Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda M’sia tawar diskaun hingga RM12k bagi promosi ‘Roaring Rewards’ sempena CNY 2022

    Honda M’sia tawar diskaun hingga RM12k bagi promosi ‘Roaring Rewards’ sempena CNY 2022

    Pejam celik pejam celik cepat saja sudah masuk tahun baharu 2022. Mungkin ada yang berimpian untuk memiliki kenderaan baharu pada tahun ini? Inilah masanya untuk anda merealisasikan impian berkenaan, tak lama lagi Tahun Baharu Cina (CNY) bakal diraikan, sudah tentu banyak syarikat pengeluar kereta bakal menganjurkan pelbagai promosi jualan menarik. Dan pastinya banyak diskaun menarik juga menanti anda.

    Ini termasuklah Honda Malaysia yang sudah pun memulakan promosi ‘Roaring Rewards’ sempena CNY tahun ini. Sesuai dengan perkataan ‘roaring’ atau ngauman, tahun ini adalah tahun harimau dan promosi yang ditawarkan oleh Honda Malaysia memang ‘mengaum’.

    Dengan kempen jualan “Roaring Rewards” dan “Reunion Ang Pow” untuk kenderaan yang didaftarkan pada Januari 2021, dengan jumlah penjimatan sehingga RM12,000 ditawarkan.

    Klik untuk besarkan

    Diskaun terbesar adalah melibatkan kereta buatan tahun 2021, dan ia bermula dari RM4,000 untuk City dan CR-V, RM5,500 untuk HR-V, RM7,000 untuk BR-V dan RM12,000 untuk Accord. Bagi kereta buatan tahun 2022, diskaun sebanyak RM1,000 untuk semua model, kecuali Accord yang menerima potongan sebanyak RM3,000.

    Memang untung kalau beli kereta pada tempoh waktu sekarang, sudahlah ada diskaun yang ‘mengaum’, ditambah pula cukai jualan (SST) yang masih ‘bercuti’ sehingga 30 Jun ini. Kesemua barisan model Honda Malaysia di sini ialah unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilangnya di Melaka, sekaligus melayakkannya untuk mendapat sepenuh pengecualian bagi SST.

     
     
  • Ops Khas Penjaja Jalanan di persimpangan lampu isyarat – 215 saman dikeluarkan, 11 rampasan dibuat

    Ops Khas Penjaja Jalanan di persimpangan lampu isyarat – 215 saman dikeluarkan, 11 rampasan dibuat

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa sebanyak 215 saman dan 11 rampasan telah dibuat sepanjang tempoh 19 hari Operasi Khas Penjaja Jalanan yang dijalankan pada hujung tahun lalu.

    Menurut DCP Timbalan Pengarah 1 JSPT PDRM, Dato’ Mohd Nadzri Hussain dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, operasi khas untuk mengawal kegiatan penjaja yang menjual makanan dan minuman seperti jeruk mangga dan lain-lain di lampu isyarat tersebut telah berlangsung bermula 13 hingga 31 Disember 2021 yang lalu.

    “Aktiviti penjaja jalanan menjadi satu trend perniagaan yang berleluasa sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Lokasi yang sering berlakunya aktiviti ini adalah di persimpangan lampu isyarat jalan dengan penjaja menjual makanan jeruk mangga dan lain-lain makanan dan minuman. Aktiviti seperti ini sekiranya tidak dikawal, boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Penjualan sebegini merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah 10A (1) Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) menyatakan tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya. Justeru itu, JSPT telah melaksanakan Op Khas (Penjaja Jalanan) di seluruh negara bermula 13 Disember 2021 sehingga 31 Disember 2021,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

    Selain dari tindakan saman dan juga rampasan, Polis juga telah menjalankan 137 tindakan advokasi iaitu peringatan tegas diberikan supaya penjualan dihentikan serta merta.

    “JSPT menggesa kepada semua pengusaha dan penjaja jalanan agar menghentikan penjualan jeruk mangga, makanan dan minuman di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya. JSPT komited akan menjalankan operasi sebegini secara berterusan supaya mereka mematuhi arahan serta peraturan undang-undang yang telah ditetapkan.

    “Mana-mana individu yang terlibat dalam urusan beli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan sekiranya disabitkan kesalahan. Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan kempen Op Khas (Penjaja Jalanan) ini,” tulis kenyataan itu lagi.

     
     
  • BMW iX M60 terdedah – 628 PS, jarak gerak 480 km

    BMW iX M60 terdedah – 628 PS, jarak gerak 480 km

    Pengenalan global rasmi model prestasi BMW iX M60 hanya akan berlangsung beberapa hari lagi, tetapi kini gambarnya sudah mula tersebar di dalam internet. Model ini dikatakan sebagai model BMW elektrik penuh pertama yang ditala oleh bahagian M dan berkemungkinan tiba dengan 630 PS kuasa.

    Setakat ini kita sudah tahu varian M60 akan menghasilkan lebih 600 PS daripada tetapan sekurang-kurangnya dua motor elektrik, dan ini adalah perbezaan jauh berbanding 523 PS dan 765 Nm (385 kW) yang dihasilkan oleh varian xDrive50. Kita juga boleh menjangkakan prestasi lebih pantas – xDrive50 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dan laju maksimum 200 km/j.

