk sebuah Honda Jazz/City generasi GD. Kenapa sampai lapan palam pencucuh dan lima plug coil perlu ditukar?

    Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

    Ini kerana kereta tersebut adalah model yang dibekalkan dengan enjin Intelligent-Dual & Sequential Ignition (i-DSI) yang sememangnya menggunakan dua palam pencucuh dan dua plug coil untuk setiap silinder, menjadikan lapan keseluruhan untuk dua komponen itu. Nasib baik juga hanya lima plug coil yang rosak bukan kesemua lapan unit, dan cagak transmisi serta cagak enjin tidak rosak sekali dalam masa serentak.

    Jadi memang mahal ke kos penjangaan sebuah Honda City/Jazz lama ni? Sebenarnya tidak, cuma pemiliknya kali ini tidak berapa bertuah kerana kesemua komponen haus dan lusuh tersebut ditukar secara serentak. Dan ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan – mungkin kereta ini jarang diservis, atau pada setiap servis berkala hanya minyak enjin yang ditukar dan komponen lain tidak diperiksa dengan teliti.

    Jadi dalam artikel ini penulis akan memberikan beberapa tips bagi mengelakkan anda berada dalam situasi yang sama.

    1. Minta sebut harga terlebih dahulu

    Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

    Bagi mengelakkan anda dikenakan cas berlebihan dalam satu-satu pembaikan di bengkel yang anda tidak biasa, ada baiknya anda meminta sebut harga terlebih dahulu. Sekiranya anda rasa terlalu mahal, jangan bersetuju dengan kerja pembaikan yang akan dibuat.

    Jadi anda boleh membuat sebut harga di bengkel-bengkel berbeza untuk anda bandingkan harga-harga yang ditawarkan setiap bengkel. Namun cara ini agak mengambil masa.

    2. Pemeriksaan berkala perlu dibuat setiap kali servis

    Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

    Lazimnya selepas habis waranti satu-satu kenderaan, pemiliknya sudah tentu membawa kereta mereka untuk diservis di bengkel-bengkel biasa bukan? Sekiranya servis kereta di bengkel sebegini, amalkan untuk meminta mekanik memeriksa kesemua bahagian-bahagian penting kereta anda untuk mengenalpasti komponen haus dan lusuh yang perlu ditukar segera atau pada servis akan datang.

    Ini bagi mengelakkan anda tersadai di tepi jalan dan juga mengelakkan kesemua masalah berkenaan terkumpul dan menyebabkan anda perlu mengeluarkan kos yang banyak pada satu-satu masa, kerana pembaikkan tersebut perlu dibuat serentak.

    Jika anda menghantar kereta di pusat-pusat servis bertauliah jenama masing-masing, pemeriksaan ini akan dilakukan secara rutin untuk setiap servis, jadi anda tak perlu risau. Senarai perkara-perkara yang perlu diperiksa tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    3. Simpan rekod servis

    Kalau boleh, setiap bil-bil pembaikkan yang dibuat terhadap kereta anda disimpan dalam satu fail khas. Ini secara tidak langsung akan mewujudkan pangkalan data untuk anda sendiri bagi merujuk kembali pembaikkan yang telah dibuat. Jadi anda boleh buat persediaan bila komponen sama perlu ditukar sekali lagi dan segala bajet untuk kerja-kerja tersebut boleh disediakan lebih awal.

    4. Hantar kereta ke bengkel yang boleh dipercayai.

    Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

    Jika anda terus menghantar kereta ke pusat servis bertauliah, selain dari pemeriksaan rutin yang sentiasa dibuat, rekod pembaikan kereta anda juga akan disimpan di pangkalan data mereka. Jadi anda tidak perlu bersusah payah untuk menyimpan bil-bil pembaikan.

    Kadang-kala seorang penasihat servis yang baik dan bertanggung jawab turut akan memberitahu dan memberikan peringatan bila komponen-komponen tertentu terutamanya yang mahal perlu ditukar bagi membolehkan anda bersedia.

    Namun buat masa sekarang, bukan hanya pusat servis pengeluar yang menyediakan perkhidmatan sebegini. Ada juga bengkel-bengkel biasa yang sudahpun menyediakan penasihat servis untuk anda dan menyediakan pangkalan data bagi menyimpan rekod pembaikan kereta anda.

    Sekiranya anda tidak jumpa bengkel sebegini, sekurang-kurangnya amalkan hantar kereta anda hanya pada satu bengkel yang anda percayai. Biasanya mekanik atau tuan punya bengkel akan ingat apa yang telah mereka buat pada kereta anda dan memberikan peringatan yang sama tentang servis-servis yang perlu anda buat. Malah dengan menjadi pelanggan setia, kemungkinan untuk anda ditipu dengan diberikan harga yang tidak munasabah juga lebih rendah bukan?

     
     
  • Hyundai Creta dibuka tempahan di M’sia – dilengkapi ADAS; Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar

    Hyundai Creta dibuka tempahan di M’sia – dilengkapi ADAS; Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar

    SUV segmen-B Hyundai Creta bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Perkara ini disahkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) yang mengumumkan tempahan bagi Creta telah mula dibuka di seluruh rangkaian pengedar Hyundai. Malah tempahan juga boleh dilakukan secara dalam talian menerusi platform Cl!cktoBuy.

    “Dengan begitu banyak ruang praktikal yang ditawarkan, populariti SUV ternyata kian meningkat, baik di peringkat global mahu pun di Malaysia. Hyundai Creta menggambarkan kesempurnaan, dan kami tidak sabar untuk memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan untuk SUV dan pengenalannya juga tidak lama lagi,” kata Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors, Jeffrey Gan.

    Manakala Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung pula berkata, “Hyundai Creta menyasarkan golongan muda dan yang meminati gabungan reka bentuk kontemporari, ketersambungan teknologi dan ciri keselamatan aktif yang komprehensif. Sesuai untuk pasaran Asia-Pasifik, SUV segmen-B ini turut menawarkan praktikaliti, ruang dan kemudahan yang disesuaikan dengan gaya hidup aktif.”

