Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia Stinger dipertontonkan di Sabah sempena Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017

    Pada hujung bulan lalu, Kia Stinger dikesan berada di Malaysia walau pun sebahagian besar badannya ditutupi balutan penyamaran. Hari ini tanda tanya mengenai kehadiran model tersebut di sini terjawab juga apabila akaun Instagram milik Kia Malaysia dan juga SM Nasarudin iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Group of Companies telah memaparkan foto Stinger yang dipertontonkan di Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017 yang sedang berlangsung di Sabah.

    Walau pun tiada butiran lanjut mengenainya, namun kami menjangkakan Kia Malaysia amat menaruh harapan yang tinggi untuk membawa masuk jentera prestasi ini seperti mana yang pernah dinyatakan pada Februari lalu. Malah ketika Paultan.org mengikuti rombongan Kia Malaysia ke Melbourne, Australia, bagi memandu uji model Kia Rio pada bulan yang sama, Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, yang turut serta dalam sesi lawatan tersebut sempat memberitahu kami, pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia pada tahun hadapan.

    “Kia telah menjalani pelbagai revolusi drastik sejak sedekad ini, malahan barisan model baharunya dengan rekaan yang cukup bergaya dan selari dengan arus model masa kini, dilihat mampu membawa jenama ini lebih ke hadapan,” ujarnya.

    Kia Stinger dipertontonkan di Sabah sempena Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017

    Mengadaptasi imej yang diambil dari model konsep Kia GT yang pernah diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2011, Stinger turut mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Bahagian hadapannya nampak lebih garang dengan gril “hidung harimau’ yang menjadi signatur model baharu Kia, malahan diapit dengan sepasang lampu berbentuk tirus.

    Untuk penjana kuasanya pula, Stinger didatangkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm. Serta enjin yang lebih berkuasa iaitu 3.3 liter turbo-berkembar V6 Lambda II dengan output 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi.

    GALERI: Kia Stinger yang dipamerkan di Australia Open 2017 Februari lalu

     
     
  • SPYSHOT: Yamaha NVX 155 ditemui sekitar Rawang

    SPYSHOT: Yamaha NVX 155 ditemui sekitar Rawang

    Skuter Yamaha NVX 155 (atau juga dikenali sebagai Aerox) pernah dipertontonkan kepada wakil media di Litar Sepang tahun lalu bersempena perlumbaan MotoGP. Walaubagaimanapun, itu sekadar pra tonton dan ramai yang menunggu waktu pelancarannya.

    Yamaha NVX 155 adalah sebuah skuter sports yang menggunakan enjin 155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, dan ia adalah unit sama seperti yang terdapat pada model NMax, berkuasa 14.8 hp dan 14.4 Nm tork. Cumanya, ia ditambah dengan sistem Start/Stop dan berat keseluruhannya adalah 11 kg lebih ringan.

    Walaupun sporty, skuter ini menyediakan ruang simpanan 25 liter kalis air di bawah tempat duduknya, dan ia boleh menempatkan sebuah helmet fullface. Menambahkan ciri modennya, motosikal ini turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna menghidupkan enjin tanpa kunci (disimpan dalam beg atau poket) dan tangki minyak 4.6 liter.

    SPYSHOT: Yamaha NVX 155 ditemui sekitar Rawang

    Agak sukar untuk kami menjangka tarikh sebenar pelancaran skuter sports ini kerana pihak Hong Leong Yamaha Motor cukup pandai mengunci mulut berkenaan perkara ini. Tetapi biasanya, selepas ujian jalanan seperti gambar yang dihantar oleh pembaca kami ini (yang juga sudah banyak kali ditemui), ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk dilancarkan. Kami menjangkakan dalam waktu antara bulan Jun dan Julai.

    Motosikal ini sudah pun dilancarkan di Indonesia, dalam tiga versi dan bagi yang paling asas, harga pasarannya adalah 21,850,000 rupiah (RM7,314). Jika dibandingkan dengan model NMax tanpa ABS, ia adalah lebih murah 3,100,000 rupiah (RM1,037). NMax tanpa ABS dijual di Indonesia pada harga 24,950,000 rupiah (RM8,352).

    Bagi model yang ditemui ini, melihatkan kepada suspensi belakangnya, kami menjangkakan ia adalah versi asas, dan bukannya R yang terletak paling atas. Yamaha NVX 155 Versi R menggunakan suspensi belakang dengan sub tank dan berwarna emas.

    GALERI: Yamaha NVX 155 di Litar Sepang

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan senarai baharu dalam siri panggilan semula berhubung masalah pada unit inflator beg udara keluaran Takata, kali ini melibatkan sejumlah 419 unit Honda Civic Type-R FD2R (model 2007 – 2008 dan versi facelift 2010).