    Spesifikasi bateri sepatutnya kekal sama, bermakna bateri lithium ion 105.2 kWh mungkin datang secara standard. Bagi varian xDrive40, pek bateri ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 630 km, tapi bagi varian prestasi M60 ini, ia mungkin berkurang kepada sekurang-kurangnya 500 km.

    Melihat kepada gambar ini, peningkatan yang diberi berbanding xDrive50 adalah tidak banyak. Paling ketara adalah rim serba hitam, lencana monokrom (inspirasi daripada Concept XM) serta kit brek M Performance dengan angkup berwarna biru.

    Bahagian kabin banyak menggunakan warna hitam, bersama lapik bumbung anthracite serta kemasan satin. Pembeli juga mungkin boleh menambah sistem bunyi Bowers & Wilkins Diamond Surround, yang merupakan sistem bunyi paling canggih pernah dibuat untuk kereta EV produksi.

     
     
  • myTukar AutoFair 2022: Mazda CX-5 RM112,800, jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari

    myTukar AutoFair 2022: Mazda CX-5 RM112,800, jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari

    Berita baik bagi mereka sedang mempertimbangkan untuk membeli sebuah kereta untuk tahun baru ini; myTukar AutoFair 2022 bakal berlangsung dari 7 hingga 9 Januari 2022, bertempat di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan.

    Antara model kenderaan yang akan ditawarkan ialah Mazda CX-5 Skyactiv-G 2.0L 2WD tahun 2017 yang dijual pada harga RM112,800 atas jalan tidak termasuk insuran. Unit dalam warna Deep Crystal Blue ini telah mencatatkan jarak perbatuan 24,392 km, dan boleh dibiayai dari hanya RM1,237 sebulan*.

    SUV lima-tempat duduk ini telah melalui pemeriksaan 123-poin yang komprehensif untuk kelegaan pemilik barunya. Pendingin hawa, suspensi, enjin dan transmisi, bateri, diagnostik dalaman serta tayar dan brek semuanya telah diluluskan; sedikit kekurangan lain pula telah dikenal pasti, menurut laporannya.

    Apa yang ada pada CX-5 Skyactiv-G 2.0L 2WD ini termasuklah kawalan pendingin hawa dua-zon, sistem infotainmen MZD Connect dengan kawalan suara dan corong pendingin hawa di belakang. Dari aspek keselamatan, tersedia enam beg udara, ABS dengan EBD, bantuan brek, kawalan kestabilan dinamik (DSC) dan kawalan cengkaman. Unit ini juga dilengkapi dengan kerusi pemandu larasan kuasa, kerusi balutan kulit serta perincian kayu dan logam.

    myTukar AutoFair 2022: Mazda CX-5 RM112,800, jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari

    Jika model ini bukanlah yang anda inginkan, ada banyak lagi kenderaan terpakai untuk dipilih di myTukar AutoFair 2022. Dari jenama nasional oleh Proton dan Perodua, begitu juga dengan jenama popular seperti Honda dan Toyota, pelbagai pilihan tersedia untuk setiap keperluan anda. Dari jenama premium juga tidak ketinggalan, seperti BMW dan Mercedes-Benz.

    myTukar AutoFair 2022 bakal menjadi acara jualan kereta terpakai terbesar Malaysia yang akan menyaksikan lebih daripada 1,000 unit kenderaan terpakai dipamer di satu lokasi. Acara ini bakal berlangsung dari 7 hingga 9 Januari 2022, bertempat di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan.

    Setiap pembelian myTukar akan termasuk sekali lanjutan waranti setahun dan servis percuma setahun — tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya berdepan masalah atau berubah fikiran tentang kereta yang dibeli itu, anda hanya perlu memulangkannya dalam tempoh lima hari, tanpa sebarang soalan ditanyakan.

    Bukan setakat itu, anda juga akan menerima tawaran istimewa lain jika membeli kereta di acara berkenaan, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengalas kaki Trapo untuk setiap pembelian kereta.

    myTukar AutoFair 2022: Mazda CX-5 RM112,800, jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari

    Tawaran yang diberi tidak terhenti di situ kerana anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui promosi myTukar Lucky Spin Promo. Ada enam hadiah disediakan untuk pemenang, termasuk Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500.

    Jika itu masih lagi tidak cukup, anda juga mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar, yang boleh disertai dengan membeli kenderaan sewaktu acara tersebut.

    myTukar juga menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung, sekaligus menjadikan urusan lebih mudah. Liputan meluas myTukar di seluruh negara kini termasuk bilik pameran kenderaan premium yang lebih besar serta kemudahan servis sendiri yang menyeluruh memberikan anda pengalaman penyelenggaraan kenderaan lebih menenangkan, meskipun untuk kenderaan terpakai.

    Apa yang pasti, ada banyak sebab untuk anda hadir ke acara myTukar AutoFair 2022. Tahap keselamatan yang tinggi akan dipraktikkan sewaktu acara berlangsung – prosedur pencegahan Covid-19 yang ketat akan dikuat kuasakan, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal.

    myTukar AutoFair 2022: Mazda CX-5 RM112,800, jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari

    Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, atau layari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia.