    Hyundai Creta yang pernah dikesan diuji di jalanraya di Malaysia

    Walau pun belum memaklumkan bilakah Creta bakal dilancarkan di Malaysia, namun HSDM mendedahkan sedikit perincian mengenai SUV pesaing Honda HR-V ini. Creta diberikan rekaan yang berani dan bergaya, terutamanya pada wajah hadapannya yang nampak unik dengan Parametric Jewel, di mana lampu nyalaan siang LED ‘tersembunyi’ di dalam grilnya. Pada waktu malam, lampu nyalaan siang digabungkan dengan lampu hadapan projektor LED yang dipasang pada bampar untuk memberikan kesan visual yang lebih menyerlah.

    Di dalamnya, dengan pelbagai jenis teknologi yang ditampilkan, ia menambahkan lagi keselesaan, dan kemudahan, termasuk menampilkan cluster TFT LCD, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta empat pilihan mod pemanduan untuk memperbanyakkan lagi karakter Creta.

    Bagi aspek keselamatan, Creta didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara dan set kelengkakan Hyundai SmartSense bagi keselamatan aktif yang merangkumi Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Kepekaan Ketibaan Kenderaan, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Amaran Keluar Selamat dan Bantuan Lampu Tinggi. Dengan adanya ciri keselamatan ini membolehkan Creta menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP.

    Hyundai Creta dibuka tempahan di M’sia – dilengkapi ADAS; Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar

    Creta telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu yang menawarkan empat varian serta dijual pada harga antara RM81k hingga RM116k. Ia juga telah dilancarkan di Thailand dan dijual pada harga 949,000 baht (RM115,749) sehingga 999,000 baht (RM121,848).

    Untuk pengetahuan anda, SUV ini diasaskan dari platform yang sama dengan SUV segmen-B Kia Seltos, dengan dimensi 4,315 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,630 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Walaupun ia masih dikelaskan dalam model segmen-B, Creta berada satu anak tangga di bawah Kona kerana dihasilkan untuk pasaran seperti ASEAN dan India berbanding Kona yang disasarkan untuk pasaran Eropah.

    Namun dari segi saiz, Creta masih dilihat sedikit lebih besar kerana Kona hanya menampilkan ukuran 4,215 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm. Ia juga jelas lebih besar dari Ativa kerana SUV segmen-B Perodua itu hanya tampil dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda 2,525 mm.

    Bagi pasaran Indonesia dan Thailand, Creta menerima enjin 1.5 liter tanpa bantuan turbo yang menghasilkan 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), iaitu transmisi CVT Hyundai yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat metalik.

    Hyundai Kona sudah jelas menjadi pesaing terus kepada Proton X50 di Malaysia. Untuk Creta pula ia mungkin boleh menjadi alternatif kepada Perodua Ativa, namun dilihat agak sukar untuk bersaing jika dilihat pada harga dan juga kelengkapan yang ditawarkan.

    Tetapi ia mungkin berpeluang untuk ‘merebut’ pasaran Honda HR-V dalam varian paling asas 1.5 S kerana model berkenaan hanya menerima enjin 1.5 liter i-VTEC tanpa turbo dan dijual pada harga bermula RM114,800. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Creta, kita nantikan pelancarannya tidak lama lagi.

    GALERI: Hyundai Creta facelift pasaran Indonesia

     
     
  • NAP 2020 bakal disemak semula, selaras dengan perubahan pesat dalam industri automotif – MITI

    NAP 2020 bakal disemak semula, selaras dengan perubahan pesat dalam industri automotif – MITI

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kementeriannya akan akan menyemak semula Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) selaras dengan perubahan pesat yang berlaku dalam industri automotif.

    Katanya, MITI sedang berbincang dengan pemain industri automotif untuk tujuan berkenaan bagi memastikan ia kekal kompetitif, relevan dan menjadi peneraju dalam sektor automotif. Malah ia juga sejajar dengan kemajuan teknologi terdapat banyak perkembangan baharu terutama berkenaan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik (EV) yang perlu diberi perhatian.

    “Terdapat banyak perkembangan baharu dalam sektor automotif terutamanya berkenaan kenderaan cekap tenaga dan EV. Kami mendapat maklum balas daripada pihak industri dan pemegang taruh lain supaya memberi lebih perhatian kepada apa yang terkandung dalam dasar yang dilancarkan sebelum ini.

    NAP 2020 bakal disemak semula, selaras dengan perubahan pesat dalam industri automotif – MITI

    “Saya memang berpendapat bahawa dalam apa-apa perancangan pun terutamanya yang membabitkan tempoh jangka masa panjang, kita perlu dinamik dan terbuka untuk melaksanakan perubahan yang perlu,” kataya seperti mana yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambah beliau, dalam sebarang perancangan terutama bagi jangka masa panjang iaitu 10 tahun, semua pihak berkepentingan perlu dinamik dan terbuka untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan.

    Berdasarkan NAP 2020, hala tuju industri automotif tempatan ditetapkan untuk dibangunkan dan dikembangkan sebagai hab automotif serantau bagi EEV termasuk EV dengan ciri-ciri kenderaan generasi akan datang yang berfungsi bukan sahaja dari segi pengurangan dalam pelepasan karbon dalam udara, malah keupayaan mengoptimumkan tenaga yang digunakan.

     
     
  • Gentari lancarkan pengecas EV DC 60 kW di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan dengan kerjasama PNB

    Gentari lancarkan pengecas EV DC 60 kW di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan dengan kerjasama PNB

    Gentari telah melancarkan pengecas EV DC 60 kW di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan. Ini merupakan pengecas DC kedua yang dipasang di negeri berkenaan, tetapi merupakan yang pertama boleh digunakan setiap masa, kerana fasiliti pertama sebelum ini dipasang di bilik pameran kereta dan tidak boleh diakses secara 24/7.

    Pengecas yang dipasang oleh anak syarikat Petronas ini juga merupakan yang pertama dalam kerjasamanya bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan sasaran untuk memasang sejumlah 59 pengecas di semua hartanah milik PNB menjelang hujung 2023.

