Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Lamborghini hasilkan topeng & pelindung muka untuk bantu barisan hadapan perangi wabak Covid-19 di Itali

    Lamborghini hasilkan topeng & pelindung muka untuk bantu barisan hadapan perangi wabak Covid-19 di Itali

    Seperti yang kita tahu, Itali antara negara yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia – kini di tangga kedua selepas Amerika Syarikat dengan kes positif melebihi 100,000 direkodkan. Sebagai sebuah kilang yang menghasilkan kereta banyak menggunakan tangan, Lamborghini tidak mempunyai masalah untuk menukar operasi sebahagian divisinya untuk memproduksi dua peralatan pelindung diri yang penting untuk memerangi wabak ini iaitu topeng dan pelindung muka.

    Kini, divisi upholsteri Lamborghini yang sebelum ini menghasilkan komponen-komponen dalaman Supercar Itali berkenaan ditugaskan untuk membuat topeng muka, dengan jumlah 1,000 unit sehari. Manakala dengan kelengkapan pencetak 3D yang telah sedia ada di bahagian produksi komponen gentian karbon dan juga R&D kilang tersebut, membolehkan mereka menghasilkan 200 pelindung muka plexiglass setiap hari.

    Inisiatif yang diambil Lamborghini ni telah diluluskan dan disokong oleh pihak berkuasa Emilia-Romagna, dengan kerjasama Universiti Bologna.

    Nampak bergaya betul topeng muka berwarna tan dengan tag Lamborghini tersebut kan? Ini bukan aksesori eksklusif yang akan dijual oleh Lamborghini, tetapi kedua-duanya diiktiraf sebagai peralatan-peralatan perubatan dan ujian pengesahannya dipantau oleh Jabatan Perubatan dan Sains Pembedahan Itali. Kesemua topeng dan pelindung muka tersebut akan dibekalkan kepada barisan hadapan petugas kesihatan di Hospital Sant’Orsola-Malpighi, Bologna.

    “Ketika waktu kecemasan ini, kami rasa kami perlu hulurkan bantuan yang konkrit. Hospital Sant’Orsola-Malpighi merupakan institusi yang telah kami jalankan kerjasama sejak sekian lama, menerusi konsultasi professional dalam program kesedaran untuk kesihatan pekerja kami, dan juga dalam projek penyelidikan,” kata pengerusi dan CEO Automobili Lamborghini, Stefano Domenicali.

    “Kami akan menang perang ini dengan bekerjasama, menyokong barisan hadapan yang berperang dengan pandemik ini setiap hari,” tambahnya lagi. Sebagai solidariti untuk menyokong seluruh negara ketika berhadapan dengan situasi sukar ini, Lamborghini turut memasang lampu dengan warna bendera Itali setiap malam.

     
     
  • PERBANDINGAN: Toyota Hilux 2.8L vs Mitsubishi Triton 2.4L Adventure X — mana satu lebih berbaloi?

    Pilihan bagi mereka yang ingin memiliki trak pikap dalam pasaran tempatan sekarang ini agak banyak. Walaupun nampak sama, tetapi masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Maka, di dalam video perbandingan menyeluruh yang pertama ini, kami mempertemukan dua buah trak pikap antara yang paling popular di Malaysia.

    The King, Toyota Hilux yang di dalam video ini diwakili oleh versi spesifikasi paling tinggi dengan 2.8 liter tidak perlukan pengenalan panjang. Kurang lebih sudah 50 tahun model ini berada dalam pasaran dunia, dan menjad satu model penting yang laris bagi pengeluarnya.

    Kedua, Mitsubishi Triton yang juga diwakili oleh versi spesifikasi paling tinggi, 2.4 liter Adventure X. Sedikit “muda” berbanding Hilux jika dirujuk kepada usia pengenalannya dalam pasaran global, ia menjadi antara model trak pikap yang paling menarik dan versatile ketika ini yang boleh anda beli.

    PERBANDINGAN: Toyota Hilux 2.8L vs Mitsubishi Triton 2.4L Adventure X — mana satu lebih berbaloi?

    Tetapi, adakah anda tahu perbezaan antara keduanya secara terperinci? Perbezaan harga mungkin agak senang diketahui, tetapi bagaimana pula dengan beza berat keseluruhan? Walaupun kedua-duanya guna struktur “ladder frame”, adakah tahap keselesaannya terjejas sama sekali? Mana satu yang paling selesa?

    Ruang barangan di belakang model mana yang lebih besar? Semua pertanyaan ini, serta banyak lagi info-info menarik yang perlu anda tahu tentang perbezaan kedua-dua model ini kami bincangkan di dalam video perbandingan ini. Oh ya, tidak lupa juga, laporan ujian penggunaan minyak yang kami jalankan sendiri terhadap kedua-duanya. Jika belum baca, silakan. Bertenang di rumah dan tonton video ini. Kalau ada apa-apa cadangan, sila maklumkan. Ok?