     
     
  • myTukar Autofair 2022 – Toyota Corolla 1.8G dengan servis percuma, kadar faedah serendah 1.68% setahun

    myTukar Autofair 2022 – Toyota Corolla 1.8G dengan servis percuma, kadar faedah serendah 1.68% setahun

    Hanya ada beberapa hari saja lagi sebelum myTukar Autofair akan berlangsung dari 7 hingga 9 Januari ini di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan. Di sini, kita akan melihat antara kereta-kereta menarik yang anda boleh beli sewaktu acara kereta terpakai terbesar di Malaysia, bermula dengan Toyota Corolla 1.8G 2020 ini.

    Sedan kacak ini baru hanya berusia satu tahun dan masih lagi antara model segmen C yang menarik. Unit yang menggunakan warna Celestite Grey Metallic ini berada dalam keadaan yang sangat rapi, dengan hanya mencatat jarak batuan 20,000 km. Paling menarik adalah harganya, yang cuma RM116,800, iaitu hampir RM18,000 lebih murah berbanding harga unit baru.

    Walaupun harganya lebih murah, anda masih akan dapat kadar faedah serendah 1.8% setahun, sama seperti kereta baru. Harga ini malah lebih rendah berbanding varian asas 1.8E, dan dengan varian 1.8G, anda akan mendapat lebih banyak kelengkapan termasuk lampu utama dan lampu kabus LED, serta rim khas untuk varian tinggi ini.

    Masuk ke dalam (menggunakan sistem tanpa kunci), anda akan mendapat tempat duduk kulit serta kelengkapan moden seperti butang pemula enjin, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pengawal pendingin hawa dua zon, sistem kamera 360 darjah, serta skrin infotainmen sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    myTukar Autofair 2022 – Toyota Corolla 1.8G dengan servis percuma, kadar faedah serendah 1.68% setahun

    Lebih bagus lagi, varian 1.8G ini mendapat pakej bantuan pemandu Toyota Safety Sense lengkap, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan ciri stop and go, Lane Centring Assist, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Automatic High Beam, Vehicle Stability Control dan tujuh beg udara. Model ini digerakkan oleh enjin empat silinder 1.8 liter Dual VVT-i 2ZR-FE dan dipadankan bersama transmisi CVT Shiftmatic dengan tujuh nisbah gear maya untuk menghasilkan kuasa 139 PS dan 172 Nm tork.

    Seperti yang telah diberitahu, Corolla ini sangat bersih, dengan cat yang tiada cela, bahagian dalam terjaga dan tiada langsung kesan pemakaian yang boleh dilihat pada kemasan kulitnya. Ia juga datang dengan kit kecemasan dan pengepam tayar asal, serta pelapik kaki dari kilang, perakam video Toyota serta alas di dalam but.

    Sebagai tambahan, kereta ini telah melalui proses pemeriksaan 123 bahagian oleh myTukar, untuk memastikan tiada sebarang masalah yang menanti pemilik baru. Anda juga jangan lupa, kereta ini masih berada dalam jaminan asal kilang, dan myTukar akan menambah servis percuma selama satu tahun – sesuatu yang UMW Toyota Motor juga tidak berikan pada kereta baru.

    Anda boleh mendekati Corolla ini serta pelbagai lagi kenderaan lain di myTukar Autofair 2022, yang akan mempamerkan lebih 1,000 kenderaan terpakai bermacam jenama, daripada Perodua dan Proton, pelbagai Honda dan Toyota, hinggalah model premium seperti Mercedes-Benz, BMW, Volvo dan pelbagai lagi.

    Setiap pembelian myTukar akan termasuk sekali lanjutan waranti setahun dan servis percuma setahun — tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya berdepan masalah atau berubah fikiran tentang kereta yang dibeli itu, anda hanya perlu memulangkannya dalam tempoh lima hari, tanpa sebarang soalan ditanyakan.

    Bukan setakat itu, anda juga akan menerima tawaran istimewa lain jika membeli kereta di acara berkenaan, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengalas kaki Trapo untuk setiap pembelian kereta.

    Tawaran yang diberi tidak terhenti di situ kerana anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui promosi myTukar Lucky Spin Promo. Ada enam hadiah disediakan untuk pemenang, termasuk Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500.

    Jika itu masih lagi tidak cukup, anda juga mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar, yang boleh disertai dengan membeli kenderaan sewaktu acara tersebut.

    Liputan meluas myTukar di seluruh negara kini termasuk bilik pameran kenderaan premium yang lebih besar serta kemudahan servis sendiri yang menyeluruh memberikan anda pengalaman penyelenggaraan kenderaan lebih menenangkan, meskipun untuk kenderaan terpakai.

    Apa yang pasti, ada banyak sebab untuk anda hadir ke acara myTukar AutoFair 2022. Tahap keselamatan yang tinggi akan dipraktikkan sewaktu acara berlangsung – prosedur pencegahan Covid-19 yang ketat akan dikuat kuasakan, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal.

    Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, atau layari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South,
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia

     
     
  • Polis kini aktif kesan kesalahan jalan raya menerusi video-video tular; pesalah terus dikenakan hukuman

    Polis kini aktif kesan kesalahan jalan raya menerusi video-video tular; pesalah terus dikenakan hukuman

    Sebelum ini satu-satu video kesalahan jalan raya yang tular di media sosial mungkin mengambil masa untuk diambil tindakan oleh pihak polis. Namun kalau anda ikuti akaun Facebook rasmi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), anda akan perasan bahawa mereka kini lebih agresif untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap pesalah trafik menerusi video-video tular di laman sosial.