    Pelanggan akan dikenakan bayaran pada kadar RM1.40 seminit untuk menggunakan pengecas DC 60 kW ini. Ia mempunyai dua penghubung pengecas – kapasiti penuh 60kW akan diberikan sekiranya hanya sebuah kereta dicas, dan ia akan menurun kepada 30 kW sekiranya kedua-dua pengecas digunakan serentak, tetapi kadar yang dikenakan kekal RM1.40 seminit.

    Selain dari pengecas DC, Gentari turut memasang dua pengecas AC 11 kW dan 22 kW. Kedua-dua pengecas AC ini dikenakan bayaran pada kadar RM0.15 seminit.

    Untuk menggunakan pengecas dari Gentari ini, anda perlu menggunakan aplikasi Setel atau JomCharge pada telefon pintar. Sekiranya anda belum memuat turun aplikasi Setel, kami hargai sekiranya anda menggunakan kod rujukan “5h9f3” dan muat turun aplikasi tersebut pada PAUTAN INI.

    Sempena pelancaran fasiliti pengecas ini, Hotel Perdana Kota Bharu akan memberikan secawan kopi dan juga croissant percuma kepada pelanggan yang menggunakan kemudahan tersebut. Promosi ini akan berlangsung selama dua bulan bermula tarikh pelancarannya iaitu pada 9 April lalu.

    Selepas ini Gentari akan memasang fasiliti yang sama di premis-premis PNB iaitu di Villea Rompin Resort & Golf di Kuala Rompin, Pahang, Plaza Pelangi, Pelangi Leisure Mall dan Perling Mall di Johor Bahru, Johor, Menara PNB di Kuala Lumpur dan 12 lokasi hartanah lain.

     
     
  • Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

    Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

    Pemandu Kejohanan Rali Dunia (WRC) pasukan Hyundai Motorsport, Craig Breen disahkan meninggal dunia selepas jentera Hyundai i20 N Rally1 Hybrid yang dipandunya terlibat dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-perlumbaan sebelum bermulanya Rali Croatia 2023 yang akan berlangsung 20 April ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Hyundai Motorsport susulan kejadian tersebut, nyawa Craig yang berumur 33-tahun tidak dapat diselamatkan, namun juru arahnya James Fulton tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden yang berlaku sekitar tengah hari semalam waktu tempatan.

    Hyundai Motorsport turut mengucapkan takziah kepada keluarga Craig, rakan-rakan dan juga semua peminatnya, namun tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berkenaan kemalangan itu buat masa ini.

    Walaupun belum sempat mencapai sebarang kemenangan dalam WRC, Craig merupakan personaliti penting dalam kejohanan berkenaan kerana sering memberikan persembahan ‘flat out’ dalam SS, dan juga komen-komen menghiburkan selepas perlumbaan. Beliau turut dianggap wira dan memberikan inspirasi terhadap pemandu-pemandu muda di negara kelahirannya iaitu Ireland.

    Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

    2023 FIA World Rally Championship
    Round 02, Rally Sweden
    9-12 February 2023
    Craig Breen, James Fulton, Hyundai i20 N Rally1 Hybrid
    Photographer: Dufour Fabien
    Worldwide copyright: Hyundai Motorsport GmbH

    Craig Breen merupakan juara WRC Academy (dikenali sebagai FIA Junior WRC sekarang) 2011, dengan kemenangan dicapai bersama juru arah dan juga sahabat baiknya, Gareth ‘Jaffa’ Roberts. Pasangan berkenaan kemudiannya berlumba dalam S-WRC dan Kejohanan Rali Antara Benua (IRC) pada 2012.

    Namun dalam kemalangan yang berlaku di IRC Targa Florio 2012, impian dua sahabat itu untuk bersama-sama melangkah ke kategori utama WRC tidak kesampaian apabila Roberts meninggal dunia di tempat duduk juru arah Peugeot 207 S2000 yang dipandu oleh Craig. Sejak dari kejadian tersebut, Craig mengabadikan nama “Jaffa” di helmet perlumbaannya.

    Craig kemudiannya berjaya menempatkan diri dalam kategori utama dalam WRC selepas berjaya dipilih untuk menyertai skuad Citroën Abu Dhabi Total World Rally Team pada 2016. Dia kemudiannya menerima lamaran dari Hyundai Motorsport dan berlumba tiga musim iaitu bermula 2019 hingga 2021 untuk pasukan Korea Selatan yang berpangkalan di Alzenau, Jerman berkenaan.

    Craig sekali lagi berpindah pasukan apabila dipilih sebagai pemandu utama pasukan M-Sport Ford untuk WRC musim 2022. Walau bagaimanapun, kontraknya ditamatkan pada penghujung musim tersebut kerana prestasi kurang memberangsangkan dan tempatnya dalam pasukan Ford diambil oleh Ott Tanak.

    Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

    2023 FIA World Rally Championship
    Round 02, Rally Sweden
    9-12 February 2023
    Craig Breen, James Fulton,
    Photographer: Dufour Fabien
    Worldwide copyright: Hyundai Motorsport GmbH

    Dia kemudiannya kembali ke Hyundai untuk musim ini sebagai pemandu jentera ketiga pasukan tersebut, berkongsi tempat dengan pemandu Sepanyol, Dani Sordo di mana kedua-duanya akan memandu jentera yang sama dalam pusingan-pusingan berlainan yang ditetapkan pasukan.

    Dalam pusingan WRC Rali Sweden Februari lalu, Craig memberikan persembahan terbaiknya dengan hampir-hampir menewaskan Tanak – dan ia menjadi penampilan terakhirnya dalam pentas WRC. Dalam bulan yang sama, Craig Breen turut sempat menyampaikan sejumlah tunai untuk menaja kategori Junior 1000 dalam kejohanan rali Ireland untuk mencungkil bakat-bakat rali muda di negaranya.

    Sepanjang kariernya dalam kategori utama WRC, Craig Breen telah memulakan 82 perlumbaan dengan mencapai sembilan podium (enam kali tempat kedua, tiga kali tempat ketiga) untuk tiga pasukan berbeza iaitu Citroën, Ford dan Hyundai. Kehilangan Breen pastinya akan dirasai oleh peminat-peminat rali di seluruh dunia.

