Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tawaran Hari Raya Volkswagen – Polo bermula RM38k

    Tawaran Hari Raya Volkswagen – Polo bermula RM38k

    Belum lagi bermula bulan Ramadhan, Volkswagen sudah pun mula membuat tawaran promosi untuk model-modelnya sempena Hari Raya tahun ini di DRB-Hicom Autofest 2017. Selain dari diskaun untuk kereta-kereta baharu, promosi ini turut menawarkan harga istimewa bagi kereta demo dan juga kereta gantian ihsan mereka.

    Untuk pembeli Passat 1.8 TSI Comfortline, mereka akan diberikan rebat RM25,500 untuk model 2016, menjadikan harganya RM154,490 dari RM179,990. Untuk Golf 1.4 TSI Highline, ia diberikan rebat sehingga RM27,000, menjadikan harganya RRM132,888 dari RM159,888. Bagi Golf GTI dengan Tech Pack pula, ia diberikan diskaun RM15,000, menjadikan harganya RM220,888 dari RM235,888.

    Tawaran Hari Raya Volkswagen – Polo bermula RM38k

    Tawaran lebih hebat diberikan untuk unit demo Polo Sedan 2013 – dijual pada harga RM38,000, potongan RM61,888 dari harga asal. Golf 1.4 TSI Highline 2016 yang telah dipra-daftar juga ditawarkan dengan rebat RM28,000, dijual pada harga RM131,888, manakala unit demo Vento Trendline 1.6 dijual pada harga RM60,000, RM19,888 lebih murah dari harga asal.

    Tiga unit demo Vento 1.2 TSI Highline turut ditawarkan, dijual pada harga RM75,000 iaitu RM18,888 lebih murah dari harga asal. Dua lagi unit demo Polo hatchback 1.6 pula dijual pada harga RM59,000, jimat RM17,888 dari harga asal.

     
     
  • Perodua lakukan peningkatan, model serba baharu apabila perlu – pendapat pengguna diambil kira

    Perodua lakukan peningkatan, model serba baharu apabila perlu – pendapat pengguna diambil kira

    Tidak sampai setahun dilancarkan di pasaran, Perodua telah memperkenalkan sedan pertamanya Bezza yang ditampilkan dengan sedikit suntikan luaran dan dalaman pada pertengahan April lalu. Ini bukanlah suatu perkara biasa yang diamalkan oleh Perodua iaitu mempertingkatkan model yang baru dilancarkan tidak sampai genap setahun usianya. Namun bagi Perodua, kini ia bukan lagi suatu perkara yang luar biasa.

    Mengambil kira pendapat dan komen daripada penggunanya yang disifatkan sebagai keutamaan yang diamalkan sejak tertubuhnya syarikat pengeluar kenderaan kedua negara ini, itulah alasan Perodua ketika ditanya mengapa terlalu pantas memperkenalkan model yang dipertingkatkan bagi Bezza.

    Dalam sidang media yang dianjurkan oleh Perodua sempena dengan ‘Media Fun Drive’ di Pulau Redang, Terengganu, pagi ini, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua berkata, “Untuk produk lama, memang ada kitaran hidupnya iaitu sekitar enam tahun untuk terhasilnya model serba baharu. Dahulu, kami hanya melakukan peningkatan selepas model terbabit setahun diperkenalkan.

    “Kini Perodua mengambil langkah memperkenalkan model peningkatan atau facelift sekiranya perlu dan berupaya melakukannya, apatah sekiranya menerima banyak maklumbalas mengenainya. Malah kami melakukannya (memperkenalkan model facelift) lebih pantas daripada cara yang diamalkan sebelum ini,” ujar Aminar.

    Katanya lagi, sejak Perodua merupakan syarikat pengeluar kenderaan yang sentiasa mendengar maklumbalas daripada orang ramai. “Seperti Bezza, selepas dua bulan ia dilancarkan, kami membuat keputusan untuk melakukan sedikit perubahan terutamanya pada bahagian belakangnya yang dahulu dikatakan ‘agak tonggek’ (mengikut komen orang ramai).

    “Perubahan ini dilakukan sepenuhnya oleh pasukan kami, selepas mendapat persetujuan daripada rakan perniagaan kami, Daihatsu. Berkaitan dengan Bezza, bahagian bampar belakangnya dilabuhkan sebanyak 6 sm serta dicat dengan warna yang sama dengan badan, sekaligus menyingkirkan imej ‘tonggek’ pada model sebelum ini.”