    Hilux vs. Triton


    Toyota Hilux 2.8L

    Mitsubishi Triton 2.4L

     
     
  • Jadual terkini tren dan bas RapidKL bagi PKP fasa dua

    Jadual terkini tren dan bas RapidKL bagi PKP fasa dua

    Hari ini bermulakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi fasa kedua yang akan berlangsung sehingga 14 April nanti. Selaras dengan itu, kerajaan telah memperkenalkan pendekatan dan sekatan yang lebih ketat dalam usaha untuk membendung penyebaran wabak Covid-19.

    Selari dengan perkembangan terbaru ini, Rapid KL turut mengumumkan jadual dengan kekerapan terkini untuk PKP fasa dua bagi perkhidmatan bas yang disediakan. Bagi hari bekerja, tren bagi tingkap waktu puncak antara 7am-9am dan 5pm-7pm akan digandakan kekerapannya menjadi setiap 10 minit. Bagi tempoh biasa dan juga hujung minggu, kekerapan tren adalah setiap 30 minit.

    Kementerian Pengangkutan juga telah memaklumkan bermula hari ini, perkhidmatan bas awam dan juga ekspres, tren serta terminal yang terlibat akan dihadkan kepada antara 6am hingga 10am dan 5pm hingga 10pm sahaja. Teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. Bagi penghantaran makanan, hanya dibenarkan antara 8 pagi ke 8 malam sahaja.

     
     
  • KTM 890 Duke R – keistimewaan berbanding 790 Duke

    KTM 890 Duke R – keistimewaan berbanding 790 Duke

    Model naked terbaru KTM 890 Duke R sebenarnya sudah didedahkan waktu pameran EICMA tahun lepas, dan kita sudah tahu perincian utamanya. Ia menggunakan asas daripada 790 Duke, tapi diberikan peningkatan seperti angkup brek Brembo Stylema dengan cakera 320 mm berkembar di hadapan, pam brek Brembo MCS, fork WP 43 mm boleh laras sepenuhnya serta ergonomik yang diubah menjadi lebih agresif.

    Itu adalah naik taraf kelengkapan yang boleh dilihat terus, sementara pada bahagian enjin pula, kita diberitahu ia masih lagi unit dua silinder selari sama seperti 790 Duke, tetapi mampu menghasilkan lebih 18 hp dan 12 Nm, menjadikan kuasa keseluruhannya 121 hp pada 9,250 rpm dan 99 Nm tork pada 7,750 rpm.

    Melalui video yang disiarkan oleh KTM semalam, kita boleh mengetahui apa yang dibuat oleh KTM untuk mendapatkan tambahan kuasa ini. Kapasiti enjin itu dipertingkat menjadi 890 cc (daripada 799 cc) dengan membesarkan bore menjadi 90.7 mm (daripada 88 mm) dan stroke ditambah menjadi 68.8 mm (daripada 65.7 mm). Ia kemudiannnya dipadankan dengan piston baru dan nisbah mampatan enjin ditingkatkan menjadi 13.5:1, daripada 12.7:1.

    Untuk bahagian bawah enjin pula, 890 Duke R menggunakan crankshaft yang boleh berpusing 20% lebih baik berbanding sebelum ini, seterusnya dikatakan mampu membantu memberikan lebih stabiliti waktu kelajuan sekata, rpm tinggi dan mengambil selekoh. Pada bahagian head, camshaft 890 Duke R mempunyai profail yang lebih agresif dan lift yang lebih tinggi.

    Walaupun tidak didatangkan dengan quickshifter (pilihan tambahan), KTM telah mempertingkat kotak gear model ini untuk memberikan penukaran yang lebih pantas dengan jarak pergerakan tuil yang lebih rapat serta spring yang lebih pantas. Untuk memastikan enjin selamat dibelasah, sistem penyejukan turut diperbaiki dengan radiator yang lebih besar.

    Secara keseluruhannya, 890 Duke R mempunyai berat 166 kg (-3 kg berbanding 790 Duke) dan dilengkapi dengan sistem elektronik seperti empat mod tunggangan (Rain, Street, Sport dan Track), Motorcycle Traction Control (MTC), ABS, panel paparan TFT serta lampu LED.

    GALERI: KTM 890 Duke R 2020

     
     
  • Polis perketatkan kawalan di Subang Jaya sepanjang PKP – 10 jalan ditutup, 5 jalan terlibat sekatan 24 jam

    Polis perketatkan kawalan di Subang Jaya sepanjang PKP – 10 jalan ditutup, 5 jalan terlibat sekatan 24 jam

    Fasa kedua Perintah Kawalan pergerakanj (PKP) telah pun bermula hari ini hingga 14 April 2020. Ini bermakna penguatkuasaan yang lebih ketat telah mula dilaksanakan, berbanding fasa pertama yang berakhir semalam. Lebih banyak jalan raya ditutup dan sekatan jalan raya dilakukan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai, ini termasuklah menetapkan hanya seorang sahaja dibenarkan dalam sebuah kenderaann (pemandu sahaja, tiada penumpang).