    Bagi Civic Type-R, HM akan menggantikan kedua-dua belah (pemandu dan penumpang hadapan) inflator beg udara berkenaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya terlibat dalam kemalangan.

    Seperti panggilan balik sebelum ini, semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan, termasuk perincian mengenai kempen ini. Pelanggan yang telah menerima makluman ini dinasihatkan agar untuk membawa surat dan kenderaan mereka ke mana-mana pengedar Honda bertauliah yang berdekat untuk pemeriksaan. Kerja-kerja penggantian akan dilakukan sebaik sahaja alat ganti berkenaan tersedia dan semua kos alat ganti dan buruh ditanggung oleh Honda Malaysia.

    Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Sebagai usaha untuk mempercepatkan proses panggilan semula, HM turut berkerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB), bagi membolehkan pusat penukaran tambahan diwujudkan pada stesen-stesen Petronas terpilih.

    Selain itu, Hab Bergerak yang ditempatkan pada pusat-pusat membeli belah terpilih masih lagi kekal beroperasi. Pemilik yang terlibat juga masih boleh melakukan penukaran ini di semua 84 pusat servis Honda bertauliah diseluruh Malaysia.

    Bagi mereka yang mahu menukar inflator beg udara tersebut di stesen Petronas terpilih (rujuk jadual di bawah untuk lokasi dan waktu operasi) dan juga pusat servis Honda bertauliah, anda terlebih dahulu perlu membuat temu janji bagi mengelakkan kelewatan berlaku untuk proses penukaran. Manakala untuk mereka memilih untuk menukarnya di hab-hab bergerak pusat membeli-belah, tiada sebarang temu janji perlu dilakukan.


    Klik untuk besarkan

    Pasukan bergerak dari pintu-ke-pintu juga masih lagi beroperasi untuk mempercepatkan proses panggilan semula ini. Pasukan dari bahagian servis pengedar sah Honda ini akan mengenakan pakaian seragam Honda berserta surat pengesahan untuk memudahkan pelanggan mengenal pasti kesahihan mereka.

    Pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 atau pengedar sah Honda untuk pengesahan lanjut ketika dikunjungi oleh pasukan berkenaan. Pasukan bergerak ini juga akan membuat temujanji untuk menukar inflator beg udara tersebut terus di lokasi jika perlu, sekiranya pelanggan benar-benar tidak dapat berkunjung ke hab sementara atau pengedar berdekatan.

    Honda Malaysia juga kini berkerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menghubungi kesemua pemilik kenderaan terlibat yang tidak lagi berhubung dengan pihak mereka.

    Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Setakat 7 Mei 2017, stok alat ganti untuk inflator beg udara Takata bahagian pemandu berada pada tahap 100%, manakala segala usaha yang dilakukan oleh Honda Malaysia untuk memanggil semula semua kenderaan yang terlibat menyaksikan 79% dari jumlah keseluruhan telah berjaya ditukar.

    Untuk inflator beg udara Takata bahagian penumpang hadapan pula, stok alat ganti pada tarikh yang sama kini mencapai 90.5%. Honda Malaysia kini sedang berusaha keras untuk mendapatkan stok alat ganti tersebut ke tahap 100%. Mereka juga kini komited untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi menambah baik nisbah lengkap untuk penukaran inflator antara bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

    BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

    Sementara BMW masih belum mengesahkan akan mengeluarkan M2 versi yang lebih berkuasa, sebuah syarikat ubah suai kenderaan Jerman, Lightweight Performance telah melakukannya lebih awal, dan model yang diubah suai tersebut dipanggil sebagai M2 CSR, yang bermaksud “Carbon Sport Race.”

    Dengan nama seperti itu, sudah tentu, orang ramai menjangkakan penggunaan meluas gentian karbon, dan ia memang benar. Beberapa elemen pada pakej aerodinamik serta badan kenderaan ini diperbuat daripada gentian karbon, termasuk lapik cermin sisi, kemasan ekzos, diffuser belakang, bumbung, pintu dan penutup but.

    Perubahan luaran lain yang dilakukan pada kenderaan ini adalah pembelah angin hadapan yang agresif, sayap belakang besar dan set rim aloi ringan yang dibalut tayar Michelin Cup 2 saiz 265/35 di hadapan dan 295/30 di belakang. Terdapat juga banyak kemasan berwarna merah serta lencana khas, dan tema ini diguna juga pada bahagian dalam.

    Di dalam, hampir keseluruhan permukaan yang boleh dicapai diperbuat daripada gentian karbon untuk meningkatkan lagi aspek ringan yang sudah menjadi pakej bagi kenderaan ini. Tidak cukup dengan itu, tempat duduk belakang juga telah dibuang dan diganti dengan roll cage yang dicat warna merah untuk menjadikannya serasi dengan bahagian lain.