     
     
  • Empat buah skuter elektrik, sembilan buah motosikal terbakar di parkir motosikal Suria KLCC petang ini

    Empat buah skuter elektrik, sembilan buah motosikal terbakar di parkir motosikal Suria KLCC petang ini

    Baru sahaja tular sebentar tadi imej-imej dan video berkenaan deretan motosikal yang diletak di tempat parkir motosikal berhadapan pusat membeli belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. Menurut hebahan yang dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kejadian tersebut disahkan berlaku pada petang ini.

    “Pusat Gerakan Operasi (PGO), JBPM Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 3:46 petang yang berlaku tempat letak kenderaan Suria KLCC, Jalan Ampang, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

    “Anggota Bomba daripada BBP Jalan Tun Razak serta bantuan daripada BBP Keramat telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dengan kekuatan anggota seramai 15 orang bersama 2 jentera FRT dan 1 jentera EMRS,” kata JBPM dalam hantaran yang buat pada laman Facebook rasminya.

    Menurut Komander Operasi, PBK II Mohf Iqbal Khan bin Malek Khan,terdapat 13 buah motosikal dan 4 buah skuter elektrik telah terbakar di ruangan tempat letak motosikal bekenaan. Sebanyak 9 buah motosikal terbakar 100%, manakala selebihnya mengalami kebakaran kurang dari 5% dan 4 buah skuter elektrik terbakar 100%.

    JBPM menyatakan bahawa api dapat dikawal pada jam 4:04 petang, dan disahkan tiada sebarang kecederaan berlaku dalam insiden ini. Punca kebakaran masih lagi belum diketahui, dan JBPM turut menyatakan faktor tersebut serta kerugian kebakaran masih dalam siasatan.

     
     
  • Lotus Eletre EV dilancar di Malaysia – 905 hp, 0-100 km/j dalam 2.95s, jarak gerak 600 km, RM578k-RM798k

    Lotus Eletre EV dilancar di Malaysia – 905 hp, 0-100 km/j dalam 2.95s, jarak gerak 600 km, RM578k-RM798k

    Pengimport dan pengedar jenama Lotus di Malaysia, Lotus Cars Malaysia, telah melancarkan Lotus Eletre, model SUV elektrik pertama keluaran jenama ini. Pernah didedahkan pada Oktober lalu, Eletre ditawarkan dengan dua pilihan enjin untuk tiga varian bagi pasaran Malaysia.

    Eletre ditawarkan pada harga bermula RM578,000 untuk model asas, dari RM648,000 bagi Eletre S, dan dari RM798,000 bagi Eletre R. Kesemua versi dipadangkan dengan penjana kuasa dwi-motor, AWD, dengan varian asas dan Eletre S menghamburkan 605 hp dan tork 710 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan pecutan antara 80-120 km/j dalam 2.2 saat, dengan kelajuan maksima cecah 258 km/j.

    Sementara itu, model tertinggi Eletre R pula mampu menghasilkan 905 hp dan tork 985 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.92 saat, 80-120 km/j di bawah 1.9 saat dan kelajuan maksima cecah 265 km/j, menjadikannya SUV elektrik penuh dwi-motor terpantas di dunia, menurut Lotus.

    Kesemua varian menerima bateri 112 kWh, yang memberikan Eletre dan Eletre S jarak gerak hingga 600 km mengikut kitarab WLTP, sementara Eletre R pula dengan 490 km (WLTP). Manakala untuk asas sistem elektrik pula, Eletre diberikan seni bina elektrikal 800-volt yang membolehkan sistem pengecas pantas beroperasi serta menampilkan sistem agihan kuasa bervoltan tinggi berintegrasi. Ia boleh menyokong pengecas pantas DC 350 kW, dengan status pengecasan 10-80% dalam masa 20 minit. Manakala kadar pengecasan AC tertinggi pula cecah 22 kW.

    Lotus Eletre EV dilancar di Malaysia – 905 hp, 0-100 km/j dalam 2.95s, jarak gerak 600 km, RM578k-RM798k

    Dari segi saiz, Eletre menampilkan dimensi 5,103 panjang, 2,135 mm lebar (termasuk kamera sisi) dan tinggi 1,630 mm tinggi dengan jarak roda 3,019 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiz sebenarnya, Eletra adalah 507 mm lebih panjang dengan jarak roda 359 mm lebih jauh berbanding Honda CR-V.

    Lima mod pemanduan turut diberikan secara standard – Range, Tour, Sport, Off-Road dan Individual, dengan Eletre R diberikan tambahan mod Track. Mod ini membolehkan larasan untuk beberapa fungsi termasuk stereng roda-belakang aktif, peredam adaptif dan kawalan anti-olengan aktif serta prestasi casis yang lebih baik, serta membuka sepenuhnya gril hadapan aktif bagi menghidupkan launch control untuk prestasi jentera sepenuhnya.

    Eletre juga tampil dengan sistem suspensi udara bersama penyerap hentak adaptif serta gandar belakang jenis lima-sambungan secara standard. Untuk sistem yang lebih bagus, pembeli boleh memilih opsyen untuk fungsi ketinggian aktif, stereng untuk gandar belakang, sistem penstabil oleng aktif dan juga torque vectoring menerusi sistem brek.

    Untuk pasaran Malaysia, Eletre turut diberikan set roda tempaan 10-jejari 22-inci yang membaluti tayar Pirelli P Zero. Manakala Eletre R pula menerima tayar P Zero Corsa berukuran 275/35 di hadapan dan 315/30 di belakang dengan roda aloi tempaan 23-inci dalam rona hitam berkilat. Terdapat lima rekaan roda turut ditawarkan.

    Perbezaan varian bagi Eletre juga disumbangkan oleh warna brek kaliper; dengan varian asas menerima kaliper hitem, manakala S dan R pula diberikan kaliper dengan beberapa pilihan warna.

    Kelengkapan luaran standard bagi Eletre ialah lampu utama LED matriks dengan lampu nyalaan siang dan lampu LED, pencahayaan welcome-home, tailgate kuasa bebas tangan dengan memori ketinggian bukaan, dan heated washer jets. Varian Eletre S dan R pula menerima ciri tambahan termasuk cermin sisi auto-kelam, kaca privasi belakang dan pintu penutupan lembut, dengan Carbon Pack standard untuk Eletre R.