    Semalam, kontinjen polis Selangor telah memaklumkan lebih banyak penutupan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat. Di Subang Jaya, polis daerah berkenaan telah mengumumkan sebanyak 10 jalan utama masuk/keluar akan ditutup dalam tempoh dua minggu ini. Malahan lima daripada akan menjadi lokasi sekatan jalan raya 24 jam sehari.

    Sekatan jalan raya terbabit akan diadakan di Seafield USJ, Puchong Selatan, plaza tol PJS 7 (arah selatan) dan juga plaza tol Putra Height, serta Jalan Subang Utama, menghala ke Lebuhraya NPE.

    Manakala 10 laluan utama masuk/keluar yang bakal ditutup termasuklah KESAS ke Subang Jaya (USJ 1, Summit/Giant dan Persiaran Kemajuan), Jalan Subang Kelana Link (ke Persiaran Kewajipan) dan LDP (dari Hotel City One ke Persiaran Kewajipan, dan Persiaran Klang ke Persiaran Kewajipan) serta empat lagi lokasi di Persiaran Tujuan dengan semua laluan akses ke Lebuhraya Persekutuan.

    Polis perketatkan kawalan di Subang Jaya sepanjang PKP – 10 jalan ditutup, 5 jalan terlibat sekatan 24 jam

    Polis turut menasihati agar pemandu yang ingin keluar dari Subang Jaya agar menggunakan laluan alternatif. “Saya ingin merayu kepada semua penduduk Subang Jaya agar mematuhi PKP,” ujar Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Risikin Hj. Satiman.

    Selain penutupan jalan, fasa kedua PKP yang ini turut mengehadkan waktu operasi untuk semua pasaraya, restoran yang membuat khidmat takeaway dan juga stesen minyak, yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

    Sekali lagi team paultan.org ingin mengingatkan anda semua kalau nak keluar rumah pun jika perlu sahaja, iaitu bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Hadkan pergerakan anda dan jangan lupa sekarang ini sudah ada peraturan satu kereta, seorang sahaja (iaitu hanya pemandu sahaja). Anda boleh mencuba perkhidmatan penghantaran barangan ke rumah dan paling penting, jaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan anda serta orang di sekeliling anda.

    #duduksajadirumah #juststayathome #silalayanpaultanorgsampailebam #jangankatakamitakpayung

     
     
  • VIDEO: Polis tegas ketika PKP fasa 2, pastikan dokumen anda lengkap jika benar-benar perlu keluar

    Hari ini bermula penguatkuasaan lebih tegas oleh Polis setelah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak Covid-19 masuk fasa 2 yang dijadualkan sehingga 14 April ini. Macam mana punya tegas pihak Polis dalam fasa ini? Di atas adalah video yang dirakamkan oleh pihak Malaysia Gazette di sekatan jalan raya yang dibuat di Jalan Jambatan Kota Klang, Selangor pagi tadi.

    Boleh anda tonton dalam video berkenaan, Polis kini tidak lagi berlembut kepada semua yang melalui sekatan berkenaan. Tiada dokumen atau surat yang menyokong perjalanan anda? Tiada budi bicara yang diberikan lagi dan anda perlu segera melakukan pusingan-U.

    Bagi yang memberikan alasan ‘balik rumah’ pun perlu anda ambil perhatian – sekiranya alamat pada kad pengenalan anda tidak sama dengan alamat kediaman anda sekarang, pastikan anda bawa sekali dokumen sokongan seperti bil air atau bil elektrik misalnya bagi membolehkan anda lepas sekatan jalan raya berkenaan.

    Dalam video di atas, boleh kita lihat masih lagi ada mereka yang degil dan memberikan alasan yang tidak munasabah seperti ‘jumpa kawan’ ketika negara sedang dilanda musibah. Sehingga semalam, sebanyak 2,766 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 43-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

    Hari ini masuk hari ke-15 PKP berlangsung, bagaimana keadaan anda? Sanggup ke nak harungi lagi jika tempoh ini dilanjutkan? Kalau tak nak, ayuh bantu barisan hadpaan negara untuk menjayakan perperangan terhadap Covid-19 ini dengan duduk di rumah, dan tidak sewenang-wenangnya keluar untuk urusan remeh-temeh!