    Bukan setakat bahagian luaran, Perodua turut memberikan sedikit penggayaan berbeza pada kabinnya yang melibatkan varian Premium X dan Advance di mana ia telah ditampilkan dengan kekemasan platinum krom baharu (sebelum ini dengan kekemasan perak) terutamanya pada butang kawalan pendingin hawa.

    Bagi varian tertinggi, Advance, satu lagi elemen yang telah dipertingkatkan iaitu rekaan tempat duduk kulit baharu yang tampil lebih elegan.

    GALERI: Perodua Bezza 2017

     
     
  • Panggilan semula isu inflator beg udara Takata untuk Nissan – senarai baru untuk Frontier, Sentra dan X-trail

    Panggilan semula isu inflator beg udara Takata untuk Nissan – senarai baru untuk Frontier, Sentra dan X-trail

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar tunggal jenama Nissan di Malaysia hari ini mengumumkan senarai baru kenderaan keluarannya yang terlibat dengan panggilan semula berhubung isu inflator beg udara Takata.

    Untuk sesi kali ini, dianggarkan sebanyak 52,707 unit kenderaan Nissan terlibat membabitkan trak pikap Frontier CKD (D22) keluaran Julai 2004 hingga Disember 2012 (1,032 unit), sedan Sentra CKD (N16) keluaran Jun 2000 hingga Disember 2004 (48,517 unit) dan juga SUV X-Trail CKD (T30) keluaran Januari 2009 hingga Disember 2012 (3,158 unit).

    Turut dinyatakan, Sentra N16 yang tidak dibekalkan dengan beg udara dan juga X-trail generasi baharu (T32), serta model-model dalam bilik pameran sedia ada tidak terlibat dengan panggilan semula ini.

    Semua pelanggan yang terlibat akan diberitahu menerusi surat daripada Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS). Mereka yang menerima surat itu dinasihatkan supaya menghubungi cawangan TCEAS terdekat untuk mendapatkan temu janji. TCEAS yang terpilih juga telah melanjutkan tempoh operasi mereka dan kini ia dibuka 365 hari memudahkan pelanggan bagi meningkatkan kapasiti aktiviti penggantian.

    Panggilan semula isu inflator beg udara Takata untuk Nissan – senarai baru untuk Frontier, Sentra dan X-trail

    ETCM juga menyediakan perkhidmatan mengganti inflator beg udara Takata semasa Karnival Pandu Uji yang diadakan pada 19 dan 20 Mei 2017 di AEON Mall Kota Bharu, Kelantan bermula jam 10am hingga 10pm. Kos buruh dan alat ganti untuk kempen servis ini adalah percuma.

    Pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838 (tol percuma) untuk maklumat lanjut atau KLIK PAUTAN INI bagi mengetahui sama ada kenderaan Nissan mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini atau sebaliknya.

    ETCM ingin menegaskan bahawa ketenangan minda dan keyakinan pelanggan menjadi keutamaan mereka, selain meminta maaf atas segala kesulitan yang timbul. Mereka juga menyatakan bahawa ETCM dan Nissan komited untuk memastikan keselamatan pelanggan, servis dan kepuasan pelanggan berada di tahap tertinggi.

     
     
  • Modenas V15 dilancarkan; 149.5 cc, berharga RM5,989

    Modenas V15 dilancarkan; 149.5 cc, berharga RM5,989

    Sebagai langkah untuk mengukuh serta mempelbagaikan lagi barisan produk keluarannya, selain dua model sportbike Modenas Pulsar RS200 dan NS200, sebuah lagi motosikal dengan penampilan retro, Modenas V15 turut dilancarkan hari ini. Ketika-tiga model berkenaan dikeluarkan hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India.

    Modenas V15 dilengkapi dengan enjin 150 cc DTS-i Twin Spark baru, sebuah teknologi yang menggunakan palam pencucuh berkembar, dan menghasilkan janaan kuasa 11.8 hp pada 7,500 rpm dan 13 Nm tork pada 5,500 rpm. Bagi kotak gear pula, ia menggunakan transmisi lima-kelajuan.