    Dua tempat duduk yang tinggal di hadapan juga diperbuat daripada gentian karbon dengan bentuk bucket, lengkap bersama tali pinggang lumba. Pada bahagian penyandar tempat duduk ini, terdapat sulaman M2 CSR yang menjadikannya lebih unik. Semua penggunaan gentian karbon ini menjadikan M2 CSR 195 kg lebih ringan berbanding kereta standard, pada 1,371 kg.

    BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

    Walaubagaimanapun, Lightweight Performance turut bertindak menukar enjin asal N55 M2 kepada unit S55 iaitu enjin yang digunakan pada M3 dan M4. Hasilnya, M2 CSR mampu menghasilkan 610 hp dan 767 Nm tork, dan catatan ini adalah 240 hp dan 302 Nm lebih berbanding M2 biasa.

    Catatan masa pecutan yang lebih pantas boleh dijangka dan kenderaan ini boleh mencapai kelajuan maksimum 328 km/j. Enjin ini dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan ataupun DCT M tujuh kelajuan, dengan kuasa disampaikan kepada tayar belakang.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

    TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

    Bagi pengeluar atau pengedar motosikal di Malaysia, selain jenama-jenama pengeluar premium atau berkuasa besar, hampir semua menyedari segmen motosikal jenis kapcai atau moped adalah sangat penting, dengan pasaran yang besar dan meluas. Di sebabkan itu, sebut sahaja nama-nama jenama utama yang bertapak di Malaysia, mereka pasti ada model yang dipertaruhkan dalam segmen berkenaan.

    Jenama tempatan seperti Modenas juga tidak ketinggalan dalam merebut peluang dalam pasaran yang sama. Mengapa pasaran motosikal kapcai dan moped begitu penting? Sedangkan, jika kita lihat hari ini, pilihan yang tersedia kepada peminat-peminat atau pengguna motosikal adalah sangat meluas.

    Satu daripada sebabnya kerana segmen motosikal berkenaan yang paling mampu milik. Dan, untuk urusan harian, ia yang paling praktikal – murah, kos pemilikan dan penyelenggaraan juga rendah serta dapat memenuhi keperluan individu dari pelbagai lapisan masyarakat. Ia tidak hanya tertumpu kepada segelintir kelompok yang berkemampuan sahaja, misalnya.

    Di sebabkan itu, motosikal jenis kapcai dan moped sangat popular, jika dilihat dari sudut jumlah penggunaannya. Namun, mengapa pula penawaran model-modelnya terlalu banyak, sedangkan jika dilihat dari perbezaan kapasiti misalnya, perbezaannya terlalu sedikit?

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • KL MRT: Jln Bukit Bintang, Jln Sultan Ismail dan Jln Changkat Bukit Bintang ditutup 16 hari mulai 10 Mei ini

    KL MRT: Jln Bukit Bintang, Jln Sultan Ismail dan Jln Changkat Bukit Bintang ditutup 16 hari mulai 10 Mei ini

    MMG Gamuda KVMRT Sdn BHd (MGKT) dalam kenyataan medianya menyatakan laluan sepanjang Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Changkat Bukit Bintang akan ditutup selama 16 hari pada sebelah malam, bermula esok sehingga 25 Mei depan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pengambilalihan kemudahan jalan raya MRT laluan Sungai Buloh-Kajang.

    Syarikat terbabit turut memaklumkan semua jalan itu akan ditutup secara berperingkat mulai jam 11 malam hingga 6 pagi dengan hanya satu lorong dibuka pada satu-satu masa.

    Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan papan tanda. Malahan sepanjang penutupan jalan itu juga, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) bagi projek MRT akan ditempatkan di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.

    Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai perkara ini, bolehlah melayari Twitter @MRTMalaysia atau @MyMRTUndeground atau Facebook @MRTMalaysia atau menghubungi hotline MRT di 1-800-82-6868.

     
     
  • Labis menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menggunakan getah sebagai turapan jalan

    Labis menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menggunakan getah sebagai turapan jalan

    Usaha Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memilih getah beku sebagai bahan campuran asfalt untuk turapan jalan dilihat semakin menampakkan hasil setelah banyak kajian mengenainya dilakukan.

    Terkini, laluan dua hala sepanjang 10 kilometer antara Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai, Johor Bahru bakal menjadi jalan raya pertama di negara ini menggunakan teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA), laporan Berita Harian.