     
     
  • Nissan X-Trail akan datang dalam fail rasmi di Brazil

    Nissan X-Trail akan datang dalam fail rasmi di Brazil

    Ada berita baru berkenaan Nissan Rogue, atau untuk pasaran tempatan di sini dikenali sebagai X-Trail. Versi akan datang model berkenaan telah muncul dalam bentuk lakaran dokumen yang dihantar untuk kementerian ekonomi kerajaan Brazil. Walaupun tidak disebutkan nama SUV berkenaan, ia tampil agak mirip dengan model X-Trail yang diberi facelift pada 2016 lalu.

    Dalam rekaan terbaru itu, SUV berkenaan menggunakan gril V-Motion dengan rekaan lampu utama yang lebih nipis. Dari sisi pula, ia masih mengekalkan bentuk yang sama seperti model semasa yang ada ketika ini – dengan sedikit perbezaan pada tiang-D.

    Pendekatan rekaan dan garisan yang lebih segar pula diterapkan untuk bahagian belakang; garis dari pintu belakang yang terus bersambung ke bahagian lampu. Rekaan lampu itu sendiri juga baru, lebih tirus sama seperti yang dilihat di depan. Garis lintang yang ada juga membuatkan SUV nampak lebih lebar.

    Nissan X-Trail akan datang dalam fail rasmi di Brazil

    Untuk enjin, ia mungkin kekal dengan unit 2.5 liter empat-silinder sebaris yang turut digunakan oleh sedan segmen D Altima – dengan janaan 188 hp dan 244 Nm. Begitu juga dengan kotak gear CVT XTronic sebelum ini dijangka akan terus digunakan.

    Di Jepun, X-Trail baru berkenaan dijadualkan diperkenal tahun hadapan dalam versi hibrid, selari dengan dengan arah tuju elektrifikasi yang diambil oleh Nissan bagi memenuhi peraturan pencemaran yang semakin ketat. Bagi Rogue di pasaran benua Amerika pula, ia dijangka akan diperkenalkan tahun ini; bagaimanapun, tiada sebarang tarikh yang telah ditetapkan.

     
     
  • Petronas SRT belum ada perbincangan ambil Rossi

    Petronas SRT belum ada perbincangan ambil Rossi

    Kontrak Valentino Rossi sebagai pelumba pasukan factory Yamaha dalam MotoGP bakal berakhir tahun ini dan setakat ini beliau masih belum membuat keputusan sama ada untuk terus berlumba pada tahun 2021 atau bersara terus. Pasukan itu pula sudah menandatangani kontrak dengan Fabio Quartararo serta Maverick Vinales untuk tahun 2021 dan 2022.

    Daripada keputusan ini, kita sudah melihat tiada lagi tempat bagi Rossi sebagai pelumba pasukan factory Yamaha, dan pelbagai khabar angin mula tersebar. Antaranya adalah Rossi bakal diambil oleh pasukan satelit Yamaha Petronas SRT, sementara Rossi sendiri pula memberitahu beliau memerlukan beberapa perlumbaan lagi sebelum boleh membuat keputusan.

    Dalam perkembangan terbaru berkenaan perkara ini, New Straits Times telah mengeluarkan laporan bahawa ketua pasukan Petronas SRT, Datuk Razlan Razali memberitahu bahawa setakat ini masih belum ada perbincangan rasmi antara pihak beliau dengan Yamaha atau Rossi sendiri.

    Petronas SRT belum ada perbincangan ambil Rossi

    “Ia adalah satu cadangan yang menarik tetapi kami masih belum tahu apa-apa setakat ini. Kami tidak pernah berbincang apa-apa. Antara Rossi dan Yamaha memang ada banyak perbincangan, tetapi kami tidak terlibat di dalamnya, jadi kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Kami cuma akan mengetahui perinciannya apabila terdapat perjumpaan rasmi dengan pihak yang terlibat,” kata Razlan.

    Seandainya Rossi masuk ke dalam pasukan Petronas SRT sebagai pelumba pada tahun 2021, Yamaha pernah memberitahu mereka masih akan memberi sokongan penuh seperti pasukan factory memandangkan pasukan itu juga menggunakan YZR-M1, jentera yang pembangunannya banyak dibantu oleh Rossi.

     
     
  • Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

    Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

    Pelbagai desas-desus kedengaran bahawa Toyota bakal memperkenalkan versi berprestasi tinggi dalam badan Corolla generasi baharu sebelum ini, namun sebarang langkah konkrit masih lagi belum kelihatan. Tetapi berita terbaharu ini mungkin adalah petanda awal bahawa model berkenaan memang benar akan muncul tidak lama lagi – Toyota dilihat sudah pun mendaftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia!

    Perkara ini disedari oleh portal automotif negara berkenaan, CarAdvice dan Toyota nampaknya turut mendaftarkan dua lagi tanda dagangan untuk dua versi C-HR lebih sporty iaitu C-HR GR-Sport dan C-HR GR-S di pejabat Harta Intelek Australia tersebut.