    Kemampuan membreknya pula menggunakan brek cakera 240 mm di bahagian hadapan, manakala di belakang brek dram 130 mm memikul peranan itu. Penggunaan rim juga berbeza, di depan, rim bersaiz 18 inci digunakan, sementara di belakang pula dipasangkan rim 16 inci.

    Mengawal keselesaan tunggangan pula adalah sistem suspensi teleskopik di bahagian hadapan, manakala di belakang pula menggunakan dua penyerap hentak bersama tabung gas Nitrox.

    Modenas V15 ini dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 13 liter. Bacaan penggunaan minyaknya didakwa mampu mencapai 53 km/l. Dari congak mudah angka-angka ini, motosikal ini sepatutnya dapat memberikan jarak tunggangan 689 km bagi satu tangki penuh sebelum memerlukan isian semula. Apa pun, semua itu bergantung juga kepada cara tunggangan.

    Selain itu, motosikal ini hadir dengan berat 136 kg. Harga jualannya ialah RM5,989 termasuk GST. Adakah model ini sebenarnya disasarkan untuk mengganti Modenas Jaguh 150 cc dahulu?

    Modenas V15

     
     
  • Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dilancarkan – enjin 199.5 cc, 24.5 PS dan 18.6 Nm, harga dari RM9,222

    Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dilancarkan – enjin 199.5 cc, 24.5 PS dan 18.6 Nm, harga dari RM9,222

    Modenas hari ini melancarkan tiga model terbaru hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India. Selain Modenas V15 yang hadir dengan gaya retro, Modenas Pulsar RS200 dan NS200 pula hadir sebagai penawaran sportbike untuk pasaran tempatan – RS200 dengan kelengkapan fairing, manakala NS200 pula merupakan versi naked model yang sama.

    Dua model ini dilengkapi enjin 199.5 cc silinder tunggal, SOHC, empat injap dengan sejukan cecair serta sistem suntikan minyak. Ia menjana sebanyak 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.3 Nm tork pada 8,000 rpm. Kedua-dua enjin juga dilengkapi ciri Triple Spark Technology untuk lebih lancar dan cekap. Model ini juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang juga dari jenis LED yang sama.

    Modenas Pulsar RS200 menggunakan sistem suspensi telesopik untuk bahagian depan dengan bush anti-geseran, sementara dibahagian belakang ia menggunakan penyerap hentak monoshock Nitrox dengan canister untuk berfungsi dengan lebih berkesan. Ia juga dilengkapi ciri ABS di hadapan, dengan brek cakera bersaiz 300 mm. Bahagian belakang juga menggunakan brek cakera 230 mm.

    Model ini juga dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 13 liter. Dengan berat hanya 164 kg, ia dapat memberikan jumlah jarak perjalanan yang tinggi sebelum memerlukan isian semula. Ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan biru, Modenas Pulsar RS200 dijual pada harga RM11,342, termasuk GST.

    Bagi NS200 pula, walaupun secara asasnya merupakan motosikal yang sama, terdapat beberapa perkara yang membezakannya daripada RS200 selain ketiadaan fairing. Antaranya, output yang dijana sedikit kurang, iaitu 23.5 PS dan 18.6 Nm. NS200 didatangkan dengan sistem brek hidraulik bersama cakera 280 mm di depan dan 230 mm di belakang. Tiada ciri ABS untuk model ini.

    NS200 juga dilengkapi dengan tangki minyak yang kapasitinya lebih kecil, iaitu 12 liter. Beratnya juga berkurangan, dengan hanya 155 kg; ia lebih ringan dan sangat sesuai untuk tunggangan di dalam bandar. Untuk itu, harganya juga sedikit berbeza; Modenas Pulsar NS200 dijual pada harga RM9,222, termasuk GST.

    Modenas Pulsar RS200

    Modenas Pulsar NS200

     
     
  • Perodua kekalkan sasaran jualan 2017 sebanyak 202,000 unit, semua model mendahului segmen

    Perodua kekalkan sasaran jualan 2017 sebanyak 202,000 unit, semua model mendahului segmen

    Seperti rekod yang pernah dicapai sebelum ini, Perodua masih mengekalkan posisinya di tangga pertama dalam jualan keseluruhan bagi suku pertama (Q1) tahun ini. Di mana bagi empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah menjual sebanyak 64,700 unit kenderaan, iaitu meningkat sebanyak 4.1% berbanding 62,100 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Dalam sidang media yang dianjurkan oleh Perodua sempena dengan ‘Media Fun Drive’ di Pulau Redang, Terengganu, pagi ini, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua berkata, “Walau pun jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi Perodua untuk Q1 dilihat mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, namun buat masa ini kami tidak merancang untuk mengubah TIV bagi tahun ini iaitu dengan sasaran sebanyak 202,000 unit kenderaan atau pun 34% bagi perkongsian pasaran.”