    Menurut Jurutera Awam Penguasa Kanan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Zulkifli A Ghani, projek pemilikan tapak CMA itu dijangka bermula 17 Julai ini dan dijangka siap pada Januari 2020. Katanya, projek berkenaan akan dianalisis dalam tempoh dua tahun membabitkan pelbagai aspek seperti keselamatan pengguna, kos selenggara dan bentuk kerosakan pada jalan itu.

    “Projek perintis CMA sepanjang 500 meter sudah dilaksanakan di tiga lokasi iaitu, Tampin Negeri Sembilan; Temerloh Pahang dan Kedah sejak 2015. Hasil laporan awal CMA di tiga lokasi perintis menunjukkan kaedah ini sesuai digunakan untuk menambahbaik penurapan jalan raya dan pembinaan jalan baharu di Jalan Persekutuan seluruh negara.

    “Untuk tempoh jangka masa panjang, kos penyelenggaraan CMA menjimatkan berbanding turapan konvensional dengan jangka hayat jalan lebih baik,” katanya ketika membentangkan secara terperinci pembinaan semula jalan di lokasi terbabit kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim.

    Ketika ini, kebanyakan pembinaan turapan jalan raya di negara ini menggunakan bitumen asli gred 80/100 dan 60/70 sebagai bahan pengikat dalam campuran asfalt.

    Fadillah pula berkata, “Pelaburan awal CMA tinggi sekitar RM53 permeter daripada kaedah konvensional, RM29 permeter tetapi kos penyelenggaraan adalah rendah untuk jangka panjang. Yang lebih penting, kerjasama teknologi ini membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.”

    Ketika menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan memperluaskan penggunaan CMA ke seluruh negara dalam masa terdekat, Fadillah berkata kerajaan akan memuktamadkan aspek teknikal dan analisis kos menerusi hasil laporan penilaian akhir CMA, yang dijangka diumumkan awal tahun 2018.

     
     
  • Honda Civic Type-R kini di UK – bermula RM174k

    Honda Civic Type-R kini di UK – bermula RM174k

    2017 Honda Civic Type R sets new lap record at the Nürburgring

    Setelah didedahkan sepenuhnya pada Mac lalu di Geneva Motor Show 2017, hatchback berprestasi tinggi paling ditunggu-tunggu dari Honda iaitu Civic Type-R generasi baharu kini secara rasmi menerjah pasaran UK.

    Dua varian ditawarkan untuk pasaran berkenaan iaitu model asas dijual pada harga bermula 30,995 pound (RM174,127), manakala varian tertinggi GT pula dijual pada harga 32,955 pound (RM185,349).

    Untuk membezakan kedua-dua varian, model GT diberikan sistem penghawa dingin dua-zon, cermin pandang belakang anti-silau automatik, sistem navigasi Garmin bersama Honda Connect, pengecas telefon pintar tanpa wayar, lampu kabus hadapan LED serta sistem pengesan titik buta bersama amaran lintasan trafik.

    Kedua-dua varian diberikan sistem kelengkapan mekanikal yang sama iaitu enjin 2.0 liter VTEC Turbo empat-silinder berkuasa 320 PS/400 Nm, dipadankan bersama kotak gear manual enam-kelajuan yang dipertingkat, lengkap dengan LSD heliks. Transmisi tersebut juga kini diberikan fungsi rev-matching yang memberikan throttle-blip automatik ketika menurunkan gear tanpa pemandu melakukan teknik heel & toe.

    Honda Civic Type-R kini di UK – bermula RM174k

    2017 Honda Civic Type R sets new lap record at the Nürburgring

    Selain dari pertambahan 10 Nm pada enjin, Type-R baharu ini turut diberikan suspensi jenis multi link pada bahagian belakang (torsion beam pada FK2R sebelum ini), badan yang lebih tegar dan ringan, serta mendapat pakej aerodinamik yang lebih baik. Kesemua ciri ini telah membolehkan Civic Type-R merampas kembali gelaran “Kereta Pacuan Roda Hadapan Terpantas di Litar Nurburging” dari Volkswagen Golf GTI Clubsport S.

    “Seperti juga pada generasi terdahulu, kami telah menjangkakan permintaan yang besar terhadap Civic Type-R. Tempahannya kini sudah dibuka dan kami kini mendapat desakan yang kuat selepas pengenalannya di Geneva Motor Show Mac lalu – dan ini sebelum pelanggan kami dapat membuat pandu uji terhadapnya,” kata Phil Webb, ketua bahagian kereta di Honda UK.

    Honda Civic Type-R generasi baharu ini diproduksi di kilang Honda Swindon, UK. Tempahannya untuk pasaran berkenaan secara rasminya dibuka dan ia bakal sampai ke pengedar pada bulan Julai ini.

     
     
  • SPYSHOT: Bajaj V15 – model Modenas seterusnya?