    Dengan akronim GR (Gazoo Racing) yang diletakkan di hadapan seperti GR Supra dan GR Yaris, ini bermaksud Corolla tersebut adalah model prestasi yang serius, bukan seperti Corolla GR Sport yang telah diperkenalkan sebelum ini.

    Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

    Walau bagaimanapun, Toyota Australia menyatakan bahawa pendaftaran tanda dagangan tersebut bukan bermakna model itu sah akan dipasarkan di negara berkenaan. “Kami tiada apa-apa pengumuman hari ini berkenaan pengenalan ‘GR Corolla’, ‘C-HR GR-Sport’ dan ‘C-HR GR-S’, tetapi kami tidak menolak kemungkinan bahawa kesemuanya akan sampai ke Australia,” kata jurucakap Toyota kepada CarAdvice.

    Namun ada petunjuk model tersebut kini mungkin dalam pembangunan kerana jurucakap berkenaan turut menyatakan bahawa “sebagai amalan biasa perniagaan kami, kami akan mendaftarkan nama tanda dagangan yang sama dibuat oleh Toyota di Jepun bagi memastikan nama tersebut dapat kami digunakan di sini.”

    Tahun lalu, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei ada menyatakan bahawa mereka telah membuat perancangan awal untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo terhadap Corolla berprestasi tinggi tersebut. Dan pada Februari ini, laporan AutoExpress menyatakan GR Corolla berkenaan memang akan diberikan enjin 1.6 liter, atau lebih spesifik enjin yang sama digunakan pada GR Yaris, bersama kotak gear manual enam-kelajuan.

    Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

    Dalam perut GR Yaris yang membuat kemunculan sulungnya di Jepun awal tahun ini, enjin 1.6 liter tiga-silinder berkenaan berupaya menjana 272 PS dan tork 370 Nm, didakwa sebagai enjin produksi tiga-silinder paling berkuasa buat masa sekarang.

    Sementara itu di Amerika Syarikat, pasaran berkenaan berkemungkinan besar akan menerima GR Corolla ini memandangkan GR Yaris tidak akan dijual di sana. Ini kerana, Yaris asas untuk pasaran tersebut adalah model rebadge dari Mazda 2 dan bukan Yaris yang sama seperti di Jepun dan Eropah.

    Dalam laporan Caranddriver, naib presiden eksekutif untuk jualan Toyota America, Bob Carter berkata kepada wartawan pada Februari lalu, pihaknya sudahpun mempunyai “jawapan” terhadap GR Yaris untuk pasaran Amerika Utara. Tiada nama spesifik disebutkan, tetapi portal tersebut optimis ia adalah Corolla dengan enjin GR Yaris kerana model asasnya kini sudah pun dijual di sana.

     
     
  • PLUSRonda sambut ulangtahun ke-30 penubuhannya

    PLUSRonda sambut ulangtahun ke-30 penubuhannya

    Mungkin ada di antara kita yang pernah meminta bantuan PLUSRonda bila berhadapan dengan masalah sewaktu menggunakan lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS). Tahukah anda, hari ini merupakan ulang tahun yang ke-30 PLUSRonda sejak diperkenalkan pada 1 April 1990.

    Masih mengekalkan objektif penubuhannya iaitu membantu para pelanggan lebuh raya yang menghadapi masalah ketika berada di lebuh raya. Pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia memberikan pertolongan kepada pelanggan di lebuh raya sama ada yang mengalami tayar pancit, kenderaan rosak, masalah bateri mahupun terlibat dalam kemalangan.

    “PLUSRonda merupakan kumpulan barisan hadapan yang ikonik di lebuhraya kami. Lebih bermakna lagi, tatkala negara sedang berusaha memerangi penularan wabak Covid-19, ulang tahun ke-30 penubuhan PLUSRonda pada 1 April 2020 adalah untuk memperingati matlamat penubuhan dan pengorbanan yang telah mereka curahkan.

    “Ketika kakitangan PLUS mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anggota PLUSRonda kami tetap bertugas dan mengadakan rondaan di lebuh raya untuk memastikan bantuan disampaikan kepada pelanggan mengikut masa yang ditetapkan,” ujar Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS.

    PLUSRonda sambut ulangtahun ke-30 penubuhannya

    Tambahnya lagi, walau pun menyedari cabaran serta risiko yang dihadapi oleh barisan hadapan PLUS, justeru, pihaknya telah mengambil pelbagai inisiatif bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kalangan kakitangannya. Ini bagi memastikan segala aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan mereka diberi keutamaan dan diberi perhatian khusus supaya mereka dapat terus menjalankan tugas tanpa perlu rasa takut dan bimbang.