    Ketika ditanya apakah faktor yang mendorong Perodua mengekalkan sasaran jualan berkenaan, Aminar berkata,”Kami mahu meminimakan produksi buat masa ini bagi mengelakkan peningkatan kos operasi dalam keadaan ekonomi negara yang kurang menentu ini. Selain itu, stok sedia ada juga menjadi faktor pendorong keputusan ini diambil.”

    Perodua kekalkan sasaran jualan 2017 sebanyak 202,000 unit, semua model mendahului segmen

    Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr. Zahari Husin pula berkata, “Walau bagaimana pun, kami tetap mengambil langkah berhati-hati dan sentiasa memantau perkembangan pasaran biar pun kami masih mengekalkan posisi di tangga pertama dalam pasaran. TIV bagi Q1 ini sebenarnya memberi refleksi pada pasaran, di mana ia akan memberikan gambaran pada pada jumlah keseluruhan tahunan.”

    Beliau turut menambah, faktor kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah pelanggan dalam urusan memohon pinjaman kewangan bagi membeli kenderaan Perodua juga dilihat faktor penyumbang dalam hal berkaitan. “Kebanyakan pelanggan kami adalah daripada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Walau bagaimana pun, syarat pinjaman kewangan pembiayaan kenderaan yang agak ketat oleh pihak bank buat masa ini, membuatkan pemohonan pinjaman yang ditolak agak meningkat berbanding dahulu. Sekaligus, hal ini turut menjadi kebimbangan kami,” ujarnya lagi.

    Berhubung dengan Honda BR-V yang berjaya memintas rekod jualan tertinggi Alza pada bulan April seperti mana data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Aminar mengulas, “Ada baiknya persaingan kerana ia akan buat kita berusaha untuk menjadi lebih baik lagi. Walau pun rekod jualan tersebut hanya melibatkan perbezaan tujuh unit sahaja, namun kami masih lepas pandang. Justeru, kami perlu terus berusaha untuk meningkatkan kualiti memandangkan ia boleh dianggap sebagai DNA utama kami, iaitu bagi produksi dan bukan-produksi.”

    Sambungnya lagi, “Walau bagaimana pun, kesemua empat model kami masih mendahului pasaran dalam segmen masing-masing.”

     
     
  • Gambar rasmi jentera rali Proton Iriz R5 didedahkan

    Gambar rasmi jentera rali Proton Iriz R5 didedahkan

    Jika semalam Mellors Elliot Motorsport (MEM) mendedahkan Proton Iriz R5 mereka sudah bersedia untuk mengharungi Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) 2018, hari ini, media rasmi mereka, Chicane Media telah mendedahkan galeri jentera rali berkenaan.

    Proton Iriz R5 menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

    Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

    Menurut Chris Mellors dari MEM, Iriz ini akan dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Gambar rasmi jentera rali Proton Iriz R5 didedahkan

    “Semuanya pada tempat yang betul: panjang keseluruhan kereta ini kurang dari Satria, tetapi jarak rodanya lebih panjang; cagak atas topang berada pada tempat yang betul; banyak ruang pada bahagian hadapan yang sangat baik untuk penyejukan. Kami mempunyai kereta asas yang baik dan menerusinya kami letakkan segala bahan yang betul,” jelas Mellors.

    MEM juga mengesahkan Iriz R5 tersebut akan didedahkan sepenuhnya pada Goodwood Festival of Speed bulan hadapan. Ini bukan kali pertama MEM membina jentera rali untuk Proton. Sebelum ini, MEM merupakan badan yang bertanggungjawab membina Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC), S-WRC, dan juga dinobatkan sebagai juara APRC 2011.

    Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut menggunakan Proton PERT Evo VI yang dibina oleh MEM untuk pusingan-pusingan WRC di Eropah pada tahun 2002 dan akhirnya dinobatkan sebagai Juara Dunia kategori Production Car (PWRC) musim berkenaan.