    Di dalamnya, kesemua varian Eletre menerima bentangan lima-tempat duduk, dengam kapasiti penyimpanan barangan cecah 688 liter dengan semua kedudukan tempat duduk dalam keadaan normal, dan boleh ditambah sehingga 1,532 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Pek Executive Seat juga diberikan secara pilihan, di mana ia memberikan bentangan empat-tempat duduk.

    Eletre turut tampil dengan sentuhan minimalis bersama papan pemuka yang direka elemen melintang dan berlapis yang kelihatan bersambung dengan panel pintu, dan juga konsol tengah “terapung”. Sebuah skrin sesentuh OLED 15.1-inci diletakkan di tengah-tengah papan pemuka, yang direka dengan antara muka diinspirasikan dari permainan video dan turut menampilkan model 3D kereta berkenaan.

    Lotus Eletre EV dilancar di Malaysia – 905 hp, 0-100 km/j dalam 2.95s, jarak gerak 600 km, RM578k-RM798k

    Lotus menggunakan bahan gentian mikro pada titik-titik sentuh utama dalam kabin Eletre ini, bersama uphosteri gabungan bulu yang dikatakan 50% lebih ringan berbanding kulit. Trim karbon yang digunakan pula dihasilkan dari bahagian hujung kemasan dari produksi gentian karbon, dimampatkan dalam resin bagi memberikan hasil akhir seperti marmar.

    Menurut Lotus, 95% fungsi pada skrin tersebut dapat diakses hanya dengan tiga tap. Sistem infotainmennya menggunakan Lotus Hyper OS yang memberikan kuasa pemprosesas dari unit Qualcomm 8155 system-on-chip. Manakala di hadapan pemandu dan penumpang hadapan masing-masing turut diberikan skrin nipis. Skrin untuk pemandu berfungsi sebagai paparan instrumen yang turut disokong dengan paparan head-up dengan teknologi AR.

    Selain itu, ia juga diberikan kemaskini perisian OTA dengan sokongan 5G, yang membolehkan pengguna mengunci dan membuka kunci kenderaan dengan menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi yang disertakan.

    Untuk keselamatan, Eletre dilengkapi pek ADAS yang boleh dikemaskini menerusi perisian OTA. Kesemua varian turut menerima kawalan kelajuan adaptif pintar (ACC), sistem pemantauan pemandu, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang (RCTA), kepekaan trafik lintasan hadapan (FCTA), Bantuan Kekal Lorong dengan amaran ketibaan lorong dan pengelak (LKA+), pengesan titik buta, informasi isyarat trafik (TSI), bantuan parkir belakang dan hadapan dan juga bantuan parkir visual.

    Eletre ini juga menggunakan jumlah penderia lidar yang agak banyak. Ia diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan dan belakang serta di atas kedua-dua ruang roda hadapan – menampilkan rekaan yang boleh disorokkan, menjadikan ia model produksi pertama menggunakan rekaan sedemikian.

    Pembeli boleh memilih beberapa pek pilihan termasuk Lotus Dynamic Handling Pack, Ceramic Brake Pack, Executive Seat Pack, Comfort Seat Pack, Carbon Fibre Pack, Extended Carbon Fibre Pack dan Interior Carbon Fibre Pack, serta Parking Pack dan Highway Assist Pack untuk set ADAS.

    Sejumlah enam warna luaran pilihan ditawarkan untuk Electre iaitu Natron Red, Galloway Green, Stellar Black, Kaimu Grey, Blossom Grey dan Solar Yellow. Ia turut diberikan waranti pengilang lima-tahun, 150,000 km dan waranti bateri selama lapan-tahun, 200,000 km.

    Eletre menerima sambutan yang menggalakkan di Malaysia dan setakat ini sebanyak 140 unit tempahan telah diterima, dari 200 unit peruntukan untuk negara ini bagi tahun 2023. Sekali lagi dimaklumkan, Eletre ditawarkan pada harga bermula RM578,000 untuk model asas, dari RM648,000 bagi Eletre S, dan dari RM798,000 bagi Eletre R.

     
     
  • SPRM Kelantan tahan dua pegawai penguatkuasa daftar semula kereta yang sudah diisytihar lupus

    SPRM Kelantan tahan dua pegawai penguatkuasa daftar semula kereta yang sudah diisytihar lupus

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan telah menahan dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mendaftar semula kenderaan yang telah dilucut hak, lapor Astro Awani.

    Akhbar tersebut menyatakan bahawa menerusi sumbernya kedua-dua pegawai penguat kuasa tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya oleh pegawai SPRM Kelantan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selepas dipanggil untuk diambil keterangan.

    Difahamkan kini SPRM dalam proses untuk mendapatkan perintah tahanan reman. Walau bagaimanapun laporan ini tidak mendedahkan jabatan di mana dua orang pegawai berkenaan berkhidmat.

    “Siasatan awal mendapati kenderaan yang terlibat dalam urus niaga tersebut adalah yang dirampas dalam tangkapan kes dadah.

    “Kita juga telah mengambil keterangan beberapa lagi individu berkaitan kes ini dan kita tidak menolak akan ada beberapa lagi tangkapan dalam kes ini,” kata sumber berkenaan.

    Menurut Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Hussin ketika dihubungi Astro Awani pula mengesahkan penahanan kedua-dua pegawai penguat kuasa tersebut. Beliau menyatakan jumlah rasuah dan nilai kenderaan yang terlibat masih belum diperolehi dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

     
     
  • Yamaha akan guna plastik kitar semula pada motosikal – dimulakan dengan model pasaran ASEAN tahun ini

    Yamaha akan guna plastik kitar semula pada motosikal – dimulakan dengan model pasaran ASEAN tahun ini

    Antara contoh bahagian yang boleh menggunakan PP baru ini

    Yamaha mengumumkan bahawa mereka telah berjaya membangunkan bahan polypropylene (PP) kitar semula berkualiti tinggi dan mesra alam, yang boleh digunakan untuk panel badan utama motosikal. Penggunaan bahan baru ini akan dilaksanakan pada model komuter utama pasaran ASEAN pada tahun ini.