    Sejak minggu lalu, tak kurang dari lima pesalah trafik berbeza telah dikenakan tindakan setelah video kesalahan yang mereka lakukan ditularkan di laman-laman sosial. Kesemua video-video berkenaan telah dinaikkan semula ke laman Facebook JSPT dengan hantaran “Segmen # Video Tular” yang bukan sahaja memaklumkan bahawa kesemua pesalah-pesalah tersebut telah pun dikenakan tindakan, malah mereka turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan-kesalahan itu.

    Antara pesalah-pesalah yang telah dikenakan tindakan tersebut termasuk mereka yang terbabit dalam video tular kanak-kanak yang mengeluarkan separuh badan dari tingkap sebuah Perodua Alza, video sebuah Toyota Vios yang memotong secara berbahaya dari sebelah kiri di Melaka, video sebuah Toyota Prius C yang diparkir di tengah satu simpang di Ipoh, video Perodua Bezza yang memotong secara berbahaya dari sebelah kiri jalan dekat simpang Lebuh Puncak Jelapang, Perak, dan video sebuah Toyota Alphard yang telah memotong secara berbahaya dekat Jalan Batu Puteh – Simpang Tiga batu Puteh, Kulim, Kedah.

    Rata-rata mereka yang didapati bersalah ini telah disaman dan diberikan amaran di rumah masing-masing, dan ada juga yang telah ditahan di balai polis. Jadi selepas ini anda perlu beringat – bukan kamera-kamera AES sahaja yang boleh menyebabkan anda di saman, kamera-kamera dash cam yang digunakan secara meluas oleh orang awam juga boleh digunakan oleh pihak PDRM untuk menghukum kesalahan jalan raya yang anda lakukan.

     
     
  • Saman trafik – 8.6 juta telah dibayar sehingga 31 Dis 2021, tiada lanjutan tempoh tawaran diskaun : KPN

    Saman trafik – 8.6 juta telah dibayar sehingga 31 Dis 2021, tiada lanjutan tempoh tawaran diskaun : KPN

    Sebanyak 8,6 juta saman trafik telah dilangsaikan dalam tempoh tawaran diskaun sehingga 31 Disember lalu, laporan Bernama. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, ia menunjukkan tawaran diskaun saman yang dilaksanakan itu menerima sambutan tinggi daripada masyarakat memandangkan jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta saman.

    “Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya.

    Beliau turut berkata pihaknya tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh tawaran diskaun tersebut memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang mulai penghujung bulan lepas.

    Saman trafik – 8.6 juta telah dibayar sehingga 31 Dis 2021, tiada lanjutan tempoh tawaran diskaun : KPN

    Pada asalnya, tawaran diskaun saman tersebut boleh dibayar di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 9 hingga 12 Disember, namun telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021, dan ia semua pembayaran saman berkenaan boleh dilakukan di ibu pejabat kontigen dan daerah polis, selain pembayaran menerusi dalam talian termasuk portal MyBayar Saman.

    Pengumuman mengenagi kadar diskaun saman tersebut telah mendapat sambutan yang luar biasa, menyebabkan kaunter pembayaran di KLCC menjadi sesak teruk. Ini memaksa pihak polis menutup kaunter berkenaan kerana ia sukar untuk dikawal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Malahan pembayaran menerusi portal MyBayar Saman dan sistem MYSIKAP JPJ juga sukar untuk dilakukan kerana trafik laman web yang tinggi sehingga mendapat rungutan orang ramai.

    Walau bagaimana pun, pengurangan kompaun tersebut tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

     
     
  • Proton Iriz RX Supercar – jentera rallycross 600 hp bakal didedahkan tak lama lagi; teaser disiarkan!

    Proton Iriz RX Supercar – jentera rallycross 600 hp bakal didedahkan tak lama lagi; <em>teaser</em> disiarkan!

    Pasukan yang berlumba dalam kejohanan FIA RallyCross Eropah iaitu Team RX Racing telah pun menyiarkan teaser pertama untuk jentera rallycross dalam kategori RX Supercar baharu mereka, diasaskan dari hatchback segmen-B buatan Malaysia, Proton Iriz.

    Imej teaser berkenaan menunjukkan bahagian pintu hatch belakang jentera berkenaan, atau secara lebih spesifik pada bahagian logo belakang. Boleh dilihat Iriz RX Supercar tersebut menampilkan pintu hatch belakang yang ditebuk bagi memberikan aliran udara yang besar sama seperti jentera RX Supercar lain.

    Projek Proton Iriz RX Supercar ini telah diumumkan secara rasmi buat pertama kali pada Disember 2020, dijadualkan akan bertarung pada 2021. Namun mungkin disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan keadaan tidak menentu di seluruh dunia termasuk di United Kingdom, penampilan sulungnya terpaksa ditangguhkan.

    Jentera ini dihasilkan bersama Tony Bardy Motorsport (TBM) dan ia akan diasaskan dari kerangka Proton Iriz R5 yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) di UK – sebab itulah ia masih menggunakan rupa luaran Iriz 2017 bersama logo Proton dan Iriz lama kerana Iriz R5 menerima homologasi dari FIA berdasarkan model asal berkenaan.