     
     
  • Proton Iriz 2017 buat penampilan umum yang pertama

    Proton Iriz 2017 buat penampilan umum yang pertama

    Proton Iriz facelift 2017 masih belum lagi dijual kepada khalayak, tetapi telah membuat penampilan umumnya yang pertama di acara DRB-Hicom Autofest 2017 terlebih dahulu. Model dari segmen B ini menerima perubahan yang minimum dari aspek luaran, tetapi dengan kemaskini terhadap sistem janaan kuasanya.

    Di luar, antara pembaharuan yang diberikan ialah cat; bahagian atas gril, cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang pada varian tertinggi 1.6 Premium kini hadir dalam warna hitam berkilat. Warna bagi bodykit pula masih sama seperti yang terdahulu; kelabu gelap. Lambang baru Proton juga digunakan di depan dan di belakang.

    Di dalam, unit utama skrin sentuh kelihatan, dengan ciri Smart Link. Ini disertai dengan penggunaan material kulit pada sebahagian upholstery dengan benang merah, serta jalur merah dan biru di bahagian tengahnya. Varian lain akan menerima corak yang sama, tetapi dengan material fabrik.

    Turut ditambah ialah tombol gear dengan rekaan sama pada Persona CVT, serta instrumen kluster (dengan lampu Eco Assist) juga dari Persona. Bagaimanapun, ciri seperti nyalaan lampu utama automatik serta kenaikan tingkap automatik pemandu kini tidak disertakan.

    Kami difahamkan, daripada lapan varian yang ditawarkan dulu, selepas ini hanya akan tinggal empat sahaja sebagai pilihan – 1.3 Standard manual, 1.3 Standard CVT, 1.3 Executive CVT dan 1.6 Premium CVT. 1.3 Executive akan menerima sistem keyles entry dan Push Start, yang sebelum ini hanya pada varian Premium.

    Proton masih belum mengumumkan peningkatan terhadap aspek mekanikal kereta ini. Apa pun, kami menjangkakan tahap kebisingan dalam kabin (NVH) pada Iriz baru ini akan menjadi lebih baik dan senyap seperti pada Persona.

    Proton Iriz 2017 buat penampilan umum yang pertama

    Ini mungkin termasuk pengurangan tapak enjin (engine mount) dari empat kepada tiga, serta ECU yang disemak semua untuk memberikan maklum balas yang lebih lancar. CVT yang sebelum ini terlalu bising juga dijangka akan menerima penambah baikan.

    Pilihan bagi enjin dan transmisi juga dijangka sama seperi sebelum ini – 94 hp/120 Nm bagi enjin 1.3 liter dan 107 hp/150 Nm bagi enjin 1.6 liter. Ia dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan (1.3 Standard sahaja) atau CVT.

     
     
  • Honda Jazz facelift dilancarkan di Thailand – lima varian ditawarkan, harga bermula dari RM70k

    Honda Jazz <em>facelift</em> dilancarkan di Thailand – lima varian ditawarkan, harga bermula dari RM70k

    Walaupun dipertonton lebih awal di Malaysia, Honda Jazz facelift 2017 terlebih dahulu dilancarkan untuk pasaran Thailand. Ia mula dijual di sana semalam.

    Pembaharuan rekaan luaran tentunya sudah menjadi pengetahuan umum kini, memandangkan kita di Malaysia sudah pernah melihat kedua-dua versi petrol dari varian 1.5 V dan Sport Hybrid model berkenaan. Antara yang baru adalah rekaan gril dan bampar depan, dengan perbezaan rekaan baru dan saiz rim yang digunakan; antara 15 inci dan 16 inci.

    Bagaimanapun, pasaran Thailand turut menerima varian dengan penampilan paling sporty, iaitu RS yang menampilkan lebih banyak perbezaan daripada versi standard. Antaranya, rekaan bampar depannya lebih agresif seperti pada model untuk pasaran Jepun. Ia dilengkapi juga dengan kit sisi badan dan bampar belakang dengan diffuser.

    Honda Jazz <em>facelift</em> dilancarkan di Thailand – lima varian ditawarkan, harga bermula dari RM70k

    Turut melengkapinya adalah lampu utama LED, rim 16 inci seperti varian standard, lambang RS pada gril depan dan bahagian belakang serta pelindung cermin sisi hitam yang baru. Perbezaan ruang dalamannya lebih minimum, dengan jahitan warna oren. Warna badan khas, Phoenix Orange Pearl diberikan.