    “Kami sangat berbangga dengan anggota PLUSRonda kami. Mereka adalah wira-wira yang berani dan sentiasa komited dalam melaksanakan tugas mereka dengan baik demi keselamatan dan keselesaan semua pelanggan di sepanjang lebuh raya, tanpa mengira siang ataupun malam. Semangat mereka yang tidak pernah luntur dan tidak mengenal penat-lelah memberi keyakinan kepada pelanggan di saat mereka mengalami kesukaran ketika berada di lebuh raya PLUS atau LPT2,” kata Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Pegawai Operasi PLUS.

    Sambungnya, selain menjalankan kerja-kerja menyelamat ketika berlakunya kemalangan atau membantu pelanggan yang terkandas, ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa anggota PLUSRonda juga turut berjaya membantu pelanggan lebuhraya melahirkan bayi ketika berada di dalam situasi kecemasan di lebuh raya. Latihan yang dilalui oleh anggota PLUSRonda meliputi aspek teknikal hinggalah ke bantuan kecemasan bagi membolehkan mereka mengaplikasikannya ketika berdepan dengan pelbagai situasi ketika bertugas.

    Buat masa ini, terdapat 574 orang anggota PLUSRonda di sepanjang lebuh raya PLUS dan LPT2. Di dalam keseluruhan ekosistem lebuhraya PLUS, terdapat empat buah wilayah, termasuk di Pantai Timur. Setiap wilayah terbahagi kepada enam hingga tujuh seksyen, dan setiap seksyen dilengkapi dengan kenderaan-kenderaan peronda yang dikendalikan oleh sepasukan dua anggota PLUSRonda. Sebelum PKP dilaksanakan, PLUSRonda ditugaskan untuk meronda lebuh raya berdasarkan format rondaan dan perlu tiba memberi bantuan (bergantung sekiranya terdapat beberapa kejadian yang berlaku serentak) dalam masa 30 minit atau lebih singkat daripada itu.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R versi ubah suai ditunjukkan di Jepun

    Kawasaki ZX-25R versi ubah suai ditunjukkan di Jepun

    Model sports yang menggunakan enjin empat silinder 250 cc keluaran Kawasaki iaitu Ninja ZX-25R akan memasuki pasaran Jepun tidak lama lagi, dan bagi menambahkan keterujaan kepada orang ramai, syarikat itu telah mengeluarkan beberapa gambar yang menunjukkan sebuah versi ubah suai secara menyeluruh untuk kegunaan lumba.

    Walaupun unit seperti di dalam gambar tidak akan dijual terus kepada pengguna, aksesori serta kelengkapan yang digunakan masih boleh dibeli melalui pengeluar yang bekerjasama dengan Kawasaki untuk ubah suai ini apabila ia memasuki pasaran nanti.

    Selain daripada menunjukkan potensi model ini sebagai jentera lumba, Kawasaki Motors Japan juga telah membuat pengumuman bahawa mereka akan menganjurkan siri perlumbaan khas (one-make race) untuk ZX-25R pada tahun 2021 di negara matahari terbit itu namun model ubah suai yang ditunjukkan itu bukanlah jentera lumba sebenar yang akan digunakan.

    Antara barangan yang digunakan oleh Kawasaki pada ZX-25R yang diubah suai ini adalah seperti kit badan gentian karbon, tempat duduk serta pad tangki A-Tech, sistem ekzos titanium Beet Nassert Evolution Type II, tayar Dunlop Sportmax 13SP, rantai dan sprocket RK, monoshock Showa daripada ZX-10R, fork Showa asal ZX-25R dengan tiub dalaman yang diwarnakan, serta pedal kaki dan tuil tangan Sniper.

    Selain Jepun, Indonesia juga adalah antara negara terawal yang dijangka menerima ZX-25R dalam pasaran tetapi pelancaran serta tempahan yang sepatutnya dibuka pada April ini telah ditangguh sementara disebabkan pandemik Covid-19.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R di Tokyo Motor Show

     
     
  • Polis Terengganu tangguh sistem penggiliran ikut nombor pendaftaran kenderaan sepanjang PKP

    Polis Terengganu tangguh sistem penggiliran ikut nombor pendaftaran kenderaan sepanjang PKP

    Polis Terengganu yang baru ingin melaksanakan kaedah khas bagi mengehadkan pergerakan kenderaan sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menguatkuasakan sistem penggiliran berasaskan nombor pendaftaran kenderaan mulai esok untuk pergerakan trafik di negeri berkenaan, dimaklumkan terpaksa menangguhkannya.

    Menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook rasminya, ia dikatakan terpaksa ditangguhkan untuk kajian yang lebih terperinci. Walau bagaimana pun tiada butiran mahupun maklumat lanjut mengenainya.

    Tengahari tadi, melalui laman media sosial yang sama, polis Terengganu meminta orang ramai supaya menyemak angka terakhir nombor pendaftaran kenderaan mereka sama ada nombor ganjil atau nombor genap sebelum keluar rumah.