    Proton Iriz RX Supercar – jentera rallycross 600 hp bakal didedahkan tak lama lagi; <em>teaser</em> disiarkan!

    Illustrasi gambaran awal Proton Iriz RX Supercar Team RX

    Pembinaan jentera Iriz RX Supercar ini dibuat di fasiliti MEM di Derbyshire, dan ia bakal dipandu oleh pelumba utama Team RX Racing iaitu juara RallyCross British 2007, Ollie O’Donovan.

    Perincian teknikal berkenaan Iriz RX Supercar ini masih belum diumumkan, namun boleh dijangka ia bakal menampilkan spesifikasi sama seperti jentera-jentera RX Supercar yang lain seperti janaan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan hampir 600 hp, berat sekitar 1,300 kg, kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda, dan juga kelengkapan aerodinamik yang lebih agresif dari jentera R5.

    Menurut pengasas TBM dan ketua jurutera Team RX Racing, Tony Bardy, selepas 15-tahun berlumba dengan pasukan tersebut menggunakan Ford Fiesta dan Ford Focus dengan spesifikasi RX Supercar, kini Ollie O’Donovon mahu mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan, dan sebab itu mereka kini memilih Proton Iriz untuk berlumba.

    “Kami ada kereta lain yang dirancang untuk masa hadpaan, tapi Ollie tak nak sama dengan orang lain, dia mahu sesuatu yang berlainan. Saya juga memikirkan perkara yang sama, tapi untuk bermula dari asas ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina dan membangunkan sesuatu yang benar-benar baru,” kata Tony Bardy.

    Proton Iriz RX Supercar – jentera rallycross 600 hp bakal didedahkan tak lama lagi; <em>teaser</em> disiarkan!

    “Kemudian saya teringat, saya kenal MEM sudah lama, dan Iriz adalah sesuatu yang sangat berbeza. Ia tak ambil masa yang lama untuk kami mengambil keputusan ini, bagi menghasilkan Proton RallyCross Supercar pertama. Pasukan MEM mahu melakukannya, dan mereka komited untuk merealisasikannya.

    “Iriz sudah pun menyertai banyak rali dan membuktikan konsepnya, jadi selagi kami mampu untuk menghasilkan kuasa dari enjin yang kami ada sekarang, yang saya pasti kami boleh, saya tak nampak sebab kenapa kami tak dapat berada pada tahap yang kami mahukan. Kualiti Iriz R5 adalah tinggi, dan untuk terlibat dalam projek baharu ini bersama Iriz RX adalah seperti menghirup udara segar,” jelasnya lagi.

    Menurut Ollie O’Donovan pula, mereka ada cara lebih mudah dengan membeli terus jentera dari kejohanan dunia, tetapi kali ini dia dan pasukannya mahukan sesuatu yang lain dari yang lain.

    “Kereta ini akan diasaskan dari Iriz R5 yang sememangnya sudah berjaya, tetapi ini adalah satu lagi pembangunan yang serba baharu. Ada banyak kerja yang perlu dibuat sebelum kami boleh fikirkan penampilan pertama, tetapi saya sudahpun tak sabar untuk memandunya dalam ujian dan berlumba denganya di litar-litar rallycross terbaik di dunia dalam kejohanan di Britain, Eropah dan Kejohanan Rallycross Dunia,” kata O’Donovan yang juga bertindak sebagai prinsipal pasukan Team RX Racing.

    Proton Iriz RX Supercar – jentera rallycross 600 hp bakal didedahkan tak lama lagi; <em>teaser</em> disiarkan!

    Menurut prinsipal MEM, Chris Mellors pula, ketika mereka membangunkan Iriz R5 ini pasukannya turut memikirkan bahawa jentera ini turut boleh dijelmakan sebagai jentera rallycross, dan sebab itu ia telah pun dihasilkan dengan berberapa ciri yang over-engineered.

    Dan seperti apa yang telah dijelaskan sendiri pada kami sebelum ini, Chris sekali lagi menyatakan asas Iriz itu sendiri sudah cukup bagus kerana menampilkan jarak roda yang paling panjang berbanding jentera R5 lain tetapi tetapi agak pendek dari segi dimensi keseluruhan, bersama pergerakan suspensi yang baik serta geometri suspensi hadapan yang sangat mengkagumkan direka oleh jurutera Proton dari kilang.

    “Kami ada banyak talaan yang boleh dibuat dan kami akan buat komponen-komponen khas baru yang sesuai untuk rallycross, tetapi kami sudah tidak jauh dari itu. Kami sudahpun mendapatkan keputusan yang sangat positif dalam ujian rali baru-baru ini, dan kami akan terikat dengan pembangunan jentera baru ini. Kami suka menang, dan itu yang akan kami turut lakukan dalam projek ini,” kata Chris Mellors lagi.

     
     
  • Sistem RFID di lebuhraya perlu ditambahbaik, dipromosi dan diberi penerangan lebih jelas – FOMCA

    Sistem RFID di lebuhraya perlu ditambahbaik, dipromosi dan diberi penerangan lebih jelas – FOMCA

    Sejak kerajaan mengumumkan pelaksanaan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari ini, ia menerima banyak reaksi berbeza dari pelbagai pihak.