    Semua varian di sana dilengkapi dengan sambungan Bluetooth, kawalan kestabilan VSA dan Hill-start Assist sebagai ciri standard. Ia ditawarkan dalam lima varian; S, V, V+, RS dan RS+. Bagi varian S yang paling asas, antara lain ia menggunakan rim 15 inci, balutan tempat duduk fabrik dan dua beg udara.

    Varian V pula menerima tambahan antaranya lampu nyalaan siang LED, rim aloi, keyless entry, butang Push Start dan paparan multi-info. Bagi V+ pula, ia turut menerima kawalan pendingin automatik, skrin sentuh 6.8 inci, kamera undur, paddle shifter dan enam pembesar suara. Varian RS+ satu-satunya yang ditawarkan dengan enam beg udara.

    Enjin 1.5 liter i-VTEC empat-silindernya menghasilkan 117 PS pada 6,000 rpm dan 146 Nm tork pada 4,700 rpm. Varian S turut diberi pilihan antara CVT dan manual lima-kelajuan. Selebihnya menggunakan transmisi CVT.

    Harga pula bermula dari 555,000 baht (RM69,800) bagi S Manual, 594,000 baht (RM74,700) bagi S CVT, 654,000 baht (RM82,300) bagi V, 694,000 baht (RM87,300) bagi V+ dan 739,000 baht (RM92,900) bagi RS. Paling mahal ialah RS+ dengan 754,000 baht (RM94,800).

     
     
  • RON 95 RM4.09 seliter? Ini kenyataan rasmi dari Shell

    RON 95 RM4.09 seliter? Ini kenyataan rasmi dari Shell

    Anda mungkin sudah terbaca tentang ada pengguna yang dikenakan bayaran RM4.09 liter bagi petrol RON 95, atau RM4.65 seliter bagi RON 97 di media sosial hari ini. Begitu cepan ia menjadi tular bukanlah satu yang yang menghairankan, kerana harga minyak memang topik yang cepat mendapat perhatian.

    Harga yang dikenakan itu jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya; RM2.08 seliter bagi RON 95 dan RM2.36 seliter bagi RON 97. Maka, ia menjadi satu hal yang mengejutkan ramai orang.

    Menurut Shell Malaysia, sebanyak 160 transaksi terkesan dengan kemaskini harga yang tidak tepat ini, bermula dari 12.01am hingga 1.30am pada 18 Mei. Syarikat itu telah mengesan masalah itu sebaik ia dikenal pasti. Shell juga menggesa pengguna yang terlibat, yang mengisi minyak dalam tempoh berkenaan untuk memeriksa resit mereka, dan hadir semula ke stesen minyak yang berkaitan untuk menebus semula perbezaan harga yang mereka bayar.

    Berikut merupakan kenyataan rasmi Shell Malaysia:

    Kami sedia maklum berkenaan adanya masalah dengan kemaskini harga minyak kami semalam, dengan kira-kira 160 transaksi terlibat dalam rentang waktu dari 12.01am hingga 1.30am pada 18 Mei 2017. Jika anda ada mengisi minyak dalam tempoh itu di mana-mana stesen kami, sila semak semula resit anda, dan bawanya kembali ke stesen yang berkaitan di mana anda membuat pembayaran berkenaan untuk menebus perbezaan harga yang dikenakan.

    Sebagai rujukan, berikut adalah senarai harga bagi bahan api dari 18-24 Mei 2017 yang sepatutnya:

    Shell FuelSave 95: RM2.08 seliter
    Shell V-Power 97: RM2.36 seliter
    Shell V-Power Racing: RM3.06 seliter
    Shell FuelSave Diesel (Euro 2M): RM1.99 seliter
    Shell FuelSave Diesel (Euro 5): RM2.09 seliter

    Kami memohon maaf di atas kesulitan ini, dan terima kasih di atas sokongan dan kesetiaan anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, hubungi talian khidmat pelanggan kami di 1300 88 1808.

     
     
  • SPYSHOT: Honda CR-V 1.5L Turbo dilihat lagi di M’sia

    SPYSHOT: Honda CR-V 1.5L Turbo dilihat lagi di M’sia

    Honda CR-V generasi kelima sekali lagi dilihat sedang diuji di Malaysia, tak lama selepas ia dilihat sedang dalam perjalanan ke Genting Highlands. SUV ini menggunakan samaran yang agar ketara, dengan nombor pendaftaran yang sama dengan unit yang dilihat sebelum ini.