    Bahan kitar semula yang digunakan untuk menghasilkan PP baru ini dikatakan mempunyai sejarah pengeluaran yang boleh dijejak dan tidak mempunyai bahan yang boleh memberi risiko kepada alam sekitar.

    Menurut Yamaha, bahan resin kerap digunakan pada panel badan motosikal, dan separuh daripadanya adalah daripada PP, menjadikan ia satu bahan utama. Melalui PP baru ini, selain lebih mesra alam, ia juga lebih kuat dan nampak berkualiti berbanding bahan kitar semula biasa.

    Pada masa hadapan, Yamaha juga mempunyai perancangan untuk meningkatkan lagi nisbah penggunaan bahan kitar semula seperti PP ini pada motosikal mereka, seterusnya mengembangkan lagi penggunaannya pada kategori produk lain.

     
     
  • Prasarana laksana sistem KPI baharu untuk pantau penyelenggaran tren – sasaran 1 juta km pada Q3 2026

    Prasarana laksana sistem KPI baharu untuk pantau penyelenggaran tren – sasaran 1 juta km pada Q3 2026

    Untuk memastikan pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih baik untuk sistem MRT dan LRT, Prasarana Malaysia akan melaksanakan Indeks Prestasi Utama (KPI) baharu. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, KPI ini dipanggil Mean Kilometres Between Failures (MKBF), di mana ia telah dilaksanakan di beberapa buah negara dan digunakan untuk menilai kestabilan dan perjalanan kereta api sebelum kerosakan berlaku.

    Katanya, sasaran itu akan membabitkan semua laluan perkhidmatan rel agensi berkenaan pada suku ketiga 2026. Di mana, KPI itu bersifat terbuka, akan dipapar dan dikemas kini secara bulanan di laman web dan media sosial Prasarana untuk makluman serta penilaian orang awam, bermula Mei 2023, laporan Bernama.

    “Sekarang kita mengalami satu situasi yang tidak memuaskan, MKBF untuk laluan LRT Kelana Jaya adalah 150,000 km, iaitu kadar kerosakan berlaku dalam kadar 150,000 km perjalanan tren, itu angka yang tidak memuaskan.

    Prasarana laksana sistem KPI baharu untuk pantau penyelenggaran tren – sasaran 1 juta km pada Q3 2026

    “Jadi sasaran MKBF kita menjelang suku tahun ketiga 2026 ialah satu juta, iaitu kerosakan tren hanya akan berlaku selepas satu juta kilometer perjalanan.

    “MKBF juga merujuk untuk kelewatan lebih daripada lima minit ialah 150,000 km iaitu kerosakan teknikal berlaku dalam kadar sejauh itu,” katanya sambil menambah sasaran MKBF boleh dicapai secara berperingkat dan yakin dengan penambahan koc baharu pada bulan Ogos, perkhidmatan kereta api akan bertambah baik.

    Jelasnya lagi, buat masa ini, situasi perkhidmatan terutama Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya masih kurang memuaskan. “Itu satu angka tak begitu memuaskan dan sebab itu sasaran kita tinggi tetapi sudah tentu ia akan mengambil masa untuk mencapai sasaran itu.

    “Justeru, MKBF ini satu penilaian penting yang mana kita akan letakkan secara terbuka supaya pemantauan terhadap prestasi perkhidmatan kita boleh dilihat,” katanya.

     
     
  • Perkhidmatan stesen rel terpilih dilanjutkan hingga 1.30 pagi pada 15 April untuk persiapan akhir Aidilfitri

    Perkhidmatan stesen rel terpilih dilanjutkan hingga 1.30 pagi pada 15 April untuk persiapan akhir Aidilfitri

    Pengendali sistem rel transit di Lembah Klang, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan waktu operasi bagi beberapa stesen rel terpilih akan dilanjutkan hingga jam 1.30 pagi pada 15 April 2023. Ia bertujuan bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    Stesen LRT, MRT dan Monorel yang terlibat ialah LRT Laluan Kelana Jaya untuk Stesen Masjid Jamek dan KLCC, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bagi Stesen Masjid Jamek, MRT Laluan Kajang untuk Stesen Bukit Bintang dan Laluan Monorel yang membabitkan Stesen Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit.

    “Stesen-stesen sambungan akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Manakala stesen- stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

    Klik untuk besarkan imej

    “Penumpang juga diminta menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya lagi, berikutan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petang, perkhidmatan bas perantara LRT 11 juga turut dilanjutkan sehingga jam 1.30 pagi bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen-stesen berkenaan.

    Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam. Warga kota disaran menggunakan pengangkutan awam pada hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di dalam pusat bandar.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau melayari www.myrapid.com.my.

     
     
  • Proton percepatkan pengenalan model EV seawal tahun 2025; dua model ICE sedia ada dipertimbangkan

    Proton percepatkan pengenalan model EV seawal tahun 2025; dua model ICE sedia ada dipertimbangkan

    Sebelum ini Proton pernah mengumumkan model kenderaan elektrik (EV) pertamanya akan diperkenalkan menjelang tahun 2027. Namun rancangan itu akan dipercepatkan seawal tahun 2025, kata Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    Menurut Roslan, langkah itu dipercepatkan selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi sokongan kukuh kepada perkembangan EV di Malaysia, laporan Berita Harian.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, Proton sedang giat mengenalpasti model yang bersesuaian untuk diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan tanpa berkompromi dari aspek harga mampu milik dan praktikal.

    “EV menjadi antara tumpuan Proton. Justeru, kami sedang giat melaksanakan usaha untuk mempercepatkan pelancaran model EV Proton pertama seawal 2025. Kita sedang kenal pasti model supaya ia dapat ditawarkan pada harga mampu milik dan praktikal. Kedua-dua elemen ini penting untuk model EV Proton,” katanya.