    SPYSHOT: Bajaj V15 – model Modenas seterusnya?

    Pada bulan April yang lalu, Modenas telah mengesahkan menjalin kerjasama dengan Bajaj Auto dari India untuk memasarkan motosikal jenama tersebut di Malaysia. Tanpa lengah, awal bulan ini pula, syarikat itu mengeluarkan teaser yang mengatakan tiga model akan dilancarkan.

    Dua gambar teaser awal yang dikeluarkan memberi bayangan kepada apa yang kami jangkakan sebagai model Bajaj RS200 dan NS200, tetapi bagi yang ketiga, walaupun teaser untuknya masih belum dikeluarkan, boleh dijangka ia adalah Bajaj V. Di India Bajaj V dijual dalam pilihan enjin 124.5 cc dan 149.5 cc, tetapi bagi Malaysia, kami menjangka yang tiba adalah model 149.5 cc.

    Menguatkan lagi jangkaan tersebut, seorang individu dengan nama Zul Mohd Ali telah memuat naik gambar sebuah motosikal yang dilihat sama seperti Bajaj V di laman Facebook Modenas. Walaupun badan motosikal ini ditutup serba hitam tanpa sebarang grafik, boleh dilihat daripada bentuk lampu belakang, ekzos, lampu hadapan serta penghadang enjinnya ia adalah Bajaj V.

    Enjin 149.5 cc Bajaj V adalah daripada binaan satu silinder SOHC empat strok penyejukan udara dan mampu menghasilkan 12 PS pada 7,500 rpm dan 12.7 Nm pada 5,500 rpm. Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork teleskopik 33 mm, brek cakera 240 mm, rim 18 inci dan tayar 90/90, sementara di belakang pula terdapat suspensi gas berkembar, brek dram, rim 18 inci dan tayar 120/80.

    Tangki minyak Bajaj V boleh diisi sebanyak 13 liter, manakala tempat duduk belakangnya mempunyai penutup yang boleh ditanggalkan, seterusnya memberi pilihan gaya berbeza kepada pemiliknya. Di India, Bajaj V 149.5 cc dijual pada harga sekitar 63,000 rupee bersamaan apabila ditukar terus kepada Ringgit Malaysia adalah RM4,239.

    GALERI: Bajaj V15

     
     
  • Genesis G80 bakal terima talaan suspensi unik untuk Australia – dinamik BMW E39 sebagai tanda aras

    Genesis G80 bakal terima talaan suspensi unik untuk Australia – dinamik BMW E39 sebagai tanda aras

    2018 G80 Sport

    Jenama mewah untuk Hyundai iaitu Genesis (seperti Lexus untuk Toyota) bakal dilancarkan secara rasmi di Australia pada September ini, menampilkan sedan besar Hyundai Genesis bakal dijual dengan nama Genesis G80 untuk pasaran berkenaan. Menurut CarAdvice, G80 pasaran Australia bakal diberikan talaan suspensi khas untuk dinamik pengendalian yang lebih baik.

    Menurut laman berkenaan lagi, pasukan Hyundai yang berpengkalan di Sydney tersebut akan mengambil talaan suspensi dari model BMW 5 Series sebagai tanda aras dinamik pengendaliannya – tetapi bukan dari 5 Series generasi ketujuh G 30 terbaharu, sebaliknya dari generasi keempat yang kini telah pun berusia lebih 20 tahun iaitu E39, yang terkenal sebagai antara 5 Series paling seimbang dari segi pengendalian dan keselesaan.

    Model Hyundai Genesis sedia ada pada pasaran Australia agak popular dikalangan pemandu limo di negara berkenaan buat masa sekarang dan disifatkan sebagai model yang selesa, besar dan mewah tetapi tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk pengendalian.

    Genesis G80 bakal terima talaan suspensi unik untuk Australia – dinamik BMW E39 sebagai tanda aras

    Masih lagi belum dapat dipastikan adakah Australia bakal menerima model Genesis G80 Sport dijana enjin V6 3.3 liter turbo berkembar berkuasa 365 hp/510 Nm yang telah didedahkan tahun lalu – menampilkan rupa yang lebih agresif serta lebih sporty.

    Genesis G80 bakal menerjah pasaran Australia bersama model Genesis G70 serba baharu yang akan membawa Hyundai ke dalam kancah persaingan segmen eksekutif premium kompak, di mana segmen berkenaan didominasi oleh BMW 3 Series, Mercedes-Benz C-Class dan Audi A4. Ia juga turut akan bersaing dengan seteru serantau seperti Lexus IS dan Infiniti Q50.