    Daripada penampilan rekaan lampu belakang dan ekzos berkembar yang digunakan, ia memberi petunjuk bahawa unit ini adalah dari varian 1.5L VTEC Turbo petrol. Dan, tentunya ini bukan lagi perkara yang baru diketahui.

    CR-V generasi kelima ini sudah dilancarkan di Indonesia, dengan penawaran dua varian iaitu versi 2.0L lima-tempat duduk atau 1.5L Turbo tujuh-tempat duduk. Sebelum itu, model berkenaan juga sudah dilancarkan di Thailand sebagai SUV tujuh-tempat duduk dengan dua pilihan enjin; 2.4 liter atau 1.6 liter i-DTEC turbodiesel. Kotak gear Earth Dreams CVT dipadankan dengannya.

    Honda Malaysia telah menyatakan bahawa syarikat itu akan memperkenalkan dua lagi model bagi tahun 2017, dengan Jazz baru adalah satu daripadanya. Kami menjangkakan sebuah lagi model yang tinggal ialah CR-V terbaru ini. Jika benar, ia nanti akan berdepan dengan Mazda CX-5 generasi kedua, yang khabarnya akan dilancarkan pada September nanti. Mana satu lebih menarik perhatian?

    GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo Prestige di Indonesia

     
     
  • VIDEO: Lelaki dari Netherlands hasilkan motosikal daripada kayu, enjin guna bahan api alga semula jadi

    Kita mungkin sudah melihat pelbagai bahan lebih mesra alam mula dijadikan sebagai pengganti kepada bahan api seperti petrol dan diesel. Melalui video ini, anda akan dapat melihat pula seorang lelaki bernama Ritsert Mans dari Hoorn, Netherlands menghasilkan sebuah motosikal yang digerakkan hasil pembakaran minyak alga asli.

    Mans mendapat inspirasi daripada kawannya, Peter Mooij yang ‘menternak’ alga secara semula jadi sekaligus dapat menjadikannya sebagai bahan bakar lebih mesra alam untuk enjin motosikal. Bagi Mooij, projek ini dianggap sebagai satu peluang untuk beliau terus mengkaji kemampuan alga sebagai bahan bakar.

    Bagi menjadikan motosikal ini lebih besesuaian dengan konsep ‘semula jadi’, Mans mengambil kayu sebagai bahan utama untuk membina motosikal ini. Tetapi sudah tentu , enjinnya tetap adalah sama seperti motosikal biasa. Apabila siap, untuk menjadikannya lebih simbolik, Mans dan Mooij menguji motosikal ini di tepi pantai, iaitu tempat pembiakan alga.

    Antara rekaan menarik yang boleh dilihat pada motosikal itu adalah fork hadapan hanya pada sebelah bahagian sahaja, pemegang yang rendah seperti cafe racer, lengan ayun tunggal dan tayar berbunga kasar.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota C-HR dilihat di atas jalan Malaysia

    SPYSHOT: Toyota C-HR dilihat di atas jalan Malaysia

    Selepas dipertontonkan buat pertama kalinya hujung minggu lalu, Toyota C-HR kini dilihat pula berada di atas jalan raya di sini. Seorang pembaca paultan.org, Amirul, terlihat model kenderaan terbabit ketika ia sedang keluar dari pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya.

    Unit Toyota C-HR berkenaan berkemungkinan sedang dinilai dan menjalani ujian untuk vehicle type approval (VTA) oleh pihak berkuasa berkenaan. Melihat daripada penampilan luarannya, ia kelihatan sama seperti unit yang dipamerkan minggu lalu.

    Iaitu, Toyota C-HR dengan spesifikasi Australia, yang menggunakan enjin 1.2L turbo, dengan spesifikasi asas peringkat kemasukan. Kami difahamkan, varian ini tidak akan ditawarkan untuk pasaran di sini. Enjin berkenaan menjana sejumlah 114 hp kuasa dan 185 Nm tork.

    Untuk Malaysia, kebarangkalian yang sangat besar untuk kita menerima Toyota C-HR yang dikuasakan oleh enjin 2.0L yang kapasitinya lebih besar, dengan janaan kuasa 150 hp dan 193 Nm tork. Transmisi CVT dijangka akan dipadankan pada unit ini nanti.