    Proton percepatkan pengenalan model EV seawal tahun 2025; dua model ICE sedia ada dipertimbangkan

    Sebelum ini, Roslan pernah mendedahkan bahawa Proton memiliki dua model pembakaran dalaman (ICE) yang boleh ditukar kepada EV, namun pengeluar kereta nasional itu perlu memahami pasaran, teknologi dan pelaburan sebelum memutuskan untuk menjadi sebahagian pengeluar dalam industri alaf baharu itu. Perkara itu dinyatakan sewaktu beliau menjadi ahli panel sesi Pelaburan dalam EV – Peluang dan Cabaran pada forum Invest Malaysia Series 2: The Road to EV baru-baru ini.

    Katanya, pelan hala tuju EV Proton sudah bermula hampir 10 tahun lalu, namun tidak dapat dilaksanakan selepas mengambil kira permintaan pasaran ketika itu. “Proton perlu membuat perancangan rapi sebelum beralih kepada EV kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk pengeluaran, pengedaran dan pemasaran.

    “Dari aspek ekonomi, apabila jualan kenderaan ICE Proton mencecah 150,000 unit setahun, ia cukup bagus untuk kami mempertimbangkan peralihan kepada EV,” katanya.

    Proton percepatkan pengenalan model EV seawal tahun 2025; dua model ICE sedia ada dipertimbangkan

    Sebelum memperkenalkan EV dalam pasaran, Proton terlebih dahulu bakal menawarkan pelanggan di Malaysia dengan model-model yang dilengkapi teknologi hibrid ringkas dan juga plug-in hybrid (PHEV) terlebih dahulu, dan kemudian mensasarkan akan menjadi hab penghasilan EV bagi pasaran pemanduan sebelah kanan yang menyaksikan model-model EV Proton akan dieksport keluar.

    Dalam usaha menyediakan syarikat sebelum masuk sepenuhnya dalam segmen EV, Proton juga bakal menjadi pengedar di Malaysia dan Thailand untuk jenama smart dari Mercedes-Benz yang kini turut berada di bawah payung Geely. Model pertama usahasama berkenaan iaitu crossover EV smart #1 dijadualkan akan mula dijual di Malaysia pada suku keempat tahun ini dan di Thailand menjelang separa kedua tahun hadapan.

    Dengan menjadi wakil pengedar untuk smart, Proton akan banyak belajar berkenaan pasaran EV termasuk jualan, servis selepas jualan serta menyediakan rangkaian pengecasan di seluruh negara. Malah Proton juga mungkin akan memasang smart #1 ini di fasiliti mereka di Tanjung Malim bagi membolehkan syarikat tersebut mendapat pendedahan awal berkenaan produksi EV sebelum menghasilkan EV dengan jenama sendiri.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JWE dan QAB_G bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak dan Johor bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JWE, bakal dibuka bidaan mulai 15 April 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 19 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 20 April 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QAB_G, bakal dibuka bidaan mulai 16 April 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 20 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 21 April 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Harga minyak 13-19 April – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 13-19 April – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bagi tempoh tarikh 13 hingga 19 April 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-16 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Perodua tawar Pakej Auto Rahmah 2023 untuk pemilik Axia dan Bezza hingga 15 Mei sempena Aidilfitri

    Perodua tawar Pakej Auto Rahmah 2023 untuk pemilik Axia dan Bezza hingga 15 Mei sempena Aidilfitri

    Mengikut saranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perodua menjadi syarikat pengeluar kenderaan kedua yang memperkenalkan Pakej Auto Rahmah 2023 di bawah program Payung Rahmah yang bertujuan mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat khususnya golongan B40.

    Menurut Perodua, pakej servis khas ini diperkenalkan untuk pemilik Axia dan Bezza bagi mengurangkan impak kenaikan harga barangan dan dalam masa yang sama mempromosikan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan yang terbaik untuk sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

    Pakej Auto Rahmah 2023 dari Perodua ini menawarkan diskaun sehingga 30% untuk jumlah keseluruhan di dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh. Untuk melayakkan diri bagi kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran. Kempen ini berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei 2023.

    Perodua tawar Pakej Auto Rahmah 2023 untuk pemilik Axia dan Bezza hingga 15 Mei sempena Aidilfitri

    “Hari ini, pemilikan kenderaan telah menjadi satu keperluan kepada kebanyakan orang. Sehubungan itu, kos pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan bahan api, tol dan penyelenggaraan juga menjadi antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia. Justeru, MITI amat berbesar hati kerana Perodua telah menyahut saranan kerajaan menerusi Pakej Auto Rahmah 2023 yang menawarkan diskaun bagi penyelenggaraan kenderaan di pusat servis rasminya.

    “Kami berharap jenama kenderaan lain juga akan turut mengikuti langkah Perodua bagi membantu memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan mereka yang tersayang semasa berada di jalanraya, terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba. Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam mengurangkan kesan kenaikan harga dan MITI sedang memanfaatkan peranannya untuk mencapai objektif itu,” kata Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad pula berkata, “Pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelangga Axia dan Bezza kami yang membantu memenuhi keperluan pemotoran dan pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup mereka. Axia dan Bezza adalah model kami yang paling popular dan digunakan secara meluas sebagai mod pengangkutan utama oleh para pelanggan kami.

    “Oleh itu, kami ingin memastikan usaha yang dibuat dapat dinikmati oleh golongan sasar dan memberikan ketenangan semasa memandu. MITI sentiasa menjadi penyokong terbesar kami dan kini sedang bekerjasama dengan kami dalam merealisasikan diskaun servis khas ini.”