    Buat perrmulaan, jenama Genesis ini akan dijual di Australia dalam premis sama yang mengedar Hyundai, tetapi bakal diberikan satu ruang khas untuknya tanpa bercampur dengan model-model biasa.

    GALERI: Genesis G80 Sport

     
     
  • SIC sedang pertimbang anjur perlumbaan Australia V8 Supercars di M’sia – berkemungkinan pada tahun 2018

    SIC sedang pertimbang anjur perlumbaan Australia V8 Supercars di M’sia – berkemungkinan pada tahun 2018

    Dengan Malaysia kini tidak lagi akan menganjurkan Formula 1 Malaysian Grand Prix bermula tahun 2018, Sepang International Circuit (SIC) berkemungkinan menganjurkan pula Australia Supercars Championship (juga dikenali sebagai V8 Supercars) tahun depan.

    Berdasarkan daripada laman web siri perlumbaan tersebut, ketua pegawai eksekutif SIC, Razlan Razali telah terlibat dalam perbincangan dengan V8 Supercars untuk menganjurkan perlumbaan tersebut pada tahun 2018. “Kami perlu memastikan apa sahaja acara yang dianjurkan selepas Formula 1 dapat memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak, iaitu litar dan juga pemegang hak,” kata Razlan.

    “Kami perlu memastikan setiap acara mempunyai kesedaran dan dapat menarik orang ramai, kerana litar Sepang adalah satu tempat yang besar dengan kapasiti sebanyak 100,000 orang. Malah, kami sedang berbincang dengan V8 Supercars jika acara dapat dilakukan pada tahun 2018,” tambah beliau. Sebelum ini, siri perlumbaan tersebut telah membuat demonstrasi semasa KL City Grand Prix.

    Razali juga menambah bahawa perbincangan sedang diadakan supaya warga Malaysia dapat menyertai V8 Supercars, dan ini akan dapat menarik penonton. “Apa yang penting adalah kami perlu mengadakan program kesedaran kepada warga Malaysia supaya 60% penonton yang hadir adalah dari Malaysia sendiri. Antara yang dibincangkan adalah untuk mempunyai kereta yang dipandu oleh orang Malaysia. Kita mempunyai bekas pelumba F1, bekas pemandu uji F1 dan pemandu muda yang mungkin boleh mewakili Malaysia,” jelas beliau.

    “Kami telah berbincang dengan ketua pegawai eksekutif V8 Supercars, James Warburton, untuk acara dalam tempoh antara April-Mei-Jun. Kami dapat menerima baik sebarang masa yang mereka mahukan, cuma aspek lojistik perlu diambil kira,” tambah Razali.

    Berkenaan siri perlumbaan itu sendiri, Razali memberitahu, “saiz kereta dan penampilannya adalah berbeza dengan kereta GT seperti Lamborghini dan Ferrari. Ia besar, bising dan api boleh keluar daripada ekzosnya. Saya rasa ia cukup menarik dan penting untuk kedua-dua pihak memastikan ia berjaya untuk kali pertama ini supaya boleh dilaksanakan pada tahun seterusnya.”

    “Untuk aktiviti di luar litar, kami tidak mempunyai sebarang masalah berbincang dengan V8 SUpercars. Mereka terbuka untuk mengadakan apa sahaja aktiviti untuk menarik pengunjung. Aktiviti mendekati pengunjung oleh pemandu dan pasukan lumba juga tidak menjadi masalah.”

     
     
  • Audi perkenalkan Perakam Trafik Universal baharu di Australia – bakal tiba di Malaysia pada September 2017

    Audi telah melancarkan sistem dashcam OEM, Perakam Trafik Universal (Universal Traffic Recorder – UTR) di Australia, menurut laporan yang disiarkan oleh CarAdvice. UTR adalah sebahagian daripada barisan produk Audi Genuine Accessory dan menepati standard keselamatan ADR 69/00, TRIAS 47, ECE-R94 dan 96/79/EG.

    Boleh didapati dalam unit tunggal- (hadapan) atau dwi-kamera (hadapan dan belakang), UTR ini boleh dipasang pada model semasa A4, A6, A7, A8, Q3, Q5 dan Q7. Manakala model terpilih dari tahun 2013 juga boleh dipadankan dengan sistem ini.

    Bagi spesifikasinya, peranti UTR ini dilengkapi dengan kamera HD sepenuhnya, radar, GPS dan pengesan G-shock. Ia juga didatangkan dengan tiga mod iaitu Standard, Parking dan Event, di mana ia akan mula merakam sebaik sahaja enjin dihidupkan, dan hanya akan berhenti apabila enjin dimatikan.

    Rakaman video disimpan dalam kad SD 8GB, dan apabila kapasiti storan sudah mencapai maksimum, peranti akan mula merakam di atas data lama. Dalam mod Parking, peranti akan dihidupkan apabila enjin dimatikan, terus merakam sehingga melebihi 72 jam.