    Antaranya Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang berkata, ia adalah hasrat kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengurusan kesesakan di plaza tol menerusi pelaksanaan RFID, namun perlu diberikan banyak penambahbaikan demi memudahkan lagi penggunaannya.

    Timbalan presiden FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ini termasuklah dengan adanya 20 laluan RFID di sembilan plaza tol PLUS yang buat masa ini masih mempunyai palang dan keadaan itu menyebabkan pengguna lebuh raya perlu memperlahankan kenderaan sebelum imbasan dilakukan, laporan Bernama.

    “Kita boleh lihat Singapura yang tidak mempunyai tol, perjalanan pengguna jadi lebih cepat sebab tidak perlu berhenti, sentuh kad dan sebagainya seperti yang kita amalkan sekarang,” katanya.

    Sistem RFID di lebuhraya perlu ditambahbaik, dipromosi dan diberi penerangan lebih jelas – FOMCA

    Selain itu, katanya, kemudahan tambah nilai yang ditawarkan RFID yang boleh dibuat secara dalam talian seharusnya mendapat reaksi positif rakyat.

    “Macam yang dikatakan ramai pihak, kalau dengan Touch ‘n Go kita memang alami kesukaran untuk tambah nilai. Kena singgah ke kedai serbaneka, stesen minyak dan kena sediakan tunai sebab untuk tambah nilai tanpa tunai tidak boleh.

    “Jadi RFID ini bagi kita pilihan yang lebih mudah sebab boleh tambah nilai menerusi telefon pintar sama ada guna kad debit atau kredit, atau perbankan dalam talian. Ia juga ada ciri tambah nilai langsung menggunakan e-dompet,” katanya.

    Beliau turut bersetuju dengan sasaran pelaksanaan RFID secara berperingkat memandangkan tidak semua pengguna lebuh raya ketika ini mempunyai akses kepada tag RFID berikutan kurangnya maklumat mengenai sistem tersebut.

    “Pilihan untuk menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTAG untuk tempoh tertentu adalah wajar dan ia perlu diteruskan sehingga PLUS rasa semua orang sudah boleh akses kepada RFID. Kemudian barulah secara beransur-ansur hapuskan kaedah pembayaran sedia ada dan beralih ke RFID sepenuhnya,” katanya yang turut menyarankan untuk lebih banyak promosi dibuat oleh PLUS berkenaan teknologi itu untuk manfaat pengguna.

    Mengenai reaksi sesetengah netizen yang kurang senang dengan pengumuman tersebut, beliau berkata situasi berkenaan pernah berlaku suatu ketika dahulu semasa peralihan sistem pembayaran tunai di tol kepada Touch ‘n Go.

    “Saya rasa tiada masalah sebenarnya sebab peralihan tunai ke Touch ‘n Go sebelum ini tidak ambil masa yang lama (untuk diterima pengguna). Itu menunjukkan rakyat kita sebenarnya bersedia dengan perubahan berkenaan. Jadi sebab itulah, saya berpendirian yang sama untuk RFID ini.

    “Apabila semakin ramai yang menikmati kemudahan ini, maka peralihan itu akan menjadi lebih positif. Sekarang saya faham banyak yang kurang setuju sebab belum ramai yang menggunakannya,” katanya.

    Jika anda ingin mengetahui bagaimana sistem RFID ini berfungsi, SILA BACA ARTIKEL INI.

     
     
  • SPYSHOT: Mazda MX-30 2022 di Malaysia – SUV EV dengan jarak 224 km, kemungkinan di bawah RM150k?

    SPYSHOT: Mazda MX-30 2022 di Malaysia – SUV EV dengan jarak 224 km, kemungkinan di bawah RM150k?

    Pada Oktober lalu, pengedar Mazda di negara ini, Bermaz dikatakan merancang untuk memperkenalkan Mazda MX-30 Electric di Malaysia. Berita tersebut diperkuatkan lagi dengan laporan kedua yang menyatakan crossover semua-elektrik itu sah akan dipasarkan di sini, kemungkinan besar pada suku ketiga atau keempat tahun hadapan.

    Baru-baru ini pula, pembaca Ezri Ezani telah mengesan kehadiran MX-30 ini yang diparkir di tepi jalan berhampiran bangunanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, dan merakamkan beberapa foto unit berwarna Soul Red Crystal ini.

    Sebelum anda terlalu teruja, EV ini berkemungkinan akan mengikut garis masa yang dicadangkan untuk pasarannya, dan unit yang dilihat ini kebarangkalian merupakan unit awal untuk penilaian dan proses homologasi.

    Didedahkan di Tokyo Motor Show 2019, MX-30 elektrik ini menampilkan motor elektrik 145 PS dan 271 Nm, yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan menerusi gear pengurangan kelajuan tunggal. Kuasa untuk e-motor tersebut disalurkan oleh bateri lithium-ion 35.5 kWh, yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 224 km.

    Bateri tersebut disokong oleh pengecas AC sehingga 6.6 kW menerusi Type 2 port, serta pengecasan pantas DC sehingga 50 jW menggunakan CCS port. Masa pengecasan dari 20-80% mengambil masa sekitar tiga jam mengggunakan pengecas AC, dan hanya 36 minit dengan pengecas DC.