    Di mana pada 1 April 2020, hanya kenderaan persendirian dengan angka nombor ganjil sahaja dibenarkan untuk bergerak bagi sebarang urusan, manakala yang bernombor genap akan dibenarkan bergerak keesokan harinya dan ia akan berlangsung secara bergilir-gilir.

     
     
  • PKP Fasa 2: Teksi & e-Hailing hanya beroperasi dari 6 pg-10 mlm, penghantaran makanan dari 8 pg-8 mlm

    PKP Fasa 2: Teksi & e-Hailing hanya beroperasi dari 6 pg-10 mlm, penghantaran makanan dari 8 pg-8 mlm

    Kerajaaan bakal mengimplemtasikan fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok (1 April) hingga 14 April yang lebih ketat dari fasa pertama, bagi memastikan usaha untuk menyekat penularan wabak Covid-19 akan menjadi lebih berkesan. Untuk pengangkutan, apa yang anda perlu tahu berkenaan perlaksanaan PKP fasa dua ini?

    Menurut Kementerian Pengangkutan, bermula esok, perkhidmatan bas awam (ekspress dan berhenti-henti), tren dan terminal-terminal terlibat hanya dibenarkan beroperasi dalam tempoh masa 6 pagi hingga 10 pagi, dan dari pukul 5 petang hingga 10 malam.

    Manakala untuk teksi dan e-hailing pula hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. Bagi yang rajin memesan makanan, maklumat ini perlu anda ambil tahu – perkhidmatan penghantaran makanan hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam. Jadi kalau nak pesan makan malam, order siap-siap lebih awal sebelum pukul 8 malam.

    Kementerian Pengangkutan turut cakna berkenaan pengangkutan penting yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Jadi untuk memastikan sektor tersebut bergerak lancar ketika PKP fasa dua ini, syarikat logistik dan pengangkutan digalakkan untuk beroperasi bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi.

    Seperti yang disebutkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, PKP fasa dua ini bukanlah situasi larangan pergerakan sepenuhnya (lockdown), tetapi ia akan melibatkan kawalan pergerakan yang lebih ketat, dengan pertambahan jumlah sekatan jalanraya.

    Semalam menteri berkenaan menyatakan bahawa sebanyak 257,287 buah kenderaan diperiksa di 1,520 sekatan jalan yang dilakukan pada hari Ahad lalu, dan jumlah sekatan jalan ini juga akan ditambah sepanjang tempoh fasa kedua PKP. Ini termasuk di semua laluan masuk ke lebuhraya seluruh negara, yang telah pun ditambah sebelum ini – dari 23 kepada 65 sekatan ketika ini. Sekatan di plaza tol akan ditambah menjadi 114 bagi fasa kedua PKP nanti.

    PKP Fasa 2: Teksi & e-Hailing hanya beroperasi dari 6 pg-10 mlm, penghantaran makanan dari 8 pg-8 mlm

    Kerajaan juga sebelum ini telah mengumumkan bahawa sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP ini, hanya seorang individu dibenarkan untuk keluar dari rumah dan memandu untuk membeli barangan keperluan harian serta ubat-ubatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung sekarang.

    Selain dari langkah-langkah untuk meminimakan pergerakan di atas jalan raya ini, kerajaan turut mengehadkan waktu operasi untuk kedai serbaneka dan pasaraya, restoran yang hanya menawarkan perkhidmatan bawa pulang dan juga stesen minyak dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

    Selepas 14 hari PKP berlangsung, bagaimana keadaan anda? Sanggup ke nak harungi lagi jika tempoh ini dilanjutkan? Kalau tak nak, ayuh bantu barisan hadpaan negara untuk menjayakan perperangan terhadap Covid-19 ini dengan duduk di rumah, dan tidak sewenang-wenangnya keluar untuk urusan remeh-temeh!

     
     
  • Terengganu laksana sistem penggiliran ikut nombor pendaftaran kenderaan sepanjang PKP dari 1 April

    Terengganu laksana sistem penggiliran ikut nombor pendaftaran kenderaan sepanjang PKP dari 1 April

    Semalam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan fasa kedua bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula 1 April 2020. Ini akan melibatkan kawalan pergerakan yang lebih ketat, dengan pertambahan jumlah sekatan jalanraya.

    Walau bagaimana pun, polis Terengganu bakal melaksanakan satu kaedah khas bagi mengehadkan pergerakan kenderaan dan orang di negeri berkenaan dengan menguatkuasakan sistem penggiliran berasaskan nombor pendaftaran kenderaan mulai esok sehingga tamat PKP.

    Menerusi kenyataan yang dipaparkan di Facebook rasminya, polis Terengganu meminta orang ramai supaya menyemak angka terakhir nombor pendaftaran kenderaan mereka sama ada nombor ganjil atau nombor genap sebelum keluar rumah.