    Setakat ini, masih belum ada perincian rasmi yang didedahkan bagi spesifikasi varian yang akan dijual di sini nanti. Persoalan tentang bila model ini akan dilancarkan di Malaysia juga masih menjadi teka-teki; dari apa yang fahami, anggarannya ialah paling awal hujung tahun ini, atau mungkin juga awal tahun depan.

    Toyota C-HR di Malaysia

     
     
  • Subaru Forester 2.0i-S kini di Malaysia – RM133,818

    Subaru Forester 2.0i-S kini di Malaysia – RM133,818

    Setelah diprebiu oleh Motor Image hujung minggu lalu, Subaru Forester 2.0i-S kini dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia. Model ini diberikan berberapa tingkat taraf dari varian 2.0i-P sebelum ini yang terdiri dari spoiler bawah bampar (dengan kemasan gunmetal), gril rekaan baharu serta cermin sisi juga dengan kemasan gunmetal.

    Varian 2.0i-S ini masih menampilkan ciri-ciri yang diambil dari 2.0i-P termasuk lampu hadapan LED (dengan lampu nyalaan siang LED), rim aloi 17-inci, sistem pendingin hawa dua-zon, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, serta unit infotainmen dengan skrin utama Kenwood bersaiz 7-inci.

    Pada bahagian dalaman, model baharu ini diberikan kemasan seperti gentian karbon pada panel pintu, tuil penukar gear dan juga papan pemuka. Tempat duduk pula kini dibalut dengan gandingan kulit dan sued (seperti pada model 2.0 XT) serta serlahan jahitan berwarna merah. Ia turut diberikan set karpet alas kaki baharu dengan kemasan merah disekelilingnya.

    Tiada perubahan pada mekanikal, Forester 2.0i-S masih dijana enjin boxer empat silinder tanpa bantuan turbo, menghasilkan kuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan tork puncak 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical AWD, lengkap dengan fungsi SI Drive Mode.

    Subaru Forester 2.0i-S dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM133,818 dan ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Pure White, Silver Metallic, Dark Grey Metallic, Sepia Bronze Metallic dan Obsidian Black Metallic.

     
     
  • Lamborghini Centenario – unit pertama Asia ke HK

    Lamborghini Centenario – unit pertama Asia ke HK

    Lamborghini Centenario akhirnya tiba di Asia, dan unit pertama model edisi terhad ini sedang dalam perjalanan ke Hong Kong. Bagi menandakan ketibaannya, Lamborghini Hong Kong menyiarkan satu set gambar model tersebut di laman Facebook mereka.

    Lamborghini Centenario LP 770-4 dihasilkan sebagai sebuah model untuk menyambut kelahiran pengasasnya iaitu Ferrucio Lamborghini pada tahun 1916, dan hanya 20 unit dihasilkan dalam bentuk coupe dan roadster. Semuanya sudah ada penama.

    Kereta ini membuat penampilan pertama semasa pameran automotif Geneva tahun lepas, dan ia dihasilkan berasaskan daripada Aventador. Pelbagai ubah suai dilakukan pada kenderaan ini, termasuk antaranya lampu hadapan baru, skup di atas hud dan bampar yang direka semula. Pada bahagian sisi, salur udara telah dijadikan lebih besar dan keseluruhan bahagian belakang juga adalah baru.

    Centenario yang dihantar kepada pembeli di Hong Kong ini menggunakan warna kelabu dan hitam, lengkap bersama garisan kuning, sama seperti model yang ditunjukkan tahun lepas. Banyak barang gentian karbon digunakan pada kenderaan daripada luar sehinggalah dalam.

    Untuk enjin, unit 6.5 liter V12 N/A daripada Aventador digunakan, tetapi ia telah dinaik taraf sehingga boleh menghasilkan 770 hp, iaitu 70 hp lebih berbanding Aventador biasa, seterusnya menjadikan ia kereta Lamborghini produksi paling berkuasa. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat dan pergi ke kelajuan maksimum 350 km/j.

    Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Independent Shifting Rod (ISR), dan sistem pacuan empat roda. Kereta ini juga adalah 5 kg lebih ringan berbanding Avenador SV, iaitu hanya 1,520 kg, dan turut mendapat sistem stereng roda belakang baru.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025