    MX-30 Electric ini merupakan salah satu daripada enam model Mazda yang bakal diperkenalkan oleh Bermaz pada tahun hadapan, dan buat masa ini tiada harga jangkaan yang diumumkan, namun jika dibandingkan dengan harga di UK, agak jauh bezanya antara MX-30 Electric dan Kona Electric.

    Di UK, MX-30 Electric dijual pada harga bermula £27,145 (RM152,800) untuk varian SE-L Lux. Manakala untuk Kona Electric pula pada harga bermula £28,950 (RM162,950). Jadi, tidak mustahil harga MX-30 Electric yang bakal tiba di Malaysia akan jauh lebih murah berbanding varian asas Kona Electric e-Lite, yang berharga RM149,888 di sini.

     
     
  • Togg dari Turki sedia keluarkan SUV elektrik ke dalam pasaran tahun 2023 – teknologi ditunjuk di CES 2022

    Togg dari Turki sedia keluarkan SUV elektrik ke dalam pasaran tahun 2023 – teknologi ditunjuk di CES 2022

    Dua tahun selepas model prototaip ditunjuk, Turkey’s Automobile Joint Venture Group (Togg) kini mendedahkan bahawa mereka sudah bersedia untuk memperkenalkan sebuah SUV elektrik ke dalam pasaran pada tahun 2023. Menurut laporan, syarikat itu dipetik memberitahu bahawa ujian pengeluaran kenderaan tersebut akan bermula bulan Julai tahun hadapan, sementara contoh sebenar akan didedah pada hujung 2022.

    Sebelum semua itu berlaku, syarikat yang terdiri daripada gabungan lima kumpulan industri (Anadolu Group, BMC, Kok Group, Turkcell dan Zorlu Holding) ini akan menunjukkan kemampuan teknologi mereka di acara CES 2022 melalui penyelesaian mobiliti masa hadapan yang dipanggil sebagai Use-Case Mobility serta model Visionary Concept.

    Menurut Togg, Use-Case Mobility akan membawa semua teknologi sambungan, autonomous dan elektrik serba maju pada satu mesin khas sementara untuk kereta konsep itu pula, bahagian dalamnya ditunjuk awal, dengan menampakkan rekaan yang hampir seperti prototaip C-SUV. Kita juga boleh menjangka bahagian lain yang sama.

    Waktu model prototaip itu didedahkan kali pertama Januari tahun lalu, pilihan penggerak yang dinyatakan ada dua, iaitu tetapan satu motor elektrik dengan kuasa 200 hp, pacuan dua roda belakang dan jarak gerak 300 km, sementara satu lagi mempunyai dua motor elektrik, kuasa 400 hp, pacuan empat roda dan jarak gerak 500 km.

    Turut dinyatakan dalam laporan adalah SUV ini boleh menerima pengecas pantas DC pada kadar 150 kW untuk pek bateri lithium ion yang digunakan, dan mengambil masa 30 minit untuk mencapai tahap 80%, daripada kosong. Catatan prestasi yang didedahkan adalah model pacuan dua roda boleh mencatat masa pecutan 0-100 km/j 7.6 saat sementara model AWD boleh mencatat 4.8 saat.

    GALERI: Prototaip Togg C-SUV

     
     
  • Ferrari perkenalkan logo ulangtahun ke-75 untuk 2022

    Ferrari perkenalkan logo ulangtahun ke-75 untuk 2022

    Ferrari telah memperkenalkan rekaan logo istimewa yang dibuat sempena dengan ulang tahun ke-75 jenama berkenaan pada tahun hadapan. Logo tersebut turut didedikasikan khas menerusi video yang turut memaparkan pencapaian jenama tersebut.

    “Untuk tahun yang istimewa, kami telah mereka ikon khas yang merupakan sebuah arca yang terdiri daripada beribu-ribu komponen yang ditempa di kilang kami dan diletakkan satu demi satu oleh rakan sekerja Ferrari.

    “Ia juga adalah sebagai simbol semangat Ferrari sama ada di Maranello dan juga semua keluarga kami di seluruh dunia. Ia menggambarkan kejayaan kami sepanjang tempoh 75 tahun ini dan juga masa depan kami. Ia juga adalah simbol bagi syarikat, seperti mana yang Enzo Ferrari pernah katakan, di atas segala-galanya, diperbuat oleh manusia,” ujar Pengerusi Ferrari John Elkann.

    Tahun yang akan datang ini juga menjanjikan satu mercu tanda, termasuklah mendedahkan SUV pertama dari jenama ini, Purasangue. Tahun 2022 juga bakal menyaksikan pengenalan versi spider bagi 296 GTB hybrid.

    Ulang tahun ke-75 syarikat ini pastinya diraikan menerusi banyak acara di seluruh dunia, sama seperti ketika ia menyambut ulang tahun ke-70 pada tahun 2017, di mana logo khas pastinya akan dipamerkan dalam acara sambutan di seluruh dunia. Sama seperti ketika jenama itu menyambut ulang tahun ke-70 pada 2017, di mana logo khas turut dicipta bagi meraikan peristiwa itu.

     
     
  • One Moto Electa skuter elektrik dengan bentuk klasik

    One Moto Electa skuter elektrik dengan bentuk klasik

    Sekali pandang, pasti ramai yang menyangka ini adalah sebuah skuter klasik Vespa atau Lambretta dengan enjin dua strok. Tapi sebenarnya bukan. Ia adalah skuter elektrik baru keluaran syarikat dari United Kingdom, iaitu One Moto, dan dipanggil sebagai Electa.