    Di mana pada 1 April 2020, hanya kenderaan persendirian dengan angka nombor ganjil sahaja dibenarkan untuk bergerak bagi sebarang urusan, manakala yang bernombor genap akan dibenarkan bergerak keesokan harinya dan ia akan berlangsung secara bergilir-gilir (rujuk foto di bawah).

    Terengganu laksana sistem penggiliran ikut nombor pendaftaran kenderaan sepanjang PKP dari 1 April

    “Jika didapati mana-mana kenderaan persendirian yang tidak dibenarkan bergerak ini melalui mana-mana sekatan, akan diarahkan kembali ke rumah masing-masing,” ujar kenyataan tersebut.

    Di mana pendekatan ini terpaksa dibuat bagi menghadkan jumlah kenderaan yang masih tinggi di atas jalanraya seolah-olah tidak menghiraukan PKP yang sedang dikuatkuasakan, dan pelaksanaan arahan ini akan diteruskan sehingga arahan baharu dikeluarkan.

    Walau bagaimana pun, tidak disebut mengenai sebarang kompaun atau pun penalti yang bakal dikenakan sekiranya ada pemandu kenderaan yang gagal berbuat demikian iaitu berada di jalan raya tanpa ikut sistem penggiliran.

    Terengganu laksana sistem penggiliran ikut nombor pendaftaran kenderaan sepanjang PKP dari 1 April

    Dalam sidang medianya hari ini, Ismail Sabri memuji inisiatif yang diambil oleh Terengganu untuk memperkenalkan sistem giliran ikut plat pendaftaran ganjil/genap, namun sistem sedemikian katanya akan memerlukan pertimbangan yang lebih lanjut sekiranya hendak diimplementasiukan ke negeri-negeri lain, khususnya di kawasan yang memiliki trafik lebih tinggi, seperti di Kuala Lumpur.

    Di sini, kami ingin mengulangi peringatan yang sama; tolonglah duduk sahaja di rumah sepanjang PKP ini, dan hanya keluar rumah sekiranya perlu sahaja, iaitu bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Hadkan pergerakan anda dan jangan lupa sekarang ini sudah ada peraturan satu kereta, seorang sahaja (iaitu hanya pemandu sahaja). Jangan pula keluar bersukaria di luar, tak pasal-pasal ditangkap pihak berkuasa pulak. Penuh pulaklah penjara.

     
     
  • Daihatsu Sirion Cross dalam risalah bocor – adakah Myvi Style akan diperkenalkan di Malaysia juga?

    Daihatsu Sirion Cross dalam risalah bocor – adakah Myvi Style akan diperkenalkan di Malaysia juga?

    Ada pembaca yang mengirimkan brosur Daihatsu Sirion Cross yang khabarnya akan diperkenalkan tak lama lagi. Seperti yang kita sedia maklum, Sirion yang dijual di pasaran Indonesia merupakan versi rebadge bagi Myvi di sini. Versi “cross” ini pula kelihatan seperti ditinggikan kedudukan badannya dengan imej SUV bagi model berkenaan.

    Pendekatan ini juga bukanlah sesuatu baru. Sudah berapa banyak model yang pernah kita lihat sebelum ini diberi sentuhan yang sama? Masih belum lupa dengan Honda Jazz Crosstar, kan? Atau, yang lebih dekat dengan kita ialah Perodua Axia Style. Tidak menghairankan sebenarnya jika Daihatsu di Indonesia meminjam pendekaran pemasaran yang sama. Bagaimanapun, daripada gambar yang mula bocor ini, perubahan yang dilakukan terhadap Sirion Cross lebih daripada sekadar yang biasa-biasa.

    Selain nampak lebih tinggi dengan tambahan landasan pada bumbung serta lapik plastik disekeliling badan, Sirion Cross ini juga diberikan rekaan bampar depan yang baru. Dengan ini, ia tampil lebih sporty; wajah depan yang gelap dengan rekaan bawah lampu utama dan gril yang mirip digunakan pada Honda Vezel Modulo X untuk pasaran Jepun. Ini ditambah dengan bahagian “lip” warna perak dan bukaan inlet yang lebih besar berserta jalur lampu LED.

    Sirion Cross ini juga menggunakan rim 15-inci dengan rekaan yang serupa bagi rim 17-inci pada Toyota Raize. Perbezaan paling ketara ialah di bahagian belakang; rekaan lampu belakang yang serba baru dengan ruang untuk nombor plat yang dinaikkan dari bahagian bampar sebelum ini, yang boleh kita lihat pada Myvi/Sirion sedia ada.

    Selebihnya, ia sama saja dengan Sirion biasa; kekal menggunakan enjin 1.3 liter Dual VVT-i 95 PS/120 Nm dengan pilihan untuk transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.
    Melihat kepada penampilan ini, adakah kita di Malaysia juga boleh menjangkakan Myvi Style akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan kelak?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 23, 2024