     
     
  • DUKE jadi lebuhraya ke-12 laksana sistem pembayaran tol terbuka – lokasi kedua untuk MLFF POC

    DUKE jadi lebuhraya ke-12 laksana sistem pembayaran tol terbuka – lokasi kedua untuk MLFF POC

    Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menjadi lebuhraya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka, yang dijangka bermula pada September tahun ini. Menurut Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ini menjadikan jumlah keseluruhan lebuhraya yang terlibat di dalam inisiatif ini sebanyak 12 lebuhraya. Senarai berkenaan termasuk:

    • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA atau E9)
    • Lebuhraya Pantai Baharu (NPE atau E10)
    • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH atau E12)
    • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE atau E35)
    • Jambatan Pulau Pinang (E36)
    • Lebuhraya Butterworth-Kulim (E15)
    • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP atau E11)
    • Lebuhraya SPRINT (E23)
    • Lebuhraya Shah Alam (E5)
    • Terowong SMART (E38)
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX atau E20)
    • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE atau E33)

    Dengan sistem pembayaran tol terbuka ini, pengguna lebuhraya juga boleh menggunakan kad debit atau kredit di terminal khas di plaza tol untuk membayar kadar tol. Bulan lalu, PLUS telah mengumumkan pengguna lebuhraya yang ingin menggunakan kad debit atau kredit untuk membayar tol boleh menggunakan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk berbuat demikian.

    DUKE jadi lebuhraya ke-12 laksana sistem pembayaran tol terbuka – lokasi kedua untuk MLFF POC

    Sebelum ini, Nanta turut berkata, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini adalah salah satu langkah untuk peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF). Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, Nanta turut berkata, DUKE juga akan menjadi lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) bagi menilai sistem MLFF selepas Lebuhraya BESRAYA. POC dijangka bermula pada penghujung Oktober 2023.

    “Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

    “Usaha ini diharap dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu-isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak,” katanya seperti yang dilaportkan oleh Bernama.

     
     
  • BR-V sudah digugur dari laman web rasmi Honda Malaysia – tiada model gantian generasi kedua dibawa

    BR-V sudah digugur dari laman web rasmi Honda Malaysia – tiada model gantian generasi kedua dibawa

    Bulan lalu Honda Malaysia telah mengesahkan bahawa ia tidak akan membawa model generasi kedua untuk Honda BR-V ke pasaran tempatan, dan jualan untuk SUV tujuh-tempat duduk berkenaan akan dihentikan selepas tiada lagi produksi bagi model generasi sedia ada. Menerusi tinjauan kami di laman web rasmi syarikat tersebut, kini BR-V tidak lagi disenaraikan, menandakan hayatnya di pasaran Malaysia sudahpun berakhir.

    Honda Malaysia tidak memberikan jawapan rasmi mengapa jualan BR-V tidak diteruskan, namun dari sumber dalaman yang kami dapat, ini adalah kerana syarikat berkenaan kini mengubah startegi mereka untuk mengundur diri dari saingan model tujuh-tempat duduk segmen-B, yang kini agak padat dengan model seperti Perodua Alza, Perodua Aruz, Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander.

    Syarikat tersebut nampaknya lebih berminat untuk masuk ke dalam persaingan untuk SUV kompak segmen-B menerusi Honda WR-V yang disahkan akan dilancar di Malaysia pada suku ketiga tahun ini, dengan saingan utamanya hanya Perodua Ativa.

    BR-V sudah digugur dari laman web rasmi Honda Malaysia – tiada model gantian generasi kedua dibawa

    Model generasi pertama Honda BR-V tiba di Malaysia pada awal 2017. Ia diasaskan dari MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio dan menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC 120 PS/145 Nm yang sama, diberikan perincian unik untuk menjadikan ia lebih seperti sebuah SUV.

    Bagi model generasi kedua, BR-V masih diberikan enjin 1.5L NA tetapi dengan kemaskini termasuk kepala silinder DOHC i-VTEC memberikan kuasa keseluruhan 121 PS/145 Nm. Ia juga menerima tingkat taraf casis serta pelbagai perincian baharu termasuk sistem bantuan pemanduan Honda Sensing.

    GALERI: Honda BR-V generasi kedua pasaran Indonesia

     
     
  • Motosikal tukar lorong tiba-tiba dan menyebabkan perlanggaran – antara sebab AEB penting pada kereta

    Motosikal tukar lorong tiba-tiba dan menyebabkan perlanggaran – antara sebab AEB penting pada kereta

    Ini ada satu lagi video pertembungan antara kereta dan motosikal. Ia bukan setakat berlaku sekali, tetapi dua kali, melibatkan sebuah kereta dan juga dua buah motosikal dalam masa selang beberapa saat.

    Pada permulaan video kita boleh melihat pemandu kereta berada di lorong sebelah kanan, dan dengan tidak semena-mena, muncul motosikal yang baru keluar dari simpang di kiri terus masuk ke lorong paling kanan, sekaligus mengakibatkan kemalangan antara keduanya.

    Memanglah, perkara sudah berlaku, tetapi kita masih boleh mengambilnya sebagai pengajaran. Kemalangan ini mungkin dapat dielakkan sekiranya kedua-dua belah pihak mengambil langkah tertentu. Untuk penunggang motosikal, sekurang-kurangnya beliau boleh memerhati lebih cermat sebelum keluar simpang, dan melihat kenderaan lain termasuk di titik buta sebelum menukar lorong.

    Satu video 2 kemalangan dengan kereta yang sama.

    Video ; ownerr

    Posted by Aidan Ahmad on Monday, 10 April 2023

    Pemandu kereta pula mungkin boleh memberikan lebih perhatian untuk mengelak (mungkin keadaan tidak membenarkan) atau membrek lebih awal untuk mengelakkan perlanggaran. Kelajuan kereta tersebut tidak terpapar pada video dashcam ini, tetapi jika melihat kepada garisan jalan, ia semakin perlahan sebelum perlanggaran berlaku.

    Jika input daripada pemandu tidak mencukupi, pada waktu inilah sistem keselamatan Autonomous Emergency Braking (AEB) boleh bertindak untuk membrek secara maksimum bagi mengurangkan kesan perlanggaran atau mungkin mengelakkan berlaku sama sekali.

    Satu perkara yang tidak dijangka berlaku di penghujung video ini. Sedang pemandu kereta cuba untuk membantu penunggang motosikal bangun ke tepi jalan, sebuah lagi motosikal dengan laju tiba-tiba terbabas dari lorong yang sama, ke arah lorong bertentangan. Mungkin dia terlalu laju, tidak sempat untuk mengelak kereta yang berhenti kerana kemalangan tetapi kami tidak pasti sama ada berlaku perlanggaran dengan kereta ataupun tidak.