    Model ini sudah pun mula dijual di India dengan harga 199,000 rupees (RM 11,130), dan menjadi tambahan baru kepada model Byka dan Commuta yang sedia dijual oleh One Moto di negara itu. Selain skuter, One Moto juga ada mengeluarkan basikal elektrik dan alat mobiliti persendirian lain.

    Electa digerakkan oleh motor elektrik Bosch 4 kW yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 72 V 45 AH, mampu memberikan jarak gerak maksimum 150 km untuk sekali cas penuh dan laju maksimum 85 km/j. Bateri yang terletak di bawah tempat duduk boleh dicabut untuk memudahkan pengguna, dan ia boleh dicas penuh dalam masa antara empat ke lima jam.

    One Moto Electa skuter elektrik dengan bentuk klasik

    Selain bentuk klasik yang sudah biasa dilihat ini, Electa juga datang dengan kelengkapan lain seperti brek cakera depan dan belakang, lampu penunjuk arah dan lampu belakang LED, rim 12 inci dan berat keseluruhan 115 kg.

    Ia juga turut dipasang dengan panel instrumen digital, yang boleh disambungkan kepada telefon bimbit melalui aplikasi “One App”, dan memberikan fungsi seperti kedudukan motosikal, amaran apabila motosikal keluar daripada kawasan yang telah ditandakan serta pemain muzik.

     
     
  • Korea Selatan mahu gandakan jumlah penggunaan kenderaan elektrik dan hidrogen pada tahun 2022

    Korea Selatan mahu gandakan jumlah penggunaan kenderaan elektrik dan hidrogen pada tahun 2022

    Korea Selatan mensasarkan untuk menggandakan jumlah kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen di jalan raya pada tahun hadapan, sebagai sebahagian daripada dorongan utama ke arah elektrifikasi dan mobiliti sel bahan api, laporan Yonhap News Agency.

    Negara tersebut sedang mencari jalan untuk meningkatkan penggunaan EV dan hidrogen di sana kepada 500,000 unit pada tahun hadapan, sekali ganda daripada 248,000 unit pada masa kini. Menurut menteri persekitaran negara berkenaan, EV dijangka dapat menyumbangkan sebanyak 200,000 unit untuk mencapai sasaran berkenaan tahun hadapan.

    Kerajaan di sana juga berkata ia juga akan mengembangkan rangkaian pengecasan EV dan tempat mengisi minyak hidrogen di seluruh negara tahun depan. Awal bulan ini, kementerian pengangkutan negara tersebut berkata ia akan meningkatkan bilangan pengecas EV di kawasan perkhidmatan lebuh raya di seluruh negara kepada lebih 1,000 menjelang akhir 2022, meningkat daripada 435 pengecasan yang terdapat di hentian rehat lebuh raya negara itu sekarang.

    Korea Selatan turut berkata peningkatan itu adalah sebahagian daripada usaha negara itu untuk mencapai matlamat 2030 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40% daripada rekod pada 2018, serta berusaha untuk ke arah sasaran pelepasan sifar menjelang 2050.

    Pembuat kereta negara berkenaan juga dilihat berusaha keras untuk menyokong rancangan itu. Antaranya, Hyundai Motor Group yang telah menutup pusat pembangunan enjinnya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula ibupejabat pembangunan dan penyelidikan, Namyang Technology Research Centre, dengan semua bahagian berkaitan penjana kuasa telah disusun semula untuk menjadi unit pembangunan elektrifikasi.

     
     
  • Toyota GR Corolla dalam teaser guna gear manual

    Toyota GR Corolla dalam teaser guna gear manual

    Cara Toyota USA memainkan teaser GR Corolla adalah berada di tahap yang lain. Anda sudah tengok dua teaser sebelum ini, yang kalau mahu diterjemah, memang perlu dikaji seperti teori konspirasi dan sekarang, keluar satu lagi teaser.

    Kali ini, mereka menyelit GR Corolla dalam video promosi GR 86 di Instagram. Tajuknya adalah “anda perlu cepat untuk menangkapnya”, dan memang benar, kalau betul-betul pantas barulah anda boleh melihat terdapat GR Corolla di dalam video itu.

    Apa yang lebih menarik, Toyota USA juga seakan memberi pengesahan bahawa GR Corolla akan ditawarkan dengan transmisi manual kerana terdapat sedutan yang menampakkan tetapan tiga pedal seperti GR Yaris (enam kelajuan).

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, GR Corolla boleh dianggap sebagai bakal pengganti kepada GR Yaris yang tidak dijual di negara itu. Melalui teaser sebelum ini, kita boleh ‘membaca’ ia bakal hadir dengan enjin tiga silinder 1.6 liter turbo (268 hp) serta sistem pacuan semua roda GR-Four seperti GR Yaris.

    Apabila dibandingkan dengan Corolla hatchback biasa pula, GR Corolla ini dilihat mempunyai rim lebih sporty dan terdapat intercooler yang besar di sebalik grilnya. Kita boleh membuat jangkaan, tetapi untuk mengetahui spesifikasi sebenarnya, kita perlu menunggu pelancaran rasmi yang setakat ini juga masih belum diberitahu bila akan berlaku.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024