    Manakala mod Event pula akan mula merakam secara automatik apabila meter pendikit mengesan brek secara mengejut atau mendadak, seperti ketika dalam situasi pelanggaran. Peranti juga menampilkan perakam berasaskan radar, iaitu berfungsi apabila ada pergerakan dikesan.

    Selain itu, sambungan pada telefon pintar juga antara elemen lain yang ditampilkan pada UTR, dengan aplikasi bagi peranti iOS dan Android. Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh melaras beberapa rakaman dan kamera termasuk secara langsung, galeri video dan pencarian kereta.

    Harga (di Australia) bermula AUD745 (RM2,380) bagi unit kamera-tunggal dan AUD845 (RM2,700) untuk dwi-kamera. Audi Malaysia turut mendedahkan rancangan bagi memperkenalkan UTR ini pada September 2017, walau bagaimana pun harganya belum dimaklumkan setakat ini.

     
     
  • Sky Team lancarkan cafe racer Ace 125 – RM7,367

    Sky Team lancarkan cafe racer Ace 125 – RM7,367

    Sky Team Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang telah berada di Malaysia sejak tahun 2012 dengan dua produknya iaitu Lady 110 dan PBR 110 kini melancarkan sebuah lagi motosikal, yang mempunyai gaya cafe racer, dinamakan sebagai Ace 125.

    Motosikal yang asalnya dibawa dari Changzhou Jiangsu, China dan dipasang di Malaysia ini menggunakan asas daripada motosikal Honda CG125. Ia dikuasakan oleh enjin empat strok 124.11 cc, dengan sistem karburetor, dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 8.5 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Suspensi bahagian hadapan motosikal ini menggunakan jenis fork teleskopik, manakala bahagian belakang pula adalah dua penyerap yang berwarna krom. Untuk brek, bahagian hadapan menggunakan cakera manakala belakang pula adalah jenis dram. Kedua-dua tayar motosikal ini menggunakan rim 18 inci, dengan tayar 2.75 inci di hadapan dan 3.0 inci di belakang. Berat keseluruhan Ace 125 adalah 87 kg, dan ia menyediakan tangki minyak sebesar 9.2 liter.

    Sky Team memasarkan Ace 125 pada harga asas RM6,588 dan apabila dicampur dengan GST, insurans dan pendaftaran, ia menjadi RM7,366.78. Turut diberi adalah jaminan selama satu tahun atau 10,000 km. Buat masa awal ini, Ace 125 ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, perak dan kelabu, dan setiap pembeli akan diberikan tambahan satu lagi tempat duduk jenis tunggal.

    Untuk masa hadapan, Sky Team bercadang membawa lebih banyak lagi model ke pasaran Malaysia, sebagai tambahan kepada tiga model yang sekarang dan ia termasuk antaranya T Rex RV 125 cc, Bongo 125 cc, Cobra 125 cc, Skymax DAX Pro dan V Raptor 250.

    Sky Team mempunyai 153 pengedar di seluruh Malaysia, dan selain membeli produk, pemilik juga boleh menghantar motosikal mereka ke semua pengedar ini untuk khidmat servis dan baik pulih.

    GALERI: Ace 125

    GALERI Lady 110

    GALERI: PBR 110

     
     
  • Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Mercedes-Benz bakal memperkenalkan model generasi akan datang bagi CLS empat-pintu coupe, yang dijangka dipertontonkan di Frankfurt Motor Show September ini, menurut Auto Express. Model baharu ini akan memfokuskan gaya yang lebih menyerlah, dengan sentuhan avant-garde bagi rekaannya.

    Jenama ini nampaknya ingin mengetengahkan elemen baharu bagi CLS disebabkan versi sedan bagi AMGT GT, yang diprebiu sebagai AMG GT Concept dan dijangka mula dijual pada tahun 2019 dengan menggunakan logo GT4, meletakkan posisi CLS model akan datang ini di atas E-Class. Ia juga dijangka akan menawarkan lebih banyak orentasi-prestasi yang penuh menguja.

    “CLS ini adalah untuk James Bond, manakala GT Concept pula buat Jason Bourne,” ujar ketua pegawai rekaan Gorden Wagener ketika ditemui di New York International Auto Show (NYIAS) bulan lalu. “Ia juga digambarkan memiliki pendekatan yang berbeza berbanding kebanyakan kenderaan.”

    Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Wagener turut menjelaskan, CLS bakal tampil dengan gaya yang lebib minimalis berbanding model sebelumnya, di mana AMG GT sedan pula lebih sporty. “GT Concept adalah lebih kepada jentera perlumbaan empat-pintu, dan bagi saya CLS pula lebih kepada kereta yang bergaya. Malah generasi akan datang juga akan menonjolkan lebih daripada itu. Malah ia juga akan mempunyai garisan bumbung yang lebih agresif dan elemen yang lebih menakjubkan,” ujarnya.

    Katanya lagi, CLS baharu ini juga akan mempunyai ukuran yang sama bagi ruang belakang seperti sebelum ini. “Walau bagaimana pun, ia akan ditampilkan dengan roda yang lebih besar dan profil tingkap sisi lebih menonjol seperti mana lakaran asal pereka, lebih langsing.”

    Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Malah Auto Express juga menjangkakan CLS ini akan lebih menonjolkan lebih kehebatan varian V8, dengan padanan empat- atau enam-silinder pengecas turbo bagi enjin janaan petrol dan diesel. Sementara AMG CLS 43 pula mungkin dipadankan dengan enjin petrol turbo-berkembar enam-silinder.

    Spyshot di bawah ini turut menunjukkan rekaan yang berlainan berbanding yang ditampilkan sebelum ini, termasuk bahagian gril yang dipadankan bersama lamu utama seperto mana yang ditonjolkan pada model Concept A Sedan. Malahan garisan fender belakang pada model semasa juga akan digantikan dnegan imej yang lebih ringkas, sementara bahagian belakangnya dipadankan dengan lampu dan pemegang plat nombor yang lebih nipis.

    GALERI: Spyshot Mercedes-Benz CLS generasi akan datang

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG GT4

     
     
  • Range Rover Evoque Landmark Edition – model khas rai penghasilan 600,000 unit sepanjang enam tahun

    Range Rover Evoque Landmark Edition – model khas rai penghasilan 600,000 unit sepanjang enam tahun

    Range Rover Evoque merupakan antara produk yang berjaya dalam barisan model Land Rover. Buktinya, SUV kompak ini telah dijual lebih daripada 600,000 ribu unit dalam masa enam-tahun, dengan 80% daripadanya telah dieksport ke 130 pasaran luar. Produksi tambahan turut dijalankan di China dan Brazil bagi menampung permintaan pasaran tempatan kedua-dua negara tersebut.

    Walaupun sudah berada dalam pasaran lebih dari enam-tahun, permintaan terhadap SUV ini masih lagi tinggi. Pada Mac tahun ini, Evoque mencatatkan rekod jualan bulanan tertinggi sejak diperkenalkan iaitu hampir 18,000 unit terjual.

    Untuk meraikan kejayaan tersebut, model istimewa digelar Evoque Landmark Edition telah diperkenalkan. Model khas ini hadir dengan warna unit Moraine Blue yang diinspirasikan dari tasik firus di Pergunungan Rocky Kanada (warna Yulong White dan Corris Grey turut ditawarkan), dan turut diberikan kit badan serta perincian bahagian luaran berwarna kelabu – termasuk bumbung panaromik kemasan Carpathian Grey, rim aloi 19-inci kelabu gelap, serta gril, bonet, liang fender, dan juga tulisan pada bahagian belakang dengan kemasan Graphite Atlas.

    Elemen kelabu gelap turut diberikan pada bahagian dalaman, terdapat pada konsol tengah dengan kemasan seperti satin yang diberus, dikelilingi tempat duduk dengan kulit Ebony bersama serlahan jahitan Light Lunar dan kemasan berliang pada bahagian tengah.

    Landmark Edition ini hadir dengan teknologi terkini dari Land Rover termasuk ciri opsyenal sistem InControl Touch Pro dengan skrin 10-inci menampilkan aplikasi seperti Spotify dan hotspot Wifi 4G. Aplikasi Remote Premium pula boleh memberikan informasi seperti paras bahan api, status kunci, lokasi dan juga fungsi pra-pemanasan/penyejukan kabin pada telefon pintar.

    Servis Touch Pro menawarkan peta dengan maklumat trafik masa-sebenar, satelit dan paparan ‘street level’ serta sidebar ‘Live Apps’ yang memberikan maklumat cuaca, tajuk berita utama, pengesan penerbangan dan banyak lagi.

    “Apa yang membuatkan Evoque sangat istimewa adalah kerana relevannya. Rekaannya kekal moden dan segar. Evoque dikenali ramai kerana telah membawa pembeli dari kalangan generasi muda kepada jenama Range Rover, termasuk lebih wanita. Kejayaannya jelas dari mula dan memberikan kami keyakinan untuk memulakan sesuatu yang baru, yang anda boleh lihat pada kenderaan seperti Evoque Convertible,” kata Gerry McGovern, ketua pegawai rekabentuk Land Rover.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025